Theflowersellingboy

Sabtu, 16 April 2011

Hitch hiking-Batu4 Jalan Cheras ke Johor Baru....4

Aku berdiri di Pantai Lido, Johor Baru setelah gagal untuk memasuki Singapura

Masjid tempat kami bermalam itu ialah Masjid Parit Jawa. Jam enam pagi kami memulakan perjalanan menuju ke Batu Pahat dan seterusnya bercadang untuk ke Johor Baru pada hari yang sama, sekiranya ada kenderaan yang sudi memberi  tumpang untuk kami  kesana. Setelah berjalan hampir satu jam, kami pun berhenti disebuah gerai makanan untuk sarapan pagi. Terdapat beberapa buah kenderaan yang berhampiran dengan gerai itu.

Kami duduk dimeja dibahagian luar gerai dimana telah sedia ada dua orang dewasa dalam jangkaan Aku berusia dalam lengkungan empat puluhan. Dosmy mendahului Aku menegur mereka sambil menjeling padaku. "Apa khabaq pakcik?" Dosmy menghulurkan tangan bersalaman dengan mereka. Aku pun turut sama. "Khabaq bek. Mai Aloq Staq ka?" Muka Dosmy berubah, Aku pun sama. 'Habislah kali ini', bisik hati kecilku.Dosmy semyum tak keruan. Beliau menganggok kepala "Ya,  Sg Korok", Dosmy dapat juga memberi jawapan tapi bukan dari Alor Star sebaliknya dari Sg. Korok kampong kawan sekelas  kami Abu Hasan. Kami diberitahu kampong ini jauh dari Alor Star, ulu.

Dosmy dan Aku pantas bangun menuju kebahagian dalam gerai untuk buat pesanan bagi mengelakkan perbualan yang berpanjangan.  Aku memesan nasi lemak beserta teh sedangkan Dosmy memesan kopi dan lontong ,masih lagi gunakan  loghat utaranya sambil menguit kakiku sebagai ingatan supaya jangan gunakan loghat selatan. Kemudian kami sepakat bersetuju duduk ditempat yang sama untuk mengelak sebarang kecurigaan.

Dimeja makan kami bersua dengan pakcik tadi sambil tersenyum kami mengambil tempat duduk masing masing. "Hampa dari mana? Nak kemana?" Tanya pakcik yang berhadapan dengan Dosmy. Aku telah buat keputusan dalam hati tidak akan mencampuri perbualan takut-takut bercanggah pula dengan fakta atau perkara yang dicakapkan oleh Dosmy. "Kami dari KL, dari sekolah, nak pi selatan, hitch hike. Cuti sekolah", lancar juga Dosmy berbual. Tapi beliau tidak pula kata nak ke Johor Baru sebaliknya mengatakan nak pergi selatan. "Kami nak pi Pontian, mai sama", ajak pakcik tadi sambil memandang kawan disebelahnya yang menganggok kepala. Dosmy memandang Aku, mungkin minta persetujuan. Tapi Aku telah berjanji untuk tidak mencampuri perbualan mereka."Terima kasih, tapi dua kawan kami tak mai lagi. Janji, pukul tujuh, pasai apa tak sampai lagi?" Pandai juga Dosmy kelentong untuk menolak pelawaan pakcik tadi.

Dua orang pakcik tadi membuat bayaran termasuklah makanan yang kami pesan. Mereka menuju ke kereta sambil mengucapkan supaya kami selamat dalam perjalanan. Kami meberikan ucapan yang sama.

Aku dan Dosmy mengurut dada tanda lega setelah dua orang pakcik itu tidak kelihatan lagi. Kami bangun dan memulakan perjalanan.

Semasa kami berjalan ketawa terbahak-bahaklah Aku dan Dosmy mengingatkan perkara yang telah berlaku. Petang semalam, kami mohon tumpang tidur dengan memilih rumah yang besar, kononnya hanya yang berpelajaran tinggi saja memilikki rumah besar dan bersikap 'sporting'. Hakikatnya, kami diminta tidur di masjid. Hari ini, padan muka kami, khususnya Dosmy, yang senyum tak keruan apabila orang yang ditemui datangnya dari utara,  Alor Star. Tak dapat nak kelentong panjang. Nasib baik disekolah ramai budak-budak Kedah, kalau tidak nama Sg. Korok tidak akan terkeluar dari mulut Dosmy. Begitulah kisah yang membuatkan kami ketawa terbahak-bahak. "Aku tobat. Kita cakap bahasa biasalah", Dosmy membuat keputusan dan Aku bersetuju.

Lama juga kami berjalan tetapi belum ada lagi kereta yang sudi berhenti. Aku dan Dosmy berhenti berihat sekejap. Kami berteduh dibawah pohon yang rendang sambil duduk mencangkong. Dari jauh disebelah utara kami ternampak sebuah kenderaan menuju kearah kami. Lalu dengan segera kami ketepi jalan sambil melambai-lambai tangan mengharapkan kenderaan itu berhenti. Wah, nasib kami begitu baik kali ini kerana kenderaan itu berhenti didepan kami.

Tanpa berlengah kami membuka pintu kenderaan dan menyatakan hasrat kami "Nak ke JB, boleh tumpang?", Tanya Dosmy kepada pemandu yang masih muda, walaupun kami tahu memang tujuannya untuk memberi kami tumpang, cuma setakat mana kami belum pasti. "Jemput naik. Saya nak ke JB juga". kata abang pemandu itu sambil menghulurkan tangan bersalaman. "Dosmy dan yang belakang kawan saya Ai", Dosmy memperkenalkan diri termasuk diriku juga. Abang pemandu menoleh ke belakang, dan memperkenalkan dirinya Ismail.

Kami melupakan  hasrat untuk singgah di Batu Pahat khuatir nanti susah untuk mendapat kenderaan ke JB. Kereta abang itu meluncur laju menuju JB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan