Theflowersellingboy

Khamis, 30 Jun 2011

BN dan PR Macam Kucing dengan Anjing: Tak Habis-habis Bergaduh

Emak saya selalu memarahi kami adik-beradik  yang selalu 'bergaduh' ketika bermain masa kanak-kanak dahulu, katanya " Kau orang adik beradik ni macam anjing dengan kucing, tak boleh berjumpa asyik bergaduuuuuh saja".  

Kamipun memandang diantara kami cuba mencari pihak yang bersalah, yang menyebabkan pergaduhan. Tidak ada seorangpun yang dengan rela hati mengaku bersalah malah kami masing-masing menuding jari diantara satu dengan yang lain. Nampaknya tiada seorang pun yang bersalah. Kesemuanya dipihak yang benar dan baik-baik belaka walaupun pergaduhan telah berlaku.  

Kesian emak, pening kepala dibuatnya dik kenakalan kami semasa kecil-kecil dulu. Emak pula begitu baik kerana tidak menyebelahi mana-mana anak. Dengan sebab itu tidak pernah diadakan perbicaraan bagi menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. 

Tetapi sekarang kami tidak lagi bergaduh. Sudah ada ramai anak. Nasib baik anak-anak tidak ikut perangai bapanya yang suka bergaduh waktu kecil dulu.


Itu adalah cerita adik-beradik bergaduh semasa kanak-kanak dulu.


Pergaduhan juga berlaku antara orang perseorangan, kumpulan, bangsa, agama dan negara. Malah pergaduhan tidak ada batas pemisahan. Siapa saja boleh terlibat dalam pergaduhan. 


Satu ciri yang sama yang universal dalam pergaduhan ini ialah tidak ada satu pihak pun yang mengatakan pihaknya yang bersalah atau memulakan pergaduhan. Tuding menuding sama saja dilakukan seperti kami bergaduh dulu.


Sekarang ini di Malaysia sedang hangat berlaku 'pegaduhan' diantara BN dan PR. Masing-masing pihak mengatakan merekalah yang benar sebagai pembela rakyat. Macam-macam kaedah, tektik dan teknik pergaduhan digunakan. Yang paling beruntung ialah BN yang menguasai Kerajaan Persekutuan kerana dapat menfaatkan apa saja yang dirasakan sesuai dan perlu  dalam aplikasi teknik, tektik dan kaedah pergaduhan . Sumbernya sentiasa ada dan siapsiaga. PR pula
kempen juga menurut apa yang mampu. Itulah tanda-tanda pilihanraya hampir mendekati kita.


Biarlah BN dan PR bergaduh. Jangan kita turut sama. Saksikan saja. Tiba masa mengundi kita undi yang itu. Yang itu saja. Jangan yang lain.


Nampaknya mereka BN dan PR   macam anjing dengan kucing. Pantang berjumpa pasti bergaduh. Malah tidak bersua muka pun mereka akan bergaduh tuduh menuduh. 

Dalam banyak hal mereka tidak sependapat. Itu perkara biasa bagi parti politik .Kalau bersetuju maknanya mengaku kalah. Dalam politik mana boleh mengaku kalah. Politik ialah untuk mendapat kemenangan. Sebab itu calun yang hendak dipilih mesti yang boleh memberi kemenangan. 

Bila menang maka dapatlah kuasa. Bila dapat kuasa bolehlah buat kerja. Cuma kita harap mereka kerjalah baik-baik. Jangan ingat nak bergaduh saja apabila dah menang nanti. Satu lagi, jangan cepat nak jadi kaya. Ini bukan skim Pak Man Telo untuk kaya cepat. Kalau nak kaya cepat jangan masuk politik. Masuk skim Pak Man Telo.

Kalau kalah terima saja jangan nak kacau-kacau orang menang buat kerja.

Tapi kita suka juga mereka ini bergaduh. Biasanya orang yang bergaduh ini selain dari menuding jari akan mencari sokongan. Mereka akan berpaling kepada kita. Merayu minta simpati dan sudah tentu dengan berbagai janji.

Kalau mereka mahu mencari sokongan atau mahu kita mengatakan mereka dipihak yang benar , lantas dipeti undi nanti kita pangkah mereka (pangkah dengan niat baik untuk beri kemenangan) kita berikan syarat-syarat antaranya i) jangan bergaduh seperti anjing dengan kucing, menyalak sana, mengiau sini tiada siapa yang faham.
ii) bergaduh hendaklah diatas pentas yang sama dengan peraturan dan syarat yang sama. Kita maksudkan bergaduh idea dan pemikiran supaya tidak berlaku kecedaraan fizikal. Lagipun untuk memimpin sebuah kerajaan bukankah itu yang penting. 

Takkan nak bertumbuk macam gaduh anak-anak kecil dulu, malulah kita. Itu gaduh anjing dengan kucing. Tidak menepati syarat yang pertama.

Kemudian, kita yang menyaksikan pergaduhan itu bolehlah membandingkan diantara BN dan PR yang mana sesuai dipilih.

Agak-agaknya BN dan PR berani ke  naik keatas pentas yang sama berbicara untuk menyakinkan kita untuk memilih salah satu dari mereka. Kalau salah satu menolak tidak bersetuju, kerja kita senang iaitu pilih yang berani naik kepentas. Tapi yang menyulitkan jika kedua-dua BN dan PR menjadi pengecut. Siapa kita nak pilih. Saya cadangkan pilihlah yang itu. Yang itu saja. Siapa dia? Lu fikirlah baik-baik.

Rabu, 29 Jun 2011

Sewa Mahal: Mengapa Heboh-heboh

Sebuah rumah untuk rakyat termiskin  dibawah Program Rakyat Termiskin ( PPRT) ialah RM12,000.00. Terima kasih kepada kerajaan yang sangat perihatin terhadap rakyat atau golongan warga negara yang malang ini. Dengan adanya skim PPRT itu dapatlah sebahagian rakyat yang termiskin ini memiliki rumah untuk dijadikan  sebagai tempat berteduh. Walaupun tidak ada disediakan kipas apatah lagi penghawa dingin, penyediaan tempat berteduhpun sudah memadai. Kalau cuaca terlalu panas, begitulah pada setiap hari dalam fenomina pemanasan dunia (global warming), ambillah  kertas surat khabar atau daun pisang dibelakang rumah dibuat kipas. Kalau itupun tiada, tanggallah baju, berlenggeng, untuk dijadikan kipas. Bukankah itu perkara biasa yang telah kita warisi turun temurun!

Kita masih lagi patut bersyukur kerana ada warga yang juga termiskin masih lagi belum dapat menikmati rumah seperti yang telah kita nikmati kerana kerajaan tidaklah boleh membina rumah PPRT serentak dengan begitu banyak. Kita perlu pertimbangkan kemampuan tunai kerajaan dalam sesuatu tahun. Banyak perkara lagi yang kerajaan hendak lakukan disamping PPRT itu. Bayaran sewa pejabat, rumah kediaman, penyenggaraan dan macam-macam lagi perbelanjaan mengurus serta pembangunan yang menjadi keutamaan bagi membolehkan kerajaan berfungsi untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan cekap. Untuk kepentingan rakyat juga.

Dengan demikian mereka yang termiskin yang masih belum menerima kelulusan untuk dibina rumah rakyat termiskin ini bersabar-sabarlah dulu. Lambat laun mereka akan dapat juga. Kata orang 'takkan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah dia'. Hanya orang yang termiskin itu, terutama yang uzur dan usia lanjut perlu buat ialah dengan berdoa memohon kepada Allah SWT supaya dipanjangkan usia. InshaAllah, dapat juga nanti merasai tinggal di rumah PPRT sebelum disemadi didalam tanah.

Seperti yang telah disebutkan diatas tadi, kerajaan juga perlukan wang untuk bermacam-macam jenis perbelanjaan. Bayar gaji dan elaun , bayaran  perkhidmatan dan bekalan, bayaran untuk asset dan harta modal dan bayaran pindahan. Itu hanya untuk belanja mengurus tahunan yang biasa tidak termasuk belanja tanggongan untuk membayar hutang negara misalnya. Kalau termasuk pula peruntukan pembangunan , peruntukan negara makin bertambah besar. Oleh itu sekali lagi diminta supaya orang termiskin ini sentiasa bersabar.

Ambillah satu misalan perbelanjaan kerajaan iaitu bayaran sewa rumah kediaman rasmi kerajaan. 
   
Sewa Kediaman Rasmi Perdana Menteri (PM) dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) seperti yang dilaporkan ialah RM40 juta setahun bersamaan lebih RM3.3 juta sebulan atau lebih RM111 ribu sehari. Bil air saja RM2 juta setahun. Dan banyak lagi perbelanjaan lain dalam bentuk ubahsuaian kediaman , kelengkapan perabut dan penyenggaraan yang lain. 


Maka perbelanjaan-perbelanjaan itu perlulah didahulukan. Takkan sewa rumah Rasmi PM dan TPM dan bil air serta perbelanjaan lain tidak disediakan. Malulah kita rakyat Malaysia kalau kedua-dua rumah itu tidak dibayar sewa yang mana tuan punya harta boleh mengambil tindakan undang-undang dan merantai rumah-rumah itu dari dimasuki oleh PM dan TPM. Jadi ini adalah keutamaan dari segi mengaturkan perbelanjaan. Setiap peruntukan yang perlu disediakan mesti ditentukan keutamaannya. Barulah dikatakan pengurusan kewangan yang berkhemah.

Mungkin ada orang yang nakal-nakal mengatakan perbelanjaan itu terlalu tinggi dengan membuat perkiraan dan perbandingan. Misalnya perbelanjaan sewa rumah RM40 juta itu mampu menyediakan 3 ribu lebih rumah PPRT. Tapi mereka yang nakal itu tidak pula memikirkan dari segi keutamaan. PM dan TPM yang lebih utama atau orang yang termiskin? Sudah tentu majoriti mengatakan PM dan TPM lebih utama. Lantas peruntukan untuk bayaran sewa rumah Rasmi mereka perlu diletakkan diatas sekali dari segi keutamaan. Kalau orang termiskin itu sakit atau uzur dan disebabkan itu tidak dapat bekerja, kesannya hanya yang miskin itu tidak dapat wang upah untuk membeli makanan atau panadol dikedai sebelah rumahnya saja. Sebaliknya kalau PM atau TPM kurang sihat terpaksa berihat dari bekerja, disebabkan rumah kediaman yang tidak diselenggara sempurna sehingga banyak abuk yang berterbangan, kesannya mengena keseluruh negara kerana ada keputusan-keputusan ekonomi yang penting mungkin tidak dapat dibereskan. Lihat dan bandingkan sebelum jadi budak-budak nakal.

Lagipun bukankah itu rumah kediaman Rasmi. Sesiapa saja jadi PM dan TPM mempunyai keistimewaan dan hak untuk mendiami rumah itu.  Rumah itu telah didiami oleh PM sebelumnya. Sudah tentu sewanya sama saja. Mengapa sekarang buat rancangan 'Jom Heboh'. Tidak tahulah jika sewa itu baru dikenakan. Jika begitu ,maknanya kerajaan tidak bayar sewa ketika PM-PM yang lepas. Ini suatu tanda bagaiman kerajaan jimatkan belanja. PM sekarang saja baru kena sewa.

Mungkin satu ketika nanti PR yang jadi kerajaan, takkan tidak mahu duduk dirumah yang telah dibina memakan belanja yang besar itu. Maaf, bukan kerajaan yang bina, kerajaan menyewa saja. Hendak sewa atau buat rumah lain ke? Kalau cara itu dipilih lagi membazir wang negara.

Jadi bila berbicara tentang perbelanjaan dari sumber awam perkara pertama dan utama yang mesti dipertimbangkan ialah keutamaan. Besar belanja adalah untuk orang berjawatan dan berkedudukan besar seperti PM dan TPM. Mesti didahulukan. Kecil belanja  untuk orang kecil dan tiada kedudukan seperti orang miskin kerana mereka itu juga miskin keperluan. Peruntukan untuk mereka juga boleh ditangguh, dikemudian, atau buat sementara dilupakan. Tetapi sebagai kerajaan yang prihatin, diperuntukkan juga secara fasa demi fasa. 


Maka jangan pula selepas membuat perkiraan dan perbandingan ada pihak-pihak tertentu terutama parti yang membangkang  mengatakan 'dahsyat sungguh sewa rumah PM dan TPM itu' tanpa menimbangkan faktor keutamaan yang dinyatakan itu. Memanglah sewanya mahal berbanding dengan rumah PPRT jika disewakan. Entah-entah rumah PPRT itu tidak ada yang sudi untuk menyewanya. Mana kan tidak bekalan air dan api pun belum tentu ada. Berlenggenglah penyewa rumah itu sambil mengipas anggota badan  dengan baju singlet yang telah kepam hangit itu. 


Tapi orang miskin itu tidak pening kepala untuk membayar bil air sebanyak RM 5 ribu lebih sehari seperti yang dibayar oleh PM dan TPM. Selamatlah belanja orang miskin itu! Jadi mengapa heboh-heboh.

Selasa, 28 Jun 2011

Hadiah Dari Acikman' : Suara Hati Naqib


Tadi kami tunggu Acikman di KLIA
Dua petang  ETA
Cuma selisih satu minit lebih Acikman mendarat
dalam perut EY0418


Wah rambut Acikman panjang juga
makin nampak krintingnya
tak macam rambut saya, nipis saja
selepas sebulan dicukur bersih.


Kami semua gembira
Acikman sudah pun bersama

Sampai di rumah 
Acikman bawa satu beg hitam, kecil saja

Acikman seluk dalam beg itu
'nah hadiah untuk semua' kata Acikman sambil ketawa.

Hadiah dari 'Acikman' yang baru pulang dari UK
Untuk saya dan abang Yousef anak saudara
-puting dan beep saja
-tapi ada logo Mu lah
-merah pula warnanya


Untuk Nenek seutas beg tangan
Untuk Alang  Ira dan mama sebuah purse
Untuk  Acu Iti sebuah purse juga
Untuk Tokpa sehelai tali pinggang hitam

Itulah hadiah
biasa saja
seperti orang lain juga
yang kembali dari  luar negara.

Terima kasih 'Acikman'

Tapi ada satu hadiah 
yang paling istimewa
'Acikman' telah berjaya dalam periksa
dapat lesen untuk cari kerja
nanti kita semua akan dapat belanja
dan dapat hadiah lagi
ha ha ha ha
mari kita semua ketawa gembira



 

Isnin, 27 Jun 2011

"Ibumu, Ibumu, Ibumu" ialah Perempuan.

Perempuan- berbagai panggilan , gelaran dan jolokan merujuk kepada insan yang dijeniskan sebagai perempuan. Puteri ialah perempuan, dara pun perempuan. Ibu ,emak , ummi , mama dan yang setaraf dengannya juga perempuan. Nenek, opah dan wan pun perempuan. Wanita pun perempuan.  Kaum Hawa juga merujuk kepada perempuan. Ya, serikandi dan suri rumah adalah juga perempuan. Kakak, melainkan kawasan-kawasan tertentu di Indonesia, juga perempuan. Permaisuri? Sudah tentu perempuan.

Secara fitrahnya bentuk fizikal seorang perempuan menggambarkan kelembutan. Suara, gerak geri, pandangan dan jelingan, senyuman dan pujukan serta rayuan malah marah-marahan tidak akan dapat lari dari yang lembut dan lemah. 

Pada ketika ini ada segmen-segmen tertentu perempuan yang tidak dapat menerima ciri-ciri lembut dan lemah ini. Mereka memperjuangkan hak sama rata antara perempuan dan lelaki, tiada diskriminasi. 

Apa pun pendapat dan perjuangan mereka, perempuan tetap perempuan, berbeza dari lelaki dan mempunyai peranan yang khusus yang tidak dapat dilakukan oleh lelaki. Perempuan boleh melahirkan anak, sudah tentu atas perkongsian dengan lelaki. Tapi , lelaki tidak boleh berbuat begitu. Itulah kelemahan lelaki. Dan itulah juga keistimewaan dan kekuatan yang ada pada perempuan. Ertinya perbezaan diantara perempuan dan lelaki bukanlah satu diskriminasi dan bukan juga penghinaan kepada perempuan.

Tidak juga fungsi melahirkan anak itu satu penghinaan. Ianya satu keistimewaan. Jangan samakan fungsi ini sebagai kilang pengeluaran. Ianya terlalu istimewa dan tiada bandingan. Jika ada perempuan yang tidak bersetuju dengan fitrah ini maka tanyalah diri sendiri bagaimana mereka lahir dan siapa yang melahirkannya. Lelaki?

Oleh itu perempuan ada kedudukan dan tempatnya.  Istimewa sekali. Dengan demikian, lelaki apatah lagi perempuan mesti menghormati keistimewaan ini dan menghargainya. Ianya satu pertarungan yang melibatkan nyawa, pengorbanan yang tidak ada bandingan. Lelaki yang bergelar suami, yang dipanggil bapa, ayah, abah, papa dan sebagainya hendaklah sentiasa ingat akan perkara ini, pengorbanan ini. Ingatan kita kepada pengorbanan isteri semasa melahirkan anak kita, akan meransang kita untuk bersama-sama penat dan lelah dalam mengurus dan membesar anak kita. Dan menginsafkan kita akan pengorbanan ibu kita semasa melahirkan kita.  


Bagimana fungsi melahirkan anak itu istimewa sekali? 


Pertama, hanya perempuan yang boleh berbuat demikian. Maka generasi ke generasi manusia lelaki dan perempuan akan berterusan sehinggalah kesatu masa yang ditentukan Allah SWT, hari kiamat akhir zaman.


Kedua, disitulah sumber kasih sayang, belas ikhsan, keinsafan, simpati, pengorbanan, penghormatan, kekuatan, penghargaan dan segala bentuk perasaan yang mengikat irat hubungan kemanusiaan.


Perjalanan seorang perempuan sehingga ke saat dan masa untuk  melahirkan anak, anak lelaki mahu pun perempuan hanya dapat dirasa dan diceritakan oleh perempuan yang mahu melahirkan anak itu sendiri. Muntah-muntah, pening kepala, emosi yang tidak menentu adalah sebahagian finomina yang dapat diceritakan. Menanggong berat yang bertambah dari hari kesehari yang dibawa kesana kesini, sama ada waktu bekerja, berihat , duduk , baring dan
apa saja gerak geri, kandungan tetap bersama.  Sembilan bulan bersama-sama melalui kehidupan termasuk pernafasan.

Mengapa insan yang lemah dan lembut itu boleh berbuat demikian? Sudah tentu adanya kasih sayang. Telah terbina kekuatan untuk menghadapi apa saja risiko semasa melahirkan anak. Sudah berangan-angan untuk mendapat tahniah dan pujian dan penghargaan dari suami, ibu bapa termasuk mertua sanak saudara dan rakan kawan kerana sanggup berkurban untuk melahirkan seorang insan. Bakal dipanggil ibu, emak , ummi  atau pun mama mengikut masing-masing pilihan oleh anak itu nanti, sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang.

Maka suami pula telah dihadiahkan satu penghormatan dengan panggilan ayah, abah, bapa, papa dan apa saja yang dipilih untuk mengikat kasih sayang. 
     
Seorang suami yang dapat bersama dengan isteri semasa melahirkan anak akan terlalu berbangga atas penghormatan menjadi seorang bapa kerana suami itu sendiri telah menyaksikan betapa 'seksanya' isteri bertarung untuk melahirkan anaknya itu. Kebanggaan itu akan lebih memberi makna jika selepasnya itu dia dapat bersama-sama menguruskan anak kesayangannya itu , penat dan letih bersama dengan isteri.

Itulah perempuan, isteri kita, ibu kita, nenek kita yang telah dikatakan oleh nabi kita Muhammad SAW sebanyak tiga kali supaya kita taati. 

"Ibumu, Ibumu, Ibumu" ialah perempuan. Sayanglah mereka dan kasihilah mereka.

Ahad, 26 Jun 2011

Politik : Kuasa dan Bercakap Bohong

" Brother, you jangan masuk politik. Orang politik ni kalau tak cakap bohong  tak sah, bukan orang politik namanya." , demikian yang telah diberitahu oleh seorang ahli politik yang berjawatan tinggi dalam kerajaan disebuah negeri, ketua eksekutif,  pada suatu ketika dulu dalam tahun 1990an. Saya hanya menjadi pendengar yang baik, tidak berkata apa-apa.

Ketika itu, saya tidak anggap itu sebagai nasihat. Pertama, kata-kata itu keluar secara bersahaja dan selamba , tidak ada kesungguhan. Kedua, saya tidak menimbulkan cerita-cerita mengenai politik atau berhajat untuk terlibat dalam politik kepartian. Ketiga, takkan orang seperti beliau yang berkedudukan tinggi mempunyai anggapan seperti itu. Keempat, tanpa kata-kata beliau itu saya telah mempunyai pandangan sendiri mengenai orang politik dan sama ada kata-kata itu bertujuan nasihat atau tidak, ianya tidak mempengaruhi pandangan saya mengenai orang politik. 

Saya anggap tidak lebih dari gurauan dalam berbual kosong.

Itu adalah sikap dan anggapan saya ketika itu, kurang lebih 15 tahun yang telah berlalu.

Sekarang , seperti juga pendirian saya pada 15 tahun yang lepas bahawa apabila seseorang itu terlibat dan menjadi ahli sesuatu parti politik, orang itu sebenarnya hendakkan kuasa. 


Kalau ada yang mengatakan mereka masuk politik demi memberikan perkhidmatan kepada bangsa, agama dan negara saya katakan mereka ini hiprokrit. 

Tapi kalau mereka mengatakan  dengan kuasa yang diperolehi melalui satu pilihanraya dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi , dan dengan itu mereka dapat memberi khidmat yang terbaik dan berkesan, saya mahu juga untuk bersetuju. Cuma masih juga berwaspada.


Pertama politik dan kuasa tidak bolih dipisahkan. Ertinya berpolitik untuk mendapat kuasa. Itu perkara asas. Tidak perlu berlindung atau berselindung dibawah mana-man payung misalnya untuk membela bangsa dan negara, untuk berkhidmat semata-mata dan berbagai-bagai payung lagi. 


Oleh kerana itu orang politik pernah berkata 'dalam politik tidak ada tempoh tamat atau tarikh tamat melainkan ajal saja'. Sama ada sedar atau tidak , kata-kata itu sebenarnya membayangkan bahawa orang politik ini masih lagi rindukan kuasa walaupun telah tidak lagi diberi mandat untuk berkuasa. 

Secara amnya orang politik  di Malaysia terutamanya dari parti politik yang menguasai kerajaan, tambah-tambah mereka yang berjawatan, terlalu mudah dan cepat mengumpul harta dan wang. Tidak sampai dalam beberapa bulan menjawat sesuatu jawatan kerajaan, kita akan nampak perubahan dari segi gaya hidup. Hidup sudah mulai mewah yang dapat kita lihat dari segi kereta, rumah kediaman dan cara berbelanja dan bermacam-macam lagi termasuklah  pengumpulan harta-harta yang lain dalam bentuk tunai dan saham. 


Memang benar tidak semua begitu. Majoriti begitulah. Bagaimana mereka boleh berbuat demikian sedangkan pendapatan yang sah tidak memungkinkan mereka untuk berbuat demikian. Pakai apa jenis mesin kira pun jawapan tetap sama. Mereka tidak akan mampu buat begitu. 


Kalau ada yang ragu, cuba-cuba buat pemerhatian sendiri.  Tapi pemerhatian bukan berasaskan hasad dan dengki.


Adakah kuasa yang diperolehi telah memungkinkan mereka mudah berbuat begitu? Kita percaya, kuasalah alat yang paling ampuh untuk membantu mereka melainkan dulunya sebelum berjawatan mereka orang yang kaya raya. Memang ada yang begitu tapi majoriti serupa macam kita juga, hidup dengan gaya pendapatan orang sederhana dan ada setengahnya agak susah juga.


Seolah-olah kenyataan itu sebagai satu tuduhan yang mengatakan orang politik terlibat dalam salah guna kuasa. Memang benar begitu. Salah guna kuasa ini bukan saja orang politik malah semua orang yang diberi kuasa yang menyelewengkan kuasa itu untuk maksud atau tujuan tertentu.Yang berbezanya ialah kuasa orang politik yang berjawatan kerajaan adalah kuasa yang terlalu besar.  Semakin lama diberi kuasa, kebarangkalian untuk menyalahgunakan kuasa adalah terlalu besar. Tambah-tambah lagi mereka terlalu kebal untuk diambil tindakan undang-undang.

Maka mengapa tidak setelah/sebelum dipilih menjawat jawatan kerajaan, rakyat memberi syarat   bahawa  mereka mestilah  mengistiharkan harta kepada rakyat, orang yang telah mengamanahkan kuasa kepada mereka. Dengan cara ini rakyat dan orang politik yang berjawatan kerajaan itu bolih sama-sama menilai dengan adil atas sesuatu pandangan yang berkaitan gaya hidup orang politik itu.

Perkara kedua ialah hipokrasi, jika berpolitik semata-mata untuk  memberi khidmat demi bangsa, negara dan agama. Tanpa kuasa kita tidak akan mampu memberi khidmat yang baik dan berkesan. Oleh itu tidak ada cacat celanya jika kita masuk politik untuk dapatkan kuasa. Kuasa yang telah diperolehi itu digunakan sebaik mungkin untuk memberi perkhidmatan.

Yang ada dihadapan kita ,yang kita nampak  ketika ini tidak begitu.  


Maknanya apa yang diperkatakan oleh sahabat saya itu adalah benar bahawa orang politik ini sifatnya 'suka berbohong'. Tetapi mengapa kata orang politik saja. Orang bukan politik pun ada yang bercakap bohong malah mungkin ada yang pembohong besar.  

Saya ulang lagi sekali, kesan perbuatan buruk orang politik yang berjawatan kerajaan adalah terlalu besar dan amat membinasakan kepada bangsa, agama dan negara berbanding yang lain. 


Jadi apa yang dikatakan oleh sahabat saya itu walaupun dulunya saya anggap sebagai gurauan dalam bual-bual kosong sebenarnya ia satu ingatan kepada saya bahawa kalau ada kekuatan dalam diri, kalau boleh mempertahankan nafsu salah guna kuasa, kalau boleh menahan hati dan mulut dari tidak bercakap benar dan lain-lain perlakuan dan niat yang jahat maka boleh juga berfikir untuk masuk politik. Jika tidak mampu atau tidak ada ketahanan maka jangan ada angan  untuk masuk dalam politik. Kalau nak masuk juga terimalah hakikat bahawa orang politik ini perlu berbohong. Orang politik mesti cakap bohong kalau tidak, tidak akan kekal berkuasa.


Kalau begitulah sebenarnya kualiti yang mesti ada untuk menjadi orang politik, sekarang ini saya terimalah kata-kata itu sebagai nasihat. Cuma mengapa kita pilih mereka yang jelas perlu mempunyai sifat berbohong. Anih bukan. Sesungguhnya anih sekali.

Sebab itulah sudah tidak menjadi anih lagi jika ada berbagai penipuan dan salah guna kuasa. Rasuah. 

Politik sama ertinya cakap bohong atau P=P (Politik=Pembohong).


Inilah yang saya takut dengan orang politik khususnya yang ada jawatan kerajaan.


















Sabtu, 25 Jun 2011

MAIN-main Cerita Siri 311.5

Main-main Cerita Siri 311.5, Cerita main-main Siri 131.5 telah lama bermula cuma secara rasminya telah diistiharkan sah beroperasi pada 24 Jun 2011.Main-main  Cerita telah mencipta sejarah, sesungguhnya. Seluruh dunia baru saja dimasyhurkan satu siri lawak yang terunggul lagi mengunggulkan . Siri yang diilhamkan atas satu perjuangan yang luhur murni demi satu matlamat kelangsungan sebuah tamaddun bangsa . Hebat sekali jalan ceritanya yang bengkang dan bengkok mengharungi hanyir dan lendir. Maka ada yang seronok dan ketawa bangga kerana bengkang dan bengkok serta lendir-lendir hanyir itu bagi deria hidung mereka sesungguhnya amat harum mewangi.

Maka pada hari itu 24 Jun 2011 dengan jujur dan ikhlas hati maka mereka telah mengaku bersalah atas perbuatan yang telah dikanunkan sebagai jelas menyalahi ketamaddunan apa saja bangsa dan ajaran agama. Namun mereka merasa bangga dan berpuas hati kerana matlamat tercapai sudah. Sambil menegakkan ibujari, satu daripada tangan, dengan menuding ke atas sebagai isyarat kejayaan ,mereka tersenyum, yang diiringi  gelak ketawa tanda sokongan menggila.  

Maka main-main cerita diteruskan dengan berpaling kepada orang yang tidak ada . Jelas orang inilah yang mereka jumpa . Susuk badan , perangai dan minat adalah serupa dan sama. Tidak syak lagi. Maka dikumpulkan orang untuk bersama-sama mengesahkan bahawa orang ini yang telah mereka jumpa yang telah sama-sama menggunakan jalan bengkang bengkok serta mengharungi hanyir lendir. Hari itu 24 Jun 2011 di sahkan bahawa hanya 0.1% keraguan bukan si dia, 99.9% mengesahkan dialah orangnya. Main-main cerita bukan buat cerita main-main . Ini cerita dari ahli yang bijaksana yang memang terlalu tinggi kepakarannya serta mempunyai makmal yang boleh mengenal siapa saja. Cuma keraguan di benarkan 0.1% saja.

Cerita main-main tidak pula mengajak sama orang itu kerana tidak perlu. Cukup apa yang main-main cerita buat cerita. Tapi orang itu macam biasa saja kerana katanya main-main cerita itu memang kerjanya begitu suka cerita main-main. Cuma terkeluar juga dari suara hatinya kata-kata yang dia tidak boleh lupa dari cerita  main-main sebuah komidi dari Singapura : Phua Chu Kang , 'don't play play'. Maka dia berkata , "kalau Aku penulis skrip lawak komidi itu Aku akan teruskan dialog : I don't play play. I just play play story and story play play'. 


Kalau itulah dialog tambahan kepada siri Phua Chu Kang itu maka seluruh manusia di global ini akan ketawa terbahak-bahak  sambil berkata ini satu 'laughing stock' untuk warga dunia. 


Sahlah main-main cerita, cerita main-main diberikan siri 311.5. Boleh juga diberi siri 131.5 kerana main-main saja. 

'Don't play play, I just play play story'.

 

Jumaat, 24 Jun 2011

Salam Jumaat .......16: Main-main Cerita Saja

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat kepada anda semua semoga sihat-sihat dan tidak rasa keperitan tentang kesulitan ekonomi  yang mungkin dirasai oleh sebahagian dari tuan/puan atau keluarga tuan/puan.


Kali ini SJ hendak buat sedikit cerita yang SJ panggil Main-main Cerita Saja. Terpulang kepada anda untuk mengambil pendirian dan sikap, serious atau main-main saja.


"Kalau kita pergi membeli barang atau mendapatkan sesuatu perkhidmatan perkara yang kita fikirkan ketika ini adakah harga barang atau perkhidmatan yang kita hendak perolehi itu naik atau tidak. Biasanya ketika ini kita telah ada suatu kepercayaan bahawa harga tentu naik. Walaupun kita secara mental telah bersedia dengan berita kenaikan itu namun berita kenaikan harga itu sudah tentu tidak menggembirakan kita.

Itulah perkara yang kita sentiasa fikirkan setiap kali kita mahu berbelanja. Apabila kita tanya penjual maka jawabnya mudah dan selamba saja iaitu semua barang naik harga. Lama kelamaan kenaikan harga ini akan  menjadi sesuatu yang biasa dan perlu diterima walaupun terpaksa dan menyeksa.


Kesan kenaikan harga ini walaupun kepada setengah pihak sangat perit dan amat menyeksa namun ada juga sebahagian kecil masih lagi boleh tersenyum dan terus berbelanja  ikut suka hati dan selera.  Majlis-majlis perkahwinan mewah yang diadakan disana sini seperti biasa saja.   Perbelanjaan yang terlibat sudah biasa melebihi puluhan ribu . Dan tidak juga menjadi keluarbiasaan jika mencecah ratusan ribu.

Maknanya kenaikan harga barang dan perkhidmatan di Malaysia masih lagi boleh diterima oleh beberapa pihak, tidak memeritkan. Ia masih tidak menjadikan seseorang itu mati kelaparan. Masih ada lagi orang yang sanggup mengeluarkan wang menderma kepada peminta derma. Atau bersedekah kepada peminta sedekah. 


Dengan demikian 'tidaklah wajar kita terlalu runsing sangat dengan kenaikan harga minyak, tarif letrik , harga ikan dan makanan yang lain', nasihat setengah pihak untuk memujuk pihak yang dikatakan merasa perit. Pihak yang merasa perit ini pandai juga berhujah katanya 'barang naik tapi gaji tak naik , nak makan apa'. 

Tetapi orang yang merasa perit agaknya terlupa bahawa mereka masih lagi boleh hidup, cuma perit sedikit saja, buat sementara. Apabila negara menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi, keperitan kenaikan harga itu tidak akan terasa lagi. Sabarlah tuan". 


Macam mana anda semua. Ok ke sekarang ini. SJ tidak dapat meneka. Cuma yang merasa keperitan itu akan tarik muka berwajah cuka sambil berkata "Dia tak apa lah semua percuma". SJ tidak pasti kepada siapa yang dituju. Tapi kena ambil berat juga kata-kata yang merasa perit itu kerana mereka nanti boleh menyusahkan pihak yang dikatakan 'semua percuma'.  Mungkin juga kita yang tak ada kena mengena. Diserangnya kita, bila mereka lapar nanti.


Sekian catatan gurauan saja. Jumpa lagi.

Khamis, 23 Jun 2011

Suntikan Tiga Serangkai

Hari Khamis 23 Jun 2011 maka genap 3 bulan usia Ahmad Naqib (dipanggil Naqib saja). Pada hari ini Naqib dibawa ke sebuah klinik kerajaan untuk menerima suntikan 3 serangkai. Sebelum disuntik Naqib ditimbang berat dan diukur ketinggian untuk melihat kemajuan pertumbuhannya. Berat Naqib telah bertambah 700gm menjadikan 6.1 kilogram dan ketinggiannya juga telah bertambah kepada 59 cm berbanding catatan bulan  lepas, masing-masingnya 5.4 kilo dan 58cm. Nampaknya  pertumbuhan fizikal Naqib termasuklah tindakbalas deria seperti mata dan telinga adalah normal. Alhamdulillah.


Naqib kemudiannya diberi suntikan 3 serangkai iaitu DPT (Diptheria, Pertussis dan Tetanus). 


Bersama dengan Naqib terdapat beberapa kawan-kawan yang sebaya, yang lebih muda dan yang melebihi sikit usia, perempuan dan lelaki. Kesemua anak-anak itu menangis  apabila ditanggalkan pakaian untuk ditimbang dan diukur ketinggian. Maka jangan rasa sedih kalau mereka menangis kuat semasa disuntik. Dan ada yang meneruskan tangisan selepas disuntik. Kesian. Ada emak atau ayah atau nenek atau datuk yang tidak sanggup melihat anak kecil itu di suntik lantas tidak mahu masuk ke dalam bilik dimana anak itu disuntik. Yang sanggup masuk itupun, ada yang meleleh air mata, kesian. Jadi yang disuntik menangis kuat dan yang melihat menangis juga, senyap-senyap, malu agaknya.


Difahamkan suntikan 3 serangkai ini akan membuatkan bayi itu demam. Oleh itu sampai saja dirumah, Naqib telah diberikan ubat (cecair) untuk mengelakkan demam. Naqib nampaknya tidak menyukai ubat itu. Maknanya deria rasanya telah dapat membezakan diantara susu ibunya dan ubat.


Ahmad Naqib pula pada usia 3 bulan ini telah mula beberapa kali mengereng untuk meniarap. Sekali dua nampak berjaya. Dia lebeh banyak mengereng ke kanan. Yang seronoknya apabila tidak berjaya cubaan pertama, dilakukan cubaan yang seterusnya banyak kali. Akhirnya kalau tidak berjaya juga dia pun  menangis, kecewa agaknya. Ini mengingatkan saya akan kisah seorang kawan yang banyak kali mencuba dalam suatu peperiksaan tetapi gagal juga. Maka dia menyatakan kekecewaannya dan tidak mahu lagi mencuba. Tetapi saya percaya Naqib akan terus mencuba lagi.


Begitulah satu kisah benar perjalanan kehidupan seorang bayi yang ditatang dan diberi kasih sayang sepenuhnya oleh ayah, emak, nenek dan datuk. Apalah yang bayi itu mampu lakukan bagi  penjagaan kesihatan dan pertumbuhan. Diberi hisap susu, dinyonyotnya puting ibu atau puting getah sehingga merasa kenyang. Kemudian belakangnya ditepuk-tepuk dengan penuh kasih sayang untuk mengeluarkan angin mengelak atau mengurangkan muntah. Semuanya yang tua menguruskan, emak, ayah, nenek dan datuk. Dan bila disuntik, rasa kesakitannya dikongsi bersama oleh yang tua dengan penuh kasihan dan lelehan air mata.


Maka adalah doa dari yang tua, datuk, nenek, ayah dan emak agar bayi itu membesar dengan sempurna sihat walafiat dan menjadi anak yang soleh atau solehah. Maka harapan yang tua agar bayi yang akan menjadi muda remaja dan dewasa itu nanti akan sentiasa ingat pengorbanan mereka dengan cara yang mudah sekali. Bukan wang ringgit hanya menjaga hati mereka, melayan mereka dengan penuh kasih sayang, tidak bersuara tinggi merengus dan marah-marah mereka walaupun kadang-kadang pada pandangan kita mereka telah tidak memahami cara hidup kita yang jauh berbeza. Sebenarnya mereka lebih kaya dan pakar tentang makna kehidupan walaupun usia telah lanjut. Jadi kasihani mereka, jangan marah dan pandang rendah terhadap kasih sayang mereka.


Naqib cucuku akan tumbuh membesar menjadi anak yang soleh, dan sentiasa mendoakan emak dan ayah, nenek dan datuk sentiasa di rahmati Allah SWT . Amin.

Rabu, 22 Jun 2011

BARISAN NASIONAL (BN) dan PAKATAN RAKYAT (PR) adalah 'Mutually Exclusive'

 BN dan PR adalah 'mutually exclusive'. Memilih salah satunya bermaksud menyingkirkan yang satu lagi. 

Jika kita hendak melabur dalam projek yang bersifat 'mutually exclusive' , kaedahnya sama juga, kita hanya boleh menerima yang satu dan menyingkirkan yang lain.

Asas penerimaan dan penyingkiran juga adalah sama. Kita hanya sanggup menanam modal dalam projek yang boleh memberi pulangan yang lebih berbanding projek yang disingkirkan. Pulangan dalam bentuk aliran tunai bersih yang masuk.

Dalam memilih parti politik juga , asasnya sama iaitu kita memilih parti yang boleh membawa faedah dan kebaikan kepada kita semua, peningkatan taraf dan kesejahteraan hidup.

Cuma pelaburan dalam projek,  pendedahan risiko hanya kepada yang melabur saja.  Tidak dalam pemilihan parti untuk mengurus dan mentadbir khazanah negara, pendedahan risikonya terlalu besar, kepada rakyat. 

Dengan demikian walaupun secara asas nampaknya sama antara melabur dalam projek dengan  memilih parti untuk membentuk kerajaan tetapi pendedahan dan liputan risikonya jauh berbeza. Namun kedua-duanya perlukan 'kepakaran' dan maklumat yang sesuai agar keputusan yang dibuat akan menghasilkan faedah yang diharapkan.

Memilih parti politik, BN atau PR untuk diserahkan amanah bagi mentadbir urus khazanah negara akan meletakkan kita semua rakyat kepada pendedahan risiko yang terlalu amat besar.  Namun sebagai negara yang mengamalkan pemilihan kerajaan secara demokrasi kita tidak ada pilihan selain dari  memilih salah satu dari mereka. Mereka BN dan PR adalah mutually exclusive. Maka pandai-pandai dan bijak-bijaklah kita melakukan pemilihan kerana kita semua yang berparti atau tidak berparti termasuk mereka yang bersaing untuk mendapat mandat , rakyat semua akan menerima kesan dari pilihan yang dibuat. Dalam demokrasi, majoriti yang akan memimpin.

Dengan itu majoriti mestilah dapat melakukan sebaiknya memilih salah satu parti-parti ini, BN atau PR untuk menerima amanah mengurustadbir khazanah negara demi kebajikan rakyat semua.


Jadi bagaimana caranya supaya majoriti rakyat akan dapat membuat pilihan terbaik, BN atau PR.


Ini satu persoalan yang mudah ditanya dan rumit juga untuk menjawab kerana dari segi asasnya kedua-dua pihak menyatakan akan membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat. 

BN sebagai yang memerintah mempunyai banyak pengalaman berbanding PR. Mempunyai rekod kerja. Membawa banyak pembangunan. Membalas  budi diatas apa yang telah dibawa dan dinikmati. Mengekalkan  keselamatan, keamanan dan kestabilan demi perpaduan. Mengapa perlu berubah kepada yang lain yang kita belum tahu rekod kerjanya, yang kurang berpengalaman, yang belum menabur budi dan jasa.


Diatas adalah diantara hujah-hujah mereka yang mahukan status quo, pilih BN.


Kita wajar berubah membina negara Malaysia yang baru yang memberi keadilan kepada semua rakyat; keterbukaan dan kebebasan bersuara dengan menghapuskan undang-undang yang menghalang atau menyekat hak tersebut; kerajaan yang berwibawa yang tidak tercemar dengan perlakuan rasuah, nepotisma dan kronisma dan membantu mereka yang benar-benar perlu dibantu tanpa merujuk kepada kaum dan agama; tidak menyalahgunakan kuasa dengan mencampuri cabang-cabang urusan yang lain.

Diatas adalah sebahagian dari hujah mereka yang mahukan pertukaran kerajaan dari BN ke PKR.

Sebagai rakyat apa yang perlu kita buat. Sudah tentu kita yang layak mengundi , pergilah mengundi apabila tiba masa nanti. Siapa yang kita wajar undi? Itu tanya diri sendiri.

Hanya anda beri jawapan kepada soalan-soalan seperti dibawah ini:
i) Setujukah anda subsidi minyak dihapuskan.
ii) Adakah anda rasa beban perbelanjaan apabila harga minyak dinaikkan.
iii) Adakah hanya harga minyak dan tarif letrik  saja yang naik. Bagaimana dengan harga barangan yang lain seperti ikan dan perkhidmatan.
iv) Ada cadangan untuk mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang membuatkan semua pihak termasuk anda akan dikenakan cukai walaupun anda tidak termasuk orang yang boleh dikenakan cukai pendapatan. Setuju kah anda?
v) Pendapatan anda terlalu kecil jika dibandingkan dengan pendapatan Pengeluar Letrik Bebas. Mereka mendapat insentif anda pula dipotong subsidi. Setuju ke?
vi) Anda sudah tentu benci rasuah. Bagaimana sikap kerajaan terhadap perasuah. 
vii) Apa yang anda dapat belajar dari kes Khir Toyo yang sedang dibicarakan.
viii) Apa yang anda dapat belajar dari kes sodomi 2 Anwar Ibrahim. Anda bersimpati pada siapa?
ix) Setujukah anda bersubahat dalam menyebarkan fitnah, berulang kali pula. 
x)Kalau setuju dengan ix) bagaimana reaksi anda jika anda atau keluarga anda yang menjadi pihak yang difitnah
xii) Anda ingin membentuk kehidupan keluarga yang bermoral?
xiii) Kalau jawapan xii) itu ya apakah pendirian anda terhadap mereka yang menyebar dan menayang video lucah.
xiv) Jika pendirian xiii) anda terlalu jijik dan benci dengan perlakuan itu apakah yang anda perlu buat semasa pilihanraya nanti
xv) Apakah yang anda faham amal makruf nahi mungkar.
xvi) Lihat diri anda sendiri, ok ke?


Kalau jawapan xvi) ok maka anda undilah BN. BN saja sebab BN dan PR adalah mutually exclusive. Kalau jawapan tidak ok, anda tengok balik jawapan soalan-soalan terdahulu. Saya rasa anda tidak ok akhirnya. Maka undilah PR. PR saja sebab PR dan BN adalah mutually exclusive.

Seperti yang saya katakan diatas tadi kita mesti ada kepakaran dan maklumat dari berbagai saluran. Kalau semua sudah ada, mudah bagi kita untuk memilih menyerahkan amanah kita semua kepada BN atau PR untuk mentadbir urus khazanah negara demi kesejahteraan semua rakyat.  

Selasa, 21 Jun 2011

Negara Kebajikan : Mengapa Bengkrap ?

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir mengikut laporan akhbar menyatakan jika kerajaan melaksanakan negara kebajikan sepenuhnya maka negara akan menjadi bengkrap. Benar ke begitu?

Kenyataan beliau ini sebagai reaksi kepada komitmen yang telah dinyatakan oleh PAS dalam Muktamar parti tersebut baru-baru ini, jika mereka diberi peluang untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan bersama dengan rakan kongsi PKR dan DAP. Komitmen PAS itu nampaknya mendapat sokongan dari PKR dan DAP. Nampaknya mereka sejalan. 

Tetapi benar kah negara akan jadi bengkrap seperti yang dikhuatiri oleh bekas Perdana  Menteri itu?

Selain dari itu ada juga kenyataan yang telah dikeluarkan oleh menteri-menteri tentang isu bengkrap ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala juga pernah menyatakan seperti yang dilaporkan oleh akhbar bahawa jika kerajaan meneruskan dasar subsidi maka negara akan juga jadi bengkrap.


Begitu juga kenyataan dari menteri-menteri bahawa jika cadangan dalam Buku Jingga yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat PR) dilaksanakan maka negara akan menjadi bengkrap juga.


Jelas kecenderungan pihak kerajaan menggunakan perkataan bengkrap dalam hujahan kerajaan   memperkecilkan  apa yang hendak dibawa atau diperkenalkan oleh parti lawan. Dalam lain perkataan apa yang hendak dilaksanakan oleh parti lawan adalah sesuatu yang memberi kesan buruk dan tidak baik kepada negara dan rakyat.  Benar ke begitu?


Saya bukan pakar ekonomi atau mengerti sangat hal-hal pengurusan kewangan  terutama yang berkaitan dengan negara. Cuma saya ingin menyatakan sekirannya negara bengkerap disebabkan untuk membantu rakyat yang susah saya sedikitpun tidak menyesal memilih kerajaan yang berbuat begitu. Saya akan menyalahkan diri saya memilih kerajaan yang menjadi bengkrap kerana salah urus dan salah tadbir khazanah negara yang diamanahkan.


Dengan demikian saya akan berkata begini: Kalau
i) harga barang dan perkhidmatan banyak yang naik saya kata tidak pandai urus. 
ii) subsidi minyak di potong dan di hapuskan sehingga menyeksa rakyat yang susah, saya kata tak pandai urus juga. 
iii) berlaku rasuah yang tidak diambil tindakan , dan kalau adapun tindakan diambil hanya secara pilih-pilih maka saya kata salah urus.
iv) harga projek berlipat ganda naik dari harga asal, salah urus jua.
v) membantu mereka yang senang-senang misalnya syarikat IPP  adalah tindakan yang tidak betul.
vi) harga sesuatu aset (tanah dan sebagainya) ditafsir dibawah nilai harga pasaran, dalam sesuatu transaksi, juga tidak betul.
vii) mencampur aduk urusan rasmi dan peribadi  pun tidak wajar.
viii) dan banyak-banyak-banyak lagi yang sejenis dengannya saya kata tidak patut.


Jadi kenapa tidak bekas perdana menteri dan menteri-menteri yang berkuasa itu melihat beberapa sinario 'kalau' yang dinyatakan diatas, dan menyuarakan penentangan dan seterusnya mengambil tindakan yang sesuai. Bukankah itu lebih baik berbanding dengan penentangan terhadap negara kebajikan?

Walaupun sinario diatas dikatakan  'kalau' tetapi maklumat-maklumat yang tersebar mengatakan ianya satu hakikat. Bermakna negara akan boleh jadi bengkrap. Bukanlah disebabkan negara kebajikan. 
 

Isnin, 20 Jun 2011

MEMBERI dan MEMINTA: Dua sikap dan Perlakuan. Pilihlah MEMBERI

Memberi dan Meminta adalah dua bentuk perlakuan dan sikap yang membentuk sebahagian dari budaya kita manusia dalam mengharungi kehidupan. Kita telah biasa dengan kata-kata : Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang meminta untuk menggambarkan sikap atau perlakuan yang lebih diingini dan dihormati agar menjadi budaya yang perlu diamalkan.

Dalam hubungan ini saya tertarik tentang satu sikap dan perlakuan yang menjadi amalan pemandu-pemandu kenderaan di England yang wajar kita tiru dan amalkan sebagai satu budaya bagi kita pemandu-pemandu di Malaysia. Walaupun mungkin bagi setengah dari kita menganggap perkara yang akan diperkatakan ini terlalu kecil dan remeh namun saya merasakan sikap dan perlakuan ini jika diamalkan akan dapat membentuk peribadi kita dalam hubungan kita sesama manusia, dan kesannya sungguh positif sekali.

Kalau kita pernah memandu kenderaan di England maka satu finomina yang kita temui ialah isyarat memberi laluan kepada pemandu yang lain untuk memotong kenderaan dihadapannya di jalanraya dua hala. Sekiranya kita mahu cepat dalam perjalanan menuju ke satu-satu destinasi dan dihadapan kita terlalu banyak kenderaan sedangkan kenderaan yang menghala arah yang bertentangan juga banyak maka ia sudah tentu merumitkan kita untuk membuat potongan kereta dihadapan kita. Ini akan melambatkan kita untuk sampai ke destinasi yang dirancang. Tapi anda jangan risau jika anda berada dijalanraya dua hala di England. Anda boleh saja memecut kenderaan anda untuk memotong kerana pemandu dari arah yang bertentangan tidak akan marah pada anda misalnya dengan membunyikan hon dan menunjukkan berbagai isyarat kemarahan yang lain seperti yang pernah anda hadapi di Malaysia. Malah pemandu kenderaan yang bertentangan itu dengan begitu  sopan dan baik sekali akan menyalakan lampu dan memperlahankan kenderaannya untuk memberi laluan kepada kita agar dapat memotong kenderaan dihadapan kita. Kenderaan dihadapan kita tidak juga memecut dengan lebih laju untuk menghalang kita memotongnya.

Bagaimana di Malaysia? Masyarakat, yang kita sendiri syok berbangga sebagai sopan santun dan halus budi bahasa. Tidak kira apa bangsa , warna kulit, usia atau kedudukan sosialnya perangai dan sikap sebahagian besar pemandu kita tidak begitu. Malah saya katakan sebagai tidak sabar, tidak mahu membantu dan tidak ada sopan santunnya kerana berbagai isyarat yang menzahirkan kemarahan dapat kita saksikan. 

Mungkin juga sebahagian dari kita beranggapan bahawa pemandu itu hendak memotong 'Q' maka lantaran itu tidak wajar diberi kerjasama. Mungkin ada kebenaran anggapan itu, dan perlakuan seperti itu tidak wajar dilakukan dalam keadaan yang tidak perlu, iaitu bukan keadaan darurat. Tetapi sebenarnya kita lebih tahu sama ada kita bersikap tidak mahu membantu atau disebabkan perangai orang yang potong 'Q'. Untuk itu cuba kita uji diri apabila ada kenderaan yang datang dari arah bertentangan yang hendak memotong yang akan bertembung dengan kereta kita. Apa reaksi kita. i) Menyalakan lampu dan tunjuk isyarat tangan dan marah-marah dan tidak memperlahankan kereta. Atau ii) menyalakan lampu dan memperlahankan kenderaan untuk memberi laluan dan mengangkat tangan sambil memberi senyuman.

Dari pengalaman saya, semua pemandu kenderaan Malaysia akan memilih reaksi yang pertama.

Sesungguhnya budaya mereka di England adalah lebih kepada memberi dari meminta. Mereka tanpa di minta memberi laluan. Tidak di Malaysia kerana kita mengamalkan budaya meminta. Dengan yang demikian jika tiada yang memberi maka timbullah perasan marah dan boleh menimbulkan masalah dalam pemanduan. 

Saya ingin beri contoh tentang budaya meminta ini dalam pemanduan. Kalau kita memandu katakan di lebuhraya utara selatan menuju ke arah mana saja, selatan atau utara kita akan ketemui pemandu-pemandu yang memandu dilorong sebelah kanan (lorong laju). Ada setengahnya mengekalkan pemanduannya dilorong yang sama begitu lama sehingga boleh menyekat laluan kenderaan yang lebih laju. Maka kenderaan yang laju itu menyalakan api sebagai isyarat 'meminta' diberi laluan. Sekiranya lambat diberi laluan maka diulang lagi nyalaan lampu itu. Jika tidak juga memasuki lorong disebelah kiri maka kenderaan yang mahu memotong itu masuk ke lorong kiri memotong sambil membunyikan hon dan masuk dengan segera ke lorong kanan sebagai menyatakan kemarahan kepada pemandu yang dianggap tidak 'tahu peraturan pemanduan' itu.

Apakah yang dapat kita perkatakan tentang sinario diatas. Saya berpendapat kedua-dua pemandu itu tidak mengamalkan budaya memberi. Sepatutnya pemandu yang pertama itu tidak mengekalkan pemanduan yang begitu lama di lorong laju itu tapi berpindah ke lorong sebelah kiri untuk memberi laluan kepada pemandu yang laju. Pemandu yang kedua pun salah juga. Mengapa setelah gagal meminta laluan dengan nyalaan lampu berkali-kali dan setelah memotong melalui lorong kiri dan masuk semula ke lorong kanan perlu marah-marah dengan membunyikan hon. 

Sikap dan perlakuan kedua-dua pemandu itu sebenarnya menggambarkan peribadi yang tidak mahu mengamalkan budaya 'memberi' tetapi lebih mahu 'meminta' saja.

Cerita pemanduan ini boleh juga kita hubungkaitkan dengan orang atau pihak-pihak yang suka meminta-minta. Maksud saya ialah peminta derma yang kita boleh jumpa dipintu-pintu bank, di R&R di masjid dan kompleks perniagaan. Ada sebahagiannya yang wajar diberi derma tapi ada yang menipu. Sebab itu jangan amalkan budaya meminta ini kerana ia boleh menjatuhkan imej diri , keluarga dan agama.

Cuba kita lihat pula cara mendapat derma di masjid-masjid. Peti-peti kayu yang kecil ditolak dari seorang ke seorang dalam saf-saf jemaah, meminta sejumlah wang derma. Ada yang menderma dan ada yang tidak. Mengapa kita tidak bersikap memberi tanpa tunggu diminta oleh peti-peti yang ditolak dari seorang keseorang. Pergi saja ke tabung yang disediakan dan masuk sejumlah wang yang kita hendak derma tanpa perlu diminta. Peti-peti yang ditolak-tolak itu mungkin akan mengganggu para jemaah yang sedang beramal.

Maka sikap dan perlakuan memberi itu perlu menjadi pilihan kita kerana saya nampak banyak kebaikannya berbanding dengan  sikap suka meminta. Saya lihat ada keikhlasannya kerana ianya datang dari diri kita sendiri, bila atau sebanyak mana kita perlu memberi. Tidak perlu pihak lain meminta-minta.

Ahad, 19 Jun 2011

SIAPA YANG TUMBANG: BN atau PR

Perhimpunan Bersih yang dicadangkan pada 9 Julai 2011 adalah bertujuan untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN). Demikian pendapat Timbalan Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh beberapa buah akhbar. 

Saya amat bersetuju dengan pendapat itu. Saya juga tidak mengatakan bahawa pendapat seperti itu perlu dikeluarkan. 

Kenyataan seperti itu tidak perlu dikeluarkan kerana semua pihak tahu bahawa penganjuran perhimpunan Bersih itu mendapat sokongan dari parti-parti bukan BN iaitu   PKR, PAS dan DAP yang telah berjanji untuk menggerakkan ahli-ahli mereka bagi menyertai perhimpunan tersebut termasuk Ketua Pembangkang.  Mereka berhimpun untuk menyatakan bahawa terdapat beberapa kelemahan dalam sistem dan urusan pilihanraya yang dijalankan oleh SPRM. Dengan demikian mereka mendesak supaya SPRM dapat mengambil sesuatu tindakan bagi membetulkan kepincangan yang mereka dakwa, agar pilihanraya yang adil dapat diadakan. Selagi SPRM tidak mengambil tindakan seperti yang mereka harapkan maka mereka berpendapat pilihanraya itu hanya menyebelah kepada BN dan menyukarkan mereka untuk mencapai kemenangan.


Dalam kata lain mereka mahu bertanding dalam satu sistem dan pengurusan pilihanraya yang adil dan saksama untuk semua. Dan jika mereka menang majoriti maka layaklah mereka menubuh kerajaan dan BN yang kalah jadi pula pembangkang. Benarlah kata TPM bahawa tujuan mereka berhimpun ialah untuk menumbangkan kerajaan BN dalam satu pilihanraya yang adil dan saksama kepada semua parti yang bertanding. 

Saya terlalu yakin bahawa seperti BN, PR yang masuk bertanding juga mahu memerintah. Cara untuk membolehkan mana-mana parti untuk memerintah ialah dengan mengalahkan lawan dan menang majoriti. Cara menang yang mesti di terima dan dihormati ialah kemenangan dalam satu pilihanraya yang sistem dan pengurusan pilihanraya yang adil kepada semua. Maka yang kalah itu tumbanglah. Jadi tumbang menumbang dalam pilihanraya bukan satu isu. Isunya ialah sistem dan pengurusan pilihanraya itu sendiri.


Kalau begitu kenyataan TPM itu rasanya tidak perlu dikeluarkan. Setengah pihak mungkin membaca kenyataan itu bahawa Kerajaan telah menerima hakikat bahawa Kerajaan akan tumbang jika desakan perhimpunan Bersih ini diterima dan dilaksanakan. 


Diantara perkara yang ditimbulkan oleh Bersih ialah undi pos dan daftar nama pemilih. SPRM sepatutnya berbincang dengan semua pihak dan parti yang berdaftar akan perkara yang menjadi persoalan. 

Undi pos sepatutnya tidak perlu diteruskan. Terlalu tidak sesuai dan boleh disalah ertikan. Mungkin tidak ada apa-apa manipulasi yang dilakukan oleh SPRM. Tapi untuk dimanipulasi, boleh saja. Dengan demikian mengapa kita perlu teruskan sistem yang boleh dipersoalkan dari segi 'kewibawaannya'. BN dan PR tidak rugi jika undi pos ini dihapuskan, melainkan BN atau PR berpendapat jika sistem ini diteruskan ia boleh membantu untuk mereka menang kerana pihak lain tidak dapat keuntungan dari sistem ini. Kalau begitu  kita sebenarnya mempertahankan satu sistem yang tidak adil. Saya percaya semua pihak mahu yang adil dan tidak mahu yang tidak adil dan diperlakukan sebegitu rupa.


Oleh kerana yang tidak bersetuju undi pos ini dihapuskan ialah BN dan SPRM sedangkan tidak ada sebab untuk mempertahankannya maka sebahagian besar rakyat yang bermaklumat mengesyakki sesuatu yang tidak kena. Mengapa kita membiarkan perasaan ini bercambah dan bertambah dikalangan rakyat? Sesungguhnya ia lebih merugikan. 


Daftar pemilih adalah sesuatu yang terlalu penting  dalam sesuatu pilihanraya. Kalau ada yang mendakwa ianya tidak seperti yang sepatutnya, SPRM dan pihak-pihak yang berkepentingan duduk berbincang. Kalau SPRM dapat membuktikan dakwaan mereka itu liar maka maklumkan seluruh negara supaya rakyat sendiri tahu bahawa parti pembangkang memang suka mengada-ngadakan sesuatu yang tidak benar. Sudah tentu rakyat hilang kepercayaan kepada pembangkang dan BN akan dipilh sekali lagi untuk memimpin Malaysia. Jadi kenyataan TPM bahawa perhimpunan Bersih itu untuk menumbangkan BN  janganlah dirisaukan sangat kerana BN tidak akan tumbang. 


Hanya sanya kita harapkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah tertentu supaya perhimpunan itu berjalan dengan aman kerana tujuannya baik. Sama ada tumbang atau tegak BN atau PR adalah sesuatu yang perlu diterima dalam amalan negara demokrasi. Biarlah kita menang dalam satu sistem dan pengurusan pilihanraya yang adil untuk semua yang bertanding. Baru ada ummmmp!








 

Sabtu, 18 Jun 2011

Tidak Popular Yang Popular

Mengintai-intai di Perpustakaan Kecil di rumah untuk mencari kalau-kalau ada buku yang boleh menarik hati untuk mengulang baca, saya terjumpa sebuah buku bertajuk : Inside The Treasury hasil karya Joel Barnett seorang ahli Politik Parti Buruh di England yang mengkisahkan hal-hal yang berlaku semasa beliau menjadi Ketua Setiausaha Perbendaharaan, berjawatan Menteri. Walaupun telah dua kali dibaca saya masih lagi berminat untuk mengulang baca, entah kenapa. Mungkin agaknya ianya berkisar  mengenai kerja yang saya juga pernah terlibat selama 19 tahun lebih iaitu 13 tahun di Kementerian Kewangan dan 6 tahun sebagai Pegawai Kewangan. Kerja yang tidak popular yang amat 'dibenci' oleh kawan-kawan dari jabatan dan kementerian yang lain dan di peringkat negeri pula oleh Exco.

Dalam bukunya ini Joel Barnett telah menyatakan bahawa beliau telah dinasihatkan oleh Perdana Menteri ketika itu Harold Wilson bahawa beliau (Joel Barnett) akan terpaksa menjadi tidak popular dikalangan kawan-kawan sejawatan (menteri). Sebabnya mudah saja. Joel Barnett adalah orang yang bertanggongjawab keatas perbelanjaan awam dan menteri-menteri yang lain memohon jumlah yang tertentu untuk dipertimbang. Itulah yang menjadikan beliau tidak popular.

Berbalik kepada pengalaman saya itu, selama 13 tahun saya adalah seorang Pegawai Penyemak Belanjawan (Budget Review Officer -BRO), di peringkat Penolong Pengarah Belanjawan di Bahagian Belanjawan Kementerian Kewangan di Jalan Duta. Setiap BRO di beri tugas untuk menguruskan belanjawan bagi dua atau tiga jabatan/kementerian bergantong saiz jabatan/kementerian. Sekiranya kementerian itu sebuah kementerian yang besar maka BRO itu akan bertanggongjawab hanya satu kementeria saja. Saya tidak pasti ketika ini aturan yang sama masih berjalan. 

Sepanjang menjadi BRO saya telah diberi tugas bagi memeriksa dan memperakukan belanjawan bagi beberapa Jabatan dan kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara, Ikatan Relawan Rakyat (RELA); Badan Pencegah Rasuah; dan Kementerian Luar Negeri.

Sesungguhnya menjadi seorang BRO telah membuatkan saya berpeluang untuk memahami kerja dan tugas-tugas yang dijalankan oleh anggota bagi Jabatan dan Kementerian yang berkaitan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa seorang BRO mempunyai maklumat yang lebih banyak mengeanai sesuatu jabatan/kementerian berbanding dengan warga jabatan/kementerian itu sendiri. Ini adalah disebabkan setiap cadangan belanjawan yang dikemukakan mestilah diberi penjelasan yang lengkap mengapa sejumlah yang dicadang di perlukan. Jika didapati cadangan itu tidak mempunyai maklumat yang mencukupi bagi menyokong permohonan maka jabatan/kementerian terpaksa mengusahakannya sehingga maklumat itu dapat meyakinkan kami untuk bersetuju dengan cadangan tersebut. 

Sudah tentu hujah menghujah berlaku antara BRO dengan pegawai jabatan/kementerian. Kadang-kadang ada yang emosional dan berkecil hati dengan kata-kata "Suka hati you lah. Kalau apa-apa terjadi jangan salah kami. Kami dah mintak tapi tak lulus".  


Dalam apa hal sekalipun pegawai jabatan/kementerian pelaksana terpaksa juga menerima apa yang diputuskan oleh BRO yang selalu menggunakan 'had belanjawan' (budget ceiling) sebagai senjata untuk mereda 'keberangan' atau rasa tidak berpuas hati diatas keputusan BRO yang memotong atau tidak bersetuju dengan jumlah peruntukan yang mereka cadangkan. Secara peribadi saya amat simpati dengan pegawai-pegawai itu yang telah bertungkus lumus menyediakan cadangan berbulan-bulan lamanya dengan pengumpulan berbagai maklumat dan fakta. Dan apabila cadangan dikemukakan dan setelah mengemukakan justifikasi keperluan, BRO masih lagi tidak dapat bersetuju dengan cadangan. Tetapi sebagai BRO saya mempunyai tugas menentukan bahawa jumlah yang perlu diperakukan tidak melebihi dari had belanjawan yang ditetapkan. Oleh itu biasanya BRO akan meminta supaya jabatan/kementerian menentukan keutamaan masing-masing bagi jumlah yang dicadangkan.

Ada juga jabatan/kementerian mencadangkan supaya mereka diberitahu lebih awal had belanjawan yang di benarkan supaya mereka akan dapat menyediakan belanjawan mengikut had yang ditetapkan. Namun sama ada had belanjawan itu dimaklum lebih awal atau sebaliknya , pemeriksaan keatas cadangan belanjawan mereka tetap juga dilakukan agar mana-mana tugas atau aktiviti atau projek atau program yang disebabkan perubahan polisi dan sebagainya, saiznya perlu diperkecilkan atau digugurkan.


Apabila berbicara tentang polisi saya teringat satu peristiwa yang 'sedih' dan 'menyakitkan hati' saya sebagai BRO. Jabatan RELA mencadangkan supaya anggota RELA di perlengkapkan dengan senjata M16 dengan peruntukan berjuta ringgit untuk perolehan senjata itu. Maka saya sebagai BRO meminta penjelasan sama ada telah ada polisi yang telah dipersetujui untuk membekalkan RELA  dengan M16. Soalan itu tidak dapat dijawab. Saya pasti belum ada polisi menggantikan senapang patah kepada M16. Kalau tak silap saya sehingga sekarang pun anggota RELA dilengkapkan dengan senapang patah, apatah lagi pada tahun-tahun 1980an.

Oleh kerana tiada polisi berkaitan maka saya tidak pertimbangkan cadangan RELA itu. Tapi, dalam perjumpaan diantara Menteri Kewangan dengan Ketua-ketua Setiausaha/Ketua Pengarah/Panglima Angkatan Tentera/Ketua Polis Negara yang mana BRO dan pegawai-pegawai kanan Bahagian Belanjawan yang diketuai Pengarah Bahagian Belanjawan, perkara tidak bersetuju dengan cadangan RELA itu telah dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara dengan kenyataan BRO berkenaan 'overzealous'. Menteri Kewangan hendak tahu mana satu BRO yang overzealous itu. Lantas , Pengarah memandng kearah saya. Maka Menteri Kewangan pun 'marah'lah dengan mengingatkan BRO supaya tidak bersikap demikian.

Yang menjadi sakit hati ialah kenapa pak menteri itu tidak bertanya apa sebenar yang berlaku. Apa yang dicadang dan mengapa cadangan tidak dipersetujui. Bukankah BRO melaksanakan arahan yang telah ditetapkan. Saya mahu menjawab tetapi dihalang oleh pengarah. 


Rupa-rupanya ada mainan wayang. Sebenarnya dari segi Kementerian Kewangan cara yang saya lakukan itu adalah betul. Pada tahun itu saya telah dicadangkan untuk pingat AMN. Agaknya upah yang saya dapat setelah 'disakitkan hati' dihadapan ramai ketua dan pegawai kanan!

Satu lagi pengalaman yang juga menyakitkan hati apabila isteri seorang duta menunjukkan kasut tingginya kepada saya yang katanya telah haus tumitnya yang perlu diganti. Oleh kerana peristiwa itu berlaku di rumah kediaman rasminya dan saya pula tetamu yang dijemput, saya tidak membuat apa-apa  komen ketika itu. Cuma saya hairan kalau kasut perlu diganti, ganti sajalah. Namun saya juga amat menyesal kerana tidak memeriksa sama ada isteri duta itu layak diperuntukkan wang untuk menggantikan kasutnya. Saya rasa beliau layak, kalau tidak masa kan kasut itu jadi item pertama yang ditunjukkan kepada saya seorang tetamu di rumahnya.

Jadi sebagai BRO saya telah mengumpul banyak pengalaman tentang tingkah laku, sikap, perangai dan minat serta kecenderungan berbagai pihak dari yang rendah sehingga yang tinggi dalam berbagai kedudukan. Satu perkara yang saya dapat simpulkan ialah semua orang mengatakan keperluan mereka lebih penting dari yang lain dan dengan itu peruntukan mestilah diberikan. Lagipun katanya wang itu 'bukan wang bapa kau, mengapa susah sangat nak bersetuju'. Saya pernah berkata bahawa 'sebab wang itu bukan wang bapa akulah , aku mesti jaga baik-baik. Kalau wang bapa aku, aku joli betul-betul. Lebih-lebih aku kena marah'.

Oleh itu jangan merasa hairan jika penjawat awam selalu menjadi sasaran  pihak tertentu untuk 'dipukul'. Mungkin ada yang wajar dipukul namun sebahagian besar penjawat awam telah menunjukkan sikap yang baik dan telah memberi perkhidmatan dengan penuh taat dan setia kepada siapa saja yang menjadi ketua kerajaan.

Mereka yang bekerja sebagai BRO macam saya dulu saya percaya sedang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam memperakukan jumlah peruntukan yang wajar dipertanggongkan keatas wang awam. Kerja anda yang tidak popular itu akan menjadi anda popular kerana sentiasa disebut-sebut, dan biasanya sebutan yang kita tidak suka. Tapi tidak mengapa. Itu kerja kita. Kalau nak jadi popular yang popular jadilah seorang artis.

Sekian saja sebuah kisah pengalaman yang saya dapat tulis setelah membaca semula buku Inside The Treasury. 




Jumaat, 17 Jun 2011

Salam Jumaat .........15: Seronoknya Status Rasmi dan Apalah Ada Kenaikan Harga.

Assalamualaikum wbth, Salam Jumaat untuk para budiman sekalian semoga kesemuanya sihat-sihat belaka. Amin

Kali ini kita hendak membicarakan tentang status Rasmi dan Kenaikan Harga Barang.

Status Rasmi ini kita maksudkan adalah satu status atau kedudukan yang memberikan seseorang itu  kewajaran untuk menggunakan wang awam  atau wang pembayar cukai atau wang rakyat dalam perlaksanaan tugas dan tanggongjawab mereka. Kewajaran itu disahihkan lagi dengan Peraturan Pentadbiran yang dikeluarkan dari semasa ke semasa dan undang-undang dibawah sesuatu  Akta dan Ordinan/Enakmen.

Pertama kita sentuh lawatan rasmi ke kawasan atau kampong bagi sesuatu tujuan tertentu oleh orang-orang kenamaan katakanlah Perdana Menteri.

Kita orang-orang kampong dan juga kakitangan jabatan kerajaan yang berkaitan akan bersama-sama berganding bahu membuat persiapan bagi menyambut dan meraikan tetamu itu.

Satu daripada  persediaan ialah menyediakan jamuan makan bagi mera'i kan majlis lawatan rasmi itu. Maka Jawatankuasa Persiapan yang bertanggongjawab dalam hal-hal penyediaan makanan ini (Jabatan Kerjaan yang berkaitan) akan menguruskannya termasuklah wang perbelanjaan yang diperlukan. Sekiranya tetamu kita itu Perdana Menteri atau Ketua Menteri/Menteri Besar , berkemungkinan besar dua atau tiga ekor lembu akan tumbang.
   
Ertinya apabila ada lawatan rasmi orang kenamaan maka sebahagian kita orang kampong akan dapat rezeki tambahan. Dapat makan percuma, sedap pula. Yang paling beruntung sekali mereka yang dapat kerja-kerja  menyediakan makanan. Katakan bilangan orang yang akan turut bersama dalam majlis itu dianggarkan 10,000 orang ( bilangan ini terlalu kecil jika Perdana Menteri atau Ketua Menteri yang membuat lawatan). Satu kepala RM 5.00, menjadikan jumlah perbelanjaan menyediakan makanan itu RM50,000.00. Kemudian mereka yang membekalkan khemah dan pentas , jika diadakan dikawasan lapang, dianggarkan tidak kurang 250 khemah tidak termasuk khemah VIP. Perbelanjaan bagi tujuan ini dianggarkan tidak kurang RM50,000.00. Mereka yang membela lembu dapatlah RM6,000.00  iaitu RM2,000.00 seekor . Pembekal alat siar raya juga dapat rezeki, mungkin RM5,000.00 bergantung kepada liputan kawasan. Tidak ketinggalan juga mereka yang menyediakan cenderamata, bunga manggar, ahli pasukan silat dan kompang dapat juga merasa nikmat limpahan rezeki yang dibawa oleh lawatan rasmi ini.

Selain dari itu lawatan-lawatan rasmi biasanya ada perkara-perkara penting yang diumum untuk dilaksanakan demi kesejahteraan orang-orang kampong. Diantaranya pengumuman projek jalan, sekolah, masjid, surau dan sebagainya.

Maka sesungguhnya lawatan rasmi orang-orang kenamaan ini membawa rezeki kepada kita orang kampong. Maka bersyukur dan berterima kasihlah kita kepada pemimpin kita itu yang amat bermurah hati itu sehingga kita sesekali dapat makan sedap dan percuma; dan ada juga seorang dua dari kita dapat membekalkan makanan dan khemah dan dua tiga ekor lembu laku dijual. Selain dari itu kita pun dapat projek.  Syukur Alhamdulillah.

Dari mana agaknya wang itu diambil untuk membiayai perbelanjaan itu semua? Tidak mungkin dari gaji dan elaun pemimpin kita itu. Sudah tentu wang itu dari hasil cukai yang kita juga sebagai sebahagian dari pembayar cukai. 

Kedua, masa jamuan yang kita adakan itu sebahagian dari kita mungkin disediakan nasi bungkus atau makanan yang tidaklah sama seperti yang disediakan di meja-meja VIP. Kita makan juga walaupun tidak sama yang mereka makan walaupun dalam majlis yang sama.

Seterusnya kita hanya dapat makan percuma sesekali saja. Agaknya mereka bagaimana? Sekali? Dua kali? 

Cuma kita boleh gambarkan begini: Kerja mereka tidak sama dengan kita. Mereka banyak berfikir dan berjumpa. Berdailog, bersidang, jemputan sana, jemputan sini seperti di kampong kita. Kalau di rumah juga orang akan buat janji temu. Jadi bila masa mereka ada masa untuk hal-hal peribadi. Semuanya Rasmi. 

Kalau semuanya Rasmi apakah yang dapat kita kaitkan dengan wang poket orang besar-besar itu? Sebelum beri jawapan baca semula apakah yang boleh dihasilkan oleh status Rasmi ini kepada sumber pendapatan mereka.


Jawabnya ialah mereka jarang sekali menyelok poket untuk berbelanja. Tidak hairan poket mereka sentiasa kosong tidak berwang kerana kalau nak berbelanja tidak susah nak seluk poket, poket Rasmi sudah sedia ada.

Sebab itulah mereka tidak terasa kalau harga barang dan perkhidmatan naik. Apalah sangat harga naik 5 sen atau 10 sen atau 20 sen 'nothing' katanya, tak menyusahkan.
 
Tetapi mengapa kita perlu irihati kerana itu hak mereka dalam menjalankan tugas dan tanggongjawab rasmi seperti yang telah diperuntukkan dalam peraturan dan undang-undang yang telah diluluskan.

Kalau kita masih tidak berpuas hati masuklah bertanding dalam pilihanraya akan datang ini. Kalau menang dan boleh jadi seperti mereka ingat-ingatlah kita yang sesekali dapat menumpang status Rasmi anda.

Atau pilihlah mereka yang anda fikirkankan dapat memberi kesenangan kepada kita. Boleh ke kita dapat orang yang macam tu? Jangan-jangan sebelum dapat kedudukan, cakap bukan main nak tolong kita orang yang susah-susah. Bila dapat habuan rasmi, mereka buat tak kisah. Itupun tak apa juga. Tapi yang tertusuk dihati katanya harga naik tak menyusahkan. Betullah kepada mereka yang semuanya Rasmi. Tapi kepada kita yang sesekali dapat makan di jamuan lawatan rasmi, harga naik terlalu perit.   

Sekian. Jumpa lagi minggu depan atas tajuk bicara yang lain pula.

Rabu, 15 Jun 2011

Orang Politik Yang Ada Kuasa: Mengapa Saya Takut


Hari ini saya hanya dapat memaparkan satu kenyataan untuk di jadikan asas bicara saya yang akan datang. Akan datang tidak semesti pada esok hari. Ia banyak bergantung kepada pengumpulan maklumat. Anda sekalian bolehlah memikirkan apakah agaknya perkara yang hendak dibicarakan. 

Cuma, saya melihat orang berpolitik sebenarnya ialah untuk dapatkan kuasa. Itu pada saya tidak salah malah satu kewajaran. Kalau tidak bagaimana mereka hendak berfungsi. Saya gunakan perkataan berfungsi dan tidak perkataan menabur bakti berkhidmat. 

"Pada masa kecil dulu perkara yang amat saya takut ialah hantu. Walaupun tidak pernah berjumpa tapi saya dapat bayangkan hantu itu rupanya terlalu menakutkan-giginya tajam bertaring, rambut panjang, mata merah menyala dan macam-macam lagi rupa yang tidak menyamai manusia. 

Sekarang ini yang amat saya takuti ialah orang politik yang ada kuasa. 


Mengapa saya takut sangat dengan orang politik yang ada kuasa? Mereka bukannya hantu. Mereka manusia biasa macam saya juga. Hairan, mengapa begitu kecutnya hati saya dengan orang politik. Walaupun tidak nampak secara fizikal dan hanya terbayang dalam otak kepala, hati saya mula runsing dan rasa berdebar mula menguasai diri. Menggigil dibuatnya. Nak marah tidak boleh kesannya terlalu buruk. 

Saya ingat bukan saya seorang saja yang terlalu takut dengan orang politik yang ada kuasa ini.  Banyak lagi".

Selasa, 14 Jun 2011

Berat Sungguh Bahu Memikul

Penat dan letih sungguh bekerja dalam cuaca yang panas terik. Banyak air yang perlu diminum untuk mengganti peluh yang membasahi badan. Lencun seluar dan baju dik peluh yang tidak henti-henti keluar dari seluruh anggota badan. 


Begitulah yang saya rasai setelah sekian lama memerhati para pekerja bangunan dan buruh kasar yang membanting tulang mencari rezeki. Sesungguhnya semenjak dahulu lagi, semasa masih berkhidmat sebagai penjawat awam, saya amat menghormati sekali akan kegigihan  pekerja-pekerja buruh kasar, mereka yang melakukan kerja yang berat-berat mengangkat dan memikul barang atau bahan binaan dalam cuaca yang panas terik. Saya tidak pasti berapa upah yang mereka terima tapi saya pasti upahnya tidak melebihi dari gaji yang saya terima, seorang penjawat awam yang tidak berpanas terik yang sebahagian besar masa bekerja adalah dalam bangunan yang berhawa dingin. Jika berlaku sekejap kerosakan alat hawa dingin atau bekalan elektrik terputus maka saya diantara jumlah semua warga kerja dibangunan yang sama akan mengeluh dan melepaskan rasa marah. Panaaas. 

Sekejap pun tidak boleh menerima suhu yang panas. Bukanpun  bekerja dipanas terik menerima pancaran cahaya matahari tanpa lindungan.

Ketika itu sungguh berat mata memandang dan penuh simpati.

Tetapi dalam beberapa hari yang lepas, saya betul-betul merasakan 'berat sungguh bahu memikul' apabila saya cuba untuk membuat kerja dalam cuaca yang panas terik. Tetapi tidaklah seberat seperti yang dilakukan oleh pekerja kontrek bangunan. Saya hanya menyungkil batu 'interlocking' yang dulunya menjadi laluan kecil sebagai sebahagian ciri lanskap dirumah kami. Kiri kanan batu itu ditanam dengan rumput permidani hijau. Kami bercadang untuk menukar landskap dengan menjadikan kesemua bahagian hadapan rumah di bubuh dengan batu interlocking. Rumput permaidani hijau itu akan hilanglah dari pandangan mata nanti. Perubahan ini bertujuan lebih kepada mengelakkan kami terutama saya untuk memotong rumput setiap minggu. Penat, terutama usia semakin meningkat.

Bukan saya tidak biasa dengan kerja berat seperti mencungkil batu itu. Dulu semasa kecil lebih teruk dari itu saya telah lakukan misalnya memajak sawah dengan menggunakan kerbau dipanas terik. Tak kisah pun. Tak komplen. Tapi apabila ditawarkan kerja , dan bekerja  dalam bangunan berhawa dingin, anggota badan bertambah manja. Kalau berjalan ditengah panas mesti berpayung macam puteri lilin. Sebab itulah saya selalu menyebutkan secara bergurau kepada kawan-kawan supaya 'sediakan payung diwaktu panas' .

Berbalik kepada mereka yang bekerja berat ditengah-tengah pancaran terik matahari, terutamanya pekerja beragama Islam, saya membayangkan betapa kuatnya semangat dan iman mereka yang berpuasa dalam bulan Ramadhan. Jika saya, entahlah , tercicir mungkin agaknya puasa saya. Sehari, dua hari dan mungkin sebulan. Sebab manakan boleh tahan dalam panas terik. Saya boleh tahan tak makan. Tapi tekak yang kehausan dik kepanasan, saya tidak berani janji saya akan dapat bertahan dari tidak mengambil minuman. Kalau inilah yang berlaku kepada para pekerja berat itu, bagaimana agaknya dari sudut agama Islam?

Jawapan yang saya tahu dan mungkin jawapan yang sama juga akan diberi oleh orang Islam yang lain termasuk ahli agama yang berpengetahuan tinggi ialah pekerja itu telah tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam. Macam mana pun mereka kena berpuasa kerana mereka tidak termasuk dalam kategori orang yang boleh dikecualikan dari tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan. 

Jawapan nampaknya sudah jelas, mereka kena puasa juga. Dan kehausan tekak mereka juga saya sudah tahu dan rasa walaupun sebentar seminit dua bekerja dipanas yang terik. Haus teramat haus. 
Apatah lagi mereka yang sumber rezekinya ialah bekerja di panas terik melebihi masa yang telah saya lakukan. 

Apakah perkataan yang sesuai yang dapat saya fikirkan untuk menggambarkan keadaan kehausan mereka bekerja dipanas terik dalam bulan puasa. Gagal, saya tidak dapat mencari perkataan itu kerana kehausan mereka melampaui kemampuan daya tahan nafsu manusia. Hanya saya teringat satu perkataan gurauan dan mainan semasa kecil dulu iaitu 'mengelintin' untuk membayangkan sesuatu yang melampaui dari kemampuan daya tahan seseorang. Misalnya 'Dia terpegang besi panas, mengelintin lari mencari ubat".  Jadi bolehlah saya katakan mereka yang terlalu amat kehausan seperti yang diperkatakan diatas sebagai 'mengelintin kehausan'.

Tapi saya rasa masih lagi tidak  dapat menggambarkan rasa kehausan sebenarnya yang menusuk tekak pekerja diatas.

Oleh kerana berat memikul saya telah rasa, walaupun tidak seberat mana, sedikit cuma, mungkin ada baiknya dicadang sesuatu bagi membantu pekerja-pekerja seperti yang dibincangkan untuk dapat bersama kita yang hidup selesa, tidak seperti mereka, menjalankan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan.  Sebelum saya menyatakan cadangan, saya pohon jangan diketawakan idea saya itu apabila di ketahui kelak nanti jatuh semangat saya untuk berbicara. Saya bukanlah seperti pekerja tadi yang mempunyai semangat dan daya tahan yang kuat. Saya pekerja yang telah dimanjakan. Mudah 'terpele'ot'.

Mengapa tidak pada bulan puasa pekerja-pekerja Islam dikecualikan dari melakukan kerja-kerja berat seperti jenis kerja yang sedang kita katakan, khususnya bekerja dalam kawasan terbuka dalam cuaca panas terik. Saya faham bahawa orang Islam mesti ada kekuatan dalam apa keadaan sekalipun. 'Apalah sangat panas di dunia', mungkin akan terkeluar kata-kata dari mereka yang bahunya yang tidak pernah atau yang tidak memikul beban berat dipanas terik. Atau 'Iman kita mesti kuat, barulah Islam hebat', dari para pemikir, cendiakawan dan pakar motivasi yang terlalu biasa dengan bilik berhawa dingin. Atau ' boleh mengekang dan melambatkan pembangunan negara', kata pemimpin kerajaan dan mereka yang terlalu taksub kepada pembangunan fizikal sebagai ukuran kemajuan.

Kalau begitu apa yang kita perlu buat untuk membantu mereka. Semua pihak terutama pihak yang ada kuasa perlu membantu mereka dengan cara dan pendekatan pemikiran yang positif dan bukan dengan mengeluar kata-kata cemuhan, menyindir atau apa saja untuk dijadikan alasan bagi membiarkan pekerja seperti ini meneruskan nasib mereka khususnya dalam bulan puasa.

Tahu atau tidak, pernah lihat atau tidak , saya mohon maaf terlebih dulu kepada pekerja-pekerja ini, bahawa sebahagian besar pekerja Islam itu tidak mampu berpuasa. Haus. Tekak kering. Mungkin ada pihak berhujah menyatakan pekerja-pekerja seperti ini walaupun tidak bekerja di panas terik tidak akan berpuasa juga kerana iman mereka tipis. Jangan begitu Tuan. Jangan cari alasan. Itu bukan kaedah dakwah. Itu kaedah nak cari salah yang memang menjadi kegemaran banyak pihak yang duduk dan hidup selesa macam saya.

Saya yakin pihak yang ada kuasa dan kita boleh melakukannya. Membantu mereka. Kalau tidakpun seperti cadangan saya itu, lakukan apapun  cara untuk membantu mereka.

Jangan juga lupa untuk melihat upah mereka. Biarlah sepadan dengan beban berat yang mereka pikul diatas bahu mereka. Ya benar kelulusan akademik mereka tidak tinggi, tetapi bangunan yang berhawa dingin yang kita miliki, atau dipejabat tempat kita, saya bekerja yang mendingin dan menyelesakan kita semua adalah atas keringat mereka yang berjijiran membasahi tubuh mereka. 

Harga barang dan perkhidmatan ketika ini naik gila, maka wajarlah upah mereka juga dinaikkan.

Esok hari saya akan meneruskan kerja mencungkil batu interlocking  itu. Masuk esok sudah 4 hari kerja itu di buat tapi masih lagi belum siap. Hanya dalam keluasan yang tidak seberapa, saya tidak mampu menyiapkannya dalam satu hari. Sebenarnya bukan satu hari. Hanya dari pukul 7.30 pagi sampai pukul 1 tengah hari. Waktu itu panas terik. Tak boleh tahan. Haus, mengelintin saya mencari air untuk tekak yang kering. 

Saya juga nak beri tahu bahawa saya juga nak jimat belanja dalam keadaan harga barang dan perkhidmatan yang rancak naik ini. Kalau nak upah orang buat boleh juga tapi siapa pula nak bayar. Saya dah bersara.

Isnin, 13 Jun 2011

Beruk Monyet dan Kera, Jiran Kita Yang Baru

Saya tidak dapat membezakan yang mana satu beruk, monyet atau kera. Rupa sama saja. Oleh itu saya ringkaskan ketiga-tiga ini sebagai BMK supaya tidak ada satu dari mereka yang ketinggalan dalam cerita yang saya nak kisahkan ini.

Sekarang untuk melihat BMK tidak perlu lagi pergi ke taman binatang atau zoo. BMK boleh kita jumpa berkeliaran sama ada disekolah,  taman perumahan, ditepi atau sepanjang pinggir lebuhraya- semua lebuh raya, dipadang golf dan dimana saja asalkan ada sedikit tumbuhan pokok-pokok untuk mereka bermain dan cari makan sambil melompat dan bergayutan.

Salah sebuah sekolah yang memang terkenal dengan kehadiran BMK ialah Sekolah Menengah Sains Mudzaffar Shah Melaka (Mozac). BMK sudah tidak asing lagi bagi warga Mozac. Malah ketiadaan BMK adalah merupakan satu soalan segera yang akan ditanya. "Mana perginya BMK hari ini?" Satu soalan semacam rindu akan tiada BMK. Tetapi itu hanya soalan imiginasi saya saja.

BMK tidak pernah  gagal untuk bersama warga Mozac setiap hari terutama selepas melihat sisa-sisa makanan dibuang di dalam tong sampah yang amat ditunggu dan dirindui oleh BMK untuk mencium dan menyelongkar serta membawa lari apa yang dapat dan sempat. Hari paling ditunggu-tunggu ialah hari Sabtu dan Ahad dimana ibubapa atau penjaga datang menziarahi anak-anak dengan membawa sama berbagai jenis makanan dan juadah. Bukan saja anak-anak beraya sakan menikmati makanan yang dibawa tapi BMK pun menumpang sekaki. Kalau di tinggalkan saja makanan di dometeri terutama Asrama Puteri, tanpa siapa yang mengawasi, jangan kecewa apabila makanan anda hilang dibawa lari.

Bagi setengah pihak BMK ini terlalu mengganggu dan boleh mendatangkan bahaya terutama kepada para pelajar khususnya di Asrama Puteri yang menjadi tempat tumpuan utama. Oleh itu ada yang mencadangkan pihak PERHILITAN mengambil tindakan untuk menangkap atau memerangkap untuk dibawa ketempat lain. Mungkin ke hutan lain misalnya di Taman Negara. Ada pihak yang lain pula buat tak kisah saja dan menganggap BMK itu sebahagian dari kenyataan hidup yang perlu diterima.

Saya bersetuju dengan kedua-dua pandangan diatas. Pandangan pertama ada kekuatannya kerana BMK ini telah tidak lagi takut kepada orang apatah lagi pelajar-pelajar perempuan yang sebahagian besarnya lemah semangat. Maka BMK nampaknya semakin berani dan sedikit bermaharaja lela memasuki dometeri dan mengambil makanan walaupun pelajar berada dalam dometeri. Selain perbuatan itu menakutkan pelajar, ianya adalah merbahaya sekali kerana BMK boleh menyerang jika perbuatannya di halang. Jika pun tidak dihalang, BMK  boleh bila-bila masa menyerang sebab BMK memakai undang-undang mereka sendiri-Undang-undang Hutan.

Saya juga bersetuju dengan pandangan kedua juga yang menerima BMK sebahagian dari kenyataan hidup. Sebenarnya tapak Mozac itu asalnya sebuah bukit berhutan. Tempat BMK dan binatang-binatang lain bermastautin, bermain lompat melompat dan bergayutan mencari makan dan bersiang malam. Oleh kerana sebahagian bukit berhutan itu telah menjadi tapak  sekolah Mozac dan beberapa Taman Perumahan di sekelilingnya maka dimanakah mereka hendak meneruskan kehidupan. Yang tinggal untuk BMK dan binatang yang lain ialah sejemput bukit berhutan. Jadi tidaklah kita boleh mengatakan BMK itu merampas hakmilik kita seperti makanan. Sebenarnya kita terlebih dulu merampas hak mereka. Dengan demikian kita kena terima BMK itu sebahagian dari jiran kita. Cuma BMK tidak mengamalkan undang-undang kejiranan seperti kita manusia. Apa yang difikirkan menyelera, dia punya sukalah untuk melakukannya, konsep jiran memang tiada. Kita manusia pun serupa juga  malah lebih teruk lagi.

Mereka yang tinggal di taman-taman perumahan dan rumah-rumah yang berdekatan dengan hutan tempat kediaman BMK, dimana-mana saja, bukan saja taman-taman perumahan berdekatan Mozac, sudah tentu mengalami peristiwa pasu-pasu bunga pecah akibat perbuatan BMK. Ada pula dapur mereka dimasuki. Selalunya tanaman yang berbuah seperti mangga dan papaya menjadi kegemaran BMK. Tak sempat nak dipetik untuk merasa nikmatnya sang BMK telah terlebih dulu memakannya atau merosakkannya.  

Kalau kita hendak marah tidak wajar juga sebab buah-buah itu sebagai ganti buah-buahan hutan yang telah tiada lagi disebabkan memenuhi keperluan kita, sebuah rumah kediaman diatas tapak yang asalnya BMK yang terokai  terlebih dulu. Jadi jika BMK makan buah yang kita tanam, halalkan saja, jangan ambil senapang, pistol atau buat perangkap untuk membinasakan mereka. Mereka pun nak hidup juga.

Sekarang saya rasa kita kena terima realiti bahawa BMK adalah jiran kita yang baru, Cuma cara hubungan kita dengan mereka mestilah lain dan berbeza  dari kita sesama manusia. Kita mesti berbuat baik, mesra dan pemurah. Tetapi jangan keterlaluan sampai naik muka, habis dapur kita diselongkarnya. Boleh menjadi bahaya kalau kita ada anak kecil, boleh dibawa lari. Jangan pula menakut dan mengancam mereka kerana itu satu perbuatan yang boleh mengundang bahaya, diserang dan digigitnya nanti.

Ertinya kita sebagai manusia yang telah merampas hak BMK dan yang senasib dengannya hendaklah pandai-pandai menyusun cara bagaimana untuk menjadikan BMK jiran baru kita ini jiran yang tidak merunsingkan fikiran.

Realitinya BMK adalah jiran baru kita ketika ini.