Theflowersellingboy

Ahad, 1 Mei 2011

Songsang Yang Menyeronokkan

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan songsang atau apa itu songsang? Adakah perkataan itu pada asal mulanya terdiri dari dua perkataan bahasa Inggeris 'song' yang membawa makna lagu dan 'sang'(bunyinya seng)  iaitu perbuatan menyanyi yang telah berlalu. Dengan demikian apabila disatukan menjadi songsang yang membawa makna lagu yang telah dinyanyikan? Jawabnya tidak benar. Ini cuma hendak mengusik akal fikiran anda saja agar dapat sama-sama berbicara dengan mengikuti seterusnya hal perkara yang menjadi tajuk.

Kita rujuk kepada Kamus Dewan. Ini kaedah yang benar, benar-benar betul.  Jangan ikut kaedah diatas yang songsang itu. 

Songsang diberi makna sebagai 'terbalik letaknya atau duduknya (yang diatas menjadi dibawah, yang didepan menjadi di belakang , kedudukan bayi ketika hampir dilahirkan, kaki dibawah , kepala diatas dsb). Satu lagi makna yang diberi ialah sejenis kembang atau bunga. Songsang juga bermakna sesat walaupun Kamus Dewan tidak menyebutkannya.

Kita cuma ambil pengertian yang menerangkan sesuatu sifat atau perbuatan dalam menceritakan tajuk 'Songsang Yang Menyeronokkan' ini.

Ertinya, songsang itu sesuatu yang berlawanan dari hukum semula jadi, bertentangan dengan fitrah, yang tergelincir dari norma-norma sosial yang telah diterima dan diamal oleh masyarakat dan yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang negara, sesuatu yang menyeleweng dari ajaran agama yang dianuti.
Kita boleh simpulkan songsang itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, tidak baik, tidak disukai dan perlu dijauhkan. Sesiapa yang menerima dan mengamalkannya maka orang itu telah melakukan perkara yang tidak disukai malah dibenci dan dikeji oleh masyarakat.

Secara fitrah semua manusia hendakkan yang baik-baik, cantik, indah, bersih, perlakuan  hormat menghormati dan apa saja yang bersifat positif berdasarkan norma sosial masyarakat dan pegangan atau kepercayaan masing-masing. Seorang pelaku jenayah, seorang perompak atau pencuri, seorang pelacur, seorang yang terlibat dalam apa saja perlakuan yang keji dan terkutuk yang lain akan tetap mengatakan perbuatan dan perlakuan-perlakuan itu adalah yang tidak baik. Seorang pencuri atau perompak misalnya akan marah-marah jika barang atau hartanya dicuri oleh orang lain. Malah dia akan marah jika harta atau barang yang dia dapat secara curian , dicuri pula oleh orang lain.. Begitu juga seorang bapa yang merokok akan marah-marah jika perbuatan merokok itu dilakukan oleh anak-anaknya. Sama juga seorang penguatkuasa yang tidak amanah akan melakukan tangkapan jika orang lain melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang atau peraturan. Contohnya seorang ketua murid yang merokok akan menangkap murid lain yang didapati merokok.

Maka kita lihat ada pertentangan dalam diri manusia itu sendiri iaitu perkara yang dia tidak suka tetapi tidak ada masalah melakukannya dan dia pula tidak suka orang melakukan keatasnya seperti cerita pencuri yang marah apabila barang yang dicurinya dicuri pula oleh orang lain. Hal ini adalah satu realiti, satu hakikat dalam kehidupan. Oleh yang demikian kita jangan merasa hairan keadaan yang songsang ini berlaku , malah perbuatan itu mendapat sambutan dari setengah pihak walaupun pihak berkenaan tidak menyetujuinya pada ketika dan keadaan tertentu. Contoh, kita memang tidak bersetuju perbuatan umpat mengumpat tetapi kalau perbuatan gossip itu yang sifatnya sama dengan umpat mengumpat, ianya tidak ada masalah pada kita , malah ada pihak begitu seronok mengadakan satu program yang dinamakan gossip. Peminatnya sungguh ramai dari berbagai latarbelakang. Jangan merasa hairan juga, jika yang berpengetahuan agamapun boleh menjadi peminat setia rancangan umpat mengumpat seperti ini. Seronokkan, mengata orang. Bagaimana dengan rancangan-rancangan lain yang seciri dengannya, misalnya melody? Terhiburkan. Sudah tentu terhibur, mengata orang, melaga-lagakan orang, seronok!

Perkara songsang yang menyeronokkan ini bukan saja menjadi monopoli bidang hiburan , dalam hal-hal lain juga menyeronokkan jika kita berkelakuan atau promoter perlakuan songsang. Kalau anda seorang peminat dalam hal pembeitaan dan tidak gagal dan sentiasa taat mengikutinya pada setiap waktu yang telah ditentukan, atau menurut pilihan   masa anda sendiri  maka  anda akan dihidang diantaranya dengan berita-berita songsang. Maksud berita songsang ini ialah berita atau hal yang semua orang tidak suka dan benci. Contoh buat fitnah, menghukum orang yang belum didapati bersalah oleh mahkamah, cerita video lucah beserta dengan gambarnya dan banyak lagi. Cerita itu diulang beritakan banyak kali, bukan sekali. Yang dikatakan buat perlakuan tidak senonoh itu, tidak pula diberi peluang untuk menyatakan cerita dari pihaknya. Maka kalau selalu diulang berita maka sudah tentu yang memberitakan merasa puas dan seronok, kalau tidak mengapa diulang-ulang. Tengok pula mimik muka dan gerak tangan semasa mereka menyampaikan berita, begitu bersungguh-sungguh seolah-olah yang songsang itu sesuatu yang menghiburkan. Seronok menceritakan hal yang bertujuan menjatuhkan maruah seseorang. Seronok kan? Kalau tidak, rancangan berita itu tidak ada pengikutnya.

Jika ada pihak mengatakan contoh yang telah diberi diatas iaitu umpat mengumpat, menghina dan menjatuh maruah seseorang dengan pertuduhan yang belum tentu benar dan diulang-ulang, menghisap rokok , mencuri dan perlakuan jenayah yang lain sebagai perbuatan yang baik, boleh diterima, tidak menyalahi norma-norma sosial masyarakat, kerana ianya tidak mengenai atau melibatkan diri kita sendiri , kaum kerabat dan mereka yang berpihak dengan kita maka jangan pula naik berang jika suatu masa nanti perkara itu menimpa keatas diri kita atau pihak yang menyebelahi dengan kita. Walaupun ketika ini kita mempunyai kuasa dan pengaruh untuk membenarkan yang songsang dijadikan bahan tontonan sebagai hiburan yang menyeronokkan, ia tidak bermakna perkara seperti itu tidak akan berlaku kepada kita. Kalau tidak hari ini, mungkin lusa, tulat, langkat dan seteusnya. Kalau tidak pada kita, bagaimana dengan anak cucu generasi kita. Tak percaya? Tak mengapa. Sebab kita faham waktu ini kita terlalu terhibur dan seronok dengan perkara  songsang yang menyeronokkan. Kalau begitu sekiranya anak kita yang sedang sarat mengandung itu, kandungannya dalam kedudukan songsang semasa hendak melahirkan cucu kita itu, kita biarkan saja jangan betulkan kedudukan kandungan itu kerana kita sukakan yang songsang, kerana songsang itu menyeronokkan. Cuma, kita nak tanya tak kesian ke anak dan cucu kita tu? Silap-silap haribulan terkilan kita nak timang cucu. Begitulah kesannya kalau kita berseronok dengan songsangan itu . 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan