Theflowersellingboy

Sabtu, 30 November 2013

Kenaikan Gaji Ahli-ahli Pentadbiran Negeri dan ADUN; dan Ahli Pentadbiran Persekutuan dan ahli parlimen.



Berbagai reaksi terhadap kenaikan gaji ADUN Selangor. Ada yang menyokong, ada yang bersetuju tapi quantumnya perlu dikaji kerana agak tinggi, dan ada yang tidak bersetuju.
 
Yang nyata bersetuju ialah ADUN itu sendiri, baik ADUN kerajaan (PR) mahupun BN apabila cadangan yang dibentangkan oleh MB tiada tentangan, semua bersetuju.
 
Tetapi di luar dewan ada juga ADUN PR yang tidak setuju kerana terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan. Dalam dewan setuju, luar dewan tidak setuju . Apa punya perangai ADUN itu. Sebaliknya ADUN BN yang bersetuju dalam dewan, bersetuju juga diluar dewan. 
 
Soal tinggi atau rendah adalah subjektif. Orang yang biasa dengan gaji tinggi di sektor korporat, mungkin beranggapan kenaikan itu sebagai perkara biasa. Sebaliknya kepada rakyat berpendapatan rendah dan pekerja sektor awam menganggapnya terlalu tinggi.
 
Perkara kenaikan gaji ADUN ini bagi saya adalah seuatu yang boleh dijangkakan. Mereka juga menghadapi tekanan perbelanjaan. Mereka sentiasa didatangi oleh berbagai pihak terutama rakyat kawasan yang diwakili meminta berbagai bantuan, derma dan sebagainya.
 
Pernah seorang ADUN memberitahu sambil mengeluh , dia mendapat panggilan talipon dari seseorang meminta tolong kerana isterinya hendak bersalin. Dia beritahu hantar saja isteri awak ke hospital. Jawab orang itu, memang dia sedang dalam perjalanan ke hospital, tapi ke hospital swasta untuk mendapat layanan yang lebih baik. Jadi dia perlukan bantuan wang dari ADUN itu.
 
"Apa boleh buat, terpaksa juga saya layan", kata ADUN itu.
 
Itu baru seorang, kalau ramai yang buat perangai macam itu, rabak poket ADUN itu. Biasanya jarang ADUN melayan kehendak dari orang dari kawasan yang diwakili. Rakyat kawasan sentiasa menjemput ADUN untuk berbagai majlis, seperti majlis kahwin , dan mempunyai harapan yang tinggi agar ADUN itu menghulur sumbangan pada tahap yang difikirkan sesuai sebagai ADUN.
 
Maknanya kenaikan gaji ADUN adalah wajar. Cuma quantumnya saja yang boleh dipertikaikan.

Namun, pada pandangan saya, kenaikan di Selangor adalah tinggi. Mungkin MB menyedari bahawa gaji Pengerusi Eksekutif SYABAS terlalu tinggi sangat. Oleh itu gaji MB dan ADUN yang lain wajar dinaikkan aagar jurangnya dapat didekatkan walaupun tidak terlalu dekat.
 
Apa-apa pun gaji ADUN Sarawak lebih tinggi dari Selangor.
 
Selepas Selangor, Pulau Pinamg juga akan menaikkan gaji ADUN. Tapi lebih rendah dari Selangor. Melihat angka yang dicadangkan, ianya amat munasabah.

Johor juga ada bisik-bisik untuk menaikkan gaji ADUN. Adalah diharapkan tidak setinggi Selangor. Ikutlah macam Pulau Pinang.

Saya percaya ADUN negeri-negeri lain akan berbuat demikian iaitu menaikkan gaji.

Dan adalah dijangkakan bahawa gaji ahli parlimen juga akan dinaikkan. Logiknya, gaji ADUN naik, maka gaji ahli parlimen juga wajar naik. Takkan gaji Menteri Besar melebihi gaji Perdana Menteri. Atau gaji Exco negeri melebihi gaji Menteri.
 
Saya percaya rakyat tidak akan marah jika kenaikan itu munasabah; jika satu gaji minima tidak  kurang dari RM 2,000 sebulan dilaksanakan; jika pemimpin tidak rasuah dan salah guna kuasa; jika projek-projek yang boleh menjanakan pendapatan untuk rakyat dilaksanakan dan rakyat mendapat faedah, tidak seperti projek NFC; jika harga barang dan perkhidmatan tidak naik: jika keperluan rakyat untuk pembiayaan pendidikan disediakan; jika rakyat dibantu untuk memiliki rumah paling rendah yang mempunyai tiga bilik; jika jurang pendapatan diantara rakyat dan pentadbir negara/negeri menjadi kecil.

Oleh itu kerajaan negeri/persekutuan yang bercadang untuk menaikkan gaji ADUN/Ahli Parlimen  termasuk ahli pentadbiran mestilah memberikan perhatian kepada jurang pendapatan ini.

Ada satu fenomina baru tentang kenaikan gaji ini iaitu bahawa semua negeri boleh menaikkan gaji mengikut yang diputuskan oleh negeri itu. Ertinya Selangor, dan Pulau Pinang mempunyai gaji yang berbeza. 

Kedua-dua negeri ini adalah negeri kaya maka mampu menaikkan gaji yang tinggi. 
 
Bagaimana negeri-negeri lain seperti Perlis , Kelantan , Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka? Mampukah kewangan negeri-negeri itu bagi menaikkan tahap gaji seperti Pulau Pinang dan Selangor? Takkan ADUN negeri-negeri itu tidak wajar mendapat tahap hidup sama/hampir sama dengan kawan-kawan sejawat.

Walau apa pun, sebahagian besar rakyat sudah nampak bahawa sama ada BN mahu pun PR, kedua-dua pemimpin kerajaan ini tidak lari dari menjaga kepentingan perut mereka terlebih dahulu. Dalam kata lain, pemimpin didahulukan.



 
 

Jumaat, 29 November 2013

Mengenali Musuh



Khutbah Jumaat: ''Orang Islam (maksudnya Melayu) ketika ini menghadapi cabaran yang besar iaitu serangan dari berbagai posisi dari pihak 'musuh' untuk melemah dan menghancurkan Islam".
Islam diserang dari semua posisi, dari depan dan belakang; kiri dan kanan; atas dan bawah oleh pihak 'musuh'. Islam dikepong dan terkepong.

Siapa musuh Islam?

Musuh Islam terdiri dari bukan Islam dan idea-idea yang dibawa oleh mereka dalam konsep liberalisma, pluralisma, dan hak asasi manusia. Selain itu serangan juga datang dalam bentuk penyamaran dalam aktiviti kebajikan, dengan membina bangunan bagi maksud aktiviti tersebut yang mana sebenarnya adalah pembinaan sebuah gereja yang terbesar di Asia Tenggara, di Bukit Jalil , Kuala Lumpur.

Musuh Islam juga datangnya dari orang Syiah dan mereka yang telah terpengaruh dengan ajaran itu. Syiah telah difatwakan sebagai sesat.

Maka untuk menjaga kesucian agama Islam, untuk mempertahankan umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, dari kepongan dan asakan 'musuh-musuh' itu,  khutbah itu menggesa agar ibu bapa, ahli masyarakat, guru-guru dan umat Islam dari berbagai lapisan masyarakat memberi perhatian yang serious akan bahaya serangan musuh-musuh itu.

Begitulah atau kurang lebih begitulah khutbah yang dibacakan oleh imam pada hari ini Jumaat 29 November disebuah masjid.

Musuh Islam datangnya dari luar. Lebih spesifik lagi dari orang Keristian dan orang Syiah. Musuh Islam juga terdiri dari penerimaan konsep leberalisma, pluralisma dan hak asasi manusia.

Tiada yang salah apa yang dibacakan oleh imam itu, jika mereka yang menulis khutbah, dan imam yang membaca khutbah, serta mereka yang mendengar khutbah dengan hhusuq, (kerana ada yang semacam tidak memberi tumpuan dan ada yang tidur atau tertidur) memahami apa sebenarnya yang dikatakan musuh, dan bagaimana cara untuk menghadapi musuh.

Yang pasti ialah musuh Islam itu datangnya dari luar. Itulah yang hendak diyakinkan dalam khutbah itu. Sesungguhnya kita orang Islam diberitahu bahawa kehancuran kita adalah buatan dan tindakan dari orang bukan Islam, khususnya orang beragama keristian, syiah dan pengaruh perjuangan liberalisma, pluralisma dan hak asasi manusia.

Benar begitu?

Benar, tapi tidak semuanya benar. Dan pendekatan seperti ini bagi mempertahankan Islam sama sekali tidak akan menguatkan Islam itu sendiri. Ianya tertinggal kebelakang dan tidak sesuai dalam meyakinkan dan menjitukan umat Islam tentang agama Islam itu sendiri, apatah lagi dalam kerja-kerja mendakwah dikalangan umat Islam dan persaingan dalam usaha dakwah bagi  menyebarluaskan Islam dikalangan bukan Islam.

Pendekatan khutbah itu adalah pendekatan menuding jari. Bukan bermaksud bahawa tidak ada kebenaran musuh itu datangnya dari luar. Tapi Musuh dari luar itu mudah meresap, menyelinap dan bertebaran dikalangan kita adalah berpunca dari ketahanan umat Islam yang rapuh. 

Asas (foundation) dan pengertian keislaman kita dari segi ilmu dan amalan terlalu lekeh, sambil lewa, dan keliru serta celaru. Ianya terlalu  rapuh serapuh dahan mati yang masih lagi melekat dibatang pokok. Siapa saja yang memegang dahan itu sudah pasti tanpa usaha dan tenaga yang banyak boleh memiliki dahan itu untuk dibuat bahan bakaran, kayu api. 

Cuba kita tanya orang Melayu, sama ada yang berilmu agama dan kurang berilmu apatah lagi yang tidak berilmu, apakah sikapnya atau sikap mereka apabila ada pihak luar mengkritik atau menyentuh sesuatu yang dikatakan sensitif kepada orang Melayu, misalnya tentang penggunaan kalimah Allah dikalangan bukan Islam.

Maka sikap yang ditunjukkan adalah banyak menjurus kearah bahawa pihak berkenaan (orang bukan Islam) mempunyai maksud untuk menyebarkan Islam dikalangan orang Melayu. Maka berdemonstrasilah orang-orang Melayu itu. Itu saja.

Menyatakan tentangan dan perasaan kepada orang Islam yang menyalahgunakan kalimah Allah itu tidak salah. Tapi yang lebih bersalah dan boleh melemahkan orang Islam ialah jika kita sendiri tidak berilmu dan mengamalkan apa yang diajrkan oleh agama kita itu sendiri.

Kalau kita boleh memarahi dan menentang dalam soal penggunaan kalimah Allah dikalangan bukan Islam, mengapa kita  membiarkan saja banyak lagi perbuatan-perbuatan yang mencemarkan agama kita. 

Rasanya terlalu banyak perbuatan atau amalan yang telah dilakukan, sedang berlaku dan dipercayai akan terus berlaku yang mencemarkan agama suci kita, yang dilakukan oleh orang melayu sendiri, dari semua lapisan masyarakat, taraf sosial dan tahap pendidikan sama ada pendidikan agama Islam atau pendidikan selain dari itu.

Malu juga untuk menyenaraikan satu dua perbuatan kita yang mencemarkan agama kita.

Mengapa kita lakukan tanpa segan silu dan tanpa takut dosa?

Mengapa kita biarkan walaupun kita tahu?

Adakah disebabkan  perbuatan yang mencemarkan Islam itu dilakukan oleh orang Melayu maka ianya tidak mengapa, dan dibiarkan, ditutup dua belah mata?

Adakah yang mencemarkan itu berkedudukan tinggi , kebal dari undang-undang, sama ada undang-undang Islam atau undang-undang negara?

Apakah maknanya dan kesannya kepada orang melayu dan orang Islam lain, dan seterusnya kepada orang bukan Islam terhadap perbuatan yang mencemarkan agama kita sendiri oleh kita sendiri?

Antara makna dan kesannya ialah bahawa jika yang melakukan kecemaran itu terdiri dari mereka yang berkedudukan tinggi, pemimpin pula sama ada pemimpin agama mahu pun pemimpin negara, politik atau masyarakat, hilanglah rasa hormat masyarakat Melayu , orang Islam lain terhadap mereka. 

Paling malang sekali, orang bukan Islam dengan segera membentuk sikap dan kepercayaan bahawa Islam itu telah gagal melahirkan umat yang kental dari segi ketahanan imannya. Rapuh.

Rapuh inilah amat baik bagi mereka dalam dakwah mereka. Mereka tahu bahawa adalah menjadi pantang kepada orang melayu jika ada pihak terutamanya yang bukan Islam menyentuh sensitiviti mereka seperti dalam hal kalimah Allah yang disebutkan diatas. Dan mereka juga tahu bahawa iman orang melayu itu adalah rapuh sekali. 

Mereka sentiasa melihat dan mengkaji kerapuhan kita itu untuk kepentingan mereka. Kita pula sentiasa membiarkan saja dan menambahkan lagi perbuatan yang cemar itu kerana yang melakukannya ialah orang melayu, apatah lagi mempunyai kedudukan dan kuasa..

Kita tidak membaikki diri sendiri. Kita tidak membaikki jemaah kita. Kita gagal dan tidak mahu melihat dalam diri kita, dalam jemaah kita. Kita terlalu teruja untuk menuding jari kepada pihak lain yang bukan Islam apabila kita melihat pihak lain maju kedepan dalam dakwah dan menyebarluas pengaruh dan agama mereka dikalangan orang melayu. 

Maka terkeluarlah kata-kata bahawa kita dikepung dan terkepung dari berbagai arah, depan belakang, kiri kanan dan atas bawah seperti yang dibacakan oleh imam dalam khutbah pada hari ini. Kita berada dalam mentaliti yang terkepung dan dikepung (seige mentality).

'Seige mentality' itulah yang kita jadikan sebagai tembok atau kubu pertahanan bagi mempertahankan serangan musuh Islam. Orang luar menekan kita.

Benar, bahawa antara Islam atau melayu dan bukan Islam, mempunyai kepentingan masing-masing. Masing-masing mahu mengatasi diantara satu dengan yang lain, misalnya dari segi ekonomi dan pengikut . Dan berbagai cara dan kaedah digunakan. Dilakukan secara terang, tersembunyi dan halus bagi mempengaruhi pihak luar untuk bersama menyertai mereka, dan menyokong mereka. 

Hal diatas adalah fenomina yang berlaku dibumi nyata, satu realiti. 

Tapi bagi maksud bersaing untuk memperluaskan pengaruh, dan mempertahan dan memperteguhkan apa yang kita percaya, ianya tidak cukup hanya dengan perbuatan dan tindakan memperkecilkan pihak lawan, atau menimbulkan keraguan serta sangka buruk niat lawan; dan menyerang mereka dengan berbagai hujah, jika kita sendiri tidak sepenuhnya percaya atau tidak yakin dengan apa yang kita percaya , yang terserlah dalam perbuatan mencemarkan kesucian agama kita.

Oleh itu jangan terlalu pantas menuding pihak lain, dan jangan juga terlalu taksub akan kebencian kita terhadap perkataan yang membawa konsep yang ada ketikanya kita mendapat faedah dari penggunaanya, dan dalam banyak hal kita sendiri tidak memahami makna yang sepenuhnya atau konteks penggunaannya, sebagai kaedah menyerang 'musuh' demi mempertahankan agama kita yang suci.

Lihatlah terlebih dulu pada diri kita, pada jemaah kita. Apa yang ada dalam jiwa raga kita, jemaah kita, sebelum kita memulakan langkah menyerang musuh. 

Jiwa kita kosong dan rapuh?  Serapuh dahan mati yang dimakan anai-anai?

Memang terasa malu untuk menyenaraikan satu dua perbuatan kita yang mencemarkan agama kita seperti yang telah dipertegaskan diatas.

Namun berfaedah juga rasanya untuk memberitahu suasana semasa mahu memasuki dewan solat masjid, untuk direnung dan difikirkan. 

Perjalanan menjadi terhalang kerana laluan masuk itu (bibir atas anak tangga) telah tersedia dengan bilangan jemaah yang berhimpit-himpit berdiri. Mengetahui fenomina seperti ini adalah satu kebiasaan setiap kali Jumaat, saya terus juga menyelitkan diri untuk terus memasuki dewan solat yang terlalu banyak kosong dibahagian hadapan.

Soalnya mengapa mereka suka sangat berdiri di laluan sehingga boleh menghalang laluan ke dewan solat? Mengapa mereka tidak mahu ke depan yang masih kosong seperti yang diajar oleh Islam?

Jangan kata ini perkara remeh. Terlalu kecil untuk diberi perhatian. Dan tidak perlu diubah.

Dianya bukan remeh. Dianya terlalu penting dalam membentuk displin dan ketahanan diri kita sebagai orang Islam dalam penghayatan dan amalan harian yang diajar oleh Islam sebelum kita pantas memaki hamun dan berdemonstrasi terhadap musuh dalam hal kalimah Allah. Kuatkan dalaman kita.

Mereka yang pandang remeh itulah yang amat disukai oleh musuh. Senang bagi jarum musuh untuk menyelinap dalam tubuh badan kerana perbuatan yang asas dan amat mudah itupun belum lagi menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka

Sayang sekali fenomina itulah yang kita boleh lihat disebahagian besar masjid kita.

Kalau yang mudah pun kita tidak boleh buat, bagaimana kita mampu melupakan atau menolak salah guna kuasa atau menegur atau beranai menghapuskan salah guna kuasa. Bagaimana dengan perbuatan pecah amanah dan rasuah.

Sebab itulah pihak bukan Islam berjaya meresapi jiwa raga kita kerana ianya terlalu rapuh. Mereka sebenarnya melihat, mengkaji dan tahu bahawa jarum jahat mereka mudah saja memasuki dalam diri sebahagian besar orang melayu.

Sudah kenal musuh. Kitalah musuh Islam.


Khamis, 28 November 2013

GST TIDAK AKAN MENAIKKAN HARGA BARANG DAN PERKHIDMATAN?



Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan menyebabkan kanaikan harga?

Cerita dongeng berunsur bohong. 

Semua orang tahu dongeng adalah cerita yang tidak benar. Cerita dongeng adalah cerita hiburan yang mengkhayalkan. Cerita berunsur escapism untuk membawa lari fikiran dari realiti kepada khayalan yang menyeronokkan. Misalnya cerita anak orang miskin papa diterima menjadi menantu raja.

Maka bukan main seronoklah pendengar cerita itu yang terdiri dari rakyat-rakyat miskin papa, masing-masing setiap orang mula berkhayal bahawa dialah orangnya yang akan mengahwini puteri raja dan menjadi menantu raja.

Dan apabila tersedar dari khayalan maka mengeluhlah sipendengar cerita itu, sambil masih lagi berharap agar khayalannya itu menjadi kenyataan. Dia mahu sangat menjadi menantu raja, hidup senang lenang diistana. Sebab dia sudah muak dan letih menjadi orang miskin yang serba tidak mencukupi.

Demikianlah cerita dongeng orang miskin yang berkhayalan untukmenjadi menantu raja. GST juga sentiasa didongeng seperti itu.

GST, sentiasa didongengkan sebagai membawa harapan masa depan yang terang benderang kepada orang-orang susah. Ianya dijamin tidak menyusahkan orang-orang susah dan berpendapatan rendah, kata banyak pemimpin kerajaan. Hasil negara akan banyak bertambah. Dengan hasil yang bertambah itu akan digunakan untuk kebaikan rakyat.

Rakyat juga yang senang, diulang banyak kali oleh pemimpin kerajaan.

GST tidak akan menyebabkan harga barang dan perkhidmatan naik, kata pemimpin kerajaan itu.   

GST, harga barang dan perkhidmatan tidak akan naik. GST menyenangkan rakyat.

DONGENGGGGGGGGGGGGG

BOHONGGGGGGGGGGGGGG

Mana ada satu jenis cukai yang diperkenalkan yang tidak membuatkan  harga barang dan perkhidmatan naik. 

Cukai ertinya mengenakan bayaran keatas sesuatu produk sebagai satu cara kerajaan untuk mendapat hasil. 

Kalau sebelum cukai harga produk dipasaran boleh dibeli pada harga 10 ringggit (kos + margin untung) dan apabila datang GST produk itu akan dikenakan cukai atas kadar 6% dari harga produk , sudah tentu produk itu akan hanya kita boleh beli pada harga 10.60 bertambah 60 sen. 

Itu baru satu barang. GST ini adalah bagi semua barang dan perkhidmatan  melainkan beberapa barang (kalau tidak silap 44) yang disenaraikan terkeluar dari GST.

Jadi tidak benar GST tidak memberi kesan kepada kenaikan harga.

Tapi dengan GST cukai jualan akan dihapuskan. Bermakna rakyat terutama yang susah tidak perlu bayar cukai jualan.

Yang ini benar bahawa bila datang GST, cukai jualan tidak akan dikenakan. Tapi cukai jualan ini dikenakan keatas barang-barang tertentu saja, tidak semua barang dan perkhidmatan. Maknanya apabila datang GST rakyat akan bayar cukai pada sebahagian besar barang dan perkhidmatan.

Kerajaan terus berhujah bahawa rakyat berpendapatan rendah tidak banyak terkesan dengan GST kerana mempunyai kemampuan membeli dan keperluan terhadap barangan dan perkhidmatan yang rendah berbanding dengan orang berpendapatan tinggi. Ertinya GST ini hanya 'menyusahkan' orang berpendapatan tinggi saja.
  
Hujah itu juga tidak wajar dan mengelirukan.

Sebenarnya apabila GST dikenakan, rakyat yang susah yang dulunya tidak membayar cukai pendapatan dan cukai  bagi barang-barang yang dibeli (selain barang-barang yang ditentukan dikenakan cukai jualan) akan terpaksa membayar cukai. 

Senang cakap, bahawa kalau dulu bayar 10 cukai jualan, GST nanti menjadi lebih dari itu -50?100? cukai. Kita lihat nanti.

Sudah tentu membebankan.

Kerajaan nampaknya mahu menyekat capaian rakyat berpendapatan rendah keatas banyak barang-barang dan perkhidmatan, dengan mengenakan GST, sebab kerajaan percaya bahawa rakyat berpendapatan rendah tidak memerlukan barang seperti yang diperlukan oleh mereka berpendapatan tinggi. Dengan kata lain , orang kaya banyak berbelanja.

Benar orang kaya banyak berbelanja dan wajar dikenakan cukai. Jika demikian kadar cukai pendapatan dinaikkan   secara progresif. Lagi kaya lagi banyak cukai pendapatan yang dikenakan.

Orang berpendapatan rendah yang terkeluar dari membayar cukai pendapatan jangan pula dibebankan dengan GST.

Benar bahawa GST membolehkan kerajaan mendapat hasil yang lebih besar. Benar juga hasil yang besar boleh digunakan bagi keperluan perkembangan ekonomi negara, dan seterusnya bagi faedah rakyat termasuk takyat berpendapatan rendah.

Tapi pengalaman selama lebih 56 tahun menunjukkan bahawa kerajaan gagal berbuat demikian. Buktinya masih ramai (40%) rakyat yang berpendapatan rendah sedangkan Mlaysia adalah negara yang kaya dengan sumber. Sebab itu ada yang bertanya : Mengapa kita miskin dalamsebuah negara kaya.

Ada lagi satu pertanyaan: Mengapa hutang negara terlalu tinggi sedangkan Malaysia adalah sebuah negara yang kaya sumber.

Jawapan ada kepada kerajaan sekarang ini. Mereka tahu sebabnya. Rakyatpun tahu sebabnya. 

Tapi kerajaan berselindung disebalik negara akan jadi bengkerap jika rakyat tidak terima GST. Dijatuhkan hukuman bahawa rakyat yang tidak bayar cukai adalah pengkhianat negara.

Kalaulah begitu terdesaknya kerajaan dalam hal GST ini sehingga menjatuhkan hukuman seperti itu  , sewajarnya kerajaan mengaku bahawa GST ini diperlukan kerana untuk menyelamatkan negara dari diistiharkan bengkerap kerana tidak mampu membayar hutang yang terlalu tinggi.

Tidak wajar kerajaan mengatakan tanpa GST negara akan bengkerap.

Dua pernyataan itu nampaknya sama tapi berbeza. Pernyataan pertama menyatakan negara jadi bengkerap kerana hutang kerajaan yang tinggi. Dan kerajaan perlukan hasil yang banyak melalui pengenaan GST bagi menghadapi hutang negara yang tinggi

Fasal apa buat banyak hutang?

Pernyataan kedua pula bermaksud bahawa GST sebenarnya bukan satu kaedah bagi mengatasi negara dari jadi bengkerap.

Ekonomi negara menjadi sihat dan tidak bengkerap adalah sebenarnya bergantung kepada tadbir urus yang beramanah dan bertanggungjawab, belanja berkhemah, tidak boros , tidak membazir dan jauh dari segala penyelewangan dan salah guna kuasa.

Jadi janganlah kerajaan mencipta cerita dongeng lagi. Memadailah cerita dongeng yang ringkas diatas.

Perkara Asas Dalam Pengurusan Belanjawan




Belanjawan dan bajet adalah benda yang sama dalam konteks negara Malaysia. Belanjawan adalah terbitan dari perkataan Melayu Belanja. Bajet pula adalah perkataan Inggeris yang telah dimelayukan.

Belanjawan = Bajet.

Paparan ini bukan mahu bicara perkataan-perkataan itu. Ia hanya untuk membiasakan penggunaan perkataan-perkataan itu, sama ada mahu menggunakan secara silih ganti (interchangeable), atau memilih satu darinya, kerana maksudnya sama saja. 

Saya memilih menggunakan secara silih ganti dalam pembicaraan seterusnya.

Secara am Belanjawan ertinya melakukan perbelanjaan. Dua unsur utama yang mesti ada dalam belanjawan untuk ianya boleh dioperasikan adalah pendapatan dan perbelanjaan. Tanpa dua unsur ini belanjawan tidak mempunyai makna.

Ertinya mesti ada pendapatan. Usaha untuk mendapat pendapatan itu mesti dilakukan. Apabila ada pendapatan maka secara fitrah ianya akan digunakan untuk mendapat sesuatu yang kita tiada atau yang kita rasa belum cukup. Semuanya bergantung kepada kehendak kita atau apa yang kita mahu dalam memuaskan kemahuan kita, tertakluk kepada pendapatan yang ada.

Belanjawan = Pendapatan - perbelanjaan

Tanpa usaha tidak akan ada pendapatan. Kehendak atau kemahuan adalah fitrah manusia, maka dengan adanya pendapatan berlakulah perbelanjaan bagi mengisi kehendak itu.

Kemahuan atau kehendak adalah tidak terhad, sentiasa tidak cukup. Jadi dalam melayani kehendak yang sentiasa ada dan bertambah itu, maka usaha untuk mendapatkan pendapatan juga perlu ditambah.

Walaupun kehendak itu tidak terhad, tapi ada bebagai kekakangan dan halangan untuk memenuhi kehendak itu. Tidak semua yang kita mahu kita boleh perolehi. Kita boleh dapatkan sesuatu atau berbelanja sesuatu bergantung kepada wang yang kita ada. Ada wang boleh berbelanja. Tiada wang tidak boleh berbelanja.

Ertinya kalau kita ada wang RM 100, kita boleh berbelanja RM 100 saja.  Dalam keadaan begitu kedudukan kewangan kita akan menjadi sifar pada sesuatu tempoh -(pendapatan 100 - perbelanjaan 100 = 0). Keadaan seperti ini dipanggil belanjawan berimbang.

Satu lagi keadaan tentang belanjawan ini ialah apabila kita berbelanja kurang dari pendapatan. Dari pendapatan 100 kita belanja 80, ada lebihan 20 ringgit. Ini dipanggil belanjawan lebihan atau surplus. Lebihan itu menjadi simpanan. Dan jika pola pendapatan dan perbelanjaan bagi sesuatu tempoh itu sama, ianya akan menghasilkan lebihan. Dan lebihan-lebihan ini jika tidak digunakan, ia menjadi simpanan yang terkumpul.

Sebaliknya jika kita hendak berbelanja lebih dari pendapatan, kita terpaksa mencari sumber tambahan selain dari sumber biasa yang kita ada, misalnya meminjam dari kawan-kawan. Jadi belanjawan kita = pendapatan biasa + pinjaman - perbelanjaan. 

Biasanya kita tidak membuat pinjaman jika kita ada simpanan  hasil dari lebihan dari belanjawan sesuatu tempoh yang lepas. Namun bergantung kepada keutamaan yang kita pilih sama ada mahu meminjam atau menggunakan simpanan yang ada.

Apabila kita memilih untuk membuat pinjaman, belanjawan kita adalah belanjawan defisit sebab pendapatan kita tidak mencukupi bagi membiayai perbelanjaan, yang mana pembiayaan itu terpaksa ditampung dari sumber pinjaman.

Belanjawan defisit bukanlah satu belanjawan yang tidak sihat. Malah kita perlu meminjam bagi mempertingkatkan pendapatan kita pada masa depan. Misalnya , kita meminjam bagi tujuan melanjutkan pelajaran atau mendapatkan satu kepakaran atau sesuatu kemahiran sedangkan pendapatan kita yang ada tidak mencukupi. 

Meminjamnya kita itu adalah bagi mendapatkan satu nilai tambah kepada kita. Dengan kepakaran yang kita dapat nanti ianya akan menambah pendapatan kita pada masa depan. Dan kita mampu untuk membayar balik pinjaman yang kita buat.

Namun begitu meminjam atau berhutang bagi perkara-perkara yang tidak memberi nilai tambah kepada kita dari segi menghasilkan pendapatan yang lebih adalah satu tindakan yang tidak sihat, bahkan mempunyai risiko pada kita. Misalnya kita meminjam untuk membeli sebuah kereta mewah bagi tujuan menunjuk-nunjuk kehebatan gaya hidup kita.  

Sudah pasti perbelanjaan kita akan bertambah tapi tiada pendapatan baru yang terhasil dari gaya hidup berkereta mewah itu. Akibatnya kita tidak mampu untuk membayar balik pinjaman, dan sudah tentu kita didakwa oleh pemberi pinjaman. Jika gagal bayar kita akan dijadikan atau diistiharkan sebagai orang yang bengkerap.

Oleh itu defisit disebabkan pemilihan perbelanjaan yang tidak membantu bagi meghasilkan pendapatan pada masa depan adalah tidak sihat, bahkan mempunyai risiko yang tinggi.  Apatah lagi jika defisit itu berterusan pada setiap tempoh belanjawan.

Bagaimana pula dengan belanjawan yang berimbang. Ianya satu belanjawan yang baik. Tapi jika berimbangnya belanjawan itu tanpa memberi kesan kepada penambahan pendapatan, ianya tidak sihat kerana tidak ada nilai tambah. Jika ianya berterusan, maka tidak ada apa-apa pembaharuan bagi tujuan perkembangan dan kemajuan diri. Status quo.

Belanjawan surplus pun adalah belanjawan yang baik juga. Tetapi jika surplus itu adalah kesan daripada tidak ada usaha untuk menambah baik keadaan, bagi memajukan diri dan meningkatkan pendapatan, dan hanya semata-mata untuk menghasilkan lebihan untuk simpanan bagi ditunjukkan sebagai tabiat suka berjimat maka ianya tidak sihat juga.  

Apatah lagi jika simpanan itu tidak dimenfaatkan, hanya mahu ditunjukkan sebagai satu kejayaan bercermat sehingga dapat mengumpulkan simpanan yang banyak.

Ada wang tapi tidak tahu berbelanja bagi memperbaikki dan memajukan diri.

Begitulah sedikit asas dalam pengurusan belanjawan bagi individu.

Diperingkat lebih tinggi lagi misalnya negeri dan negara juga asasnya sama. Ada belanjawan berimbang, belanjawan surplus dan belanjawan defisit. Sama seperti individu, bajet negara juga adalah hasil dari keputusan yang dibuat oleh kepimpinan (kerajaan) dalam menentukan perbelanjaan yang hendak dibuat berbanding dengan pendapatan. 

Kesan pemilihan perbelanjaan  dan cara gaya perbelanjaan diurus akan menentukan sama ada bajet itu berimbang, surplus atau pun defisit. Jika pemilihan itu tidak dilakukan dengan baik, misalnya tidak ada menyediakan keutamaan atau salah memilih keutamaan , dan tidak pula dirancangkan dengan baik, lebih banyak perbelanjaan berbentuk 'ad hoc', dan ditambah pula dengan pengurusan bajet yang bercanggah dengan kepentingan negara, maka bajet negara sama ada ianya berimbang, surplus dan defisit adalah sebuah bajet yang tidak sihat dan berisiko.

Pemilihan yang baik itu bermaksud bahawa pendapatan negara itu, termasuk simpanan dan pinjaman akan dibelanjakan bagi menghasilkan nilai tambah dan pendapatan masa depan negara untuk digunakan bagi faedah rakyat dan kemakmuran negara. Dan ini hanya akan terhasil jika pendapatan dan perbelanjaan itu dirancang dan diuruskan dengan tata kelola urus tadbir yang telus dan bertanggungjawab.

Maka soal hutang negara yang meningkat sehingga RM 529.6 billion atau 53.6% daripada KDNK , dan negara akan jadi bengkerap jika GST tidak dilaksanakan tidak akan timbul sama sekali, sekiranya perkara asas dalam pengurusan belanjawan difahami dan  seterusnya dijadikan asas dalam pengurusan bajet negara.

Mengurus bajet negara adalah mengurus amanah rakyat. Jika salah urus maka risikonya akan ditanggung oleh rakyat. Berbeza dengan bajet individu dimana risikonya adalah individu itu sendiri.



 



 
 

Selasa, 26 November 2013

Tidak Bayar Cukai: Pengkhianat Negara?



Tidak bayar cukai atau keengganan membayar cukai, jatuh hukumnya sebagai pengkhianat negara. Itulah yang saya faham dari kata-kata yang diucapkan oleh PM, menurut apa yang dilaporkan oleh berbagai media.

Tidak bayar cukai- Penghianat Negara. Ini satu perkara yang serious. Kalau tidak membayar cukai itu sudah jatuh sebagai pengkhianat Negara, bermakna orang itu tidak amanah atau pecah amanah. Pecah amanah, hukumnya berdosa.

Jadi semua orang mesti bayar cukai.

Gagal membayar cukai atau tidak mahu membayar cukai atau mengelak dari membayar , menurut apa yang ditafsirkan oleh PM sebagai pengkhianat negara itu, meletakkan kita sebenarnya melakukan kesalahan yang amat besar. Kita berdosa. 

Berdosa, bermakna kita akan diberi balasan siksa diakhirat nanti, mengikut apa yang diajarkan oleh agama Islam. Dan  kita juga boleh dikenakan hukum didunia dalam bentuk denda yang diperuntukkan oleh undang-undang negara. 

Sudah tentu kita tidak mahu dikenakan siksa diakhirat dan dikenakan denda didunia. Kita hendak yang terbaik dunia dan yang terbaik diakhirat seperti dalam doa yang selalu kita pohon dari Allah. Hindarkan kita dari bakaran api neraka.

PM sudah berkata sedemikian. 

Kita tidak pasti ianya satu keputusan yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. 

Atau terdapat dalam mana-mana peruntukan undang-undang negara yang mentafsirkan sedemikian.  Tapi setakat yang diketahui, tidak ada dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mentfasirkan tentang apa itu perbuatan atau perbuatan-perbuatan yang dikategorikan sebagai mengkhianati negara.

Atau adakah akan digubal satu undang-undang yang mentafsirkan perbuatan, perlakuan, tindakan, usaha, kaedah, teknik, pujukan, ajakan dan yang seumpamanya sebagai bersifat mengkhianati negara sebagai persediaan bagi melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) pada tahun 2015 yang akan datang.

Jika demikianlah yang akan dilakukan atau jika itulah yang dihukumkan kepada sesiapa yang tidak mahu membayar cukai maka jelas sekali bahawa Kerajaan tidak akan berganjak dalam melaksanakan GST pada 2015 walaupun ada pihak dan sebahagian rakyat yang menentang dan tidak bersetuju.

Namun kita percaya, PM tidak akan sembarangan membuat kenyataan seperti itu tanpa mendapat pandangan atau nasihat dari seseorang atau pihak yang berkepakaran dan berkelayakan untuk menafsirkan bahawa tidak membayar cukai itu adalah pengkhianat negara.

Tapi mengapa pula ada pihak dan sebahagian rakyat yang mahu menentang perlaksanaan kutipan cukai termasuk GST. 

Mereka yang menentang ini mahu jadi pengkhianat negara?

Saya percaya mereka juga sayang dan cintakan negara. 

Mereka mempunyai hujah yang tertentu. Ada yang berhujah bersumberkan al-Qurnan , hadith dan amalan-amalan yang telah dilakukan oleh para pemimpin Islam terdahulu seperti pada masa pemerintahan Khalifah Umar Ab. Aziz yang tidak mengenakan cukai keatas rakyatnya. Dihujahkan juga bahawa kutipan cukai menjadi harus jika dalam keadaan darurat dengan memenuhi syarat tertentu. 

Selain hujah seperti diatas , ada juga yang menolak GST kerana cukai itu tidak membezakan diantara mereka yang  miskin dan yang kaya. Semua kena cukai. Ertinya cukai GST ini menambahkan beban orang yang sedia susah.

Pihak kerajaan berhujah sebaliknya. Bahawa GST ini akan berjaya mengutip hasil negara yang lebih banyak kerana cukai ini meliputi semua orang. Dengan hasil atau pendapatan cukai yang banyak itu ianya akan meningkatkan kemampuan kerajaan untuk melaksanakan berbagai program, projek, perkhidmatan, bantuan dan aktiviti demi kebaikan rakyat dan negara. Dan kerajaan juga telah berjanji akan membantu mereka yang memerlukan bantuan terutamanya rakyat yang berpendapatan rendah.

Hujah kerajaan itu ada kebenarannya iaitu pendapatan negara yang bertambah akan meningkatkan lagi kemampuan kerajaan untuk memaju, membangunkan negara  dan membantu rakyat yang susah.

Yang menjadi penghalang kepada usaha kerajaan itu ialah Pengkhianat negara.

Tapi erti pengkhianat negara itu bukanlah hanya terhad kepada mereka yang tidak mahu membayar cukai saja, sama ada GST atau cukai-cukai yang lain. Tidak menunaikan janji pada rakyat pun termasuk sebagai pengkhianat negara. Salah urus tadbir sumber dan wang negara pun pengkhianat negara. Mengeluarkan kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asingpun pengkhianat negara. Menyalahguna kuasa yang diamanah  termasuk mencuri wang negara dalam berbagai cara dan bentuk adalah dalam kelas yang sama dengan melakukan jenayah penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia -pengkhianat negara juga.

Itu adalah sebahagian dari perlakuan yang saya tafsirkan sebagai perbuatan mengkhianati negara. Sudah tentu ianya masih belum mencukupi, belum lengkap, tidak 'exhaustive'.

Dengan hal yang demikian kerajaan wajar menggubal, jika masih belum ada, satu undang-undang yang mentafsirkan apakah yang dimaksudkan mengkhianati negara atau pengkhianat negara. Kita mempunyai ramai kepakaran dan orang-orang yang berkelayakan untuk diajak berbincang dan merumuskan tentang pengkhianatan negara itu untuk digubal satu undang-undang dan dibentang di Parlimen untuk diluluskan.

Saya percaya jika itu dilakukan, kata-kata PM tentang mereka yang tidak membayar cukai sebagai pengkhianat negara tidak akan menjadi perkara atau  ucapan yang menjadi bahan perlekehan kerana PM bercakap atas ketetapan yang dibuat oleh undang-undang.

Jadi jika kita tidak membayar cukai, kita masih lagi bukan pengkhianat negara selagi tiada undang-undang atau fatwa yang berkata sedemikian. Dan sudah tentu melakukan urus tadbir negara secara yang menyeleweng yang tidak amanah, adalah layak untuk dikategorikan sebagai pengkhianat negara. Jangan gagal ini dimasukkan dalam undang-undang yang dinyatakan diatas.

 

 

Isnin, 25 November 2013

IKLAN: Satu Cara Mengajar Bercakap Bohong



Apa peranan IKLAN? 
 
Seorang pensyarah ekonomi jawab, peranan sesebuah Iklan itu sama dengan seorang dara sunti bernama AIDA. Maka terbarailah hilai ketawa para pelajar  memecahi dewan kuliah F.

Itu cerita tahun 1969

Pelajar menghilai ketawa. Tapi pensyarah itu walaupun sedikit tersingai menampakkan giginya, dia nampaknya terlalu yakin dengan apa yang dia cakap dengan mengambil dara sunti bernama Aida sebagai analogi untuk memahamkan makna Iklan itu.

Sesebuah iklan itu mesti ada daya tarikan. Kalau lesu dan pucat lebam saja, macam orang tua (maaf tidak bermaksud menghina orang tua. Saya pun tua juga), pengguna tidak akan tertarik keatas produk yang mahu dipasarkan. Iklan itu mesti bersifat 'Attractive', ada daya penarik. Nah , ianya mesti 'attract' pengguna sama seperti jika seseorang itu melihat anak dara sunti bernama AIDA.

Bukankah AIDA itu mudah diingati, sedap pula untuk disebut, dan satu khayalan (imiginasi) yang menyeronokkan? (pada waktu itu nama penyanyi dari seberang, Aida Mustafa yang memasyhurkan lagu minang 'Ayam Den Lapeh', menjadi sebutan ramai).

Huruf pertama A dalam ejaan penuh nama anak dara sunti yang dikhayalkan itu, mengingatkan kita bahawa iklan itu mesti bersifat menarik, mesti ada daya tarikan. 

Apabila telah kita bina daya tarikan, apabila pengguna sudah tertarik, maka ia akan mula menimbulkan minat (Interest) kepada pengguna. Setelah menguasai emosi pengguna yang tertarik dan menaruh minat terhadap produk yang diiklan itu, maka produk itu sudah ada pengguna yang akan membuat permintaan (Demand). Maknanya iklan itu telah berjaya mempengaruhi emosi dan akal fikiran pengguna itu yang bersedia untuk menerima (Accept) produk yang diiklankan.

"Attract , Interest  , Demand , Accept", bukankah itu AIDA. 

Pelajar, mengilai lagi.

"Oh ya masih lagi belum lengkap peranan sebuah iklan yang berkesan", pensyarah itu menyambung dalam hilaian ketawa para pelajar. 

"Mesti ada 'R' ".

"Apa pula 'R', ni", kedengaran seorang sahabat yang duduk disebelah sambil mencatat dalam nota kuliahnya.

Satu daripada kelemahan manusia ialah mudah lupa. Oleh itu pelanggan mesti selalu diberi ingatan (Remind) akan kewujudan produk kita itu dalam pasaran. Diberi ingatan agar tidak lupa. Lagi kerap, lagi susah pengguna hendak lupa.

Namun mencukupi saja kita menyebut nama AIDA bukan AIDAR sebab huruf R dihujung ejaan itu selalunya jarang dibunyikan.  

Habis saja kuliah, riuh rendahlah pelajar lelaki  menyebut nama Aida sambil mata menjurus kepada sahabat-sahabat dari kaum hawa. "Oh Aida".

Pensyarah itu tidak pula membicarakan soal etika dalam sesebuah iklan.

Saya tidak pasti sama ada etika tidak penting dalam sesebuah iklan sehingga beliau tidak menyentuhnya atau dia mengharapkan para pelajar untuk mencarinya sendiri. Takkan semua nak kena suap.

Sesebuah iklan, khususnya iklan bagi sesuatu produk sama ada perkhidmatan mahupun barangan wajar ada etika sebagai garis panduan yang perlu dipatuhi, agar pengguna tidak keliru, tidak dibohongi, dan tidak dipermain-mainkan.

Iklan tidak boleh dibuat/ditayangkan sesuka hati yang hanya bermotif untuk melariskan jualan sesuatu produk bagi meraih keuntungan yang maksima tanpa memikirkan kesan yang negatif kepada mereka yang mendengar/menonton iklan itu.

Benar, berniaga mesti mahukan keuntungan. Tapi mendapat keuntungan secara yang tidak beretika adalah satu perbuatan yang boleh merosakkan masyarakat.

Satu dari unsur yang tidak beretika ialah iklan yang berkata bohong secara terang-terang tentang produk yang diiklankan. Secara rambang saya katakan, sebahagian besar iklan yang sempat saya tonton dan dengar yang disarkan oleh tv, mempunyai unsur berkata bohong ini.

Kesan pembohongan ini amat buruk sekali.

Seseorang kanak-kanak berumur dua tahun misalnya, apabila menonton iklan yang ada unsur pembohongan ini, akan menerima sebagai benar apa yang dia lihat dan dengar tentang perkara atau benda yang diiklankan.

Misalnya iklan bagi produk pewangi yang boleh mengatasi bau buah durian.

Menurut pengalaman anak itu sendiri bahawa bau buah durian yang pernah anak itu makan terlalu susah untuk dihapuskan. Tapi apabila anak itu menonton iklan , dia digambarkan seolah-olah bau produk pewangi yang diiklankan itu boleh mengatasi bau buah durian!

Bukankah ini jelas satu pembohongan. 

Tiap-tiap hari anak-anak yang menonton iklan yang terdapat unsur-unsur yang negatif akan mempengaruhi pemikiran mereka dalam proses pertumbuhan mereka. Kesannya amat malang sekali.

Anak-anak itu akan jadi keliru dan celaru. Dalam kehidupan hariannya dia tahu bahawa bau buah durian itu terlalu kuat dan tidak mudah dihapuskan dengan pewangi seperti yang diklankan.

Kemudian apabila anak itu menanyakan  ayahnya bahawa benarkah seperti yang digambarkan dalam iklan itu. Sudah tentu ayah menyatakan tidak benar. Dan dalam kehidupan hariannya, anak itu selalu diingatkan oleh ayahnya agar jangan cakap bohong. Sebaliknya, dia dan ayahnya yang bersama-sama tonton iklan yang kerap ditayangkan, akan menjadi keliru kerana ayahnya yang melarangnya bercakap bohong, juga menonton iklan yang berkata bohong itu.

Kesannya, keliru dan celaru.

Jika ianya berterusan maka tertanamlah dalam jiwa nurani anak-anak itu bahawa bercakap bohong bukan sesuatu yang perlu dielakkan/dijuhkan. Kalau ini sudah dipercayai, apakah bentuk generasi yang kita bina untuk masa depan.

Kesan kepada masyarakat secara keseluruhan ialah bahawa berbohong boleh dilakukan terutama dalam perniagaan demi melariskan produk yang hendak dijual. Berbohong sudah menjadi budaya yang diterima dalam masyarakat.

Sebab itu jika berlaku perkara-perkara negatif dalam masyarakat, atau jika anak kita suka bercakap bohong atau kita sendiri membenarkan perlakuan berbohong itu, maka satu dari sumber yang menyemarakkan kita, anak kita dan masyarakat bercakap bohong ialah dari iklan yang di pertontonkan dalam tv. Sebab tv pun mahu berniaga mencari untung. 

Soal etika seperti tidak bercakap bohong bukan satu yang amat penting yang perlu diberi perhatian dan dipertekankan walaupun dalam beberapa rancangan yang diterbitkan oleh tv itu sendiri hal-hal bercakap bohong dikatakan boleh merosakkan masyarakat dan negara.

Keliru dan bercelaru. Semua iklan punya fasal.


(Nota: Tentang peranan IKLAN dan AIDA itu  adalah cerita benar. Tetapi penceritaan yang dipaparkan ini adalah penceritaan saya, bukan yang dikuliahkan oleh pensyarah itu).

 

Ahad, 24 November 2013

Little Thing: Satu Cadangan Yang Kecil Saja (2)

Beberapa buku teks Inggeris tahun 60an masih lagi berada disamping, menemani saya menyambung bicara atas tajuk Little Thing:Satu Cadangan Yang Kecil Saja. yang telah dibicarakan dua hari lepas.

Ada 3 perkara penting dalam paparan dua hari lepas:

i) Hanya melalui perubahan dasar pelajaran dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang digunakan dalam semua subjek, hasrat untuk melahirkan pelajar dan seterusnya rakyat Malaysia menguasai bahasa Inggeris akan tercapai.

ii) Mengajar hanya subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris seperti yang dimahukan oleh Dr. Mahathir , sekali-kali tidak akan berjaya  untuk menguasai bahasa Inggeris. Ianya membuang masa dan membazirkan sumber dan wang negara.

iii) Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran wajib dalam semua peringkat dan disiplin pendidikan. Bahasa Melayu juga wajib lulus ditahap cemerlang dalam semua peperiksaan dan ujian bagi membolehkan seseorang pelajar diberikan sijil/diploma/ijazah, dan syarat untuk pelajar meneruskan pelajaran diperingkat lebih tinggi.

Keputusan kerajaan untuk tidak mengajar subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atas dasar ianya bukan cara bagi membolehkan pelajar menguasai bahasa tersebut adalah satu keputusan yang tepat. 

Namun meneruskan pengajaran dan pembelajaran bagi semua subjek, dalam bahasa Melayu tidak juga membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris. Tidak juga satu cara yang berekesan untuk memertabatkan Bahasa Melayu.

Pelajar mesti didedah dan dibiasakan dengan bahasa itu (Bahasa Inggeris)  dalam semua subjek dalam bentuk oral dan tulisan kerana pendedahan yang bertubi-tubi dalam berbagai subjek akan membuatkan pelajar-pelajar mampu berfikir dalam bahasa itu. 

Begitulah caranya untuk membolehkan pelajar dan rakyat Malaysia menguasai Bahasa Inggeris.

Langkah yang diambil kerajaan seperti mengambil lebih ramai guru-guru yang mahir dan layak dalam bahasa Inggeris, termasuk  guru-guru yang diimpot dari Australia dan Amerika Serikat tidak akan menghasilkan hasrat yang hendak dicapai. Membazir wang saja.

Saya juga berpendapat bahawa dasar yang ada sekarang ini tidak juga menempatkan subjek Bahasa Melayu pada kedudukan yang mengatasi kedudukan subjek-subjek lain.  Ertinya Bahasa Melayu tidak dimertabatkan pada kedudukan yang sebenar sebagai bahasa kebangsaan, bahasa bagi semua anak bangsa malaysia.

Sebaliknya cadangan kecil ini menjadikan Bahasa Melayu sebagai subjek yang kritikal yang wajib lulus pada tahap cemerlang. Kedudukan Bahasa Melayu mengatasi kedudukan subjek-subjek lain dalam menentukan kelayakan seseorang itu untuk mendapat sijil/diploma/ijazah dan meneruskan pelajaran diperingkat lebih tinggi.

Itulah caranya untuk memertabatkan Bahasa Melayu.

Jika kita masih mahu mengekal cara sekarang ini maka kita tidak akan mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Kita juga gagal dalam memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa yang digunakan oleh semua anak bangsa malaysia.

Cuba kita lihat sendiri dalam program Akademi Fantasia. Apakah nama bahasa yang dituturkan oleh sebahagian juri program tersebut. Bagi saya ianya bahasa carca merba.

Tapi kalau ada yang kata penutur itu menguasai bahasa Inggeris yang baik, kerajaan  tidak perlu pergi jauh sehingga ke Amerika Serikat dan Australia untuk mengimpot guru bahasa Inggeris.

Yang saya pasti sangat ialah penutur itu dan pihak yang bertanggungjawab menguruskan program itu tidak langsung mengambil peduli untuk memertabatkan Bahasa Melayu. Tidak juga boleh membawa kita menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Oleh yang demikian kita mesti ada keberanian untuk berubah dari dasar dan cara yang digunakan sekarang dalam meletakkan kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita.  

Kita mahu memertabatkan Bahasa Melayu. Kita mahu menguasai Bahasa Inggeris.

Cadangan kecil ini adalah bertujuan kearah mencapai dua matlamat diatas.
 
Kos untuk perubahan ini memang tinggi pada peringkat permulaan. Tapi faedahnya tiada ternilai sekali dari segi jangka panjang. Jamin tidak membazir.

Ini adalah satu cadangan kecil dari orang kecil-kecil saja. Orang kecil-kecil ada dimana-mana, bikin sibuk saja.

Betul tak?

Saya ambil sebuah dari buku teks Inggeris tahun 60an yang ada disamping. Saya menjumpai sebuah puisi bertajuk Little Things oleh James Stephens. Saya turunkan puisi ini seperti dibawah. Ianya tiada kena mengena dengan perkara yang dibicarakan. Tapi itulah puisi Inggeris yang saya pernah diajar.

                               LITTLE THINGS

               Little things,that run, and quail,
               And die, in silence and despair!
               Little things, that fight, and fail,
               And fail, on sea, and earth, and air!
               All trapped and frightened little things,
              The mouse, the coney, hear our prayer!
               As we forgive those done to us,
               The lamb, the linnet, and the hare--
               Forgive us all our trespasses,
               Little creatures everywhere! 
    
Sebenarnya puisi ini telah memberi ilham kepada saya dalam pencarian apakah perkara yang hendak dibicarakan pada dua hari yang lepas dan hari ini.
  
   
 

 

 






Sabtu, 23 November 2013

K-Pop Pelaburan Yang Menakjubkan



Melabur RM 1.6 juta, pulangan (return) RM140 juta, hampir 86 kali ganda dari modal. 

Satu pelaburan yang amat ajaib dan menakjubkan. Skim cepat kaya Pak Man Telo yang terkenal pada suatu masa dulu, sudah jadi lekeh, jauh ketinggalan dari segi meraih untung.

Cara melaburnya mudah saja. Tidak perlu menyediakan kos bagi kajian kemungkinan bagi melihat kebolehlaksanaan (untung/rugi) dari pelaburan ini. Tidak perlu juga menyediakan unjuran aliran tunai keluar-masuk projek  (project cash flow projection), dan melihat IRRnya (Internal Rate of Return) atau NPV (Net Present Value). Tidak perlu kesah tempoh pulang balik modal (payback period). Tidak perlu buat kajian risiko projek.
 
Maknanya labur saja wang anda. Soal-soal teknikal dalam membantu untuk membuat keputusan sama ada mahu melabur (dapat untung) atau sebaliknya (rugi) tidak perlu diambilkira.

Inilah pelaburan K-Pop, kumpulan hiburan dari Korea.

Kerajaan Malaysia telah melakukannya. Maksudnya telah melaburkan wang sebanyak RM1.6 juta untuk membawa kumpulan tersebut ke Malaysia sempena Hari Belia pada tahun 2012 yang lepas. Jadi apa perlu kajian-kajian seperti yang dinyatakan diatas. Buat saja pesanan langsung, kemudian bayar, -'cash on delivery', RM 1.6 juta. Pulangan, lumayan sekali.
 
Menurut yang dilaporkan oleh Malaysiakini, mantan Menteri Belia dan Sukan, selepas menghadapi PAC (Public Account Committee ), menyatakan bahawa perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh negara sebanyak RM 1.6 juta bagi membawa masuk kumpulan penghibur K-Pop dari Korea , bersempena sambutan Hari belia pada 2012 memberi keuntungan kepada Malaysia dari segi nilai wang (financial gains) dan bukan wang.

Dari segi nilai wang, negara memperolehi pulangan sebanyak RM140 juta, selain RM26 juta tajaan TM;  RM 1.9/2.3 juta dari lain-lain tajaan.

Keuntungan bukan nilai wang pula adalah dalam bentuk ianya satu 'inovasi' dalam menarik minat golongan belia terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan yang mana telah menarik seramai 2.4 juta pengunjung pada sambutan hari belia itu.

Tambah mantan menteri Belia dan Sukan itu lagi keuntungan mesti juga dilihat dalam bentuk keuntungan yang datang secara beransur-ansur.

Dan difahamkan juga segala proses dan prosedur bayaran telah diikuti.

Kalau begitulah kenyataannya, dan  pulangan yang diperolehi hasil dari penggunaan wang negara sebanyak RM 1.6 juta maka ianya patut diberikan ucapan syabas kepada pihak penganjur yang diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan, yang diketuai oleh mantan menteri itu.

Ianya satu kejayaan diluarkebiasaan, yang saya fikir tidak ada mana-mana ahli perniagaan mampu melakukannya. 

Dengan hanya 1.6 juta, kita telah berjaya mendapat 140 juta. Mengikut tatacara urusan kewangan kerajaan, wang 140 juta dan yang lain-lain yang diperolehi hasil dari penggunaan wang 1.6 juta itu hendaklah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan. Ertinya kita mempunyai tambahan wang bagi dikeluarkan bagi kegunaan demi kepentingan rakyat dan negara.

Tapi mengapa Ketua Audit Negara (KAN) memberi laporan yang negatif terhadap penggunaan wang RM 1.6 juta itu? Adakah laporan KAN itu tidak tepat sehingga tidak memberi gambaran yang sebenar yang boleh menjejaskan nama baik kementerian dan menterinya. Atau laporan KAN itu bersifat 'CULAS' seperti yang dikatakan oleh mantan menteri itu. 

Kenyataan PAC seperti yang dilaporkan adalah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh mantan menteri itu. Maknanya tidak ada apa-apa yang serious yang perlu menjadi kegusaran rakyat tentang penggunaan wang RM1.6 juta untuk membawa K-Pop ke Malaysia. Tiada pembaziran dan salah urus wang negara.

Kalau mantan menteri menyatakan bahawa penggunaan wang 1.6 juta itu memberi pulangan yang baik , atau memberi keuntungan kepada negara, dan PAC berpuas hati dengan penjelasan mantan menteri, dan proses serta prosedur kewangan dipatuhi, dimana negatifnya atau tidak teraturnya perbelanjaan 1.6 juta itu? 

Maka apakah kedudukan dari segi integriti atau kebolehpercayaan.

Kita percaya kepada Laporan KAN atau kita percaya apa yang dinyatakan oleh mantan menteri serta keputusan berpuas hati PAC tentang kes perbelanjaan K-Pop ini.

Logiknya, hanya satu pihak saja yang benar atau yang salah apabila ada pertentangan kenyataan diantara mereka.

KAN melaporkan yang benar?

Mantan menteri belia dan sukan yang tidak menyatakan yang benar?

Atau sebaliknya?

Apakah maksud yang hendak disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan yang ada sekarang ini yang mengakui apa yang dilaporkan oleh KAN itu sebagi benar.

Mengapakah ahli-ahli parlimen khususnya dari pembangkang menggunakan Laporan KAN itu mempersoalkan tentang perbelanjaan wang 1.6 juta itu yang dianggap tidak teratur dan membazir.?

Adakah disebabkan mereka suka-suka buat begitu kerana mereka pembangkang atau mereka mempunyai rasa tanggungjawab terhadap cara bagaimana wang negara digunakan?

Apa-apa pun apabila menteri belia dan sukan yang ada ketika ini berpandangan selari dengan laporan KAN, kenyataan pembangkang hanya suka membangkang, gugur dengan sendirinya. Gugur juga sangkaan atau pandangan yang mempersoalkan integriti Laporan KAN.

Macam mana saya? 

Saya percaya Laporan KAN. 

Dan saya menganggap bahawa penggunaan wang RM1.6 juta yang boleh meraih pulangan RM140 juta adalah sesuatu yang menakjubkan, dan luar biasa sifatnya.

Oleh itu saya tidak percaya ianya mampu dilakukan.

Tapi jika K-Pop atau yang sejenis dengannya dijemput lagi dengan perbelanjaan kerajaan untuk membuat persembahan dalam apa saja perhimpunan kerajaan pada masa depan atas dasar telah memberi pulangan yang begitu besar kepada kerajaan, dan dibuktikan kemudiannya, ia benar-benar menguntungkan, saya akan ubah pendirian dari tidak percaya kepada percaya, walaupun ianya sesuatu yang luar biasa sifat kemampuannya.

Jumaat, 22 November 2013

Little Thing- Satu Cadangan Yang Kecil saja



Ilham belum lagi menjelma diotak kepala. Apa mahu bicara hari ini.

Lantas ke ruang  yang menempatkan sebuah perpustakaan kecil. Membelek-belek buku-buku lama dengan harapan ianya boleh mencetuskan sesuatu untuk ditulis dan dibicara.

Terjumpa beberapa buku , semuanya tentang pembelajaran bahasa Inggeris yang telah digunakan semasa berada di sekolah menengah rendah dulu -tahun awal 60an.

Dalam belek membelek itu , teringat  kerisauan Dr. Mahathir tentang kelemahan pelajar-pelajar terutamanya pelajar Melayu menguasai bahasa Inggeris dalam pertuturan dan penulisan. Atas sebab itu , semasa menjadi Perdana Menteri dulu beliau telah melaksanakan pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPMSI)

Dasar ini telah di ubah semula kepada dasar asal iaitu pengajaran dalam bahasa Melayu kerana terbukti pengajaran dua subjek ini dalam bahasa Inggeris sebenarnya tidak mencapai matlamat yang diharapkan, bahkan menimbulkan berbagai masalah , antara lain guru-guru sendiri tidak mahir dalam bahasa berkenaan.

Saya bersetuju dengan harapan yang hendak dicapai oleh Dr. Mahathir itu iaitu pengusaan bahasa Inggeris. Bahasa ini terlalu amat penting.

Tapi saya tidak bersetuju dengan pemilihan kaedahnya iaitu dengan cara mengajar subjeks sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sampai bila-bila pun jika kaedah ini diteruskan, dia tidak akan mampu melahirkan pelajar-pelajar yang boleh mengusai bahasa Inggeris.

Apa cara yang terbaik?

Cara yang terbaik ialah mengajar semua subjek termasuk subjek agama melainkan subjek bahasa selain bahasa Inggeris dalam bahasa Inggeris.

Ertinya menukar bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris seperti pada waktu sebelum merdeka sehingga tahun 1967. Dan saya menambah agar subjek agama juga diajar dalam bahasa Inggeris atau bahasa Arab bagi maksud penggunaan dalam kerja dakwah yang lebih meluas.

Tapi satu syarat penting mesti dikuatkuasakan iaitu pelajar WAJIB lulus Bahasa Melayu pada peringkat cemerlang bagi tujuan memperolehi sijil. 

Tanpa pencapaian pada tahap tersebut, sijil UPSR (sekolah rendah),  tidak akan dikeluarkan dan pelajar tidak boleh meneruskan pelajaran diperingkat lebih tinggi disemua sekolah kerajaan dan swasta di Malaysia.

Begitu juga seterusnya diperingkat menengah, kolej dan universiti. Maksudnya diperingkat menengah, kolej dan universiti Bahasa Melayu adalah satu dari mata pelajaran wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar dan wajib lulus cemerlang bagi tujuan mendapat sijil atau ijazah. 

Pencapaian Bahasa Melayu pada tahap dibawah cemerlang dalam semua peringkat pendidikan akan tidak melayakkan pelajar mendapat sijil/ijazah.

Dengan kaedah ini Bahasa Melayu tidak akan diabai dan diketepikan. 

Dalam masa yang sama penggunaan dan pendedahan bahasa Inggeris kepada pelajar dalam semua subjek yang dinyatakan akan sudah tentu boleh memahirkan pelajar dalam pertuturan dan penulisan, seterusnya menguasai bahasa itu.

Soal mengetepikan atau meremehkan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Kebangsaan Negara tidak timbul. Bahasa Melayu masih lagi bahasa rasmi negara, bahasa kebangsaan yang mesti dikuasai semua rakyat Malaysia. Sebab itu syarat WAJIB lulus cemerlang mesti dikuatkuasakan. 


 

Khamis, 21 November 2013

Kikiskan Metos Pentas Bola Sepak Jika Kita Mahu Masa Depan Bola Sepak Yang Lebih Baik.



Kecoh lagi fasal bola sepak. Puncanya kekalahan yang berpanjangan. Kekalahan untuk menunju matlamat ke pertandingan antarabangsa, di peringkat juara Asia. Ke peringkat juara dunia telah lama berkecai.

Malah untuk menjadi juara peringkat negara kelompok ASEAN pun, kita seperti orang semput, terkial-kial. Ada masa menang, tidak kurang juga banyak kali kalah.

Begitu juga, dalam Piala Pestabola Merdeka, yang sudah tidak ada serinya lagi. Kita belum tentu menang walaupun bermain ditempat sendiri, dengan sorakan dan sokongan penonton sendiri.

Maknanya kita selalu kalah dan tidak pernah menang dalam persaingan kejohanan peringkat antara bangsa.

Pada suatu masa dulu, pada tahun-tahun awal kemerdekaan dan sehingga tahun tujuh puluhan, kita selalu jadi juara pestabola merdeka. Mengalahkan pasukan Korea, bukan satu perkara yang luar biasa atau kebetulan atau pun nasib. Mengalahkan Thailand , Burma (Myanmar), Singapura dan Indonesia adalah sesuatu yang boleh dijangka sebelum perlawanan.

Begitulah hebatnya pasukan bola sepak kita, pada suatu masa dulu.

Bagi generasi seperti saya, sudah tentu tidak akan lupa betapa seronoknya menonton siaran secara langsung dari Munich, Jerman, kalau tidak silap saya pada tahun 1972 , dalam perlawanan sukan olimpik, kita telah menewaskan pasukan Amerika Serikat 3 kosong? (saya kurang ingat bilangan skor). 

Kita juga merasa kecewa apabila pasukan bola sepak kita tidak mengambil bahagian di sukan olimpik Moscow, walaupun kita telah layak, disebabkan pertimbangan politik.

Dan sudah tentu nama-nama pemain seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, mendiang Arumugam, Soh Chi Aun dan banyak lagi  sentiasa bermain dibibir dan menjadi harapan dihati bagi mencapai kemenangan.

Sekarang, yang bermula pada tahun-taun 80an, pasukan kita adalah pasukan belasahan Singapura, Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Thailand. 

Memang keras perkataan belasahan itu dan ianya juga tidak tepat kerana ada masanya kita menang, tetapi saya gunakan juga sebagai menyatakan bahawa prestasi pasukan bola sepak kita tidak menunjukkan kemajuan seperti pasukan Korea yang terlalu jauh meninggalkan kita.

Sekali lagi saya ingatkan bahawa suatu ketika dulu antara kita dan Korea tidak jauh beza dari segi standardnya. Ada masa kita menang dan ada masa Korea menang.

Beberapa tahun kebelakang dan sekarang ini kita sentiasa kalah dengan Korea.

Saya tidak nampak pada masa depan kita dapat menyaingi atau mendekati standard pasukan Korea.

Arab Saudi, Qatar, Bahrin, UAE dan beberapa negara teluk yang lain seperti  Iraq pernah tersungkur dengan pasukan kita, pada suatu masu dulu.

Tapi dalam perjalanan menuju Australia bagi kejohanan Piala Asia, kita kalah dengan Qatar dua kali (dirumah sendiri dan dilaman orang), sekali kalah dan sekali seri dengan Bahrin dan menang dengan Yaman yang hanya dapat mengumpul 4 mata. 

Kalau menangpun dengan Yaman pada perlawanan terakhir nanti, ianya kemenangan kosong saja.

Tapi ada pihak akan tidak bersetuju dengan kenyataan kemenangan kosong itu. 

Mereka akan bingkas bangun dan marah-marah menyatakan bahawa maruah pasukan mesti dijaga. Maruah negara adalah penting dipertahankan. Dengan itu kata mereka, kita mesti menang perlawanan dengan Yaman nanti walaupun harapan ke Australia telah lebur. 

Gagal ke Australia, tidak bermakna gagal segala-galanya. Matlamat kita bukan saja ke sukan Asia, malah lebih dari itu , untuk mempertahankan nama pasukan dan maruah negara. Begitulah kata-kata yang saya cuba ramal yang akan keluar dari mulut mereka. Sungguh bersemangat sekali.

Tidak hairan jika ada orang berkata begitu. 

Dan saya juga nak beritahu bahawa selain dari mereka itu , rakyat Malaysia yang lain pun mempunyai semangat untuk menjaga nama baik pasukan dan maruah  negara. 

Tapi antara dua golongan ini, ada bezanya dari segi kepemunyaan semangat itu.

Kepemunyaan  semangat bagi yang satu itu  menjadi berkobar-kobar kerana mereka terlalu sayangkan persekitaran bola sepak itu sebagai sukan number satu dunia, dan nilai tambah hasil dari memiliki pentas bola sepak itu, sehingga mereka menjadi lelan dan menganggap pentas bola sepak itu sebagai ruang 'khas untuk penyandang' (personal to holder).  Ianya sudah menjadi metos.

Kekalahan pasukan, gagal dalam destinasi yang hendak dituju, walaupun terlalu pahit untuk ditelan, tidak juga menjadi  satu petunjuk yang jelas untuk jalan keluar meninggalkan pentas bola sepak.

Bagi golongan kedua pula, mereka terlalu sayangkan pasukan, terlalu sayangkan negara, bahawa hujan ribut , taufan, petir dan halilitar sabung menyabung, jika pasukan diatas padang bertembung dengan lawan, mereka tetap bersama walaupun mereka tidak pernah berada diatas pentas yang menentukan arah tuju bola sepak negara. 

Pasukan tetap dihati mereka , sebab itu mereka lantang bersuara meminta perubahan apabila melihat pasukan sentiasa parah dan kalah. Mereka yang berada di atas pentas yang menentukan arah tuju bola sepak negara, dipersilakan berundur. Itulah harapan dari suara lantang mereka.

Namun, melihat perkembangan yang ada, dan selagi metos 'khas untuk penyandang' masih lagi dipegang bagi mengisi ruang pentas bola sepak  negara, yang menentukan hala tuju pasukan, saya tidak nampak masa depan bola sepak Malaysia akan berubah dari warna kelabu malap kepada warna cerah, jauh sekali akan dapat mendekati standard pasukan Korea yang satu masa dulu kita pernah kalah dan menang, apatah lagi untuk sama-sama bermain dalam merebut  kejohanan peringkat antarabangsa.

Apa yang perlu kita lakukan?

Semua pihak sama ada yang ada di pentas atau yang bersorakan dibawah pentas hendaklah sama-sama memikirkan untuk kemajuan bola sepak negara. 

Bagaimana?

Saya hanya mampu mencadangkan agar kepercayaan bahawa pentas bola sepak itu sebagai 'personal to holder', di kikiskan dari kepercayaan kita. Dan saya percaya, sebahagian besar rakyat malaysia telah tidak percaya kepada metos itu.

Kata bijak bistari terdahulu bahawa yang patah akan tumbuh, yang hilang boleh diganti. 

Kata orang putih, 'no one is indispensable'.