Theflowersellingboy

Isnin, 31 Disember 2012

Perlakuan Rasuah: Adakah Sesiapa Yang Ada Keberanian?

Melihatkan berbagai usaha yang dijalankan saya semacam tidak percaya apabila Malaysia dilaporkan sebagai antara negara yang berkedudukan tinggi dalam amalan rasuah. Adakah laporan itu tidak benar?

Sekiranya laporan itu tidak benar mengapa pihak kerajaan tidak menafikannya.

Disinilah membuatkan fikiran saya mula berada 'di persimpangan'. Ke arah mana yang patut saya ikuti. Maksud saya apakah pendirian yang sepatutnya saya ambil. Percaya dengan laporan itu atau tidak percaya. 

Akhirnya saya mengambil pendirian bahawa rasuah memang berlaku di Malaysia. Bahawa perlakuan rasuah di Malaysia menuju kearah yang lebih tidak sihat. 

Saya juga berpendirian bahawa pendekatan terbaik bagi mengatasi gejala rasuah  bukan dengan melihat 'ranking' atau kedudukan indeks perlakuan atau persepsi rasuah seperti yang dilaporkan oleh mana-mana agensi sama ada tempatan atau antarabangsa. 

Pendirian saya 'di persimpangan' itu adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian semasa bekerja dan sewaktu bersara ketika ini.

Rasuah memang berlaku dan ianya semakin menakutkan. Dan perlu diatasi segera sama ada kita pada kedudukan diatas atau dibawah dari segi 'ranking' indeks amalan atau persepsi perlakuan rasuah.

Tapi apa yang menyebabkan berlakunya perlakuan rasuah? Sumber atau punca yang menyebabkan berlakunya pemberian dan pengambilan rasuah?

Ada kena mengena dengan budaya bangsa? Ada kena mengena dengan tahap pendapatan? Ada kena mengena dengan penguatkuasaan? Ada kena mengena dengan persaingan?

Bagi saya ianya ada kena mengena dengan kesemua persoalan yang di tanya diatas sama ada  secara bersendirian atau bersama, saling kait mengait.

Di Malaysia keadaannya unik sekali dari segi komposisi kaum yang menjadi warga negara. Ada berbagai kaum/bangsa dengan amalan adat resam termasuk kepercayaan agama yang mengikat dan memandu cara hidup harian mereka. Secara amnya mereka percaya kepada mewujudkan suasana kehidupan berbaik sangka , saling hormat menghormati dan harga menghargai.

Jadi bukankah itu nilai-nilai kehidupan yang baik? Dan sudah tentu ianya boleh dimenfaatkan bagi menentang gejala dan amalan rasuah.

Saya memberi jawapan dengan memberi contoh kecil saja bagi menunjukkan bahawa jika nilai-nilai itu tidak disalah urus, ianya sumber terbaik menentang rasuah.

Majoriti penjawat awam adalah orang Melayu. Majoriti orang berniaga adalah orang bukan Melayu khususnya orang China. 

Seorang nyonya (China) menjenjeng sebuah bungkusan yang penuh berisi dengan buah limau mandrin menuju ke pejabat tanah untuk urusan pindah milik. Kebetulan tidak beberapa hari lagi nyonya itu akan menyambut tahun baru China. Setibanya di pejabat, nyonya itu lantas memberikan bungkusan buah limau itu kepada petugas di kaunter sambil meminta limau-limau itu dibahagi-bahagikan dikalangan pekerja pejabat itu.

Dalam masa yang sama beliau menyerahkan borang pindah milik.

Ini bukan kali pertama dan bukan orang yang pertama saja melakukan perbuatan seperti itu.

Apa tafsiran anda? Dan jika anda sebagai petugas di pejabat tanah itu apakah reaksi atau apakah yang anda perlu lakukan sebaik menerima bungkusan buah limau itu?

Seperti yang saya katakan diatas bahawa masyarakat kita mempunyai perasaan berbaik sangka. Maka wajarkah petugas itu mengesyakki bahawa nyonya itu mempunyai niat buruk?  Sudah tentu tidak wajar.  Lagipun buah tangan itu diberikan sempena menyambut tahun baru China. Jika ianya ditolak sudah tentu petugas itu dikatakan tidak tahu menghormati budaya orang China

Selain dari sempena tahun baru China buah tangan itu diberikan adalah atas rasa penghargaan beliau keatas khidmat yang telah diberikan oleh petugas pejabat tanah itu. Salah kah dia menyatakan penghargaan melalui buah tangan yang 'token' itu? 

Atas perasaan berbaik sangka dan hormat menghormati adalah tidak wajar petugas di pejabat tanah itu menolak buah tangan itu kerana ianya merupakan tanda penghargaan dan terima kasih nyonya itu diatas perkhidmatan yang telah diberikan.

Mungkin ada pihak yang bertanya begini: Mengapa perlu ambil atau perlu beri  buah tangan itu sedangkan petugas itu telah dibayar gaji. 

Ya, kita atau mereka yang tidak terlibat akan mudah membuat pertanyaan seperti itu. Tapi budaya orang Melayu menjadi penghalang bagi petugas itu menolak pemberian seperti itu. Jika dilakukan begitu ianya boleh memberi malu kepada nyonya itu. 'Jangan suka jatuh air muka orang', pesan ibubapa petugas itu semasa baru menerima jawatan itu dulu.

Bagi orang China pula, pemberian itu adalah atas rasa penghargaan dan terima kasih sempena menyambut tahun baru China. Tidak ada niat merasuah. 'Apalah ada dengan buah limau mandrin itu', mungkin itulah asas yang mendorong nyonya itu memberi buah tangan itu.

Serba salah dibuatnya. Ambil salah, tak ambil pun salah.

Katakanlah petugas itu ada sedikit keberanian untuk menolak pemberian itu. Dan menolaknya secara yang lembut dengan menyatakan bahawa ia merupakan satu kesalahan. Tapi nyonya itupun secara lembut menyatakan bahawa ianya bukan bertujuan tidak baik, hanya tradisi orang China  sempena menyambut tahun baru Cina.

Petugas menolak juga?

Kalau petugas melakukan juga seperti itu maka satu tabik hormat diberikan kepada petugas. Dan kalau air muka nyonya itu tidak berubah menjadi merah padam, malu disebabkan buah tangannya itu tidak dipersudikan maka satu tabik hormat juga wajar diberikan kepada nyonya itu.

Cuma adakah ramai rakyat Malaysia yang mempunyai keberanian untuk melakukan perbuatan/menerima penolakan seperti itu?        

Tanda-tanda yang kelihatan dari dulu sehingga kini tidak menunjukkan keberanian itu. Malahan semakin banyak 'hampers'  bebas dibawa memasuki berbagai jabatan dan rumah-rumah petugas awam.

Itu adalah contoh yang kecil, mudah dan tidak canggih yang melingkari peringkat rendah. Dan contoh seperti inilah yang menjadi hebuh-hebuhan dan mendapat liputan utama dalam pemberitaan.

Mengapa jadi begitu? 

Sebelum saya menjawab , perlu ditegaskan bahawa perlakuan rasuah sama ada kecil atau besar perlu ditentang dan dimusnahkan. Maknanya hebuhan yang besar-besaran dan liputan pemberitaan utama yang diberikan kepada perlakuan rasuah mudah dan kecil-kecilan itu wajar diteruskan.  

Hanya sanya saya menyatakan bahawa kita masih lagi belum ada keberanian dalam menentang rasuah bersekala besar-besaran, yang canggih manggih. 

Mengapa begitu? 

Saya ada cerita mengenainya. Ada kaitan dengan nilai-nilai baik sangka, hormat-menghormati dan rasa penghargaan yang diperkatakan diatas.Tetapi salah tempat dari segi applikasinya.

Seorang petugas dari agensi penguatkuasa telah dijemput untuk memberi syarahan dihadapan pelajar sebuah universiti, atas tajuk membasmi rasuah.

Diterangkanlah akan maksud rasuah itu dari segi undang-undang dan tugas-tugas penguatkuasaan. Dia menjelaskan bahawa dari segi penguatkuasaan , tiada mana-mana pihak atau orang boleh mengatasi undang-undang dengan menyebut contoh sama ada buruh ke, kerani ke, pegawai rendah ke, pegawai menengah ke mahu pun pegawai tinggi. Semuanya boleh diambil tindakan jika melakukan rasuah.

Cuba teliti semula contoh yang diberikan. Dan contoh ini adalah sesuatu yang standard yang diberikan oleh sebahagian besar orang apabila bercakap fasal rasuah. Tak kiralah sama ada yang bercakap itu terdiri dari penjawat awam, menteri-menteri, orang awam atau ahli perniagaan.  

Siapakah atau pihak manakah yang disasarkan apabila bercakap tentang rasuah? Dapat?

Contoh itu hanya bersangkut dengan penjawat awam saja. Tidak atau jarang di sebut pihak atau orang yang berniaga atau yang diluar dari perkhidmatan awam atau orang politik atau pembuat undang-undang di peringkat negeri dan persekutuan, hakim-hakim dan menteri-menteri atau golongan bangsawan/diraja.

Adakah golongan selain dari penjawat awam itu bersih dari rasuah? Atau adakah bilangan mereka tidak ramai berbanding bilangan penjawat awam dan dengan sebab itu perlakuan rasuah jika dilakukan tidak akan mendatangkan kesan yang buruk? Atau adakah perlakuan rasuah itu hanya melibatkan orang yang menerima saja dan mengecuali orang yang memberi?

Mengikut difinasi perlakuan rasuah dan liputan mereka yang boleh diambil tindakan kerana rasuah dibawah undang-undang seperti yang disyarahkan oleh pensyarah diatas, ianya jelas tidak mengecualikan mana-mana pihak, tidak juga membezakan perlakuan rasuah bersekala kecil dari segi bilangan atau nilai suapan. Semua tertakluk kepada tindakan.

Dan sudah menjadi rahsia terbuka bahawa golongan/orang-orang ini juga terlibat dengan perlakuan rasuah.

Tapi mengapa tidak ada keberanian pensyarah itu menyebut seperti sepatutnya?

Bolehkah ketidakberanian pensyarah itu kita kaitkan dengan nilai-nilai baik seperti yang kita sebut awal tadi iaitu tidak mahu berburuk sangka, saling hormat menghormati dan sikap suka menghargai?

Lalu dengan berpegang kepada sikap itu maka ramai pihak sentiasa memberi ingatan bahawa untuk menyentuh atau menegur salah  laku atau kekurangan atau kelemahan golongan-golongan ini hendaklah dibuat secara berhemah. Mesti ada rasa hormat terhadap mereka. Mesti ada rasa menghargai ke atas mereka.

Tidak wajar berburuk sangka apatah lagi terhadap ketua. Mesti ada hormat kerana mereka ketua kita. Mesti pandai menghargai diatas apa yang kita telah perolehi, gaji yang tinggi, kenaikan pangkat, bintang dan darjah.

Maka dengan itu dijadikan alasan yang cukup baik untuk menutup mata, telinga dan mulut.  

Itulah agaknya maksud mesti berhemah. Mesti sentiasa berhati-hati jangan sampai menyakiti hati.

Jadi saya bertanya lagi sekali adakah perlakuan rasuah itu ada kena mengena dengan budaya bangsa? 

Dan adakah sesiapa termasuk pensyarah dari agensi penguatkuasaan mempunyai keberanian untuk menyakitkan hati? Bertindak diluar dari nilai-nilai baik sangka, hormat menghormati dan menghargai.

Sudah tentu peratus keberaniannya tidak lebih dari 10 peratus.

Sebab itulah rasuah menjadi-jadi.

Faktor-faktor dari segi tahap pendapatan, penguatkuasaan dan persaingan sebagai punca kepada perlakuan rasuah saya tidak mahu bicarakan. Kerana faktor budaya bangsa sudah boleh berdiri dengan sendirinya. Dan jika semuanya bergabung, Malaysia akan menjadi lebih tenat dan parah. Inilah nampaknya yang saya nampak yang ada 'di persimpangan' tempat saya berhenti memerhati dengan penuh tekun.