Theflowersellingboy

Jumaat, 15 April 2011

Salam Jumaat......7

SJ kepada anda Budiman. Kita berjumpa lagi bagi minggu ketujuh. Harap semua sihat walafiat.

Kali ini SJ hendak menumpang cerita berkaitan dengan pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) yang akan diadakan esok hari 16 April 2011. SJ hanya mampu menumpang cerita kerana SJ akan bercerita berdasarkan cerita dari pihak lain yang SJ dengar, dapati melalui berbagai sumber , kerajaan dan yang belum menjadi kerajaan.

Kedua-dua pihak nampaknya sedang hebat memasarkan parti dan personaliti yang mereka pertaruhkan, yang mereka istilahkan sebagai 'winnable candidate', calun yang boleh membawa kemenangan. Mungkin mereka praktikkan kaedah dan teknik pemasaran yang canggih manggih yang dapat mempengaruhi dan meyakin orang yang layak mengundi untuk mengundi calun mereka. SJ percaya penggunaan media jaringan sosial seperti internet, twitter, blog dan laman sesawang yang lain dimenfaatkan sebaik mungkin khususnya dikawasan bandar atau kawasan yang boleh dicapai melalui talian tersebut, selain kaedah konvensional secara mengadakan rapat dan lawatan rumah ke rumah.. Tetapi dikawasan yang masih lagi tertinggal dari segi kemudahan itu, kaedah konvensional digunakan sepenuhnya.

Dari segi kita sebagai pengundi, apa pun kaedah yang mereka gunakan bukanlah sepatutnya kita jadikan asas untuk memberikan kepercayaan memilih atau mengundi mereka. Kalau itulah yang kita buat, sebenarnya kita telah mensia-siakan hak yang terlalu bernilai memilih atau mengundi mereka yang tidak sepatutnya mewakili kita. Sebenarnya kita telah terperangkap dengan kecanggihan kaedah mereka dan bukan kemampuan atau kesanggupan mereka untuk memberi khidmat yang sebaiknya. Kalau begitu, kita jangan menyesal dan marah-marah apabila mereka mengecewakan kita. Tunggulah sehingga tiba masa yang lain pula , dan buat sementara tanggunglah sendiri kesengsaraan yang kita sendiri cipta.

Menyentuh tentang kaedah dan teknik pemasaran yang mereka gunakan, kita nak menyentuh perkara yang kita panggil sebagai gula-gula pilihanraya. Ya, maksud kita ialah janji yang dibuat oleh mereka. Bukan masalah janji itu sendiri kerana bagi kita janji itu adalah satu keperluan untuk menyatakan kesungguhan mereka untuk membawa kebaikan kepada kita semua, demi kesejahteraan hidup kita bersama. Tetapi yang kita tidak bersetuju ialah janji yang tidak pernah tertunai semasa mereka atau parti mereka berkuasa. Malah kepercayaan yang telah kita beri disalahgunakan untuk memperkayakan diri sendiri dan sahabat taulan dan kenalan rapat mereka. Kita tidak persoalkan mereka dan yang bersahabat dengan mereka jadi kaya, tahniah kita ucapkan. Tapi caranya tidak kena disamping melupakan kita hidup sengsara. Kalau dulu rumah kita hampir menyembah bumi, ketika ini juga keadaannya sama atau lebih teruk lagi.

Seterusnya kita jangan terpedaya dengan pemberian-pemberian segera pilihanraya. Kalau mereka ikhlas, kenapa sebegitu lama mereka tidak pernah menunjukkan budi baik memberikan kita berbagai macam hadiah dan pemberian. Ini ialah gula-gula. Makan banyak gula nanti kena kecing manis, bahaya.

Oleh itu pandai-pandai dan secara bijaksana gunakan hak kita supaya tidak tereperangkap dengan kaedah yang mereka gunakan. Selamat mengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan