Walaupun pengurusan dan pentadbiran masjid dibawah kuasa sesuatu negeri atau pihak berkuasa tertentu seperti Wilayah Persekutuan tetapi satu ciri yang sama ialah penyediaan Tabung Derma Masjid bagi membolehkan para jemaah dan sesiapa yang berhasrat menderma berbuat demikian. Dibawah ialah sedikit maklumat yang berkaitan:
1. Dipercayai hampir kesemua masjid di Malaysia menyediakan tabung untuk menerima derma dari para jemaah dan sesiapa saja yang mahu menderma. Tidak ada paksaan bagi sesiapa untuk berbuat demikian.
2. Pada hari Jumaat, jumlah kutipan tabung secara amnya lebih dari hari-hari yang lain kerana bilangan yang bersolat Jumaat adalah ramai berbanding dengan solat fardhu di hari-hari yang berkenaan.
3. Secara amnya ada tiga kaedah kutipan dibuat iaitu
i) Kutipan bergerak dimana kotak atau peti kayu kecil di gerak-gerakkan oleh para jemaah dari seorang keseorang. Mereka yang ingin menderma akan memasukkan wang kedalam bekas yang berada dihadapannya sebelum menggerakkan kepada orang disebelahnya dan seterusnya perkara yang sama dilakukan. Kadang-kadang tabung itu bergerak pantas ditolak seorang keseorang tanpa berhenti.
ii) Kadang-kadang derma itu dikutip sendiri oleh wakil masjid dengan bergerak dari seorang jemaah ke jemaah yang lain.
iii) Disamping itu ada disediakan tabung tetap yang tidak bergerak. Terpulanglah kepada sesiapa yang berhasrat untuk menderma boleh berbuat demikian bila-bila masa saja.
Biasanya dua cara pertama diatas, telah jarang kelihatan lagi dibandar-bandar.
4. Jumlah kutipan derma tabung masjid sangat bergantong kepada bilangan jemaah dan kedudukan ekonomi para jemaah walaupun ini bukanlah faktor yang mutlak, cuma keberangkaliannya banyak menunjukkan begitu. Bilangan jemaah dan kedudukan ekonomi para jemaah yang mantap biasanya akan dapat mengumpul jumlah kutipan yang memberangsangkan.
5. Masjid kecil di kampong akan dapat mengumpul jumlah yang kecil berbanding masjid dibandar-bandar besar. Keadaan seperti ini memberi kesan kepada tahap penjagaan masjid itu sendiri misalnya dari segi penjagaan kebersihan dan kemudahan yang disediakan. Masjid dibandar penjagaan kebersihannya lebih baik dan kemudahan yang ada amat menyelesakan para jemaah seperti alat hawa dingin.
6. Sebahagian besar dari kutipan derma itu akan digunakan bagi perbelanjaan mengurus masjid itu sendiri seperti air, elektrik, kerja pembersihan kawasan dan bilik air serta tandas. Wang itu juga digunakan untuk faedah anak kariah seperti bayaran saguhati kepada penceramah jemputan.
7. Wang kutipan itu adalah dibawah urusan Jawatankuasa Masjid, khususnya orang-orang yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa untuk menguruskannya seperti Pengerusi Jawatankuasa, Bendahari dan Setiausaha. Biasanya wang kutipan disimpan dalam bank yang telah dipersetujui. Ada juga masjid dikampong yang berjauhan dengan bank, wang kutipan derma itu disimpan dalam tangan orang yang telah diamanahkan, biasanya bendahari.
8. Wang kutipan itu hanya digunakan untuk faedah anak kariah dan masjid itu saja. Maklumat yang diketahui setakat ini mana-mana masjid yang mempunyai kutipan melebihi dari pembiyaan mengurusnya, tidak akan menggunakan wang itu untuk membantu perbelanjaan masjid lain yang miskin atau kurang dari segi kutipan.
9. Sebahagian besar masjid tidak mendapat bantuan kewangan tetap untuk perbelanjaan mengurus dari pihak berkuasa.
Diatas adalah maklumat-maklumat am yang dapat diketengahkan berkaitan dengan tabung masjid. Mungkin terdapat kelainan diantara satu masjid dengan masjid yang lain tetapi sebahagian besar maklumat itu dipercayai boleh mewakili kedudukan masjid dari segi tabung derma dan sumber pembiayaan mengurus. Mungkin ada maklumat lain yang tidak diketahui yang juga penting.
Cuma ada beberapa persoalan dari banyak soalan yang hendak dikemukakan seperti dibawah:
i) Perlukah kutipan secara menggerakkan tabung dari seorang jemaah ke jemaah yang lain diteruskan? Tidakkah cara ini mengganggu? Kenapa para dermawan perlu menunggu tabung itu digerakkan lalu baru menderma? Kenapa para penderma tidak memasukkan saja wang dalam bekas atau peti yang tidak bergerak yang telah disediakan. Lebih mudah dan tidak mengganggu, bukan? Bagaimana pula kutipan yang dibuat oleh seseorang dengan berjalan dari saf ke saf?
ii) Bolehkah wang kutipan dari masjid yang besar yang berlebihan itu digunakan bagi membantu masjid yang daif? Mungkin ada halangan dari segi tempat dan negeri tetapi kalau satu negeri bagaimana? Mungkin masalah dari segi niat penderma bahawa derma itu hanya untuk masjid itu saja, jadi kalau ada berlebihan dari keperluan tidak boleh di dermakan kemasjid yang lain. Tidak bolehkah kita penderma ikhlaskan derma itu untuk keperluan ummah secara am?
iii) Bagaimana cara menguruskan kewangan? Ada kah penggunaan wang derma itu dibuat dengan sokongan sesuatu dokumen? Atau kerana ianya derma maka ianya tidak tertakluk kepada satu dokumentasi yang menjelaskan penggunaan wang itu secara yang jelas dan nyata? Atau kerana ianya masjid dan wang diuruskan oleh orang masjid maka pengurusannya diandaikan sebagai yang terbaik.
iv) Tidakkah boleh masjid-masjid yang mempunyai baki wang derma yang berlebihan mengambil inisiatif untuk mengumpul wang tersebut dan menggunakannya secara yang teratur bagi meningkatkan ekonomi dan kebajikan ummah misalnya ditubuhklan satu tabung, katakan namanya Tabung Pembangunan Ummah membantu anak-anak yang perlukan wang bagi melanjutkan pelajaran dan lain-lain keperluan ummah.
v) Adakah kepentingan selain dari membangunkan ummah mengatasi dan lebih penting? Kalau begitu mengapa perlu membuat bising dan hebuh-hebuh fasal perpaduan ummah sedangkan mengurus institusi masjid pun kita masih ketinggalan dan tidak ambil peduli. Masjid yang daif biarkan meneruskan nasibnya dan yang mewah meneruskan kemewahannya. Begitu kah asas perpaduan Islam? Mewujudkan jurang yang semakin besar diantara masjid kampong dan masjid bandar.
Kita mempunyai kiasan atau peribahasa yang menyatakan mendirikan masjid bagi pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga. Cuba kita fikir-fikirkan maksud mendirikan rumah tangga itu. Untuk perpecahan? Untuk penindasan lelaki atas perempuan kerana lelaki itu lebih kuat dan mempunyai kelebihan? Kelebihan lelaki atau perempuan itu tidak boleh dikongsi sama? Banyak lagi soalan yang kita boleh tanya.
Jadi Wang Derma Tabung Masjid seperti yang ada sekarang ini adalah sebenarnya menceritakan kedudukan umat Islam di Malaysia. Percaya? Saya cukup yakin dan percaya. Saya juga percaya orang Islam dan negara Islam adalah umat yang bertuah yang dianugerahkan Allah kekayaan tetapi harta atau kekayaan itu tidak diuruskan secara yang terbaik. Salah guna atau kurang ilmu? Dua-duanya boleh terima.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan