Theflowersellingboy

Isnin, 31 Ogos 2015

Dari Tingkap Rumahku




Di sini, di tingkat atas rumahku, aku selalu berdiri memandang keluar menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Berkuasa, sejauh mata memandang.  Disinilah juga aku terpaksa melakukan kerja yang tidak berjadual, menghalau beruk.

Biasanya tingkap-tingkap itu tertutup rapat sepanjang hari, siang dan malam. Serangga, nyamuk aedes terutamanya menjadi seram sekali bagi keluargaku , terutama isteriku  untuk dibiarkan masuk membawa penyakit denggi. 

Begitu juga, sang lotong, monyet , kera dan yang sejenis selalu juga mengganggu ketenteraman kami, meniti wayar letrik  yang menyambungkan arus letrik ke rumahku. Binatang jenis ini amat garang, langsung tidak takut walaupun disergah, diacah dengan batang kayu penyapu, matanya tepat merenung ke arah si pengacah seperti mahu beritahu kepada sipengacah bahawa 'datanglah ke mari jika kamu berani'.

Isteriku paling takut. Takut nyamuk aedes, takut kera, monyet dan lotong itu. Maka aturan pertama yang dibuat, jangan ada sesiapa yang buka tingkap-tingkap. Bahaya, katanya.

Tapi dia hanya seorang isteri, bukan ketua keluarga. Aku terkecuali dari peraturan itu walaupun aku sendiri bersetuju dengan kewarasan hujahnya itu. Jika aku berdiri di tingkap, pastinya tingkap itu akan aku buka, wah nyaman sekali angin menyapa wajahku.

Aku selalu berhujah, apa yang perlu diseramkan dengan sinyamuk aedes itu. Pertama nyamuk itu sendiri tiada. Yang ada hanya nyamuk hutan yang lebih besar, yang gigitannya amat gatal sekali. Tapi nyamuk hutan itu, jarang sekali naik ke tingkat atas, hanya berkeliaran di sebelah bawah, di pasu-pasu bunga dibawah. Jika naikpun penyembur nyamuk akan mematikannya. Lagipun aku percaya nyamuk hutan yang besar itu boleh menakutkan nyamuk aedes yang saiznyz kecil itu.

Mengapa pula perlu takut dengan lotong, kera dan monyet. Binatang-binatang itu mempamerkan kemahiran meniti wayar letrik , satu pertunjukan percuma. Tidak ada kepuraan dalam aksi yang ditunjukkan, asli sifatnya, tanpa diupah makanan seperti pisang, macam dilakukan di mana-mana zoo. Kalau cucu-cucu balik, tidak perlu dibawa ke zoo, jimat belanja.

Ya, aku tidak takut binatang-binatang itu. Tapi aku tidak suka. Sudah beberapa kali aku keluar belanja untuk menyambung semula talian masuk talipon ke rumah. Sekali sambung, kontrakter kenakan RM200.00. Terlalu mahal, pada hal kerjanya hanya menyambung semula wayar yang terputus akibat penitian yang dilakukan oleh beruk-beruk itu. Tidak ada penggantian wayar baru. Hendak buat sendiri, tidak mampu untuk panjat memanjat. Jadi bayarlah.  Ini semua beruk-beruk itu punya fasal

Nasib baik, TNB buat sendiri kerja penyambungan wayar ke rumah. Katanya, penyambungan dari punca bekalannya (tiang) ke rumah adalah tanggungjawab TNB. Kerja sambungan dalaman adalah tanggungjawab tuan rumah. Selamat kocekku.

Oleh kerana aku tidak suka dengan kelakuan beruk-beruk itu, setiap kali binatang itu datang sama ada sendirian atau berkawan, bertenggek di balkoni rumahku, aku akan buka tingkap untuk menghalaunya. Aku lakukan dengan perlahan agar telinga beruk itu tidak dapat mengesan. Sambil sebelah tanganku memegang batang penyapu , aku dengan perlahan-lahan membuka tingkap yang berhadapan dengan beruk itu.

Tapi, gerakan daun tingkap itu mengeluarkan bunyi walaupun perlahan , dapat juga dikesan oleh telinga dan mata beruk itu. Berlompatanlah beruk itu menuju ke wayar letrik untuk lari. Beruk itu akan berhenti di pertengahan jarak , lalu menoleh ke belakang. Matanya tepat memandang padaku yang sedang mengacah-acah dengan batang penyapu. Dia tidak hairan, nampak gayanya, langsung tidak bergerak, seolah-olah mencabar aku untuk segera mendekatinya.

Marah? Sudah tentu aku marah. Beruk mempermainkan aku. Mentang-mentang aku tidak mampu mendekatinya, beruk itu amat berani sekali menunggu kedatanganku.  Aku tahu jika penyapu itu aku baling ke arahnya, beruk itu tidak akan lari, dan mungkin akan ketawakan perbuatanku itu. Sia-sia layan beruk cara itu.

Aku tutup tingkap dan terus mengambil senapang. Hanya dengan senapang, beruk ini akan lari. 

Aku tidak pula memasukkan peluru ke dalam senapang itu. Sebenarnya, aku tidak berniat untuk menembak beruk itu. Aku mahu menakutkannya saja.

Beruk itu masih diatas wayar letrik itu, menghayun ke kiri ke kanan seperti buaian. Aku bertambah risau, takut wayar letrik itu akan putus sambungan. 

Melihat aku mengacah dengan senapang tetapi tidak berbunyi, beruk itu terus menghayun badanya ke kiri ke kanan,tidak langsun mahu lari. Matanya masih lagi memandang padaku.

Macam mana? Mesti ada peluru dan lakukan tembakan kosong menuju ruang yang berjauhan dengan beruk itu. Sekali lagi aku tutup tingkap, berjalan untuk mengambil peluru.   

Bunyi letupan senapang membuatkan beruk itu lari lintang pukang, hampir-hampir terlepas mencengkam wayar itu. Beruk itu terus melompat dari satu batang pokok ke pokok yang lain. Aku hanya mampu memandang sehingga beruk itu tidak kelihatan.

Itulah antara tugas yang tidak berjadual yang aku terpaksa lakukan. 


Ahad, 30 Ogos 2015

BERSIH (Buat Kawan-kawan Yang Sanggup Berkorban)




BERSIH  BERSIH BERSIH . Apa itu BERSIH. Menuntut pilihanraya BERSIH untuk sebuah Kerajaan yang BERSIH. Kalau begitu kena sokong, mesti setuju.
 
Tabik hormat kepada mereka yang bersusah payah berhimpun menjayakan BERSIH 4 di mana-mana saja. 
 
Saya ambil semangat saja, pakai baju kuning tapi tidak tidur di atas jalan atau rumput beratapkan langit. Sesungguhnya anda adalah orang yang hebat. Saya mendoakan keselamatan anda semua.
 
Oleh kerana saya tidak tidur bersama anda di atas jalan atau rumput, saya gunakan sedikit masa  untuk mencoretkan rasa betapa bimbangnya kita rakyat Malaysia tentang masa depan negara dan kita semua, jika keadaan sekarang berterusan.....'kita akan hancur, habis semuanya hancur'.
 
Saya gunakan setiap huruf dalam perkataan BERSIH untuk menyatakan kebimbangan itu.
 
                                               BERSIH
 
Bila kami datang 
  Engkau tiada di rumah
    Rakyat semua naik berang
      Sana sini siang malam
       Issyhh  issyhh issyhh issyhh
        Hang ni tak reti bahasa kah....'hancur lebur kita semua'


Teruskan Perjuanganmu agar kita tidak hancur.
 
 

Rabu, 26 Ogos 2015

Masihkah Kau Percaya




Masih kah kau percaya
 setelah aku berdiam diri
  angguk tidak geleng pun tidak
 
        Masih kah kau percaya
     setelah aku mengaku
   derma itu untuk aku
sebagai pemegang amanah bagi pihak kamu

Masih kah kau percaya
    setelah ringgit susut selalu
      untuk menuju negara maju
        
Masih kah kau percaya
      setelah aku marah pada mu
         kau bangsat sebagai melayu
            kerana umno kau tinggal layu

Masih kah kau percaya
   untuk terus mengagkat aku
      terus menjadi ketua mu

Aku bertanya pada mu
  kesekalian kalinya
Masih kah kau percaya
 untuk aku jadi ketua mu
 


Selasa, 25 Ogos 2015

Pengucapan Perkataan Yang Amat Mendukacitakan




Terbangsat! Haram jadah!
 
Mahu percaya tak kata-kata itu diucapkan oleh seorang Perdana Menteri. Nadanya tinggi penuh benci dan marah. Seorang perdana menteri , Melayu bangsanya dan Islam agamanya. 

Tidak mahu percaya, tapi sendiri dengar dan lihat. Bukan melalui penceritaan dan perkhabaran orang lain.
 
Kata-kata itu tidak wajar diucapkan. PM atau siapa pun tidak patut melakukanya walau dalam apa keadaan sekalipun. Ada perkataan lain yang boleh digunakan untuk menyatakan perasaan kekesalan atau tidak suka terhadap seseorang atau kumpulan orang.
 
Mengapa perlu gunakan haram jadah yang tujuannya untuk menyampaikan maksud 'anda tidak layak menerima bantuan disebabkan anda tidak menyokong kerajaan'. Boleh gunakan perkataan atau ayat 'jangan mimpi kerajaan membantu anda' atau 'lupakan saja bantuan dari kerajaan'.

Tidak juga perlu gunakan perkataan terbangsat yang tujuannya untuk menyampaikan maksud bahawa 'anda akan menjadi bangsa yang paling hina'.

Apa boleh buat, kata-kata itu telah diucapkan. Kesannya tidak sama dengan terlajak perahu.

Terlajak perahu boleh berpatah balik. Kesan tidak baiknya hanya diukur dari segi tempoh masa yang digunakan--terdapat pembaziran masa.  

Berlainan dengan mengucapkan kata-kata yang kurang manis, apatah lagi dikhalayak ramai oleh seorang ketua tertinggi di negara ini, dengan penuh marah dan perasaan benci.

Apa kah kesan yang tidak baik?

Keperibadian diukur. Pertama atas dirinya sendiri. Kedua ibubapa dan keturunan. Ketiga, bangsanya. Keempat , agamanya. Kelima jawatan yang disandang.

Nama baik dan imej diri tercalar. 

Ibubapa dikatakan tidak tahu mengajar anaknya, dan boleh menimbulkan persoalan adakah keturunannya begitu perangainya. 

Itukah budaya orang Melayu yang dikatakan lembah lembut, berbudi bahasa dan halus tingkah laku dan pekertinya. 

Adakah itu yang diajarkan oleh Islam, soalan yang boleh ditanya terutama dari yang bukan Islam.

Perdana Menteri Malaysia 'membangsatkan' bangsanya? Pertanyaan yang penuh kehairanan akan tentu ditanya.

Bukan saja kesan buruk itu mengena kepada 5 diatas,  Rakyat dan negara juga tidak terkecuali terpalit menangung kesan buruk itu.

Peribadi yang tercalar namanya tidak mudah dipercayai, dan tidak juga akan dipandang tinggi dan dihormati. Keadaan ini lebih sulit lagi jika peribadi itu memimpin sebuah negara. Apa imej yang dia bawa semasa berdepan dengan kepimpinan luar negara.

Sesungguhnya amat malang sekali kata-kata itu telah diucapkan oleh perdana menteri.

Tentang bangsa Melayu menjadi satu bangsa terbangsat jika UMNO kalah seperti yang dinujumkan oleh perdana menteri, saya percaya sebahagian besar rakyat tidak bersetuju malah ada soalan untuk ditanya balik kepada perdana menteri dengan kenyataan seperti berikut:

Terbangsat itu ertinya paling hinalah - tiada maruah, merempat, miskin dan papa kedana dan segala sifat  hina yang lain.

Mahu tanya:  

i) Setelah hampir 58 tahun merdeka, dan semenjak merdeka sehingga sekarang ini UMNO yang memerintah, mengapa hanya misalnya tahun depan UMNO kalah dan tidak jadi kerajaan, Bangsa Melayu menjadi bangsa yang TERBANGSAT?

ii) Apakah dalam jangka masa 58 tahun itu, UMNO dengan mudah mahu melepaskan tangan dan tidak mahu bertanggungjawab  keatas taraf dan tahap kedudukan orang Melayu?

Sesungguhnya apa yang pm tuturkan itu terlalu amat sekali dikesalkan. Ianya bukan saja mencalarkan nama baik dan imej peribadinya bahkan memberi kesan buruk kepada ibubapa, bangsa, agama dan institusi jawatan perdana menteri. 

Begitu juga penujumannya itu adalah tidak bertanggungjawab sama sekali.
 
 



Isnin, 24 Ogos 2015

"Baik-baik cuuu, hantu berkeliaran sekarang niii". Najibah terbaring pengsan




Najibah, seorang nenek berusia 60an memang suka bercerita dengan cucunya, di sebelah malam, dengan harapan cucu-cucunya segera tidur seperti mana anak-anaknya dulu.

Najibah tahu dia sudah ketinggalan zaman. Tapi dia tidak boleh lekang dari ketagihan untuk bercerita disebelah malam dengan apitan cucunya, dulu anak-anaknya. 

Kerja seperti itu adalah rutin baginya semenjak dia menjadi ibu kepada lima orang anak-anaknya dulu. Semenjak dulu lagi, Najibah konsisten dalam penceritaannya dengan tema yang sama dan bagi maksud yang sama juga.

Tema ceritanya ialah Takut Pada Hantu. 

Najibah mengharapkan, seperti anak-anaknya dulu, agar cucu cucunya berebut-rebut mendekatinya, sehampir yang boleh, sekurang-kurangnya dapat memegang satu diantara jari-jarinya kalau pun tidak dapat memeluknya bagi mendapat perlindungan atau dilindungi dari kacau ganggu hantu yang tidak dapat dilihat tapi amat digeruni.

Malang sekali bagi Najibah, nenek yang ketagihan mahu cerita fasal hantu tetapi tidak selalu mendapat peluang untuk melepaskan gian bercerita fasal hantu itu. Semua anak-anaknya telah berkeluarga, punya anak dan tinggal di Kuala Lumpur, jauh dari tempat tinggalnya disebuah kampong terceruk di pedalaman.

Namun, dia telah mendapat khabar dari Rosnah yang kebetulan tinggal berdekatan dengan anak-anaknya di Kuala Lumpur, yang balik lebih awal, bagi menyambut hari raya, membisikkan ke telinganya bahawa kesemua anak-anak dan cucunya akan balik beraya di kampong.

Najibah tersenyum lebar, sambil menggoyang-goyangkan bahu si Rosnah.

"Tak mungkin dia orang tu balik. Kat kampong apa ada", Najibah semacam merajuk sambil hatinya mengharapkan anak cucunya akan balik beraya di kampong.

Rosnah meyakinkan Najibah. Ini khabar berita yang benar, bukan bohong mahupun fitnah. Buat apa dia buat dosa kering.

Sekali lagi Najibah mengukir senyum kerana apa yang di harap di hati akan menjadi kenyataan.

"Dapatlah aku bermain dengan  cucu-cucu. Boleh cerita macam-macam", gian untuk bercerita fasal hantu mula menguasai otak Najibah.

Malam raya, setelah selesai khenduri arwah dan kesyukuran dan semua tetamu meninggalkan rumahnya, Najibah sudah tidak sabar lagi memanggil cucunya untuk berbaring bersamanya di ruang tengah rumah, rumah yang hanya ada satu bilik itu.

Lima orang cucunya. Masing-masing memegang talipon tangan sedang asyik dengan permainan dalam talipon. Panggilan Najibah semacam tidak dihiraukan oleh cucu-cucunya itu. 

"Mas, kan ke nenek panggil tu", seorang dari anak Najibah mengingatkan anaknya yang sedang asyik bermain gem talipon itu.

Mas atau nama penuhnya Maslah segera mengajak sepupu-sepupu yang hampir sebaya dengannya untuk pergi mendekati nenek yang tidak sabar mahu bercerita fasal hantu.

Kesemua cucu-cucu itu sudah berada bersama nenek. Talipon masih lagi digenggam erat ditangan.

Sambil mengusap-usap kepala cucu yang paling hampir dengannya, Najibah mahu memulakan cerita.

"Nenek nak cerita fasal hantu dapur. Dulu masa mak kau orang kecil, suka dengar cerita hantu dapur. Banyak kali suruh nenek ulang".Ayat pengantar Najibah sebelum memperincikan hantu dapur itu.

"Hantu dapur nek? Hantu tu pandai buat spegeti ke?", seorang dari cucunya yang bernama Raduan atau dipanggil wan bertanya.

Belum lagi sempat Najibah menjawab pertanyaan cucunya Wan itu, seorang lagi cucunya bertanya, "Din nak tahu nek...ada ke hantu tu suka melancung oversea, misalnya ke negeri Yahudi Israel ke, negeri Cina. Boleh lah kenal dengan orang Yahudi atau orang Cina?" Din atau nama penuhnya Zainuddin selamba saja bertanya.

"Oiii apalah kau ni Din. Tak payah ke Israel atau ke Cina, di Malaysia pun ada orang Yahudi dan Cina. Disini ada Cina daplah, cina mca, cina gerakan. Macam-macam cina ada", Wan memperkecilkan pengetahuan Din.

"Dah dah lah tu. Nenek nak cerita fasal hantu dapur. Hantu ni duuknya di dapur. Mukanya hitam legam, rambut sampai ke kaki, panjaaang, matanya merah menyala", Najibah mendepakan kedua-dua tangannya sebagai ukuran betapa panjangnya rambut hantu dapur itu sambil membuka luas matanya. Najibah mahu menimbulkan rasa gerun di hati cucunya itu.

Tapi tidak ada seorang pun cucu-cucunya itu datang merapatinya seperti yang dilakukan oleh anak-anaknya dulu kerana terlalu seram dengan gambaran wajah hantu yang menakutkan itu. 

Cucu-cucunya masih lagi memegang talipon dan terus dengan gem talipon yang menyeronokkan sambil mendengar cerita hantu neneknya Najibah.

"Aku menang", menjerit cucunya yang bernama Wahid yang lebih mesra dipanggil Hid saja.

Najibah mula rasa putus asa kerana cerita hantunya tidak diambil serious oleh cucu-cucunya itu. Tidak seorang pun menunjukkan rasa gerun dan takut.  Sebaliknya menanyakan soalan yang bukan-bukan.  

Tapi Najibah orang tua, orang tua yang lebih dulu makan garam. Dia tidak akan mudah menyerah kalah pada cucu-cucunya yang ubun-ubun mereka masih lembek.  

Najibah masih lagi mahu menimbulkan suasana seram dan menakutkan agar cucu-cucunya berebut-rebut memeluknya, paling kurang memegang jarinya.  

"Kau orang tau tak, hantu dapur tu berkeliaran sekarang ni", Najibah menggeletarkan seluruh anggota badannya dari kepala sehingga ke kaki.

"Baik baik cuuu, hantu berkeliaran sekarang niii", Najibah mengeluarkan suara dengan nada beserta mimik muka seperti orang dalam ketakutan.

"Mana hantu tu nek, saya nak tangkap hantu tu", Mas bangun menuju ke pintu menjenguk ke luar mahu cari hantu itu.

Najibah terbaring pengsan.

Ahad, 23 Ogos 2015

Semakin Kalut Sekarang Ini . Nasib Baik Ada Tukang Karut.

Semakin melalut sekarang ini. Dia terlalu amat kalut. Nasib baik dia ada tukang karut.

Ianya bermula hanya dengan satu persoalan yang perlukan jawapan 'ya' atau tidak.  Tapi sekarang sudah melalut.

Bila ditanya dia jadi bingung, sebingung-bingungnya. Macam mana  boleh jadi bocor sedangkan hanya dia seorang saja yang terlibat yang jadi penerima, bukan dua atau lebih dari satu. Ertinya  kalau bocor mesti dari mulutnya sendiri, bukan orang lain.  

Dia tahu, dia tidak melakukannya. Mengapa perlu orang lain tahu? Tidak perlu, orang lain tidak perlu tahu kerana tidak ada untungnya, malah merugikan saja.

Bila bocor, ramai pula yang datang bertanya. Kawan , yang rapat dan yang jauh dihati juga mahu tahu benar kah begitu kisahnya. Bertalu-talu soalan ditanya, secara  empat mata, dalam kepungan empat dinding, dengan cara sopan dan beradab meminta pengesahan benarkah kisah yang bocor itu.

Dia buat bisu saja, angguk tidak gelengpun tidak. Biar kawan-kawan yang bertanya itu naik muak, jadi bosan. Dia percaya lama kelamaan kawan-kawan itu akan berhenti bertanya.

Tapi tidak begitu rupanya. Kawan-kawan itu masih lagi bertanya mahu tahu duduk perkara tentang cerita bocor ini. Kawan-kawan itu berhujah mereka tidak tahan akan perli memerli dari orang disebelah sana, yang sudah lama menjadi musuh ketat. Muka mereka sudah cukup tebal menanggung malu.  

'Fitnah'!  Ya, ini semua fitnah.

'Fitnah' ! Kawan-kawan mula mengulang kata-kata itu, menjaja ke sana ke sini, tidak ada saat untuk berhenti.

Selesai. Beres dengan kawan-kawan. Tidak perlu jawapan 'ya' atau 'tidak'. Cukup dengan memberitahu mereka bahawa perihal dalam bocor itu adalah fitnah semata-mata dari musuh-musuh yang jahat yang mahu menggulingkannya. 

Tapi dia ada masalah lagi. Masalah dari tuan guru yang mengajarnya dulu. Tuan guru tersangat marah padanya, berpatah arang berkerat rotan. Tidak boleh disambung lagi.

Mengapa tuan guru itu tersangat marah kepadanya. Tidak mungkin kerana masih kurang ilmu yang telah dipelajarinya dulu. Rasanya dia telah khatam dan sempurna menuntut ilmu dari tuan guru. Lihat saja ijazah dalam frem berukir emas melekat di dinding bilik tamu yang sentiasa menjadi ilham pada kawan-kawannya yang lain untuk menjadi seperti dia.

"Tidak kah itu bukti aku telah khatam dan sempurna mendapat ilmu dari tuan guru?", Bisik hatinya tanpa mahu tunggu jawapan, kerana dia sudah tahu.

Tuan guru tersangat tidak berpuas hati kerana dia tidak sepenuhnya taat, patuh ilmu yang telah diturunkan.              

"Mana boleh wang itu masuk dalam akaun peribadi. Itu wang untuk organisasi, untuk parti, untuk sama berkongsi", rungut tuan guru sebaik saja diberi tahu oleh seorang kawan yang dapat mengutip cerita dari bocor itu. 

"Wang amanah, mana boleh seorang saja yang tahu. Mesti ada dua atau tiga yang uruskan", dia semacam terdengar suara marah tuan guru.

Tiba-tiba dia dapat satu pertolongan dari seseorang yang ghaib, halimunan sifatnya. Orang itu wujud namun kewujudannya tidak begitu penting. Cukup dengan hanya mengatakan orang itu berada nun di sana di padang pasir sedang menabur wang ke mana dan di mana dia suka.

Dia terima derma tidak terkira banyaknya kerana dia adalah orang yang telah berjasa dalam perjuangan menentang musuh halimunan itu.

"Apa salah terima derma?" Segera seorang dari tukang karutnya menjerit, melaung sekuat hati.

"Lagipun derma ini adalah kerana jasa. Tak salah diberikan pada diri orang yang berjasa", seorang lagi tukang karut menjaja cerita ke seluruh negara, satu malaysia sudah ambil maklum. 

Tapi tuan guru ini, sifatnya sebagai tuan guru tidak mahu berundur kalah. Mengalah pada anak murid adalah satu penghinaan, menurut disiplin ilmu perguruannya. 

"Siapa dulu makan garam?" Satu pertanyaan seumpama senjata ampuh untuk menyerang balas dalam sessi berhujah. "Siapa dulu jadi bos?" 

Dia masih mahu bertahan. Apatah lagi dia punya banyak tukang karut. 

Apabila dia nampak ada tanda-tanda keletihan pada tukang karut, dengan segera proses isi semula dilakukan, seperti menambah petrol Ron 97 dalam tangki kereta yang tersenggut-senggut menaikki bukit. Top-up talipon jenis khidmat bayar-dulu perlu segera dibuat.

Dia beri makan dan minum pada tukang karut-tukang karutnya itu untuk memulih dan mendapat stamina yang lebih, agar menjadi segar dan tegar kerana kerja-kerja mengarut perlu diteruskan. Serangan dari tuan guru dan musuh yang lain wajib dipatahkan.

Dia lihat ada sedikit kesan cara bertahannya. Tuan guru sedikit longlai, serangannya walaupun bertubi tapi tidak banyak yang dapat mengena dan mencederakannya. Dia masih dia lagi. Masih bertahta diistana.

Tiba-tiba dia dapat berita dari juak-juaknya, yang sekarang lebih merasa mesra dan mulia dipanggil macai bahawa tuan guru telah berpaling tadah. 

Tuan guru telah bersekongkol dengan musuh ketatnya. Musuh ketat yang dulunya juga musuh tuan guru.

Khabar tidak baik menyampaikan bahawa tuan guru telah mengadakan kesepakatan dengan musuh untuk menjatuhkan, menyingkirnya dari terus bertahta. 

Sesungguhnya berita ini amat membimbangkan kerana dia tahu perangai tuan guru itu -ke lubang cacing akan dicari, jika dia mahu berlindung di situ. Apatah lagi kerja mencari lubang cacing itu bertambah mudah dengan bertambahnya bilangan orang yang mahu turut mencarinya.

Dia perlu satu cerita lagi untuk tukang karut. Cerita yang menyentuh rasa, meraih dan mengumpul simpati. Dia tahu bahawa sekeras mana pun hati orang Melayu, sebenci mana pun orang Melayu terhadap sesama sendiri, se alim mana pun orang Melayu, orang melayu itu mudah saja dicairkan hatinya, dan digelincirkan kealimannya, hanya cukup dengan dua hal saja.

Katakan lah kepada orang melayu bahawa tuan guru yang telah berpaling tadah itu, dan yang telah bersepakat dengan musuh adalah sebenarnya bekerja bagi pihak Yahudi dan orang Cina DAP, untuk menyingkirkan dia.
  
Hancurlah kita! Hancurlah Islam! Runtuhlah istana!

Ini adalah senjata yang ampuh, sebagai pertahanan terakhir bagi menyerang tuan guru dan geng barunya. 

Dia tahu senjata ini amat berkesan kerana telah diuji dan tahan diuji yang telah juga digunakan oleh tuan guru itu sehingga berjaya kekal diatas tahta selama 22 tahun.

Dari mana ilmu diperolehi kalau tidak dari guru sendiri. Dia mula senyum lebar.

Maka berkatalah tukang karut, "Bahawa kerja menyingkirkan ketua kita ini adalah kerja yang dibayar oleh Yahudi dan Cina DAP. Mereka mahu jatuhkan kepimpinan Melayu dan Islam".

Tukang karut terus mengarut dan melalut.

Jumaat, 21 Ogos 2015

Yang Salah Itu Jelas, Yang Betul Pun Jelas. Tapi Mengapa Yang Salah Itu Dilindungi.



 
Rasanya saya amat jelas sekali tentang apa yang di kategorikan sebagai rahsia kerajaan yang apabila dibocorkan terutama kepada pihak musuh boleh memudharatkan kepentingan dan keselamatan negara. Pembocor maklumat itu wajar diambil tindakan di dibawah OSA.
 
Dan saya faham bahawa kepentingan kerajaan itu tidak sekali-kali bermaksud bagi melindungi kepentingan individu. Ertinya maklumat itu tidak sesekali untuk melindungi kepentingan individu.
 
Namun begitu, perkembangan yang begitu panas ketika ini boleh membuatkan ramai orang bertanya: Apakah sebenarnya kepentingan negara boleh dikorbankan demi kepentingan individu?
 
Maksud saya, demi kepentingan pihak tertentu, maklumat tentang salah laku dan penyelewengan dalam tadbir urus negara menjadi haram diketahui (menjadi kesalahan kepada rakyat mengetahuinya) oleh rakyat walaupun perbuatan salah urus dan penyelewengan itu boleh merosakkan negara dan kepentingan rakyat.
 
Saya percaya, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak keliru dan dapat membezakan diantara yang hak dengan yang batil. 
 
Dengan demikian maklumat-maklumat tentang salah laku dan penyelewengan dalam urus tadbir negara adalah terlalu penting untuk rakyat mengetahui agar rakyat dapat bersama-sama terlibat dalam menentukan penyelewengan itu tidak berterusan dan perlu diberhentikan serta merta.
 
Tetapi tidak sedemikian halnya di negara kita ini. Maklumat seperti itu sudah dikategorikan sebagai 'haram' atau menjadi kesalahan jika berada dalam pengetahuan rakyat.
 
Walaupun rasa membuak rakyat begitu tinggi untuk terlibat sama dalam membenteras yang batil dan memperjuangkan yang baik, demi kepentingan negara dan rakyat, ianya dianggap sebagai menjadi ancaman kepada kepentingan negara. Pelik?
 
Saya tidak pelik. 
 
Kerana disana ada dasar bertujuan untuk menjaga kepentingan diri atau sebahagian kecil puak yang berkepentingan mengekalkan kuasa.
 
Jadi soal rakyat mahu tahu apa yang benar dan apa yang tidak benar, bukan satu perkara yang penting dan perlu ditunaikan. Pihak mana berada dilandasan benar dan pihak mana yang tergelincir dari landasan yang benar, bukan satu keperluan untuk ditentu dan dikenal pasti.
 
Maka sia-sia saja kewujudan badan-badan penguatkuasa yang bertanggongjawab antara lain bagi mencegah penularan perbuatan-perbuatan batil yang merosakkan negara dan merugikan rakyat.
 
Bahkan badan-badan itu tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lancar, berkesan- bebas dari berbagai halangan dan tekanan.
 
Amat malang sekali fenomina seperti ini berlaku di negara kita yang sentiasa diwarwarkan sebagai negara Islam. Negara Islam yang berwasatiyah, yang mengamalkan maqasid syari'ah dan yang mempunyai indeks syari'ah dalam urusniaganya.

Ertinya tadbir urus negara yang sepatutnya berpandu kepada perkara-perkara diatas yang asas rujukannya ialah sentiasa melakukan yang baik dan mengenepikan yang tidak baik, hanya sedap dimulut saja, bukan pada amalannya. 
 
Ketinggian moral dan sifat berintegriti sebagai syarat penting dalam mengambil tugas dan amanah rakyat, hanya menjadi mainan seruan dan kata-kata di galeri awam saja. Ianya bukan sesuatu yang penting yang perlu dipatuhi.

Keadaan seperti ini membuatkan fikiran kita melayang ke negara Jepun, Korea, dan negara maju di barat dan Amerika Serikat.
 
Kita tertanya-tanya mengapa pemimpin negara-negara tersebut, segera melepaskan jawatan apabila saja mereka dikatakan terlibat dalam sesuatu salah guna atau skandal, sedangkan mereka itu bukan pemimpin Islam.
 
Bukan saja setakat melepaskan jawatan, ada yang mengambil nyawa kerana terlalu malu akan perbuatan yang mereka lakukan. Terlalu 'aib bagi mereka untuk berhadapan dengan rakyat.
 
Tetapi  di negara kita perkara yang lebih di pentingkan ialah menghukum pihak yang mahu membenteras dan mencegah kemungkaran kerana pendedahan perbuatan yang mungkar adalah satu kesalahan. Perbuatan melindungi atau mempertahankan kemungkuran tidak dianggap sebagai sesuatu yang mengaibkan.
 
 

Khamis, 20 Ogos 2015

Awak Kat Mana, Saya Nak Tangkap Awak Ni




Awak apa khabar
Awak kat mana...awak kat mana
Awak dengan siapa...dengan siapa
Awak orang tua itu kah
Awak cari siapa...awak cari siapa sebenarnya
Awak nak buat apa dengan mereka...nak buat apa
Awak apa khabar sekarang
Awak dah jumpa mereka
Awak jumpa kat mana
Awak sudah kira berapa bilangan mereka
Awak..awak ...awak kat mana sebenarnya
Awak bawa apa jumpa mereka
Awak ajak mereka bersumpah
Awak  ajak mereka buat akuan
Awak dengar apa kata mereka
Awak..awak...awak macam mana ni
Awak, awak kata mereka tak sudi
Awak kata mereka dah kena beli
Awak, awak macam mana sekarang ni
Awak kata tipah tertipu lagi
Awak, awak ni biar betul
Awak, sudah tahu tak
Awak, satu malaysia cerita fasal awak
Awak kat mana
Saya nak tangkap awak ni.

Isnin, 17 Ogos 2015

HOW TO BIRDIE PAR 5s.

Assalamualaikum semua.

Saya mahu berihat sekejap. Berihat dari cerita fasal politik Agak bosan sekarang ni kerana belum nampak tanda-tanda penyelesaian. Selagi ramai manusia khususnya manusia  Melayu mempertahankan kebatilan, walaupun dalam hati kecil (conscience) menentangnya, sampai kiamat mereka yang mungkar terus bermaharajalela.

Lebih baik cerita golf.

Gambar diatas adalah gambar saya. Gambar yang diambil dalam sebuah studio terkenal dalam pembuatan filem. Sudah tentu studio di luar negara. Cuba teka di mana.

Usia ketika itu 46 tahun, dalam perjalanan ke usia emas. Masih aktif. Masih lagi bekerja. Gian bermain golf.

Mereka yang tidak pernah bermain golf, saya boleh teka reaksi mereka bila saja terdengar atau mendengar perkataan golf. Sama macam saya sebelum jadi gian bermain golf. Saya merasa loya jika ada kawan-kawan cerita fasal golf. Pernah pada suatu hari, apabila seorang kawan yang selalu menggoda mengajak saya bermain golf, saya kata padanya, " Aku  tak mahu jadi orang gila...pukul bola kecil cari lubang. Buang masa".

Jadi kalau ada yang memberi reaksi sewajah saya itu, saya amat faham dan tidak akan marah sebaliknya ketawa suka sambil menepuk bahu orang yang berkata itu, kerana orang itu menzahirkan perasaannya  yang sebenar. Dianya belum jadi gian bermain golf.

Golongan Orang Lemah Fikiran (GOLF), kata seorang menteri yang telah lama bersara semasa kami  duduk satu meja makan dalam satu majlis rasmi kerajaan. Kami yang semeja ketawa dengan lawak menteri itu yang memandang rendah mereka yang bermain golf. Beberapa orang dari kami menokok tambah sealiran dengan kesukaan menteri itu. Maka bertambah rancak menteri itu menyambung cerita.

Saya ikut ketawa juga dengan lawak menteri itu walaupun tidak bersetuju. Apa pilihan yang saya ada? Dia menteri, saya siapa?

Sudah tentu saya bukan kuli. Saya juga bukan bekerja di bawah kuasanya. Saya ialah pemain golf yang terlalu amat gian. Tergerak juga di hati untuk berkata 'saya tidak setuju. 

'I beg to differ, sir', Ayat inilah yang wajib saya  gunakan jika mahu menyatakan tidak bersetuju kepada seorang menteri. SOP bagi pegawai kerajaan dengan menteri. Lidah saya kelu untuk berkata. Saya hanya mampu membuka kecil mulut, ketawa tanpa suara.

Itu sedikit cerita pandangan seorang menteri tentang orang yang main golf-- golongan orang lemah fikiran. 

Saya bukan orang lemah fikiran. Kawan-kawan yang bermain golf juga, handal-handal , bukan sembarangan. Sebab itu otak kami masih terus diperlukan oleh kerajaan. Keputusan penting kerajaan amat bergantung kepada tugas yang kami jalankan. 

Siapa sediakan kertas kerja? Sudah tentu kertas kerja disediakan berasaskan satu idea  Siapa yang menganalisa data dan fakta? Siapa yang membuat pembentangan? Siapa yang buat perakuan?

Tiada orang lain melainkan kami ....orang yang suka main golf. 

Siapa pula yang buat keputusan?  Bersetuju atau tidak bersetuju?

Bab ini kami mahu beritahu. Kami beri berbagai pilihan/alternatif untuk di pilih menurut turutan dari yang terbaik kepada yang kurang baik. Takkan itupun tak mampu buat?

Ok , lupakan saja komen menteri itu. 

Untuk boleh bermain golf, mesti mengaku yang kita ini cacat. Mesti ambil lesen cacat. Selagi tidak ada lesen cacat jangan cuba nak pijak padang golf. Lupakan saja.
 
Saya dapat lesen cacat berangka 24. Ertinya cacat yang paling teruk sekali. Cara untuk mengurangkan cacat itu hanya satu saja. Kena selalu main golf. Mesti main sampai tahap gian.

Hari-hari main golf, di jamin tahap cacat itu boleh di kurangkan. Tapi, ramai yang suka kekal dengan cacat tahap 24 itu walaupun cacatnya tidak seteruk pada mula dapat lesen. Sebab banyak untung dari rugi. Boleh makan keliling, kata seorang kawan. Boleh jadi buaya.,,,,,jadi bujang senang ke, buaya tembaga ke..semua boleh. Orang cacat 24 ni banyak dapat gula-gula. 

Cacat saya kekal 24 sehingga saya bersara main golf. Maknanya, walaupun saya gian nak main golf, tapi tak mampu melayan gian itu. Tugas tidak mengizinkannya. 

Adakah saya mahu kekal untuk jadi buaya? Tidak juga. Mereka yang jadi buaya ini adalah  yang suka ber'betting' (bertaruh). Macam-macam bentuk taruhan yang saya sendiri kurang faham dan tidak mahu faham. Saya hanya mampu menyebutkannya.

Masuk saja 'green', sebelum buat pukulan maka dibuatlah ketetapan diantara yang satu 'flight' ( biasanya satu flight ada 4 pemain) dengan pertanyaan standarad, 'macam mana kita?' Maksudnya apa bentuk betting dan berapa jumlah taruhan. Jawapan yang saya selalu dengar....'three one one'....lepas tu boleh up.

Kawan-kawan satu flight saya, tidak mengharapkan pertanyaan dari saya mahupun jawapan. Saya pemain pasif dari segi betting. Mereka faham dan menerima sikap saya itu. Sayapun tidak menyatakan apa-apa tentang betting dalam permainan golf. Namun saya pernah bertanya, adakah betting ini tidak salah?

Ada yang beritahu betting itu harus sebab ianya menggunakan kepakaran dan kemahiran, bukan nasib. Ada juga kawan yang mempertahankan keharusan betting itu dengan mengatakan seseorang yang tinggi ilmu Islamnya mengatakan macam itu. 
 
Yang suka betting inilah yang suka kekal cacat pada tahap 24 walaupun permainan golfnya hebat sekali. Namun begitu, jika orang itu selalu saja menang kerana hebat bermain maka ada tawar menawar diantara mereka dalam menetapkan angka cacat. Biasanya tiada banyak masalah, persetujuan mudah dicapai maka angka cacat diturunkan dari 24 kepada 20 misalnya.

Mereka yang berbetting ini adalah serious golfer. Mereka amat terganggu jika ada suara-suara keluar/bising waktu mereka mula pukul bola dan sewaktu mahu masukkan bola golf dalam lubang. Jika pukulan tersasar, melencung jauh dari lubang yang hendak dituju atau bola masuk hutan atau masuk dalam tasik (bergantung padang golf ) mudah saja mereka menyalahkan gangguan suara tadi.

Waktu nak masukkan bola ke dalam lubang, ini adalah masa yang kriktikal, jangan sekali-kali ada yang buat bising atau bergerak ke sana sini. Perbuatan macam itu boleh mengganggu konsentrasi.

Ada kawan ambil masa yang lama membaca 'line' , iaitu dari titik bola itu berada sehinngga ke lubang golf, membaca tinggi rendah laluan yang akan ditempuh. Ada pula yang lama duduk mencangkung sambil menggentayangkan putter dihadapan mata bagi melihat laluan ke lubang itu. Ada juga kawan yang mendapatkan khidmat nasihat caddy sama ada bola dipukul lurus saja, atau lebih berat/sedikit ke kiri atau lebih berat/sedikit ke kanan.

Biasanya saya ketawa melihat gelagat kawan-kawan itu. Tapi ketawa saya tidaklah sampai boleh mengganggu konsentrasi mereka. Mereka tidak marah tapi tidak suka. Saya faham,  mereka perlukan ketenangan kerana ada risiko yang ditanggung. Kalau kalah, kenalah bayar kepada kawan yang menang.

Main golf seperti itu adalah stress, satu tekanan. Bagi saya ianya tidak perlu. Main golf mesti dalam mood enjoy, seronok . Waktu bekerja, di pejabat atau dimana-mana, kita menghadapi tekanan kerja. Mengapa waktu bermain yang sepatutnya kita melupakan tekanan kerja, kita sambungkan tekanan itu di padang golf? 

Tapi ada kawan yang berhujah tanpa betting mereka tidak akan pandai bermain golf. Mereka tidak akan serious dalam permainan itu. Bahkan kata kawan yang lain tanpa betting mereka tidak enjoy bermain golf, tak ada kick kata kawan itu.

Enjoy? Nak ada kick?

Saya tidak percaya. Itu semua alasan. Apa yang saya lihat mereka sebenarnya stress. Sebab itu ada kawan-kawan yang marah kepada caddy apabila gagal memasukkan bola dalam lubang, konon caddy tidak memberi nasihat yang betul! 

Sendiri yang pukul, caddy pula yang disalahkan. Ertinya mereka dalam keadaan stress, mereka tidak enjoy. Cuma yang menang saja yang enjoy.

Bagi saya apalah yang enjoynya kerana yang akan bayar nanti adalah kawan kita juga.
 
Hujah saya ini mudah saja dipatahkan. Betting itu sebenarnya bertujuan untuk belanja makan selepas penat bermain golf.  Bukan bertujuan untuk menyapu duit kawan.

Ertinya wang hasil kemenangan itu akan digunakan untuk makan bersama.

Memang ada kawan yang buat begitu tapi tidak semua.
 
Apa pun, yang penting, bermain golf itu bukan menambahkan stress tapi satu cara untuk berseronok, tidak perlu serious malah perlu banyak gelak ketawa. Sebab itulah cacat saya sentiasa kekal pada tahap yang tinggi, tak turun-turun kekal 24. Kekal 24 itu bukan kerana saya mahu jadi buaya. Memang itulah tahap cacat yang layak bagi saya iaitu cacat pada tahap maksima.

Oleh kerana itu , paling baik permainan golf saya, hanya mampu buat setakat par saja. Itupun bagi lubang par tiga. Lubang par 4 dan 5 , saya boleh mimpi saja. 

'Birdie?, Susah nak dapat. Kalau dapatpun di lubang par tiga, sesekali.

Saya teringin sangat  untuk dapat birdie pada lubang par 5. Teringiiiiiiin sangat. Macam mana? Perlukah saya melakukan betting agar saya akan lebih serious bermain golf?

No, tidak, saya tidak mahu cari stress, tambah stress dari tempat kerja. Saya ada satu jalan untuk dapat birdie pada lubang par 5. 

Tapi kos untuk mendapat birdie itu amat mahal. Saya perlu ke Australia. Saya perlu ke Gold Coast. Di sana saya mampu membuat birdie di lubang par 5. Paling kurang saya boleh bergambar sebagai pemain 'golf of the year 'berlatarbelakangkan tulisan 'how to birdie par 5s'.

Saya berjaya melakukan. Buktinya seperti foto yang terpapar diatas, di Studio Universal Gold Coast Australia.

Apa macam paparan hari ini? Tiada kisah politik, bukan.
  


 

 
      











Sabtu, 15 Ogos 2015

Menyediakan DiriUntuk Menghadapi Pilihanraya.




Jangan cepat buat kesimpulan mengatakan pilihanraya akan diadakan dalam masa terdekat. Tajuk diatas tidak sekali-kali membawa perutusan seperti itu. Jauh panggang dari api, sejarak antara bumi dan langit.
 
Siapa kah saya? 
 
Saya bukan PM yang boleh menentukan bila pilihanraya boleh diadakan. Tidak juga Suruhanjaya Pilihan Raya yang mempunyai maklumat yang boleh dipercayai berkaitan tarikh pilihanraya. Saya juga bukan penganalisis politik yang berkemahiran yang ada ilmu, maklumat dan fakta serta yang melakukan banyak kajian tentang politik dan pilihanraya.
 
Jadi mengapa mahu kacau daun dalam bidang di luar daya kemahiran dan penguasaan saya?
 
Saya tidak kacau daun. Biar mereka buat kerja mereka. Tapi saya tidak mahu hanya duduk melopong. Tambah-tambah lagi keadaan negara kita sekarang terlalu kencang dengan cerita politik walaupun kita baru saja (2013) mengadakan pilihanraya.
 
Saya adalah warga Malaysia. Saya adalah rakyat Malaysia yang layak mengundi sekali gus undi saya merupakan sebahagian dari undi yang boleh diambilkira dalam menentukan parti mana yang layak membentuk kerajaan , menjadi pemerintah.
 
Saya inginkah sebuah kerajaan yang boleh memberi menfaat kepada saya, kepada rakyatnya. Bukan sebuah kerajaan yang hanya memberi peluang kepada sebahagian kecil yang ada kuasa, dan sebahagian kecil rakyat yang dekat dengan yang ada kuasa, untuk memonopoli harta dan kekayaan negara. Saya tidak mahu sebuah kerajaan yang mahir dalam silap mata dari segi kata-kata dan tindakan.
 
"Rakyat di Dahulukan , Prestasi di Utamakan". 
 
Bertepuk tanganlah rakyat yang terbatas sumber maklumat, yang sebahagian besarnya tidak mempunyai pendidikan yang baik dan tinggal di perjauhan yang serba kekurangan dari segi capaian (akses) kepada berbagai infrastruktur dan keperluan bagi mengecapi satu tahap dan gaya hidup sebagai rakyat dalam sebuah negara yang sudah lama merdeka.
 
Mereka (rakyat yang bertepuk tangan itu) adalah terdiri dari kategori yang tidak banyak soal jawab, hidup sekadar yang ada, yang sentiasa di minta untuk bersyukur dan berterima kasih kepada setiap khidmat dan bantuan yang diterima. 
 
Mereka juga tidak menjadikan hak mengundi sebagai cara untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat demi menfaat dan kesejahteraan rakyat, yang bertanggungjawab kepada rakyat. 
 
Bagi rakyat seperti itu, nilai hak mengundi itu  sudah cukup di penuhi dengan kata-kata seperti diatas. 
 
Bagi meeka,  kata-kata itu sungguh menawan sekali. Apatah lagi sekali sekala, dalam musim pilihanraya, kata-kata itu disusuli dengan tindakan konkrit sebagai bukti bahawa janji ditepati.
 
Maka berkatalah yang punya kuasa, "Kadar pemberian BR1M dipertingkatkan lagi. Bilangan yang menerima BR1M semakin bertambah. Mereka yang dapat BR1M mencecah RM 7 billion".
 
Maka cairlah hati rakyat itu. 
 
Dengan sikap totok, tanpa ragu-ragu, tangan rakyat itu terus memangkah calun yang melunakkan hatinya dengan kata-kata seperti diatas itu dan pemberian BR1M yang amat  diperlukan, tanpa ada soalan sama ada diperingkat awalan mahupun susulan.
 
Rakyat itu tidak pernah bertanya:
 
Apa itu rakyat didahulukan? Kemudian menyusul dengan soalan:
 
Jika benar rakyat di dahulukan mengapa hidup mereka dalam sebuah negara yang telah merdeka lebih 56 tahun, sebuah negara yang kaya dengan sumber alam masih lagi terhimpit, capaian kemudahan awam seperti sekolah, hospital, yang terhad dan tidak sempurna; mengapa peluang kerja begitu kecil dan setengah kawasan tidak wujud?
 
Mereka tidak akan tanya sama ada pada hari-hari biasa mahupun pada hari kempen meraih undi atau sewaktu mengundi.
 
Dari mula sehingga ke akhir dalam kehidupan mereka, soalan bertanyakan tentang kebertanggungjawaban mereka yang berkuasa tidak pernah ditanya.
 
Apa perlu tanya, bukti sudah ada: janji yang dibuat telah di tepati dengan pemberian BR1M.
 
Tapi mereka lupa, mengapa banyak dari mereka yang menerima dan memerlukan BR1M?
 
Mereka tahu mereka miskin. Tapi soalan seperti diatas tidak pernah ditanya.
 
Mainan silap mata dalam bentuk kata-kata dan pemberian bantuan sekali sekala khususnya semasa pilihanraya telah menutup akal mereka untuk bertanya adakah itu saja kerja kerajaan yang dipilih?
 
Oleh itu untuk memilih sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat, rakyat sendiri mesti menyediakan diri sendiri seolah-olah kita mahu masuk perang atau pertandingan. Mesti tahu apa perang yang kita hadapi atau  apa pertandingan yang kita masuki.
 
Dalam hal mengundi bagi memenangkan parti yang kita ingin membentuk sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, ilmu  yang berkaitan dengan harga sebuah undi perlu diketahui dan di gunakan bagi mendapat menfaat yang terbaik bagi diri dan negara.
 
Bagi  saya ilmu itu akan memberitahu kita bahawa dalam memilih sebuah kerajaan yang mahu mengambil tanggungjawab dan menjalankan tanggungjawab dengan baik demi rakyat, ketepikan emosi,  sebaliknya gunakan akal yang waras.
 
Apa itu akal yang waras? 
 
Akal yang apabila kita gunakan ianya tidak memberikan banyak kesan yang buruk kepada kehidupan kita, dan seterusnya negara.
 
Fikiran yang waras tidak menjadikan emosi sebagai faktor utama dalam membuat keputusan semasa membuat pilihan parti atau calun yang hendak dimenangkan.
 
Emosi tetap ada, tidak mungkin dapat di ketepikan begitu saja. Tetapi emosi tidak dijadikan faktor utama dalam membuat keputusan.
 
Contoh: 
 
Emosi dari sudut bangsa dan agama. 
 
Sudah tentu susah untuk diketepikan begitu saja dalam membuat pertimbangan. 
 
Tapi jika parti atau calun itu tidak menepati atau tidak mampu menjalankan tanggungjawab demi kebaikan rakyat walaupun dianya atau parti itu mengatakan berjuang atas nama bangsa agama seseorang pengundi itu , pengundi itu hendaklah menggunakan akal yang waras menolak calun atau parti itu. 

Apatah lagi jika emosi itu terlalu lebih di mainkan sehingga ke tahap menakut-nakutkan yang dikatakan boleh membahayakan keselamatan dan survival sesuatu bangsa dan institusi yang sangat dekat di hati pengundi itu. 

Tolak mentah-mentah jika ada calun dan parti memainkan emosi yang berlebihan seperti diatas. Ianya tidak baik kepada rakyat dan negara.
 
Sebenarnya rakyat boleh membuat keputusan secara waras.
 
Kita bukan baru berkerajaan sendiri. Kita telah melalui sudah 13 kali pilihanraya. Mempunyai kerajaan dari parti yang sama.
 
Nilailah prestasi kerajaan itu dengan waras dan bukan di bebani dengan pertimbangan emosi. 
 
Pertimbangan yang waras akan mengambil kira fakta dan maklumat yang tepat yang boleh di pertanggungjawabkan, bukan berdasarkan khabar angin atau gula-gula politik sama ada dari yang mahu kekalkan kuasa atau yang mahu dapatkan kuasa.
 
Misalnya dalam mengukur prestasi kerajaan dan khidmat kepada rakyat, rujukan boleh dibuat antaranya:
 
i) Laporan Ketua Audit Negara.
ii) Keadaan kehidupan harian - kos sara hidup, tempat tinggal, makanan dan pakaian yang mampu dibeli, peluang pekerjaan, capaian kepada kemudahan awam dan banyak lagi
iii) Perbincangan pihak-pihak yang berkepakaran yang terlibat dalam isu-isu kepentingan negara.
 
Pilihanraya akan tiba. Soal bila, biarlah pihak yang ada autoriti menentukan. Yang penting bagi pengundi ialah menyediakan diri untuk mengetahui bahawa hak mengundimereka terlalu amat berharga, dan jangan disia-siakan.
 
Tidak perlu mengeluh apabila kerajaan yang kita pilih akhirnya mengecewakan kita.  
 
 
 

Khamis, 13 Ogos 2015

Ringgit Yang Menyusust Adalah Baik?




Sesiapa yang tidak setuju nilai ringgit turun orang itu adalah bodoh dan gila.

Itu kata seorang menteri.

Bahkan dengan bangga menteri itu berkata dialah orang yang paling gembira dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan nilai mata wang asing misalnya USD dan Singapore dollar.

Nilai ringgit yang merosot ini menjadikan kos pelancung asing yang datang berbelanja di Malaysia akan menjadi murah, misalnya bayaran hotel atau tempat kediaman.  Maka sudah tentu, menurut menteri itu akan menambahkan bilangan mereka untuk melawat Malaysia.

Alasan itu ada juga logiknya. Kos belanja yang murah sudah tentu meningkatkan permintaan.

Tapi sayang sekali, hujah menteri itu tidak pula disertakan dengan statistik jumlah kedatangan pelancung pada satu tempoh yang berbeza berdasarkan pertukaran mata wang pada tempoh-tempoh yang dirujuk.

Sebagai seorang menteri, sepatutnya itulah hujah yang dikedepankan. Tidak cukup membuat kenyataan secara am bahawa kos yang rendah boleh atau akan menggalakkan orang berkunjung ke Malaysia.

Paling tidak senonoh apabila ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan seperti itu, diberi label sebagai bodoh dan gila.

Mengapa agaknya menteri itu merasakan dia layak atau bebas untuk memberi lebel bodoh dan gila kepada orang yang tidak sependapat dengannya?

Saya ada satu jawapan saja iaitu menteri ini merasakan kuasa yang ada dan kedudukannya sebagai menteri boleh saja memperbodoh dan mempergilakan orang lain. Dia ada lesen besar untuk kata apa yang dia suka. Dia bos.

Menggunakan kuasa dan kedudukan sebagai menteri untuk berbeza pendapat, tidak ada salahnya , jika hujahnya disokong dengan fakta dan statistik yang boleh dipertanggungjawabkan. Sudah tentu hujah itu boleh meyakinkan pihak yang tidak bersetuju pada awalnya untuk bersetuju dengan menteri itu kemudiannya. 

Rasanya menteri itu akan lebih diberi penghormatan, dan dipercaya apabila membuat kenyatan pada masa depan.

Tapi kalau berhujah mengatakan orang lain bodoh dan gila kerana tidak sependapat dengannya, ia merosakkan rasa hormat kepada kedudukan beliau sebagai menteri dan beliau secara peribadi. Dan kenyataan beliau pada masa depan juga walaupun ada kebenarannya, akan sentiasa diragui.

Sudah tentu bukan itu yang beliau mahukan, sebagai seorang politik.

Ada dua keadaan yang menyebabkan nilai mata wang menyusut berbanding mata wang asing.

Pertama, ia bersangkutan dengan Polisi Kewangan Negara. Misalnya tindakan negara China sekarang   menyusutnilaikan (devalue) mata wangnya dengan menetapkan satu kadar pertukaran  wang asing bagi mencapai maksud tertentu misalnya bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Di Malaysia, semasa menghadapi krisis kewangan, Polisi Kewangan pada masa itu adalah membuat tambatan kadar pertukaran RM3.80 bagi USD1.00 sebagai langkah menyekat penyusutan nilai ringgit yang lebih rendah.

Kedua, mata wang yang terdedah kepada nilai pasaran dunia (market forces) dimana berlaku penyusustan dan peningkatan mata wang itu berbanding mata wang asing.

Malaysia ketika ini berada pada kedudukan kedua diatas.

Soalan: Adakah penyusutan nilai wang itu baik kepada Malaysia?

Jawapannya, tidak semudah 'ya' atau 'tidak' tanpa data dan fakta yang berkaitan.

Tapi apa yang berlaku sekarang ini, penyusutan nilai ringgit banyak memberi kesan yang buruk dari yang baik kerana penyusutan itu berterusan.

Tindakan BNM menggunakan simpanan bagi menyokong nilai ringgit adalah satu petanda jelas bahawa penyusutan nilai ringgit ini bukan sesuatu yang diingini.




Rabu, 12 Ogos 2015

Apa Nama Kereta Ku Ini?




Aku seorang pengeluar kereta. Seorang Bumiputera. Melayu, lebih tepat lagi. 
 
Sudah tentu aku seorang Islam- kerana aku telah beriman dengan mengaku, "Bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah".

Tak percaya dengan lafaz syahadah ku itu, yang telah ku lafaz semenjak aku tahu menyebut perkataan-perkataan itu dengan betul, dan faham pula maksudnya, sehingga sekarang aku terus menyebutnya, paling tidak dalam solat fardhu lima waktu?

Jangan gatal mulut cuba minta bukti hitam putih tentang agama ku. Lihat saja Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi di Malaysia, di situ keraguan akan terjawab dengan sendiri.

Aku Melayu, otomatik aku Islam. Dan aku beriman padanya. Habis perkara. Jangan tanya lagi.

Sekarang tiba giliranku untuk bertanya: Apa Nama Kereta Ku Ini?

Tunggu dulu. 

Dengar dulu tip yang aku nak  beritahu agar nama yang diberikan nanti menepati ciri-ciri sebuah kereta idamanku, kereta hasil daya fikir dan daya cipta seorang pengeluar kereta Bumiputera, seorang Melayu.

Kereta kebangganku dan kebanggaan umat Melayu!

Spesifikasi.

Ini amat mustahak. Dengar baik-baik.

Enjin: Dikuasakan sejukan air  (water cooled) dan sejukan angin (wind cooled).

Kuasa menggerakkan kereta: kuasa haibrid (hybrid) -menggunakan petrol + diesel + air. Boleh juga gunakan satu atau dua dari hybrid kuasa penggerak itu.

Hebat kan? Genius dari seorang anak Melayu. Air boleh di sera kan dengan minyak (air dan minyak boleh disatukan).

Think outside the box man! Paradigm shift!

Oh, mengapa garu kepala? Too technical?

Baik. Aku tahu. Aku faham, too technical bagi kamu semua. Sebab kamu bukan jurutera otomotif walaupun kamu dalam industri otomotif.

Ya, betul juga. Apa perlu ilmu itu sedangkan bisa saja kamu panggil jeh oo el oo untuk uruskan hal-hal teknikal.

Mengapa kamu sedikit tersengeh macam kerang busuk bila aku eja jeh oo el oo?

Ejaan itu bunyinya holo. Itu sebutan orang Sepanyol. Tiada kena mengena dengan kamu semua, yang hidup atau yang mati. Contoh saja.

Baik. Aku beri tip yang mudah kamu semua faham.

Kereta itu direkacipta untuk kelajuan yang tidak terhad. Maknanya apa? Maknanya, 'porah' dengan undang-undang had laju. Tak makan saman. 

Muatannya, maksud aku siapa atau apa yang boleh diisi - terdiri dari manusia dan bukan manusia yang eksklusif sekali.

Kemampuan mengisi minyak dan mengisi semula minyak -  Tangki boleh diisi penuh, tumpah pun tak mengapa. Boleh diisi dimana-mana stesyen minyak. Bukan itu saja, boleh diisi semula dari tangki kereta lain sambil bergerak, laju mahu pun perlahan, tak jadi hal.

Ini prototaipnya. Lihat saja reka bentuknya- aero dynamic. Badannya diperbuat dari bahan-bahan tempatan 100%. Besi dari kilang perwaja.

Sekarang aku minta kamu semua memberikan nama yang sesuai untuk kereta ku ini. Satu nama yang aku idam-idamkan, menjadi kebanggaaanku, orang Melayu, negara Malaysia.

Maaf, nanti dulu. Turunkan tangan mu. Satu perkara yang mesti aku beritahu, yang mesti aku beritahu, kereta ini hanya 1 , bukan satu-satunya, tapi hanyalah 1 pengeluaran anak Melayu  Dalam Banyak-banyak kereta yang ada.

Oiii, semua angkat tangan. Macam dah ada nama yang boleh menarik perhatianku.

Beginilah. Bila aku bercadang nak mengeluarkan kereta ini, telah tersemat di hatiku bahawa kerja ku mesti satu kerja yang dapat barakah. Maka semasa membuat prototaip ini aku telah minta seorang kawan baikku dari Timur Tengah untuk membaca doa. Aku boleh juga baca doa. Tapi lebih afdal jika doa itu orang Arab yang bacakan.

Ok. Apa nama keretaku ini?

'aaaaaaaahhhh.....macam pernah dengar jer!


Selasa, 11 Ogos 2015

Ku Sangka Panas Hingga ke Petang, Rupanya Hujan Di Tengah Hari. Tapi Bukankah Langit Tak Sentiasa Mendung?




Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari.

Tapi bukankah langit tidak sentiasa mendung? 

Ya, aku begitu optimis sekali. Bahawa langit itu tidak sentiasa mendung. Berarak lalu awan mendung ditiup angin, cerahlah bumi yang ku pijak.

Perlahan-lahan cahaya mentari menyuluh bumi.

Pukul 8 pagi, satu keputusan yang besar dan kritikal aku kena buat. Aku mesti mengambil kira berbagai faktor bagi menyokong keputusan yang bakal dibuat itu, agar hasil nya nanti menguntungkan aku. Aku tidak mahu rugi.

Aku mesti bertindak sebagai ahli perniagaan walaupun aku belum sampai ke tahap seorang tokoh koperat. Tapi aku tidak mahu jadi keparat. Tiada seorang pun yang suka jadi keparat. Orang yang bertaraf keparat tiada tempat dimata orang ramai.

Semalam dan beberapa hari yang lepas, hujan tidak berhenti-henti membasahi bumi. Langit sentiasa mendung. Tergendala dibuatnya banyak dari kerja di luar rumahku. 

Memesin rumput di sisi kiri, kanan dan belakang rumah ku jadi tergendala.  Pasu-pasu bunga yang di tumbuhi rumput tidak dapat diuruskan, susun aturnya pun tidak secantik mata memandang, tidak berkenan dihati.

Tapi ada juga baiknya hujan. Bil air aku akan berkurangan.

Keputusan yang aku perlu buat hari ini bukan fasal mahu buat kerja di luar rumah. Aku mahu lupakan kerja itu buat sementara waktu pada hari ini. Lagipun raya cuma akan menjelang pada minggu hadapan. Aku tidak perlu bergegas, masa masih panjang. Ada kerja lain yang lebih penting.

Macam mana hendak buat sesuatu keputusan agar matlamat dapat dicapai dengan sempurna, pada tahap yang optima. Maksud aku, dicapai dalam masa yang singkat, belanja yang minima dan hasil yang lumayan.

Ahh semua itu angan-angan dan ideal yang selalu diajar oleh para professor kewangan dan ekonomi. Mereka melihat dari segi kos dan faedah. Mereka membuat andaian seolah-olah dunia ini kaku. Tak boleh pakai cara professor itu.

Habis, bagaimana caranya untuk satu keputusan yang terbaik?

Lupakan itu dulu. Apakah sebenarnya yang aku hendak buat pada hari ini. Pada hari yang tidak mendung, pada ketika mentari  menyuluh bumi tanpa awan hitam yang menghalang.  

Sebelum bersara, 15 tahun sebelumnya aku kerap bertugas rasmi ke luar negeri melawat pejabat kedutaan Malaysia, mengkaji dan menyemak keperluan mereka agar dapat berfungsi dengan lebih berkesan.

Banyak  negara yang telah ku lawat. Perancis, Jerman, Belanda, Itali, Switzerland, Austria, Maghribi, Libya, dan Mesir. England, sudah jadi macam aku balik kampong sendiri, kerap aku kesana. Lagipun, dua tahun aku menetap disana melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana.

Aku telah membuat banyak pelaburan semasa berada di negara-negara tersebut. Mana kan tidaknya, banyak yang berkenan di hati, selain ianya perlu. Duit di poket pun lebih dari cukup, elaun tugas rasmi amat lumayan sekali.

Di Belanda misalnya aku membeli sebuah meja hiasan panjang bersama tiga meja sisi yang dibuat dari bahan yang dipanggil 'ornet'. Aku pun tidak pasti salah atau betul sebutan dan ejaan bahan itu. Itu yang aku ingat, apabila aku diberitahu oleh pegawai kedutaan di The Hague, Belanda.

Di Perancis, aku beli sebuah jam digital. Sampai hari ini jam itu masih lagi berfungsi dengan baik, sebagai rujukan kepada telingaku agar meminta aku segera bangun bersyahur pada bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu Subuh setiap hari. Aku beli jam itu pada tahun 1976.

Macam-macam yang telah aku beli setiap kali aku berada di negara-negara yang aku lawati. Terlalu banyak wang yang telah aku keluarkan. Ini adalah pelaburanku.

Paling banyak aku melabur ialah semasa tinggal di England. Dua tahun lamanya. 

Aku beli sebuah kereta, walaupun sudah tua usianya tapi masih dibenarkan oleh pihak pengangkutan jalan raya England, Ministry of Transport (MOT) untuk berada di jalan raya. Harganya hanya 300 pounds saja, yang sama nilai 1500 ringgit pada nilai pertukaran 5 ringgit 1 pound.

Pelaburan ini berbaloi. Pulangannya lumayan sekali.

Aku pergi balik dari rumah ke universiti dengan kereta tua yang berjasa itu. Tidak perlu berjalan diusik kesejukan untuk dapatkan bas. Jimat masa dan wang ringgit berbanding kalau aku naik bas -dua kali tukar bas dari rumah ke 'u'.

Kereta tua itulah yang telah membawaku bersama 5 orang ahli keluarga ke Wales, Scotland dan beberapa tempat terkenal di England, berkemping bersama kawan-kawan, semasa cuti semester musim panas, dan memetik buah (fruit picking).

Menyeronokkan.

Paling aku berpuas hati ialah apabila kereta tua yang amat berjasa itu telah menarik hati seorang kawan, seorang junior. Berkenan pula dihatinya untuk memilik kereta itu. Lalu aku jual kepada kawan ku itu sebagai jualan selamat tinggal England untuk kembali ke Malaysia. Harganya cuma 150 pounds saja. Murahkan! Tapi wang jualan itu aku terima dengan senyum.

Banyak lagi yang telah aku labur. Tapi ianya aku tinggalkan kepada kawan-kawan yang masih meneruskan pengajian mereka. Tanpa bayaran.

Banyak juga yang aku bawa balik. 

Hari ini, entah macam mana aku terpandang sebuah beg lama diatas sebuah almari pakaian. Aku segera mengambil beg itu dan mahu membukanya. Tapi tidak semudah itu untuk membukanya kerana sudah lupa angka kawalan keselamtannya. Namun cuba punya cuba akhirnya dapat juga beg itu di buka.

Apa yang ada? Macam-macam, tapi sebahagian besarnya adalah pakaian. Ada juga berbagai cenderamata dan barang hiasan. Keadaannya tidaklah teruk sangat, masih boleh dipakai atau diletakkan sebagai hiasan rumah. Hanya yang perlu dibuat ialah membersih dan membasuhnya.

Membersih dan membasuhnya. Aku perlu tentukan ianya akan mudah kering. Hanya dengan adanya pancaran matahari, aku akan berjaya mencapai matlamat itu.

Jadi aku perlu buat keputusan sama ada mahu membersih dan membasuh pakaian dan barang dalam beg itu atau tidak. Ini satu keputusan yang besar dan kritikal untuk dibuat. 

Kerana barang dan pakaian itu aku beli dari luar negeri. Selain dari harga yang telah ku bayar, yang aku anggap sebagai pelaburan, ianya mempunyai nilai sentimental yang tidak ada ukuran dari segi wang.  

Inilah barang yang membawa berbagai kenangan yang mengingatkan aku cerita suka duka, pahit manis , sepanjang aku disana. 

Ahh 'overall' itu telah banyak melindungi aku dari kesejukan dalam perjalanan ke kampus.

Perlu aku basuh?

Aku menengadah. Langit diatas mula bertukar wajah dari cerah , terang benderang kepada perlahan-lahan menjadi gelap.

Rupanya langit tidak sentiasa cerah....ku harap panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari.

Beg itu aku tutup dan letakkan semula ke tempat asalnya. Ia nya lebih selamat.

Bukankah eloknya jika kerajaan juga melakukan seperti apa yang aku lakukan sewaktu bercadang menubuhkan 1MDB -mesti mengambil kira persekitaran yang ada dan sentiasa mampu menjangka risiko yang mendatang. 

Lagipun, aku yang telah sedia ada pakaian, apa perlu aku membasuh pakaian dalam beg itu kerana ianya tidak akan kering dik langit yang bertukar wajah dari cerah menjadi mendung.

Apa perlu sebuah syarikat seperti 1MDB sedangkan negara telah sedia ada Khazanah Nasional Bhd yang tujuannya juga sama seperti yang mahu dilakukan oleh 1MDB iaitu untuk terlibat dalam pembangunan yang strategik.

Sekarang apa yang terjadi? Syarikat berhutang, negara dan rakyat yang menanggung beban. Kerugiannya lebih besar berbanding dengan kerugian yang aku hadapi jika aku terus membasuh dan membersih pakaian dalam beg itu.

Aku hanya rugi kerana tidak dapat pakai pakaian itu disebabkan matahari tidak ada untuk mengeringkannya.

Belajarlah dari aku sebelum membuat sesuatu keputusan.