Theflowersellingboy

Isnin, 31 Oktober 2011

Rumah-rumah Yang Usang: Hantu dan Penagih Dadah

Rumah-rumah yang usang semakin hari semakin bertambah bilangannya. Rumah yang terbiar dan ditinggalkan tanpa penghuni. Mungkin ada pewaris dan mungkin juga tiada pewarisnya lagi. 

Begitulah antara pemandangan yang semakin menyerlah di kampong-kampong sekarang ini. Tidak terkecuali juga dibandar dan ditaman-taman perumahan tetapi mungkin kewujudannya tidak ketara.  Banyak rumah-rumah yang ditinggalkan   bertukar wajah menjadi usang kerana telah tiada penghuninya lagi


Ada banyak sebab mengapa fenomina seperti ini semakin menyerlah dikampong-kampong. Antaranya ialah penghijrahan tuan punya rumah itu ke tempat lain biasanya ke bandar dan kawasan atau taman perumahan yang menyediakan kemudahan yang lebih baik lagi. Jika tempat yang baru itu tidak berjauhan dengan rumah lamanya itu maka kerap juga orang itu akan datang menjenguk untuk mengemas rumah dan membersihkan persekitaran rumah. Biasanya jika terlalu jauh jarang sekali mereka datang menjenguk. Ada kemungkinan tidak datang langsung.


Rumah-rumah yang ditinggalkan itu biasanya jarang sekali  disewakan kepada sesiapa . Tidak juga ada pihak yang berminat untuk menyewanya. Entah kenapa jadi begitu. Cuma ada juga mereka yang bercerita bahawa rumah yang besar itu terutama yang telah lama ditinggalkan kosong telah ada penunggunya. Katanya hantu. Maka tidaklah berani sesiapapun untuk menyewanya.


Satu lagi sebab mengapa rumah itu menjadi kosong ialah kerana kematian tuan rumah, orang terakhir yang menduduki rumah itu. Anak-anak pula tinggal ditempat lain dan masing-masing telah mempunyai rumah ataupun memang tidak bercadang untuk balik ke kampong. Kadang-kadang disebabkan berlaku perbalahan dikalangan adik-beradik dari segi pewarisan harta dari orang tua yang telah meninggal menyebabkan tiada seorang yang mahu menjenguk ke rumah lamanya itu.

Walaupun dikatakan hantu telah menjadi penunggu rumah yang kosong itu tapi ada juga pihak-pihak yang berani memasuki rumah itu sama ada di waktu siang hari atau malam. Biasanya mereka ini  terdiri dari penagih-penagih dadah.


Bilangan rumah seperti ini akan bertambah pada masa hadapan kerana sebahagian besar anak-anak lebih suka mempunyai rumah sendiri walaupun kecil terutama anak-anak yang telah berkeluarga. Apa tah lagi jika mereka bekerja di tempat yang jauh dari rumah ibubapa di kampong.

Rumah-rumah yang tiada penghuni, yang ditinggalkan kosong , jika ditinggalkan terlalu lama maka ia akan menjadi usang. Ada yang percaya rumah itu ada penunggu yang tidak boleh dilihat iaitu hantu. Maka takutlah untuk orang mendekatinya apatah lagi untuk menyewa. 

Kalau begitu, daripada menjadi usang begitu saja penagih dadah sungguh bijak memenfaatkannya. Berkumpullah mereka siang malam berkhayal, 'dunia mereka yang punya'.


Rumah yang ditinggalkan kosong akan menjadi usang, membiakkan bilangan hantu  yang kita tidak dapat lihat. 'Hantu' yang kita boleh lihat membiak juga. Cuma 'hantu' itu bijak berkhayal.


Pihak berkuasa wajar juga menjenguk-jenguk rumah yang usang ini.
Jangan takut pada hantu.

 


Ahad, 30 Oktober 2011

Sampah-sampah Yang Disayangi

Hari ini saya 'bekerja kuat' . Kerja kuat kerana inilah kali pertama sejak begitu lama, entah  , saya tidak ingat tempohnya, saya mula menjengok almari tempat simpan buku-buku nota catatan dan berbagai kertas serta fail-fail semasa belajar dulu. Tujuan saya ialah untuk meneliti dan menentukan yang mana satu perlu disimpan dan yang mana perlu dibuang.

Oh bukan saya saja, isteri juga tidak terkecuali melakukan bagi tujuan yang sama. Cuma yang berbeza ialah dari segi bahan yang hendak ditapis dan tempat simpanannya saja. Isteri ke satu sudut dimana terletak rak-rak kayu yang sedia tersusun majallah yang berbagai jenis.

Kerja bermula pada sebelah pagi pada jam 9 sebaik saja selesai sarapan pagi.

Wah, sebahagian besar barang-barang itu nampaknya masih cantik tersusun kemas.  Bermula dengan sebuah fail/folder berwarna kuning tertulis di bahagian luarnya 'Corporate Finance', saya membuka dan melihat nota-nota yang telah dibuat. Tulisannya masih jelas boleh di baca. Helai-demi helai di selak. Kadang-kadang di helaian tertentu lama juga masa yang diambil untuk membaca semula apa yang telah di catatkan. 

Seronok juga kerja menyemak semula nota-nota lama. Ia boleh mengembalikan kenangan lama. 

Dulunya semasa meneliti gred yang diperolehi dalam sesuatu kertas/peperiksaan yang dipaparkan di papan kenyataan diluar pejabat Jabatan, ada berbagai macam rasa dan reaksi. Ada masanya rasa kecewa, malu, tidak puas hati, marah dan kadang-kadang  suka bukan main 'dunia saya punya'. 

Tidak sekarang. Semua yang terkenang itu membawa rasa seronok pula.  


Fail ini kena simpan tidak boleh dibuang. Mustahak.


Satu fail lagi menjadi tatapan. Lama juga ditelek dan dibelek isi kandungannya. Pun perlu disimpan. Seterusnya yang lain. 


Akhirnya semua fail, barang dan kertas yang tersimpan itu selesai diurus. Kerja-kerja itu mengambil masa dua jam. 


Apa yang terjadi? Yang terjadi ialah kesemuanya perlu disimpan dan terlalu amat sayang untuk di buang. Maka terpaksalah disusun semula , dimasukkan kedalam almari seperti sedia kala.

Isteri? Rupa-rupanya dia pun sama. Semua yang disemak terlalu ghalat dan sayang untuk dibuang pada hal majalah-majalah itu telah tersimmpan begitu lama tanpa diusik. Sama juga dengan saya.

Apa ertinya semua ini. Barang-barang itu bukanlah boleh di kategorikan seperti kata peribahasa 'quran buruk' yang membuatkan rasa serba salah untuk dibuang. Kesemuanya boleh saja dibuang kerana dia tidak diperlukan lagi . Tidak ada gunanya lagi.


Tapi saya mahu menyimpannya. Menyemak dan memakan ruang. Bukankah lebih baik almari itu digunakan untuk menyimpan buku dan barang-barang yang baru. Atau tempat menyimpan barang-barang yang lebih berharga berbanding dengan nota-nota pelajaran yang tidak berguna lagi.


Pelik perangai saya ni. Isteri saya pun sama, suka menyimpan barang yang dia sendiri tidak berminat untuk selalu membacanya.


Itulah sampah-sampah yang disayangi.

 


Sabtu, 29 Oktober 2011

TULISAN JAWI dan BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU.

Tv 9 Siri  Mahir Jawi. Antara sedikit rancangan tv yang saya ikuti. Menarik sekali melihat cikgu dan anak-anak berkomunikasi mengajar dan belajar tulisan jawi. Mudah untuk sesiapa saja untuk belajar tulisan jawi iaitu mengeja dan membaca. Sungguh sistematik sekali. Tidak semasa saya dan yang lain-lain belajar pada tahun-tahun hujung lima puluhan dan tahun-tahun sebelum tulisan jawi itu 'diharamkan' (maaf jika agak kasar) pengajaran dan pembelajarannya disekolah.

Saya tidak pula ingat secara tepat bila tarikh sebenarnya tulisan jawi itu tidak diajar disekolah. Tapi kalau tidak silap saya ianya berlaku semasa aruah Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran. Kalau salah mohon maaf.

Saya juga tidak pasti apakah asas kepada keputusan itu. Dan adakah keputusan itu dibuat oleh Menteri itu saja atas kapasitinya sebagai Menteri Pelajaran atau dibuat setelah mendapat persetujuan kabinet pada masa itu. Jika kabinet terlibat maka jemaah kabinet pada masa itu juga mesti mengambil tanggongjawab.

Memang perkara ini telah berlalu. Tidak perlu diungkitbangkitkan lagi.Yang penting pada masa ini tulisan jawi merupakan salah satu mata pelajaran yang diajar disekolah. Alhamdulillah.


Hanya saya hendak merakamkan antara kesan yang kurang baik akibat dari keputusan tulisan jawi tidak diajar disekolah sebagai satu iktibar kepada kita terutama pihak yang diberi amanah menerajui negara. Antara akibatnya ialah sebahagian besar anak-anak yang membesar tanpa jawi disekolah itu tidak mempunyai keupayaan untuk membaca jawi. Tidak berminat langsung untuk mempelajarinya. Mempelajari jawi sebagai satu beban. 

Yang malang sekali ada yang menganggap orang yang belajar jawi ini sebagai ketinggalan zaman, orang kolot. Sikap dan pandangan seperti ini datangnya bukan dari sebarang orang. Mereka terdiri dari kalangan pemimpin dan orang yang berpelajaran tinggi.

Maka segala yang berbentuk jawi menjadi mangsa. Majalah dan akhbar tulisan jawi semakin hari tidak ramai yang mahu membaca. Ada yang terpaksa diberhentikan percetakan dan jualannya dan ada yang dikurangkan bilangan pengeluarannya. Ianya memberi kesan negatif kepada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab dan al-Quran.

Ertinya mereka yang menerajui Kerajaan apabila membuat sesuatu keputusan yang mempunyai kaitan dengan kesinambungan sesuatu warisan asas bangsa dan negara seperti tulisan jawi ini mestilah sentiasa sedar dan ingat akan kepentingan jangka masa panjang warisan itu agar tidak memberi kesan yang negatif yang boleh melenyapkan warisan itu sendiri. Maka apalah yang dapat kita wariskan kepada generasi akan datang.

Dalam nada yang sama, mereka, termasuk lah sebahagian anggota Kerajaan dan orang ramai khususnya kumpulan yang memanggil diri mereka sebagai PAGE tidak akan berterusan memperjuangkan supaya Bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik. Kelemahan Bahasa Inggeris dikalangan generasi pada masa ini tidak ada sangkut paut dengan penggunaan Bahasa Melayu dalam kedua-dua mata pelajaran itu. Jika pihak berkenaan itu jujur cubalah temuduga anak-anak sekolah yang telah mengikuti pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris. Mahirkah mereka bertutur? Cantikkah penguasaan Inggerisnya dari segi tulisan dan percakapan? 

Jangan pula temuduga hanya anak-anak orang bandar dan pelajar-pelajar yang memang telah sedia menguasai bahasa itu. Anak-anak orang bandar yang sebahagian besar telah terdedah dari semenjak kecil akan bahasa itu sama ada dalam persekitaran keluarga mahupun persekitaran yang lebih luas termasuk kawan-kawan sepermainan tidak menghadapi masalah yang besar malah ada yang lebih baik Inggerisnya dari guru yang mengajar. Begitu juga pelajar yang boleh menguasai bahasa itu bukanlah hasil dari belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris.

Pokoknya ialah perbaikki pengajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Jadikan ianya pelajaran yang amat menarik kepada pelajar untuk belajar. Belajar dan menguasai nahu adalah penting. Tapi terlalu memberi tekanan kepada hal itu dalam bentuk menghukum saya rasa membuatkan anak-anak tidak berminat untuk belajar. Kenapa tidak diajar secara santai dan bersahaja sebagai sebahagian dari teknik mengajar. Sama seperti semasa dirumah atau semasa anak-anak itu bergaul dengan kawan-kawan. Saya percaya semasa mereka berhubungan mengeluarkan kata-kata mereka tidak memikirkan 'apa tenses' yang hendak mereka gunakan. Dengan demikian idea atau kata-kata semasa berbicara mudah dikeluarkan, tidak tersekat-sekat.  

Saya bukan pakar tapi seperti orang lain ada pengalaman. Cuma pengalaman saya sedikit saja. Apabila terbeban dengan kawalan nahu maka tersekatlah untuk kita mahu berbicara. Lemahlah kita dalam penguasaan apa saja bahasa.

Nampaknya semacam saya telah tergelincir dari isu tulisan jawi. Sebenarnya tidak. Mesej saya ialah bahawa bahasa dan tulisan, dalam hal ini  bahasa Melayu dan tulisan jawi adalah satu warisan bangsa. Mesti dijaga sebaik yang mungkin. 

Jangan juga silap faham mengatakan saya anti bahasa Inggeris. Bahasa Inggerislah satu-satunya bahasa yang menjadi idaman dan cita-cita saya untuk saya kuasai, dalam bentuk tulisan dan percakapan. Hari-hari bahan bacaan saya ialah yang ditulis dalam bahasa Inggeris kerana ianya terlalu penting bagi saya. Sekurang-kurangnya boleh memperkayakan perbendaharaan kata dan memperbaikki banyak kelemahan saya dalam bahasa itu.

Saya juga ada gambar matawang yang digunakan dalam dua bentuk pemerintahan di negara kita ini. Satu matawang sebelum kita merdeka bertarikh 21 Mach 1953 dan satu lagi setelah kita mencapai kemerdekaan tidak termasuk kedudukan matawang masa kini.

Renung dan lihat dengan teliti. Terdapat tulisan jawi pada wang semasa sebelum merdeka. Dan malang sekali tulisan jawi telah hilang selepas mencapai kemerdekaan. Hairan dan sedih bukan? Mahukah perkara ini terjadi keatas kedudukan Bahasa Melayu dalam pengajaran ilmu?

Mujur sekali kerana Kerajaan telah memulihkan kedudukan tulisan jawi. Alhamdulillah, tahniah kepada tv 9. Bahasa Melayu bagaimana?


Jumaat, 28 Oktober 2011

Salam Jumaat 32: Pelanduk Yang Tidak Serupa

Assalamualaikum wbth dan salam jumaat untuk pembaca budiman. Harap sentiasa sihat. Amin.

Pagi tadi jam 9.30 ,28 Oktober 2011 saya agak bernasib baik kerana tidak diapa-apakan oleh seseorang  di sebuah pasar raya. Sewaktu sedang duduk di sebuah kerusi panjang sambil memegang cucu dan membaca The Sun , saya terpandang seseorang berjalan beriringan dengan isteri yang sedang menolak troli barang untuk ke kereta. Saya  semacam pernah berjumpa dengan orang itu. Dia juga nampaknya begitu. 

Tapi kami tidaklah tegur menegur cuma sedikit senyuman saja dibibir masing-masing. Dia meneruskan perjalanan dan saya meneruskan bacaan berita di akhbar itu.

Tiba-tiba saya didatangi oleh orang itu dan cuba mengesahkan identiti saya yang sebenar sambil menyatakan betulkah saya bekerja dengan Jabatan tertentu. Setelah mengangguk mengatakan benar maka soalan seterusnya ialah pengesahan sama ada saya telah bersara atau masih bekerja. 

Saya mengatakan telah lama bersara tetapi tidak menyatakan tahun persaraan. Maka orang itu menyatakan bahawa beberapa bulan lepas beliau bersama dengan seorang YB  telah berjumpa saya di pejabat mengenai rayuan lanjutan masa yang di pohon. Tapi katanya, saya masih lagi dengan keputusan menolak rayuan itu  sebagai muktamad. Suara orang itu semacam kecewa bunyinya.

Apabila dinyatakan baru jumpa saya beberapa bulan yang lepas maka sah bahawa bukan saya orangnya. Saya telah bersara pada 2004. Benar jawatan itu pernah saya sandang, lama juga. Setelah saya beri tahu bahawa saya bukan orangnya kerana telah lama bersara orang itu masih tidak percaya. Beliau lantas menyebut nama saya untuk meminta pengesahan. Maka saya angguk kerana memang benar itulah nama saya. Tapi saya telah lama bersara. 


Orang itu semakin yakin bahawa saya ialh orang yang dia baru jumpa beberapa bulan itu walaupun saya ulang beberapa kali saya telah lama bersara.


Dia amat marah sekali kerana permohonan lanjutan masanya ditolak. Ini satu penganiayaan  kepada kontraktor Bumiputera yang kekurangan wang dan modal. Kerajaan atau saya tidak ada sebab untuk menolaknya. Ini arahan daripada pihak lebih atas , katanya. Orang lebih atas itu tidak sukakannya kerana dia dari kumpulan yang 'bermusuh' (bukan kroni) walaupun dari parti yang sama. 'Hal politik dicampur adukkan dengan kerja kontraktor'.  Dan orang itu menyebutkan nama personaliti tertentu yang saya kenal, yang juga saya maklum merupakan persaingan politik dengan 'orang atas' itu.


Beliau seterusnya menyatakan perkara ini telah dibawa ke perhatian Perdana Menteri yang mana katanya telah mendapat sokongan. Tapi apabila tiba di peringkat bawah keputusan menolak masih lagi dikekalkan.


Saya hanya mendengar saja walaupun saya mampu untuk memberi pandangan tentang lanjutan masa ini kerana sedikit sebanyak masih lagi ingat kerja yang telah lama saya tinggalkan itu. Lagipun orang ini dalam keadaan 'mood' kecewa. Mungkin mencetuskan kemarahannya.

Saya hanya berulang kali mengatakan bahawa saya bukan orangnya kerana telah lama bersara. Dia tidak percaya lantas menuju ke kereta untuk mengambil surat yang katanya saya yang tanda tangani. 

Sekembalinya dia maka saya nampak wajahnya ceria sedikit, tersenyum kecil. Beliau menyatakan bahawa saya bukan orangnya kerana nama yang tertera yang menandatangani surat itu adalah nama yang lain, bukan nama saya. Tapi beliau tidak pula rasa menyesal atas kesilapan itu.Saya tidak pasti sama ada beliau mohon maaf atau tidak kerana gangguan dari suara tangisan cucu saya.

Ada dua hal yang hendak saya nyatakan dalam peristiwa ini. Pertama, saya berkemungkinan menghadapi risiko untuk diapa-apakan atau dicederakan. Sebab beliau menghadapi tekanan kewangan berikutan penolakan rayuan beliau itu. Nasib baik surat yang dimaksudkan itu ada dibawa bersama yang mengesahkan orang /pegawai itu bukan saya.

Kedua, politik dan kontraktor ada kaitan rapat. Dalam kes ini kontraktor mendakwa bahawa orang politik yang berkuasa ketika ini (berjawatan Kerajaan) masuk campur tangan agar rayuan itu ditolak disebabkan tidak satu kem (bukan kroni). Kontraktor pula menggunakan jaringan politik mohon bantuan Perdana Menteri. Mengikut kontraktor PM menyokong tapi peringkat bawah tidak juga setuju. 


Saya juga telah ditunjukkan dengan surat-surat kepada pihak-pihak tertentu dengan berbagai catatandiats surat-surat itu. Saya sempat membaca tajuk surat itu yang menyatakan sokongan dengan rayuan kontraktor itu. Tapi tidak dapat dipastikan dari siapa kerana cucu saya masih menangis. 


Akhirnya saya yakin bahawa pegawai yang menjalankan tugas sekarang ini tidak serupa susuk badan dan rupanya dengan saya. Pertama saya sudah lama bersara atau mudah kata sudah tua. Kedua orang tua sudah tentu wajahnya sepadan dengan umurnya misalnya telah banyak kerut-kerut didahi, rambut semakin memutih dan nipis dan kepala hampir botak dan sebagainya yang bersifat sudah tua. Saya sebenarnya tidak pernah mengenali pegawai itu dan tidak pernah bertemu muka.


Tapi mengapa kontarktor itu tidak percaya? Saya rasa beliau ini tertekan dari segi kewangan. Nasib baik saya tidak diapa-apakan.


Saya bukan pelanduk dua serupa. Saya ialah pelanduk yang tidak serupa, yang berbeza.


Itu saja. Salam Jumaat dan jumpa lagi.

Khamis, 27 Oktober 2011

Muammar Gadaffi Begitulah Akhirnya.

Muaamar Gadaffi berakhir didunia dengan cara mati dibunuh dalam peperangan saudara, peperangan sesama sendiri. Peperangan yang sendiri menjadi punca penyebabnya. Mahu mengekalkan kuasa yang dipegang terlalu lama . Maka segala cara digunakan  termasuk bertopengkan agama yang seolah-olah mempertahankan agama Allah. Maka kekejaman dan kezaliman dianggap sebagai cara yang sah. Tiada langsung  perasaan perikemanusiaan dan belas ikhsan.


Tentang perikemanusiaan dan Gadaffi ini telah juga saya sentuh dalam paparan pada 22 dan 24 Oktober lepas.


Kali ini saya suka berbincang perkara yang sama tetapi melihat dari mata kaca Gadaffi. Dari kaca mata orang yang telah dikalahkan orang tawanan. 

Susah untuk menafikan bahawa semasa berkuasa Gadaffi telah melakukan banyak kezaliman. Sesungguhnya tidak keterlaluan jika kita masukkan  Gadaffi dikalangan orang-orang yang telah melakukan perbuatan jahat diluar batas kemanusiaan. Ertinya tidak ada perasaan belas kasihan.

Maka dengan sebab itu setelah ditawan dan dikhabarkan merayu supaya tidak ditembak (bunuh), beliau ditembak/dibunuh. Dan pembunuh itu dan yang mereka yang lain yang sangat marah, benci dan memusuhinya merasakan tindakan membunuh itu tidak mencukupi, tidak setara dengan kezaliman yang telah dilakukan oleh Kolonel itu. Maka mayat itu mesti diheret, dipamir dan dimalu serta dihina. Baru padan sebagai balasan kejahatan yang pernah dilakukan oleh Gadaffi.


Saya amat memahami akan penentangan sebahagian rakyat Libya untuk menjatuhkan Gadaffi. Saya juga boleh faham jika dalam serang menyerang itu maka berlakulah pembunuhan diantara yang bermusuh itu. Dan jika Gadaffi salah seorang yang terbunuh dalam serang menyerang itu, ianya perkara biasa. Tidak perlu dipersoalkan.


Namun apabila musuh telah kalah dan ditawan maka kedudukan musuh itu telah berubah. Dia atau Gadaffi telah ditawan. Dia menjadi orang tawanan dibawah penguasaan orang yang menang. Dia tidak boleh dibunuh tambahan lagi dia merayu supaya yang menang itu tidak berbuat demikian. 

Tapi apa yang telah berlaku? Bukan saja rayuan 'meminta nyawanya' tidak diindahkan bahkan mayatnya mesti diheret untuk dimalu dan dihinakan. Itulah yang telah dilakukan oleh orang yang menentang Gadaffi . Mereka ini menentang kerana Gadaffi tidak adil , zalim dan tidak berperikemanusiaan semasa berkuasa dulu.
 
Boleh kah kita menaruh harapan kepada orang seperti ini untuk berlaku adil dan baik apabila diberi peluang menjadi penguasa nanti? Jawapan saya mudah: mereka ini tidak boleh dipercayai untuk diberi amanah memegang kuasa . Belum lagi diberi kuasa nafsu jahat telah menguasai diri. Rayuan dari orang yang telah ditawan, yang tidak berdaya lagi untuk melawan, yang sudah cedera tidak menimbulkan belas ikhsan dan kasihan. 

Ya, Gadaffi memang zalim tidak berperikemanusiaan. Sebab itu perlu dijatuhkan. 

Mereka yang menembak tawanan (Gadaffi) dan menghina mayatnya adalah juga zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bagi saya mereka lebih teruk lagi dari Gadaffi kerana setakat maklumat yang diketahui Gadaffi tidak menghina dan menganianya mayat orang yang menentangnya. Lagipun saya boleh faham walaupun tidak bersetuju bahawa terlalu lama berkuasa itulah yang membuatkan Gadaffi jadi begitu. Jadi cuba elakkan terlalu lama berkuasa kerana nafsu akan menguasai diri kita kerana kita manusia. Nafsu yang terlalu lama berkuasa akan menukarkan sifat kemanusiaan kita. Kita akan menjadi tidak berperikemanusiaan. 


Gadaffi zalim mereka lagi zalim. Yang sama ialah kedua-dua pihak yang berperang itu sentiasa mengucapkan Allah hu Akbar dalam perjuangan mereka. Yang mana satu agaknya berperang kerana  Islam, demi Allah? 


Muammar Gadaffi, dari Allah kau datang kepada Allah kau dikembalikan. Semoga kau diberikan keampunan.

Yang berjaya menjatuhkan Gadaffi kita mendoakan supaya mereka akan mengurus dan mentadbir Libya dengan lebih baik, adil dan saksama. Elakan berkuasa terlalu lama.

Rabu, 26 Oktober 2011

Budak Jual Bunga

Saya adalah budak jual bunga. Macam-macam bunga yang saya ada. Bunga anggerik, kekwah, melur, tanjung, mawar dan macam-macam bunga dengan berbagai warna ada di tempat jualan saya. Saya juga jual bunga tahi ayam.  Yang tidak pernah ada ialah bunga orchid dan yang setaraf dan satu kumpulan dengannya.


Sebahagiannya menarik perhatian orang untuk mendekati bunga yang berbagai-bagai itu yang saya susun, tidak secara teratur dan kemas, sambil membelek-belek dan menyentuh lembut bunga-bunga yang menarik mata memandang.  Mereka tersenyum dan saya yang sentiasa mendahului senyuman itu amat teransang sekali untuk mengambil kertas pembungkus. Jual beli terakadlah sudah.


Ada juga yang berhenti sekejap saja sebelum melangkah ke hadapan mencari yang lain yang lebih berkenan. Ada yang melintasi saya, berjalan cepat tiada toleh kiri dan kanan. Bilangan mereka ini sesungguhnya agak ramai.


Yang seronok sekali apabila ada yang menunjuk bunga pilihan minta dibungkus sebelum buat bayaran.


Saya budak jual bunga. Kerja ini bukan pilihan saya. Kerja ini telah ditentukan oleh kedua ibubapa saya. Mereka tidak punya alasan yang kukuh menjadikan penjual bunga sebagai kerjaya saya. Bagi mereka, kami semua , maksud saya adik beradik saya hanya perlu terima apa saja yang ditentukan. Dipihak kami termasuklah saya , tidak pernah pula bertanya mengapa misalnya saya mesti jadi budak jual bunga.


Maka saya adalah budak jual bunga selagi jasad dikandung badan. Tapi saya pernah juga terdengar dan terbaca bahawa selepas berakhirnya kemampuan kita untuk bernafas didunia ini bermacam-macam soalan akan ditanyakan kepada kita oleh Malaikat yang diperintahkan Allah berbuat demikian. Antara soalan-soalannya ialah apakah yang telah kita buat atau lakukan di dunia. Kalau demikian maka sudah tentu antara pertanyaan yang akan ditanya ialah mengenai kerjaya saya. Mudah sungguhlah saya memberi jawapan nanti bahawa 'saya budak jual bunga'.


Menjadi budak jual bunga tidaklah susah sangat. Berdiri saja di kawasan jualan dan kalau penat, berihat sebentar. Penampilan? Budak jual bunga apalah perlukan penampilan sangat. Dapat dilihat wajah dan boleh berbalas tutur yang boleh difahami sudah memadai. 

Ya, memang benar senyum-menyenyum itu terlalu penting. Berhalus bahasa dan tunduk hormat juga memang penting. Tapi saya, budak jual bunga sudah ada semuanya itu. Sejak semula lagi hal-hal seperti itu telah ditentukan . Sama umurnya dengan ketentuan kerjaya sebagai budak jual bunga.

Cuma bertanya juga di dalam hati sanubari akan sebab musabab mengapa banyak orang melintasi saja kawasan jualan tanpa mahu singgah sebentar. Sedetikpun sudah memadai. Dalam ukuran waktu yang pendek itu saya percaya mata orang itu akan berkenan juga mencuri intai bunga-bunga saya itu. Jika begitu secebis peluang telah mula berputik. Apa yang telah dilalui tidak begitu. Sedih juga dihati

Mengapa pula saya harus bersedih. Bukankah saya budak jual bunga yang hanya perlu berdiri dan kalau penat duduk berihat sebentar dan berdiri semula meninjau-ninjau kalau-kalau ada yang berhenti dan berkenan. Sudah tentu wajib mendahului senyuman sebelum yang berhenti itu angkat kaki yang saya ekori dengan mata yang putih memandang.  

'Jangan sedih brader', kawan saya yang disebelah selalu mengingatkan. Dia jual bunga juga. Cuma orang panggil dia florist. Tempat dia memang jadi tumpuan. Dia tidak menjual anggerik sebab katanya itu bunga orang kampong. Dia jual orchid yang nampaknya serupa dengan anggerik saya. Laku sungguh dan ramai pembelinya. Manakan tidak, susunan bunga-bunganya amat menarik sekali. Bunga-bunga itu sentiasa mendapat sentuhan air. Nampak segar bugar. Mendapat pujian dari hati saya.

Saya budak jual bunga. Ibubapa saya hanya tetapkan saya sebagai budak jual bunga. Asalkan ada bunga, orang boleh lihat dan saya sentiasa ada untuk menerima singgahan dan belian orang, sudah memadai.Terhegeh-hegeh pun tidak mengapa.


Tapi dalam hati berbisik 'takkan saya akan berterusan begini'. Mesti ada perubahan misalnya minta orang panggil saya florist bukan budak jual bunga. Saya rasa tentu akan ramai orang datang dan singgah membeli. Berhenti di tempat saya dulu sebelum sempat melihat bunga kawan saya itu.


Saya juga mesti menjual orchid dan bukan anggerik. Ini kerja mudah yang tidak melibatkan perbelanjaan satu sen pun. Katakan saja orchid ramai yang berkenan. Lagipun orchid sudah ada di hati mereka. Mudah bagi bibir merekah senyum menyebutnya.


Saya telah buat keputusan muktamad. Saya bukan lagi budak jual bunga. Ibubapa nak marah terima saja sebab akhirnya nanti apabila bunga saya banyak yang laku dan memberi rezeki merempah ruah saya percaya mereka tidak akan marah. Mereka akan lebih rapat dan mesra sekali.

Tapi saya tetap jual bunga yang sama. Bunga anggerik, maaf tersasul pula , maklumlah  baru cuba memasuki dunia baru, dunia florist. Bunga tahi ayam tetap ada. Tapi nampaknya ada masalah disini. Saya kena cari bunga 'chicken shit flower'. Lebih senang panggil saja csf, ringkas dan mudah. Saya wajar lebih kreatif. Bunganya telah sedia ada. Tidak ada masalah  Saya seorang florist. 

Ya, saya bukan budak jual bunga. Saya 'The Flower Selling Boy'. Keep on smiling forever and ever.



Selasa, 25 Oktober 2011

Bajet (Belanjawan) dan Laporan Audit Negara

1.Perbahasan Bajet (Belanjawan) Negara bagi peruntukan tahun kewangan 2012 masih lagi berterusan. Tahun ini kelihatan pembentangan bajet agak 'istimewa' melampaui jangkaan atau 'harapan' banyak pihak . Bajet, yang banyak pihak , Pembangkang dan orang ramai, khususnya penganalisis,  mengaitkan dengan pilihanraya umum yang dijangka bakal diadakan tidak berapa lama lagi. Mereka menamakan sebagai bajet pilihanraya, bajet untuk 'membeli' undi kata Pembangkang melalui berbagai bantuan, kemudahan, dan pemberian  tunai kepada pihak/golongan yang tertentu dan kenaikan gaji penjawat awam. Hal ini dinafikan Kerajaan yang menganggap bajet ini sebagai memenuhi tanggongjawab kepada rakyat.

2. Satu lagi 'keistimewaan' ialah pembentangan bajet kali ini tidak disertai bersama dengan satu daripada dokumen penting dalam pembentangan bajet tahunan iaitu Laporan Ketua Audit Negara bagi perbelanjaan tahun 2010. Perkara ini dapat teguran dari Ketua Pembangkang. Hanya selepas melebihi dua minggu dari tarikh pembentangan Laporan itu baru dibentang di Dewan Rakyat.

3. Perkara-perkara berkaitan bajet telahpun saya sentuh dalam dua paparan yang lepas. Secara ringkas saya mengatakan bahawa bajet 2012 ini adalah satu bajet untuk sementara saja, untuk satu jangka pendek bagi tujuan pilihanraya. Bajet yang mana kerajaan mencadangkan satu perbelanjaan melebihi wang yang dijangka masuk. Ertinya kalau tiada wang yang cukup Kerajaan akan berhutang.



4. Tapi kerajaan ada juga jalan keluar yang lain untuk dapat wang tanpa berhutang. Dan jalan ini adalah yang terbaik berbanding dengan berhutang. Caranya dengan mendapatkan wang dari rakyat. Luluskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah diwarwarkan oleh kerajaan untuk dilaksanakan selepas pilihanraya. Saya percaya pilihanraya tidak akan melangkaui tahun 2013. Malah ramai mengatakan pada awal 2012. Maknanya pada pertengahan tahun 2012 akan ada lagi satu pembentangan bajet (bajet tambahan) bagi mengatasi kekurangan peruntukan. Sumber wang adalah dari hasil kutipan GST yang dijangka berkuatkuasa selepas pilihanraya, mungkin pada Mac 2012.

5. Dengan GST semua rakyat akan tertakluk kepada cukai ini kerana kita perlukan barang dan perkhidmatan dalam menjalani kehidupan. Tidak seperti cukai pendapatan yang mana ada sebahagian rakyat yang tidak perlu membayar kerana pendapatan tidak sampai ketahap yang boleh dikenakan cukai, dibawah GST semua orang kena cukai. Maka jadilah GST itu sumber hasil baru. Bolehlah sediakan peruntukan bagi perbelanjaan yang dijanjikan.

6. Tentang Laporan Audit pula kita telah dimaklumkan banyak Jabatan dan Kementerian serta agensi telah mendapat teguran Audit yang negatif kerana pengurusan kewangan dan aset yang tidak teratur, cekap, berdisiplin, menurut porsedur dan peraturan kewangan. Banyak berlaku pembaziran misalnya dalam perolehan yang dibuat sama ada melalui tender atau runding terus.

7. Selain dari teguran pihak audit juga mencadangkan tindakan-tindakan tertentu yang perlu diambil supaya kelemahan-kelemahan pengurusan kewangan itu tidak akan berlaku pada masa depan.

8. Teguran Audit ini juga akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).  Pihak jawatankuasa juga akan mencadangkan tindakan-tindakan tertentu supaya kelemahan tidak berulang pada masa depan.

9. Teguran demi teguran dan berbagai cadangan tindakan oleh pihak audit dan PAC tapi perkara yang sama masih lagi berulang setiap tahun.

10. Banyak sebab mengapa jadi begitu. Antara lain penjawat awam dari semua peringkat tidak memberi perhatian yang bersungguh terhadap pengurusan kewangan dan aset. Maka sewajarnyalah tindakan berbentuk hukuman dikenakan jika benar-benar berlaku kelemahan atau kecuaian di pihak mana-mana penjawat awam itu.

11. Namun ada juga kelemahan atau salah urus itu terpaksa dilakukan oleh penjawat awam atas arahan pihak yang lebih atas. Yang mendukacitakan arahan itu tidak dibuat secara bertulis. Dengan itu susah untuk dibuktikan.

12. Sebahagian besar penjawat awam adalah mereka yang sentiasa taat dan menurut perintah yang datang dari ketua seperti yang terjelas dalam setiap surat yang mereka tandatangan: Saya Yang Menurut Perintah (SYMP). Tidak dinafikan ada seorang dua yang 'berdegil' yang selalu meminta supaya setiap arahan yang tidak wajar atau menyalahi peraturan dan undang-undang dibuat secara hitam putih. Akibatnya masuk dalam peti ais untuk disejukbeku atau paling baik kena tukar.
 

13. Oleh yang demikian membaca laporan audit tentang kelemahan dan salah urus kewangan dan harta terutama dan yang paling kritikal sekali ialah dalam perolehan yang besar nilai wangnya ( sama ada dibuat secara tender terbuka, tertutup, design and built dan runding harga dan banyak lagi cara) hendaklah dibuat secara meliputi dan mencakupi setiap ahli organisasi dari Perdana Menteri/Menteri sehingga ke hiraki penjawat awam yang paling bawah.

14. Sekiranya cara kita masih lagi seperti sekarang yang tidak mencakupi maka kelemahan dan salah urus ini akan berulang setiap tahun.

 

Selamat Depavaali

Saya mengucapkan selamat Depavaali kepada semua rakyat Malaysia berugama Hindu semoga bergembira dan dapat hidup bersama dengan harmoni.

Isnin, 24 Oktober 2011

Semoga Naqib Menjadi Insan Yang Berani dan Soleh; Yang Benar Katakan Benar

Satu imiginasi atau satu realiti.

Semalam 23 Oktober 2011maka  genap 7 bulan usia Ahmad Naqib. Kami memanggilnya Naqib saja. Itupun sudah manja. Yang paling manja dipanggil Akiiiib saja dengan bunyi 'iii'nya yang memanjang. 

Apabila namanya dipanggil bukan main suka si Naqib itu memandang kearah si pemanggil. Kalau dia sedang berbaring maka didepanya kedua tangan meminta diangkat didukung untuk berjalan keluar dari dalam rumah. Naqib amat rimas jika terlalu lama berbaring atau meniarap diatas tilam .

Setiap pagi setelah Naqib diserahkan oleh mamanya kepada kami, nenek dan tokpanya, kami bergilir dan kadang-kadang bersama melayan cucu kami itu. Biasanya pada waktu lapan pagi saya akan memasukkan Naqib kedalam stroller berwarna hitam dan menolaknya dari tepi sebelah kanan halaman ke hujung halaman disebelah kiri dihadapan rumah bersiar-siar menghirup udara pagi.

Pagi ini pada usia Naqib genap 7 bulan, rutin pagi yang sama juga saya lakukan. Saya menolak Naqib yang tersandar dalam stroller berulang-alik.  Hari ini Naqib tidak menangis tidak seperti di pagi hari-hari sebelumnya.Sudah bertambah 'matang' gamaknya. Sambil menolak saya menghagah cucu kecil  itu. Dia terlalu suka. Setelah lebih sepuluh kali ulang alik Naqib pun terlena. Diwaktu inilah saya merenung wajah Naqib dengan penuh kasih sayang.

Saya teringat berbagai cerita yang sungguh pilu, sedih dan belas dalam beberapa hari ini. Cerita pelajar yang mencampakkan anak yang baru lahir dari bangunan tinggi dan cerita seorang anak kecil di Negara China  yang dilanggar kenderaan yang dibiarkan begitu saja tanpa diberi pertolongan segera oleh mereka yang berdekatan yang melihat dihadapan mata. Sungguh sedihnya peristiwa-peristiwa ini.

Bahawa sesungguhnya amat kejam pelaku-pelaku yang terlibat itu, termasuk  mereka yang melihat tanpa memberi pertolongan dalam kes di Negara China itu.


Saya amat geram dan marah sekali. Saya tidak dapat memilih dan mencari  perkataan yang sesuai yang sepadan dengan perbuatan mereka yang kejam itu. Perkataan 'zalim' bagi saya masih lembut lagi tidak setimpal dengan perbuatan yang dilakukan. Masih belum sampai ketahap perbuatan yang telah dilakukan. Binatangpun tidak akan melakukan perbuatan seperti itu. Manusia ada otak penuh tahi dan berak.

Bukan dua cerita itu saja. Bukan saja berlaku di Malaysia dan di China. Berlaku di mana-mana didunia ini.

Apa sudah jadi dunia ini? Banyak diantara kita akan dengan cepat marah-marah mengeluarkan pertanyaan seperti itu.

Mengapa pula kita salahkan kepada dunia. Mengapa kita tidak cepat melihat pada diri kita sendiri sebagai manusia. Bukankah kita terlalu  berbangga  kerana kita bukan binatang.  Sebab kita ada otak yang dapat berfikir lebih baik mengatasi binatang. Binatang tidak tahu mencampakkan anak.


Sebab itu kita mudah campak anak yang tidak berdosa dari bangunan tinggi. Tak sempat  menggelupur terus mati. Pergi mampus dia kerana dia boleh memberi malu. Sebab kita tahu malu. Kita mahu menjaga maruah diri.


Itu adalah alasan pelaku. Sudah tentu kita mencemek dan marah. 
Tapi mengapa perlu mencemek dan marah kerana kita pun buat begitu. Cuma kita tidak campak anak.

Jadi apa yang kita telah buat? Apa yang saya telah lakukan sehingga saya juga hendak disamakan dengan perlakuan campak anak itu? Apa yang ahli keluarga saya buat? Apa masyarakat saya telah lakukan? Apa pemimpin telah lakukan?

Terang-terang berbohong, buat fitnah, aniaya orang, menzalimi orang tidak berdosa, membenarkan perlakuan-perlakuan lucah ditonton dan disebar bertopeng demi bangsa, negara dan agama, putar belit, tidak amanah, menyamun dan merompak harta negara dengan berbagai cara, menyebelahi dan membela yang mungkar dan mendera dan menghina yang benar.

Banyak lagi yang tidak dapat disenaraikan yang telah kita lakukan.  Kalau pun ada yang tidak pernah kita lakukan, rasanya tidak begitu, kita gagal untuk berani menegur dan mencegah perbuatan-perbuatan yang terang-terang dilakukan dihadapan mata kita. Bahkan yang melakukan itu begitu angkuh dan sombong dipertahankan sebagai orang yang benar. Itu bukan bersubahat.   


Jadi bagaimana pelajar perempuan itu tidak jadi keliru. Yang jahat, yang hina , yang busuk, yang keji, yang fitnah, yang bohong, yang rosak dan segala yang tidak bermoral dan berdosa mengikut hukum agama dengan terang-terang dipertahan dan dikatakan benar dan perbuatan yang bermaruah. Jadi tidak hairanlah jika mencampakkan anak itu mudah dan bersahaja dilakukan kerana ianya demi menjaga maruah diri.

Ada yang masih tidak percaya?  Ok. Saya cuba imbau cerita lama cerita fasal derhaka kepada raja. Sekarang ini Prof. Aziz Bari dikatakan 'kurang ajar' kepada raja kerana sedikit kenyataan yang telah dibuat. Dan ada pihak yang pernah memburuk-burukkan peribadi raja dulu pada masa ini lain cakapnya. Bukankah itu pembohongan yang terang-terang diwaktu siang benderang?

Saya marah dan tangan saya terkena stroller si Naqib yang sedang tidur. Beliau terganggu lalu membuka matanya. Dalam marah-marah itu air mata gugur juga menitis mengenai muka Naqib mengenangkan dua cerita yang terlalu malang itu. 

Saya harap Naqib akan menjadi anak yang soleh, dan lebih berani dari saya dalam menegakkan yang hak dan benar. Saya menolak Naqib menuju ke kaki lima rumah untuk berihat semula didalam rumah. 
 





Ahad, 23 Oktober 2011

NDT: Orang Luar dan Orang Kita

Sebuah imiginasi atau satu realiti?

Makan tengah hari disebuah restoran Arab. Anak menantu yang belanja. Duduk dimeja yang ada empat kerusi berhampiran dengan kipas dinding untuk mendapat kedinginan walaupun restoran itu berhawa dingin. Tapi kedinginannya tidak mencukupi. Mungkin kuasa menyejukkannya kecil. Tambah-tambah lagi pelanggan ramai terdiri dari berbagai bangsa. Orang Arab paling ketara.

Sekumpulan anak-anak muda dalam jangkaan umur 24 keatas, paling tinggi 25 tahun masuk ke restoran. Kesemua mereka 6 orang. Empat orang dari mereka menuju ke satu meja empat kerusi berhampiran dengan kami disebelah kiri,  dan 2 orang lagi disebuah meja yang mempunyai empat kerusi juga disebelah kanan kami.

Nampaknya mereka ini (6 orang anak-anak muda itu ) baru saja lepas menghadiri satu temuduga untuk mendapat kerja. Mereka masing-masing mengharapkan berjaya dalam temu duga itu. Secara keseluruhannya mereka terlalu ceria dan banyak ketawa. 

Seronok sungguh jadi anak muda. Kerja belum tentu dapat tapi ketawa dan suka tetap sama, happy dan selamba saja.

Makanan yang dipesan masih belum sampai. saya mendekati anak-anak muda 4 orang itu. Dari sleng percakapannya saya dapat meneka asal negeri mereka. Bukan orang tempatan.

Mereka datang untuk temuduga yang dipanggil sebagai 'mock-up test' bagi kerja yang memerlukan sijil professional yang dipanggil NDT. Saya buat muka tidak malu bertanya apa itu ndt? Salah seorang mereka memberitahu ndt itu ialah 'non destructive testing'. Saya anggokkan kepala seolah-olah faham. Sebenarnya tak faham. Malu juga nak tanya lebih lanjut.


Untuk lebih pasti asal anak muda itu saya bertanya mereka datang dari mana. Tiga darinya dari Kelantan dan seorang dari Besut Terengganu. Walaupun dari dua negeri yang berbeza, kelihatan mereka bersembang dalam satu sleng saja, mesra nampak gayanya.


Dua anak muda dimeja yang lagi satu disebelah kanan meja saya juga terlibat dalam temuduga yang sama. Maknanya enam oranglah yang datang temuduga. 

"Berapa orang nak pakai?" 

Saya diberitahu 6 orang saja. Sambil menepuk bahu salah seorang dari anak muda itu saya mengatakan peluang amat baik kerana jumlah pemohon dengan jumlah jumlah yang diperlukan sama bilangannya.

"Yang datang lebih dari tu pokcik", jelas seorang dari anak muda itu menggunakan sleng asal negerinya.

"Bukan kami empat orang saja. 'Orang luar' , ramai juga. Yang dua orang tu".Tambahnya lagi dengan sleng yang sama.

Saya menuju semula kemeja apabila pesanan telah tersedia. Saya memanjangkan maklumat yang diperolehi kepada isteri, anak dan menantu. Saya menyatakan bahawa tidak patut syarikat Malaysia mengambil pekerja luar dari negara asing selagi anak tempatan (anak Malaysia) masih ada. Saya juga tidak bersetuju mengapa syarikat memanggil orang luar untuk datang temuduga kerja.

Isteri saya bertanya orang luar itu dari mana. Saya tidak dapat menjawab kerana tidak sempat bertanya dalam perbualan sebentar tadi. Tapi saya menunjukkan kepada 2 orang anak muda yang disebelah kanan meja kami.

"Saya nampak muka Melayu je", kata isteri saya. "Mungkin Indon", kata saya.

"Mana papa tahu mereka tu orang luar?" Tanya menantu saya.

"Budak-budak tu beri tahu. Dia orang tu tiga Kelantan , satu Terengganu, Besut". 

Habis saja kata-kata saya itu, isteri, anak dan menantu ketawa serentak seolah-olah saya membuat satu cerita yang sungguh melawakkan  melebihi cerita Raja Segala Lawak. Anak-anak muda di kedua-dua meja pun memandang ke arah meja kami. Saya pun tersenyum kecil dan hairan mahu tahu. Tapi geli hati mereka berterusan.

"Orang luar tu istilah yang digunakan oleh orang Kelantan kepada orang luar Kelantan", jelas menantu saya yang pernah berkawan dengan budak-budak Kelantan semasa bersekolah di STAR dulu. Anak perempuan saya sama juga semasa bersekolah di STF dulu. Isteri saya orang Pahang yang memang sudah biasa dengan kata-kata 'orang luar' itu.

Namun saya masih mahu mempertahankan bahawa apa yang dimaksudkan 'orang luar' oleh anak-anak muda itu sebenarnya orang luar -bukan warga negara.

"Kita sekarang bukan di Kelantan. Takkan budak dua orang itu dikatakan  sebagai orang luar. Dia orang tu mesti orang Indon" kata saya yang diikuti dengan ketawa isteri, anak dan menantu tetapi tidak sekuat seperti yang pertama.

Sementara itu masuk lagi dua orang anak muda yang sebaya. Salah seorang dari empat anak muda itu bangun sambil menggamit anak muda yang sedang berjalan msuk itu sambil menyatakan sesuatu, "Orang kita". Kawan-kawan yang lain menganggok kepala dan dua orang darinya mengambil sebuah kerusi setiap seorang untuk diberikan kepada dua anak muda  yang baru masuk itu untuk duduk semeja.

Entah mengapa semua ahli keluarga memandang kepada saya.  Entah macam mana otak saya bertanya mengeluarkan soalan 'mengapa anak-anak muda empat orang tadi tidak mengajak sama dua orang kawan yang sama masuk tadi'. Saya masih mengatakan dua orang itu ialah orang Indon.

Semasa melintasi meja dua anak muda tadi saya memberi salam sambil menghulur tangan bersalam. Gaya bersalam sama macam orang Melayu. 


"Bapak dari mana?" Saya bertanya, masih yakin mereka orang Indon. Mesti dipanggil bapak tanda hormat. Umur bukan ukuran.


"Saya Ali dan kawan saya Ahmad. Kami dari Pasir Gudang Johor". Bukan main malunya saya. Ahli keluarga saya yang lain ketawa seperti ketawa yang pertama tadi. Anak-anak muda dua orang itu ketawa kecil agak kebingungan nampaknya.


"Maaf pakcik nak?" Kami terus bergerak keluar dari restoran


Tapi otak saya masih bermain dengan perkataan 'orang luar' dan 'orang kita'. Mengapa jadi begitu?


Akhirnya saya memberi jawapan sendiri, "Untuk temuduga NDT mesti ada orang luar dan orang kita". Siapakah yang berjaya dapat kerja. Kalau begitu tak perlu sijillah. Tak professional nampak gayanya.

 

Sabtu, 22 Oktober 2011

Ben Ali-Husni Mubarak-Muammar Ghadaffi dan Selepas Ini Siapa Lagi : Kita Sendiri Bagaimana?

1. Bermula dengan Ben Ali yang sempat lari dan tidak berani kembali lagi- Tunisia berwajah baru; diikuti pula Husni Mubarrak yang terpaksa hilang kuasa dan sekarang sedang dibicara- semua ini rakyat punya kerja berhimpun di Dataran Tahrir- Mesir juga membuka lembaran baru ; melarat merentasi Tunisia, Muaamar Ghadaffi  pemimpin Libya 42 tahun berkuasa, pada 20 November 2011 gugur telah mati- Libya memulakan satu pentadbiran cara baru.

2. Semuanya itu berlaku, sudah tentu dengan izin Allah. Tapi jangan salahkan Allah menyebabkan Ben Ali lari, Husni Mubarrak tunduk dan serah kuasa dan Muaamar Ghadaffi gugur mati dibunuh. Ben Ali dan Husni Mubarrak yang masih hidup jangan sekali-kali salahkan Allah, yang penting anda bertaubat. Muaamar Ghadaffi telah mati, sesungguhnya benar bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali, dan neraca Allah tidak berat sebelah.

3. Salahnya diri sendiri. Allah mengizinkan ini berlaku kerana kezaliman yang dilakukan semasa berkuasa. Terlalu lama berkuasa dan mahu kekalkan kuasa dengan apa saja cara. Menyeksa, mendera, memenjara, membunuh, menipu, rasuah dan banyak lagi kerja-kerja zalim dan keji adalah halal untuk dilakukan. Mempertahankan  negara dari ancaman luar menjadi topeng untuk mengajak rakyat percaya dan berjuang sama. Ajaran agama bukan untuk diamalkan, ianya retorik paling ampuh untuk menguasai emosi rakyat untuk mengekalkan kuasa.

4. Tetapi kerana terlalu lama berkuasa dan telah berada ditahap ketagihan yang melampau mereka lupa perbuatan-perbuatan keji itu terlalu dimurkai Allah. Mereka lupa bahawa kesabaran rakyat ada hadnya. Dan mereka juga lupa Allah bersama dengan orang-orang yang dizalimi.

5. Itulah sebenarnya maksud izin Allah. Allah mengizinkan supaya mereka yang zalim ini diganti.  Berbagai bentuk gantian telah berlaku iaitu ada yang terpaksa lari meninggalkan negara dan harta benda; ada yang menyerah kuasa dan dibicara dan ada yang mati dibunuh rakyat sendiri. 

6. Siapa lagi selepas ini. Apa yang berlaku di Syria dan Yaman dan yang lain-lain. Mungkinkah kita akan dapat berita yang sama seperti Tunisia, Mesir dan Libya. Saya mempunyai kecenderungan untuk mempercayainya. Tapi walau apa pun saya mendoakan supaya tidak banyak mereka yang tidak bersalah terkorban.

7. Kita sendiri bagaimana?

8. Kejatuhan kesemua mereka itu adalah atas kehendak rakyat. Rakyat yang telah lama terseksa, menderita dan menjadi terlalu hina dibawah satu pemerintahan yang terlalu zalim penuh pura-pura.

9. Sekiranya dinegara kita ada petanda-petanda itu adalah amat dikhuatiri sekali ianya boleh berjangkit.

10. Kita boleh kenalpasti petanda-petanda itu dengan soalan-soalan berikut:
i) boleh kah kita buktikan pemerintah yang ada telah lama berkuasa?
ii) bagaimana kuasa yang telah diamanahkan itu digunakan sehingga tidak ada ruang untuk mengatakan adanya salah guna kuasa?
iii) bagaimana pula urustadbir negara yang melibatkan penggunaan harta dan kekayaan?
iv) adakah dapat ditunjukkan bahawa hak bersuara sudah semakin menyempit jika bersuara itu boleh menyentuh dan menjejaskan kuasa pemerintah?
v) bolehkah ditunjukkan berlaku pemusatan segala kuasa kepada pemerintah walaupun kita mempunyai institusi yang berbeza bagi sesuatu kuasa?    
vi) bagaimana pula reaksi rakyat?
vii) Banyak lagi soalan untuk mencari petanda-petanda seperti di para 8.

11. Saya hanya mahu memberi pandangan secara ringkas soalan vi).

12. Ada berbagai reaksi rakyat yang dapat kita lihat. Dan kita mesti mempunyai banyak saluran maklumat untuk menilai reaksi rakyat itu. 

13. Saluran tv awam dibawah kawalan kerajaan persekutuan, reaksi rakyat nampaknya berpuas hati, semuanya baik-baik belaka. Jadi kita tidak perlu mencari petanda-petanda di para lapan itu.

14. Saluran yang lain yang tidak mesra pemerintah terutama dialam siber memberi gambaran yang berlainan. Banyak yang tidak kena. Dengan itu terlalu mudah bagi kita mencari petanda-petanda dipara 8 itu: Rakyat mahukan perubahan kerana telah lama menderita, tersiksa dan dizalimi oleh kerajaan yang berpura-pura.

15. Yang mana satu benar dan yang mana satu pembohongan, kita semua wajib menilai dengan penuh saksama. Ingat, dapatkan sumber maklumat yang berbagai. 

16. Soalan terakhir: Bagaimana pula anda menilai kes Prof. Aziz Bari. Adakah itu petanda menyempitkan rakyat untuk bersuara seperti soalan vi) diatas.

17. Saya berharap negara kita tidak akan menjadi seperti Tunisia, Mesir dan Libya. Kalau perlu berubah biarlah secara aman.



Jumaat, 21 Oktober 2011

Salam Jumaat 31 Polisi Modal Insan Negara :Untuk Satu Warisan Anak Yang Sihat dan Selamat


Beginilah Pelukan Seorang Anak Menagih Kasih Sayang. 

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat. Apa khabar semua? Harap semuanya dikurniakan Allah kesihatan tubuh badan dan akal fikiran bagi meneruskan kehidupan.


Saya percaya semua kita , tidak kiralah tua atau muda, lelaki atau perempuan sentiasa mahukan sihat. Sihat dari segi fizikal, luar dan dalam; dan sihat dari segi mental yang dapat memandu kita berfikir dengan baik, rasional dan tenang. 

Pada kali ini   saya hendak berbicara hal yang ada kaitan dengan kesihatan. Membina insan yang sihat dalam kedua-dua aspek yang dinyatakan diatas.

Bukankah insan yang sihat itu satu aset negara yang utama dan pertama penting kearah pembinaan sebuah negara yang maju dan berjaya? Aset yang dikenal sebagai modal insan.

Bagaimana pula negara atau Kerajaan menterjemahkan keutamaan dan kepentingan insan itu sebagai modal bagi membangun dan memajukan negara.

Isu ini adalah amat luas sekali cakupannya. Satu dua paparan tidak ada makna dalam membincangkan isu yang amat penting ini.

Oleh itu saya hanya mahu membangkitkan satu isu yang kerap juga dibincangkan terutama dikalangan pasangan suami isteri yang bekerja khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur Pulau Pinang, Johor Baru dan Ipoh, dan bandar-bandar yang lain.

Isu menyerahkan penjagaan anak/anak-anak kecil semasa ibu bapa bekerja.

Siapa atau pihak mana yang boleh diharapkan untuk mengambil tanggongjawab ibubapa untuk mengurus dan menjaga anak-anak yang masih kecil sewaktu ibubapa keluar bekerja.


Memang pada ketika ini pilihan yang terbuka kepada ibubapa yang bekerja adalah dengan menghantar ke rumah asuhan/jagaan kanak-kanak (nursery), taman didikan kanak-kanak, rumah orang perseorangan, dan mengambil pembantu rumah. 

Dan jika itu bukan salah satu pilihan kerana atas sesuatu sebab tertentu misalnya kos yang mahal, tidak yakin keselamatan anak-anak dan kebersihan tempat jagaan dan sebagainya maka pilihan beralihlah kepada ibubapa atau saudara mara di kampong. Pilihan ini ada kos yang perlu dibayar. Anak-anak tadi terpaksa berpisah dengan kedua ibubapa mereka dan ibu bapa terpaksa setiap hujung minggu balik ke kampong menjenguk anak yang ditinggalkannya itu. 

Bagaimana jika kampong itu terlalu jauh? Kalau tiap-tiap cuti hujung minggu berulang-alik sudah tentu meningkatkan kos sara hidup. Dan kalau tidak selalu balik bagaimana hubungan dari segi emosi diantara anak dengan ibubapanya. Pada pendapat saya ia akan memberi kesan yang negatif.

Kos yang mahal dan anak-anak yang tidak selamat dan tempat jagaan yang kurang bersih adalah satu fakta yang benar. Cerita-cerita mengenai anak yang dilarikan oleh penjaga, keracunan makanan dan kemalangan ditempat penjagaan memang selalu kita dengar. Tapi apa pilihan yang ada kepada ibu bapa yang mahu meneruskan kerjaya mereka. Lelapkan saja mata tentang kos yang tinggi, tidak selamat dan tempat yang tidak bersih.   

Atau pasangan suami isteri itu membuat pilihan yang melibatkan pengorbanan kerjaya salah seorang dari mereka. Berhenti kerja. Biasanya ibulah yang berkorban.  Atau setelah berunding dan bermuafakat, suami pula berkorban  kerana pendapatan dan kerjaya isteri lebih baik dari segi upah dan masa depan demi anak-anak.

Tapi adakah itu penyelesaian yang terbaik jika sebenarnya kita mengatakan insan itu atau dalam hal ini, anak-anak itu  adalah modal atau aset negara yang terpenting. Saya bukan hanya bercakap fasal pengorbanan salah seorang pasangan suami isteri itu bahkan yang paling utama tentang anak-anak kecil itu. Anak-anak yang bakal mewarisi negara ini, menerajui negara yang tercinta ini. Dan sudah tentu kita mahu meninggalkan warisan yang baik-baik, sihat walafiat tubuh badan dan akal fikiran melalui cara pembesaran dalam persekitaran yang terbaik untuk pertumbuhan fizikal, mental dan emosional.

Persekitaran yang terbaik bermaksud tempat penjagaan/asuhan yang mampu dibayar oleh kedua ibubapa. Mereka berdua bekerja adalah kerana jika hanya seorang bekerja boleh mengundang kesulitan untuk menyara kos hidup. Tambah-tambah lagi kos sara hidup yang sentiasa meningkat.

Tempat atau penjagaan yang terbaik juga bermaksud ianya selamat. Selamat dari harta dan wang yang selalu kedengaran dicuri oleh pembantu rumah. Selamat dari anak dilarikan orang/pembantu rumah. Selamat dari kecederaan disebabkan kecuaian/kelalaian penjaga. Selamat dari diberi ubat tidur kepada anak-anak yang tidak mudah tidur.

Ia juga bermakna tempat yang kebersihannya terjamin dari segi jangkitan penyakit, keracunan makanan dan jenis makanan yang disediakan.

Memang pada ketika ini ada juga organisasi, baik kerajaan mahupun swasta yang prihatian dengan menyediakan ruang bagi tujuan penjagaan kanak-kanak ini dibawah pengurusan organisasi itu sendiri. Cara begini sangat membantu ibubapa yang bekerja itu. Tidak perlu risau dan dapatlah mereka bekerja dengan tenang. Tidak menjejaskan produktiviti.

Tetapi bilangan organisasi yang berbuat demikian tidak banyak. Tidak kesemua organisasi Kerjaan berbuat demikian. Di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putra Jaya misalnya tidak semua organisasi atau Kementerian/Jabatan yang menyediakan ruang untuk dijadikan tempat/pusat untuk menguruskan anak-anak ini.


Mengapa jadi begini sedangkan kita telah mengakui bahawa insan/manusia adalah satu aset yang paling penting yang mesti diuruskan dengan secara terbaik. Kerajaan selalu cakap fasal modal insan , betapa pentingnya modal insan ini kepada pembangunan dan kemajuan negara. Tapi kalau insan itu tidak diuruskan dengan secara sempurna dan terbaik bagaimana aset yang paling penting boleh menyumbang kearah matlamat itu.

Maka negara perlu ada satu polisi tentang modal insan ini. Ketika ini apa yang saya faham negara mempunyai beberapa program berkaitan pembangunan modal insan. Itu saja. Tiada polisi.

Bagi saya polisi adalah penting. Polisi akan membawa kita ke satu tuju arah yang jelas. Polisi akan memudahkan kita merangka dan merencanakan program ,aktiviti dan gerak kerja dalam rangka polisi yang terlah diteapkan. Maka program dan yang lainnya tidak mudah tergelincir. Jadi antara yang perlu dimasukkan dalam Polisi Modal Insan itu pada pandangan saya ialah tentang penjagaan anak-anak bagi ibubapa yang bekerja. Maknanya adalah menjadi satu tanggongjawab moral dan undang-undang bagi setiap organisasi, kerajaan dan  swasta  menyediakan ruang untuk tujuan penjagaan anak-anak kecil itu. Pengurusan dan perbelanjaan perlu ditanggong oleh organisasi itu sendiri dengan sedikit sumbangan secara token dari ibubapa.    

Maka jika ini dilakukan maka saya akan dapat membayangkan anak-anak kita nanti akan membesar sihat dan selamat tubuh badan dan akal fikiran. 

Khamis, 20 Oktober 2011

Politik Longkang-Gutter Politics: Demi Berebut-rebut Kuasa

Politik Longkang-Gutter Politic sudah menjadi sebutan yang paling lumrah ketika ini. Penyebutnya ramai dan pendengar dan peminat pun ramai. Pelakunya? Ramaaaaaaai. Cuma saya tidak ada statistik dari segi bilangannya untuk menyokong secara kukuh pernyataan-pernyataan diatas. Dan saya bersetuju untuk orang /pihak lain untuk berbeza pandangan. Apa kata orang putih, 'agree to disagree?'.

Politik Longkang adalah satu senjata. Senjata Politik.

Bagi saya yang sedikit sebanyak mengikuti perkembangan politik, khususnya perkembangan politik tanah air terlalu yakin bahawa Politik Longkang ini adalah merupakan satu kecenderungan yang mula meningkat naik grafnya dari segi populariti applikasinya ketika ini. Memang , politik longkang ini telah wujud sejak semula lagi, sejak manusia menggunakan cara politik untuk mendapat kuasa. Hanya longkang ketika dulu masih ada sedikit-sedikit kejernihannya. Kotor, tetap kotor juga.

Berundur ketahun-tahun hujung tujuh puluhan, dan sehingga pada masa ini, Politik Longkang adalah senjata politik yang ampuh untuk berebutan kuasa. 

Saya memilih rangkaikata 'berebutan kuasa' dan 'tidak merebut kuasa' atau 'medapat kuasa' semata-mata mahu menunjukkan  'keghairahan yang melampau' untuk berkuasa dikalangan ramai orang. Maka berebut-rebutlah dikalangan mereka sama ada mereka  dari satu kumpulan yang sama apatah lagi dari kumpulan yang bertentangan. 

Perbuatan berebut-rebut ini adalah perbuatan anak-anak kecil yang belum matang, yang banyak didorong oleh emosi berbanding akal fikiran yang rasional, yang selalunya mencetuskan pergaduhan. Misalnya berebut gula-gula yang dicampakkan.  Itulah penjelasan ringkas dan mudah maksud 'berebut-rebut' itu. 

Anak-anak itu berebut-rebut untuk mendapat seulas gula-gula. Bandingkan orang politik yang berebut-rebut untuk berkuasa. Bagaimana agaknya suasana ? Bagaimana pula lonjakan nafsu emosi? 

Sudah tentu suasananya 'havoc' sekali. Mereka akan menjadi terlalu ghairah yang melampau, dan ada yang diluar kawalan.

Senjata yang paling berkesan yang boleh membuatkan lawan menjadi mati terbujur kaku ialah telanjang bogel segala-galanya. Segala-galanya yang hakikat dan yang imaginasi. Yang imaginasi menjangkau apa saja tanpa sempadan asalkan hasilnya boleh membujurkan lawan, sanggup mengembara  sejauh emosi dan nafsu menguasai diri semata-mata demi kuasa. 

Apatah lagi jika masih berkuasa, lama pula. Kuasa mesti dikekalkan dengan apa cara. Bagi yang belum berkuasa, mesti berebut-rebut kuasa dengan yang berkuasa.

Etika, moral, peradaban, berperikemanusiaan dan belas ikhsan, dosa-pahala, syorga-neraka, padang mahsyar- dihari pengadilan terakhir, mesti tolak jauh-jauh, mesti diketepikan.  

Sikap itu, lebih tepat lagi pegangan kepercayaan itu, bukan hanya monopoli mereka yang ada kuasa saja, sama ada yang terlalu lama berkuasa dan masih mengekalkan kuasa mahu pun yang baru saja mendapat kuasa. Ianya juga tidak  terkecuali menjadi pegangan mereka yang mahu sama-sama terlibat dalam berebur-rebut kuasa.

Sebab itulah sebut apa saja , Politik Longkang ini akan menerima segala-galanya sebagai cara asalkan lawan mati kaku terbujur dibuatnya. Ya, demi berebut-rebut kuasa.

Salah guna kuasa, rasuah, fitnah, wang dan harta, adu domba laga melaga dan macam-macam lagi yang jahat, keji, hina, zalim dan aniaya, hasad dengki, pembohongan, belot, bermuka-muka, ugut mengugut, mengancam nyawa dan harta benda, dendam dan membalas dendam, dan banyak lagi yang kotor, busuk, tengit, hapak, hanyir, meloyakan, yang pekong bernanah, dan banyak lagi akan masuk dalam bakul politik sebagai modal untuk dilaburkan dalam pasaran politik (political market place). 
 
Pasaran Politik yang paling kritikal sekali mengambil tempat ialah   disuatu gelanggang yang bernama pemilihan sama ada pemilihan dalam organisasi politik sendiri mahu pun  pemilihan dalam gelanggang pilihanraya terutama Pilihanraya Umum menentang lawan anda untuk berebut-rebut kuasa. Kuasa dalam organisasi dan kuasa meneraju negara. Maka Politik Longkang ini adalah senjata pemboleh ( enabling weapon) yang ampuh bagi semua pihak, yang berkuasa mahu mengekalkan kuasa , dan yang mahukan kuasa, berebut-rebutan dalam gelanggang politik itu. 

Modal politik yang  menggunakan bahan-bahan dan motif diatas akan digunakan ditahap kecekapan dan keberkesanan yang paling tinggi. Aplikasi teknologi terkini yang canggih , penguasaan berbagai  institusi kritikal, penguasaan sumber dan kekayaan, penguasaan sebaran bahan dan maklumat adalah faktor-faktor  penentu kecekapan dan keberkesanan politik longkang ini.

Dengan demikian jika anda berminat berebut-rebut kuasa gunakan cara politik longkang. Hanya saya perlu ingatkan anda bahawa semua orang yang masuk politik sekarang ini terlalu berminat untuk menggunakan politik longkang. Dan jika anda tidak menguasai hal-hal yang dinyatakan diatas risiko anda untuk ditelanjangkan sudah tentu ada. Cuma kecil atau  besar risiko itu adalah bergantung kepada kekuatan anda untuk menang dalam gelanggang politik itu.

Maka anda kena bersedia untuk sama-sama menonton tv atau video dimana-mana saja saluran, saluran untuk awam yang percuma mahu pun saluran 'You Tube' dialam siber yang menunjukkan kehebatan anda menjadi pelakun melakukan babak lucah. Saya faham anda akan mengatakan tidak takut kerana ianya tidak benar kerana anda berpegang kepada prinsip 'berani kerana benar'. Tapi anda terlupa atau buat-buat lupa bahawa teknologi yang canggih pada masa ini boleh melakukannya bagi tujuan politik longkang. Pelaku yang anda nafikan itu sebenarnya dari segi teknologi akan membenarkan bahawa itulah anda. Ramai yang percaya dan menghebahhebuhkan supaya anda mati terbujur kaku.

Tidak ada kejernihan dalam Politik Longkang. Semuanya pekat hitam, berkarat hanyir busuk dan meloyakan: Demi Berebut-rebut Kuasa. 

Hantu : Cerita Dari Deria Telinga dan Hidung

Cerita hantu terlalu banyak. Manusia percaya wujudnya hantu pun banyak. Bahkan hantu dan percaya kewujudan hantu itu terdapat dalam semua budaya dan bangsa, cuma namanya saja berbeza. Hantu adalah bersifat universal bagi semua budaya dan bangsa-Hantu itu jahat, hantu itu hodoh, hantu itu menyeram dan menakutkan. 

Hantu itu ada tapi tidak nampak dimata. Ada juga manusia mendakwa pernah lihat hantu. Banyak orang tidak akan percaya ada manusia yang telah melihat hantu. Kalau tanya saya, jawabnya saya percaya ada orang yang pernah lihat hantu. Bukan saya yang melihatnya tapi orang lain yang saya tidak ada sedikit keraguan. Buktinya? Saya tiada bukti dan orang itu pun tidak mampu menunjukkan bukti. 


Saya percaya adanya hantu melalui deria telinga dan hidung. Bukan mata. Saya ada banyak cerita mengenainya. Pengalaman sendiri. Bukan cerita atas cerita.


Tahun 1960 ketika berusia 11 tahun, bapa saya seorang Polis Khas atau Special Constable bekerja di sebuah balai polis di Kg. Lalang , Grik Perak. Kami sekeluarga dan anggota polis yang lain tinggal diberek (rumah) polis. Rumah yang hanya mempunyai satu ruang tidur untuk semua ahli keluarga itu menyediakan juga sebuah dapur. 

Kami ada lima adik beradik.


Bapa bertugas dibalai yang terletak diatas bukit yang jaraknya lebih 100 meter dati rumah. Bertugas mengikut shif.


Saya memang susah untuk tidur sehinggalah pada masa ini.  Jika saya tidak dapat tidur lebih kurang jam 12 malam keatas terdengarlah bunyi orang memasak. Terdengar bunyi lesong batu seperti orang menumbuk cili untuk dibuat sambal belacan, menggoreng ikan dan memotong sesuatu. Bunyi lagaan pinggan dan curahan air seperti orang mencuci, dan siraman air ke longkang. Tapi tidak pula terdengar bunyi orang bercakap. Ianya berterusan agak lama. Tidak pasti berapa lama kerana saya tertidur dalam ketakutan.


Hanya semasa bapa bekerja shif malam saja hantu-hantu itu buat kerja masak memasak.

Disebelah paginya saya dengan segera pergi ke dapur. Tiada apa-apa kesan yang boleh dilihat. Semua barang-barang dan perkakas memasak seperti kuali, periuk nasi dan lesung batu terletak ditempat biasa. Apa yang telinga saya dengar ini saya tidak menceritakan kepada sesiapa. Saya khuatir kalau dicerita ada yang lemah semangat apabila bapa bekerja shif disebelah malam.


Cerita kedua ialah sewaktu ditingkatan empat disebuah sekolah asrama penuh di Kuala Lumpur . Saya duduk ditingkat 4 dalam sebuah dom yang menampung 20 pelajar. Katil saya dibahagian tengah dalam barisan 5 katil. 

Selepas kembali dari kelas persediaan malam (prep class) kami diminta menutup lampu paling lewat jam 11 malam. Pada suatu malam saya tidak dapat tidur dengan segera. Berpusing kiri dan kanan namun mata tiada mahu lena. Kawan-kawan sebelah menyebelah  dan yang sebaris katil kedengaran sedang berdengkur.
Waktu itulah saya terdengar bunyi tapak kaki orang berlari divarandah ulang alik. Diselang seli dengan berjalan, berlari dan berhenti dengan tiba-tiba, membuatkan sepert bunyi geseran tapak kasut dengan simen. Ianya berlaku berulang kali. Saya tidak berani menggerakkan badan. Kaku sekakunya.


Disebelah pagi menuju kebilik air untuk mandi, tiada apa kesan yang dijumpa. Saya percaya bunyi yang saya dengar itu bukan bunyi tapak kaki anjing kerana tidak mungkin anjing boleh naik ke tingkat emapat. Lagi pun memang tidak ada anjing yang berkeliaran di sekolah kami.

Kuarters kerajaan terutamanya yang lama-lama yang dibina sebelum merdeka adalah juga tempat kediaman hantu. Saya juga pernah menduduki rumah yang disediakan kerajaan itu disebuah kawasan yang menempatkan pegawai-pegawai kerajaan Negeri Melaka iaitu di Bukit Peringgit.

Lampu di rumah yang saya duduki itu ada kalanya boleh terpasang sendiri. Lampu yang pada mulanya tidak menyala akan menyala. Dan kalau seorang saja tinggal di rumah itu, hantu akan datang mengganggu.

Satu hari kami sampai dirumah pada waktu Maghrib. Saya dapati ada lampu rumah yang telah terpasang. Hidung saya menghidu bau kemenyan dan kadang-kadang bau sampah yang dibakar. Kejadian kali pertama ini tidak menimbulkan syak bahawa hantu yang melakukannya. Mungkin saya atau yang lain-lain yang tinggal bersama terlupa untuk menutup suis lampu berkenaan. Tapi kejadian lampu terpasang ini beserta dengan bauan berlaku pada hari yang berlainan. Bukanlah tiap-tiap hari. Kerap juga.      

Ada masanya saya akan berkata terima kasih kerana lampu sedia terpasang sebaik saja memasuki rumah selepas balik dari berjalan. Biasanya berlaku waktyu senja. 

Suatu hari pula ada satu lampu tidak menyala walaupun suisnya telah dipetik beberapa kali. Mentol lampu itu rasanya tidak terbakar. Lampu-lampu lain tidak ada masalah. Maknanya arus letrik bukan puncanya. 

Saya mengesyakki ada kaitan dengan 'wiring' kerana maklumlah rumah lama. Saya minta kerjasama JKR memeriksa 'wiring' itu. Alangkah  malunya apabila suis itu dipetik oleh pekerja JKR, lampu itu menyala. Saya tersipu-sipu dan beria-ia cuba meyakinkan pekerja itu bahawa memang tadinya lampu itu tidak menyala.


Dan yang terakhir sekali cerita hantu dirumah itu, tapi bukan setakat yang ini saja bahkan  banyak lagi, ialah peristiwa hantu yang boleh dilihat. Bukan saya yang nampak tapi orang lain, nenek isteri saya yang tinggal bersama kami.


Suatu hari saya, isteri dan anak-anak keluar atas sesuatu hal dengan meninggalkan nenek itu bersama dengan anak kecil saya yang berumur tidak sampai setahun. Apabila kami kembali dan sampai dirumah nenek itu memarahi isteri saya kerana dah masuk waktu Maghrib baru balik rumah. Isteri saya diam saja kerana memahami nenek itu memang tidak suka keluar berjalan sehingga Maghrib baru balik.


Keesokan harinya nenek itu menceritakan bahawa sebelum kami sampai dia ternampak dua lembaga bentuknya seperti orang tercegat berdiri di hadapan bilik yang pintunya terbuka. Satu tinggi dan yang satu lagi rendah seperti anak dan bapa. Kedua-duanya agak gemuk dan kepala botak. Apabila ternampak saja lembaga itu, nenek itu mengambil selipar dan melontar kearah kedua-duanya. Kedua-duanya bergerak kearah dapur meninggalkan nenek yang ketakutan itu. Tidak pula nenek itu memberi tahu sama ada hantu itu berpakaian atau sebaliknya.


Inilah yang saya katakan hantu yang dilihat. Bukan saya yang nampak tapi nenek yang nampak. Saya tidak ragu akan ceritanya 
kerana saya mengenalinya. Dia tidak berbohong.

Bagi saya hantu itu wujud. Saya sendiri telah mendengar gerak gerinya dan menghidu bau-bauannya. Cuma tidak dapat membuktikannya. 

Dari cerita -cerita diatas saya dapati perkara-perkara berikut:
i) hantu mengganggu atau membuatkan kita sedar kehadirannya jika kita bersendirian.
ii) kehadirannya diwaktu-waktu senja dan larut malam.
iii) kalau kita dalam kumpulan yang ramai, hantu akan mengganggu apabila yang lain lelap tidur. Kita yang tidak dapat tidur akan diganggu.

Sebab itulah kalau kita bercerita pengalaman kita tentang hantu ini tidak mudah orang percaya melainkan sendiri mengalaminya. Saya telah mengalaminya melalui deria telinga dan deria bau. Tidak pernah melihatnya. Dan kalau mendengarkan cerita nenek itu saya tidak mahu melihatnya. Sebenarnya cerita nenek itu lebih panjang dari itu dan lebih menyeramkan.




 




Rabu, 19 Oktober 2011

Rutin Harian Bersama Cucu.

Hari Isnin hingga Jumaat- rutin pagi saya,  sebenarnya dari pagi sampailah menghampiri pukul 6 petang rutin saya adalah menguruskan cucu yang comel, seorang cucu lelaki baru memasuki 7 bulan. Ahmad Naqib nama yang diberikan oleh kedua ibubapanya. Mereka tinggal bersama kami semenjak dikurniakan cahaya mata. Seronok sekali dapat menjaga cucu yang comel itu.  Saya dan isteri telah mengasuhnya sejak lahir lagi.


Saya dan isteri tinggal berdua saja. Dua orang anak perempuan telah berumah tangga dan masing-masing mempunyai seorang anak. Kedua-dua cucu lelaki. 

Anak lelaki saya yang seorang saja itu baru saja bekerja diPasir Gudang  Johor Baru, tinggal disana. Anak perempuan bongsu masih lagi belajar ditahun 4 dan InshaAllah 2 tahun lagi akan tamat.

Dengan demikian kehadiran cucu yang kedua bersama kedua ibu bapanya amat menggembirakan hati kami berdua suami isteri. 

Tapi tinggal bersama kami adalah sementara saja. Mereka merancang untuk berpindah ke Kuala Lumpur atau Putra Jaya. Anak saya itu menunggu keputusan rayuan berpindah ke Kuala Lumpur atau Putra Jaya untuk bersama suaminya yang bekerja di Kuala Lumpur. 

Sudah hampir tiga tahun menantu saya berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur. Semoga rayuan pertukaran itu berjaya.

Kalau berjaya kami amat suka dan gembira sekali. Sudah tentu air mata akan meleleh dipipi kami menerima berita itu nanti. Saya pasti juraian air mata isteri saya yang paling banyak sekali. Lama nangisnya .

Mengapa kami akan menangis mendengar berita gembira itu nanti?  Jawabnya ialah sedih akan berpisah dengan cucu. Dalam masa sama bersyukur kerana mereka akan menjalani kehidupan sendiri. Banyak hal yang mereka perlu belajar untuk mematang dan memantapkan hidup berumah tangga.


Cucu pertama kami tinggal bersama ibubapanya di Ampang Avenue Kuala Lumpur.


Pukul enam pagi, mama Naqib akan masuk bilik saya, menyerahkan Naqib. Saya akan baringkan Naqib diatas katil. Saya pun baring sama sambil bergurau dengan menghagahnya. Apa lagi, dia ketawa. Lesong pipit dipipinya menambahkan lagi comel si Naqib ini. Saya teruskan hagahan. Dia terus ketawa. 

Saya bercakap dengan Naqib menggunakan perkataan pelat seolah-olah cucu saya itu hanya faham cara itu berbanding sebutan biasa. Saya rasa lebih manja kalau bercakap pelat dengan cucu yang baru masuk 7 bulan itu. Saya rasa tidak ada kesan buruk berbuat begitu. Malah saya seronok. Manja sekali.

Sebutan pelat itu tidak terhad dalam Bahasa Melayu saja. Bahasa Inggeris pun saya pelatkan.

"Naqib ni syader-syader lah", saya menghagah Naqib. Syader-syader ertinya mengada-ngada. Mengada-ngada menunjukkan kasih sayang. Biasanya Naqib akan melentokkan kepalanya ke bahu saya. Manja sangat.


"Naqib syanjer", saya memuji Naqib yang manja.
 
"Naqib enchem boy", pelat dalam Bahasa Inggeris. Naqib pun melentokkan kepala kebadan saya dan kadang-kadang tangannya mencapai cermin mata.

Sekarang Naqib telah mula diberikan makan yang agak solid juga sebagai tambahan susu ibu. Waktu makan biasanya pukul sembilan pagi. Yang menyediakan makanan ialah isteri saya. Bahan makanan terdiri dari keratan beberapa keping daging ayam/ikan, sayur bayam/brokoli dan beras yang dimasak bersama menjadi bubur. Kemudian dikisar.



Naqib hanya akan mahu makan jika ada sesuatu dipegangnya. Tidak semestinya mainan. Sudu pun boleh asalkan ada benda yang dipegang. Itupun belum cukup syarat untuk dia mahu makan. Jadi saya akan jadi pelakun dengan membuat berbagai gerakan. Biasanya membuat gerakan seperti orang bersilat atau melakukan senaman sambil mengeluarkan suara yang berbeza bunyi. Tapi tidaklah kuat sangat sebab Naqib tidak suka suara yang kuat dan bising.

Isteri saya yang menyuapkan makanan dengan cara memangkunya. Dari awal hingga habis makanan saya akan berlakun. Mudahlah isteri saya menyapkan makanan kerana Naqib sentiasa membuka mulut dan tidak pernah menolak melainkan kalau dah kenyang.


Naqib akan dimandikan selepas makan. Isteri yang memandikan dan saya seperti dibabak makan. hadir sama menghagah Naqib. Dia bukan main seronok dengan air. Tapi kadang-kadang menangis juga. 

Saya juga turut sama dalam sesi mengenakan pakaian. Yang paling Naqib tak suka ialah waktu perutnya disapu dengan minyak angin bagi mengelakkan sakit perut/kembung perut. Satu lagi yang dia tak suka ialah apabila disapu bedak dimuka. Biasanya dia cuba mengelak mukanya dan menangis.


Selepas siap disolekkan saya mengambil tugas menjaga Naqib kerana isteri ke dapor untuk memulakan sesi masak memasak menyediakan makanan tengah hari. Kerja saya menyuap susu menggunakan botol susu. Susu itu adalah susu ibu yang telah sedia ada dalam peti ais dan telah dihangatkan oleh isteri.

Tapi dua tiga hari yang lepas sehingga hari ini Naqib tidak mahu menyusu sebab selesema. Hidungnya tersumbat dan susah untuk bernafas jika menghisap susu. Kesian Naqib kearana tidak dapat minum susu.

Kami beli biskut, makanan untuk anak seusia Naqib dan merendamkan sekeping dua dengan menggunakan susu ibu itu. Apabila disuap, sudah tentu saya akan berlakun lagi. Selera Naqib teransang.  Saya dan isteri suka hati. Kalau tidak kami runsing sekali.

Naqib tidak tentu waktu beraknya. Kadang-kadang pagi, tengah hari, petang mahu pun malam. Kadang-kadang satu hari dua atau tiga kali. Ada juga dua hari tidak berak. Ini merisaukan kami.

Isteri yang mencuci berak. Saya yang menjirus air suam kepunggung dan tempat yang ada najis sambil tangan isteri membersihkannya. 


Tidak mudah untuk menidurkan Naqib. Jadi saya dan isteri akan bergilir-gilir cuba melenakannya dengan masing-masing menyanyikan lagu. Saya menyanyikan lagu, lirik rekaan sendiri. Biasanya isteri menyanyi lagu 'Ba ba Black Sheep atau Twinkle-twinkle Little Star'. Kalau tidak berjaya isteri tukar lagu rekaan sendiri. 


Isteri melakukan itu dengan cara duduk  diatas satu bola plastik yang besar sambil memegang Naqib dan melonjak-lonjakkan badan keatas kebawah. Saya pula dengan cara mendukung Naqib dengan berjalan pergi balik sambil menyanyi.


Kami tidak ada buaian.


Ada kah cara kami itu berjaya melenakan Naqib?


Berjaya. Tapi makan masa kadang-kadang ambil masa lebih dari setengah jam. Bila sudah lena maka akan dibaringkan diatas katil. Naqib tidak mahu tidur dalam katilnya sendiri.


Biasanya tidak sampai setengah jam, dan kadang-kadang 10 minit, Naqib akan terjaga. Telinganya terlalu sensitif dengan bunyi termasuklah bunyi suara cecak, binatang yang banyak juga dirumah kami.


Tapi kadang-kadang kami tidak berjaya juga melenakan Naqib. Dalam keadaan begini maka bergilir-gilirlah kami mendukung atau meletakkan Naqib diatas tilam yang penuh dengan mainan. Tapi alat mainan yang dibeli itu, dan ada yang mahal tidak menarik perhatian Naqib. Dia lebih suka bermain dengan botol air mineral yang kosong dan wayar charger talipon yang berwarna hitam.


Ertinya tidak perlu beli barang mainan untuk menarik perhatian anak-anak kecil seusia Naqib ini. Botol air mineral kosong lebih menarik perhatian.


Pukul enam petang giliran mama Naqib mengambil tugas setelah balik dari kerja. Beri nenen. Biasanya Naqib akan tidur. Mamanya pun tidur sama. Ayah Naqib biasanya akan sampai dirumah pada pukul lapan setengah malam. Maka bermula pukul enam petang dan lapan setengah malam ketiga-tiga beranak itu barulah dapat bersama.


Begitulah yang berlaku setiap hari melainkan hari cuti am dan hari Sabtu dan Ahad. Hari-hari ini menggembirakan Naqib kerana dapat bersama dengan mama dan ayahnya sepanjang hari. Akibatnya, kadang-kadang Naqib tidak kisahkan kami berdua. Tapi pada pagi Isnin mulalah dua tangan Naqib mengepak minta saya dan isteri mendukungnya.


Seronok sungguh melihatkan lagaklaku Naqib ini walaupun dalam beberapa minggu ini saya terpaksa mendukung Naqib dengan berjalan terdengkut-dengkut. Sakit sungguh serangan arthtritis ditumit dan tapak kaki kanan. Isteri saya pun sama, sakit lutut. 


Saya sempat bertanya anak saya, mama Naqib yang juga seorang doktor mengapa penyakit ini menyerang saya dan apakah ubatnya. Jawabnya : Itu sakit orang tua. Ubatnya pain killer.


Saya tidak mahu ambil pain killer. Saya pun tidak berhajat meminta anak saya mencari orang untuk menjaga Naqib. Selagi saya dan isteri mampu bergerak, Naqib kami punya, kami jaga dengan penuh kasih sayang.


Kami tidak percaya orang yang diupah itu mampu memberi kasih sayang. Itu tidak mengapa. Yang kami yakin sekali ialah orang itu tidak akan berjaya melenakan Naqib. Ooop tunggu dulu. Orang itu boleh melenakan Naqib dengan memberikan ubat tidur. 


Anda mahu begitu?


Saya dan isteri , kami berdua menjaga cucu seperti orang pergi bersantai, seronok. 

".....
Makanya
Suara dan tangisan adalah hiburan
Dodoian tokpa lirik spontan mengiring sama
'tidur sayang, jangan nangis, tengok wayang belum habis'
terlenalah cucu
.......
Cucu-cucu yang harum wangi
menjadi sasaran hidung nenek, tokpa pun sama
Tiada hanyir, tiada bau selain wangi
......."


Antara bait-bait sebuah puisi saya dalam paparan terdahulu.