Theflowersellingboy

Ahad, 29 Oktober 2017

Perancangan Kewangan Negara: Pilih Bajet atau Belanjawan atau .......

Beberapa hari kebelakangan ini parti-parti politik bercerita fasal perancangan dan pengagihan kewangan atau hasil/pendapatan negara untuk digunakan bagi membiayai berbagai maksud perbelanjaan negara bagi tahun 2018. 

PH kata Belanjawan. BN kata Bajet. Benda yang sama.
PH telah membentangkan BELANJAWAN ALTERNATIF pada 25 Oktober , dua hari sebelum BN membentangkan BAJETnya di Parlimen pada 27 Oktober , hari Jumaat yang lepas. PAS juga mencadangkan bajet atau belanjawannya sebagai alternatif kepada cadangan perancangan kewangan PH dan BN.

Perancangan kewangan tahunan BN dipanggil Bajet. PH pula menamakan Belanjawan. Tapi PAS nampaknya belum lagi mempunyai nama bagi perancangan kewangannya. Jadi ketika ini memanggilnya sebagai bajet atau belanjawan.

Mungkin PAS sedang mencari nama yang sesuai dengan selera partinya. Saya rasa ianya bukan satu perkara yang rumit bagi PAS. 

PAS memang mempunyai kecenderungan menggunakan bahasa Arab dalam menamakan sesuatu program atau acara mahupun tindakan kerana katanya bahasa Arab lebih menampakkkan ciri Islamiknya walaupun terdapat perkataan Melayu yang membawa makna yang sama. 

Oleh itu saya cuba meneka bahawa nama yang akan dipilih oleh PAS mungkin Al-Muwazanah? Lebih Islamik bukan!

Baik. Rakyat sekarang diberi pilihan untuk memilih Bajet atau Belanjawan atau Muwazanah. Sekaligus memilih parti yang akan menerajui kerajaan pada PRU 14. Parti mana gamaknya.

Kalau pilih Bajet bermakna BN dihatiku. Pilih Belanjawan, PH yang aku kasihi. Pilih Muwazanah, PAS yang kusayangi.

Yang mana satu rakyat terbanyak akan membuat pilihan. 

Jika majoriti menyukai bajet maka BN akan kekal berkuasa selepas PRU 14. 

Sebaliknya jika majoriti rakyat berpendapat Belanjawan adalah perancangan kewangan yang terbaik dan perlu diuji keberkesanannya dalam mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara maka PH akan menjadi kerajaan selepas PRU 14.

Bagaimana pula dengan Muwazanah?

Ada masalah untuk membuat keputusan. Sebab perancangan kewangan PAS hanya sekerat jalan, tidak lengkap. 

Menurut apa yang dibentangkan, Ketua Pemuda PAS hanya mencadangkan beberapa kutipan cukai yang katanya berciri Islam sebagai hasil bagi membiayai perbelanjaan negara tetapi tidak pula disertakan jumlah yang dianggar dapat dikutip. Dan tidak juga dinyatakan berapa dari jumlah hasil itu akan diagihkan bagi tujuan mengurus dan pembangunan.

Berapa jumlah hasil dan berapa jumlah perbelanjaan? PAS tidak ada angka itu. Jadi angka apa yang rakyat mahu sokong? 

Jelas PAS telah gagal dalam perancangan kewangan. Maka mana mungkin PAS mampu memerintah dan menjadi kerajaan.

Oleh itu pada PRU 14 ini rakyat hanya wajar memberi fokus kepada BN atau PH. 

Pilih Bajet atau pilih Belanjawan? 

Sebelum membuat pilihan, perlu diingatkan agar rakyat tidak tergoda dengan angka dan statistik yang dipaparkan oleh kedua belah pihak. Angka dan statistik boleh sahaja dimanupulasikan demi menjustikasikan tujuan yang disasarkan. Ertinya rakyat mesti bijak.

Sasaran parti politik sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang adalah sama saja iaitu untuk  memenangi hati dan fikiran rakyat agar majoriti rakyat khususnya pengundi menyokong dan memberi undi dalam pilihan raya.

Rakyat adalah tuan kepada parti-parti politik. Maka parti politik akan memberi tahu rakyat bahawa hasil dan kekayaan negara akan digunakan bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Itu saja, tidak lain tidak bukan bahawa rakyat diutamakan.

Berbalik kepada BN. Benarkah BN atau bajet BN dirancang dan dirangka bagi maksud memberi kesejahteraan kepada rakyat?

Mengambil kira apa yang dibentangkan baru-baru ini, bajet BN nampaknya kearah itu, Tapi rakyat jangan mudah jadi keliru dan akhirnya kena tipu.

Menilai sesuatu bajet atau belanjawan , bukan sahaja melihat angka dan tawaran-tawaran yang dicadangkan. Mesti faham apa itu bajet atau belanjawan. 

Bajet atau belanjawan  adalah satu alat perancangan kewangan negara bagi satu-satu tahun kewangan dengan tujuan bagi menentukan hasil atau pendapatan negara itu digunakan dengan berkesan dan cekap diukur dari berbagai aspek khususnya faedah kepada rakyat dan negara.

Faedah kepada rakyat bermaksud rakyat secara majoritinya akan dapat faedah dari agihan hasil yang adil dan saksama sehingga tidak berlaku jurang kehidupan yang besar diantara mereka.

Faedah kepada negara pula ialah negara menjadi makmur berikutan dari penggunaan hasil yang bebas dari salah guna, tiris dan bocor , rasuah dan pembaziran dalam apa cara bentuk sekalipun.

Ertinya apa pun yang ditawarkan dalam bajet atau belanjawan, perkara terpenting dan paling utama ialah mengurustadbir wang atau hasil serta perbelanjaan negara tanpa mengakibatkan kerugian kepada negara akibat dari salah urus.

Oleh itu perlaksanaan adalah perkara utama dalam apa yang telah dirancangkan dalam sesuatu bajet atau belanjawan.

Pengalaman telah jelas membuktikan bahawa BN telah gagal mengurus tadbir negara termasuk kewangan dengan baik. Banyak kerosakan yang telah dan sedang berlaku. PH pula belum lagi dapat diukur kemampuan untuk mengurus tadbir hasil dan perbelanjaan diperingkat Persekutauan. Tapi pengalaman di dua buah negeri Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan PH adalah lebih baik dari BN.

Kesimpulannya pilihlah belanjawan dan tolaklah Bajet. Pilihlah PH dan tolaklah BN dalam PRU 14 nanti kerana banyak petunjuk yang negatif memihak kepada BN sedangkan PH telah berjaya menguruskan kekayaan di Selangor dan Pulau Pinang dengan berkesan dan cekap yang mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri-negeri dibawah pemerintahan PH.

  


Selasa, 17 Oktober 2017

Perhimpunan Fastaqim dan Perhimpunan Sayang Malaysia dan Hapuskan Kleptorasi membuatkan ada parti yang senyum memanjang.




UMNO/BN senyum memanjang ketika ini. Fastaqim lawan Perhimpunan Sayang Malaysia dan Hapuskan Kleptokrasi adalah bahan senyuman yang paling menyeronokkan  bagi UMNO/BN. 

Hahahaha biar PAS dan PH bergaduh kerana dua-dua akan cedera. Kalau mati satu darinya, kerja UMNO/BN dalam PRU 14 menjadi mudah. Dua-dua mati lagi bagus, UMNO/BN 'plain sailing' bak kapal belayar ditolak angin menuju destinasi.

Ya, PAS dan PH dari kumpulan yang sama. Mereka pembangkang mahu dapat kuasa untuk menjadi kerajaan. 

Perkiraan PH bahawa dengan ada kuasa PH kata boleh buat berbagai reformasi dan perubahan yang menguntungkan negara dan mensejahterakan rakyat. Sebab itu PH anjurkan perhimpunan 'Sayang Malaysia dan Hapuskan Kleptokrasi ' . 

Perhimpunan menyasarkan 100 ribu orang. Hadirin yang datang dianggarkan 4,000; 5,000; 8,000; 25,000, bergantung siapa yang buat anggaran. Tapi yang jelas jauh dari sasaran!

Hahahahaha PAS ketawa terbahak-bahak dengan mengemukakan gambar dari drone sebagai bukti bahawa angka kehadiran terlalu meleset dari sasaran. PAS ketawa terbahak bahak.

PAS ketawa macam itu , bukan sangat angka kehadirannya kecil tapi kerana membandingkan dengan angka kehadiran perhimpunan Fastaqim yang diadakan lebih awal anjuran PAS. 

PAS kata kehadiran Fastaqim 200 ribu orang, bahkan ada ahli PAS yang menambah 200 ribu orang lebih!

PAS tidak akan ketawa terbahak-bahak jika kehadiran perhimpunan PH itu terlalu jauh bezanya dengan kehadiran diperhimpunan UMNO/BN yang biasanya ratusan ribu orang. Sebab mentertawakan PH lebih menyeronokkan dari mentertawakan UMNO/BN. Puas hati PAS kerana pesaingnya telah 'kalah' sebelum masuk pentas bersaing merebut kuasa dari UMNO/BN. PAS menjadikan angka kehadiran sebagai ukuran kalah menang dalam PRU 14. 200 ribu lawan 25,000 sudah tentu PAS menang. 

Cuma PAS menang keatas PH. PH yang tiada kuasa sebagai sebuah kerajaan. PH yang juga mahu ambil kuasa dari UMNO/BN. PH yang dari kumpulan yang sama dengan PAS sebagai pembangkang. 

Ya, PAS menang tapi tidak dapat kuasa untuk menubuhkan kerajaan. Mengalahkan PH dari segi angka perhimpunan belum lagi boleh menjamin PAS untuk menang PRU 14.

UMNO/BN terus tersenyum. UMNO/BN tidak mahu ketawa terbahak-bahak macam PAS. Sebab UMNO/BN tidak mahu meniru PAS. Cukup saja dengan tersenyum sebagai meraikan permusuhan diantara PAS dan PH yang semakin menular. Viralkan permusuhan PH dan PAS ini adalah lebih baik dari ketawa terbahak bahak. Itu adalah formula politik BN.

PH yang cedera akan menggembirakan BN. 

Dalam menghadapi ketawa PAS yang terbahak-bahak itu, PH cuba memujuk rasa dengan berkata bahawa kehadiran yang jauh dari sasaran itu ada berbagai sebab. Katanya ada lawan bola Manchester vs Liverpool, anak muda lebih suka demonstrasi jalanan dan tempoh masa perhimpunan amat panjang dari petang sehingga lewat malam yang memberi pilihan untuk hadirin datang. Dan macam-macam lagi.

Sedikit sebanyak ada kebenaran hujah PH itu. Tapi ianya tidak dapat menafikan bahawa ramai pimpinan PH yang kecewa.

Namun PH masih yakin mereka boleh menang PRU 14. Bukan sahaja menang mengalahkan UMNO/BN bahkan boleh mengalahkan  PAS dari segi bilangan yang memberi sokongan. PAS kalah teruk! Dakwa setengah ahli PH.

PAS kalah teruk? 

Sekali lagi UMNO/BN mengukir senyuman jika itu yang dikatakan oleh PH. PAS kalah menguntungkan UMNO/BN. 

Belum lagi masuk PRU 14, UMNO/BN telah boleh senyum kerana PH sudah kalah dan PAS pun tewas juga.

Tahniah UMNO/BN kerana tanda-tanda menang sudah muncul. Bukan kerana UMNO/BN itu kuat, bukan kerana UMNO/BN itu tidak rasuah dan menyeleweng dalam urus tadbir kekayaan negara , bukan kerana GST itu tidak mencekek kehidupan rakyat, bukan kerana penarikan berbagai subsidi membebankan kehidupan rakyat bukan kerana hutang negara semakin meningkat yang boleh membebankan negara dan rakyat pada masa depan, bukan dan bukan. Bukan juga kerana pengundi dan rakyat sayangkan BN.

HANYA KERANA PH dan PAS sentiasa tawa mentertawa, perli memperli, seranah dan menyeranah diantara satu dengan lain. Dan mereka berpuas hati. Seronok.

Amat malang sekali, memang amat malang kerana ada pimpinan PAS yang sudah lunak dan mesra dengan UMNO sehingga ajakan dari PH untuk bersama mengalahkan kerajaan dipandang sepi hanya kerana dalam PH ada Amanah dan DAP. PAS juga tidak betah dengan PKR.

Bagi PAS parti Amanah adalah pengkhianat. Bagi PAS, DAP yang selalu digelar parti China sebagai anti Islam dan Melayu. Bagi PAS, PKR parti  liberal yang tidak sesuai dengan PAS.

Perasaan PAS itu boleh difahami. Amanah adalah parti yang ditubuhkan oleh ahli PAS yang telah diminta keluar dari PAS kerana mempunyai pandangan politik yang berbeza, lantas mereka ini dianggap pengkhianat. Sudah tentu DAP yang majoriti ahlinya dari orang China, boleh dijadikan alasan sebagai anti melayu dan Islam, justeru ianya sebagai musuh ketat yang perlu diperangi.

PAS menolak realiti. PAS seolah-olah tidak mahu percaya bahawa politik itu tiada formula yang tetap. 

Yang tetap dalam politik ialah untuk mengambil kuasa dan menubuhkan kerajaan. Kerana dengan kuasa politik , yang dihasratkan mudah dilaksanakan. Oleh itu mengapa tolak realiti. 

PAS dan mana-mana parti politik tidak akan mampu menang dan menubuhkan  kerajaan jika bersendirian. Ertinya PAS mesti bersama UMNO/BN atau bersama PH.

Jika PAS percaya angka kehadiran 200 ribu dalam perhimpunan Fastaqim itu sebagai petanda kekuatan sesebuah parti maka mengapa PAS tidak mahu percaya bahawa dengan bersama-sama UMNO/BN atau PH , PAS akan menambah kekuatan dan mempunyai peluang bersama-sama menang dan menubuhkan kerajaan?

Pilihlah UMNO/BN atau PH. Jangan bersendirian.

Sudah tentu PAS bijak untuk membuat pilihan. Cuma PAS diingatkan bahawa apa sahaja pilihan yang mahu dibuat, PAS tidak boleh lari dari realiti politik di negara ini. 

Sama ada PH mahupun BN, kedua-dua parti itu tidak dapat memenuhi sepenuhnya apa yang PAS mahukan. Misalnya UMNO/BN dan kawan-kawannya MCA, MIC , Gerakan dan parti-parti di Sabah dan Sarawak  tidak mahu HUDUD dan undang-undang syariah yang lain diperkasakan.

Dan dalam BN juga ada parti yang juga tidak bersetuju dengan agenda Melayu dan Islam, sama seperti yang PAS dakwa keatas DAP.

Jadi apa bezanya BN dan DAP?

Adakah kerana ini PAS mahu bersendirian?

Bukankah PAS lebih baik bersama dengan UMNO/BN atau PH  dalam Rangka Kerja yang dirunding dan dipersetujui bersama.


Ya, PAS boleh bersendirian. Tapi PAS tidak akan boleh jadi kerajaan. Sampai bila-bila agenda PAS tidak akan boleh dilaksanakan didunia yang fana ini. 

Ya, PAS ada jawapan. PAS redha akan ketentuan Allah. Kemenangan dalam pilihanraya bukan matlamat PAS. 

Jadi kalau begitu PAS tidak wajar bertanding dalam pilihanraya kerana pilihanraya adalah untuk mengambil kuasa. PAS tidak perlu bergerak atas wadah politik, ianya membazirkan tenaga, wang dan masa. Gunakan wang dan masa itu untuk berdakwah kerana berdakwah tidak perlu untuk menubuhkan sebuah kerajaan, tidak perlu mengambil kuasa.

Tapi ingat bahawa dakwah dalam rangka kejayaan sebuah parti politik yang menjadi kerajaan adalah lebih berkesan berbanding selain dari itu.

Perlu saya maklumkan bahawa, bicara ini bukan bertujuan memperkecilkan PAS. PAS sebuah parti yang ada kekuatan dan wajar dihormati. Jika PAS gunakan kekuatan yang ada untuk membina lagi kekuatan tambahan dengan bersama parti yang mahu menghalang kemungkaran dan menegakkan kebenaran ianya sesuatu yang amat ditunggu-tunggu agar menjadi kenyataan. 

Ya, tidak semua parti itu sempurna. UMNO tidak sempurna. PKR tidak sempurna. Amanah tidak sempurna. Begitu juga dengan parti-parti politik yang lain dan PAS juga ada kelemahan. Tapi bukankah pimpinan PAS pernah berkata bahawa dalam membuat pilihan diantara dua kemudaratan, pilihlah yang kemudaratannya lebih kecil.

Mana lebih besar kemudaratan perjuangan politik diantara bersendirian, pilih bersama UMNO/BN atau bersama PH?

Bahawa ego daripada mana-mana parti politik  tidak boleh sentiasa menguasai atau faktor penentu dalam membuat keputusan politik khususnya dalam hal kebersamaan. 

Ya, PAS marah UMNO kerana pernah diketepikan. PAS marah Amanah kerana mendakwa ahli parti itu menjadi pengkhianat. Begitu juga dengan PKR. 

Berbagai hujahan boleh diketengahkan jika tidak mahu bersama. PKR mendakwa PAS tidak sudi untuk bekerjasama walau telah banyak kali PKR mengajak ke arah itu. Begitu juga Amanah yang menyatakan kesediaan bersama PAS. UMNO pun bersetuju untuk bersama PAS dengan menggunakan DNA yang sama antara kedua parti itu.

Realiti politik di Malaysia telah membuktikan sejak merdeka kebersamaan dalam politik adalah pra syarat untuk menang dalam pilihanraya dan seterusnya menubuhkan kerajaan. UMNO telah berjaya membuktikannya, bermula dengan Perikatan dan BN.

Adakah UMNO kuat? Tidak UMNO tidak kuat. PAS pun tidak kuat. Begitu juga dengan parti-parti yang lain termasuk DAP yang amat dibenci oleh PAS. Untuk jadi kerajaan hanya ada satu formula sahaja untuk mengatasi lawan iaitu mesti berpakat dan bersama melawan pesaing.

Sayang dan malang sekali. Saya ingin bermimpi bahawa PAS akan bersama UMNO. Saya juga ingin bermimpi PAS akan bersama PH.

Tapi perkembangan yang berlaku ketika ini, yang saya sendiri lihat, yang saya sendiri dengar dan yang saya sendiri rasa, yang sahih, menyimpulkan dengan jelas bahawa saya mahukan impi PAS bersama PH menjadi realiti.

Apa pun perhimpunan Fastaqim dan Sayang Malaysia dan Hapuskan Kleptokrasi telah memberi UMNO/BN wajah yang berseri-seri kerana PAS dan PH saling ejek mengejek membuatkan UMNO/BN terus tersenyum.


Khamis, 5 Oktober 2017

Butang Kecemasan Dijari Kepimpinan UMNO




Adakah kepimpinan UMNO dalam keadaan darurat? Adakah mereka ketika ini dalam keadaan kecemasan? Justeru butang kecemasan (panic button) perlu ada dijari  mereka.

Bacaan saya mengatakan, 

"Ya, bahawa kepimpinan UMNO terutamanya presiden perlu mendekatkan jari ke butang kecemasan (panic button) agar dengan segera butang itu dapat ditekan untuk mengeluarkan amaran berjaga-jaga bahawa sesuatu yang memudaratkan begitu menggila menghampiri parti itu dan mahu menghancurkannya".

Wallahualam.

Tiada siapa yang mahu hancur dan musnah! Apatah lagi UMNO yang telah berada dipuncak kuasa dari dulu sehingga kini. Dan amat yakin ianya akan berterusan selama-lamanya selagi ada bulan dan bintang, sebelum berlakunya kiamat.

Dulu, kini dan selama-lamanya adalah super ego UMNO. Ianya satu RUKUN. Ianya satu FALSAFAH. Ianya satu KEPERCAYAAN. Ianya  satu MOTIVASI. Ianya satu PERJUANGAN. Ianya adalah SEGALA-GALANYA. 

Super ego UMNO ini telah mengikat erat kesepakatan ahli yang totok bahawa apapun harga yang perlu dibayar, baik atau buruk, UMNO  mesti dipertahankan. Demi UMNO, berkurbanlah apa saja.

"Tiada yang lain melainkan UMNO". 

Kepercayaan ini membuatkan sebahagian kepimpinan UMNO  semakin lalai dan leka akan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan untuk menguruskan harta dan kekayaan negara demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. 

Rakyat diketepikan. 

Lalai dan leka bukan sahaja membuatkan kepimpinan suka berfoya-foya bahkan mereka merasa sudah besar diri, sambung dan takabur. Mereka ada mata malangnya buta, ada telinga tapi pekak badak dan ada mulut yang sentiasa membisu. 

"Apa aku kisah dan peduli akan kehidupan rakyat".

Maka harta dan kekayaan negara  diguna mengikut selera dan nafsu peribadi.

Sudah tentu tidak semua kepimpinan UMNO begitu sifatnya. Ada yang membuka mata, menyediakan telinga untuk mendengar, dan membuka mulut  untuk bersuara menyatakan yang benar.

Dan amat malang sekali mereka ini kecundang!

Ada juga yang mengambil sikap berdiam diri walaupun dalam hati amat benci, terus memendam rasa membawa kekecewaan.

Namun perkembangan semasa telah menyentak jantung sebahagian  kepimpinan penting dan tertinggi UMNO yang leka dan beroya-foya itu bahawa super ego UMNO itu sudah mula tidak diyakini oleh ahli UMNO sendiri, dan sebahagian orang-orang Melayu yang selama ini menjadi penyokong tegar UMNO.

Dulu, memang UMNO tempat bergantung harap. Tidak sekarang.

Kini UMNO adalah tempat bagi kepimpinan memenuhkan kantung dengan membiarkan sebahagian besar rakyat hidup dalam keadaan murung dan termenung. 

Dan jika UMNO terus kekal di puncak kuasa sebahagian besar rakyat akan selama-lamanya murung dan termenung. Itu yang rakyat percaya ketika ini.

Maka pudarlah tarikan dan lesulah teriakan 'dulu, kini dan selama-lamanya adalah untuk dan demi UMNO'.

UMNO dalam perjalanan menuju ke penghujung.

Ini membuatkan degup jantung kepimpinan UMNO semakin kencang yang tidak ada alat mengukur yang mampu membacanya, amat kencang dan deras sekali. UMNO sesak nafas. Prosedur CPR, tidak mungkin dapat menyelamatkan UMNO. 

Tapi kepimpinan yang leka dan lalai itu tetap mahukan UMNO kekal berkuasa. Keghairahan untuk terus berkuasa bukan kepalang walaupun diri diselaputi dengan berbagai kemungkaran.

Dijari kepimpinan telah sedia butang kecemasan. Butang itu telah pun ditekan dan  mengeluarkan bunyi, mengistiharkan janji dan pengakuan untuk dikenang semasa mengundi pada PRU 14 nanti, iaitu:

i) demi kebajikan anggota SPRM, kerajaan bersetuju untuk memberikan wang sebanyak RM 5 juta untuk tabung kebajikan ahli walaupun peruntukan agensi itu antara yang dikurangkan.

ii) bahawa guru-guru dirayu dan dialu-alukan menjadi ahli UMNO dan bebas untuk aktif dalam apa peringkat jawatan dalam struktur UMNO.

iii) bahawa masa depan penjawat awam akan menjadi malap jika pembangkang menang dalam PRU 14. 

Sama ada janji dan seruan itu beretika atau tidak, melanggari peraturan dan undang-undang , ianya tidak ada dalam pertimbangan. Yang penting butang kecemasan itu adalah senjata terakhir bagi menyelamatkan survival UMNO.

Dan pada sessi bajet pada Oktober nanti, butang kecemasan akan terus dibunyikan, dan kali ini ia berbunyi terlalu panjang agar rakyat  tidak akan mudah lupa untuk memberi undi kepada UMNO untuk kekal berkuasa.

Sesungguhnya butang kecemasan sentiasa dijari kepimpinan UMNO.