Musim tengkujuh bulan Disember telah melangkaui bulan Januari tahun baru. Tahun 1960. Sudah tiga hari Arrijal tidak pergi menorih getah. Hujan turun dengan lebatnya pada tiga hari itu. Beliau hanya duduk dirumah sambil mengemaskan kawasan rumah papan yang telah dibina semenjak anak keduanya al-Ai dilahirkan. Rumah yang mempunyai satu ruang tidur untuk sekeluarga yang bersambung dengan dapur kayu tempat memasak itu telah dibina dari bahan-bahan yang diperolehi dari rumah-rumah usang yang telah ditinggalkan. Lantai dan dinding dibahagian dapur menggunakan batang buluh. Atap pula adalah dari daun rumbia yang telah kusai, bocor sana bocor sini yang telah beberapa kali disulap dengan daun-daun kering pokok kelapa dan pokok pinang. Sebelumnya dia dan isterinya al-Sakirah menumpang rumah ibu sendiri
Pada pagi hari yang ketiga Arrijal mencari dan mengumpulkan daun-daun kelapa kering yang telah gugur dari tiga batang pokok kelapa yang tumbuh meninggi di belakang rumahnya. Sebahagian daun-daun kelapa itu diikat dijadikan andang untuk digunakan oleh anak-anaknya al-Hasan dan al-Ai sebagai penyuluh jalan pada sebelah malam selepas belajar mengaji disurau seberang. Sebahagian lagi digunakan untuk menyulap mana-mana bahagian atap rumahnya yang telah tiris. Maklumlah rumah yang sudah berusia 12 tahun itu , banyak bahagian-bahagiannya yang telah rosak dan hampir reput dimakan bubuk dan anai-anai. Tetapi bagi Arrijal bahagian yang paling mustahak yang perlu dibaikki ialah atap yang bocor. Tiga malam berturut-turut Arrijal sekeluarga terpaksa tidur ditemani titisan-titisan air hujan yang membasahi sedikit ruang tidur mereka kerana sulapan yang dibuatnya kurang sempurna.
Sekarang Arrijal mempunyai lima orang anak. Empat lelaki satu perempuan. Yang tua berumur 14 tahun, diberi nama al-Hasan, yang kedua berumur 12 tahun diberi nama al-Ai, yang ketiga al-Aman berumur 7 tahun, keempat al-Jahan 5 tahun dan yang bongsu anak perempuan diberi nama al-Iyah berumur tiga tahun. Ketika ini isterinya telah sarat mengandung anaknya yang keenam. Sudah masuk bulan yang kesembilan. Tunggu masa saja. Bila-bila akan dapat seorang lagi. Jika begitu, kedudukan al-Iyah sebagi anak bongsu akan diambilalih orang yang baru.
al-Hasan telah berhenti sekolah rendah kerana tidak berjaya dalam peperiksaan darjah enam untuk memasuki sekolah menengah. Beliau bekerja kulikang iaitu mengambil upah diladang getah Tauke Cermin, begitulah panggilan yang dibuat oleh orang-orang kampung keatas seorang Cina tempatan yang mempunyai beberapa hektar ladang getah. Kerja al-Hasan ialah merumput iaitu membuang rumput dan lalang yang tumbuh disekeliling anak-anak pokok getah. Satu batang anak getah akan dibayar lima sen. Jadi pendapatan al-Hasan adalah bergantung kepada bilangan kawasan anak getah yang dapat dibersihkan. Paling banyak upah yang diperolehi bagi satu hari kerja iaitu dari tujuh pagi sampai dua petang ialah $2.50. Dapatlah juga beliau meringankan perbelanjaan keluarga.
al-Ai dan al-Aman masing-masingnya masih bersekolah rendah. al-Ai ditahun enam dan akan menduduki peperiksaan untuk masuk kesekolah menengah pada bulan Oktober nanti. al-Aman masih lagi ditahun satu.
Hari itu ialah minggu pertama bulan Januari. Pada minggu pertama inilah pihak tuan punya estet, orang putih, akan membuat bayaran wang pendahuluan yang pekerja-pekerja menyebutnya sebagai 'aduan' (dari perkataan Inggeris advance) sebanyak suku daripada anggaran pendapatan bagi satu bulan. Pendapatan sebulan Arrijal, secara puratanya adalah $100. Selepas selesainya membuat sulapan pada atap-atap yang bocor, Arrijal telah bersiap sedia untuk ke pejabat estet yang jaraknya 2 kilometer dari rumahnya.
Arrijal menuju ke basikal tuanya yang tersandar di sebatang pokok manggis dihadapan rumahnya. Langkahnya longlai saja diiringi wajah yang tidak ceria walaupun hari itu hari mendapat sebahagian dari upahnya. Dia perlahan-lahan mengayuh basikal tuanya menuju ke pejabat estet itu. Krek krek krek bunyi kayuhan basikal yang rantainya sudah kering tidak berminyak. Sambil mengayuh basikal, Arrijal terbayang
muka si Tamby, tempat beliau berhutang membeli makanan harian, muka si Ah Yun yang menjual pakaian dan muka si Rama yang terkenal dengan roti canainya. "Mintak-mintak dia ornag ni tak ada hari ni", bisikan hati Arrijal sebelum menyandarkan basikal di sebatang pokok asam jawa diluar kawasan pejabat estet itu yang jaraknya melebihi 100 kaki..
Sambil berjalan menuju ke pejabat, mata Arrijal liar mencari sasaran, kekiri, kekanan, depan dan belakang kalau-kalau terjumpa orang yang tidak ingin ditemui. Muka Arrijal nampak ceria sedikit apabila harapannya tertunai sebaik saja memasuki pejabat. Mereka yang dijumpai ialah kawan-kawan sepekerjaan yang juga mampu gelak ketawa. "Hari ni adalah can kita. Dapat juga pegang duit lama sikit", bersuara Seman yang mempunyai bilangan anak yang sama. "Eh kau tak nampak dia orang ke? Tanya Arrijal pada Seman dengan secara berbisik. "Tak de. Biasanya belum kita sampai dia orang dulu tiba. Tak sempat nak masuk poket", kata Seman sambil menepuk poket seluarnya. Arrijal senyum gembira.
Kedua-dua penorih getah itu melangkah keluar dari pejabat estet dengan cergas dan tersenyum suka. Tidak seperti dihari-hari sebelumnya ketika mengambil upah penuh atau pendahuluan. "Bolihlah belanja ligat sikit", Seman memulakan cerita dengan matanya tertumpu pada poket seluarnya. Arrijal diam membisu apabila matanya tertangkap melekat pada tiga wajah yang sedang berdiri berhampiran basikalnya. "Eh apsal ni. Dah dapat..... Sudah....", Seman mengeluh tidak dapat meneruskan keriangan dan gurauannya lagi apabila ternampak tiga wajah yang sama.
Ketiga-tiga orang yang berdiri berhampiran basikal Arrijal itu tadi nampak ceria saja sambil masing-masing mengeluarkan buku tiga lima (555). Seman terpaksa mengeluarkan wang dalam poketnya untuk membayar hutang yang diminta. Habis kesemuanya, malah ada baki hutang lagi. Arrijal orang yang sangat teliti dan berkira. "Berapa Tamby?" Tanyaan kepada penagih hutang pertama. Tamby menyelak buku tiga limanya. "Kau bayarlah $20 dulu". "Ah Yun?" Tanya Arrijal setelah menghulurkan wang kepada Tamby. "Itu ali lu beli seluat sekolah dua anak, ada utang sepuluh linggit. Lu bayat lima , cukup ma", kata Ah Yun dengan pelat Cinanya walaupun merupakan generasi yang kedua. "Saya tara banyak tiga ringgi saja", kata Rama sambil melihat Arrijal yang mengorek-ngorek saku seluar yang telah kosong. Rama masih menunggu, " Tiga ringgi saja, tara banyak", ulang Rama. Arrijal mengajak Rama ke hujung sedikit sebelah kanan menjarakkan diri dari Tamby dan Ayun yang telah mula melangkah balik. Si Seman lebih dulu balik sebaik saja saku seluarnya menjadi kosong. "Rama, nanti cukup bulan saya bayar. Sekarang 'kasi elek', sudah abis", rayu Arrijal. "Ayoyo mati ini macam", Rama menepuk dahinya dan terus meninggalkan Arrijal. Arrijal senyap tidak bersuara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan