Theflowersellingboy

Sabtu, 30 April 2011

Wang Derma Tabung Masjid

Walaupun pengurusan dan pentadbiran masjid dibawah kuasa sesuatu negeri atau pihak berkuasa tertentu seperti Wilayah Persekutuan tetapi satu ciri yang sama ialah penyediaan Tabung Derma Masjid bagi membolehkan para jemaah dan sesiapa yang berhasrat menderma berbuat demikian. Dibawah ialah sedikit maklumat yang berkaitan:

1. Dipercayai hampir kesemua masjid di Malaysia menyediakan tabung untuk menerima derma dari para jemaah dan sesiapa saja yang mahu menderma. Tidak ada paksaan bagi sesiapa untuk berbuat demikian.

2. Pada hari Jumaat, jumlah kutipan tabung secara amnya lebih dari hari-hari yang lain  kerana bilangan yang bersolat Jumaat adalah ramai berbanding dengan solat fardhu di hari-hari yang berkenaan.

3. Secara amnya ada tiga kaedah kutipan dibuat iaitu

i) Kutipan bergerak dimana kotak atau peti kayu kecil di gerak-gerakkan oleh para jemaah dari seorang keseorang. Mereka yang ingin menderma akan memasukkan wang kedalam bekas yang berada dihadapannya sebelum menggerakkan kepada orang disebelahnya dan seterusnya perkara yang sama dilakukan.  Kadang-kadang tabung itu bergerak pantas ditolak seorang keseorang tanpa berhenti.

ii) Kadang-kadang derma itu dikutip sendiri oleh wakil masjid dengan bergerak dari seorang jemaah ke jemaah yang lain.

iii) Disamping itu ada disediakan tabung tetap yang tidak bergerak. Terpulanglah kepada sesiapa yang berhasrat untuk menderma boleh berbuat demikian bila-bila masa saja.

Biasanya dua cara pertama diatas, telah jarang kelihatan lagi dibandar-bandar.

4. Jumlah kutipan derma tabung masjid sangat bergantong kepada bilangan jemaah dan kedudukan ekonomi para jemaah walaupun ini bukanlah faktor yang mutlak, cuma keberangkaliannya banyak menunjukkan begitu. Bilangan jemaah dan kedudukan ekonomi para jemaah yang mantap biasanya akan dapat mengumpul  jumlah kutipan yang memberangsangkan.

5. Masjid kecil di kampong akan dapat mengumpul jumlah yang kecil berbanding masjid dibandar-bandar besar. Keadaan seperti ini memberi kesan kepada tahap penjagaan masjid itu sendiri misalnya dari segi penjagaan kebersihan dan kemudahan yang disediakan. Masjid dibandar penjagaan kebersihannya lebih baik dan kemudahan yang ada amat menyelesakan para jemaah seperti alat hawa dingin.

6. Sebahagian besar dari kutipan derma itu akan digunakan bagi perbelanjaan mengurus masjid itu sendiri seperti air, elektrik, kerja pembersihan kawasan dan bilik air serta tandas. Wang itu juga digunakan untuk faedah anak kariah seperti bayaran saguhati  kepada penceramah jemputan.

7. Wang kutipan itu adalah dibawah urusan Jawatankuasa Masjid, khususnya orang-orang yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa untuk menguruskannya seperti Pengerusi Jawatankuasa, Bendahari dan Setiausaha. Biasanya wang kutipan disimpan dalam bank yang telah dipersetujui. Ada juga masjid dikampong yang berjauhan dengan bank, wang kutipan derma itu disimpan dalam tangan orang yang telah diamanahkan, biasanya bendahari.

8. Wang kutipan itu hanya digunakan untuk faedah anak kariah dan masjid itu saja. Maklumat yang diketahui setakat ini mana-mana masjid yang mempunyai kutipan melebihi dari pembiyaan mengurusnya, tidak akan menggunakan wang itu untuk membantu perbelanjaan masjid lain yang miskin atau kurang dari segi kutipan.

9. Sebahagian besar  masjid  tidak mendapat bantuan kewangan tetap untuk perbelanjaan mengurus dari pihak berkuasa.

Diatas adalah maklumat-maklumat am yang dapat diketengahkan berkaitan dengan tabung masjid. Mungkin terdapat kelainan diantara satu masjid dengan masjid yang lain tetapi sebahagian besar maklumat itu dipercayai boleh mewakili kedudukan masjid dari segi tabung derma dan sumber pembiayaan mengurus. Mungkin ada maklumat lain yang tidak diketahui yang juga penting.

Cuma ada beberapa persoalan dari banyak soalan yang hendak dikemukakan seperti dibawah:

i) Perlukah kutipan secara menggerakkan tabung dari seorang jemaah ke jemaah yang lain diteruskan? Tidakkah cara ini mengganggu? Kenapa para dermawan perlu menunggu tabung itu digerakkan lalu baru menderma? Kenapa para penderma tidak memasukkan saja wang dalam bekas atau peti yang tidak bergerak yang telah disediakan. Lebih mudah dan tidak mengganggu, bukan? Bagaimana pula kutipan yang dibuat oleh seseorang dengan berjalan dari saf ke saf?

ii)  Bolehkah wang kutipan dari masjid yang besar yang berlebihan itu digunakan bagi membantu masjid yang daif? Mungkin ada halangan dari segi tempat dan negeri tetapi kalau satu negeri bagaimana? Mungkin masalah dari segi niat penderma bahawa derma itu hanya untuk masjid itu saja, jadi kalau ada berlebihan dari keperluan tidak boleh di dermakan kemasjid yang lain. Tidak bolehkah kita penderma ikhlaskan derma itu untuk keperluan ummah secara am?

iii) Bagaimana cara menguruskan kewangan? Ada kah penggunaan wang derma itu dibuat dengan sokongan sesuatu dokumen? Atau kerana ianya derma maka ianya tidak tertakluk kepada satu dokumentasi yang menjelaskan penggunaan wang itu secara yang jelas dan nyata? Atau kerana ianya masjid dan wang diuruskan oleh orang masjid maka pengurusannya diandaikan sebagai yang terbaik.

iv) Tidakkah boleh masjid-masjid yang mempunyai baki wang derma yang berlebihan mengambil inisiatif untuk mengumpul wang tersebut dan menggunakannya secara yang teratur bagi meningkatkan ekonomi dan kebajikan ummah misalnya ditubuhklan satu tabung, katakan namanya Tabung Pembangunan Ummah membantu anak-anak yang perlukan wang bagi  melanjutkan pelajaran dan lain-lain keperluan ummah.

v) Adakah kepentingan selain dari membangunkan ummah mengatasi dan lebih penting? Kalau begitu mengapa perlu membuat bising dan hebuh-hebuh fasal perpaduan ummah sedangkan mengurus institusi masjid pun kita masih ketinggalan dan tidak ambil peduli. Masjid yang daif biarkan meneruskan nasibnya dan yang mewah meneruskan kemewahannya. Begitu kah asas perpaduan Islam? Mewujudkan jurang yang semakin besar diantara masjid kampong dan masjid bandar.

Kita mempunyai kiasan atau peribahasa yang menyatakan mendirikan masjid bagi pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga. Cuba kita fikir-fikirkan maksud mendirikan rumah tangga itu. Untuk perpecahan? Untuk penindasan lelaki atas perempuan kerana lelaki itu lebih kuat dan mempunyai kelebihan? Kelebihan lelaki atau perempuan itu tidak boleh dikongsi sama? Banyak lagi soalan yang kita boleh tanya.

Jadi Wang Derma Tabung Masjid seperti yang ada sekarang ini adalah sebenarnya menceritakan kedudukan umat Islam di Malaysia. Percaya? Saya cukup yakin dan percaya. Saya juga percaya orang Islam dan negara Islam adalah umat yang bertuah yang dianugerahkan Allah kekayaan tetapi harta atau kekayaan itu tidak diuruskan secara yang terbaik. Salah guna atau kurang ilmu? Dua-duanya boleh terima.

Jumaat, 29 April 2011

Salam Jumaat.......9

Selamat ketemu lagi.

Alhamdulillah, dengan izinNya maka kita dapat ketemu pada Jumaat yang ke 9. Harap anda budiman sihat-sihat hendaknya.

Kali ini kita hendak bercakap fasal pilihan atau membuat pilihan. Sepanjang kehidupan kita , membuat pilihan adalah suatu yang tidak dapat kita elakkan sebagai sebahagian dari proses membuat keputusan. Setiap detik atau apa saja ukuran masa yang kita gunakan, kita sentiasa terlibat dalam membuat keputusan, tidak kira kita orang besar atau orang kecil .Ketika hendak membuat keputusan itulah kita akan membuat pilihan untuk membeza atau mengasingkan diantara yang kita suka dengan yang kita tidak suka. Biasanya kita akan memilih sesuatu hal yang kita suka atau memihak kepada kita dari segi faedah yang kita harap akan perolehi atau dapati.

Yang kita suka itu tidak semestinya sesuai dengan citarasa dan selera orang lain. Dalam keadaan atau situasi begini, ianya memudahkan kita buat keputusan kerana ianya tidak ada persaingan. Sebaliknya jika yang kita hendak pilih itu juga menjadi harapan dan berkenan dihati orang lain maka kita terpaksalah bersaing untuk mendapatkannya. Dalam dunia yang dikatakan sumber itu sesuatu yang terhad atau scarce maka kita mestilah sentiasa bersedia dengan kemampuan yang melebihi pesaing kita untuk mendapatkannya. Contoh yang pernah kita hadapi ialah dalam membuat pilihan mengikuti sesuatu program pembelajaran di suniversiti atau pusat pengajian tinggi. Sudah tentu kita memilih program yang kita minat. Tetapi minat saja tidak mencukupi kerana terdapat orang lain yang juga berminat untuk mengikuti program yang sama sedangkan bilangan pelajar yang bolih diterima berdasarkan kemampuan dan polisi pengambilan universiti berkenaan telah diputuskan pada bilangan tertentu. Jika ramai yang berminat melebihi dari jumlah tempat yang ditawarkan maka peluang untuk diterima masuk dalam program itu terlalu sangat bergantung kepada kelebihan calun yang memohon mengikut spesifikasi yang ditentukan oleh universiti berkenaan.

Dalam membuat pilihan ini kadang-kadang melibatkan hal yang kita suka yang boleh menyakitkan atau merosakkan atau memberi malu atau mengaibkan orang lain. Contoh ialah dalam hal berkaitan mendapat sumber pendapatan bagi membiayai kehidupan kita. Seorang pencuri merasakan tidak mengapa untuk mendapatkan pendapatan secara curian atau rompakan. Justeru sipencuri memilih untuk merompak bank berbanding dengan membuat kerja yang sah dari segi undang-undang dan tuntutan  moral.. Atau seseorang itu berpendapat dia berhak atau merasakan bertanggongjawab untuk mendedahkan kejahatan seseorang yang melakukan rasuah berbanding dengan menyembunyikannya atas dasar amal makruf nahi mungkar. Ada juga orang yang memilih untuk mengadakan cerita atau merekacipta cerita bagi menjatuh atau mengaibkan seseorang. Pilihan seperti ini tidak baik sama ada kepada masyarakat mahu pun orang yang diabkan. Tetapi bagi yang memilih cara itu ianya sesuatu yang menguntungkan dirinya, sekurang-kurangnya hatinya merasa puas.

Kadang-kadang kita mendengar keluhan mengatakan seseorang itu dia  terpaksa menerima apa yang dia tidak suka. Secara sepintas lalu keluhan itu nampaknya berasas dan boleh diterima. Namun jika difikir dan diperhalusi maka keluhan itu tidaklah benar. Apabila kita bercakap tentang membuat pilihan, kita jangan lupa mengaitkan dengan meneruskan kehidupan. Selagi kita mempunyai ruang untuk membuat sesuatu keputusan untuk meneruskan kehidupan, ia melibatkan soal pilihan. Cuma pilihan itu dikatakan terpaksa kerana bukan yang kita suka dan berkenan. Tetapi kita memilih itu untuk meneruskan sebuah kehidupan. Yang tidak ada pilihan ialah untuk mati. Mahu tidak mahu apabila sampai ketikanya kita semua tiada pilihan melainkan mati. Ada kah orang membunuh diri itu dikatakan mempunyai pilihan, sebab dia sendiri yang memilih untuk mati secara bunuh diri. Tidak , dia tidak boleh mati jika tidak diizinkan oleh Allah SWT. Itu yang kita pegang sebagai seorang Islam. Agama lain, kita kurang arif.

Jadi pilihan atau membuat pilihan ini sesuatu yang sentiasa kita lakukan. Ia sesuatu yang fitrah, yang semula jadi bagi seseorang dalam menjalani sebuah kehidupan. Semua orang hendak yang terbaik pada diri sendiri apabila membuat sesuatu pilihan. Pilihan yang melibatkan persaingan memberi peluang yang lebih kepada yang berkemampuan dan berkeupayaan mengusai atau memperolehinya. Apabila kita kata berkemampuan dan berkeupayaan ianya merujuk kepada perkara yang lebih luas, tidak hanya terhad kepada ilmu dan kemahiran diri saja. Kadang-kadang kita telah menepati spesifikasi yang diperlukan semasa kita buat pilihan tetapi tidak berjaya juga. Jangan kita hairan kerana ada masanya ia bergantung kepada nasib, dan sudah tentu kita wajar terima penentuan takdir. Dengan demikian, jika yang sangat dikehendaki itu tidak diperolehi sedangkan kita telah memenuhi segala syarat yang diperlukan, janganlah kita merasa kecewa. Ada hikmahnya.

Akhirnya buatlah pilihan yang terbaik berpandukan undang-undang dan peraturan negara, nilai dan moral masyarakat dan pegangan agama. Jika pilihan itu tidak seperti yang dihajati maka ingatlah bahawa orang lain atau pihak lain juga berhajat keatas perkara yang kita sangat berkenan. Kadang-kadang kita boleh berkongsi dan ada masanya ianya hanya untuk bilangan tertentu saja. Jadi terimalah pilihan itu kerana kita belum lagi mahu mati. Mati tiada pilihan.

Khamis, 28 April 2011

Bila kau dapat? Negeri mana?

"Kau boleh tolong aku tak", Tanya seorang kawan yang duduk dihadapannya. Tiba-tiba soalan itu keluar dari mulut Nasir seorang kontraktor kelas F, tanpa amaran awal.  Ali  yang ketika itu sedang membawa cawan kopi ke  bibir mulutnya tidak dapat meneruskan niat dihati untuk menjamu seleranya. Dia meletakkan semula cawan itu diatas meja didepannya. Perasaan nak marah pun ada kerana soalan itu boleh melenturkan selera paginya itu. Ali memandang tepat kepada Nasir yang telah siap sedia menunggu jawapan."Nak tolong apa?" Tanya Ali macam terpaksa saja. "Dah banyak kali aku masuk, tak pernah dapat. Harga aku tak lah tinggi. Orang lain yang tinggi yang dapat", cerita Nasir mengadu hal kerana selalu kalah dalam tawaran tender. Mendengar keluhan Nasir, Ali ketawa kecil sambil berbisik ke telinga Nasir, "Ada upah ke?" "Apa ada hal. Kalau dapat le", sukanya hati  Nasir seolah-olah telah ditawarkan tender.

Ali baru saja pulang ke kampong setelah sekian lama duduk di bandaraya. Kepulangannya kali ini bersama dengan seorang isteri adalah muktamad untuk menetap di kampong sehingga ke akhir hayat. Anak-anaknya seramai tiga orang masing-masing berumur  20, 22 dan 24 tahun telah bekerja di bandaraya dan tidak berminat untuk balik dan menetap di kampongnya, Bukit Hantu.

Ali dikenali oleh orang-orang kampongnya sebagai seorang yang telah berjaya dalam kehidupan. Tetapi mereka tidak pasti apa sebenarnya sumber pendapatan tetap Ali. Yang mereka dapat lihat ialah hidup Ali selesa, mewah dan bergaya diukur dari segi penampilan dan kereta mewah yang dipakai oleh Ali setiap kali balik kekampong terutama pada cuti hari raya. Pada orang kampong Bukit Hantu, Ali ialah contoh anak kampong yang berjaya di perantauan.

"Kau kenal ke Dato' tu?", Nasir terus bertanya. Ali tidak segera menjawab. Nasir mendesak , "Aku dengar kuasa ditangan dia. Kalau dapat jumpa , bagus juga". Ali tersenyum melihat keadaan Nasir yang beria-ia benar nak tahu sama ada Ali kenal atau tidak dengan  seorang ketua jabatan dibandar negerinya ini yang dikatakan ada kuasa memberikan tender. "Kenal juga, tapi kau duduk disini lebeh kenal dari aku", kata Ali. "Aku kenal dia, tapi dia tak kenal aku", jawab Nasir sambil senyum dan ketawa kecil. "Kau macam mana?" Sambong Nasir. "Aku kenal biasa saja. Tapi kalau nak jumpa aku boleh atur", kata Ali itu sudah cukup meyakini Nasir. "Aku bila-bila masa", kata Nasir seolah-olah menggesa supaya satu perjumpaan diadakan secepat mungkin dengan Dato' itu. "Esok pun boleh, no problem ", kata Ali begitu yakin. "Woi besok Ahadlah. Senin boleh?" Nasir mengingatkan Ali yang begitu selamba saja dan begitu yakin untuk dapat berjumpa dengan Dato' itu. "Boleh. Perkara kecil". "Terima kasih. Aku ada hallah", Sukanya hati Nasir yang segera  bangun membayar minuman kedua-dua mereka. Dia menuju ke kereta mercdez C 200 yang baru dibelinya sambil mengingatkan Ali supaya mereka berjumpa hari Isnin jam 8 pagi di gerai yang sama. Ali melambaikan tangan mengucapkan selamat jalan kepada Nasir. 'Dapat jug aku minum free hari ini',  Ali tersenyum sendirian melangkah menuju ke kereta hondanya. 'C200 masih, boleh tahan', kereta Ali meluncur pergi menuju ke rumah. 

Dalam perjalanan pulang , Ali teringat akan satu peristiwa semasa dibandararaya dulu ketika dia hendak memasuki sebuah jabatan kerajaan untuk suatu urusan. Apabila tiba dibalai pengawal, Ali telah bertanya sesuatu. Sebelum menjawab ,Pengawal telah meminta Ali untuk mengenepikan keretanya dan meminta supaya menulis dalam buku keluar masuk butiran peribadi dan sebab-sebab lawatan. Mula-mula Ali tidak mahu berbuat demikian kerana beliau dapati beberapa kereta yang dihadapannya masuk tanpa berhenti. Dia yakin mereka semua adalah juga pelawat sepertinya. "Orang-orang itu degil. Kalau timbul masalah saya juga yang kena", pengawal itu memaklumkan kepada Ali dengan nada mencemuh. Ali diam saja dan mematuhi kehendak pengawal itu. "Tingkat 8", pengawal itu memaklumkan letak pejabat tempat Ali hendak berurusan.
"Mesti jadi orang degil dan berlagak selamba", bisik Ali tersenyum sendirian sebaik saja sampai di rumah.

Pada hari Ahad Ali membuat sedikit kerja rumah untuk mendapatkan maklumat mengenai Dato' dan aktiviti-aktiviti sepanjang bulan lepas yang melibatkan jabatan dan Dato sendiri. Perkara ini penting untuk melancarkan perbualan apabila mereka berjumpa nanti.

Jam 8 pagi, Hari Isnin ,Nasir telah tercongok siap sedia duduk diatas kerusi bahagian dalam gerai tempat yang dijanjikan . Ali masih lagi belum muncul. Mata Nasir tidak bergerak menghala ke arah dimana Ali dijangka akan dapat dilihat memasuki gerai itu. 'Janga-jangan dia ni terlupa', bisik Nasir sambil memasukkan tangan ke dalam poket seluarnya untuk mengambil handphonenya. Dia mendapatkan Ali tetapi yang kedengaran ialah arahan Ali tidak dapat di hubungi. Nasir bertambah gelisah. Tapi beliau masih lagi mahu menunggu dan sabar menunggu dengan harapan Ali akan muncul. Kerisauan tetap  terbayang pada mukanya yang tidak ceria itu.

Hampir pukul 8.30 pagi maka muka Nasir mula cerah  dan ceria apabila sebuah kereta honda yang memang telah dihafal number pendaftarannya memasuki kawasan letak kereta di geri tersebut. Ali muncul sambil mengangkat tahun melambai sebagai isyarat dia tetap datang menepati janji walaupun telah telambat. "Sorrylah. Buathallah pagi-pagi", Ali menunjukkan keperutnya. Nasir ketawa sambil berkata,"Tu lah makan tak Bismillah". "Kita minum dulu. Tapi janji nak umpa pukul berapa?" Tanya Nasir dengan mempersilakan Ali minum terlebih duliu. "Bila-bila boleh. Dia kena ikut time kita. Kita pelanggan. Pelanggan sentiasa betul", kata Ali begitu yakin sekali.

Setelah pesanan sampai mereka dengan segera menjamu selera terutama Nasir yang mahu menghabiskan makanan secepat mungkin. "Kau ni , relaxlah", tegur Ali apabila melihat cara makan Nasir begitu cepat sekali memasukkan makanan kedalam mulut, beberapa kali kunyah terus telan. "Betul ke kau kenal dia?" Pertanyaan ulangan Nasir untuk mendapat kepastian, dan dia menyambung," Kau tahu, banyak kali aku nak jumpa tapi kata setia usaha dia, jadual Dato' tu penuh. Kau pulak nak jumpa hari ni. Tak ada buat temu janji", Nasir memberitahu apa yang telah dialaminya selama ini dalam hal berkaitan untuk berjumpa dengan Dato' itu. Dia mula risau, khuatir kalau-kalu hari ini dia dan Ali akan menerima jawapan yang sama dari setia usaha Dato' itu. "Relaxlah, Sir. Nanti kita pergi baru tau", Ali memnyakinkan Nasir yang mula telah sedikit luntur keyakinan untuk bertemu dengan Dato' itu.

Jam 9.15 pagi maka meluncurlah kereta mercedez C200 kepunyaan Nasir menuju ke pejabat Dato' itu dibandar yang jarak perjalanan dari kampong Bukit Hantu mengambil masa setengah jam. "Cantik kereta. Kata tak dapat projek?" Ali memulakan cerita sambil memuji dan menguji si Nasir kontraktor itu. "Alah, satu dua projek dapatlah. Kecik-kecik. Kereta ni pun baru aku beli. Ansuran. Sebulan RM2,500. Baru masuk bulan kelima. Itu yang aku pening ni". "Tapi kalau dapat projek yang aku baru masuk, rengan sikit. Sebab tu jumpa Dato' ni penting. Kuasa di tangan dia", sambung Nasir bercerita betapa pentingnya perjumpaan hari ini. "Betul ke kau kenal dia?" Sekali lagi Nasir bertanya. Ali tersenyum dan diam tanpa menjawab. "Eh betulke?" Desak  Nasir lagi dengan menepuk peha si Ali yang bersehaja itu. "Kan aku dah kata, aku kenal biasa-bisa saja. Macam kau kenal", jawab Ali yang membuatkan Nasir menoleh kepadanya. "Ehh macam ni susah lah nak jumpa", Nasir mula risau. Wajahnya tidak seceria sewaktu berjumpa dengan Ali di gerai tadi. " Kita pergi dulu. Tapi disana nanti aku yang bercakap. Kau anggok atau diam saja. Bila aku bagi isyarat, kau boleh lah cakap", jawab Ali selamba sambil menetapkan syarat untuk Nasir patuhi. Nasir bertambah ragu.

Di pejabat Dato' itu Ali dan Nasir berjumpa dengan setia usaha. "Saya Datuk Ali dan ini kawan saya tuan Haji Nasir", Ali memperkenalkan diri. Nasir tercengang, mulutnya sedikit ternganga. "Dato' ada. Kami nak jumpa", Ali meneruskan bualan menyatakan niat mereka. Setia usaha lantas bangun dari kerusi, sambil tersenyum tersipu-sipu dan penuh hormat menyatakan bahawa Dato'  ada dan sedang bercakap talipon. Setia usaha meminta mereka berdua tunggu sebentar. Nasir nampak kebingungan dikuisnya badan Ali dan cuba bertanya sesuatu. Tapi dik kerana janji, Nasir diam membisu.

Setia usaha masuk ke dalam bilik Dato'. Selepas beberapa minit beliau keluar dan tersenyum menganggokkan kepala mempersilakan Datuk Ali dan Tuan Haji Nasir berjumpa dengan Dato'. Selepas menjawab salam dan bersalaman dengan Datuk Ali dan Tuan Haji Nasir, Dato' mempersilakan kedua-dua mereka duduk  diatas sofa berhadapan dengan meja kerja Dato'

"Apa yang saya boleh bantu" , Dato memulakan bicara. Nasir mula tersenyum kerana soalan itu memberi peluang untuknya menyatakan hasrat perjumpaannya pada hari ini. Dia mahu menjawab tapi tidak mampu sebab telah berjanji. Biarkan Datuk Ali uruskannya. Datuk Ali mula bicara "Minta maaf Dato' , kami datang tak buat temu janji. Hari tu kami datang tapi katanya Dato' ada function di Kelab .... saya lupa nama kelab tu", "Kelab Golf Seri Intan. Ada persidangan", Dato' memaklumkan aktiviti yang telah melibatkan jabatan dan dirinya minggu lepas dan Datuk Ali menganggok-anggokkan kepala sambil tersenyum. "Datuk main golf ke?"
Tanya Dato" . Nasir nampaknya tidak berminat fasal cerita golf. Dia hendak bersuara, tapi tak boleh. Kena diam melainkan bila diberi isyarat. "Dulu mainlah. Tapi sekarang dah gantong. Accident, tangan ni dah tak kuat lagi", jelas Datuk Ali lancar sekali membuatkan mulut Nasir ternganga dan tak percaya.

Sambil melihat jamnya Dato' mengulangi lagi bertanya hajat kedua-dua tetamu yang duduk berhadapan dengannya itu. "Minta maaf, apa yang boleh saya bantu. Sekejap lagi saya ada mesyuarat", Dato' memberi keceriaan kepada Tuan Haji Nasir. Datuk Ali memandang kepada Tuan Haji Nasir memberi isyarat bahawa telah tiba masanya untuk dia berkata-kata. Isyarat itu telah dapat dibaca, "Sebenarnya Dato' saya nak minta tolong. Saya ada masuk tender projek ubahsuain bangunan ni, jabatan Dato'. Kalau boleh Dato' tengok sikit", Tuan Haji Nasir memaklumkan tujuannya sambil menghulurkan sekeping kertas yang mengandungi maklumat syarikat dan projek yang dimasukk dan meminta maaf  kerana tidak membawa profail syarikat yang lengkap.

Kertas maklumat yang dihulur telah berada ditangan Dato'. "Inilah, Jawatankuasa akan bersidang dan kita akan tengoklah nanti. Kalau semuanya ok, insyaAllah. Minta maaf saya terpaksa bergerak sekarang", Dato' dan Datuk Ali dan Tun Haji Nasir bangun dan bersalaman.

Dalam kereta, dalam perjalanan balik Nasir bertanya, "Ehh aku belum pergi haji dah. Kalau Dato' tu tau malu aku. Kau ni bila kau dapat Datuk? Negeri mana bagi?"  Ali ketawa besar. "Eii hidup ni mesti muka selamba. Confident. Mesti berani dan degil. Kalau tidak orang main kan kita. Aku kenal Dato' tu sama macam kau kenal. Dia tak kenal aku. Tapi kau tengok setia usaha tadi, bila kata Datuk saja, bukan main tunduk hormat", ketawa Ali semakin meleret. Si Nasir pun ikut sama tapi pendek saja. "Boleh dapat ke?" Bertanya kepada Ali yang masih ketawa. "Dapat Datuk? Boleh", Ali ketawa bergurau, tapi Nasir tidak turut ceria akan gurauan Ali itu. Beliau terus memandu menuju ke gerai untuk menghantar Ali.

Isnin, 25 April 2011

What is the because? Anuuuu.....

"k k k k k k", begitulah suara yang didengar dari seorang juara acara satu rancangan hiburan. Waktu itu Dia sedang menyuap nasi ke mulut, makan tengah hari jam 2.15 petang. Maka kepalanya segera membawa matanya melihat acara yang sedang ditayangkan di tv yang tergantong di dapur berhampiran dengan meja makan.  Suapan diteruskan dan mulutnya mengunyah sambil matanya terbuka luas memerhati lakunan yang terpapar. Selepas kkkkk itu, terdengar seorang pengkritik , mungkin pengulas, dari bilangan tiga,  Dia tidak pasti jawatan atau peranan mereka, kerana itulah kali pertama Dia tertonton rancangan itu, petah berbicara dengan mimik muka, kedua-dua tangan bergerak sama tapi tak serupa, menggunakan bahasa badan setengah orang kata, memuji dan mencela seseorang yang berdiri di hadapannya dengan tunduk penuh setia. Dia tidak tertarik dengan isi yang diperkatakan kerana Dia rasa Dia pun boleh mengambil peranan itu walaupun Dia hanya lulusan tidak setinggi mana, apatah lagi yang berkaitan dengan seni seperti yang mereka dakwa. 

Namun Dia tertarik akan penggunaan bahasa si pembicara, bukan saja yang seorang malah ketiga-tiga mereka. Kelihatan mereka menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dia tersipu-sipu malu sendiri kerana sebentar tadi begitu sombong dan bangga diri, konon boleh mengambil peranan sipembicara itu. 'Padan muka Aku', Dia menempelak dirinya sendiri.

"Although your size is small but  in this type of show size does not matter and  You  kalau you know sharpen sikit you punya anu...". Dia mula tersenyum mendengar kepetahan pembicara itu menggunakan dua bahasa, yang global dan lokal. " I cannot disaggree with my colleague . Cuma the way you lontarkan your apa ni voice a bit  you know tak jelaslah", seorang lagi pembicara mula terlibat. Dia tersenyum lebar.

Oleh kerana rancangan itu Dia tertonton dan bukan yang diminati, cuma terpukau dengan kepetahan dan penguasaan bahasa pembicara , matanya tidak lama melekat ke arah rancangan tersebut. Hanya isteri dan anak-anaknya saja yang terpukau sambil memberi pandangan masing-masing menilai siapakah yang terbaik. Tapi mereka cakap satu bahasa saja, Bahasa Melayu.

Kerusi duduknya memang tidak diplih berhadapan dengan tv yang tergantong itu kerana dia sudah lama tidak ada selera untuk menonton tv melainkan saluran bersisri 8. Ya saluran sukan 811, 812, 813, 814,815, 816 dan 817. Tapi tv didapur itu adalah dibawah kawalan isteri dan anak-anaknya. Untuk berlaku adil, mereka semua, isteri dan anak-anaknya mencadangkan supaya di buat dua langganan, satu yang banyak hiburan dan yang lagi satu yang ada sukan. Bayaran? "Papalah yang bayar. Sebab papa ketua keluarga", cadang anaknya yang tua. Mahu tak mahu Dia terpaksa bersetuju kerana Dia terlalu ketagih dengan sukan terutama tennis. Apa tah lagi kalau si Nadal dari Sepanyol itu bermain, sampai ke Subuhpun sanggup berjaga. Lagipun hidup bukan kah perlu bertolak ansur. Takkan Dia saja nak memuaskan selera mata.

Malah Dia sendiri telah memberi gred bagi sesuatu saluran itu dalam membuat pilihan. Ada saluran yang amat diminati diberi gred 1, saluran boleh tengok jika tiada pilihan, diberi gred sijil am saja dan saluran yang dibenci meluat dan tidak wajar ditonton. Yang ini tiada gred, maknanya tidak ada sijil, nak minta kerja pun susah.  Isteri dan anak-anaknya telah ambil maklum akan perkara ini.

Selesai menjamu selera, tidak termasuk halwa telinga, Dia terus ke bilik untuk menonton rancangan kegemarannya, sukan di saluran gred 1. Lepas satu saluran ke satu saluran siri lapan yang dibuka, kesemuanya memaparkan ulang tayang. Dia merasa bosan. Kalau ditayangkan Nadal bermain tenis tak apalah, ada juga yang Dia berkenan. Lalu  sekali lagi Dia terpaksa membuka saluran bukan pilihan, gred sijil am,  tapi tidak sama sekali saluran kebencian

Ada bicara fasal ekonomi. Dia begitu berminat sekali kerana Dia memahami ekonomi itu adalah yang berkaitan dengan mencari makan yang ada sangkut paut dengan harga barang-barang dan perkhidmatan. Perkara ini terlalu penting baginya dalam mengatur kehidupan hariannya.

Ada tiga pembicara. Kesemuanya berwarna kulit seperti Dia, gelap tapi tak malap, cerah tapi tidak putih tidak juga merah. Mereka berbincang fasal pasaran saham. Walaupun tidak seperti yang dihajati, Dia tetap mahu dengar. Lagipun apa pilihan yang ada. Tak faham banyak, sikit pun cukuplah sekurang-kurangnya Dia boleh kaitkan dengan Amanah Saham Bumiputera, ASB. Mula-mula Dia seronak mendengarnya, terpukau, biji matanya semacam mahu keluar memberi sepenuh perhatian. Dia percaya ramai orang-orang sepertinya sedang menonton dan mendapat maklumat yang terbaik dari segi pasaran saham.

Kemudian, Dia  tercengang-cengang, apabila mendengar bahasa para pembicara. Dia seperti pernah tertonton dalam satu rancangan yang mana pembicara menggunakan cara yang sama . Nampaknya ini satu aliran baru  atau kecenderungan baru atau yang baru-baru yang Dia baru tahu. Hebat sungguh pembicara sekarang, bukan calang-calang orang, mesti menguasai bahasa global walaupun berbicara dalam ruang lokal. Bukan itu saja, mesti cakap sekerat-sekerat dalam bahasa yang berbeza. Mungkin tajuk perbincangan terlalu susah, terlalu rumit yang tidak boleh di jangkau perbendaharaan kata bahasa artikel 152. Pasaran saham katakan, adalah sesuatu yang termasuk dalam hal-hal yang teknikal. 
 
Sama seperti dalam rancangan hiburan yang Dia tertonton semasa makan tadi, pembicara bercakap dalam dua bahasa terputus-putus, seperti ikan mengambil nyawa. Dia tidak tahu mereka gunakan satu bahasa atau bagaimana. Mungkin satu bahasa yang baru dicipta! Yang pasti  , dalam dua rancangan yang berbeza, satu hiburan, yang satu lagi ilmu pasaran saham, bahasa yang digunakan adalah sama. Warna kulit pembicara? Macam Dia juga. Sama.

Itulah sebabnya Dia menentang bermati-matian pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sahaja. Kenapa tak gunakan bahasa yang baru ini? Rojak! Bukankah sedap berperisa! Dia tersenyum sendiri entah kali yang ke berapa.

Penonton?  'Entahlah Aku telah ketinggalan zaman kerana tidak menonton saluran yang lain' , Dia membisik mengutuk dirinya.

Dia sangat marah, benci pun ada lalu Dia bercakap sendirian "What is the because". Puas hatinya.

Ahad, 24 April 2011

Jangan Ada Yang Memberi Mudharat (La Dharar)?

Apa itu mudharat? Menurut pengertian dalam Kamus Dewan Edisi Baru 1971 yang dieja mudarat, ianya  memberi makna sebagai tidak beruntung;  menanggong rugi; tidak berhasil; berbahaya; melarat. Pengertian yang diberikan itu kesemuanya bersifat negatif iaitu sesuatu yang tidak baik yang perlu dielakkan atau dijauhi. Tidak sesiapa pun ingin berada dalam keadaan seperti itu.

Professor Hamka dalam Tafsir Al-Azhar, semasa memberi huraian tafsirannya yang berkaitan dengan hubungan suami isteri telah mengambil Hadis Rasullullah s.a.w yang bermaksud , "Jangan ada yang memberi mudharat dan jangan ada kemudharatan". Beliau menjelaskan bahawa sesuatu keputusan atau tuindakan yang hendak dibuat, misalnya dalam hal talak, nusyuz dan yang lain-lainnya berkaitan hubungan suami isteri hendaklah dibuat dengan mengambil kira kesan yang tidak akan memberi mudharat atau kemudharatan. Ertinya mudharat ini mesti dielakkan.
 
Benarkah memberi mudharat akan menghasilkan kesan yang negatif? Benar,  kepada sesiapa atau apa saja yang menerima mudharat kesannya merugikan. Misalnya kita ditimpa kemalangan jalan raya. Itu sesuatu yang kita tidak mahu berlaku dan cuba elakkan. Tapi dalam kehidupan harian kita, misalnya, semasa memandu kenderaan, selalunya kita terlupa, atas pengaruh nafsu marah keatas pemandu lain,  atau untuk menunjuk-nunjuk atau berseronok maka kita memandu laju sehingga tidak memperdulikan peraturan atau keselamatan diri dan pengguna yang lain. Kita tahu ianya memudharatkan, tapi tetap kita lakukan. Ertinya kita yang memberi mudharat.
Kalau berlaku kemalangan, kita akan rugi termasuklah orang lain yang terlibat sama.
Ertinya yang mendatangkan atau yang memberi mudharat akan rugi apatah lagi yang menerima. Dalam kata lain yang mendatangkan mudharat itu juga akan menerima kesan dari perbuatannya.

Ada kah pihak lain yang mendapat faedah? Jawabnya ada. Workshop membaikki kereta, klinik yang membuat rawatan kecederaan, kedai-kedai alat ganti dan banyak lagi yang mendapat faedah dari kemudharatan itu tadi. Ini perkara biasa, lumrah alam. Ada yang mendapat kerugian atau kesusahan dan ada yang mendapat faedah dari kesusahan itu. Kalau begitu mengapa kita ambil pusing tentang sesuatu kemudharatan kerana ianya juga menghasilkan sesuatu yang berfaedah kepada yang lain. Terima sajalah sebagai sebahagian dari rencah-rencah kehidupan. Mungkin pada hari ditimpa kemalangan itu kita berduka, kita merasa rugi. Tetapi selepasnya dalam beberapa tahun apabila kita mempunyai anak dapatlah kita bercerita melalui teladan bahawa lari laju itu sesuatu yang boleh mendatangkan mudharat seperti yang kita alami. Malah kadang-kadang kita seronok menceritakan kisah yang duka itu kepada anak kita. Sekali lagi kenapa atau mengapa kita ambil pusing tentang mudharat itu?

Satu contoh lagi ialah tentang pencemaran alam sekitar. Kita atau orang lain telah tidak diajar untuk menjaga kebersihan persekitaran atau pun kalau kita telah diajar tetapi masih bebal, misalnya minat kita yang merokok dalam kenderaan dan menjentik keluar puntung rokok bertaburan diatas jalan. Apa salahnya, kerana menghisap rokok memberi kepuasan kepada kita dan puntung rokok yang bersepah itu akan dikutip oleh pekerja majlis tempatan. Takkan mereka nak makan gaji buta? Dik kerana perangai kita itulah yang menyebabkan pekerjaan mengutip sampah diujudkan di majlis tempatan berkenaan. Siapa untung dan siapa penyebabnya. Sudah tentulah kita yang orang kata mencemarkan persekitaran.

Banyak lagi contoh dalam kehidupan kita ini membuktikan bahawa yang tidak baik atau merugikan disatu pihak akan juga memberi kebaikan kepada pihak yang lain.

Kita ambil satu contoh lagi dari banyak contoh-contoh yang lain. Contoh ini atau perbuatan ini semua orang benci, kutuk macam nak gila, keluarkan fatwa dan ayat-ayat yang mengutuknya tetapi perbuatan ini bukan main hebat di masyhurkan, diamalkan malah diajak untuk terlibat sama, sama ada melalui penglihatan, pendengaran atau tukang memanjangkan melalui kata bualan, pembicaraan mahu pun pemberitaan. Siap dengan gaya dan mimik mukanya sekali. Apa dia perbuatan itu agaknya? Kita tahu anda seorang yang bijak meneka. Mungkin juga anda seperti kita yang lain peminat yang sama, mungkin juga tidak.

Perbuatan yang kita selalu dengar dan lihat ialah kerja umpat mengumpat. Ada juga yang kata tuduh menuduh. Tak kurang yang kata cela mencela. Fitnah memfitnah , pun sama juga. Semua marah dan benci. Tak suka, dosa besar, dosa kering antara alasan yang diberi untuk mengnyahkan perbuatan yang teramat keji dan jijik lagi menjijikkan itu. Orang surat khabar yang perdana, sederhana dan yang tidak ada nama, semuanya mengecam. Yang gunakan alam siber pun turut sama. Mereka kata bukan budaya bangsa dan amalan agama kita. Orang tv bagaimana? Sama saja, hentam benci perbuatan seperti ini. Ada kan rancangan agama , forum perdana, tapi rancangan gossip jangan lupa, gossip saja! Orang awam pula? Sama juga marahnya, adakah ceramah disana, disini, disitu dan dimana-mana.

Itu cerita yang mudharat, yang bahaya dan yang merugikan. Semua orang benci dan tak suka. Betul tak? Jawabnya tak betul. Sebab perbuatan seperti itu ada faedah dan untungnya kepada sesiapa yang berfikir ia boleh menguntungkan, misalnya dia boleh kekal ditempat yang mewah itu, tempat yang punya kuasa dan pengaruh, tempat yang selesa lagi menyelesakan. Apa salahnya kita memaparkan gambar yang bergerak atau tidak bergerak yang boleh menceritakan perbuatan keji seseorang yang pada pendapat kita boleh membwa kerosakan kepada bangsa agama dan negara. Bukan kah kita menjalankan dakwah amal makruf nahi munkar? Kenapa ada pihak yang perlu marah-marah. Mereka itu tidak rasional dan cuba menyembunyikan perbuatan yang kotor, melindungi kemungkaran. Maka tidak salah kalau kita sekeluarga iaitu datuk, nenek, ayah, emak dan anak-anak menonton sama adegan yang orang lain kata lucah itu. Apa salah atau dosanya kalau kita paparkan didada surat khabar kita. Ini untuk kebaikan. Sekurang-kurangnya surat khabar kita akan banyak laku dan menguntungkan. Untung itu boleh kita sumbang, derma, bantu mereka yang memerlukan Bukankah itu dikatakan kita telah menjalankan 'corporate social responsibility? CSR. Mereka tak faham niat ikhlas kita!

Itulah saja contoh-contoh dan hujah yang dapat kita  ketengahkan tentang tajuk hari ini. Yang mana baik atau rugi itu adalah menjadi pertimbangan masing-masing yang telah diberi otak oleh Allah SWT. Cuma, bukan nasihat tapi ingat mengingat saja bahawa hari ini kita disini, esok disana, lusa disitu, tulat, langkat, mabat, suhat dan macam-macam hat lagi kita dimana-mana. Akhirnya, semua orang tahu, dalam tanahlah kita, itupun  kalau ada yang sayang, kalau tidak entah dimana. Kan ke kita ada pewaris, ada generasi untuk membawa obor-obor kita? Wallahulam.

Sabtu, 23 April 2011

Anak Enggang, Enggang Juga

Timah duduk mencangkong merumput di laman rumahnya. Rumah papan kecil bertangga kayu itu adalah peninggalan dari ayah dan ibunya yang telah lima tahun kembali menemui yang Maha Esa. Timah adalah anak bongsu dari tiga beradik, perempuan kesemuanya  yang masing-masing tinggal di negeri yang berlainan mengikut suami. Sejak kematian kedua ibu bapa mereka jarang sekali kakak dan iparnya datang menjenguk ke kampong waemah pada hari-hari kebesaran saperti hari raya puasa mahu pun hari raya korban.

Sedikit demi sedikit rumput liar yang tumbuh dicelah-celah pokok bunga yang tidak berpasu itu dicabut dan dikumpul dalam bekas sampah yang berada disebelahnya. Timah mendongak keatas sambil tapak tangan kanannya diletakkan didahi bagi melindungi muka dari sinaran sang matahari yang mula naik meninggi. Dia mula terasa kepanasan tapi tidak keletihan kerana inilah minatnya setiap pagi selepas sarapan , mengulit dan membelai pokok-pokok bunga yang ditanam dihalaman rumahnya. Dia merasa puas dan tenang sekali.

Cukuplah rasanya untuk hari ini. Tangan kirinya memegang pinggang disebelah kiri dan jari-jari tangan kanannya menjejaki tanah, menekan untuk membantu mengangkat badannya yang tidak seberat mana, maklum usia telah menjangkau lima puluh tahun. Setelah memasukkan sampah dan rumput yang ada dalam bekas sampahnya kedalam sebuah lubang kecil yang tidak berapa dalam, Timah menapak menuju ke tangga untuk naik keatas rumah. Timah tidak terus ke dapur tapi duduk menyandarkan badannya disisi kiri muka tangga sambil kakinya terjulur dicelah-celah anak tangga kayu yang masih lagi boleh menampong berat badannya. Jarang sekali Timah memasak  nasi untuk makan tengah hari, cukup sekadar secawan teh dan dua keping biskut tongkat. Tapi pada hari ini Timah ada tetamu istimewa, datang dari Kuala Lumpur, Jalan Klang. Itu yang diberitahu kakaknya melalui bualan talipon malam tadi.Kakanya juga akan turut sama.

Tapi Timah masih mahu berihat kerana tetamu di jangka sampai paling cepat jam tiga petang. Ketka ini belum sampai 12 tengah hari menurut bacaan duduk matahari.

Tiga puluh lima tahun yang lepas, Timah telah dijodohkan dengan pemuda sekampong,
Harun, anak orang yang berada juga atas dasar persetujuan antara keluarga. Mereka melayari bahtera perkahwinan dengan permuafakatan yang harmoni saling bantu membantu dimana Timah setiap pagi  membuat nasi lemak untuk dijual sebagai menambah pendapatan suami, walaupun dia tahu suaminya tidaklah sangat terdesak dari segi kewangan. Kebahagian rumah tangga ini hanya bertahan selama lima tahun kerana  perkongsian hidup selama itu tidak diturut serta dengan kehadiran cahaya mata. Tidak ada tali penyambung yang boleh mengikat erat kasih sayang yang telah dibina. Harun, suami Timah, tidak ada apa-apa masalah, walaupun merindu untuk menimang anak sendiri. Dia tetap sayang dan mahu bersama dengan Timah dengan harapan suatu hari nanti akan muncul rezeki. Timah pula sentiasa dalam keadaan resah dan risau setiap kali bersua dengan ibu mertua. Malah kedua ibubapanya juga ada menyebut-nyebut berhajat menimang cucu.

Akhirnya takdir telah menentukan bahawa Timah dan Harun terpaksa berpisah, bukan atas desakan sesiapa tetapi Timah merasakan beliau wajar berundur untuk memberi peluang kepada perempuan  lain menghadiahkan zuriat kepada Harun dan keluarganya. Timah tidak mahu bermadu apabila Harun mencadangkan supaya mereka teruskan hidup bersama. "Abang kawinlah, saya boleh jaga diri", kata Timah selepas Harun membuat keputusan untuk bersetuju kahwin dengan yang lain atas cadangan Timah juga. Walaupun berat hati , Harun bersetuju melepaskan Timah dengan talak satu.  Timah kembali ke rumah ibubapanya dan memulakan satu kehidupan baru sebagai janda muda yang tidak mempunyai pewaris. Harun tidak pula sepantas yang lain untuk mencari pengganti. Timah masih lagi lekat dihati namun ia perlukan pewaris sebagai pengganti dirinya nanti.

Selepas lima tahun beprpisah ,Timah tidak sanggup menghadapi hari perkahwinan Harun seminggu lagi, lantas Timah buat keputusan untuk pergi ke rumah kakaknya di Jalan Klang Kuala Lumpur. Kebetulan jiran kakaknya memerlukan orang untuk menjaga anaknya semasa mereka suami isteri bekerja, lantas dengan suka hati Timah bersedia untuk berkhidmat sambil menolong kakaknya menyediakan kuih untuk jualan.

Lama juga anak jiran itu 'beribukan' Timah sehingga kadang-kadang menimbulkan rasa cemburu kedua-dua ibubapa itu kerana anaknya itu begitu rapat dengan Timah. Tapi apa boleh buat, duduk di Kuala Lumpur untuk lebeh selesa ,suami dan isteri mesti bekerja. Pernah suatu hari, Timah yang balik ke kampong bercuti dua hari mendapat panggilan talipon supaya balik segera sebab anak jirannya itu demam merinduinya. Timah tidak mengambil masa yang lama , bingkas pergi ke bandar untuk menaikki bas ke Kuala Lumpur.

Timah tersenyum sambil menegakkan badannya dan bersandar semula. Beliau mengira umur anak jiran kakaknya yang dijaganya dulu. Sudah hampir dua puluh tahun. Mungkin telah berumahtangga seperti dia dahulu. Harap-harap mendapat zuriat tidak sepertinya.  Kelopak mata Timah mula berair. Perlahan-lahan mengalir membasahi pipi. Timah membiarkan saja air jernih yang sejuk itu mengalir. Dia merasa selesa begitu.

Dia bekerja dengan jiran kakaknya itu selama lima belas  tahun. Sepanjang Dia disan, ada juga orang yang mahu mengambilnya sebagai isteri, tetapi Timah  menolak kerana Dia tidak mahu mengecewakan orang itu dan dirinya sendiri. Timah terpaksa berhenti dan  balik kekampong apabila ibunya meninggal untuk menjaga bapanya yang sudah tua. Selang setahun kehilangan ibunya, bapanya pula meninggal. Dia saja tinggal seorang di kampong mewarisi rumah tua peninggalan kedua ibubapa.

Fikirannya terus mengelamun membayangkan anak jagaan yang memanggilnya ibu itu. Kulit anak yang cerah dan hidung yang mancung itu sudah tentu cepat mendapat jodoh. Apatah lagi menurut kakaknya anak itu tidak meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas SPM. Timah mahu memeluk anak itu seerat mungkin sama seperti ketika dia menjaga anak itu semasa kecil. Kasih sayangnya mula berputik semula. Rindunya tidak ada kata yang dapat menceritakannya. Timah bingkas bangun untuk ke dapur. Kasih sayang dan rasa rindu kepada anak itu memberi kekuatan kepadanya untuk menyediakan sesuatu yang lain dari hari biasa, air teh dan biskut tongkat.

Tiba didapur kayunya, Timah termenung sebentar. Tidak banyak bahan yang dapat membantunya untuk menyediakan sesuatu yang istimewa. Sudah tentu bukan nasi kerana sudah melebihi waktu yang sepatutnya. Apa yang istimewa dan sesuai bagi jamuan petang. Yang penting apa agaknya kegemaran anak itu. Timah buat andaian bahawa anak itu sudah tentu suka makan kuih tradisi yang mungkin jarang didapati di sana sepert seri muka. Tapi bahan untuk membuatnya tidak ada. Teringat dia akan gerai Pak Ali di seberang jalan tempat tumpuan orang bermain dam disamping minum petang. Timah tersenyum, mungkin boleh terserempak seseorang disana. 

Lama juga Timah berihat selepas menunaikan solat zohor. Dia bersiap untuk ke gerai Pak Ali, takut nanti kuih seri muka yang hendak dibeli kehabisan. Dia menuruni tangga dan melangkah untuk menyeberangi jalan menuju ke gerai Pak Ali yang jaraknya 200 meter dari rumahnya. Tercungap juga nafasnya apabila sampai digerai Pak Ali yang telah sedia ada beberapa pelanggan. Matanya mencari kuih seri muka yang berwarna kuning putih itu. Hatinya  gembira sekali, kuih seri muka masih ada lagi. Dia meminta Pak Ali memmbungkus untuknya sepuluh keping. Sementara itu Dia terpandang seseorang yang dikenali sedang menolak buah dam, khusuk sekali. Harun, bekas suaminya yang rambut telah memutih adalah pengunjung tetap gerai Pak Ali, bermain dam sambil minum secawan kopi. Itulah hobinya. Cucu pun tidak ada. Manakan nak dapat cucu anak pun tiada. Timah tidak menegur, tidak mahu mengganggu kekhusukan bekas suaminya itu. Tapi dia puas juga dapat berjumpa dengan Harun orang yang masih dikasihi.

Di rumah Timah menunggu tetamu istimewa. Kuih dan air minuman telah siap sedia. Waktu Asar hampir tiba. Sebuah kereta memasuki dan berhenti di halaman rumahnya. Maka muncullah kakaknya dan dua orang lagi. Berpelukan mereka melepaskan rindu masing-masing terutama kakaknya. "Ini Nadia?" Timah bertanya sambil memeluk anak dara itu dengan erat sekali. Nadia tidaklah memberi pelukan seerat yang sama. Dia seperti mahu meronta dilepaskan segera.

Bukan main berselera mereka menjamah kuih seri muka gerai Pak Ali  itu. "Sedapnya kuih ni. Cantik pula"  puji Nadia yang terus mengunyah kuih seri muka itu. Timah senyum saja. Dia tidak mahu beri tahu dari mana asal kuih itu. Dia mengharapkan tiada soalan sepert itu. Biarlah mereka semua beranggapan kuih itu hasil tangannya sendiri. "Kami baru balik dari majlis kahwin di kampong sebelah. Dah dekat kami singgahlah", kakaknya memberitahu. "Tak tidur sini?" Timah pelawa ayam. Dia yakin mereka tidak akan mahu tidur di rumahnya. "Alah mak, besok Nadia ada hal. Nak jumpa kawan", Nadia bersuara cemas takut-takut emaknya bersetuju dengan pelawaan si Timah itu. "Bila lagi nak tidur rumah ibu. Kan dulu Nadia berkepit dengan ibu", Timah bersuara sayang seolah-olah Nadia itu masih kecil dibawah jagaannya. "Tak mau lah mak. Nadia ada janji", Nadia segera menolak pelawaan ibu Timahnya. Kakak Timah dan emak Nadia sengaja membisu, mengusik hati anaknya. "Tak mau lah mak", sekali lagi Nadia menyatakan perasaan hatinya sambil bangun bersedia untuk melangkah ke tangga. "Ibu Timah bergurau saja. Mak pun ada hal juga", bersuara mak Nadia menyenangkan hati anaknya.

Maka berangkat pulanglah ketiga-tiga mereka. Nadia bukan main seronok lagi. Tanpa bersalaman beliau lantas ke kereta meninggalkan Timah yang tangannya tergantung-gantung mengharapkan huluran dari tangan Nadia anak jagaannya. Sedih dan  sayu dihatinya memandang kereta jiran kakaknya itu meluncur meninggalkannya..

'Anak enggang , enggang juga, manakan nak sama anak...' keluhan hati Timah terhenti.  Matanya memandang ke gerai Pak Ali namun Timah terbayang orang yang pernah mahu mengambilnya sebagai isteri semasa bekerja di Jalan Klang dulu. 'Anak sendiri', bisiknya melangkah layu.

Jumaat, 22 April 2011

Salam Jumaat......8

Gambar Hiasan  Majlis Pertunangan:  Pihak Perempuan Menunggu Rombongan Lelaki

SJ untuk anda yang budiman dan dikasihi. Selamat Berjumpa lagi.

Kali ini SJ hendak bercerita mengenai proses kearah mendirikan rumah tangga dikalangan masyarakat Melayu Islam khususnya di Malaysia dan wang menguruskan majlis.

Kita sudah biasa dengar proses merisik, lepastu bertunang dan majlis pernikahan. Kalau kita ambil proses memuktamadkan urusan urusniaga yang selalu di buat ketika ini , peringkat merisik ialah pencarian rakan perniagaan . Apabila sudah dapat yang sesuai  maka diteruskan majlis menandatangani MOU atau Memorandum of Understanding yang disaksikan oleh orang-orang terpenting di kedua belah pihak misalnya para menteri. Sama juga  dengan majlis pertunangan yang disaksikan sanak saudara di kedua belah pihak. Jika telah yakin dan tetap fikiran bahawa urusniaga itu menguntungkan kedua pihak maka dimatrikan perjanjian sebagai peringkat terakhir. Samalah dengan majlis pernikahan yang ditunggu-tunggu, memuktamadkan apa yang telah dipersetujui dahulu. Dengan akad nikah maka sahlah pasangan itu sebagai suami isteri melayari bahtera kehidupan yang bermacam warna. 

Semua proses yang dilalui sama ada dalam mendapat rakan urusniaga mahu pun mendirikan rumah tangga, yang selalu memeningkan kepala terutama yang kurang berada atau sederhana berada ialah WANG, DUIT. Mereka yang mempunyai wang seperti anak-anak Raja, anak menteri, anak-anak wakil rakyat, anak-anak kontraktor, usahawan dan yang  kaya berharta seperti artis ternama mungkin soal wang tak jadi hal. Boleh buat majlis besar-besaran tambahan pula ada pihak-pihak yang berebut 'sponsor'. Tapi tidak semua orang berkedudukan begitu, malah majoritinya tidak mampu bermewah-mewah.

Jadi takkanlah kita tidak meneruskan untuk mendirikan masjid ini disebabkan wang. Kita mesti berikhtiar supaya perkara yang baik ini dapat diteruskan juga, setakat yang kita mampu. Jangan tiru mereka yang kaya dan bergaya. Buat cara kita. Buat sederhana saja. Kalau boleh, SJ cadangkan saja, kita tinggalkan proses risik merisik. Terus bertunang dan menikah hari yang sama. Dengan cara ini, adat kita sanjung, syaraq kita patuh. Yang penting boleh kurang belanja, jimat. Jangan kisah cerita orang, sebab yang tanggong kita sendiri.

Seperkara lagi, iringan hantaran janganlah banyak sangat sampai dua puluh satu jenis barang. Lepastu yang menerima pula akan membuat iringan balas dengan tambahan dua lagi iringan iaitu 23. Cukuplah satu dua iringan atau selebih-lebihnya lima. Bukan penting sangat. SJ nampak iringan itu menyedapkan mata memandang saja.

Wang hantaran janganlah terlalu tinggi sampai beratus ribu, itu orang kayalah. Taraf macam kita yang sederhana ini setakat tidak melebihi RM10,000.00 dan kebawah adalah sesuai dalam keadaan ekonomi ketika ini. Para tetamu yang hadir diharap bermurah hati untuk membantu tuan rumah dengan sedikit sumbangan wang. SJ berpendapat lebih baik berikan wang dari memberi hadiah yang lain. Sebab kadang-kadang hadiah yang diterima adalah benda yang sama misalnya periuk letrik. Kalau lima orang beri hadiah yang sama, ianya tidaklah sebenarnya merengankan beban tuan rumah mahu pun pasangan yang baru hendak memulakan alam rumah tangga. Kalau diberikan wang, mereka ada pilihan untuk menggunakannya mengikut keutamaan berdasarkan keperluan mereka.

Ada satu lagi yang SJ ingat yang telah diamalkan dikalangan sebahagian orang Melaka pada masa dulu dalam membantu mengadakan majlis perkahwinan ialah konsep menanam. Menanam ini samalah dengan konsep pelaburan dalam amalan ekonomi moden. Caranya ialah mereka yang mempunyai anak, perempuan atau lelaki, akan memberikan wang atau barang-barang seperti beras, gula atau telur kepada jiran atau yang sekampong, atau yang dikenali, semasa orang yang berkenaan itu mengadakan majlis perkahwinan anaknya. Pemberian itu dibuat dengan bertanya terlebih dahulu apa yang diperlukan oleh orang itu. Tujuannya supaya tidak berlaku pertindihan pemberian. Setiap kali ada majlis perkahwinan, diadakan tanaman sehinggalah tiba masanya apabila anaknya berkahwin , dia akan menerima balasan pula. Macam mana, boleh dilaksanakan dalam masyarakat kita yang moden dan terlalu individualistik ini? Mengapa tidak! Kita cuba kerana ianya satu cara yang baik dan ada alasan yang kuat untuk dihidupkan semula.

Akhirnya SJ mengharapkan wang tidak akan jadi penghalang untuk mendirikan sebuah rumah tangga. InshaAllah.

Khamis, 21 April 2011

Jangan Marah-marah , Kita kan Dah Tua, Tua Bangka Pula

Jangan marah-marah, kita kan dah tua, tua bangka pula. Itulah kata-kata yang telah dibisikkan oleh hati kecilnya sendiri apabila dia naik angin melihat anak-anak muda yang bermotor merempit  dijalan raya di hadapan rumahnya. Manakan tidak, anak perempuannya yang gagal dalam peperiksaan SPM baru-baru ini adalah juga pengamal paling setia dalam karier rempitan ini, sebagai pembonceng saja.Tetapi dia masih lagi boleh menarik nafas setengah panjang kerana anak lelakinya, setakat yang diketahui, tidak atau belum lagi menunjukkan keinginan untuk bersama-sama dalam pasukan rempitan kakaknya itu.

Dia baru saja balik dari masjid yang berdekatan, tidak sampai 500 langkah dari rumah teres dua tingkat disebuah taman perumahan, Taman Puteri Kayangan, selepas menunaikan fardhu Maghrib. Itulah rutin  hariannya yang bersangkutan dengan amalan  Rukun Islam yang kedua. Tetapi, setakat Maghrib dan sembahyang Jumaat atau menghadiri majlis rasmi yang melibatkan pembesar dan kenamaan negeri dan negara saja, solat dan majlis-majlis yang lain , biasanya bukan menjadi keutamaannya sebagai diantara jemaah masjid yang hadir.

Sementara menunggu hidangan makan malam yang sedang diatur oleh isterinya didapur, Dia berihat diatas sofa diruang tamu sambil menonton tv. Entah mengapa hari ini hidangan lambat disediakan tidak seperti biasa yang telah tersedia sebaik saja Dia sampai kerumah. Dia memandang ke arah dapur dengan harapan isterinya datang menjenguk untuk mempersilakan Dia menjamu tekaknya yang sentiasa berselera, menambahkan lagi keboroian perut yang mengembang kedepan meleweh kebawah. Sudah menghampiri pukul lapan, waktu yang tidak pernah gagal baginya untuk mengadap tv mendengar perkembangan semasa yang terkini. Isterinya, tiba-tiba muncul mempersilakan Dia ke ruang makan. "Dah pukul lapan. Tengok berita dulu", katanya dengan nada sedikit merengus, "Waktu berita baru nak ajak makan", rengusannya diteruskan , sedikit perlahan untuk didengar oleh telinganya saja.

Di masjid tadi, sebaik saja selepas solat beberapa orang jemaah khusuk bercerita tentang pendedahan sebuah video lucah yang melibatkan orang penting. Dia pun sendiri mendengar pendedahan itu melalui beberapa stesyen tv sebagai tajuk utama pemberitaan. Cuma yang berbeza dan yang menaikkan minatnya mengenai pendedahan itu ialah pelaku yang disyakki itu dikatakan akan ditangkap dan didakwa diatas perbuatan yang amat menjijikkan itu. Semua yang bercerita itu ketawa besar. Dia pun sama-sama ketawa terbahak-bahak sambil keluar dari masjid.

Seperti yang diharapkan, kisah video lucah dan pelaku ini termasuk dalam tajuk-tajuk ringkas mendahului berita sepenuhnya. Pemberitaannya sama saja seperti hari-hari yang lepas. Dia masih menunggu berita penangkapan. Tidak juga timbul. Dia nampaknya kecewa. Dia mengharapkan supaya pihak berkuasa segera membuat tangkapan kerana ini perbuatan yang amat menjijikkan. Malukan bangsa dan agama. 'Nak jadi pemimpin konon. Moral rendah', bibirnya mencebek terlalu meluat.

Lama juga Dia menunggu, tapi kisah yang didengar sama saja diulang-ulang. Cuma setiap kali pemberitaan orang yang berbeza memberi pandangan. Tapi semuanya mengutuk perbuatan yang dikatakan memalukan bangsa, negara dan agama itu. Apabila berita beralih ketajuk lain, perutnya mula merasa lapar. Dia bingkas bangun menuju ke meja hidangan. Isterinya memanggil anak lelakinya yang berada di tingkat atas untuk makan bersama."Mana si Ayu?" Dia bertanya isterinya apabila nama itu tidak di panggil. "Itulah sebabnya makan lambat. Tadi bila awak ke masjid, kawan-kawanya datang ajak keluar. Saya tak benarkan. Bergaduh. Bertengkar. Dia kata saya nak kontrol. Dia dah besar tahulah bawa diri. Anak tak tau untung nasib", Isterinya membebel marah. "Merempit lah tu", sambung isterinya.

Dia diam membisu sebab Dia sudah tahu aktiviti anaknya itu. Telah beberapa kali dilarang, tidak juga berjaya malah telah diugut jika terus dilarang, anaknya itu lari tidak akan balik kerumah. Ancaman ini yang melemahkannya untuk bertegas terhadap anak perempuannya itu. 'Asalkan balik rumah, ok lah', itu pendirian yang dipegang dalam hubungannya dengan anak perempuannya itu. Walaupun merasa sedih dan marah, tapi hidangan yang ada dihdapannya sungguh menyelerakan tekaknya. Dua kali tambah, diikuti dengan alhmdulillah apabila sendawa, terlalu kenyang. Tapi masih lagi ada yang kurang.

Dia bangun menuju ke ruang tv ke meja kecil. Dicapainya kotak kecil sambil menggoyang-goyang kotak itu. Masih ada sebatang rokok. Sebatang rokok tidak cukup untuk melalui perjalanan malam sebelum tidur. "Imm mari disini", Dia memanggil anaknya yang baru hendak melangkah naik keatas. "Pergi kedai beli Dunhill sebungkus", Dia mengarah dan menghulur wang lima ringgit. Dengan taat dan ceria anaknya itu mengambil wang sambil mencapai  kunci motorsikal honda yang terletak diatas meja kecil berhampiran bapanya itu.

"Nak kemana si Im tu?" Tanya isterinya yang baru saja selesai mengemas meja makan. Dia tidak segera menjawab. Bukan perkara penting. Lagipun Dia tahu kemana anaknya pergi. "Woii, saya tanya Im ke mana. Naik motor . Dia tak ada lesen. Tak pakai topi keledar pulak", Dia memandang isterinya dengan mata luas terbeliak apabila  mendengar komen dan pertanyaan isteri yang cuba menyalahkannya. "Awak sibuk sangat pasal apa. Kedai tu bukan jauh sangat", isterinya bingkas melangkah untuk keatas bila mendengar jawapan seperti itu sambil membebel, "Lantaklah".

Rokok yang ditangan telah hampir ke puntungnya. Dia buat sedutan terakhir yang panjang sambil perlahan-lahan menghembuskan asap rokok dari mulutnya. Dia sungguh puas menikmati sedutan terakhirnya itu. Fikirannya mula berlegar-legar memikirkan orang yang dikatakan terlibat dalam babak lucah itu. Kali ini orang itu tidak akan terlepas. Biar dia mampus. Memalukan bangsa, agama dan negara. "Tu lah dulu Aku nak jadi calun.......", sebelum habis lamunannya terdengar bunyi talipon. Dia segera bangun dan menuju kesudut tangga dimana terletak talipon berwarna merah. Gagang diangkat. Dia menganggok-anggokkan kepala wajahnya pucat tidak seceria semasa mengutuk orang yang dikatakan terlibat  dalam babak lucah tadi. "Nanti saya datang ,tuan", Dia meletakkan gagang talipon dan memanggil isterinya untuk turun ke bawah.

Termengah-mengah juga isterinya membawa badannya  menuruni tangga, "Apsal", Tanya isterinya ringkas. "Mari ke balai  anak awak dah buat hal", Dia cuba mengheret isterinya segera untuk kebalai polis. "Tu lah saya dah kata budak tu tak ada lesen. Tak pakai ...", "Bukan Im lah, Ayu anak betina awak tu. Tangkap basah. Bukan saja merempit tapi berkepit", Dia membetulkan sangkaan yang ada dalam otak kepala isterinya.

Dia dan isterinya menunggu kepulangan Im anaknya yang disuruh membeli rokok tadi. Dia mundar mandir memikirkan apa pula yang terjadi kepada Im, lambat sangat balik. Langkahnya terhenti sebentar apabila ternampak dari jauh lampu motorsikal menuju ke rumah. Im rupanya, Dia dan isterinya menarik nafas panjang lega. "Apsal lambat", siisteri  segera bertanya. "Kena tahan polis. Tapi dia maafkan. Lain kali jangan buat", lega lagi perasaan kedua-duanya. "Rokok?" Dalam keadaan seperti ini juga Dia tidak boleh lupa rokok. "Orang kedai tu tak mahu jual. Im bawah lapan belas", matanya terbeliak dengan jawapan anaknya itu. Tidak pernah perkara ini berlaku. "Kau pergi kedai mana?" Dia bertanya dengan suara agak tinggi. "Kedai Melayu yang warna hijau tu", jawab anaknya. "Sudah", Dia mengheret isterinya membonceng motor untuk ke balai polis.

Dia menahan kemarahannya. Akan diluah dan dihambur apabila bertemu dengan anaknya nanti. Buat malu keturunan. 

Sampai di balai dengan segera diheret isterinya memasuki ruang yang telah sedia terkumpul beberapa anak muda termasuk anaknya yang berdiri tunduk kepala menutup muka. Seorang pegawai Jabatan Agama datang nendekati dan bertanya "Encik Shuib?" Dia menganggok kepala. "Begini encik, jangan marah-marah tak selesai masalah" kata pegawai itu apabila melihat Dia seolah-olah mahu menerkam anaknya itu. Dia undur beberapa langkah ke belakang menenangkan hati yang membara sambil mengurut dada. 'Ya tak guna marah-marah, aku pun dah tua. Malu nanti. Baik selesai secara baik. Lagi pun benda dah berlaku' , bisik hati kecilnya memujuk meredakan nafsu marah. Isterinya menangis teresak-esak, mengenangkan malu yang akn ditanggongnya. Dia pula amat risau takut kalau-kalau cerita anaknya yang ditangkap berkhalwat itu menjadi cerita popular di masjid mengatasi cerita  video lucah yang dianya sendiri khusuk mendengarnya. "Ahhh mampuslah Aku".

Rabu, 20 April 2011

Hitch hiking-Batu 4 Jalan Cheras ke Johor Baru....6


Batu empat Jalan Cheras
Hajat kembara ke Singapura
Usaha ada kerja pun keras
Takdir tuhan tentukan segala

Aku disebelah kiri dan Dosmy disebelah kanan. Kecewa? Tidak juga. Lain kali kan ada, 'jika usia masih ada ke Singapura lah kita Mi'


Selepas sarapan pagi di rumah bapa Rohani di Larkin ,Dosmy dan Aku telah bersiap sedia untuk bergerak ke utara menuju Melaka. Berita  Mersing dinaikki air telah membantu kami membuat keputusan untuk mengakhiri  perjalanan atau hitch hiking kami. Selepas bersalaman dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Rohani dan keluarga maka menapaklah kami menuju ke utara. Seperti yang telah kami alami sebelum ini, ada beberapa pemandu kenderaan mengulangi perangai yang sama berhenti melampaui kami, menunggu beberapa ketika, dan meluncur laju bilamana kami telah menghampiti kereta mereka. Rupanya perangai seperti ini sudah menjadi satu budaya. Tetapi tidak semua yang buat begitu. 

'Tidak semua yang buat begitu', memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan pengembaraan secara hitch hiking ini. Kami boleh saja menaikki bas dan mampu membayar tambang bas ke Melaka sebab duit masih lagi banyak berbaki. Banyak makan free berbanding belanja menggunakan wang sendiri. Tempat tidur pun percuma, di Kubu, rumah bapa saudara Dosmy, di masjid Parit Jawa dan malam tadi di rumah Pak Shariff bapa Rohani.

Sebuah lori yang sederhana besar berhenti. Aku dan Dosmy tidak ghairah untuk segera mendekati lori itu, Kami berjalan bersahaja dan selamba saja. "Mau naik kah", Tanya pemandu itu apabila kami melintasi lorinya. Aku dan Dosmy saling pandang memandang. Aku semacam tidak percaya dengan ajakan apek separuh umur itu. Takkan apek tua ini faham tentang hitch hiking. Entah-entah tak pernah pergi sekolah. Kalau tidak tak kan jadi pemandu lori.

"Kita naiklah. Jangan memilih", Dosmy mematikan keraguan yang ada dalam kepalaku mengenai ajakan si apek tua itu. "Mana mau pergi?', lancar juga Bahasa Melayu si apek itu. "Saya Skudai berhenti", sambung siapek sebelum kami dapat membuka mulut untuk menyatakan destinasi kami. "Skudai, boleh juga ", jawab Dosmy yang duduk ditengah diantara siapek dan Aku. Dalam perjalanan yang tidak laju itu kami berbual-bual dengan si apek tua itu. Beliau menyatakan bahawa beliau bekerja sebagai pemandu lori sayur dan mempunyai empat orang anak dimana dua orang sedang belajar di luar negara. Seorang di Australia mengambil Akauntansi yang dijangka selesai tidak lama lagi dan seorang di England dalam bidang perubatan, tahun kedua. Apabila ternampak kami beliau merasa belas kerana merasakan anaknya diluar negeri itu mungkin berkeadaan seperti kami. Katanya lagi kalau dia tolong orang, orang lain akan tolong anaknya pula. "Awak mesti kerja kuat. Mesti banyak belajar", antara nasihat yang diberikan apabila kami memberitahu bahawa kami masih bersekolah lagi.
 
Aku sebenarnya merasa amat malu kerana mempunyai perasaan memandang rendah terhadap si apek yang baik hati itu. 

Sesampai saja di di Pekan Skudai hampir memasuki pukul 12 tengah hari, kami turun dan mengucapkan terima kasih kepada apek pemandu lori yang baik hati itu. Beliau mengajak kami makan bersama, Jawapan pertama kami ialah terima kasih sebagai cara menolak yang berbudi bahasa. Namun beliau bersungguh mengajak dengan menyatakan kedai makanan itu kedai Melayu. Beliau pula suka makan masakan asam pedas. Terliur juga seleraku apabila masakan asam pedas disebutkan, dan sambil memandang pada Dosmy, "Tauke sudah ajak, apa boleh buat, terima kasih sajalah", kami melangkah  menuruti si apek itu.

Berselera sungguh kami bertiga makan.

Sebelum berpisah, kami sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada si apek dan beliau pula  mengulangi nasihat untuk kami belajar rajin-rajin dan selamat dalam perjalanan. 

Waktu memasuki pukul satu. Matahari memancar membakari anggota badan kami. Kami terus menapak keutara dalam panas terik . Dosmy mencadangkan supaya berhenti untuk berteduh apabila ternampak  beberapa batang pokok berhampiran dengan jalan yang kami lalui. Aku bersetuju kerana  itupun yang Aku mahu. Selain dari beberapa batang pokok besar terdapat juga tumbuhan yang lain terutama pokok senduduk.
Kami menyandarkan badan pada batang pokok itu untuk melepaskan kepenatan. Perutku pula buat pasal, angin menggelodak didalamnya. Aku tidak boleh tahan, ada sesuatu yang mahu keluar segera. "Mi, kau tunggu sini. Aku nak pergi ke pokok senduduk tu", kataku sambil menunjuk kearah perut denga muka ku berkerut. "Cepat sikit, nanti ada kereta berhenti", Dosmy memberi tekanan semasa aku dalam keadaan tertekan.

"Oii cepatlah", panggil Dosmy semasa Aku baru saja mengesat sesuatu menggunakan daun senduduk, bersuci tanpa air. Maka berlari-lari Aku menuju ke arah Dosmy. Sebuah kereta sport yang tidak berbumbung telah sedia berhenti. "Mari naik", jemput pemandu yang berkulit cerah macam  mat salleh. Dosmy duduk di hadapan dan Aku di belakang. "Nak ke mana? Saya nak ke Melaka, Radio Melaka", pemandu macam mat salleh mahu tahu destinasi kami sama ada sama dengan destinasinya. "Sama pakcik", jawab Dosmy. "Panggil uncle, Uncle Mat, Ahmad Wan Yet pemain violin terkenal", uncle itu memperkenalkan diri sambil tersenyum dan ketawa kecil. Nama itu memang telah biasa bagi kami, cuma inilah kali pertama bertemu. Kulit putih macam mat salleh. 

Dosmy memandang Aku sambil tangannya mengipas-ngipas hidung  apabila melihat Aku duduk dalam keadaan yang tidak selesa. "Ada lalat ke? Tanya uncle Mat. "Tadi ada, dah lari kebelakang", Dosmy menahan ketawanya. "Ok lah bila kereta berjalan, larilah dia", kata uncle mat yang segera meluncurkan keretanya. Dosmy dan Aku ketawa kecil saja..

Selasa, 19 April 2011

Curriculum Vitae (cv) Saya Pula

Nama: Yousef Imran Azrul Aswad
Jejak Pertama Ke Alam Nyata: 26 Julai 2010
DiMana?: Hospital Pantai Pandan Indah Kuala Lumpur
Pukul Berapa?: 4.30 Petang, Waktu Malaysia
Menangis?: Biasalah, terlalu gembira tengok dunia
Lepastu kemana?: No 17, Persiaran Istana, Jalan Istana, Melaka
Berapa Lama Berkelana?: Dua bulan saja, ikut ummi duduk berihat
Lepastu?: Ke One Ampang Point, Tingkat Satu
Sampai Sekarang?: Ya lah. Sesekali ke ke Rembau, Kg. Senama sebelum ke Melaka, Jalan Istana
Ummi Bekerja Di Mana?: Di Technip, Jalan Tun Razak
Ayah?: Syarikat Miazu lah, apa lagi. Nak order kereta?
Ummi dan Ayah Kerja, Siapa Tempat Bermanja?: Tok Wan di Kg. Pandan
Yang Unik: Tengoklah saya, ada rupa anak Korea? Mari mata bertentang mata. Macam mana. Tak percayakah?
Sayang Siapa?: Ummi dan Ayah
Lagi?: Oma,Tokpa, Wan dan Atokyah
Itu Saja?: Banyak lagi, panjang senarainya
Minuman Harian Yang Jadi Idaman: Susu Ummilah
Makanan Membesar , Membina Kekuatan dan Menyehat Badan: Sayuran Pilihan, Ikan Tak Bertulang Harganya Boleh Tahan, Daging-dagingan , Nasi Buburan dan Macam-macam, Semuanya yang 'Halallan Tauyiban'.
Baca Doa Makan: Mesti, Tanya Ummi dan Ayah
Masih Pakai Nappy?: Ini Soalan Terlalu Peribadi, Tahun depan jumpa saya
Berat Badan?: 26 Julai 2010 hanya 3.7 kilo. 
Sekarang?: Mari ke kilinik kita timbang
Ketinggian?: Bolehlah buka switch tv.
Hobi: Macam-macam, seribu satu senyuman
Ada Wawasan?: Sudah Tentu. Destinasi Harapan ke Jalan Yang Benar
Cita-cita: Tidaklah Rahsia tapi Simpan Sendiri Untuk Jadi Kemudi
Misi: Lima Perkara Yang Utama dan Enam Perkara Panduan Bersama
Cuba Huraikan: Mudah Saja, Untuk Dunia dan Akhirat
Siapa Saksi: Ummi dan Ayah, siapa lagi
Kelayakan Akademik: Kita jumpa dihari konvo saya 2033
Bidang Pengajian: Masih dalam peringkat pilihan
Profession Pilihan: Sabar Dulu, banyak sangat tawaran
Secara Ringkas Kata-kata yang meyakinkan: Alhamdulillah, bersama kita mengembangkan kasih sayang berbuat baik sesama insan dan jauhkan dari fitnah tohmahan

Sekian curriculum vitae saya. Ada mana-mana pihak yang sudi berkawan dan berkongsi pandangan dan perasaan sila e-mail di yiaaha@oneampang.kl.my atau di blog theflowerselling boy

Yang Benar
Yousef Imran




















Mengapa Anak Kecil Menangis?

 Anda ada anak yang baru dilahirkan atau menjaga cucu yang baru dilahirkan? Jika jawapannya ya, mari kita kongsi pengalaman.

1. Sebahagian besar anak yang baru dilahirkan akan dikesan menghidapi sakit kuning atau sekarang orang telah terbiasa dengan nama 'jaundice'. Rawatan yang selalu diberikan ialah dengan memberi minum air masak banyak-banyak dan juga susu. Tujuannya supaya anak itu banyak kencing dan dengan ini boleh menurunkan tahap sakit kuning itu.

2. Kalau sakitnya agak serious yang bacaan darahnya melebihi paras 14, biasanya akan dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan cahaya lampu. Biasanya rawatan itu paling berkesan.

3.Pada masa dulu sakit kuning ini tidak dianggap sakit yang serious. Ia sesuatu yang biasa terjadi kepada anak yang baru lahir. Rawatan yang di buat ialah menjemur anak pada sebelah pagi waktu matahari sedang naik lebih kurang pukul lapan dan sembilan. Inilah rawatan yang dilakukan dahulu. Sekarang ada juga tapi, jarang-jarang.

4. Sekarang ini ada orang yang promosi minum susu kambing. Tapi saya lebih yakin susu ibu lebih baik dari susu binatang seperti kambing.

5.Anak kecil itu juga terlalu sensitif kepada dunia barunya termasuk suhu panas dan sejuk. Oleh itu cuba elakkan penggunaan kipas yang melampau kelajuannya dan pakaikan pakaian seperti barut dan baju serta seluar yang panjang serta badannya sentiasa dibalut dengan kain untuk memberi kepanasan kepdanya. Ingat bahawa anak itu belum lagi membina lemak yang banyak, jadi mudah merasa sejuk. Cuba elakkan anak terlalu lama terdedah tanpa pakaian dan dalam hawa yang sejuk.

6. Jika selalu terdedah kemungkinan besar anak itu akan mengalami sakit perut. Sakit perut inilah yang membuatkan anak itu sentiasa menangis menggeliat.Satu lagi kemungkinan sakit perut ialah kesan dari susuan ibu yang dalam badannya banyak angin. Mungkin kepada orang muda perkara angin dalam badan dan masuk kedalam perut anak kecil itu melalui susuan ibu, adalah sesuatu yang dipersoalkan, tetapi pengalaman saya mendapati ianya adalah perkara yang benar. Pengalaman memberi tahu apabila susuan dari ibu seperti ini diberhentikan maka anak itu tidak lagi sakit perut.

7. Selain dari lama terdedah tanpa balutan pakain yang sempurna dan susuan dari ibu yang mempunyai banyak angin dalam badan, angin juga terdapat dalam badan anak itu disebabkan selepas mandi tidak dibuat tuaman. Banyak orang muda tidak tahu apa itu tuam. Tuam ialah cara mengeluarkan angin dari perut anak melalui aplikasi memanaskan perut anak termasuk di bahagian belakang, terutama di bahagian pusat dengan memanas atau melayurkan daun sireh kemudian dilekapkan dibahagian berkenaan dalam beberapa saat dan diulang-ulang beberapa kali sebelum dipakaik barut. Sebaik-baiknya disapu juga minyak angin yang lembut  diperut, belakang, betis dan kaki sebelum dipakaikan pakaian yang lengkap.

8.Makanan ibu yang menyusu perlu dijaga, perlu berpantang. Elak memakan sayur atau bahan makanan yang sejuk-sejuk seperti sayur kangkong, bayam atau buah papaya. Orang dulu-dulu , zaman 60an kebawah sebahagian besarnya kuat berpantang. Makan ikan panggang saja. Tidak semua ikan yang dimakan. Ikan kembong memang dielakkan. Saya juga dapati bahawa ibu yang menyusu yang memakan   yogurt   boleh memberi kesan sakit perut kepada anak susuan. Tetapi saya tidak ada penjelasan yang saintifik, sekadar pemerhatian saja. Itulah yang dikatakan pengalaman.

9.Ibu yang menyusu mestilah mengambil makanan secara teratur dari segi waktunya untuk mengelak ruang perut di dahului oleh angin sebelum makanan.

10.Selain dari minyak untuk disapu diperut untuk merawat sakit perut, anda juga boleh memanaskan perut anak anda dengan cara menitikkan sedikit minyak angin itu ditapak tangan dan menggeselkan kedua tapak tangan sehingga panas dan lekapkan tapak tangan itu keperut anak terutama di bahagian pusat. Perkara ini telah di beritahu oleh kedai sengseh. Anda juga boleh dapatkan ubat sakit perut di kedai sengseh selain di farmasi.

11.Kunjungan dari saudara mara sahabat handai kawan taulan, jauh dan dekat untuk mengucap tahniah kehadiran orang baru dan tahniah kepada ibu dan bapa terutama ibu yang telah berjaya dan selamat melahirkan anak adalah satu tradisi yang mulia dan perlu diteruskan. Namun adalah diharapkan kunjungan tidak dibuat waktu senja atau maghrib atau disebelah malam. Selain mengganggu ibu yang bersalin untuk berihat, ada juga mempercayai hantu syaitan berkeliaran diwaktu itu dan mengikuti sama para pengunjung itu. Lalu mengambil peluang mengganggu anak yang baru lahir itu dengan wajah yang menakutkan.Ini menyebabkan anak itu menangis, dan kadang-kadang sepanjang malam. Kerana ada yang berpendapat, anak itu boleh melihat hantu syaitan walaupun anak itu tidak boleh melihat kita. Saya percaya? Jawabnya percaya tetapi susah untuk dibukti atau diterangkan. Hanya pengalaman meyakinkan saya. Sebab itu saya sentiasa membaca ayat Kursi sebagai satu cara untuk meredakan tangisan anak. Kadang-kadang ank itu reda tangisannya. Kadang-kadang terus menangis juga. Tapi saya tetap percaya dengan bacaan itu.

Untuk tujuan kunjungan ini adalah lebeh sesuai kunjungan itu di pendekkan masa bualannya dan tidak dibuat menjelang senja.

Sama ada semuanya benar, separuh benar atau semua tidak benar bukan itu mesej saya.

Mesej saya ialah apabila anak kecil itu menangis, itu adalah suara hatinya memberitahu sesuatu. Kalau berpanjangan, ada yang tidak kena: mungkin lapar hendakkan susu; minta dibersihkan kerana kencing atau berak; perut tidak sedap atau sakit; diganggu hantu syaitan. Dan bukan anak itu menangis kerana ianya perkara biasa kepada mereka. Sebenarnya mereka memberitahu kita, belai dan rawatlah mereka segera dengan penuh sabar dan kasih sayang.

Mesej kedua saya ialah jangan memandang sepi cara yang telah dilakukan oleh orang dulu-dulu walaupun mereka tidak ada atau kurang dengan ilmu dan pengetahuan modern. Mereka memerhati dan mereka sentiasa berusaha mencari jalan dan kaedah untuk merawat anak mereka. Kadang-kadang melalui 'trial and error' mereka terjumpa dengan kaedah yang sesuai lagi yang mujarrab.

Itulah saja yang dapat saya kongsikan. Anda fikir dan timbang dulu sebelum mencubanya. Yang mustahak dua mesej yang hendak saya sampaikan.

Isnin, 18 April 2011

Mengapa Menangis Cu?

Dia nampaknya keletihan. Sambil kepalanya disandarkan disofa, kedua-dua matanya ditutup seperti orang sedang tidur nyenyak. Manakan tidak, sejak semalaman dia tidak dapat tidur kerana mendodoi cucunya yang baru tiga minggu dilahirkan. Entah mengapa dua tiga hari yang lepas ini, cucunya itu asyik menangis tidak berhenti-henti. Kalau menangis waktu dimandikan , dia tidak hairan, mungkin kesejukan. Tapi, dua tiga hari yang lepas termasuk malam semalam, membuatkan dia bertambah runsing dan cuba mencari sebab mengapa jadi begini. Bukan masalah lapar, kerana cucunya itu sentiasa mahu menyusu. Pantang disuapkan puting, bukan main cepat puting itu dinyonyotnya. Kalau menyusu dengan ibunya, pantang lambat, menangislah dia. Tapi apabila dah dapat bukan main nyonyot, tak mahu dilepaskan.

 Matanya dibuka semula sambil memandang kearah tingkap bilik tidurnya yang terbuka luas. Terdengar suara isterinya yang sedang mendodoi cucunya yang teresak-esak menangis. Ke hulu kehihilir isterinya mundar mandir mendukung cucunya yang masih lagi menangis. Dia melihat isterinya penuh simpati. Malam tadi mereka berdua bergilir-gilir mendodoi cucu yang menangis.

Kini pada jam empat petang ,waktu yang ada bagi isterinya berihat melelapkan mata barang sejenak, telah digunakan utuk mendodoi cucu yang menangis tiada berhenti.

Bermula selepas Subuh, selepas membersih cucunya yang kencing dan berak dalam nappy, isterinya turun kebawah menyediakan sarapan pagi. Kemudian giliran dia pula menjaga cucunya..

Isterinya cukup menjaga  dengan rapi akan anaknya yang dalam pantang itu, seperti dia dulu dijaga oleh neneknya . Bertungku satu kemestian, memanaskan badan dengan kayu arang yang dibakar tidak bolih ditinggalkan. Mesti berbarut dan berurut. Perut jangan dibiar kosong nanti katanya masuk angin. Ini bolih menyebabkan anak yang menyusu akan sakit perut. Oleh itu makan mesti disediakan tepat pada waktunya.  Jadi banyaklah kerja-kerja tambahan yang terpaksa dilakukan. Semua  yang di lakukan adalah dengan penuh kasih sayang. Agar anaknya cepat sihat dan cucunya sentiasa sihat.Isterinya tidak pernah mengeluh kepenatan.

 Dia lantas bangun mendekati isterinya untuk mengambil giliran mendodoi pula. Cucunya dipegang tegak dan meletakkan kepala kebahunya. Seperti biasa, dia membaca Ayat Kursi, yang dia terlalu yakin boleh meredakan tangisan cucunya itu walaupun tangisan masih lagi berterusan. Bacaan ayat Kursi diselang seli dengan lirik rekaannya sendiri, kadang-kadang dia sendiri tidak faham lirik ciptaannya itu. Yang dia hajatkan ialah supaya cucunya berhenti menangis. Itu saja.  Tetapi tangisan masih berterusan.

Entah berapa kali dia mundar mandir di dalam biliknya mendodoi cucunya yang masih menangis. Dia cuba mencari sebab mengapa jadi begini. Dia, siang-siang lagi  telah menolak punca kelaparan. Sakit perut? Ya, ini mungkin sebabnya. Tapi bagaimana bolih sakit perut? Makanan ibu? Tapi makanan sentiasa di sediakan tepat pada waktunya. Mungkin bahan atau jenis makanan? Yang sejuk? Yang bolih membuatkan perut masuk angin, seperti petola? Tapi tidak pernah dihidangkan. Banyak makanan termasuk buah-buahan telah dikeluarkan dari menu. Papaya jauh sekali. Hari-hari makan ikan tenggiri atau salmon. Itu pun rebus saja. Sayur, hanya sawi hijau. Pernah dia diberitahu anaknya makan yogurt. Dan bermula pada malamnya sehingga ketika ini cucunya mula menangis menggeliat seperti orang sakit perut. Lalu dia beri tahu isterinya supaya menasihatkan anaknya itu supaya jangan lagi mengambil yogurt. Dia tak pasti sama ada perkara ini telah disampaikan atau belum.

Dia terus berfikir sambil mendodoi cucunya ke hulu ke hilir. Maka terbayanglah semasa nenek mertuanya menjaga anaknya dulu tentang menuam perut selepas memandikan anaknya. Perkara ini tidak pernah dibuat olih isterinya selepas memandikan cucunya. "Susah bang. Lambat pakai baju dia menangis. Nak pakai barut dan nak sapu minyak telun pun tak dapat. Menangis. Tak sampai hati tengok dia menangis", siisiteri menyatakan kesedihannya yang menyebabkan tidak dapat menuam perut cucunya dengan daun sireh yang dipanas layurkan.

Dia berfikir lagi bagaimana hendak mengatasi tangisan cucunya ini. "Kita cuba pergi kedai sengseh, tanya kalau-kalau ada ubat", dia mencadangkan kepada isterinya. Isterinya segera bersetuju. Tapi dia mesti membawa isterinya bersama ke kedai sengseh. Itulah kebiasaan yang berlaku kerana dia tidak betah berjalan sendirian untuk membeli barang keperluan. "Nanti anu baliklah", cadang isterinya yang merujuk kepada menantunya. Isterinya tidak akan mahu meninggalkan cucunya bersama dengan emaknya yang masih dalam pantang itu.

Di kedai sengseh, nyonya penjual ubat itu memberi tahu bahawa sakit perut ini memang biasa bagi budak dalam pantang.Katanya  banyak angin dalam perut. Tapi 'lama-lama budak sudah besar, dia hilanglah' ,nyonya itu cuba meredakan kerunsingan. "Ini obat awak kasi api , panas sikit. Bila sudah lembek, talok atas pusat" Nyonya itu menghulurkan obat yang bolih membuang angin dalam perut kepada si isteri.

Tiba dirumah perkara yang diajar oleh nyonya kedai sengseh itu dipraktikkan oleh siisteri. Didapati bahawa ubat itu memberi kesan yang positif yang telah mereda cucunya dari menangis. Pada hari itu dan sebelah malamnya cucunya dapatlah tidur dengan nyenyak, dan menangis apabila kelaparan untuk menyusu. Dia, yang membahasakan dirinya tokpa dan isterinya amat gembira sekali sambil mengucap kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Tetapi malam tadi, bermula dari waktu senja, cucunya mula meragam semula. Menangis sampai serak suara. Dia terlalu kesian melihat keadaan cucunya itu sehingga mengalir air matanya  apabila melihat cucunya menggeliat menahan kesakitan yang tidak dapat difahamkan kepada orang lain. Dia tidak berhenti-henti membaca ayat Kursi, cucunya tetap menangis kesakitan. Sepanjang malam hingga ke Subuh bergilir-gilirlah dia dan isterinya mendodoi cucunya itu.

"Mengapa sayang. Sakit perut ya? Nanti tokpa baca", dia bercakap memujuk cucunya yang sedang menangis seolah-olah anak kecil itu faham apa yang dicakapkannya. Cucunya masih lagi menangis. Ligat lagi otaknya memikirkan, mengapa jadi begini. Dia mempunyi enam orang anak. Melainkan yang tua yang sakit jantung berlubang, yang lain menangis juga tapi tidaklah sampai seperti yang dihadapi sekarang. Dia begitu sedih sekali sambil merenung wajah cucunya yang comel yang sedang teresak-esak itu.

Mendodoi anak untuk meredakan dari tangisan bukan perkara baru baginya. Dulu, anak sulungnya, apabila masuk maghrib sehingga ke waktu subuh sentiasa merengek dan menangis. Hanya dapat tidur sekejap tidak sampai beberapa minit menangis semula. Hal ini berlaku pada tiap-tiap malam, dan dia bergilir-gilir dengan isterinya mendodoi anaknya itu. Nak kata sakit perut, minyak angin telah habis disapu. Dia suami isteri kebingungan. Nenek mertuanya yang berpengalaman pun tidak ada jawapan. Akhirnya pada suatu hari dia dan isterinya ke sebuah klinik swasta. Berita yang  menyedihkan hati diberitahu. 'Mungkin jantung berlubang', kata doktor dan mengeluarkan satu laporan untuk dirujuk ke Universiti Hospital. 'Sah', pihak Universiti Hospital akan dapatan klinik swasta itu.

"Tak mungkin", dia memandang cucunya yang fizikalnya tidak nampak tanda-tanda yang meragukan. Dulu anaknya tidak suka minum susu. Kalau minum pun sedikit saja, tak sampai 1oz, sekali suapan. "Tak mungkin", dia mengulang kata-kata yang terlalu yakin. Tapi kenapa jadi begini?

Kali ini fikirannya menerjah lebih jauh lagi ke alam ghaib. Alam makhluk halus, makhluk dunia lain yang tidak kelihatan dik mata. Hantu syaitan. Dia memang mempunyai keyakinan kewujudan makhluk pengacau ini. Sebab perkara ini ada dinyatakan dalam al Quran. Sebab itulah dia tidak pernah gagal membaca ayat Kursi yang dia yakin boleh membantunya. Bukan dalam hal anak menangis saja, malah dalam hal-hal yang lain seperti semasa hendak memulakan panduan kenderaan, ayat ini tidak pernah gagal dibacanya, untuk keselamatan. Walaupun jika diterjemah, maknanya tidak khusus untuk keselamatan atau meredakan anak menangis, tetapi dia yakin dengan ayat itu untuk tujuan yang dihajati. Dia mengesyakki bahawa ada gangguan dari makhluk ini.

Dalam beberapa hari yang lepas, kawan-kawan anaknya, bapa dan emak saudara, yang jauh dan dekat, dan ada yang dari Singapura telah berkunjung kerumah untuk melihat orang baru. Sebahagian besar tiba pada waktu senja memasuki magrib. Maklumlah sebahagian besar dari mereka bekerja dan mempunyai masa lapang selepas kerja. Jadi sampai ke rumah diwaktu senja. Dia menerima tetamu tetapi dengan perasaan penuh kerisauan.

Menurut cerita yang telah diwariskan bahawa waktu senja, adalah waktu ketika mana syaitan berkeliaran dan sentiasa mengganggu manusia terutama anak kecil. Anak kecil, menurut cerita yang diwariskan, sebenarnya nampak hantu syaitan yang suka mengganggu itu, menakutkan anak-anak kecil yang tidak tahu berkata-kata itu.Jadi, diwaktu ini tidak wajar menerima tetamu kerana syaitan akan turut sama.Tetapi tetamu yang datang tujuannya untuk melihat orang baru. Tidak wajar dia tidak membenar cucunya di timang atau di lihat oleh tetamu yang baik hati itu, apatah lagi yang datang dari jauh, Singapura. Tapi kesannya?

Inilah yang menyebabkan cucunya   meragam, dia cuba meyakinkan dirinya. Isterinya memang sealiran dengan fikirannya. Cuma anak dan menantunya. Bagaimana nak meyakinkan mereka. Bagimana caranya? Sedangkan cerita mengenai angin dalam perutpun, anaknya tidak percaya sebagai penyebab sakit perut. Inikan pula yang ghaib. Susah!

Beliau masih lagi mundar mandir untuk mereda tangisan cucunya yang masih teresak-esak. Tangisannya makin perlahan, matanya mula kuyu . Akhirnya cucunya melelapkan mata, tidur terlentuk diatas bahunya. Dia meletakkan cucunya di atas katil untuk meneruskan tidurnya. Dia  bertanya sendiri , "Betul ke hantu syaitan yang mengganggu atau berpunca dari  makanan?" Huuuuuuh, dia melepaskan nafas panjang, sebagai tanda keluhan yang tidak tahu jawapan yang sebenar. 

Ahad, 17 April 2011

Bertuahnya Badan Sayang Si Kelisa

Hari in Aku ke KL untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sepupuku di Dewan Komuniti Taman Ibukota KL. Bertolak jam 11 pagi. Sampai di Jalan Chan Sow Lin mengarah ke bulatan Kg. Pandan waktu pukul 12.38 tengah hari terdengar bunyi siren dari arah belakang. Aku menjangkakan siren dari kereta ambulan untuk membawa pesakit ke IJN maka semua kereta mencari ruang ketepi dan berhenti untuk meberi jalan kepada "ambulan' yang ku sangkakan itu. Tetapi apabila didapati motor polis trafik meluncur laju mengarah kenderaan ketepi dan berhenti, barulah Aku tahu bahawa itu nukan kereta ambulan memohon ruang untuk lalu.

Aku dan pemandu lain semuanya ketepi dan berhenti seperti yang diarah oleh polis trafik yang bermotor laju itu. Kemudian diikuti oleh beberapa buah kereta lagi termasuk kereta polis meluncur laju. Kemudian sebuah kereta meluncur laju, Aku tidak tahu jenama apa, number pendaftaran pun Aku rasa tak ada. Yang sempat Aku baca huruf  TM... Takkan kereta CEO TM? Tapi tak kisah lah.

Yang Aku kisahkan ialah luncurannya sungguh laju. Mungkin ada urusan penting yang perlu dibereskan. Bertuahnya badan.

Aku mula berangan-angan nak jadi macam itu. Duduk tersandar dibelakang, pandang kiri kanan sambil tersenyum melihat pemandu-pemandu lain ketepi dan berhenti, dan ada yang nampaknya macam panik terkial-kial mencari ruang untuk ketepi, tambah-tambah lagi dikerah oleh polis trafik yang meluncur laju mendahuluiku..

Macam mana caranya nak jadi macam tu. Mesti jadi menteri baru boleh dapat khidmat seperti itu. Tapi kena masuk politik dan bertanding. Mesti menang. Parti pun mesti menang. Yang terbaik menang semua atau menang kawasan yang terbanyak. Mesti dipilih untuk jadi menteri. Kalau dipilh barulah Aku dapat tersandar dibelakang tempat duduk kereta. Hisap paip walaupun Aku tak suka. Mesti bergaya. Aku tersenyum macam orang gila. Syok tak tentu hala.

Kereta dibelakang bunyikan hon. Aku tersentak. Oooh Aku berangan-angan, rupanya. Kereta Kelisaku pun meluncur juga tapi lambat juga Aku tiba di Dewan Komuniti  Taman Ibukota.

Hitch hiking-Batu4 Jalan Cheras ke Johor Baru......5






Aku Berdiri Termenung di Rumah Bapa Rohani di Jalan Larkin Selepas Buat Keputusan Berpatah Balik ke Melaka


Kami sampai di JB lebih kurang pukul 2.30 petang. Sebelum itu abang yang menumpangkan kami itu telah berhenti makan di sebuah restoran di pekan Air Hitam.. Kami telah dapat makan percuma. 
Alhamdulillah. Sesampai di JB kami terus ke pejabat Imigresyen untuk menguruskan dokumen perjalanan ke Singapura. Di pejabat yang penuh sesak dengan orang ramai itu, dan dalam keadaan kami  yang terhegeh-hegeh seperti rusa masuk kampong (lebih tepat rusa masuk bandar) kami telah didatangi oleh seorang pemuda Melayu , usia dalam lingkungan dua puluhan bertanyakan masalah yang kami hadapi. Setelah menjelaskan niat kami untuk ke Singapura, pemuda tadi bersedia untuk membantu lalu beliau meminta kami tunggu disitu sementara beliau masuk ke dalam pejabat. 
Lama juga kami menunggu hampir dua puluh minit maka muncullah pemuda yang 'baik hati' itu membawa kertas nampaknya seperti borang tetapi tidak pula menyerahkan kepada kami berdua untuk diisi. Beliau sendiri akan mengisi borang tersebut agar tidak berlaku kesilapan. 'Baik sungguh', abang ini, bisik hati kecil Aku. Tetapi perasaan sedemikian hanya bertahan sekejap saja apabila beliau meminta wang seorang tiga puluh ringgit sebagai bayaran. Kami tidak pula diberi tahu tujuan bayarn itu. Aku dan Dosmy saling pandang memandang wajah penuh keraguan. "Bayaran untuk apa ni bang?" Tanya Dosmy dengan dahi yang berkerut. Maklumlah, bagi kami setiap sen amat berharga. "Macam-macam. Bayar borang, dan pas nak masuk Singapura". Termenung kami berdua mendengar penjelasan abang itu. "Kau nak pergi ke?" Tanya Dosmy padaku. "Tak tau lah. Tapi duit cukup ke?" Aku bertanya Dosmy tentang duit yang ada. 

Dengan memohon izin dari abang itu, kami pergi ke suatu sudut jaraknya dua puluh kaki dari abang itu untuk berbincang. Kami tidak pula berbincang masalah duit cukup atau sebaliknya. Tetapi kami meragui ada sesuatu yang tidak kena. Mengapa bukan kami yang mengisi borang itu? Siapa sebenarnya abang itu, pegawai Imigresyen atau orang biasa?  Akhirnya kami buat keputusan untuk membatalakn niat ke Singapura. lalu mendekati abang itu semula.

"Maaf bang, tak jadilah nak ke Singapura" , Aku menyampaikan keputusan yang baru kami buat. Wajah abang itu seperti biasa saja mungkin telah dapat meneka keputusan yang kami ambil itu. "Kalau masalah duit tak cukup, abang bolih kurangkan. Dua puluh ringgit seorang. Abang bolih pakat dengan orang dalam". Katanya seperti mahu menolong. Dosmy memandang padaku dan mengeleng-gelengkan kepala sebagai isyarat kami tidak bersetuju. "Minta maaf bang", Dosmy mengajak Aku keluar. Abang itu ikut kami keluar sama. Kami agak cemas juga. "Awak bayar dulu lima belas ringgit seorang, selebihnya bayar kemudian", abang itu memegang bahu Dosmy. Dosmy nampak ketakutan. "Sebenarnya bang kami tak ada duit. Sebab tulah kami hitch hike", entah macam mana terfikir Aku untuk mencari jalan keluar. Dosmy masih lagi ketakutan. "Kalau tak duit jangan nak berangan", marah abang itu lalu pergi dari situ setelah menolak bahu Dosmy.
Lega rasanya apabila kami dapat keluar dari masalah itu. Tak dapat ke Singapura juga mengecewakan tetapi keluar dari masalah yang baru kami hadapi ini telah mengurangkan rasa kecewa itu. Masing-masing kami terlalu bersyukur ke hadrat Allah SWT.

Ke Singapura tidak jadi. Kami memikirkan pilhan ke destinasi yang lain pula. Dosmy mencdangkan kami pergi ke Mersing sebelum berpatah balik ke JB dan ke Melaka kerana dengar cerita pantai di Mersing cantik juga. Cadangan itu dipersetujui.

Rancangan ke Mersing ialah pada keesokan harinya kerana kami keletihan dan perlu rihat. Sekarang nak kemana? Maka teringat kami akan kawan sekelas, Rohani Shariff (lelaki) yang tinggal di Larkin. Bapanya bekerja di hospital Tampoi. Kami bercadang untuk menumpang tidur di rumahnya pada malam ini. Maka kami pun berjalan meninggalkan pejabat Imigresyen. Dalam perjalanan si Dosmy masih lagi berangan-angan untuk ke Singapura sambil membuat cadangan yang menggelikan hati dan tak masuk akal. "Kita jumpa Menteri Besar, Osman Saad. Minta dia rokemen", cadang Dosmy sambil ketawa kecil semacam tidak yakin dengan cadangannya itu. "Kau nak mampus. Kat Imigresyen pun terhegeh-hegeh. Ini nak jumpa menteri besar", Aku dan Dosmy ketawa besar. Akhirnya kami dpatlah menumpang sebuah kereta menuju ke Larkin. 

Apabila kami di turunkan disatu kawasan perumahan, kami dengan mudah dapat mencari rumah bapa Rohani kerana rupanya orang yang kami tanya di kawasan itu mengenali bapa Rohani. Kebetulan Rohani ada di rumah dan keluarganya menyambut dengan gembira kedatangan kami. Di ruang tamu napa Rohani bertanya kemana destinasi kami esok hari. Setelah kami menyatakan hasrat ke Mersing beliau menyatakan , "Mersing banjir". Aku dan Dosmy saling memandang sambil mengeluh "Allah".