Aku memulakan langkah hitch hike dari Jalan Cheras, Batu 4, Disember, 1965
Cuti penggal akhir sekolah telah bermula pada awal Disember 1965. Aku telah sepakat dengan Dosmy , kawan sekelas, untuk membuat hitch hike dari sekolah ke Johor Baru, dan bercadang juga ke Singapura, jika masa dan wang mengizinkan, sebelum berpatah balik ke kampong di Melaka. Dengan cara ini dapatlah menambah pengalaman , kata orang jauh perjalanan banyak pengalaman. Lagipun dapat menjimatkan wang untuk pulang ke kampong disamping dapat melawat tempat orang. Maklumlah wang poket yang diterima sebulan sepuluh ringgit, tambah biasiswa dua puluh ringgit , jumlah RM30.00 sebulan untuk membiayai segala perbelanjaan sekolah, sudah tentulah tidak boleh bermewah-mewah.
Bapa di kampong yang menorih getah tidak mampu mengirim wang. Adik beradik ketika itu lima orang, manakala pendapatan bapa purata seratus ringgit sebulan. Sudah tentu tidak mampu untuk mengirim wang.
Namun dapat juga dikumpul sedikit wang dari jumlah RM30.00 sebulan yang diterima itu .Jumlah yang terkumpul untuk tujuan pengembaraan itu ialah sebanyak RM50.00. Jumlah itulah yang telah kami sepakati bagi setiap seorang keluarkan bagi membiayai segala perbelanjaan.
Kami telah membuat perancangan terperinci untuk tujuan hitch hiking itu sebaik saja habis menduduki kertas terakhir peperiksaan penggal ketiga. Perancangan terperinci yang telah disepakati adalah,
1. Setiap orang keluar RM50.00. Wang akan dipegang oleh Dosmy, sebab katanya aku ni boros sikit.
2.Bermula hari pertama cuti.
3. Naik apa saja kenderaan yang mahu beri tumpang percuma, waemah lori sekali pun, tidak termasuk motorsikal.
4.Bawa pakaian sekadar cukup supaya tidak membebankan.
5. Hari Pertama mesti sampai di Melaka, hari kedua di Batu Pahat dan hari ketiga di Johor Baru.
6. Ke Singapura , tengok keadaan.
7. Mesti menyamar sebagai orang utara dan berbahasa loghat utara untuk meraih simpati. Orang jauh, katakan. Kalau kata orang selatan, simpati mungkin kurang.
Selain dari perancangan diatas, kami telah membuat akujanji bahawa kami tidak akan berpisah, bertengkar dan apapun keputusan yang dibuat mesti dibuat bersama.
Pada pukul 1.30 tengah hari, kami mula bergerak dengan berjalan kaki dari asrama menuju ke jalan besar, Jalan Cheras Batu 4. Masing-masing kami menggalas dibelakang sebuah beg yang berisi pakaian dan keperluan lain. Perjalanan memakan masa lebih kurang dua puluh minit untuk sampai di jalan besar. Kami menyeberangi jalan menunggu kenderaan kearah selatan.
Kami menunggu ditepi jalan dan sentiasa mengangkat dan menggerakkan tangan dengan ibu jari menunjuk kearah selatan setiap kali muncul kenderaan. Entah berapa banyak kenderaan yang telah kami rayu untuk berhenti dan menumpangkan kami. Tapi tiada yang sudi mahu berhenti.
Tiba-tiba sebuah kenderaan berhenti melepasi kami dalam jarak lima belas kaki. Kami pun berlari menuju ke kenderaan yang berhenti itu. Sebaik saja kami mendekatinya, pemandu kenderaan terus menggerakkan kenderaannya meninggalkan kami berdua, mata terkebel-kebel kecewa. Marah pun ada.
Semasa kami merancang untuk melakukan hitch hike dulu, kami tidak terfikir akan menghadapi perkara seperti ini. Anggapan kami ialah bhawa mereka yang berkereta adalah terdiri darpada orang yang berpelajaran tinggi. Orang seperti ini sudah tentu bersemangat 'sporting' dan sedia membantu kerana 'hitch hiking' bukan sesuatu yang luar biasa bagi mereka.
Aku dapat baca bahawa Dosmy kecewa dengan tindakan pemandu itu. "Nanti kalau aku ada kereta, aku tak buat macam ni. Aku mesti berhenti dan tolong. Tak apa, ini dugaan kecil", Kata Dosmy berazam sambil meyakinkan Aku dan dirinya.
Hampir satu jam menunggu, sebuah Moris Minor berhenti di depan kami berdua. Sebaik saja Dosmy membuka pintu depan sisi kiri kereta, pemandu yang hampir separuh umur bertanya" Anak berdua nak ke mana?" "Kami nak ke Melaka", jawab Dosmy dalam loghat Kedah sambil memandang Aku yang duduk di belakang. Aku tersenyum hendak ketawa. "Pakcik ke Seremban. Turun Seremban boleh?' "Boleh", jawab kami serentak.
Kereta pakcik itu tidaklah begerak laju, tidak melebihi 30 batu sejam.
Dalam perjalanan banyak perkara yang kami bualkan. Pakcik itu memaklumkan bahawa beliau seorang guru mengajar di sekolah rendah di Seremban. Beliau memuji semangat kami yang berani melakukan pengembaraan dan menggunakan cuti persekolahan dengan aktiviti yang berfaedah. Dosmy yang duduk di hadapan dengan loghat Kedahnya menceritakan bahawa kami berasal dari utara, Alor Star. Oleh kerana tahun depan kami akan memasuki tingkatan lima dan akan menghadapi peperiksaan SPM, maka cuti penggal akhir tingkatan empat ini kami gunakan sebaik mungkin untuk melakukan pengembaraan. Kelihatan pakcik ini begitu bangga sekali apabila mendengar cerita Dosmy yang seolah-olah pandai merancang menggunakan waktu cuti sekolah dengan baik dan persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM. "Nah, ambillah buat belanja", hulur pakcik itu kepda Dosmy wang RM10.00. Dosmy dan Aku saling berpandangan. Ada sesuatu kesalan dan perasaan bersalah.
Hampir jam lima petang, barulah kami sampai di Seremban. Kami mengucapkan terima kasih kepda pakcik tadi. Kami berdua mencangkong ditepi jalan menunggu kenderaan untuk menuju ke Melaka.
"Aku rasa bersalah lah", Dosmy meluahkan kekesalannya. "Aku pun sama", jawab ku segera." Dah lah dia puji kita, bagi duit pula", Dosmy menyambung kekesalannya kerana membohongi pakcik itu bahawa kami berasal dari utara.
Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapan kami. Dosmy dan Aku terus membuka pintu tanpa dipelawa. Aku seperti biasa kekal dibelakang. "Nak kemana?" Tanya pemandu berketurunan Cina yang berusia tiga puluhan tanpa pelat. "Melaka", jawab kami menggunakan loghat Kedah juga. "Ok, saya pun nak ke Melaka juga, balik rumah . Dekat Kubu. Awak nak turun mana?" Dosmy memandang Aku , wajahnya ceria dan kemudian mengalih pandangan ke pemandu muda itu, "Kubu, boleh juga", jawab Dosmy tetapi tidak menyatakan sebabnya.
Kami sampai di Melaka hampir jam enam setengah petang. Setelah mengucapkan terima kasih, Dosmy memberi tahu Aku bahawa bapa saudaranya tingal di quarters kerajaan di Kubu. "Padanlah kau suka", kataku.
Kami disambut gembira oleh bapa saudara Dosmy walaupun kedatangan kami tidak diberitahu terlebih dulu. Selepas makan malam jam lapan, kami bersegera ke bilik tidur kerana terlalu keletihan. Esok kami akan meneruskan perjalanan keselatan.
BERSAMBUNG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan