Theflowersellingboy

Selasa, 30 Jun 2015

Anwar Yang Degil.




Rupanya hari ini sudah 142 hari Anwar Ibrahim dalam penjara. Khabarnya kesihatannya menurun.
 
Apapun kesalahan yang telah disabitkan keatasnya, dan apa pun pendirian orang lain keatas hukuman itu yang mungkin tidak sama dengan pendirian saya, saya tidak dapat melepaskan diri dari bersimpati terhadapnya, sekali gus kepada keluarganya. Apatah lagi ketika umat Islam menjalani ibadat berpuasa.

Pendirian saya dan kepercayan saya terhadap kes Anwar ini semenjak kes pertama sehingga kes kedua adalah tetap teguh tidak berganjak.  IANYA KES  POLITIK.
 
Saya tidak akan membicarakan disini asas keyakinan saya itu. Cukup sekadar menyatakan bahawa apabila ada sedikit keraguan dalam hujahan pendakwaan walau sebesar zarah sekalipun, dakwaan sudah cacat. Kes tergugur dengan sendirinya. Apatah lagi banyak keraguan yang telah dapat dikesan.

Khabarnya kesihatan beliau semakin menurun. Sudah tentu ianya membimbangkan ahli keluarga dan mereka yang bersimpati terhadapnya termasuklah saya. Saya hanya dapat mendoakan agar kesihatannya akan bertambah baik , mudah-mudahan. Amin.
 
Bagi saya Anwar seorang yang sangat 'degil'. Beliau telah memilih satu jalan yang penuh dengan onak duri dan sanggup menghadapi ancaman dari pihak yang ada kuasa. 
 
Jalan keluar yang mudah terbuka luas, yang menyediakan hidup 'bebas', dan mewah yang ditawarkan telah di ketepikan, sebaliknya memilih jalan yang akhirnya membawa beliau ke penjara.  
 
Itulah karekter seorang yang sangat degil yang mensia-sakan peluang sedemikian rupa. 
 
Kenapa Anwar tidak barang sejenak memikirkan bahawa jika perjuangan itu menghadapi ancaman yang amat ketara sehingga boleh terperosok dalam penjara, apa faedahnya diteruskan?
 
Apakah kerana mahu menjaga nama baik dan maruah diri mempertahankan yang hak dan menentang yang batil? Yang semua orang lantang bercakap mengenainya, dan yang belum tentu melakukannya?
 
Benar, mempertahankan yang hak dan menentang yang batil adalah perintah yang datangnya dari Allah. Itulah yang perlu dilakukan apatah lagi mahu jadi pemimpin. Sementelah sudah menjadi seorang pemimpin rakyat.
 
Saya tidak tahu jawapan dari Anwar. Yang saya nampak , beliau terus memperjuangkan keadilan untuk rakyat yang tertindas walaupun ancaman itu sentiasa ada.
 
Beliau memilih penjara?  Mungkin itu yang dikatakan oleh sesetengah pihak.
 
Saya tidak bersetuju dengan jawapan seperti itu kerana orang yang tidak rasional saja akan berfikir seperti itu.
 
Bagi saya jika ada jawapan seperti itu, ianya datang dari pihak yang ada kuasa yang berupa satu ancaman. Saya anggap,  itu adalah jawapan dari orang yang pengecut dan penakut, orang yang suka mengancam menggunakan kuasa.  
 
Seolah-olah dengan menyebut hukuman penjara itu, ianya boleh membuatkan Anwar berfikir sejenak, dan jika rasa bimbang dan takut mula meresap dalam fikirannya, mereka mengharapkan Anwar akan berundur dari menjuarai keadilan kepada rakyat. 

Tidak. Anwar manusia degil. Apa ada pada ancaman masuk penjara, katanya.

Secara sinis sekarang ini ada pihak yang mengatakan, "Padan muka kau Anwar. Sekarang dah teruk sakit. Kalau tidak melawan , sudah tentu kau bebas dan hidup senang".
 
Saya percaya Anwar tersenyum mendengar kata-kata seperti itu kerana 'bebas' bagi Anwar tidak sama harganya dengan 'bebas' yang mahu dikecapi oleh pihak yang berkata itu.

#Lawan Tetap Lawan - Anwar yang degil.
 
Sebab itu Anwar sekarang dalam penjara.






 
 


 

Isnin, 29 Jun 2015

Membesar Di Kampong.....




Aku teringat cerita zaman kecilku yang aku percaya telah membentuk diriku ini.

Aku teringat semasa membesar di kampong.

Seperti anak-anak yang membesar di kampong, cara membesar aku agak bebas dari segi pergerakan. Emak dan abah tidak risau atau khuatir jika aku pergi merayau-rayau dalam hutan untuk melastik burung. Mandi sungai dan panjat memanjat pokok buah-buahan, tidak langsung mereka fikirkan sebagai yang mendatangkan bahaya.

Begitu jua emak dan abahku  tidak ambil berat jika aku tidak balik tidur dirumah selepas selesai sessi mengaji Quran. Mereka yakin aku tidur di surau bersama dengan kawan-kawanku, dan pada paginya nanti aku akan muncul di rumah.

Yang penting aku mesti lakukan beberapa tanggungjawab harian. 

Mencari kayu api untuk keperluan masak memasak. Memenuhkan tempayan dengan air yang dikandar dari perigi.  Membawa dan menjaga lembu di kawasan ragutan. Mengaji disurau waktu malam.

Dan jika abahku terpaksa menoreh getah pada waktu tengah hari kerana pada waktu pagi batang pokok getah masih basah kerana ditimpa hujan pada malamnya, aku mesti menghantar makanan abah diladang getah tempat kerjanya.

Itu yang lebih penting. Ertinya abah dan emak amat mengharapkan agar aku sentiasa ada dan bersedia untuk melakukannya. 

Adakah aku melakukannya dengan sempurna? Aku rasa semua orang boleh meneka dengan tepat.

Kerja menjaga lembu ini bermula selepas makan tengah hari. Aku melepaskan lembu peliharaan yang terikat di kandang untuk digerakkan ke tempat yang berumput iaitu di ladang-ladang getah. Turut bersama adalah beberapa orang kawan yang sebaya. 

Kami hanya mengekori binatang belaan itu tanpa melakukan banyak arahan kerana lembu-lembu itu sudah tahu di mana dan ke mana perlu di tuju.

Semasa menjaga lembu-lembu inilah, aku akan mengumpul dahan dan ranting pokok getah yang mati untuk dibawa balik sebagai bahan api untuk masak memasak. 

Menjaga lembu adalah satu kerjaya yang menjemukan, tidak langsung mencabar, tidak banyak menggunakan otak. Cuma mata mesti sentiasa luas terbuka memerhati kemana lembu-lembu itu bergerak.

Untuk mengelakkan rasa jemu, kami main bola walaupun ada empat atau lima orang lelaki saja.

Bola dibuat dari getah sekerap. Namun begitu ianya memberi kepuasan kepada kami sehingga kadang-kadang terlalu asyik bermain kami tidak sedar lembu jagaan kami telah hilang dari pandangan mata. Maka masing-masing bergegas untuk mencari kemana dan dimana lembu-lembu itu.

Kalau lembu itu ditemui , alhamdulillah. Tapi kadang-kadang lembu itu tidak dapat dikesan sedangkan hari sudah gelap, memaksa kami  pulang ke rumah. Mahu tidak mahu terpaksa pulang juga tanpa lembu. 

Pulang tanpa lembu satu hal. Pulang tanpa lembu dan tanpa membawa sama sebeban kayu api adalah hal yang bertambah berat lagi untuk behadapan dengan emak dan abah. Paling takut adalah dengan abah.

Lembu yang hilang dan gagal membawa balik sebeban kayu api risikonya kena marah.

Namun kerja yang selalu menjadi perang besar diantara aku dengan abang aku ialah memenuhkan air ke dalam tempayan. Selalu bergaduh.  sudah tentu aku menangis terlolong lolong.

Kami mengandar air secara kongsi kudrat. Pengandar kami ialah sebatang buluh. Dengan menggunakan pengandar buluh itu kami pun mengandar air yang berisi penuh dalam sebuah tin minyak gas. 

Sudah tentu tin itu di letak ditengah-tengah agar kami berkongsi beban berat yang sama. Tapi titik tengah jarang mendapat persetujuan diantara kami berdua. Maka bergaduhlah kami berdua.  Aku menangis.

Tapi kerja perlu juga diselesaikan sehingga tempayan penuh diisi air.
 
Satu lagi tugas harian ialah pergi mengaji quran. 

Disebelah malam kami pergi mengaji quran disurau yang letaknya kurang lebih 2km dari rumah. Kami mula bergerak sebelum masuk  waktu Maghrib. Keadaan sudah mulai gelap tapi tidak mengggangu perjalanan. 

Dalam hal mengaji ini, dua hal yang aku mahu rakamkan. Pertama perjalanan balik ke rumah selepas mengaji. Kedua bayaran kepada guru yang mengajar.

Ketika itu masih belum ada lagi bekalan arus letrik. Maknanya tiada lampu jalan bagi memudahkan perjalanan.

Jadi kami gunakan andang (daun kelapa yang kering yang diikat memanjang). Andang itu dibakar dijadikan penyuluh bagi menerangi sepanjang perjalanan. Tapi jika kehabisan andang sedangkan perjalanan masih belum selesai ia menimbulkan masalah. Tambahan lagi tiada andang yang lain.

Maka meraba-rabalah kami meneruskan perjalanan. Ada yang nakal mengambil kesempatan menakutkan-nakutkan dengan cerita adanya hantu. 

Tentang bayaran kepada kepada guru mengaji ianya tidaklah mahal. Sebulan satu ringgit saja. Namun begitu banyak juga yang gagal membayar termasuk aku. 

Kesan dari gagal membayar itu membuatkan aku merasa berat untuk pergi belajar mengaji. Tapi abah aku mendesak aku terus mengaji. Aku pergi juga dengan perasaan malu-malu.

Satu lagi tugas yang memberi kesan teramat sangat kepada aku ialah apabila melihat abah menoreh pokok getah. Biasanya kesempatan ini berlaku apabila aku menghantar makanan kapada abah kerana terpaksa menoreh pada waktu tengah hari disebabkan pada waktu pagi batang getah masih basah ditimpa hujan.

Ertinya setiapkali berlaku keadaan seperti itu, aku akan menghantar makanan abah ditempat kerjanya.

Semasa berada di ladang getah itu, dan melihat abah menoreh dari pokok ke satu pokok, tambahan lagi dengan memikul sama sebatang tangga bagi memudahkan abah menoreh dibahagian batang pokok getah yang tidak dapat dicapai tanpa menggunakan tangga, perasaan sedih dan pilu menguasai diri aku. 

"Beginilah caranya abah bekerja berat bagi menyara aku dan keluarga", bisikan dalam hati yang memberi kesan yang teramat sangat yang menyemai serta menyuburkan azam aku untuk berjaya dalam pelajaran dan meninggalkan kehidupan yang dilalui oleh abah.

Oleh itu terdetik dihati aku bahawa apapun kerja harian yang diminta aku buat misalnya menjaga lembu, mencari kayu api dan mengandar air serta menghantar makanan ianya adalah terlalu kecil berbanding dengan kesungguhan abah untuk menyara keluarga walaupun upahnya tidak seberapa.

Aku juga mula faham mengapa bayaran upah mengaji selalu tertunggak tapi abah masih lagi mahukan kami terus mengaji. Mungkin abah menjual air mukanya.

Membesar di kampong, aku mempunyai kekuatan untuk berdikari. 

Membesar di kampong, aku juga telah diajar untuk mengambil tanggumgjawab semenjak dari kecil. 

Dan membesar di kampong dengan melihat kesungguhan abah menjalankan tanggungjawab menyara dan mendidik anak walaupun dengan menjual air muka telah menjadikan aku berazam untuk membaikki kehidupan dan taraf ekonomi keluarga.   

Setelah menjadi seorang ayah dan datuk, aku tidak mahu anak-anak dan cucu membesar di kampong dalam keadaan aku dibesarkan. Dulu dan sekarang terlalu banyak bezanya. Cara dan pendekatan serta tumpuan kepada anak-anak tidak sama seperti dahulu.

Dulu aku bebas, sekurang-kurangnya dari segi pergerakan aku. Abah dan emak aku tidak pernah risau selagi aku balik ke rumah. Tapi sekarang ini kalau anak-anak tidak memberi tahu yang mereka telah sampai ke sesuatu destinasi dengan selamat , aku amat risau sekali. 




Selasa, 23 Jun 2015

Murtad: Jangan Bersedih Kerana Kita Juga Yang menjadi Penyebabnya.

 
 
 
Berita seorang rakyat Indonesia, Lukman Sardi murtad -menukar agama dari Islam ke Kristian membuatkan kita merasa kecewa dan sedih.


Apa pun tahap keimanan kita terhadap Islam, apabila saja mendapat berita seseorang Islam itu, sama ada kita kenal atau tidak, keluar dari Islam, kita akan merasa sedih dan kecewa. Kita akan berkata antara lainnya, "Mengapakah jadi begini?"
 
Sewajarnya soalan seperti itu ditanya, walaupun tiada siapa pun dihadapan kita kerana kita sendiri mahu tahu mengapa jadi begitu.
 
Tetapi, soalan seperti itu tidak membawa kesan dan makna jika ianya berakhir dengan keluhan sedih tanpa kita sendiri cuba mengusahakan jawapan atau memikirkan sebab mengapa terjadinya penukaran agama itu.
 
Amat malang juga jika kita mengambil jalan mudah dengan segera menuding jari kepada pihak lain (pendakwah agama lain) yang menyebabkan saudara Islam kita itu bertukar agama. Cara kita ini sebenarnya cuba mengelak diri dari mencari kesalahan atau kelemahan sendiri.
 
Oleh itu usahlah kita berterusan sedih dengan peristiwa tukar agama ini kerana ianya tidak akan membantu dalam usaha untuk menjadikan Islam sebagai agama yang diimani sehingga kita menemui Allah. 
 
Cara terbaik dalam menghadapi tukar agama ini adalah dengan melihat kedalam. Antara lain, lihat pada diri sendiri, pada masyarakat dan penguasa yang menguruskan institusi agama kita,

Soalan yang wajar kita tanya ialah: 
 
i) Apakah kita ini seorang Islam yang baik?

ii) Adakah juga masyarakat kita mempamirkan cara hidup Islam yang sebenar?

iii) Adakah  Penguasa yang menguruskan institusi Islam menjalankan tanggungjawab penuh amanah?

Soalan pertama sudah tentu tidak menafikan bahawa setiap dari kita adalah manusia yang sifatnya tidak sempurna. Kita ada banyak kelemahan.
 
Tetapi kelemahan itu bukan alasan untuk tidak menjadi seorang Islam yang terbaik, sebaliknya ianya adalah satu asas atau tapak  yang kuat bagi kita gunakan untuk mempertingkatkan kualiti diri.
 
Manusia Islam yang lemah sudah tentu tiada kualiti. Maka dari masa kesemasa kelemahan itu kita kikis melalui peningkatan ilmu  dan amalan yang diperintah Allah dan meninggalkan perkara yang dilarang.
 
Masyarakat Islam, sama ada di Malaysia dan ditempat lain adalah amat mengecewakan. Penguasaan ilmu, penguasaan politik dan penguasaan ekonomi serta akhlak dan moral yang dipamerkan adalah  masih lagi rendah berbanding dengan masyarakat agama lain. Paling teruk Islam digambarkan sebagai ganas dan zalim.
 
Sebab itu kita mudah saja ditakluki bukan saja secara fizikal bahkan pemikiran kita. 
 
Ambil contoh tentang mengurus dan menyelamatkan pelarian Rohingnya -apakah sebenarnya dunia Islam mengambil peduli tentang kemungkinan besar pelarian ini akan bertukar agama?
 
Tidak banyak negara Islam atau negara pimpinan Islam termasuk Malaysia, yang mengambil langkah positif dan berkesan bagi mengurus dan membantu pelarian beragama Islam ini. 
 
Dunia Islam tidak berdaya untuk membantu mereka kerana politik negara yang tidak kuat dan stabil, kerana ekonomi yang lemah, kerana moral pimpinan yang rendah terlibat dengan pecah amanah dan salah guna kuasa.
 
Tidak kah kita bersedih jika mereka murtad?
 
Lihat juga apa yang dilakukan oleh institusi yang bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara kepentingan Islam. Contoh institusi yang menguruskan zakat.

Di negara kita, Institusi zakat ini amat terkenal sebagai institusi yang berlumba-lumba mengutip wang dari orang Islam. Pengurusan institusi ini amat bangga menyediakan sasaran kutipan zakat bagi sesuatu tahun, misalnya dari 10 juta tahun lepas kepada 20 juta tahun ini. Berbagai kempen kutipan zakat dilaksanakan, melalui siaran radio, tv, dan edaran bercetak. Kaunter-kaunter kutipan zakat disediakan diberbagai tempat.

Tapi pernahkah kita dengar atau dapat maklumat secara meluas dan berkesan serta mudah dicapai dalam hal menfaatkan kutipan zakat itu bagi kepentingan ummah? Jawapannya amat mengecewakan sekali - terlalu sedikit dan ambil sambil lewa saja.

Sebab itu ramai orang Islam yang miskin dan mereka yang layak untuk menerima zakat, misalnya untuk menyambung pelajaran, tidak mendapat maklumat secara mudah dan mencukupi. Apatah lagi ada berbagai halangan dari segi urusan untuk mendapatkan sumber zakat itu.

Jadi mereka ini mencari sumber lain yang boleh dan ingin membantu. Secara kebetulan atau memang itu menjadi tujuan institusi dakwah kristian misalnya, amat mengalu-alukan serta bersedia menghulurkan bantuan kepada orang Islam yang terbiar ini.
 
Sudah tentu hati mereka tersangkut dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh institusi kristian ini. 
 
Jika pertolongan itu berterusan, dan jika kita juga berterusan membiarkan mereka mengambil jalan itu,  disamping mereka juga kurang pengetahuan tentang Islam, maka hairankah kita jika mereka ini mudah saja bertukar agama?  

Kemudian kita marah-marah pada institusi kristian itu. Dan sebahagian besar dari kita akan mengeluh menyatakan rasa sedihnya mengapa jadi begitu.

 
 
   

Ahad, 21 Jun 2015

Seronoknya Bersama Anak dan Cucu-cucu Dalam Bulan Puasa.




Semalam berbuka puasa bersama anak-anak dan empat orang cucu. Seronok dapat berkumpul.
 
Tiba sahaja hari Jumaat, saya dan isteri , sudah berkira-kira menanti kepulangan anak dan menantu serta cucu-cucu untuk bersama-sama dalam bulan Ramadhan ini - berpuasa , berbuka dan bersyahur. Dan melihat gelagat dan mendengar suara cucu-cucu.
 
Seperti biasa setiap kali menunggu kepulangan mereka, isterilah yang paling sibuk  sekali. Pertama yang terkeluar dari mulutnya ialah tentang makanan yang mahu dihidangkan, termasuk minuman kegemaran cucu-cucunya. Sudah tentu sesuatu yang istimewa yang difikirkan.
 
Kedua, setelah bersedia dengan senarai apa yang perlu dihidangkan, maka diajaknya saya untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan.
 
Apa pun yang hendak dihidangkan, saya tidak terlibat dari segi masak memasak. Kerja-kerja itu dimonopoli oleh isteri dan anak-anak. Maknanya tiada sumbangan tenaga dari saya.
 
Kami diberitahu, anak dari Putra Jaya akan balik pada petang Jumaat, selepas waktu bekerja; dan anak dari Ampang akan balik ke Rembau dulu, kemudian ke rumah pada hari Sabtu.
 
Maklumat diatas adalah penting bagi isteri dalam menyediakan jenis hidangan  dan kuantitinya.

Dalam berangan-angan untuk syahur bersama, kami telah diberitahu bahawa anak dari Putra Jaya itu hanya balik pada pagi Sabtu saja kerana agak keletihan untuk balik pada petang Jumaat.

Aduhhh.....satu keluhan sedih.
 
Namun kami menjadi ceria semula apabila pada hari Sabtu, semua anak, menantu dan cucu-cucu dapat bersama, berbuka dan syahur bersama.
 
Kehadiran cucu-cucu kami , menukarkan suasana dirumah kami, dari senyap sunyi kepada riuh. Cucu-cuculah yang menghidupkan suasana. 
 
Ada yang menangis kerana kurang sihat, ada yang menangis kerana tidak mahu diambil selain dari ibubapanya atau seseorang yang berkenan di mata,    dan ada yang menangis selepas seronok bermain kerana berbeza cara.
 
Yang benar-benar mencorakkan suasana ialah dua orang sepupu, masing-masing berusia lima dan empat tahun. Kedua-duanya lelaki.
 
Mula-mula bermain - berkejaran, sepak menyepak bola, lambung melambung belon, diiringi dengan ketawa riang. Yang situa pun seronok melihat gelagat mereka.
 
Kemudian, sepupu yang lebih muda menjerit menangis. Kami yang tua sudah menjangkakan. Ianya perkara biasa.
 
Tapi cuma kali ini volume tangisannya agak tinggi. 
 
Saya mesti berbuat sesuatu, fikir saya. Lalu saya pujuk dan bawanya ke dalam bilik. Dia masih menangis. Lalu saya fikir, saya mesti bercerita. Cerita yang dia suka.
 
Sebaik saja saya beritahu untuk bercerita, secara otomatis cucu saya itu berhenti menangis.
 
Kemudian sepupu tuanya itu masuk ke dalam bilik dan berbaring bersebelahan dengannya, rapat sekali, seolah-olah tiada 'pergeseran' beberapa minit yang lepas.

Mereka mendengar cerita saya dengan penuh minat walaupun cerita itu telah berulang kali diperdengarkan. Kedua-duanya ketawa suka dengan cerita saya itu, kelakar gamaknya.
 
Kemudian, mereka bercadang untuk mandi bersama. Mereka tidak mahu saya yang memandikannya. Pilihan mereka ialah neneknya.
 
Mudah saja mereka berdamai. Tiada dendam dan sakit hati. 
 
Begitu juga mudah mereka untuk 'berperang'. Kemudian berdamai. Bagi saya ianya perkara biasa. 
 
Pagi tadi berulang cerita yang sama, gencatan senjata telah dilanggari.
 
Namun waktu mereka hendak berpisah untuk  pulang ke destinasi yang berbeza, mereka bersedih pula.
 
Kepulangan mereka saya iringkan dengan senyuman gembira, walaupun sedih, sambil melambai-lambaikan tangan dengan harapan dapat bersama lagi.
 
Yang menjadikan saya terus tersenyum ceria ialah apabila mengingatkan dialog dibawah ini.
 
Dialog Pertama
 
Yousef: Aqib ambillah belon itu banyak-banyak.
Naqib: Macam mana Naqib nak ambil banyak-banyak, Aqib ada dua tangan jer.
 
 
Dialog kedua.
Naqib: Abang Yousef dan Naqib nak balik nih
Tokpa: Aqib tak kesian ke tinggalkan tokpa dan nenek
Naqib: Nanti Naqib baliklah lagi.

Jumaat, 19 Jun 2015

Latihan Berpuasa Anak Kecil




Alhamdulillah, rihat sekejap selepas berbuka, sebelum menuju ke masjid bagi menunaikan fardhu Isya' dan seterusnya bertrawih.
 
Laptop ada didepan mata, jadi kenalah tulis sesuatu.
 
Tapi apa yang hendak dibicarakan? Tajuknya mudah saja difikirkan untuk dijadikan bahan penulisan. Cuma , dalam bulan Ramadhan ini, kenalah berhati-hati dalam membicarakan sesuatu tajuk, terutama bahasa dan pilihan kata-kata agar ianya tidak membuatkan puasa menjadi sia-sia.
 
Oleh itu dalam batasan tersebut, saya teringat satu cerita semasa kecil dahulu bagaimana ibubapa melatih anak berpuasa.
 
Anak-anak sekecil 4 tahun telah digalakkan berpuasa. Dimulakan dengan puasa sehingga pukul 10 pagi, bagi hari pertama, dan jika boleh tahan dilanjutkan pada hari seterusnya.

Kemudian, akan dipanjangkan tempoh menahan lapar dan dahaga, misalnya sehingga ke pukul satu atau dua petang. Dan seterusnya , meningkat sehingga waktu 'Asar dan ke waktu berbuka puasa yang sebenar.
 
Ada juga yang melatih anak kecil berpuasa dengan cara berselang seli -hari ini berpuasa, esok tidak berpuasa. Ada juga yang berpuasa sampai sebulan penuh.
 
Latihan berpuasa semenjak dari kecil itu hanya memberi tumpuan kepada ketahanan berlapar dan berdahaga. Jarang latihan itu memberikan tumpuan kepada perlunya melaksanakan solat fardhu lima waktu dan solat sunat terawih.
 
Kesan dari latihan berpuasa secara ini berjaya dari segi menahan lapar dan dahaga saja. Sebab itulah, menahan lapar dan dahaga bukan satu perkara yang amat berat untuk dilaksanakan. Kesannya, kadang-kadang kita boleh berjumpa ada orang yang berpuasa tetapi tidak melakukan solat.
 
Namun begitu, latihan berpuasa (menahan lapar dan dahaga) perlulah dimulakan dari kecil dengan diberikan kefahaman bahawa sama ada kita berpuasa dalam bulan Ramadhan atau diluar Ramadhan , solat fardhu tidak boleh ditinggalkan.
 
Selamat meneruskan ibadat berpuasa dan ibadat-ibadat lain yang diperintah Allah.

Khamis, 18 Jun 2015

Langit Yang Mendung Membantu Saya Ketika Melakukan Kerja.




Alhamdulillah, hari pertama puasa berjalan dengan baik. Saya tidak bermaksud dari segi berjaya menahan lapar dan segala yang berkaitan dengan kepuasan hawa nafsu yang dilarang semasa berpuasa. 
 
Berjalan baik bermaksud, disamping berpuasa Allah memberikan sedikit kudrat kepada saya untuk membuat kerja membersih kawasan rumah, menyapu sampah dan memesin rumput.
 
Berpeluh lencun dibuatnya. Basah seperti ditimpa akhir hujan lebat trek sut dan baju lengan panjang dan cap saya.
 
Selepas menghantar anak ke stesyen bas untuk ke KLIA bagi penerbangan ke Kota Baru pada sebelah pagi pukul 8, saya kuatkan hati untuk melakukan kerja memesin rumput, bagi menyambung kerja semalam yang belum selesai.
 
Cuaca pagi ini agak mendung, tapi tiada hujan. Ianya sangat baik bagi melakukan kerja diruang terbuka kerana tiada panahan matahari. 
 
Kerja memesin rumput yang berbaki semalam tidak lah banyak. Dengan itu ianya mengambil masa tidak lebih dari setengah jam. 
 
Habis saja memesin rumput, saya beralih kepada kerja menyapu dan membuang sampah dihalaman rumah. Sampah terlalu banyak terutamanya daun-daun kering dari pokok-pokok disekitar kawasan rumah. Apatah lagi sekarang ini musim angin bertiup kencang, menyebabkan banyak daun-daun  kering  gugur dan memenuhi halaman dan kawasan rumah.
 
Sesekali langit mula cerah. Matahari mula kelihatan dan menerangi bumi. Saya mula resah kerana khuatir tidak akan dapat meneruskan kerja. Saya tidak mampu bertahan bekerja dengan panahan matahari yang terik.
 
Namun begitu, awan mendung masih lagi bersimpati pada saya dengan kembali semula menutup pancaran matahari. Saya mula melakukan kerja dengan lebih cepat lagi.
 
Tapi, langit tidak sentiasa cerah. Langit juga tidak sentiasa mendung. Cerah dan mendung silih berganti mengambil tempat. 
 
Ketika langit mendung, saya menafatkan untuk melakukan kerja pembersihan kawasan luar rumah. Dan semasa langit cerah, saya terpaksa mengaku kalah dan mencari tempat berlindung dari panahan cahaya matahari. Dan jika matahari masih lagi mencerahkan bumi, saya akan berhenti dari kerja membersih kawasan luar rumah.
 
Begitulah sedikit kisah dihari pertama bulan Ramadhan. 
 
Bahawa tidak semua yang dikatakan mendung itu tidak memberi menfaat; begitu juga langit yang cerah dengan suluhan terang benderang dari sang matahari itu, ada ketikanya menjadi penghalang kepada kerja yang hendak dilakukan.
 
Langit yang mendung mahupun yang cerah adalah pemberian Allah yang sepatutnya kita redhai kehadirannya. Hidup kita yang susah dan miskin mahupun kaya berharta, wajar juga kita redhai. Cuma pandai-pandailah kita gunakan 'akal fikiran yang dikurniakan Allah bagi mendapatkan yang terbaik. 
 
Jika kita miskin, bekerja kuatlah untuk menjadi orang kaya. Jika kita kaya, bantulah orang miskin yang memerlukan. 
 
Begitulah sepatutnya yang perlu kita faham akan maksud langit itu tidak perlu sentiasa cerah kerana kadang-kadang mendung juga perlu mengambil tempat, kerana mendung itu juga amat memberi menfaat, seperti saya perlukan ketika membuat kerja diluar rumah.
 
Selamat meneruskan puasa dengan penuh keredhaan walau apapun keadaan kita.

Ahad, 14 Jun 2015

Mahathir dan geng serang, Najib dan geng menyerang juga....Nilai Ringgit jatuh, rakyat yang terseksa.




Serang menyerang semakin hebat. Bilangan yang turut serta juga bertambah. 
 
Rakyat biasa, sudah memang jadi biasa turut bersama kerana akhirnya mereka juga yang terkena. 
 
Orang politik, itu memang kerja mereka, kalau tidak bergaduh, bukan orang politik namanya kerana mereka ada banyak kepentingan diri yang mahu dijaga dan dipertahankan.

Sultan dan bakal raja pun sama-sama mara sebab mereka juga warga dan ada hak bersuara walaupun dalam kategori yang istimewa dan berbeza, demi rakyat gamaknya.
 
Semuanya 1MDB punya angkara dan cerita.
 
Serang mula dilakukan oleh PR ke atas UMNO pimpinan Najib. Rafizi (PKR) dan Tony Pua (DAP) kedua-dua dari PR (minus PAS) mempersoalkan beberapa aspek pengurusan 1MDB yang boleh memberi kesan buruk kepada negara dan rakyat khususnya tentang jumlah hutang 1MDB yang begitu besar, yang mana sebahagiannya dijamin oleh negara.
 
Memenjarakan Anwar, menambahkuatkan lagi PR untuk mendedahkan salah laku dan urus kerajaan BN yang berpaksikan UMNO.
 
Tapi seperti biasa, dari dulu sehingga kini dan mungkin sampai bila-bila, selagi UMNO tidak berubah, dan memegang teguh serta percaya dengan kata-kata 'dari dulu, kini dan selama-lamanya' sebagai keramat, selama itu segala nasihat, pandangan, teguran dan kritikan yang datangnya dari selain UMNO khususnya dari parti lawan dengan mudah dianggap sebagai fitnah dan bohong.
 
Hanya apabila Mahathir, mantan PM yang berkuasa lebih 22 tahun, yang juga mantan presiden UMNO, mengambil fakta dan maklumat yang sama dari Rafizi dan Tony Pua tentang 1MDB, barulah sesetengah ahli UMNO percaya. Mereka tidak kata sebagai bohong dan fitnah kerana yang berkata itu bekas PM dan presiden UMNO.

Lihat dan nilai siapa mereka. Perkara yang mulanya dikatakan fitnah dan bohong boleh saja bertukar menjadi yang benar dan hak. Hanya kerana Mahathir, bukan atas sifat perkara itu benar atau salah. Warna hitam menjadi putih jika Mahathir yang berkata begitu.
 
Akibatnya, sekarang UMNO sedang bergaduh sakan. Mahathir dan kumpulannya menyerang Najib dan kumpulannya. Mahathir kata serangannya itu demi  masa depan UMNO. Najib pun kata demi masa depan UMNO.
 
Pelik bukan? Jika masa depan UMNO yang mahu diselamatkan, mengapa mereka perlu bergaduh?
 
Maka sudah tentu ada kepentingan lain yang mahu diselamatkan. 
 
Menurut Mahathir, UMNO akan kalah kalau Najib terus jadi PM. Apabila UMNO kalah pemimpin UMNO akan diheret ke mahkamah. Ertinya termasuk Najib dan Mahthirlah.
 
Itulah sebenarnya yang mahu dielakkan, untuk terselamat dari siasatan dakwaan dan perbicaraan di mahkamah.
 
Itulah kepentingan mereka. Sama saja. Demi kepentingan UMNO itu sebenarnya bermaksud demi kepentingan diri mereka. Dari segi ini Najib dan Mahathir tiada berbeza.
 
Demi kepentingan Mahathir = demi kepentingan Najib. Dan dilebarkan lagi demi kepentingan geng-geng Mahathir = demi kepentingan geng-geng Najib.
 
Lihat sekarang, ahli-ahli geng masing-masing turut sama serang menyerang. Semua cerita ditabur dan selerakkan. Masing-masing pihak percaya merekalah yang baik dan pihak lain hodoh sedangkan cerita sebenarnya adalah semuanya hodoh. 
 
Kehodohan itu sudah lama diketahui oleh pihak lain dan sudah pun diberitahu. Tapi mereka (kedua-dua pihak) sebelum drama serang menyerang ini, kata semuanya fitnah pembangkang.

Tapi sekarang mereka mengesahkan apa yang pembangkang telah beritahu.

Kedua-dua pihak, Mahathir dan Najib sebenarnya telah melakukan salah guna kuasa yang menyebabkan kehilangan dan kerugian hasil negara, sebagai satu dari contoh.
 
Mereka yang mengesahkan perkara ini. Kesannya rakyat jadi sengsara.
 
Ikutilah drama serang menyerang ini. Bilangan yang terlibat sudah semakin bertambah. 

Kredit pada PR (minus PAS) khususnya Rafizi dan Tony Pua yang memulakan cerita.

 

 

Sabtu, 13 Jun 2015

Mencari mood untuk buat kerja.



Hampir seminggu merihatkan diri, tidak lagi membuat kerja membersih kawasan luar dan dalam rumah. Badan terlalu letih dan sakit-sakit. Tambahan lagi dalam musim cuti sekolah ini, menghadiri beberapa jemputan majlis kenduri kahwin. Ada juga kematian saudara mara.  Ke rumah anak menjaga cucu yang tidak sihat dan pengasuh cucu yang terpaksa bercuti.
 
Itulah antara alasan-alasan yang menyebabkan saya tidak membuat kerja-kerja mengemas dan membersih dalam dan luar rumah.
 
Hendak mulakan semula kerja-kerja tersebut bukanlah perkara yang mudah. Ada macam-macam alasan yang terbit dalam hati menghasut agar lupakan saja kerja-kerja rumah itu. Kamu sudah tua, baik saja berihat, antara hasutan itu. 
 
Benar, usia telah lanjut, mengapa perlu saya mop lantai. Mengapa perlu sapu dan buang tahi cicak, bersihkan bilik air, vacuum ruang-ruang yang berhabuk dan sebagainya. Lupakan saja basuh dan mop lantai garaj kereta dan ruang berihat di luar rumah serta koridor sekeliling rumah.
 
Mengapa perlu mencabut rumput di laman, membantu isteri menyiram pokok-pokok bunga. Jangan memesin rumput kerana ianya meletihkan, apatah lagi dalam cuaca yang panas terik yang boleh menambah gelap kulit dibadan. Tidak perlu cantas pokok kecil yang meliar dipagar sempadan. Biarkan saja.
 
Begitu kuat hasutan agar saya merihatkan  badan tanpa buat kerja-kerja tersebut. Sebelum berihat dulu, pagi-pagi lagi saya duduk tercatuk mencabut rumput yang cepat tumbuh di celah-celah batu interlocking.  Masuk hari ke sepuluh, kerja itu masih belum selesai. 
 
Dalam perancangan, habis saja rumput dicabut, akan mesin rumput di dua sisi rumah dan kawasan belakang. Kemudian diikuti, mengemas dan menyusun atur semula pasu-pasu bunga yang berselerak serta mencabut rumput yang tumbuh dalam pasu bunga itu. Habis saja kerja itu, akan mula mencantas pokok-pokok kecil yang tumbuh meliar di kedua-dua sempadan sisi rumah.
 
Itulah yang dirancang sebelum menghadapi bulan puasa nanti. Saya tidak akan mampu untuk melakukannya dalam bulan yang penuh cabaran dari segi tenaga dan kekuatan fizikal. Tapi perancangan tidak menjadi kenyataan. Banyak perkara lain yang tidak dirancang terpaksa juga dihadapi.
 
Jadi boleh kah saya biarkan saja begitu? Dan menyambung tempoh berihat?

Sudah pasti ianya bukan satu pilihan yang terbaik. 
 
Mata terlalu sakit melihat tahi cicak yang bertaburan. Tidak selesa duduk dalam ruang yang kotor dan berhabuk. Sedihnya melihat pokok-pokok bunga yang kering dan terkulai layu kerana jarang disirami air. Bencinya melihat rumput yang tumbuh dicelah-celah kepingan batu interlocking. Rumput yang tidak dimesin juga merosakkan kecantikan persekitaran.
 
Jadi saya mahu melihat persekitaran yang selesa, bersih , kemas, teratur  dan cantik.
 
Untuk itu apa pilihan yang ada selain dari bekerja ke arah itu. Siapa yang nak buat? Upah pihak lain bukan satu pilihan dalam kemampuan kewangan. Maka sendiri kena lakukan.
 
Itu mood yang pertama.
 
Mood kedua?
 
Bekerja boleh menyihatkan badan. Peluh yang keluar akan mengeluarkan sama toksid dalam badan -gula ditukarkan kepada tenaga dan seterusnya keluar sebagai peluh. Lemak-lemak hancur, keluar melalui peluh. Kolesterol akan terkawal , baik untuk jantung dan tekanan darah tinggi. Bukankah ini satu rawatan tanpa kos? Apa tunggu lagi, buatlah kerja sendiri.
 
Mood ketiga?
 
Bukankah kadang-kadang kita ada pelawat. Sudah tentu merasa malu jika rumah tidak kemas, berserabut dan penuh dengan tahi cicak. Yang paling dikhuatiri adalah pelawat yang tidak memberi maklum kehadirannya. Tiba-tiba muncul sedangkan rumah dan persekitaran rumah amat menjelekkan.
  
Jadi mengapa mahu jadi malu dan tersipu-sipu? Ayuh buat kerja.
 
Pagi ini saya bingkas bangun, tidak lagi memikirkan badan sakit dan letih. saya sudah dapat mood untuk melakukan kerja. 
 
Saya mahukan persekitaran luar dan dalam rumah yang kemas, bersih dan cantik. Saya mahu menjaga kesihatan melalui rawatan tanpa kos. Dan saya malu pada kawan-kawan yang datang ke rumah jika rumah berkeadaan tidak cantik, kemas dan teratur.
 
Saya mulakan dengan menyapu dan membuang tahi cicak, diikuti dengan kerja mengemop ruang-ruang di dalam rumah. Wah sampai masuk zohor pun kerja tidak selesai. Terpaksa sambung esok hari.



Jumaat, 12 Jun 2015

Saya Naik Meluat dan Muak Fasal Bahasa Melayu Membuatkan Penguasaan Bahasa Inggeris Menurun.




Timbul lagi soal penggunaan bahasa di sekolah/pusat pengajian seolah-olah keputusan yang dibuat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan kebangsaan telah memberi kesan yang buruk kepada negara dan rakyat.

Antara kesan buruk yang selalu diperkatakan ialah gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Dan yang terbaru, membuatkan rakyat hidup asing mengasing berdasarkan kelompok kaum. Maknanya tiada perpaduan.

Saya sudah naik muak dan meluat tentang perkara ini. Bahasa menjadi mangsa, bukan pelaksana dan pengguna bahasa .

Saya bersekolah rendah melayu kampong yang hanya belajar bahasa Inggeris ketika darjah enam. Apabila berjaya dalam peperiksaan masuk sekolah menengah, guru bahasa Inggeris tanya apakah pilihan saya, aliran melayu atau inggeris.

Saya tidak menjawab walaupun dalam hati aliran Inggeris adalah yang saya mahukan. Tapi saya tahu bapa tidak bersetuju kerana katanya belanja mahal. Dia tidak mampu.

Faham mesej saya diatas? Mesejnya ialah bahawa jika semua pihak mendapat capaian yang sama dan adil untuk mendapatkan pembelajaran bahasa inggeris, tidak akan timbul menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar disekolah boleh memberi kesan yang buruk kepada penguasaan bahasa inggeris dan perpaduan masyarakat.

Kerajaan mesti mengambil peranan utama dari segi mengadakan capaian yang sama dan adil bagi semua rakyat tanpa ambil kira kaum, tahap ekonomi, kedudukan dan tempat tinggal mereka.

Apapun pilihan yang dibuat, melayu atau pun inggeris yang pentingnya ialah kesungguhan dan azam bagi menguasai bahasa-bahasa itu. Apa pun bahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan sama ada melayu mahupun inggeris, ianya tidak menghalang kita untuk menguasai bahasa-bahasa itu.

Jadi jangan salahkan bahasa. Salahkan pelaksana dan sikap dan pendirian pengguna.

Dari pengalaman dan rekod yang ditunjukkan, sebenarnya pelaksana tidak ada kesungguhan dalam menentukan bahasa inggeris dikuasai dengan baik. 

Bukan saja pelajar dan lepasan pelajar perlu menguasai bahasa inggeris dengan baik (petah dan mahir dalam penggunaan bahasa inggeris itu), bahasa itu mestilah sekurang-kurangnya dapat difahami meliputi semua lapisan rakyat tanpa mengira tempat tinggal, tahap ekonomi, kedudukan dalam masyarakat dan keturunan.

Maknanya jangan ada sedikitpun perbezaan dari segi peluang, ruang dan capaian untuk mendapat pembelajaran dalam bahasa inggeris.

Apa yang telah dan sedang berlaku?

Pelaksana tidak ada kesungguhan. Bahkan banyak yang hipokrit.  

Lihat saja sekolah luar bandar berbanding dengan  bandar. Sekolah luar bandar terlalu menyedihkan dalam segala segi. Guru yang mengajar bahasa inggeris sendiri tidak menguasai bahasa itu, bahkan tidak dilatih dalam bahasa itu. Bagaimana untuk menguasai bahasa inggeris?

Sebahagian besar pelajar dan lepasan institusi pendidikan yang lemah bahasa Inggeris adalah pelajar melayu dan bumiputera. Mereka ini orang susah tidak mempunyai peluang , ruang dan capaian yang baik dari segi bahasa inggeris berbanding dengan yang tinggal dibandar. 

Sebaliknya pelajar bukan melayu yang mengikuti pembelajaran dalam bahasa yang sama, iaitu bahasa melayu dapat menguasai bahasa inggeris dengan lebih baik. (sudah tentu bukan semua). Sebab capaian mereka untuk pembelajaran bahasa inggeris adalah mudah dan lebih luas.

Jadi jangan salahkan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar dalam sisitem pendidikan yang membuatkan penguasaan bahasa inggeris menurun.

Tunjukkan kesungguhan. Buat dan jangan cakap saja untuk meningkatkan penguasaan bahasa inggeris. 

Percayalah kepada bahasa Melayu. Usaha dengan penuh keinsafan dan berlaku adil kepada semua dalam menyedia dan menyampaikan   pelajaran bahasa inggeris.

Jangan hipokrit mengatakan bahasa melayu itu dimertabatkan sedangkan anak belajar di luar negara. Sebab itu bahasa inggeris disekolah kebangsaan tidak diberi perhatian yang sewajarnya.

Sikap pelajar dan orang ramai juga perlu diubah/berubah. Berusaha dan kerja kuat bagi menguasai bahasa inggeris. Jika pelaksana bersungguh-sungguh untuk meningkatkan mutu pembelajaran bahasa inggeris, kita juga mesti menyambutnya dengan lebih bersungguh lagi.

Jika syarat lulus bahasa inggeris diwajibkan bagi mendapat sijil, kita perlu terima bagi menguatkan azam kita mempertingkatkan penguasaan bahasa inggeris. Bagi saya, syarat lulus  tidak mencukupi, sepatutnya lulus dengan kepujian, dengan syarat peluang yang sama kepada semua disediakan oleh pelaksana.

Oleh itu jangan bangkitkan lagi tentang pengantar bahasa melayu menyebabkan lemah berbahasa inggeris. Itu adalah hujah orang hipokrit.

Jika mahu juga kata begitu, saya cadangkan hapuskan aliran bahasa melayu dan ganti dengan aliran bahasa inggeris dalam semua mata pelajaran, bukan sains dan matematik saja. Dengan syarat semua orang dapat peluang yang sama.

Jika ini dipersetujui, pindalah perlembagaan kerana amat memalukan lagi hina jika bahasa melayu masih lagi dikatakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Dan jangan lagi gunakan melayu sebagai cara untuk mendapat kedudukan.
 
Dan jangan hipokrit.



Isnin, 8 Jun 2015

Wahai PKR, Kamu Jangan Terus Bermimpi.

 
 
 
Wahai PKR.....


PAS sudah bercerai dengan DAP. Perceraian yang dibuat atas rasa marah dan benci yang berkobar-kobar. Talak 3.
 
DAP yang kena cerai sudah berkata, "OK, baiklah, keluar dari rumah aku, sebab aku ketua rumah. Haram kita serumah setelah bercerai. Bukan kah begitu hukum Islam".
 
Wahai PKR, jangan masih diawang-awangan, mahu ajak PAS dan DAP berunding agar jangan bercerai. 
 
Wahai PKR nak jadi Cina buta kah?
 
Kalau sudah talak 3, PAS mesti kahwin dengan lelaki lain, dengan UMNO misalnya. Jika ditakdirkan bercerai kemudiannya, barulah boleh kahwin dengan DAP lagi sekali, itupun kalau DAP mahu, kalau ada jodoh.

Selagi tidak terjadi sedemikian , PAS dan DAP tidak boleh kahwin melainkan secara salah dan tidak sah yang dipanggil Cina buta. 
 
Apa PKR nak jadi Cina buta ? Tapi mesti ingat DAP adalah Cina yang celik, tidak buta. DAP nampak apa yang telah berlaku dan mampu juga menelah apa yang belum berlaku. DAP adalah telus mata.

Lupakan saja, wahai PKR. Sebaliknya fikir bagaimana hendak selamatkan kerajaan Selangor. Bukan kah  mejadi ketua kerajaan Selangor dan Ketua Pembangkang adalah atas ikhsan DAP? Jangan selalu bermimpi lah!
 
Ingat, dalam PAS marah-marah pada DAP, PAS juga mahu mengenakan PKR. Apa kah PKR tidak boleh berfikir dan membaca maksud dan niat yang tersirat dari lafaz perceraian PAS itu, "Aku ceraikan kau DAP kerana aku benci dan tidak percaya pada kau. Namun begitu aku masih lagi besama dengan kawan serumah aku dan kau, PKR".
 
Bukankah lafaz itu ada niat tersirat mahu kau berselisih faham dengan DAP? 
 
Wahai PKR, kau serba salah kan?
 
Mengapa perlu serba salah. 
 
Kau mesti ingat semasa langkah kajang, siapa sokong kau. PAS  atau DAP. Semasa memilih menteri besar Selangor, PAS atau DAP. Semasa pilihanraya Permatang Pauh, PAS atau DAP. Dan pada bila-bila masa selama kamu bertiga jalan bersama, siapakah yang menyebelahi kamu dan siapa yang mahu menolak dan menyakiti kamu. 
 
Sekarang inipun PAS hanya pandang sebelah mata terhadap kamu. Walaupun kamu berdiam, PAS tetap menyerang kamu. Wahai PKR takkan kamu masih lagi bermimpi.
 
PAS sudah putus dengan DAP. Kamu PKR mesti putus dengan PAS. Tidak perlu ada rundingan. Terima saja kenyataan bahawa PR  yang terdiri dari 3 parti, PAS, PKR dan DAP telah berkubur.
 
Wahai PKR, jika kamu mahu bersama PAS, rasanya kamu tidak akan berbuat begitu, kamu akan hancur dan dipandang hina. Oleh itu selain dari bersama DAP dan menolak PAS, kamu juga boleh bersendirian. Tapi risikonya tinggi iaitu kamu terpaksa bubarkan DUN dan hadapi pilihanraya.
 
Risiko menghadapi pilihanraya pun tinggi. Kamu tidak akan menang kerusi yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan melainkan bergabung dengan parti lain. Siapa pilihan kamu. PAS? UMNO? DAP?
 
Sudah tentu bukan dengan UMNO. Lagipun UMNO akan kalah teruk.
 
Dengan PAS? PAS akan kalah teruk. Orang sudah tidak percaya lagi dengan PAS. Bukan saja yang bukan Islam bahkan orang Islam termasuk ahli PAS sendiri. Ahli PAS itu bukan tak sukakan PAS tapi benci pada kepimpinan PAS  yang baru ini.
 
Jadi pilihan yang terbaik adalah dengan DAP. DAP akan menang , kalau pun tidak bertambah kerusi, namun akan mengekalkan kerusi yang dimenangi sekarang ini.
 
Wahai  PKR kamu jangan terus bermimpi lagi.
 
 
  
 

 
 
 
 
 

Sabtu, 6 Jun 2015

DOKTOR TEMBUS




Sejenak rengankan otak. Lupakan perceraian DAP dan PAS, parti politik yang berkawan tapi lebih suka berkonfrantasi.
 
Tapi saya lupakan kisah politik hanya sejenak, cuma.
 
Saya mahu cerita fasal satu kerjaya. Kerjaya menjadi seorang doktor, kepakaran dalam bidang tembus menembus.
 
Syahdan maka berlakulah satu peristiwa di dalam sebuah rumah yang ramai orang percaya ada penunggu halus dari jenis makhluk selain manusia. 
 
Rumah itu  adalah sebuah banglo lama dua tingkat warisan peninggalan penjajah yang diperuntukkan kepada pegawai-pegawai tinggi penjajah ketika itu. 
 
Maka struktur binaannya sudah tentu mengambil mirip dan ciri-ciri negara asal penjajah- ada garaj, ada bahagian untuk pembantu rumah yang dulunya dipanggil sebagai amah, ada ruang makan famili, ada ruang menerima tetamu dan sebagainya termasuklah kawasan sekitar yang luas dijadikan taman hiasan.
 
Banglo itu terletak diatas bukit, disebuah kawasan yang juga mengambil bukit sebagai alamat surat menyurat. Beralamt No.8, satu angka yang amat digemari oleh masyarakat Cina.
 
Apakah peristiwa yang telah berlaku itu didala rumah itu yang membabitkan cerita kerjaya seorang doktor, berkepakaran dalam tembus menembus?
 
Ceritanya begini....
 
Pada suatu hari, disebelah petang, ketika semua ahli keluarga berkumpul -(ada emak, ada bapa dan ada anak-anak) dibahagian atas ruang rihat rumah berlakulah satu kemalangan kecil tapi menjadi signifiken kepada keluarga itu.
 
Seorang anak perempuan yang masih berusia kurang lebih 2 tahun sedang asyik bermain basikal sesuai dengan saiznya, tanpa mendapat pengawasan yang lebih tua, tiba-tiba menjerit kesakitan.
 
Mendengarkan jeritan kesakitan anak itu, masing-masing yang lebih tua yang terlalu fokus tentang hal lain, dengan serta merta mengalih pandangan mata mereka ke arah anak yang sedang mengaduh kesakitan itu. 
 
Maka kelihatanlah darah mengalir dari pipi sebelah kanan serta dari mulut anak itu. Setelah di periksa maka tahulah mereka bahawa punca berdarah itu adalah akibat dari tusukan benda tajam keatas pipi anak itu, menembusi pipi ke dalam mulut. Rupa-rupanya pemegang (handle) brek basikal itu yang tertusuk apabila basikal itu tidak dapat dikawal dan menimpa anak kecil itu.

Walaupun handle brek yang menusuk itu dapat di tarik keluar, tapi emak sikecil itu jadi panik. Sebab handle brek itu berkarat. Jadi dikuatiri akan memberi kesan yang lebih buruk.

Semua ahli keluarga susah hati, lalu bapa memutuskan untuk merujuk anak itu ke hospital. 

Pihak hospital menjahit pipi yang tertusuk itu dan memberi ubat. Anak itu tidak dimasukkan kedalam wad.

Dalam perjalanan balik bapa anak itu bertanya: 
 
Sakit lagi tak?
 
Tidak, jawab anak itu sambil menggeleng kepala.
 
Bapa anak itu tersenyum dan yang lain turut senang hati.
 
"Esok dah besar nak jadi apa"? Tanya bapa itu
 
Dengan pantas, tanpa pelat anak itu menjawab, "Nak jadi doktor tembus".

Itulah sedikit cerita tentang doktor tembus, bagi mengambil masa sejenak, menghilangkan serabut cerita politik.

Ini cerita benar. Anak yang nak jadi doktor tembus pun sudah berjaya dengan cita-citanya jadi seorang doktor. Tapi bukan doktor dalam kepakaran tembus. Masih lagi menunggu untuk dipanggil menjalani housemanshipnya.
 
Persoalan yang timbul sehingga hari ini: Adakah anak itu ditolak oleh makhluk halus? 

Sebenarnya jawapan telah lama diketahui iaitu, bukan kerja makhluk halus. Ianya disebabkan yang situa tidak beri fokus kepada anak kecil yang asyik bermain basikal itu.

Inilah anak yang mahu jadi Doktor Tembus. Akhirnya tercapai juga jadi doktor. Tahniah.
  

Jumaat, 5 Jun 2015

Keputusan Pemilihan Kepimpinan PAS dalam Muktamar Kali 61: Harapan Saya




Tahniah kepada kepimpinan baru PAS yang telah dipilih oleh perwakilan parti tersebut pada Muktamar PAS yang ke 61 di Kuala Selangor. Kepimpinan baru PAS masih lagi diketuai oleh Tn Guru HadiAwang.
 
Saya mengikuti perkembangan parti PAS dan muktamar ini dengan penuh minat walaupun saya bukan ahli PAS. Dan saya pun bukan ahli mana-mana parti politik.
 
Sebelum PAS menjadi sebahagian dari PR, minat saya terhadap PAS adalah sambil lalu saja, setakat mahu tahu apa yang terjadi, tidak lebih dari itu. Tidak ada langsung ikatan emosi.
 
Bersatu ke PAS, berpecah ke PAS, berjaya ke PAS , kalah ke  PAS tidak langsung memberi kesan kepada perasaan saya.
 
Tapi tidak apabila PAS menjadi sebahagian dari PR kerana matlamat PAS bersama dengan PKR dan DAP adalah sama dengan apa yang saya harapkan iaitu bagi menggantikan sebuah kerajaan yang zalim, angkuh dan tidak amanah -Kerajaan BN.
 
Sebab itu keputusan yang diambil dalam muktamar PAS, khususnya yang sedang bersidang ini , amat mendebarkan saya. 
 
Berceraikah PAS dari PR?
 
Ada dua perkara yang menyebabkan soalan seperti itu timbul. Pertama perkembangan-perkembangan yang kurang menggalakkan   tentang perhubungan diantara PAS dengan PKR dan DAP. Perhubungan ini semakin hari semakin kurang selesa bahkan sudah retak khususnya dengan DAP.

Saya tidak mahu mengulangi apa yang sudah dimaklumi ramai yang menyebabkan perhubungan itu terjadi demikian, kerana masing-masing parti ada sahaja jawapan bagi membenarkan kedudukan pendiraian yang mereka ambil. Ego? Entah lah.

Perkara kedua, perkembangan dalam parti PAS itu sendiri. Penafian tidak boleh menenggelamkan realiti yang berlaku. Sebab banyak mata memandang apa yang berlalu, banyak telinga mendengar apa yang berlaku dan tidak kurang juga yang menyebarkan apa yang berlaku. Yang berlaku itu maksudnya yang benar-benar berlaku.
 
Kata-kata penafian dari parti atau pucuk pimpinan bahawa ada orang luar mahu melaga-lagakan dan memecah belah jemaah PAS adalah satu tindakan yang cuba memperkecilkan kemampuan daya fikir masyarakat khususnya dikalangan jemaah PAS dan mereka yang berminat dengan perkembangan PAS seperti saya. 

Sebenarnya PAS bergolak secara dalaman. Malang sekali pergolakan itu bercirikan kumpulan berasaskan latarbelakang ilmu/pendidikan. 

Dan muktamar ini juga berjalan mengikut arus kelompok itu. 
 
Lihat saja mereka yang bertanding. 
 
Ada dua senarai disediakan oleh pihak tertentu yang membariskan nama-nama mengikut kelompok tersebut. Paling mendukacitakan, dalam sebuah parti yang saya pandang tinggi dari segi adab dan sopan , terdapat perbuatan-perbuatan label melebel pada tahap yang boleh menjejaskan emej parti yang menjadikan Islam sebagai perjuangan.

Lihat saja aksi mengejek yang dilakukan walaupun katanya datang dari pemerhati. Tetapi dengan melaungkan Allah Hu Akbar pada seorang calun yang bertanding disamping menghentam calun yang lain adalah satu tindakan yang tidak adil, lagi memalukan.

Bukan kah PAS itu parti Islam?

Lihat dan dengar saja kata-kata dan ulasan oleh presiden. Tidak boleh dinafikan, ianya membawa kepada memihak ke satu pihak saja, dan amat keras kepada pihak yang menjadi pesaing. Saya tidak mahu percaya kata-kata yang tidak enak boleh keluar dari mulut presiden PAS. Tapi saya sudah dengar dan lihat.

Namun begitu, keputusan telah diketahui. Tepat sekali agakan saya bahawa kumpulan yang dikatakan menyokong ulama' (presiden yang mempetahankan jawatan) atau berpendidikan agama sapu bersih, menang bagi semua jawatan seperti yang terdapat dalam senarai yang disediakan, kecuali seorang dua saja.
 
Presiden yang menang masih menafikan tentang wujudnya dua kumpulan ini dengan memberi contoh seorang dua yang bukan berlatang belakangkan pendidikan agama menang. 
 
Tapi Tuan presiden, kata-kata tuan itu tidak akan mampu menumpul daya inteklek orang yang melihat, mendengar dan merasa. Jelas kemenangan pimpinan PAS kali ini adalah atas dasar kelompok. Ianya satu perancangan dan bukan kebetulan.
 
Saya tidak mempersoalkan pilihan perwakilan. Saya cuma kata pilihan ini banyak dipengaruhi oleh emosi dari mementingkan kemantapan pimpinan dan parti PAS itu sendiri.
 
Jangan pula ada yang mengatakan saya dan mereka yang bukan ahli PAS mahu masuk campur dalam urusan PAS. 

Saya hanya mahukan  agar pimpinan yang baru ini nanti akan tidak mengecewakan harapan saya untuk menumbangkan BN. Itu saja. Kalau itu mahu dikira sebagai masuk campur, tidak mengapa.
 
Saya bimbang harapan itu berkecai. Walaupun diulang beberapa kali bahawa PAS mahu bersama dengan PR, tapi gerak dan tanda yang diperlihatkan oleh sebahagian besar pimpinan baru ini, kecuali Timbalan Presiden (mengikut bacaan saya) adalah gerak dan tanda konfrantasi dengan PKR apatah lagi dengan DAP. Dan amat malang sekali , kepimpinan DAP menyahut dengan nada yang sama.
 
Ertinya presiden PAS dan kepimpinan DAP jika membawa gaya laku yang sama, PR tidak akan dapat berfungsi dengan baik dan berkesan bagi menumbangkan BN, kalaupun PR dikatakan tidak berpecah. 

Apakah cara kepimpinan Haji Hadi akan berubah? Adakah asas wala' masih lagi memimpin jemaah? Saya amat ragu-ragu. 
 
Apa yang saya lihat , apa yang saya dengar dan maklumat yang diterima ( sudah tentu saya menapis, bukan terima begitu saja) kepimpinan yang baru ini adalah kepimpinan yang eksklusif (orang-orang agamawan) dan bukan mementingkan kepelbagaian yang bersifat inklusif -kepelbagaian latarbelakang.
 
Mereka yang memberi pandangan yang berbeza walaupun untuk mengukuhkan parti sudah pun tersingkir. Yang ada bersama sekarang ialah para wala'an (perkataan saya dari terbitan perkataan wala') yang sentiasa sejalan dan satu suara dengan presiden, tidak kira dalam apa keadaan dan hal sekalipun.  

Namun begitu saya tetap ucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan yang baru. Doa saya ialah agar kepimpinan baru ini akan dapat membawa PAS terus bersama dengan PKR dan DAP dengan matlamat baggi menjatuhkan kerajaan yang zalim, angkuh dan tidak amanah.