Theflowersellingboy

Jumaat, 29 April 2011

Salam Jumaat.......9

Selamat ketemu lagi.

Alhamdulillah, dengan izinNya maka kita dapat ketemu pada Jumaat yang ke 9. Harap anda budiman sihat-sihat hendaknya.

Kali ini kita hendak bercakap fasal pilihan atau membuat pilihan. Sepanjang kehidupan kita , membuat pilihan adalah suatu yang tidak dapat kita elakkan sebagai sebahagian dari proses membuat keputusan. Setiap detik atau apa saja ukuran masa yang kita gunakan, kita sentiasa terlibat dalam membuat keputusan, tidak kira kita orang besar atau orang kecil .Ketika hendak membuat keputusan itulah kita akan membuat pilihan untuk membeza atau mengasingkan diantara yang kita suka dengan yang kita tidak suka. Biasanya kita akan memilih sesuatu hal yang kita suka atau memihak kepada kita dari segi faedah yang kita harap akan perolehi atau dapati.

Yang kita suka itu tidak semestinya sesuai dengan citarasa dan selera orang lain. Dalam keadaan atau situasi begini, ianya memudahkan kita buat keputusan kerana ianya tidak ada persaingan. Sebaliknya jika yang kita hendak pilih itu juga menjadi harapan dan berkenan dihati orang lain maka kita terpaksalah bersaing untuk mendapatkannya. Dalam dunia yang dikatakan sumber itu sesuatu yang terhad atau scarce maka kita mestilah sentiasa bersedia dengan kemampuan yang melebihi pesaing kita untuk mendapatkannya. Contoh yang pernah kita hadapi ialah dalam membuat pilihan mengikuti sesuatu program pembelajaran di suniversiti atau pusat pengajian tinggi. Sudah tentu kita memilih program yang kita minat. Tetapi minat saja tidak mencukupi kerana terdapat orang lain yang juga berminat untuk mengikuti program yang sama sedangkan bilangan pelajar yang bolih diterima berdasarkan kemampuan dan polisi pengambilan universiti berkenaan telah diputuskan pada bilangan tertentu. Jika ramai yang berminat melebihi dari jumlah tempat yang ditawarkan maka peluang untuk diterima masuk dalam program itu terlalu sangat bergantung kepada kelebihan calun yang memohon mengikut spesifikasi yang ditentukan oleh universiti berkenaan.

Dalam membuat pilihan ini kadang-kadang melibatkan hal yang kita suka yang boleh menyakitkan atau merosakkan atau memberi malu atau mengaibkan orang lain. Contoh ialah dalam hal berkaitan mendapat sumber pendapatan bagi membiayai kehidupan kita. Seorang pencuri merasakan tidak mengapa untuk mendapatkan pendapatan secara curian atau rompakan. Justeru sipencuri memilih untuk merompak bank berbanding dengan membuat kerja yang sah dari segi undang-undang dan tuntutan  moral.. Atau seseorang itu berpendapat dia berhak atau merasakan bertanggongjawab untuk mendedahkan kejahatan seseorang yang melakukan rasuah berbanding dengan menyembunyikannya atas dasar amal makruf nahi mungkar. Ada juga orang yang memilih untuk mengadakan cerita atau merekacipta cerita bagi menjatuh atau mengaibkan seseorang. Pilihan seperti ini tidak baik sama ada kepada masyarakat mahu pun orang yang diabkan. Tetapi bagi yang memilih cara itu ianya sesuatu yang menguntungkan dirinya, sekurang-kurangnya hatinya merasa puas.

Kadang-kadang kita mendengar keluhan mengatakan seseorang itu dia  terpaksa menerima apa yang dia tidak suka. Secara sepintas lalu keluhan itu nampaknya berasas dan boleh diterima. Namun jika difikir dan diperhalusi maka keluhan itu tidaklah benar. Apabila kita bercakap tentang membuat pilihan, kita jangan lupa mengaitkan dengan meneruskan kehidupan. Selagi kita mempunyai ruang untuk membuat sesuatu keputusan untuk meneruskan kehidupan, ia melibatkan soal pilihan. Cuma pilihan itu dikatakan terpaksa kerana bukan yang kita suka dan berkenan. Tetapi kita memilih itu untuk meneruskan sebuah kehidupan. Yang tidak ada pilihan ialah untuk mati. Mahu tidak mahu apabila sampai ketikanya kita semua tiada pilihan melainkan mati. Ada kah orang membunuh diri itu dikatakan mempunyai pilihan, sebab dia sendiri yang memilih untuk mati secara bunuh diri. Tidak , dia tidak boleh mati jika tidak diizinkan oleh Allah SWT. Itu yang kita pegang sebagai seorang Islam. Agama lain, kita kurang arif.

Jadi pilihan atau membuat pilihan ini sesuatu yang sentiasa kita lakukan. Ia sesuatu yang fitrah, yang semula jadi bagi seseorang dalam menjalani sebuah kehidupan. Semua orang hendak yang terbaik pada diri sendiri apabila membuat sesuatu pilihan. Pilihan yang melibatkan persaingan memberi peluang yang lebih kepada yang berkemampuan dan berkeupayaan mengusai atau memperolehinya. Apabila kita kata berkemampuan dan berkeupayaan ianya merujuk kepada perkara yang lebih luas, tidak hanya terhad kepada ilmu dan kemahiran diri saja. Kadang-kadang kita telah menepati spesifikasi yang diperlukan semasa kita buat pilihan tetapi tidak berjaya juga. Jangan kita hairan kerana ada masanya ia bergantung kepada nasib, dan sudah tentu kita wajar terima penentuan takdir. Dengan demikian, jika yang sangat dikehendaki itu tidak diperolehi sedangkan kita telah memenuhi segala syarat yang diperlukan, janganlah kita merasa kecewa. Ada hikmahnya.

Akhirnya buatlah pilihan yang terbaik berpandukan undang-undang dan peraturan negara, nilai dan moral masyarakat dan pegangan agama. Jika pilihan itu tidak seperti yang dihajati maka ingatlah bahawa orang lain atau pihak lain juga berhajat keatas perkara yang kita sangat berkenan. Kadang-kadang kita boleh berkongsi dan ada masanya ianya hanya untuk bilangan tertentu saja. Jadi terimalah pilihan itu kerana kita belum lagi mahu mati. Mati tiada pilihan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan