Theflowersellingboy

Ahad, 27 Ogos 2017

PRU 14: PKR mesti Tentukan Pendirian




1. Kita tidak ada pilihan yang baik dalam memilih parti yang akan meneraju negara pada PRU 14 akan datang ini. Gred yang saya boleh berikan kepada parti-parti yang akan bertanding ialah diantara tidak patut dipilih kepada 'apa boleh buat, terpaksa juga kita pilih', kalau tidak negara kita tiada pihak yang akan menguruskannya.

2. Parti-parti yang mempunyai kekuatan atau pengaruh ketika ini ialah BN yang diterajui oleh UMNO; Pakatan Harapan ( yang secara rasmi terdiri dari PKR, DAP, Amanah dan PPBM) dan PAS. Parti-parti lain tidak boleh memberi kesan yang besar melainkan jadi pengacau untuk memecahkan undi sahaja.

3. UMNO/BN yakin mereka akan menang dan terus menerajui negara. PH pun begitu juga terlalu yakin boleh menang bermodalkan urustadbir dan pengurusan kekayaan negara yang pincang oleh UMNO/BN yang mengakibatkan rakyat dan negara terbeban dengan hutang dan keperitan hidup rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan yang mengecil, peningkatan bilangan tenaga kerja yang menganggur. serta kualiti hidup yang merosot kesan dari pemotongan peruntukan kerajaan bagi berbagai sektor yang melibatkan keutamaan kepada rakyat misalnya kesihatan dan pendidikan ( satu contoh beberapa ubat tertentu tidak lagi disediakan oleh hospital/klinik kerajaan sebaliknya ubat yang rendah mutunya). PAS pula yakin boleh menang walaupun bersendirian. Paling kurang PAS mahu jadi 'king maker'. 

4. Sejarah membuktikan bahawa secara bersendirian , tiada parti akan boleh menang. Sebab itu UMNO bersama dengan parti-parti yang lain terus menang sejak dari dulu dan kini, tidak pernah tewas. Cuma dua  PRU yang lepas kedudukan UMNO/BN terjejas dari segi memiliki kuasa 2/3 disebabkan parti-parti pembangkang bersatu termasuklah PAS.,

5. Oleh itu secara bersendirian, PAS tidak akan menang. PAS mesti memilih untuk bersama UMNO/BN atau PH. Kecenderungan sebahagian pimpinan tertinggi PAS khususnya Presiden ialah mahu bersama UMNO. PAS tidak akan bersama PH yang terdapat didalamnya Amanah dan DAP. Bahkan PKR juga telah ditolak oleh PAS walaupun ada usaha PKR untuk memujuk PAS bekerjasama dalam PRU 14. Ianya satu usaha yang merosakkan PKR sendiri. 

5. PKR tidak boleh memuaskan hati dua pihak yang bertentangan iaitu rakan gabungan rasmi DAP, Amanah dan Bersatu dan dalam  masa yang sama mahu bekerjasama dengan PAS. Ini tindakan bunuh diri, kesana tidak, dan kesini pun tidak. Pengundi jadi keliru. PKR mesti ingat sedangkan beristeri dua pun susah untuk diurus inikan pula mengurus perkongsian dengan parti yang saling benci membenci. Kena pilih PH atau PAS.

6. Sikap dan pendirian PAS ketika ini menguntungkan UMNO dan merugikan PAS sendiri. Ianya boleh menjejaskan PH untuk menang. Tapi PAS bukan king maker kerana PAS tidak dapat apa-apa melainkan kalah dan memuaskan hati setengah pimpinan yang tidak mahu PH menang kerana didalamnya ada Amanah dan DAP. PAS rela UMNO menang walaupun kawan baik UMNO iaitu MCA dan MIC menentang hudud. Bahkan UMNO dan PM sendiri tidak bersetuju HUDUD dilaksanakan di Malaysia. Ertinya bukan fasal hudud sangat.

7. Satu ketika dahulu, peluang PH menang adalah besar. Tapi apabila PAS tidak bersama dengan PH dan terus  tidak mahu bersama walaupun diajak bersama menentang UMNO/BN yang menjadi musuh PAS walaupun presiden PAS amat berlunak dengan UMNO, dan ditambah dengan ketidaktentuan sikap PKR, peluang PH amat terjejas. Ia memberi tambah nilai kepada UMNO/BN.

8, Kesimpulannya, peluang UMNO/BN untuk menang PRU 14 bertukar dari kelabu kepada hampir cerah walaupun telah dan sedang menyusahkan rakyat dan merosakkan negara.

9. PAS adalah parti yang memenangkan UMNO walaupun benci pada parti itu, benci tapi sayang. Sebenarnya PAS berkurban untuk UMNO. Membakar diri untuk UMNO kerana dendam kesumat pada Amanah dan DAP yang semakin semarak. Dan UMNO adalah parti yang licik dalam politik. Sudah tentu dengan bantuan WANG kerana UMNO percaya Wang Adalah Raja. Ada betulnya keyakinan UMNO ini walaupun ianya MEROSAKKAN.

10. Bukan sahaja PAS yang memenangkan UMNO tetapi PKR juga membantu UMNO menang jika pendirian PKR tidak segera ditentukan. Kalau mahu kalahkan UMNO/BN, berhentilah berunding dengan PAS. Dalam hal ini PAS tidak terkesan sama ada menang atau kalah kerana parti itu tetap akan kalah. Dan mereka redha menerimanya walaupun mereka kata untuk menjadi pemerintah negara.

11. Dalam keadaan sekarang rakyat yang mahu buat perubahan tidak ada pilihan terbaik. Pilih BN, hidup terus sengsara. Pilih PH, ianya masih tidak ada kesatuan yang jitu. Macam mana pun lebih selamat kita pilih PH, bukan kerana yang terbaik tetapi itulah saja yang ada untuk membina masa depan yang lebih baik berbanding  BN.

Selasa, 15 Ogos 2017

Sindrom Politik X: Politik Songsang




Hampir 4 bulan saya tidak berbicara dalam blog kecil ini. Mungkin mereka yang mengikuti blog ini tertanya-tanya ke mana menghilangnya saya. Sihat ke? Atau sudah tiada lagi di dunia yang fana ini? 

Alhamdulillah, saya sihat adanya. Yang pasti saya sudah tua.

Salam dari saya kepada anda sekalian dengan lafaz , "Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh".

Sebenarnya, ada banyak hal saya mahu bicara, berkongsi pandangan dan menyatakan pendirian saya tentang hal yang mahu saya bicara, dalam kesempatan usia tua ini. Tapi malang sekali dalam beberapa bulan yang lepas ini, saya tidak berjaya melakukannya, hanya tersimpan dalam lubuk hati sahaja.

Alhamdulillah pada hari ini saya mahu berbicara semula dalam blog kecil ini.

Sebagai orang tua, sesungguhnya saya amat bimbang sekali apabila mengikuti perkembangan di negara kita ketika ini, dalam semua aspek kehidupan. Baik tentang politik, ekonomi dan moral rakyatnya. Kita ke arah yang tidak sihat, rosak lagi merosakkan.

Saya bimbang kerana apa yang saya kecapi ketika ini adalah hasil dari usaha orang-orang tua kita dahulu terutama orang yang menerajui negara sehingga saya dan sebahagian besar dari kita boleh menjalani kehidupan dengan baik walaupun tidak bermewah-mewahan.

Saya ada sebuah kereta, sebuah rumah, seorang isteri, enam orang anak. Dapat belajar sehingga ke universiti dan mempunyai pekerjaan yang mampu menyara kehidupan keluarga tanpa dibebani hutang pelajaran setelah tamat pengajian. 

Itulah yang telah diwariskan oleh generasi tua negara. Tapi perkembangan negara ketika ini, tidak mungkin saya dan kita semua yang tua-tua mampu mewariskan masa depan yang baik kepada anak cucu kita.

Itulah yang membimbangkan saya. Amat sedih sekali. Sebab saya tidak boleh lari dari bertanggungjawab atas kerosakan yang semakin jelas menimpa anak cucu kita.

Saya sendiri lihat, sendiri rasa dan sendiri dengar hal-hal yang merosakkan itu tetapi saya lebih banyak mendiamkan diri dari berikhtiar untuk melawan dan menolak gejala yang merosakkan itu.

Untuk cuba lari dari tanggugjawab, saya mencari alasan yang terlalu hina lagi rapuh dengan keluhan, "Apa boleh buat. Dia yang berkuasa". Tapi saya tidak pula bertanya, "Siapakah yang memberikan kuasa kepada yang berkuasa itu", kerana saya tahu bahawa jari saya akan menuding kepada saya.

Mengapa begitu? Mengapa saya tidak melawan hal-hal yang merosakkan sedangkan mata saya yang menyaksikan, telinga saya yang mendengar dan jiwa raga, rohani dan jasmani saya yang merasainya; sedangkan, saya selalu bercakap fasal arahan Allah tentang melakukan kebaikan dan menentang kemungkaran. Bukan saja saya yang bercakap tentang itu, ramai juga yang memberitahu dan mengingatkan saya tentang perintah Allah itu. 

Adakah saya hanya ada mata dan buta hati?

Anda juga perlu tanya pada diri anda.

Saya tidak ada jawapan yang sempurna. Namun yang mampu saya sahkan ialah bahawa saya tidak keseorangan mengidap sindrom 'X' ini, sindrom yang merosakkan ini.

X adalah tanda pangkah, memberi kuasa kepada orang politik. Jika banyak x yang diperolehi, jadilah mereka pemerintah. X juga ringkasan kepada maksud 'tidak' atau 'tak' dalam cara berkomunikasi ketika ini. 

Sindrom X ini membawa maksud  memberi kuasa politik kepada orang yang tidak mahu ambil kisah kerana yang memberi kuasa juga tidak mahu ambil kisah. 

Hal batil ke, hal mungkar ke , zalim  adil ke , halal haram ke buruk baik ke , bukan satu pertimbangan dalam memberikan undi atau X kepada orang atau parti politik.

Pertimbangan hanya berasaskan kepada kata-kata demi bangsa, negara dan agama yang diselewengkan.

Politik sindrom X adalah politik songsang.

Antara hujah penganut sindrom X dalam memilih kepimpinan negara:

1. Jika dia itu sebangsa dan seagama mengapa perlu tolak hanya disebabkan dia mencuri dan merompak harta rakyat. 

2. Demi bangsa dan agama orang itu mesti dipertahankan. Siapa lagi yang kita perlu pertahankan kalau tidak kita yang sebangsa dan seagama. 

3. Bangsa lain pun buat jahat juga. Daripada memilih bangsa dan agama lain lebih selamat pilih bangsa dan yang seagama.

Satu daripada contoh falsafah yang dianuti dalam sindrom X.

Politik dalam sebuah negara demokrasi adalah satu alat yang amat berkesan untuk menguruskan sesebuah negara termasuk dalam hal kekayaan negara. Tetapi jika politik itu mengamalkan sindrom X ianya boleh merosakkan negara. Kerana politik sindrom X ini menggunakan SOP yang songsang yang diamalkan  oleh penguasa dan diterima baik dan penuh setia oleh pentaksubnya.

Politik songsang ini berselindung dan bernaung dibawah kata-kata demi negara, bangsa dan agama yang akhirnya mencemarkan nama baik negara, harga diri bangsa dan kesucian agama.

Inilah yang sedang berlaku sekarang. 

Amat malang sekali, gejala politik yang merosakkan ini bukan satu kebetulan. Ianya terancang dan dilakukan secara sistematik. Ada  Perancang dan Pelakunya. Dan ada Penyokongnya yang mempertahankannya dengan penuh taksub.

"Apa Aku Kisah"!

Saya ambil kisah. Kita semua kena ambil kisah kerana kita yang mewariskan keadaan yang merosakkan ini kepada anak cucu kita ketika ini dan yang akan datang. Kita bertanggungjawab dan mesti mengambil tanggungjawab.

Oleh kerana politik adalah merupakan alat yang boleh menentukan cara negara kita diuruskan maka kita mesti elak politik sindrom X ini. Politikyang tidak ambil kisah tentang halal haram, benar salah, adil zalim , baik buruk yang berselindung disebalik kata-kata demi agama, bangsa dan negara sedangkan semua kata-kata baik itu dizahirkan dengan perbuatan dan tindakan yang songsang yang akhirnya mencemarkan kesucian agama kita, merendahkan martabat dan maruah bangsa kita dan  dan penghinaan kepada sebuah negara yang merdeka. 

Ingat, kita bertanggungjawab mewariskan yang terbaik untuk anak dan cucu kita. Oleh itu pada PRU 14 ini, pilihlah orang dan parti yang tidak mengamalkan politik songsang. Lain yang dicakap, lain yang dilakukan.