Theflowersellingboy

Khamis, 28 April 2011

Bila kau dapat? Negeri mana?

"Kau boleh tolong aku tak", Tanya seorang kawan yang duduk dihadapannya. Tiba-tiba soalan itu keluar dari mulut Nasir seorang kontraktor kelas F, tanpa amaran awal.  Ali  yang ketika itu sedang membawa cawan kopi ke  bibir mulutnya tidak dapat meneruskan niat dihati untuk menjamu seleranya. Dia meletakkan semula cawan itu diatas meja didepannya. Perasaan nak marah pun ada kerana soalan itu boleh melenturkan selera paginya itu. Ali memandang tepat kepada Nasir yang telah siap sedia menunggu jawapan."Nak tolong apa?" Tanya Ali macam terpaksa saja. "Dah banyak kali aku masuk, tak pernah dapat. Harga aku tak lah tinggi. Orang lain yang tinggi yang dapat", cerita Nasir mengadu hal kerana selalu kalah dalam tawaran tender. Mendengar keluhan Nasir, Ali ketawa kecil sambil berbisik ke telinga Nasir, "Ada upah ke?" "Apa ada hal. Kalau dapat le", sukanya hati  Nasir seolah-olah telah ditawarkan tender.

Ali baru saja pulang ke kampong setelah sekian lama duduk di bandaraya. Kepulangannya kali ini bersama dengan seorang isteri adalah muktamad untuk menetap di kampong sehingga ke akhir hayat. Anak-anaknya seramai tiga orang masing-masing berumur  20, 22 dan 24 tahun telah bekerja di bandaraya dan tidak berminat untuk balik dan menetap di kampongnya, Bukit Hantu.

Ali dikenali oleh orang-orang kampongnya sebagai seorang yang telah berjaya dalam kehidupan. Tetapi mereka tidak pasti apa sebenarnya sumber pendapatan tetap Ali. Yang mereka dapat lihat ialah hidup Ali selesa, mewah dan bergaya diukur dari segi penampilan dan kereta mewah yang dipakai oleh Ali setiap kali balik kekampong terutama pada cuti hari raya. Pada orang kampong Bukit Hantu, Ali ialah contoh anak kampong yang berjaya di perantauan.

"Kau kenal ke Dato' tu?", Nasir terus bertanya. Ali tidak segera menjawab. Nasir mendesak , "Aku dengar kuasa ditangan dia. Kalau dapat jumpa , bagus juga". Ali tersenyum melihat keadaan Nasir yang beria-ia benar nak tahu sama ada Ali kenal atau tidak dengan  seorang ketua jabatan dibandar negerinya ini yang dikatakan ada kuasa memberikan tender. "Kenal juga, tapi kau duduk disini lebeh kenal dari aku", kata Ali. "Aku kenal dia, tapi dia tak kenal aku", jawab Nasir sambil senyum dan ketawa kecil. "Kau macam mana?" Sambong Nasir. "Aku kenal biasa saja. Tapi kalau nak jumpa aku boleh atur", kata Ali itu sudah cukup meyakini Nasir. "Aku bila-bila masa", kata Nasir seolah-olah menggesa supaya satu perjumpaan diadakan secepat mungkin dengan Dato' itu. "Esok pun boleh, no problem ", kata Ali begitu yakin. "Woi besok Ahadlah. Senin boleh?" Nasir mengingatkan Ali yang begitu selamba saja dan begitu yakin untuk dapat berjumpa dengan Dato' itu. "Boleh. Perkara kecil". "Terima kasih. Aku ada hallah", Sukanya hati Nasir yang segera  bangun membayar minuman kedua-dua mereka. Dia menuju ke kereta mercdez C 200 yang baru dibelinya sambil mengingatkan Ali supaya mereka berjumpa hari Isnin jam 8 pagi di gerai yang sama. Ali melambaikan tangan mengucapkan selamat jalan kepada Nasir. 'Dapat jug aku minum free hari ini',  Ali tersenyum sendirian melangkah menuju ke kereta hondanya. 'C200 masih, boleh tahan', kereta Ali meluncur pergi menuju ke rumah. 

Dalam perjalanan pulang , Ali teringat akan satu peristiwa semasa dibandararaya dulu ketika dia hendak memasuki sebuah jabatan kerajaan untuk suatu urusan. Apabila tiba dibalai pengawal, Ali telah bertanya sesuatu. Sebelum menjawab ,Pengawal telah meminta Ali untuk mengenepikan keretanya dan meminta supaya menulis dalam buku keluar masuk butiran peribadi dan sebab-sebab lawatan. Mula-mula Ali tidak mahu berbuat demikian kerana beliau dapati beberapa kereta yang dihadapannya masuk tanpa berhenti. Dia yakin mereka semua adalah juga pelawat sepertinya. "Orang-orang itu degil. Kalau timbul masalah saya juga yang kena", pengawal itu memaklumkan kepada Ali dengan nada mencemuh. Ali diam saja dan mematuhi kehendak pengawal itu. "Tingkat 8", pengawal itu memaklumkan letak pejabat tempat Ali hendak berurusan.
"Mesti jadi orang degil dan berlagak selamba", bisik Ali tersenyum sendirian sebaik saja sampai di rumah.

Pada hari Ahad Ali membuat sedikit kerja rumah untuk mendapatkan maklumat mengenai Dato' dan aktiviti-aktiviti sepanjang bulan lepas yang melibatkan jabatan dan Dato sendiri. Perkara ini penting untuk melancarkan perbualan apabila mereka berjumpa nanti.

Jam 8 pagi, Hari Isnin ,Nasir telah tercongok siap sedia duduk diatas kerusi bahagian dalam gerai tempat yang dijanjikan . Ali masih lagi belum muncul. Mata Nasir tidak bergerak menghala ke arah dimana Ali dijangka akan dapat dilihat memasuki gerai itu. 'Janga-jangan dia ni terlupa', bisik Nasir sambil memasukkan tangan ke dalam poket seluarnya untuk mengambil handphonenya. Dia mendapatkan Ali tetapi yang kedengaran ialah arahan Ali tidak dapat di hubungi. Nasir bertambah gelisah. Tapi beliau masih lagi mahu menunggu dan sabar menunggu dengan harapan Ali akan muncul. Kerisauan tetap  terbayang pada mukanya yang tidak ceria itu.

Hampir pukul 8.30 pagi maka muka Nasir mula cerah  dan ceria apabila sebuah kereta honda yang memang telah dihafal number pendaftarannya memasuki kawasan letak kereta di geri tersebut. Ali muncul sambil mengangkat tahun melambai sebagai isyarat dia tetap datang menepati janji walaupun telah telambat. "Sorrylah. Buathallah pagi-pagi", Ali menunjukkan keperutnya. Nasir ketawa sambil berkata,"Tu lah makan tak Bismillah". "Kita minum dulu. Tapi janji nak umpa pukul berapa?" Tanya Nasir dengan mempersilakan Ali minum terlebih duliu. "Bila-bila boleh. Dia kena ikut time kita. Kita pelanggan. Pelanggan sentiasa betul", kata Ali begitu yakin sekali.

Setelah pesanan sampai mereka dengan segera menjamu selera terutama Nasir yang mahu menghabiskan makanan secepat mungkin. "Kau ni , relaxlah", tegur Ali apabila melihat cara makan Nasir begitu cepat sekali memasukkan makanan kedalam mulut, beberapa kali kunyah terus telan. "Betul ke kau kenal dia?" Pertanyaan ulangan Nasir untuk mendapat kepastian, dan dia menyambung," Kau tahu, banyak kali aku nak jumpa tapi kata setia usaha dia, jadual Dato' tu penuh. Kau pulak nak jumpa hari ni. Tak ada buat temu janji", Nasir memberitahu apa yang telah dialaminya selama ini dalam hal berkaitan untuk berjumpa dengan Dato' itu. Dia mula risau, khuatir kalau-kalu hari ini dia dan Ali akan menerima jawapan yang sama dari setia usaha Dato' itu. "Relaxlah, Sir. Nanti kita pergi baru tau", Ali memnyakinkan Nasir yang mula telah sedikit luntur keyakinan untuk bertemu dengan Dato' itu.

Jam 9.15 pagi maka meluncurlah kereta mercedez C200 kepunyaan Nasir menuju ke pejabat Dato' itu dibandar yang jarak perjalanan dari kampong Bukit Hantu mengambil masa setengah jam. "Cantik kereta. Kata tak dapat projek?" Ali memulakan cerita sambil memuji dan menguji si Nasir kontraktor itu. "Alah, satu dua projek dapatlah. Kecik-kecik. Kereta ni pun baru aku beli. Ansuran. Sebulan RM2,500. Baru masuk bulan kelima. Itu yang aku pening ni". "Tapi kalau dapat projek yang aku baru masuk, rengan sikit. Sebab tu jumpa Dato' ni penting. Kuasa di tangan dia", sambung Nasir bercerita betapa pentingnya perjumpaan hari ini. "Betul ke kau kenal dia?" Sekali lagi Nasir bertanya. Ali tersenyum dan diam tanpa menjawab. "Eh betulke?" Desak  Nasir lagi dengan menepuk peha si Ali yang bersehaja itu. "Kan aku dah kata, aku kenal biasa-bisa saja. Macam kau kenal", jawab Ali yang membuatkan Nasir menoleh kepadanya. "Ehh macam ni susah lah nak jumpa", Nasir mula risau. Wajahnya tidak seceria sewaktu berjumpa dengan Ali di gerai tadi. " Kita pergi dulu. Tapi disana nanti aku yang bercakap. Kau anggok atau diam saja. Bila aku bagi isyarat, kau boleh lah cakap", jawab Ali selamba sambil menetapkan syarat untuk Nasir patuhi. Nasir bertambah ragu.

Di pejabat Dato' itu Ali dan Nasir berjumpa dengan setia usaha. "Saya Datuk Ali dan ini kawan saya tuan Haji Nasir", Ali memperkenalkan diri. Nasir tercengang, mulutnya sedikit ternganga. "Dato' ada. Kami nak jumpa", Ali meneruskan bualan menyatakan niat mereka. Setia usaha lantas bangun dari kerusi, sambil tersenyum tersipu-sipu dan penuh hormat menyatakan bahawa Dato'  ada dan sedang bercakap talipon. Setia usaha meminta mereka berdua tunggu sebentar. Nasir nampak kebingungan dikuisnya badan Ali dan cuba bertanya sesuatu. Tapi dik kerana janji, Nasir diam membisu.

Setia usaha masuk ke dalam bilik Dato'. Selepas beberapa minit beliau keluar dan tersenyum menganggokkan kepala mempersilakan Datuk Ali dan Tuan Haji Nasir berjumpa dengan Dato'. Selepas menjawab salam dan bersalaman dengan Datuk Ali dan Tuan Haji Nasir, Dato' mempersilakan kedua-dua mereka duduk  diatas sofa berhadapan dengan meja kerja Dato'

"Apa yang saya boleh bantu" , Dato memulakan bicara. Nasir mula tersenyum kerana soalan itu memberi peluang untuknya menyatakan hasrat perjumpaannya pada hari ini. Dia mahu menjawab tapi tidak mampu sebab telah berjanji. Biarkan Datuk Ali uruskannya. Datuk Ali mula bicara "Minta maaf Dato' , kami datang tak buat temu janji. Hari tu kami datang tapi katanya Dato' ada function di Kelab .... saya lupa nama kelab tu", "Kelab Golf Seri Intan. Ada persidangan", Dato' memaklumkan aktiviti yang telah melibatkan jabatan dan dirinya minggu lepas dan Datuk Ali menganggok-anggokkan kepala sambil tersenyum. "Datuk main golf ke?"
Tanya Dato" . Nasir nampaknya tidak berminat fasal cerita golf. Dia hendak bersuara, tapi tak boleh. Kena diam melainkan bila diberi isyarat. "Dulu mainlah. Tapi sekarang dah gantong. Accident, tangan ni dah tak kuat lagi", jelas Datuk Ali lancar sekali membuatkan mulut Nasir ternganga dan tak percaya.

Sambil melihat jamnya Dato' mengulangi lagi bertanya hajat kedua-dua tetamu yang duduk berhadapan dengannya itu. "Minta maaf, apa yang boleh saya bantu. Sekejap lagi saya ada mesyuarat", Dato' memberi keceriaan kepada Tuan Haji Nasir. Datuk Ali memandang kepada Tuan Haji Nasir memberi isyarat bahawa telah tiba masanya untuk dia berkata-kata. Isyarat itu telah dapat dibaca, "Sebenarnya Dato' saya nak minta tolong. Saya ada masuk tender projek ubahsuain bangunan ni, jabatan Dato'. Kalau boleh Dato' tengok sikit", Tuan Haji Nasir memaklumkan tujuannya sambil menghulurkan sekeping kertas yang mengandungi maklumat syarikat dan projek yang dimasukk dan meminta maaf  kerana tidak membawa profail syarikat yang lengkap.

Kertas maklumat yang dihulur telah berada ditangan Dato'. "Inilah, Jawatankuasa akan bersidang dan kita akan tengoklah nanti. Kalau semuanya ok, insyaAllah. Minta maaf saya terpaksa bergerak sekarang", Dato' dan Datuk Ali dan Tun Haji Nasir bangun dan bersalaman.

Dalam kereta, dalam perjalanan balik Nasir bertanya, "Ehh aku belum pergi haji dah. Kalau Dato' tu tau malu aku. Kau ni bila kau dapat Datuk? Negeri mana bagi?"  Ali ketawa besar. "Eii hidup ni mesti muka selamba. Confident. Mesti berani dan degil. Kalau tidak orang main kan kita. Aku kenal Dato' tu sama macam kau kenal. Dia tak kenal aku. Tapi kau tengok setia usaha tadi, bila kata Datuk saja, bukan main tunduk hormat", ketawa Ali semakin meleret. Si Nasir pun ikut sama tapi pendek saja. "Boleh dapat ke?" Bertanya kepada Ali yang masih ketawa. "Dapat Datuk? Boleh", Ali ketawa bergurau, tapi Nasir tidak turut ceria akan gurauan Ali itu. Beliau terus memandu menuju ke gerai untuk menghantar Ali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan