Theflowersellingboy

Ahad, 17 April 2011

Hitch hiking-Batu4 Jalan Cheras ke Johor Baru......5






Aku Berdiri Termenung di Rumah Bapa Rohani di Jalan Larkin Selepas Buat Keputusan Berpatah Balik ke Melaka


Kami sampai di JB lebih kurang pukul 2.30 petang. Sebelum itu abang yang menumpangkan kami itu telah berhenti makan di sebuah restoran di pekan Air Hitam.. Kami telah dapat makan percuma. 
Alhamdulillah. Sesampai di JB kami terus ke pejabat Imigresyen untuk menguruskan dokumen perjalanan ke Singapura. Di pejabat yang penuh sesak dengan orang ramai itu, dan dalam keadaan kami  yang terhegeh-hegeh seperti rusa masuk kampong (lebih tepat rusa masuk bandar) kami telah didatangi oleh seorang pemuda Melayu , usia dalam lingkungan dua puluhan bertanyakan masalah yang kami hadapi. Setelah menjelaskan niat kami untuk ke Singapura, pemuda tadi bersedia untuk membantu lalu beliau meminta kami tunggu disitu sementara beliau masuk ke dalam pejabat. 
Lama juga kami menunggu hampir dua puluh minit maka muncullah pemuda yang 'baik hati' itu membawa kertas nampaknya seperti borang tetapi tidak pula menyerahkan kepada kami berdua untuk diisi. Beliau sendiri akan mengisi borang tersebut agar tidak berlaku kesilapan. 'Baik sungguh', abang ini, bisik hati kecil Aku. Tetapi perasaan sedemikian hanya bertahan sekejap saja apabila beliau meminta wang seorang tiga puluh ringgit sebagai bayaran. Kami tidak pula diberi tahu tujuan bayarn itu. Aku dan Dosmy saling pandang memandang wajah penuh keraguan. "Bayaran untuk apa ni bang?" Tanya Dosmy dengan dahi yang berkerut. Maklumlah, bagi kami setiap sen amat berharga. "Macam-macam. Bayar borang, dan pas nak masuk Singapura". Termenung kami berdua mendengar penjelasan abang itu. "Kau nak pergi ke?" Tanya Dosmy padaku. "Tak tau lah. Tapi duit cukup ke?" Aku bertanya Dosmy tentang duit yang ada. 

Dengan memohon izin dari abang itu, kami pergi ke suatu sudut jaraknya dua puluh kaki dari abang itu untuk berbincang. Kami tidak pula berbincang masalah duit cukup atau sebaliknya. Tetapi kami meragui ada sesuatu yang tidak kena. Mengapa bukan kami yang mengisi borang itu? Siapa sebenarnya abang itu, pegawai Imigresyen atau orang biasa?  Akhirnya kami buat keputusan untuk membatalakn niat ke Singapura. lalu mendekati abang itu semula.

"Maaf bang, tak jadilah nak ke Singapura" , Aku menyampaikan keputusan yang baru kami buat. Wajah abang itu seperti biasa saja mungkin telah dapat meneka keputusan yang kami ambil itu. "Kalau masalah duit tak cukup, abang bolih kurangkan. Dua puluh ringgit seorang. Abang bolih pakat dengan orang dalam". Katanya seperti mahu menolong. Dosmy memandang padaku dan mengeleng-gelengkan kepala sebagai isyarat kami tidak bersetuju. "Minta maaf bang", Dosmy mengajak Aku keluar. Abang itu ikut kami keluar sama. Kami agak cemas juga. "Awak bayar dulu lima belas ringgit seorang, selebihnya bayar kemudian", abang itu memegang bahu Dosmy. Dosmy nampak ketakutan. "Sebenarnya bang kami tak ada duit. Sebab tulah kami hitch hike", entah macam mana terfikir Aku untuk mencari jalan keluar. Dosmy masih lagi ketakutan. "Kalau tak duit jangan nak berangan", marah abang itu lalu pergi dari situ setelah menolak bahu Dosmy.
Lega rasanya apabila kami dapat keluar dari masalah itu. Tak dapat ke Singapura juga mengecewakan tetapi keluar dari masalah yang baru kami hadapi ini telah mengurangkan rasa kecewa itu. Masing-masing kami terlalu bersyukur ke hadrat Allah SWT.

Ke Singapura tidak jadi. Kami memikirkan pilhan ke destinasi yang lain pula. Dosmy mencdangkan kami pergi ke Mersing sebelum berpatah balik ke JB dan ke Melaka kerana dengar cerita pantai di Mersing cantik juga. Cadangan itu dipersetujui.

Rancangan ke Mersing ialah pada keesokan harinya kerana kami keletihan dan perlu rihat. Sekarang nak kemana? Maka teringat kami akan kawan sekelas, Rohani Shariff (lelaki) yang tinggal di Larkin. Bapanya bekerja di hospital Tampoi. Kami bercadang untuk menumpang tidur di rumahnya pada malam ini. Maka kami pun berjalan meninggalkan pejabat Imigresyen. Dalam perjalanan si Dosmy masih lagi berangan-angan untuk ke Singapura sambil membuat cadangan yang menggelikan hati dan tak masuk akal. "Kita jumpa Menteri Besar, Osman Saad. Minta dia rokemen", cadang Dosmy sambil ketawa kecil semacam tidak yakin dengan cadangannya itu. "Kau nak mampus. Kat Imigresyen pun terhegeh-hegeh. Ini nak jumpa menteri besar", Aku dan Dosmy ketawa besar. Akhirnya kami dpatlah menumpang sebuah kereta menuju ke Larkin. 

Apabila kami di turunkan disatu kawasan perumahan, kami dengan mudah dapat mencari rumah bapa Rohani kerana rupanya orang yang kami tanya di kawasan itu mengenali bapa Rohani. Kebetulan Rohani ada di rumah dan keluarganya menyambut dengan gembira kedatangan kami. Di ruang tamu napa Rohani bertanya kemana destinasi kami esok hari. Setelah kami menyatakan hasrat ke Mersing beliau menyatakan , "Mersing banjir". Aku dan Dosmy saling memandang sambil mengeluh "Allah".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan