Theflowersellingboy

Khamis, 23 Disember 2021

ABAHKU BERSUJUD......

Sebaik sahaja selesai memberi salam solat 'Asyar,  Abahku terus bersujud. Tapi aku makmumnya tidak ikut sama. Berdoa sendiri sebelum ke bilik rehat keluarga. 


Lama juga sujudnya, tak kurang dari sepuluh minit. Ini kali pertama aku lihat Abahku sujud selepas salam, membuatkan aku ingin tahu apakah bisikan hatinya  kepada Allah. 


"Lama abah sujud?" Tanyaku sebaik sahaja Abahku duduk di sisi kananku.  

"Sujud syukur", jawab Abahku.

"Oh". Aku faham dan boleh teka apa bisikan Abahku pada Allah. 


Pagi tadi Abahku menerima berita yang amat menggembirakannya dan bagi kami sekeluarga. Dia telah dipilih untuk menerajui sebuah konglomerat  besar. Jadi orang besar, katakan , rezeki bertambah dan hidup sudah tentu bertambah mewah. 


Sudah tentu sujud Abahku adalah bisikan hati menyatakan kesyukuran atas pemilihannya mengetuai satu syarikat besar sebagai presiden yang mempunyai kuasa eksekutif. Rezki kurniaan Allah bertambah.


Rezki itu datang tepat pada masanya kerana beberapa bulan lepas  Abahku telah dipecat sebagai Timbalan Ketua Eksekutif  sebuah syarikat kerana perbedaan pandangan dengan ahli lembaga pengarah  yang lain termasuk Ketua Eksekutif syarikat dalam cara urustadbir syarikat . 


Abahku mendakwa bahawa terdapat salah guna kuasa dalam urustadbir syarikat oleh majoriti ahli lembaga pengarah yang diketuai oleh  Ketua Eksekutif. Abahku fedup. Itulah luahan hati Abahku ketika kami berkesempatan berbual cerita.


Sekarang wajah Abahku menampakkan seri. Senyum Abahku meleret sentiasa , menghilangkan lebam yang dulu terserlah dimuka. Aku bangga dengan Abahku . Mak dan anak anak dan cucu Abahku juga bersyukur dan terlalu gembira.  Maklumlah Abahku sudah dipilih jadi Presiden Eksekutif (Executive Chairman) sebuah konglomerat .


Kami berbual bicara. 


Abahku meminta aku memberi pandangan mengenai ahli ahli lembaga pengarah yang akan bersama dengannya dalam membuat keputusan untuk kebaikan syarikat....sudah tentu garis bawahnya ialah untuk membuat untung. Profail ahli lembaga pengarahnya disertakan bersama.


Tapi siapa aku untuk memberi pandangan tentang perjalanan syarikat kerana aku sendiri gagal dalam pelajaran , hanya diperingkat sijil lulus SPM. Sebelum sempat aku bersuara , Abahku minta aku menyelak helaian muka dua . 


"Ini bilik mesyuarat lembaga pengarah ker bah". Abahku mengangguk tanpa melihat wajahku. 


Hati aku berbisik mengapa banyak kerusi . Banyak ker ahli lembaga pengarah. Terdapat tiga lapis susunan kerusi  kiri dan kanan yang berjumlah lima puluh semuanya.


"Ok..ada komen?" Abahku bertanya ketika aku sedang mahu cari jawapan tentang bilangan lembaga ahli pengarah dan susun atur kerusi dan jumlahnya dalam bilik mesyuarat lembaga pengarah.


"Banyak kerusi bah. Ramai ker ahli lembaga pengarah?"


Abahku tidak segera menjawab macam soalan itu tidak penting baginya. 


Masa berjalan.


Selang setahun Abahku dinyah keluar dari jawatan Pengerusi Eksekutif atas alasan Abahku tidak perform. Seorang dari ahli lembaga pengarah yang lain diangkat sebagai Pengerusi Eksekutif menggantikan Abahku. Namun Abahku dikekalkan sebagai salah seorang dari  ahli lembaga pengarah.  


Hari ini aku menjadi makmum waktu solat 'Asyar yang Abahku menjadi imam. 


Sekali lagi aku lihat Abahku sujud begitu lama sebaik saja selesai memimpin doa selepas solat. Tidak seperti dulu , aku tidak pula bertanya tentang sujud yang dilakukan oleh Abahku itu sama ada sujud syukur atau sujud taubat. Allah sahaja yang mengetahui.