SJ untuk anda budiman. Doa kita agar anda sihat sejahtera. Amin
Jumaat ini kita akan bercerita fasal menjaga kesihatan di masjid. Kita akan bercakap fasal kebersihan. Kebersihan itu adalah sebahagian dari aspek kesihatan. Malah Islam mengutamakan cuma pengikutnya saja yang tidak mengambil berat dan memandang remeh akan kebersihan. Setengahnya pula mempunyai tafsiran yang salah mengenai kebersihan. Hal ini lah yang amat malang sekali. Beberapa contoh yang akan dibawa akan dapat menjelaskan maksud salah tafsiran itu.
Pada suatu masa dulu dalam anggaran tahun tujuh puluhan dan sebelumnya, bergantung kepada kemajuan pelajaran masyarakat setempat, kita pernah menyaksikan bagimana orang-orang Melayu Islam mengambil wudu' di masjid atau surau yang tidak mengutamakan kebersihan dan kesihatan diri dan orang lain. Begini, sebahagian besar masjid kita ada menyediakan kolah besar yang berisi air untuk tujuan berwudu'. Isipadu air itu dikatakan melebihi dua kolah. Maka bukan suatu yang luar biasa jika ada diantara para jemaah yang berwudu' itu akan menghulurkan kaki mereka kedalam kolah itu sebagai sebahagian dari anggota yang perlu dibersihkan dalam syarat berwudu'. Sebahagiannya pula menggunakan air dikolah yang sama untuk berkumur membersihkan mulut dan memasuk sedikit air kedalam hidung.
Apa yang SJ hendak persoalkan ialah tentang keadaan kaki orang tadi. Adakah kakinya berkudis, terpijak najis atau kotoran yang lain. Kalau pun kakinya dianggap bersih dari perkara yang SJ persoalkan, adalah lebih cantik dan beradab jika orang itu menggunakan gayung yang disediakan atau pun membuka paip yang ada untuk membasuh kakinya dan bukan mencelupnya kedalam kolam. SJ difahamkan bahawa mereka berbuat demikian kerana isipadu air itu melebihi dua kolah lantas katanya ia tidak akan merubah warna dan bolih digunakan untuk berwudu'. Tetapi perlakuan seperti ini telah susah untuk saksikan ketika ini sama ada di kampong apatah lagi di bandar.
Hal kedua yang hendak disentuh ialah tentang masuk ke tandas. SJ telah berkesempatan untuk menunaikan solat dibeberapa buah masjid di luar kariah SJ. Pernah bersolat di masjid kampong, desa mahu pun di bandar dan bandar raya. Sebahagian besar, termasuk masjid-masjid ternama negara, apatah lagi masjid-masjid dilokasi tidak terkenal tidak mengambil berat tentang aspek kesihatan penggunaan tandas. Tidak tahu alasan mengapa, untuk masuk ke tandas kita mesti berkaki ayam. Ertinya kita tidak bolih, mungkin dilarang untuk memakai selipar atau mengalaskan tapak kaki kita untuk memasuki tandas sama ada untuk buang air besar atau kecil atau menukar pakaian. Disetengah tempat ditulis dengan jelas akan larangan ini.
Apakah itu dikatakan untuk menjaga kebersihan? Kalau itu alasannya, kita tidak utamakan kebersihan tetapi suka mengadakan peraturan yang kita angap bolih mencapai maksudnya. Sesungguhnya kita telah jumud dari segi pemikiran, jauh ketinggalan dari segi aspek kebersihan, dan sebenarnya kita tidak faham apa itu kesihatan. Bukankah lebih baik, lebih cantik, lebih molek disediakan selipar yang bersih untuk digunakan oleh para pengunjung atau sesiapa saja untuk memasuki dan menggunakan tandas. Jangan benarkan mereka menggunakan kasut atau selipar mereka. Kita sediakan. Agaknya tiada wang untuk tujuan itu? Atau takut selipar di curi? Kamun men, itu alasan orang yang suka melihat amalan lama diteruskan walaupun ianya memudaratkan kesihatan.
Kebetulan beberapa hari yang lepas, SJ bersolat zohor di Masjid Putra Jaya yang cantik dan indah itu. Atas keyakinan bahawa aspek kesihatan diberi keutamaan, SJ melangkah ke tempat berwuduk, sudah tentu SJ menanggalkan kasut dan berkaki ayam. Tiada selipar . Tidak mengapa sebab tempat berwuduk tidak mudah tercemar kebersihannya. SJ meneruskan langkah untuk ke tandas sambil mata mencari-cari selipar sebelum memasuki tandas. Tidak ada , tidak jumpa, tidak disediakan. Namun hajat mesti ditunaikan. Dengan menjengjitkan kaki seolah-olah tidak mahu memijak lantai tandas, SJ memenuhi hajat tetapi dengan keluhan "mengapa jadi begini?" Tiada wang? Atau ada pekerja yang datang mencuci? Sebaiknya kita ambil gambar. Gambar dan alasan-alasan yang diberi kita bolih simpan dalam muzium untuk ditenang oleh generasi akan datang. Mereka mungkin akan berkata "oooh begini caranya datuk nenek kita gunakan tandas". Sama dengan komen kita apabila melihat ada masyarakat yang masih tinggal diatas pokok.
Dalam perjalanan keluar dari tempat berwuduk, SJ terserempak dengan seorang Cina tempatan bukan Islam menanyakan sama ada bukan Islam bolih menggunakan tandas tersebut. SJ menyatakan bolih sebab tidak salah bagi bukan Islam menggunakan tandas itu, dari pandangan SJ lah. Cuma semasa menjawab itu ada rasa malu dan risau.
Jumpa lagi minggu depan atas hal yang lain pula. InshaAllah jika dipanjang usia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan