Theflowersellingboy

Khamis, 26 Julai 2012

Nota Dalam Bulan Ramadhan (5)

Waltakum minkkum ummatuy yad'una ilalkhairi wayakmuruna bilmakruf wa yanhauna 'anilmunkkar-hendaklah ada antara kamu satu golongan yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh berbuat yang makruf dan melarang  perbuatan munkar. 

 Ulaaika humul muflihun- dan mereka itu ialah orang yang beroleh kemenangan.

(Ayat 104 Surah Ali Imran)

Dakwah:

1.Berdakwah, mengajak dan menyeru kepada kebaikan dan melarang melakukan perbuatan mungkar. Untuk melakukan itu seseorang itu perlulah mempunyai kesedaran beragama iaitu yang telah beriman yang dapat membezakan diantara yang baik  dengan yang buruk.

2. Dikalangan kita ummat Islam mesti ada golongan yang menjalankan kerja-kerja dakwah-menyeru kebaikan dan melarang perbuatan mungkar atau perbuatan buruk dan keji.

3. Kerja-kerja mendakwah tidak saja terhad dikalangan sesama Islam bahkan meliputi sekalian manusia.

4. Mereka yang berdakwah adalah orang yang beroleh kemenangan disisi Allah.      
 

Rabu, 25 Julai 2012

HARAPAN dan DOA; hubungan manusia dengan Allah dan sesama manusia

1. Sebagai seorang Islam kita sentiasa berharap dan berdoa supaya sehingga ke penghujung hayat kita , kita adalah seorang muslim. Sudah tentu mahu menjadi seorang muslim yang baik. Dan kita mati sebagai seorang Islam.

2. Doa dan harapan adalah diantara ciri-ciri seorang muslim. 

3. Kita berdoa untuk mendapatkan pertolongan dan bantuan dari pihak yang mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk membantu dan memperkenankan doa itu. Siapa yang mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk memperkenankan doa kita selain dari Allah SWT. Maka kita sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT.

4. Kita hidup mesti sentiasa mempunyai harapan walau dalam apa keadaan sekalipun. Kekuatan harapan ini  membolehkan kita meneruskan kehidupan sehinggalah kita menemui ajal yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Harapan adalah musuh kepada kekecewaan dan putus asa. Mereka yang sentiasa ada harapan tidak akan kalah dengan ancaman kekecewaan atau kegagalan yang ditempuhi dan dialami. Mereka terus berusaha selagi hayat dikandung badan.

5. Itulah kekuatan seorang Islam.

6. Seorang muslim yang bergelumang dengan dosa-dosa jangan kecewa untuk mendapat belas ikhsan dari Allah. Jangan berputus harap untuk menjalani kehidupan sebagai muslim yang baik selagi kita masih bernafas. Hidup masa lalu yang penuh dosa tidak wajar menafikan kita untuk terus hidup selagi ajal belum menjemput kita. Cuma hidup yang berbaki itu kita menfaat sepenuhnya dengan meninggalkan segala kekejian lalu dengan satu keyakinan untuk melakukan apa yang diperintah Allah. 

7. Bahawa kita mesti yakin pintu taubat terbuka luas untuk kita. Memohon belas ikhsan dari Allah yang maha pengampun dan yang maha mengasihani, dan kita yakin akan sifat Allah itu dalam setiap saat permohonan keampunan kita itu. Menyesal akan kekejian yang telah dilakukan dan kita berjanji dengan memohon kekuatan Allah bahawa kita tidak akan melakukan lagi perbuatan yang keji yang dilarang oleh Allah SWT.

8. Maka doa kita adalah untuk memenuhi harapan supaya hidup yang berbaki itu mendapat keredhaan dan barakah dari Allah. Tinggalkan kisah lama. Kisah lama hanya untuk kita ingat sebagai kekuatan untuk  kita memohon keampunan dan taubat dari Allah. InsyaAllah, doa kita akan diperkenankan. Kita mesti yakin.

9 Sentiasalah ingatkan Allah dan menghubungkan Allah dalam setiap apa yang hendak dilakukan, yang terzahir dan tersembunyi. Dengan yang demikian kita sentiasa akan terpimpin dan terhindar dari melakukan perkara yang dilarang.

10. Dan jangan lupa hubungan kita sesama manusia kerana masing-masing kita ada hak dan tanggungjawab terhadap satu dengan yang lain. Sentiasalah berdoa untuk kesejahteraan hidup bersama di bumi Allah ini kerana itulah yang menjadi harapan hidup seorang manusia.

Nota Bulan Ramdahan (4)

Yaaaiyuhallazi na aamanut taqullaha , haqqa tuqatihi- Wahai orang-orang yang beriman , taqwalah kamu kepada Allah sebenar-benar taqwa
 
Wala tamutunna illa wa antum muslimun- dan janganlah kamu mati melainkan didalam keadaan muslimin.
 
(Ayat 102 Surah Ali Imran)
 
Taqwa:
 
1.Ayat ini adalah ayat yang sentiasa dibaca oleh khatib dalam khutbah Jumaat. Bahawa seseorang yang beriman itu setelah yakin adanya Allah hendaklah sentiasa mempunyai hubungan dengan Allah sehingga meresap kedalam jiwa raganya memelihara terus hubungan ini bagi memupuk dan mempertingkatkan iman dari masa ke semasa.
 
2. Orang yang bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa akan terpelihara tujuan hidupnya. Hidupnya adalah dipandu dan dipimpin dengan kepercayaan bahawa tempat untuk berlindung hanya kepada Allah SWT; menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dan bahawa pemimpin yang sejati adalah nabi besar Muhammad SAW. Keimanan mereka tidak akan boleh diganggu gugat dengan berbagai cabaran,  ancaman dan pujuk rayu bagi mengurangkan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT.
 
3. Sebagai muslim hendaklah sentiasa berdoa dan mengharapkan agar kita mati sebagai  seorang muslimin. Maka berpegang teguhlah kita akan sifat bertaqwa itu semasa menjalani kehidupan . Dengan demikian jiwa muslim kita menjadi besar, teguh dan kebal sehingga ke penghujung hayat kita tanpa dapat digelincirkan oleh apa saja cabaran, halangan dan ancaman.
 
(Rujukan Tafsir Al-Azhar Prof. Dr. Hamka)

Selasa, 24 Julai 2012

Nota Dalam Bulan Ramadhan (3)

Kaabah:

Fihi aayaatum baiyinatum makamu Ibrahim- Disana ada tanda-tanda yang nyata tempat berdiri Ibrahim

Waman dakhalahu kana aamina- dan barang siapa yang masuk kedalamnya, amanlah dia

Walillahi 'alannasi hijjulbaiti manistatoa' ilaihi sabila- dan kerana Allah wajib atas manusia pergi haji ke rumah itu iaitu siapa yang sanggup menuju ke sana

(Ayat 97 Surah Ali Imran)

1. Kaabah adalah rumah suci pertama dibina dimana terdapat tanda-tanda kesuciannya. Diantara tanda-tandanya ialah terdapat maqam Ibrahim dimana nabi Allah Ibrahim AS melakukan solat dan ibadah-ibadah yang lain; terdapat Safa dan Marwah dan telaga zam-zam.


2.Kaabah juga adalah satu tempat/kawasan yang dijaga kesuciannya dan menjadi tanah haram atau larangan. Dengan itu sesiapa memasukinya dijamin merasa senang dan aman.


3. Satu lagi tanda Kaabah rumah yang suci ialah perintah Allah atas manusia untuk menunaikan fardhu haji iaitu kepada mereka yang mampu melakukannya.

Cakap-cakap kontraktor: Projek dan Kemahiran Kontraktor

Jumpa dengan kawan lama. Asalnya dulu kawan saya tu seorang jurutera jalan  di Jabatan Kerja Raya. Tapi membuat keputusan untuk bersara awal sebelum sampai umur 40 tahun untuk mencebur dalam bidang pembinaan. 

Kawan saya tu ada sebuah syarikat pembinaan kelas D bertaraf Bumiputera . 

Pada awal kegiatannya dulu, katanya peluang untuk mendapat kerja adalah baik kerana ada banyak projek walaupun kadang-kadang terpaksa melalui berbagai liku-liku yang amat perit dan sakit hati malah yang dia benci. Tapi sebagai kontraktor, dia tidak boleh meneruskan ciri-ciri sebagai penjawat awam. Banyak jalan yang berlobang dan banyak selekoh yang perlu dilalui. Ada masanya tergelincir dan terbabas. 

Maknanya sebagai kontraktor tidak ada jalan yang lurus. Ada lobang, selekoh dan bengkang bengkok pula. Yang inilah perlu ada seni untuk menguruskannya, jika mahu terus bernafas. Dan dia sudah belajar semuanya itu.

Bagi dia , sistem untuk mendapatkan kerja tidak penting. Apa saja kaedah yang dilakukan bagi menawarkan sesuatu kerja misalnya melalui tender/sebut harga terbuka, design and built, runding harga, cabut undi dan sebagainya adalah sama saja. Tidak langsung memberi makna. Yang bermakna kepada kontraktor ialah bagaimana untuk mempunyai peluang yang besar untuk mendapat kerja. 

Bagaimana caranyanya? Mesti banyak bergaul dengan orang-orang tertentu dan dapatkan maklumat yang tepat tentang  kehebatan seseorang itu dari segi pengaruhnya dengan seseorang yang mempunyai kata putus tentang sesuatu kerja.  Tapi awas banyak orang akan mengaku menjadi seseorang yang boleh 'carry' dan tunjuk jalan. Jadi untuk benar-benar mengetahui orang yang sedemikian ianya bukan perkara mudah. Dan bukannya tiada kos. Silap-silap kerja tidak dapat, kos sudah hangus.

Tapi kalau tidak turut cara begitu maka kena tutup kedai lebih awal.

Seni untuk mengenal dan mencari seseorang itulah sebenarnya yang mesti dikuasai. Mesti  mahir dalam hal itu. Bukan lah kemahiran dalam menyusun pasukan pengurusan projek, mempunyai pekerja yang terlatih, dan kemampuan teknikal yang lain. Atau menawarkan harga yang terbaik yang kompetitif.  

Prosedur-prosedur perolehan itu seperti tender adalah hanya untuk memenuhi keperluan rasmi saja, sebagai rekod untuk penelitian audit. Ia tidak mempunyai pengaruh yang besar.

Kawan saya itu masih lagi dapat survive. Cuma ketika ini katanya projek terlalu kurang tidak seperti biasa khususnya pada tahun 2008. Ketika itu banyak projek 'turun'. Ada kontraktor yang tak cukup tangan. Sekarang dia hanya menyiapkan projek yang masih berbaki yang diperolehi melalui aplikasi seni yang dinyatakan diatas. Dia tidak silap dalam mengenalpasti seseorang.




 

Isnin, 23 Julai 2012

Nota Dalam Bulan Ramadhan (2)

Perang Uhud : 

1. Berlaku diantara puak Quraish Mekah yang dipimpin oleh Abu Suffian dengan orang Islam dibawah pimpinan nabi besar Muhamad SAW pada 11 Shawal Tahun 3 Hijrah.

2. Pihak Islam telah kalah dalam peperangan itu disebabkan  sebahagiannya tidak berdisiplin, tidak taat dan patuh kepada pimpinan tapi lebih mementingkan kepada diri sendiri berebut-rebut untuk mendapat harta rampasan perang. Akhirnya kawalan menjadi longgar yang memudahkan musuh untuk menyerang.

Kaabah:

Inna awwala baiten' wudia' linnasi lallazi bibakkah- Sesunggunya rumah yang pertama didirikan untuk manusia itu ialah yang di Bakkah (Mekah) itu

Mubarakan' wahudal lila'lamin- sebagai (rumah) yang diberi berkat dan petunjuk bagi isi alam   

(Ayat 96 Surah Ali Imran)

1.  Rumah itu ialah Kaabah yang juga di panggil Baitullah buat manusia beribadat kepada Allah SWT. Sebelum Kaabah belum ada sebuah rumah suci didirikan untuk menyembah Allah semata-mata.

2. Kaabah sentiasa dikunjungi oleh umat Islam untuk melakukan ibadah termasuk ibadah haji dan umrah. Kedatangan orang ke Mekah membuatkan ekonominya berkembang. Ini adalah satu barakah. Kaabah juga adalah kiblat bagi orang Islam seluruh dunia menghadapkan muka semasa bersolat, menyembah Allah untuk mendapat petunjuk dari yang maha berkuasa.

  
 

Ahad, 22 Julai 2012

Nota Dalam Bulan Ramadhan (1)

Lan tanalul birra- sekali-kali tidaklah kamu akan mencapai kebaikan

Hatta tunfiqu mimma  tuhibbun- sebelum kamu mendermakan sebahagian dari harta yang kamu sayangi 

Wama tunfiqu min syaien -dan apa juapun dari sesuatu yang kamu dermakan itu

Fainnallaha bihi 'alim- sesungguhnya  Allah mengetahui.

(Ayat 92 Juzu' 4 Surah Ali Imran)


1. Untuk menjadi insan yang baik, insan yang diredhai Allah caranya mudah saja iaitu dengan mendermakan sebahagian dari harta yang kita sayangi. Mudah saja bunyinya.

Tapi hakikatnya  bukan semudah seperti yang kita cakap. Namun ianya boleh dilakukan dengan syarat kita memupuk, meningkat dan memperkukuhkan iman. Maknanya perlu ada kesungguhan dalam melaksanakan perintah Allah. Perlu yakin akan janji-janji Allah.  Sentiasa taqwa dan berpegang teguh kepada tali Allah.

Maka dengan itu kita mulakan, kalau masih belum kita lakukan; dan jika telah menjadi amalan, kita tambahkan lagi keyakinan kita, berpegang teguh kepada tali Allah dan ketaqwaan kepadaNya dipertingkatkan semoga memudahkan kita untuk melakukan antara lain:

a) Menafkahkan harta yang disayangi. Kita tidak akan merasa ragu-ragu kerana ianya tidak akan merugikan.
b) Berdakwah menyeru kepada kebaikan dan mencegah hal-hal yang mungkar.
c) Bersatu padu membina kekuatan Islam atas dasar taqwa dan elakkan perpecahan sesama Islam.
Paling mudah dalam bulan puasa ini kita banyak menghulurkan derma.

2. Harta yang hendak dinafkahkan itu adalah yang menjadi kesayangan kita. 

Apakah harta yang kita paling sayang? 

Rumah besar, kereta cantik, baju baru atau wang ringgit? Ya semuanya itu kita perlu dalam kehidupan ini sekurang-kurangnya dalam bentuk asas. 

Ada kenderaan boleh memudahkan pergerakan kita. Nak berdakwah pun senang walaupun di wilayah yang jauh. Rumah pula untuk kita berlindung dari panas dan sejuk, mengelak dari kemudaratan.  Wang ringgit sudah tentu memberi peluang kepada kita untuk mendapat sesuatu bagi keselesaan hidup. Bagaimana hendak menderma kalau kita tiada wang ringgit. Maka benda-benda itu terlalu perlu. 

Soalnya berkongsi sebahagian dari harta-harta itu dengan orang atau pihak lain yang juga memerlukannya. Sanggupkah kita melakukannya?  

Bagi saya harta yang paling disayangi ialah nyawa kita. Nyawa adalah segala-galanya dalam kehidupan ini. Tiada nyawa tidak dinamakan seseorang itu hidup. Jadi wajar dan wajib kita tidak memudaratkan diri kita sehingga nyawa boleh terbang misalnya dengan memandu kenderaan pada had laju yang tidak mudah dikawal. Hari raya akan menjelang, peristiwa nyawa terbang ini sudah menjadi satu berita yang biasa saja semacam nyawa itu tidak berharga. 

Jika ada yang berfikiran bahawa itulah caranya mereka melepaskan harta yang disayangi maka orang itu telah menemui jalan yang tidak betul. Kehilangan nyawa itu bukan  hasil dari ketaqwaan kepada Allah. Malah ianya dilarang oleh Allah. Memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Jadi kalau nyawa merupakan harta yang amat disayangi bagaimana caranya untuk kita menfaatkan bagi mendapat keredaan Allah. Senang saja. Berjuanglah demi menegakkan agama walaupun ianya mengorbankan nyawa misalnya mempertahankan agama kita dari kacau ganggu musuh. 

Tapi jangan silap pula. Musuh ini bukan saja yang jelas terdiri dari bukan Islam yang membenci Islam tapi juga termasuk yang Islam yang tidak percaya dan mahu melaksanakan syariat Islam. Tentanglah mereka habis-habisan walaupun nyawa kita terancam.

Namun apa saja pun harta yang kita sayangi yang hendak kita menfaatkan , Allah saja yang maha mengetahui tujuan yang ada dalam hati kita. Yang nampak jelas ialah perlakuan. Manusia boleh lihat dan kita boleh lakukan berbeza dari hasrat yang tersimpan diadalam hati. Allah maha mengetahui dari semua dimensi, sudut, arah, lubuk, yang terzahir dan yang tersembunyi.

Kita sama-sama berdoa agar dalam bulan Ramadhan yang mubarak ini kita dapat melakukan yang terbaik untuk mendapat kebaikan dari Allah SWT. Sudah tentu asas kita dalam menafkahkan harta kesayangan itu  adalah ketaqwaan kepada Allah SWT. 

Bahan Rujukan: Tafsir Al-Azhar Juzu' 4 Karya Almarhum Prof. Hamka.

Sabtu, 21 Julai 2012

Buatlah Perkara Yang Baik Walaupun Baik Yang Terlalu Kecil Dalam Bulan Ramadhan.

Hari pertama puasa. Sama seperti puasa tahun-tahun berlalu, soal menahan lapar tidak jadi masalah. Yang selalu tercabar ialah kekuatan untuk melakukan yang baik-baik lebih banyak lagi pada bulan ini. Satu lagi ialah untuk menjaga mulut dan lidah. Nak jaga mata dan telinga. Nak kawal nafsu selera. Nak kawal apa yang ada dalam hati. 

Nak lakukan yang baik-baik lebih banyak lagi, biasanya tinggal azam saja tanpa perlakuan. Mulut dan lidah mudah gagal untuk menahan dari mengeluarkan kata-kata yang kurang elok. Puas dicuba, ada juga yang tergelincir terutama kalau ada kawan bicara. Ada saja yang dituturkan ,mengatakan kekurangan dan kelemahan pihak lain sedangkan diri sendri pun banyak yang kurang. Contoh paling nyata ialah mencari dan membicarakan kelemahan pihak lain dalam bulan yang suci ini. 

Telinga dan mata sama juga. Tonton program dan rancangann tv yang dedah sana dedah sini; cerita kata-mengata orang lain misalnya dalam rancangan gossip, melody dan yang setaraf dengannya. Mata mudah mengantuk kalau tengok rancangan hal-hal agama dan hal-hal yang membincangkan kepentingan masyarakat. Telinga pula suka dengar lagu-lagu yang menghiburkan lagi menghayalkan justeru leka melakukan perbuatan dan amlan yang baik misalnya membaca al-quran.

Nafsu selera nampaknya boleh kawal. Tapi kadang-kadang kalah juga apabila terlalu banyak makanan yang dihidangkan dalam bulan puasa. Bukan sedap sangatpun . Sama seperti hari-hari yang lain tapi dik kelaparan berpuasa ianya membuatkan semua makanan menjadi kegemaran selera. Akhirnya mampu makan sikit saja.

Satu lagi ialah apa yang ada dalam hati. Melainkan Allah orang lain tidak tahu. Sendiri tahulah apa yang menggoda dan berbisikan dalam hati. Ada saja perkara-perkara negatif yang merasuk hati sehingga boleh dibuat sebuah novel. Macam-macam yang tidak kena dan tidak setuju. Kalau yang positif dan baik yang tidak ditegah Allah , tidak jadi hal. Ada yang tidak patut. Fikir fasal tukar kereta baru, fasal nak adakan rumah terbuka yang lebih besar dari yang lepas dan macam-macam lagi sedangkan kemampuan sudah berkurangan. Itu hanya contoh yang paling kecil.

Naqib, cucu saya yang mengidap demam panas selama sepuluh hari itu nampaknya telah sembuh. Bukan main aktif lagi. Kami semua gembira. Kami tidak tahu ubat apakah yang membuatnya sembuh. Saya cuma boleh teka saja iaitu ubat antibiotik kerana ini ubat terbaru yang diberikan sebagai tambahan kepada ubat demam. Atau mungkin kesan dari minum dan mandi air yang didoakan oleh ustaz dari perubatan Islam darul shifa di Bangi. Tapi apa-apa pun semuanya dengan izin Allah SWT. Kami sesungguhnya bersyukur kerana Naqib telah sembuh dari demam panas. Kebetulan pada hari pertama kita berpuasa. Jadi tidaklah meragam lagi. Maka tidak ada alasan bagi kami untuk mengurangkan amalan dan ibadah puasa.
  
Jadi pada tahun ini , harap-harap amalan ibadah puasa akan meningkat lebih baik dari yang lepas.

Malam tadi berterawih di masjid yang berdekatan. Di kondo tempat kediaman, terawih tidak diadakan. Bukan kerana tidak ada masyarakat Islam tapi saya tidak pasti kenapa penghuni kondo yang sebahagian besar orang Melayu Islam dan beberapa keluarga Arab Islam tidak menggunakan surau dikondo yang agak besar juga untuk tujuan solat berjemaah termasuklah solat terawih dalam bulan Ramadhan.

Apa yang saya pernah dengar bahawa ada pihak tertentu telah memanggil mesyuarat sebelum bulan puasa ini bagi tujuan membincangkan sesuatu. Saya tidak hadir kerana notis itu saya tidak terbaca dimana-mana. Saya hanya diberi tahu oleh menantu selepas tarikh perjumpaan tersebut.

Sehingga sekarang tidak ada apa-apa pengumuman mengenai  keputusan perjumpaan itu.

Ada juga hasrat untuk mengadakan perjumpaan dengan semua masyarakat kondo bagi kepentingan bersama. Tapi ada perasaan serba salah. Siapa saya? Saya hanya penumpang sementara saja. Menumpang sementara menjaga cucu. Maknanya bukan duduk kekal.

Tapi kalau yang hendak dilakukan itu perkara yang baik mengapa perlu difikirkan taraf atau status kita, sama ada penghuni kekal atau penumpang sementara. Buat sajalah, jangan cari helah. Benda yang baik, rasanya semua orang setuju.

Jika perjumpaan diadakan dikalangan penghuni sudah tentu banyak perkara dapat dibincang dan dipersetujui bersama untuk dilakukan.

Saya terfikir pula fasal badan pengurusan. Setahu saya kediaman seperti ini perlu mempunyai satu badan pengurusan yang ditubuhkan  oleh penghuni sendiri bagi menguruskan hal-hal bersangkutan dengan masyarakat kondo. 

Saya juga mendapat maklum bahawa yang menguruskan kondo ini ialah pihak Perbadanan Putra Jaya. Saya tidak pula bertanya bagaimana bentuk pengurusan dari segi strukturnya. Adakah ahli Jawatankuasa Pengurusan? Ada kah penduduk termasuk dalam jawatankuasa itu?  Siapa yang jadi pengerusi? Apa kah bidang atau terma rujukan Badan Pengurusan itu?

Saya percaya dengan mendapat maklumat yang terperinci tentang badan pengurusan itu usaha bagi mengadakan perjumpaan dikalangan penghuni kondo akan lebih mudah diuruskan. Saya akan cuba mendapatkan kedudukan sebenar badan pengurusan itu. Tidak mengapa, walaupun saya hanya penumpang saja. Jika ini dapat dilakukan bukankah elok kerana dilakukan dalam bulan puasa, Ya, ianya satu usaha yang terlalu kecil. Tapi kita mulakan yang kecil sebelum melangkah kepada yang lebih besar.

Jumaat, 20 Julai 2012

Ramadhan Datang Lagi....

Hari esok kita rakyat Malaysia beragama Islam mula berpuasa. Malam ini kita mulakan solat terawih.

Begitulah ketentuan dari Allah SWT yang perlu kita lakukan apabila sampai bulan Ramadhan. Kita telah melakukannya setiap kali datang Ramadhan. Kita yang masih dapat berulang kali melakukan setiap tiba Ramadhan sudah tentu rasa bersyukur kerana pada bulan ini kita telah dijanjikan Allah SWT dengan berbagai peluang untuk mendapat balasan yang baik. Semakin banyak perlakuan kita yang baik semakin banyak balasan baik yang akan kita terima, berlipat ganda dari bulan-bulan yang lain. Sudah tentu perlakuan kita itu adalah kerana mentaati perintah Allah SWT. Tidak ada tujuan lain dari itu.

Bagi yang sihat tubuh badan dan akal fikiran sudah tentu dapat melakukan ibadat dalam bulan Ramadhan ini melebihi dari orang yang sakit dan uzur. Sepatutnya begitulah. Kalau tidak rugilah kerana keupayaan dan kemampuan yang ada tidak dimenfaatkan seoptima yang mungkin demi mendapat habuan yang dijanjikan Allah SWT. Bagi yang sakit dan uzur, banyak bersabar dalam melaksanakan perintah Allah ini. Mudah-mudahan sakit dan uzur itu akan sembuh segera.

Pada solat Jumaat tadi , pihak masjid tempat saya berjemaah telah mengumumkan berbagai progaram sebagai pengisian dalam bulan Ramadhan  al-mubarak ini. Selain dari solat Terawaih dimaklumkan juga program-program tazkirah, tadarus al-quran dan lain-lain lagi. Msjid ini akan melaksanakan Solat terawaih 20 rakaat dan witir tiga rakaat. Jika pada hari-hari tertentu ada ceremah/tazkirah terawih dipendekkan menjadi lapan saja.

Para jemaah juga akan dihidang dengan jamuan berbuka puasa dan moreh. Harap-harap semua anak kariah dapat memakmur dan mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadhan dan meneruskannya pada bulan-bulan yang lain.

Saya sekeluarga akan turut bersama, InsyaAllah.

Pagi tadi sewaktu ke pasar, kelihatan bilangan pengunjung lebih ramai dari hari biasa. Barang-barang yang dibeli banyak juga terutama bahan-bahan untuk dijadikan lauk pauk dan sayuran. Saya percaya sebahagiannya adalah bertujuan untuk dijadikan makanan untuk bersahur. 

Kebetulan pada hari ini adalah hari pasar tani di Precint 2. Maka ramailah orang yang datang membeli untuk keperluan berpuasa. Sebahagian besar adalah terdiri dari penjawat-penjawat awam. Nampak gaya mereka membeli sakan.

Bazar Ramadhan belum bermula. Esok dijangka akan dibuka. Jadi kepada mereka yang tidak ada masa untuk menyediakan keperluan berbuka dan bersahur, bazar ramadhan amat membantu sekali. Cuma jangan beli terlalu banyak mengikut perkenan mata dan hiduan hidung. Semua berkenan dan cantik dimata. Semuanya mempunyai aroma menarik selera. Nafsu sudah tentu sedia bersetuju. Beli banyak-banyak kerana dah lama berlapar. Semuanya sedap belaka.

Bukan tahun ini saja. Tahun-tahun terdahulu pun begitu. Banyak beli dari makan. Akhirnya membazir. Bukan saja membazir wang bahkan membazir ibadat kerana kita berpuasa hanya untuk menahan lapar saja. Buktinya, bila berbuka, kita beli banyak makanan bag melayan nafsu lapar kita itu.

Harap-harap tahun ini amalan kita lebih meningkat dari tahun-tahun sebelumnya. Satu dari caranya ialah jangan membazir makanan untuk melayan selera yang lapar.

Selamat Berpuasa semoga puasa kita sentiasa diterima dan diberkati Allah SWT. Amin.


 

Khamis, 19 Julai 2012

Demam Panas dan Antibiotik

Hari ini hari yang ke sepuluh cucu saya Ahmad Naqib yang dipanggil Akib saja mengdidap demam panas. Panasny masih lagi tidak hilang. Disiang hari bermula dari pagi hingga senja panasnya menurun. Tapi selepas itu disebelah malam panasnya meningkat dan dia semacam meracau menyebut perkataan-perkataan kegemarannya seperti lori dan aie (air). Kami sekeluarga amat risau keadaannya itu.

Mulanya kami sekeluarga pulang ke Melaka untuk mengemas dan membersih rumah dan kawasan sekitar yang telah ditinggalkan semenjak menjaga Akib di Putra Jaya. Rumah terlalu kotor dan berhabuk. Tahi-tahi cicak bertaburan dan bersepah diatas lantai disemua ruang rumah. Dikawasan luar rumah, rumput liar tumbuh dengan subur dan sampah yang terdiri dari daun-daun kering serta pelepah kering  pokok pinang dan kelapa merah bersepah menyemakkan mata memandang. Maka kami semua bekerja keras membersihkan dalam dan luar rumah.

Terlalu banyak habuk dalam ruang  rumah. Saya menutup hidung dan mulut agar habuk itu tidak masuk kerongga badan bagi mengelakkan serangan lelah dan bersin. Alhamdulillah, setelah selesai kerja, tiada lelah dan tiada bersin.

Disebelah petang nenek mencadangkan supaya dua orang cucunya dihibur dengan mandi di 'kolam renang' plastik yang telah dibelinya dulu. Maka berseronoklah dua orang cucunya Yousef (yang dipanggil asyerf) dan Naqib bermain air simbah menyimbah badan masing-masing. 

Pada waktu itu, nyamuk terlalu banyak dan besar-besar belaka menyerang kami semua termasuk asyerf dan akib. Maka dibakarlah ubat penghalau nyamuk. Tapi nyamuk terlalu degil tidak mahu lari sebaliknya terus menyerang. Mungkin nyamuk itu telah lama tidak berjumpa mangsanya.

Kami semua memberi perhatian penuh agar asyerf dan akib tidak digigit. Tapi gagal. Kedua-duanya menerima gigitan nyamuk. Yang paling teruk akib , kena empat liang gigitan. Kulit akib terlalu sensitif menyebabkan gigitan itu mudah kelihatan dan kawasan gigitan itu sedikit membengkak.

Kami tidak tidur di Melaka tapi balik ke Putra Jaya. Keesokan harinya akib mula demam.

Kami amat risau sekali kerana khuatir kesan gigitan nyamuk yang mungkin menyebabkan akib demam. Bertambah risau jika gigitan dari nyamuk aedes. Semua susah hati. 

Tapi tanda-tanda demam denggi tidak ada. Naqib di bawa ke klinik dan diberi ubat demam. Demamnya tidak juga pulih. Suhu badan panas. Panas makin bertambah disebelah malam. Maka selain dari ubat demam kami juga menjaram Naqib dengan membasahkan kain dan mengelap anggota badannya terutama dibahagian kepala.

Begitulah keadaan Naqib dari hari ke hari. Setelah masuk hari yang ke tujuh, demam naqib masih lagi sama maka mama naqib memutuskan untuk mengambil darah naqib untuk melihat bacaan darahnya. Kami semua merasa lega apabila bacaan darah naqib itu tidak menunjukkan tanda-tanda demam denggi.

Tapi kenapa demam panas naqib tidak juga pulih? Tanpa apa-apa kepakaran perubatan saya mencadangkan supaya akib diberikan antibiotik berdasarkan pengalaman sendiri. Tanpa antibiotik , sakit yang saya idapi seperti demam tidak akan pulih. Tapi mama naqib seorang doktor perubatan tidak bersetuju dengan alasan tidak baik untuk anak kecil seperti naqib yang baru berumur setahun lebih.

Jadi bagaimana cara untuk memulihkan demam naqib itu? Sudah dua kali ujian darah dibuat. Kedua-duanya tidak menunjukkan tanda-tanda demam denggi. Sudah banyak kali berulang alik ke klinik termasuk klinik pakar kanak-kanak. Makan ubat menurut seperti yang ditetapkan. Tapi keadaannya sama saja.

Pagi ini saya dan isteri berpakat untuk mendapatkan rawatan alternatif. Rawatan perubatan Islam di Darul Shifa di Bangi. Kami ke Bangi setelah memaklumkan kepada mama Naqib tujuan kami itu. Mama naqib tiada halangan cuma meminta kami segera balik kerana dia bercadang untuk berjumpa doktor pakar di kliniknya. Naqib juga akan menjalani x-ray untuk melihat keadaan paru-parunya sama ada ada jangkitan kuman.

Di Darul Shifa, ustaz yang merawat membaca sesuatu pada air mineral yang telah dibuka tudungnya. Naqib menangis. Ustaz membaca sesuatu dan menghembus kepala Naqib.

Saya lihat bahawa Naqib sekarang terlalu takut untuk diambil atau dipegang oleh seseorang selain dari kami yang serumah dengannya. Ia semacam fobia. Mungkin disebabkan sudah dua kali darahnya diambil. Jadi sesiapa saja yang asing dianggap sebagai orang yang 'menyakitkannya'.

Kami ke Putra Jaya semula untuk berjumpa pakar di klinik Precint 9. Malang sekali alat x-ray di klinik itu sedang di senggara. Jadi x-ray tidak dapat dilakukan ke atas Naqib. Terpaksa datang esok. Tapi doktor memberi antibiotik.

Saya tidak pula bertanya kenapa doktor beri antibiotik sedangkan ianya tidak sesuai untuk anak kecil. Mungkin doktor itu telah begitu pasti bahawa antibiotik yang diberi itu tidak akan mendatangkan kesan yang kurang baik. Dia doktor pakar sudah tentu tahu apa yang dilakukannya.

Ya, yang penting Naqib akan sembuh. Malam ini jam 8 Naqib akan diberi antibiotik selain ubat demam. Semoga Allah SWT perkenankan doa kami semua agar Naqib sembuh dari demam panas itu. Amin.
    

Kalau Sungguh Bagai Di Kata.......

Kalau roboh kota Melaka
Papan di jawa kami dirikan 
Kalau sungguh bagai dikata
Nyawa dan badan kami serahkan.

Mesej pantun diatas jelas sekali. Ia merupakan janji: Kalau sungguh bagai dikata  ianya mesti dikotakan. Janji mesti ditepati. Janji tidak boleh dimungkiri.

Kerana yakin dengan kesungguhan apa yang dikata akan dikotakan maka seluruh tenaga, anggota badan akan digerak dan digunakan ke arah menjayakan sesuatu matlamat waemah sanggup berkorban nyawa sekali pun.

Rengkasnya pantun diatas membawa mesej 'janji dan pengorbanan'. 

Orang yang berkasih sayang, orang yang dalam mabuk cinta tidak pernah gagal menyatakan kesungguhan kasih sayang dan percintaan mereka. Kesungguhan itu dipupuk dan dibaja dari masa ke semasa sehingga melahirkan janji-janji. Janji untuk sehidup semati. Janji untuk bersama menjalani kehidupan dalam sebuah rumah tangga. Sebuah rumah tangga yang diimpikan sebagai yang terbaik.

Setelah yakin dengan kesungguhan dan janji-janji itu maka pasangan yang berkasih sayang itu sanggup berkorban apa saja bagi menjayakan apa yang dihajati. Jika ada yang menghalang nyawa adalah sebagai penggalang ganti.

Begitulah teguh dan kuatnya pegangan keatas janji bagi mereka yang memadu kasih sayang. 'Jika sungguh bagai di kata, nyawa dan badan kami serahkan'.

Bagaimana pula janji mereka yang telah diberi kuasa untuk memimpin kerajaan?

Pertama, mereka berjanji untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Kedua, mereka berjanji untuk mewujudkan suasana negara yang aman.

Ketiga, mereka berjanji untuk sebuah negara yang rakyatnya bersatu padu.

Apakah itu kesejahteraan kepada rakyat? Kesejahteraan merangkumi segala aspek hidup yang boleh memberi keriangan, keceriaan, kebahagian, kemakmuran, kesentosaan, kebebasan (bukan kebebasan mutlak), keadilan, dan segala hal yang boleh menyenangkan rakyat termasuk persekitaran rakyat itu sendiri.

Maknanya kesejahteraan itu meliputi segala-galanya yang boleh melahirkan warga yang taat setia dan rasa bangga menjadi warga negara.

Soalan: Adakah ada mana-mana rakyat yang merasakan dianaktirikan atau mendapat layanan yang berbeza? Jika ada maka janji telah dimungkiri.

Suasana negara yang aman boleh dilihat dari segi kehidupan rakyat itu sendiri sama ada diancam, misalnya aktiviti dan pergerakan mereka; insiden jenayah dari berbagai bentuk; tangkapan dan tuduhan serta dakwaan tanpa asas dan bukti; dan berbagai lagi keadaan yang menekan kehidupan rakyat.

Soalan: Adakah rakyat tertekan dengan berbagai ancaman dalam penganjuran sesuatu aktiviti atau acara? Jika ada  maka janji telah dimungkiri.

Rakyat bersatu padu ertinya terdapat kehidupan yang harmoni diantara rakyat yang berbeza dalam ari berbagai latarbelakang tetapi memberikan taat setia kepada negara.

Soalan: Adakah mana-mana rakyat yang sentiasa ungkit mengungkit perkara yang telah dipersetujiu bersama sehingga boleh menimbulkan kerenggangan dan pergeseran? Jika ada, itulah tanda kehidupan rakyat yang tidak harmoni. Maka sekali lagi janji telah dimungkiri.

Baik, kita telah paparkan janji-janji yang telah dibuat oleh kerajaan. Soalan-soalan pun telah ditanya untuk mendapat jawapan sama ada janji-janji itu telah dilunaskan.

Mereka yang memimpin sama seperti mereka yang berkasih sayang. Pemimpin kasihkan rakyat pimpinannya. Seorang kekasih sayangkan kekasihnya. Pemimpin dan kekasih tadi menunjukkan kesungguhan masing-masing dalam meyakinkan rakyat dan kekasihnya dengan menzahirkan janji-janji yang menyenangkan hati. Mereka sentiasa bersedia memberikan segala kerjasama dan pertolongan jika 'kalau sungguh bagai dikata', dikotakan, sehingga sanggup mengorbankan nyawa.  

Tapi jika 'kalau sungguh bagai dikata', hanya tinggal kata-kata saja, kekasih yang sanggup berkorban apa saja itu termasuk nyawanya akan jadi kecewa, merana dan hilang percaya kepada kekasih yang mungkir janji itu. Ada yang mengambil tindakan membunuh diri.

Pemimpin yang mungkir janji juga akan menzahirkan rakyat yang kecewa, hidup perit terseksa dan hilang percaya. 

Maka rakyat akan buat pilihan, pilih pemimpin yang lain yang boleh diyakini untuk diberi kepercayaan menerajui negara.
  





 

Selasa, 17 Julai 2012

Perihatan Keluarga di Avillion PD

Pada hari Sabtu yang lepas kami sekeluarga beristirehat di Port Dickson (PD). Sekeluarga bermaksud semua sekali iaitu dari datuk  dan nenek sampailah ke anak, menantu dan cucu. Kami memilih untuk bermalam di hotel Avillion. Hotel ini dibena diatas laut. Maka desiran dan pukulan ombak menjadi hawa telinga kami semua.

Tiga buah bilik yang bersambung telah ditempa. Setiap satu bilik menyediakan dua buah katil untuk 4 orang, bilik air yang selesa  dan ruang anjung yang berhadapan dengan Selat Melaka. Selain dari itu disediakan sarapan pagi untuk dua orang. Jumlah kos semua RM2400 saja bagi kediaman satu malam.

Disebelah malam kami meraikan hari ulang tahun kelahiran 3 diantara 8 anggota keluarga. Walaupun ada yang telah melepasi tarikh dan ada yang belum sampai masanya tapi sengaja kami raikan pada hari itu kerana mengambil kesempatan dalam perihatan keluarga ini. Tidak mudah untuk kami dapat berkumpul kerana masing-masing mempunyai ketentuan yang berbeza dari segi keutamaan dan pekerjaan, dan ada yang sedang belajar.

Makanan yang disediakan pihak hotel  melebihi dari kemampuan kami untuk memakan ke semuanya. Namun ianya amat seronok sekali.
 Cuma pada malam itu seorang dari dua cucu kami iaitu Ahmad Naqib tidak berapa sihat. Beliau tidak dapat 'enjoy' , termasuk kedua ibubapanya pada malam itu. Tapi yang seorang lagi cucu Yousef Imran yang juga sebagai tetamu yang diraikan kelihatan 'happy' dan enjoy sekali bersama dengan kedua ibubapanya.

Selain dari menyusur pantai, kita juga boleh melihat belaan berbagi binatang/unggas seperti ayam, labi-labi, burung merak, arnab dan ayam hutan. Kita dibenarkan untuk melayan binatang/unggas itu dengan memberi makanan yang disediakan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Kalau minat berenang, ada kolam renang. Ada gym dan ada tempat bermain untuk kanak-kanak.

Satu perkara yang diperhatikan bahawa sebahagian besar pekerja peringkat bawah misalnya di restoran , penyenggaraan, dan perkhidmatan ke bilik adalah terdiri dari pekerja asing dari berbagai negara- Filipina, Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

Saya , isteri dan bersama dengan ct (anak bongsu) menyusuri pantai disebelah pagi. Sepanjang  penyusuran itu kami dapati pantai PD agak tercemar dengan sampah buangan. Terdapat beberapa buah khemah di kawasan daratan berhampiran pantai. Nampak gaya seperti orang berkemping.
 
Bukan saja pantainya tercemar kotor bahkan dibahagian darat dimana terdapat tempat letak kereta awam dan kedai/warung makanan , sampah-sampah bersepah mengeluarkan bau yang busuk. 

Walaupun udara dan persekitarannya tercemar, kami beli juga makanan yang dijual untuk sarapan pagi kerana pihak hotel hanya menyediakan sarapan pagi untuk 6 orang saja. 

Apa-apa pun perihatan keluarga di Avillion PD itu sungguh memberi kesan sekali kerana kami sekeluarga dari lokasi yang berlainan dapat berkumpul kesemuanya. InsyaAllah lain kali kami akan melakukannya lagi. 

Cuma dimana ye? Takkan dalam negeri saja. Luaskan lah pandangan sikit. Pergi Bayern Munich di German ke? Dapat tengok pasukan bola yang banyak dipenuhi pemain-pemain negara German.

Memanglah ada niat. Tapi kurang ongkos. 

Tak mengapa. Tahun depan Yousef Imran akan ke Munich ikut bapanya bekerja disana. Ada peluang hotel percuma. Yang lain tanggung sendiri.




Sabtu, 14 Julai 2012

Dua Cerita Dari Mansoura University: i) Qatar Airline Tiket Murah-tapi terkena ii) Dari Stsyen Mahatta Ittor ke Stesyen Ramsis


Semalam aku cuma dapat paparkan cerita yang pertama saja tentang pembatalan tiket Qatar Airline kawan-kawan ku. Aku tidak tahu kedudukan sekarang, sama ada masalah mereka telah atau dapat diselesaikan dengan baik atau bagaimana. Aku telah berada di Malaysia, secara spesifiknya dirumah kakak aku di Putra Jaya. Aku harap kawan-kawanku yang berada di Mansoura tu dapat satu penyelesaian yang terbaik dan seterusnya dapat kembali bercuti di Malaysia dengan selamat. Amin.

Sebenarnya ada lagi beberapa soalan yang aku hendak bangkitkan. Semalam aku terlalu letih. Jadi pada hari ini aku sambung untuk beberapa soalan tentang hal semalam walaupun keletihan belum sepenuhnya pulih kerana malam tadi ada family dinner sempena meraikan hari lahirku yang 22 tahun. Majlis berakhir sehingga hampir jam 12 malam.

Soalan aku yang keempat: Mengapa tawar penerbangan di Luxor yang mengambil masa 12 jam untuk ke sana? 

Soalan aku yang kelima: Katakan tawaran ke Luxor itu diterima, adakah ini bermakna tiket yang dibeli boleh digunakan?

Aku cuba menjawab sendiri soalan-soalan itu dengan menyatakan bahawa airline atau agen itu tidak jujur. Tawaran itu jangan tidak di buat kerana agen percaya bahawa kawan-kawan aku itu tidak akan terima. Pembohong , kaki putar belit.

Sekarang aku nak masuk cerita yang kedua. Ini cerita aku sendiri bersama dengan seorang kawan. Cerita dengan tema yang sama seperti kawan-kawan yang dibatalkan tiket itu. Sedih. Tapi menyeronokkan apabila dijadikan sebagai asam garam hidup menjalani satu pengalaman, terutama di tempat orang.

Penerbanganku balik ke Malaysia dijadualkan pada 11 Julai 2012 jam 11 malam. Aku dan kawanku telah berpakat untuk ke Cairo sehari lebih awal iaitu pada 10 Julai untuk lebih selesa dan mengelakkan masalah kelewatan dik kesesakan lalulintas jika aku memilih menaikki bas. Lima jam belum tentu sampai. Lagipun menaikki kereta api adalah pengalaman yang pertama semenjak aku berada di Mansoura. Ada kawan beritahu bahawa kereta api disini tidaklah teruk sangat. Ada koc kelas pertama.

Kami ke stesyen kereta api yang bernama Mahatta Ittor  untuk membeli tiket. Panjang q nya dikaunter beli tiket tempat kami berbaris. Tiba giliran kami , lalu aku bertanya pakcik dikaunter berapa yang perlu dibayar bagi dua orang ke stesyen Ramsis di Cairo. Hanya 14g? Murah sangat. Aku macam tak percaya sebab tiket bas , seorang 12g. Aku tanya lagi sama ada ada air-cond atau tidak. Pakcik tu jawab, ada air-cond semula jadi ('adi, dalam bahasa Arab tempatan). Maksudnya angin dari luar lah. Aku anggap pakcik ini tidak faham. Jadi aku tanya ada jual tiket yang paling mahal. Maksudnya kelas pertama yang ada air-cond. Pakcik tu tak faham. Tapi ada orang  Arab disebelah beritahu , tak ada air-cond. 

Kereta api tak ada air-cond. Sudah tentu panas, tidak selesa. Tapi, tak mengapa. Ini satu pengalaman. Kami memutuskan membeli tiket. Lepas tu kami menuju ke landasan menuju ke Cairo. Tak berapa lama kereta api sampai . Kami naik gerabak yang berhampiran. Kebetulan berjumpa orang Malaysia. Aku  tanya tiketnya ada number tempat duduk ke, sebab tiket kami tiada number. Kakak itu mengesahkan tiketnya ada number, lalu beritahu, kami telah masuk gerabak yang salah. Gerabak kami dihujung sana. Kami pantas berlari ke gerabak yang dihujung dengan mendapat pesan dari kakak itu supaya berhati-hati.


Termengah-mengah kami sampai digerabak dan terus naik. Aduh.... aku lihat lantainya kekuningan dan meleket semacam ada najis tahi ayam diatasnya. Aku rasa berat untuk melangkah kerana semacam ada sesuatu yang melekat pada kasut. Ya...najis tahi ayam. Ohh.... no no no kami telah masuk dalam gerabak kelas paling murah, paling murah. Macam macam ada. Orang ada, ayam ada, sayur ada, orang jual makanan pun ada. Aku panggil gerabak ini sebagai gerabak ayam. Sebahagian besar penumpang adalah orang perempuan. Nampaknya mereka dari golongan berpendapatan rendah. 

Ada tempat duduk yang kosong. Tapi aku tidak rasa selesa untuk duduk kerana  kelihatan kotor dan tercemar dengan najis tahi ayam. Kami bergerak ke tempat lain. Ada seorang lelaki tua mengosongkan tempat duduk. Kami terus ke tempat yang dikosongkan itu dan duduk. Rupa-rupanya kami duduk berdepan dengan tandas. Bau nya, tahulah sendiri. Tapi apa boleh buat. Kan ke ini satu pengalaman yang mahal. Hidu sajalah bau yang menusuk hidung itu.


Kereta api itu singgah beberapa stesyen. Maka semakin ramailah orang dalam gerabak. Semakin banyaklah ayam, sayur dan lain-lainnya dibawa sama. Semakin bertambah sesaklah nafas menahan bau yang bermacam-macam. Pintu gerabak sentiasa terbuka. Sebab itu pakcik di kaunter jual tiket tadi kata air-cond semula jadi. Kalau nak turun dari keeta api boleh saja dengan secara melompat keluar dan melintas lantasan walaupun ianya sesuatu yang amat bahaya sekali.


Kereta api ini boleh tahan lajunya. Seorang makcik termuntah. Mungkin tak tahan dengan keadaan dalam gerabak termasuk dari asap rokok perokok dalam gerabak. Ini membuatkan kami merasa lagi 'terseksa'. 'Tak mengapa, pengalaman', aku memujuk hati sendiri.


Selama tiga jam perjalanan dalam suasana yang 'menyeksa' penuh dengan 'pengalaman' itu akhirnya kami sampai di stesyen Ramsis , Cairo. Wah.. lega dihati kerana selamat sampai. Cuma kami bawa bersama bau-bauan dari gerabak ayam itu ke hotel yang berdekatan dengan Dataran Tahrir tempat dimana berkumpulnya anak-anak muda Mesir bangkit menentang regim Husni Mubarak sehingga berjaya menumbangkan regim itu.


Di hotel kami pun turut tumbang kerana keletihan . Kami bawa bersama bau-bauan gerabak ayam dalam tidur kami.

Jumaat, 13 Julai 2012

Dua Cerita Dari Mansoura University: i) Tiket Qatar Airline- murah tapi terkena.ii) Dari stesyen Mahatta Ittor ke Stesyen Ramsis.

Pepereksaan semester akhir tahun empat selesai suadah. Aku rasa kali ini soalannya terlalu 'tough' (susah) sekali. Semua soalan dijawab tapi .....ahh perkara sudah lepas. Usaha sudah dilakukan sampai merah-merah mata dan muka naik jerawat kerana terlalu stress. 

Sekarang yang ada dikepala otak aku ialah dua cerita yang aku alami sendiri dan yang berlaku keatas kawan-kawan aku sebelum balik  ke Malaysia. 

Untuk balik ke Malaysia, tiket kapalterbang telah awal ditempa secara online. Seawal bulan Mei. Aku dan kawan aku berpakat naik Egypt Air . Seorang kena bayar 4600 genih lebih kurang RM2300. Dapat 40 kilo berat luggage. 

Tempahan dibuat gunakan kad kredit supplement. Papa aku yang kena bayar. Aku mana ambil duit.Pelajar mana ada duit. Nanti bila aku dah berjaya dan keluar bekerja sebagai seorang doktor aku bayarlah balik. He he he...jangan marah pa. Kalau marah , 'eten' akan berpuasa dan beraya di Mesir. Mama tentu menangis. Papa meleleh air mata. Sekali lagi jangan marah.


Tabiat pelajar macam aku ni bila buat tempahan akan cari dua benda. Pertama, airline yang tawar harga murah. Kedua, berat muatan barang yang tinggi. Rasanya harga tiket Egypt Air 4600g itu adalah murah dan berat barang 40 kilo itu adalah yang paling tinggi berbanding dengan airline yang lain.

Kawan-kawan aku pun perangai serupa juga. Tapi ada sedikit berbeza. Mereka pilihan airline lain. Mereka pilih Qatar Airline atas dua sebab yang sama juga iaitu harga murah dan berat barang yang tinggi. Cuma cara belian tiket berbeza. Mereka guna agen atas agen. Bukan agen cerita James Bond. 

Agen pertama ialah dari kalangan pelajar yang sama menuntut. Maklumlah, kita pelajar ni kalau boleh hendak berjimat belanja dan nak cari belanja dari sumber lain seperti menjadi agen tiket sebagai agen kepada  agen yang lain. Dapat sedikit komisyen pun sudah ok.

Maka kawan-kawan aku itu belilah tiket dengan cara diatas. Qatar airline menawarkan harga 4200g lebih kurang RM2100. Jika bertolak dari Cairo berat muatan yang dibenarkan ialah 23 kilo, tapi dari Alexandria berat muatan bertambah menjadi 40 kilo. Mereka pilih untuk bertolak dari Alexandria sebab harga tiket murah dan berat muatan barang tinggi. Jarak perjalanan ke Alexandria atau ke Cairo adalah sama kurang lebih 3 jam.


Mereka buat tempahan pada bulan Mei juga.


Mereka telah bayar wang dan telah pun dapat tiket. Tapi pada pada 8 Julai waktu pepereksaan semester masih lagi belum habis, mereka dapat berita dari agen , tempahan mereka itu dibatalkan atas alasan tiket yang dibeli itu murah. Harga yang sepatutnya 6000g. Kawan-kawan aku itu panik dan kecewa. Mereka semak di internet. Sah tempahan mereka dibatalkan. Mereka menjadi 'depressed' kerana tiket dibatalkan, menghadapi exam lagi.


Mereka minta supaya wang yang telah dibayar dikembalikan. Agen menawarkan 2 pilihan. Pertama menerima setengah saja bayaran tanpa memberitahu bila tarikh bayaran akan dibuat. Kedua, pelajar bertolak dari lapangan terbang Luxor. 

Aku tidak tahu kedudukan terakhir sebab aku dan seorang kawan telah pun bertolak ke Cairo dengan manaikki kereta api gerabak ayam. Aku akan ceritakan nanti pengalaman naik kereta pai gerabak ayam ini. Paling 'best'.


Berbalik cerita tentang kawan-kawan aku yang malang itu.Aku hairan tentang alasan tiket itu dibatalkan. Dibatalkan  kerana harga tiket yang dibayar itu murah iatu 4200g saja berbanding yang katanya patut dibayar 6000g.


Soalan aku yang pertama: Kalau sudah terima harga 4200g dan telahpun keluarkan tiket macam mana pula timbul harga yang lain? 

Apabila ada tawaran pada harga tertentu (4200g) dan ada pula bayaran pada harga yang diminta (4200g) dan ada pula dokumen mengesahkan transaksi persetujuan diantara dua pihak yang berurusan dalam bentuk tiket yang dikeluarkan maka ianya sudah terbentuk satu perjanjian. Perjanjian tidak boleh dimungkiri. Jika mana-man pihak yang mungkir janji maka pihak itu hendaklah membayar ganti rugi kepada pihak yang dimungkiri. Bukan saja membayar kos tiket bahkan apa-apa kos yang terlibat termasuk kesusahan dan rasa tertekan pelajar-pelajar tadi.

Ini tidak, nak bayar balik setengah. Bila mahu bayar belum tahu. Apa   punya agen ini.Undang-undang apa yang dipakai. Kalau pakai international contract law pun aku rasa agen/airline ini telah mungkir janji dan boleh didakwa untuk membayar ganti rugi. Tapi aku bukan lawyer. Salah ambil kursus.

Menurut papa aku perlakuan seperti itu adalah satu fenomina yang biasa dinegara-negara Arab. Jangan dihairankan. Kita menjadi hairan sebab kita kaitkan mereka dengan ajaran Islam. Sebenarnya tidak begitu. Banyak perlakuan mereka yang jauh dari ajaran Islam termasuklah dalam hal urusniaga. Perlakuan yang memalukan ini bukan saja berlaku dan boleh dilihat di Mesir saja bahkan dikebanyakan negara Arab. Semuanya amat jelek dan memalukan.

Tak percaya ke dengan perangai yang papa  aku katakan itu?

Tidak ada pengalaman di airport Cairo ke. Macam mana  pihak kastam minta bayaran apabila mendapati kononnya barang/item yang kita bawa balik ke Malaysia itu   (misalnya ubat/ubatan) barang/item yang tidak boleh dibawa keluar. 

Kalau dah bayar dalam jumlah yang dikehendaki, boleh pula dibawa keluar.

Ingat semula bayaran fees setiap semester kemasukan. Ada keluarkan resit ke? Kalau ada bila agaknya? 

Aku tidak hairan.Sebab itu di sebahagian besar negara-negara Arab berlaku kebangkitan rakyat kerana ramai yang tertindas jadi miskin. Yang berkuasa dan berkedudukan terlalu mewah dengan rasuah dan salah guna kuasa.


Sebab itu aku lebih suka tempa online walaupun risikonya ada. Tapi lebih selamat dari menggunakan agen atas agen.

Soalan aku yang kedua: Kenapa pakai agen atas agen? Kenapa tidak buat hubungan langsung dengan agen. Adakah menggunakan agen yang terdiri dari pelajar Malaysia itu berniat untung menolong pelajar itu mendapat sedikit wang belanja? Kalau begitu niatnya baguslah. 

Dalam semangat yang sama, wang yang diperolehi pelajar yang menjadi agen itu mestilah diiringi dengan tanggungjawab. Tindakan mesti diambil bagi menolong pelajar yang teraniaya itu dengan meminta balik semua jumlah wang yang telah dibayar. Dan buat bayaran dengan segera. Jika agen gagal atau tidak mahu membayar, hendaklah buat laporan kepada pihak berkuasa Mesir dan Qatar Airline. 

Laporan atau aduan juga dibuat kepada Kedutaan Malaysia di Cairo kerana mereka bertanggongjawab untuk menjaga kepentingan rakyat Malaysia dinegara yang diwakili. Agar dengan laporan aduan ini pihak kedutaan bolehlah menghubungi pihak berkuasa Mesir dan Qatar Airline. Pihak kedutaan juga boleh membuat hebahan dengan menasihat supaya pelajar-pelajar Malaysia tidak lagi menggunakan kaedah agen atas agen ini semasa membuat tempahan tiket kapalterbang.

Soalan aku yang ketiga: soalan ini ada sedikit unsur prasangka, kalau tidak betul dan membuatkan ada yang marah, aku minta maaf: Adakah sesuatu yang tidak baik yang telah dipersetujui antara agen-agen ini. Aku harap tidak begitu.

Ahhh......aku dah penat. Masih letih dek penerbangan yang memakan masa lebih 14 jam. Sebab berlaku kelewatan semasa mula bertolak. Jadi cerita kedua akan aku tulis esok. Maaf.

Khamis, 12 Julai 2012

Menunggu Ketibaan Anak

InshaAllah, petang nanti kurang lebih pukul enam petang kapal terbang  Egypt Air yang membawa anak kami si ct dan kawan-kawannya serta penumpang yang lain dari Cairo akan selamat mendarat di KLIA. 

Diam tak diam sudah empat tahun ct belajar di negara Arab yang baru saja mendapat presiden yang baru melalui pilihan rakyat setelah rakyat Mesir bangkit menjatuhkan regim Husni Mubarak. Ada baki dua tahun lagi untuk tamat pengajian. Semoga Allah memberi kekuatan dan kesihatan kepada ct dan kawan-kawan dalam menghadapi dan meneruskan pelajarannya itu sehingga tamat dan berjaya. Semoga Mesir yang baru ini akan aman dan makmur. Amin.
Peristiwa di Dataran Tahrir-kebangkitan rakyat Mesir menentang regim Mubarak pada 25 Januari 2011 memberi kesan kepada ct dan pelajar-pelajar Malaysia yang lain di Mesir. Sedikit sebanyak pelajaran mereka terganggu juga. Namun sekarang nampaknya ada tanda-tanda menunjukkan Mesir akan menuju kearah yang lebih baik. Harap-harap begitulah.

Satu persoalan yang selalu berlegar di otak kepala saya ialah tentang keperluan mendapat pelajaran dalam bidang perubatan dan yang berkaitan dengannya di luar negara. Maksudnya mengapa perlu hantar pelajar belajar disana atau mengapa mereka perlu belajar ilmu tersebut di luar negara. Tidak kisahlah sama ada belanja sendiri atau tajaan kerajaan (persekutuan/negeri dan badan-badan yang lain). 

Bukankah ini merugikan kerana wang banyak beredar dalam ekonomi negara lain. Mengapa tidak dibina lebih  banyak universiti lagi atau diperbesarkan bilangan pengambilan pelajar perubatan di fakulti-fakulti perubatan dan fakulti yang berkaitan di univesiti-universiti yang sedia ada di Malaysia ini. Petronas telah sedia ada universiti teknologi. Mengapa Petronas tidak mahu memasuki dalam pendidikan perubatan dan sains kesihatan? Apakah Formula 1- bidang perlumbaan permotoran itu lebih penting dari sains kesihatan sedangkan hari-hari pemimpin kata Malaysia masih perlukan doktor, farmasi dan jururawat serta para medik yang lain? 


Terlalu wajar Petronas mengambil langkah untuk memasuki bidang sains kesihatan ini dengan mewujudkan  dan membina institusi yang berkaitan atau adakan fakulti perubatan di UTP yang ada sekarang ini. 


Apakah alasan untuk Petronas tidak terlibat. Tidak ada kemampuan kewangan? Ini tidak mungkin. 


Petronas sendiri telah mempunyai Hospital untuk keperluan anggota yang berkhidmat dengannya. Ini sudah tentu satu asas yang baik untuk memulakan kursus perubatan dengan menjadikan hospital itu sebagai 'teaching hospital'. 


Sekiranya kita dapat menampong bilangan pelajar yang besar maka tidaklah perlu kita hantar ke Ireland  yang memakan belanja jutaan ringgit bagi seorang pelajar. Mengapa perlu habiskan wang yang banyak bagi seorang pelajar. Bukankah wang itu boleh membiayai lebih banyak pelajar lagi terutama jika belajar di dalam negara. 


Adakah alasan hantar pelajar ke Ireland itu kerana mutu ajarannya tinggi dan akan melahirkan doktor yang terbaik? Kalau begitu alasannya ianya bermakna doktor-doktor keluaran dari tempat lain termasuk dari dalam negeri adalah doktor yang tidak bermutu dan tidak akan dapat memberi perkhidmatan yang terbaik, dan tidak selamat.

Menghantar pelajar ke luar negeri sepatutnya dijadikan satu keistimewaan dan bukan satu pilihan. Maksudnya bilangan yang dihantar hanya sedikit saja , yang telah mencapai satu tahap penilaian yang terbaik dari segi berbagai sudut , baik dari segi pencapaian akademik, kecenderungan dengan memberi markah bonus kepada pelajar dari keluarga kurang berada yang telah berjaya. Mungkin bilangan yang dihantar tidak melebihi 10 orang pada setiap tahun atau tiada langsung.


Dengan demikian kos memdapat pendidikan perubatan dan yang berkaitan dapat dikurangkan. Penjimatan itu boleh lah  digunakan untuk menambah bilangan pelajar belajar di universiti dalam negeri dan pembinaan baru fakulti atau pembesaran fakulti di universiti yang sedia ada.

Bercakap tentang kualiti doktor , saya ingin bertanya adakah doktor-doktor yang diambil dari Bangladesh, India , Myanmar dan berbagai tempat lagi tidak berkualiti? Kerana hanya yang keluar dari England saja berkualiti!

Apa pun anak kami ct akan terus belajar di Mesir. Dua tahun tidak lama.Cuma menunggu ketibaannya di KLIA dirasakan agak lama.



 


Rabu, 11 Julai 2012

Cepat dan Mudah Berurusan Dengan Bank Agro

Pukul 11.30 pagi pergi ke bank agro di Bandar Tasik Selatan. Terlalu banyak kenderaan sehingga tiada ruang untuk meletak kereta termasuk dihadapan bank Agro. Malah kereta diltakkan berlapis disepanjang tempat letak kereta yang telah penuh itu. Ini membuatkan laluan kenderaan menjadi sempit. Kenderaan terpaksa dipandu perlahan agar tidak bergeser dengan kenderaan yang berlapis itu. Hujan renyai-renyai.
 
Urusan bank terlalu mustahak diselesaikan pada hari ini kerana telah melampaui tempoh masa yang telah dipersetujui. Oleh itu mahu tidak mahu terpaksa mencari ruang kosong dibahu jalan besar. Tapi disepanjang bahu jalan itu telah sedia ada barisan kereta tanpa pemandu. Ada satu ruang kecil dipersimpangan, lalu berhenti dan meminta isteri tinggal dalam kereta agar dapat menggerakkan kereta jika ianya menghalang laluan atau jika diarah oleh pihak berkuasa.
 
Merempoh hujan yang renyai menuju ke bank dengan menjangkakan bahawa ramai orang berurusan dengan bank berdasarkan bilangan kenderaan yang begitu banyak. Sudah tentu urusan dengan bank akan mengambil masa yang lama.
 
Menghampiri pintu bank didapati tidak ramai orang didalamnya. Pelanggan yang sedia ada hanya seorang dan tambah saya seorang menjadi dua orang ketika itu. Mengambil angka giliran urusan. Tidak sampai sepuluh saat angka giliran telah naik. Cepat sekali.
 
Kurang lebih lima minit saya telah kembali ke kereta semula. 
 
Ini kali kedua berurusan dengan bank Agro di Bandar Tasik Selatan. Urusan kali pertama dulu pun cepat juga sebab bilangan pelanggannya sama saja. 
 
Dulu bank Agro dikenali sebagai Bank Pertanian. Kemudian dilakukan penjenamaan baru dengan ditukar nama kepada Bank Agro. Namun saya melihatnya sebagai menggantikan nama dalam bahasa Melayu ke bahasa Inggeris saja. Lebih sedap disebut seperti kita menyebut RISDA, FELDA, FELCRA, SPAD dan banyak lagi termasuklah UMNO. Semuanya ini singkatan bahasa Inggeris. Jadi tukar kulit saja, isinya belum tentu berubah. Lebih trendy dan fashionable agaknya. 
 
Saya harap anggapan saya itu meleset. Penjenamaan itu bukan bertujuan mengikut trend. Sudah tentu sebagai entiti perniagaan matlamat utamanya untuk buat untung. Untung kepada pemilik. 
 
Siapakah pemilik bank ini? Googlelah kalau nak tahu.      

Berdasarkan kepada pemerhatian di beberapa buah bank Agro dibeberapa lokasi termasuk ibupejabat berhadapan dengan Rumah Persekutuan di Kuala Lumpur, tidak nampak banyak perubahan yang besar dari segi bilangan orang yang berurusan dengan bank Agro ini. 

Tapi bilangan yang berurusan bukanlah secara mutlak memberi gambaran bahawa bank ini tidak menunjukkan kemajuan, diukur dari segi jumlah urusniaga dan kewangan yang terlibat. Yang penting kualiti urusniaga yang dibuat misalnya jumlah pinjaman/pelaburan yang telah dikeluarkan serta pembayaran balik dari pelanggan. 

Kalau nak tahu kenalah lihat laporan tahunan dari bank tersebut.

Bagaimanapun tanpa ramai orang yang berurusan serta banyak pula cawangan bank ini , ia mempecepatkan urusan, menjimatkan masa dan memberi kemudahan kepada pelanggan-pelanggannya. 

 

SIAPA KITA. SIAPA SAYA.

Peluang dan ruang untuk melakukan perkara-perkara yang baik luas terbentang namun jahat yang sedikit itu juga yang menjadi pilihan. 

Begitu juga makanan. 
Yang halal lagi baik terlalu banyak namun yang makruh dan haram juga menjadi kegemaran. 

Banyak yang cantik dan indah yang boleh dipandang namun pilihan mata cenderung kepada yang dilarang.

Otak pun sama, ada saja unsur-unsur yang tidak sihat menyelinap masuk sewaktu memikirkan untuk melakukan yang baik-baik. 

Tidak terkecuali hati sanubari yang membimbing perasaan, ada saja kebencian , tidak jujur dan ikhlas serta buruk sangka. 

Hidung pun sama. Menghidu dan mencium yang sedikit yang menjadi larangan.

Telinga pun serupa, terlalu asyik dan terhibur apabila mendengar serta mendengar curi kisah-kisah yang dilarang.

Lidah dan mulut tidak pernah gagal mengeluarkan kata-kata cerca dan menghina, jijik serta loya apabila mengisahkan hal orang.

Itulah  kita. Itulah saya.
Siapa kita. Siapa saya.
.

Isnin, 9 Julai 2012

Disebabkan Seekor Nyamuk ..............

Kita cuba elakkan dari digigit nyamuk. Gigitan nyamuk akan meninggalkan kesan. Paling kurang kita akan berasa gatal-gatal. Tempat yang kena gigit itu akan bengkak dan menjadi merah. Nyamuk menggigit untuk menghisap darah. 

Gigitan nyamuk juga boleh menyebarkan berbagi penyakit bergantung kepada jenis nyamuk. Misalnya gigitan nyamuk aedes boleh menyebabkan demam denggi; dan nyamuk tiruk boleh menyebabkan demam kura-kura atau malaria. Maknanya nyamuk-nayamuk ini mesti dielakkan atau dihalang dari menggigit kita walaupun dari seekor nyamuk. Cara terbaik untuk mengelakkan gigitan nyamuk itu ialah dengan menghapuskan nyamuk itu sendiri. 

Berbagai cara untuk mengapuskan nyamuk. Berbagai cara pula digunakan untuk mengelakkan dari gigitan nyamuk itu. Semua kita tidak sukakan nyamuk. Nyamuk adalah musuh kita. Musuh yang boleh juga membawa maut.

Pada suatu masa dulu sebelum kita diperkenalkan ubat atau bauan dan cairan semburan yang boleh menghalau dan membunuh nyamuk terutama digunakan semasa hendak tidur, kelambu paling banyak digunakan. Tidur dalam kelambu boleh mengelakkan dari gigitan nyamuk. Tetapi kadang-kadang nyamuk boleh juga masuk dalam kelambu jika ada laluan kecil yang boleh dilolosi. Seekor nyamuk yang dapat melolosi masuk kedalam kelambu sudah cukup untuk membuat kita marah apabila digigit. 

Ada juga diceritakan orang ,disebabkan gigitan nyamuk yang seekor itu, menjadikan seseorang itu terlalu marah dan hilang akal menyalahkan kelambu lalu membakar kelambu itu. Maka dibuatlah kiasan bahawa janganlah disebabkan seekor nyamuk, kelambu hendak dibakar.    

Kalau seekor nyamuk yang buat hal kita bunuh saja nyamuk itu.  Kelambu jangan dibakar.

Tetapi kalau sudah terlalu banyak nyamuk boleh melolosi dan masuk ke dalam kelambu, ada yang tidak kena pada kelambu itu. Mungkin kelambu itu telah koyak rabak atau ditendang semasa seseorang sedang tidur membuatkan pintu kelambu terbuka atau kelambu menjadi terkoyak.


Dalam keadaan kelambu yang koyak rabak itu, iaya bolelah dibakar dan diganti yang baru. Tiada guna disimpaan  lagi, buat menyemak saja. 

Kalau nyamuk masuk disebabkan pintu kelambu terbuka dik ditendang kaki maka orang-orang yang tidur dalam kelambu itu mestilah belajar-belajar ilmu tidur supaya tidak lasak. Misalnya bacalah Bismillah, sekurang-kurangnya, sebelum tidur kerana dengan berkat bacaan itu kaki kita tidak akan jadi nakal semasa kita tidur. Tapi jika orang itu masih lagi tidur dengan lasak sehingga menyebabkan pintu kelambu terbuka luas atau kelambu itu menjadi rosak dan bocor maka humban saja orang itu keluar dari kelambu agar orang lain yang ada dalam kelambu itu akan selamat dari gigitan nyamuk . 

Maknanya jangan salahkan kelambu jika nyamuk dapat masuk kedalam kelambu.

Nampaknya nyamuk yang berbahaya itu  ada jalan untuk diuruskan bagi mengelak dari kena gigitan yang mendatangkan penyakit termasuk maut. 

Bagaimana pula jika dalam sesebuah kumpulan, masyarakat, institusi, organiasasi dan negara terdapat seseorang yang berperangai dan bersifat seperti nyamuk itu. Perangainya jahat suka menggigit dan menghisap darah. Kita katakan orang itu berperangai durjana kerana melakukan jenayah dalam berbagai bentuk dan cara, seorang penipu, suka membuat fitnah, suka laga melaga, seorang perogol, perasuah dan  berbagai perangai durjana yang lain.

Kita ambil contoh anggota dalam sesebuah organisasi. Tidak kisahlah sama ada organisasi politik atau yang bukan politik. Ada seorang dari ahli organisasi itu bersifat durjana, jahat seperti nyamuk yang boleh memberi kesan yang mudarat.

Perlukah organisasi itu mengambil tindakan keatas ahli yang durjana itu?

Jawapan segera dari saya ialah terlalu perlu dan wajib untuk menyelamatkan organisasi dan ahli-ahli lain yang tidak bersifat durjana. Semua orang saya rasa akan memberi jawapan yang sama. Ibarat seekor nyamuk yang masuk dalam kelambu tadi. Nyamuk itu mesti dibunuh. Kelambu jangan dibakar.

Tapi dalam dunia yang nyata dan fana ini, ianya tidak semudah itu. Tidak semudah apa yang kita cakap.

Dalam banyak hal apa yang terjadi ialah tindakan yang selalu dan biasa diambil bergantung kepada kedudukan dan kuasa seseorang dalam organisasi itu. Jika orang itu tiada kuasa dan kedudukan dalam organisasi maka tindakan segera mudah dilakukan seperti kita membunuh nyamuk yang berbahaya itu. Cepat kita dapat mengelakkan sifat dan gejala durjana itu menjangkiti orang atau ahli yang lain. Organisasi dapat segera diselamatkan dari tercemar dan rosak.

Sebaliknya jika ahli organisasi itu berkedudukan tinggi dan berkuasa pula maka jarang-jarang tindakan segera boleh dikenakan bagi menyingkirkan ahli itu. Dalam banyak contoh, tiada ahli yang berani menyuarakan agar tindakan diambil keatas sidurjana itu kerana khuatir diri akan tersingkir. Malah amat malang sekali kerana sidurjana itu mendapat sokongan dari sebahagian besar ahli. Maka siapalah berani mengambil tindakan keatasnya.


Si durjana itu nasibnya amat baik sekali tidak seperti nyamuk yang seekor yang berjaya menyeludup dalam kelambu tadi. Nyamuk itu dibunuh dan kelambu tidak dibakar. Sidurjana pula masih kekal dengan kedurjanaannya dan kekal berkuasa dalam organisasinya kerana masih ramai ahli yang menyokongnya walaupun perangai yang durjana itu boleh merosakkan organisasi pada suatu hari nanti.


Pada suatu hari nanti. Bila? 


Itulah pertanyaan sombong dari sidurjana dan mereka yang telah meyerap sifat dan perangai durjananya. Dalam masa yang sama mereka merasa yakin akan dapat memperbaikki dan memperbetulkan kedurjanaan itu. Cuma caranya dengan melakukan kedurjanaan. Sebab dalam keyakinan mereka untuk memperbetulkan kedurjanaan itu mereka tidak sanggup mengaku bahawa mereka telah melakukan kedurjanaan. Jadi mereka berbohong mengatakan mereka tidak melakukan perangai yang durjana. Jadi bagaimana untuk memperbaikki atau memperbetulkannya?


Sebaliknya jika mereka mengaku telah melakukan kedurjanaan maka kedudukan dan kuasa mereka akan terjejas. Jadi apa pilihan yang ada jika masih lagi mahu berkuasa.


Disebabkan seekor nyamuk yang menggigit, kita tidak wajar membakar kelambu. Selamatlah kelambu itu dan dapatlah orang-orang menggunakannya bagi mengelak dari gigitan nyamuk yang membinasakan itu.  Penyakit pun tidak tersebar. 

Disebabkan seorang yang berkedudukan dan berkuasa, kita takut untuk menyingkirkannya walaupun ia seorang yang durjana. Malah ramai pula yang turut serta menyokong orang durjana itu. 


Soalan: Selamatkah sidurjana dan pengikut-pengikutnya itu? Selamatkah organisasi mereka itu?


Jawapan: Pada suatu hari nanti sidurjana dan mereka yang bergejala sepertinya akan binasa. Organisasi juga akan turut binasa.


Kalau begitu mengapa pula dibiarkan kemusnahan berlaku jika itu jawapannya. Ayuh dengan penuh yakin mari kita singkirkan kesemua mereka itu.







Khamis, 5 Julai 2012

Penjawat Awam : Selagi Mendapat Perkenan Orang Politik Yang Berkuasa.......Anda Selamat

Isu KPPA - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam adalah diantara isu hangat yang mendapat liputan berbagai media dalam beberapa hari ini. Isu ini penting kerana jawatan KPPA itu adalah jawatan utama  dalam struktur organisasi perkhidmatan awam. Isu KPPA  menjadi kontroversi kerana pengosongan jawatan mendahului tarikh matang penjawatnya. 

Berita awal mengatakan penjawatnya bersara. Kemudian penjawat membuat kenyataan akhbar bahawa beliau sedih kerana perkhidmatannya ditamatkan. Dalam bahasa basahan atau bahasa pasar 'dia kena berhenti kerja'. Inilah yang lebih menghangatkan kesah KPPA ini. Maka timbullah berbagai reaksi. Ada yang bersimpati, ada yang berkecuali dan ada yang menyokong dan mengatakan tindakan memberhentikan itu sebagai wajar, tiada unsur kezaliman.

Saya sudah maklum akan berita ini dua tiga hari yang lepas dari laporan berbagai media. Berita ini langsung tidak menjentik hati, perasaan dan sanubari saya. Ianya satu perkara biasa yang telah diterima. Otak kepala saya pun sama juga dengan mudah menerima berita ini sesuatu yang terlalu biasa. Tiada yang luar biasa, melainkan biasa saja, dari dulu sehingga sekarang. Mungkin berterusan ke masa hadapan.

Secara peribadi saya mengenali Tan Sri Hj Abu Bakar itu. Kami pernah berkhidmat dalam sebuah kementerian yang sama.  Beliau berperwatakan baik dan kelihatan mempunyai potensi untuk meningkat lebih tinggi lagi. Itu gambaran pada tahun 1990an.

Mengapa pula saya tidak sensitif dengan peristiwa ini, sedangkan saya mengenali beliau? Sekurang-kurangnya turut menyatakan pandangan sebagai salah seorang bekas penjawat awam?

Mulanya begitulah kerana seperti yang saya katakan diatas tadi, peristiwa semacam ini adalah sesuatu yang terlalu biasa yang berlaku keatas penjawat awam. Tan Sri Abu Bakar bukanlah orang yang pertama menerima layanan seperti itu. Telah ramai mendahului beliau. Cuma dulu kurang hebuh atau kalau ada berita pun tiada pihak yang ambil 'pot'.  'Biasalah, kita kan telah berikrar "Saya Yang Menurut Perintah". Itulah respons biasa yang datangnya dari penjawat awam apabila berlaku peristiwa semacam ini.

Pandangan dan cerita saya tentang penjawat awam dan isu pemberhentian KPPA ini adalah begini: 

Pertama saya ingin menyatakan rasa dukacita diatas apa yang telah berlaku keatas KPPA itu. Simpati saya bukan kerana atas dasar peribadi tapi atas dasar konsep bertanggungjawab. 

Kedua, penyingkiran yang dikenakan kepada penjawat awam bukanlah setakat melihat pemberhentian kerja saja. Penyingkiran itu mestilah dilihat dalam berbagai bentuk yang membawa kepada kehilangan faedah kewangan dan menjatuhkan moral/maruah/air muka serta motivasi kerja penjawat itu. Misalnya penyingkiran dalam bentuk turun pangkat atau dibekukan kenaikan pangkat, dimasukkan kedalam 'pool' dengan diberikan sebuah meja dan sebuah kerusi tanpa ada tugas , ditukar dari jawatan penting kepada jawatan kurang penting, ditukar tempat kerja yang berbentuk menghukum, dan langkau melangkau jawatan, antara bentuk penyingkiran yang biasa terjadi.

Saya percaya sebahagian besar dari kita sudah tahu cerita seperti ini. Dan seperti saya, tiada seorang pun yang ambil 'pot'. Tiada orang yang ambil peduli.

Saya tidak mengatakan tindakan hukuman seperti diatas itu tidak wajar diambil. Jika dibuktikan benar penjawat itu bersalah, maksud saya diberi peluang untuk di dengar dan dibicarakan secara adil dan saksama, tindakan yang sesuai wajib diambil bagi menghukum penjawat itu.

Apa yang tidak betul dan tidak bertanggungjawab ialah apabila penyingkiran itu dilakukan atas keperluan selain dari mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dari penjawat awam itu demi kebaikan negara.

Maknanya penjawat awam yang memberikan perkhidmatan yang terbaik tidak semestinya terlepas dari hukuman disingkirkan. Ada keperluan yang lain mengatasi  keperluan memberikan perkhidmatan terbaik untuk negara. 

Ukuran dari segi watak dan peribadi yang unggul, kemampuan menjalankan tanggungjawab, potensi mengembangkan bakat serta kepimpinan, dan ketaatan kepada negara belum lagi mencukupi untuk menjamin penjawat awam itu dari tidak disingkirkan.

Apa yang kurang? Apa yang tidak cukup? 

Yang kurang dan yang tidak cukup itu adalah perkenan. Kalau tiada perkenan atau kalau yang berkuasa itu tidak berkenan atau dulu berkenan tetapi sekarang tidak lagi berkenan maka penjawat awam itu mesti bersedia menerima risiko singkiran. Kedudukan penjawat awam hanya akan selamat selagi ada perkenan. 

Jadi apakah watak dan keperibadian yang baik, kemampuan menjalankan tanggungjawab, potensi mengembangkan bakat dan kepimpinan, dan ketaatan kepada negara itu tidak penting? Sudah tentu ciri-ciri itu penting. Tetapi ciri-ciri itu adalah sangkutan saja. Bukan ciri-ciri yang memegang. Dan jika tidak disangkutkan dengan  ciri utama iaitu mendapat perkenan ianya tidak boleh berdiri dengan sendiri. Dia akan jatuh kerana tiada yang memegang.

Sebab itulah telah terpakai sejak lama lagi dalam perkhidmatan awam perkataan 'acceptability' dalam perlantikan seseorang itu bagi menjawat sesuatu jawatan yang utama dan penting misalnya KSN, KSU dan Ketua Pengarah termasuklah KPPA. Lebih tepat lagi 'political acceptability'. Saya terjemahkan sebagai perkenan politik.
 
Maka anda hanya boleh bermimpi-mimpi mengidam  jawatan seperti yang dinyatakan diatas dan yang setaraf dengannya atas dasar kekananan, peribadi dan watak yang terpuji, cekap dan amanah menjalankan tanggungjawab dengan prestasi kerja yang terbilang dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada perkhidmatan dan negara. Secara sedar pula anda mesti ingat adakah anda boleh dapat perkenan. 

Anda mesti juga menerima kenyataan bahawa perkenan itu tidak kekal sifatnya.

Dengan cara ini anda tidak mudah rasa kecewa untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Jangan berasa sedih jika anda diberhentikan apabila tarikh perkenan itu telah luput.

Jadi kemahiran yang paling penting yang perlu ada pada anda penjawat awam ialah bagaimana untuk mendapat perkenan itu. Atau macam mana penjawat awam itu boleh membuatkan tuan politik sentiasa tertarik pada dirinya dan lantas berkenan. Caranya perlukan berbagai kreativiti. Tapi kreativiti itu hendaklah mengarah kepada menjaga kepentingan tuan politik itu. Itu matlamatnya. Caranya bukan sesuatu yang penting. Maknanya ada prinsip-prinsip perkhidmatan dan norma-norma professional dikorbankan.

Merujuk kepada hukum kena berhenti KPPA itu,  berita yang saya perolehi menyatakan bahawa beliau diberhentikan berpunca dari SBPA. SBPA yang terpaksa di mansuhkan itu telah memberi malu kepada Kerajaan. Kerajaan yang di ketuai oleh DS Najib sebagai PM.

Ada juga berita mengatakan beliau diberhentikan dibawah tindakan disiplin. Saya tidak pula mendapat perincian bentuk kesalahan disiplin yang telah dilanggar oleh beliau.

SBPA terpaksa dibatalkan dan kerajaan yang diketuai oleh PM DS Najib dapat malu. Jatuh air muka. Air muka seluruh anggota kabinet yang menerajui kerajaan jatuh. Anggota kabinet itu adalah tuan politik kepada penjawat awam.

Penjawat awam, dalam hal ini sasarannya adalah KPPA. KPPA  adalah orang yang memberi malu kepada PM dan kabinet. KPPA tidak menjaga kepentingan PM dan kabinet. Jadi sampai masanya tempoh perkenan itu ditamatkan. Maka kena berhentilah dia.

Itu cara penyelesaian orang politik dalam apa saja isu dan masalah. Mereka tidak mahu berkongsi tanggungjawab. Mereka juga tidak mahu berkongsi kejayaan.

KPPA bukan ada kuasa meluluskan SBPA. Beliau seorang saja tidak mampu membuat cadangan SBPA. Perincian-perincian cadangan itu dilakukan dalam berbagai peringkat pegawai dan Kementeria/Jabatan. Benar, beliau yang bertanggungjawab mengemukakan draft cadangan dalam mesyuarat jawatankuasa bagi membincangkan SPBA itu. Saya percaya KSN dan KSP tidak dibiarkan begitu saja tanpa ada perbincangan sebelum dibawa ke mesyuarat jawatankuasa.  Jawatankuasa yang di pengerusikan oleh PM itu sudah tentu membincangkan kertas cadangan SPBA itu dengan terperinci dan mendalam sebelum di bentangkan dalam kabinet. 

Saya katakan perbincangan yang tererinci dan mendalam kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar dan masa depan negara dari segi mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dari anggota perkhidmatan awam.

Di mesyuarat kabinet sekali lagi SBPA dibincangkan untuk membuat keputusan secara kolektif. Adakah kabinet berbincang secara cincai? Saya rasa sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, perkara itu tidak akan berlaku.

Apabila SBPA itu mendapat tentangan sebahagian besar penjawat awam khususnya diperingkat menengah dan rendah yang merupakan majoriti kerana tidak adil dari segi kenaikan gaji berbanding dengan peringkat tinggi maka mahu tidak mahu kerajaan membatalkan SPBA kerana risiko politik terlalu besar. 

Jadi siapa yang kena tunjuk? Jari mana yang membuat tudingan?

KPPA, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mesti ambil tanggungjawab diatas perbuatannya yang mencadangkan SBPA. 

Siapa yang meluluskan? Kabinet. 'Tapi kabinet bergantung kepada cadangan hasil dari kajian penjawat awam', alasan yang terbaik agaknya yang digunakan bagi menepis jari yang mununjuk kearah kabinet.

Mengapa pula cadangan itu diterima dan diluluskan?  Adakah kabinet tidak ada kuasa menolak, atau membuat pindaan atau perubahan keatas cadangan itu?  Sudah tentu kabinet boleh melakukannya.

Adakah kabinet tidak faham dengan apa yang dicadangkan. Dan tidak sedar akan kepincangan yang melampau yang akan wujud dari segi gaji diantara peringkat tertinggi dan rendah dikalangan penjawat awam?

Saya tidak yakin anggota kabinet tidak faham dengan cadangan yang dikemukakan. Mereka bukan sebarang orang. Mereka mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.

Saya tidak tahu apa jawapan yang betul mengapa SBPA yang pincang itu diluluskan oleh kabinet. Hanya saya cuba meneka bahawa ahli kabinet itu ada kepentingan. 

Katakan lah SBPA ini diluluskan , maka ianya satu alasan yang terbaik untuk kerajaan mencadangkan agar gaji dan elaun menteri/timbalan menteri dan yang setaraf dengannya termasuklah elaun wakil rakyat dinaikkan. Dinaikkan pada tahap yang sebanding dengan kenaikan gaji dan elaun penjawat awam di peringkat tinggi. 

Bukankah ada cadangan untuk menaikkan elaun wakil rakyat tetapi tidak diteruskan kerana menadapat tentangan dari pihak pembangkang? Cuba fikirkan kaitan dengan SBPA.

Cuma kabinet tidak menyangka berlakunya penentangan dari penjawat awam diperingkat rendah disebabkan jurang gaji yang besar. Sebab ada kemungkinan gaji penjawat awam peringkat rendah tidak  menarik untuk di tinjau.

Itu hanya tekaan saya saja.

Akhirnya yang mencadang SBPA kena ambil tindakan. Seorang saja pula. Yang meluluskan lepas bebas dan boleh pula menghukum memberhentikan kerja pegawai yang membuat cadangan. Pelik tak?

Apa prinsip yang dipakai? Bertanggungjawab? Saya jawab sesungguhnya tidak bertanggungjawab. Sepatutnya semua yang terlibat mengambil tanggungjawab. Jika KPPA diberhentikan, KSN dan KSP dan pegawai utama yang lain yang terlibat mesti diambil tindakan. Seluruh anggota kabinet kena berhenti. Itulah yang dikatakan berkongsi tanggungjawab.

Menteri meletakkan jawatan atas rasa tanggungjawab tidak akan berlaku di Malaysia. Jika berlaku ianya sesuatu yang luar biasa.

Penjawat awam diberhentikan kerana menteri tidak berkenan adalah suatu perkara biasa. Jangan merasa hairan. TS Abu Bakar jangan  bersedih. Siapalah kita. Kita hanya penjawat awam yang talian hayat terletak pada perkenan orang politik yang berkuasa.

Namun dalam pilihanraya kita boleh bertanya kepada mereka . Siapalah kamu tanpa saya.