Theflowersellingboy

Ahad, 30 September 2012

Bajet Nasi Lemak Kopi O

Sarapan pagi saya pagi ini, Ahad 30 September 2012, jam 10 pagi adalah sarapan biasa-biasa saja iaitu seperti pagi-pagi yang lain: secawan milo kosong (milo + air panas - gula = milo kosong) dan dua keping roti bakar bersapu 'butter'. Isterilah yang menyediakan sarapan itu walaupun ianya satu perkara yang mudah yang saya sendiri boleh melakukannya. Tetapi dia seronok dan suka melakukannya, katanya tanggongjawab dia sebagai isteri. Syukur alhamdulillah.

Secara kebetulan tv telah terpasang dengan rancangan nasi lemak kopi o. Meja sarapan saya itu walaupun tidak bertentangan sebenar dengan tv, tapi saya dapat mendengar perbualan-perbualan dalam rancangan itu dengan jelas. Cuma tidak berapa jelas wajah mereka yang bersembang di'kedai kopi' itu .

Yang dibual dengan begitu rancak ialah tentang bajet yang telah dibentangkan kerajaan BN pada Jumaat lepas. Ada 2 tetamu jemputan, seorang wanita muda yang katanya mewakili wanita muda yang lain dan seorang lelaki Cina yang terkenal juga dalam industri perfileman.

Saya percaya semua orang sedia maklum akan maksud yang hendak disampaikan dalam perbualan kedai kopi itu iaitu bajet yang dibentangkan itu adalah bajet yang baik untuk rakyat. Suara tetamu wanita muda Melayu itu begitu bersungguh dengan keyakinannya seperti itu. 

Tapi ada sedikit kelainan dengan lelaki pengusaha perfileman berbangsa Cina itu. Seimbas lalu beliau semacam menyuarakan maksud yang sama seperti wanita muda Melayu itu. Tapi kelihatan beliau adalah seorang yang ada daya fikir yang kritikal. Ada yang beliau setuju. Tapi dalam menyatakan setujunya itu beliau mengharapkan bajet ini tidak menjadi seperti 'angin' dan jumlah yang diperuntukkan bagi maksud membantu orang bukan Melayu tidaklah menimbulkan jurang seperti langit dengan bumi.    

Apakah  yang dimaksudkan seperti 'angin'? Adakah maksudnya bocor, membazir, hilang lesap? 

Perbandingan seperti langit dan bumi , saya percaya, mudah kita faham maksudnya iaitu terdapat jurang peruntukan yang besar untuk faedah orang Melayu berbanding dengan bukan Melayu. 

Jadi kalau kita terjemahkan pandangan 2 orang tetamu tadi dalam bentuk memberi undi dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang ini maka rasanya BN dapat 1 undi dan PR 1 undi. Ini hanya barangkali saja kerana mereka yang mengundi bukan saya yang mengundi untuk mereka.

Dari perbualan kedai kopi itu , saya rasa ada juga sebahagian dari rakyat yang masih lagi belum berapa jelas tentang bajet negara , tanggungjawab kerajaan iaitu pihak yang telah dipilih dalam pilihanraya untuk menguruskan khazanah negara dan hubungannya dengan rakyat.

Saya akan gunakan perkataan wang negara atau duit negara (sama ertinya dengan wang rakyat atau duit rakyat) untuk mudah difaham.

Rakyat telah memilih kerajaan BN untuk menguruskan Wang Rakyat (WR) ini. Maknanya rakyat telah mewakilkan kuasa mereka kepada BN melalui pilihanraya. 

Untuk menguruskan WR ini telah ada satu tabung. Nama tabung itu ialah Kumpulanwang Yang Disatukan Persekutuan. Kalau di negeri namanya Kumpulan Wang Yang Disatukan Negeri.

Sumber wang itu terdiri daripada apa saja pendapatan/hasil yang diterima dan diperolehi oleh kerajaan. Kesemuanya dimasukkan kedalam tabung ini. Sumber wang itu antara lain misalnya dari cukai-cukai dan apa saja bayaran yang dikenakan oleh kerajaan termasuklah bayaran kesalahan jalan raya, bayaran proses yang diuruskan oleh jabatan kerajaan. Termasuk juga lesen judi, lesen arak, rumah urut dan sebagainya.

Kesemua pendapatan itu akan dimasukkan kedalam tabung WR rakyat ini.

WR dalam tabung itu tidak boleh digunakan sembarangan atau ikut suka hati atau ikut nafsu mereka yang telah diamanahkan oleh rakyat itu. Ada cara dan kaedah untuk mengeluarkannya untuk digunakan. Digunakan untuk kebaikan negara demi kepentingan rakyat.  
 
Kaedah dan caranya adalah melalui satu ketetapan undang-undang yang dinamakan Undang-undang Perbekalan yang dibahas dan diluluskan oleh Parlimen. 

Undang-undang Perbekalan itu adalah untuk Belanja Mengurus.

Setiap tahun Kerajaan akan membuat anggaran hasil yang akan diterima bagi tahun bajet yang hendak dicadangkan. Misalnya bagi bajet tahun 2013, anggaran hasil yang akan diterima pada tahun 2013 akan dibuat pada tahun 2012.

Maka untuk menggunakan hasil yang dianggarkan itu ianya mesti melalui kaedah yang dinyatakan diatas.

Belanja Mengurus yang dicadangkan itu mestilah tidak melebihi dari hasil yang diterima. Sama seperti wang kita dalam bank. Kita tidak boleh keluarkan lebih dari apa yang ada dalam akaun kita di bank berkenaan. Tidak boleh defisit.

Bajet 2013 dan tahun-tahun sebelumnya adalah bajet yang defisit. Maknanya bajet bolehlah defisit.

Sebelum menjelaskan bajet yang defisit itu perlu juga disentuh satu lagi komponen perbelanjaan kerajaan yang di panggil Maksud Pembangunan atau belanja untuk pembangunan.

Bagi maksud Belanja Pembangunan pula ianya dibawah Akta Pembangunan dimana peruntukkannya juga dibentangkan bersama dengan Belanja Mengurus.

Peruntukan Belanja Pembangunan ini diperolehi dari lebihan hasil setelah memperuntukkan atau menggunakan hasil untuk maksud belanja mengurus. Jika tiada lebihan maka peruntukan belanja pembangunan akan diperolehi melalu pinjaman dari berbagai bentuk dan sumber termasuk dari luar negara.

Projek-projek pembangunan juga perlu dilaksanakan untuk memperkembangkan ekonomi untuk menjana pendapatan pada masa depan, menambah serta memperbaikki kemudahan demi kebajikan rakyat serta kemakmuran negara.

Maka dalam keadaan tiada lebihan itu sedangkan pembangunan juga penting maka kerajaan akan melaksanakan bajet defisit. Buat pinjaman. Bajet 2013 defisit kerajaan ialah 4%.

Maknanya kerajaan kena berhutang. Ertinya juga ianya akan menjadi tanggungan generasi akan datang. Kalau besar hutang maka besarlah tangungangnnya. Ada negara telah jatuh bengkrap kerana berhutang.  

Dengan itu amalan bajet yang defisit yang berterusan adalah tidak sihat dari segi menguruskan wang rakyat. 

Saya percaya ramai rakyat yang seronok dengan bajet 2013 ini seperti yang disuarakan oleh wanita muda Melayu dalam rancangan nasi lemak kopi o itu. Dapat bonus dan dapat berbagai tawaran tunai dan insentif.

Tapi adalah salah mengatakan wang itu wang kerajaan. Atau Menteri Kewangan dengan murah dan baik hati berikan kepada rakyat. Salah kata-kata dan fahaman seperti itu. Tidak ada seorang pun yang akan berbuat seperti itu. Pertama kerana tidak mampu dan kedua mengapa perlu beri wang kepada orang lain.

Tapi jika memberi wang itu boleh menyebabkan orang sayang, suka dan puji pada kita, saya percaya semua orang akan buat begitu. Apatah lagi wang itu bukan kita punya. Ini satu kerja yang mudah.

Wang itu adalah wang rakyat yang diamanahkan untuk diurus dengan sebaik mungkin. Jadi tidak boleh digunakan sembarangan , ikut nafsu demi mendapat sokongan.

Jadi di parlimen kerajaan membentangkan permohonannya bagi menggunakan wang rakyat tersebut. Kerajaan memohon pada rakyat. Bukan kerajaan beri kepada rakyat. 

Oleh itu ahli-ahli parlimen yang mengambil amanah rakyat mestilah bertanggungjawab untuk menilai sama ada wang yang dipohon itu benar-benar memberi faedah kepada rakyat dan negara dari segi jangka pendek , sederhana dan masa depan rakyat.

Antara soalan-soalan yang perlu ditanya :
i) Apakah rakyat rela menaggung beban hutang yang semakin bertambah?
ii) Adakah wang yang dipohon itu akan sebenar-benarnya sampai dan memberi faedah kepada sebahagian besar rakyat.
iii) Adakah penggunaan wang itu diuruskan dalam satu sistem yang adil dan terbuka?
iv) Bagaimana pula dengan wang yang telah digunakan bagi belanjawan semasa dan belanjawan yang terdahulu? Apa kata Ketua Audit Negara?

Memang ramai yang seronok seperti wanita muda tadi. Tapi dalam seronok-seronok itu beliau tidak sedar bahawa bonus penjawat awam bagi tahun 2013 itu hanya setengah bulan gaji saja. Hanya bagi 2012 sebulan. Jadi adalah tertipu kalau kata bajet 2013 memberikan bonus 1 bulan setengah.

Nampak tak. Perkara yang sekecil bonus ini pun boleh dimanupulasi. Apatah lagi yang melibatkan berbagai jenis perbelanjaan.

Namun begitu ianya tidak menghairankan kerana ramai yang tidak berapa faham tentang peranan bajet dalam mempertingkatkan kesejahteraan rakyat. Yang nampak jelas kepada mereka wang tunai yang bakal diterima. Tambah hutang bukan satu hal yang penting. Wang jadi 'angin; juga tidak penting.

Sabtu, 29 September 2012

Sedikit Ulasan Mengenai Pembentangan Bajet 2013

Saya mengikuti juga sebahagian dari ucapan Menteri Kewangan dalam membentangkan Bajet 2013 pada sebelah petang tadi. 

Maka saya turut tersenyum mendengarkan pendekatan dan isi belanjawan yang dibentangkan. Ianya tepat seperti apa yang saya katakan dalam paparan saya atas tajuk Belanjawan/Bajet 2013. Bahawa bajet 2013 itu adalah bajet untuk memenangi hati dan fikiran rakyat terbanyak untuk mengundi BN dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang ini, bagi mengekalkan BN terus berkuasa.

Sama juga Belanjawan yang dicadangkan oleh PR. Cuma belanjawan PR ini tidak  dibentangkan dalam persidangan untuk di bahas dan diputuskan oleh ahli-ahli Parlimen.

Oleh itu saya tidak bercadang untuk menyentuh Belanjawan PR itu.

Tidak salah untuk memenangi dan mempengaruhi hati dan fikiran rakyat bagi menyokong mana-mana pihak dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Demokrasi ialah persaingan bagi tujuan itu, untuk mendapat mandat sebahagian besar rakyat dalam menguruskan negara, termasuk khazanah negara. Mana-mana pihak yang dapat meyakinkan rakyat terbanyak dialah yang akan dipilih oleh rakyat untuk menguruskan negara dalam tempoh-tempoh tertentu menurut yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.

Dan bajet adalah satu daripada alat yang berkesan bagi maksud itu.

Oleh itu  bajet adalah mengenai hal ehwal yang bersangkutan langsung dengan kehidupan rakyat. Apa yang rakyat mahu. Ianya mengenai harapan rakyat untuk satu kehidupan yang terbaik. Itulah yang akan diterjemahkan dalam bentuk cadangan penggunaan wang negara. Berapa jumlah yang diperlukan dan bagaimana wang itu diuruskan secara effisyen. 

Ulasan  saya keatas bajet BN yang dibentangkan ialah seperti berikut:

i) BN membaca dan mentafsir serta menterjemahkan harapan rakyat bagi satu Kehidupan Yang Terbaik dengan mencadangkan bajet defisit 4%. Perbelanjaan melebihi pendapatan. Maknanya tiada lebihan wang untuk perbelanjaan pembangunan. Dengan itu peruntukan pembangunan akan diperolehi dari pinjaman dalam berbagai bentuk. Maknanya hutang akan bertambah.

ii)  Cadangan bajet BN, berterusan defisit. Ini tidak sihat dalam pengurusan kewangan.

iii)  Saya menjangkakan, jika BN terus berkuasa, cukai GST akan dilaksanakan bagi menambahkan hasil negara bagi menampong bajet yang defisit itu.

iv) Ramai (penjawat awam termasuk pesara, orang ramai, peniaga/pelabur) yang tersenyum suka kerana mendapat faedah kewangan dalam berbagai bentuk misalnya pemberian tunai, pengurangan/pengecualian cukai bagi tempoh-tempoh tertentu dan insentif. 

v) Saya katakan bajet ini adalah bajet pilihanraya. Bukan saja dalam bentuk tawaran faedah kewangan bahkan ianya sebagai asas dalam menentukan tarikh atau masa untuk mengadakan pilihanraya ke 13. Saya menjangkakan pilihanraya tidak akan diadakan pada tahun ini. 

Persoalan yang penting yang perlu ditanya: Adakah cadangan bajet itu termasuk dalam  istilah pengurusan kewangan yang effisyen? Dan adakah ianya bajet yang berkhemah dalam erti kata berbelanja mengikut kemampuan?

Dan adakah bajet ini terlalu manis seperti gula-gula yang digemari oleh anak-anak kecil yang merongak dan merosakkan gigi mereka? 

Sama-samalah kita menilai dengan hati terbuka. Cuma sayang sekali bajet ini dibentang tanpa membentangkan sama Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2011. Laporan Ketua Audit Negara adalah rujukan yang paling baik dalam menilai pengurusan kewangan kerajaan.

Bagaimana? Siapakah pilihan anda dalam pilihanraya ke 13 nanti? 





   









 

Rabu, 26 September 2012

Belanjawan/Bajet Negara 2013

Diberitakan  bahawa PR akan  membentangkan Belanjawan 2013 pada hari ini,  Rabu, 26 September 2012 di Parlimen. Sudah tentu pembentangan itu bukan untuk dibahaskan dalam persidangan Parlimen ini. Bukan juga menjadi sebagai satu agenda rasmi dalam persidangan. Hanya untuk dipermaklumkan saja kepada wartawan untuk disebar luas kepada rakyat.

Ini merupakan inisiatif terbaru PR dalam cuba mempengaruhi pemikiran rakyat agar memihak dan menyokong mereka dalam pilihanraya ke 13 nanti.  

Dan pada hari Jumaat, 28 September, 2012, BN yang menerajui kerajaan Persekutuan ketika ini akan membentangkan Bajet 2013 dihadapan ahli-ahli Parlimen untuk dibahas dan diputuskan. Pembentangan bajet ini adalah agenda rasmi persidangan Parlimen. Secara konvensyen bajet ini akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan. Dan pada ketika ini Perdana Menteri adalah juga Menteri Kewangan. Jadi bajet 2013 akan dibentangkan oleh kepimpinan tertinggi kerajaan BN. Ini membawa maksud bahawa ianya akan mendapat sokongan yang jitu dari ahli-ahli Parlimen BN yang lain.

Seperti juga PR, bajet yang akan dibentangkan pada kali ini akan lebih memberi berat kepada mempengaruhi dan memenangi hati dan minda sebahagian besar rakyat agar memberi sokongan dan seterusnya memilih BN dalam pilihanraya ke 13 nanti untuk terus kekal berkuasa bukan saja di peringkat Persekutuan bahkan diperingkat negeri dengan harapan yang cukup tinggi untuk merampas semula negeri-negeri yang ketika ini dibawah pimpinan PR. 

Belanjawan/Bajet Negara adalah satu alat yang terbaik ke arah mempengaruhi dan memenangi hati dan fikiran sebahagian besar rakyat kerana belanjawan adalah mengenai hal ehwal yang bersangkutan langsong dengan kehidupan rakyat. 

Apakah yang dimaksudkan dengan  kehidupan rakyat? Atau apa yang rakyat mahu? 

Rakyat menaruh harapan dan mahukan satu kehidupan yang terbaik.

Saya tidak mempunyai maklumat atau tidak tahu apakah tema PR dan BN bagi Belanjawan/Bajet masing-masing. Namun dapat juga saya menciumi matlamat mereka seperti yang saya katakan diatas iaitu mencuba sebaik mungkin untuk mempengaruhi dan memenangi hati dan minda rakyat agar memilih mereka dalam pilihanraya ke 13 nanti.

Saya rasa semua pihak juga dapat menciumi bau dan aroma yang sama. Dalam kata lain kedua-dua pihak yang bersaing ini akan menjadikan MESRA RAKYAT dalam pendekatan dan isi Belanjawan/Bajet mereka. Tidak juga menjadi luar biasa jika Mesra mereka kepada rakyat kali ini akan sampai ke tahap MELAMPAU Maksud saya banyak tawaran-tawaran dalam bentuk apa yang selalu digah-gahkan sebagai 'Durian Runtuh' akan menjadi satu keutamaan dalam cadangan belanjawan/bajet masing-masing.  

Jika demikian kaedahnya maka soal agihan dan penggembelingan sumber negara secara yang efisyen kearah pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berdaya maju dalam jangka masa panjang tidak lagi menjadi prinsip yang dipegang dalam pendekatan dan isi belanjawan/bajet yang akan dibentangkan nanti.

Jika kedua-dua pihak yang bersaing itu, BN dan PR menterjemahkan harapan rakyat dan kehidupan rakyat yang terbaik itu seperti memberi gula-gula kepada anak-anak kecil untuk mereda atau memberhentikan tangisan, maka matlamat itu akan tercapai, anak-anak itu akan dapat diredakan dan berhenti menangis. Dan anak-anak itu juga akan tumbuh membesar dengan gigi yang rongak, rosak.
 
Maknanya belanjawan/bajet yang dirangka sedemikian rupa  tidak akan sebenarnya memberi kehidupan terbaik kepada rakyat.

Pengagihan, penggembelingan dan seterusnya penggunaan sumber negara secara effisyen mestilah menjadi prinsip dalam merangka belanjawan/bajet negara dengan matlamat akhirnya demi kesejahteraan rakyat. Ini adalah satu pernyataan yang boleh saja dimanupulasi oleh mana-mana pihak sehingga akhirnya ia tidak memberi makna langsung kepada kesejahteraan rakyat. 

Belanjawan adalah merupakan satu perancangan kewangan. Oleh itu penggunaan wang negara hendaklah dirancang  sebaik-baiknya dengan memilih hanya program/projek/aktiviti/perkhidmatan yang dapat meransang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, agihan kekayaan yang 'equitable' dikalangan rakyat, keutuhan kesatuan rakyat dan kelangsungan persekitaran kehidupan yang tidak tercemar. 

Dan belanjawan bukan saja terhenti setakat merancang. Yang penting ialah bagaimana wang yang telah dirancang agihannya itu digunakan.  

Jadi dalam membahas dan membincangkan belanjawan/bajet, isu yang amat penting juga yang perlu dibincang, diketengah dan dipersoalkan  ialah bagaimana wang itu digunakan. Bermakna ianya melibatkan persoalan yang ada kaitan dengan proses, prosedur, sistem, dasar, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan. 

Dengan demikan jika ahli-ahli parlimen hanya menyentuh tentang misalnya bilangan projek yang banyak sebagai satu gambaran belanjawan yang terbaik untuk rakyat, ianya satu kegagalan dalam menjamin rakyat mendapat faedah dari bilangan projek yang banyak itu. 

Kenapa tidak dibahas misalnya sistem penyampaian, proses, prosedur dan sistem perolehan? Banyak mana pun projek/program/perkhidmatan ditujukan untuk rakyat ianya tidak akan memberi makna apa-apa jika terdapat kegelinciran dari segi proses, prosedur dan sistem yang digunakan. Kegelinciran itu bermaksud melaksanakan sesuatu diluar dari aturan yang ditetapkan yang boleh membuka ruang kepada kelemahan/kelewatan dari segi penyampaian kepada rakyat, pembaziran, salah guna kuasa dan rasuah.

Oleh itu belanjawan/bajet mesra rakyat itu hendaklah sentiasa dikaitkan dengan penggunaan sumber negara dalam rangka proses, prosedur, sistem, dasar,  peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. 

Bahan rujukan yang terbaik untuk memberi kesan kepada perbahasan untuk menjadikan belanjawan/bajet itu MESRA RAKYAT adalah Laporan Ketua Audit Negara.
 

Selasa, 25 September 2012

Merangka bajet bulanan.

Sekarang Parlimen sedang bersidang. Urusan yang paling penting untuk dibereskan ialah Bajet 2013. 

Sebelum anda begitu becok hendak beri pandangan tentang bajet negara, molek rasanya anda sediakan bajet bulanan anda sendiri. 

Katakan atau misal kata anda seorang yang baru saja masuk dalam pasaran buruh setelah berjaya mendapat ijazah pertama dan berjaya menjadi seorang penjawat awam yang diletakkan di gred 41. Berdasarkan pendapatan pada gred itu (gaji pokok dan berbagai elaun), bagaimanakah anda menguruskan kehidupan anda. Maksud saya bagaimana anda menguruskan perbelanjaan anda. Bagaimana bajet anda: surplus ke, balance ke atau deficit budget?

Untuk tujuan itu anda jangan lupa tanggungjawab-tanggungjawab asas yang mesti ditunaikan. Jangan juga lupa bahawa anda ditempatkan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putra Jaya. Dan quarters kerajaan menurut kelayakan anda atau yang lebih rendah darinya telah diisi kesemuanya.

Tanggungjawab asas anda adalah i) membayar balik pinjaman PTPTN, dan ii) menghantar setiap bulan wang belanja kepada kedua ibubapa anda. Kedua-kedua butiran perbelanjaan ini dalam istilah bajet awam (kerajaan) dipanggil bayaran tanggongan.

Tanggungjawab asas ini bermaksud tanggungjawab yang anda tidak boleh lepaskan. Jika anda gagal melakukannya kesannya buruk sekali. Misalnya jika anda gagal membuat bayaran keatas pinjaman PTPTN anda boleh didakwa dimahkamah kerana mungkir janji. Pihak PTPTN juga boleh meminta kerjasama dari majikan anda untuk membuat potongan bulanan dari gaji anda. Anda tidak dapat mengelak kerana mahkamah bersedia menghukum anda dan majikan anda bersedia untuk mengambil tindakan tata tertib. Hutang wajib bayar.

Bapa anda   bekerja sebagai seorang buruh IWK (pemungut sampah) dan emak anda bekerja sebagai pencuci bangunan bagi menokok tambah pendapatan keluarga. Ingat juga anda ada 5 orang adik beradik lagi yang masih bersekolah, 2 di peringkat rendah dan 3 diperingkat menengah yang tinggal bersama kedua ibubapa anda.  Yang diperingkat menengah seramai 3 orang itu hanya mampu di tempatkan disekolah harian saja kerana keputusan UPSR, atau pun PMR  mereka tidak mencapai peringkat kecemerlangan yang diperlukan untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh atau pun Maktab Rendah Sains Mara. Maka mereka terpaksa berulang alik dengan menaikki van yang dibayar secara bulanan dari rumah ke sekolah yang terletak dibandar yang jaraknya 15 kilometer.

Dengan kedudukan ibubapa anda seperti itu, anda tiada pilihan melainkan mesti menghantar sedikit sebanyak wang gaji anda untuk membantu mereka. Jika anda gagal, pendidikan yang anda dapat selama ini telah gagal mendidik anda menjadi insan yang berguna. Atau saya katakan anda sebagai 'satu sen pun tiada guna'. Sudah belajar tinggi, saya percaya anda faham maksud 'satu sen tiada guna' itu.

Butiran perbelanjaan-perbelanjaan lain yang perlu adalah seperti berikut:

i) sewa bilik (anda masih bujang)
ii) tambang bas 
iii) makan minum

Bermakna pakai memakai anda tidak begitu penting. Pakai saja yang lama. Sesekali beli yang baru jika ada jimatan. Tapi jika anda mahu menjadikannya sebagai satu butiran perbelanjaan yang penting , ianya terserah kepada anda. Anda juga boleh mengelakkan membayar tambang bas dengan memiliki kenderaan seperti motorsikal atau kereta. Tapi jangan lupa bayaran ansuran bulanan dan duit minyak serta duit tol.

Anda boleh saja tambah butiran perbelanjaan anda itu asalkan dua perbelanjaan asas iaitu hutang PTPTN dan hantar wang belanja kepada ibubapa masih dapat diteruskan. Tapi anda tidak akan dapat mengurangkan butiran perbelanjaan seperti yang telah dinyatakan.

Bagaimana? Bolehkah anda uruskan kewangan anda?

Saya mahu juga membantu tugasan anda itu berdasarkan pengalaman semasa mula bekerja dahulu dengan pendapatan RM 750.00 sebulan. Pendapatan tahun 1972. Butiran perbelanjaan bulanan adalah seperti berikut:

Perbelanjaan Asas
i) Hantar wang ke kampong 
Tiada perbelanjaan bayar hutang pinjaman pelajaran. 

Perbelanjaan Lain
ii) sewa bilik
iii)utiliti  
iv) pinjaman kenderaan
v) Makan minum
vi)minyak kereta (dulu tidak ada tol)
vii) Rekreasi termasuk hiburan 
viii) Pelbagai misalnya balik kampong, membaikki kenderaan dan sebagainya termasuk lebihan untuk simpanan .
(simpanan bukan satu keutamaan).

Bajet saya dulu pernah juga difisit. Bukan sekali. Saya tampong melalui pinjaman dari kawan atau ko-op. Dulu ko-op yang paling popular dikalangan penjawat awam seperti saya ialah MOCCIS. Hendak  berkahwin pun guna pinjaman MOCCIS. Besarnya jasa MOCCIS. Tapi sekarang dengar khabarnya MOCCIS sudah habis. Ada masalah, sehingga wang dividen saya pun hangus.
Jangan ambil peduli cerita pinjaman saya itu. Yang penting bagaimana anda dapat menguruskan pendapatan bulanan anda yang saya jangka melebihi RM 2000.00 sebulan untuk menampong perbelanjaan bulanan. Saya percaya kedudukan anda tidaklah seselesa berbanding dengan saya walaupun pendapatan saya hanya RM750.00 sebulan. Namun begitu anda mepunyai berbagai sumber lain yang boleh menampong kedudukan defisit anda. Antaranya kad kredit, pinjaman peribadi dari bank, pinjaman ko-op dan yang paling mudah tetapi menyeksakan ialah pinjaman Along. Elakkanlah si Along ini.

Baik. Sediakanlah bajet bulanan anda. Tidak perlu mendapatkan khidmat pakar kewangan kerana ianya akan menambahkan lagi perbelanjaan anda.

Hanya sanya saya ingin berpesan, dan pesanan ini terlalu afdal untuk dijadikan panduan iaitu jangan jadikan bajet defisit sebagai satu cara hidup, kesannya buruk sekali, anda boleh jadi pokai, hutang memanjang, boleh muflis. Kalau hutang dengan Along, nyawa boleh terbang.

Oleh itu bijaksanalah dalam menguruskan wang anda. 

Dan kalau anda ditakdirkan mengurus bajet negara, jangan cuba-cuba mengamalkan budaya yang sama (deficit budget) sepanjang masa. Hutang akan berlonggok dan timbun menimbun dari tahun ke tahun yang akhirnya negara boleh jadi bengkrap, rakyat akan sengsara merana.
 
Oleh itu  jadilah pengurus kewangan negara yang bistari  lagi bijaksana. Maknanya jangan boros dan bocor (bukan tiris). Harap anda faham maksudnya kerana anda pun berpendidikan tinggi.

Isnin, 24 September 2012

Harapan Ibu dan Bapa:Usahlah Berbaik-baik dengan Syaitan Walaupun Kita Kenal.

1. Sepasang suami isteri percaya bahawa semua kita sukakan yang baik. Baik tuturkata, baik tingkah laku. Baik apa yang ada disanubari. Maknanya niat kita  baik, cakap pun baik dan perbuatan kita juga baik. Kita sendiri mahu jadi baik, mempunyai perwatakan yang baik yang bermula dari hati, yang kita tuturkan dan yang kita lakukan. Kita juga mahu orang lain pun mempunyai watak yang baik. Masing-masing kita hendakkan hubungan yang baik dan tidak suka kita diperlakukan atau dipamirkan dengan kata-kata mahupun perbuatan yang tidak baik. Dan sama-sama mengharapkan hati masing-masing mempunyai niat yang baik .

Maknanya kita benci kepada yang tidak baik, yang jahat yang boleh menyusah dan menyakitkan kita. Kita hendakkan yang makruf dan benci yang mungkar seperti yang diseru dalam al-quran.

2. Pasangan itu berpendapat bahawa seorang bapa atau ibu sentiasa dan berulang kali, bertubi-tubi memberi didikan kepada anak-anaknya agar jadi anak yang baik. Diajar dari kecil lagi untuk menjadi anak yang baik. Diajar untuk menjadi manusia yang baik selagi hayat dikandung badan. Begitu juga pemimpin diberbagai peringkat dan peranan , semuanya berpesan kepada yang baik dan suka serta mahu jadi baik.

3. Kalau begitu, pada pendapat pasangan itu hidup ini mudah saja diatur. Sebab semua orang sukakan yang baik dan bencikan yang jahat. Tidak ada langsung pertentangan. Kita boleh hidup aman damai, tiada perselisihan, tiada pergaduhan apatah lagi untuk berperang. Begitulah murninya watak yang kita suka, yang kita mahu, yang semua orang mahu. 

 4. Pasangan itu merujuk pula dari sisi  bangsa dan agama. Orang Melayu yang semuanya Islam mahu jadi bangsa yang baik. Begitu juga bangsa-bangsa yang lain, semuanya sukakan yang baik sama ada dirinya mahu jadi orang yang baik mahupun mengharapkan orang lain berbuat dan bersikap baik terhadapnya. Jadi apa ada masalah dalam hidup ini?

5. Disisi negara pula, semua negara membuat pengistiharan menjadi sebuah negara yang baik. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga memperjuangkan keamanan untuk dunia,  satu hasrat yang baik. Jadi sekali lagi pasangan itu yakin bahawa hidup ini tiada masalah.

6. Pasangan itu mempunyai tiga orang anak. Anak yang pertama lelaki berambut kerinting berkulit cerah. Anak kedua perempuan berambut lurus dan berkulit hitam manis. Anak ketiga lelaki berkulit gelap. Semua mereka dididik untuk jadi insan yang baik.

7. Untuk menyambut hari raya mereka dibelikan pakaian. Kesemua anak-anak diajak bersama membeli pakaian. Warna dan kualiti pakaian yang dibeli semuanya sama saja.

8. Ibu memulakan dengan mendapatkan pakaian anak pertama. Kemudian anak kedua dan seterusnya anak ketiga. Anak-anak tidak kisah, asalkan dapat baju dan seluar baru mereka begitu gembira sekali.

9. Begitu juga diwaktu bersarapan. Mereka makan bersama dan makan makanan yang sama. Mereka tidak kisah. Hidup aman damai.

10. Suatu hari satu dari kerusi di meja makan telah patah dan tidak boleh digunakan. Bermakna seorang dari anak itu tidak akan dapat makan serentak. 

11. Dalam masa yang sama mereka memberitahu supaya anak-anaknya itu mesti jadi orang baik. Bertolak ansur dan berkurban untuk orang lain adalah satu sikap yang baik. Abang atau adik beradik yang tua mesti berkurban untuk adik-adik yang muda. Maka anak lelaki yang tua itu berkurbanlah kerana itu adalah sesuatu yang baik. Hari-hari dia makan selepas adik-adiknya makan. 

Tapi lama kelamaan hatinya berbisik mempersoalkan kenapa adik-adiknya itu tidak mahu menjadi orang baik. Maksudnya mengapa tidak mahu berkurban seperti yang telah dia lakukan?

12. Di pagi hari raya anak-anak itu diajar untuk memohon kemaafan kepada kedua ibubapa. Maka diaturkan, yang mendahului memohon kemaafan ialah anak yang tua dan diikuti yang kedua dan ketiga. Semua anak-anak akur. Yang tua sungguh gembira kerana dia didahulukan. Dan paling seronok dia dahulu yang dapat wang raya setelah memohon kemaafan. Setiap tahun begitulah aturan yang diikuti. Itu satu didikan untuk menjadi insan yang baik. 

Masa berlalu maka anak yang kedua dan ketiga mula berbisik di hati mengapa abang mesti didahulukan.

13. Anak bongsu pula sentiasa mendapat dakapan terdahulu dari pasangan ini. Tidur diatas katil yang sama, ditengah-tengah diantara mereka suami isteri

Anak yang pertama dan kedua melihat dengan rasa cemburu.

14. Maka pada suatu pagi kedua ibubapa itu melihat dengan mata sendiri anak-anak mereka bercakaran di meja makan. 

Mereka terdengar anak yang kecil sekali berkata bahawa dia sentiasa mendapat wang raya yang terkemudian pada setiap tahun. Itu tidak adil. 

Anak yang kedua pun membangkitkan perkara yang sama sambil menyatakan tidak puas hati kerana tidak dapat tidur diatas katil bersama kedua ibubapanya . Itu tidak adil. 

Terdengar pula hujah anak yang tua menyatakan hari-hari dia berkurban, makan terkemudian dari adik-adiknya. Itu tidak adil.

15.  Maka pasangan suami isteri itu jatuh pengsan.

16. Setelah sedar dari pengsan, pasangan suami isteri itu mula menerima hakikat bahawa rupa-rupanya yang baik baginya tidak semestinya baik bagi orang lain waemah anak-anaknya sendiri. Bahawa kehidupan manusia ini tidaklah semudah itu untuk diatur walaupun semuanya hendak dan sukakan yang baik dan benci yang jahat. 

17. Apatah lagi jika ada insan yang berpegang kepada kepercayaan bahawa  lebih baik berkawan dengan syaitan yang kita kenal dari bersahabat dengan malaikat yang kita tidak kenal.  

'Lebih baik berkawan dengan syaitan? Bukankah kita diminta untuk berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam?' Pasangan suami isteri itu saling berpandangan dan tidak menyangka ada insan yang berpandangan sebegitu rupa. 

18. "Manusia yang suka berkawan dengan syaitan itu  lagi susah untuk di urus". Itulah kesimpulan yang dibuat oleh pasangan suami isteri itu sambil memeluk ketiga-tiga orang anaknya. 

Mereka tetap bertekad untuk terus mendidik anak-anaknya menjadi insan yang terbaik dan memohon kehadrat Allah agar diberi perlindungan dari godaan syaitan. Dan mereka juga tidak mengharapkan anak-anaknya berwatak seperti malaikat. Namun mereka percaya bahawa malaikat itu ada , dan begitu taat  kepada Allah SWT.

  



 

Hantar Cucu ke taska

Tugas terbaru saya adalah menghantar cucu ke taska . Pada setiap pagi Isnin sehingga Jumaat melainkan cuti umum, saya dan isteri , setiap seorang memimpin seorang cucu sambil menjinjing beg yang berisi dengan pakaian dan makanan  setiap seorang cucu itu  memasuki kereta untuk di hantar ke taska di cyberjaya.  Perjalanan memakan masa kurang lebih 10 minit. 

Mereka akan dijemput pulang pada jam 5 petang.

Cucu yang pertama, Yousef Imran sebenarnya baru saja berpindah taska dari kampong pandan ke cyberjaya. Yousef dan Umminya buat sementara berpindah dari rumahnya di Ampang Avenue dan tinggal bersama kami di Putra Jaya. Ini berikutan pemergian ayah Yousef ke Munich Jerman untuk bekerja dengan sebuah syarikat otomotif disana. Oleh kerana kami tidak mahu mereka tinggal dua beranak di rumahnya diAmpang jadi kami meminta mereka tinggal bersama kami buat sementara sebelum mereka berpindah ke Munich pada bulan Mac tahun depan.

Yousef Imran sudah biasa dengan alam taska.

Ahmad Naqib, cucu kami yang kedua sepupu kepada Yousef, belum pernah di hantar ke taska. Oleh itu taska adalah sesuatu yang baru baginya termasuklah pengasuh-pengasuh taska (pengasuh-pengasuh taska ini dipanggil teacher). 

Yousef begitu seronok dengan taska. Naqib amat sedih berada di taska, berpisah dari jagaan harian kami. Maka menangislah Naqib pada hari pertama sehingga ke hari ini. Sudah masuk 3 minggu. Menangis dari pagi sehinggalah ke petang pada hari pertama sehingga beberapa hari yang lepas.

Tapi semalam dan hari ini ada perubahan walaupun waktu diserahkan kepada teacher dia menangis tapi hanya sekejap saja. Disebelah petang waktu dijemput, Naqib ceria dengan teachernya. Duduk diatas riba teacher sambil mengunyah biskut. Sebaik saja nampak wajah kami , Naqib mula menangis dengan memanggil "neneeeek, tokpa, neneek, tokpa". 

Kami terlalu gembira kerana Naqib telah menunjukkan kemajuan dari segi penerimaan terhadap orang lain. Cuma yang masih dirisaukan ialah seleranya untuk makan agak kurang terutama jika disuap oleh orang lain. Harap-harap ianya akan berubah, lebih berselera dan mahu makan tidak kira siapa yang menyuapnya.

Jika Naqib telah dapat menerima taska dengan perasaan yang menyeronokkan maka bolehlah kami berkira-kira untuk balik ke rumah kami di Melaka yang telah lama ditinggalkan, yang ketika ini dihuni oleh sang cicak yang amat pengotor itu.

Tapi sedih juga hendak meninggalkan Naqib.
 

Khamis, 20 September 2012

ABU vs ABU

'Genggam bara api biar sampai jadi arang'. 

Begitulah satu daripada pepatah Melayu dalam menyampaikan sesuatu mesej secara kiasan atau bandingan. Mesej yang hendak disampaikan dari pepatah ini ialah bahawa lakukan sesuatu itu dengan penuh kesungguhan, keyakinan, keberanian dan penuh keazaman untuk menghasilkan satu keputusan yang kita hajati walaupun kita akan menghadapi berbagai dugaan, halangan, cabaran, kesusahan, keperitan,  kesakitan, kepayahan dan berbagai lagi rintangan dan halangan. Maklumlah bara api itu memang panas. Jari yang menggenggamnya akan melecur. 

Tapi kita genggam bara api itu sehingga apinya padam dari membara.  Itulah kesungguhan dan keazaman kita dalam melakukan sesuatu terutamanya dalam sesuatu perjuangan. Apatah lagi sesuatu perjuangan yang melibatkan kelangsungan kewujudan kita, survival. Sanggup berkorban apa saja.

Namun bagi saya menggenggam bara api sehingga menjadi arang masih lagi tidak cukup. Ianya tidak cukup dalam merangsang semangat untuk satu perjuangan bagi kelangsungan kewujudan atau survival. Masih lagi belum mencapai tahap usaha dan ikhtiar yang paling tinggi kerana hanya mampu menjadikan bara api itu sebagai arang saja. Kenapa tidak menggenggam bara api itu sehingga bara api itu menjadi abu? Sebab jika setakat menjadi arang, ianya boleh dibakar dan dinyalakan semula untuk membara. Tapi kalau bara api itu digenggam sehingga menjadi abu maka berakhirlah keupayaannya untuk membara. Api padam dan arang hancur menjadi debu dan abu. 

Itulah sepatutnya semangat yang perlu ditanam dalam sanubari setiap pejuang.

Oleh itu saya lebih suka untuk berkata : Genggam bara api biar sampai jadi abu. Ianya boleh merangsang jiwa raga ke satu tahap keazaman, kesungguhan, keyakinan dan pengorbanan yang paling tinggi.

Apakah sebenarnya yang saya hendak bicarakan dalam paparan ini dengan mengemukakan ungkapan 'Genggam bara api biar sampai jadi abu?

Saya hendak bicara fasal politik. Khusus yang berkaitan dengan cara dan kaedah yang digunakan oleh berbagai pihak dalam mempengaruhi dan memenangi hati rakyat untuk memilih pihak berkenaan dalam pilihanraya yang ke 13 nanti .

Saya tertarik dengan perkataan ABU yang digunakan oleh pihak yang mahu menolak UMNO dan sekutunya (UMNO +) dari menerajui kerajaan selepas pilihanraya ke 13 nanti. Maksudnya mereka menggunakan ABU bagi menyingkirkan UMNO + dari tampuk pemerintahan. Nampak gayanya ABU digunakan pada tahap yang paling tinggi sekali, sama seperti matlamat dalam ungkapan 'Genggam bara api biar sampai jadi abu'. Musnah dan singkirkan UMNO + dari menerajui kerajaan.

'Asalkan Bukan UMNO', atau 'Anything But UMNO' (ABU) menjadi asam garam dan rencah yang cukup rasa dan mengeliurkan. Sedap dan enak untuk diratah dan dimakan.    

Perkataan abu itu sendiri sudah lama ada dalam perbendaharaan kata orang Melayu, telah lama digunakan. Ianya boleh membawa berbagai makna mengikut konteks dan kegunaannya sama ada yang bersifat positif mahupun negatif. Dalam pepatah diatas ianya bersifat positif iaitu satu perlakuan yang bersungguh bagi mencapai matlamat. Abu juga biasa digunakan untuk menyatakan kerugian atau nasib tidak baik atau ditimpa kemalangan misalnya dalam kata-kata 'habis semuanya , sudah menjadi abu'. 

Seperti yang telah dinyatakan diatas pada masa ini perkataan ABU telah mendapat tempat yang utama dan menonjol dikalangan setengah pihak. Ianya digunakan dalam mempengaruhi orang ramai supaya menyebelahi perjuangan mereka dalam menolak satu pihak. Menolak ABU dan menerima selain dari ABU.

'Asalkan Bukan UMNO', (ABU). Itulah kempen yang giat digerakkan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan parti UMNO . Menolak UMNO dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang ini dari menerajui kerajaan. Menolak UMNO dan sekutunya (UMNO +) Berbagai sebab diketengahkan mengapa UMNO perlu ditolak. Mengapa pemikiran rakyat tetap ABU se abu-abunya. Yang lain boleh diterima melainkan UMNO dan sekutunya. Asalkan Bukan UMNO, yang lain boleh saja. ABU dalam bahasa Inggeris juga membawa maksud yang sama. Singkirkan UMNO +. Ini menjadikan gerakan pihak yang mahu mempengaruhi rakyat untuk menolak UMNO berupaya mencakupi bilangan rakyat yang lebih banyak. Rakyat yang memahami bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Siapakah selain dari UMNO dan sekutunya dalam BN yang dimaksudkan? Adakah sesiapa saja?

Pada permukaannya begitulah maksudnya iaitu selain dari UMNO + , yang lain boleh diterima. Tapi hakikat sebenarnya ialah menolak UMNO +, dan memilih parti yang lain untuk mengganti UMNO + dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang ini. Parti yang lain itu yang mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk membentuk kerajaan ialah parti-parti dibawah PAS, PKR dan DAP yang memanggil diri mereka sebagai Pakatan Rakyat (PR). Ertinya menolak UMNO + atau BN dan memilih PAS, PKR dan DAP atau PR.

Dalam lain kata bahawa selain dari UMNO + itu ianya tidak lain dan tidak bukan melainkan pilihlah PR dalam pilihanraya ke 13 nanti untuk menerajui negara. 

'Bahawa aku naik saksi tiada parti lain yang aku pilih melainkan PR', begitu agaknya janji dan ikrar yang mahu disemadikan dalam jiwa raga rakyat atau  setiap warga Malaysia.

Apakah alasan atau sebab yang mereka kemukakan dalam gerakan ABU?

Ada banyak alasan dan berbagai pula. Tapi kesemuanya yang berkaitan dengan rakyat. 'Demi Rakyat' mereka mahu UMNO + ditolak kerana banyak kerosakan dan kepincangan yang telah dilakukan oleh UMNO +. Antara yang disebut adalah:

i) Agihan kekayaan yang tidak adil, yang mengutamakan diri dan kroni,
ii) Salah guna kuasa dan rasuah,
iii) Penipuan dalam sistem dan pelaksanan pilihanraya.
iv) Campur tangan dan mempengaruhi urusan institusi seperti kehakiman dan pelaksanaan tugas berbagai jabatan.

Itu adalah sedikit saja petikan sebab-sebab yang disebut oleh pihak yang berkempen untuk memperjuangkan ABU . Asalkan Bukan UMNO  + , yang lain boleh saja. Maksudnya, pilihlah PR.

Dari segi agihan kekayaan yang tidak adil, mereka mengemukakan contoh projek-projek yang dihadiahkan kepada kroni melalui sistem/kaedah runding terus atau tender tertutup atau tender design and build atau apa saja sistem atau kaedah perolehan yang digunakan. Antaranya projek lebuh raya, pembelian kapal selam , LRT/MRT dan National Feedlot. Mereka mengemukakan fakta dan dokumen-dokumen bagi menyokong kenyataan yang dibuat.

Dan kata mereka, bersandarkan  bukti yang ada, bahawa sebahagian besar projek-projek yang  dilaksanakan melibatkan rasuah dalam berbagai bentuk dan nama. Projek pembelian kapal selam dan projek National Feedlot misalnya telah ditonjolkan sebagai projek yang urusannya dijalankan secara tidak bersih, tidak teratur dan diselaputi  dengan rasuah.

Untuk kekal berkuasa, UMNO + dikatakan sanggup melakukan apa saja termasuk mencampuri dan mempengaruhi sistem dan pelaksanaan pilihanraya. Sebab itulah katanya UMNO + tidak mahu menerima 8 tuntutan BERSIH bagi mengadakan satu sistem dan pelaksanaan pilihanraya yang adil dan bersih.

Itu apa yang  mereka kata dalam kempen  menggerakkan ABU.

Bagaimana pula dengan UMNO + yang mempunyai berbagai kelebihan berbanding penentang mereka. Wang tiada masalah. Alat dan jentera sebaran propaganda pun dalam genggaman, boleh digunakan sepenuh dan sepuas hati, bahkan boleh digunakan sesuka hati. Kaki kempen dan tukang sebar dalam apa cara dan kaedah pun sedia melakukan. Syaratnya mesti ada wang. Wang UMNO + menimbun, beres saja kalau fasal nak bayar kepada tukang kempen dan yang sejiwa dengannya.

Pendek kata UMNO + bisa atur semuanya.

Oleh itu UMNO + juga boleh menggunakan perkataan ABU bagi melawan kempen ABU . ABU vs ABU atau ABU lawan ABU. Satu ABU hak cipta tidak terpelihara PR dan geng-gengnya dan satu lagi hak cipta, juga tidak terpelihara UMNO +. Jadi barulah dikatakan perlawanan diatas padang yang sama rata. Buah epal lawan buah epal. Buah durian berlaga dengan buah durian. Namun epal UMNO+ dari luar nampaknya cantik. Tak kisahlah jika busuk didalam. Sudah tentu lebih menarik dan ramai yang suka. Durian UMNO+ lebih tajam durinya. Jangan ada yang cuba mahu menguji ketajamannya, bahaya.  Tapi tidak mengapa asalkan berlawan di atas padang yang sama rata, bolehlah.

UMNO boleh gunakan ABU sebagai kempen  dalam pilihanraya. Jadikan ABU secara positif. Dan lakukan dengan penuh keazaman dan kesungguhan yang tinggi seperti dalam pepatah ungkapan yang saya perkenalkan diatas tadi 'genggam bara api biar sampai jadi abu'.

Saya percaya UMNO + mampu melakukannya. Tapi apa itu ABU bagi tujuan kempen UMNO +. Setakat sekarang belum terdengar mana-mana pihak dalam UMNO + yang mempunyai imiginasi dan kreativiti menggunakan senjata yang dipakai oleh lawan untuk menyerang lawan. UMNO + masih lagi belum menggunakan ABU. 

Jadi saya cadangkan ABU digunakan oleh UMNO +. ABU sama juga dengan Asalkan Bersama UMNO (ABU), kehidupan rakyat akan kekal sejahtera. Maknanya kehidupan rakyat akan menjadi senang dan mewah, selamat dan aman, tiada jenayah dan huru hara tapi bersatu padu. Bagi orang Melayu pula hak keistimewaan mereka tidak terancam, agama Islam terpelihara dan Raja-raja kekal bertahta.

Jadi Asalkan Bersama UMNO kesejahteraan rakyat akan berkekalan. Adalah salah ABU pihak lawan yang mengatakan ABU UMNO+ sebagai membawa kemusnahan.

Lebih molek dan tertib serta beradab   kalau ABU ini didebatkan diantara BN dan PR diatas satu pentas oleh wakil pejuang masing-masing untuk dilihat, didengar, direnung, difikir, dianalisis dan ditimbang oleh semua rakyat. Paling tidakpun rakyat boleh berimiginasi tentang apa yang dihujahkan. Tidak perlu bersuara lantang di pentas yang berbeza.  Buang masa dan ramai yang tidak suka. Sebab kedua-dua pihak pandai kata mengata tetapi tidak sanggup bersemuka.

Kesimpulannya Ketua Pembangkang mestilah berani naik atas pentas yang sama berhujah konsep ABUnya . PM pula dengan hati yang terbuka mengemukakan ABUnya pula. Tajuk debat sama iaitu ABU maka adillah cadangan ini.

Macam mana? Berat sebelah ke cadangan ini? Saya rasa tidak. Nah segerakan kerana pilihanraya sudah hampir tiba. Bila? Tanyalah PM.
 

SELAMAT JALAN KE TANAH SUCI

Hari ini, Rabu 19 September 2012, kurang lebih jam 6 suku petang, saya berserta isteri , anak-anak dan cucu-cucu, dari Precint 11 Putra Jaya menuju ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya bagi mengucapkan selamat jalan kepada adik dan isterinya ke tanah suci. Saya menggunakan lebuhraya LDP untuk ke sana.

Pada mulanya perjalanan adalah lancar. Kemudian kenderaan dilencongkan kerana terdapat kerja-kerja binaan jalan raya. Malanh sekali selepas mengikut lencungan itu tidak ada papan tanda rah untuk memasuki semula lebuhraya LDP itu. Jadi saya telah memasuki jalan yang salah menuju ke bandar Kiara. Nasib baik anak ada membawa GPS bersama. Jadi dapatlah kami kembali semula ke LDP dan seterusnya sampai Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya. 

Kereta terlalu banyak. Saya meletakkan kereta lebih kurang 200 meter dari kompleks.

Seperti biasa jumlah orang yang menghantar lebih ramai dari jemaah yang pergi. Sebahagian besar membawa bersama bekalan makan minum. Dan bersantailah mereka makan minum.

Pihak pengurusan kompleks meminta kerjasama dari para hadirin agar dapat menjaga kebersihan. Sampah-sampah dan sisa-sisa makanan hendaklah dimasukkan ke dalam plastik/bungkusan dan dibuangkan kedalam tong/bekas yang ada disediakan. Dan sebahagian besar hadirin nampaknya memberikan kerjasama berbanding dengan beberpa tahun yang lepas. Ini merupakan satu kemajuan dari segi menjaga kebersihan.

Lebih kurang jam 9 malam para jemaah telah diminta untuk masuk ke dalam dewan/bangunan. Seperti biasa maka berpusu-pusulah jemaah menuju ke tempat yang diminta.  Terdapat 3 barisan dibentuk sebagai cara bagi melancarkan para jemaah memasuki bangunan. Terdapat beberapa orang pengawal yang memberi arahan , menentukan barisan yang mana perlu bergerak terlebih dahulu supaya tidak berlaku asak berasak atau potong 'que'. Namun amat malang sekali masih lagi terdapat para jemaah dari barisan yang belum tiba giliran telah bergerak untuk memasuki bangunan.

Perangai seperti ini memang biasa kita lihat semasa memandu kenderaan atau semasa menaikki bas. Sudah menjadi budaya atau perangai. Dan untuk pergi ke tanah suci masih lagi tidak buang perangai buruk itu. Ini berlaku di kompleks tabung haji Kelana Jaya. Belum lagi sampai ketanah suci. Disana nanti banyak benda yang hendak direbut. Satu daripadanya ialah untuk naik lif ke tingkat masing-masing dan/atau untuk ke tingkat yang menyediakan makan tengah hari. 

Perangai berebut-rebut, berasak-asak dan yang tidak senonoh misalnya perli memerli, tengking menengking dan marah memarahi besar kemungkinan berulang lagi pada musim haji tahun ini. Kalaulah ianya berlaku maknanya kita masih lagi belum maju dari segi disiplin dan adab.

Sesungguhnya amat malang sekali kerana pemergian kita ke tanah suci dicemari perangai kita yang buruk itu. Mengapalah perlu berebut-rebut.

Ada orang mengatakan ini adalah salah satu dugaan kepada para jemaah. Katanya kita mesti bersabar dengan perangai-perangai seperti itu.

Saya bersetuju bahawa memang ada dan banyak dugaan. Tapi saya tidak bersetuju menjadikan alasan dugaan itu bagi membenarkan kelakuan yang tidak senonoh itu. Jangan disalahkan dugaan bagi kita membenarkan perlakuan yang tidak baik.

Semoga para jemaah haji tahun ini akan dapat melaksanakan haji dengan lebih sempurna dan tertib. Ingat kita hendak melakukan yang terbaik. Ingat juga orang lain juga hendak melakukan yang terbaik. Tapi jangan pula kita menyakitkan hati dan perasaan orang lain dengan menunjukkan perlakuan atau mengeluarkan kata-kata yang tidak layak datangnya dari seorang jemaah haji yang mahukan keredhaan dari Allah untuk mendapat haji yang terbaik (mabrur), Dan kita pula dengan mudah menyatakan pada orang lain  supaya bersabar, sedangkan kelakuan kita atau kata-kata kita tidak menunjukkan seorang yang sabar. Contohnya potong 'que' tadi.

Selamat ke tanah suci dan sentiasa sihat untuk dapat melaksanakan kerja haji dengan sempurna, dan selamat kembali ke tanah air.




\

Jumaat, 14 September 2012

Tunjuk Pelangi Jari Akan Kudung dan Rasa Garam Tetap Masin Dari Dulu, kini dan Selama-lamanya

"Jangan tunjuk pelangi, nanti kudung jari". Begitulah kaedah yang digunakan oleh sebahagian besar dari ibubapa dan orang lebih tua generasi saya dalam mendididik dan mengajar anak-anak dan anak-anak kecil supaya patuh dan taat setia kepada kedua ibubapa dan orang yang lebih tua. Saya dan anak-anak ketika itu tidak boleh berhujah atau bertanya mengapa 'tidak boleh tunjuk pelangi' atau 'mengapa jari jadi kudung'. Kami wajar menerima dan percaya apa yang dikata. Mesti taat dan patuh. Ada sebahagian dari anak-anak itu percaya sehingga jika ada anak-anak yang lain cuba menyanggah ianya boleh menimbulkan perkelahian. 

Saya adalah seorang dari anak-anak yang tidak percaya. Maka apabila adanya pelangi dan jika sedang berjalan dengan kawan-kawan saya dengan cepat menunjuk kearah pelangi itu. Sebab, yang pertama bagi saya pelangi itu sesuatu yang cantik, berwarna warni. Kedua, ianya tidaklah selalu berlaku, cuma diwaktu hujan renyai dan matahari bersinar. Ketiga, saya sengaja berbuat begitu bagi membuktikan bahawa jari tidak akan jadi kudung kalau menunjuk ke arah pelangi. Sebenarnya, sebab ketiga inilah lebih kuat yang meransang saya untuk menunjuk pelangi dengan harapan untuk mendapat bantahan/cegahan dari kawan-kawan.

Secepat kilat kawan-kawan yang percaya tangan yang menunjuk pelangi itu menjadi kudung akan bersuara keras melarang. Saya pula dengan segera menunjukkan jari saya. Ianya masih lagi ada, tidak kudung. Dengan bukti yang ada itu pun mereka masih percaya jari saya akan menjadi kudung jika saya tidak menghisap jari yang menunjuk itu sebagai tanda minta maaf kepada pelangi atau membersihkan kesalahan saya itu.  Saya tidak menurut nasihat mereka. Dan setelah beberapa hari berlaku dan apabila kami berjumpa kawan saya itu masih mengatakan pada suatu hari nanti jari saya itu akan jadi kudung.

Begitulah kuatnya ketaatsetiaan atau kepatuhan sebahagian dari anak-anak sezaman saya waktu itu akan pantang larang yang telah disampaikan oleh orang-orang tua. Bukti dan logik tiada dalam pertimbangan.

Satu lagi pegangan hidup yang diamalkan ketika itu ialah  'siapa dulu makan garam'. Bermaksud bahawa orang tua kita yang lebih awal hidup dari kita, yang telah menjalani dan menempuh berbagai ragam dan rencam kehidupan , lebih tahu atau serba tahu dari kita yang muda. Maka kata-kata mereka adalah semuanya benar dan perlu diambil sebagai benar belaka. Kita tidak boleh berbeza atau memberi pilihan dari apa yang mereka telah tentukan. 

Sama seperti hal pelangi diatas, ada sebahagian anak-anak yang teguh memegang prinsip 'siapa dulu makan garam' ini, dan ada juga yang tidak setuju.

Apa yang dapat disimpulkan ialah bahawa kaedah didikan pada masa itu adalah untuk mendapatkan kepatuhan dari orang muda terhadap orang yang lebih tua. Jika ada yang tidak patuh telah disediakan hukuman iaitu jari akan jadi kudung, dalam hal menunjuk pelangi tadi. Kaedah menakut-nakutkan. 

Oleh kerana tahap ilmu pengetahuan ketika itu amat rendah maka apa yang datangnya dari ibubapa atau orang yang lebih tua diterima sebagai benar dan perlu dipatuhi tanpa ada soal. Sesiapa yang tidak patuh akan menerima padah yang buruk. Dan jika ada yang telah terlanjur melakukannya, padah yang buruk itu boleh dielakkan dengan melakukan sesuatu misalnya menghisap jari yang menunjuk itu sebagai isyarat membersihkan kesalahan yang dilakukan dan memohon kemaafan. Maka dengan cara ini , saya berpendapat, larangan itu menjadi lebih bertahan tempoh hayatnya dikalagan anak-anak, terutama kepada anak-anak yang terlalu taksub dan anak-anak yang antara percaya dengan tidak dengan larangan itu. Cuma larangan itu tidak meninggalkan kesan kepada anak-anak yang suka bertanya, 'mengapa boleh jadi kudung'?

Jadi kaedah menakut-nakutkan adalah kaedah didikan yang paling berkesan bagi mendapatkan kepatuhan, taat setia dan perlindungan serta keselamatan diri yang telah digunakan oleh masyarakat Melayu ketika itu. Sebab itulah cerita-cerita hantu yang berbagai itu sentiasa diceritakan kepada anak-anak terutama semasa senyap sepi diwaktu malam. Maka berpeluk-pelukanlah anak-anak itu diantara satu sama lain sambil merapati orang tua yang bercerita itu untuk rasa lebih selamat.

Mereka (anak-anak ) itu terlalu takut walaupun tidak pernah melihat atau berjumpa dengan hantu yang diceritakan.

Begitu juga dengan prinsip 'siapa dulu makan garam', yang bersifat untuk mengekalkan penguasaan orang tua dalam menentukan tata cara, kaedah, bentuk, susunan, peraturan, tingkah laku , adab dan perhubungan dalam kehidupan sebuah masyarakat.

Soalnya sekarang adakah dua hal yang diperkatakan itu masih lagi berlaku. Maksud saya adakah kaedah menakut-nakutkan yang berselindung disebalik memberi perlindungan dan keselamatan bagi mendapat kepatuhan, taat setia dan perpaduan serta kesatuan diamalkan pada masa ini? Dan adakah juga kaedah yang mengasaskan pengalaman yang begitu lama dipergunakan untuk mengekalkan penguasaan, seperti orang tua-tua dulu dibawah prinsip siapa dulu makan garam?

Jawapan saya , jelas sekali bahawa kedua-dua kaedah itu telah digunakan pada peringkat yang lebih tinggi dan meluas. 

Peringkat yang lebih tinggi membawa maksud peringkat bagi menguasai pemerintahan sebuah negara. 

Penggunaan kaedah yang meluas pula, sama maknanya dengan penggunaan segala alat dan jentera sebaran untuk memberi kesan yang seoptima dan semaksima yang mungkin dalam mempengaruhi seseorang bagi mendapatkan ketaatsetiaan, kepatuhan dan keyakinan bahawa 'tiada lain yang lebih baik melainkan yang telah lama memimpin'.

Jadi untuk berjaya dalam pilihanraya yang akan datang ini ada pihak menggunakan kaedah menakut-nakutkan rakyat. Rakyat tidak selamat jika memilih pihak B, kata pihak A. Pihak B tiada rekod dan pengalaman mentadbir negara. Oleh itu tidak akan dapat mentadbirkan negara dengan baik.

Maka disebarkan dengan kerap dan meluas akan ancaman yang akan diterima oleh rakyat itu jika salah buat pilihan.

Maka juga ada rakyat yang taksub lalu percaya.  Sama seperti anak-anak kecil dalam hal jari menjadi kudung jika menunjuk kearah pelangi yang diceritakan diatas tadi. Bukti dan logik bukan lagi asas pertimbangan. Yang penting 'kita perlu selamat', kononnya.

Ada rakyat yang was-was serba salah diantara percaya dengan tidak. Sama seperti anak-anak kecil yang terlanjur menunjuk kearah pelangi yang diminta menghisap jari jika mahu selamat (jari tidak kudung), rakyat yang was-was atau yang dikatakan atas pagar itu , jika ada penawar yang boleh menyelamatkannya akan menggunakan penawar itu. Dan dalam keadaan sekarang, dalam kehidupan yang terbeban dengan kos hidup yang tinggi penawar yang paling ditunggu ialah wang ringgit atau apa saja yang boleh mengurangkan kesulitan hidup walaupun bagi tempoh yang terlalu pendek.
 
Cuma yang tidak terkesan dengan kaedah takut menakutkan dan kaedah bahawa yang lebih lama adalah lebih baik adalah mereka atau rakyat yang mempunyai pengetahuan dan pendidikan yang baik yang menguasai banyak maklumat dan tahu membezakan maklumat yang mana yang benar dan yang mana satu yang tidak benar.  Mereka ini tidak akan jadi penakut.

Oleh itu untuk memilih sebuah kerajaan kita, rakyat, jangan jadi seorang yang boleh atau mudah ditakut-takutkan. Berfikirlah secara tenang dan rasional kerana orang yang sentiasa mempunyai perasaan takut dan boleh ditakut-takutkan jiwanya tidak tenang dan tidak mampu berfikir secara waras serta sentiasa mengharapkan perlindungan. Dan mereka ini adalah mangsa yang terbaik untuk diperkudakan.

Jangan takut tunjuk pelangi. Jari tidak akan jadi kudung. Biarpun yang tua lebih dulu makan garam, rasa garam tetap juga masin jika yang muda merasainya.
 
 




 

Khamis, 13 September 2012

Bercita-cita Jadi Akauntan tapi jadi UT Man, akhirnya.

Sebaik saja Aku kembali kerja pada raya ketiga, sehingga sekarang Aku tidak pernah berihat.  Hari Sabtu dan Ahad pun kena kerja. Dua hari lepas Aku terpaksa bekerja sehingga jam 12  setengah malam. Kena 'standby' di tempat kerja. Masa itu adalah masa untuk 'loading' ( memasukkan ) papi-paip binaan yang telah disahkan sempurna untuk digunakan dalam industri gas dan minyak , ke dalam kapal untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Aku sungguh mengantuk. Tapi apa boleh buat , itu kerja yang terpaksa Aku lakukan. Kerja yang Aku pilih, sesuai dengan sijil kompetensi Aku.
Ibu bapa ku hendakkan Aku meneruskan bidang akauntansi, ambil ACCA , menjadi akauntan bertauliah. Tapi aku memilih untuk menjadi UT Man.
Sebuah Universiti awam telah menawarkan Aku kursus CAT (Certified Accountant Technician) sebagai laluan untuk mengambil ACCA. Tawaran ini adalah tawaran yang beramaran dari Dekan Fakulti Perakaunan, Universiti berkenaan, bahawa ianya penuh cabaran dan mesti kerja kuat. Diajar dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu bahasa Inggeris mesti baik. Bapaku ada bersama waktu bertemu dengan dekan itu. Beberapa kali bapaku memandang kepada Aku meminta kepastian tentang kesediaan Aku mengambil kirsus itu. Dan Aku pula mengangguk tanda bersedia. Bapaku tersenyum, sebagai isyarat  bersetuju dan menyokong dengan keputusan itu.
Sebenarnya perjumpaanku dengan dekan itu adalah ekoran daripada keputusan yang dibuat oleh pihak universiti yang menawarkan Aku kursus Diploma Perniagaan (Pengangkutan). Dan itu bukan pilihan pertamaku. Aku mohon Diploma Perakaunan sebagai pilihan pertama.  Oleh itu Aku berjumpanya untuk membuat rayuan. Dia menawarkan kursus CAT.
Tawaran itu Aku terima. Tiada paksaan dari kedua ibubapaku. Mereka sekadar memberi sokongan yang kuat kepada Aku, terutama bapaku. 
Dulu arwah abangku juga mengambil bidang yang sama di Universiti yang sama. Tapi takdir menentukan segala-galanya. Abangku terlibat dalam kemalangan motorsikal di dalam kampus. Dia menjadi pembonceng dalam perjalanannya untuk menghantar 'assignment'nya pada pagi yang malang itu. Abangku ketika itu di tahun 3 peringkat Diploma. Abangku meninggal. Kawannya terselamat tapi bapaku memberi tahu bahawa menurut perkhabaran menyatakan kawan abangku  itu sudah tidak mejadi siuman kerana terlalu rasa bersalah menyebabkan kematian abangku. Mereka kawan baik. Itulah yang di ceritakan oleh bapaku kepadaku. Waktu kejadian Aku baru 10 tahun.
Sekerat jalan Aku tinggalkan CAT. Tinggal 2  kertas lagi untuk Aku meneruskan ACCA. Aku selalu gagal dua kertas ini. Aku tidak mahu meneruskannya. Bukan Aku saja yang berbuat demikian. Ada kawan-kawan,  selepas beberapa kali gagal dalam kertas yang diambil mereka juga bertindak seperti Aku. Ada yang ambil kursus lain. Ada yang ambil kursus untuk jadi pilot. Dan macam-macam kursus lagi. 
Namun Aku  rasa bersalah kerana perbelanjaan telah banyak dikeluarkan oleh ibubapa. Jadi Aku cuba mencari jalan keluar secara senyap-senyap tanpa memberi tahu kedua ibubapaku, sambil meneruskan CAT.
Kebetulan Aku diberitahu oleh abang iparku seorang jurutera tentang kursus NDT (Non Destructive Testing). Setelah mendengar penjelasannya, walaupun ringkas, Aku tertarik untuk mengetahui kursus itu dengan lebih lanjut. Internet menjadi kawan baikku.
Dalam masa yang sama Aku dihubungi oleh seorang kawan sekursus dulu, yang juga sekerat jalan. Dia beritahu bahawa dia sekarang berada di Shelfield, England , ambil kursus NDT. Aku terlalu gembira dan telah membuat keputusan untuk memberitahu ibubapaku bahawa Aku mahu mengambil kursus ini dan berhenti dari meneruskan 2 paper terakhir yang selalu Aku gagal.
Cuma masalahnya ialah pembiayaan. 
Aku merujuk pihak MARA. Jawapannya negatif. Pembiayaan kursus itu telah diberhentikan.
 
Dipendekkan cerita, ibubapaku terpaksa menjual 2 keping tanah untuk membiayai kursus NDT. Alhamdulillah, Aku telah diberi sijil kompetensi dalam beberapa bidang NDT. Dan sekarang Aku sebagai UT Man. Bekerja secara kontrak.

Gajinya boleh tahan. Dan kerjanya pun boleh tahan banyak. Tapi bukanlah membebankan. Cuma susah untuk mendapat cuti. Hari merdeka pun Aku kena kerja. Kalau Aku ditakdirkan berjaya mendapat ACCA, adakah seteruk ini tempoh masa kerja yang terpaksa Aku lalui. Tak kisahlah. Bagi Aku semua kerja ada susah senangnya. Jadi penganggurpun tidak senang, banyak masalah. Masalah kepada diri sendiri dan masalah kepada negara. Oleh itu Aku bersyukur dengan pekerjaanku ini.

Minggu depan iaitu pada Sabtu dan Ahad , Aku mahu bercuti balik kampong berjumpa dengan kedua ibubapaku.

Ahad, 9 September 2012

Erti Sebuah Jemputan Rumah Terbuka Hari Raya Kepada Pesara.

Minggu depan atau lebih tepat lagi pada 15 September 2012 , mengikiut rancangan akan menghadiri rumah terbuka hari raya seorang sahabat sekerja suatu ketika dulu. Beliau membuat jemputan melalui panggilan talipon. Saya pula sepantas kilat memberikan jawapan, InsyaAllah akan hadir sambil mengucapkan terima kasih atas jemputan yang dipanjangkan kepada saya dan keluarga. Sesungguhnya saya merasa amat gembira sekali akan jemputan itu seolah-olah ianya sesuatu yang telah lama saya tunggu dari kawan-kawan lama.

Tapi mengapa saya jadi begitu? Mengapa saya perlu menunggu jemputan untuk beraya di rumah kawan? Bukankah hari raya sifatnya terbuka dalam ertikata kita boleh kunjung mengunjung tanpa menunggu dijemput? Sekali lagi mengapa saya terlalu gembira?

Sahabat saya itu masih lagi bekerja dengan sebuah jabatan kerajaan. Pernah membantu saya dalam melaksanakan urusan jabatan semasa saya dalam perkhidmatan awam dulu. Dan sekarang mempunyai kedudukan yang baik.
 
Dulu, semasa masih berkhidmat, saya juga tidak pernah gagal mengadakan rumah terbuka hari raya setiap kali beraya. Ramia juga tetamu yang sudi datang termasuklah saudara mara yang rapat, kawan-kawan dan mereka yang kenal-kenal biasa saja dan mereka yang saya tidak berapa kenal atau yang memang tidak pernah kenal. Ertinya rumah terbuka itu telah menambahkan lagi kenalan saya. Saya amat gembira sekali.Waktu itu saya ada sedikit kemampuan untuk melakukannya.  
 
Saya juga diwaktu itu menerima banyak jemputan rumah terbuka hari raya. Boleh dikatakan setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Syawal ada saja jemputan rumah terbuka tidak termasuk jemputan dari organisasi-organisasi perniagaan seperti bank dan syarikat insurans. 
 
Sungguh mewah sekali jemputan rumah terbuka yang diterima. Jemputan itu sudah menjadi sesuatu yang otomatik, tetap diterima setiap meraikan hari raya. Nama saya tidak pernah hilang dari senarai jemputan. Jemputan itu bukan sesuatu yang luar biasa. Ianya menjadi janggal jika saya tidak menerima jemputan. Kadang-kadang tidak termampu untuk hadir semua jemputan itu.
 
Selepas  saya bersara, saya masih terbawa-bawa dengan corak hidup, peranan dan 'expectation' yang telah saya lalui semasa masih berkhidmat terutamanya setahun dua persaraan. Bukan saja saya bersikap begitu malah kawan-kawan juga ada yang bersikap sama seperti saya. Misalnya ketika menjelang hari raya, ada juga kawan-kawan bertanya ,"hari raya yang ke berapa saya akan mengadakan rumah terbuka?'  Dan berapa ramai tetamu yang akan saya jemput? Siapa tetamu kehormat?          
 
Saya tidak memberikan jawapan yang spesifik. Cuma menyatakan kepada yang bertanya bahawa mereka dipersilakan datang pada hari raya tanpa menyatakan bila tarikh dan masa untuk datang beraya ke rumah saya. Mereka amat faham dengan jawapan saya itu yang membawa maksud bahawa saya tidak akan mengadakan majlis rumah terbuka hari raya. 
 
Namun pada mulanya saya amat keberatan untuk memberi jawapan seperti diatas. Rasa malu juga jika saya memberi tahu secara terus terang bahawa saya tidak akan mengadakan rumah terbuka mengikut pengertian biasa yang telah diterima. Tapi saya tidak pula memberi alasan bahawa saya tidak mampu dari segi kewangan untuk mengadakannya seperti yang pernah saya lakukan semasa berkhidmat dulu.
 
Kadang-kadang saya menjawab bahawa rumah saya sentiasa terbuka. Maka mereka boleh datang bila-bila masa saja sepanjang menyambut hari raya. Mereka juga faham bahawa saya tidak akan adakan rumah terbuka hari raya.
 
Apa kesannya?
 
Kesannya ialah rumah saya tidak lagi menjadi destinasi kawan-kawan sama ada yang rapat, yang  saya kenal dan mengenali saya atau yang tidak kenal untuk  datang beraya. Maka beraya selepas bersara tidak semeriah semasa berkhidmat. Mereka yang datang beraya hanya dari kalangan saudara mara yang terdekat iaitu adik beradik dan anak-anak mereka.  Beruntungnya saya ialah kerana mempunyai adik beradik yang ramai , 12 orang kesemuanya. Jadi mereka dengan anak-anak dan cucu sudah cukup untuk memeriahkan sambutan raya dirumah saya pada setiap tahun. Pada setiap satu hari raya disebelah malam mereka akan mengunjungi rumah saya. Itulah masa dan tarikh yang saya telah tetapkan. Tetapi saya tidak pula menjemput selain dari saudara mara itu. Namun ditakdirkan ada yang datang saya amat gembira untuk mempersilakan mereka turut sama.
 
Bagaimana pun kawan-kawan dan kenalan yang lain yang tidak mempunyai hubungan darah sudah merasa malu-malu untuk beraya ke rumah jika tidak di jemput.  Saya juga sudah mengambil sikap yang sama. Jika tiada jemputan maka saya berasa amat malu dan janggal untuk beraya dirumah kawan-kawan. 

Itulah kesan yang saya rasa kurang elok yang terzahir dari acara rumah terbuka hari raya.  

Berbalik kepada jemputan yang saya terima dari sahabat lama seperti dinyatakan diatas, saya amat gembira sekali kerana akan dapat bertemu dengan kawan-kawan lama. Lagi pun inilah satu-satunya jemputan yang saya terima pada raya tahun ini. Ianya terlalu istimewa kerana ada juga kawan yang masih mengingati saya. Saya akan pasti untuk hadir, insyaAllah. Saya tidak mampu untuk tidak hadir seperti dizaman mewah dulu. Inilah satu saja jemputan yang diterima. Dan saya jangka kawan saya apabila bersara nanti akan merasa seperti yang saya rasa, seperti yang dirasa oleh semua pesara. Dia nanti mungkin tidak akan membuat rumah terbuka seperti yang akan diadakan pada 15 September ini.