Theflowersellingboy

Ahad, 29 Januari 2012

Saya Anak Seorang Doktor: Berikan Saya Perasaan dan Akal Budi Anda Kepada Saya, Tolonglah


Ini bukan gambar yang terkini. Saya sedang terbaring diatas katil menanti kepulangan mama dari kerja. Teka berapa lama saya menunggu. Tapi saya bersedia memberitahu anda bahawa anda perlu punya kekuatan yang melampau untuk berbuat demikian jika tidak....... tapi saya masih mampu menampilkan muka yang tersenyum.
Saya adalah anak seorang doktor, doktor wanita, doktor perubatan. Sebahagian anda yang telah mengikuti blog datuk saya atau yang terus mengikutinya sudah tentu mengetahui nama saya, dan cerita mengenai saya. Sungguhpun begitu, izinkan saya mengingatkan semula tentang diri saya bagi maksud lebih membiasakan lagi atau kepada mereka yang secara kebetulan melayari blog yang seadanya ini, sebagai orang pendatang baru.

Ya, nama saya Ahmad Naqib. Saya dilahirkan pada 23 Mac 2011. Bapa saya seorang jurutera bernama Ahmad Sanihi. Bapa memilih untuk dipanggil sebagai 'Ayah' yang bermaksud bapa atau papa. Sementara emak saya bernama Hazlin Azzamiza seorang doktor perubatan yang masih muda. Dia ialah mama saya. Kedua-dua mereka adalah sebaya, cuma jarak tiga bulan yang menjadikan mama sedikit lebih muda.

Saya tidak mungkin boleh menggugurkan dua lagi personaliti yang terlalu penting dalam senarai ingatan saya,  yang terlalu rapat dengan saya serapat kedua ibubapa saya. Merekalah yang menguruskan saja semenjak hari pertama saya dilahirkan sehingga....sebenarnya saya tidak tahu bilakah hari  yang 'menakutkan' itu akan tiba. Saya menaruh harapan pada yang mustahil kerana saya sedar bahawa pada suatu hari nanti mereka tidak akan bersama saya. Itu satu kepastian. Mereka tiada pilihan begitu juga saya. Apa-apa pun kita mesti hidup berdikari. Itu adalah ketentuan semula jadi. Tapi saya tidak akan lupa kasih sayang mereka, layanan yang diberikan  sungguh manja, lembut sekali sepenuh perasaan and kasih sayang. Dan mereka melakukan hampir kesemua rutin  harian- anda boleh membayangkannya. Mereka adalah datuk nenek saya, pesara kerajaan. Mereka bersama saya, semata-mata kerana saya.

Jadi anda boleh kata saya seorang anak kecil yang amat bertuah kerana saya mempunyai seseorang untuk menjaga saya ketika ibubapa bekerja. Seseorang yang amat penyayang. Memang benar, sesungguhnya saya terlalu amat beruntung sekali, bersyukur kepada Allah.. Doa saya agar Allah  mengurniakan kesihatan keatas mereka.

Tapi adalah menjadi harapan saya agar setiap orang didunia ini merenung sejenak, sejenak cuma, tanyalah kepada setiap anak-anak kecil, kawan sebaya saya, sezaman saya, Anda tidak perlu risau memikirkan tentang soalan yang sepatutnya di tanya. Saya tahu anda tidak mungkin dapat melakukannya kerana cuma kami bayi seperti saya mamapu melakukannya. Kami juga faham bahawa sentiasa dalam delima, anda sungguh sibuk yang kadang-kadang membuatkan anda jadi pelupa , banyak yang anda perlu uruskan, masa tidak menyebelahi anda, kehidupan yang penuh masaalah dan amat meggerunkan tapi ada masanya anda meyifatkannya sebagai kehidupan yang mencabar untuk keluar dari perasaan yang tertekan, satu tangkal  yang amat mujarrab dan ajaib sekali. Dan kami memahami apa yang anda hadapi kerana kami adalah salah satu penyebabnya. Kami amat bersimpati sekali, itulah yang dapat saya pastikan melebihi seratus peratus.

Kami cuma anak-anak kecil. Perasaan kami, pergerakan kami , keperluan kami dan emosi kami adalah mutlak sama, bukan satu persamaan. Kami merasakan lebih baik kami  menyediakan soalan untuk anda menggunakan bahasa kami dan  kami menaruh harapan agar anda memahaminya.Namun sejenak kami fikirkan untuk keselesaan anda kerana anda sentiasa kesuntukan masa, kami memutuskan untuk menterjemahkan bahasa kami ke dalam bahasa anda , warga dewasa dunia lelaki dan perempuan.

Apakah ertinya seorang ibu dan bapa dalam hubungannya dengan anak-anak kecil. Satu soalan yang mudah dan jelas sekali. Tidak memerlukan sifir, tidak perlu buku log dan tidak juga mata pena, kertas dan pensil untuk merangka jawapan kepada soalan itu. Bagaimanapun , sebagai anak kecil yang sentiasa  bermurah hati dan yang menyayangi , saya berikan imbasannya: Saya anak kecil seorang doktor, tolong berikan saya perasaan dan akal budi anda.
 
(Ikuti cerita seterusnya).   

Sabtu, 28 Januari 2012

Usia Untuk Mendirikan Rumah Tangga.

Pukul 9.15 pagi terima sms dari seorang kawan , kawan sekolah, kawan satu darjah yang mahukan alamat saya untuk membolehkannya menghantar kad jemputan bagi meraikan perkahwinan anak perempuannya. Alhamdulillah, saya mendoakan majlis tersebut akan berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa apa-apa halangan. InsyaAllah. Tahniah juga kepada sahabat saya dan isteri serta keluargannya  yang saya percaya terlalu amat gembira untuk menunggu peristiwa yang amat istimewa ini bagi sepasang suami isteri. Dan terima kasih kerana sudi menjemput kami.

Jika tiada aral melintang insyaAllah kami akan hadir.

Sebagai ibu bapa , sesungguhnya diantara peristiwa-peristiwa yang sentiasa kita tunggu dan harapkan menjadi kenyataan ialah perkahwinan anak-anak semasa kita masih ada, masih hidup. Terasa kempunan atau ghalat atau secara ekstrimnya setengah orang mengatakan matanya tidak akan tertutup ketika menghembuskan nafas yang terakhir selagi anak/anak-anak belum berkahwin. Begitulah tingginya harapan ibu bapa yang mahu melihat anak/anak-anaknya kejinjang pelamin sebelum dia menemui Allah SWT. Kalau dapat melihat cucu , ianya satu bonus. 

Ada banyak perkara yang kita boleh perkatakan tentang perkahwinan ini. Saya akan menyentuh dalam satu perkara saja.
Saya akan sentuh tentang usia semasa seseorang itu berkahwin dengan melihat secara perbandingan  diantara tempoh-tempoh yang lepas dengan tempoh ketika ini. Tetapi pernyataan  ini tidaklah berasaskan kepada satu kajian. Cuma berdasarkan apa yang di beritahu kepada saya; dan yang dilihat dan diketahui oleh saya sendiri.

Secara amnya pada tahun-tahun 1940an hingga enam puluhan, usia  semasa mendirikan rumah tangga adalah lebih muda berbanding waktu ketika ini. Ada yang mendirikan rumah tangga pada usia serendah 14 tahun terutamanya di pihak perempuan. Misalnya emak saya berkahwin pada usia 16 tahun dan bapa pula berusia 19 tahun. 

Cuba kita bandingkan dengan usia ketika ini. Usia 16 adalah bersamaan dengan usia selepas melepasi peperiksaan PMR atau usia murid tingkatan empat. Dan usia 19 adalah usia pelajar tahun satu IPT. 

Tapi pada usia 16 dan 19 tahun dua insan telah diberikan tanggongjawab untuk membina dan menerajui sebuah kerajaan diperingkat paling rendah, iaitu sebuah rumah tangga. Mereka dimatangkan untuk menjalani kehidupan pada usia yang begitu muda yang mengikut ukuran dan nilai sekarang mereka ini budak-budak yang masih mentah, umur setahun jagong. 

Walaupun itu ukuran kita terhadap mereka namun rumah tangga sebahagian besarnya berkekalan. Ya, memang ada yang gagal. Mereka mempunyai anak yang ramai. Kemiskinan bukan menjadi halangan. Malah kemiskinan mungkin juga satu dari sumber yang menyebabkan mereka mempunyai bilangan anak yang ramai kerana itu sajalah harta yang dapat ditunjukkan kepada masyarakat apabila ditanya semasa bersua muka. "Berapa anak kau?" Dengan bangga mereka menyatakan sekian-sekian bilangan.

Lagi pun apalah hiburan yang ada ketika itu. Yang miskin langsong tidak dapat mengalihkan pandangan kepada yang lain selain dari suami isteri dan anak-anak. 

Bagaimana pula dengan kecukupan hidup misalnya rumah, makanan dan pakaian? Benda-benda itu penting juga. Cuma berbeza dengan sekarang, mereka menerima apa yang ada seadanya, tidak ada apa yang hendak dirungutkan. Membazir jauh sekali kerana bagi mereka itu saja yang dapat diadakan. Itu pun tidak sempurna, hanya sekadar boleh meneruskan kehidupan. Sehelai baju dan sehelai seluar boleh bertahan sehingga menyambut ulang tahun raya yang akan datang. Koyak dan lusuh bagaimana? Koyak akan di tampal. Dan tidak ada yang lusuh kerana mereka terima seadanya.

Tanyalah mereka yang ketika ini berusia 16 tahun dari segi masak memasak. Mungkin ada yang mengatakan tidak ada masalah. Namun sebahagian besar mereka tidak mampu melakukannya. Apatah lagi pada usia itu untuk mengambil tanggongjawab dan peranan sebagai seorang emak dan bapa. 

Ibu bapa kita telah melakukannya. Sama ada ianya sempurna mengikut piawaian kita ketika ini, ianya telah berlaku dan sebahagian ibu bapa yang ada ketika ini  termasuk saya adalah hasil dari perkahwinan di usia muda. Ada 14 kelahiran dan 2 kematian.

Bayangkan  angka 12 anak ini dalam kehidupan pasangan ketika ini. Saya rasa kecoh. Pening dan pusing kepala kedua ibubapa untuk melayan keperluan anak-anak yang berbagai itu yang sentiasa meningkat dan mahal-mahal pula. Jangka hayat sehelai seluar dan sehelai baju terlalu pendek kerana anak selalu bertanya "takkan ni saja", pada hari baju dan seluar itu dibelikan untuknya. 

Berbeza semasa kita dulu yang terlalu teruja apabila kedua ibu bapa balik dari bandar membawa bingkisan sehelai seluar dan sehelai baju untuk hari raya , dan seterusnya untuk dijadikan pakaian sekolah. Tahu warnanya? Seluar pendek berwarna biru dan baju lengan pendek berwarna putih. Kasut? Benda ini bonus. Kalau dibelipun dari jenama 'Fung Keong' ( mungkin boleh difahami oleh mereka yang sezaman dengan saya). Atau dalam bahasa yang mudah kasut yang paling murah, yang paling 'kokak' sekali. Itupun sudah menghiburkan hati. Tayang sana tayang sini.Tidak beli kasut pun tidak jadi hal. Boleh menapak dengan kaki ayam. Batu krikil, duri dan lumpur tidak jadi hal.

Apalah yang mampu dilakukan oleh mereka yang berumur 16 sehingga 19 tahun ketika ini jika mereka mendirikan rumah tangga. Saya rasa banyak yang menyulitkan terutama soal perbelanjaan. Lagipun pada usia tersebut kebanyakan mereka masih lagi meneruskan pelajaran. Oleh itu kemungkinan untuk mendirikan rumah tangga pada usia semuda itu terlalu kecil.   

Maka perkahwinan secara amnya ketika ini adalah pada usia selepas dua atau tiga tahun tamat dari pengajian iaitu pada umur 24 atau 25 tahun keatas. Mereka yang tidak melanjutkan pelajaran mungkin lebih awal lagi tapi tidaklah semuda usia 16 sehingga 19 tahun.    


Pada saya usia perkahwinan yang patut menjadi pilihan ialah pada usia tidak melangkaui 30 tahun. Usia 25 tahun saya rasa lebih baik. Apa hujah saya? 


Pada umur sebelum 30 tahun atau paling ideal pada umur 25 tahun secara amnya kita telah mempunyai kerjaya dan mula membina dan terus memantapkan kedudukan ekonomi kita. Kedudukan ekonomi adalah satu faktor penting dalam sebuah perkahwinan dan rumah tangga. Banyak benda dapat diuruskan dengan baik misalnya keperluan rumah, pakaian, makanan dan pelajaran anak-anak.


Dalam masa yang sama kita akan mula menimang anak pada usia 26 tahun. Mempunyai anak adalah satu pengalaman yang boleh mematangkan kehidupan kita dalam sebuah rumah tangga. Sudah tentu diantara keutamaan yang paling tinggi ialah untuk memberi pendidikan yang terbaik untuk anak-anak. Maka kita akan melakukan simpanan dalam berbagai bentuk misalnya membeli insurans dan saham amanah serta tabungan yang lain. Katakan kita akan mempunyai anak seramai empat orang secara berselang dua tahun. Bermakna anak bongsu kita lahir semasa kita berusia 32 tahun. Waktu kita bersara pada usia 58 tahun, anak bongsu kita berumur 26 tahun, sudah tamat belajar dan mungkin telah mempunyai pekerjaan. Jadi kita tidaklah ada tanggongan untuk pembiayaan anak-anak semasa bersara.


Bagaimanapun pada usia 32 tahun kita masih muda. Untuk mendapat anak lagi tidak akan membebankan kita. Cuma anak/anak-anak tambahan ini jika meneruskan pelajaran sehingga berumur 25 tahun, sewaktu itu kita telah bersara,  masih lagi menjadi tanggongjawab kita untuk membiayai kehidupannya termasuk keperluan pelajarannya. Kalau wang simpanan mencukupi dan terimaan pencen tinggi ianya mungkin tidak membebankan tapi kalau sebaliknya, pening kepala juga.


Jadi usia perlu diambil kira dalam pembinaan sebuah rumah tangga. Tapi janganlah terlalu muda dan tidak juga terlalu lanjut. Jangan pula menggunakan alasan 'belum ada jodoh'. Kalau sudah  ada jodoh pula jangan pula adakan acara/majlis yang memakan belanja yang besar walaupun kita mampu. Sebab, pertama kita membazir dan kedua kita boleh menyusahkan hati orang yang hendak mendirikan rumah tangga tapi tidak ada kemampuan kewangan. Duit kita yang berlebih itu daripada membeli bunga-bungan hiasan yang akan dibuang dan dipijak-pijak itu lebih afdal kita berikan kepada yang tidak berkecukupan itu. 

Atau jika ada yang suka sponsor, sponsorlah golongan yang memerlukan ini. Apa faedah ekonomi? Ada, ramai orang yang memuji dan sudah tentu bilangan mereka yang meminati perniagaan kita akan bertambah. InsyaAllah , kerja baik akan sentiasa mendapat balasan yang baik. Jangan biarkan ramai yang kahwin lambat kerana masalah kos yang tinggi.
  

Jumaat, 27 Januari 2012

Manusia dan Kepentingan Diri

Semua manusia sukakan hal-hal yang baik, cantik, indah , berkasih sayang, tolong menolong, bercakap benar, menggembirakan hati, bersopan santun dan beradab, hormat menghormati, berbudi bahasa dan lemah lembut dalam pertuturan, diberi senyuman dan segala perlakuan, perangai, tabiat, sikap dan watak yang menyenangkan hati. 

Manusia tidak suka kena marah, kena herdik, kena perli, kena caci, kena fitnah, kena tipu, kena songlap , kena hina, kena perlekeh,  kena rompak atau harta/barang dicuri, kena pukul dan macam-macam musibah dan perbuatan pihak lain yang boleh menyakiti dan menyusahkan diri. Semua itu manusia benci atau tidak suka menimpa keatas diri.

Kesimpulannya ialah manusia mahu yang baik-baik dan tidak mahu yang sebaliknya. Mahu yang menyenangkan dan tidak mahu yang menyusahkan. Mahu yang menggembirakan dan tidak suka yang menyedihkan. Itulah yang diperlukan atau yang diharapkan oleh seseorang untuk dirinya. Dia tidak mahu orang menyusahkannya. Dia tidak mahu orang menyakitkan hatinya. Pendek kata dia hendak yang baik-baik dan yang menguntungkan saja untuk dirinya.

Secara fitrah begitulah sifat manusia. Mahu yang bersih dan tidak mahu yang kotor, busuk, jijik dan hanyir. Itulah yang sentiasa diharapkan oleh seseorang dari orang lain untuk bersikap dan bertindak keatas dirinya. Sama juga orang lain yang mahu dan harapkan hal yang sama. Maka jika begitulah halnya mengapa pula diantara manusia timbul perselisihan, pertengkaran dan permusuhan sedangkan harapan dan kehendak mereka adalah sama. Dia mengharap yang baik dari orang lain dan orang lain mengharap yang baik darinya maka matlamatnya adalah sama. Tidak ada pertentangan matlamat. Tidak ada konflik. Tapi masih juga berleluasa permusuhan.


Adakah mungkin disebabkan setiap manusia itu ada nafsu yang melampau dalam mengharapkan sesuatu kebaikan? Misalnya dalam melakukan amal ibadat menunaikan fardhu haji di Mekah. Semua orang mahu melakukan ibadat sebanyak mungkin. Sembahyang ditempat-tempat yang afdal dan penuh keberkatan. Maka atas matlamat itu berebut-rebut orang ke tempat itu. Bukan sekali bahkan berulang kali. Ada pula yang melekat begitu lama di tempat itu kerana terlalu sayang untuk melepaskannya/keluar kerana ada saja orang lain akan mengambil alih. Dan orang yang mengambil alih itu pula melakukan perkara yang sama juga. 


Apa yang akan terjadi? Ramai yang lain yang juga mahu melakukan kebaikan yang sama ditempat yang afdal itu akan tidak berpeluang untuk melakukan ibadat ditempat itu. Ini merupakan satu kerugian dari segi mendapat pahala yang lebih atau keafdalan dalam beribadat. Tambah-tambah lagi peluang untuk ke Mekah bukan mudah untuk di perolehi kerana adanya quota yang telah ditentukan, perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan diluar kemampuan, kesihatan mungkin tidak mengizinkan pada masa depan dan berbagai halangan yang lain. Jadi apa perlu di buat untuk menfaatkan peluang  keemasan semasa berada di Mekah untuk melakukan ibadat sebanyak mungkin khususnya ditempat yang telah ditentukan afdal itu?


Ada beberapa pilihan yang mungkin dibuat oleh seseorang. Pertama , mengalah saja kerana tidak mahu berasakan dan berebutan untuk ruang yang terha itu. Biarlah melepas dari bersusah payah dan berebutan sehingga boleh menimbul perbalahan dan pertengkaran. Ada kemungkinan pergaduhan dan pergelutan jika niat untuk mengambil tempat/ruang itu di teruskan.


Sekali renung orang itu nampaknya tidak mempunyai ketahanan untuk bersabar. Kenapa perlu berundur. Kenapa tidak tunggu saja. Bukankah kesabaran adalah sesuatu yang perlu ada kepada seseorang terutama dalam melaksanakan ibadat haji.


Tapi jika orang itu tunggu, sampai bila agaknya dia mempunyai peluang untuk dapat mengisi ruang yang tidak mahu ditinggalkan oleh orang yang telah terlebih dulu menguasainya. Dia juga tidak bersetuju untuk berebutan sedangkan orang lain yang menunggu sanggup melakukan perbuatan seperti itu. Jadi tidak tepat dikatakan orang tidak tidak ada daya ketahanan untuk bersabar. Dia nampaknya bersabar dengan cara melepaskan peluang keemasan itu.


Jadi kelihatan bahawa sikap dan perbuatan yang terlampau bagi mendapatkan sesuatu kebaikan untuk diri dalam hubungan amal ibadat tadi telah membuatkan orang lain yang juga hendak mendapatkan kebaikan dari amalan itu telah terlepas peluang. Jadi dalam amal ibadat juga nampaknya perbuatan melakukan ibadat sebanyak mungkin sehingga tidak memberi peluang kepada orang lain boleh merugikan orang lain itu. Dan sudah tentu kita yang sentiasa mengharapkan yang baik dan tidak suka orang lain menyusahkan hati kita sebenarnya tidak melakukan perkara yang kita sendiri mahukan.


Itu tentang hal ibadat. Kita suka yang baik tapi dalam mas yang sama kita juga telah tidak menggembirakan hati orang lain.


Ambil pula cerita seorang pencuri. Seorang pencuri pada pandangan kita yang suka mengamalkan nilai yang baik sudah tentu
orang yang kita tidak suka. Pencuri menyusahkan kita. Merugikan harta orang yang dicuri.


Baik. Tapi adakah pencuri itu tidak akan marah jika barang/hartanya dicuri? Sudah tentu dia naik marah sebab barangnya dicuri. Malah jika barang yang dia curi itu jika orang lain pula mencurinya maka dia juga akan marah. Maknanya tiada orang yang suka disakiti atau dirugikan. Waemah barang yang dicuri itu bukan sebenar haknya, dia tetap marah juga.

Dalam hal buat perkara jahat juga , orang yang melakukan kejahatan misalnya pencuri itu , sebenarnya tidak suka perbuatan itu. Pencuri itu juga bersikap membenci kecurian.

Dengan dua contoh diatas, satu berkaitan dengan membuat perkara yang baik ( melakukan ibadat haji) dan satu lagi membuat perkara yang tidak baik  (mencuri) , satu perkara yang jelas ialah kepentingan diri sendiri mengatasi kepentingan orang lain. Tidak kisah lah dalam menjaga kepentingan diri itu boleh menyusah dan menyakitkan hati orang lain. Sifat seperti ini nampaknya ada dalam setiap manusia sama ada dalam perbuatan yang baik atau yang tidak baik. Inilah sumber/punca kepada pertentangan dan konflik antara manusia sama ada secara indivividu, kumpulan atau negara. 


Bagaimana misalnya seseorang yang melakukan perbuatan rasuah yang semua orang benci. Adakah orang itu sukakan perbuatan itu? Jawabnya tidak. Dia juga bencikan perbuatan itu kerana fitrahnya sebagai manusia tidak sukakan yang tidak baik. Sebab itu jika dia sebagai penguatkuasa akan menangkap dan menghukum orang yang melakukan perbuatan yang menjijikkan itu. Mengapa dia melakukan begitu sedangkan dia juga perasuah? Sebab kepentingan diri. Dirinya berkuasa dan perlu menguatkuasakan hukum keatas orang lain.

Begitulah sepintas paparan saya hari ini mengenai sifat dan sikap manusia temasuk diri saya yang sentiasa mementingkan diri. Tidak kira bagaimana hebat ilmu termasuk ilmu agamanya, kepentingan diri sendiri mengatasi kepentingan orang lain sama ada  yang berkaitan perkara yang baik atau sebaliknya.  


 

Rabu, 25 Januari 2012

Canggih dan Senyum

Pukul 11 pagi bersama isteri bawa cucu ke klinik. Di ruang menunggu sebahagian besar kerusi telah mempunyai penghuni. Tapi isteri dapat juga duduk di kerusi bahagian tepi. Saya tidak mencari tempat duduk tapi lebih suka berdiri dan menolak cucu yang sungguh gembira berada dalam stroller dikawasan ruang menunggu. 

Sesekali saya menghampiri isteri yang memegang angka  giliran 4537 . Angka yang telah naik ialah 4528. Ada 9 lagi baru sampai giliran. Duduk di sebelah kiri isteri ialah seorang  wanita muda yang dianggarkan berusia dalam lingkungan tiga puluhan.

Setelah selesai urusan , isteri memberi tahu dua hal. Pertama cara mendapat perkhidmatan yang dikatakan menggunakan cara yang canggih dan kedua tentang orang yang tidak senyum.

Saya tidak pula bertanya apa yang dimaksudkan canggih itu. Kemudian  isteri menambah kata lagi, 'nasib baik ada adik tu (maksudnya perempuan yang lebih muda darinya, boleh dianggap sebagai anak tapi di panggil adik saja). Dia beritahu apa yang perlu di buat sebab klinik disini canggih. Mesti scan dulu kad kalau tidak melopong lamalah untuk mendapat perkhidmatan. Ini Putra Jaya'. 

Kenapa jururawat yang bertugas tidak beritahu?
 
Amat menghairankan kerana isteri telah memberitahu kepada jururawat yang bertugas  di kaunter pendaftaran bahawa kami baru saja berpindah di Putra Jaya dan merupakan urusan yang pertama. Sekiranya petugas itu perihatin sudah tentu akan memberitahu isteri akan keperluan membuat scan keatas kad bagi mendapat rawatan. Petugas tidaklah boleh beranggapan semua orang terutama yang kali pertama berurusan dengan klinik tersebut tahu/maklum cara yang mesti diikuti untuk mendapat rawatan. 

Berbalik kepada  tidak mahu senyum itu saya kira ianya merupakan kesilapan dua pihak.  Kalau orang sebelah tidak mahu senyum, kenapa kita tidak memulakan senyuman terlebih dulu. Atau menegur orang itu terlebih dulu. Kalau dia terus tidak mahu memberi senyuman atau buat tidak kisah saja maka boleh lah kita kata orang itu tidak patut bersikap begitu.

Namun kadang-kadang silap-silap senyum lain pula ditafsirkan orang terutama kalau berlainan jantina. Boleh jadi kemarahan dan pergaduhan. 

Mungkin kita perlu amalkan kaedah 'senyum biarlah bertempat'. Ertinya kita senyum kepada orang yang kita kenali (tak kisah berlainan jenis dan umur) ; kita senyum dengan orang yang kita bertemu muka; kita senyum dengan orang yang duduk/berdiri berhampiran dengan kita; kita senyum semasa memberi/melayan tetamu/orang yang memerlukan perkhidmatan; kita senyum dengan orang sejenis; kita senyum dengan orang yang melayan atau memberi perkhidmatan dan kita senyum dengan orang saja.

Itu hanya cara yang saya fikir yang boleh mengelakkan kita merasakan seseorang yang tidak senyum itu bersikap sombong. Lagi pun kadang-kadang ada juga orang yang susah untuk senyum tapi sebenarnya tidak sombong. Jadi cara yang terbaik ialah kita berikan senyuman dulu walaupun ada risiko kena marah/atau kena perli. Tak kisahlah sebab kita sangat mengharapkan orang memberikan senyuman maka jika mereka tidak senyum , kita dahului mereka dengan mengukirkan senyuman.  

 

Selasa, 24 Januari 2012

Cerita Kosong Saja

Mood cuti sempena tahun baru Cina ini  tidak meransang untuk membuat paparan di blog. Lebih mahu berehat dari mahu menulis. Namun kerja-kerja berbentuk fizikal tetap diteruskan dengan mengemas rumah- mop lantai dalam dan luar rumah dan vacuum menyedut habuk dan kotoran. Kerja-kerja itu mengambil masa setengah hari.

Semua kerja-kerja itu dibuat sebaik saja sampai di rumah dari Putra Jaya. 

Perjalanan balik dari Putra Jaya ke Melaka berjalan dengan lancar melainkan di Nilai. Disini berlaku kesesakan dan kereta bergerak perlahan. Namun ada juga pemandu-pemandu yang kaki lari membelok ke kiri dan ke kanan memotong kereta dihadapan. Nasib baik tidak ada kereta yang dirempuhnya. Mereka yang suka berperangai potong memotong belok kiri kanan yang amat bahaya itu mungkin pemandu yang berani dan cekap sebab cara potongan itu nampaknya begitu lancar sekali. Cuma kadang-kadang potongan tersebut memaksa kereta yang dibelakang menekan brek mengelak dari berlaku perlanggaran. Ini membuatkan kereta-kereta yang dibelakang menekan sama brek. Tapi yang buat potongan itu bersahaja saja meluncur laju . 
'Mungkin mereka yang laju itu hendak cepat sampai ke destinasi. Ada perkara penting yang hendak diuruskan'. 

Itu reaksi saya ketika ini apabila melihat pemandu-pemandu yang lari laju dan suka potong memotong yang agak bahaya. Dan mendoakan mereka selamat termasuk pengguna jalan raya yang lain. Kalau dulu reaksinya berbeza. Paling kurang saya akan menggelengkan kepala kerana tidak berkenaan pemanduan yang amat bahaya pada diri dan orang lain. Tapi kalau sudah terlampau geram mahu juga berlumba. Biasanya tidak dapat mengatasi mereka itu yang memang berani mati. Saya setakat 130 km pun sudah pucat. Tambah-tambah lagi isteri yang selalu menegur supaya jangan melayan orang 'gila' itu. Betul juga.

Pergerakan di Nilai menjadi perlahan rupa-rupanya disebabkan oleh dua buah kereta berhenti dibahu jalan  sebelah kiri. Mungkin rosak atau di tahan oleh Polis kerana terdapat sebuah kereta peronda polis. Yang menghairankan dua buah kereta itu tidak langsong menghalang perjalanan kenderaan yang lain. Tapi mengapa pula perjalanan menjadi tidak lancar? 

Saya memerhatikan dua kenderaan itu untuk mengetahui apa masalah yang dihadapi. Pemandu yang dihadapan pun saya rasa melakukan perkara yang sama. Mungkin semua pemandu yang melintasi kenderaan yang berhenti dibahu jalan itu melakukan perkara yang sama. Masing-masing ingin tahu apa masalah yang dihadapi oleh pemandu-pemandu kereta yang 'rosak' itu. Kesemuanya terlalu perihatin tetapi perjalanan di teruskan juga. Cuma perlahan sedikit.

Oleh kerana sebahagian besar terlalu perihatin dengan memberikan sedikit jelingan kepada kereta yang rosak itu maka pergerakan pun menjadi perlahan. Inilah sebenarnya punca kepada tidak lancarnya perjalanan hari itu. Tidak ada pun kemalangan yang berlaku. Jadi saya juga adalah penyumbang kepada perjalanan yang tidak lancar itu. 
Setelah penat mengemas rumah tonton pula perlawanan Tenis Terbuka Australia. Dan di sebelah malam tonton pula perlawanan bola sepak liga Inggeris. Maka menulis blog sudah tidak menjadi keutamaan.

Jadi untuk memulakannya satu perkara yang bukan mudah. Pertama, apa benda yang nak di tulis? Kedua mengapa benda itu perlu di tulis? Ketiga, berbaloikah benda itu di tulis? Itulah diantara persoalan-persoalan yang selalu menjadi penghalang saya untuk membuat paparan dalam blog. Akhirnya jalan mudah yang diambil ialah bermain dengan cucu. Tidak payah nak fikir macam-macam. Melihat keletah cucu dan suara gelak ketawanya lagi menghiburkan. Menulis di blog juga menghiburkan. Setidak-tidaknya syok sendiri. Harap-harap tidak menyakitkan hati orang.

Jumaat, 20 Januari 2012

Qong xi fa cai

Perancangan awal ialah untuk bertolak dari Putrajaya balik ke rumah di sebelah petang. Tetapi setelah diperingatkan oleh isteri bahawa perjalanan balik yang biasanya memakan masa tidak lebih dua jam pada hari biasa akan berkemungkinan mengambil masa lebih dari 4 atau 5 jam. Katakan bertolak pada jam 6 petang hanya sampai pada 10 atau 11 malam. Kalau naik pesawat rasanya dalam tempoh itu kita boleh sampai di Iran? Saya kurang pasti. Yang pasti jika diteruskan juga kami dan ramai pengguna jalan raya yang lain akan berada didalam kereta pada tempoh yang agak lama dari biasa untuk sampai ke rumah. Maka diputuskan untuk bertolak pada esok hari , Sabtu.

Setiap petang Jumaat, bilangan kenderaan dari Kuala Lumpur dan Putrajaya menuju sama ada ke utara atau selatan bertambah berbanding dengan hari-hari lain kerana mengambil kesempatan dua hari cuti kerja untuk pulang ke kampong atau membawa keluarga  berehat pendek di luar Kuala Lumpur misalnya menuju ke Melaka. Kenderaan akan lagi bertambah jika cuti dua hari itu disambung dengan cuti-cuti rasmi lain seperti cuti menyambut tahun baru China yang akan datang ini.

Selamat Tahun Baru Cina semoga kita semua berbahagia.

Bercakap fasal berbahagia ini saya ingin menyentuh perkara yang selalu dan biasa iaitu keselamatan di jalan raya di musim cuti perayaan ini. 

Saya percaya semua orang mahu mengelakkan kemalangan. Semua orang tidak mahu bersedih apatah lagi pada hari yang hendak dirayakan. Namun pada setiap menyambut hari perayaan sama ada sebelum semasa dan selepas hari tersebut kejadian-kejadian yang mendukacitakan selalu berlaku. Berlaku kemalangan jalan raya. Akibatnya ada yang cedera parah, luka-luka kecil, lumpuh dan ada yang maut. Cerita ini berlaku berulang kali setiap menyambut perayaan seolah-olah kemalangan jalan raya itu adalah satu dari pakej menyambut perayaan. Tiada kemalangan maka tidak lengkaplah perayaan itu. Tidak mengapa jika terpaksa bersugul pada hari yang berbahagia itu.

Macam-macam cara telah difikir dan dilakukan oleh pihak yang bertanggongjawab untuk mengurangkan kemalangan jalan raya itu. Tetapi nampaknya kemalangan berlaku juga malah meningkat. Jadi pihak manakah sebenarnya yang menjadi sumber terbesar menyebabkan kemalangan ini?

Pada pendapat saya, kita pengguna jalan rayalah yang menjadi punca utama kemalangan. Puncanya ialah tidak sabar dan mahu cepat sampai. Pengguna jalan raya yang perangai seperti ini saya rasa tidak tahu takut. Tidak takut cedera, tidak takut mati apatah lagi saman dari pihak berkuasa. Kenderaan dipandu pada kelajuan yang terlalu tinggi. Kalau tidak boleh potong di lorong kanan, akan ke lorong tengah. Gagal lorong tengah ke lorong kiri. Gagal lorong kiri gunakan lorong kecemasan. Semua lorong dia yang punya. Sungguh dahsyat orang berperangai seperti ini. Bilangannya bukan sedikit. Terlalu ramai. Agakknya masyarakat Malaysia ini telah terlalu sombong sehingga tidak langsung memberei pertimbangan kepada keselamatan orang lain.
Jadi bagaimana hendak menghadapi perangai orang semacam ini? Bagi nasihat dan tunjuk ajar? Tidak mungkin.  Sebab ada yang pandai-pandai. Saman? Juga kurang berkesan sebab mereka boleh bayar. Mereka bukan orang susah kerana ada yang berkereta besar. Gantung lesen? Pun mereka ada jalan keluar.

Pendek kata orang-orang macam ini kalau tiada lebih baik. Tapi yang merisaukan ialah mereka boleh menjadi punca kepada kemalangan dan menyebabkan pengguna jalan raya yang berkhemah kehilangan nyawa atau cedera.

Perangai mahu cepat dan tidak sabar ini molek lah dirakamkan. Kemudian tayang dikhalayak ramai untuk ditonton oleh semua orang. Rasanya cara ini lebih berkesan. 

Bagaimanapun Insya Allah esok kami akan bertolak balik ke rumah dengan memohon doa selamat sampai ke rumah. Selamat bagin kesemua pengguna jalan raya. 

Qong xi fa cai.
 

Khamis, 19 Januari 2012

Sampah Menyampah

Berturut-turut hari telah disiarkan dalam tv cerita mengenai sampah yang tidak dikutip oleh pihak yang telah diberi tanggongjawab untuk melakukannya. Cerita sampah-sampah yang dikatakan busuk (ada ke sampah yang tidak busuk? Macam juga ada orang yang berkata judi haram. Ada ke judi yang halal?),  yang tidak diurus dengan baik itu nampaknya wujud di negeri Selangor ,Kedah dan Kelantan. 

Yang paling teruk sekali ialah di negeri Selangor. Berturut-turut hari disiarkan berita sampah yang busuk itu terbiar bergelempangan tidak di urus dengan sepatutnya. Kehadiran sampah busuk itu telah diyakinkan lagi dengan menunjukkan penduduk setempat marah-marah dan memberi amaran supaya tindakan segera di ambil jika tidak pihaknya akan menggunakan kenderaan tertentu untuk membuang sendiri sampah itu dikawasan yang mereka pilih.

Ada juga mereka yang marah-marah akan sampah yang busuk di Selangor itu membuat pujian kepada pemungut sampah yang lama dengan menyebut nama pemungut sampah yang perkhidmatannya tidak diteruskan lagi oleh Negeri Selangor. Maknanya rekod kebersihan Selangor dari segi kutipan sampah busuk ini telah tercemar setelah khidmat pengutip sampah dulu ditamatkan. Dalam kata lain dulu Selangor tidak busuk dengan sampah. Sekarang Selangor sudah menjadi busuk disebabkan sampah busuk tidak diuruskan dengan baik.

Setelah saya lihat dan renung maka negeri-negeri yang diberitakan yang tidak pandai mengurus sampah busuk itu adalah negeri-negeri yang ditadbir oleh parti selain dari Barisan Nasional (BN) yang ingin dipanggil sebagai Pakatan Rakyat (PR). Tetapi Pulau Pinang nampaknya terlepas dari termasuk sebagai negeri yang tidak pandai menguruskan sampah busuk ini.  Tapi mungkin saya tidak perasan atau terlepas pandang berita sedemikian yang disiarkan di tv. 

Bagaimanapun buat ketika ini saya ucap tahniah kepada Pulau Pinang. Sebabnya ialah kalau ada isu yang busuk seperti sampah busuk ini, saya jamin tv akan siarkan . Bukan sekali bahkan berturut dan berulang kali dengan menyertakan sama orang-orang/kumpulan orang yang memberi ancaman dan amaran kepada pihak yang gagal menguruskan sampah busuk itu dan dalam nada yang lunak memuji pengutip sampah busuk yang telah ditamatkan perkhidmatannya , sehingga kadang-kadang  saya rasa curiga pula berita itu.

Berita sampah busuk yang tidak diurus dengan baik yang diulang cerita  itu tidak melibatkan negeri-negeri pemerintahan BN. Maknanya, pengurusan sampah busuk dinegeri-negeri itu adalah baik gamaknya. Kalau busuk macam Selangor sudah tentu pencari cerita sampah busuk ini akan terhidu baunya. Tidak mungkin bau busuk sampah di negeri-negeri itu ada keistimewaannya sehingga tidak dapat dikenalpasti oleh hidung yang menghidu.

Kemungkinan besar bau busuk sampah di Selangor yang tidak diuruskan secara sepatutnya pada ketika ini  adalah disebabkan Kerajaan Selangor  ketika ini (PR) tidak menggunakan penyapu untuk menyapu semua sampah-sampah yang busuk itu. Tidak seperti pada masa sebelumnya iaitu semasa BN dulu dimana kerajaan terlalu banyak penyapu. Dan oleh kerana terlalu banyak penyapu, sudah berlebihan maka penyapu itu telah dijadikan hadiah kepada penjawat awam pada hari khidmat cemerlang. Penyapu sudah jadi satu simbul kecemerlangan! 

Maka tidak hairanlah dulunya Selangor tidak tercemar dengan sampah busuk kerana MBnya menjadikan penyapu sebagai hadiah dihari khidmat cemerlang penjawat awam. Dengan hadiah penyapu itu, semua penjawat awam Selangor ketika itu membuat sapuan. Semua kena sapu, tiada busuk yang tinggal.

Namun apa perlu dihairankan tentang cerita-cerita busuk yang ada kaitan dengan Selangor ini diulang beritakan. Bukankan masa semakin menghampiri untuk membuat sesuatu keputusan: BN ke PR untuk Selangor. Kalau ambil BN , terimalah penyapu sebagai hadiah untuk menyapu sampah sampah yang busuk itu.

Jadi cerita sampah-sampah busuk ini membuatkan kita rasa menyampah. Tidak ada cara lain ke? 

Selasa, 17 Januari 2012

Terlalu Fokus dan Kesannya.

Semalam saya terlalu fokus. Fokus kepada satu hal yang mungkin sebagai penyebab saya lalai atau tidak ambil pusing tentang hal yang lain. Seolah-olah pada ketika itu hal itu saja yang wujud dalam pemikiran saya. Segala tumpuan saya , perlakuan dan deriaan saya adalah tertumpu untuk melaksanakan atau memenuhi hajat yang telah ditentukan oleh otak saya itu. Yang lain tiada langsung wujud. Tidak perlu diambil peduli.  Saya hanya perlu lakukan yang itu saja.

Ditemani isteri, saya membawa cucu Ahmad Naqib untuk menemui mamanya dihospital untuk mendapat susuan langsung dari mamanya. Pada hari ini Naqib tidak mahu menerima makanan yang biasa kami berikan sebagai tambahan kepada susuan ibu. Dia juga masih tidak mahu menyusu susu ibu melalui suapan botol atau sudu. Nampaknya dia agak 'kelaparan'. Saya mesti segera ke hospital untuk berjumpa dengan mama Naqib bagi tujuan susuan badan. 

Maka setelah memasuki kereta dan menghidupkan enjinnya saya mula masuk gear untuk berundur ke belakang. Pada gerakan awal kebelakang,  sebuah kereta berwarna hitam tiba-tiba muncul melintasi dibelakang. Kereta itu cepat sedikit pergerakannya membuatkan saya terselamat dari melanggarnya. Saya berhenti pergerakan kereta sesaat dua, mengurut dada merasa lega terlepas dari bahaya perlanggaran itu sambil perasaan saya  sedikit marah terhadap pemandu kereta hitam itu. Bisikan hati saya mengatakan kenapa di kawasan tempat letak kereta perlu pandu laju. 'Tidak ada otak' , tercetus perlahan kata-kata bercampur marah yang hanya didengar oleh telinga sendiri. 

Dalam perasan sedemikian saya meneruskan unduran ke belakang. Saya tidak mendengar bunyi isyarat kereta yang dipandu , sebagai amaran bahawa di belakang ada sesuatu objek/halangan, dan perlu berawas. Maka unduran saya teruskan. 

'Bengggg' terdengar bunyi yang memeranjatkan. Saya telah melanggar sebatang tiang di belakang. Saya melihat beberapa orang yang berhampiran memandang ke arah bunyi itu. Saya menggerakkan kereta itu ke hadapan dan terus memberhentikannya untuk memeriksa kerosakan.

Saya menggeleng kepala kerana kereta itu anak yang punya, yang baru saja di beli belum sampai 3 bulan. Saya memahami perasaannya apabila saya memberitahunya  nanti.  Tapi kewajipan saya ialah untuk memberitahu. Saya sedar bahawa berita sedih ini  akan mengganggu sedikit sebanyak perasaanya. Apatah lagi disebabkan keletihan dan kurang tidur setelah menjalankan khidmat on call yang terlalu panjang itu. Sesungguhnya saya telah merosakkan 'harinya' yang sepatutnya boleh memberi sedikit kerehatan fikiran dan perasaannya. 

Perasaan  marah kepada pemandu kereta hitam tadi mula hilang kerana hati kecil saya berkata bahawa jika pemandu itu tidak laju sudah tentu saya akan melanggarnya. Kesannya mungkin lebih teruk berbanding dengan melanggar tiang. Mungkin berlaku pertengkaran diantara dia dan saya, masing-masing mempertahankan diri, tidak mahu mengaku bersalah. Di pihak saya sudah tentu mengatakan pemandu itu bersalah kerana lari laju. Dan pemandu itu pula mengatakan saya yang bersalah kerana tidak berhati-hati waktu mengundurkan kereta. 'Lesen terbang ke?' mungkin anatara kata-kata yang akan terkeluar dari mulut pemandu itu. Dan ini membuatkan saya berasa marah. Dia pun marah. Maka yang berkemungkinan besar terjadi ialah pergaduhan. 

'Ya Allah, malunya jika itu yang terjadi'.

Sesungguhnya Allah telah menghindarkan saya dari musibah yang besar kepada yang kecil. Melepaskan saya dari mendapat malu. Melepaskan saya dari kecederaan. Bukan saja saya bahkan isteri dan cucu tersayang terlepas dari musibah itu. Saya bersyukur akhirnya. Tentang kerosakan kereta itu saya wajib beri tahu dan akan menanggong kos untuk membaikkinya.

Jika telah ditentukan kemalangan berlaku, ianya tetap berlaku. Peristiwa ini adalah ketentuan dari Allah pada hari itu. Saya ditentukan untuk menerima kemalangan kecil dengan Allah mengelakkan saya menerima kemalangan yang lebih besar. Saya tidak pasti apakah ianya hasil dari berkat membaca beberapa ayat al-Quran yang sentiasa menjadi amalan semasa saya hendak memulakan sesuatu kerja termasuk waktu mula memandu. Ayat Kursi memang menjadi amalan saya. Dan itulah juga pesanan saya kepada anak-anak untuk sentiasa membaca ayat ini. Saya tidak tahu. Hanya Allah yang maha mengetahui.

Di hospital, saya tidak memberitahu anak saya tentang apa yang telah berlaku. Saya tidak mahu perasaannya terganggu yang boleh memberi kesan kepada kerjanya. Seterusnya memberi kesan kepada orang yang dirawatnya.

Oleh itu saya hanya memberi tahu pada waktu habis kerja jam 5 petang lebih, sebaik saja dia memasuki kereta dan menyusu anaknya. Dia hanya bertanya 'ada kesan calar ke?'.  Saya hanya menjawab 'Jaja tengoklah sendiri nanti'.

Jadi saya menyimpulkan bahawa kita tidak boleh terlalu fokus dalam sesuatu hal saja. Kita mesti ambil peduli hal lain yang berada di sekitar kita. Kerana bukan kita saja yang mendiami didunia Allah ini. Ada makluk lain yang hidup atau wujud bersama. Jangan mementingkan memenuhi hajat dan hasrat sendiri saja. Orang lain juga ada hajat dan hasrat yang mahu dilaksanakan. Mungkin pemandu yang memandu laju itu, perlu segera sampai ke rumahnya untuk sesuatu maksud yang terlalu penting, sebab itu dia pandu sedikit laju di tempat letak kereta. Oleh itu dalam kemahuan kita untuk menunaikan hajat dan hasrat, kita tidak boleh lupa bahawa dalam masa yang sama orang lain pun begitu. 

Nasib baik langgar tiang. Kerosakan melanggar tiang itu, saya rasa perbelanjaan untuk membaikkinya tidaklah sebesar sekiranya berlaku perlanggaran dengan kereta hitam itu. Saya bersyukur. Tapi cuma saya sedih kerana saya telah menambah keletihan dan kepenatan anak pada hari itu dengan berita yang saya percaya dia tidak mahu dengar. 

'Apa boleh buat ianya telah berlaku'. Tapi saya tidak hanya boleh berkata begitu saja. Saya mesti mengambil tanggongjawab untuk membaikki kereta itu. Namun saya percaya kereta yang diperbaikki tidak sama dengan yang asalnya. Saya kena ambil ingatan perkara ini untuk masa depan. Harap-harap tidak berulang lagi. Tapi orang tua cepat lupa. 

Mudah lupa? Saya harap dan memohon kepada Allah saya tidak akan lupa membaca ayat Kursi itu setiap kali melakukan sesuatu termasuk dalam memulakan panduan kereta.
 

Isnin, 16 Januari 2012

Senaman Pagi dan Pekerja Asing

Pagi, jam 8 kami memasuki lif untuk turun dari tingkat 12. Hanya kami bertiga didalam lif termasuk cucu Ahmad Naqib yang bersandar didalam stroller berwarna hitam. Naqib menunjukkan wajah keriangannya. Matanya fokus melihat kesebelah kanan dinding lif yang mempamirkan pertukaran angka-angka digital berwarna merah  menandakan pergerakan lif ke bawah dari tingkat demi tingkat. Udara dalam lif tidak menyehatkan khususnya kepada saya seorang pengidap penyakit asma. 

Sampai saja dibawah aras meletak kereta, kamipun keluar. Dihadapan kami kelihatan seorang anak muda lelaki yang sedang menyapu sampah dan kotoran yang lain untuk dimasukkan kedalam tong sampah yang berwarna hijau. Saya menyapa anak muda itu bertanyakan asal negerinya. Dia orang Kelantan tapi belajar di UiTM Shah Alam dalam bidang perniagaan, di tahun ketiga. Semasa cuti semester ini dia mengambil kesempatan untuk mendapat wang belanja, katanya dapat juga membeli duit minyak motor.
Sesungguhnya saya amat bangga dengan sikap anak muda ini kerana sanggup bekerja sebagai pengumpul sampah bagi membolehkannya membeli minyak motorsikal. Mahu pakai motorsikal pandai pula berusaha. Baguslah. Jangan merempit atau jadi kaldai dadah.

Nampaknya anak-anak muda pelajar kita pada masa ini telah menunjukkan satu sikap yang terpuji termasuklah anak saudara saya yang sekarang ini bekerja dengan KFC sebagai pekerja sambilan. Anak saya juga pernah bekerja sebagai pengambil pesanan di Shusi King. Sekarang tiada apa yang perlu dimalukan asalkan halal, buatlah kerja tersebut. Lebih baik buat begitu dari merempit.

Selepas habis saja perbualan pendek, kami meneruskan perjalanan dalam rutin harian senaman pagi bersama cucu. Kami mengambil jalan biasa menyusuri barisan rumah-rumah setingkat kediaman pegawai-pegawai kerajaan. Di garaj kereta bagi setiap rumah, terdapat paling kurang dua buah  kereta. Tanda kehidupan mewah sebahagian rakyat Malaysia.Tetapi kami tidak menemui sesiapa pun di luar rumah yang pintunya sentiasa tertutup. Jadi tidak dapatlah untuk mencari kenalan baru atau sekurang-kurangnya membuat sapaan semasa berjalan.

Saya dan isteri bergilir-gilir menolak Naqib. Tapi di kawasan yang mendaki tugas itu terserah kapada saya. Selepas melepasi barisan rumah-rumah tadi kami nampak sekumpulan pekerja yang sedang duduk diatas jalan laluan yang kami gunakan. Isteri mengajak saya berpatah balik kerana khuatirkan kemungkinan pekerja-pekerja itu tidak membenarkan kami lalu atau mengganggu . Saya tidak pula merasa begitu. Lalu kami teruskan perjalanan yang mendaki itu.

Sebaik mengahampiri kumpulan pekerja yang masih lagi duduk diatas laluan, kami dapati mereka ini adalah pekerja membersih kawasan sekitar termasuk mencantas pohon atau tumbuhan. Kesemuanya adalah orang Tamil. Saya mengagakkan mereka bukan orang tempatan. Mereka adalah pekerja dari negara asing. Naluri saya berkata begitu. Saya tidak tahu mengapa walaupun amat susah membezakannya dengan warga tempatan. Tapi cara dan lagak gayanya mereka bukan orang Malaysia walau pun bertutur dalam bahasa Tamil. Bilangan mereka melebihi 10 orang.
Beberapa orang dari mereka bangkit , membuka ruang bagi kami meneruskan perjalanan. Sebaik melepasi mereka, tiga hal bermain dalam kepala saya. Hal pertama mengapa kita perlukan tenaga asing (saya terlalu yakin mereka bukan orang tempatan) dalam kerja-kerja membersih kawasan. Pekerja tempatan boleh melakukannya.  Pekerja tempatan malu? Saya tidak fikir. Lihat contoh pelajar UiTM tadi , anak saudara saya dan anak saya yang tidak malu buat kerja-kerja yang dianggap rendah itu. Mungkin pekerja asing ini dibayar dan sanggup menerima gaji yang rendah. Kalau begitu yang perlu dipersalahkan ialah majikan yang mementingkan untung besar tetapi tidak memikirkan masalah orang tempatan.  

Kedua, bilangan yang begitu ramai untuk kerja yang tidak seberapa itu mengingatkan saya tahun-tahun enam puluhan dan tujuh puluhan dulu. Saya teringat pekerja CEB (Central Electricity Board) atau LLN sebelum bertukar menjadi TNB sewaktu membetulkan wayar letrik yang terputus. Kerja yang boleh dibuat paling ramai 3 orang tetapi bilangan yang datang lebih dari 10 orang. Dan banyak yang bercakap, menyuruh sana menyuruh sini tapi yang buat kerja 3 orang saja. 

Hal ketiga ialah berkaitan dengan memudahkan kita mengenal identiti sama ada orang tempatan atau pekerja asing. Nampaknya dalam hal ini kita ketinggalan berbanding Indonesia dan Thailand. Di kedua negara ini bahasa hubungan rakyat dari kalangan sesama dan berbagai kaum ialah bahasa negara itu iaitu Bahasa Indonesia bagi Indonesia dan Bahasa Thai bagi rakyat Thai. Tetapi di Malaysia ini berbeza. Kalau orang Cina sesama kumpulan mereka akan berbahasa China. Begitu juga orang Tamil akan berbahasa Tamil. Begitu juga yang lain. Maknanya terlalu rumit bagi kita untuk mengenalpasti mereka sama ada warga atau orang asing. 

Bilakah agaknya kita boleh bertemu suasana dimana warga kita walaupun sesama mereka akan berbicara dalam bahasa negara kita iaitu Bahasa Melayu. Menurut perkiraan saya ianya tidak akan tiba masanya walau pun dihujung usia dunia. Kerana apa? Itulah formula yang kita pakai atas prinsip menghormati warisan budaya kaum-kaum atau bangsa yang menjadi warga kita. Agaknya itulah yang dikatakan taat kepada negara!
Mungkin ada yang mencadangkan supaya saya menegur kumpulan pekerja itu. Kalau tidak tahu cakap Melayu maknanya orang asinglah. 

Anggapan itu tidak semuanya benar kerana seorang pekerja asing dari Nepal yang menjadi pengawal keselamatan telah boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang agak fasih semenjak berada disini dalam tempoh 3 bulan saja. Kalau dia tidak beritahu saya yang dianya orang Nepal , saya tidak mengesyakkinya sebagai orang asing. Warna kulitnya macam saya juga. 

Jangan pula tidak percaya ada warga negara Malaysia yang telah lahir dan dibesarkan di Malaysia dan telah berpuluh tahun tinggal di Malaysia yang masih lagi tidak dapat bertutur dalam Bahasa Melayu. Saya sendiri tahu. Kalau ada yang tidak percaya cuba siasat sendiri. Apakah ertinya ini.
Kami berpatah balik selepas sampai disatu hujung. Kali ini giliran isteri saya yang menolak Naqib yang telah lena didalam stroller. Perjalanan menurun amat memudahkan isteri saya yang sebelumnya nampak keletihan. Akhirnya kami sampai di pintu lif. Kali ini kami bertemu dengan seorang pekerja yang menguruskan kerja-kerja penyelenggaran kondo tempat kediaman kami itu. Teka, warga asing atau warga tempatan? 

Kalau meneka tidak melihat wajah sudah tentu tidak adil permintaan saya itu. Jadi saya beri jawapan. Pekerja itu ialah warga Bangladesh. Dan sebahagian besar pasukan penyelenggaraan adalah pekerja dari Bangladesh. Majikannya,  saya hanya agak saja adalah Perbadanan Putra Jaya. Sungguh pilu rasa hati saya.
Hampir satu jam kami berjalan. Selain dapat buat senaman untuk kesihatan badan, ada rasa terkilan dihati mengenangkan nasib pekerja tempatan.

Ahad, 15 Januari 2012

Mahathir dan Anwar :Permusuhan Yang Tidak Ada Garis Penamat

1. Mahathir (M) kelihatan tidak gembira dengan keputusan mahkamah yang membebaskan Anwar (A) dari tuduhan liwat 2 pada tarikh yang dipopularkan 901. Ini berikutan dari kenyataan beliau yang membawa maksud sedemikian dengan mengambil kesempatan menegaskan bahawa cabang kehakiman semenjak dahulu ( mungkin bermaksud -khususnya pada ketika beliau jadi PM) adalah bebas dari campur tangan eksekutif. 

2. Kalau tidak gembira bermakna M tidak suka atau dukacita, tidak gemar, tidak seronok, tidak bersama, tidak menyebelahi, tidak syok dan tidak menyokong dan berbagai tidak yang lain yang menegatifkan sesuatu perkataan yang berciri positif, misalnya 'bersyukur' akan ditambah di hadapannya dengan tidak.  Apatah lagi untuk rasa bersimpatai terhadap A. Hal itu boleh difahami jika beliau masih lagi menjadi PM kerana pencabar yang dibenci masih lagi berpeluang untuk menyainginya. Kedudukan untuk menduduki kerusi PM adalah berisiko jika A bebas dan tidak di penjarakan.
3. Tetapi selepas berada dipinggiran , (maksud saya walaupun telah melepas jawatan , M masih lagi bergerak seolah-olah sebagai seorang yang masih lagi berimpian kuasa ), rasa benci dan marah terhadap A ini tidak dapat disingkirkan dari menguasai pemikirannya. Benci dan marah yang berpanjangan, mungkin tidak ada garis penamat. 

4. Ini bermakna sama ada ketika menjadi PM atau pun selepas tidak memegang jawatan itu, dan selagi hayat di kandung badan , M masih lagi mempunyai sikap yang sama terhadap A, benci, marah dan ada hal/hal-hal yang sangat menyakit dan melukakan hati M. Ada perkara yang belum selesai antara dua personaliti yang banyak mewarnai dan menguasai senario politik Malaysia. Atau adakah kesumat dendam-mendendam  menguasai diri baik M mahu pun A.

5. Semasa menjadi PM, A disingkirkan dari jawatan TPM adalah berasaskan moral A yang dikatakan M terlalu rendah dan tidak sesuai untuk diangkat mengetuai kerajaan. Kemudian, selaras dengan asas penyingkiran itu A telah didakwa dan mahkamah telah mensabitkan A bersalah dan dipenjarakan. 

6. Kemudian dalam tempoh M tidak  berjawatan PM, A telah berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan dan dibebas  dari penjara. Namun begitu M masih lagi mengatakan bahawa dia percaya  A telah melakukan perbuatan rendah moral itu.

7. Jadi disini dapat dilihat bahawa kebencian M terhadap A adalah berpaksikan apa yang dituduh M sebagai moral A yang terlalu rendah. Seolah-olah nampaknya bukanlah A itu sebagai pencabar yang boleh menggugatkan kedudukannya sebagai PM seperti yang diandaikan oleh setengah pihak. Sebab selepas tidak jadi PM pun beliau nampaknya secara konsisten membenci A atas isu moral A yang dikatakan terlalu rendah.

8. Ertinya mesej yang hendak disampaikan oleh M ialah bahawa A memang tidak layak untuk menerajui negara atas isu moral tersebut. Atau dalam perkataan lain M tidak mahu dan tidak bersetuju, sangat menentang dan benci sama sekali orang yang mempunyai moral yang rendah . Apatah lagi jika orang itu dilihatnya bercita-cita atau mempunyai potensi untuk menjadi PM sama ada sebagai pencabarnya atau semasa dia tidak lagi jadi PM. Sesungguhnya ada kemurniaan dalam hasrat M itu. Kita wajar menolak sesiapa saja yang dibuktikan mempunyai moral yang rendah untuk memimpin kita.

9. Sudah tentu perbuatan atau perlakuan atau tabiat atau perangai orang yang suka menerima dan memberi rasuah, seorang penjenayah, merompak harta negara, menyalahguna kuasa, pembunuh, penipu, pembohong, pemfitnah, perogol, pembuat penyebar dan penayang video kotor seperti video lucah, pemutar belit fakta dan pemalsuan keterangan dan banyak lagi perlakuan yang tidak senonoh adalah orang yang memang termasuk dalam senarai M yang tidak layak menjadi pemimpin sama ada pemimpin masyarakat, politik mahu pun pemimpin negara terutamanya menjadi seorang PM Malaysia. Moral mereka setaraf dengan moral A seperti yang dituduh dan dibenci oleh M. 

10. Dan pada ketika ini M hanya mempunyai seorang nama saja dalam senarainya iaitu ANWAR IBRAHIM. Anwar Ibrahim tidak layak jadi PM. Maknanya yang lain khususnya orang politik yang telah dipilih sama ada dari parti yang memerintah atau pembangkang adalah layak menjadi PM kerana tidak mempunyai isu moral. 

11. Oleh itu sekarang saya mula faham bahawa asas kebencian M terhadap A adalah atas asas moral yang rendah. Sebab itulah M terlalu tidak gembira apabila hakim melepaskannya. Maknanya, buat ketika ini,  A yang dikatakan bermoral rendah itu sebenarnya tidak sedemikian setelah disahkan oleh hakim bicara. Keputusan seperti ini bertentangan dengan perjuangan M yang sangat benci dengan orang yang bermoral rendah. Yang paling menyakitkan hati ialah A mempunyai peluang untuk menjadi PM jika PR memenangi pilihanraya yang ke 13 nanti.

12. Apa kah yang akan terjadi kepada Malaysia jika A jadi PM?  Kalau berpandukan kepada kebencian M terhadap A, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang menggalakkan perbuatan yang tidak bermoral. Rosak kita semua! Itu adalah kerisauan M dan yang sealiran dengannya.

13. Saya bersetuju 'jika rosak kita semua' itu hanya merujuk kepada mereka yang sealiran dan penyokong kuat M saja. Saya dan banyak yang lain hanya menerima saja sesiapa yang telah ditunjukkan oleh majoriti rakyat Malaysia untuk jadi PM, tidak semestinya A saja.

14. Yang jelas ialah bahawa M dan A masih lagi bermusuh, permusuhan yang tidak ada garisan penamat. Cuma saya tidak pasti siapakah diantara kedua personaliti ini yang mempunyai dan menyimpan dendam kesumat. Tiada kemaafan bagi mu. 

15. Oleh itu jika ditakdirkan A jadi PM nanti, singkir dan buanglah jauh-jauh rasa kebencian terhadap M jika masih lagi tersimpan pada waktu ini.
 
 


5. 

Jumaat, 13 Januari 2012

Maha Guru Naik Berang

Maha Guru (MG) yang mesra dengan panggilan Ayahanda naik berang. Berang kerana anak muridnya tidak mengamalkan Langkah 22 yang telah diajar semasa dibawah bimbingannya dulu. 

Dia masih lagi memandang gelangang persilatan yang menjadi pertarungan diantara kumpulan anak didiknya dengan kumpulan lawan. Gelangang yang semakin ditinggalkan orang setelah pengadil memberi kemenangan kepada pihak lawan. Walaupun itu pusingan pertama namun MG terlalu berang kerana pada penyaksiannya sebentar tadi anak didiknya yang juga guru persilatan yang baru saja 3 purnama diangkat ke taraf guru telah tidak memberi arahan yang betul kepada pesilat taruhannya. 'Sat tidak patuh', bisik suara hati MG menyalahkan guru bernama Satria yang sama-sama dipersetujuinya dulu untuk mengetuai pasukan silat langkah 22.
 
 "Menyerang tidak boleh berundur. Mesti kedepan. Itu asas serangan Langkah 22", jantung MG berdenyut terlalu cepat melepaskan kemarahan dalam dadanya.
 
Langkah 22    adalah buah-buah pukulan Seni Silat yang menjadi pegangan MG bagi menyerang musuh. Ia telah mengamalkan selama 22 tahun dan dia tidak pernah gagal dalam setiap serangan yang dibuat. Lawannya akan patah riuk, bergelempangan kaku dalam gelanggang perlawanan. Ada yang lumpuh hilang upaya.  Ada juga lawan yang patah tangan dan kaki dan cedera rengan  yang masih bernyawa, ada yang nyawa-nyawa ikan yang merujuk kepadanya untuk diajar kehebatan langkah 22 ini. MG seperti biasa akan berkata bahawa dia seorang yang terbuka dan boleh menerima siapa saja yang mahu belajar dengannya. Dia seorang yang sedia memaafkan sesiapa saja yang pernah memperkecilkan Langkah 22 yang menjadi pegangannya. Dan sikapnya ini mendapat sanjungan tinggi anak-anak didikannya tidak terkecuali  anak-anak didikan dari seni persilatan lawan. Maka bilangan yang berpindah untuk bersetia kepadanya dari hari ke hari bertambah ramai.
 
MG mula tersenyum . Bibir atasnya sedikit terangkat dan melebar ke kiri dan ke kanan sekadar cukup membentuk satu garis pemisahan dengan bibir bawah. Senyumannya adalah simbol Langkah 22.  Senyumannya itu adalah ilham yang melahirkan Langkah 22.
 
MG pernah menguasai dua belantara yang dipisahkan oleh sebuah sungai yang panjang dan besar. Dia sesekali berdayung ke belantara sebelah kanan kerana dia lebih suka tinggal di belantara sebelah kiri kerana di sini banyak pasukan persilatan yang bercambah menjadi pesaingnya. Lagipun anak didiknya yang mendiami di belantara kanan terlalu taksub dengannya, terlalu bersetia.
 
Di belantara kiri lawan-lawannya sentiasa ajak beradu dalam gelanggang. Namun dia tidak pernah tewas. Cuma yang dia ingat dua kali dia hampir tersungkur. Falsafah langkah 22 telah menyelamatkannya. Ya, kalau menyerang biar musuh itu mati. Dia lebih suka gunakan perkataan mampus kerana lebih menyelerakan nafsunya.
 
Tapi yang memberi kesan yang sangat-sangat menebalkan rasa bencinya kepada siapa saja lawan mahupun kawan ialah peristiwa dia diberitahu apabila ada anak didiknya cuba pandai-pandai mengenalkan langkah persilatan yang baru. Dia terlalu berang akan berita yang disampaikan oleh beberapa juak-juaknya yang memang tidak senang dengan langkah baru yang cuba hendak diperkenalkan orang itu. Lalu bersama juak-juaknya anak didik yang dianggap pengkhianat kepada seni persilatannya itu telah di tusuk. Sasaran sebenar didada tapi yang mengena hanya di mata dik kerana tepisan dan elakan anak didik  yang dikatakan pengkianat itu. Hanya lebam membiru dimata dan benjol dikepala saja. Itupun bagi MG  sudah cukup kerana Langkah 22 juga mengatakan 'kalau pukul mesti ada lebam dan benjolnya'.
 
Sekarang MG telah keluar gelanggang persilatan. Tapi masih lagi duduk dipinggiran memerhati dan melihat anak-anak didiknya dengan penuh waspada terutama hal yang berkaitan Langkah 22. Dia mahu seni persilatannya diteruskan. Seni persilatan  yang sentiasa  bertumpukan serangan . Tidak ada satu langkahpun perlu diabaikan semasa menyerang.
 
Di sebelah kiri MG duduk bersila bekas anak didiknya  yang paling taat padanya walaupun tidak termasuk dalam jemaah persilatan yang ada ketika ini. Tapi rohnya menjiwai Langkah 22 yang dipelajarinya dulu. Di sebelah kanan MG pula adalah juga anak muridnya yang masih lagi dalam jemaah persilatan Langkah 22 tapi ramai ahli jemaah persilatan yang menyepi terhadapnya. Dia macam melukut ditepi gantang. Di belakang MG ada beberapa orang yang pernah cedera dik buah pukulan Langkah 22 semasa mereka itu cuba-cuba menguji kehebatan Langkah itu. Mereka berdiri tegak seperti batu, membisu tapi lagak sebagai pengawal MG. Kesemuanya,  yang kiri, kanan dan belakang  sudah akur dan tunduk akan kehebatan MG.
 
"Dia ni dah lupa langkah yang Ayahanda ajarkan. Mahu buat langkah sendiri, serang dan undur. Konon untuk menyusun langkah yang baru yang lebih kemas. Tak boleh. Bila menyerang kita tidak boleh undur barang selangkah. Kalau undur macam mana buah serangan boleh kena lawan. Langkah kita serang dan mara" , berang MG terhambur keluar mendapat anggukan dari kiri kanan dan belakang.
 
" Kat, beritahu Ayahanda tiang pertama yang menjadi paksi Langkah 22", MG menoleh ke kiri untuk menguji ingatan anak didiknya yang taat itu yang bernama Katam yang lebih mesra di panggil Kat saja. Terperanjat juga Kat apabila menerima soalan yang tiba-tiba itu kerana dia bukanlah seorang yang pengingat sangat. Dia pun bukan yang cerdik. Cuma dia suka mencari pohon yang rendang, yang lebat daunnya, pohon yang sentiasa berbuah lebat. Kelakuan dan sifatnya sama seperti beruk yang suka bergayut pada pokok-pokok yang berbuah lebat.
 
Kat  menggaru kepala.
 
"Maaf  Ayahanda, hamba mudah lupa tidak seperti Ayahanda", Kat terus menggaru kepala cuba mengingatkan jawapan kepada soalan yang tidak disangka-sangka itu sambil memuji Ayahanda yang tidak mudah lupa. MG mengukir senyum biasanya. Ada ejekan dalam senyumannya itu.
 
"Kamu Rog, beritahu ayahanda", MG menoleh ke kanan untuk mendapatkan jawapan dari Roger yang dipanggilnya Rog. Rog seorang anak murid yang disifatkannya sebagai bijak  tapi agak nakal yang selalu mengganggu kawan-kawan sepersilatan dari kumpulan wirati. Atas bantahan kumpulan ini Rog telah dikeluarkan dari gelanggang.
 
"Maaf Ayahanda" pohon maaf yang sentiasa didahulukan semasa berbicara dengan MG. Ianya tidak bermakna orang itu bersalah. Tapi itulah caranya memuliakan MG yang dikasihi. Perlu merendah diri seumpama seorang hamba dengan tuannya. "Kalau tidak silap ingatan saya , paksi utama ialah 'kalau menusuk biar sampai mati' ". MG tersenyum mendengar jawapan Rog yang begitu tepat sekali. Senyum dalam ukiran yang sama  yang membawa mesej kebencian dan kebongkakan.
 
"Kalau telanjang .....", "biar sampai bogel", sambung  Kat sebelum sempat MG menghabiskan paksi kedua Langkah 22.  Kat begitu gembira sekali sewaktu menyambung melengkapkan paksi kedua itu. Sekali lagi MG tersenyum.
 
Kat dan Rog bingkas bangun dari persilaan apabila mendapat arahan MG untuk memanggil Sat guru persilatan baru itu berjumpa dengannya. Sat berdiri di hujung gelanggang bersama dengan beberapa pembantunya. Dia begitu tenang sekali walaupun pesilatnya telah tewas. 'Ini baru pusingan pertama' . Sat melebarkan senyuman sebaik saja mendapat jemputan Kat dan Rog untuk mengadap MG.
 
"Kenapa kalah. Ayahanda lihat pesilat kita tadi berundur semasa menyerang. Mana pukulan boleh mengena lawan. Kita mesti serang dan serang , melangkah ke depan. Bukan berundur mengatur langkah untuk buat serangan baru. Itu sudah terlambat kerana lawan akan mula langkah dan meluru ke depan menyerang kita", MG tidak berlengah menyerang Sat, Guru Silat baru tiga purnama itu yang dianggap masih mentah sebaik saja Sat berada dihadapannya. Sat berdiri saja tidak berkata apa-apa. Dia tundukkan kepala sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan MG. MG pula yang duduk diatas kerusi tidak bangun semasa menyambut tangan  Sat.  Pada dia cara itu adalah satu isyarat bahawa dia lebih tinggi darjat berbanding guru silat yang baru itu. Dia yang mendidiknya dulu . Penghormatan adalah hak mutlak  untuk diberikan kepadanya saja. Dia Maha Guru.
 
Memandangkan serangan mulutnya tidak berbalas MG mengulangi serangan sekali lagi tapi kali ini lebih lembut dan berdiplomasi. "Ayahanda bukan apa, cuma amat simpati pada anakanda. Kita kalah membuatkan pihak lawan naik muka. Kita kalah kerana langkah kita sumbang. Kita serang kemudian berundur. Tak boleh macam tu". Sat menundukkan kepala penuh patuh  mendengar. Kali ini dia mahu menyatakan sesuatu. Tapi mengenali MG dia lebih suka menyimpan dalam hati dari menyatakan sesuatu. 

Melihatkan Sat berdiam saja tanpa mahu menyatakan sesuatu perasaan marah MG mula membuak. Dia macam tersenyum apabila kedua bibirnya mula merekah kecil .
 
"Pasal apa serang kemudian melangkah undur kebelakang. Ini bukan langkah 22. Ini langkah menyerah kalah", bibir yang merekah kecil itu telah betukar menjadi bertambah besar untuk membolehkan sergahan keluar dengan lancar. Sat mengangkat kepala tidak tunduk lagi. Dia berpusing membelakangkan MG. Dia Guru Silat ketika ini bukan MG. Dia tahu apa yang dia buat. Dia bukan bodoh seperti yang di pandang oleh MG.
 
"Ini baru pusingan pertama. Kita beri dia menang. Biar dia berkhayal dulu. Nanti dipusingan akhir baru kita tibai", begitu lancar dan tegas keluar kata-kata dari Sat. Dia tidak takut pada MG. MG sudah jadi orang pinggiran, tidak perlu masuk dan turun gelanggang.
 
MG bingkas bangun . Dia terlalu amat marah. Dia tidak menyangka Sat berani berkata begitu dengan suara yang lantang. MG memandang kiri ,kanan dan belakang untuk membaca reaksi anak-anak didiknya. Mereka semuanya berdiri, bersedia untuk menerima perintah MG.
 
"Kita semua turun gelanggang. Kita tidak boleh harap orang ini. Musuh tentu menang. Mati kita" , kata-kata MG yang lantang dan jelas mendapat kata-kata laungan sokongan "Hidup Maha Guru" dari anak-anak didik yang bersama tadi.  Berang Mahu Guru semakin memuncak. Tangan kanannya diangkat melekat didada sebelah kiri.  Satria melangkah meninggalkan mereka. 

 

Khamis, 12 Januari 2012

Tarikh Suka dan Duka 1201....

1. Tarikh 1201 pada hari dan tahun yang berbeza telah ditakdirkan kepada kami suami isteri dan keluarga sebagai suatu tarikh yang disambut dengan dua perasaan yang berbeza/berlawanan tetapi penuh kesyukuran dan keredhaan.

2. Pada 12011976 kami suami isteri telah dianugerahkan seorang putera sulong yang telah kami berikan nama Hazlin Azrin. Sudah tentu kami terlalu amat gembira kerana status kami telah bertukar menjadi seorang bapa dan seorang ibu. Tapi kami telah bersepakat untuk di panggil sebagai papa dan mama oleh anak tersayang.
3. Anak dari anugerah Allah SWT ini terlalu berharga dan bermakna kepada kami berdua dengan masing-masing mengambil amanah Allah ini dengan penuh tanggongjawab. Anak kami ini dilahirkan sebagai anak jantung berlubang. Menjaga anak jantung berlubang atau saya percaya sakit yang lain juga, semenjak mula dilahirkan bukan alang kepalang kesabaran yang perlu ada. 

4. Menangis dan meragam adalah satu rutin bagi kami, siang mahu pun malam sehingga kami berasa bersalah dengan jiran sebelah atas gangguan dari tangisan setiap waktu tidur malam. Lama sekali, ada masanya sampai kepagi. Kebetulan pula jiran itu bekerja shift. Maka ada ketikanya tidur beliau tidak wajar diganggu. Tapi nasib baik, kami mendapat jiran yang amat memahami.

5. Keadaan anak kami ini membuatkan kami hanya dapat melakukan ziarah menziarah rumah ibubapa dan sanak saudara sesekali saja kerana anak itu akan menangis sebaik saja sampai dirumah mereka. Menangis panjang yang biasanya gagal untuk kami redakan. Dan kami suami isteri sentiasa bergilir-gilir setiap malam mendukung anak kesayangan itu sambil menyanyi dan membaca ayat-ayat al-Quran sebagai usaha untuk mententeramkan tangisannya. Saya pernah tertidur sekelip mata semasa berdiri mendukungnya kerana terlalu mengantuk. Nasib baik tidak jatuh.
6. Pada usia 2 tahun kami telah bersetuju anak kesayangan itu dibuat pembedahan bagi menutup jantungnya yang berlubang itu. Alhamdulillah pembedahan berjaya. Namun kami hanya dapat bergembira bersama didunia hanya sehingga usianya 6 tahun saja. Anak kesayangan itu telah menmemui Allah pada hari raya ketiga akibat dari satu kemalangan jalan raya yang saya  sebagai pemandu kereta melanggar belakang sebuah lori hantu di Jalan Kuantan-Segamat. Kami mengasihinya dan Allah lebih kasih.

7. Pada tarikh 12011998 pula perasaan kami dirundung duka tidak seperti 12011976 semasa kami dianugerah anak yang pertama. Tarikh pada tahun 1998 kami telah ditakdirkan kehilangan anak lelaki kedua yang ketika itu masih belajar di ITM (UiTM) di tahun tiga (diploma). Kami tidak tahu setakat mana kesedihan yang kami rasa. Cuma dapat menyatakan terlalu sedih. Semoga roh anak kami itu dimasukkan dikalangan orang-orang yang dipelihara Allah. Kami terima ketentuan itu dengan sedih dan redha.

8. Maka tarikh 1201 adalah tarikh suka duka kami suami isteri.

STRATEGI KITA 901

Yang penting ialah kita mendapat keyakinan semula. 
Yang penting ialah pemulihan keyakinan. 
Yang penting keyakinan terhadap kita tidak terus menurun. 
Yang penting bukan saja kita kekalkan tahap keyakinan pada tahap yang masih tinggal ini , 
kita perlu menambah, 
tidak mengapa sedikit demi sedikit, 
tidak mengapa kita melangkah setapak dua kebelakang, 
tidak mengapa kita kelihatan sedikit menyerah,  
asalkan keyakinan yang meluntur dapat kita tahan 
dan yang lebih baik kita tambah kepada apa yang masih berbaki. 
Itu strategi kita buat masa ini. 

Kita terus merancang sementara mereka sedang berkhayal meraikan kejayaan.

Yang teramat penting kita tidak kalah, akhirnya.

Rabu, 11 Januari 2012

Kondo Atau Banglo

Sudah hampir sebulan duduk di kondo. Pemandangan di luar pada waktu malam dari tingkat 12 amat menarik sekali dengan nyalaan dan kilauan lampu-lampu jalan , lampu-lampu di rumah-rumah dan bangunan tinggi yang lain. Hati saya mula tertawan untuk tinggal lama di kondo, untuk menjaga cucu tersayang. 

Rumah yang ditinggalkan di Melaka tidak lagi menguasai perasaan malah semacam hampir hilang dari ingatan, kecuali isteri yang masih risau akan bunga-bunga yang ditanam yang sudah tentu mati kekeringan kerana tiada siapa yang menyiram.   Tapi sayangkan cucu melebihi dari rumah besar yang ditinggalkan, membuatkan  isteri masih lagi memilih untuk mendiami di kondo yang menyekat kebebasan pergerakannya. 

Tiba-tiba pada pagi ini sewaktu kami menolak cucu didalam stroller dalam siri senaman pagi, kami telah berbincang untuk menjual rumah dan hasil jualan itu akan digunakan untuk membeli kondo di Putrajaya. Kami merasakan pada usia yang telah meningkat ini tenaga yang ada tidak lagi mampu untuk menguruskan dengan sempurna dalaman  serta luaran rumah. 

Enam bilik air perlu dicuci tidak termasuk sebuah bilik air diluar rumah; mengemas dan membersihkan bilik-bilik tidur dari habuk dan kotoran yang lain terutamanya tahi-tahi berakan cicak yang tidak pernah gagal ditemui pada setiap hari; memotong rumput sekurang-kurangnya dua kali sebulan; menyapu serta membuang sampah yang terpaksa dilakukan setiap hari; dan menyiram, membaja tanaman dan bunga serta mencantas dan men'trim' daun-daun adalah kerja-kerja yang menggerakkan anggota kami berdua sebagai sebahagian dari senaman. Untuk mengupah pihak lain melakukan sudah tentu menambahkan lagi perbelanjaan. Ianya di luar kemampuan.  

Lagi pun tiga orang dari empat orang anak telah bekerja. Dua darinya telah berumah tangga dan seorang darinya telah mempunyai rumah sendiri. Maka keperluan untuk sebuah rumah yang mempunyai enam bilik diatas kawasan seluas lebih kurang 13,000 kaki persegi nampaknya tidak praktikal lagi bagi orang tua seperti kami. Kami yakin kesemua anak-anak akan mempunyai rumah sendiri dan tidak akan mengambil alih untuk mendiami rumah kami itu.

Bahkan untuk turun naik tangga atas kebawah dan bawah ke atas juga tidak lagi setangkas dahulu. Tangan sentiasa memegang pada selusuh tangga untuk membantu pergerakan.

Demikianlah sambil berjalan menolak cucu di dalam stroller yang memandang kiri dan kanan menikmati persekitaran, kami berbincang yang secara kebetulan kedua-dua kami mempunyai pendapat dan pandangan yang sama. Namun isteri masih lagi menyimpan harapan untuk rumah itu diambil alih oleh salah seorang anak. Isteri menaruh harapan kepada anak lelaki yang baru saja bekerja yang masih belum bekeluarga atau anak bongsu yang masih lagi belajar. Harap-harap salah seorang itu akan bekerja dan bermastautin di Melaka.

Saya menyatakan kepada isteri bahawa harapan itu berkemungkinan besar akan tidak menjadi kenyataan kerana besar kemungkinan kedua-dua anak-anak itu akan berpindah randah sepanjang mempunyai pekerjaan. Jadi apa perlu buat? Juallah rumah itu. Beli kondo. Ditakdirkan tiada lagi terpulang kepada anak-anak sama ada nak jual atau nak disewakan. Kalau tinggalkan banglo, nak sewa untuk harga yang sesuai amat susah sekali.

Kalau anak-anak balik beraya macam mana? Soalan yang dikemukakan isteri. Dia masih lagi mengharapkan rumah itu akan diambil alih salah seorang anak. Kalau duduk kondo yang hanya ada tiga bilik, kecil pula bukan kah itu satu masalah untuk berkumpul dihari raya.
Saya memberikan jawapan yang terlalu mudah dengan mencadangkan supaya perjumpaan hari raya dibuat di hotel atau di mana-mana restoran. Anak-anak itu bolehlah menyewa hotel yang berdekatan kerana bilik yang ada tidak mencukupi. Isteri mendiamkan diri, mungkin tidak bersetuju.
Macam mana pun perbincangan menjual rumah dan tinggal di kondo ini adalah sesuatu yang baru saja terfikir difikiran kami berdua. Jika dulunya kami berfikir cara begini sudah tentu kami tidak akan membuat rumah seperti yang ada itu. 

Jadi kepada mereka yang mahu memiliki atau membina rumah , hendaklah memikirkan keupayaan tenaga kita di usia tua. Bena dan miliki rumah yang cukup bagi keperluan kita suami isteri kerana anak-anak mempunyai kehidupan mereka sendiri. Bagi saya yang telah terlambat menyedari perkara ini pilihan yang terbaik ialah rumah bawah yang mempunyai tidak lebih 3 bilik. Ertinya pilihan saya bukanlah kondo dan tidak juga banglo.
 

Agak Terlambat Tapi Tidak Mengapa

Pada malam 801 saya telah menulis untuk tujuan paparan pada esok hari 901 atas  satu isu yang saya rasa sebahagian besar rakyat Malaysia tidak sabar untuk mengikutinya. Ianya satu isu yang melibatkan sesuatu personaliti tetapi mempunyai pengaruh yang merentasi kepentingan personaliti itu dan yang rapat dengan personaliti itu sendiri. Saya percaya tanpa menamakan personaliti itu semua orang sudah dapat meneka siapa gerangan personaliti itu dan apakah yang membuatkan sebahagian besar rakyat Malaysia sama ada yang rapat, yang jauh yang sayang dan yang benci tidak kurang juga yang duduk ditengah begitu berminat sekali untuk  mengikuti berita 901.

Tapi amat sedih sekali semasa sedang asyik memberikan pandangan tiba-tiba bekalan internet terganggu. Saya terlalu amat kecewa sekali. Semenjak beralih tempat kediaman itulah yang terpaksa saya hadapi tetapi tidak menjangka ianya berlaku pada waktu yang memang terlalu penting bagi saya. Saya mahu menjadi hakim atas kepercayaan saya sendiri. Dan yang paling penting saya mahu beritahu kepada pembaca paparan saya bahawa itulah keyakinan saya.
 
Hari ini 1101 bekalan internet mula pulih. 

Berita, cerita dan isu 901 telah diketahui. Namun saya percaya masih belum basi.

Secara rengkas pada malam 801 itu saya menyatakan/menulis bahawa ramai yang kecewa dan ramai yang gembira sebaik saja Hakim bicara kes Anwar  menyampaikan keputusan penghakimannya. Tapi seperti juga setengah yang lain apa yang saya jangka nampaknya meleset. Ya apa yang diputuskan oleh Hakim bicara adalah berbeza dengan apa yang telah saya tulis pada malam 801.

Adakah saya kecewa dengan keputusan itu? Saya tidak mahu beritahu. Cukup setakat mengatakan bahawa saya terlalu bersyukur kehadrat Allah kerana jumlah wang dan tenaga yang telah diperuntukkan bagi kes seperti ini yang tidak sepatutnya mengambil tempat akan tidak dibazirkan lagi. Wang , masa dan tenaga itu menfaatkan bagi hal-hal yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat. 

Walaupun paparan ini agak terlambat namun saya ingin mengucapkan selamat berjuang kepada mereka yang percaya bahawa fitnah dan memfitnah itu membawa kehancuran. Maksud saya ialah jika kita difitnah dan kemudiannya dihukum bersalah maka cacat juga nama baik kita dan keluarga. Yang memfitnah walaupun menang tetapi kehancuran tetap berlaku sama ada di dunia atau di akhirat, sama ada yang memfitnah itu sendiri binasa dan/atau keluarga dan keturunannya yang akan datang.
Saya agak terlambat dalam hal 901 ini tetapi tidak mengapa.