Pukul 8.05 pagi waktu Malaysia dan pukul 01.05 pagi waktu Greenwhich, talipon dibilikku berdering. Isteriku Jamaliah, yang ku panggil Jam menjawabnya. "Hari ni berapa hari bulan? Mama pun tak tau. 2 hari bulan? Pasal pe Man? La, mama sendiri tak ingat. Terima kasih Man............". Begitulah sebahagian kata bual yang dikeluarkan oleh Jam semasa bercakap dengan anak kami Lukman yang berada di Rothertham, England.
Rupanya hari ini 2 April 2011 adalah hari ulang tahun kelahiran yang ke 58 isteriku Jam. Bukan saja beliau terlupa, Saya pun sama juga, terlalu asyik menguruskan Ahmad Naqib cucu kedua yang baru berusia 10 hari. Saya pun tersipu malu. Namun setelah tahu, terus mengucapkan 'Selamat Hari Jadi'. Jam kata tak kisah, dah tua katanya. Jangan pula salah anggap, dia bukan merajuk tetapi menerima realiti bahawa semakin tambah usia banyak yang kita terlupa, terutama macam saya yang sudah tujuh tahun bersara. Keutamaan pun mula berubah. Dulu tidak ada cucu. Sekarang dah ada dua orang. Fokus beralih pula dari anak kecucu seperti yang terjelas dalam penantian yang disusun dalam ayat ini, "Hari Sabtu ni, Yousef balik. Kita belilah mainan sebab dia dah pandai pegang". Berbeza dengan dulu, "Mari kita pergi pasar. Beli sikit ikan dan sayur sebab Ira, Jaja, Lukman dan Siti balik".
Penantian pertama untuk cucu dan yang kedua untuk anak. Begitulah perjalanan sebuah kehidupan sebelum kematian. Ia seolah-olah mengulangi peristiwa dan cerita yang lalu.
Apa-apa pun sebagai suami dan ketua keluarga abang mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Ilahi diatas limpah kurnia dan ikhsannya maka pada hari ini telah diberi kesempatan untuk saya , anak-anak dan dua orang cucu menyambut hari kelahiran isteri yang dikasihi, mama yang disayangi dan nenek tempat bermanja. Semoga kita sekeluarga khususnya Jam dikurniakan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran, dipertingkatkan iman, diperpanjangkan petunjuk dan bimbingan dari Allah SWT ke jalan yang benar lagi di redhai. Bagi pihak anak-anak termasuk menantu dan cucu mengucapkan ribuan terima kasih diatas segala khidmat yang telah dikeluarkan khususnya mewujudkan suasana keceriaan dalam sebuah rumah tangga.Terima kasih kerana terlampau rajin buat kerja, terutama dalam menyediakan makanan.
Dari abang sendiri, "Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran Yang ke 58 Semoga Kita Berkekalan Di Dunia dan Akhirat". Jangan lupa makan ubat pada waktu pagi sejam sebelum sarapan. Jangan juga lupa sediakan ubat untuk abang waktu sarapan pagi. Nampaknya tanda-tanda telah jelas kita ni dah berusia tua membilang hari dan ketika.
Ketika menulis ini, ucapan dari Ira, Jaja dan Lukman telah diterima. Anak bongsu saya CT yang dipanggil Eten, belum lagi diterima. Masih tidur agaknya beliau di Mansoura, Mesir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan