Theflowersellingboy

Jumaat, 27 Januari 2017

KEPADA SIAPAKAH DERMA ITU SEPATUTNYA DIBERIKAN



Jutawan Dermawan. Ertinya orang kaya yang suka menderma. 
 
Menderma bukan kerana mahu dapat nama. Menderma kerana mahu membantu dan menolong mereka yang perlu dibantu kerana hidup susah dan miskin.
 
Bukan menderma kepada mereka yang memerlukan derma. 
 
Mereka yang memerlukan derma atau mahu menerima derma tidak semestinya dari orang yang susah dan miskin. Orang berada pun jika diberi derma juga bersedia malah mengalu-alukan sesuatu derma itu. 
 
Contoh derma RM2.6 billion yang dikatakan diterima oleh PM.  PM bukanlah dari kategori orang susah. Tapi jika ada yang mahu menderma, beliau tetap menerima. Dan oleh kerana beliau bukan orang susah maka sebahagian wang derma itu dikembalikan.
 
Oleh itu 'derma' seperti itu tidak termasuk dalam pengertian dan tujuan sebenar sesuatu derma. 

Oleh itu jika kita jadi jutawan, dermalah kepada orang susah dan miskin misalnya rakayat Palestine yang menderita ketika ini. Atau dermalah kepada rakyat yang miskin yang masih ramai di Malaysia.
 
(Inspirasi Khutbah Jumaat Pada Hari Ini -Ab Rahmau Bin Auf Jutawan Islam zaman Rasulullah SAW yang suka menderma)








Rabu, 25 Januari 2017

PENJAWAT AWAM RASUAH dan TIDAK AMANAH: Ikan Busuk DiKepala DiKongsi Sama?




Penjawat awam ambil rasuah? Penjawat awam tidak amanah dalam menjalankan tugas?

Kedua-dua soalan itu memberikan jawapan (i) ya atau (ii) tidak. 

(i) Bahawa memang benar penjawat awam itu ambil rasuah dan tidak amanah.    

(ii) Bahawa tidak benar penjawat awam itu ambil rasuah dan tidak amanah.

Tapi ada jawapan yang ketiga, (iii) tidak semua penjawat awam ambil rasuah dan tidak semua yang tidak amanah.

Nampaknya jawapan yang ketiga ini lebih adil dan ianya satu gambaran yang sebenar. Sebab jika semua penjawat awam rasuah, sudah lama negara kita lingkup. Jika pula penjawat awam semuanya suci bersih dari rasuah maka tiadalah tangkapan dibuat oleh SPRM.

Cuma tangkapan yang dibuat oleh SPRM khususnya yang diambil kebelakang ini mengesahkan bahawa hanya penjawat awam yang melakukan rasuah.  

Pihak lain adalah suci murni!

Maka terbentuklah dalam fikiran ramai orang bahawa yang melakukan rasuah dan tidak amanah dalam menjalankan tugas ialah penjawat awam. 

Kepercayaan ini semakin diperkuatkan apabila PM sendiri dalam satu ucapan dihari perhimpunan Jabatan mengingatkan penjawat awam agar jangan mengambil harta rakyat. Ertinya jangan ambil rasuah dan bekerja dengan amanah.

'Seekor kerbau bawa lumpur, habis semuanya terpalit'. Beberapa kerat dari jumlah 1.4 juta penjawat awam yang mengambil rasuah, keseluruhan nama baik penjawat awam musnah tercemar.

KSN sebagai ketua penjawat awam mestilah bukan sahaja merasa malu bahkan mesti mempertahankan nama baik kedudukan penjawat awam ini. Saya percaya beliau telah melakukannya.

Pendirian tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang tidak amanah mestilah bukan sahaja dinyatakan bahkan ditunjukkan dengan tindakan yang setimpal keatas mereka yang mengambil rasuah. Dan dengan kesungguhan yang sama beliau mesti menyatakan dengan berani bahawa penjawat awam telah dan sentiasa menjalankan tugas dengan penuh amanah.

Tanpa khidmat penjawat awam, negara tidak akan mampu berkembang dan maju pada tahap yang boleh dibanggakan. Bahawa kita adalah harapan negara dan rakyat. Kita sebenarnya duduk dibarisan hadapan untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Kita sebenarnya yang membuat kerja , membanting tulang dan mencerna fikiran.

Tangkapan yang dilakukan oleh SPRM itu wajar dipuji. 

Apatah lagi tangkapan itu telah menafikan sangkaan buruk orang ramai terhadap SPRM yang didakwa sebagai hanya berminat membuat tangkapan keatas pelaku rasuah peringkat rendah yang kecil-kecilan nilai aset dan wang yang terlibat.

Sekarang tangkapan bukan keatas budak pejabat, kerani, anggota polis berpangkat rendah,  pegawai peringkat bawah tapi sudah sampai ke peringkat ketua organisasi yang melibatkan nilai wang dan aset berjuta ringgit.

Bagi saya ianya sungguh memalukan. 

Bolehkah rakyat  bergantung harap kepada ketua organisasi yang terlibat rasuah? 

Apabila kepala ikan telah busuk, seluruh anggota yang lain akan membusuk juga. 

Apabila seorang ketua telah berlaku curang maka seluruh anggota organisasi akan mendapat contoh yang tidak baik.  

Dan laku buruk ini sudah dianggap dan diterima sebagai tidak salah diikut sama, ianya satu perkara biasa. Maka berkembang segarlah budaya 'tahu sama tahu', tiada siapa yang ambil kisah dan peduli jika ada yang meneladani/meniru laku buruk ketua organisasi. 

'Lagi pun harga barang mahal sekarang ini', justifikasi menghalalkan perbuatan rasuah itu.

'Kalau bos boleh ambil rasuah dan nilainya terlalu besar, salahkah aku mengambil seringgit atau seratus dua untuk menampong sara hidup yang melambung tinggi'.

Ayat-ayat seperti diatas semakin merebak aplikasinya dikalangan anggota organisasi sebagai alasan kukuh untuk berlaku tidak amanah dalam organisasi yang berketuakan 'ikan busuk di kepala'.
 
Mengapa rasuah sedangkan perkhidmatan mereka dibayar oleh rakyat? 

Banyak jawapan yang boleh diberi. 

Tapi sebab utamanya ialah KUASA. 

Kuasa boleh menjana pengaruh. Kuasa boleh menjana/ mendapatkan taat setia membabi buta, lalu mengunci mulut menyimpan rahsia, dan membiarkan sahaja kedurjanaan bermaharalela, dan menyokong dan mempertahankan kedurjanaan. Kuasa boleh menjana pendapatan. Kuasa boleh meningkatkan kedudukan sosial.

Orang mengatakan wang adalah segala-galanya. Bagi saya KUASA adalah segala-galanya. Orang jahat jika ada KUASA , bila-bila sahaja diangap baik, dihormati, dipuji bahkan ditaati.

Sebab itulah rasuah hanya boleh dilakukan oleh orang yang ada KUASA.

Lagi besar kuasa, lagi besar rasuah yang diambil.

Oleh itu, saya sentiasa menentang jika ada pihak yang hanya mengatakan atau yang menghebuhkan tangkapan rasuah keatas penjawat awam, seolah-olah penjawat awam sahaja yang ada kuasa.

Mereka yang mempunyai KUASA ialah orang POLITIK khususnya orang politik yang ada jawatan dalam kerajaan. 

Pegawai kerajaan atau penjawat awam dalam banyak keadaan, dan tidak dalam semua keadaan,  terpaksa menurut sahaja arahan dan permintaan orang politik walaupun ianya melanggar peraturan dan undang-undang.

'Who is the boss', ini ayat biasa yang sentiasa didengar terutamanya dikalangan pegawai pertengahan dan tinggi kerajaan yang ada kuasa membuat sesuatu keputusan.

'I am sorry sir', itu jawapan dari pegawai kerajaan yang ditanyakan soalan siapa bos seperti diatas. Dan tidak kurang juga yang senyap tunduk, lalu meminta izin keluar dari bilik bos.

Laporan Audit Tahunan dalam banyak hal akan membuat teguran tentang salah urus dan pembaziran dalam agensi kerajaan. Laporan yang negatif ini membuatkan  wakil rakyat dalam parlimen memarahi pegawai kerajaan dan mencadangkan tindakan diambil. ianya satu tindakan yang betul tapi tidak menyeluruh. 

Satu lagi yang mungkin ramai orang tidak sedar ialah tentang jawatan yang diisi secara lantikan politik di agensi kerajaan dan syarikat-syarikat kepentingan kerajaan.

Sebahagian besar mereka ini kelihatan percaya  seolah-olah mereka mempunyai kuasa yang sama atau membawa kuasa bos yang melantiknya . Ianya memberi masalah yang besar kepada ketua organisasi. 

Ponteng kerja adalah perkara biasa. Salah guna kuasa pun perkara biasa. Walaupun mereka tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang sama seperti penjawat awam, tapi mereka adalah telalu kebal untuk diambil tindakan.

Malang sekali apabila berlaku tangkapan kerana perlakuan rasuah, mereka ini dipercayai ramai sebagai penjawat awam. Maka buruklah nama penjawat awam.

Kesimpulannya bahawa memang ada pegawai kerajaan atau penjawat awam yang mengambil rasuah dan tidak amanah. Mereka perlu didakwa dan dibicara dan dihukum jika sabit kesalahan. Tapi sumber utama perlakuan rasuah ialah KUASA. 

Siapa kah yang paling BERKUASA?

Dan jika sumber KUASA itu sudah menjadi 'ikan busuk dikepala , apa nak dihairankan dengan sirip, sisip, badan dan ekor ikan. Sudah tentu bahu busuk terlalu mengiyurkan untuk dikongsi sama. 

Wallahualam.






  


 






Isnin, 23 Januari 2017

Hujan Berterusan Memberikan Saya Satu Senyuman




Hujan masih belum berhenti. Dari malam tadi sehingga ke pagi. Tapi tidaklah lebat, sebahagian besar rintik-rintik sahaja.
 
Cuaca seperti ini amat meransangkan untuk menjadi malas. Berbaring diatas katil paling menyeronokkan.
 
Tapi ada janji yang perlu ditunaikan. Bukan janji dengan orang lain. Tapi ini janji pada diri sendiri. Jika tidak ditunaikan, sendirilah yang menanggung akibatnya.

Semalam, setelah terlalu penat memesin rumput di sisi rumah sebelah kanan,  saya buat keputusan untuk menamatkan kerja, dan berjanji untuk menghabiskannya pada pagi ini bagi sebahagian kecil kawasan yang belum dimesin.
 
Pagi ini pula hujan masih berterusan walaupun tidak lebat tetapi ia sudah cukup untuk menjadi alasan terbaik untuk tidak menyambung kerja seperti yang dijanjikan semalam. 

Saya takut kesejukan dan basah seluruh badan jika bekerja dalam hujan. Mungkin boleh membawa demam. 
 
Lagipun mesin rumput berkuasa letrik yang saya gunakan itu tidak boleh digunakan dalam keadaan basah. Selain ia boleh merosakkan motor mesin itu, ianya juga boleh  menghasilkan pintas letrik dan membahayakan diri. Begitulah yang telah diberitahu oleh penjual mesin rumput itu.
 
Saya senyum sendiri kerana saya mempunyai alasan yang kuat untuk tidak meneruskan kerja memotong rumput pada pagi ini.
 
Bukan saya yang tidak mahu meneruskan kerja tetapi keadaan tidak mengizinkan saya untuk berbuat demikian. Bukan saya yang mengadakan alasan tetapi telah ditentukan pada pagi ini hujan masih berterusan turun yang menghalang saya meneruskaan kerja.
 
Dalam keadaan seperti ini ramai juga orang yang suka mengatakan 'ada rahmat disebalik keadaan yang berlaku itu'.
 
Saya tidak tahu, hanya Allah sahaja yang maha mengetahui.
 
Cuma hujan yang berterusan ini telah membantu saya untuk jadikan alasan yang terbaik bagi merehatkan badan. Sebenarnya, saya terlalu penat akibat kerja berat semalam.
 
Bagi orang seusia menghampiri tujuh puluh tahun seperti saya ini, kerja yang saya lakukan semalam amat berat sekali.  Apatah lagi orang yang telah menjalani pembedahan jantung terbuka. Walaupun kelihatan sihat dan tidak merasa susah bernafas atau mudah mencungap,tetapi tenaga tidaklah sekuat semasa sebelum memasuki enam puluhan.

Jadi hujan yang berterusan memberikan saya satu senyuman,
 
Saya boleh memberitahu pada diri sendiri bahawa saya tidak mungkir janji. Tenanglah jiwa dalam meneruskan kehidupan seterusnya. 
 
Jika ditakdirkan pagi ini tidak hujan, alangkah berat bagi saya untuk meneruskan kerja seperti yang telah dijanjikan. Memang saya terlalu penat. Fizikal saya rasanya tidak mampu untuk meneruskan kerja memesin rumput. Tapi saya ada janji yang perlu ditunaikan.
 
Dalam keadaan seperti diatas, sudah tentu saya merasakan serba salah. Jika tidak buat kerja, saya adalah manusia yang mungkir janji. Akibatnya jiwa tidak akan tenang. Jika terus buat kerja, besar kemungkinan ia boleh membahayakan kesihatan badan walaupun janji ditepati.
 
Ertinya saya kena pilih antara jiwa tenang dan keletihan.
 
Alhamdulillah, keadaan cuaca yang ada pada pagi ini membuatkan saya tiada pilihan melainkan merihatkan tubuh badan. Saya terus berbaring diatas katil.
 
Tapi , perasaan jemu mula menggesa saya untuk bangun. Lantas saya bangun dan terus menuju ke sofa yang telah sedia ada sebuah laptop. 
 
Saya menulis. Bicara saya ialah bicara hati. Bicara tentang sebuah janji. 
 
Saya bicara tentang meraikan satu keadaan yang menjadikan alasan bagi saya untuk merihatkan tubuh badan dari keletihan membuat kerja.  Alasan yang datang tanpa doa dari saya. Ianya ketentuan Allah.
 
Apapun baki kerja sedang menunggu. Menunggu cuaca tidak hujan. Dan saya mesti bersedia menerimanya. Bukankah itu janji saya? 
 
Benar, itu janji saya. Saya perlu melakukannya. Doa saya agar Allah memberikan saya kesihatan tubuh badan dan akal fikiran dan kekuatan untuk meneruskan kerja saya itu. Sudah tentu saya memohon dipanjangkan usia.
 
 
 
  

Rabu, 18 Januari 2017

Cerita Di Sebuah Gerai




Sarapan pagi sekeping capati dan secawan milo di sebuah gerai di seberang jalan sisi kiri sebuah hotel.
 
Buat janji dengan seorang kawan untuk bersarapan sama. "Kat mana?" Tanya kawan itu. Suara dari henset amat jelas sekali.

"Mana lagi, kat hotel lah", saya memberitahu.

Kawan itu nampaknya kurang bersetuju. Dia lebih suka pilih gerai dari hotel. Dia suka santai di gerai. Gerai tepi longkang pun tidak mengapa.

Saya percaya bukan sebab harga di gerai lebih murah dari di hotel. Dia seorang yang yang ada wang. Setakat RM 100 pun bukan sesuatu yang beliau bimbang. Dan dia juga bukan seorang yang kedekut.

Cuma dia punya fahaman yang tidak betul tentang 'kat' singkatan dari perkataan 'dekat'. Baginya 'kat' atau 'dekat' itu bermaksud 'di' hotel. 
 
Saya beritahu bukan bersarapan di hotel tapi di gerai dekat dengan hotel itu. Dia ketawa besar.

Bukan dia saja yang terkeliru dengan ajakan seperti itu. Ada kawan yang lain juga keliru apabila saya mengajak mereka untuk bersarapan dekat hotel. 
 
Perkataan 'dekat' ini selalu disalah faham oleh kebanyakan orang. Banyak yang memahami ianya bermaksud 'di' sedangkan perkataan dekat itu membawa unsur jarak, berbeza dengan  'di' yang membawa maksud 'di tempat itu', tiada unsur jarak. 
 
Mungkin ada yang  pandang remeh perbezaan antara 'dekat' dan 'di'. Tapi awas ianya boleh menyusahkan. Risikonya tinggi sekali.

Mengambil contoh seperti kes diatas. 
 
Katakanlah kawan saya tadi mempunyai urusan niaga dengan saya. Nilai urusniaga berjuta ringgit. Tempoh masa untuk buat keputusan pada pukul 11 pagi pada hari ini. Melepasi tempoh itu, melepaslah peluang urusniaga jutaan ringgit.

Kawan saya itu  memahami 'dekat' itu bermaksud 'di iaitu di hotel. Biasalah hotel adalah tempat orang berbincang dan membuat keputusan tentang perniagaan. Jadi kawan saya itu tidak ragu-ragu bahawa hotel adalah tempat untuk kami bertemu dan bersarapan.
 
Maka kawan itu menujulah ke hotel itu. Dia masuk ke restoran hotel dan mencari saya. Tidak ada. Waktu yang ada hanya tinggal 10 minit lagi masuk pukul 11 pagi.

Beliau dalam keadaan mengelabah lalu menalipon saya untuk bertanya di mana saya.

Malang sekali jika bateri henset saya habis, kong. Jadi beliau tidak dapat menghubungi saya. Waktu sudah melebihi pukul 11 pagi.

Peluang untuk mendapat urusniaga berjuta ringgit menjadi punah disebabkan salah faham tentang perkataan 'dekat'.

Oleh itu jangan remehkan maksud yang dibawa oleh sesuatu perkataan.Fahamkan betul-betul. Mesti ada ilmu. Kalau tidak jadi keliru. Mungkin kena tipu.

Baiklah, cerita kawan saya itu tamat. Dia tidak jadi datang.
 
Pesanan capati telah sampai bersama dengan secawan milo.
 
Tidak ramai pelanggan. 
 
Atas sebab-sebab tertentu saya sudah lama tidak ke gerai ini. Lebih dari setahun.
 
Dulu gerai ini ramai pelanggan. Nak cari tempat letak keretapun susah. Terpaksa meletakkan kereta pada jarak yang jauh. Tidak sekarang. Kereta saya betul-betul di hadapan jalan masuk ke gerai itu.
 
Tauke gerai nampaknya ada masa untuk duduk bersama semeja dengan saya. Beliau menyatakan kesyukuran kerana masih lagi dapat meneruskan perniagaan. 
 
"Barang mahal bang. Nak jual mahal, pelanggan lari". Beliau tidak mengeluh. Beliau menyatakan yang sebenar. 
 
Saya mendengar saja kerana ianya bukan satu isu yang baru atau yang kontroversi. Ianya satu isu biasa. Isu basahan setiap dari rakyat. Barang naik sudah menjadi lali ditelinga. Ianya amat menyiksa namun sentiasa suka disebut.
 
Saya fikir, tauke itu mahu menunggu respons dari saya untuk menyatakan sesuatu. Mungkin beliau mengharapkan saya bersetuju dengan apa yang dinyatakannya itu. 
 
Tapi saya rasa tidak perlu memberi respons kerana apa yang beliau cakap adalah benar. Semua orang sudah tahu. Semua orang sedang merasa kepahitannya. Beban amat berat sekali. 

Kalaupun saya nak beri respons, saya hanya perlu angguk kepala saja. Sia-sia saja mengeluarkan kata-kata bagi perkara yang sahih kebenarannya.

Tapi, saya berdiam tanpa angguk kepala. Mungkin inilah yang menyebabkan tauke itu semacam mahu saya menyatakan sesuatu.

"Biasalah bang, sekarang ni. Mana ada harga yang turun". Saya membahasa diri tauke itu sebagai abang juga. Ini bukan membezakan darjat, atau membezakan umur tua atau muda. Ini abang sapaan , memesrakan hubungan.
 
Tauke itu bertanya adakah saya tidak merasa tertekan dengan harga barang yang mahal. Saya berikan senyuman dahulu sebelum menjawab.
 
"Nak buat macam mana. Itu pilihan saya. Pilihan abang jugak".
 
"Apa maksud abang?" Cepat sungguh tauke itu bertindak balas apabila beliau dikatakan sebagai orang yang suka harga barang naik.
 
Kenyataan saya itu telah memerangkap saya dalam isu politik. Saya mesti cari jalan untuk keluar dari menyentuh tentang politik. Saya khuatir ianya akan menimbulkan suasana yang tidak diingini jika tauke ini mempunyai kecenderungan politik yang tidak sama dengan saya.
 
"Maksud saya , kita kena terimalah. Kita pilih jadi rakyat Malaysia, tinggal di Malaysia kena terimalah. Bukan kita sahaja yang bayar harga mahal. Semua orang kena". Saya harap jawapan ini adalah satu jalan keluar.
 
Saya cuba membaca apa yang ada dalam fikiran tauke itu dari riak air muka. Cuma susah sedikit kerana beliau agak gelap. Tidak mudah untuk melihat perubahan warna mukanya.
 
"Saya pilih dulu sebab janjinya barang tidak naik", tauke itu bersuara sambil menumbuk meja, tapi tidak kuat. Milo dalam cawan saya tidak tumpah.
 
Rupanya, tauke ini bukan budak hingusan yang saya boleh kelentong. Dia amat memahami dengan kenyataan saya tentang buat pilihan itu. Saya tidak mampu mengelak.
 
Saya bertanya pada tauke, jika janji tidak ditepati, apa pilihan dia pada PRU 14 nanti.
 
Tauke itu  bingkas bangun sambil menunjukkan ibu jari kanan menuding ke bawah. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya, 
 
"Tidak. Tidak lagi bang. Once bitten  twice shy".
 
'Educated' rupanya si tauke ni', bisik hati kecil saya.
 
Dia menyeluk saku seluar dan mengeluarkan henset. Dia melayari sesuatu.
 
"Bang apa itu surat hutang?"  Tauke memandang saya dengan tepat.
 
'Mengapa pula situa ni tanya fasal surat hutang', hati kecil saya bersuara.
 
"Cuba abang baca ni". Henset diberikan kepada saya. Saya ambil dan baca apa yang terpapar dalam hensetnya. Sebenarnya saya sudah baca lebih awal. Jadi saya segera memulangkan balik henset tauke itu.
 
"Nak buat hutang lah", jawab saya ringkas.  

Tauke semacam terpinga-pinga, tidak faham macam mana surat hutang boleh digunakan untuk buat pinjaman.
 
Rupanya tauke ni tak 'educated' juga, saya membuat kesimpulan.
 
"Katanya TH dan KWAP akan beli surat hutang tu untuk bayar harga saham.....apa benda ni. Cuba abang baca". Saya tidak membacanya sebab saya sudah tahu. 

"Selamat ke duit TH bang?" Tauke itu bertanya.

"Ada nasib selamat. Tak ada nasib sampai kiamat abang tak boleh kerja haji", saya segera bangun meminta dikira harga sarapan saya itu.

"Eeek, berniaga juga macam tengok nasib", tauke itu sedikit ketawa. Saya mengangguk.
 
Saya menghulurkan wang. Dia tolak mentah-mentah.  
 
"Hari ni free bang", katanya

Saya menuju ke kereta. Dalam hati berkata, bertambah kuranglah pendapatan tauke pada hari ini. Kesian juga pada tauke itu.
 
"Dia kena jual surat hutang lah", bisik hati saya. Senyuman kecil terukir apabila wajah tauke itu menyelinap di otak kepala. 
 


 
 
 

Selasa, 17 Januari 2017

Kita Mesti Berubah: Jawapan Demi Masa Depan (Inspirasi PRU 14)

 
Masih lagikah kau minat
  seorang pemuka yang berkarat
  yang kerjanya merembat
memberitahu, 'oh betapa sayangku pada mu'
  sedang hari-hari kau hidup melarat

Masih lagikah kau minat 
seorang ternama yang menyurat
kisah dongeng penuh berkulat
sedang tidurmu diganggu mimpi yang berat
hari esok untuk kau memerah kudrat

Wahai kawan
Wahai handai

Jangan sedih, jangan marah
  kerana itu bukan jawapan
  pada soalan 
'Masih lagikah kau minat'

Seorang pemuka yang berkarat, yang suka merembat
   tidak pernah memberimu ubat, merengankan kudrat
Seorang ternama yang menyurat
   isinya hanya demi kerabat

Kau punya hati
  nadimu berdenyut
  mulut mu bersungut
Tapi sampai bila?

Sampai bila?
Banyak kali kau beri jawapan
  dulu , kini dan selama-lamanya
Kau masih lagi berminat
  kerana ini parti keramat!

Sekali lagi aku bertanya
Wahai kawan
Wahai handai
  yang punya hati 
  nadi yang berdenyut
  mulut yang terus bersungut
Sampai bila?  
Sampai kau jumpa malaikat maut?
 
Wahai kawan
Wahai handai
  hati kecilmu ada jawapan
  denyut nadimu deras sekali
  katakanlah
  'Sudah, sudahlah, cukup sudah seksa ku selama ini'

Begitulah kawan
Begitulah handai
Kita Mesti Berubah
Jawapan demi masa depan



 

Jumaat, 13 Januari 2017

Tangkapan Rasuah: Sindir Menantu dan Pulas Telinga.





Perkembangan dalam negara ketika ini khususnya tentang beberapa tangkapan kes rasuah membuatkan saya teringat kepada 2 peribahasa Melayu:

i) Pukul anak sindir menantu, dan 

ii) Tak dapat tanduk telinga dipulas. 

(a) Adakah tangkapan itu bercirikan pukul anak sindir menantu?  

Walaupun sibapa itu tidak berkenan dengan perangai menantu yang tidak senonoh, tetapi atas sebab tertentu, misalnya tidak berani bersemuka dengan menantu maka anaknya yang tidak bersalah dimarahi. Mesejnya untuk memberitahu menantu itu bahawa bapa mertuaya tidak berkenan dengan perangainya.

Saya rasa tidak begitu. 

Tangkapan yang dilakukan adalah berdasarkan maklumat dan siasatan SPRM. Ada bukti yang cukup dan diyakini bahawa perlakuan rasuah telah dilakukan oleh seseorang.

Kalaupun tidak berani bersemuka dengan orang yang disyakki melakukan rasuah, atas sebab-sebab tertentu, mengapa pula perlu tangkap orang yang tidak bersalah. Tidak munasabah.

(b) Adakah tangkapan SPRM itu mempunyai ciri peribahasa tidak dapat tanduk, telinga dipulas?

Tanduk itu simbul kekuatan.  Boleh digunakan untuk mencederakan bagi melindungi diri. Sebaliknya, telinga itu lembek sahaja. Jika ditarik dan dipulas, tidak akan mampu digunakan sebagai senjata untuk melawan dan mencederakan pihak lawan.

Sama-sama kita fikirkan.
 




 

Rabu, 11 Januari 2017

BN: Pengurus Buluh Kasap, Pangkal Hilang , Hujung Lesap.




Kerajaan Berniaga Buluh Kasap
Pangkal Hilang Hujung Lesap.


Bagi  saya kerajaan adalah satu entiti perniagaan walaupun ada pihak berhujah sebaliknya. Kerajaan  kaya dengan sumber dan banyak pengaruh dan kuasa. 

BN yang memenangi PRU 13, telah diberi amanah untuk mengurus kekayaan negara bagi pihak rakyat sebagai pemilik bersama kekayaan negara itu.

Sebagai entiti perniagaan, kerajaan BN mesti buat untung. Jika rugi , BN telah gagal dalam berniaga,

Adakah BN berjaya melakukannya?

Rekod kejayaan BN tidak boleh dinafikan. Rakyat telah menerima keuntungan.

Tapi rekod sekarang ini amat mendukacitakan. Perniagaan BN mengalami kerugian. Bukan sedikit. Terlampau besar ruginya.

Rakyat sekarang menangung rugi. Kos sara hidup terlalu membebankan. Nilai wang merosot. Kuasa beli tidak seperti dulu. Banyak keluar wang, dapat sedikit barang, rengan saja bakul yang dijenjet pulang.

Wang negara tidak cukup kerana terpaksa bayar hutang yang melambung tinggi ke paras yang menyenakkan. Sebab itu banyak peruntukan untuk perkhidmatan bagi kesejahteraan rakyat di kurangkan. Perkhidmatan kesihatan terjejas dari segi bekalan ubatan dan kerja-kerja makmal. Pembinaan hospital dan klinik juga terjejas.

Nilai pertukaran wang asing juga menyusut. Ini menyebabkan barangan dan perkhidmatan impot jadi mahal. 

Nilai pendapatan ekspot menurun walaupun volume ekspot mungkin bertambah. Oleh itu nilai pegangan matawang asing merosot.

Simpanan luar negara juga menyusut.

Ertinya kerajaan gagal dalam menjana faedah untuk kesejahteraan rakyat. Rakyat sepatutnya mendapat keuntungan dari penggunaan sumber kekayaan negara, sebaliknya hidup tertekan. 

Begitu juga perniagaan yang dijalankan oleh anak syarikat kerajaan seperti 1MDB dan Felda . Rugi dan bermasalah. Hutang semakin bertambah, berbillion-billion ringgit. Rakyat juga yang akan menanggung beban termasuk generasi akan datang.

BN yang menguruskan kekayaan negara kepunyaan rakyat itu, telah gagal dalam berurusniaga,  mesti ambil tanggungjawab. Berundur . Tidak perlu tunggu pilihanraya.

Rakyat pula mesti tolak BN dalam PRU 14, jika BN tidak mahu berundur.

Rakyat mesti tolak pengurus yang gagal. Pengurus buluh kasap, pangkal hilang , hujung lesap. 

Modal Hilang, Untung Tiada. Rugi Yang Dapat.




Selasa, 10 Januari 2017

PERISTIHARAN TAHUN/HARI RASUAH: Mulakan dengan Tahun 2017




Saya sedar bahawa rasuah berlaku tanpa ikut tahun. 

Namun begitu seperti peristiharan bagi peristiwa atau hal atau perkara lain seperti Hari Kesihatan Sedunia atau Tahun Melawat Malaysia, saya berkecenderungan untuk mencadangkan peristiharan hari atau Tahun Rasuah. 

Tahun 2017, saya nilai sebagai tahun yang sesuai diistiharkan sebagai TAHUN RASUAH.

Jangan cepat mencemik muka atau melontarkan kata-kata saya orang gila. Sabar, teruslah membaca.

Perbuatan rasuah dan angka sesuatu tahun itu langsung tiada kena mengena. Bila-bila saja rasuah boleh berlaku apabila tiga fenomina dibawah ini wujud.

Pertama, ada yang mahu beri sama ada dia nya yang mula buka cerita dan membuat tawaran atau pihak lain yang meminta sebagai syarat memudahkan urusan walaupun dalam hati sipemberi merasa geram dan marah tidak berkesudahan.

Kedua, ada yang sudi menerima sama ada ditawarkan atau dia yang mula buka cerita dan meminta-minta sebagai syarat urusan dipermudah dan disegerakan, mengikut peraturan atau melanggar peraturan dan undang-undang.

Ketiga, ada timbal balik (reciprocity). Kau dapat, akupun dapat....kau tolong aku, aku tolong kau. You scratch my back , I scratch your back. Kau garu belakang aku, aku garu belakang kau...sama-sama rasa enak dan lega!

Itu adalah 3 syarat boleh berlakunya rasuah.

Namun begitu, masih lagi belum cukup untuk rasuah itu dikenali. Mesti ada satu pihak  lain yang tidak ada kepentingan atau faedah dari perbuatan rasuah itu untuk menonjolkannya. 

Selain dari pelaku rasuah (pemberi dan penerima), pihak ketiga ini adalah yang paling penting dan kritikal dalam memaknakan rasuah itu.

Rasuah tidak ada makna jika tiada yang suka dan tiada yang benci. Mereka inilah yang memaknakan rasuah, membuat rasuah itu menjadi terkenal dan diketahui umum.

Dan yang paling penting sesuatu keputusan wajib dibuat tentang perlakuan rasuah itu sendiri.

Tanpa ada keputusan , rasuah itu tidak ada makna.Dan keputusan itu adalah keputusan yang ada makna, memberi faedah kepada yang membenci rasuah.

Namun begitu, keputusan itu tidak mampu bebas dari berbagai tafsiran. Dengan sebab itu, untuk satu keputusan yang bermakna, atas dasar menegakkan kebenaran, menzahirkan keadilan dan demi faedah pihak yang membenci rasuah, unsur salahguna kuasa wajib tidak terlibat dalam proses perasuahan ini.

Proses perasuahan itu bermaksud, ada pelaku (pemberi dan penerima), ada maklumat atau pengumpulan maklumat tentang perlakuan rasuah itu, penyiasatan, pendakwaan, pembelaan untuk pelaku dan keputusan dalam satu perbicaraan terbuka.

Jika ada tangan-tangan ghaib yang berkuasa dalam mencampuri dan menentukan sesuatu keputusan di mana pun peringkat proses perasuahan, rasuah itu tidak akan menzahirkan makna kebenaran dan keadilan serta faedah yang menjadi hak sipembenci rasuah.

SPRM adalah satu dari pihak ketiga yang penting dan kritikal untuk memberi makna kepada rasuah ini. 

Semenjak penghujung tahun lepas, dan baru-baru ini SPRM telah melakukan beberapa tangkapan khususnya keatas penjawat awam yang dipercayai terlibat dengan rasuah. 

Jumlah/nilai rasuah yang terlibat dalam berbagai bentuk aset: wang simpanan, rumah dan jongkong emas dilaporkan mencecah jutaan ringgit. Saya tidak pula menjumlahkannya. Mungkin boleh mencapai ke tahap billion. Amat luar biasa sekali.

Dilaporkan juga ase-aset itu telah dirampas, dan akaun bank telah juga dibekukan.

Tangkapan nampaknya berterusan. Satu tangkapan di Johor dan satu lagi geledahan di Pejabat Ketua Menteri Melaka.

Bukan saja SPRM yang menunjukkan kebenciannya terhadap perlakuan rasuah, PM juga nampaknya telah membuat teguran dan memberi nasihat kepada penjawat awam agar tidak mengambil aset kepunyaan rakyat.

"Don't take what belongs to rakyat", begitulah antara tajuk berita yang memaparkan nasihat dan teguran, sudah tentu juga bersifat amaran dari Perdana Menteri. 

Beliau amat benci dengan perlakuan rasuah oleh penjawat awam yang telah diberi amanah untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat dibawah kerajaan Barisan Nasional.  

Sungguh bertuah kita mempunyai Perdana Menteri yang benci rasuah. 

Jika diperingkat paling tinggi dalam struktur sebuah kerajaan dengan secara sedar menyatakan sikap yang benci rasuah terutamanya dikalangan penjawat awam yang menjadi harapan kerajaan dan rakyat, bukankah itu satu tindakan yang saya katakan memberi makna kepada RASUAH.

Saya perlu jelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'memberi makna kepada Rasuah agar tiada yang salah tafsir dan keliru.  

Di para-para yang mendahului, saya menyatakan bahawa 'rasuah itu mestilah menzahirkan makna kebenaran, keadilan serta faedah yang menjadi hak kepada pembenci rasuah'.

Saya mahu tanya: Bagaimana seseorang itu berada dipuncak kuasa?

Sudah tentu orang itu mendapat kepercayaan rakyat.

Jika ada jawapan yang lain, saya tidak mahu berkongsi dan bersubahat.

Baik. Saya mahu menyentuh tentang saranan saya tentang peristiharan Tahun Rasuah.

Peristiharan secara rengkasnya membawa makna pengakuan ramai bahawa sesuatu hal itu penting dan utama yang perlu dirai, dihargai dan diingati/dikenang.

Adakah kita tidak mahu mengingati tentang rasuah?

Ok. Teruslah berfikir mencari jawapan. 

Bagi saya tahun rasuah wajib diistiharkan.

Kalau ada orang yang tidak mahu mengingati atau merai tentang rasuah, orang itu sama sahaja dengan orang yang menolak tentang kematian. Atau takut mati, sebab itu tidak mahu mengingati mati.

Bahawa kematian itu pasti. 

Bahawa rasuah itu juga pasti merugikan/merosakkan.

Rasuah itu mempunyai makna dan kesan yang besar kepada kesejahteraan rakyat, keamanan dan kemakmuran negara. Ianya mesti sentiasa ada dihati, dirai kehadirannya, untuk dingatkan dalam hati oleh setiap dari kita, terutama kita yang telah menerima amanah bagi sesuatu tugasan dan tanggungjawab.

Pernahkah anda mengikuti khutbah setiap hari Jumaat?

Dalam khutbah pertama Jumaat, jika anda tidak nyenyak tidur atau mengelamun di awangan, antara ayat atau perkataan yang awal yang sentiasa terkeluar dari mulut khatib ialah 'Saya ingin berpesan kepada diri saya dan para hadirin sekalian...."

Apa makna ayat itu kepada anda?

Ayat itu membawa maksud bahawa kita perlu mengingatkan diri kita sendiri terlebih dahulu, dan kemudian mengajak orang lain mengingat  perkara yang sama. Berhentikan dari menuding jari.

Macam mana kita mahu beri makna kepada rasuah jika kita sendiri tidak mengingati rasuah itu.  Atau kita minta orang lain sahaja yang mengingati rasuah itu.

Sebab itulah antara cara yang saya rasa boleh mengingatkan kita tentang rasuah ialah dengan mengistiharkan tahun rasuah. Paling ideal dengan mengistiharkan Hari Rasuah pada tarikh yang dipilih pada setiap tahun. 

Seperti mati yang pasti, rasuah pasti ada. Mengapa kita mahu menyoroknya atau menafikan keberadaannya.

Hanya kita perlukan sikap benci rasuah dalam sifat keberadaannya. Benci bermakna setiap dari kita saling menyedari keberadaan rasuah itu. Kita saling memantau diri sendiri dan mengajak orang/pihak lain melakukan perkara yang sama, macam si pembaca khutbah Jumaat tadi. 

Korbankan perangai tuding jari, di kedudukan mana pun kita berada, siapa pun kita. Kita termasuk saya, dia dan mereka mesti ada sikap benci rasuah. Benci bermakna kita sentiasa ingat, tersemat dalam lubuk hati, dalam otak kepala bahawa rasuah itu sentiasa ada. Caranya istiharkan hari atau tahun rasuah.

Mengapa pula saya tidak mencadangkan Hari/Tahun Membanteras Rasuah?

Apa maksud membanteras rasuah? Menghapuskan rasuah?

Menghapus rasuah tidak mungkin dapat dilakukan dengan cara pembanterasan tanpa mengakui sifat keberadaan rasuah itu sendiri. Sebab, selepas percaya kerja pembanterasan itu dapat dilakukan, kita sudah jadi selesa, akhirnya tidak mahu mengingati tentang sifat keberadaan rasuah itu. Lalu tindakan pembanterasan menjadi longgar, lemah dan layu.

Wallahualam.

Isnin, 9 Januari 2017

Aku Anak Guru Besar




Aku anak guru besar. Bapaku menjadi guru besar di sebuah sekolah luar bandar, disebuah kampong nun di hulu. Bapaku amat dihormati, disanjung dan dikasihi oleh penduduk di kampong itu. 
 
Aku tidak tahu mengapa bapaku dilayan seperti itu. Bagiku bapaku biasa-biasa saja. Kalau ada yang luar biasa, yang aku boleh kenal pasti ialah bapaku  suka menghisap curut. Setahu aku tidak ada sesiapa dalam kampong itu yang menghisap curut.
 
Bapaku menghisap curut dengan penuh bergaya. Aku tidak mampu untuk menerang atau menggambarkan 'hisap curut penuh bergaya' itu. Cuma aku sentiasa lihat bapaku mengheret nafas panjang semasa menghisap curutnya dan melepaskan asap berkepul-kepul dengan hembusan nafas yang panjang juga. Kelihatan bapaku semacam merasa puas dari aktiviti curutannya itu, terutama setiap kali selepas makan. Terlalu nikmat agaknya.
 
Aku tumpang nikmat juga. Bau asap cerut yang keluar berkepul itu, paling aku suka.....terlalu wangi buat hidungku. Oleh itu setiap kali , aku nampak bapaku dalam khayalan menghisap curutnya, aku akan segera mendekatinya.
 
Tapi bapaku tidak suka aku mendekatinya semasa beliau mencurut kerana katanya tidak baik dari segi kesihatanku. Bahaya, boleh kena kanser. 
 
Bapaku tidak mahu aku kena kanser. Dengan itu dia selalu berpesan agar aku jangan cuba merokok atau mencurut. Bahkan jangan mendekati mereka yang menghisap rokok kerana statistik kanser juga menunjukkan mereka yang tidak merokok juga mempunyai risiko menghidap penyakit itu.

Selain dilarang merokok, bapaku sentiasa mengingatkan aku jangan suka bercakap bohong. Katanya bercakap bohong itu adalah salah satu ciri orang munafik.  Bapaku mengingatkan aku agar jangan suka mengambil hak orang, jangan suka berjanji tetapi selalu mungkir. Itu tidak amanah namanya.
 
Jadi bagiku,  tiada apa yang istimewanya bapaku itu. Nasihat dan ingatan seperti diatas adalah satu perkara biasa yang dilakukan oleh setiap ibubapa terhadap anak-anaknya.
 
Yang aku tahu ada satu tabiat bapaku yang tidak aku setuju, tapi aku takut untuk menegurnya. Bapaku itutidak suka dia diganggu terutama waktu dia sedang berihat menikmati curutnya itu.
 
Pernah beberapa kali dia meminta aku agar memberitahu bahawa dia tiada di rumah atau sedang tidur jika ada orang atau tetamu yang mahu berjumpa dengannya. Dia tidak mahu diganggu.

Ada satu kes yang menyedehkan hatiku. Suatu hari Ahad, lebih kurang pukul 10 pagi ada seorang kampong mahu berjumpa dengan bapaku mahu minta tolong menghantar anaknya yang diserang sakit lelah (semput). 

Aku tidak tahu mengapa orang itu tidak menaikki bas atau kereta sewa yang ada sebuah dua di kampong itu untuk membawa ankany ke hospital. Mungkin semua kereta sewa telah ke bandar. Mungkin menunggu dia tidak sanggup menunggu bas 3 jam sekali itu.

Tapi aku memang biasa dengan orang kampong itu. Dia pernah menghantar buah-buahan ke rumahku. Sebab itu agaknya dia merasakan mungkin bapaku sedia menolongnya.

Bapaku dengan membaca surat khabar. Curutnya lekat dibibir. Asap keluar berkepol.

Apabila aku beritahu ada orang mahu berjumpa dengannya, dia meminta aku menyatakan dia sedang tidur dan kurang sihat.

Pada mulanya aku mahu beritahu bapaku orang itu mahu minta tolong membawa anaknya yang diserang lelah untuk ke hospital. Tapi aku lihat mata bapaku menjegil, sebagai isyarat ikut perintahnya, lalu aku pun beritahu kepada orang itu seperti yang diarah oleh bapa.

"Tak mengapalah. Terima kasih. Salam pakcik pada cikgu". Kata pakcik itu. Ianya menyesak nafasku.
 
Dalam tabiat bapaku seperti itu , orang kampong tetap menyanjunginya. Bahkan setiap musim buah-buahan seperti durian, manggis dan rambutan, rumahku terlalu mewah dengan buah-buahan itu. Dapat percuma, dihantar oleh penduduk kampong yang mempunyai pokok tanaman itu.

Pisang dari berbagai jenis, nangka, cempedak, sukun, mangga, kelapa muda dan yang tua, apatah lagi daun pisang untuk menjadi pembungkus kuih, tidak pernah kami beli. Kesemuanya itu diberi percuma. Bukan bapaku yang minta, orang kampong yang beriya-iya memberi kepada kami.

Ada juga kadang-kadang bapaku menyeluk poket cuba mahu membayar, tapi ditolak dengan penuh hormat oleh orang kampong. Ikhlas dari kami, kata mereka.Kami senyum suka.

Aku adalah murid tahun 6 di sekolah bapaku itu. Aku adalah ketua murid bagi sekolah itu.

Aku menjadi ketua murid bukan atas arahan bapaku. Murid-murid yang memilih aku. Mungkin aku lebih pandai dari mereka, berpakaian kemas dan tidak pernah mendapat selain number satu dalam setiap kali peperiksaan.

Kawan-kawan satu kelas amat menyukaiku. Murid-murid yang lain juga aku lihat sangat menyukaiku. Mungkin mereka melihat aku tidak sombong walaupun anak guru besar. Lagipun aku selalu mengajar kawan-kawan bagi mengatasi  kelemahan mereka dalam pelajaran terutama dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.
 
Selalu juga aku belanja makan dan memberi sedikit wang kepada murid yang aku lihat sangat miskin.
 
Pendek kata aku adalah murid yang paling baik dan suka menolong murid yang lemah dalam pelajaran. Suka menolong murid dari keluarga miskin.
 
Pada suatu hari, atas inisiatif bapaku sebagai guru besar, diadakan satu perhimpunan bakal mengucapkan selamat berjaya kepada murid-murid tahun 6 yang bakal memasuki sekolah menengah. Perhimpunan itu di sertai juga semua guru dan ibubapa pelajar.
 
Bapaku berucap memberi semangat kepada pelajar dan ibubapa agar tidak mensia-siakan peluang belajar di peringkat menengah. Ucapannya mendapat tepukan gemuruh dari murid-murid dan ibubapa.
 
Tetapi apabila bapaku mengatakan agar ibubapa menjadi teladan kepada anak-anak terutama dari segi berjimat belanja dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi , bagi menentukan belanja persekolahan anak tidak terjejas, kepala aku mula pening. 
 
Kata bapaku lagi antara cara jimat belanja ialah tidak merokok, dan jika ada yang sekarang merokok, hentikan segera. 
 
Kata bapa saya, "Saya tahu tuan-tuan bukan orang senang. Oleh itu jangan membazir dengan tabiat suka merokok. Harga rokok sekarang mahal. Tiada faedah kita merokok. Rokok boleh mengakibatkan kanser".
 
Pening kepalaku semakin kuat.
 
"Anak-anak pula mesti belajar kuat. Jadi orang baik. Suka tolong menolong. Menolong bagi orang yang memohon pertolongan. Besar pahalanya".
 
Aku mencelikkan mataku. Rupanya aku sedang terbaring diatas katil. Bapaku, emakku dan beberapa orang kampong dan kawan-kawanku berada disisi katilku.
 
"Kau pingsan", Emak ku beritahu.
 
Aku muka ingat fasal apa aku jadi pengsan. Bapaku cakap tak serupa bikin. Aku mula pening bila mengingat perkara itu. Aku tutup mataku. Ada air mata mengalir.
 
Aku anak guru besar. Guru besar yang cakap tak serupa bikin,



 
 






Sabtu, 7 Januari 2017

Dari Jelingan Mata Saya




Anda suka menjeling? Saya tidak bermaksud anda melakukan kerana anda bermata juling.  Tapi jika anda bermata juling, ada kemungkinan orang mengatakan anda suka menjeling, yang mana sebenarya anda tidak menjeling.

Jeling adalah kata buat, melakukan perbuatan melihat dari sudut mata, dengan menggunakan hujung mata sama ada mata kiri atau mata kanan untuk melihat sesuatu imej/objek tanpa memaling muka ke arah objek/imej itu.

Manakala juling adalah kata sifat yang menerangkan keadaan atau sifat mata itu. Mereka yang bermata juling akan  kelihatan seperti menjeling walaupun tidak ada objek/imej disebelah kiri atau kanan untuk dilihatnya.
 
Sudut mata kanan (Bahagian tepi mata sebelah kanan) akan digunakan bagi memandang sesuatu imej/objek di sebelah kanan tanpa mengubah muka ke arah objek/imej itu. Begitulah bagi memandang objek/imej disebelah kiri, dimana hujung mata sebelah kiri digunakan.

Pandangan secara jelingan telah diterima sebagai satu pandangan yang ada unsur romantis atau pun ditafsir sebagai romantis.  

Jelingan itu, ada mesej yang hendak disampaikan, tapi berasa malu.

Tapi bukan ini isi bicara utama saya.  Tapi ianya ada kaitan. Terpulang kepada anda untuk mengaitkannya.

Isi bicara saya adalah serious, iaitu tentang  rasuah. 

Rupanya azam dan kesungguhan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah yang baru (saya kira belum lagi sampai setahun mengambilalih jawatan) seperti yang telah disuarakan dalam satu ucapan, bukanlah cakap-cakap kosong. Beliau cakap serupa bikin. Kata orang putih 'walk the talk'.

Semenjak mengeluarkan amaran dalam ucapan itu bahawa beliau adalah serious dalam 'business' ini, dengan mempelawa sesiapa yang merasakan ada terlibat dalam perlakuan rasuah, hendaklah segera menyerah, agar hukuman yang rengan boleh difikirkan. Jika tidak, tiada maaf bagimu.

Sekarang, memang telah dibuktikan 'tiada maaf bagimu itu. 

Banyak tangkapan rasuah telah berlaku. Di Melaka, Kelantan dan Sabah. Baru-baru ini melibatkan seorang KSU sebuah kementerian. Jumlah yang terlibat berjuta-juta ringgit. Bukan satu juta. 

Ini bukan kes ikan bilis. 

Tapi masih ada lagi pihak yang berterusan mengeluarkan kata-kata sindiran, meremeh dan mengatakan tindakan itu masih belum cukup untuk membuktikan SPRM serious dalam membanteras rasuah.

Jerung masih bebas berenang, dakwa mereka. 
 
SPRM masih tidak bertindak dengan bebas, tapi ada mesin/alat kawalan jauh (remote control) yang menentukan 'on' atau 'off'nya sesuatu kes, mereka terus mendakwa.

Dalam masa yang sama, SPRM juga telah mengeluarkan semacam amaran agar penjawat awam tidak bermain golf terutamnya di luar negara. Golf dan perempuan simpanan adalah bahan penggalak untuk melakukan rasuah.

Sudah tentu amaran ini ditujukan kepada penjawat awam  pada kedudukan tinggi, mereka yang ada kedudukan dan pengaruh.
 
Kita tunggu adakah tangkapan dari jenis golf dan perempuan simpanan, akan dibuat oleh SPRM.

Namun begitu suara-suara menyindir SPRM masih lagi berterusan.  Ikan jerung, katanya masih bebas berenang.

Tapi saya nak tanya: Adakah tangkapan rasuah perlu dilakukan atas jenis ikan dan  saiz ukurannya? 

Kalau asasnya begitu saya tidak setuju. Ianya tidak adil dan salah.

Tangkapan mesti dibuat kerana bukti perlakuan rasuah itu sendiri tanpa mengambilkira ikan jerung atau pun ikan bilis.

Mengapa tangkap 'jerung yang bebas berenang' jika jerung itu tidak ambil rasuah. Mengapa lepaskan bilis yang ambil rasuah. Begitulah sebaliknya.

Selagi pengaruh dan kuasa terlibat dalam sesuatu pertimbangan/tindakan dengan menerima balasan untuk kepentingan diri, ianya bagi saya adalah rasuah.

Jika ada bukti jerung yang masih bebas itu melakukan rasuah, kemukakan kepada SPRM.

Dengan berbagai tindakan SPRM itu adakah  mereka masih  tidak yakin SPRM bebas bertindak?

Baik. SPRM juga perlu melihat diri sendiri selain menunjukkan beberapa tangkapan.

Antaranya pertukaran pegawai penyiasat ke Jabatan lain atau bahagian yang tidak berkaitan dengan siasatan yang sedang mereka lakukan. 

Mengapa Bahagian Operasi Khas (BOK) diperkecilkan, dan berlaku perpindahan pegawai? Adakah ianya tidak benar.

Tetapi apabila Pengarah BOK sendiri buat kenyataan bahawa beliau kecewa dan merasa berdosa kerana menurut siasatannya banyak wang yang lesap, tetapi kes tersebut tidak mampu dibawa ke mahkamah.

Berdosa adalah satu kedudukan yang serious. Ada sesiapa yang sanggup menanggung dosa bagi sesuatu perkara yang dilakukan oleh orang lain?

Sudah tentu beliau telah mengenal pasti siapa orang lain itu. Tapi beliau tiada daya.

Fasal apa tiada daya?

Beliau telah mengungkapkan satu peribahasa. Sesiapa pun boleh faham makna peribahasa yang diungkapkan itu. 

Beliau tidak mahu kerja dibawah 'undang-undang sarang labah-labah'.

Bagi saya ungkapan undang-undang sarang labah-labah itu bermaksud bahawa hanya nyamuk, lalat, kelekatu, semut dan serangga lain yang sama saiz yang mampu ditangkap. 

Badak sumbu dan yang lebih besar dari itu, boleh saja berlepas lalu, bebas dari tangkapan.

Dalam bahasa yang mudah, bilis saja yang kena tangkap. Jerung bebas berenang merentasi banyak lautan.

Saya cuma menjeling saja.  

Jelingan mata saya,  menceritakan bahawa jerung masih lagi bebas berenang.

Bagaimana pula dari jelingan mata anda?

Bagaimana pula dari jelingan mata SPRM?

Sanggupkah SPRM menjeling? 

Atau dengan melakukan banyak tangkapan dan persaraan pengarah BOK, ianya merupakan satu isyarat bahawa SPRM sedang menjeling. Dan siapakah yang dijelingnya itu?
 
Saya rasa jangan lama-lama jeling. Pandang terus, akan nampak jelas sama ada ianya bilis atau ikan jerung.
 



 

Jumaat, 6 Januari 2017

Menyesal Dahulu Pendapatan, MenyesalKemudian Tidak Berguna.




Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. 

Peribahasa Melayu ini, yang meminta seseorang untuk sentiasa memikir, beringat-ingat dan berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan atau tindakan  agar kesan buruk atau yang merugikan diri tidak menjadi sesalan pada masa hadapan.

Adakah peribahasa ini telah dilupakan kerana ketinggalan zaman atau tidak ada fungsinya lagi dalam kehidupan harian kita. Ertinya peribahasa ini sudah lapok yang tidak sesuai dengan perubahan masa?

Ya, ditinjau dari perkataan yang digunakan, mungkin bagi setengah orang ianya sudah lapok atau 'outdated'. Tidak canggih. 

Mungkin disebabkan tidak ada unsur budaya asing, misalnya tiada perkataan dari bahasa asing, bahasa Inggeris atau bahasa Arab contohnya, nilai peribahasa itu menjadi menyusut.

Ramai orang lebih memahami atau lebih selesa menggunakan perkataan 'regret' dari menyesal. 

"I regret doing that", adalah ungkapan yang lebih banyak kedengaran ketika ini walaupun membawa maksud yang sama. 
Apabila seseorang itu mengatakan 'regret doing that', orang itu menyatakan kekesalan kerana tidak memikirkan kesan buruk dan merugikan semasa melakukan perbuatan itu dahulu.

Dari segi maksud yang hendak disampaikan, apa beza dengan menyesal dahulu pendapatan , menyesal kemudian tiada guna? 
100% sama. Tiada beza. Cuma yang satu disusun menggunakan perkataan Melayu , yang satu dari perkataan Inggeris.

Peribahasa Melayu itu, jika kita mahu teliti dengan rapi dan adil, menjadikan masa sebagai pertimbangan dalam apa saja tindakan dan keputusan yang hendak diambil. 

Menyesal dahulu, tidak bermaksud penyesalan dibuat pada waktu yang lepas. Ianya adalah waktu semasa membuat sesuatu tindakan atau keputusan. 

Ianya bersifat semasa, mendahului akibat atau kesan buruk yang diramalkan akan berlaku pada masa depan.

Berhati-hati sebelum bertindak bagi mengelakkan yang buruk berlaku pada masa depan.

Oleh itu adakah peribahasa melayu ini dapat kita samakan dengan amaran dalam sebuah hadis dalam hal yang dipanggil 5 Perkara Sebelum 5 Perkara?

i) Sihat sebelum sakit
ii) Kaya sebelum miskin
iii) Lapang sebelum sibuk
iv) Muda sebelum tua
v) Hidup sebelum mati.

Saya tidak mahu mengatakan taraf peribahasa melayu itu sama dengan peringatan dalam sebuah hadith seperti dalam 5 perkara diatas. 

Namun pesan/maksud yang hendak dibawa oleh peribahasa melayu itu, tidak ada bezanya iaitu demi kebaikan kita pada masa depan. Pada ruang masa hadapan apabila kita tidak sihat atau sudah berusia, kita tidak akan menyesal

Jadi jika ini, atau peribahasa ini boleh disandarkan dengan ingatan 5 perkara sebelum 5 perkara itu, dari sebuah hadith, saya merasakan peribahasa melayu itu akan tempat dalam hati dan kehidupan orang melayu.
   
(Inspirasi dari khutbah Jumaat pada hari ini. Hebat juga orang Tua-tua kita dahulu).

Khamis, 5 Januari 2017

Rawatan Prolotheraphy: adakah ianya berkesan untuk memulih kesakitan?



Hari ini 5 Januari 2017. Tapak kaki kiri , lebih spesifik  berhampiran tumit masih lagi sakit. 

Telah sebulan 5 hari suntikan prolotherapi , di dua spot yang sakit di tapak kaki itu (bermakna 2 suntikan), diambil tapi tidak menghasilkan kesan yang diharapkan, bahkan lebih sakit sebelum suntikan.

Satu suntikan 100 ringgit. 

Pada hari itu, 1 Disember 2016, kerana tumit merasa sakit semasa memijak dan berjalan, bersama isteri yang juga mengalami sakit yang sama, kami ke sebuah klinik yang mengamalkan perubatan prolotheraphy di Kota Damansara, Petaling Jaya. Ini merupakan kunjungan kami yang ketiga, dan suntikan prolotheraphy untuk saya yang kedua.

Pada kali pertama tahun 2011, saya telah diberikan suntikan di tapak kaki yang sama bagi sakit yang sama. Menurut doktor yang memberi suntikan itu, ia akan pulih segera berdasarkan pertanyaannya kepada saya,

"Sekarang tak sakit lagi kan".

Saya diam sahaja walaupun sebenarnya sakit itu masih ada bahkan lebih lagi sebelum dari suntikan. 

Untuk makluman, suntikan ditapak kaki adalah paling sakit berbanding dengan mana-mana anggota badan yang lain. Ini telah diberitahu oleh doktor itu kepada saya dan isteri, sebagai persediaan kepada kami dalam menahan kesakitan. 

"Kena tahan sikit. Tapi tak lama", katanya.

Ketika itu satu suntikan 50 ringgit. Dua spot yang sakit, kenalah 100 ringgit.

Kesakitan tidak segera sembuh. Tidak juga dalam beberapa hari atau seminggu dua. 

Namun begitu, akhirnya saya tidak merasa sakit. Saya sudah boleh memijak dan berjalan seperti biasa tanpa rasa sakit. Bahkan boleh berjalan berterusan semasa melakukan senaman pagi sebanyak 100 pusingan dihadapan rumah yang memakan  masa hampir satu jam. Tiada masalah.

Oktober atau november tahun 2016, sakit itu datang semula.

Suntikan 1 Disember 2016 , sehingga hari ini tidak menghasilkan apa yang diharapkan.

Sebelum mengambil suntikan pada hari itu, saya telah bertanya pada doktor itu, 'mengapa saya sakit pada dua spot yang sama?'

Ianya bukan spot yang sama, kata doktor dengan menunjukkan kepada saya kertas lakaran tapak kaki kiri saya yang telah dibuatnya semasa lawatan pertama. Memang betul. Kali ini sakit saya di dua spot yang berbeza.

Apakah sejarah berulang kembali?

Apakah saya kena menunggu lagi?

Berbanding dengan suntikan yang pertama, kali ini saya akan monitor/mengikuti dengan rapi dalam tempoh berapa lamakah saya akan pulih.

Dalam masa yang sama, saya juga merasakan ada kesilapan dipihak saya. Seminggu selepas suntikan, walaupun masih sakit, saya melakukan kerja yang berat juga secara berterusan dalam tempoh yang lama, iaitu membersih kawasan dalam dan luar rumah untuk meraikan kehadiran tetamu. 

Mula kerja mop-mengemop, sapu-menyapu, membersih tahi cicak (rumah saya terlalu banyak cicak sebab kawasan keliling banyak pokok dan semak, tidak ada rumah sebelah menyebelah, depan belakang) dari pukul 8 pagi sehingga menghampiri waktu Zohor (hampir pukul satu).

Yang peliknya, waktu bekerja itu, tidak rasa sakitpun. Laju saja.

Tapi selepas itu, selepas duduk berehat dan mula hendak bangun berjalan, aduhhh sakitnya, bila mula nak memijak. maka datanglah rasa kesal buat kerja terlalu lama dan banyak pula.

Mungkin, saya rasa kerja berat itu menyebabkan terganggunya proses memperbaikki tisu/legamen yang telah roasak atau terkoyak.

Doktor beritahu saya, rawatan prolo adalah satu rawatan secara suntikan ( saya tidak tanya pula nama ubat atau cecair yang digunakan. Tapi yang pasti bukan steroid) bagi tujuan memperbaikki/membina semula mana-mana tisu atau legamen yang rosak. Ianya bukan bersifat mengawal kesakitan seperti steroid.

Mungkin gamaknya saya telah melanggar pantang. 

Sayang sekali doktor tidak pula berpesan agar saya tidak melakukan kerja-keeja berat seperti yang telah saya lakukan itu atau memberitahu saya agar berihat satu dua hari atau minggu. Malah dia begitu yakin menyatakan kesakitan itu akan hilang sebaik saja menerima rawatan/suntikan.

Ahhh saya kena tunggu lagi. Harap-harap segera hilang sakit. Sekarang ini masih sakit. Nak turun dari bilik atas ke ruang makan di sebelah bawah pun rasa bercinta, takut sakit. Jadi kenalah isteri bawakan makanan ke atas. Kesian dia.

Isteri menyatakan dia merasa lega. Mampu berjalan tanpa rasa sakit. Cuma waktu nak memulakan pijakan, ada rasa sakit. Selepas itu, jalannya seperti biasa tanpa rasa sakit. 

Sebab itu waktu berjalan di pasar raya, saya kena tinggal di belakang kerana tidak mampu menyamai langkah isteri yang bersahaja dan cepat. Banyak kali dia terpaksa menunggu saya yang berjalan terhingkut-hingkut. 

Saya pula bila berjumpa dengan orang yang dikenali terpaksalah berlagak berjalan secara normal, dengan menahan kesakitan.

'Prolo-prolo bilalah aku nak baik. Kena tunggu lebih lama ker?' Keluhan dalam hati saya. 

Ya Allah segeralah hilang kesakitan ini.