Theflowersellingboy

Isnin, 25 April 2011

What is the because? Anuuuu.....

"k k k k k k", begitulah suara yang didengar dari seorang juara acara satu rancangan hiburan. Waktu itu Dia sedang menyuap nasi ke mulut, makan tengah hari jam 2.15 petang. Maka kepalanya segera membawa matanya melihat acara yang sedang ditayangkan di tv yang tergantong di dapur berhampiran dengan meja makan.  Suapan diteruskan dan mulutnya mengunyah sambil matanya terbuka luas memerhati lakunan yang terpapar. Selepas kkkkk itu, terdengar seorang pengkritik , mungkin pengulas, dari bilangan tiga,  Dia tidak pasti jawatan atau peranan mereka, kerana itulah kali pertama Dia tertonton rancangan itu, petah berbicara dengan mimik muka, kedua-dua tangan bergerak sama tapi tak serupa, menggunakan bahasa badan setengah orang kata, memuji dan mencela seseorang yang berdiri di hadapannya dengan tunduk penuh setia. Dia tidak tertarik dengan isi yang diperkatakan kerana Dia rasa Dia pun boleh mengambil peranan itu walaupun Dia hanya lulusan tidak setinggi mana, apatah lagi yang berkaitan dengan seni seperti yang mereka dakwa. 

Namun Dia tertarik akan penggunaan bahasa si pembicara, bukan saja yang seorang malah ketiga-tiga mereka. Kelihatan mereka menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dia tersipu-sipu malu sendiri kerana sebentar tadi begitu sombong dan bangga diri, konon boleh mengambil peranan sipembicara itu. 'Padan muka Aku', Dia menempelak dirinya sendiri.

"Although your size is small but  in this type of show size does not matter and  You  kalau you know sharpen sikit you punya anu...". Dia mula tersenyum mendengar kepetahan pembicara itu menggunakan dua bahasa, yang global dan lokal. " I cannot disaggree with my colleague . Cuma the way you lontarkan your apa ni voice a bit  you know tak jelaslah", seorang lagi pembicara mula terlibat. Dia tersenyum lebar.

Oleh kerana rancangan itu Dia tertonton dan bukan yang diminati, cuma terpukau dengan kepetahan dan penguasaan bahasa pembicara , matanya tidak lama melekat ke arah rancangan tersebut. Hanya isteri dan anak-anaknya saja yang terpukau sambil memberi pandangan masing-masing menilai siapakah yang terbaik. Tapi mereka cakap satu bahasa saja, Bahasa Melayu.

Kerusi duduknya memang tidak diplih berhadapan dengan tv yang tergantong itu kerana dia sudah lama tidak ada selera untuk menonton tv melainkan saluran bersisri 8. Ya saluran sukan 811, 812, 813, 814,815, 816 dan 817. Tapi tv didapur itu adalah dibawah kawalan isteri dan anak-anaknya. Untuk berlaku adil, mereka semua, isteri dan anak-anaknya mencadangkan supaya di buat dua langganan, satu yang banyak hiburan dan yang lagi satu yang ada sukan. Bayaran? "Papalah yang bayar. Sebab papa ketua keluarga", cadang anaknya yang tua. Mahu tak mahu Dia terpaksa bersetuju kerana Dia terlalu ketagih dengan sukan terutama tennis. Apa tah lagi kalau si Nadal dari Sepanyol itu bermain, sampai ke Subuhpun sanggup berjaga. Lagipun hidup bukan kah perlu bertolak ansur. Takkan Dia saja nak memuaskan selera mata.

Malah Dia sendiri telah memberi gred bagi sesuatu saluran itu dalam membuat pilihan. Ada saluran yang amat diminati diberi gred 1, saluran boleh tengok jika tiada pilihan, diberi gred sijil am saja dan saluran yang dibenci meluat dan tidak wajar ditonton. Yang ini tiada gred, maknanya tidak ada sijil, nak minta kerja pun susah.  Isteri dan anak-anaknya telah ambil maklum akan perkara ini.

Selesai menjamu selera, tidak termasuk halwa telinga, Dia terus ke bilik untuk menonton rancangan kegemarannya, sukan di saluran gred 1. Lepas satu saluran ke satu saluran siri lapan yang dibuka, kesemuanya memaparkan ulang tayang. Dia merasa bosan. Kalau ditayangkan Nadal bermain tenis tak apalah, ada juga yang Dia berkenan. Lalu  sekali lagi Dia terpaksa membuka saluran bukan pilihan, gred sijil am,  tapi tidak sama sekali saluran kebencian

Ada bicara fasal ekonomi. Dia begitu berminat sekali kerana Dia memahami ekonomi itu adalah yang berkaitan dengan mencari makan yang ada sangkut paut dengan harga barang-barang dan perkhidmatan. Perkara ini terlalu penting baginya dalam mengatur kehidupan hariannya.

Ada tiga pembicara. Kesemuanya berwarna kulit seperti Dia, gelap tapi tak malap, cerah tapi tidak putih tidak juga merah. Mereka berbincang fasal pasaran saham. Walaupun tidak seperti yang dihajati, Dia tetap mahu dengar. Lagipun apa pilihan yang ada. Tak faham banyak, sikit pun cukuplah sekurang-kurangnya Dia boleh kaitkan dengan Amanah Saham Bumiputera, ASB. Mula-mula Dia seronak mendengarnya, terpukau, biji matanya semacam mahu keluar memberi sepenuh perhatian. Dia percaya ramai orang-orang sepertinya sedang menonton dan mendapat maklumat yang terbaik dari segi pasaran saham.

Kemudian, Dia  tercengang-cengang, apabila mendengar bahasa para pembicara. Dia seperti pernah tertonton dalam satu rancangan yang mana pembicara menggunakan cara yang sama . Nampaknya ini satu aliran baru  atau kecenderungan baru atau yang baru-baru yang Dia baru tahu. Hebat sungguh pembicara sekarang, bukan calang-calang orang, mesti menguasai bahasa global walaupun berbicara dalam ruang lokal. Bukan itu saja, mesti cakap sekerat-sekerat dalam bahasa yang berbeza. Mungkin tajuk perbincangan terlalu susah, terlalu rumit yang tidak boleh di jangkau perbendaharaan kata bahasa artikel 152. Pasaran saham katakan, adalah sesuatu yang termasuk dalam hal-hal yang teknikal. 
 
Sama seperti dalam rancangan hiburan yang Dia tertonton semasa makan tadi, pembicara bercakap dalam dua bahasa terputus-putus, seperti ikan mengambil nyawa. Dia tidak tahu mereka gunakan satu bahasa atau bagaimana. Mungkin satu bahasa yang baru dicipta! Yang pasti  , dalam dua rancangan yang berbeza, satu hiburan, yang satu lagi ilmu pasaran saham, bahasa yang digunakan adalah sama. Warna kulit pembicara? Macam Dia juga. Sama.

Itulah sebabnya Dia menentang bermati-matian pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sahaja. Kenapa tak gunakan bahasa yang baru ini? Rojak! Bukankah sedap berperisa! Dia tersenyum sendiri entah kali yang ke berapa.

Penonton?  'Entahlah Aku telah ketinggalan zaman kerana tidak menonton saluran yang lain' , Dia membisik mengutuk dirinya.

Dia sangat marah, benci pun ada lalu Dia bercakap sendirian "What is the because". Puas hatinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan