Theflowersellingboy

Isnin, 27 Februari 2017

Kisah Orang Tua Yang Pelupa




Hari ini bayar cukai taksiran rumah aka cukai pintu bagi setengah tahun pertama 2017. Esok hari terakhir. Jika melampaui tarikh 28 Februari bagi setiap tahun, denda lewat akan dikenakan bersama dengan cukai sebenar.

Mengapa mahu bayar denda lewat? Ianya membazir saja.

Oleh itu bil tuntutan saya akan bayar sebelum tempoh bayaran tamat.

Namun hari ini saya menjadi terperanjat apabila dalam bil tuntutan itu menunjukkan saya mempunyai tunggakan bagi cukai taksiran setengah tahun kedua tahun 2016 beserta dengan denda lewat bayar.

Menjirab darah saya dibuatnya kerana saya tidak pernah gagal membuat bayaran apa saja bil tuntutan melampaui masa yang ditetapkan.

Lalu saya mencari keratan bil lama. Saya gagal menjumpainya. Kemudian saya teringat data setiap bayaran bil saya masukkan dalam henfon. Sayang sekali henfon itu telah rosak.

Aduhai, keluh saya.

Jalan terakhir ialah menyemak dengan pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan bil cukai itu. Bagi saya, pihak itu telah tersilap.

Saya bertanya kepada pegawai bertugas di kaunter bayaran, mengapa ada tunggakan dan saya didenda sedangkan  saya tidak pernah gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditentukan. Dia tidak ada maklumat dan meminta saya bertanya kepada pegawai yang bertugas mengeluarkan bil tuntutan.

Dengan penuh yakin, saya memberitahu pegawai pengeluar bil itu bahawa saya tidak pernah gagal membuat bayaran. 

Pegawai itu buat semakan. Menurut semakannya mengesahkan saya tidak buat bayaran.

Maka saya bertanya, mengapa saya tidak buat bayaran?

Entahlah, jawabnya. Tapi mengikut rekod, katanya memang saya tidak buat bayaran.   

Saya mula ketawa dalam hati apabila mengingatkan soalan 'mengapa saya tak buat bayaran'. Soalan itu tak perlu ditanya. Kalau mahu tanya juga , sepatutnya saya tanya pada diri sendiri bukan kepada pegawai yang bertugas itu.

Namun pertanyaan saya itu tidak bertujuan untuk menyusahkan pegawai itu. Ianya disebabkan saya terlalu yakin bahawa saya tidak pernah lupa untuk membayar setiap bil tuntutan yang diterima.

Tapi saya lupa bahawa setiap detik berjalan, usia bertambah dan daya ingatan semakin menurun.

Saya rasa bersalah. Saya cuba mengurangkan rasa bersalah saya itu dengan memberitahu pegawai berkenaan bahawa saya tidak menerima bil tuntutan bagi tempoh setengah tahun kedua 2016.

Pegawai itu menyatakan bahawa pihaknya memang ada menghantar bil tersebut. Dia akan membawa saya berjumpa dengan kakitangannya yang melakukan tugas penghantaran. Saya bersetuju.

Sebelum berjumpa dengan kakitangan itu, saya memberitahu pegawai berkenaan bahawa bil setengah tahun pertama juga saya tidak terima. Sebab itulah, kata saya, bayaran dibuat pada bulan April dan bukan pada Februari kerana saya menunggu bil. 

Dia buat semakan. Benar apa yang saya cakap bahawa bayaran dibuat pada bulan April.

Itupun, kata saya setelah saya sendiri datang ke pejabat meminta bil. Ketika itu saya mahu dikenakan denda juga. Tapi denda telah dikecualikan apabila saya berjumpa dengan ketua Jabatan itu. 

Kemudian pegawai itu memberitahu saya, dia hanya ada kuasa untuk mengurangkan denda sebanyak 50% sahaja. Hanya ketua Jabatannya saja yang boleh beri pengecualian sepenuhnya.

Saya kena jumpa boslah, tanya saya. Dia mengangguk. Saya baca air mukanya semacam tidak menggalakkan saya berjumpa dengan bosnya. 

Saya akan bayar ke semuanya, kata saya.  Saya percaya saya yang lupa buat bayaran. Itupun telah dibuktikan.

Boleh saya jumpa bos? 

Bos ada mesyuarat majlis penuh, jawab pegawai itu.

Tak mengapa, saya mahu jumpa saja. Kunjung hormat. Bukan nak komplen.

Apabila berjumpa dengan kakitangan yang membuat hantaran bil, beliau mengesahkan ada membuat penghantaran secara tangan.

Tapi mengapa  tidak ada dalam peti surat saya.

"Oklah. Benda telah selesai". Tapi saya minta pihak berkuasa itu buat sedikit pembetulan tentang pos kod alamat rumah saya kerana alamat dalam bil ini menggunakan pos kod yang salah.

"Mungkinkah salah poskod menyebabkan bil itu saya tidak terima?" Saya bertanya dalam hati.

"Tapi, penghantar bil itu menyatakan dia sendiri yang hantar", Saya sendiri yang menjawab soalan itu.

Apa pun, saya percaya, usia yang bertambah membuatkan ingatan semakin merosot. Jadi saya mesti ingat hal ini. 

Tapi macam mana nak ingat kalau usia semakin tua?

Hahahahaha.....kisah orang tua yang pelupa. Tapi masih juga mahu menulis.



Sabtu, 25 Februari 2017

Diwaktu Kita Massih Kecil.....When We Were Small




Sebenarnya paparan tajuk diatas telah 'terdelete' semasa saya cuba mengemas kini blog. Oleh kerana tidak berhati-hati, tangan yang suka tekan sana tekan sini maka apa yang telah dipaparkan menjadi ter delete. 

Hahahaha ... itulah tanda usia semakin tua.

Tapi tidak mengapa. Saya akan tulis semula. Ianya tidak 100% sama seeperti yang asal kerana draftnya juga turut hilang sama.

Paparan yang hilang itu adalah merupakan adaptasi penulisan saya dalam bahasa Inggeris melalui blog My Cousin and Cousin of Mine. Saya adaptasi kepada  bahasa Melayu menggunakan blog ini The Flower Selling Boy. 

Tajuk dalam bahasa Inggeris ialah When I Was Small mengesahkan cerita cucu saya yang pertama bernama Yousef Imran dan cucu kedua bernama Ahmad Naqib. Ya, ketika itu saya hanya ada 2 cucu sahaja. 

Sekarang saya telah ada 5, dan dengan izin Allah akan dikurniakan 2 lagi cucu dalam beberapa bulan lagi, tahun ini, menjadikan 7 kesemuanya.

Oleh kerana blog My Cousin and Cousin of Mine telah lama saya tidak kemaskini sedangkan pengkesahan tentang cucu-cucu saya itu amat berguna, maka pada hari ini saya memutuskan untuk mengaktifkan semula WWWZHR.BLOGSPOT.COM, blog yang mengambil nama  MY Cousin and Cousin of Mine.

Tetapi saya tidak akan melakukan sendirian, dikhutiri nanti banyak penulisan saya akan hilang. Saya mengharapkan kerjasama dari anak saya yang terlalu sibuk dengan kerjayanya.

Baiklah.

Pengkesahan dalam MY Cousin and Cousin of Mine adalah dalam bentuk puisi atas tajuk When We Were Small (tentang cucu saya Yousef Imran dan Ahmad Naqib). 

Mesej yang hendak disampaikan ialah bahawa semasa kita kecil, kita bebas lakukan apa saja yang kita mahu tanpa bimbang dan takut. 

Yang bimbang dan takut adalah orang tua kita kerana kita adalah anak mereka. Kasih sayang menjadi alasan bagi mereka mencampuri hal kita walaupun dalam hal-hal yang kita suka, yang selalu mereka sangka sebagai diluar kemampuan kita, yang boleh mendatangkan bahaya, fikir mereka.

Namun campur tangan itu bertitik tolak dari rasa sayang yang amat sangat, sanggup berkurban apa saja demi kita anak-anak mereka.

Bezanya antara kita dan orang tua kita ialah bahawa semasa kecil, kita tidak memahami akan kasih sayang mereka itu, lantas kasih sayang itu berlalu begitu sahaja sedangkan orang tua kita sentiasa mahu mencampuri dan terlibat sama, kalau boleh, dalam hal-hal kehidupan kita,  yang kadang-kadang merisaukan kita. 

Usia dewasa kita, status kahwin dan kerjaya kita tidak menjadi ukuran kepada mereka, yang mampu untuk menghalang mereka dari bertanya  dan berpesan, "Apa  khabar nak. Sihat. Bawak kereta tu jangan laju-laju", seolah-olah kita ini masih lagi anak kecil.

Begitulah sayangnya orang tua terhadap anak-anak mereka.

Itulah mesej dalam puisi bertajuk When We Were Small.

Paparan asal dalam bahasa Inggeris akan saya  adaptasi untuk disampaikan dalam bahasa Melayu. Ertinya ianya bukan terjemahan perkataan demi perkataan. Ianya idea yang mahu disampaikan.


When We Were Small
(Ahmad Naqib)

When I was small, I used to drive a beautiful yellowcar
Diwaktu saya masih kecil, saya bisa pandu kereta yang comel kuning warnanya
I was so free to do my act of drifting
Saya bebas melakukan luncuran
Yeah no one shouting, 'it is killing'
Yeea tiada suara menjerit, 'mati nanti'
Yet they were all did the singing
Sebaliknya mereka menyanyi riang sekali
Very exciting
Menyeronokkan
Thrilling
Mengesankan
Inspiring
      Meransangilham
Happening
Dunia saya punya
I was so small
Saya masih mentah
To understand those all
Untuk memahami semuanya itu




When We Were Small
      (Yousef Imran)
 
When I was small, I used to walk alone
Diwaktu saya masih kecil, saya  berjalan tanpa teman
I  was so free to do my act of descending
Saya bebas melakukan luncuran turun
Yeah, no one shouting, 'it is gruelling'
Yeea, tiada suara menjerit, 'meletihkan'
Yet, they were all did the clapping
    Sebaliknya mereka riang bertepuk tangan
Very encouraging
Memberangsangkan
Heart burning
Membakar semangat
Emotionally inspiring
Meransang emosi
I was so small
Saya masih mentah
To acknowledge them all
Untuk menghargai semuanya itu  


WHEN WE WERE SMALL WE HAD THE FREEDOM TO DO THAT ALL
DIWAKTU KITA KECIL , KITA BEBAS MELAKUKAN APA SAJA

Khamis, 23 Februari 2017

Kamu Bukan Budak Nakal, Tetapi Pendek Akal




 
Disebabkan sakit kaki, saya tidak dapat hadir jamuan makan malam Alumni sekolah pada tahun ini yang diadakan pada 18 Februari yang lalu.

Sayang sekali. 

Kalau tidak, boleh jumpa dengan kawan-kawan lama.  Sudah tentu seronok sekali. Macam-macam cerita lama terbongkar dan dibongkar. Baik cerita duka dimarahi cikgu dan bergaduh berebut meja di dewan makan mahupun cerita suka tentang ada kawan yang mencuri kerak nasi di dewan makan selepas tamat kelas persediaan malam.

Hahahaha seronok sekali..... terasa pula usia menjadi muda, kembali ke zaman sekolah dulu. Nostalgik sekali.

Empat tahun saya di sana, 1965 sehingga 1968. 

Saya bukan budak nakal. Tapi suka bertindak dulu, fikir kemudian. Menyesal kemudian diatas perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Pada suatu hari, waktu sarapan pagi, bersama dengan seorang kawan, yang juga suka bertindak dulu fikir kemudian, kami tidak berpuas hati makanan yang disediakan. 

"Balik-balik yang ini. Hari hari makan bubur oat dengan roti. Jemu".

Itu yang kami rungutkan. Kami tidak makan hidangan pagi pada hari itu. Tetapi kami telah meninggalkan satu nota diatas meja makan. Saya yang menulisnya. Rasa amat hebat kerana berani menulis nota seperti itu.

Walaupun nota itu tidak dituju kepada sesiapa tapi maksudnya adalah kepada tukang masak. Kami marahkan kepada tukang masak. Pada fahaman kami tukang masaklah yang bertanggungjawab menyediakan menu, bukan pihak sekolah.

Ketika itu kami berada di tingkatan 4, tingkatan paling rendah. Sekolah kami bermula dari tingkatan 4. Paling atas ialah tingkatan 6 atas.

Waktu kelas persediaan malam, sebelum memasuki kelas, kami telah dipanggil oleh Ketua Murid (Head Boy) untuk berjumpa dengannya. Kami tidak tahu mengapa kami dipanggil.

Perjumpaan diadakan dalam satu bilik mesyuarat.

Saya mendahului kawan saya memasuki bilik tersebut. Ada tiga orang prefect termasuk Head Boy sedang duduk menunggu kami.

"Oh kamu, cerpenis, buat perkara tak senonoh", seorang dari prefect itu menyambut kami dengan kata-kata itu.

Kata-kata itu sebenarnya ditujukan kepada saya. Kebetulan seminggu yang lepas saya telah memenangi dalam Sayembara Cerpen sekolah dengan tajuk 'DUIT HUTANG', yang telah naik kepentas menerima hadiah kemenangan.

Saya terpinga-pinga. Apa perkara yang tidak senonoh yang telah saya lakukan. Saya dan kawan saling berpandangan.

"Tengok siapa tulis ni?" Tanya Head Boy.

Ya, sah itu tulisan saya. Tapi fasal apa dia yang dapat. Saya tulis untuk dibaca oleh tukang masak agar lain kali jangan sediakan hidangan pagi  yang sama.

Saya mengaku itu tulisan saya.

"Kamu tahu, sekolah ini ada peraturan. Kalau ada yang tidak kena dengan makanan, buat laporan atau aduan kepada Jawatankuasa Makanan. Bukan tulis dan tinggalkan atas meja makan". Suara Head Boy agak tinggi. 

Saya diam. Kawan saya juga diam dan kepala tunduk ke bawah.

"Saya minta maaf. Nota itu untuk tukang masak". Saya harap maaf saya diterima.

"Woii tukang masak, kerjanya memasak apa yang disuruh masak. Menu ditetapkan oleh pihak sekolah. Faham!" Seorang yang berada di sisi kiri Head Boy bersuara tinggi.

Kami senyap sunyi, tidak berani menyatakan sesuatu. Memang salah kami.

"Kamu berdua mesti dihukum".

Aduh, kena hukum pulak. Malulah macam ni. Apatah lagi kalau dihukum diatas pentas disaksikan murid-murid yang lain. Minggu lepas, baru dapat hadiah, bisik  hati saya.

" Maafkan saya. Saya mengaku bersalah. Lain kali saya tidak akan buat lagi", saya merayu, ada sedikit sebak suara yang keluar. Tapi tidak diiringi air mata.

Head Boy menoleh kiri dan kanan pada dua orang prefect yang ada disisi. Saya kira dia mahu mendapatkan pandangan dari kedua-kedua prefect itu sebelum membuat keputusan. Tapi kedua-duanya tidak memberikan apa-apa pandangan.

Kami menunggu apakah hukuman yang akan dikenakan. Saya paling takut sekali. Saya malu untuk berhadapan dengan kawan-kawan jika dikenakan hukuman. 

"Baik. Kali ini kamu berdua dimaafkan. Lain kali jangan buat. Saya percaya kamu bukan budak nakal. Tapi pendek akal".

Habis sahaja kata-kata dari Head Boy itu saya dengan segera mendekatinya dan menghulurkan tangan bersalaman sambil mengulangi permohonan maaf. Kawan saya pun begitu juga. Ucapan terima kasih diucapkan banyak kali sebelum kami meninggalkan bilik itu.
 
Hahahahaha.....cerita  ini tidak akan berbangkit dalam perjumpaan makan malam Alumni itu, jika saya hadir pada malam itu kerana ianya memalukan. Saya tidak akan timbulkan cerita ini. 

Anda tidak mengenali saya. Jadi saya tidak kisah jika anda membacanya.


 
 

 

 
 

 

Rabu, 22 Februari 2017

Pergerakan Yang Mesti dan Perlu Dilakukan Walaupun Kaki Masih Sakit Lagi. ..




Pergerakan saya terhad dalam sebulan dua ini. Sakit di tapak dan tumit kaki kiri. Tapi jika keadaan terlalu memerlukan, saya terpaksa juga bergerak walaupun  dalam keadaan berjalan terhengkut-hengkut sambil menahan kesakitan.

Apakah keadaan yang memerlukan?

Terlalu banyak. 

Ke bilik air membersih diri, tidak dapat dielakkan. 

Turun ke tingkat bawah untuk makan dan minum, kemudian naik keatas. 


Memuaskan pandangan mata untuk melihat satu persekitaran yang cantik dan bersih. Maka ruang dalaman rumah mesti dibersihkan dan kawasan luar rumah yang berumput dan tidak berumput wajar kelihatan menyenangkan. Ertinya rumput yang panjang mesti dimesen, pasu bunga diatur dikemas, dan pokoknya disirami air.

Dan banyak lagi.

Tetapi tidak semua keadaan yang memerlukan pergerakan itu, saya mampu lakukan ketika ini. Hanya ke bilik air saja yang setakat ini belum gagal saya lakukan.

Banyak kali saya makan diatas, dibawa oleh isteri. Kasihan dia, turun naik tangga sedangkan dia juga mengalami sakit di tempat yang sama, tapi kaki sebelah kanan. Cuma setelah mendapat suntikan prolo dua bulan yang lepas, sakitnya sudah berkurangan dan mampu berjalan seperti biasa.

Saya juga mengambil suntikan yang sama. Dua suntikan di spot tapak kaki sebelah kiri, pada dua bulan yang lepas. Tapi, agaknya masih belum diperkenankan Allah untuk pulih. Masih sakit lagi.

Dalam keadaan sakit itu, saya terus membuat kerja yang agak berat juga bagi usia setua saya ini. Mesin rumput, mop semua ruang dalaman rumah atas bawah, dan membersih longkang.

Akibatnya? Sakit ditapak kaki itu berterusan dan semakin bertambah rasa sakitnya.

Maka semalam saya terpaksa ke Kota Damansara di temani isteri dan anak, ke sebuah klinik swasta yang menawarkan rawatan prolotherapy. 

Inilah satu pergerakan yang amat jauh beratus kilometer  yang terpaksa saya lakukan, tetapi amat perlu untuk mendapat suntikan prolo sekali lagi.  Perjalanan ini menggunakan tapak kaki yang aktif juga. Nasib baik kereta jenis pandu sebelah kanan dan auto pula. Kalau tidak kaki dan tapak kaki sebelah kiri terpaksa bergerak aktif.

Saya masih yakin suntikan itu boleh memulihkan kesakitan ditapak dan tumit kaki saya itu. Ianya telah terbukti pada 6 tahun yang lepas apabila suntikan itu telah memulihkan kesakitan di tapak kaki juga tapi di spot yang berbeza.
  

Saya yang memandu kereta kerana isteri walaupun mempunyai lesen memandu yang sah dan masih hidup tidak berani lagi memandu semenjak saya bersara pada tahun 2004. Sebab dia sudah ada pemandu sendiri. Sayalah pemandunya yang dia tidak bayar gaji.

Anak perempuan tidak sanggup memandu walaupun ada lesen memandu yang sah kerana terlalu mengantuk selepas bekerja dalam tempoh masa yang panjang. 

Maklumlah dia seorang HO, doktor dalam latihan yang ketika ini sedang menjadi isu yang melibatkan sebahagian besar dari mereka diberhentikan atau brhenti kerja kerana tidak tahan dengan beban kerja yang banyak dan waktu kerja yang terlalu panjang.

Saya tidak mahu ambil risiko, meminta dia memandu dalam keadaan terlalu mengantuk. Jadi tugasnya ialah untuk menguruskan GPS, mengingatkan saya apakah jalan, dimana lorong atau simpang yang perlu diikut.

Satu hal dengan GPS ini ialah suara jurupandunya bukan suara orang tempatan. Sebab itu sebutannya tidak tepat dan betul. Puchung disebutnya Pucang, Kepung disebutnya Kepang dan banyak lagi yang boleh mengelirukan yang membuatkan kita tertanya-tanya dan memikirkan apa sebenarnya yang dikatakannya, apatah lagi sewaktu memandu. 

Jadi anak saya akan menyebutkan nama tempat yang betul. Kecuh dibuatnya walaupun kami ketawa suka dengan sebutan yang silap itu.


Dua suntikan saya ambil. Aduhhhh, terlalu sakit. Tapi sebab mahu baik, diharapkan begitulah, saya sanggup menahan kesakitan. 

Sewaktu doktor mahu mencucuk jarum ditempat yang telah ditandakan, isteri memberi kata semangat sambil mengingatkan saya agar menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan-lahan untuk mengurangkan rasa sakit. 

Dia pula yang menjadi doktor!

Pergerakan seterusnya ialah memandu balik  ke rumah?

Oh tidak, ada satu lagi yang saya mesti lakukan. Pergerakan ini kalau tidak saya lakukan,  ada hati yang akan kecewa, dan merajuk.

Beberapa hari yang lepas, boleh dikatakan setiap petang saya menerima panggilan dari Ahmad Naqib, cucu nombor dua saya yang akan menyambut hari kelahiran keenamnya pada 23 Mac yang akan datang, yang kebetulan hari ulang tahun pernikahan kami.


Dalam satu panggilan dia mengingatkan saya tentang dua perkara. Satu, meminta saya membawa buah dadu untuk bermain dam ular apabila saya ke rumahnya nanti. Dia telahpun buatkan dam ular itu. Dua, mengingatkan saya hari kelahiran adiknya Ahmad Fatih, yang ketiga.

Tapi sayang sekali, dia talipon setelah hari lahir adiknya yang jatuh pada 19 Februari, sudah berlalu.


'Belated birthday to you Ahmad Fatih!'. Saya panggil dia Fat He.



Kali ini kata Ahmad Naqib, sambutan hari lahir adiknya dibuat secara bergabung. Bergabung dengan hari lahirnya pada 23 Mac nanti. Bergabung tidak bererti sambutan 23 Mac nanti tidak akan diadakan. 23 Mac tetap ditunggu dengan setianya.


Dia mahu menyampaikan  satu mesej untuk saya dan isteri.


Katanya, ayah dah beli super man untuk Fateh. Dia pun dapat juga. Atok dan Opah dah beri hadiah untuk Fateh dan dia. Sekarang ni tengah tunggu ayah alang.


Saya tersenyum. Isteripun tersenyum apabila diberitahu. Kami sudah faham mesej sambutan hari lahir secara bergabung itu.


Kebetulan saya dan isteri mahu ke Kota Damansara bagi rawatan prolo pada hari Selasa 21 Mac, iaitu semalam. Saya beritahu Naqib bahawa saya akan datang pada hari Selasa nanti.


"Tokpa tidur ker?" Tanya Naqib.


Dia sedikit mengeluh kerana saya tidak tidur dirumahnya. Tapi ada penawar hati baginya. Hadiah untuk Fateh tetap ada. Hadiah untuk diapun ada juga sempena sambutan bergabung itu.


"Ok datang tau. Jangan tak datang", Naqib menamatkan perbualan.


Jadi selepas menerima suntikan kami ke IOI city resort untuk membeli kek untuk menyambut 'the belated hari lahir bergabung'.


Setelah mengambil Naqib dan Fateh ditadikanya di Cyber Jaya, kami terus ke Precint 11 Putra Jaya, kondo kediaman Naqib dan keluarga untuk menyambut hari lahir bergabung.


Apa yang terjadi?


Sepatutnya Fatehlah yang memainkan peranan utama, misalnya potong kek dan buat posing. Abangnya pula yang ambil alih. Tapi bukan dia yang mahu main peranan utama, Fateh adalah orang yang pemalu walaupun orang yang dia telah biasa. 


Apa lagi, tanpa dijemput Naqib mengambil tempatnya. Nasib baik ada hero yang menyelamatkan situasi dan menceriakan sambutan.


Sesungguhnya pergerakan ke Putra Jaya ini walaupun dalam keadaan kaki yang sakit, ianya berbaloi kerana menggembirakan hati cucu-cucu.  


Inilah satu dari pergerakan yang termasuk dalam senarai pergerakan yang kena saya lakukan. Sakit kaki lupakan saja.


Esok ada lagi satu pergerakan yang perlu dilakukan. Ambil ubat emak di klinik.

Waduhhhh......

Isnin, 20 Februari 2017

Ceritanya Sama Saja, Dimana-mana.




Ceritanya sama sahaja. 
 
Sesiapa pun yang bercerita apabila kesempatan berjumpa, dirancang atau kebetulan saja, yang sudah kenal biasa dikenal hati budinya, atau kali pertama bersua muka, hati budi jauh sekali dikenali, membawa cerita yang sama. 
 
Ada marah berbagai warna, kebencian , menyampah , meluat dan kecewa mengisi suasana bicara.
 
Jumpa di warung untuk menjamu selera, di klinik sementara giliran tiba, di majlis nikah kahwin yang dekat dan yang jauh dan dimana sahaja asalkan duduk semeja bicaranya jarang berbeda.
 
Ceritanya hanya berpusat pada orang itu dan mereka yang bersekutu, tentang hal yang sama.
 
Pagi tadi menemani isteri untuk rawatan pantauan kencing manis, sementara gilirannya tiba, seorang hamba Allah dengan mesra menyapa, mempersilakan duduk disisinya walaupun kali pertama berjumpa.
 
"Sakit apa bang", kenalan baru itu memulakan bicara. Ah, dia panggil saya abang. Saya lebih tua darinya . Ya, benar, bukan satu persepsi melihat dari segi air muka, helaian rambut di kepala  dan warna. 
 
Saya tunjuk pada isteri saya. Dia angguk, faham agaknya bahawa bukan saya yang perlukan rawatan.
 
"Saya bawa bapa saudara. Sakit gigi. Nak cabut", kawan baru itu beritahu tanpa ditanya. Saya angguk saja, percaya 100%. Takkanlah dia nak berbohong.
 
Orang keluar masuk , menarik dan menolak pintu tak henti-henti macam semut buat kerja.
 
"Banyaknya orang bang".
 
Saya angguk sahaja.
 
Kawan itu mula berbicara lanjut setelah melihat satu jalinan persahabatan, yang saya rasa, dia sudah percaya, bahawa saya ini boleh diajak bicara atau diluahkan isi hati yang ada.
 
"Orang sakit ramai, doktor kurang. Sebab itu kena tunggu lama. Nak pergi swasta mahal pulak. Tak mampu nak bayar. Tahu lah sekarang semua  mahal. Bawak wang 100 ringgit, kalau kita pergi pasar, ringan saja yang kita bawak balik. Kena GST lagi. Tambah belanja, sakit hati bang".

Saya hanya mendengar saja sambil mengukir sedikit senyum tanda memberi perhatian untuk kawan itu baca bahawa  saya bersetuju dengannya , tiada bantahan.

Senyap seketika, mungkin ada isu lain yang hendak diperkata atau mungkin kawan itu mahu menunggu apa pula yang saya hendak kata. 

Saya perlu ambil bahagian kalau tidak apa pula katanya. Macam tidak dapat sambutan tentang apa yang dia cakap. 

"Ikan parang bang, bukan main mahal lagi. Seketul , harganya tak boleh cakap, mahalll". 

Belum sempat saya mahu menyentuh tentang kekurangan doktor, dia dah cakap harga ikan parang yang mahal. Tapi tidak pula beritahu berapa harganya. Mungkin dia pun tidak tahu. Hanya dengar cerita saja.

"Doktor memang kurang. Ada yang jadi HO berhenti kerja. Sayang. Belajar penat-penat. Belanja banyak. Berhenti kerja pulak". Saya bawa isu HO yang kena berhenti kerja.

Dengan segera kawan saya itu menyambut, "Dia orang nak ni bang. Gaji besar".

Waduh, kata hati kecil saya bahawa kawan ini tidak faham rupanya isu yang saya bangkitkan. Mungkin juga dia tidak tahu apa itu HO. Menyesal juga saya bangkitkan perkara itu. Tapi saya perlu terangkan. Ianya satu tanggungjawab agar dia tidak keliru.

Seorang doktor keluar dari bilik rawatan..

Kawan saya beritahu saya, itu adalah doktor pelatih  dalam latihan. Nak pergi minum katanya.

Waduh, sekali lagi saya besuara dalam hati bahawa kawan saya ini keliru. Di klinik tidak ada doktor dalam latihan. Mereka di hospital. 

Mahu saya terangkan? Saya bertanya dalam hati. Tak perlu. Sebab ianya seolah-olah saya mahu mengajar beliau. Sensitif kepada ego seseorang.  Tidak ada gunanya dalam pertemuan kali pertama.

"Itulah sebabnya lama menunggu. Doktor keluar minum", saya mahu lihat apakah reaksi kawan saya ini.

"Dia manusia. Tahu penat. Perlu makan. Apa salahnya", kawan ini membela segera doktor muda yang keluar itu.

Dia terus menyatakan bahawa, kerajaan mesti menambah bilangan doktor. Banyakkan hospital. Banyakkan klinik. Banyakkan doktor pakar. Barulah rakyat didahulukan.

Wah , hebat betul kawan saya ni. Bercakap macam orang politik. 

"Tapi, mana nak ambil wang. Besar belanja", sengaja saya bawa isu berkaitan dengan wang. Isu yang memang dekat dihati kawan saya ini. Mesti dia segera memberi respons.

Betul jangkaan saya.  

"Bang, negara kita kaya. Tapi semua wang habis dibalunnya". Tanpa rasa takut, dia menyebut nama seseorang,  pada hal ada ramai orang yang duduk berdekatan menunggu giliran. Tapi mereka macam buat tak kisah.

"Sekarang ni cuba berlakun. Tangkap sana, tangkap sini. Konon bertindak tegas nak hapus rasuah. Diri sendiri, macam mana?" Marah sungguh kawan saya itu. 

Waduh, saya perlu mencari jalan keluar. Ini sudah jadi cerita serious. 

Kebetulan , bapa saudara kawan saya itu sudah selesai rawatan giginya, mengajak anak saudaranya itu balik ke rumah. Saya lega. Kami bersalam. Jumpa lagi katanya. 

Lega rasanya. Saya urut dada yang tidak pun sakit.

Sebenarnya , telinga saya sudah biasa dengar cerita yang sama. Bukan saja mendengar, saya juga menjadi aktif sama, jika saya sudah terlalu kenal hati budi kawan bicara. 

Minggu lepas, dalam majlis nikah anak kawan saya,  cerita dan nama orang yang sama juga turut kami bicara, tetapi bicara kami lebih berfakta dan bermaklumat, bukan suka-suka kerana mahu bercerita.  

Namun, perasaan marah, meluat, muak, benci, kecewa dan segala yang duka tetap menguasai bicara, dimana saja. Isu yang sama dan nama yang itu dan geng-gengnya tidak pernah keluar dari agenda bicara.

Di dalam masjid pun, ustaz yang mengajar ilmu agama, sempat juga menyebut satu angka yang sudah menguasai dan sedia difahami oleh semua.
  

    

  

  

 
    

Ahad, 19 Februari 2017

Tak Habis-habis Nak Mengeluh, Bosan.




Tahu tak satu sifat yang tidak mudah ditinggalkan oleh orang 
tua? Maksud saya warga tua. 

Warga tua ni tak habis-habis suka mengeluh. Sebab apa? Sebab itu saja kerja yang ada. Maaf, gurau saja.

Kita mulakan jadual hidup harian siwarga tua ni. Bermula dari waktu bangun tidur di sebelah pagi sehingga naik atas katil untuk tidur disebelah malam. Paling kurang sepuluh kali warga tua ni mengeluh.

Waktu bangun pagi untuk menunaikan solat Subuh, perkataan pertama yang biasa terkeluar dari mulut warga tua ialah 'aduiii sakitnya....'. 

Pinggang sakitlah, tumit sakitlah, kaki sakitlah.

Sebab apa mengeluh sakit-sakit itu? 

Sebab situa itu hendak berdiri. Macam mana nak berdiri jika pinggang sakit. Macma mana kaki nak memijak lantai kalau tapak kaki dan tumit sakit. Macam mana nak membuat langkahan jika kaki sakit diserang oleh kekejangan (krem).

Itu keluhan pertama.

Dalam bilik air pula, satu lagi keluhan. Aduh sejuknya, apabila mahu ambil wuduk. Jangan cakap fasal mandi. Sebab situa tidak akan mandi di pagi buta. Terlalu sejuk. Walaupun ada sistem pemanas air, situa tidak akan mandi kerana, selepas mandi sejuk itu akan menyerang situa. Menggigil anggota badan situa.

Keluhan kedua.

Sama ada solat Subuh di masjid atau di rumah, situa ni tetap mengeluh.  Waktu berdiri, waktu rokok, waktu sujud dan apa saja perbuatan dalam solat, tidak berhenti diganggu dengan keluhan , cuma di dalam hati, takut batal solat. Apatah lagi kalau solat di masjid yang tok imam baca surah yang panjang, lagi lamalah keluhan dihati.

Keluhan ketiga.

Waktu  sarapan dan makan tengah hari. Ada saja yang tak kena. Bukan lauk pauk atau hidangan tidak menyelerakan tapi situa akan kata 'tak ada selera' .

Keluhan keempat.

Situa, dalam banyak hal sukakan persekitaran yang bersih dan cantik. Oleh itu walaupun kudrat menurun tidak seperti orang muda, situa masih lagi mahu buat kerja. Tapi tidak sampai beberapa  minit macam-macam keluhan yang boleh didengar. Panaslah. Penatlah. Kadang-kadang terkeluar kata-kata marah, seperti 'lantak kau lah'.

Lantak kau lah membawa maksud , biarkan saja. Ertinya persekitaran tidak cantik dan kotor, sudah tidak penting baginya walaupun hajat dihati hendakkan yang cantik dan bersih.

Banyak lagi keluhan sepanjang perjalanan hingga ke waktu hendak tidur malam.

Sebelum naik berbaring diatas katil untuk tidur, situa mula mengeluh sakit badan kesan dari bekerja pada waktu siang. Aduh, sakitnya. Semua anggota badan sakit.

Bila baring saja, kemudian tutup mata, macam-macam hal masuk dalam otak situa. Itulah, inilah sehingga membuatkan situa susah nak  tidur walaupun mata tutup rapat.

Antara yang masuk dalam otak situa ialah bagaimana untuk menghadapi kesakitan untuk bangun pada esok hari. Dan adakah aku masih boleh bangun. Entah-entah......

Ini cerita orang tua  tentang sifat yang boleh membosankan anak-anak. Oleh itu anak-anak yang tinggal bersama dengan orang tua hendak sentiasa faham bahawa orang tua memang suka mengeluh. Jadi jangan pula terkeluar perkataan , 'Tak habis-habis mengeluh, bosan!'.

Anak-anak mesti ingat akan keluhan orang tua dengan menggunakan ayat,' Entah-entah...' yang tidak mahu dihabiskan.
  
Sayanglah orang tua.

  

Sabtu, 18 Februari 2017

APAKAH MALANGNYA PENJAWAT AWAM.




Bilangan penjawat awam dikatakan berjumlah 1.6 juta, dan didakwa sebagai melebihi dari keperluan bagi penduduk 30 juta.  
 
Maka ianya didakwa membebankan kewangan negara menurut perkiraan kerajaan seperti yang disuarakan oleh menteri kewangan kedua dan ahli politik pembangkang serta sebahagian dari masyarakat awam yang termasuk diantaranya bekas penjawat awam yang terdiri dari pegawai tinggi kerajaan.
 
Dakwaan ini adalah serious kerana  sumber/wang negara tidak diagihkan dengan cekap. Atau dalam perkataan yang lain ianya satu pembaziran. Siapa yang membazir  adalah kawan baik syaitan.

Benarkah dakwaan yang dibuat? Atau ada sebab lain mengapa dakwaan itu dibuat? 

Untuk memastikan benar atau sebaliknya dakwaan itu, saya percaya satu penelitian yang rapi dan menyeluruh wajar dan perlu dilakukan.
 
Namun begitu sebagai bekas penjawat awam,  yang berbangga dengan apa yang telah disumbangkan oleh penjawat awam kepada negara, merasakan ada tanggungjawab saya untuk menyatakan sesuatu. Ianya bukan bersifat defensif yang bertujuan untuk menidakkan dakwaan yang dibuat. Saya percaya kepada satu kajian yang menyeluruh dan teliti.

Saya mendekati bicara ini dengan  menyatakan apa yang saya percaya tentang penjawat awam berdasarkan realiti dan pengalaman.
 
Siapa/apa itu penjawat awam di Malaysia? 
 
Penjawat awam adalah  objek belasahan orang politik yang paling ampuh. 
 
Ianya 'punching bag' bagi ahli politik kerajaan dan ahli politik pembangkang   yang   bercakaran   merebut kuasa,  konon demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
 
Penjawat awam adalah seekor kancil yang duduk ditengah-tengah gelanggang percakaran diantara gajah dan gajah , lalu mati tersepit. Mati dengan mata terbeliak.
 
Penjawat awam  adalah  juga titik (spot) yang dicari dan dikenalpasti untuk dimenfaatkan oleh orang politik sebagai tempat mengumpul dan membuang  segala kekotoran orang politik (center for collection and dumping of rubbish).
 
Penjawat awam adalah juga mainan orang politik kerana orang politik adalah tuan kepada penjawat awam.......'my political master'. 
 
Yes sir. I am your obedient servant, sir. Do as you please, sir.

Itulah penjawat awam. Saya Yang Menurut Perintah.
 
Ikut perintah. Akur dan terima saja arahan dari Tuan Politik jika mahu bekerja. Kalau tidak , berhenti sahaja.
 
Itu adalah SOP penjawat awam.
 
Cuba renung hal dibawah ini.
 
Pilihanraya semakin dekat. 
 
Berbagai isu telah timbul dan ditimbulkan. Pembangkang yang mahu rebut kuasa paling seronok membicarakan isu kelemahan kerajaan mentadbir urus negara.
 
Pihak kerajaan pula selain mengadakan skim memujuk dan meredakan suasana hangat, bertindak mengalihkan isu agar isu yang dibangkitkan pembangkang boleh disenyapsunyikan atau ditutup dengan bayangan isu kelemahan pembangkang.
 
Dan rakyat sebagai pendengar yang mempunyai tahap kemampuan yang berbeza dalam menerima dan mentafsirkan isu-isu yang dibangkitkan, mahu tidak mahu akan membuat keputusan yang dizahirkan dalam peti undi, memilih diantara dua pihak iaitu parti yang memerintah yang mahu kekal berkuasa dan pembangkang yang mahu mengambil kuasa.
 
Isu-isu rasuah dan salah guna kuasa misalnya telah begitu hebat dan meluas  didedahkan oleh pembangkang. Dan sebahagian besar mempunyai maklumat dan fakta yang tidak mudah dinafikan oleh kerajaan.
 
Maka seperti biasa kerajaan tetap juga menafikan dengan berbagai cara termasuk mendapat pengakuan dari pihak yang ada otoriti bahawa setelah siasatan dibuat tidak ada merit kes itu diambil tindakan. Kes tutup. Contoh 1MDB.
 
Satu lagi cara ialah dengan mendedah dan mengambil tindakan keatas penjawat awam yang didakwa mengamal perlakuan rasuah. 
 
Maka bilangan tindakan dedahan dan dakwaan rasuah yang dilakukan oleh penjawat awam itu memecah rekod dari yang biasa sebelumnya. 
 
Nilai rasuahnya tidak pernah ada dalam bayangan fikiran sebelum ini yang melibatkan jutaan ringgit dalam berbagai bentuk....tunai, jongkong emas dan aset berbentuk bangunan. Wang tunai boleh dijumpa dibawah katil atau diatas loteng rumah. Menakjubkan.
 
Itulah buktinya kerajaan serious dalam membanteras rasuah!
 
Jawapan untuk disuapkan kepada orang ramai. Dan untuk mematikan dakwaan pembangkang bahwa kerajaan bukan main-main tentang rasuah.

Siapa yang Rasuah? Penjawat awamlah!

Pembangkang dakwa kerajaan membazir wang rakyat. Dan satu cara untuk mengurangkan pembaziran ialah dengan menyemak semula bilangan penjawat awam dan struktur gaji penjawat awam khususnya diperingkat jawatan tertinggi.

Pembangkang dakwa perkhidmatan awam telah digunakan bagi tujuan politik iaitu berkhidmat untuk kepentingan politik dan bukan untuk rakyat. Contoh yang diberikan ialah JASA sebuah jabatan yang diisi secara lantikan politik.

Kerajaan juga sependapat dengan pembangkang dari segi bilangan penjawat awam yang melebihi dari keperluan.Kata menteri kewangan kedua keadaan seperti ini membebankan kewangan negara.
 
Secara implikasi, kenyataan menteri itu mengarah kepada pengurangan bilangan penjawat awam. Tetapi menteri itu tidak pula mengsyorkan jawatan lantikan politik sebagai langkah awal dan segera, jika beliau serious, untuk dihapuskan.
 
Jadi adakah beliau serious dalam mengurangkan beban kewangan kerajaan?  

Saya kira sudah memadai bicara saya setakat ini bagi membuktikan bahawa penjawat awam adalah objek yang paling ampuh untuk dijadikan belasahan orang politik yang berebutan kuasa iaitu parti yang menjadi kerajaan yang mahu kekal kuasa dan pembangkang yang mahu ambil kuasa.
 
Kerana penjawat awam telah diberi jenama dan kekal berjenama Saya Yang Menurut Perintah.
 
Segala yang kotor, telah sedia ditempah untuk dihantarkan ke pusat PENGUMPULAN DAN PEMBUANGAN SAMPAH yang namanya Penjawat Awam.
  


 
 
 
 
 

 
 

Jumaat, 17 Februari 2017

Mengapa HO Tidak Hadir Kerja?

Berita ramainya doktor dalam latihan (Houseman atau HO) yang berhenti kerja amat malang sekali jika ianya hal yang benar.

Setakat yang terkini 3 sebab telah diperkatakan mengapa mereka berhenti kerja iaitu:

i) Tidak hadir kerja dalam tempoh yang lama berpunca dari beban kerja dan tempoh masa kerja yang panjang yang menjadi kejutan budaya kepada mereka.

ii) Mereka disalurkan untuk menjadi doktor atas kehendak atau desakan ibubapa sedangkan mereka tidak punya minat berkerjaya sebagai seorang doktor.

iii)  Mereka tidak mendapat satu kedudukan yang sewajarnya sebagai seorang doktor dari pihak atasan seperti doktor pakar dan konsultan yang menyelia dan melatih mereka apabila diherdik dan diperlekehkan dikhalayak ramai.

Saya mahu bicara perkara (i) terlebih dahulu.

Bagi saya perkara (i) ini adalah alasan picisan, remeh dan tidak langsung ada 'weightage' . Ianya diperbesarkan oleh setengah pihak .

Ianya memperkecilkan kemampuan ibubapa dan pelajar dalam membuat pilihan bidang yang perlu diikuti demi  kerjaya masa depan. Seolah-olah ibubapa bertindak seperti diktator yang mesti dituruti oleh anaknya. Seolah-olah pelajar itu tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir apakah kursus yang terbaik sesuai dengan kemampuan mereka untuk dibuat pilihan.

Apakah perbezaan pendapat antara pelajar dan ibubapa dalam membuat pilihan kursus yang wajar diambil, dan secara kebetulan ibubapa lebih cenderung kepada kursus kedoktoran boleh disimpulkan sebagai desakan dari ibubapa?

Kalau itu dikatakan desakan, tidak ada gunanya  diadakan perbincangan dan bertukar-tukar fikiran diantara pelajar dan ibubapa dalam cuba memilih kursus yang terbaik untuk pelajar.

Adakah pelajar itu robot  yang tidak mampu berfikir? Sungguh gila jika ada orang yang berpendapat begitu.

Oleh itu saya menolak alasan ini sebagai penyebab mengapa HO itu ponteng kerja atau tidak hadir kerja dalam tempoh yang panjang. 

Tidak berasas, tidak rasional dan tidak ada logik terutama dalam keadaan negara yang kadar pengangguran semakin meningkat termasuk dikalangan graduan. Berapa banyak graduan yang menganggur ketika ini.
 
Gilalah HO itu mensia-siakan peluang kerja yang sudah dimilikki sedangkan ramai  lagi yang masih terkial-kial untuk mendapat pekerjaan. Hanya kerana tidak minat lalu ponteng kerja. Apakah HO ini tidak mampu berfikir secara rasional?

Jika benarlah mereka tidak berminat tetapi terpaksa ikut kemahuan ibubapa, minat seseorang itu boleh berubah. Sebab itu mereka sanggup bertungkus lumus menghabiskan pelajaran tidak kurang 6 tahun (ambilan SPM) sehingga lulus dan layak menjadi doktor. 
 
Jadi logikkah mereka melakukan sesuatu (ponteng dan berhenti kerja) atas alasan tidak berminat menjadi doktor?  

Tidak sama sekali. Sebab mereka itu orang yang boleh berfikir dan bukan orang gila. 

Untuk pengetahuan bahawa ketika ini masih ramai pelajar yang telah lulus kursus kedoktoran sedang menunggu untuk ditawarkan HO. Ada yang telah menunggu hampir setahun. Sementara menunggu ada yang melakukan apa saja kerja walaupun upah rendah asalkan dapat menjana pendapatan.

Dan ketika ini juga pengambilan HO adalah atas dasar kontrak.

Ertinya betapa ruginya jika HO itu menjadikan tidak berminat menjadi doktor sebagai alasan untuk tidak datang kerja dikala mana mereka sudah ditawarkan jawatan bukan atas dasar kontrak. 

Ini bermakna bukan soal tidak berminat yang membuatkan mereka ponteng kerja. Ada sebab lain yang membuatkan mereka 'terlalu benci dan sakit hati' untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang doktor.

Saya lihat sebab yang pertama (i) yang dinyatakan diatas  adalah terlalu besar pengaruhnya keatas HO itu sehingga sanggup membuat satu keputusan yang merugikan. Rugi kepada diri sendiri, kepada ibubapa dan seterusnya kepada negara dan rakyat.

Sia-sia belajar dan sia-sia mengeluarkan wang yang begitu besar yang akhirnya ilmu yang telah dikuasai tidak dimenfaat sepenuhnya untuk diri sendiri, untuk ibubapa dan seterusnya untuk rakyat yang sangat-sangat memerlukan perkhidmatan perbuatan yang lebih murah, mudah diperolehi dan masa menunggu rawtan yang boleh dipendekkan.

Mengenal pasti beban kerja dan tempoh bekerja yang panjang sebagai sebab HO ponteng kerja adalah tidak cukup dan tidak juga membantu jika tidak diambil tindakan dan langkah yang positif bagi mengatasi masalah HO diberhentikan kerana ponteng kerja.

Satu kajian yang menyeluruh perlu dilakukan keatas beban kerja yang ada termasuk tempoh waktu kerja dan kemudahan serta kelengkapan lain yang boleh menarik minat doktor yang menjalani latihan itu meneruskan kerjaya kedoktoran.

Satu aspek yang tidak juga kurang penting ialah membentuk satu jalinan hubungan yang baik diantara HO dengan pegawai kanan/atasan yang menyelia dan melatih HO ini atas dasar saling hormat menghormati. 

Bukankah doktor bekerja secara berpasukan? Mengapa perlu ditengking herdik dan dimalukan dikhalayak ramai. Bukankah ini boleh menjatuhkan moral dan semangat doktor muda itu untuk terus memberi khidmat?

Apakah doktor yang kanan itu, tiba-tiba boleh jadi pandai dan pakar tanpa dulunya mendapat latihan dan tunjuk ajar dari orang atasannya dulu. Atau adakah pihak atasannya  dulu melakukan tengking herdik dan dengan itu perlu diwarisi dan disambung dan dikenakan kepada doktor muda ini?

Adakah itu sifat yang perlu ada pada seorang pemimpin? 
 
Maka semak semula beban kerja, tempoh bekerja dan kemudahan yang ada serta jalinan hubungan kerja.

Maklumat yang saya tahu beban kerja adalah  terlalu membebankan dan menyeksa sekali terutama sekali waktu kerja yang terlalu panjang sehingga menjadikan doktor itu tidak produktif dan boleh membahayakan pesakit yang dirawat kerana terlalu mengantuk dan tahap kemampuan berfikir telah menurun sehingga ketapak kaki.

Kesimpulannya adalah amat merugikan jika isu kena berhenti kerja kerana ponteng kerja dikalangan HO ini tidak diuruskan dengan cara yang lebih baik. 

Maksudnya kaji semula beban kerja, jangka masa tempoh bekerja dan kemudahan yang disediakan kepada HO seperti tempat letak kereta. Jalinan hubungan kerja diantara HO dan yang melatih dan menyelia perlu ditambahbaik kearah lebih mesra dan saling hormat menghormati.




 

Rabu, 15 Februari 2017

CERITA SEORANG PESARA




Diam tak  diam sudah 13 tahun saya bersara dari perkhidmatan awam. Tapi saya tidak merasakan begitu. Rasanya baru semalam saya menyampaikan ucapan di majlis perpisahaan yang diadakan oleh jabatan.

Usia sudah mendekati  69 tahun. Tak boleh lagi main trik dengan merubahkan kedudukan angka untuk dibaca sebagai berusia muda. 

Dulu waktu berusia 54 tahun, saya ubahkan kedudukan angka depan ke belakang jadilah 45. Tapi sekarang jika dibuat begitu usia saya akan dibaca sebagai 96 tahun. Semakin tua jadinya.

Oh tak mau.  Lagipun tidak mungkin saya akan mampu pergi ke tahap itu. Paling-paling saya mampu mencapai......Saya tak mahu menyebutnya. 

Takut? Saya tidak mahu  jawab. Ianya rahsia besar.

Lagipun ianya tidak perlu dijawab kerana Allah saja yang mengaturkannya.

Memasuki dua tahun selepas bersara iaitu pada bulan Jun 2006 (saya bersara bulan Ogos 2004), saya menjalani pembedahan jantung terbuka yang dipanggil CABG  (Coronery Artery Bypass Grafting) di IJN. Ianya satu peristiwa yang tidak dapat saya cari perkataan yang dapat memberikan gambaran sebenar tentang perasaan saya.

Perasaan saya terbentuk dari gabungan rasa takut, bimbang, sedih, menyesal dan mengharap yang terbaik  iaitu selamat menjalani pembedahan.

Macam mana tak takut kerana ia melibatkan jantung. Berhentinya denyutan jantung 'I am gone', begitulah bisik hati kecil saya semasa berbaring diatas katil menunggu kedatangan pakar bedah Datuk Dr Venugopal bagi menerangkan prosedur yang saya perlu lalui.

Saya memandang isteri yang duduk diatas sofa berdekatan dengan katil saya.  Wajahnya memberi tahu saya bahawa dia lebih takut dari saya. Sebutir kata pun tidak mampu dikeluarkan. Saya faham.

Dr. Venu menerangkan kepada saya tentang prosedur yang perlu saya lalui. Saya tidak sabar, sebelum habis penjelasan diberikan saya segera mencelah menanyakan peluang untuk survive dan tahap risiko pembedahan itu.

Sebagai professional beliau  tidak berselindung  dengan kata-kata yang boleh menyenangkan hati tapi tidak benar.

"This is a major operation. In your case, it is 94 and 6. But you don't have to worry I have been doing this for years. Every body is happy". Dia tersenyum sambil menepuk bahu kanan saya.

94 itu bermaksud tahap risiko yang saya akan hadapi. Saya hanya ada peluang 6% saja untuk survive.

Senyap sunyi.  Tiada suara yang keluar dari saya apatah lagi isteri. Maka ketika itulah saya terbayang wajah anak-anak. Seorang belajar di UTP, seorang belajar di UGM, Jogjakarta, seorang di UiTM Shah Alam dan seorang di Mozac.Jelas muka anak-anak itu walaupun bukan berada dihadapan mata.

Tiada air mata yang mengalir. Segala kesedihan dan kebimbangan diresap dan dikumpulkan dalam sanubari.

Saya mengelak dari memandang wajah isteri. Saya tahu apa yang ada dalam hatinya.

Peluang survival 6%, saya perlu menfaat sepenuhnya. Walaupun kecil,  ianya tetap peluang yang memberi harapan. 

Wajah isteri saya muncul dan wajah empat orang anak saya juga muncul dalam bayangan otak kepala saya.  Mereka masih memerlukan saya di dunia ini. Itu yang mereka harap dan itulah yang menjadi harapan saya.

Saya mula membina keyakinan bahawa saya akan survive dalam pembedahan ini. Peluang 6 % itu akan menyangkut.  

"Bukan kah ajal maut  ketentuan Allah? Jadi mengapa saya mahu percaya saya akan.....", terhenti setakat itu bisikan suara hati saya. Terganggu juga proses pembinaan keyakinan saya itu.

'Doa sajalah agar Allah memberi peluang untuk saya terus dapat bersama isteri dan anak-anak didunia ini'. 

Saya memintas gangguan terhadap pembinaan keyakinan tadi dengan menggunakan kekuatan doa kepada Allah yang maha berkuasa.

Berserah kepada Allah.  Terserahlah kepada Allah mengikut apa yang dikehendakkiNya.

Saya telah bersedia untuk menjalani pembedahan pada keesokan harinya. 

Pukul 7 pagi saya sudah berada di pintu masuk bilik pembedahan, terbaring diatas troli, ditemani isteri disisi. Tiada apa bicara diantara kami. Saya berbicara dalam hati.

Beberapa minit kemudian saya dibawa masuk ke dalam bilik pembedahan  meninggalkan isteri yang melepaskan genggaman tangannya dari tangan saya dengan wajah yang sedih. Tidak ada air mata dari saya dalam perpisahan itu. Saya tidak pasti isteri menangis atau tidak.

Dalam bilik pembedahan saya menerima suntikan.

Maka bermimpilah saya dengan mimpi yang indah. Saya menjadi orang kaya, rumah besar dan cantik. Amat menyeronokkan.

Saya merasa anggota badan saya ditepuk-tepuk oleh seseorang. Saya membuka mata sekejap sahaja. Masih lagi rasa mengantuk mahu tidur.

Rupanya pembedahan saya berjaya. Saya survive. Alhamdulillah. Saya diberitahu kemudiannya pembedahan itu mengambil masa 6 jam termasuk menjalani prosedur sebelum pembedahan sebenar. Empat saluran darah saya (artery) tersumbat dan dilakukan pintasan (bypass).

Tiga belas tahun sudah berlalu. Setiap tahun saya akan berjumpa doktor di IJN bagi memantau jantung saya. Pada tahun pertama sehingga tahun ketiga, jika tidak silap, saya dipantau 3 kali dalam setahun. Kemudian turun kepada 2 kali dan seterusnya setahun sekali.

Dr melaporkan 'everything is fine'. 

Saya ada sedikit keraguan dengan kenyataan doktor itu kerana ada masanya saya merasakan sakit bagai kena cucukan jarum di kiri kanan dada terutama pada setahun dua kebelakangan ini. Tapi ianya bukan sakit yang berterusan. 

Saya masih lagi mampu melakukan kerja-kerja berat seperti memesin rumput, membersih dan mengemas rumah seperti mopping lantai, mengangkat barang berat seperti paket beras seberat 10 kilo tanpa merasa mengah dan sakit. 

Saya juga mampu melakukan senaman 'jalan cepat' membuat 100 kali pusingan di hadapan rumah dalam tempoh hampir satu jam tanpa henti, tanpa merasa penat atau mengah.

Cuma pada tahun lepas dan tahun ini saya belum memulakan lagi senaman jalan cepat itu. Penyakit malas sudah menguasai diri saya.

Saya mahu mulakan pada esok hari.

Tapi tidak mungkin akan dapat saya lakukan kerana saya diserang oleh sakit ditapak dan tumit kaki kiri saya. Pijak saja, rasa sakit yang amat sangat. Jalan terdengkut-dengkut menahan kesakitan. Pada hal saya telah mendapat suntikan secara rawatan prolotherapy pada dua bulan yang lepas. Tetapi nampaknya rawatan itu belum memberi kesan yang diharapkan.

Sebenarnya 5 tahun yang lepas saya telah mendapat rawatan ini dan ianya memberi kesan dapat menghilangkan sakit ditapak kaki dan tumit dikaki kiri juga tapi pada spot yang berbeza.

Entah mengapa suntikan kali ini tidak berkesan. Mungkin saya melakukan terlalu banyak kerja pada tempoh masa yang panjang selepas mendapat suntikan itu. Mungkin.

Tapi doktor yang menjalankan prosedur prolotherapy itu tidak pula memberi tahu saya agar jangan melakukan kerja berat selepas menerima suntikan. Sebaliknya beliau dengan penuh yakin mengatakan sakit itu akan hilang sebaik saja saya menerima suntikan.

"Tak sakit lagikan?" Beliau tanya saya selepas memberi suntikan.

Saya diam tidak menjawab. Sebab rasa sakit masih ada bahkan semakin bertambah disebabkan suntikan yang diberi.

Walaupun begitu minggu depan saya akan berjumpa doktor prolotheraphy itu untuk mendapat rawatan disamping akan bertanya mengapa suntikan pada dua bulan yang lepas tidak memberi kesan yang diharapkan.

Begitulah cerita orang yang telah bersara yang kawan saya panggil sebagai orang pencen. Semakin bertambah usia macam-macam penyakit yang datang. Saya tidak hairan kerana ianya sesuatu yang semula jadi yang mahu tidak mahu kena saya terima sebagai isyarat menghampiri masa yang telah ditentukan Allah. Mati itu pasti. Penyakit itu isyaratnya.

Yang perlu ada ialah kesabaran. Saya bersyukur atas nikmat yang telah diberi Allah sehingga saya mampu berada ke tahap usia yang hampir menjangkau 69 tahun, dan masih sihat, boleh menguruskan diri sendiri.

Esok tak jadi senaman. Azam untuk esok ialah mesin rumput. Rumput dibelakang rumah sudah semakin tebal dan meninggi, takut-takut mejadi tempat mainan sang ular. Tempat bersarang sang nyamuk sudah pasti.

Bagaimana dengan kesakitan ditumit dan tapak kaki?

Buldoz saja. Lagipun sakit tetap sakit walaupun tak buat kerja. Oleh itu lebih baik buat kerja.