Theflowersellingboy

Selasa, 26 September 2017

PRU 14: Parti Mana Yang Dapat Undi Kita




Walaupun PM belum umumkan tarikh PRU 14, parti-parti politik sedang rancak berkempen. Parti kerajaan berkempen dan pembangkang pun berkempen. Masing-masing parti mendakwa merekalah yang terbaik dan wajar diberi undi.

Jadi parti mana yang perlu anda beri undi? Sudah tentu anda menggunakan pertimbangan-pertimbangan tertentu untuk memberi undi anda. Itulah cantiknya demokrasi. Anda diberi pilihan. Tiada siapa yang boleh memaksa anda.

Apa pun anda mesti terlebih dahulu  mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia sebagai pengundi. Walaupun anda berusia 21 tahun keatas tapi jika tidak menjadi pengundi berdaftar anda tidak boleh mengundi. Satu kerugian yang tiada tolok bandingnya kerana anda tidak terlibat dalam menentukan sebuah kerajaan yang anda mahu untuk mengurus dan mentadbir negara.

Oleh itu segera mendaftar sebagai pengundi jika anda telah mencapai usia 21 tahun keatas.

Macam saya katakan diatas tadi bahawa tiada siapa boleh memaksa anda mengundi parti-parti tertentu. Anda undi mengikut pertimbangan anda sendiri. Sudah tentu pertimbangan anda itu mengambilkira kebaikan yang boleh ditawar dan dilaksanakan oleh parti-parti yang bersaing.

Mudah bukan untuk kita buat pilihan? Mana-mana parti yang menawarkan yang terbaik parti itulah yang wajar anda pilih. 

Oh, tidak semudah itu. Semua parti menjanjikan yang terbaik. Oleh itu terpulanglah kepada kebijaksanaan anda untuk membuat perbandingan dan penilaian mana satu parti yang terbaik. 

Perbandingan dan penilaian itu hanya mampu dilakukan dengan baik jika anda mempunyai maklumat yang cukup  dari berbagai sumber tentang parti dan calun parti  , bukan hanya dari sumber yang terhad. Oleh itu dapatkan maklumat yang mencukupi dari berbagai sumber.

PRU 14 ini parti-parti yang perlu diberi perhatian ialah PAS, UMNO/BN dan PH. Parti lain boleh diketepikan.

Antara 3 parti itu, parti mana yang akan dapat undi anda dan undi saya?

Anda jawab sendiri. Saya pula akan saya beri undi  dengan mempertimbangkan beberapa faktor, antaranya seperti yang dinyatakan dibawah.

Selain menguasai maklumat dari berbagai sumber, saya melihat kepada parti-parti yang bersaing itu dari segi kemampuan dan keupayaan untuk menubuhkan kerajaan. Parti itulah termasuk dalam senarai untuk dibuat pilihan.

Untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan, sesuatu parti itu mesti memenangi paling minima 112 kerusi parlimen. Ertinya bilangan calun parti yang masuk bertanding tidak boleh kurang dari 112 dan memenangi kesemuanya.

Sehubungan dengan ini, menurut maklumat terkini yang saya maklum,  parti PAS bercadang untuk bertanding 100 kerusi dengan menjangkakan akan menang 40 kerusi. Ini bermakna jumlah calun yang bertanding dari parti PAS tidak mencukupi untuk menubuhkan kerajaan walaupun kesemua calunnya menang, apatah lagi PAS menjangkakan menang 40 kerusi.

Jadi parti PAS telah keluar dari senarai untuk saya beri pertimbangan walaupun PAS mempunyai agenda yang baik, menurut penilaian saya.

Melainkan PAS bercadang untuk bekerjasama dengan UMNO/BN atau pun PH, PAS tidak ada kemampuan untuk menubuhkan kerajaan. 

Kenyataan-kenyataan pimpinan PAS yang adakalanya bercanggah antara satu dengan yang lain tentang kerjasama politik ini membuatkan saya dan mungkin ramai orang meragui kesungguhan PAS untuk menjadi kerajaan. 

Dengan demikian undi saya akan diberikan  sama ada kepada UMNO/BN atau PH kerana kedua-kedua parti ini bercadang untuk meletakkan calun di kesemua 222 kawasan parlimen. Ertinya parti parti ini adalah serious untuk menjadi kerajaan. 

Saya hanya boleh beri satu undi sahaja. Parti mana yang akan dapat undi saya.

PRU 13 tidak menyulitkan saya untuk membuat pilihan, apatah lagi PRU 14. Ia amat mudah untuk saya buat pilihan kerana segala-segalanya jelas dan nyata dari segi yang buruk dan baiknya, yang merosakkan dan yang membina dan yang membawa keuntungan dan yang merugikan kepada rakyat dan negara.    






Jumaat, 15 September 2017

Lawatan PM DS Najib Jumpa Presiden AS Donald Trump: Satu Lawak Perdana




Hahahahahahahahahahahahahahahahhahahahhahahahaha......

Saya tidak dapat tahan nafsu ketawa saya ketika mahu menulis pada hari ini. Nun jauh dari New York saya terhibur dengan satu lawak perdana. Terhibur dalam kekecewaan. Sudah tentu bacaan tekanan darah meningkat.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda juga terhibur dan ketawa terbahak-bahak, terguling-guling dengan lawak perdana dari  New York itu?

Saya tahu anda marah dan malu. Sebab anda ada harga diri. Saya tahu anda kecewa. Sebab anda mempunyai harapan yang begitu tinggi terhadap perdana menteri kita. Saya tahu anda keliru kerana lawak itu tidak masuk akal. Saya tahu anda juga ketawa terbahak-bahak bagi mereda dan memujuk hati anda yang hancur luluh.

Namun saya mengharapkan anda jangan menangis , menitis air mata jernih kerana isi lawak perdana itu tidak mungkin bersimpati dengan beban hidup yang anda sedang hadapi ketika ini. Ianya tidak berbaloi.

Mana mungkin kancil yang kecil kurus menawarkan khidmat bantuan kepada sang gajah bagi mengangkat sebatang pokok besar yang tumbang menghalang jalanan sigajah. Mustahil bukan? Jika anda seorang yang rasional, berpijak dibumi nyata anda akan mengatakan mustahil, dan anda akan ketawa.

Tapi sikancil dengan selamba menawarkan perkhidmatannya. Dan sigajah dengan muka selamba juga berkata "Terima kasih, saya menghargainya".

Itu bahan lawak dari New York.

Seekor anak katak mengadu kepada emaknya bahawa dia telah dipijak oleh seekor lembu yang menyebabkan kakinya tercedera. Emak katak amat marah sambil mengajak anaknya untuk mencari lembu itu untuk dilanyaknya. 

Anak katak itu mengingatkan emaknya bahawa lembu itu terlalu besar saiznya, tidak mungkin emaknya boleh melanyak lembu itu. Lalu emak katak dengan sombong bertanya besar mana lembu itu sambil mengambil nafas panjang dan menahan  dari lepasan dalam beberapa saatuntuk membuatkan saiznya membesar.

Banyak kali badannya cuba dibesarkan tapi anak katak itu berkata saiz emaknya masih tidak mampu menandingi saiz lembu itu. Akhirnya terdengar bunyi 'pum' . Perut emak katak pecah tapi saiznya tidak mampu menandingi saiz lembu.

Itu isi cerita lawak perdana dari New York.

Anda mungkin pernah mendengar 'tagline' Yup dari Parit Perak yang amat popular iaitu "BiyopapeasalkanbergayeYup". Yang penting kita mesti tunjuk gaya hidup kita semacam orang ada banyak wang, senang dan mewah walaupun kita papa kedana. 

Itu mesej yang mahu disampaikan dalam lawak perdana dari New York.

Apa kah  kesengsaraan hidup anda, membuatkan anda menjadi lupa dengan peribahasa "Anak kera dihutan disusui, anak yang dikendung kehausan?"

Lawak Perdana dari New York akan memulihkan semula ingatan anda.

Ingatan anda sudah pulih? Bagus, tapi jangan pula anda rasa sedih dan pilu, kecil hati dan naik darah. Ianya tidak berbaloi.

Marilah kita ramai-ramai ketawa. Sekurang-kurangnya dalam beberapa saat kita boleh melupakan kesempitan hidup kita. Lawak Perdana dari New York menghiburkan kita. 

Marilah kita rakyat Malaysia terus ketawa. 

Kita mesti merasa bangga kerana perdana menteri kita telah berjaya memberitahu Presiden D. Trump siapa kita sebenarnya. 

Kita ada kekuatan, bahkan kekuatan itu kita mahu kongsi bersama dengan sebuah kuasa dunia seperti yang dilakukan oleh sang kancil yang menawarkan khidmat untuk mengangkat pokok yang tumbang menghalang perjalanan gajah seperti cerita diatas.  

Hahahahaha......maaf saya tidak dapat menahan ketawa.

Kita menawarkan bantuan USD 20 billion, beb, bagi membantu mengukuhkan ekonomi US. Bukan sedikit menurut ukuran keperluan kita. Ya, saya akur ianya  hanya celah gigi dari pandangan biji mata US. Ciput sahaja, bisik hati Trump sambil mengeluarkan kata-kata, "Terima Kasih. Saya mengharginya (Thank You . I appreciate it". 

Sudah tentu kemampuan menawarkan bantuan itu boleh ditafsirkan sebagai ekonomi kita lebih baik dan kukuh dari US. Dan menjadi satu justifikasi tentang angka pertumbuhan ekonomi yang diwarwarkan sebagai bekembang. Imej negara kita dan imej perdana menteri kita sudah tentu pada tahap cemerlang, gemilang dan jadi negara dan pahlawan terbilang. Mengingatkan semula kata-kata hikmat Pak Lah.

"Apa anda mahu kata, wahai pembangkang yang sentiasa berwirid mengatakan Malaysia negara gagal, rakyat hidup susah", tempelak macai kerajaan.  

Betul juga, ya. Ada logiknya. Takkan negara mampu memberi bantuan kepada sebuah negara besar jika ekonomi kita tidak kukuh. Simpanan kita semakin meningkat. Mesti kita punya lebihan. Apa guna simpan wang berlebihan jika tidak dimenfaatkan. Melabur misalnya. Paling kurang bagi membantu negara yang memerlukan, dan US memerlukannya. Satu keputusan yang bijak.

Itu bukan saya yang cakap. Itu suara-suara emak katak, sang kancil dan orang yang menyusu anak kera dihutan sambil diperhatikan anak yang dalam kendungannya dengan air liur keluar menjejer dan terus meleleh.

Hahahahahaha...saya tak boleh tahan isi lawak perdana ini.

Anda teruslah ketawa dan jangan bersedih, marah mahupun kecil hati. Ianya tidak berbaloi. Lagipun kita perlu meraikan lawak perdana itu kerana perdana menteri kita dikhabarkan telah selamat mendarat di London setelah  berjaya memberitahu AS bahawa kita bukan sebarang negara. Kita mampu memulihkan ekonomi AS.

Di London , saya tidak pasti akan dipentaskan lagi lawak perdana. Harap-harap tidak ada lagi kerana saya khuatir saya dan rakyat Malaysia akan terus ketawa sehingga mendatangkan mudarat, menambahkan mudarat yang sedia ada.

Hahahahahahahahaha