Theflowersellingboy

Rabu, 12 Oktober 2011

Berbuat Baik Berpada-pada, Berbuat Jahat Jangan Sekali.

Pesan orang tua-tua 'Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali'. Itulah antara pesanan atau nasihat yang diberikan supaya kita sentiasa bersederhana  dalam membuat kebaikan atau berlaku baik kepada seseorang dan mengelakkan sama sekali perbuatan jahat atau permusuhan terhadap seseorang yang lain.

Pesanan atau nasihat supaya kita mengelakkaan sama sekali perbuatan jahat adalah sesuatu yang mudah difahami kerana perbuatan jahat sama ada kecil atau besar akan memberi kesan yang tidak baik kepada semua yang terlibat terutama kepada pelakunya dari segi hukuman yang akan diterima sama ada didunia atau diakhirat. 

Berpada-pada ertinya setakat yang boleh, yang mampu, secukup rasa kata orang. Berbuat baik setakat yang kita mampu, yang kita boleh laksanakan, yang tidak menyusahkan diri kita sendiri dan yang paling penting tidak akan disalah anggap oleh penerima atau orang lain. Kadang-kadang niat baik kita berbuat terlalu baik terhadap seseorang boleh disalahtafsir sebagai tidak ikhlas dan mempunyai motif atau tujuan tertentu untuk kepentingan diri kita. Perbuatan kita itu dianggap sebagai 'ada udang disebalik batu'. Atau kadang-kadang kita dikatakan sebagai orang yang suka mengampu. Atau dalam bahasa yang kurang manis sebagai 'ampu bodek'.

Maknanya kita dinasihatkan agar tidak melampau melebihi dari kemampuan dan kesanggupan dalam melakukan kebaikan atau berbuat baik dengan seseorang. Jangan  terlalu baik sangat.  Kita buat baik pada tahap kesederhanaan saja.

Tapi soalnya mengapa pula kita mesti bersederhana dalam melakukan perbuatan baik atau berbuat baik terhadap seseorang? Bukankah perbuatan baik itu perlu kita lakukan pada tahap yang terbaik bukan saja dari segi kualiti bahkan dari segi kuantiti dan kekerapan? 

Memang benar sepatutnya begitulah. Itulah yang paling ideal. 


Hanya kita perlu sedar bahawa kita adalah manusia yang terlalu banyak kekurangan dan kelemahan. Tambah-tambah lagi yang menyentuh dengan perasaan dalam hubungan sesama kita. Kita tidak akan termampu ketahap yang ideal. Suatu ketika nanti hubungan atas dasar yang terlalu akrab dan terlalu baik itu akan teruji. Dan biasanya kita kalah dengan ujian itu. 

Maka dari hubungan seorang kawan yang baik dan akrab ada kemungkinan kita akan menjadi musuh yang paling ketat. Paling malang jika segala kelemahan , kekurangan dan apa saja yang boleh menjejaskan nama baik dan kedudukan kawan yang bertukar menjadi musuh itu yang kita ketahui hasil hubungan baik dan akrab masa berkawan dulu, kita telanjangkan. Begitu juga yang mungkin dilakukan oleh kawan yang telah menjadi musuh itu terhadap kita.

Sebab itulah berpada-pada berbuat baik . Jangan terlalu sangat akrab dan baik sehingga segala-galanya termasuk rahsia terutama yang boleh menjejaskan nama baik kita dikongsi bersama. Kadang-kadang dalam berbuat baik diluar kemampuan dan keupayaan kita boleh membawa kita ketahap menunjuk-nunjuk bahawa kitalah yang terbaik sekali yang perlu dipuji. Jika begitu, baik kita itu tidak ikhlas, baik yang dicemari untuk mendapat pujian. 

Dalam kata lain kita sebagai manusia tidak akan mampu melakukan baik yang melampau, terlalu berlaku baik.  Baik kita itu tidak akan bertahan. Banyak ungkitan akan terkeluar pada suatu ketika nanti .

Jadi bersederhanalah dalam berbuat baik dan menjalinkan perhubungan persahabatan.

Kesederhanaan itu tidaklah bermaksud kita melakukan sesuatu yang baik itu tidak mengambil nilai mutunya. Mutu perbuatan baik kita itu juga penting. Yang dipesankan ialah dari segi kemampuan dan keupayaan kita termasuk juga kekerapan berlaku baik terhadap seseorang. 

Cuba kita ingat dan renung-renungkan akan perhubungan kita dengan yang lain sepanjang kehidupan yang telah kita lalui. Apa yang pernah terjadi dan yang kita alami dalam hubungan kita dengan yang lain. Sudah tentu satu daripada bentuk hubungan yang telah kita buat ialah berbuat baik sesama kita dan bersikap tolong menolong. 

Setakat mana tahap perlakuan baik kita kepada yang lain? Saya percaya kita lebih suka berbuat baik yang berpada-pada, seadanya mengikut kemampuan kita. Tapi kalau ada yang berkata telah melakukan lebih dari itu melampaui kemampuan sama ada kemampuan fizikal dan perasaan, saya ucapkan tahniah. Tidak mudah untuk melakukan perkara itu. Dalam banyak hal yang diketahui, selalunya akan menimbulkan ungkitan pada suatu hari nanti kerana kita lakukan diluar kemampuan seorang manusia.

Tanyalah hati kecil sendiri. Jawapan jujur akan diberi.

Saya masih lagi yakin dengan pesan orang tua-tua itu bahawa 'Berbuat baik berpada-pada dan berbuat jahat jangan sekali'.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan