Dosmy sedang termenung memikirkan apakah yang mungkin akan dihadapi
Setelah kami dan orang itu selesai membeli buah limau, kenalan baru itu ajak jalan bersama mempelawa kami kerumahnya yang jaraknya tidak sampai 100 meter dari gerai buah-buahan itu. Beliau memperkenalkan diri dan menyatakan bahawa beliau baru saja bersara dari perkhidmatan kerajaan. Aku dan Dosmy bersetuju dengan pelawaan pakcik itu malah merasa gembira sekali kerana ada orang yang sudi menjemput ke rumah walau kali pertama berjumpa.
"Lepas ni nak kemana? Masih sekolah ke? Dua soalan berturut-turut diajukan sebaik saja kami sampai dimuka pintu rumah dua tingkatnya. "Nak ke Batu Pahat, kemudian Johor Baru. Masih sekolah lagi. Cuiti penggal tiga ni, kami ambil kesempatan hitch hike dari sekolah ke Johor Baru", Aku menjawab sambil membongkok menanggal tali kasut. Kami dipersilakan duduk diruang tamu sambil meminta izin untuk naik ketingkat atas sebentar. Dosmy mencuit badan ku dengan buat bisikan " Pasal apa kau tak cakap utara?" Aku baru perasan akan perkara yang ditanya oleh Dosmy itu. "Hilang rezeki lah kita nanti" Dosmy menyatakan sedikit kekesalan. "Ini pun rezeki juga", Aku mempertahankan kesilapan yang Aku buat, tetapi dalam hati menyesal juga.
Sedang kami berbual, muncul pakcik bersama dengan isterinya. Kami bangun tanda hormat sambil betrtanya khabar. Makcik kemudiannya ke ruang dapur meninggalkan kami bertiga. Macam-macam perkara yang kami bualkan terutama pakcik yang menasihatkan kami supaya belajar rajin-rajin dan jangan sia-siakan peluang yang diberikan kerajaan belajar di sekolah asrama penuh. "Sebenarnya pakcik pun ada cita-cita ke asrama penuh, tapi tak berjaya", luahan hati pakcik mengenangkan perkara yang telah berlalu. Kelihatan makcik membawa sesuatu dan meletakkan diatas meja dihadapan kami. 'Minuman petang' katanya, sambil mempersilakan Aku dan Dosmy menjamahnya.
Sebenarnya Aku terliur melihat makanan yang berwarna-warni itu tetapi tidak tahu bagaimana cara hendak memulakan . Aku memandang si Dosmy yang juga memandang kearahku. Beberapa kali pakcik dan makcik mempersilakan kami makan. "Tak makan puding ke?" Tanya makcik. 'Puding? Macam mana cara nak makan? Ada susu cair, kena makan bersama ke? "Makan, makcik", jawab Dosmy. Tapi Dosmy dan Aku masih lagi tidak berbuat sesuatu. "Nah ", kata makcik memberikan puding yang siap dicampur dengan susu cair. Satu untuk Dosmy dan satu untuk Aku. Apa lagi bukan main lajunya kami makan . Makcik dan pakcik tersenyum.
Lama juga kami dirumah pakcik yang baru kami kenal tetapi berhati baik itu. Kami keluar dari rumah pada pukul 4.30 petang menuju ke Batu Pahat.
Kali ini kami tidak berhenti dan menunggu kereta yang lalu. Kami terus berjalan sambil merayu kenderaan yang lalu untuk menumpangkan kami. Seperti pengalaman yang pertama, ada beberapa kenderaan yang berhenti melepasi kami, dan apabila kami mendekati, lalu bergerak laju meninggalkan kami. Tetapi kali ini kami tidak kecewa dan marah kerana perkara itu telah pun dialami, sudah dianggap biasa saja.
Sehingga hendak masuk waktu Maghrib kami masih lagi gagal untuk dapat menumpang mana-mana kendeaan. "Matilah kita kali ni. Dah Maghrib, takkan ada kereta nak bagi kita tumpang" keluh Dosmy. "Kita tumpang tidur saja ", cadangku. Tapi tumpang tidur di rumah siapa? Itu yang menjadi persoalan kami berdua. "Kita pilih rumah yang besar sikit. Jangan pilih rumah kecik". Cadang Dosmy yang masih berpendapat bahawa orang yang mempunyai rumah besar adalah orang yang berpelajaran tinggi, lantas mereka bersifat 'sporting' kerana telah terdedah dengan budaya hitch hiking. Dosmy mengingatkan Aku supaya dia yang jadi jurucakap untuk mengelakkan Aku menggunakan loghat selatan. Aku bersetuju saja.
Maka kami pun singgahlah disebuah rumah yang sederhana besar. Setelah memberi salam, Dosmy menyatakan hasrat untuk menumpang tidur. Tuan rumah nampaknya keberatan walaupun kami mahu menyerahkan kad pengenalan masing-masing sebagai jaminan bahawa kami ini orang baik, budak sekolah . Sebaliknya, tuan rumah mencadangkan supaya kami tidur di masjid saja yang katanya tidak berapa jauh lagi.
Apa boleh buat,kali ini tidak ada rezeki walaupun Dosmy menggunakan loghat utara. Tiada simpati nampaknya dari tuan rumah tadi. Kami pun meneruskan perjalanan menuju ke masjid yang dikatakan itu dengan berpandukan lampu kenderaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan