Theflowersellingboy

Sabtu, 30 Mei 2020

Apakah Itu Kerajaan Tebuk Atap. Dan Adakah Kerajaan PN Dalam Kategori Tebuk Atap?




Adakah PN Kerajaan Tebuk Atap?


Tinggalkan dulu bicara tajuk diatas. Ikuti dulu perkembangan politik terkini untuk kita lebih faham mengapa berlaku ketidaktentuan atau kecelaruan dalam politik negara ketika ini, termasuklah jenama kerajaan Tebuk Atap.


Adakah pernah terjadi dimana mana negara di dunia ini, dalam satu persidangan Parlimen  parti kerajaan ditempatkan  di kedudukan yang berlawanan. Satu ditempat kerajaan dan satu lagi di tempat pembangkang. Ini adalah satu kebiasaan baru, the new normal.


Dengan sebab new normal inilah Mahathir dan beberapa ahli parti BERSATU telah diberhentikan menjadi ahli parti. Ianya menyalahi peraturan parti, kata PM yang juga presiden memangku Pengerusi parti. 


Itu yang terbaru dan terkini yang melibatkan kedudukan Mahathir dan geng dalam partinya.


Tetapi huru hara politik ini atau yang lebih enak dipanggil sebagai dinamika politik ini telah lama berlaku semenjak UMNO BN tewas pada PRU 14 pada 9 Mei 2018.


Politik Malaysia sentiasa panas. PH yang menang, tidak senang duduk, diharuk oleh geng geng pembangkang UMNO BN dan PAS, yang tewas dalam PRU 14. Makin panas, macam api dicurahkan petrol, apabila geng geng Azmin dari PKR yang diberi jenama  Kartel dan Sikitol dan penyokong BERSATU yang berdegil mahukan Mahathir terus berkuasa tanpa melakukan serah kuasa kepada Anwar seperti yang telah dimaterikan dalam perjanjian bertulis.


Kartel bersama sebahagian ahli BERSATU, berhujah bahawa tiada tarikh yang ditetapkan dalam perjanjian yang telah dimaterikan itu tentang serah kuasa. Hujah mereka benar dan ada kekuatan. Time is the essence dalam sebarang perjanjian.


Tetapi mereka lupa atau buat buat lupa, mungkin ada muslihat yang terpendam untuk direalisasikan, bahawa dalam menjalani kehidupan kita ada adab dan adat. Ada norma norma yang mengikatkan kita dalam apa sahaja perlakuan dan tindakan. Bukan sahaja undang undang bertulis.


Ingat, adat dan adab kita sewaktu berjanji sehingga orang Melayu menzahirkan satu pepatah, "Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji". Dimana saja kerbau itu diheret oleh tuannya, dia patuh dan turut. Itu binatang. Takkan akhlak manusia lebih rendah dari binatang.


Lebih dari sekali Mahathir membuat pengakuan secara terbuka bahawa dia akan serah kuasa pada Anwar. Waktunya setelah setahun , berubah kepada dua tahun dan terus berubah kepada lepas persidangan Apex pada November, seterusnya ikut 'suka hati akulah'. Akhirnya dia letak jawatan sebab 'ikut suka hati akulah'. Tumbanglah PH. Melepaslah Anwar.


Terduduklah Mahathir dibangku pembangkang! Dan diberhentikan keahlian partinya.


Dia tidak berpuas hati. Mahu pecat Muhyddin dengan cara yang betul, katanya.


Sekarang mari kita bicara "Apakah Itu Kerajaan Tebuk Atap. Adakah Kerajaan PN  Termasuk Dalam Kategori Tebuk Atap?"


Sepintas lalu saya telah menyentuh watak politik dalam persekitaran politik yang bercelaru ini. Mereka adalah geng kartel/sikitol, Mahyuddin (PM dari BERSATU) dan Mahathir, dengan penyertaan penggerak tambahan dari UMNO BN dan PAS.


Apa yang telah mereka lakukan selain yang telah saya sentuh tentang Mahathir yang mungkir janji menyerahkuasa kepada Anwar, dan yang menyebabkan PH tumbang, tidak ada beza. Ada dua motif. Pertama menggagalkan Anwar jadi PM. Kedua menumbangkan PH.


Kita dapati dalam berbagai tindakan politik sama ada dari geng kartel , Muhyiddin dan Mahathir, dan ditambah dengan UMNO serta PAS, itulah matlamat mereka. Cuma Mahathir tidak serasi dengan Najib. Itu saja.


Geng geng GPS dari Sarawak dan beberapa parti dari Sabah peranannya adalah sebagai mangkuk tambah atau tumpang 'tui' sahaja, bagi mencukupkan angka untuk dapat paling kurang 112 ahli dewan rakyat bagi maksud menumbangkan PH.


Lihat sahaja langkah sheraton. Siapa yang terlibat. Mereka adalah dari orang dan parti yang sama.


Cuma apabila YDA mengambil tanggungjawab untuk menentukan siapa dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada budibicaranya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan rakyat, Mahathir tidak bersama dengan Muhyiddin , kartel, UMNO , PAS dan GPS, sebaliknya menjadi calun PH.,


Akhirnya apa yang berlaku telah berlaku. Muhyiddin  telah diistihar sebagai PM dan Mahathir tewas. Kesannya, sekali lagi PH tumbang. Kali pertama oleh perletakan jawatan Mahathir dan kali kedua tidak cukup angka.


Kenapa berlaku semuanya ini? Lebih tepat, kenapa PH, kerajaan pilihan rakyat tumbang?


Sebab adanya pengkhianatan. Ada orang kata, khususnya dalam PKR, ada musuh dalam selimut, Tapi saya lebih suka memberi jenama musuh didepan mata. Menentang Presiden sendiri secara terang terangan, tanpa berlapik pun, tidakkah layak dipanggil musuh didepan mata?


Waduh PH, waduh PKR , kenapa ada mata cuma pandang, dan telinga cuma dengar. Ada peraturan dan kuasa tidak dikuatkuasakan. Nasi sudah jadi bubur.


Ingat selepas ini, usah percaya pada pengkhianat lagi.  Tidak jadi kerajaan pun tidak apa, asalkan pengkhianat tidak bersama.


Sekarang mari kita bicara kerajaan tebuk atap.

Sebelum itu, seingat saya, jenama Tebuk Atap ini disuarakan oleh Presiden PAS sebagai reaksi kepada dakwaan penyokong PH bahawa Kerajaan PN adalah kerajaan yang dikiaskan sebagai Kerajaan Pintu Belakang.


Presiden PAS mengatakan yang kurang lebih bermaksud , pihak pembangkang (BERSATU + Geng Azmin , UMNO dan PAS) boleh sahaja memilih apa cara/jalan bagi menumbangkan PH.  Lalu beliau gunakan kiasan tebuk atap sebagai ganti pintu belakang.  Semenjak dari itu jenama tebuk atap ini sudah menjadi sewaktu dengan pintu belakang. Kedua duanya memberi makna yang sama.


Menggunakan pintu belakang bukan satu adat dan adab untuk mengunjung dan memasuki rumah orang. Jadi kiasan kerajaan pintu belakang  membawa maksud mengambil kuasa atau lebih tepat merampas kuasa melalui jalan yang diluar dari yang direstui oleh rakyat. Sebab itu amat mudah sesiapa pun untuk memahami apa itu kerajaan tebuk atap.


Dengan kata yang sopan dan merendah diri, PM mengakui bahawa PN adalah kerajaan tanpa restu rakyat.


Dulu, watak hero dipanggil ORANG MUDA. Tapi dalam bicara ini, watak yang dikenalpasti adalah watak pengkhianat . Jadi apakah panggilan watak yang sesuai yang kita boleh fikirkan dalam kerja kerja pengkhianatan ini? Fikirkanlah bersama.



Wahai pemuka pemuka politik, sentiasa ingat bahawa kerja pengkhianatan tidak ada barakah. Hari ini mengkhianat, esok lusa pihak lain melakukan perkara yang sama. Pengkhianatan menyuburkan dendan kesumat. Oleh itu usahlah mungkir janji atas alasan bahawa politik itu seni serba boleh atau ianya satu dinamika politik. Kesan pengkhianatan  atau mungkir janji menzahirkan pihak  yang akan melakukan tebuk atap.

Sekali lagi saya mahu mengingatkan PH, terutama PKR, usahlah jadi kerajaan jika didalamnya ada peegkhianat!













Rabu, 27 Mei 2020

Ditakdirkan Berlaku Musibbah: Siapakah Yang Perlu Diangkat Sebagai PM.




Alhamdulillah, jantung saya masih berdenyut lagi. Masih lagi debab debub. Saya terus berfikir , kemungkinan apa yang akan terjadi bersangkutan dengan politik negara. 

PM seorang pengidap sakit kanser sedang dalam kurantin. Covid , negatif...alhamdulillah. 

Politik? Banyak tanda tanda masalah. Diri pula terkurung . Pandangan mata tersekat , setakat empat dinding bilik kurungan. Telinga tiada terdengar bisikan, yang indah indah mahupun yang mengerikan. Tapi yang pasti kerajaan pimpinannya diberi berbagai jenama ....kerajaan tebuk atap, kerajaan pintu belakang.

Dia tidak mudah dapat menafikan kebenaran jenama yang diberikan keatas kerajaan pimpinannya. Tapi jenama itu terlalu keras dan menghinakan. Dia akur bahawa kerajaan pimpinannya adalah kerajaan tanpa restu rakyat. Bukankah itu jenama yang lebih sopan berbanding pintu belakang atau tebuk atap? 

Dia tidak suka, paling sakit hati dipanggil sebagai pengkhianat negara. Dia bukan pengkhianat. Dia adalah penyelamat negara. Cuma caranya berbeza dari normal lama , melalui pilihanraya. Caranya adalah normal baru, satu kebiasaan yang baru bagi menerajui kepimpinan negara.

Mungkin itulah yang ada dalam fikiran PM ketika berada dalam kurantin ini.

Saya teringat satu posting dalam fb. Sebuah pantun empat kerat:

Berdiri penat bersila pun penat
Lebih baik duduk berlunjur
M khianat, AA khianat, My pun khianat
AI juga yang jujur.

Siapa kah yang pengkhianat?

Seorang kawan memberi komen tentang pantun diatas. Sebenarnya tiada siapa pun yang jadi pengkhianat. Cuma katanya berbeza dalam cara mengurus tadbir negara. Normal baru, kot?

Apapun masing masing ada pandangan dalam menyikapi sesuatu finomina. Tak kisahlah.

Perkara yang menjadi kegusaran saya ialah apa akan terjadi jika ditakdirkan Allah musibah menimpa kepada negara. Bukan musibbah covid 19 kerana PM disahkan negatif covid. Tapi beliau adalah pengidap kanser, satu penyakit yang tidak kurang risikonya berbanding dengan serangan jantung dari segi menambahkan statistik bilangan kematian. Semoga di jauhi Allah.

Tapi andai kata kita terucap nanti kalimah musibah ..Innalillawainnailahirraji'un.....dari Allah kau datang kepadanya kau dikembalikan.... Bagaimana?

Siapa pengganti? 

Adakah Azmin Ali yang telah ditunjukkan oleh PM sebagai menggantikannya bagi mempengerusikan mesyuarat kabinet jika ketiadaan PM?

Atau Ismail Sabri, menteri yang berperanan aktif dalam hal hal covid? 

Atau siapa?

Bagimana dengan Mahathir, yang nampaknya bernafsu untuk menjadi PM. Atau dari kepimpinan UMNO seperti Najib, dan Zahid walaupun sedang menghadapi perbicaraan dalam berbagai tuduhan. Tentang dakwaan yang dihadapi itu bukan satu perkara yang sulit untuk diketepikan dari segi kaedah politik. Adakah salah seorang dari mereka berdua?

Bagaimana dengan presiden PAS  yang ketika ini seorang duta bertaraf menteri? Tidak mungkin tidak mempunyai keinginan untuk diupgrade sebagai PM? Mustahil dari segi pertimbangan politik!

Siapa lagi? Dari sebelah timur, menyeberangi laut China selatan , takkan tiada keinginan untuk jadi PM, mencipta sejarah sebagai PM pertama Malaysia dari wilayah itu.

Siapa lagi? Siapa lagi yang layak jadi PM? 

Adakah tiada seorang pun dari mereka itu yang layak. Tiada kemampuan dari segi fizkal dan keupayaan daya fikir  untuk diangkat sebagai PM. Atau mereka juga termasuk dalam senarai pengkhianat negara?

Saya pening kepala memikirkan siapa kah bakal PM  negara jika musibah benar benar ditakdirkan begitu. Debab debub debab debub , denyutan jantung bertambah laju.

Apa pilihan yang kita ada. Senarai diatas nampaknya ada masalah dari segi penilaian dihati saya. Tidak berkenan dan tidak ngam. 

Bagaimana dengan AI seperti dalam rangkap pantun diatas? 

AI atau Anwar Ibrahim, seperti insan yang lain, tidak sunyi dari sifat insan yang  lemah. 

Didakwa dan dihukum atas kesalahan, yang menurut penilaian saya ada keraguan, dihina dan dicerca sebagai gila kuasa sedangkan ada pihak yang telah berpuluh tahun berkuasa tapi mahu lagi berkuasa tiada pula dicapnya gila kuasa, dizalimi dan dimungkiri janji tapi masih lagi sanggup bersama demi negara dan bukan kepentingan diri.

Bukankah itu sifat seorang penyabar. Ikhlas dalam perjuangan. Berjiwa besar demi negara. Seorang yang sentiasa mengucapkan demi keadilan , membantah kezaliman dan penindasan , membenci segala kebeborakan dan salah guna kuasa.  Tidak cuma melalui ucapan dan kata kata tapi AI telah membuktikan dengan  amalan dan tindakan. Harga yang telah beliau bayar ialah disumbatkan dalam penjara, bermula dari zaman remaja.

Ya, ditakdirkan berlaku musibah, AI lah yang rasanya layak diangkat untuk jadi PM Malaysia. 

Beliau mempunyai sokongan. Tapi angka sokongan yang ada ketika ini dikatakan tidak cukup dalam ukuran demokrasi. Tapi mengapa disia siakan aset negara yang berharga ini. Sokonglah beliau.















Selasa, 26 Mei 2020

DEBAB DEBUB DEBAB DEBUB DEBAB DEBUB : Nasib Baik Jantung Saya Masih Berdebab Debub.




Saya selalu terfikir dan berangan angan untuk menulis sebuah cerita, sebuah novel konon, tentang pengkhianatan dalam sebuah persahabatan. 

Bagi saya cerita tentang pengkhianatan dalam persahabatan ini bukan perkara baru, sudah sedia ada pengalaman. Tapi pengkhianatan yang saya nak tulis, atau berangan angan untuk tulis ini adalah amat luar bisa sekali. Ianya satu norma baru dalam pengkhianatan. Kesan pengkhianatan itu amat meluas sekali. Deritanya, merananya , sakit hatinya alang kepalang sekali. Bukan satu, tidak juga dua, seribu pun terlalu kecil bilangan penderitanya, yang jadi mangsa.

Tapi saya ada satu isu yang menjadi penghalang sekian lama yang masih belum mampu diatasi. Dari mana titik mulanya ceritanya. Apakah perkataan pertama yang mampu menggerakkan perkataan lain untuk membentuk ayat ayat bagi menerus dan menamatkan cerita. Tentang isi cerita, plot dan cara cerita, rasanya bukan satu isu besar.  

Cukup. Sekadar itu. Buat sementara waktu berhentikan angan angan menjadi penulis sebuah novel, konon! Bicaralah soal dibawah ini.

Saya mendapat maklumat yang mendebarkan hati. Macam mana ni. Boleh percaya? Mungkin itu fake news. Satu yang biasa dari dulu. Kini serupa juga, berita palsu mendahului berita benar dan sahih, dialam maya.

Tapi kalau ianya berita sahih dan benar? 

PM dikurantin. Covid punya fasal. Tapi masih negatif. Alhamdulillah.

Tapi. PM pengidap penyakit kanser. Adakah termasuk dalam istilah penyakit kronik seperti kencing manis , sakit jantung, darah tinggi dan sakit buah pinggang? Rasanya begitu, saya mengesahkan sendiri.

Debaran jantung semakin kuat. Apa akan jadi? 

Tapi setakat ini PM hanya dikurantinkan sahaja. Kesihatan beliau dari sudut serangan covid masih positif. Dia  masih negatif covid. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Dalam tempoh kurantin selama 14 hari, beliau masih lagi PM , meneraju kepimpinan negara. Dalam zaman digital dan komunikasi dihujung jari, ruang kurantin bukan hal yang boleh menyekat penyampaian dan penerimaan segala maklumat , tiada isu tentang timbal balik, inisiatif dan reaksi. Boleh sahaja mengarah dan membuat keputusan. Beres.

Tapi. Ada lagi tapi. Pergerakan fizikal PM jadi terbatas dalam ruang kurantin. Langkahnya terhad setakat seluas ruang kurantin itu. Itupun hujung jari kakinya tidak mampu memijaki setiap tepi dinding ruang kurantin. 

Ya, PM tidak mampu bergerak lebih dari itu. Bukan kerana tiada tenaga disebabkan hidapan kanser tapi itu sahaja ruang yang telah ditentukan Allah baginya semasa dalam tempoh kurantin. Apatah lagi untuk membuat langkahan seperti yang telah dilakukan bergerak menuju hotel Sheraton, tidak beberapa lama dulu. Ingatannya masih segar tentang langkah yang meletakkan dia sebagai PM.

Aduh, debaran jantung saya datang semula. Debab debub debab debub kencangnya mengatasi kebiasaan. Satu norma baru dalam persekitaran politik kerajaan berbagai jenama. 

Kerajaan yang diwujudkan dengan berbagai jalan, kata pihak disebelah sana. Ada yang kata guna jalan pintu belakang. Ada yang tidak jumpa pintu lalu usaha memanjat dilakukan untuk masuk cara tebuk atap. Waduh, lagi satu norma baru.

Wah, apa lagi pihak yang disebelah sana dengan pantas seperti kilat menjenamakan kerajaan berbagai jalan ini sebagai KERAJAAN PENGKHIANAT MANDAT RAKYAT. 

Apa pun cara dan jenama yang diberikan, PM dengan rendah diri telah melakukan sujud syukur. Syukur ke hadrat Allah. Tapi saya tidak pasti apa doa yang telah dilafazkan oleh PM. Itu antara PM dengan Allah. 

Yang saya pasti melalui mata dan telinga sendiri, PM, dengan merendah diri dalam penampilan wajah yang tidaklah seceria seperti seorang yang baru dinaikkan tahkta sebagai perdana menteri, melafazkan kepada sekalian rakyat bahawa kerajaan pimpinannya adalah KERAJAAN TANPA RESTU RAKYAT.

Itulah yang sangat sangat saya bimbang dan risau ketika ini. Bukan kerana PM dikurantin sebagai sebahagian dari usaha memutuskan rangkaian covid. Rangkain covid adalah negatif  terhadap PM. Itu adalah sahih.

Bagaimana untuk mempertahankan sebuah kerajaan tanpa restu rakyat jika PM dalam keadaan kurantin, apatah lagi selama 14 hari. Sekerat hari pun, ianya satu peluang keemasan bagi pemain pemain politik meraih keuntungan, ianya satu laba. Dan bala kepada PM.

Pergerakan fizikal PM terbatas. Mata nya tidak nun jauh memandang. Telinganya kosong tanpa bisikan, syaitan mahupun insan.  Tiada simpton politik negatif atau positif yang dapat dinilaikan. Apa gula gula politik yang perlu difikirkan yang mampu mencair dan melembutkan hati untuk ditawarkan agar kerajaan tanpa restu rakyat ini perlu disepakatkan.

TIADA. KOSONG. ZERO.

PM tiada pilihan melainkan berada dalam kurantin.

Debab debub debab debub debab debub debab debub, denyutan jantung saya semakin kencang , menyambut  dan menyambung denyutan jantung PM yang berada dalam kurantin.




Isnin, 25 Mei 2020

Quiz Raya Covid19 (QCR)




Selamat Hari Raya Kepada Semua Anak anak dan Cucu cucu  Yang Berjauhan.

Sebagai Ketua Keluarga Besar saya ingin menyatakan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kami beraya dalam musim covid19 ini  dengan penuh kepatuhan akan perintah menjarakkan pergaulan (social distancing). Maka berjauhanlah kami pada raya tahun ini, masing masing beraya dirumah. Tiada salam dan peluk cium. Berhubung sahaja melalui panggilan video . Walaupun ianya tidak sesempurna seperti dulu dalam memesrakan hubungan tetapi ianya satu pilihan terbaik untuk melawan virus covid19 dari menambahkan bilangan mangsa serangan.

Satu kebiasaan baru (new normal) telah  saya mulakan iaitu quiz dalam talian melalui sistem/saluran wasap. Sepuluh soalan telah disedia dan dihantar kepada setiap keluarga, bagi yang telah berkeluarga, dan yang masih tunggal, untuk dijawab ( ada 4 keluarga dengan jumlah 8 orang cucu dan satu  tunggal).

Saya namakan quiz ini sebagai Quiz Raya Covid19 (QRC). Falsafah quiz ini adalah  untuk mengikat dan mengeratkan kasih sayang walaupun dalam kejauhan. Secara  fizikal kami jauh berpisah tapi diolah sebagai berdekatan. Yang diutamakan ialah penyertaan . Tiada jawapan yang boleh diistiharkan sebagai salah kerana masing masing melihat dari sudut pandangan sendiri, world view sendiri, tafsiran menurut nilai sendiri.

Bagaimanapun ada motivating factor dikesampingkan iaitu ada habuan yang menunggu kepada keluarga yang dipilih secara mesyuarah yang wajar dinobatkan sebagai pemenang. Tugas saya hanya sebagai ketua Keluarga Besar  bagi menghidupkan suasana kemesraan dan kegembiraan sesama ahli keluarga. Dan sudah tentu menyediakan habuan bagi yang dipilih secara mesyuarah yang wajar dinobat sebagai pemenang QRC.

Berikut adalah  jawapan kepada soalan. Banding dan nilai jawapan untuk dimesyuarahkan dan diputuskan sebagai jawapan yang  boleh diistiharkan sebagai pemenang QRC.  

Soalan dan Jawapan: (Dalam tulisan/font italic ialah jawapan)

1. Dekat berpandangan jauh KERINDUAN

2. Mak cik Kiah berniaga goreng pisang dlm musim covid. Dia tanya anaknya pasal apa berniaga rugi?  Anaknya jawab sebab tak ada orang yg beli

3. Apa itu new normal... beri satu contoh. New normal mempunyai berbagai tafsiran mengikut kepentingan pengucap. Jika pengucap itu berkecenderungan politik atau kepentingan politik ianya satu kebiasaan yang kononnya bersifat positif , ianya satu mainan politik. Contoh dari perspektif ini ialah PN SEBUAH KERAJAAN PERIHATIN RAKYAT. Sebab itu ada bantuan yg dipanggil bantuan prihatin rakyat. Ada juga melihat sebagai tidak ada beza antara new normal dan old normal terutama jika dikaitkan dengan politik dan kuasa. Jadi jahat boleh, baik pun boleh. Pakai mask pun boleh tak pakaipun boleh . Patuh PKP boleh Tak patuhpun tak ada hal.

4. Ulas keadaan seperti ini: harimau, ayam, ular dan musang duduk serumah. Biar betul, nak cari maut.

5. Adakah new atau old normal dlm persekitaran politik. Beri sebab pd jwpn. Tidak ada. Zero. Politik hanya memerlukan kuasa untuk menegakkan dan mengaturkan apa sahaja kaedah  dan cara yang boleh meraih dan mengekalkan kuasa. Satu saat ini kawan dua saat nanti boleh jadi lawan.

6. Apakah itu political maneuvering dlm hal normality. Ianya adalah mainan politik untuk berkuasa dan mengekalkan kuasa. tiada yg tidak baik pd wajah parti politik itu sendiri. suci secucinya.

7. Siakap senohong gelama ikan duri. Bercakap bohong kitakan rugi. Jawapan seperti ini tidak mempunyai rasa  buruk sangka  cuma mengingatkan bahawa yang bercakap bohong tidak memberi apa apa menfaat. Ada juga yg mengatakan ....lama lama jadi pencuri. Tapi ini bersangka buruk. Tidak membina sifat positif yg ingat mengingatkan.

8. Kepada pemain saham...apa asas jual dan beli saham. Jual waktu harga tinggi, dan beli waktu harga rendah. Pemain saham matlamatnya nak buat untung.

9. Apakah yg negatif adalah juga positif. Hahahahaha...bila kita diistiharkan sebagai negatif convid19 maka kita adalah positif , sehat tanpa convid.

10. Pagi raya buat apa? Macam macam boleh buat. Yang afdalnya setelah bersih diri, berpakaian cantik , berwangi wangian yang muda/isteri/anak/cucu yg tinggal serumah pohon keampunan kepada ketua keluarga.

Ok. Kepada anak anak semua, bermesyuarahlah untuk memilih yang menang. Bagi papa semua menang kerana mengambil bahagian dalam QRC ini.








Rabu, 20 Mei 2020

Nak Jadi King Maker Ikut Contoh Pendakwah Ebit Liew Yang Berakal Panjang .





Saya mahu bicara subjek yang serious secara santai. Sudah tentu ianya subjek yang membentuk sikap, pandangan serta reaksi kita dalam berhadapan dan menjalani kehidupan harian kita, iaitu POLITIK.

Sesiapa saja kata jangan bermain politik atau saya tidak minat berpolitik maka orang itu sama ada tidak tahu apa itu politik atau sengaja buat buat tidak tahu.

Anda membeli seekor ayam atau apa saja adalah kesan dari keputusan politik. Kalau harga ayam itu pada pendapat anda mahal diluar dari kemampuan anda, sudah tentu ianya menyusahkan dan anda marah. Anda marah pada siapa?

Anda marah pada penjual, sudah tentu. Anda juga mungkin marah kerajaan kerana tidak kawal harga, menyebabkan harga ayam mahal, sudah tentu.

Cukup setakat itu. Yang lain anda fikir sendirilah. Bukan harga ayam atau barangan yang saya mahu bicarakan.

Mari kita bersantai cerita fasal 'King Maker'. King maker ini adalah kata kata yang penggunaannya secara bermusim. Musim piliharaya, dan ketika mana isu isu politik menjadi perbincangan hangat seperti dalam sesuatu PRU dan pembentukan sesebuah kerajaan secara kerjasama antara parti politik.

Rengkas cerita, ketika ini ada pihak begitu berbangga dengan mendakwa partinya adalah menjadi king maker dalam politik Malaysia kerana telah berjaya menjadi kerajaan persekutuan dan menguasai tiga buah kerajaan kerajaan negeri. Lalu dipujinya presiden partinya  yang dikatakan berpandang jauh melalui hantaran twitter, kalau tak silap saya.

Sudah tentu saya tersenyum. Tapi tidak lebar sebagai reaksi sepontan.

Asas yang digunakan ialah dengan bilangan ahli parlimen yang tidak ramai, iaitu 18 orang, telah berjaya mendapat 3 jawatan menteri dan beberapa jawatan timbalan menteri (lupa pula bilangannya) dan jawatan jawatan diagensi dan GLC sebagai pengerusi.

Ertinya partinya amat hebat. Tanpa penyertaan partinya kerajaan tidak akan dapat dibentuk, dinegeri atau di persekutuan. Maknanya parti yang menang kecil menjadi penentu bagi pembentukan kerajaan dan diperuntukkan jawatan menteri.

Oh, kalau begitu formulanya maka parti yang layak untuk dinobatkan sebagai king maker ialah MCA yang ada dua sahaja ahli Parlimen tetapi telah diberikan satu jawatan menteri dan beberapa jawatan timbalan menteri dan mengetuai kedudukan di agensi dan GLC.

18 ahli parlimen dapat 3 menteri. Berbanding dengan 2 ahli parlimen dan 1 menteri. Kiralah sendiri . Parti mana yang lebih hebat.

Untuk dapat title king maker bukan itu formulanya. Formula itu ada cacat yang nyata. Nak tahu?

Itu formula ria'. Jangan jadi ria'. Sepatutnya menyatakan kesyukuran, merendah diri diatas kejayaan membantu membentuk kerajaan persekutuan dan mengetuai 3 kerajaan negeri. Bukankah itu imej yang wajar ditampilkan sebagai parti yang mendakwa membawa imej Islam?

Mengapa pilih jalan cacat untuk jadi king maker sedangkan jalan yang diredhai Allah luas terbuka, apatah lagi sebuah parti politik yang menjadi kerajaan persekutuan dan menguasai 3 buah negeri.......berkhidmat dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sesuai dengan tanggungjawab memikul amanah yang diberikan oleh rakyat.

Masih lagi rakyat yang hidup susah. Tiada kerja atau ada kerja tetapi pendapatan kecil dengan mempunyai tanggungan yang besar. Tinggal dalam rumah yang daif dengan persekitaran yang tidak sihat. Tidak mempunyai bekalan air yang bersih untuk minum dan membersih diri dan berbagai kerja cucian.

Tumpukan kepada memberi dan menyampaikan perkhidmatan untuk memberi keselesaan rakyat. Bukan berbangga mempunyai bilangan menteri yang ramai sedangkan tugas sebenar  untuk keselesaan rakyat terabai.

Lakukan apa yang telah ditunjukkan pendakwah Ebit Liew yang memberi berbagai bantuan seperti bekalan makanan , wang ringgit dan bantuan membina rumah serta membayar sewa rumah. Ingat dia hanya seorang pendakwa yang tidak ada banyak kuasa dan berbagai kemudahan berbanding dengan sebuah kerajaan yang terlali banyak kuasa. Gunakanlah kuasa untuk memberi kselesaan hidup kepada rakyat yang memerlukan.

Haa' barulah layak dinobatkan sebagai king maker! 


















Rabu, 13 Mei 2020

Cash Is King? Dimana Kedudukan Rakyat?




Benarkah 'cash is king' dalam percaturan politik untuk berkuasa dan kekal berkuasa.

Apa yang telah berlaku dan sedang berlaku ketika ini, tidak mudah untuk dinafikan peranan cash itu. Ianya bukti yang jelas. Ya, ramai yang mengutuk. Tapi tidak mudah untuk tidak cair semangat apabila cash dihulurkan.

Wang itu adalah segala galanya. Jatuh bangun sebuah kerajaan boleh diusahakan dengan mengamalkan falsafah cash is king. 

Cash adalah segala galanya. Wang umpama umpan dimata kail. Ulur sahaja ke dalam lubuk ikan, sudah tentu segera dilahap oleh ikan apatah lagi dari ikan ikan yang sedang kelaparan. Terjeratlah ikan itu dimata kail.

Kejatuhan kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri PH adalah atas kuasa cash is king, bukan atas kuasa yang ditentukan rakyat. 

Setelah rakyat memberi amanah/mandat kepada PH melalui PRU 14,  rakyat hanya boleh berangan angan dengan janji dalam manifesto PH kerana manifesto itu boleh sahaja dikalahkan oleh kuasa money is king.

Money is king itu bermula dari hasrat untuk mendapat dan mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun, dan istiqamah dengan nya. Kuasa politik untuk mengurus tadbir negara, menguasai urusan kekayaan negara.

Tidak ada salahnya mempunyai hasrat untuk mendapat kuasa bagi mengurus tadbir negara. Proses untuk tujuan itu telah sedia ada melalui pilihanraya.Tidak ada masalah. 

Hanya ianya menjadi masalah apabila berlaku beberapa keadaan yang bernafsukan tamak kuasa.

Pertama, untuk terus berkuasa. Cash akan sentiasa menjadi umpan kepada pelahap pelahap cash untuk terus memberi sokongan. Bukan setakat umpan, cash itu boleh digunakan sebagai ugutan. Biasa dengar, "You scratch my back I will scratch  your back in return".

Kedua, pihak yang kalah tidak redha menerima keputusan rakyat, mungkin disebabkan tidak menyangka boleh kalah dalam pilihanraya setelah begitu lama menjadi pemerintah.

Ketiga, musuh dalam selimut yang bercita cita tinggi yang merasakan mempunyai pengikut dan sokongan dan lebih layak untuk menjadi pemimpin. 

Keempat, kesempatan dan peluang yang diwujudkan oleh pihak lain dalam percaturan kuasa dan kepimpinan.

Empat keadaan diatas sama ada secara bersendirian atau bergabung mampu mencetus dan mencambahkan hasrat untuk berkuasa dan mengekalkan kuasa politik, dan seterusnya menguasai tampok pemerintahan negara. Dan cash adalah senjata yang  terbaik untuk berbuat demikian...."hulurkan sahaja, tunduklah dia, cairlah semangat melawan dia".

Mari sama sama lihat kejatuhan PH diperingkat persekutuan dan diperingkat negeri. Apakah cash itu satu 'political equation' bagi mendapat dan mengekal kuasa?

Diperingkat Persekutuan, yang menjadi penyebab kejatuhan PH ialah pemimpin yang tamak berkuasa, pemimpin yang berwatak musuh dalam selimut dan pemimpin yang ambil peluang dan kesempatan dalam percaturan memiliki kuasa.

Dimana peranan cash is king?

Secara sepintas lalu, tidak mudah kelihatan kerana ianya dilindungkan disebalik mahu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara. Ada yang kata untuk selamatkan NEGARA.......konon! 

Cuba tanya dan fikir sendiri, setelah berpuluh tahun berkuasa, bersara dan diberi kuasa semula kemudian tidak mahu serah kuasa seperti yang dijanjikan, tidakkah unsur cash itu sedikit sebanyak menjadi daya tarik untuk kekal berkuasa? Haa cash itu masih menguasai fikiran!

Lihat sahaja PN ( kerajaan yang menerima banyak gelaran: Pintu Belakang, Tebuk Atap, Pengkhianat, PM kata kerajaan tanpa restu rakyat,  saya  kata kerajaan Tumpang Tui), operasi cash is king itu amat ketara sekali, tiada selindung selindung lagi. 

Ada berapa menteri dan timbalan menteri berbanding dengan PH dan UMNO BN dulu?

Mengapa perlu terlalu banyak menteri dan timbalan menteri? Mengapa perlu duta bertaraf menteri? Apakah carrier diplomat tidak menjalankan tugas dengan baik sehingga memerlukan duta lantikan politik bertaraf menteri. Wakil rakyat mengetuai agensi kerajaan dan pengerusi GLC, layakkah semua mereka itu?

Waduh menimbun sekali. Dan tidak banyak yang berfungsi. Belanja besar sekali sedangkan keperluan rakyat yang mendesak bukan satu keutamaan.

Semua ini adalah disebabkan cash boleh membeli taat setia. Cash berfungsi sebagai 'you scratch my back I scratch your back , in return' , atau tagging #kautolongakuakutolongkau.

Dimana equation rakyat dalam mata hati kerajaan PN? Ya, makcik Kiah dapat janji janji palsu.

Operasi cash is king terus bermaharaja lela ketika ini, dilakukan tanpa segan silu demi membeli taat setia untuk kekal berkuasa. Terus kekal sebagai cara hidup dalam percaturan politik negara. Sebab itulah satu demi satu kerajaan negeri PH tumbang.

Namun begitu rakyat sahaja yang mampu menewaskan cash is king ini seperti mana yang telah dilakukan keatas pimpinan UMNO/BN dalam PRU 14 lalu. Rakyat adalah RAJA. Jangan pilih kerajaan cash is king ini. Taubat nasohalah wahai sekalian rakyat.












Khamis, 7 Mei 2020

Covid 19 dan PMPN: Disana Ada Pengkhianat.




Di sana ada pengkhianat....wahai covid19 dan PMPN!

Nampaknya negara terus berhadapan dengan dua gelombang. Satu, gelombang covid19. Dua, gelombang politik PMPN. Dua gelombang ini memberi kesan yang seriuos kepada kehidupan rakyat. 

Rakyat semakin resah dan gelisah, "Bilakah musibah ini mahu berakhir?"

Gelombang covid19 masih ada , tapi menunjukkan keredaan dari membadai rakyat. Ianya  dapat diuruskan dengan baik. Nasib baik negara mempunyai penjawat awam yang berdidikasi.  Tekun dan sabar menghadapi dan terus melawan si covid ini.

Namun malang sekali ada juga seorang dua penjawat awam yang didakwa melakukan rasuah dalam perolehan peralatan dan kelengkapan bagi tujuan melawan covid (kit untuk ujian covid, mask, ubatan, Personal Protective Equipment (PPE) dan lain lain). Perolehan ini adalah dibawah prosedur pembelian segera yang diamalkan dalam keadaan kecemasan atau darurat.

Ya benar kit dan peralatan itu diperlukan segera bagi pekerja dibarisan hadapan demi nyawa mereka. Tapi kenapa sampainya hati menjadi begitu rakus dan tidak bertanggungjawab sehingga sanggup menyalah guna kuasa dalam keadaan  rakyat dan negara menghadapi mala petaka? Apa jenis orang ni yang mencemarkan nama baik penjawat awam?

Apakah penjawat awam sahaja yang terlibat? Saya amat ragu  kerana campur tangan penguasa politik dalam perolehan kerajaan bukan satu perkara yang luar biasa. Tidak mengapa, biar SPRM yang menyiasat.

Harap harap tiada yang menjadi kambing hitam.

Jika dibuktikan kebenaran dalam mahkamah keadilan, mereka adalah pengkhianat kepada rakyat dan negara.

Wahai covid19, kamu juga memberi ruang untuk pengkhianat bermaharajalela. Rezeki haram kepada mereka.

Gelombang politik juga nampaknya tidak ada jalan selesai. Semenjak langkah sheraton, (satu pakatan politik jahat dan pengkhianatan bagi menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat), sehingga kini, gelombang pengkhianatan politik terus membadai ke arah kehancuran sebuah kerajaan tanpa restu rakyat. 

Itulah akibat yang kelihatan sedang dilalui oleh  PN, sebuah kerajaan tanpa restu rakyat.

Benarlah bahawa gabungan dikalangan pengkhianat tidak akan kekal kerana masing masing mempunyai kepentingan sendiri sendiri bukan kepentingan gabungan. Asalkan dapat menumbangkan sebuah kerajaan yang telah mengalahkan mereka dalam pilihanraya , apa saja kaedah kerjasama boleh dipersetujui. Matlamat menghalalkan cara, tanpa mengambilkira  asas perjuangan parti parti yang bersekongkol itu. Islam atau kebangsaan Melayu ditolak ketepi.

Maka dipilihlah kaedah kerjasama diantara ahli ahli parlimen dari parti parti yang kalah untuk mendapat angka atau number yang paling minima iaitu 112 untuk menumbangkan kerajaan pilihan rakyat.

Kerja menumbangkan kerajaan ini amat mudah kerana ada pengkhianat dari dalam kerajaan pilihan rakyat itu sendiri. Baik dari parti komponen, ahli parti yang benafsu tinggi untuk jadi perdana menteri waemah perdana menteri itu sendiri.

Sekarang sesama mereka yang telah membentuk kerajaan diluar pilihanraya itu sedang bergaduh. 

Parti pimpinan Perdana Menteri sendiri telah berpecah kepada dua. Satu bertindak sebagai kerajaan dan satu lagi sebagai pembangkang. Bukankah haru biru namanya. 

Pening kepala PM dibuatnya.  Bagaimana dengan tenang dapat menguruskan covid, isu ekonomi yang pertumbuhannya menuju ke negatif, pemberontakan dalam parti dan berbagai desakan  untuk mendapat kedudukan dan jawatan sebagai membalas budi.

Apa semuanya ini? Bukankah ini ugutan politik. PM held for ransom? 

Itulah harga yang perlu dibayari hasil dari kerja yang tidak direstui rakyat!

Wahai Covid19 dan PMPN, dengar ini: Disana ada pengkhianat!

Apakah nasib Makcik Kiah, gamaknya. Adakah Makcik Kiah dikhianati dan sekarang menunggu apa yang telah dijanji?
















Ahad, 3 Mei 2020

COVID 19 : Musibah dan Hikmah




Berbuka puasa hari ini, kita telah melepasi hari yang ke sepuluh , dan memasuki yang ke sebelas. Alhamdulillah, ianya berjalan dengan baik. Mengharapkan amal ibadat diterima Allah SWT.

Puasa tahun ini terlalu istimewa sekali berbeza dengan tahun tahun yang berlalu. Kita bukan saja diuji dari segi menahan diri makan minum dan segala hawa nafsu yang lain mulai subuh hingga maghrib, tahun ini kita diuji dengan ketahanan diri dalam menghadapi musibah kuman covid 19.

Soal berlapar dan berhaus serta menahan hawa nafsu yang lain, rasanya bukan sesuatu yang kita tidak mampu melakukannya.

Tetapi menghadapi covid bukan perkara yang mudah. 

Ia memerlukan gabungan kekuatan pemerintah dan rakyat. Lemah rakyat, berjayalah covid untuk kekal lama sebagai wabak yang meragut nyawa. 

Begitu juga, pemerintah yang tidak mantap dan goyah tidak mampu  mengaturkan berbagai program dan tindakan yang berkesan untuk melawan wabak ini. 

Namun rakyat wajar bersyukur , kerana kita mempunyai perkhidmatan awam yang berdidikasi , berkhidmat penuh semangat menghadapi risiko maut dalam berdepan dengan covid ini. Sewajarnya khidmat bakti penjawat awam ini , kesemuanya sekali, dari semua peringkat, sama ada di barisan hadapan atau yang lain wajar  dihargai.

Dari penjawat awam am seperti penyampai dan pelaksana berbagai perkhidmatan termasuk kesihatan dan perubatan dan penjawat dari sektor keselamatan yang terdiri polis dan tentera, dan berbagai lagi pasukan beruniform, tabik hormat wajar diberikan kepada mereka. 

Ucapkanlah, "TERIMA KASIH" kepada mereka.

Sesungguhnya, bagi saya, covid ini ada hikmah kepada penjawat awam. Sebelum musibah ini, kita telah berhadapan dan mengalami berbagai musibah dalam berbagai bentuk. Dan penjawat awam terlibat sama.

Dalam bersama sama menghadapi musibah seperti bencana alam, berbagai wabak penyakit, kemelesetan ekonomi dan penyelewangan kekayaan negara seperti rasuah dan salah guna kuasa, penjawat awam sentiasa tidak terlepas dari penilaian dari rakyat dan ahli pentadbiran (ahli politik yang mentadbir negara).

Ya, ada penilaian yang positif dan ada yang negatif demi kebaikan penjawat awam itu sendiri. Ianya bukan satu isu yang boleh melemahkan ketekunan penjawat awam untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

Namun begitu ada juga kritikan kritikan yang kadang kadang tidak berasas kepada penjawat awam, dari rakyat dan ahli pentadbiran itu sendiri apabila berlaku sesuatu hal yang diluar kawalan penjawat awam dalam menyampaikan sesuatu perkhidmatan. Contoh kekurangan peruntukan bagi menyediakan peralatan dan kelengkapan yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat termasuklah kekurangan bekalan ubat ubatan.

Keadaan seperti diatas sudah tentu menimbulkan keresahan kepada rakyat untuk mendapat perkhidmatan yang terbaik. Sebagai barisan hadapan, penjawat awamlah yang menerima segala rasa tidak puas hati dari rakyat. Tambahan lagi jika ada pertuduhan dan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dikalangan penjawat awam walaupun ianya sebagai tuduhan tanpa bukti yang nyata.

Kalau setakat itu ianya masih tidak melunturkan semangat penjawat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Namun ada satu perkara yang amat mendukacitakan yang dihadapi oleh penjawat awam. Perkara ini telah menjadi satu beban dan amat menyakitkan hati kepada penjawat awam yang bertugas dan memberi perkhidmatan dengan ikhlas. Beban dan hal yang amat menyakitkan hati ini telah berlaku dari dulu sehingga kehari ini.

Apa yang sangat menjadi beban dan menyakitkan hati itu?

Dari mata ahli ahli pentadbiran termasuk orang orang politik , penjawat awam ini adalah berkhidmat 'for political master'. Sebab itu kata kata 'to serve your political master', sudah semacam diterima oleh penjawat awam. 

Hubungan antara penjawat awam dan ahli pentadbiran bukan sebagai kawan kongsi yang mempunyai kepentingan yang sama iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat. Penjawat awam tidak dianggap sebagai pemegang taruh yang sama (stake holder). Penjawat awam hanya alat atau melakukan tugas hanya bagi menurut perintah saya. 

Perintah dari siapa? Perintah dari orang politik yang ada kuasa dengan panggilan sebagai perdana menteri atau menteri dan yang sejenis dengannya. 

Mengapa jadi pak turut?

Sebab setiap penjawat awam menjalankan tugas dengan pengakuan 'Saya Yang Menurut Perintah'.  

Maka sebab itulah pejawat awam ini menjadi tempat untuk dibebankan segala kesalahan atau kesilapan atau kelemahan yang tidak dilakukannya walaupun penjawat awam itu sendiri menandatangani surat bagi menyampaikan sesuatu keputusan atau mengaturkan sesuatu tindakan.  Jadi kambing hitam.

Dari dulu sehingga sekarang hal yang sama terus berlaku. 

Tidak mengapa. Pada ketika covid ini penjawat awam telah membuktikan bahawa mereka mempunyai tangungjawab dan moral yang tinggi dalam menangani wabak covid ini  berbanding dengan beberapa ahli pentadbiran. 

Dengan demikian covid 19 ini telah memperlihatkan bahawa penjawat awam adalah sebahagian dari kawan kongsi dalam menguruskan isu isu negara dan tidak perlu diperlekehkan dan dijadikan sebagai kambing hitam. Hargai dan hormati mereka. Keberadaan mereka bukan 'to serve political master'. Mereka bersama sama berkhidmat bagi kepentingan rakyat dan negara.

Lihat dan renunglah wajah Ketua Pengarah Kesihatan setiap kali beliau menyampaikan perkembangan tentang kedudukan covid. Wajah dan kata kata beliau adalah cerminan kepada kesungguhan setiap dari penjawat awam.

Oleh itu ahli pentadbiran dan orang politik yang masih lagi menganggap diri sebagai 'tuan politik' dalam hubungan dengan penjawat awam, berhentikan segera perangai sombong itu. Penjawat awam bukan kambing hitam yang enak saja ditarik telinganya apabila berlaku kelemahan dan kesalahan dari ahli pentadbiran dan orang politik.

Terima kasih covid 19 kerana musibah yang kau bawa ada hikmah kepada penjawat awam. Dalam bertungkus lumus menghadapi dan melawan mu, kau telah membuka mata dan hati rakyat Malaysia bahawa penjawat awam mempunyai kepentingan dan kedudukan sebagai pemegang taruh (stake holder) dalam memaju dan memakmurkan negara.