Theflowersellingboy

Selasa, 30 September 2014

Belanjawan 2015 : Apa Yang Patut Rakyat Faham




Saya menggunakan perkataan belanjawan dan bajet secara bebas, boleh ditukarganti. Saya percaya semua orang faham, kedua-duanya adalah membawa maksud yang sama. Bahasa Melayu kata belanjawan , bahasa Inggeris kata budget dan ditukarkan ejaan kepada bajet untuk masuk Melayu.

Pembentangan bajet 2015 di parlimen akan dilakukan tidak lama lagi, pada bulan Oktober yang akan datang ini. Mengikut tradisi, ianya dibentangkan pada hari Jumaat, sebelah petang, pada tarikh tertentu dalam bulan Oktober oleh Menteri Kewangan.

Saya tidak pasti tentang kefahaman masyarakat tentang bajet negara ini, misalnya dari segi keperluan bajet itu dan peruntukan undang-undang yang mewajibkan bajet itu dibentang, dicadang, dibahas dan dibuat pertimbangan/undian bersetuju atau tidak bersetuju, dan kesan bajet itu kepada ekonomi/kewangan negara (berkembang/tidak berkembang, surplus dan deficit) , keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Adakah ramai yang tidak faham berbanding yang faham? Saya tidak ada angka mengenainya.

Yang pasti ialah sebahagian besar rakyat akan bercakap apa faedah yang mereka akan dapat. 

Bagi orang biasa, belanjawan yang menggembirakan ialah apabila cukai diturunkan, tidak ada cukai baru, dan harga barang dan perkhidmatan diturun atau kekal tidak naik. 

Bagi yang bekerja pula mengharapkan dipertingkatkan had pendapatan yang boleh dikenakan cukai, dan peruntukan bagi kenaikan gaji dan elaun serta pemberian berbagai kemudahan/.

Orang ramai juga mengharapkan kerajaan tidak menarik atau mengurangkan subsidi yang ada pada ketika ini.

Harapan rakyat itu sudah sewajarnya begitu. Semua mahukan menfaat dari bajet kerajaan itu.

Oleh itu menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyampaikan atau menyediakan menfaat itu. Begitulah kefahaman sebahagian besar rakyat tentang bajet. Dan kefahaman seperti ini tidak boleh diremehkan kerana tanggungjawab mana-mana kerajaan ialah untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, dalam erti kata rakyat tidak dibiarkan hidup dalam kesusahan dan kesempitan.

Namun kefahaman seperti ini tidak cukup malah tidak membantu kerajaan dalam menguruskan sumber dan hasil negara dengan telus,cekap dan tanpa penyelewengan demi kesejahteraan rakyat. Ertinya dalam jangka panjang ianya tidak menguntungkan rakyat.

Sepatutnya rakyat perlu faham bahawa bajet itu adalah satu jumlah wang yang mesti dan wajib dipohon dari segi undang-undang oleh kerajaan bagi memohon kebenaran dan kelulusan untuk digunakan bagi tahun yang dicadang.

Pertama, ada undang-undang dan peruntukan undang-undang yang mengawal bajet ini. Mesti ada Rang Undang-undang Bekalan  (Supply Bill) dan seterusnya diluluskan menjadi Akta Bekalan (Supply Act) bagi satu-satu tahun belanjawan.

Akta Bekalan inilah yang menentukan had penggunaan wang bagi satu-satu tahun belanjawan. Ianya tidak boleh dilebihi. Kalau dilebihi ianya menyalahi peruntukan Perlembagaan Persekutuan (ulter vires the Federal Constitution). 

Ertinya wang tidak boleh sewenang-wenangnya dikeluar dan digunakan.

Kedua,  wang itu mesti dicadang dan dipohon oleh kerajaan. Setelah berbahas dan diadakan undian dalam Dewan Rakyat, dan jika diluluskan wang itu boleh digunakan bagi tahun yang dicadangkan tertakluk kepada beberapa proses lain yang perlu dilalui seperti Dewan Negara , perkenan YDA dan seterusnya Waran Am yang akan dikeluarkan oleh Menteri Kewangan kepada setiap Pegawai Pengawal bagi membenarkan penggunaan wang setakat yang dibenarkan oleh waran itu.

Ketiga, dari mana wang itu diperolehi? Wang itu didapatkan/diperolehi dari satu kumpulan wang yang dipanggil sebagai Kumpulan Wang Disatukan ( Persekutuan/ Negeri). Semua hasil kerajaan dalam berbagai bentuk sama ada cukai, fees atau apa saja bayaran misalnya saman kesalahan jalan raya, hasil judi mestilah dimasukkan terlebih dahulu ke dalam Kumpulan Wang ini.  Dan penggunaan wang dari Kumpulan Wang ini mestilah dilakukan seperti yang dinyatakan diatas.

Keempat, bajet mesti dibentang dan dicadang oleh kerajaan dan dibahas oleh semua ahli-ahli Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), dibuat undian untuk bersetuju atau sebaliknya.

Jika ahli dewan rakyat memberi perhatian utama tentang bajet ini, sudah tentu perbahasan mereka menjurus ke arah menghasilkan satu bajet bagi faedah rakyat dan kepentingan negara. Apa yang telah berlaku , yang dapat dilihat, perbahasan bajet lebih kepada mempertahankan kepentingan parti dari kepentingan rakyat dan negara.

Misalnya jika ada pihak yang membangkitkan tentang kurang telus dan tidak teraturnya perbelanjaaan kerajaan, yang kesannya membazirkan wang negara yang sepatutnya boleh digunakan dengan lebih baik, ada pihak pula yang bermatia-matian menafikannya sedangkan buktinya amat jelas seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Oleh itu rakyat sepatutnya perlu faham bajet bukan saja soal kena cukai atau tidak kena cukai tapi rakyat mesti faham dan ambil tahu bajet itu adalah satu permohonan dan cadangan dari kerajaan untuk mendapat kebenaran wang negara digunakan.

Ertinya kerajaan mesti mengambil tanggungjawab jika wang negara itu tidak digunakan sebaiknya apatah lagi jika disalahgunakan. 

Kerajaan mesti memberi jawapan kepada rakyat. Jika jawapan itu tidak benar maka rakyat wajar menolak kerajaan itu. Wang itu bukan wang parti yang memerintah atau mana-mana individu yang berkuasa. Ianya wang rakyat, wang negara.

Itulah yang sebenarnya yang penting untuk difahami oleh rakyat tentang bajet.

 


Isnin, 29 September 2014

Selepas Majlis Kahwin Anak: Sakitnya badan.......sampai naik semput dibuatnya




Releks, berbaring diatas katil.

13 haribulan telah lepas. 20 harulan sudah masuk 10 hari berlalu. Penatnya masih  melekat. Masih lagi rasa sakit-sakit , sebahagian dari anggota badan. Physically tired, fatique. Ini semua kerana mengahwinkan anak.

Benar, mengahwinkan anak satu kewajipan. Tiada komplen tentang itu. Cuma, usia yang terus bertambah, telah mengikis ketahanan pisikal.

Telah dua kali pengalaman dalam bidang ini. Ini kali yang ketiga.

Dua yang telah lepas, masih gagah lagi. Masa itu yang buat segala-galanya hanya dua orang saja. Suami dan isteri. Yang ketiga, baru-baru ini pun orang yang sama juga dengan tambahan seorang anak yang sedang bercuti. Tapi penat dan letih kali ini amat terkesan sekali sehingga terkeluar dari mulut, "Lain kali jangan buat dirumah. Jemput yang perlu saja".

Isteri dengan pantas bersetuju. Dia pun sudah tidak larat lagi.

Segala-galanya dua orang ini yang buat. Kebersihan luar dalam, kekemasan dan cantik untuk mata sendiri memandang, by extension untuk dapat pujian para tamu adalah kerja suami dan isteri.

Potong/mesin rumput kawasan rumah, walaupun keluasannya terlalu kecil, mengambil masa dua hari. Bukan dua hari berturut-turut. Dua hari selang beberapa hari berihat. Bersihkan longkang, mencabut rumput-rumput liar dicelah-celah batu interlocking di halaman rumah mengambil masa lebih dua hari. Sama juga keadahnya, bukan berturut-turut, ada hari rihat terutama jika cuaca terlalu panas terik.

Cuaca panas terik, tekak cepat dahaga, kehausan. Minum air, releks berteduh dan bersandar digaraj kereta. Pernah rasa macam nak pengsan, badan rasa melayang-layang. Tapi kerja tetap diteruskan. Isteri tidak mampu menolong. Ini kerja berat. Kena buat division of labor. Kerja ini  kerja suami, satu pembahagian kerja yang adil.

Enam kawasan lantai disebelah luar rumah mesti nampak bersih. Lalu kerja-kerja membasuh dan mengemop dilakukan. Kerja ini termasuk membersih tandas di luar rumah untuk kegunaan para tamu.

Sebahagian besar kerja isteri ialah kemasan dalam rumah. Kerjanya berat juga iaitu menyusunatur kerusi dan perabut untuk dialih dan diletakkan ditempat yang sesuai. Selain dari itu isteri juga terlibat kerja  memasang langsir. Kerja-kerja ini berat juga, perlu dilakukan oleh lelaki. Tapi suami tidak mampu melakukannya. Lalu isteri mengupah orang lain, pekerjalelaki dari seberang.

Kerja isteri diluar rumah ialah mengalihkan pasu-pasu bunga yang jumlahnya berpuluh-puluh itu. Pasu-pasu bunga itu dideretkan dibahagian tepi sepanjang pagar hadapan. Dan sebahagiannya ditepi sepanjang pagar sisi sebelah kanan rumah.

Seperti juga kerja menyusun dan mengalih perabut, kerja itu kerja lelaki kerana pasu-pasu bunga itu amat berat. Jadi upah juga pekerja Indonesia melakukannya. Isteri  hanya menentukan tempat dimana pasu itu perlu diletakkan.

Pasu-pasu bunga itu perlu dialihkan untuk membolehkan kemah dipasang. Ada enam kemah besar dan tiga kemah kecil.  

Tuan rumah tidak terlibat pasang kemah. Tapi terpaksa tunggu sampai 12 malam kerana kerja-kerja memasang dimulakan pada waktu hampir gelap.

Maka penat jugalah dua orang suami isteri ini. Masuk tidur jam satu pagi.

Fasal isteri smart upah orang itu bukalah perkara luar biasa. Itulah yang dilakukannya bagi mempercepatkan kerja. Tapi kena keluar wanglah. Suamipun tahu hal itu tapi masih lagi mahu gunakan tenaga melakukan sendiri. Mungkin ada yang dengan cepat kata suami kedekut. Salah , sangkaan seperti itu.

Suami asal usul orang susah. Jadi kalau mampu buat sendiri tanpa bayar upah bukankah lebih baik. Badan berpeluh, jadi sehat.

Sedap sungguh berbaring diatas katil. Baru saja balik dari Sepang Goldcoast. Berihat di Avani resort. Inipun diaturkan oleh anak-anak. Kata mereka releks melepaskan penat selepas majlis kahwin. 

Ya, physically suami dan isteri releks dan rehat. Mentally,suami  membuat kira-kira , tolak campur , darab bahagi, sambil berbaring diatas katil. 

Terdengar beberapa kali turutan batuk-batuk semput memecah kesunyian. Isteri sedang menonton tv, mungkin mahu  menghiburkan hati selepas penat lelah dua minggu yang telah berlalu.

"Lain kali jangan buat dirumah. Jemput beberapa orang saja tetamu".

Tapi adik beradik sendiri pun sudah sampai 300 orang. Takkan tok imampun tak jemput. Macam mana dengan besan, ipar duai, sahabat rapat.

Entahlah, Batuk semput suami semakin rancak.




  

Jumaat, 26 September 2014

Melayu malas dan tidak beramanah adalah bikinan kerajaan pimpinan melayu




Melayu malas dan tidak amanah.

Itu kata Dr. Mahathir, satu kenyataan yang boleh diberi berbagai tafsiran. Boleh ditafsir sebagai keluhan kecewa Dr Mahathir yang telah diberi tanggongjawab selama lebih 23 tahun menerajui Malaysia tetapi gagal untuk melahirkan melayu yang rajin dan beramanah.

Kepada yang terlalu sensitif, kenyataan itu dianggap sebagai menghina dan memperkecilkan jiwa dan martabat orang melayu kerana melayu bukan satu bangsa yang kecil. Melayu telah mempunyai empayar di Tenggara Asia, pada satu ketika dulu. Mana mungkin  melayu bangsa yang malas dan tidak beramanah.

Mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan Dr. Mahathir juga cepat menyanggah dengan mengatakan bahawa sifat malas dan tidak amanah ini bukan hak ekslusif orang melayu saja. Malas dan tidak amanah serta sifat-sifat negatif yang lain boleh terdapat dikalangan bangsa-bangsa lain juga. Ertinya bukan bangsa itu yang malas tapi individu/kelompok tertentu yang malas. Ertinya melayu bukan genetik yang malas.

Ada juga yang secara sinis dan menyindir membenarkan kata-kata Dr. Mahathir itu dengan menghubungkaitkan kemalasan orang melayu itu adalah hasil dari tangan pemerintah itu sendiri, khususnya kerajaan BN/UMNO yang telah diberi peluang untuk merajinkan orang melayu semenjak merdeka lagi.

Dr. Mahathir yang mempunyai masa yang panjang diberi tanggongjawab dan peluang untuk merajinkan dan membentuk orang melayu dengan sifat-sifat positif lain seperti beramanah adalah pemain utama yang mensia-siakan peluang itu.

Dan tidak kurang yang mentafsirkan bahawa kenyataan Dr. Mahathir itu adalah satu kenyataan politik untuk melarikan fokus orang ramai khususnya orang melayu, kepada isu lain yang melanda negara misalnya isu penggunaan akta hasutan yang semakin melebar. Isu melayu malas dan tidak amanah ini amat dekat dihati orang melayu.

Apa pun tafsiran yang dibuat, Dr. Mahathir telah mengatakan melayu itu malas dan tidak amanah.

Ukuran melayu itu malas ialah orang melayu gagal menguasai bahasa Inggeris dan dengan itu tidak mampu menguasai ilmu dan memiliki kemahiran untuk boleh bersaing dengan bangsa-bangsa lain di malaysia dalam pasaran pekerjaan. Ramai anak muda melayu yang tiada pekerjaan dan lebih berminat melakukan rempitan.

Berhutang atau suka meminjam adalah sifat orang melayu. Ini disebabkan melayu itu miskin kerana asalnya malas. Suka berhutang tapi tidak mahu membayar. Jadi tidak amanah.

Benarkah kenyataan Dr. Mahathir itu?

Saya tidak mahu berhujah benar atau tidak kenyataan itu kerana rasanya tidak memberi apa-apa faedah.

Kalau saya sebagai Dr. Mahathir yang telah berpeluang dan diberi peluang dalam tempoh yang begitu lama untuk merajin dan membentuk sifat-sifat amanah orang melayu, tetapi gagal, (sebab beliau kata melayu malas dan tidak amanah) saya lebih suka  untuk melihat dan meninjau kebelakang apa yang telah saya lakukan dan apa yang telah berlaku pada tempoh saya diberi kuasa itu.

Saya tidak akan kata melayu itu malas dan tidak amanah kerana ianya tidak memberi apa-apa faedah. Kerana seperti yang dipertegaskan bahawa malas dan tidak amanah orang melayu itu bukan berpunca dari genetiknya.
 
Mari kita lihat persekitaran yang membentuk orang melayu:

Orang melayu hidup dalam kerangka bernaung dan berlindung. Dilindungi oleh peruntukan dalam perlembagaan dari segi takrif bangsanya, bahasa dan budaya, agama, dan diperuntukkan hak istimewa, dan dibawah naungan raja-raja.

Adakah ini membuatkan orang melayu jadi selesa kerana hidup yang tidak mencabar yang akhirnya jadi malas? Goyang kaki saja, orang melayu boleh dapat berbagai keistimewaan, misalnya dari segi kuota dan tempat di univesiti.

Saya tidak bersetuju. Saya hanya bersetuju jika kedudukan bernaung dan berlindung itu disalahgunakan. Salahguna, salah urus dan tamak haloba dipihak yang berkuasalah  yang sebenarnya  berlaku semenjak negara merdeka dan paling hebat bermula tahun 80an sehingga sekarang ini.

Contoh: Ada dua orang kontraktor melayu A dan B. Kontraktor A adalah kontraktor melayu yang bekerja keras ada kepakaran dan kemahiran dalam bidang yang diceburi. Kontraktor B, kurang kepakaran dan pengalaman tetapi mempunyai hubungan yang baik atau pertalian rapat dengan pihak yang berkuasa dalam menawarkan sesuatu projek, atas kaitan politik.

Kedua-dua masuk tender. Harga terbaik (lebih kompetitif) diberikan oleh kontrekter A yang berpengalaman dalam bidang yang dimasuki. Harga kontrekter B, lebih tinggi.

Siapa yang dapat projek itu? Sudah menjadi rahsia umum bahawa yang biasanya dapat projek itu ialah yang ada kaitan dengan politik parti pemerintah.

Bukankah ini disinsentif akibatnya? Yang layak tidak dapat. Yang tidak  layak pula dapat. Berterusan dilakukan seperti itu, maka lahirlah melayu yang kecewa iaitu kontrekter yang berkemampuan itu; dan lahir juga melayu yang malas iaitu kontrekter yang tidak berkelayakan dan berkemahiran. Apa perlu kemahiran kerana masuk tender saja sudah tentu dapat. Lebih baik jadi orang malas.

Sedangkan kuota membeli rumah murahpun disalahgunakan dengan memberi kepada mereka yang tidak sepatutnya kerana orang itu ada kaitan politik. Orang yang layak putih mata.

Ini contoh kecil saja. Lebih adil lagi rujuklah kepada perkara-perkara yang ditimbulkan dalam laporan tahunan ketua audit negara. Itupun tidak semuanya ditimbulkan.

Bagaimana orang melayu diajar untuk beramanah? Orang melayu yang berhutang tapi tidak bayar hutang dikatakan tidak amanah. Contohnya pinjaman dari MARA untuk berbagai tujuan. Saya setuju.

Tetapi ada juga  orang melayu yang berhutang berjuta-juta tetapi hutangnya dilupuskan begitu saja hanya kerana orang melayu itu ada hubungan dengan orang yang ada pengaruh. Dan ada juga diberitakan orang bukan melayu mendapat pinjaman berjuta ringgit dengan terma dan syarat yang mudah, hanya kerana orang itu dekat dan rapat dengan yang berkuasa.

Cuba lihat pula tentang perlakuan rasuah.

Cuba lihat juga bagaimana kerajaan berbelanja wang negara. Melakukan hutang yang melampaui had undang-undang yang dibenarkan.

Adakah itu amanah?

Orang melayu sentiasa ditanam perasaan takut dan tidak selamat dinegara sendiri. Bangsa,agama dan institusi raja terancam dan tidak selamat diancam oleh bangsa dan agama lain. Sebahagian orang melayu termakan dengan dakyah ini.

Jadi tumpuan otak melayu terarah kepada soal-soal ancaman dan tidak selamat itu. Sentiasa prejudis dan buruk sangka. Bila masa hendak berfikir dan berusaha bagi memperbaikki diri. Sebaliknya orang melayu meminta lagi naungan dan lindungan diperhebat dan ditambahkan lagi. Meminta itu dan ini. Jadi sampai bila mahu berlindung, bergantung dan meminta. Jika selama-lamanya begitu, tidak hairan kerajaan yang dikuasai melayu itu bertanggungjawab melahirkan melayu yang malas.

Mahu salahkan siapa jika melayu malas dan tidak amanah.

Cukup setakat ini.



 



.



 .


Rabu, 24 September 2014

ISU MB SELANGOR : SIAPA YANG MENANG




Apabila  diketahui bahawa sultan Selangor bersetuju untuk melantik Azmin Ali jadi MB Selangor, pihak-pihak yang berbeza pandangan dalam mencadangkan calun bagi perkenan sultan untuk dilantik menjadi MB Selangor, akhirnya akur dengan keputusan sultan itu.

Ini satu pendirian yang mempertimbangkan kepentingan rakyat (rakyat Selangor) mengatasi kepentingan peribadi dan parti. Ianya satu pendirian demi kesejahteraan rakyat, dan patut dipuji.

Ertinya pendirian yang diambil itu memberi kemenangan kepada rakyat. Pendirian Rakyat Dihatiku. Rakyat lah yang menang.

Oleh kerana rakyat yang menang, nampak gayanya isu MB Selangor ini mula reda.

Namun begitu ada juga pihak-pihak yang menimbulkan isu baru dengan  persoalan siapakah yang menang dalam hal perlantikan MB Selangor ini. 

Ada juga yang memberi jawapan kepada pesoalan itu dengan secara sombong mentertawakan/mengejek  individu-individu tertentu dengan kata-kata individu berkenaan mendapat malu besar kerana calun tunggal cadangan darinya/partinya tidak diperkenankan sultan.

Dan ada berbagai lagi jawapan yang menyatakan pihak/individu/parti tertentu yang menang/kalah.

Bagi saya yang menang adalah rakyat.

Tapi yang paling penting sekali ialah siapakah/pihak manakah yang memberi kemenangan kepada rakyat?

Dalam hal perlantikan MB Selangor ini, pemain-pemain utama terdiri daripada Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Hadi Awang, Lim Guan Eng, PR, Majlis Pimpinan PR, PKR, DAP, PAS, Jawatankuasa Pusat PAS (JKP), Majlis Syura PAS (MSU) dan Istana Selangor.

Siapakah/pihak manakah diantara yang tersenarai diatas yang memberi kemenangan kepada rakyat. Maksudnya yang bertindak atas kekuatan suara rakyat, demi rakyat.

Adakah orang itu Hadi Awang, MSU dan PAS? Atau JKPusat PAS?

Tidak. Hadi Awang menambah rumitkan masalah. MSU sama juga. PAS tidak ada beza. JKPAS tidak ada makna.

Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, PKR dan DAP, Majlis Pimpinan PR hanya mahukan Wan Azizah saja jadi MB, tiada kompromi sedangkan pihak istana mahukan lebih dari satu nama.

Akhirnya apabila sultan berkenan melantik Azmin dari PKR, walaupun bukan calun yang dikemukakan oleh PKR/DAP, kedua-dua PKR/DAP akur dengan lantikan itu setelah Wan Azizah yang telah mendapat sokongan majoriti ADUN menarik diri dari menjadi calun dan menyokong Azmin dilantik sebagai MB.

Ini bermakna dengan sokongan Wan Azizah ini, Azmin telah mendapat sokongan majoriti dari kalangan ADUN.

Jika Wan Azizah berkeras dan tidak mahu menarik diri , lantikan Azmin sebagai MB akan menghadapi masalah undi tidak percaya dari ADUN. Besar kemungkinan Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan satu pilihanraya bagi membentuk kerajaan yang baru. Ia melibatkan kos. Rakyat juga yang menanggungnya.

Jadi tindakan Wan Azizah menarik diri dan menyokong Azmin adalah satu tindakan demi kesejahteraan rakyat. Wan Azizahlah yang memberi kemenangan kepada rakyat.

Jadi jika ada pihak yang mengatakan Wan Azizah tidak ada kualiti (kelayakan) untuk jadi MB kerana tidak mampu mengemukakan soalan atau menjawab soalan maka bagaimanakah pula pendirian pihak berkenaan tentang kesediaan Wan Azizah untuk menarik diri sebagai calun MB dan menyokong Azmin sebagai calun MB walaupun Wan Azizah mempunyai sokongan majoriti.

Apa yang terus berlaku ialah pihak-pihak berkenaan masih lagi menyerang Wan Azizah.

Bagi saya tindakan Wan Azizah itu menyerlahkan kualiti kemampuannya dalam membuat sesuatu keputusan yang amat penting dan kritikal apatah lagi yang membabitkan kepentingan rakyat. Itulah kualiti seorang pemimpin yang layak memimpin rakyat. Sudah tentu memimpin demi kesejahteraan rakyat dan bukan untuk membawa rakyat masuk neraka.

Jangan lupa, walaupun diperlekeh dan dihina, Wan Azizah tidak melatah, marah-marah, menjerit dengan baran dan bengis menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai dituturkan oleh seorang pemimpin apatah lagi dihamburkan dikhalayak ramai. Wan Azizah menganggap kata-kata yang kurang enak terhadapnya sebagai satu teguran bagi dirinya memperbaikki kelemahan yang ada.

Apakah sifat yang ditunjukkan oleh Wan Azizah itu bukan sifat yang perlu ada bagi seorang pemimpin? Apakah pemimpin itu mesti berperangai bengis, baran dan panas darah apabila mahu menyatakan tidak berkenan terhadap seseorang?

Mengambil kira tindakan yang diambil oleh Wan Azizah menarik diri sebagai calun MB, dan menyokong Azmin untuk menjadi MB, dan sifat peribadinya yang bersedia untuk memperbaikki kelemahan diri, saya percaya jika beliau jadi MB beliau akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana rakyat sentiasa dihati beliau.

Lagipun beliau mendapat sokongan majoriti. 

Cuma majoriti bukan satu faktor penting dalam sistem dan amalan demokrasi di Malaysia dalam pembentukan kerajaan mahu pun perlantikan jawatan Menteri Besar. Amat malang sekali.

Apa pun yang berlaku, yang menang dalam isu lantikan MB Selangor ini ialah rakyat. Yang memenangkan rakyat pula ialah Wan Azizah. Wan Azizah yang mendapat sokongan dan kepercayaan majoriti rakyat melalui sokongan majoriti ADUN bertindak menarik diri sebagai calun MB dan menyokong serta memindahkan sokongan yang ada kepada Azmin untuk jadi MB.
 
  
 






Selasa, 23 September 2014

Menteri Besar Selangor _Khalid dan Azmin



Hari ini 23 September 2014, sahlah Azmin jadi MB Selangor menggantikan Khalid Ibrahim, ADUN Bebas.

Khalid dan Azmin , tidak dapat dipisahkan dengan jawatan MB Selangor. Senang kata, kedua-duanya memang mengidam untuk mahu menjadi MB Selangor. Dua kali Khalid berjaya dan dua kali Azmin gagal dalam persaingan (perebutan?)

Tapi Azmin tidak pernah mati hajat untuk jadi MB Selangor.

Khalid pula tidak pernah mati akal untuk berpegang kepada jawatan itu, walaupun sudah dipecat oleh parti nya sendiri. Dalam keseorangan sebagai ADUN bebas pun Khalid masih mahu jadi MB Selangor dengan memaklumkan kepada sultan beliau mendapat sokongan majoriti (ahli dewan). Dengan sebab itu, sultan membenarkan Khalid jadi MB Selangor, sementara MB baru dapat diputuskan.

Tapi hari ini 23 September 2014 hajat Azmin yang meluap-luap untuk jadi MB Selangor telahpun diperkenankan oleh sultan. Maka pada hari ini juga tamatlah riwayat Khalid sebagai MB Selangor.

Tahniah pada Azmin diatas lantikan sebagai MB Selangor yang baru, dan terima kasih kepada Khalid diatas perkhidmatan yang telah diberikan. 


Khamis, 11 September 2014

Memahami makna perkataan MELANTIK dan MEMILIH :Persamaan dan Perbezaannya.


 :

Dua perkataan ini iaitu MELANTIK dan MEMILIH adalah saling boleh mengambil tempat (interchangeable)  tanpa membawa makna yang lain. Begitulah pemahaman sebahagian besar dari kita sehinggakan kita tidak mengambil kisah akan perbezaan yang dibawa oleh dua perkataan ini yang membawa implikasi yang serious.

Kes lantikan MB Selangor telah mempopularkan lagi dua perkataan ini. Tapi masih lagi ramai diantara kita tidak mahu mengambil tahu tentang perbezaan makna yang dibawa oleh perkataan-perkataan tersebut. Masih lagi menggunakan dan memahami perkataan tersebut sebagai membawa maksud yang sama.

Dan dengan pemahaman seperti itu ianya menyebabkan kes MB Selangor ini menjadi semakin bercelaru dan berkecamuk. Lantas sehingga kini belum lagi ada MB Selangor ditabalkan. Ini memberi kesan kepada rakyat.

Perhatikan dua ayat ini: i) Saya MELANTIK saudara sebagai menteri.dan ii) Saya MEMILIH awak sebagi menteri.

Kesan dari kuasa yang ada pada saya itu, saya boleh melakukan dua perkara iaitu MELANTIK dan MEMILIH. Maka orang itu boleh menjadi Menteri. Maknanya walaupun perkataan itu berbeza tapi orang yang dilantik dan dipilih itu berakhir dengan menjadi menteri.

Jadi apa bezanya dua perkataan itu?

Ada bezanya.

Untuk melakukan proses lantikan orang yang ada kuasa itu memerlukan dua keadaan. Keadaan yang pertama ialah pihak yang hendak dilantik itu boleh hanya seorang saja. Kedua, ianya juga boleh lebih dari seorang.

Dalam keadaan pertama, saya yang ada kuasa itu boleh saja melakukan lantikan jika saya suka dengan orang itu. Ertinya proses perlantikan boleh berlaku. Hanya satu proses saja diperlukan bagi menjadikan orang itu menteri.

Dalam keadaan kedua, saya yang ada kuasa itu boleh melakukan satu lagi proses sebelum melakukan lantikan iaitu proses membuat pilihan. Sebab ada lebih dari seorang. Setelah membuat proses pemilihan, saya yang ada kuasa itu bolehlah melakukan perlantikan. Ertinya orang itu menjadi menteri setelah melalui proses pemilihan.

Walaupun pada akhirnya saya yang berkuasa itu boleh menjadikan seseorang itu menteri tapi proses yang dilalui adalah berbeza.

Nampak tak bezanya.

Jadi perbezaan inilah yang perlu difahami oleh semua pihak sama ada yang menjadi menteri, atau orang lain atau saya yang ada kuasa itu.

Jika tidak difahami perbezaan maksud yang dibawa oleh kedua-dua perkataan itu maka jadilah bercelaru seperti kes MB selangor ini.

Maka timbullah macam-macam suara. Ada yang mengatakan satu pihak sebagai derhaka, degil dan biadap.

Kita tinjau pra syarat, proses, prosedur dan peraturan untuk menjadi PM di peringkat Persekutuan dan MB diperingkat negeri.

Prasyarat , seseorang itu mestilah terdiri dari orang yang menang dalam pilihanraya dan mempunyai sokongan majoriti.

Prosesnya, mesti ada pilihanraya untuk memilih calun. Calun yang menang saja yang mempunyai kelayakan  untuk jadi PM.

Prosedur dan peraturan adalah seperti yang ditetapkan oleh undang-undang (Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan lain-lain peraturan yang dikeluarkan dari masa kesemasa).

Jadi untuk menjadi PM/MB , perkara-perkara diatas perlu dipenuhi. Setelah memenuhi hal tersebut maka orang itu bolehlah beritahu kepada kuasa yang membolehkan orang itu jadi PM/MB.

Dalam masa yang sama pihak yang diberi kuasa itu mesti tahu apakah kuasa yang diberikan kepadanya iaitu sama ada MEMILIH (select) atau MELANTIK (appoint). Maka pihak yang ada kuasa itu mestilah melakukan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Jika kuasa yang diberikan sebagai MEMILIH maka dua proses perlu dilalui sebelum seseorang itu boleh jadi PM/MB. Pertama memerlukan lebih dari seorang bagi pihaknya memilih sebelum melakukan lantikan.

Jika kuasa yang diberikan hanya MELANTIK maka tiada keperluan undang-undang untuk ada lebih dari seorang. Seorang sudah mencukupi untuk dilantik sebagai PM/MB.

Namun begitu jika ada mana precedent yang menyediakan lebih dari satu calun, dan telahpun diterima baik, ianya bukan satu halangan yang besar.

Namun begitu jika orang yang telah memenuhi syarat untuk jadi PM/MB itu hanyanya mengemukakan dirinya saja atas keyakinan dan bukti mempunyai sokongan majoriti dan jika undang-undang mengatakan pihak yang ada kuasa itu hanya perlu MELANTIK  (appoint) dan bukan MEMILIH (select) maka orang itu wajar dilantik sebagai PM/MB. Dan orang itu tidaklah boleh dikatakan  melakukan perkara diluar dari adab sopan dan santun.

Cuba kita semak perlantikan PM yang dibuat dari dulu sehingga PM yang ada ini. Apakah cara yang digunakan untuk kita jadikan sebagai contoh teladan kerana ianya telah berjalan dengan licin, tidak kecuh dan bercelaru macam kes MB Selangor ini.

Wallah hualam. Allah saja yang maha mengetahui.

   

Selasa, 9 September 2014

ADUH SAKITNYA DADAKU!




Kes Menteri Besar Selangor semakin melebar dan bercelaru.  Pada hal kes itu mudah saja kalau diputuskan mengikut undang-undang yang sedia ada. Dalam perlantikan PM, MB dan KM , proses dan prosedurnya telah tersedia ada dan telah dilakasanakan setiap kali lantikan jawatan-jawatan itu hendak dilakukan.

Mana-mana ahli yang dipilih (Parlimen atau Dewan Undangan Negeri) melalui pilihanraya yang mendapat sokongan majoriti adalah layak dipersembahkan kepada YDA (Persekutuan) atau Sultan/YDP Negeri untuk menjadi PM atau MB/KM .

Tapi sekarang sudah jadi kecoh.

Ianya semakin berkecamuk apabila pendirian yang tidak menentu. Pada satu masa bersetuju dan pada masa yang lain tidak bersetuju dengan calun yang diperakukan untuk perkenan sultan untuk dilantik menjadi MB.

Hadi Awang presiden PAS yang mulanya bersetuju dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi PR, untuk mencadangkan Wan Azizah dan Azmin sebagai calun untuk dipersembahkan bagi perkenan sultan menjadi MB, telah mengubah pendirian tidak bersetuju.

Jika tidak bersetuju sepatutnya dibawa ke mesyuarat pimpinan tertinggi PR untuk membuat pendirian semula. Tetapi ini tidak berlaku. Bermakna ketetapan yang telah dibuat terdahulu tidak terbatal

Namun Haji Hadi terus dengan penolakannya terhadap Wan Azizah. Beliau dan beberapa kepimpinan yang sepemikiran dengannya tidak bersetuju Wan Azizah sebagai MB bukan kerana Wan Azizah itu wanita. Tapi katanya Wan Azizah tidak ada kelayakan.

Ramai orang mungkin menunggu apa yang dimaksudkan oleh presiden PAS itu sebagai tiada kelayakan.

Akhirnya beliau menyatakan tidak layak itu antara lain tidak mampu mengemukakan soalan, berbahas dan memberi jawapan kepada persoalan yang ditanya.

Oleh kerana kenyatan itu berupa kenyataan yang am tanpa contoh yang spesifik, kita tidak dapat dengan  adil untuk menilai kenyataan itu.

Namun, sebagai ahli politik, tidak mungkin Wan Azizah tidak mampu mengemukakan soalan atau menjawab soalan. Lagipun beliau mempunyai kemampuan dan daya berfikir yang baik. Kalau tidak takkan boleh jadi doktor.

Jangan silap tentang kenyataan jadi doktor itu. Bagi saya, kelayakan seperti itu bukan syarat utama dalam politik kerana orang yang berpendidikan rendah pun pernah dan boleh jadi ketua kerajaan atau menteri/exco.

Dalam politik, angka sokongan amat penting. Jika ramai yang sokong dan memilih seseorang itu walaupun hanya tamat darjah enam, berbanding dengan yang lain yang mempunyai kelulusan yang tinggi serta pengalaman politik yang banyak, orang yang dapat majoriti itulah yang dipilih jadi PM/MB.

Menurut penilaian umum orang seperti itu (pendidikan rendah) tidak layak jadi PM/MB..Tapi ia layak jadi PM/MB kerana mendapat sokongan majoriti seperti yang dinyatakan dalam peruntukan undang-undang.

Wan Azizah mendapat sokongan majoriti. Maka beliau layak jadi MB Selangor. Walaupun mengikut Hadi, Wan Azizah tidak ada kemampuan menjawab dan mengemukan soalan.

Mudah saja kes ini. Tapi menjadi kecuh. Fasal apa?

Berbanding dengan Hadi, Wan Azizah terlalu muda dalam politik. Ucapan politik Wan azizah tidak agresif dan lantang berbanding dengan Hadi yang lantang, lancar, agresif , sarat dengan petikan hadith dan al-quran. Ini semua orang tahu.

Ertinya Hadi lebih matang dan banyak pengalaman dalam berpolitik. Beliau tahu bila untuk menyerang, bagaimana untuk menyerang, apakah petikan dari hadith dan al-quran yang boleh digunakan sebagai menyokong hujahan, dan siapa yang perlu diserang secara terbuka.

Sudah tentu pilihan Hadi ialah menyerang musuh secara terbuka.

Malangnya dengan meremehkan kemampuan Wan Azizah secara terbuka, sedangkan Wan Azizah itu dalam satu regu yang sama, kematangan Hadi berpolitik dan menguruskan perbezaan dikalangan sama regu adalah amat diragui sekali.

Bukan saja kematangan politiknya diragui bahkan beliau menghantarkan peluru kepada musuh politik iaitu UMNO?BN, kecuali UMNO/BN itu telah bertukar menjadi sahabat.

Cuba lihat Wan Azizah yang politiknya masih muda berbanding dengan Hadi. Lihat bagaimana reaksinya keatas remehan Hadi itu.

Wan Azizah tidak memberi reaksi dengan cepat. Tunggu dulu. Tidak  juga melenting.

Setelah beberapa pihak dalam partinya PKR dan DAP memberi reaksi yang tidak bersetuju dengan Hadi dengan kata-kata yang tidak juga wajar dihamburkan secara terbuka sebagai adab dalam satu regu yang sama, barulah Wan Azizah memberi reaksi.

Wan Azizah sebagai manusia biasa , menyatakan sedikit terguris dengan kenyataan Hadi itu, namun beliau tidak marah dan menganggapkan ianya sebagai satu teguran untuk beliau memperbaikki kelemahan.

Beliau juga meminta supaya tidak ada lagi pihak yang tidak bersetuju dengan Hadi agar tidak mengeluarkan kata-kata untuk menyerang Hadi. Pada beliau Hadi bukan musuhnya/PR. Musuh yang perlu ditentang bersama oleh PR ialah UMNO/BN.

Kalau saya sebagai Hadi, reaksi Wan Azizah seperti itu amat menusukkan dada saya. Saya lebih suka beliau melenting dan menghentam saya balik. Rupanya tidak berlaku.

Malah Wan azizah mengucapkan terima kasih kepada Hadi dan keluarga atas apa saja pertolongan yang telah diberikan kepadanya sambil mendoakan diberikan kesihatan dan panjang umur.

ADUH SAKITNYA DADAKU!

Isnin, 8 September 2014

Dahulunya Bukanlah Dongeng.........





"Mahu dengar cerita Hang Tuah dan Hang Jebat. Cerita tentang ketaatan dan keadilan ", saya bertanya pada seorang kawan

"Dongeng, tidak masuk akal dan karut marut", dengan cepat kawan itu menjawab.

"Betul, ini cerita benar. Cerita Hang Tuah dan Hang Jebat terkini", saya cuba meyakinkan.

"Itu cerita dongeng":, kawan saya bertegas lagi.

"Kau dah baca. Baca cerita ini", kata saya lagi.

Ternganga mulut kawan saya itu. Dia semacam tidak percaya.

Saya ketawa terbahak-bahak.

Kawan saya itu terdiam, tapi tidak marah.

Saya tidak tahu apa yang ada dalam otak kepalanya apabila membaca cerita yang saya unjukkan kepadanya.

"Bodohnya kita, yer", terdengar suara keluhan kawan saya itu.

Saya ketawa semakin kuat.

Tapi kawan saya itu tidak juga marah. Mungkin dia sudah yakin bahawa cerita yang dikatakan dulunya sebagai dongeng itu sebenarnya bukanlah dongeng. Ianya berlaku pada zaman dahulu dan berterusan sehingga ke hari ini.

Yang wajib ialah taat.

Mesti percaya bahawa keadilan itu ada tempatnya. Tidak pada semua tempat.










Jumaat, 5 September 2014

PoooooRaaaah : Hubaya-hubaya.... tutup mulut mu




Entahlah......

Haru biru, bercelaru, lintang pukang. Buat banyak yang keliru. Orang bijak dan pandai pun cakap tidak mengatasi orang dungu yang termanggu-manggu- banyak putar dan belitnya. Orang yang sendiri istihar alim dan ulamak pun tidak langsung membantu bahkan lebih keruh dari jernih. Cakap dan janji pun tidak amanah.

PoooooRaaaaa.....

Begitulah bunyi suara keluhan kecewa ramai orang bila jadi keadaan seperti itu.

Nasib kaulah belalang.....

Keluhan pak belalang ini lebih baik dari keluhan PoooooRaaaaah .

Sebab pada akhir ceritanya pak belalang dapat jadi nujum istana dan menantu raja.

Caranya senang saja dengan pak belalang mengeluarkan kata-kata"'belalang, belalang" sebagai satu keluhan susah hati apabila raja bertanya apa yang ada ditangan anaknya yang bernama belalang. Oleh kerana apa yang digenggam itu  sememangnya belalang maka sukacitalah hati raja, lalu pak belalang dijadikan nujum istana dan menantu raja.

Keluhan PoooooRaaaaah sebaliknya pula amat bercelaru, haru biru dan lintang pukang.

Sebab ......entahlah ......walaupun semua orang sudah tahu.

Hubaya-hubaya....tutup mulut mu!





 




Selasa, 2 September 2014

Disini Lahirnya Sebuah Cinta dan Disinilah Berterusannya Berbagai Derita


 
Disinilah lahirnya sebuah cinta.

Jika ada mana-mana otak yang tidak melahirkan pemikiran, dan sanubari yang tidak mendetikkan sebuah perasaan akan kebenaran kata-kata diatas bagi menggambarkan kehebatan nikmat bernaung dalam sebuah negara yang dipanggil Malaysia , otak dan perasaan itu sebenarnya telah mati dan keras membeku. Mata sudah jadi buta dan telinga menjadi pekak.

Malaysia kaya dengan sumber alam. Tanahnya subur. Alam yang cantik dan indah. Udaranya nyaman. Manusia yang berbagai latarbelakang mewarnai kehidupan.

Dari manapun asal kita, kita tetap akan jatuh cinta pada Malaysia kerana disinilah tanah tumpah darah kita. Demi kecintaan pada Malaysia, kita sanggup berkorban apa saja selagi nyawa dikandung badan. Kita sama-sama sayang akan negara yang bertuah ini.

Allah menganugerahkan Malaysia dengan sumber alam yang kaya. Sama-sama kita berkongsi memilikinya dan sama-sama kita menikmatinya. Wah, kita boleh hidup mewah, senang  dan kaya. Bagaimana kita tidak boleh jatuh cinta pada Malaysia. Sesungguhnya, disinilah lahirnya sebuah cinta.

Jangan ada yang cuba memperkenalkan istilah miskin pada kita. Kita tidak kenal apa itu miskin, jauh sekali papa kedana hidup melarat meminta-minta. Kita tidak mahu ambil peduli itu semua kerana ianya dongengan saja.

Mana mungkin negara kaya sumber alam, rakyat hidup miskin papa kedana. Orang yang mengatakan seperti itu, kita ada gelaran istimewa untuk mereka. Mereka itu selayaknya dipanggil 'tukang karut yang mengarut' kerana mereka tidak berdiri dibumi Malaysia yang nyata yang jelas serba kaya. Mata mereka buta dan telinga mereka tidak mendengar akan fakta kekayaan sumber alam kita.

Kita perlu beri amaran kepada mereka bahawa disini tidak adanya kemiskinan, disini tidak ada penderitaan.

Kita tegaskan setegas-tegasnya kepada mereka bahawa disinilah lahirnya sebuah cinta. Kita cinta bukanlah sangat untuk merebut dan memonopoli sumber kekayaan kita itu. Jauh sekali untuk menyalahgunakan kuasa, menipu dan melakukan berbagai cara yang batil untuk melonggokkan kekayaan dikalangan sebilangan kecil kita.  Kerana itu bukan cara kita. Itu bukan cara orang yang ada perasaan cinta.

Kita mahu beritahu kepada mereka, kita taksub dengan amalan cara hidup perkongsian yang adil. Kita berkongsi kekayaan. Itulah yang melahirkan cinta sesama kita, cinta kita kepada negara. Dan kita akan cambah dan semarakkan cara cinta kita itu.

Kita juga mesti menghapuskan kepercyaan mereka yang terlalu yakin bahawa kita adalah pengamal paling setia cara pembahagian kekayaan berasaskan formula :'hak aku, aku yang punya, dan hak engkau aku juga yang punya. Ini adalah fitnah dan karut serta menghasut. Mereka itu layak didakwa.
 . 
Kekayaan sumber alam kita, dan cara kita menguruskannya mengikut prinsip perkongsian yang adil itu , sudah tentu boleh membawa negara kita menjadi aman dan makmur, kerana tidak mungkin timbul rasa hasad dengki, iri hati , benci membenci dikalangan kita. Tidak mungkin ada jurang kaya miskin yang melebar dan berterusan. Kita hidup sejahtera, sebenarnya. Buktinya jelas didepan mata kepala kita.

Sebab itulah tidak ada cacat celanya apabila kita wujudkan slogan sempena usia 57 tahun negara kita bahawa disinilah lahirnya sebuah cinta.

Cuba renung dan fikirkan betul-betul , dengan ketenangan memimpin perasaan kita akan beberapa peristiwa yang kita lalui bersama.

Sebenarnya banyak peristiwa yang kita telah lalui bersama, selaras dengan prinsip hidup kita yang mengamalkan cara hidup berkongsi. Terlalu panjang untuk disenaraikan. Namun memadai rasanya kita mengambil beberapa peristiwa yang melibatkan satu saja aset negara kita.

Kita 'take off' untuk meluncur ke udara. Dan sudah tentu kita akan mendarat. Pasangkan tali pinggang keledar anda. Berdoalah kita agar selamat mendarat.

MAS (Malaysia Airline System), namanya cantik dan berharga sekali sesuai dengan nilai yang kita berikan kepada (e)mas. Dari sudut panggilan, ianya menzahirkan perasaan kasih sayang dan cinta -Mas isteriku, mas kekasihku, mas manjaku. Mas adalah permata yang diberikan sandaran nilai harga yang tinggi.

Jadi MAS adalah aset negara yang amat penting sekali. Marilah kita berkongsi sama cerita MAS ini, kalau benar-benar kita mahu buktikan disinilah lahirnya sebuah cinta.

MAS dengan membawa pengenalan MH 370 bersama dengan semua yang ada didalam perutnya, setelah 'take off' dan melayang diudara selama hampir satu jam, tiba-tiba hilang lesap entah kemana.

Berbagai teori dan dongeng mengiringi sebab-sebab kehilangannya. Berbagai cara digunakan untuk mengesan dimana keberadaannya dengan aplikasi peralatan dan teknologi modern canggih manggih yang terkini dari negara-negara berteknologi maju . Berjaya juga MH 370 itu dikesan secara rawak keberadaannya dikawasan selatan laut Hindi yang luas itu. Tapi sehingga kini bangkainya masih lagi tercari-cari. Wang sudah banyak dibelanjakan.

Tok bomoh juga datang memberi bantuan menggunakan kepakaran ilmu ghaibnya cuba mengesan MH370 itu. Tok bomoh memberitahu MH 370 itu berada diawang-awangan. Tapitiada siapayang nampak. Mungkin bomoh saja yang boleh nampak kerana amalan ilmu ghaibya. Ada juga kos yang terlibat dalam pembomohan ini, tetapi rasanya tidak besar.

Marilah kita berkongsi kesedihan bersama dengan kaum keluarga yang kehilangan orang yang disayangi.

Selang beberapa bulan selepas peristiwa sedih itu, berlaku lagi peristiwa yang amat tragis kepada MAS. MAS ditembak jatuh di ruang udara negara Ukraine. Ditembak seperti orang menembak burung punai yang terbang, begitu seronok sekali melihat burung itu menyembah ke bumi. Kesemua yang ada dalam perutnya musnah. 

Berlaku tuduh menuduh antara Ukraine yang disokong oleh Amerika dan puak pemberontak Ukraine yang disokong oleh Russia, masing-masing menuduh melakukan perbuatan durjana itu.  MAS juga yang menjadi mangsa.

Kita berkongsi kesedihan atas  nasib malang MAS itu dan kaum keuarga yang terlibat.

Baru-baru ini cerita MAS sekali menguasai pemberitaan dinegara kita yang tercinta ini. Tidak ada beza kesan ceritanya. Sedih. MAS buat sekian kali disahkan mengalami kerugian dalam perniagaannya.

Ini bukan kali pertama MAS rugi. Kerugian MAS itu adalah kerugian yang sambung menyambung walaupun telah bertukar beberapa Perdana Menteri, walaupun telah beberapa kali disusun semula dengan pertukaran kepimpinan dalam organisasinya, walaupun telah beberapa kali suntikan modal dilakukan termasuk penjualan aset (ada setengah pihak panggil sebagai bail out). Tapi masih terus rugi

Maka sudah tentu MAS merasa sedih, dan kita berkongsi kesedihan MAS itu.

Berbagai pendapat diberikan untuk mengatasi masalah MAS ini. Ada yang mencadangkan MAS dibebaskan dari kawalan kerajaan dengan menjualkan MAS kepada pihak swasta dengan kepercayaan cara itu saja yang boleh mengatasi masalah kerugian MAS. Tapi kerajaan sayangkan MAS kerana MAS adalah aset negara yang strategik bukan saja untuk mendapatkan keuntungan bahkan MAS membawa bersama imej negara.

Macam mana rugi pun, walaupun telah banyak menanggong rugi MAS mesti dibantu. Kerajaan bersetuju untuk melabur 6 bilion ringgit bagi tujuan memulih dan menjadikan MAS syarikat penerbangan yang berjaya.

Tindakan kerajaan ini mendapat kritikan berbagai pihak. Tindakan kerajaan ini dikatakan bail out dan bukan satu bentuk pelaburan.

Apa pun istilah yang digunakan dan apa pun makna yang dapat difahamkan dengan istilah itu, MAS sebenarnya menderita.

MAS berterusan menderita. MAS kehilangan dua pesawat dalam tempoh yang berdekatan. Kesemua harta dan nyawa dalam dua pesawat itu hancur lebur. Sekarang kerugian MAS semakin membesar.

Dengan wang 6 bilion ringgit, MAS mahu disusun semula. Khabar mengatakan satu daripada kesan dari susun semula itu ialah pembuangan pekerja lebih 6,000 orang. Cerita MAS bertambah sedih. Kita kongsi kesedihan MAS ini.

Diatas tadi kita memaknakan negara kita yang kaya dengan sumber alam, tanah yang subur, alam yang cantik dan indah serta rakyat yang berbagai latarbelakang yang mewarnai kehidupan sebagai sebuah negara yang melahirkan sebuah cinta. Kita dengan gah dan bangga mengatakan disinilah lahirnya sebuah cinta.

Kerana kita berkongsi kekayaan secara adil dan saksama. Benarkah begitu?

Tapi yang pasti ialah cerita MAS berbeza sekali. Cerita MAS adalah cerita derita yang berterusan: Disinilah Berterusan Berbagai Derita. Benarkah begitu.

Adakah disini lahirnya sebuah cinta adalah satu fantasi sahaja. Realitinya, cerita kita, cerita negara kita, cerita rakyat kita adalah sama dengan cerita MAS: Disini Berterusan berbagai derita.

Enam ribu anggota MAS yang akan dibuang kerja nanti akan  menambahtimbun lagi kepada bilangan rakyat kita yang masih miskin menderita.

Disini tiada lagi cinta, hanya berterusan berbagai derita.

Betul ke?