Theflowersellingboy

Jumaat, 28 Mac 2014

MH 370: Terimalah Teguran dan Pandangan Dalam Usaha Mengatasi Musibah Seperti Ini Berlaku Pada Masa Depan.




Kehilangan pesawat MH 370 masih lagi menjadi kisah yang dibicarakan. Kita mendoakan yang terbaik.
 
Pihak berkuasa tetap meneruskan pencarian. Kita juga doakan yang terbaik.

Kita teruskan kehidupan. Ambil iktibar atas peristiwa yang berlaku. Musibah, amat memilukan, dan kalau tidak diuruskan dengan baik boleh menambahkan lagi kepiluan. Oleh itu dalam menghadapi musibah ini kita diajar untuk berkata: " Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya lah kita dikembalikan".
 
Cukup. Kita teruskan kehidupan kerana peristiwa malang itu telah kita serahkan kepada Allah.
 
Ya, memang mudah bagi mereka yang tidak terlibat dalam musibah itu untuk berkata, teruskan kehidupan, terimalah kadaq dan kadar dari Allah. Ada hikmah disebalik musibah itu. Hanya Allah saja yang tahu.

Jadi apa perlu kita buat? Termenung. Menangis. Berdukacita. Marah. 

Adakah cara begitu boleh mengubati kepiluan kita akibat ditimpa musibah itu. Adakah ianya dapat membantu merungkai sebab musabab berlakunya musibah itu?
 
Sudah tentu jawabnya tidak. Malah ianya semakin mencelarukan fikiran. Fikiran kita menjadi tidak tenang. Hati bertambah sakit. Akhirnya kita jatuh sakit.
 
Jadi sebaik-baik cara ialah dengan berkata seperti diatas, 'dari Allah kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan'.
 
Dan kita teruskan baki-baki kehidupan yang ada. Jadikan musibah yang menimpa kita itu sebagai pengajaran. Banyak kelemahan dan kekurangan kita dalam aspek pengurusan keselamatan khususnya keselamatan penerbangan yang perlu kita atasi dan perbaikki. Saya tidak mahu membicarakannya secara khusus.
 
Pengajaran, bukan untuk kita saja. Pengajaran untuk semua. Kita melihat kelemahan dan kekurangan pada diri kita dulu. Lalu kita cuba memperbaikkinya/mempertingkatkannya.
 
Kita juga boleh membantu dengan memberi pandangan dan buah fikiran bagi mengatasi kelemahan dan kekurangan yang menyebabkan boleh berlakunya musibah itu. 
 
Namun begitu, kita perlu sedar bahawa pandangan dan buah fikiran itu selalunya dianggap sebagai mahu menuding jari meletakkan kesalahan kepada sesuatu pihak diatas berlakunya musibah itu.
 
Inilah yang berlaku di negara kita. Mana-mana pandangan , teguran atau pun buah fikiran selalunya ditekan dan dilenyapkan jika pandangan, buah fikiran atau teguran itu memperlihatkan kelemahan dan kekurangan pihak-pihak tertentu yang bertanggungjawab keatas sesuatu peristiwa.
 
Dengan hanya berkata, 'jangan suka menuding jari, mencari salah dan silap dalam saat-saat kita bertungkus lumus dan bermati-matian menghadapi musibah ini,' maka pandangan yang baik itu diketepikan.
 
Bagi saya kenyataan seperti diatas adalah tidak bertanggungjawab, dan merugikan negara pada jangka panjang.
 
Jika pandangan dan teguran itu ada kebenarannya, mengapa pula tidak diberi pertimbangan yang sewajarnya kalaupun tidak diterima sepenuhnya.
 
Jadi saya lihat dalam peristiwa kehilangan pesawat MH370 ini, selain ianya peristiwa yang menyedihkan kepada negara dan dunia, khususnya waris-waris kepada 239 orang insan didalam pesawat tersebut, peristiwa ini memberikan kita banyak pengajaran, khususnya kepada pihak berkuasa yang terdiri dari warga kerja MAS, DCA, Imigresyen, Polis, Tentera, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.  Menteri-menteri yang berkaitan juga perlu mengambil pengajaran dan tanggungjawab. Perdana Menteri memikul segalanya.
 
Saya juga mahu menyatakan penghargaan diatas ketetapan kerajaan untuk terus mengesan dan mencari pesawat yang hilang itu. Kita doakan agar usaha itu di permudahkan Allah dan berjaya, akhirnya.




 
 
 
 

Khamis, 20 Mac 2014

Mohon Doa Ke hadrat Allah Agar Pesta Muzik Yang Bertentangan dengan Ajaran Islam Tidak Diadakan Di Malaysia




MH370: Hari Yang ke12 kehilangan.

Semoga Allah pemudahkan pencarian dan menemukan pesawat MH 370 dan harapan kita semuanya selamat.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Peristiwa malang dan sedih. Amat memalukan kepada kita semua, khususnya orang Melayu (maksudnya orang Islam).

Namun kita tidak saja mampu bersedih dan merasa malu akan peristiwa itu. Kita mesti bersama-sama berusaha dan bertindak bagi menghalang peristiwa  itu berlaku lagi. Ya, kita mulakan dengan memohon dod kehadrat Allah SWT.
 
Saya tidak bercakap fasal MH 370. Saya bercakap fasal pesta muzik masa depan yang amat gila lagi menggilakan itu yang telah mengorbankan beberapa nyawa.. 
 
Kita  semua wajar memohon pertolongan dari Allah, dan sentiasa mendoakan agar pesta itu dan yang sejenis dengannya tidak akan berlaku lagi di Malaysia negara tercinta ini.

Marilah kita sama-sama mendoakan agar Allah menggerakkan hati : 
 
i) semua orang yang terlibat dalam merealisasikan pesta muzik melampau itu, 
 
ii) mereka yang menganjur dan membawa pesta itu di bumi Malaysia ini,  
 
iii) yang memberi lesen dan permit melulus dan memberi izin pesta itu berlangsung, 
 
iv) yang menyedia , membina dan mengadakan segala kemudahan dan kelengkapan bagi berlakunya pesta ini, 
 
v) yang menyokong dalam apa saja cara termasuk menggalak serta mempromosikan segala bentuk hiburan dan pesta  yang bercirikan kegilaan ini, 
 
vi) dan ibubapa , penjaga, saudara mara dan masyarakat yang tidak memberi sedikitpun kepedulian akan kesan buruk yang dibawa oleh budaya muzik/pesta gila ini, 
 
vii) dan anak-anak muda, lelaki dan perempuan, bujang, dara, yang berumahtangga, waemah janda dan duda, termasuklah jika ada orang-orang tua dan dewasa yang meraya dan berpesta gila di tempat pesta itu diadakan. 
 
Agar Allah menggerakkan hati mereka, membenci akan pesta seperti ini selama-lamanya, kerana ianya banyak mendatangkan keburukan dan bertentangan dengan ajaran Islam,
 
Khusus kepada para alim ulamak yang sudah tentu mempunyai ilmu dan pengetahuan yang tinggi, yang sudah tentu juga amat membenci pesta seperti ini, bersuaralah kalian menegur mereka dan memberi nasihat kepada mereka diatas. 
 
Kalau ada diantara anda (alim ulamak) begitu lantang menegur serta menghukum sebagai penderhaka keatas peserta-peserta yang menunjuk perasaan bagi menyatakan perasaan tidak bersetuju mereka diatas tindakan penguasa yang tidak adil, anda semua tidak boleh berdiam diri, berpeluk tubuh tanpa menegur dan memberi nasihat kepada penguasa dan sesiapa saja yang terlibat menjayakan pesta muzik ini.
 
Kita doa dan pohon kepada Allah agar para alim ulamak kita ada kekuatan dan keberanian untuk melakukannya.
 
Kita juga memohon kepada Allah, agar pemimpin-pemimpin kita  sekalian yang mempunyai segala cara bagi menghalang pesta ini, tidak akan membenarkan lagi pesta seperti ini atau apa saja bentuk pertunjukan, pamiran , permaianan, tayangan, perniagaan mahu pun urusan yang membawa ciri-ciri seperti pesta ini, yang lebih banyak mendatangkan keburukan.

Mudah-mudahan Allah memperkenankan doa kita semua. Amin.



Rabu, 19 Mac 2014

MH370: Jangan Tanya/Bangkitkan Perkara Yang Bukan-bukan




Ringkas saja nak tulis. 
 
Saya dahului dengan doa agar pesawat MH370 dapat dikesan dan dijumpai dan mengharapkan semuanya selamat.
 
Banyak persoalan yang berbangkit dan ditimbulkan. Berikutan itu pihak yang terlibat memberikan maklumat dan fakta yang teknikal yang tidak mudah difahami. Dan ada juga maklumat dan fakta yang bukan teknikal yang diberikan, yang mudah dan boleh difahami orang biasa seperti saya.
 
Tapi kenapa tanya/bangkitkan fasal hubungkait seseorang dengan seorang yang lain. Adakah pertanyaan/bangkitan itu boleh membantu dalam mengesan MH370 yang hilang itu. Bukankah misi kita yang utama ialah untuk mencari dan menyelamatkan pesawat yang hilang. 
 
Hishammuddin , Pemangku Menteri Pertahanan, "Ya, Najib itu ialah sepupu saya". Apabila menjawab soalan dalam satu persidangan akhbar.

Dapat menyelesaikan masalah pencarian ke?

Anwar Ibrahim, "Saya tidak menafikan bahawa dia (Zaharie-pilot MH370) mempunyai kaitan dengan salah seorang menantu saya dan saya pernah bertemu dengannya.......". Penjelasan dalam satu sidang akhbar.

Dapat menyelesaikan masalah pencarian ke?

Dua-dua ada kaitan. Seorang sepupu dan seorang lagi kaitan dari segi perkahwinan.

Kedua-duanya ada tanggungjawab dan kedua-duanya mahu MH370 segera dikesan dan dijumpai dan mengharapkan semuanya selamat.
 
Walaupun soalan/perkara yang dibangkitkan bukan bersifat teknikal tapi saya tidak faham. Malah saya rasa perkara yang teknikal boleh juga sedikit-sedikit saya faham.

Oleh itu saya nak tanya: 
 
i) Kenapa bangkitkan soalan/perkara yang tidak membantu dalam usaha mencari dan menyelamat MH370 itu? 
 
ii) Apa motif orang yang bertanya/membangkitkan perkara itu?

Mesti ada motif. 
 
Kalau suka-suka tanyapun ada juga motif iaitu gatal mulut. Mulut gatal.

BERNAS keluar bursa: Anwar gesa Parlimen bela pesawah







Dengar dengan tenang, fikir dengan tenang, jangan emosi mempengaruhi fikiran anda. Setelah habis melihat video ini dan mendengar satu persatu yang diperkatakan oleh orang yang sentiasa didakwa dengan berbagai peristiwa, kejadian dan perlakuan 'jahat, hina, keji' ini, dan dengar juga apa jawapan speaker Parlimen keatas apa yang diperjuangkan oleh orang yang dikatakan hina , jahat dan keji itu. Dan adakah anda mendengar suara dari wakil rakyat BN khususnya UMNO yang bersuara memperjuangkan pesawah miskin yang majoritinya orang Melayu.

Ade?

Sudah tentu jawapannya tiada ade. 

Saya sendiri tidak mendengarnya atau telinga saya langsung tidak dapat mengesannya. Untuk makluman, Alhamdulillah , saya diberi oleh Allah pendengaran yang baik semenjak lahir sehingga sekarang ini.

Anda merasa hairan dengan sikap ahli dewan rakyat UMNO/BN itu?

Sudah tentu anda hairan dan merasa pelik. Anda tidak percaya dan mengatakan tidak masuk akal. Mustahil mereka tidak mahu bersuara bagi memperjuangkan kepentingan pesawah yang miskin , apatah lagi majoriti pesawah adalah orang Melayu. Mana mungkin UMNO yang mendakwa memperjuangkan orang Melayu , sampai hati membiarkan pesawah Melayu yang miskin itu terkapai-kapai kerana hak atau kepentingan mereka dalam bentuk saham dalam syarikat BERNAS itu dirembat sebegitu rupa. Dan yang menjadi perembat pula ialah orang Melayu juga. Cuma bezanya perembat itu adalah satu orang Melayu yang kaya. Pesawah itu pula adalah majoriti Melayu yang hidup susah miskin pula.

HIDUP MELAYU ! Jerit UMNO.

Anda amat marah ke ?

Bersabar dulu.

Kita mesti memberi respon dengan tenang dan waras. Jangan biar emosi marah kita memimpin kita kerana pertimbangan kita nanti akan bercelaru. Bertenang, tarik nafas panjang-panjang. Kemudian fikir betul-betul. Jangan mudah terima bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh Anwar Ibrahim itu. Kita mesti lebih inkuisitif. Buat banyak soalan dalam otak kepala. Paling kurang kita tanya adakah apa yang dicakapkan Anwar Ibrahim itu  benar dan betul.

Untuk itu kita perlu faham dan ada pengetahuan tentang hal yang diperkatakan/diperjuangkan. Perkara yang Anwar Ibrahim perkatakan atau perjuangkan ialah beliau tidak bersetuju atau menentang syarikat BERNAS dikeluarkan atau disebut sebagai nyahsenarai dari Senarai Bursa Saham Kuala Lumpur, sebagai syarikat awam, dan menjadikannya syarikat persendirian dengan pemilikan dan pengawalan 100 peratus oleh Syed Mokhtar.

Maknanya saham milikan pesawah dalam BERNAS akan diambil milik oleh syarikat persendirian Syed Moktar itu.

Ertinya satu orang Melayu telah menguasai keseluruhan saham BERNAS itu. Maka hidup dan kayalah satu orang Melayu.

Ertinya juga pesawah-pesawah yang dulunya memiliki saham itu telah tidak ada lagi saham mereka berikutan dari keluarnya BERNAS dari Bursa Saham Kuala Lumpur. Maka bertambah susah dan miskinlah pesawah-pesawah Melayu itu.

Itulah yang saya faham. Kalau tidak tepat atau tidak betul, bantulah saya. Lengkapkan yang mana tidak tepat dan betulkan yang mana salah.

Tapi benarkah BERNAS mahu dinyahsenaraikan dari Bursa Saham Kuala Lumpur?

Anda kena semak sendiri dengan Bursa Saham untuk lebih sahih.

Melihatkan tidak ada bantahan dari speaker parlimen dan ahli parlimen BN tentang apa yang diperkatakan oleh Anwar Ibrahim, ianya sudah mencukupi bagi saya mengatakan bahawa kenyataan Bernas mahu dikeluarkan dari Bursa Saham Kuala Lumpur itu adalah benar.

Yang penting setelah mendengar video ini ialah kita jangan marah. Tidak percaya dan tidak menyokong, adalah hak anda. Mahu percaya dan mahu menyokong pun hak anda. Cuma anda tidak akan berjaya mengawal hati kecil anda untuk berkata lain dari yang ada dalam hati kecil anda . Cakap dan suara anda boleh menipu tapi hati kecil (conscience) anda tidak pernah menipu.

Saya bersetuju dan menyokong apa yang diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim seperti yang saya dengar dalam video diatas.

Saya bersetuju orang Melayu hidup senang, kaya dan berharta termasuk Syed Mokhtar. Saya juga bersetuju semua orang Melayu hidup senang , kaya dan berharta. Syaratnya dengan secara yang halal dan baik.

Dan saya juga bersetuju semua warga negara Malaysia mendapat hak yang sewajarnya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Yang saya tidak setuju ialah jika satu orang atau sebilangan kecil orang, tidak kira apa bangsa dan keturunannya, membolot kekayaan negara ini sedangkan majoriti rakyat hidup dalam kesusahan dan miskin. Apatah lagi jika kekayaan itu diperolehi dengan cara yang tidak adil dan salah dari segi undang-undang, peraturan, dan etika sebuah kehidupan yang bertamaddun.    


Selasa, 18 Mac 2014

MH370 , dimana kamu berada.....janganlah mengusik perasaan kami lagi.




Semoga kau MH370 selamat. Dan kau beserta dengan anak kandungan kau juga selamat. Hanya itu saja doa kami . Kami warga dunia mendoakan keselamata kamu dan anak-anak kandung kamu dengan cara pilihan kami. Ada yang melafazkan suara, berdiam diri bertafakkur, berbisik dalam hati, melakar dan menulis menyatakan perasaan dihati menyatakan harapan agar kau dan anak-anak kau selamat kembali. 
 
Kami buat segala cara untuk mengesan dan mencari mu.  Segala aset -moden, canggih dan terkini kami gunakan dalam pencarian. Apa saja peralatan dan kelengkapan menyelamat dan mencari yang ada , kami gunakan. Yang mengendalikan alat dan kelengkapan, yang melakukan pencarian untuk usaha menyelamat adalah pakar-pakar dan berpengalaman, bukan orang sembarangan.
 
Kami tidak gunakan satu kapal atau satu perahu. Kami gunakan bilangan yang banyak. Kapal terbang, helikopter, kapal laut, kapal selam yang terlibat dalam pencarian ini menguasai laut cina selatan dan sekitarnya  - udara, darat dan laut kami mencari mu. 
 
Bahkan perahu nelayan pun turut sama kami gerakkan mencari mu wahai MH370. 
 
Tapi jangan pula kau berkecil hati seolah-olah kami ambil ringan dan tidak serious dalam kerja kami ini. Maalumlah, kata setengah orang, apa yang mampu dilakukan oleh perahu nelayan dalam mengharungi laut cina selatan itu. Ombaknya terlalu besar. Apa yang mampu dilakukan oleh nelayan, sedangkan ilmu pengetahuan mencari dan menyelamat setakat mampu mencari ikan saja, kata setengah yang lain.
 
Percayalah, kami semua sayangkan kamu. Kata orang, yang celik bergerak laju dan yang buta meraba-raba. Yang penting, celik dan buta tidak berpeluk tubuh diatas kehilangan mu.
 
Bukan itu saja usaha kami. Sebenarnya, kami tidak membataskan usaha dalam mencari dan menyelamat ini berdasarkan ilmu logik dan hukum sains. Kamu tahu, kami juga gunakan khidmat tok bomoh. Ah, kalau kau ada dan anak-anak kau ada, melihat dan mendengar cerita ini, kami percaya kau akan ketawa terbahak-bahak, tidak kering gusi. 
 
Ya, memang ada yang ketawa.  Ada yang kata seluruh dunia ketawa. Ada yang malu, katanya amat memalukan. Dan ada yang marah kerana ianya syirik dan khurafat.  Maka bergaduhlah antara tok bomoh dengan setengah orang dan pihak. Cabar mencabar. geli hati dibuatnya.
 
Tapi percayalah, kami sayangkan kamu mengatasi kesan dan akibat yang negatif  dari perbuatan itu.
 
Tuan kau bertungkus lumus melakukan usaha mencari dan menyelamat. Dijemputnya juga kawan-kawan jauh dan dekat turut serta., dan ada yang datang secara sukarela.
 
Sudah masuk hari yang kesepuluh, kau masih lagi belum dikesan. Dimana kah kamu berada wahai MH 370.
 
Ya, mula-mula kami menyangka kau berada dipersekitaran laut cina selatan kerana itulah kali terakhir kau dapat dihubungi. Kami mencari kamu disana. Berduyun-duyun menuju ke sana. Tapi kami amat hampa sekali kerana kau masih tidak dapat dikesan.

Sekarang kami beralih kawasan. Dua kawasan jadi tumpuan, di sebelah barat laut cina selatan. Kami sekarang berada di dua kawasan itu, mencarimu. Harap-harap kamu ada di sana. Janganlah mengusik hati kami lagi. Cukuplah apa yang kami tanggung walaupun kami tahu, kau dan anak-anak kau tidak tertanggung lagi seksanya -entah hidup entahkan mati.


Isnin, 17 Mac 2014

PRK N25 Kajang: PR jelas menang tapi BN boleh juga dakwa menang walaupun kalah.




Lima hari lagi, pengundi Kajang akan keluar mengundi bagi kali kedua dalam tempoh hampir setahun selepas PRU 13. Pada 23 Mac 2014, kita harap semua pengundi N25 Kajang akan keluar mengundi. Gunakan hak mengundi anda bagi memilih wakil rakyat anda, sudah tentu wakil dan parti yang anda yakin boleh memberi menfaat kepada anda. 
 
Pilih PR atau BN. Pilih atau pangkah satu saja. Jangan pangkah kedua-duanya atau tidak pangkah kedua-duanya. Anda yang rugi jika berbuat begitu kerana undi anda dikira rosak.

Siapa saya, hendak mengajar pengundi Kajang tentang perkara asas seperti itu. Pengundi Kajang bukan sebarangan. Mereka bijak , sebab itu majoriti mereka dulu telah membuat pilihan mengundi PR pada PRU 13 yang lepas. 
 
Ya, mereka bijak. Tapi ada juga mereka yang terlanjur.
 
Dengan itu , saya cuma hendak menyampaikan sedikit pesanan kepada mereka yang telah terlanjur dulu. Terlanjur undi BN. Terlanjur, ertinya satu tindakan tidak sengaja. Tidak mengapa. Yang lepas jangan dikesalkan. Jadikan ia sebagai pengajaran yang berguna. 
 
Sayapun pernah terlanjur, dulu. Bukan sekali, tapi banyak kali. Tak jeran-jeran, BN juga pilihan saya. Tapi tidak dalam beberapa pilihanraya yang lepas. Sebab, BN terutama UMNO ni terlalu angkuh, sombong dan besar diri serta besar kepala (atau kepala besar, pilihlah yang mana satu anda suka. Sifat yang sama maknanya dengan zalim dan jahat). Sifat-sifat itu meresapi, menjiwai, merasuki, menggilai  dan menaungi orang-orang UMNO (jangan silap menyamakan UMNO itu dengan Melayu) dari peringkat ahli yang paling bawah, tanpa jawatan kerajaan sehingga ke peringkat paling atas yang berjawatan politik, apatah lagi yang ada jawatan kerajaan.
 
Mahu satu contoh?
 
Seorang ahli UMNO, katakan ahli JKKK atau pengerusi JKKK, boleh menukarkan Ketua Jabatan bagi sesuatu agensi atau mana-mana pegawai yang tidak disukainya hanya dengan mengadu kepada Menteri/Ketua Menteri/Menteri Besar. Misalnya jika Ketua Jabatan atau pegawai berkenaan mengambil tindakan disiplin keatas ahli UMNO yang juga penjawat awam kerana tidak datang bekerja/lambat masuk pejabat kerana terlibat dalam kerja-kerja politik; atau sebutharga/tender yang dimasuki oleh ahli UMNO itu tidak mendapat pertimbangan.
 
Kalau pun ketua jabatan/pegawai berkenaan tidak ditukar, paling kurang akan diherdik dan diberi amaran keras. Antara ayat-ayat yang biasa digunakan ialah: i) Kamu penyokong pembangkang; ii) Kau siapa?
 
Itu satu cerita saja. 
 
Mengapa jadi begitu? 
 
Sebab mereka sudah diresapi, dijiwai, dan dirasuki oleh sifat sombong, angkuh dan besar diri. Mereka sudah menggilai sifat-sifat itu sehingga kewarasan dan belas ikhsan hilang dari pertimbangan.  Majoriti, begitulah sifat mereka. Tapi tidak semuanya begitu. Ada yang baik dan ikhlas membantu dan saling hormat menghormati.
 
Mahu bukti lagi?
 
Cukup. Saya mahu meneruskan bicara tentang PRK Kajang dan mahu mengajak sama, mereka yang terlanjur dulu supaya berubah memberi undi kepada calun PR. Dan kepada yang dulunya telah mengundi PR, tetapkan iman terus mengundi PR walaupun disogokkan dengan berbagai keenakan dan ditunjukkan dengan berbagai kemesraan -anak kecil yang kotor akan dikendung dan dicium, orang tua yang berkudis, menanah akan dirapati, bersalaman dan tangan dicium. Itu semua adalah lakunan pilihanraya.
 
Mungkin mereka yang terlanjur itu, seperti yang terjadi kepada saya dulu masih yakin akan nilai-nilai baik yang hendak dibawa dan diperjuangkan oleh UMNO.- berjuang demi bangsa, agama dan negara.
 
Sebenarnya, ianya tidak lagi begitu. Slogannya masih ada dan sentiasa berkumandang diteriak dan dijeritkan disana sini. Terpampang ditulis di kain-kain pemidang , merentangi jalan-jalan kampong dan terpacak dipaparkan sebagai iklan dilebuh-lebuhraya. Saiznya juga besar. 
 
Ianya tidak ada semangat apatah lagi memberi makna yang diperjuangkan.  Habis kesemuanya luntur, hancur musnah. 
 
Namun begitu masih lagi terdapat orang UMNO termasuk sebahagian orang Melayu yang lain berterusan yakin dan percaya dengan slogan perjuangan itu walaupun sebahagian besar dari mereka tidak mendapat faedah yang sewajarnya. Mereka miskin dan hidup susah, dari jenerasi ke jenerasi dibawah pemerintahan  UMNO/Perikatan/BN semenjak merdeka. 
 
Oleh itu, pengundi Kajang yang telah terlanjur mengundi BN pada pilihanraya yang lepas, usahlah lagi melakukan keterlanjuran itu pada PRK ini. Sudah terlalu lama kamu tertipu dengan mainan dan sogokan BN.
 
Apa buktinya?
 
BN adalah pemungkir janji yang konsisten. Peribahasa Melayu kata macam lidah biawak, bercabang. Lidah yang bercabang itu digunakan secara effisyen sekali untuk memangsakan siapa saja. 
 
Apa janji mereka dalam kempen PRU 13. Harga tak naik. Tol akan diturunkan berperingkat. BR1M sebanyak 1200.

Cukup tiga contoh diatas.

Harga gula naik. Harga minyak naik. Harga letrik naik. Tambang bas, LRT dan berbagai pengangkutan naik. 

Tol mahu dinaikkan. Tapi kuasa rakyat yang banyak menentang kenaikan tol maka ianya ditangguhkan.

BR1M janji 1200 hanya dapat 500/650.
 
Namun tidak semua janji, BN mungkir. Janji mesti  ditepati. Apa dia?

BN berjanji akan melaksanakan GST, satu cukai yang dikenakan keatas semua barang dan perkhidmatan pada kadar 6%. BN juga berjanji memotong subsidi keatas beberapa barang/bahan seperti minyak dan gula dibawah skim yang dipanggil rasionalisasi subsidi.

Janji ditepati. BN akan melaksanakan GST pada April 2015. Maka semua orang akan kena bayar, tidak kira miskin atau kaya. Semua barang dan perkhidmatan kena cukai melainkan beberapa barang yang termasuk dalam senarai yang dikecualikan. Maknanya semua orang bayar cukai walaupun ornag berpendapatan rendah dan mskin.

GST ini akan menaikkan lagi harga barang dan perkhidmatan. Kalau duduk di Kajang bergaji 1,000 sebulan, dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan ketika ini, apatah lagi apabila GST berkuatkuasa pada April 2015, ianya terlalu membebankan. 
 
Tapi pengundi Kajang semuanya bergaji 1000 sebulan ke? Saya rasa ramai yang berpendapatan kurang dari itu. Ada yang dapat 500 sebulan saja. Sudah tentu ianya menyiksakan. Tambah-tambah mempunyai keluarga yang besar.

BR1M 500/650 sekali dapat itu boleh merengankan beban hidup ke?

Harga gula naik memberi kesan kepada harga barang dan bahan yang lain. Harga minuman yang pakai gula tentu naik. Harga kuih muih yang pakai gula tentu naik. Atau ada cadangan supaya semua kuih tak pakai gula?

Kesan kenaikan minyak lagi meluas. Apa saja yang menggunakan minyak akan memberi kesan kepada kenaikan kos sara hidup. Kos pengangkutan akan naik. Ianya berantai dengan kos barang yang diangkut. Misalnya kalau angkut beras, harga beras akan naik. Beri satu contoh yang membuktikan sebaliknya. 

Sama juga dengan tarif letrik. Naiktarif letrik akan membuatkan barang dan perkhidmatan yang menggunakan kuasa letrik akan naik.
 
Seksa kita dibuatnya. Tapi seksa ini akan berterusan jika BN terus diberi kemenangan dalam PRK Kajang ini. Mereka akan bertambah sombong dan angkuh. Mereka akan kata: Rakyat sokong mereka, maknanya hidup rakyat tak susah. Kos sara hidup tidaklah menyusahkan rakyat.

Ada dua janji BN. Satu bagi menyenangkan rakyat. Janji ini dimungkiri.
 
Satu lagi menyusahkan rakyat seperti pemotongan subsidi minyak dan gula dan pengenaan cukai baru GST. Janji ini ditepati.
 
Lihat bagaimana mereka membuli rakyat. Mereka memperbodohkan rakyat.  Mereka mempermainkan rakyat. Kata mereka kalau harga ayam naik, jangan makan ayam. Kalau harga tol naik, jangan guna jalan bertol. Kalau tak suka duduk di Malaysia sebab barang naik, pindah tempat lain.

Bukan itu saja, mereka buat lawak paling anih untuk mengeletek dan menghibur hati rakyat dalam kes harga kangkong dan harga seekor ayam satu ringgit. Memanglah rakyat ketawa dengan lawak itu. Lalu mereka ingat rakyat suka, sedangkan rakyat mentertawakan mereka kerana tidak percaya lawak seperti itu datang dari mereka.
 
Sebab itu mereka tidak rasa bersalah dan malu diri apabila meminta dipuji kerana harga kangkong turun. Adakah itu khidmat atau kerja terbaik BN kepada rakyat?

Tentang harga ayam seekor satu ringgit, lagi menggelikan hati. 

Memanglah boleh berlaku seperti itu, seekor ayam satu ringgit. Tengok saja siapa pembelinya. Beri percumapun penjual itu rasa bangga dan seronok.
 
Macam mana orang Kajang? Nilai baik-baik akan tindak tanduk dan perlakuan mereka yang mewakili BN ini. Kita bukan cakap fasal personaliti. Kita cakap fasal budaya yang dianuti oleh personaliti itu dan sistem yang memanjangkan budaya itu.

Budaya apa? 
 
Membuli, memperbodohkan, mempermainkan dan memungkiri janji bagi menyenangkan rakyat.

Apa sistemnya? 
 
Sistem yang melangsungkan segala kebejatan, kejahatan dan kedurjanaan. Mementingkan golongan dan puak, memperkayakan diri dan puak dengan melakukan monopoli , mencampuri dan mempengaruhi berbagai institusi bagi kepentingan diri dan parti, dan mencemari perlaksanaan konsep pengasingan kuasa, dan melakukan urus tadbir tidak telus , boros, rasuah dan menyalah guna kuasa.
 
Beri satu bukti?
 
Hutang negara yang terlalu tinggi, 540 billion lebih. Sebenarnya lebih dari itu jika kita perincikan dengan mengambil beberapa tanggungan.
 
Siapa yang dapat faedah besar dari hutang yang amat besar itu?
 
Mereka yang memerintah dan puak-puak yang akrab dan berdekatan. 
 
Siapa nak bayar? 
 
Kita rakyatlah yang kena bayar.
 
Ohhhhhhhh. 
 
Macam mana nak bayar?

Kenakan cukai, sebab itu GST mahu mari. 

Ohhhhhhhhhhhhhhhhh...........
 
Kalau begitu kami pengundi Kajang yang terlanjur dulu akan berubah. Kami akan undi PR.

Itulah semangat yang kita kehendaki pada PRK Kajang ini. 

Jadi semua yang terlanjur mesti undi PR. Yang dulu undi PR, tetap undi PR. Baru boleh kata menang. Sebab kalau BN dapat satu undi yang boleh mengurangkan majoriti yang dimenangi PR pada PRU lepas , BN akan mendakwa mereka juga menang walaupun kalah.

Pengundi Kajang! Selamat mengundi. Anda ada pilihan. Tapi hanya satu pilihan. Undi PR yang diwakili oleh ahli PKR. 

Ahad, 16 Mac 2014

Diantara Peristiwa-peristiwa Malang Di Malaysia




i) 6 orang anak muda mati dalam pesta muzik masa depan. Mati kerana dadah semasa meraikan sebuah pesta muzik. Majoriti anak muda Melayu. Kalau Melayu, menurut Perlembagaan, otomatik beragama Islam. Islam mengharamkan dadah dan muzik yang melampau. Tapi Melayu Islam yang banyak terkorban. Apa yang tidak kena.
 
ii) MH370 hilang dan belum jumpa. Ada 239 manusia didalam pesawat itu. Terhempas? Kena rampas? Tapi yang pasti nyawa mereka, jika masih hidup, terancam. Marilah kita mendoakan keselamatan mereka. Harap-harap mereka masih hidup.

iii) Perlakuan/penggunaan  bomoh bagi mengesan pesawat yang hilang amat memalukan. Seluruh dunia dah tahu. Layak ke Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020? Kata pimpinan, Malaysia negara Islam. Tapi fasal apa membiarkan pembomohan untuk mengesan pesawat yang hilang? Kenapa pihak berkuasa tidak menghalang kerja khurafat ini?
 
iv) Jerebu melanda lagi. Kali ini agak lama. Banyak kawasan memberi bacaan indeks yang tidak selamat kepada kesihatan. Jerebu nampaknya bukan perkara luar biasa. Sudah menjadi biasa. Malangnya rakyat Malaysia tidak beri perhatian yang utama bagi mengelak dan mengurangkan kejadian jerebu. Banyak melakukan pembakaran terbuka. Pihak berkuasa wajar bertindak, dakwa yang degil ini.
 
v) Perbicaraan Anwar Ibrahim yang menimbulkan tanda tanya tentang perlaksanaan keadilan. Kenapa outsource DPP. Macam projek penswastaan saja. Kenapa orang-orang tertentu tidak dipanggil jadi saksi. Bagaimana dengan laporan doktor? Macam-macam pertanyaan lagi termasuk mengapa si pengadu tidak melawan apabila diperlakukan sedemikian rupa,melainkan dia juga rela akan perbuatan itu. Bukankah dia muda remaja sedangkan yang dituduh sudah bertarf warga emas. Tak mampu lawan ke? Dan kalau melawan , takut kena buang kerja sebagai pembancuh air kopi. Besar ke gaji pembancuh air itu sehingga takut risiko kena buang kerja jika melawan perbuatan yang hina itu. Budak perempuan yang kecilpun akan melawan, menendang dan meronta jika perkara yang tidak senonoh cuba dibuat keatasnya. Ini maruah lah. Perlu dipertahankan walaupun kerja sebagai pembacuh kopi. Adakah masyarakat kita tidak mampu berfikir. Otak sudah jem.

Mengapa hal-hal yang malang dan mendukacita ini berlaku dalam tempoh yang berdekatan?

Allah sentiasa menyuruh kita berfikir: Tidakkah kamu mahu berfikir?


Mex - iv) Harga Seekor Ayam RM 1




Seekor ayam yang telah disembelih dan dibersihkan boleh diperolehi dengan mengeluarkan wang RM1 saja. 
 
Berapa berat seekor ayam yang telah disembelih dan dibersihkan itu? Satu kilo atau setengah kilo atau lebih?

Mengapa kita perlu tanya berat ayam itu. Ianya tidak perlu kerana penetapan harga tidak berdasarkan timbangan berat. Asalkan seekor ayam, harganya tetap seringgit.
 
Adakah itu harga pasaran? 
 
Soalan itu juga tak perlu ditanya  kerana harga yang dijual itu luar biasa murahnya, extraordinary, mengapa susah-susah nak tanya harga yang terlalu murah. Beli saja ayam itu. Kalau nak adakan majlis misalnya nikah kahwin, beli banyak-banyak. Tapi jangan lupa jemput ramai orang termasuk PM.
 
Lagipun harga itu  PM yang sendiri yang membayarnya . Takkan kita tak percaya. Takkan PM tidak mampu jika harga seekor ayam itu dijual melebihi satu ringgit. 
 
Maknanya betullah harga itu seringgit.  Bijak sungguh cara PM berbelanja. Oleh itu kita mesti ikut cara berbelanja PM kita ni. Jangan asyik komplen harga barang naik tapi cara berbelanja tidak bijak. 
 
Kalau begitu kita mesti bijak berbelanja seperti yang disarankan oleh PM dan menteri-menteri kita.
 
Ertinya kita beli ikan, sayur dan daging  tak payah pakai timbang. Beli saja sepuluh ekor ikan, satu bakul kobis atau kacang mahupun kangkong, dan satu peha daging lembu. 
 
Kalau ikut kaedah penjualan ayam tadi, harga ikan, sayur dan daging itu hanya seringgitlah.
 
Dengan kebijaksanaan ini kita boleh jimat wang yang kita perolehi. Wang BR1M pun boleh kita jimatkan. Dan wang dijimatan itu boleh kita simpan dalam bank atau melabur dalam ASB atau beli saham Felda Global Venture. Dapatlah pulangan faedah dan dividen.

Jadi sekarang jangan banyak komplen tentang harga barang yang mahal. PM telah buktikan harga barang terlalu murah. Cuma yang perlu ialah kebijaksanaan kita berbelanja. Tip yang telah diberi ialah beli barang yang tidak perlu ditimbang beratnya.
 
Jangan pula cakap, PM yang beli maka sudah tentu penjual beri harga murah, bagi percuma pun penjual itu seronok.
 
Kalau begitulah cakap anda, sudah tentu anda ini tidak menggunakan otak secara bijaksana!
 
Sebab, bukankah Malaysia ini serba boleh, luar biasa bolehnya - Malaysia extraordinary.

Sabtu, 15 Mac 2014

Mex - iii) Kehilangan Pesawat MAS MH 370




Hari ke lapan kehilangan MH 370 - ada berita yang mengembali dan membuka harapan terutamanya kepada ahli keluarga  penumpang pesawat tersebut. Kita mendoakan pesawat itu selamat mendarat, dan kesemua penumpang dalam keadaan selamat, walau dalam apa situasi yang mereka hadapi. Dan kita mendoakan , tidak berlaku sesuatu yang amat malang. AMIN.

Sebelum persidangan akhbar pada sebelah petang hari ini 15 Mac, 2014, yang diberikan oleh PM, saya percaya sebahagian besar dari kita, terutama ahli keluarga penumpang termasuk keluarga anak kapal MH370, sudah hampir putus harapan untuk bertemu hidup orang yang disayangi. Tetapi berita terbaru dari persidangan akhbar itu telah sedikit sebanyak menghidupkan harapan mereka bertemu kembali orang yang disayangi.

Memang kita tidak tahu sama ada pesawat itu telah mendarat disesuatu lokasi dalam apa saja keadaan -diarah atau dirampas, atau dijauhkan Allah, terhempas atau apa saja bentuk kemalangan, tapi berita terbaru ini jelas mengesahkan bahawa pesawat itu tidak terhempas atau jatuh dilaut China Selatan, kawasan yang menjadi tumpuan awal pencarian kehilangannya. 

Pesawat itu dikatakan berpatah arah merentasi utara semenanjung Malaysia menuju ke Thailand, Teluk Benggala dan sejauh Kazakhtan atau ke Indonesia dan lautan hindi.

Maka pencarian dilaut china selatan ditamatkan. Tumpuan diberikan ke kawasan baru yang dikenalpasti.

Kita mengharapkan pasukan pencarian kita termasuk bantuan dari negara-negara sahabat akan berjaya akhirnya mengesan MH 370.

Dalam pada itu, persistiwa kehilangan pesawat ini banyak memberi pengajaran kepada kita, antara yang penting:

i) Kita tidak punya alat kelengkapan (aset) yang mencukupi, yang boleh berfungsi dengan baik bagi sesuatu misi mencari dan menyelamat. 

Adalah amat mendukacitakan, kapal selam scorpene yang kita perolehi pada kos yang besar tetapi tidak dapat digunakan bagi tujuan mencari dan menyelamat seperti ini, sedangkan negara-negara lain dikatakan ada menghantar kapal selam mereka.
       
ii) Cara kita mengurus dalam menghadapi keadaan seperti ini kurang mantap. Misalnya dalam menyampaikan maklumat-maklumat rasmi, boleh mengelirukan kerana terdapat percanggahan. 

iv) Kita terlalu gopoh mengeluarkan kenyataan sebelum mendapatkan maklumat sebenar duduk perkara. Misalnya dalam kes identiti mereka yang dikatakan menggunakan pasport curi.

Menteri Dalam Negeri pada reaksi awalnya sangat marah kepada pegawai-pegawai Imigresyen yang bertugas di KLIA ketika itu, yang katanya tidak dapat membezakan wajah orang Asia dengan wajah orang Eropah.

Maka berikutan dengan itu satu penyiasatan dalaman telah diadakan.  Akhirnya Ketua Pengarah Imigresyen mengesahkan bahawa segala langkah-langkah keselamatan seperti dalam SOP telah dipatuhi sepenuhnya.

Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi Jabatan Imigresyen itu dibawah Menteri Dalam Negeri. 

iv) KLIA telah menjadi satu kawasan bebas yang boleh digunakan bagi acara pembomohan tanpa dihalang. Peristiwa yang amat malang dan menyedihkan, lagi memalukan ini boleh ditonton oleh seluruh masyarakat dunia. 

Cuba renungkan ayat-ayat dibawah ini:

-Malaysia sebuah negara yang bercita-cita menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi apabila menyinsingnya fajar tahun 2020.

-Malaysia menggunakan khidmat bomoh bagi mengesan pesawat yang hilang. 

Anda ketawa dan malu?

Anda ketawa dan bangga?

Anda marah dan rasa terhina?

Pilihlah yang mana satu.

Anda ketawa kerana bomoh itu melakukan sesuatu yang tidak masuk akal. Tapi bagi saya perbuatan bomoh itu tidak menghairankan kerana itulah caranya seorang bomoh melakukan kerja-kerja pembomohan atau penujuman. Tidak mungkin bomoh itu akan menggunakan kompas atau radar atau apa saja alat mengesan komunikasi moden dalam pencariannya keatas pesawat yang hilang itu.

Jadi tidak perlu atau tidak ada sebab kita ketawakan penggunaan dua biji buah kelapa, dan menghantuk buah kelapa sama sendiri, dan penggunaan bakul dan tongkat mengayuh sambil duduk diatas tikar bagi melakukan penujuman.

Pak bomoh itu boleh berkata, "Niat saya adalah baik untuk membantu mengesan pesawat yang hilang".

Tapi, wajarkah perbuatan pembomohan itu kita terima?  Kita tanya:

-adakah kita yakin bomoh itu boleh mengesan pesawat tersebut?
 
-bukankah cara itu khurafat, syirik dan bertentangan dengan ajaran agama Islam?

Kita tanya lagi:

-siapakah atau adakah pihak keselamatan KLIA memberi kebenaran upacara pembomohan itu dilakukan?

-adakah pihak lain dari KLIA misalnya VIP seperti tang didakwa oleh bomoh itu yang memberi kebenaran kepada bomoh itu untuk melakukan pembomohannya?

-dan adakah ianya bermakna pihak VIP itu mempunyai kuasa mengatasi pihak keselamatan di KLIA?

-adakah kerja pembomohan itu dibayar dan siapa yang bayar?

Sesungguhnya Malaysia ini extraordinary, serba boleh - Mex.

Jumaat, 14 Mac 2014

Mex - ii) Hukuman Liwat 11 Anwar Ibrahim




Sesungguhnya Malaysia ini luar biasa -Malaysia Extraordinary (mex).

Paparan semalam saya mengakhiri antara lain dengan pertanyaan politik: Siapa hebat? PR dengan Langkah Kajangnya (LK) atau BN dengan pemilihan gelanggangnya. 

Ya, secara yang terlihat  PR telah tewas. BN lebih hebat politiknya.

Apa buktinya?

Anwar telah diketepikan secara 'undang-undang' dari layak menjadi calun dalam PRK Kajang. Maka skima PR, dalam LK sebagai satu strategi yang amat penting untuk menjadikan Selangor sebagai tempat berpijak yang kukuh dalam menjayakan matlamat bagi kerangka perjuangan yang besar menuju dan menguasai Putra Jaya menjadi 'terganggu'.

Itu apa yang terlihat.

Tapi ada yang tidak dapat dilihat sama ada oleh BN atau PR. 

Apa sebenarnya perancangan Allah?  Apa sebenarnya yang Allah hendak tunjukkan atau apakah iktibar yang boleh dipelajari kesan daripada keputusan mahkamah mensabitkan Anwar bersalah dalam hal yang dituduh, dan memenjarakan selama 5 tahun.

Allah saja yang maha bijaksana dan maha mengetahui.

PR, sudah tentu amat marah pada reaksi spontan. Ini boleh difahami melainkan anggota PR itu terdiri dari Malaikat.

BN, terutamanya kepimpinan UMNO dan mereka yang sebakul dengan kepercayaan UMNO, sudah tentu senang dan reda kerana orang yang amat ditakuti, musuh seumur hidup ( saya katakan begitu ialah kerana bagi mereka tiada yang baik pada Anwar) telah dapat diketepikan, sekurang-kurangnya tidak dapat bertanding dalam PRK Kajang ini.

Perasaan UMNO dan BN sebegitu juga boleh dengan mudah difahami.

Saya tidak mahu menyentuh soal sabitan yang telah dibuat. Itu hak mahkamah. Hakim yang memutuskan itu sudah tentu mengambilkira antara lain kesan pada diri mereka pada penghakiman diakhirat nanti. Semua manusia yang beriman berharap segala yang kita lakukan mendapat keredhaan dari Allah.

PR marah tapi tidak hilang arah. PR ada calun sebagai ganti kepada Anwar iaitu Wan Azizah. LK nampaknya tidak terjejas langsung malah semakin membara.

BN seperti biasa tidak mahu mengalah. Malah menyatakan peluang mereka semakin baik untuk memenangi Kajang.

Anwar pula setelah berjaya diikat jamin masih lagi beredar dari satu lokasi ke satu lokasi, berkempen untuk memenagkan PR.

Cuma BN kali ini tidak menampilkan orang atau pihak yang dituduh dianiayai atau disakiti oleh Anwar, setakat ini, dalam kempennya, seperti yang biasa dilakukan dalam setiap kempen pilihanraya atau ceramah bagi memperlekehkan Anwar.

Tidak ada Ummi Hafilda, tidak terdengar kata-kata cerca kawan-kawan Anwar yang telah berpindah dan mesra  UMNO untuk mengutuk Anwar. Malah saya rasa, orang yang telah dianiayai Anwar yang baru saja mendapat 'keadilan' dari mahkamah, iaitu Saiful Bahari, tidak akan juga muncul dalam kempen untuk menceritakan 'kisah benar' perlakuan mereka berdua.

Ertinya Anwar sudah tamat riwayatnya, sekurang-kurang untuk PRK Kajang.

Tiada apa yang BN perlu gusar. BN tahu mereka tetap kalah, dan dalam hati kecil, BN sudah bersedia untuk menerima kekalahan. Sememangnya mereka tahu bahawa kalah tetap kalah. Tapi....., ya ada tetapi dalam pengharapan BN. Jika mereka dapat satu undi, mengurangi majoriti PR dalam PRU 13 bagi DUN Kajang itu, BN akan bersorak besar dan  suasana akan menjadi riuh rendah dengan hebuhan yang diulang-ulang siar dan tayang, setiap hari, dalam tempoh yang lama, bahawa rakyat telah kembali kepada BN.

Bagi BN, satu undi mengurangi majoriti PR dulu adalah kemenangan yang amat manis sekali. Apatah lagi akan tersebar luaslah bahawa mereka tidak zalim pada Anwar, bahawa mereka tidak masuk campur kes Anwar, dan bahawa mereka adalah kerajaan yang disayangi rakyat.

Jadi, bagi BN ada faedah yang amat besar, Anwar diketepikan. 

Bagi PR, merasakan hukuman itu sesuatu yang dikatakan tidak adil, dan ada mainan politik, lantas mereka marah yang amat sangat, sehingga mahu memulakan Reformasi Siri 2, tapi masih yakin dengan perjuangan LK , malah sabitan bersalah itu memberi kekuatan yang semakin bertambah bagi menumbangkan BN.

BN merancang dan bertindak bagi kemenagan PRK ini. Mereka mempunyai segala kekuatan - kuasa, wang, jentera, peralatan dan boleh saja menggunakan apa saja tanpa batasan, kerana mereka terlalu kebal, tidak pernah lot oleh sebarang tindakan mahupun undang-undang.

PR merancang dan bertindak juga dalam keadaan kemampuan yang terbatas, meyakinkan rakyat khususnya pengundi Kajang bahawa mereka perlu mengundi PR jika mahu satu kerajaan yang dapat menguruskan negara dan rakyat dengan  lebih baik.

Ya, PR dan BN berkempen. Anwar berkempen juga walaupun sudah ada sabitan salah. Tapi 'sparring partner' beliau dalam kes liwat 11, yang kezaliman dan penganiayaan keatasnya telah terbela, dan dia telah bersyukur diatas keputusan mahkamah itu, Saiful Bahari, tidak kelihatan kelibatnya dalam kempen Kajang ini, setakat ini, bagi menceritakan cerita benar beliau.

Tapi kalau Anwar didapati tidak bersalah, maka berjujai-jujailah mereka yang telah dizalimi atau disakiti Anwar akan berebut-rebut kedepan menaikki pentas untuk memberikan cerita benar dan kisah-kisah buruk , hitam dan jijik serta hina yang dilakukan Anwar. Sebab kata mereka, mereka kawan Anwar. Sebab kata mereka ,mereka bekerja dengan Anwar walaupun sebagai pembuat kopi o. Sebab kata mereka , mereka rapat dengan Anwar, mereka tahu segala-galanya.

Cuma yang mereka tidak akan cerita ialah faedah yang mereka dapat dari Anwar atau pun menggunakan nama Anwar.

Jadi kepimpinan BN pun jadikan  modal kempen. Tapi tidak kempen dalam PRK Kajang ini. Sabitan Anwar ini telah mencalarkan serta merosakkan strategi kempen BN yang mahu membangkitkan kisah Anwar yang tidak bermoral. Tapi BN tetap ketawa besar......., mungkin ada yang berkata MAMPUS KAU!

PR bagaimana? LAWAN TETAP LAWAN!

Perang BN dan PR baru mula nak memuncak dan panas, tiba-tiba satu hari selepas sabitan salah Anwar oleh mahkamah, berlaku kehilangan MH 370. Maka berita yang diperkatakan sekarang ini lebih kepada pesawat MH 370 yang hilang dan masih belum diketemui lagi.

Tenggelam cerita sabitan kesalahan Anwar.

Siapa suka? 

Saya tidak bermaksud suka tentang kehilangan pesawat itu. Kita semua rakyat Malaysia wajib mendoakan agar Allah mempermudahkan kerja dan usaha-usaha bagi menemui pesawat itu, dan dengan izin Allah mengharapkan yang terbaik kepada ahli keluarga penumpang-penumpang pesawat itu.

Sesungguhnya Malaysia ini luar biasa, Malaysia yang Extraordinary - mex.

Bersambung.

Khamis, 13 Mac 2014

Malaysia Extraordinary (Mex)




Malaysia Extraordinary?

Saya mengambil satu butiran dalam kunci kira-kira (balance sheet) yang dipanggil sebagai- extraordinary item. Butiran ini jarang ada dalam keadaan biasa, tetapi jika ada, ianya satu butiran yang membangkitkan pertanyaan kerana ianya luar biasa. Oleh itu satu nota penerangan disertakan bersama bagi  menjelaskan keadaan yang menyebabkan berlaku satu keadaan yang tidak seperti biasa.

Baru-baru ini ada beberapa peristiwa yang berlaku di Malaysia yang saya anggap sebagai 'extraordinary' -yang menimbulkan berbagai reaksi dari orang ramai, dari dalam dan luar Malaysia, yang ingin tahu, yang kehairanan, yang tidak dijangka, yang misteri, yang  tidak percaya dan yang amat melucukan.
Apa itu Mex?

Saya anggap i) Langkah Kajang (LK), ii) Hukum Liwat 11 Anwar Ibrahim (L 11), iii) Kehilangan pesawat MAS MH 370 (MH 370), iv) Penggunaan Ahli Nujum (Bomoh) dalam mengesan MH 370 yang hilang (AN), v) Harga RM1 bagi seekor ayam (RM1a) sebagai Malaysia Extraordinary (Mex).

Langkah Kajang

Tak semena-mena, tak pasal-pasal PKR (PR) yang menang dengan majoriti yang besar pada PRU 13 di DUN berkenaan telah meminta ahli DUN yang menang itu meletakkan jawatan. 

PR kata ini adalah langkah politik yang strategik dalam rangka matlamat mereka untuk menawan Putra Jaya. Secara simbolik, Kajang adalah sebagai pintu laluan ke Putra Jaya kerana ianya bersempadan diantara satu dengan lain.

BN dan mereka yang tidak bersetuju dengan LK itu , dengan bingkas mengatakan ianya membazirkan wang rakyat kerana pilihanraya memerlukan perbelanjaan.

Masing-masing berhujah dan rakyat melihat dan mendengar. Dan masing-masing yakin akan menang. Pengundi Kajang akan membuat keputusan.

PR sebok mengadakan banyak perjumpaan dan ceramah menerangkan mengapa LK ini amat perlu. Mengapa pula ketuanya Anwar Ibrahim perlu menjadi calun. Mereka yakin, Anwar akan dapat meningkatkan lagi kekuatan yang sedia ada, khususnya kekuatan politik, sebagai tambahan kepada kekuatan pengurusan kewangan yang terbukti baik. 

Dengan cara ini Selangor akan dapat diuruskan dengan lebih maju dan rakyat menikmati hasilnya, lalu akan dijadikan model bagi menyakinkan rakyat untuk memberi sokongan dalam PRU akan datang bagi menguasai Putra Jaya.  

BN sambil mencemuh LK, menyatakan akan tetap meletakkan calun untuk bertanding walaupu mereka kata LK itu membazir. Logiknya , BN sepatutnya tidak bertanding bagi mengelakkan pilihanraya agar tiada pembaziran wang . Tapi bertanding juga dan mereka yakin boleh membuat kejutan. Mereka tidak gentar dengan Anwar Ibrahim kerana Anwar Ibrahim ada kes moral yang masih belum diputuskan mahkamah. 

BN akan kempen bermodalkan moral Anwar sebagai peliwat!
Macam mana? Pelik tak? Berkempen gunakan modal yang sama selama berbelas tahun. Tapi Anwar menang juga. 

Fokus BN dalam kempen pilihanraya ialah menyerang Anwar yang dikatakan tidak bermoral, seorang peliwat. Memberi bantuan wang (BR1M), meluluskan berbagai projek segera, dan membuat berbagai janji jika menang.

Kempen PR pula menyangkut paut tentang pengurusan negara - dari segi ekonominya, tadbir urus yang telus, memerangi rasuah dan salahguna kuasa dan kebajikan kepada rakyat.

Tapi dalam LK ini, yang diikuti dengan PRK, BN nampaknya diasak oleh PR dan rakyat kerana ada janji-janji dalam PRU 13 yang dimungkiri. Harga barang tetap naik, harga tol tidak turun dan harga gula naik.

Jadi BN tidak akan boleh menang malah akan hilang banyak pengundi berbanding dengan PRU 13.

Tambahan pula Anwar yang jadfi calun. 

Jadi, bagi BN, menang itu sudah mencukupi kalau dapat mengurangkan majoriti yang diperolehi olah PR pada PRU yang lepas. Boleh menaikkan semangat untuk PRU yang akan datang.

Tapi masalahnya Anwar yang jadi calun. Kalau Anwar menang, sudah tentu dengan majoriti yang lebih baik, dan ada kemungkinan calaun BN akan hilang wang taruhan, Anwar akan menguasai politik Selangor. Ini amat merisaukan BN, bahaya kepada nyawa BN khususnya UMNO . Anwar mesti dihapuskan.

Anwar mesti dihapuskan. Bukan dalam gelanggang PRK. Ianya tidak mungkin, probalilitinya 0. Jadi BN wajib teroka gelanggang yang sesuai dan terjamin untuk melakukan kemusnahan terhadap Anwar dan PR.

Apa kah nama gelanggang itu? 

Anda yang boleh berfikir akan dapat dengan mudah membuat tekaan. Ingat apa kata BN. Modal kempen mereka ialah tentang moral Anwar yang dituduh sebagai peliwat masih lagi belum diputuskan. Ini peluang terbaik.

Anwar pun didapati bersalah. Maka tiadalah peluang untuk bertanding.

PR beri respon. Walaupun Anwar tidak layak bertanding, mereka ada calun lain. 

Bagi BN, ianya satu kejayaan. Bukan mereka percaya boleh menang dengan calun pengganti Anwar tetapi mereka meletakkan sedikit harapan agar majoriti PR dapat dikurangkan. Itu sudah cukup untuk mengistiharkan mereka menang. Kata mereka da rakyat yang menentang dulu sudah berbalik kepada pangkuan BN.  

Siapa hebat? PR yang memulakan LK atau BN yang pilih gelanggang.

Sesungguhnya Malaysia luar biasa, Malaysia boleh -Malaysia Extraordinary. 

Bersambong bagi Mex seterusnya.

Isnin, 10 Mac 2014

Seekor Kerbau Didakwa Menggesel dan Menanduk Batang Durian Dara, dan Tok Kaudu Mendapati Kerbau Itu Bersalah Berdasarkan Bukti Lumpur Yang Terpalit Pada Batang Pokok Durian Dara Itu. Kerbau itu pun Mati Reput.




Dua peristiwa paling utama dan perlu dirakamkan dalam sejarah Malaysia , sebuah negara yang diwarwarkan sebagai mengamalkan demokrasi terbaik, pemimpin yang terbaik dan adil dalam perjalanan dan angan-anagn untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi apabila menjelangnya 2020. Apakah 2 peristiwa itu? 

Ya, 2 peristiwa itu adalah peristiwa yang amat malang kepada negara kita Malaysia.

i) Pada 7 Mac 2014 jam 5 petang Anwar Ibrahim , Ketua Pembangkang, telah dijatuhkan hukuman masuk penjara atas kesalahan yang pihak penguasa percaya bahawa Anwar Ibrahim ada seorang peliwat.  Ini adalah hukuman penjara kali kedua yang telah dijatuhkan oleh pihak penguasa atas keyakinan yang sama, Anwar Ibrahim adalah peliwat.

ii) Sehari selepas itu berlaku peristiwa kehilangan kapal terbang MH370 milik MAS dalam perjalanan dari KL-Beijing. Sehingga sekarang belum kapal terbang yang hilang itu belum dapat dikesan. Doakanlah keselamatan mereka dalam kapal terbang itu, dan doakan juga kejayaan pasukan yang berusaha untuk mengesan kapalterbang itu.

Bagi saya kedua-dua peristiwa itu amat malang. Blog kecil ini merasakan terlalu penting untuk dirakamkan.

Namun , saya hanya mahu melanjutkan kisah malang ini dengan sebuah cerita buat Anwar Ibrahim. Biarlah peristiwa kehilangan MH 370 itu diuruskan oleh pihakyang bertanggungjawab.
 
Saya mendahului cerita fasal seekor kerbau yang dipenjarakan ini, dengan sedikit cerita fasal manusia yang bernama Anwar Ibrahim dari sudut pandangan mata ;  otak kepala yang meransangkan dan mengheret cara dan jalan berfikir; denyutan jantung dan bisikan  kalbu yang membentuk tujuan, niat dan perasaan yang diluah dan yang disembunyikan yang diikuti dengan perancangan dan tindakan.

Siapa punya mata?
Siapa punya otak kepala?
Siapa punya jantung dan kalbu?

Pihak penguasa dan yang sebakul dengannya.

Anwar Ibrahim adalah   manusia yang menjadi mimpi ngeri setiap tidur malam, igauan waktu siang, sewaktu mata kejap pejam nampak wajahnya, apatah lagi luas terbuka, terbeliaklah jadinya sehingga bayang-bayang sendiri pun mereka kata "itu Anwar Ibrahim",  lalu mata mereka bersama dan bergandingan berpadu erat dengan otak kepala, jantung dan kalbu, bersetuju sebulat suara bahawa manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini mesti direputkan - fizikal dan mental, semangat dan keyakinan perjuangan, sebelum mimpi ngeri itu  menjadi satu kenyataan kerana isyarat dan tanda semakin jelas dan menyerlah. Untuk itu reputan kekal keatas Anwar Ibrahim ini perlu disegerakan. Kata mereka "bahawa masa kita boleh aturkan, dan tidak ada keletihan dalam bekerja lebih masa kerana kita berurus dengan Anwar Ibrahim", manusia yang yang menjadi tudingan mereka atas segala kejahatan -- peliwat, penzina, penyalahgunakuasa, perasuah, pengkhiazat negara kerana menjadi agen negara asing, memecah perpaduan Melayu, tidak mengamal ajaran Islam yang sebenar dan apa saja yang jahat.

Ertinya segala yang jahat, segala yang tidak betul  di Malaysia adalah berpunca dan dilakukan oleh Anwar Ibrahim. Kalaupun ada orang lain yang secara hakikinya bertanggungjawab tetapi kerana Anwar Ibrahim ada bersama, dan orang lain juga ada bersama, yang salah adalah Anwar Ibrahim. Mereka mempunyai satu ucapan yang mereka sentiasa lafazkan "Bahawa tiada lain yang jahat melainkan dia, Anwar Ibrahim'.

Apapun yang mereka katakan, apapun yang mereka lakukan, saya tidak sedikitpun percaya bahawa satu keadilan telah diberikan kepada Anwar Ibrahim.

Saya tidak tahu sama ada sahih atau sebaliknya tuduhan mereka keatas Anwar Ibrahim. Tapi saya terlalu yakin Anwar Ibrahim tidak diberi ruang dan peluang yang adil. 

Ertinya secara peribadi, saya menyebelahi Anwar Ibrahim. Dan saya yakin pilihan saya itu betul.

Oleh itu peristiwa yang menimpa Anwar Ibrahim ini memberi sedikit inspirasi kepada saya untuk membuat satu cerita tentang kerbau yang dituduh merosakkan pokok durian sehingga dihukum penjara (diikat dan dikurung dalam kandang). Cerita ini adalah atas rasa hormat saya kepada keteguhan keyakinan dan kecekalan perjuangan Anwar Ibrahim yang menerima serangan dari atas , bawah, kiri dan kanan- dari sebahagian yang berkuasa, yang kaya dan miskin papa kedana.

Salam perjuangan dari saya.

Ikutilah cerita sang kerbau:

Ada sebuah kampong yang penduduknya berbilang bangsa, terdapat satu masyarakat yang sangat taat kepada ketua. Apa kata ketua, itulah kata masyarakat kampong itu. "Hitam kata Datuk, hitamlah kata kami semua", suara taat setia masyarakat itu. Satu baiah yang diwarisi turun temurun tanpa soal tanya.

Nama ketua kampong itu ialah Hang Kaudu. Jawatan ketua kampong itu adalah jawatan yang diwarisi turun temurun dari kabilah suku Buah Nangka. Sejak dari dahula kala lagi jawatan itu dipegang oleh kabilah ini. 

Adapun jawatan ketua kampong itu adalah satu jawatan yang mempunyai kuasa mutlak dalam semua bidang, baik bidang urusan hal ehwal kehidupan harian kampong seperti urusan pekerjaan dan pemasaran hasil keluaran, mahupun soal-soal berkaitan dengan salah laku yang melibatkan kerja-kerja siasatan diatas sesuatu aduan, mendakwa kesalahan atau pun menjatuhkan hukuman. Semuanya ditentukan oleh ketua kampong itu. 

Sebab itu sesuatu yang sebenarnya berwarna hitam, apabila ketua kampong kata sebagai putih maka anak buah akan mengatakan putih begitulah sebaliknya, walaupun ada juga yang menyimpan dalam hati tidak bersetuju dengan ketua kampong itu. Tapi apakan daya, ramai yang mengangguk bersetuju dengan ketua kampong itu dengan mencium tangan ketua kampong itu semasa bersalaman. Oleh kerana ketua kampong itu mempunyai kuasa mutlak maka yang tidak bersetuju itu berpendapat adalah lebih baik berdiam saja dari bersuara, buruk, padahnya.

Ketua kampong itu mengambil gelaran yang telah diwariskan sebagai Datuk Kaudu Maha  Sedia Lidah Menjelele. Namun begitu beliau lebih mesra dipanggil Datuk Kaudu atau dipendekkkan Tok Kaudu saja.

Adapun aktiviti ekonomi kampong itu adalah pertanian khususnya menanam padi. Kerja menanam padi dibuat secara gotong royong. Kerbau adalah binatang peliharaan dan juga digunakan untuk membajak sawah padi. 

Hasil tuaian padi akan dijual dan dikumpulkan dirumah kepunyaan wakil Ketua kampong. Harga akan ditentukan oleh wakil tok kaudu bagi pihak tok kaudu.

Padi yang telah dibeli dari masyarakat kampong itu yang terkumpul dirumah wakil tok kaudu akan di jual ke pasaran terbuka dibandar. Harga beli dari orang kampong terlalu rendah berbanding dengan harga jual kepasaran terbuka sejak dulu sehingga ke waktu semasa.

Masa berlalu.

Maka muncullah seorang dari anggota masyarakat itu , yang mempersoalkan tentang kuasa mutlak tok kaudu itu termasuk perbezaan harga yang melampau. Namanya Ai. Orang kampong panggil Dak Ai (budak yang bernama Ai). Dak Ai mula penentangannya dengan berbisik kepada seorang dua yang dia berpendapat sebagai orang yang sejalan dengan fikirannya. Dia berpuas hati dan yakin orang yang dibisikkan itu memihak dan sependirian dengannya.

Tapi, dia terlupa bahawa pengaruh tok kaudu lebih hebat mempengaruhi dan menguasai kehidupan sebahagian besar masyarakat itu termasuklah ada diantara orang yang dibisikkan itu.

Maka dipendekkan cerita, orang yang sentiasa taat pada tok kaudu itu menyampaikan berita ini kepada tok kaudu. Apa lagi naik beranglah tok kaudu apabila saja berita penentangan itu masuk ketelinganya.

"Berani dia lawan aku. Ajar dia. Baru dia tahu sapa tok kaudu maha sedia lidah menjelele".
 
Maka bersepakatlah mereka yang bersekutu dengan tok kaudu untuk menghukum Dak Ai yang di cap mohor sebagai penentang dan perosak masyarakat itu.

Mereka sepakat menggunakan kerbau dan pokok durian sebagai bahan untuk mengenakan Dak Ai.

Dipendekkan cerita lagi maka seorang orang tok kaudu ini membuat aduan pada tok kaudu menyatakan bahawa kerbau dak ai telah menggesel, menyondol dan menanduk batang durian daranya sehingga batangnya melecet dan kulit batang itu terkupas.

Menerimanya aduan seperti ini, tok kaudu bertindak agak luar biasa cepatnya. Tidak seperti aduan-aduan lain yang pernah diterima yang kadang-kadang mengambil setahun dua untuk disiasat. Dan kadang-kadang dibiarkan saja aduan itu yang biasanya dianggap tidak penting selagi tidak membahayakan kedudukannya.

Maka dipanggilnya dak ai dan sipengadu tadi ke balai seri mengadap untuk satu siasatan, dakwaan, pembelaan dan hukuman.

Tok Kaudu: Apa bukti kerbau itu menanduk dan menggesel pokok durian dara kamu?
Sipengadu: Lumpur yang melekat pada batang durian saya.
Tok Kaudu: Tunjukkan saya lumpur itu.
Sipengadu: Ini dia tok. Saya simpan dalam bekas daun pisang.
Tok Kaudu: Mengapa kamu biarkan kerbau kamu menggesel dan menanduk batang durian dara sipengadu?
Dak Ai: Bukan kerbau saya yang melakukan. Mungkin kerbau orang lain.
Tok Kaudu: Tapi lumpur ini sebagai bukti.
Dak Ai: Mungkin lumpur itu dari kerbau orang lain. Banyak kerbau yang berkubang. Bukan kerbau saya saja.
Tok Kaudu: Betul, ramai kerbau yang berkubang. Tapi lumpur ini dari kerbau kamu.
Dak Ai: Apa bukti lumpur itu , palitan kerbau saya. Sipengadu nampak dengan mata sendiri ke?
Tok Kaudu: Memang betul lumpur itu dari kerbau kamu. Macam mana pun saya mahu tanya sipengadu, benarkah kamu melihat kerbau dia yang melakukan geselan.
Sipengadu: Benar tok. Saya sendiri yang nampak.
Tok Kaudu: Saya percaya akan apa yang diberitahu oleh sipengadu. Dengan ini saya jatuhkan hukuman supaya kerbau kamu ditambat dan dikurung dalam kandang, kekal selama-lamanya. Kerbau itu kamu tidak boleh gunakan untuk membajak sawah atau dijual.

Maka hukum itu berjalanlah. Dan Dak Ai tidak lagi dapat mengerjakan sawahnya. Hilanglah punca pendapatannya. Nak jual kerbau itupun dilarang. Akhirnya kerbau itu mati reput didalam kandang.

Jumaat, 7 Mac 2014

BENAR dan SALAH yang ditukarganti.




Hari ini, lebih tepat lagi selepas jam 5 petang , 7 Mac 2014, aku tidak lagi ambil kisah tentang setengah orang yang berkata soal BENAR dan SALAH atau HAK dan BATIL sebagai panduan dalam sebuah kehidupan. Itu semua kata-kata kosong yang tidak ada makna.
 
BENAR atau SALAH boleh saja bertukar ganti sesuka hati. Mereka selalu menyatakan yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah, walaupun mereka tahu mereka lakukan tukarganti.  
 
Mereka membataskan BENAR itu hanya sifat eksklusif yang mereka saja miliki lantas tidak akan ada SALAH yang mereka dan puak-puak mereka lakukan. Lalu mereka memilih untuk berkata bahawa yang SALAH itu adalah selain dari mereka dan puak-puak mereka.
 
Dan mereka juga selalu berhujah jika mereka melakukan kezaliman kerana menukarganti BENAR dan SALAH, mengapa tiada balasan dari Allah kerana kata mereka bukankah doa orang yang dizalimi itu akan dimakbulkan oleh Allah? 
 
Lihat mereka masih sihat, segar bugar, kaya raya, berkuasa dan hidup bahagia. Jadi mereka adalah orang BENAR.
 
Hari ini berlaku lagi tukarganti BENAR dan SALAH.
 
Aku tidak mahu ambil kisah akan kat-kata mereka. Aku hanya mendoakan sahabat aku itu bersabar dan teruskan perjuangan dimana saja anda berada. Aku turut sama walaupun secara kecil yang terdaya.


Apa Itu Makanan Yang Haram?

Apa itu makanan yang halal?

Pertanyaan diatas terlalu mudah sangat, kata sebahagian besar orang Melayu.

Bagi orang Melayu, secara amnya akan terbayang daging babi. Maka mereka cepat merasa loya lalu mahu muntah walaupun daging babi itu tidak ada dihadapannya. Mereka tidak akan melalui jalan yang terdapat jualan daging babi. Tapi kalau terpaksa juga, mereka akan menutup mulut dan hidung dan melangkah cepat ketika melalui kawasan babi itu. Dan paling mereka marah dan benci, jika ada pihak yang cuba mengaitkan mereka dengan babi. 

Babi bukan saja haram malah amat jijik sekali. Pantang orang Melayu dihinakan dengan babi maka naik darah dan bencilah mereka kepada yang cuba menggunakan babi bagi menghinakan orang Melayu, misalnya daging babi di baling ke dalam masjid. Hebuh seluruh dunia kalau berlaku hal seperti itu. Boleh jadi pergaduhan dibuatnya.

Sikap benci  dan tidak suka orang Melayu terhadap babi itu memang ada asas. Tidak salah. Dalam al-Quran menyatakan babi haram untuk dimakan. Ertinya orang Melayu patuh pada perintah Allah.

Benarkah begitu?

Adakah hanya tidak makan babi kita sudah patuh dengan perintah Allah dari memakan/meminum bahan/barang yang haram?

Banyak lagi benda/barang/bahan yang haram tapi sikap orang Melayu adalah berbeza sekali berbanding dengan daging babi. 

Arak itu haram, tapi ramai juga orang Melayu yang meminum arak atau sekurang-kurangnya terlibat dalam memperkembangkan/memajukan  perniagaan arak, misalnya bekerja ditempat-tempat yang ada menjual arak, tidak pula dipandang hina atau dibenci. Tetapi kalau ada orang Melayu, katakanlah seorang saja yang menjual daging babi atau bekerja dalam restoran yang menjual daging babi, sudah tentu orang itu dikecam, dibenci, dihina dimarahi dan dimusuhi sampai mati.

Tapi sepanjang yang diketahui belum ada lagi orang Melayu yang berniaga babi. Tak tahulah jika ada orang Melayu yang terlibat dalam perniagaan penternakan babi melalui pemilikan saham syarikat perternakan babi itu. 

Dalam hal arak pula, ada juga berita mengatakan bahawa ada orang Melayu mempunyai saham dalam perniagaan arak. Tapi tidak ada pun tentangan yang berkesan dalam hal ini. Tidak juga terdengar luahan perasaan benci danmarah kepada mereka ini.

Arak dan babi adalah makanan/minuman yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran sebagai haram. Tapi bagi orang Melayu , babi saja yang menjadi 'musuh'nya.

Oleh itu pemahaman tentang halal dan haram ini khususnya tentang pemakanan termasuk minuman perlu difahami dan diketahui oleh orang Melayu agar tidak mudah hanya menjawab bahawa babi saja makanan yang haram. Makanan/minuman dan perbuatan-perbuatan yang haram dan ditegah dalam Islam dianggap sebagai ringan saja, boleh lebih kurang.

Cuba kita ambil satu contoh tentang makanan yang kita makan hasil dari kerja merompak dan mencuri atau dari perbuatan rasuah atau dari salah guna kedudukan atau dari pendapatan hasil dari syarikat judi yang orang Melayu itu mempunyai saham.

Halal atau haram tak makanan itu?