Theflowersellingboy

Sabtu, 31 Disember 2016

Selamat Menjalani Kehidupan Tahun 2017




Tepat pukul 12.01 minit malam ini, kita telah berada selama satu minit dalam tahun baru, tahun 2017, meninggalkan selama 1 minit tahun 2016.

Selamat tinggal 2016 dan selamat datang 2017.

Kita tidak tahu apa yang akan kita lalui sepanjang tahun 2017, dan sama ada kita akan ada kesempatan untuk bersama-sama sehingga penghujung 2017.

Kita merancang, Allah menentukan. Kita mendoa dan mengharapkan yang terbaik sahaja.

Harap-harap perancangan kita bagi tahun baru 2017 nanti, yang sudah tentu bagi tujuan yang baik akan diperkenankan Allah. 

Apa pun yang telah berlaku, dan apapun perbezaaan diantara kita pada tahun 2016, ianya tidak sewajarnya menghalang kita untuk mendoakan yang terbaik, demi rakyat dan negara yang tercinta.

Kita berdoa agar diberikan Allah kesihatan tubuh badan dan akal fikiran, menjauhi dan menolak kemungkaran dengan meningkatkan lagi kerja dan usaha ke arah yang makruf. 

Kita mengharapkan negara kita berada dalam aman sejahtera, makmur dan  hidup penuh harmoni diantara penduduk yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya dibawah pimpinan yang adil dan bertanggungjawab dalam menjalankan amanah.

Amin!

Oleh kerana, masa hadapan tidak mudah kita telah, untuk paparan kali ini saya ingin mengimbau kembali tahun 2016 yang tidak berapa jam lagi akan kita tinggalkan, dan tahun-tahun yang telah berlepas lalu.

Saya mengimbau berdasarkan bicara dalam paparan dalam blog kecil saya ini.

Saya akui saya tidak mengenal atau tahu siapakah yang membaca paparan dalam blog saya ini. Namun begitu dari berbagai isu yang saya bicarakan, saya hanya boleh meneka bahawa mereka terdiri daripada pembaca-pembaca yang mahukan cerita atau isu yang rengan-rengan sahaja.

Paparan yang berbentuk cerita, yang benar mahupun ilusi, kelihatan mendapat bilangan pengunjung melebihi isu-isu berat seperti urustadbir negara, politik dan ekonomi. Isu-isu berat  ini yang memerlukan daya kemampuan analisis dan pengetahuan dalam bidang-bidang tersebut menunjukkan bacaan bilangan pengunjung yang kecil

Namun begitu, saya akan terus berbicara tanpa merujuk kepada draf kecenderungan pemabaca. Saya bicara apa sahaja yang saya mampu melainkan hal-hal teknikal yang memerlukan pengetahuan yang khusus.

Saya mula berbloging pada 2 Februari 2011, setelah 7 tahun saya bersara dari perkhidmatan awam. Tempoh 7 tahun berdiam diri itu , bagi saya terlalu lama untuk diteruskan. Terlalu boring, menjemukan.

Semasa saya memberikan ucapan pada majlis meraikan persaraan, saya telah berjanji dihadapan hadirin bahawa dalam tempoh bersara, selagi saya sihat, saya akan menulis sesuatu berkaitan pengalaman pahit maung, serta manis merdunya menjadi penjawat awam. 

Tapi niat itu tidak saya laksanakan bahkan saya tidak mulakan satu perkataan pun kearah penulisan itu.

Sebabnya, penulisan saya itu nanti, saya tidak boleh berterus terang untuk menyatakan yang benar, melainkan yang benar. Sebagai penjawat awam walaupun telah bersara, saya percaya, saya masih lagi tertakluk kepada peraturan dan undang-undang kerahsiaan kerajaan.

Jadi, 7 tahun menjadi sepi dan boring dalam kehidupan saya.

Pun begitu, saya mahu memberitahu kepada pembaca bahawa saya amat menghormati dan berbesar hati menjadi penjawat awam. 

Sebab itu jika ada mana-mana pihak yang dengan mudah menuding jari kepada penjawat awam setiap kali ada masalah, misalnya salah aturan dalam perolehan kerajaan atau lebih belanja, kebocoran hasil, lembab mengambil tindakan, rasuah, bangunan yang tidak dibina mengikut speks yang menyebabkan runtuh dan berbagai lagi, reaksi spontan saya ialah 'Jangan buat tuduhan begitu. Siasat terlebih dulu punca masalah'.

Saya tidak menafikan ada masalah dan kelemahan dikalangan penjawat awam. Dan saya amat bersetuju jika mereka yang membawa nama buruk penjawat awam itu wajar diambil tindakan dan dihukum jika sabit kesalahan.

Namun secara am, dalam jumlah majoriti, kami penjawat awam telah melakukan dengan penuh rasa tanggungjawab tanpa kepentingan diri yang boleh merosakkan kepentingan rakyat dan negara.

Kami menjalankan tanggungjawab dibawah naungan 'SYMP'. 

(SYMP),  Saya  Yang   Menurut  Perintah  ini,   pada permukaannya,  boleh dilihat atau ditafsirkan sebagai penjawat awam adalah robot  atau pak turut.

Harap bertenang kepada mereka yang melihat kami seperti itu. Bagi kami, SYMP adalah satu penyatuan segala kekuatan yang kami gembeling bersama dalam  menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi. Dengan SYMP lah kami akan memastikan kami mampu melakukan kerja dengan berkualiti, melalui pengetahuan dan kemahiran serta langkah-langkah tambahbaik dari semasa kesemasa.

Namun begitu, ada pihak-pihak tertentu dalam sebuah sisitem berkerajaan, atas kepentingan selain untuk rakyat dan negara, telah mengambil kesempatan mencemarkan semangat SYMP itu. 

Perkara seperti itu , pada hemat saya, mula bertunas pada tahun-tahun memasuki 80an keatas. Ianya terus bercambah, berkembang dan seterusnya menjadi pokok yang tumbuh membesar dimana akarnya tidak mudah untuk dibungkas kembali.

Saya kata begitu kerana saya berpengalaman bekerja dibawah 3 perdana menteri. Saya dapat mengesan perubahan nilai SYMP itu. 

Nilainya berubah dari kekuatan yang bersepadu, yang dijadikan asas dan panduan dalam mengambil sesuatu tindakan dan membuat keputusan  demi kepentingan negara dan rakyat terbanyak, kepada nilai yang berubah-ubah yang banyak berselindung disebalik  kebudibicaraan.

Apa makna budibicara? 

Budibicara pada saya ialah satu kaedah bagi melepasi sesuatu peraturan dan undang-undang yang sudah diterima dan digunapakai dalam membuat sesuatu tindakan atau keputusan.
  
Ertinya budibicara berada pada posisi mengelilingi SYMP, atas bawah , belakang dan depan, dengan menjadikan  SYMP sebagai alat yang ampuh bagi maksud yang dikehendaki.
 

SYMP adalah sebenarnya berfungsi mengikut kata-kata itu sendiri, bukan lagi satu penggembelingan kekuatan untuk memberikan khidmat terbaik kepada negara dan rakyat. 
 
Baik. Saya tidak mahu panjangkan cerita SYMP. Cuma sekali lagi saya menegaskan bahawa penjawat awam telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negara. Sebab itu mulut saya tidak mudah celupar menyalahkan penjawat awam apabila berlaku sesuatu yang negatif yang tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Saya bangga menjadi penjawat awam walaupun banyak yang pahit dan masam yang telah dilalui.

Namun dicelah-celah pahit dan masam itu, ada manis dan merdunya.

Saya mulakan bicara dalam blog pada 2 Feruarai 2011 dengan tajuk: Misi Bantuan Pelajar Di Mesir Tanpa Berbaur Politik. 

Ceritanya adalah berkaitan usaha bagi membawa balik pelajar-pelajar Malaysia di Mesir ketika berlaku Arab Spring. Pada ketika itu, ada pihak yang telah mengenalpasti, bahawa terdapat unsur-unsur politik dalam misi tersebut.

Secara keseluruhan apa yang saya bicara dalam blog ini adalah isu-isu yang sebenarnya berlaku  yang pernah saya lalui sebagai penjawat awam, dan pandangan dan kritikan saya tentang isu-isu semasa, mengikut neraca ukuran saya, sesuatu yang saya rasa sebagai yang hak.  

Cuma saya menyampaikan dengan berbagai cara, yang kadang-kadang dalam bentuk sindiran, kiasan dan merepek

Apa pun saya mengucapkan selamat menjalani kehidupan dalam tahun baru 2017. Sila terus membaca blog ini, jika masih sudi.

Jumaat, 30 Disember 2016

Aku Sudah Naik Tocang. Ada Aku Kesah. Aku Peduli Apa Dengan Kau..





Bicara hari ini adalah satu bicara yang rengan. Menutup tahun 2016, saya mahu tutup bicara tentang hal-hal yang rengan, yang ada unsur merepek. Saya mahu rileks. Dan membawa sama pembaca untuk rikeks. Tahun depan otak kita fresh.

Bacalah repekan saya:

Sekarang aku sudah naik tocang. Rambut aku berdiri tegak keras. Tak perlu pakai jel. Bergumpal dengan puak-puak yang suka melalak, buat bising, melolong tak berhenti-henti pun , rambut aku masih tegak keras, berdiri. 

Tocang aku semakin menyerlah, keras menegak, boleh menjadi keris terhunus, sedia menikam dan menyucuk siapa saja yang mahu mengganggu aku khususnya puak-puak yang suka buat bising, menabur fitnah.

Peduli apa dengan apa yang mereka kata. 

Katalah apa yang puak-puak tu mahu kata. Rasuah berbillion. kadang-kadang dia orang kata 2.6 billion. Tambah lagi, lebih dari 3 billion. Mereka tak konsisten.Itulah namanya fitnah. Puak suka bising tu kata, aku salah guna kuasa, tadbir urus yang semberono, tempang dan durjana, buat hutang berbillion. Negara boleh jadi bengkerap. 

Hahahahahaha......terbahak-bahak aku ketawa sehingga keluar kahak hijau. Itu respons terbaik untuk puak-puak bodoh lagi bangang. Bengong!

Ada aku kesah. Suka hati akulah nak buat apa saja. 

Rakyat yang beri aku kuasa. Maksud aku, aku dan kawanku berjaya mengumpul kerusi terbanyak. Majoriti undi tak main disini. Si bising tu tak faham konsep 'First Past The Post'. Siapa menang banyak kerusi dialah yang menang. Bukan menang banyak pengundi. Ada faham?

Kalau tak faham benda yang senang ini, jangan cuba-cuba nak jadi calun lawan aku dan geng. Buat malu saja. Macam mana nak jadi wakil rakyat. Macam mana nak tubuh kerajaan.

Mereka yang  beri aku kuasa, aku gunakanlah kuasa itu. Bodohlah aku kalau diberi kuasa, aku tak gunakan. Aku ni bukan macam kaki bising itu. Tak tahu guna kuasa. Itu fasal rakyat tak beri mereka kuasa. 

Agaknya kalau diberi kuasa, si kaki bising tu pening kepala. Tak tahu nak buat apa. Paling-paling yang dia orang boleh buat, beri subsisdi. Subsidi itu, subsidi ini. Belajar free. Hutang PTPTN boleh lupus tak perlu bayar. Tiada tol. Semua free. Abis macam mana nak dapat hasil?

Bila tak ada hasil, last last gantung diri. Hahahahahaha, bodohnya dia orang.

Sebab itu kena jadi genius macam aku dan geng. Kenakan GST,. Semua orang kena bayar. Tak kira yang buta, pekak, bisu, yang sakit, yang sihat, kaya , miskin, tua muda, anak kecil, orang muda.  Semua kena bayar.

Waemah anak dalam perut pun kena bayar. Takkan nak beri kecuali bila ibu mengidam nak makan pizza. Sebenarnya bukan ibunya yang nak makan. Anak dalam perut tu yang nak makan. Dia berilah signal pada ibunya supaya mengidam.

Yang dalam kubur kena bayar juga. Takkan kain kapan nak free. 

Aku tak kesah. Yang penting bayar GST. Yang penting aku mengamalkan pentadbiran yang adil. Adil untuk semua. Semua kena bayar. Dari yang dalam perut , yang hidup sehingga yang mati. Tiada kecuali. 

Bukankah Allah suka orang yang adil, kerajaan yang adil?

Yang penting juga, seperti kata salah seorang juakku bahawa GST ni boleh menurunkan harga. Apa rakyat tak suka ker?

Genius kan?

Aku tahu si bising tidak akan jawab. Dia orang malu tersipu-sipu, macam kerang busuk.

Biar sigenius ni jawab:

"Sudah tentu aku genius. Juak-juak aku mestilah genius. Dimanakah kuah kalau tak dicurahkan ke dalam nasi. Aku pemimpin, juakku ambil teladan. Ok!" 

Woiii puak-puak melalak, jangan melalak buat bisinglah. Nasib baik aku sanggup terima kuasa. Kalau kau orang yang diberi kuasa, satu benda pun kau tak mampu buat. Sebab kau orang cepat pening kepala.

So, dok diam sajalah. Biar aku yang buat kerja.

Ini satu lagi. Rakyat yang telah beri aku kuasa, fasal apa terpengaruh sangat dengan kaki bising tu. Kamu semua dah serah kuasa pada aku dan kawan-kawan ku. Fasal apa nak komplen. Rasuahlah. Salah guna kuasalah. Bagai-bagai.

Woooi , kamu tahu tak buruk siku. Tak baik buruk sik, tau. Dah beri minta balik. Tak amanah namanya. Kamu tidak boleh dipercayai jika buruk siku. Berdosa tau. 

Kamu tak takut masuk neraka?

Jangan dengar cakap si kaki bising tu. Mereka itu kaki fitnah. Kamu tau tak apa Tuhan kata tentang orang yang suka fitnah. Fitnah tu lebih buruk dan besar dosanya dari membunuh orang.

Aku pulak dikatakan terlibat dengan jenayah.

Kamu tak takut masuk neraka ker?

Aku cakap ni ada dasar yang kuat. Tak percaya tanya alim ulamak, misalnya mufti.

Contoh: Si kaki bising kata aku zalim. Sebab itu dia orang tu nak jatuhkan aku. Dia orang nak ambil kuasa. 

Apa kata alim ulamak muktabar? Aku hanya rujuk kata alim ulamak. Mereka lebih tahu hal dosa pahala, halal haram. 

"Haram jatuhkan pemimpin Islam walaupun zalim".

Tengok. Kau faham tak kata-kata diatas. Bukan aku kata. Alim ulamak yang kata. Ini soal hukum. Siapa lagi yang nak kau percaya.

Kau orang masih mahu percaya dengan kata-kata si bising yang mahu jatuhkan aku dan geng?

Kau orang sukakan yang haram? Jatuhkan aku dan geng sudah taraf haram. Bukan makruh. Tidak juga harus. Apatah lagi sunat.

Woiii yang haram tu jika kau lakukan ianya berdosa.

Sekali lagi aku nak tanya kau, kau tak takut masuk neraka ker?

Aku tidaklah salahkan kau orang. Aku salahkan sikaki bising tu yang telah menipu kau orang semua. Suka buat fitnah. Suka melaga-lagakan rakyat dengan aku dan geng.

Aku nak warning si kaki bising tu. Jangan buat fitnah. Buruk padahnya. Sungai Buluh masih kosong. Aku sumbatkan, baru menangis terlalak-lalak.

Tapi kalau buat fitnah lagi , aku tiada pilihan. Sg Buluh jawabnya.

Aku nak beritahu si kaki bising tu. Nak sekolahkan dia orang. Tapi ini bukan kali pertama. Banyak kali aku telah beri nasihat. Dia orang degil juga. Kesabaran aku ada hadnya.

Aku nak ingatkan dia orang. Rakyat mesti dengar baik-baik. Faham baik-baik. Bertenang, jangan emosi. Berfikiran waras. Dan percayalah apa yang aku dan geng aku cakap adalah semuanya benar, melainkan semuanya benar belaka. Aku dan geng sanggup bersumpah, menjunjung al-Quran.

Apa yang dia orang kata fasal:

(i) kecurangan dalam urusan kapal selam scorpene itu adalah fitnah. 

(ii) Rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam 1MDB itu adalah juga fitnah. 

(iii) Kos MRT 1 yang terlalu tinggi itu, fitnah. 

(iv) Cadangan beli saham EHP sebanyak 37% tu dengan harga RM 2.236 billion (US 505.4 juta) yang didakwa sibising 3 kali tinggi dari harga purata sesaham EHP itu , memang finah.

(v) Felda rugi bersih pada tahun berakhir 2014 sebanyak RM 291 juta selepas merekodkan kerugian pada tempoh yang sama pada tahun 2013 sebanyak RM 684 juta adalah fitnah semata-mata.

(iv)  Felda tiada wang untuk beli saham 37% EHP dan membangunkan tanah Felda untuk faedah peneroka  tu adalah fitnah. 

Pendek kata apa yang keluar dari mulut sibising itu tentang aku dan geng adalah fitnah semata-mata.

Puak-puak bising itu, macam aku kata tidak genius. Tak kreatif terutamanya dalam hal-hal kewangan dan berniaga. Mereka tiada acumen, tidak ada financial creativity.  Mereka hanya ada kreativiti dalam haal fitnah memfinah.

Oleh itu seperti aku kata tadi bahawa kesabaranku ada hadnya. Aku beri last warning kepada sibising ni. Ingat sekarang tocang aku sudah naik tegak dan menegak. Tak kan layu terkulai walaupun dia orang ajak aku bergusti.

Orang yang dah naik tocang hanya ada satu ayat yang dia tahu: "Ada aku kesah".

Faham tak makna, "Ada aku kesah"?

Aku peduli apa dengan kau!
 

Rabu, 28 Disember 2016

FELDA MAGIC (Keajaiban Felda): New Business Model (Model Niaga Baru Khas Untuk Peneroka Miskin Felda)


SIDANG AKHBAR YB RAFIZI RAMLI BERKAITAN PEMBELIAN SAHAM 37% SYARIKAT EAGLE HIGH PLANTATIONS (EHP) OLEH FELDA.



YB Rafizi tanya 2 soalan untuk dijawab oleh PM, DS Najib:

     1. Bagaimana FELDA mampu bayar pembelian saham Eagle High Plantations (EHP) sebanyak 37% pada  jumlah harga 2.236 billion ringgit  (US 505.4) sedangkan kewangan FELDA pada kedudukan nazak yang hanya mempunyai baki wang tunai pada penghujung Disember 2014 (berdasarkan penyata akaun yang diaudit berakhir 31 Disember 2014) sebanyak  200 juta
ringgit. 

     2. Siapa beri arahan membeli saham tersebut pada harga premium 3 kali ganda dari purata harga saham bernilai 200 sesaham.

Tabik kepada YB Rafizi dengan pembongkaran pembelian 37% saham EHP ini yang beliau sifatkan hanya orang gila saja yang mampu membuat keputusan seperti itu.

Saya bersetuju dengan YB Rafizi itu tapi saya ingin menyatakan bahawa 'kegilaan' itu adalah disebabkan pihak yang membuat keputusan 'beli' (buy) mempunyai 'acumen' bersifat innovatif  dengan memperkenalkan satu model perniagaan baru yang dipanggil FELDA MAGIC atau saya terjemahkan ke Bahasa Melayu  sebagai KEAJAIBAN FELDA. 

Sesuatu yang bersifat magic biasanya dapat dilakukan oleh magician atau orang Melayu panggil PEMAIN SILAP MATA.

Jadi selain dari 2 soalan YB Rafizi itu saya tambahkan satu soalan lagi untuk menjadi 3. Sesiapa  saja yang mahu menjawab, dipersilakan dengan segala hormat. Soalan saya berbunyi:

     (3) Adakah pembelian yang gila ini menggunakan perkhidmatan magician sebagai juru runding (consultant).

Saya tidak tahu bagaimana FELDA membina model niaga baru ini. Apakah andaian atau 'assumptions' yang mereka gunakan.

Namun begitu berdasarkan maklumat yang disampaikan YB Rafizi dalam sidang akhbarnya itu, saya cuba menggunakan 'acumen' saya, yang mungkin masih berbaki pada ketika bersara ini, untuk membina model niaga baru yang bersifat MAGIC itu.

Sudah tentu model niaga baru ini berpegang kepada 2 falsafah niaga yang sama seperti lain-lain perniagaan  iaitu (i) Risiko dan Pulangan (Risk and Return) dan (ii) Memaksimakan Keuntungan (Maximising Profit).



FELDA MAGIC
(Business model specifically designed for Poor Felda Settlers) 
KEAJAIBAN FELDA
(Model niaga dirangka khusus untuk Peneroka Miskin Felda)

FALSAFAH NIAGA
(i) Mengambil Risiko untuk mendapat Pulangan
(ii) Memaksimakan Keuntungan.



ANDAIAN (Assumptions)
(i) Syarikat niaga diketuai oleh ahli politik
(ii) Pemegang saham- Peneroka Miskin Felda
(iii) Modal Berbayar Syarikat - apa saja jumlah dan tidak tertakluk kepada nilai urus niaga.
(iv) Pengalaman syarikat -tidak perlu pengalaman dalam urusniaga/syarikat baru boleh diterima
(v) Asas buat keputusan -tidak mengambil kira kekuatan sumber kewangan; mengutamakan urusniaga dengan syarikat kawan rapat; keputusan Lembaga Pengarah boleh dibuat secara bertulis, lisan dan melalui isyarat anggota badan (body language) seperti diam, anggokan dan kelipan mata. Yang penting ialah terima arahan.

APLIKASI MODEL (Perlaksanaan model)

(i) Melalui syarikat 'special purpose'  milik penuh FELDA dengan modal berbayar RM 1 juta
(ii)  Nilai purata harga satu saham EHP setahun-Rupiah200
(iii) Jumlah harga dan peratus saham yang hendak dibeli - RM2.236 billion  (US 505.4 juta), bersamaan 37%
(iv) Sumber pembiayaan - baki tunai berakhir pada 31 Disember 2014 sebanyak  RM 291 juta


Hahahahaha.....wang ada RM 200 juta. Nak beli saham 37% bernilai RM2.236 billion. 

Mana mungkin, kata anda?

Saya tidak hairan. Cara ini sama dengan kaedah 'defisit budget' yang diamalkan oleh kerajaan setiap tahun. Defisit ditampong dari sumber lain. 

Ada banyak sumber yang boleh digunakan. Antara yang digunakan ialah menjual/melupuskan/menggadaikan aset; membuat pinjaman -dari sumber dana awam seperti KWAP, KWSP dan TH serta mengeluarkan surat hutang (debt instruments).

Jadi sumber pembiayaan tidak jadi hal.

Ertinya tanah pemilik peneroka yang berjumlah kurang lebih 134,000 orang boleh dijadikan cagaran untuk mendapat sumber pembiayaan. Setiap peneroka telah diperuntukkan 10 ekar tanah untuk diusahakan.Tapi diberitakan tanah itu bukan milik berdaftar peneroka. Jadi apa ada hal untuk Felda menjadikan tanah itu sebagai cagaran bagi pinjaman.

Itulah yang dikatakan model perniagaan yang magic. 

Hanya magician atau pemain silap mata saja yang boleh melopongkan mulut banyak orang, apatah lagi mulut peneroka felda yang miskin. Walaupun mereka tahu apa yang dilakukan oleh pemain silap mata adalah satu pembohongan, tapi mereka terhibur dengan pukauan pemain silap mata itu.

Akibatnya mereka menanggung risiko kerugian dalam perniagaan. Tanah tergadai.

Berniaga 'tatak untung maa', kata tauke China.



 
   

Selasa, 27 Disember 2016

Sayang Melayu dan Sayang Islam.




Anda orang Melayu dan anda juga beragama Islam. Adakah anda sayang Melayu dan sayang Islam?
 
Sudah tentu anda dengan jelas menyatakan anda sayang kedua-duanya.
 
Tapi apa itu yang dikatakan sayang bangsa dan agama itu?
 
Bagi saya, sayang itu mestilah bertujuan bagi kelangsungan satu bangsa yang beradab (bertamaddun) yang menjalani kehidupan berpandukan ajaran Islam.
 
Selain dari itu, ianya akan merosakkan bangsa Melayu dan agama Islam.
 
Kelangsungan satu bangsa yang beradab hanya boleh berlaku melalui perpaduan yang kukuh dengan saling bekerjasama dan bantu membantu kearah memperbaikki dan mempertingkatkan kedudukan sosial, politik dan ekonomi, mempunyai moral dan integriti, dan meraikan perbezaan pandangan tapi tegas dengan pendirian.
 
Politik diatas tidak bermaksud politik kepartian . Ianya adalah satu penguasaan keatas sesuatu tindakan dan keputusan demi faedah dan kebaikan bangsa melayu dan agama Islam. 

Ertinya sayang melayu dan sayang Islam itu bukanlah saja hak dan monopoli bagi parti politik tertentu. Ianya meliputi dan merangkumi melayu yang berparti politik dan melayu yang tidak berparti politik. 

Sesiapa saja orang Melayu dalam apa parti politik sekalipun atau tanpa berparti politik, mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memperjuangkan melayu dan Islam demi kelangsungan hidup orang melayu yang beradab yang menjalani kehidupan berpandukan ajaran Islam.

Itulah yang dimaksudkan penguasaan politik melayu.

Untuk lebih mudah memahami tentang sayang melayu dan sayang Islam ini, kita boleh tanya diri sendiri dengan beberapa soalan seperti berikut: 

Apa guna berterusan hidup jika melayu tidak bermaruah, tidak punya harga diri dan integriti. Melayu yang muka tebal yang tidak tahu malu!

Apa guna berterusan hidup jika Melayu masih bertaraf dan berjiwa hamba (miskin, papa kedana, hidup melarat dan taat membabi buta kerana menyokong yang mungkar dan durjana).

Apa guna berterusan hidup jika melayu melaku dan mempertahankan kemungkaran, kebatilan, kepincangan, kerosakan dan kezaliman.

Apa guna berterusan hidup jika melayu melihat kelemahan diri disebalik kejayaan bukan melayu dengan perasaan dengki serta permusuhan, pantas menunding jari dari melihat dalam diri sendiri.

Apa guna berterusan hidup jika melayu yang diamanahkan untuk memimpin melakukan pecah amanah, menggunakan kedudukan menyalahgunakuasa berlindung atas nama kepentingan melayu dan Islam untuk kekal berkuasa, membolot kekayaan.

Apa guna berterusan hidup jika melayu berjiwa kecil, tidak berilmu dan berkemahiran yang sudah tentu tidak mampu bersaing, seumur hidup ketagihan bantuan tanpa usaha dan daya, hidup diperbodoh dan diperolokkan, dan tiada keyakinan diri.

Apa guna berterusan hidup jika melayu tiada kekuatan jati diri, yang sentiasa mudah saja ditakut-takutkan dengan menjadikan bangsa asing/kuasa asing sebagai hantu jadi-jadian diatas kegagalan diri dan pimpinan.   

Ya, apa guna berterusan hidup jika kelangsungan hidup melayu diisi dengan durjana dan bencana tanpa peradaban. Malang sekali mentafsirkan maksud al-Quran untuk menjustifikasikan kedurjanaan dengan mempertahankan pemimpin atau kerajaan yang berterusan melakukan kezaliman dan kepura-puraan.

Kesimpulannya, sayang melayu dan sayang Islam itu ialah untuk menjaga nama baik melayu dan kesucian agama Islam. 

Apa-apa sikap, tindakan dan perbuatan orang melayu yang beragama Islam selain bertujuan menjaga nama baik melayu (termasuk diri sendiri) dan kesucian Islam adalah sebenarnya tidak sayang melayu dan agama Islam. 

Sayang melayu dan sayang Islam tidak boleh terhasil melalui jenama parti politik walaupun parti politik mempunyai peranan yang penting. 

Tetapi sayangnya falsafah politik (apa yang telah diterima umum) ialah bahawa politik adalah seni serba mungkin, apa saja wajar dilakukan demi kelangsungaan parti politik itu. 

Oleh itu mana mungkin falsafah yang cacat dan bertentangan dengan keperluan kelangsungan sebuah peradaban bangsa dan ajaran Islam (mungkin juga agama yang lain) boleh memainkaan peranan ke arah bangsa yang bermaruah dan kesucian agama Islam.  

Sayang melayu dan sayang Islam juga tidak boleh terhasil dalam bentuk slogan dan retorik. 

Mereka (melayu) yang mendepankan retorik dan slogan menggunakan demi melayu dan Islam, dalam banyak hal dan keadaan bertujuan untuk melindungi kelemahan, kekurangan, kurang upaya, kepura-puraan, salahlaku, mungkir janji dan kedurjanaan. 

Isnin, 26 Disember 2016

Kerajaan vs Pembangkang: Dimana Rakyat. Apa Jadi Pada Rakyat.




Setelah pembangkang mendakwa ada yang tidak kena dalam tadbirurus negara oleh kerajaan, mampukah pembangkang mentadbir urus negara dengan baik?

Mampukah kamu wahai pembangkang? Jangan syok sendiri saja!

Kerajaan dan mereka yang menyokong kerajaan, berhujah bahawa pembangkang tidak akan mampu membentuk sebuah kerajaan yang mantap. 

Pertama, pembangkang tidak ada pengalaman dalam mengurustadbir pada peringkat persekutuan. Pengalaman mengurustadbir satu dua negeri dalam beberapa penggal tidak boleh dijadikan ukuran kemampuan pembangkang dalam urustadbir negara. 

Kerajaan terus berhujah bagi memperkecilkan kemampuan pembangkang.

Tengok apa yang terjadi kepada Pulau Pinang?

Lihat apa yang terjadi kepada Kelantan?

Renongkan apa yang terjadi kepada Selangor?

Hujah itu boleh saja dipulangkan semula kepada BN dengan membuat soalan-soalan yang sama bagi negeri-negeri dibawah pentadbiran BN. 

Realiti menunjukkan  bahawa negeri-negeri dibawah BN juga, tidak menunjukkan kedudukan yang baik misalnya dari segi pertumbuhan ekonomi, kedudukan simpanan, beban hutang, air dan alam sekitar. Bahkan lebih teruk dari negeri-negeri dibawah pembangkang. Rujuk Laporan Tahunan Ketua Audit. 

Tetapi media arus perdana kawalan BN dan jentera propaganda BN yang meluas tidak boleh dinafikan telah berjaya mempengaruhi dan menyakinkan sebahagian rakyat untuk berpihak kepada BN terutamanya rakyat yang tidak mempunyai capaian internet atau tidak menggunakan saluran internet bagi mendapat maklumat.

Kedua, pembangkang bercakaran sama sendiri. Sebelum berjaya membentuk kerajaan, pembangkang berpecah kepada dua iaitu PH yang terdiri dari PKR, DAP dan Amanah disatu pihak dan Kuasa Ketiga terdiri dari PAS dan Parti Ikatan Bangsa, satu pihak yang lain.

Parti Bumiputera Bersatu yang baru ditubuhkan yang telah menyatakan untuk bekerjasama dengan PH, dan dalam masa yang sama masih mahu bekerjasama dengan PAS, tidak langsung membantu untuk memperkuatkan kerjasama parti pembangkang dalam melawan Kerajaan BN. PKR juga masih mengharapkan kerjasama dengan PAS tetapi PAS dengan jelas menolak kerjasama dengan mana-mana parti jika kerjasama itu melibatkan DAP dan Amanah.

Dalam masa yang sama , PAS menunjukkan kecenderungan yang mendalam  untuk bekerjasama dengan UMNO. Bahkan telah menyatakan dengan tegas mereka mempunyai kekuatan untuk bersendirian (tidak bersama dengan PH), dan akan bersetuju menubuhkan kerajaan campuran. Sudah tentu bukan dengan PH yang dianggotai oleh DAP dan Amanah, musuh ketat PAS.

Walaupun kata-kata politik itu boleh kekal dan boleh juga berubah tetapi kebarangkalian untuk PAS bersama Amanah dan DAP boleh diibaratkan seperti jarak diantara langit dan bumi.

Dengan yang demikian, jika tidak ada struktur organisasi politik yang jitu dan mantap, bagaimana pembangkang mampu berjaya dalam PRU 14 nanti?

Ini bermakna, walaupun bukti-bukti kepincangan dan ketempangan tadbirurus BN terlalu jelas dan tidak dapat disorokkan lagi, rasanya BN masih lagi boleh mengatasi pembangkang yang berpecah dalam PRU 14 nanti. Ertinya kejayaan BN pada PRU 14 nanti bukanlah disebabkan kekuatan dari segi mengurustadbir negara yang beramanah, tapi disebabkan pembangkang yang berpecah.

Namun begitu, BN tidak mungkin memperolehi semula suara 2/3 kerana MCA, MIC dan Gerakan termasuk parti-parti komponen di Sabah dan Sarawak dirasakan tidak akan mencapai kemenangan seperti dalam PRU 13. Kalah teruk dan merosot.

Oleh yang demikian,  ditakdirkan BN menang, kemungkinan besar PAS jika memenangi beberapa kerusi parlimen, dan jika dipelawa oleh UMNO untuk bekerjasama bagi menambahkan lagi kekuatan kerajaan, akan bersama dalam kerajaan selaras dengan yang dikehendaki oleh sebahagian dari pimpinan PAS.

Apapun, hanya rakyat sahaja yang ada kuasa untuk menentukan parti mana yang patut diberikan amanah untuk mengurus tadbir negara dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Bukti-bukti yang ada menunjukkan BN telah gagal melakukannya. Diturunkan beberapa kes untuk dinilai oleh rakyat sebelum membuat undian pada PRU 14:

i) Skendal pembelian kapal selam perancis (scorpene) dan pembunuhan Altantuya.

ii) Skendal 1MDB yang melibatkan salahguna kuasa, hutang yang begitu besar (50 billion ringgit); penggunaan wang dari Dana Awam seperti Kumpulan Wang Pesara, Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera, KWSP yang melibatkan risiko kerugian dan kegagalam membuat bayaran balik; penggunaan surat hutang dan jaminan kerajaan yang menjadikan kerajaan mengambil tanggungjawab jika berlaku kegagalan membayar balik; melindungi maklumat yang diragukan dengan menggunakan OSA; dan pengubahan wang (money laundering), serta penyaluran wang yang tidak teratur.

iii) Hutang negara yang meningkat lebih RM700 billion yang terpaksa ditanggung oleh rakyat melalui kenaan GST, dan seterus menjadi beban hutang kepada generasi akan datang.

iv) Pelupusan/peenyusutan hak , ekuiti dan aset negara termasuk yang strategik seperti penjana kuasa letrik kepada syarikat kuasa asing seperti syarikat negeri China dan penambahan beban hutang dalam beberapa projek seperti keretapi pantai timur dan bandar malaysia.

v) GST, pemotongan subsidi seperti minyak dan gula yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat.

iv) Penguasaan eksekutif ke atas bidang  kehakiman dan parlimen, dan pengaruh serta campurtangan dalam penguatkuasaan dan pendakwaan sehingga memberi kesan langsung kepada kemampun dan kebebasan bertindak agensi yang berkaitan. Oleh itu kes rasuah yang membabitkan pimpinan kerajaan kelihatan tidak dapat disempurnakan secara sepatutnya.  

Oleh itu bagi saya BN telah gagal dalam menjalankan urustadbir yang baik. 

Rakyat pula mengharapkan ada pihak yang mampu untuk mengambilalih tanggungjawab untuk memikul amanah demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.


Bolehkah pembangkang melakukannya?


Dimana sepatutnya rakyat mengambil posisi. Posisi  rakyat ini akan menentukaan untung nasib rakyat dalam menjalani kehidupan sama ada mahukan kehidupaan sepertiketika ini bereterusan atau satu kehidupan yang menjanjikan sesuatu yang baru. Dan yang baru itu mestilah lebih baik dari yang sekarang.


Apapun yang ditanggap terhadap pembangkang ketika ini, rakyat Malaysia mesti membuat perubahan. Rakyat tidak boleh lagi mengharapkan kepada BN lagi. Jadi rakyatlah yang boleh memperkuat dan menyatukan pembangkang agar lebih mantap dan kukuh dengan cara mengundi pembangkang yang mahu menggantikan BN dan bukan pembangkang yang mempunyai kira-kira untuk bersama dengan kerajaan walaupun pada PRU 14  masih bertindak sebagai pembangkang.


Cukup, cukuplah sudah rakyat dengan BN.


 




Jumaat, 23 Disember 2016

Kerajaan vs Pembangkang: Dimana Rakyat. Apa Jadi Pada Rakyat?




Sebab utama urustadbir negara jadi tempang dan pincang ialah rakyat memilih parti yang sama menerajui kerajaan pada tempoh yang begitu lama.  Ditambah pula dengan memberikan suara di parlimen tidak kurang 2/3.

Akibatnya:

Parti ini tidak sensitif lagi kepada keperluan rakyat terbanyak dan kepentingan negara kerana apa saja yang mereka lakukan mereka tetap dipilih oleh rakyat pada setiap pilihanraya. 

Parti ini sudah naik tocang dengan melebarkan pengaruh dan kuasa keatas  bidang kuasa Kehakiman dan Parlimen dengan melanggar prinsip pengasingan kuasa. Agensi-agensi pelaksana dan penguatkuasa sentiasa digenggam untuk bersama mereka.

Parti ini mendahului nafsu diri dan kepentingan kelompok kecil elit berbanding dengan kesejahteraan rakyat terbanyak dan kemakmuran negara. 

Selain dari sudah naik tocang, parti ini sudah menjadi kebal, kalis peraturan dan undang-undang untuk dikuatkuasakan keatas mereka. Sebaliknya undang-undang dijadikan perisai untuk melindungi salahlaku mereka.

Parti ini tidak ambil kira pentinganya prinsip semak dan imbang (check and balance) dalam urustadbir negara kerana prinsip itu boleh menjejaskan kuasa mereka. Sebab itu  Laporan Tahunan Ketua Audit yang banyak menegur berbagai kelemahan dalam urusan sumber dan aset negara, serta cadangan tambah baik tidak menjadi rujukan yang penting. Paling malang sekali apabila Laporan Ketua Audit Negara yang merupakan laporan untuk pengetahuan awam, sebahagian tertentu telah diklasifikasikan sebagai rahsia dibawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA).

Dengan demikian apapun teguran,  kritikan dan dakwaan tentang kecurangan dan salah gunakuasa  boleh saja diabai dan diketepikan. Bahkan mereka yang bertindak mendedahkan salah laku untuk menegakkan kebenaran berisiko untuk didakwa dan dimasukkan ke dalam penjara.

Dalam jangka panjang jika keadaan ini berterusan, (tidak berubah) ianya tidak baik kepada negara, tidak juga memberi faedah kepada rakyat terbanyak. 

Itulah diantara hujah-hujah pembangkang dan mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan.

Bagi saya, hujah pembangkang yang mengatakan negara telah tidak diurustadbir dengan baik yang akhirnya boleh menjadi sebuah negara yang gagal dan bengkerap perlu difikirkan oleh rakyat dengan tenang dan waras. Tolak tepi emosi dan sentimen kaum serta agama dalam menilai keadaan yang ada ketika ini.

Kita tanya pula kepada pembangkang: Apa kah pembangkang mampu memberikan satu urustadbir yang baik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Rakyat/pengundi mahu meletakkan posisi masing-masing memandangkan PRU 14 diberitakan tidak lama lagi. Hal kerajaan sudah dibicara dan dihujah oleh pembangkang. Esok giliran cerita pembangkang pula.

Ikuti paparan pada esok hari.......










Khamis, 22 Disember 2016

Kerajaan vs Pembangkang: Dimana Rakyat? Apa jadi Pada Rakyat.




Paparan ini hanya menyentuh kerajaan Persekutuan saja kerana menguasai kerajaan Persekutuan bermakna menguasai sumber atau kekayaan negara.

Kerajaan kata ekonomi negara, ok, tidak seteruk yang digambarkan oleh setengah pihak terutamanya pembangkang. Asas ekonomi negara adalah kukuh, tambah kerajaan. Jadi untuk mengatakan kerajaan akan bengkrap ianya satu fitnah, hujah kerajaan lagi.

Mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan sama ada dari kalangan parti pembangkang mahupun para akademik, berterusan mengatakan bahawa cara pengurusan kerajaan ke atas kekayaan negara (sumber negara) boleh membawa negara kepada peningkatan liabiliti yang berat yang akhirnya nanti tidak mempunyai kemampuan untuk menampung liabiliti itu yang boleh menjerumuskan negara kepada kebengkrapan.

Tetapi sebahagian besar rakyat tidak faham atau kurang faham atau tidak mahu ambil peduli perdebatan diantara kerajaan dan pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan. Yang penting bagi  mereka ialah boleh hidup selesa, ada kerja, ada tempat tinggal, mampu membeli pakaian sehelai dua setiap bulan hasil dari upah atau pendapatan yang diperolehi dan selamat dari ancaman jenayah.

Hujah tentang asas ekonomi yang kukuh yang selalu diketengahkan kerajaan tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat sekiranya hidup mereka terbeban dengan desakan kos sara hidup yang tinggi dengan kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan dan kenaan berbagai bayaran dan caj yang meningkat seperti tempat letak kereta dan GST.

Kedudukan simpanan luar negara (foreign reserve) sama ada bertambah atau menyusut, pertukaran matawang -meningkat atau menyusut, bajet tahunan yang defisit atau surplus, nilai ekspot mengatasi impot atau sebaliknya dalam imbangan perdagangan (balance of trade), kedudukan akaun semasa kerajaan, dan kedudukan hutang negara, bukanlah menjadi perhatian utama sebahagian besar rakyat.

Bagi rakyat semua yang diatas itu adalah urusan sebuah kerajaan yang telah dipilih. 

Rakyat mahu beban hidup mereka direngankan.

Sebab itu, walaupun menanggung beban kos sara hidup yang tinggi, apabila saja mereka diberikan bantuan dalam bentuk BR1M walaupun tidak sepadan dengan kenaikan kos, sebahagian rakyat merasa beban hidup mereka telah direngankan, umpama orang yang hanyut oleh arus yang deras diberikan tali atau dapat memegang sesuatu yang boleh menyelamatkan mereka dari dihanyut lebih jauh lagi.

Begitulah tafsiran saya tentang pandangan/sikap tiga pihak berkaitan dengan kedudukan ekonomi negara ketika ini.

Pertama, apa pun yang sebenarnya berlaku, kerajaan tetap mempertahankan bahawa kerajaan masih lagi melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Kedua, apa pun sebenarnya berlaku, termasuk usaha-usaha yang dilakukan kerajaan, mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan terutamanya pembangkang mengatakan bahawa banyak yang tidak kena dalam urustadbir kerajaan ketika ini.

Ketiga, apa pun yang sebenarnya berlaku, bagi sebahagian besar rakyat, yang penting kepada mereka ialah kehidupan yang tidak tertekan dan terbeban dengan kesempitan hidup. 

Dan apabila ada usaha untuk merengankan kesempitan itu, walaupun tidak sepadan dengan beban hidup yang menghimpit,  sebahagian besar rakyat akan menerima usaha sedemikian.

Soalnya, yang mana satu kenyataan yang boleh kita percaya? Adakah kenyataan dari pihak kerajaan atau kita menyebelahi pembangkang kerana ada kebenarannya.

Sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa kualiti hidup rakyat telah menurun. Bermakna cara dan sistem penyampaian kerajaan telah gagal dalam mempertingkat dan memperbaikki kualiti hidup rakyat. Ringkasnya urustadbir kerajaan yang tempang dan pincang. Oleh itu kita wajar mencari akar umbi terjadinya keadaan seperti itu.

Terlalu panjang jika diperincikan kegagalan cara dan sistem penyampaian kerajaan itu atau urustadbir yang tempang dan pincang.

Oleh itu hanya dibutirkan hal-hal yang penting yang menyebabkan berlakunya kepincangan dan ketempangan dalam urustadbir kerajaan ketika ini iaitu:

i) Kerajaan dari parti yang sama yang diberi kuasa memerintah begitu lama.

 a) parti yang terlalu lama memerintah akan menjadi kurang/atau tidak sensitif kepada sebarang teguran atau pandangan yang membabitkan kepentingan negara dan kebajikan rakyat kerana merasakan parti tetap menjadi pilihan rakyat. Kata-kata seperti siapa saja yang menjadi calun BN khususnya UMNO tetap akan dipilih rakyat, sehingga ada yang mengatakan letak kayu atas nama UMNO sekalipun calun kayu itu akan dipilih. 

b) Melainkan selepas PRU 12, penguasaan kerajaan dari parti yang sama tidak kurang dari 2/3. Maka kesedaran tanggungjawab untuk mengurustadbir negara khususnya sumber negara dengan berkesan tanpa salah guna kuasa yang menyebabkan ketirisan, pembaziran dan boros, penyelewengan dan rasuah, terlalu rendah dan diabaikan. Sistem semak dan imbang tidak berfungsi dengan berkesan. Ini jelas dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara.

c) Maka bajet tahunan sentiasa dalam keadaan defisit. Bajet defisit bukan satu masalah. Tetapi jika ianya berterusan maka kemampuan negara bagi melaksanakan berbagai program/projek pembangunan bagi menyediakan berbagai infrastruktur dan projek yang mampu menjana pendapatan akan menjadi berkurangan/tiada. Maka pembiayaan secara pinjaman sama ada dari sumber domestik atau luar terpaksa dilakukan atau tiada langsung projek pembangunan dapat dilaksanakan. Pembiayaan secara pinjaman ini jika berterusan, apatah lagi jika projek itu tidak mampu menjana pendapatan, akan membebankan kewangan negara.

Bersambung dalam paparan esok, insya Allah....... 


  

Ahad, 18 Disember 2016

Bualan Politik Pendek Di Sebuah Restoran.




"Kau undi siapa?", Tanya seorang kawan di sebuah restoran.

Dia kawan saya. Bukan kawan baik. Maksud saya dia tidaklah jahat. 

Saya faham mengapa soalan itu ditanya. Sekarang sedang hangat orang cakap PRU 14. Ini semua PM punya fasal yang hebohkan PRU 14 tidak berapa lama lagi. 

Saya tidak segera menjawab. Saya percaya kawan saya bukan sangat mahu jawapan dari saya.  Dia mahu saya dengar cerita dia, bisik hati saya.

"Aku hairanlah...." dia mulakan ayat dengan memek muka yang mencemek. 

"Ni parti pembangkang.......tak ada nama lain yang dicadangkan untuk jadi PM. Balik-balik nama tu saja. Ketandusan pemimpin. Betul tak?"


Saya tidak mahu menjawab soalannya itu. Dia ulangi pertanyaan, sama ada saya setuju atau tidak dengan kenyataan dia sebentar tadi.


Saya terus berdiam.

"Eh kau sokong siapa, kerajaan atau pembangkang?"

Soalan macam itu pun saya sudah jangka.

Sebutir senyuman saya ukirkan untuk kawan ini. Saya tidak pasti manis tawarnya senyuman saya menurut penilaian kawan itu. Tapi yang jelas dia tidak langsung ambil kira senyuman itu. Dia terus mendesak.

"Kita kan kerja dengan kerajaan. Kena sokong kerajaanlah. Kerajaan yang bayar gaji kita, bukan pembangkang". Kali ini semacam ada unsur mengugut.

"Sudah tentu kerajaan", saya jawab. 

Jawapan saya itu menyerikan muka kawan saya itu. Ianya menjadi peransang untuk terus membebel. Dia bebel fasal penjawat awam yang sokong pembangkang. Dia bebel fasal pembangkang yang suka buat fitnah. Dia bebel fasal rakyat yang tidak tahu kenang budi. Dia bebel fasal anak muda mahasiswa yang menyokong pembangkang, katanya mereka itu buang masa, tidak mengutamakan pelajaraan. Dia bebel fasal orang yang merungut tentang GST tapi ambil BR1M. Macam-macam dia bebel.

Saya hanya mendengar saja.

Sebelum kami berpisah dia ingatkan saya agar mengundi parti kerajaan kerana kerajaan yang bayar gaji saya.

Saya mengangguk. Mungkin dia tafsir  saya bersetuju dengan gesaan dia tu.

Dan saya sempat bertanya kepada kawan itu, "Macam mana dengan yang bekerja dengan kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Kena undi kerajaan ker?"

"Itu lain. Bukan UMNO. Bukan BN", kawan itu segera memberi alasan. Suaranya agak tinggi sedikit.

Saya hanya mengangguk saja. 














Jumaat, 16 Disember 2016

PRU 14: SIFIR PARTI POLITIK dan SIFIR PENGUNDI




PRU 14 sudah menghampiri. 

Apa buktinya, sedangkan tempoh sahlaku keputusan PRU 13 hanya akan berakhir pada 2018.

Usah diminta bukti lagi. PM sudah cakap macam tu.

Boleh percaya ke cakap PM?

Soalan itu nakal sekali. 

Soalan itu tidak relevan.

Tanyalah bila tarikh sebenarnya.

Lebih selamat kita (pengundi) percaya dan bukan sebaliknya. Tidak percaya, nanti  jadi leka dan duduk diam tak buat apa-apa. Menyesal nanti kerana tidak bersedia.

OOOOOHHHHH.... fahamlah
Patutlah, konvensyen sana konvensyen sini. Ada yang mengadakan  PAU memuji macam nak gila. Ketua naik takhta kerana dianya pilihan Allah, katanya.

Harap-harap jangan sembah pula. Berjalan tunduk dan cium tangan tidak jadi masalah.

Patutlah ada yang menandatangani kerjasama politik. Politik satu lawan satu, konon.

Maka berlakulah pujuk memujuk, merayu sambil menyerang. Serang balas datang bertubi. Dan ada yang jual mahal, letak harga tinggi tanpa kompromi kerana percaya terlalu kuat mampu bersendiri. Tapi ada juga sayang dalam benci.

Haa itulah politik. Sifir politik.

Demi kuasa, berpolitik mesti begitu caranya.


Jadi usah kita timbulkan tentang boleh percaya. Boleh percaya dan tidak boleh percaya, bukan sifir politik. Sifir politik hanya satu saja iaitu untuk merebut kuasa. Itu saja.


Kita rakyat sebagai pengundi mesti faham tentang itu, tentang sifir politik. Jika tidak kita akan sentiasa diperdayakan oleh orang/parti politik. Kita juga yang rugi walaupun kita berada dalam sebuah negara yang kaya. Kaya sumber buminya. Kaya dengan modal insannya.

Dengan hal yang demikian sebagai pengundi, kita mesti ada sifir pengundi. Kita mesti faham tentang pilihanraya, maksud dan perjalanannya. Dan yang paling penting PENGORBANAN KITA MELUPUSKAN KUASA bagi satu tempoh tertentu kepada orang/parti politik untuk berkuasa.

Orang politik cakap fasal kerusi kerana ada kuasa pada kerusi-kerusi itu. Parlimen ada berapa dan DUN ada berapa, kiraan yang tidak pernah hilang dalam otak kepala mereka. Kerusi-kerusi itu mesti direbut dengan berbagai cara (menurut yang dibenarkan oleh undang-undang) dan dengan apa cara sekalipun.

Paling haprak parti politik itu berkira-kira  untuk  menguasai bilangan kerusi minima untuk tubuh kerajaan. Paras itu bersamaan dengan 'break even' dalam kiraan seorang pelabur. Membolot bilangan kerusi yang banyak mengatasi lawan adalah matlamat utama mereka bersamaan dengan 'memaksimakan keuntungan' dalam perancangan niaga  para pelabur.

Orang politik melaburkan modal kita. Modal kita adalah kuasa yang kita serahkan kepada mereka pada setiap pilihanraya. Kita mengharapkan dividen yang terbaik dalam pelaburan politik kita itu.


Sayang sekali  kita pengundi selalu terlupa atau tidak mahu ambil peduli tentang siapa pemilik kuasa sebenar. Kerusi tidak ada kuasa. Kita pengundilah yang ada kuasa.


Mesti sentiasa ingat, kita pengundi yang ada kuasa. Melalui pilihanraya, kita lupuskan kuasa kita itu untuk dimiliki oleh orang/parti politik bagi suatu tempoh tertentu, biasanya tidak melebihi 5 tahun.

PRU dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi adalah satu kaedah bagi rakyat menyerah dan melupuskan kuasanya kepada orang/parti politik. Dan parti politik yang dapat kuasa mengatasi pesaingnya akan layak menubuhkan kerajaan, dan pesaingnya menjadi pembangkang. 


Pilihanraya bukan kaedah untuk melahirkan penasihat seperti yang dicanangkan oleh parti tertentu. Kita sebagai pengundi mesti faham hal ini.


Kerajaan tanpa pembangkang adalah tidak sihat dari segi mengurustadbir kekayaan negara. Mesti ada semak dan imbang.

Satu lagi sifir yang kita mesti tahu ialah bahawa kita sebagai pengundi tidak pernah berhutang budi kepada orang/parti politik mahupun parti politik yang kita beri kuasa untuk membentuk sebuah kerajaan, di peringkat negeri mahupun persekutuan. 

Tiada budi yang kita perlu balas.

Orang politiklah yang sepatutnya membalas budi kita. Merekalah yangb sewajarnya mendahulukan ucapan syukur dan terima kasih kepada kita. Tiada undi dari kita, mereka itu tidak ada benda. 


Ini kita mesti faham dan menjadi pegangan kita. Ini adalah satu dari sifir kita dalam memandu kita memberi undi dalam pilihanraya.


Kalau tidak kita sentiasa dibuli dan diperdaya, ditekan, diugut dan dipaksa serta digula-gula untuk mengundi mereka dalam setiap pilihanraya atas alasan jasa dan budi yang diberikan kepada kita sedangkan banyak kerosakan yang mereka lakukan semasa mereka menjadi kerajaan hasil daripada undi yang kita berikan kepada mereka.

Sifir pengundi tidak sama dengan sifir politik. Sifir politik mendahulukan pembolotan kuasa, sedang sifir rakyat untuk dapat hidup sejahtera dalam sebuah negara yang makmur merdeka. Sebab itu rakyat/pengundi sanggup berkorban dengan melupuskan kuasa untuk diserahkan kepada orang politik.
 

Kepada pengundi PRU 14 nanti mesti sentiasa ingat dengan sifir kita bahawa kitalah yang memberikan kuasa kepada orang politik dan kerajaan orang politik. 

Ingat jangan sekali-kali kita menyerahkan kuasa begitu saja kepada parti politik/kerajaan yang terang dan jelas menyalahgunakan kuasa yang telah kita beri pada PRU 13 dulu. 


Pilihlah parti-parti yang sentiasa mahu bekerjasama dikalangan mereka, yang tidak rakus membolot kuasa, dan yang mempunyai azam, kesungguhan dan matlamat bertanding untuk menang untuk menjadi kerajaan, bukan parti yang bertanding yang tidak memberatkan kemenangan. 


Dengan demikian kaedah satu lawan satu adalah kaedah yang terbaik untuk rakyat kerana rakyat diberi peluang untuk menentukan parti mana yang menjadi kerajaan dan parti mana yang menjadi pembangkang. 


Pertandingan lebih dari itu tidak ada gunanya bahkan tidak perlu, menjadi sia-sia kerana rakyat hanya mahukan kerajaan dan pembangkang saja.


Mana-mana parti yang cenderung kearah pertandingan lebih dari itu ianya perlu diketepikan.