Theflowersellingboy

Khamis, 10 Mei 2018

Alhamdulillah Selesai Sudah PRU 14.




Tahniah PH kerana telah diistiharkan menang PRU 14 pada 10.5. 18 , pukul kurang lebih 4 pagi.

Tahniah juga kepada PAS yang dapat mengekalkan Kelantan dan mengusai Terengganu semula.

Maka PRU 14 yang ditunggu dengan segala debaran dam keghairahan telah pun memberi jawapan, parti mana yang berjaya dan kalah.

Saya percaya setiap dari kita mengharapkan kemenagan bagi parti yang kita sokong. Jika harapan itu menjadi kenyataan, ianya memberi kepuasan kepada kita walaupun kita bukan calunnya.

Rakyat, termasuk pimpinan politik perlu menerima realiti bahawa hanya parti politik yang bergabung atau bekerjasama sahaja yang mampu menerajui kerajaan di peringkat Persekutuan. Parti politik tidak boleh bersendirian.

Apa pun, ramalan dan tekaan saya bahawa PH akan menang nampaknya menjadi kenyataan.  


Isnin, 7 Mei 2018

Jika Darah Rakyat Sudah Panas Menggelegak....kesannya....






Mari kita bersantai politik. Tidak perlu stress. 

Kita main teka teki, parti mana yang akan menang PRU 14. Tak perlu analisa macam dibuat oleh institusi dan badan-badan kajian seperti Merdeka Center, IDE atau pun Invoke. 

Semua tu jadi pening kepala dibuatnya. Sebab nak buat pertanyaan dan tinjauan dilapangan, menyediakan berbagai soalan dan menghubungi pengundi melalui talipon. Sudah tentu perlukan organisasi, pekerja dan berbagai kelengkapan seperti komputer. Kosnya tinggi diluar kemampuan orang perseorangan.

Oleh itu kita boleh main teka teki. Kalau salahpun tidaklah memalukan sebab kita main santai-santai saja. 

Ada tiga parti utama yang ada kemampuan untuk tubuh kerajaan iaitu UMNO/BN, PAS dan PH. Lupakan parti-parti kecil dan calun individu yang bertanding sebagai calun bebas. Calun bebas kalau menang tak boleh tubuh kerajaan.

Kita gunakan maklumat berikut sebagai panduan untuk berteka teki:

1. UMNO/BN

Bertanding 222 kerusi (120 UMNO). Meletakkan calun berpengalaman dan berkelayakan. Parti yang mempertahankan kuasa. Mempunyai sumber pengundi Melayu dan bukan Melayu. Mempunyai kekuatan sumber kewangan, jentera dan organisasi. Berpengalaman urustabir di peringkat Persekutuan.

2. PAS

Bertanding 160 kerusi. Meletakkan calun berpengelaman dan berkelayakan. Parti yang mahu mendapatkan kuasa. Mempunyai sumber pengundi Melayu dan terlalu sedikit bukan Melayu. Mempunyai kekuatan jentera dan organisasi, tapi sederhana dari segi kewangan. Tiada pengalaman tadbirurus di peringkat Persekutuan hanya di peringkat negeri.

3. Pakatan Harapan.
Bertanding 222 kerusi (termasuk Sabah dan Sarawak dan kerjasama dengan parti politik tempatan seperti Warisan di Sabah). Meletakkan calun yang berpengalaman dan berkelayakan. Parti yang mahu mendapatkan kuasa. Mempunyai sumber pengundi Melayu dan bukan Melayu. Mempunyai kekuatan jentera, kewangan dan organisasi. Tiada pengalaman dalam urustadbir di peringkat Persekutuan.

Berdasarkan maklumat-maklumat diatas, PAS tidak mempunyai peluang untuk menang bagi jumlah minima 112 kerusi sebab sumber pengundinya terhad, hanya dari orang Melayu. PAS mungkin menang beberapa kerusi di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. PAS tidak boleh tubuh kerajaan secara bersendirian. Mungkin secara bersama dengan UMNO/BN atau PH. Tapi PAS lebih cenderung kepada UMNO/BN.

UMNO/BN mempunyai potensi untuk menang dan mengekalkan kuasa tapi bukan majoriti 2/3. Faktor kemenangan UMNO/BN adalah hasil persempadanan semula dan pengundi awal.

PH juga mempunyai potensi untuk menang paling minima 112 kerusi, diukur dari segi sambutan dalam perhimpunan politik. Tapi ianya bukan satu ukuran yang kukuh kerana UMNO/BN juga mempunyai kehadiran yang ramai. Cuma PH tak berbayar, UMNO/BN berbayar.

UMNO/BN mempunyai kelebihan dari segi pengalaman urustadbir diperingkat persekutuan berbanding PH yang hanya di peringkat negeri. 

Pengalaman urustadbir di peringkat persekutuan adalaah aset kepada UMNO/BN.

Namun pengalaman itu juga merupakan liabiliti kepada UMNO/BN. 

Rakyat mudah jadi terkesan dalam isu-isu yang negatif berbanding dengan isu-isu positif sepanjang UMNO/BN jadi kerajaan. Isu rasuah, penyelewengan, kos sara hidup yang membebankan , isu 1MDB, Tabung Haji, Felda dan MARA,  hutang negara yang terlalu tinggi yang terpaksa ditanggung sehingga beberapa generasi, pengangguran/atau peluang kerja yang tidak mencukupi sesuai dengan tahap pendidikan bagi anak tempatan, terutama lepasan Universiti dan PTPTN yang rakyat percaya lebih bersifat benar dari persepsi, misalnya adalah liabiliti yang tidak mudah untuk diketepikan dari fikiran rakyat/pengundi.

PH tiada pengalaman urustadbir diperingkat Persekutuan merupakan markah tolak kepada parti itu. 

Tetapi markah tolak itu mudah sahaja diketepikan apabila dokumen dokumen rasmi kerajaan seperti laporan Ketua Audit Negara melaporkan urustadbir PH di negeri Selangor  dan Pulau Pinang lebih baik dan mengatasi negeri negeri dibawah UMNO/BN dan PAS.

UMNO/BN dan PH ada manifesto pilihanraya masing masing. Rakyat sudah biasa dengan janji janji dalam manifesto. Ada yang ditepati dan ada yang tidak ditepati sama ada UMNO/BN mahupun PH. 

Faktor yang menjadi penentu ialah tentang apa yang dialami oleh rakyat ketika ini. 

Dengan demikian UMNO/BN mempunyai tugas yang berat untuk menjawab bagi meredakan kemarahan rakyat dan pengundi:

i) Kos sara hidup tinggi. 

ii) Lepasan pelajar tidak dapat kerja yang bersesuaian dengan tahap pendidikan dan dengan sebab itu terpaksa melakukan apa sahaja kerja untuk mendapat pendapatan. Mereka juga kena bayar pinjaman PTPTN.
iii) Penghapusan subsidi membuatkan harga barang meningkat.

iv) GST juga membuatkan harga meningkat

v) Hutang negara yang tinggi membebankan negara untuk membayar hutang sehingga beberapa generasi

vi) Penyelewengan dan rasuah meningkat. 

vii) ...dan banyak lagi misal projek ECRL yang dikecualikan GST sedangkan orang miskin, tua, tiada kerja terpaksa bayar GST.

Rakyat sedang marah, menggelegak seperti air ditahap suhu didih.

Oleh kerana PH belum pernah mengurustadbir di peringkat persekutuan, liabiliti diperingkat persekutuan pada tahap zero, dan dalam masa yang sama telah pula menunjukkan urustadbir yang baik di peringkat negeri maka rakyat atau pengundi akan berkata, 

"Mengapa  peluang berkhidmat yang ditawarkan oleh PH , dilepaskan begitu sahaja. Mengapa mahu berterusan dibawah UMNO/BN yang banyak menyusahkan kehidupan mereka". 

Rakyat menaruh harapan dengan penuh yakin dan percaya bahawa PAKATAN HARAPAN akan dapat menjnaikan harapan mereka sebagai satu realiti.

Kesimpulannya saya meneka PH akan menang. Melainkan ada sesuatu  dilakukan diluar dari kemampuan saya untuk meneka apatah lagi untuk membuat spekulasi.

Ahad, 6 Mei 2018

Mengundi dengan bertanya Hati Nurani




Tiga hari lagi kita akan mengundi untuk bersama-sama terlibat dalam pembentukan sebuah kerajaan bagi mengurus tadbir kekayaan negara  demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Saya gunakan prasa 'bagi menguruskan kekayaan negara' atas sebab itulah sebenarnya matlamat orang dan parti politik'. Jika baik tadbirurusnya, bertuahlah kita sebagai rakyat yang menyerahkan kuasa kepada orang atau parti politik  dan jika sebaliknya maka malanglah kita dan negara kita yang tercinta ini.

Namun untuk tidak merasa kecewa dan berputus saya , kita wajar terima hakikat bahawa:

"Politik adalah satu Medan Pembohongan yang diterima sebagai HALAL".

Itu kesimpulan saya setelah mengikuti perkembangan politik dunia dan tanah air. 

"Setiap orang boleh berbeza pendapat dan pandangan. Raikanlah perbezaan pendapatan dan pandangan ini", salah satu dari sumber yang menghalalkan pembohongan.

Berpolitik ialah untuk mendapat kuasa dari orang ramai. Apa sahaja cara akan digunakan untuk mendapat kuasa. Kuasa itu perlu untuk melakukan apa sahaja sama ada yang baik atau tidak baik, yang haram atau yang halal, yang membawa mudharat atau yang sejahtera. 

Politik adalah sesuatu yang perlu bagi mengurustadbir negara kerana tanpa politik negara menjadi tidak terurus. Manusianya tidak terurus dan sumber kekayaannya juga tidak terurus. Segala-galanya tidak terus yang kesannya amat buruk sekali.

Sebab itu menjadi orang politik atau menjadikan kerjaya sebagai orang politik tidak semudah dengan hanya mengatakan bahawa kita mesti menghormati perbezaan pandangan kerana ianya akhirnya menjadi alasan untuk kita berbohong.

Politik adalah satu kerjaya yang mulia. Tapi tahap kemuliaan itu tidak akan mampu dicapai oleh manusia kerana kita adalah mahkluk Allah yang tidak sempurna.  

Sebab itu ada orang politik yang tinggi ilmunya akan juga menunjukkan kejahilannya, yang beradab dan bersopan yang tinggi amalan dan ilmu agamanya akan juga menghambur kata-kata kasar , maki hamun dan celaan, menipu untuk menegakkan kebatilan. 

Dan ada yang kurang berilmu, raut muka yang bengis yang sekali lihat disimpulkan sebagai orang politik yang jahat, adalah juga orang politik yang mampu menegakkan kebenaran.

Dengan demikian jika kita mengharapkan orang politik atau parti politik  untuk mengurustadbir negara demi kesejahteraan rakyat dan negara  dengan sempurna, ianya hanya menjadi satu impian sahaja. Ianya tidak akan menjadi realiti. 

Tetapi kita jangan putus asa kerana dalam pertelagahan politik untuk mendapat kuasa itu , salah satu yang bertelagah itu ada juga membawa sedikit sebanyak sifat kemuliaan, berkata benar, menegakkan yang makruf dan menghalang yang mungkar.

Pilihlah orang politik atau parti politik yang kurang membawa kemudaratan. 

Dan pilihlah orang politik dan parti politik yang mempunyai keupayaan bagi membentuk kerajaan agar kita tidak mensia-siakan undi kita.

9 Mei nanti adalah hari yang teramat penting untuk kita. Mengundilah dengan menggunakan akal fikiran yang waras tanpa emosi yang melampau yang menjadikan bangsa dan agama sebagai alat atau salutan bagi melindungi kecurangan dan kebatilan, yang kesannya boleh mencemarkan maruah bangsa dan kesucian agama itu sendiri.

Sudah tentu kita tidak mahu orang Melayu menjadi bangsa yang mempertahankan kemungkaran semata-mata kemungkaran itu dilakukan oleh orang Melayu. Kemungkaran yang kita sendiri lihat dan tahu  berlaku dihadapan mata. Tanyalah pada hati nurani kita (conscience) kerana hati nurani kita tidak akan berbohong.

Sudah tentu kita mahu menjaga kesucian agama Islam kita yang mengajak kita melakukan kebaikan dan menghalang kemungkaran tidak kira siapa pelakunya, Islam dan bukan Islam. Sekali lagi tanya hati nurani kita sama ada kita melakukan pilihan yang benar atau sebaliknya.