Theflowersellingboy

Selasa, 29 Mei 2012

Papa Mama : Anak Saya

Paparan atas tajuk Papa Mama: Anak Saya seperti diatas, adalah sambungan dari paparan dengan tajuk Abah Emak :  Saya, dan Papa Mama : Anak Saya.

Mereka yang telah membaca paparan terdahulu akan lebih mudah menghubungkan cerita yang lepas dengan cerita dalam paparan ini. Rasa-rasanya ia mungkin akan lebih menyegarkan ingatan. Dan kepada yang baru terjumpa atau secara kebetulan terjenguk blog kecil ini, sebaik saja menatap tajuk diatas atau selepas habis membaca cerita ini, molek gamaknya meninjau pula cerita yang terdahulu agar hujung dan pangkal akan bersambung. Sekiranya tidak, anda hanya dapat yang hujung saja, cerita pangkal entah ke mana.
  
Baiklah saya mula menyambung. 

Apabila telah ada tanda bahawa saya dan isteri akan bertukar status sosial, maka bersepakatlah kami untuk  menentukan apakah panggilhormat yang boleh menggembira dan meningkatkan kedudukan kami, dan sebagai pengikat kasih sayang diantara jiwa raga, hati nurani kami dengan  jiwa raga , hati nurani anak-anak. Maka saya memilih papa, dan isteri memilih mama sebagai panggilan dan sapaan untuk membina dan menyuburkan rasa hormat dan kasih sayang diantara kami dan anak-anak. Justeru apabila setiap anak kecil kami telah menunjukkan kemampuan untuk menyebut patah-patah kata, papa dan mama adalah patah kata-patah kata yang kami ulangtubi perdengarkan kepada anak-anak itu dengan harapan mereka dapat menyebut dan mengulangi . Alhamdulillah ianya menjadi kenyataan, ianya kekal sehingga kehari ini.

Papa, mama :Anak saya.

Mereka , dari yang sulung hingga si bungsu enam kesemuanya, memulakan kehidupan didunia nyata ini tidaklah seperti saya. Sebaik saja mereka dilahirkan, tidak sampai 24 jam mata mereka mula dibuka, cegelang (mata dibuka luas) sungguh. Sebaliknya mata saya masih lagi tertutup sehingga beberapa hari dilahirkan. Begitu juga adik beradik yang lain. Itu yang emak ceritakan.

Itu saja yang diberitahu. Mereka tidak pernah merasakan penting untuk mencari sebab musabab jadi begitu (lambat buka mata). Mereka tidak punya fikiran 'inquisitive'. Mereka terima seadanya. Yang perlu abah fikirkan bagaimana mahu cari wang, tambah wang untuk kos saraan yang bertambah apabila bertambahnya orang baru. Upah belum tentu bertambah. Kesian, pening kepala abah. Emak seperti biasa saja, turut risau, mengukir muka sedih.

Jadi apa perlu otak abah jadi 'inquisitive', mahu tahu sebab musabab mata anaknya nya masih lagi tertutup. Ianya bukan keutamaan. Yang penting perut anak-anak dan isteri perlu diisi.

Sebaliknya saya ingin tahu mengapa jadi begitu. Mengapa berlaku dua fenomina yang berbeza bagi satu keadaan yang sama.

Saya tidak membuat apa apa kajian yang saintifik akan dua fenomena yang berbeza tentang anak kecil yang baru lahir. Tapi saya suka buat tekaan sendiri menurut rasa hati. 

Terjadinya begitu adalah disebabkan oleh deria mata anak yang sensitif terhadap cahaya. Tetapi respons berbeza kerana cahaya yang diterima berbeza.

Saya mendapat sinaran dari cahaya pelita. Malap saja. Kawasan liputan cahaya pelita juga terlalu kecil. Jadi ianya tidak menarik kepada mata anak-anak ketika itu. Kalau dibukapun kawasan yang boleh dilihat terlalu kecil dan terhad. Apatah lagi jika angin menghembus mematikan nyalaan pelita itu. Persekitaran anak menjadi gelap gelita. Makanya apa perlu dibuka mata segera. Lebih baik tutup saja. 


Anak-anak saya dapat sinaran cahaya neon dari bekalan arus letrik. Cahayanya terang benderang tidak malap seperti pelita. Tidak juga padam apabila ditiup angin.  Kawasan liputan cahaya luas sekali, sejauh mata memandang.  Sudah tentu mata anak-anak saya jadi cegelang.

Abah emak, panggilan saya untuk menggantungkan harapan, harapan kepada suatu perjalanan dibawah sinar lampu pelita yang malap, yang kadang-kadang padam apabila kehabisan minyak, tidak ada daya tahan  untuk menerima hembusan angin, padamlah
pelita itu, bergelaplah sehingga minyak dapat dibekal semula.

Anak-anak saya sungguh manja mengungkapkan panggilan papa mama, kerana disitulah pergantungan harapan mereka. Mereka bermula dengan penuh sokongan untuk membina keyakinan meneruskan kehidupan bahawa cahaya  ada disini, bermula sesaat melihat dunia. Makanya bersegeralah mata anak-anak itu menjadi terbuka kerana tertarik dengan sinaran cahaya menerangi keindahan dunia yang baru saja menyapa.

Tapi bukankah saya dan anak-anak dibawah sinaran suria yang sama? Benar. Cuma mendung banyak menghiasi awan dilangit mengiringi perjalanan abah emak membesarkan kami. 
 
Papa mama panggilan kasih sayang dari anak-anak saya. 

Saya dan adik beradik yang lain dilahirkan dirumah. Disambut oleh bidan kampong yang memotong tali pusat kami.

Anak-anak saya pula, tiga daripadanya  dilahirkan dihospital. Dua di hospital kerajaan dan satu dihospital swasta. Tiga lagi dilahirkan dirumah. Tiga lelaki dan tiga perempuan. Tiga rambut lurus, tiga rambut kerinting. Tak kisahlah ,yang penting mereka panggil papa mama. Itulah anak saya.

Dari mula lahir mereka sudah biasa dengan kereta untuk bergerak kemana-mana, jauh mahu pun dekat.  Misalnya semasa baru lahir dihospital untuk balik kerumah, balik kampong, makan diluar, berpiknik dan makan angin domestik, menziarahi kawan dan berbagai-bagai lagi program/aktiviti jauh dan dekat.  Bermula dengan kereta Datsun 1200 buatan Jepun, kereta Fiat 132 berkuasa kuda 1800 , volvo 240 dan mercedez.

Mereka itu anak papa mama. Mereka tinggal dirumah besar, berhawa dingin. Anak abah emak, sudah cukup selesa tinggal dirumah  berlantai dan berdinding buluh. Sudah tentu berlindung dari panas dan hujan dibawah payungan atap rumbia yang bocor-bocor. Rumah tertegak diatas kekuatan kayu-kayu hutan.

Saya anak abah emak. Basikal buruk pun sudah seronok. 

Anak ketiga mencipta sejarah. Dia dilahirkan secara normal, dirumah pula. Disambut oleh seorang bidan kampong yang penuh yakin akan kadaq dan kadar. Antara kata-katanya, "Allah maha kuasa. Doa saja mohon selamat" , yang disokong oleh nenek kepada isteri yang tinggal serumah. 

Sebenarnya doktor kedua-dua hospital kerajaan dan swasta telah menasihatkan supaya kelahiran dibuat secara pembedahan kerana risiko melahirkan secara normal adalah tinggi. Abang-abangnya (yang pertama dan kedua) lahir secara pembedahan kerana rongga kelahiran tidak membuka dan kecil berbanding dengan anak yang ada dalam rahim mamanya. Maka kata doktor untuk isteri dan anak selamat, pembedahan adalah caranya, tiada pilihan lain.


Penjelasan doktor seperti itu menyebabkan saya serba salah dan rasa bersalah. Pertama, jika anak ketiga dilahirkan secara pembedahan, doktor menasihatkan supaya rahim peranakan isteri diikat. Tidak boleh melakukan pembedahan lebih dari tiga kali, risikonyo tinggi, boleh mati. Maknanya saya akan ada tiga orang anak saja. Abah emak saya ada empat belas orang.


Saya mahukan anak paling kurang lima orang. Doktor kata risiko tinggi untuk anak keempat. Serba salah dibuatnya. Hendakkan tambahan anak risiko pula. Tapi hasrat, impian, harapan dan apa yang saya mahu lebih dari itu. Isteri pula tersangat dukacita kerana tidak mampu mempunyai anak lebih dari itu.

Nasihat doktor itu membuatkan saya mengalah. Isteri turut saja. Yang penting isteri selamat dan anak selamat. Mungkin itu yang ditakdirkan. 

Tunggu sejenak! Kerisauan saya dan isteri dibaca oleh nenek dengan tenang. Dia pakai ilmu logik yang paling mudah. "Dulu orang beranak juga. Lagi banyak. Beranak dirumah. Selamat. Tuhan ada. Doa saja, selamatlah". Nenek ini memang penuh yakin dengan pertolongan Allah . Syaratnya kita perlu berdoa, menyerahkan ketentuan kepada Allah.

Saya masih lagi risau walaupun sedikit kekuatan telah mula meresapi dalam perasaan mendengarkan suara keyakinan nenek tadi. 

'Bukankah saya sendiri dilahirkan dirumah' , bisikan hati yang cuba membina keyakinan  dari benih keyakinan nenek tadi . 

Saya teringat emak pernah beritahu saya bahawa  sayalah yang paling susah untuk dilahirkan. 'Menyabung nyawa, separuh nak mati' katanya. Kepala saya terlalu besar, terlalu sukar bagi menyusur keluar melalui rongga kelahiran.Tapi emak melahirkan saya dengan selamat, saya pun selamat. Yang menyambutnya bidan kampong saja yang tiada latihan kesihatan dan perubatan. Tiada diploma atau ijazah MBBS. Cuma banyak pengalaman dan terlalu yakin bahawa semua ketentuan datang dari Allah.


Abang saya dan adik beradik yang lain juga, dilahirkan dirumah. Empatbelas orang dilahirkan dirumah dan disambut oleh bidan kampong. Alhamdulillah selamat. Dua orang yang terlebih awal meninggalkan dunia, cuma pergi setelah besar dan bukan semasa kelahiran.

Graf keyakinan saya semakin meningkat tapi ianya masih belum cukup untuk saya jadikan asas untuk buat keputusan supaya isteri melahirkan anak ketiga dirumah, melalui proses kelahiran biasa, normal. Tidak pergi ke hospital seperti yang dinasihatkan oleh doktor, dari hospital kerajaan mahupun swasta. Malah temujanji telahpun ditetapkan untuk menjalani kelahiran secara pembedahan.

Saya perlu bertanyakan tuan punya diri iaitu isteri saya yang akan melalui situasi yang amat merisaukan saya. Apatah lagi dia.

Isteri seperti biasa memberi jawapan menerima saja apa yang saya putuskan. Jawapan seperti ini tidak membantu menenangkan fikiran saya kerana beban membuatkan keputusan diserahkan kepada saya sepenuhnya.

Perasaan serba salah mula menguasai saya kerana saya mula merasakan bahawa ini semua berpunca dari diri saya. Mungkin anak-anak saya mewarisi  saya ketika dilahirkan dulu yang emak kata 'separuh nyawa' itu. 

Dari perasaan serba salah saya memasuki fasa kedua iaitu rasa bersalah. Saya rasa bersalah kerana menyebabkan isteri dalam keadaan bahaya. Ini semua berpunca dari diri saya. Mungkin anak-anak saya mewarisi saya ketika dilahirkan emak dulu. Emak terpaksa menyabung nyawa 'separuh mati' ketika melahirkan saya. Susah sangat nak keluar, 'kepala terlalu besar'. Nasib baik dah besar tak besar kepala.


Saya perlukan seseorang untuk menambahkan keyakinan yang telah ditanamkan oleh nenek tadi, bahawa isteri saya tidak perlu ke hospital menjalani pembedahan. Dia akan selamat melahirkan anak di rumah, disambut oleh bidan kampong yang berpengalaman yang di impot dari Pekan, Pahang. Meriam namanya. (Telah pun meninggal dunia. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya. Terima kasih diatas kesudian membantu kami).

Maka berceritalah saya dengan seorang kawan sejawatan akan kerisauan saya itu. Kawan ini juga serupa fikirannya dengan nenek. 'Berserah kepada Allah. Beranak dirumah'. Kawan itu pun mencadangkan agar saya berjumpa seseorang yang dikenali, agak tua juga, untuk mendapat air selusuh bagi memudahkan kelancaran anak dari rahim ibu melalui rongga kelahiran. Bukan itu saja, kawan saya telah bersalaman dengan saya, 'menurunkan ijazah' yang ada pada beliau kepada saya dengan bacaan Surah Al-Syarh atau lebih dikenali ayat Alam Nasyrah. Saya diminta mengamalkan ayat itu termasuklah membaca pada air untuk diberikan minuman kepada isteri yang hendak melahirkan anak itu. InsyaAllah, katanya akan dimakbulkan doa kita.

Saya melakukan apa yang dinasihatkan oleh kawan itu. Keyakinan saya telah bulat bahawa isteri saya akan melahirkan anak ketiga kami dirumah. Berserah saja kepada ketentuan Allah. Tapi sayaratnya kita perlu berusaha, yakin dan berserah kepada Allah. 

Saya telah berusaha mendapatkan air selusuh. Saya telah berdoa untuk keselamatan isteri dan anak. Nenek terlalu yakin dan mahu cucunya melahirkan anak dirumah. Bidan pula tiada keraguan untuk menyambut anak ketiga kami dirumah.

'Beranak dirumah sajalah', kata-kata pasti yang saya sampaikan kepada isteri. Isteri terima saja tanpa keraguan dan kerisauan. Ini menambahkan lagi kekuatan pada emosi saya.

Alhamdulillah selamat. Saya dikurniakan seorang puteri. Begitulah seterusnya anak-anak yang lain. Semuanya dilahirkan di rumah kecuali yang bongsu kerana bidan Meriam sudah pergi, meninggalkan kami. Bidan kampong yang lain juga susah dicari. Orang tua yang membekalkan air selusuh juga telah pergi. Orang seperti ini juga susah untuk dicari. Usia isteripun telah meningkat maka rasanya melahirkan anak dihospital lebih sesuai kerana hospital mempunyai banyak kemudahan bagi membantu kelahiran anak bongsu ini. Itupun saya lakukan setelah mendapat jaminan dari klinik (swasta) bahawa isteri akan melahirkan anak secara normal.

Saya juga menerima ketentuan Allah apabila dua putera lelaki , yang pertama dan kedua telah lebih awal meninggalkan kami. Cara pergi yang tragis sekali, melibatkan kemalangan kenderaan. Satu yang saya pandu dan yang lagi satu  menjadi pembonceng motorsikal. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas ruh kedua-dua mereka.

Ertinya jika saya mengambil keputusan untuk isteri menjalani pembedahan dihospital semasa melahirkan anak ketiga dulu, dan atas nasihat doktor rahim kelahiran isteri  diikat maka saya hanya mempunyai satu saja anak. 

Tapi Allah mentakdirkan saya untuk membuat keputusan agar isteri melahirkan anak dirumah, memberi peluang kepada saya dan isteri untuk mengambil tanggungjawab  menjadikan mereka insan yang berguna. Kami telah melakukan sebaik mungkin.

Anak papa mama adalah berbeza dari anak abah dan emak. Anak papa mama tidak ramai, empat saja. Mereka membesar dibawah sinaran cahaya yang terang. Mereka sudah biasa dengan sebutan kereta yang selalunya kami papa mama ulang sebut sebagai 'car'. Mereka sudah selesa dengan kedinginan, dari putaran kipas dan alat pendingin udara. Kesekolah dihantar dengan kenderaan. Balik dari sekolah dijemput kerana  cahaya matahari terlalu panas, berpeluh badan. Lagipun cara itulah yang papa mama fikir lebih selamat.


Makan minum, pakaian dan alat permainan bukan menjadi masalah untuk buat pilihan. Papa mama tidak akan kecewakan apa saja permintaan. Waktu cuti sekolah, waktu cuti hujung minggu ke mana saya rasa dihati untuk meluaskan pandangan, ayuh kita pergi. 


Bukan satu yang luar biasa jika papa mama dapat panggilan talipon. 'Ada belanja  pengajian yang perlu dibuat'. Papa mama dengan segera, menuju ke bank buat pindahan jumlah yang diperlukan. Buat kad kredit 'supplement' untuk memudahkan pembiayaan. Panggilan untuk ke 'U' untuk menjemput pulang cuti semester sudah menjadi rutin. Dulu saya 'hitch hiking saja' dari sekolah ke rumah. Panggilan talipon kerana kurang sihat terlantar dihospital dinegara orang, papa mama tiada berlengah terbanglah mereka. Tidur bersama anak diwad hospital. Yang hendak mengembara ambil kesempatan sementara berada dinegara orang, papa mama cepat-cepat beri bantuan. 


Pendek kata anak papa mama sentiasa disinari cahaya yang terang dalam perjalanan mereka setakat ini. Sama seperti semasa mereka dilahirkan yang disuluhi sinar yang terang benderang sehingga menarik mata untuk memandang.

Tapi perlu diinsafi bahawa cahaya yang terang benderang itu hanya akan lebih bermakna jika anak-anak faham bahawa yang menjadi terang itu disebabkan adanya kegelapan. Maknanya yang gelap perlu kita terangkan kerana cahaya amat diperlukan dipersekitaran yang gelap.

Yang susah kita perlu bantu walaupun sekecil mana bantuan yang termampu. Banyak bersedekah adalah satu cara menerangi kegelapan. Tidak susah untuk mencari mereka yang memerlukan bantuan.

Sekarang anak-anak papa mama sudah besar panjang. Dua telah berkeluarga dan mempunyai kerjaya yang baik juga. Seorang jurutera , seorang doktor. Sudah dikurniakan juga cahaya mata. Yang seorang lelaki saja itu juga telah  bekerja, baik juga kerjanya. Menjadi seorang UT Man dalam bidang NDT (Non Destructive Testing). Masih bujang lagi. Yang bongsu masih berjuang dalam pengajian, insyaAllah dua tahun lebih lagi akan tamat.

Begitulah secebis cerita yang mahu dikongsi sama. Apa pun panggilan yang dipilih untuk mengikatkan rasa kasih sayang dan rasa hormat , sama ada abah emak, ayah ibu, daddy mummy, abah ummi, atau papa mama atau apa saja pilihan yang dirasa sesuai dan serasi, hubungan diantara kedua orang tua dengan anak-anak adalah satu hubungan yang mesti di jaga kemurniaannya. Maknanya anak tidak sedetikpun merasa tidak selamat dibawah naungan papa mama. Papa mama tidak sedetik merasakan hilang dari hati nurani anak-anaknya.

Tapi jika berlaku sebaliknya, bagaimanakah dapat kita jadi bangga menjadi papa mama. Bagaimana kita sebagai anak menjadi anak yang soleh/soleha.


 Sayanglah anak kasihlah papa mama.
    

   

Jumaat, 25 Mei 2012

Siapa Kata Kerajaan Pimpinan UMNO Telah Merosot Pengaruh dan Sokongan

Pihak yang tidak sealiran dengan UMNO sama ada yang berparti atau yang tidak berparti pada masa ini terlalu ghairah menyebarkan cerita dan berita bahawa parti UMNO yang menerajui kerajaan ketika ini telah banyak kehilangan pengaruh dan penyokong. Mereka itu terlalu amat yakin UMNO akan tumbang dan menjadi tunggang langgang selepas pilihanraya ke 13 yang akan datang ini. Hujah mereka dan asas hujahan mereka banyak bersandarkan kepada bilangan kehadiran dalam setiap aktiviti/program dan perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat (PR) dan himpunan-himpunan pihak yang mempunyai kecenderungan menyebelahi PR . Mereka mendakwa acara mereka mendapat sambutan melebihi acara himpunan UMNO walaupun dakwa mereka lagi, yang datang ke acara itu tidak dibayar,  tidak seperti UMNO yang mesti diatur dan ditanggung beres segala bayaran.

Tetapi sebenarkah begitu? Adakah bilangan kehadiran yang ramai satu ukuran yang terjamin bahawa dalam pilihanraya nanti setiap yang hadir itu akan mengundi PR dan menolak UMNO? 

Pengalaman-pengalaman yang telah lalu tidak secara menyeluruh menyokong kepercayaan bahawa kehadiran yang ramai dalam perhimpunan anjuran pembangkang akan menghasilkan undi yang memihak kepada pembangkang. Ertinya yang hadir itu mungkin merasa seronok mendengar berbagai 'pembongkaran' seperti mendengar cerita-cerita di kedai kopi sambil bermain dam haji. Bila tiba masa mengundi mereka lebih berat kepada mengisi perut yang kosong. Ada wang, ada undi. Yang mampu berbuat demikian sudah tentu parti yang ada wang, tidak lain tidak bukan UMNO lah. Apa ada pada air liur, yang kadang-kadang basi pula berbanding dengan wang, janji projek dan BR1M.  

Adakah puak-puak pembangkang ini masih berkhayal? Terlalu seronok dan lunak  dengan angka kehadiran dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 284 baru-baru ini yang mereka dakwa  mencecah 300,000. Lantas mereka terlalu yakin bahawa itulah petanda yang jelas majoriti rakyat sudah cenderung menyokong PR. Tapi dalam keghairahan itu mereka lupa, tidak semua yang hadir itu menyokong PR. 

Mungkin ada yang menyamar. Mungkin ada yang memang suka ikut-ikut saja, nak merasa bagaimana sebenarnya 'thrill' dalam satu perhimpunan yang berhadapan dengan FRU. Tembakan ges pemedih mata dan cecair berkimia bukan sesuatu yang mewah yang boleh dibuat dalam sebarang himpunan. Hanya bila berdepan dengan FRU saja kita bernasib baik berpeluang menerima tembakan itu. Pedih mata dan  bahaya juga tapi seronok mengatasi semua risiko itu. Ada yang seronok dihambat polis macam permainan cari ibu semasa kanak-kanak dulu. Lari lintang pukang. Kena tangkap, biasalah kata mereka. 'Thrill', bro.

Angka kehadiran BERSIH 3.0 sebanyak 300,000 itu juga boleh dibawa ketengah untuk dipersoalkan. Angka itu hanya propaganda penganjur dan PR saja. Sebab menurut menteri yang jaga hal-hal sebar menyebar maklumat, warisan dan budaya angkanya tidak lebih 23,000 saja. Beliau menggunakan kaedah yang saintifik dalam mengganggarkan bilangan yang hadir itu yang dikenali sebagi teknik fotografi. Saya tidak ada ilmu tentang teknik itu. Cuma boleh mengagakkan kiraan yang di buat adalah berdasarkan konsep penggandaan mengikut skala yang ditentukan. Tak kisahlah, yang penting kata menteri, yang hadir tidak lebih 23,000.

Baik. Nampaknya kedua-dua pihak menggunakan angka kehadiran sebagai asas sokongan. Cara ini tepat sekali dalam saingan politik untuk menyatakan keyakinan menang dalam pilihanraya. Politik adalah sains kuantitatif dan bukan kualitatif. Jadi kita ambil asas itu dalam menelah parti mana yang mendapat banyak pengaruh dan sokongan, dan akhirnya menang dalam pilihanraya.

Saya katakan sebentar tadi politik perlukan bilangan  penyokong yang banyak untuk meraih kemenangan. Ini semua orang tahu. Selagi orang itu layak mengundi, mereka mempunyai harga dan nilai yang tinggi dari kaca mata politik. Politik tidak membatas dari segi tahap sosial, ekonomi, rupa paras, benaan fizikal, segar cacat, celek buta, warna kulit, agama, pendidikan, budaya bahasa, kelas, sihat dan uzur, perilaku yang samseng atau yang beradab dan segala ciri-ciri yang lain bagi manusia yang hidup dan layak mengundi, dalam raihan undi demi kemenangan. Semua manusia yang layak mengundi dan masih hidup itu terlalu penting dan berguna ketika hari mengundi. Dapatkan mereka dengan apa cara.

PR dengan modal sambutan BERSIH 3.0 dan perhimpunan politik sebelum dan selepas BERSIH, yakin mereka boleh tawan Putra Jaya. Cuba kita lihat acara acara selepas BERSIH 3.0 untuk melihat petanda-petanda kurang atau tambahnya sokongan diantara dua pesaing politik ini iaitu BN dan PR. Bila dikatakan BN saya lebih merujuk kepada UMNO kerana sekutu yang lain nampak gaya masih pasif lagi.

Saya cuma ingin menyenaraikan acara acara yang telah diadakan/dirancang diadakan  selepas BERSIH 3.0 oleh UMNO dan pihak-pihak yang bersama dengannya.

1. Kehadiran sambutan ulangtahun UMNO ke 66 mencecah 100,000. 
2. Berbagai Badan/Jawatankuasa Bertindak/Majlis telah ditubuhkan/wujud sebagai reaksi menentang BERSIH/PR. Misalnya Majlis Bertindak Peniaga Kuala Lumpur, BERSIH 4.0 dan Halau 1.0.
3. Penyokong UMNO sentiasa ada dimana saja perhimpunan/ceramah politik PR.
4. BERSIH 4.0 yang anti BERSIH 3.0 akan mengadakan perhimpunan di Stadium Bukit Jalil dengan penyertaan 150,000. Bilangan yang hadir mungkin lebih ramai kerana disediakan juga hadiah cabutan bertuah dalam bentuk kereta termasuk kereta mewah Lamborghini.

5. Perhimpunan Jutaan Belia pada 235 hingga 275 di Putra Jaya.

Saya rasa cukup dengan 4 senarai diatas.  Ada banyak lagi sebenarnya,

Senarai pertama , jelas menunjukkan 100,000 kehadiran bukan petanda sokongan yang merosot.

Senarai kedua, bahawa UMNO berterusan mendapat sokongan dari berbagai kelas termasuk peniaga makanan, veteran pasukan keselamatan dan gerakan belia 1 Malaysia. Sokongan mereka adalah real, bukan olok-olok atau retorik saja. Mereka telah dengan berani berhimpun di hadapan rumah pengerusi bersama BERSIH 3.0 Datuk Ambiga dengan aksi-aksi yang menarik dan yang molek dijadikan catatan sejarah ialah aksi 'tarian punggung' dari veteran.
  
Senarai tiga, satu petanda pesaingan politik yang jelas dan berani berdepan dengan PR di sebahagian ceramah PR. Mereka berani melontar batu dan telur mencederakan bukan saja orang yang bernyawa bahkan merosakkan kenderaan yang memang tidak ada nyawa. Maknanya penyokong UMNO ini ramai dan bersifat  berani mati. Samseng?

Senarai empat tidak perlu banyak penceritaan. Angka 150,000 sudah jadi bukti jelas bahawa sokongan keatas parti UMNO ini cukup utuh.

Senarai lima, yang ini satu saja akan menonggenggolekkan PR. Jutaan belia akan berhimpun. Ya, ini program kerajaan. Parti mana jadi kerajaan ketika ini. Jawabnya UMNO lah.

Jadi kesimpulannya ialah PR janganlah terlalu ghairah dengan angka kehadiran BERSIH 3.0  dan juga ceramah-ceramah politik yang diadakan. Bilangan yang  menyokong UMNO masih lagi mantap. Mereka terdiri dari berbagai jenis manusia. PR jangan harapkan yang telus, tulus dan berbudi bahasa saja. Untuk kiraan politik jumlah itu tidak cukup untuk menguasai gelanggang politik. 

Namun PR menang satu saja iaitu penyokongnya adalah sebenarnya mewakili 1 Malaysia seperti yang PM angan-angankan. UMNO? Nampaknya menjauhkan diri dari 1 Malaysia walaupun pakai baju 1 Malaysia. 

Khamis, 24 Mei 2012

Abah Emak: Saya dan Papa Mama : Anak Saya

Abah Emak: Saya dan Papa Mama: Anak Saya. Pelik sungguh tajuk paparan kali ini. Menjadi pelik sekiranya anda berhenti membaca setakat tajuknya saja. Tapi jika meneruskan bacaan sampai habis pelik itu akan hilang dengan sendirinya. Sama ada anda merasa puas, seronok,  meluat atau apa saja bentuk reaksi terhadap cerita atau hal atau isi kandungan yang dibawa oleh tajuk itu ianya hak dan pilihan masing-masing. Saya sekadar mahu berkongsi cerita saja.

Buat memulakan isi cerita, saya dan adik beradik yang lain telah diajar, saya tidak pasti pada usia berapa, mungkin semasa kami sudah mampu menyebut patah-patah kata, memanggil  abah dan emak. Jadi saya panggil abah, saya panggil emak sehinggalah sekarang.

Sebermula abah saya mempunyai kelulusan akademik setakat darjah enam sekolah Melayu saja. Dulu orang belajar sekolah Melayu dipanggil juga kelulusan sekolah atap. Kelulusan akademik dari sekolah yang tidak ada standard berbanding dengan sekolah orang putih. Dan itu adalah satu hal yang benar, yang berpijak pada bumi yang nyata. Orang sekolah atap ini hanya layak menjadi petani atau nelayan atau yang seciri dengannya.

Semasa muda belia, abah dikhabarkan terlibat dalam profession membuat gula melaka/nira. Tugas beliau ialah memanjat pokok kelapa kerana itulah cara mulanya proses pembuatan gula itu. Proses seterusnya dan macam mana caranya saya tidak pula tahu dan tidak juga diberitahu oleh abah. Cuma emak saya dan orang sekampong beri tahu itulah profession abah semasa muda belia.

Emak saya pula ditamatkan persekolahan oleh datuk saya (emak saya panggil abah) setakat darjah empat sekolah atap saja. Dikhabarkan cerita emak saya ini otaknya terang dan boleh maju dalam pelajaran, sekurang-kurangnya boleh menjadi cikgu sekolah rendah. Tapi diberitakan bahawa datuk tidak mahu emak teruskan pelajaran kerana emak seorang perempuan. Anak perempuan wajar duduk di rumah, duduk didapur belajar memasak agar menjadi isteri yang baik.

Abah dan emak bernikah masing-masingnya pada usia 18 dan 16 tahun. Abah dari kalangan orang yang tiada kedudukan. Emak pula anak penghulu kampong. Dua darjat yang berbeza. Kalau sudah jodoh seperti kata bidalan ' asam dilaut, ikan didarat , dalam kuali bertemu jua'. 

Jodoh abah dan emak berpanjangan sehinggalah abah meninggal dunia pada usia 73 tahun. Sakit tua. Abah dan emak mempunyai 14 anak hasil perkongsian rumah tangga mereka itu. Dua anak meninggal dunia semasa kecil, seorang lelaki dan seorang perempuan. Dua belas orang anak abah dan emak masih lagi mendiami dunia ini. Dari dua belas orang anak itu , sembilan lelaki dan tiga perempuan. 

Bayangkan, bagaimana abah dan emak menguruskan anak-anaknya, terutama dari segi memberi makan, pakaian, tempat tinggal dan pelajaran. Tidak termasuk menguruskan perangai nakal anak-anak abah dan emak yang lelaki sembilan orang itu. Sebab itulah abah terlalu garang. Kalau diberi muka kepada kami, sudah tentu kami yang lelaki ini tidak menjadi orang.  Alhamdulillah semua kami jadi insan.

Walaupun emak cuba tunjuk garang dan memanjang buat leteran, saya dan yang lain-lainya tetap menggunakan emak sebagai perantara diantara kami dengan abah terutama untuk mendapatkan sesuatu, misalnya wang yuran sekolah. Kecut perut saya untuk berbicara dengan abah, apatah lagi untuk berhujah.


Sepanjang hayat abah , abah telah terlibat dalam tiga profession yang berbeza sebagai sumber mencari rezeki. Mula-mula jadi pembuat gula melaka, kemudian menyertai pasukan keselamatan dan akhir sekali menjadi penorih getah. Sebahagian besar kos sara hidup kami sekeluarga adalah dibiayai dari pekerjaan sebagai anggota keselamatan dan penorih getah. 

Bercakap fasal abah sebagai anggota keselamatan, sebahagian besar perkhidmatan abah di tempatkan di estet getah kepunyaan orang putih. Abah dan kawan-kawan dalam pasukan keselamatan yang dipanggil sebagai Special Constable atau SC bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan estet-estet getah itu (pekerja dan aset-aset yang lain) dari kacau ganggu kumpulan yang dipanggil sebagai kominis. Penempatan abah yang terakhir ialah di sebuah kampong yang bernama Kampong Lalang di ulu negeri Perak, daerah Grik. 

Apabila darurat diistiharkan tamat pada tahun 1960, semua anggota keselamatan SC ini kenalah berhenti kerja kerana ancaman dari kominis telah tiada lagi. Maka abah pun pulanglah ke kampong asal dan mencari profession yang baru sebagai sumber rezeki bagi menyara hidup keluarga. Sebagai SC, abah tidak layak dapat pencen. Abah dan kawan-kawan sepasukan hanya layak menyabung nyawa saja demi negara dan demi estet orang putih. Upah terakhir yang diterima ialah tidak sampai RM200.00 sebulan. Kalau tidak silap renungan mata saya keatas slip upah abah, upahnya ialah seratus tujuh puluh satu ringgit. Kurang lebih begitulah. Ketika itu saya dan adik beradik sudah mencapai bilangan 6 orang.


Profession terakhir abah ialah menjadi penorih getah disebuah estet kepunyaan orang putih, satu persekitaran yang tidak asing kepada abah. Cuma status abah saja yang bertukar dari seorang yang menjaga keselamatan estet dari kacau ganggu kominis kepada seorang penorih getah. Hasil torihan dalam bentuk susu itu akan dibawa ke kilang yang dulunya satu daripada aset yang perlu diberi perlindungan.  

Sebagai penorih getah, upah yang diterima adalah kurang lebih tujuh puluh ringgit sebulan. Bilangan anak abah semakin bertambah. Kos sara hidup pun bertambah. Misalnya kos makan minum, kos pakai memakai,  dan kos memandaikan anak. Belum lagi termasuk kos membaikki atap rumbia yang bocor, mengganti lantai dan dinding buluh yang patah dan rosak yang sesekali terpaksa dikeluarkan.

Upah kerja 70 ringgit. Bayangkan. Tapi anak bertambah juga. Tambah lagi kos sara hidup.

Abah ada caranya dalam menjalankan tanggungjawab memberi nafkah sara hidup kepada keluarga. Caranya berhutang. Berhutang dengan sebuah kedai runcit milik seorang India Muslim. Ertinya saya dan keluarga makan dulu bayar kemudian. Bila dapat upah, abah akan bayar. Biasanya tidak semua yang dibayar. Yang dikatakan berbaki itu akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan-perbelanjaan yang lain.

Maka lama kelamaan hutang abah dengan kedai runcit itu menimbun terkumpul. Tapi tidak pernah kedengaran tuan kedai itu marah-marah atau memberhentikan abah dari mendapat bekalan barang-barang keperluan dapur dari kedainya. Sungguh baik pakcik itu. Semoga Allah membalas yang baik untuknya. Rohnya mendapat keredhaan Allah. Amin.

Dalam keadaan sebegitu  saya dan adik beradik masih lagi dapat meneruskan pelajaran. Hanya seorang saja dari kami iaitu abang saya yang hanya tamat pendidikan rendah sekolah Melayu darjah enam. Yang lain, alhamdulillah.

Bagaimana caranya? Saya tidak mahu berkongsi cerita. Cuma saya mahu nyatakan ianya tidak berlaku kepada Papa Mama: Anak Saya. 

Saya dan adik beradik sesungguhnya terlalu bertuah mempunyai abah yang garang. Sungguh bertuah mempunyai emak yang berleter memanjang tapi penuh kasih sayang. Sebab itu saya tidak kekuk dan merasa jijik untuk mencuci kain lampin anak-anak yang kotor dengan najis, tidak juga kekuk untuk mengemas rumah dan mencuci pakaian. Sebab semuanya saya telah lakukan semasa kecil dulu. Mengandar air untuk memenuhkan tempayan, mencari kayu api, menjaga lembu dan kerbau, menapak kaki ayam kesekolah sejauh 6 kilo dan menjaja kuih muih dan buah-buahan tiada hal bagi saya. 

Mengapa saya terlalu rajin? Sebab, kalau tidak buat semuanya itu , tanpa apa-apa amaran awal rotan naik dibelakang kena belasah. Yang tukang belasah ialah abah saya. Sakit? Ada tinggal kesan? Saya tidak mahu kongsi.

Kena rotan dulu saya marah ke ? Mana ada peluang hendak marah atau hendak buat aduan. Tiada  teledera. Kami terima seadanya saja. 

Sekarang dendam? Jauh sekali kerana saya dan adik beradik amat menyayangi aruah abah sebab kerana rotan dan garang abahlah yang menjadikan kami seorang insan.


Itulah sedikit cerita Abah Emak: Saya. Cerita yang saya sentiasa ingat selagi hayat dikandung badan. Bukan kerana fasal abah yang garang tapi kerana garang abahlah yang membuat saya hidup senang dan tenang. Adik beradik yang lain pun sama juga. Adakah formula abah itu relevan digunapakai  waktu ini dalam hubungan mendidik anak-anak? Fikir sendirilah. Cukup sekadar saya berkongsi cerita.  

Semoga aruah abah dimasukkan dikalangan orang-orang yang diredhai Allah. Semoga emak yang masih ada, dikurniakan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran.

Paparan berikutnya nanti akan membawa kisah Papa Mama :Anak Saya. Ianya ada kelainan? Tunggu sehingga dipaparkan.










 



Selasa, 22 Mei 2012

DATUK PENCEN JAGA CUCU

Hari ini seperti biasa selepas solat Subuh saya meneruskan aktiviti menyegarkan badan, senaman berjalan kaki. Memulakan langkahan pada jam 6.10 pagi , menyusur deretan kediaman rumah pegawai-pegawai kerajaan kemudian memasuki trek pejalan kaki. Dan akhirnya menamatkan senaman di kolam renang. Jauh perjalanan lebih kurang 3 kilo. Waktu itu 7 pagi. Saya perlu cepat kembali ke rumah di tingkat 12 untuk menjalankan rutin harian yang biasa iaitu menjaga cucu pula. Itu lah  asas yang membawa saya ke sini. 

Badan rasa segar. Masih berpeluh. Baju lencun dik peluh semasa saya memasuki rumah. Ibu bapa Naqib sedang bersiap untuk pergi kerja. Naqib akan menangis setiap kali ibubapa melangkah keluar rumah untuk pergi bekerja. Jadi saya dan isteri mengambil Naqib untuk turun berjalan, bersiar-siar . Naqib dimasukkan kedalam stroller. 

Saya menolak Naqib dan  isteri yang jalan seiring menjinjing beg kertas kecil yang berisi dengan makanan dan minuman Naqib. Kami berjalan menyusuri deretan rumah pegawai-pegawai kerajaan iaitu laluan senaman pagi saya. Kelihatan mereka sedang sibuk bersiap untuk pergi bekerja. Ada yang sedang memanaskan enjin kereta.

Kami disapa oleh seorang lelaki dengan memberi salam sambil menghampiri saya dan menghulurkan tangan untuk bersalam serta memperkenalkan diri. Salam dijawab , tangan disambut diri diperkenalkan juga.

Sahabat  yang baru dikenali itu menyatakan bahawa beliau telah tiga tahun bersara dari perkhidmatan awam. Tugas terakhirnya di kementerian kesihatan. Dia sekarang ada tugas baru sama seperti saya, jaga cucu.  Masing-masing kami ketawa besar apabila membuka 'rahsia' kerjaya selepas bersara: Jaga Cucu- Datuk Pencen Jaga Cucu.

Sahabat itu menyatakan ia terpaksa melakukannya kerana pembantu rumah dari negara jiran Indonesia yang diupah oleh anaknya dulu telah lari menghilangkan diri semasa menjaga cucunya. Oleh itu dia sudah tidak yakin menyerahkan jagaan cucunya  kepada pembantu rumah lagi. "Tak apalah" katanya.

Saya dan isteri meneruskan perjalanan dan sahabat tadi pula masuk kedalam kereta untuk menghantar cucu ke tadika. Cucu beliau yang paling kecil baru berusia 4 bulan.

Saya dan isteri merasa seronok juga mendapat tahu bahawa ada juga datuk dan nenek  pencen seperti kami ini menjaga cucu.  Ini satu trend yang baru yang semakin berkembang. Datuk pencen jaga cucu. Kami ketawa sambil menolak Naqib. Fikiran saya mula mengisi hal-hal yang berkaitan penjagaan anak-anak kecil ini.


Dulu semasa bekerja, anak-anak kami dijaga oleh nenek isteri. Tapi kerja kemas mengemas rumah dilakukan oleh pembantu rumah tempatan dan  Indonesia yang saling bertukar. Pening juga kepala ketika itu apabila pembantu rumah keluar meninggalkan rumah, tak balik-balik. Nasib baik ada nenek . Kalau tidak , tidak tahu lah apa akan terjadi jika anak ditinggalkan begitu saja.

Nampaknya sekarang kepercayaan kepada pembantu rumah yang mana sebahagian besarnya dari Indonesia untuk menjaga anak-anak semakin menipis. Banyak orang yang bimbang dari segi keselamatan anak dibawah jagaan pembantu rumah itu. Tapi apa pilihan yang ada. Orang tempatan, tidak berminat dalam profession ini. Kalau ada yang berminatpun belum tentu tidak akan melakukan perkara yang sama seperti pembantu rumah dari negara jiran itu.

Saya lihat kerajaan tidak memberikan perhatian yang serious tentang penjagaan anak-anak kecil ini sedangkan anak-anak ini adalah aset negara yang paling berharga . Cuba kita tanya adakah ada satu polisi dibuat tentang penjagaan anak-anak kecil ini. Kita ada polisi tentang prasekolah, polisi pendidikan rendah, menengah dan tinggi. Tapi polisi tentang penjagaan anak-anak kecil sebelum memasuki prasekolah masih lagi belum ada. Yang diutamakan ialah membuat perjanjian dengan kerajaan luar bagi mendapatkan pekerja yang antara lain untuk menjaga anak-anak kecil ini. Itu saja.


Itu bukan jalan penyelesaian. Kenapa tidak diadakan peraturan bahawa setiap majikan wajib mengadakan ruang/tempat bagi tujuan penjagaan anak-anak pekerjanya. Setiap majikan wajib menyumbang dari segi perbelanjaan modal misalnya mengadakan ruang yang lengkap dengan kemudahan. Disamping itu menyediakan pekerja-pekerja yang terlatih untuk menjaga anak-anak kecil pekerjanya. Bayaran  upah jagaan itu dikenakan kepada pekerja dan majikan atas kadar perkongsian 50:50. Perbelanjaan ini wajar diambil kira sebagai perbelanjaan yang boleh ditolak dalam kiraan Cukai koperat keatas majikan dan cukai pendapatan keatas pekerja. 

Cadangan diatas nampaknya terlalu simplistik. Tapi mesej yang hendak disampaikan ialah bahawa kerajaan, majikan dan pekerja mestilah sama-sama mengambil tanggungjawab keatas kemantapan pembesaran anak-anak ini. Ibubapa mahukan anak membesar secara yang terbaik dan berjaya. Kerajaan memerlukan anak-anak ini menjadi warga yang berguna. Majikan perlukan pekerja yang terbaik. Jadi mengapa tidak mahu sama-sama mengambil tanggungjawab untuk faedah dan kepentingan bersama.

Saya dan isteri telah melampaui beberapa deretan rumah. Kami perlu berpatah balik kerana cahaya matahari mula meninggi . Naqib hampir melelapkan mata.

Pesan saya kepada bakal-bakal pesara, bersedialah tuan-tuan akan tugas baru selepas bersara. Tugas ini paling mulia. Tuan-tuan jika mahu diberi gelaran datuk mestilah sanggup menjadi datuk pencen jaga cucu. Itupun kalau sudi. Kalau tidak sudi misalnya masih lagi mahu memulakan perniagaan maka teruskanlah. Tapi pesan saya lagi sekali bahawa kalau hendak berniaga mestilah semasa tuan-tuan muda belia lagi. Selepas bersara, lupakan saja kerana jarang yang berjaya, habis duit 'ganjaran' nanti. 

Jaga cucu lebih baik. Kalau kita sudah ramai bolehlah adakan persatuan. Persatuan Datuk Pencen Jaga Cucu. Tujuannya selain dari kita boleh berhubungan, kita adakan Skim Datuk Pencen Jaga Cucu dengan menentukan  syarat-syarat dan terma kerja datuk pencen jaga cucu. Misalnya dari segi upah, cuti rehat dan kemudahan-kemudahan lain seperti kereta tolak cucu, alat permainan cucu dan sebagainya.


Kami sampai di rumah dan masuk ke bilik dan berbaring tiga bercucu.



 







Ahad, 20 Mei 2012

MAKNA dan Tanda Tangan.

Dua hari yang lepas sewaktu berjalan-jalan dalam kompleks perniagaan  Alamanda saya telah didekati oleh seorang lelaki muda yang beruniform. Beliau membuat sapaan dengan memberi salam dan memperkenalkan diri. 

"Saya dari MAKNA. Saya percaya tuan pernah dengar MAKNA". Beliau mengunjukkan kepada saya sekeping kertas keras dan meminta saya menurunkan tanda tangan diatas kertas itu sebagai tanda menyokong kerja -kerja yang dilakukan oleh MAKNA.

Saya tidak memberikan reaksi yang positif untuk menurunkan tandatangan itu kerana begitulah cara reaksi saya apabila berhadapan dengan suasana seperti itu. Saya lebih suka mengambil masa untuk melakukan sesuatu.

Saya lihat telah sedia ada banyak tandatangan yang telah diperturunkan diatas kertas itu sehingga tiada ruang yang mencukupi untuk tambahan satu tanda tangan lagi melainkan tandatangan yang akan diturunkan itu akan bertindih dengan tanda tangan yang sedia ada. Ini memberikan saya peluang untuk menyatakan tiada ruang lagi  untuk saya menurunkan tandatangan.  Cara begini saya rasakan lebih molek berbanding dengan mengatakan tidak mahu melakukannya. Namun orang /pegawai itu masih lagi mengharapkan saya menurunkan tandatangan.

Permintaan yang bersungguh-sungguh itu membuatkan saya rasa tidak kena kalau tidak menerima pelawaan pegawai itu. Lagipun apalah ruginya untuk menurunkan tandatangan. Lantas saya mencari ruang disebelah atas kertas itu dan menurunkan tanda tangan, bertindih dengan tanda tangan orang lain.

Pegawai itu mengucapkan terima kasih dan meminta izin menerangkan aktiviti-aktiviti yang dijalan dan diusahakan oleh MAKNA. Saya mendengar.

MAKNA adalah singkatan dari Majlis Kanser Nasional (National Cancer Council) sebuah pertubuhan sosial bukan kerajaan tanpa motif keuntungan. Ertinya pertubuhan yang tidak bertujuan untuk membuat perniagaan. Pertubuhan sosial yang bekerja kearah membantu pesakit-pesakit kanser. 

Maknanya MAKNA ini memerlukan sokongan orang ramai. Sokongan dalam bentuk kewangan bagi membolehkan program membantu pesakit kanser dapat disempurnakan. Oleh itu pendekatan yang digunakan ialah dengan mendapat sebanyak mungkin sokongan dari orang ramai secara berterusan agar usaha murni dan baik pertubuhan itu dapat dilaksanakan. Maka orang ramai diajak untuk menjadi ahli kepada pertubuhan itu dengan memberi persetujuan untuk membuat sumbangan yang tertentu bagi suatu tempoh atas pilihan sendiri.

Saya tidak dapat mengingat dengan tepat jumlah yang telah menjadi ahli seperti yang dimaklumkan. Tapi jumlah ini terlalu kecil berbanding dengan keperluan bagi membantu pesakit kanser ini yang dianggarkan sebanyak 40,000 orang.

Pegawai itu mencadangkan supaya saya bersetuju untuk menjadi ahli baru dan bersetuju untuk memberi sumbangan kewangan pada tempoh pilihan saya. Ada dua nilai sumbangan yang saya boleh pilih iaitu RM38.00 sebulan dan RM58.00 sebulan. Cara sumbangan adalah melalui persetujuan potongan dari akaun bank atau dari kad kredit. Sumbangan boleh dibuat setiap bulan atau sekali potongan bagi enam bulan sumbangan. Sumbangan boleh ditamatkan pada bila-bila masa dengan menghubungi pihak MAKNA.

Untuk memberi kesan kepada pemotongan melalui akaun bank atau kad kredit penyumbang diminta untuk menyatakan persetujuan dalam borang tertentu.

Pegawai itu berulangkali mengajak saya menjadi ahli bagi membantu pesakit kanser ini. Jika saya bersetuju, saya adalah orang yang ke tujuh pada hari itu yang bersetuju untuk menjadi ahli. Maka secara bergurau saya menyatakan bahawa 'saya mahu menjadi orang yang ke 1000', kerana biasanya angka 10, 100, 1000 dan yang seciri dengannya selalu dijadikan asas sebagai angka yang dipilih  sebagai bayangan kepada tuahnya atau beruntungnya seseorang.

Jika saya bersetuju, saya orang yang ke 7 menjadi ahli ketika itu. Maknanya, sebegitu ramai orang yang membeli belah di kompleks perniagaan Alamanda itu hanya 7 orang saja yang bersetuju menjadi ahli. Hanya tambahan 7 orang bagi membantu pesakit kanser. 

Yang sakit sepatutnya diberi bantuan. Apatah lagi sakit yang memerlukan rawatan yang rapi dan mahal pula kos rawatannya. MAKNA sudah ada untuk mengurus dan memberi khidmat dalam merancang dan menjalankan program membantu pesakit kanser. Maka wajarlah saya, menurut kemampuan yang ada untuk menyumbang. 

'Ok. Saya jadi ahli. Tiga puluh lapan ringgit potong setiap bulan melalui kad kredit saya'.

Terima kasih tuan.

Setelah selesai menandatangani borang persetujuan saya pun berlalu. Semasa berjalan itu teringatlah saya akan tandatangan yang telah saya turunkan keatas kertas keras yang diunjukkan pada awal perjumpaan dengan pegawai itu tadi. Rupanya tandatangan yang sebenarnya berkesan, memberi makna dan yang diharapkan oleh MAKNA dan pesakit kanser adalah tanda tangan persetujuan memberikan sumbangan. Sebab apabila menurunkan tangan ianya satu ikrar dan aku janji. Tidak boleh mungkir.

Kemudian suara nafsu  saya berbisik "Begitu ramai yang telah turunkan tandatangan sehingga kehabisan ruang, hanya 7 orang saja yang bersetuju menyumbang?" "Tandatangan untuk glamour kot", sambung bisikan nafsu saya yang berburuksangka.

"Saya tidak wajar kata begitu. Kalau nak menyumbang kenapa kaitkan dengan orang lain". Hati nurani dan akal sihat menasihatkan saya. 


Sabtu, 19 Mei 2012

Gaya Hidup Sihat : Pemakanan Seimbang dan Senaman

Hari ini hari yang ketiga saya dan isteri menyambung semula senaman pagi selepas Subuh setelah 6 bulan aktiviti itu kami tinggalkan. Ini adalah ransangan dari maklumat yang kami terima tentang profail  kesihatan tubuh badan masing-masing setelah menjalani pemeriksaan doktor.
 
Apakan tidaknya, bacaan gula telah meningkat dari 6 kepada 10.9. Ini  adalah bacaan darah yang diambil tanpa berpuasa. Isteri pula telah meningkat dari 7 kepada 9.9 , bacaan berpuasa. Bacaan tahap kolestorel yang ada kaitan dengan jantung dan tekanan darah tidak pula diambil. Tapi kami merasakan jantung kami dalam keadaan baik kerana tiada tanda-tanda rasa mengah dan penat semasa melakukan kerja. Dada pun tidak terasa sakit. Bacaan tekanan   darah adalah terkawal bagi kedua-dua kami.
 
Saya bukan pengidap penyakit kencing manis atau daibetik. Tapi maklumat tahap gula saya 10.9 itu amat menggerunkan saya. Inilah kali kedua bacaan tahap gula saya mencecah dua angka. Kali pertama semasa pemeriksaan untuk menunaikan haji pada 3 tahun yang lepas iaitu pada tahap 11 tanpa berpuasa.

Isteri pula adalah penerima rawatan sakit daibetik. Beliau pemegang kad hijau. Oleh itu bacaan gula yang tinggi itu sesungguhnya amat menggangu ketenangannya. Apatah lagi bacaan itu diambil dalam keadaan beliau tidak pernah gagal memakan ubat dan setelah beliau berpuasa. Jika tidak makan ubat dan tidak juga berpuasa, ianya sudah tentu lebih dari 9.9.  Ini amat merisaukan.
 
Jadi kami, terutamanya saya, cuba mencari sebab mengapa tahap gula saya meningkat sebegitu tinggi. 
 
Sebenarnya saya sudah tahu jawapannya. Kami menjalani gaya hidup yang tidak sihat. Makan minum ikut sedap selera. Apa saja yang dihidangkan, yang berperasa manis, yang masam, yang masin, yang pedas dan yang pahit semuanya kami bedal ( bedal membawa maksud tidak bersederhana). 
 
Ianya tidak bermakna kami tidak tahu tentang makanan seimbang atau tidak ada maklumat mengenai hal itu. Malah kedua-dua kami telah diberi peluang untuk berjumpa dengan pakar pemakanan mendapat nasihat dan bimbingan jenis makanan dan cara pemakanan yang terbaik. Kami patuh mengangguk.
 
Tapi kesemuanya tinggal anggukan saja, selera masih mengatakan 'alah sekali sekala makan apa salahnya'. 
 
'Sekali sekala' itu sudah menjadi satu alasan yang kukuh untuk memuaskan nafsu selera. Bermula dari jamuan kenduri kahwin. Kemudian makan diluar bersama anak-anak. 'Sekali sekala ' sudah diulang-ulang. Ia sudah menjadi kerap kali. Akhirnya ia tidak perlu lagi. Kami makan ikut suka hati walaupun kami tahu bahawa kami menyuburkan agen-agen perosak kesihatan seperti kolesterol dan gula, garam serta toksid-toksid yang lain.
 
Kadang-kadang kami menggunakan alasan : " Itu tak boleh makan,(merujuk kepada misalnya perasa manis seperti menggunakan gula yang berlebihan dalam minuman), ini tak boleh makan (merujuk kepada misalnya perasa masin seperti garam dan santan kelapa yang berlebihan dalam makanan). Jadi apa yang boleh makan?", Alasan itu memberi laluan dan paspot kepada selera kami untuk terus menyantap makanan itu.
 
Sesungguhnya makanan dan cara pemakanan kamilah yang menyebabkan tahap gula kami semakin meningkat.
 
Sudahlah makanan dan cara pemakanan tidak sihat, kami pula tidak melakukan senaman badan. Sudah hampir 6 bulan tidak melakukannya. 
 
Sebenarnya kami sedia tahu akibat dari pemakanan yang tidak seimbang dan tidak melakukan senaman. Dan saya percaya  ramai juga orang  lain pun tahu. Ianya tidak baik untuk kesihatan. Tapi mengapa saya, isteri dan orang lain itu masih lagi melakukannya? Mereka suka sakit ke?
 
Semua orang mahu sihat. Cuma tidak ada kekuatan dalaman untuk melakukan perkara-perkara yang sihat. Ianya bukan budaya kita. Kita suka bergantung pertolongan atau mendapat bantuan dari luar. Apa dia? 
 
Apa dia pergantungan kita itu? Kita bergantung kepada ubat, mesin-mesin penggerak anggota badan dan bahan-bahan supplement untuk menyihatkan tubuh badan. 
 
Kita tidak menggunakan apa yang ada dalam badan kita bagi menyubur dan menghasilkan daya tahan untuk menyahjauhkan penyakit melalui pemakanan yang seimbang dan senaman yang konsisten. Pada hal ianya adalah yang paling murah berbanding dari pengambilan ubat, supplement dan pembelian mesin tadi. Bukan saja murah bahkan mudah.
 
Apabila kesihatan kita mula menurun maka terpaksalah kita mendapat rawatan dan makan ubat. Yang mempunyai  lebih wang akan membeli berbagai jenis mesin untuk misalnya menghancurkan kolestorel dan memperbaikki perjalanan darah. Ada yang terpaksa makan ubat selagi hayat masih ada seperti saya. Ada yang tambah dengan supplement. Mesin-mesin dan supplement itu bukannya murah sebaliknya mahal. Untuk itu ada yang berhutang melalui berbagai skim untuk membeli mesin-mesin itu.

Ertinya kita begantung kepada bantuan luar sedangkan kita mampu sihat tanpa bantuan luar itu. Bertambah lagi beban kewangan yang juga boleh menjadi penyebab kepada tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Kita memilih untuk menerima rawatan dari mencegah. Saya tidak terkecuali. Apa yang berlaku kepada saya dan isteri adalah akibat dari sikap dan perangai yang buruk itu.  Jadi apa yang hendak dihairankan bacaan gula dalam darah semakin meningkat tinggi. Padan muka.
 
Sudah tiga hari saya  dan isteri melakukan senaman. Saya berjalan gerak cepat (bukan berjogging) menurut tahap kemampuan menyusuri rumah-rumah kediaman penjawat-penjawat awam di precint 11 bermula pada jam 6.30 pagi. Isteri hanya mengelilingi kawasan kolam renang sebanyak 20 kali keliling kerana dia tidak mampu mengikuti kelajuan langkah saya.
 
Saya  menganggarkan   lebih dari 3 kilometer perjalanan senaman saya itu yang memakan masa lebih 30 minit. Habis basah lencun pakaian saya dik peluh.

Setiap langkah saya iringkan dengan zikir Subhanallah, Walhamdulilah dan Allahhu Akbar.  Semoga Allah menerima amalan saya yang kecil itu.

Langkahan kaki diwaktu pagi itu sungguh menyegarkan sekali, refreshing. Masa itu saya terasa amat rugi sekali kerana telah enam bulan saya menetap disini tetapi tidak menfaatkan peluang yang ada. Maksud saya , menyusur dideretan rumah penjawat awam yang tidak ada gangguan dari segi lalulintas dan memasuki trek pejalan kaki yang sudah tentu selamat dari kemalangan jalan raya. Tidak perlu pergi ke mana-mana 'park' atau taman rekreasi untuk melakukan senaman.
 
Deretan rumah-rumah yang saya lalui, keadaannya sunyi saja. Hanya dapat menghidu hidangan sarapan pagi. Sungguh menyelerakan. Tidak kelihatan orang lain selain dari saya yang melakukan perkara yang sama. Mungkin pada hari-hari kerja mereka tidak ada masa untuk bersenam pagi. Tapi waktu petang saya tidak nampak ada orang yang bersenam berjalan kaki.  Mungkin mereka per ke jim. Dihari cuti , hari Sabtu, saya pun tidak nampak  ada yang bersenam. Mungkin esok hari Ahad ada kot?
 
Yang saya nak perkatakan ialah budaya senaman masih lagi belum menjadi budaya kita orang Melayu. Penjawat awam itu 99.9 peratus adalah terdiri dari orang Melayu. Mereka belum lagi membudayakan senaman  sebagai cara hidup. Pada hal terlalu mudah untuk melakukannya kerana setiap pagi melainkan perempuan yang uzur, kita akan menunaikan solat Subuh. Jadi selepas Subuh kita boleh melakukannya. Ertinya bangun pagi adalah sau kemestian dan wajib. Menjadi rutin.

Sebaliknya apa yang pernah saya lihat, orang Cina , tua dan muda menggunakan sepenuhnya taman-taman rekreasi untuk bersenam terutamanya di sebelah pagi. Bukan rutin mereka untuk bangun pagi kerana kalau tidak bangun tidak perlu gusar akan melepas solat Subuh. Mereka lebih sihat dari orang Melayu.

Seperti yang telah diperkatakan bahawa kita perlu ada kekuatan diri sendiri untuk mengamal dan melakukan gaya hidup sihat. Bahawa kita buat untuk kebaikan diri sendiri. Untuk diri sendiri. Kita lakukan bukan kerana pakar pemakanan atau doktor menyuruh kita berbuat demikian kerana ianya tidak akan kekal. Kita lakukan bukan kerana kita hendak di periksa oleh doktor. Maka bersungguh-sungguhlah kita elakkan garam dan gula, makan bersederhana dan seimbang serta melakukan senaman pagi/petang yang mengambil masa terlalu lama agar bacaan gula dalam darah, tahap kolesterol dan tekanan darah kita, diharapkan pada tahap yang sihat. Itu semua kita buat untuk orang lain yang langsung tiada kena mengena dengan kesihatan tubuh badan kita. Lagipun belum tentu mereka itu mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Dengan demikian jagalah pemakanan  dan lakukan senaman secara konsisten. Itulah cara yang terbaik untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat. Kalau ditambah dengan zikir, lagi lebih baik. Sihat jasmani dan sihat rohani.

Saya harap dan berdoa semoga bacaan gula dalam darah dan kolesterol akan berada pada tahap yang sihat. Saya yakin tentang itu kerana saya ada buktinya. Pemeriksaan doktor pada bulan Jun nanti, saya percaya ianya tidak mengecewakan saya.
 



 
 

 
 

 
 
 

Jumaat, 18 Mei 2012

UMNO YANG DIROBEK

Bagi saya UMNO adalah satu parti politik yang baik, menepati perjuangannya demi Bangsa, Agama dan Negara. Tapi wajah dan sifat baik itu hanya terpamir pada suatu ketika dulu. Duluuuuuuuuuuu UMNO memang baik. 

Kemudian UMNO telah di robek , kesannya bukan saja jadi kemek bahkan sudah menjadi lembek dan penyek dilenyek-lenyek. Parti ini sudah menerap dan mengamalkan  sifat dan perlakuan keji dan jijik. Hilang segala santunnya, tiada segan , tiada silu, tiada kasih dan tiada belas tiada ikhsan. Yang penting mesti hidup ada kuasa. Berapa lama? Selama-lamanya. Bagaimana cara? Apa saja cara asal berkuasa.

Berbulu mata memandang akan kelaku dan perangai dari pemimpin dan pendukungnya. Tiada kehalusan dalam berbahasa, ikut sedap mulut menutur kata. Tiada kewarasan dan kematangan dalam tindakan, asal saja dapat terus berkuasa. 

Kita pula yang Melayu bukan ahli UMNO ini, tersipu-sipu mengambil malu dik perilaku yang tidak semenggah tidak juga senonoh. Sebab, bukankah katanya UMNO itu menggambarkan Melayu? Wajah UMNO wajah Melayu. Budinya, bahasanya, adab tertibnya, santun menyantun, kata berlapik hias berbunga, semuanya sudah tercalar balar. Terlalu hodoh yang dipamirkan.  Semuanya ini adalah kesan robekan keatas UMNO yang duluuuuuu.

Ya, UMNO yang ada ketika ini adalah UMNO yang telah di robek? Maknanya  wajah UMNO yang ada ketika ini bukanlah sebenarnya bayangan wajah orang Melayu. Tiada kelembutan, tiada kehalusan dan tiada ketertiban, disemua peringkat, untuk meneruskan satu peradaban yang boleh kita banggakan.


Itu tentang berjuang demi 'Bangsa'. Habis kena robek, sudah tiada lagi pembinaan dan penerusan satu peradaban bangsa yang mempunyai jati diri. Bangsa semakin menjunam martabatnya , menjadi kaku, layu dan longlai tidak punya daya saing dan daya tahan.


Saya rasa memadai di senaraikan  4 contoh diantara terlalu banyak contoh perbuatan-perbuatan yang sungguh keji dan hina ini yang dilakukan oleh orang Melayu dan beragama Islam. Saya tidak pasti sama ada semua mereka itu ahli UMNO namun saya percaya mereka itu melakukan perbuatan yang tidak senonoh itu demi kepentingan UMNO mengekalkan kuasa. Oleh itu cuba kita renung banyak jenak dengan penuh ketenangan dan keinsafan akan  beberapa perbuatan-perbuatan seperti disenaraikan ini:


i) tayangan video lucah untuk menjatuhkan maruah pesaing politik.
ii) aksi tarian punggung dikhalayak ramai.
iii) aksi duduk dan jilat. 
iv) pemimpin menuturkan perkataan 'haram jadah' kepada orang yang dipimpin.

Bagaimana pula perjuangan UMNO, 'Demi Agama? Pun sama juga. Robek. Agama hanya hiasan bagi melindungi berbagai keburukan dan kejahatan.

Demi Negara? Hanya cukup saya menimbulkan tentang dakwaan warga asing diberikan taraf warga negara bagi turut terlibat sebagai pengundi dalam pilihanraya akan datang demi kemenangan dan pengekalan kuasa. 

Jika dakwaan itu tidak benar maka wajar UMNO yang menerajui kerajaan ketika ini membersihkan nama dari dakwaan yang terlalu hina itu. Setakat sekarang belum ada tindakan kearah itu. Mungkin saya tiada maklumat.

Sesungguhnya terlalu sedih apa yang telah berlaku keatas UMNO sekarang. Bukan UMNO suatu ketika duluuuuuuuuu. 

Khamis, 17 Mei 2012

SIHATKAN BADAN dan PEKERTI PUN KENA SIHAT JUGA

Semalam 16 Mei 2012- menghadiri ujian menembak menggunakan senjata shotgun bagi tujuan membaharui lesen senjata api. Ini adalah sessi kedua kerana pada sessi pertama bulan lepas saya tidak hadir kerana telah terlepas pandang akan surat panggilan dari pihak polis .

Pada sessi ini saya berjumpa dengan ramai kawan-kawan lama. Semua yang hadir terdiri dari yang berusia 60 dan keatas. Maka terlalu wajar untuk diuji kemampuan untuk menguruskan senjata dengan selamat. Sekiranya memegang senjatapun sudah tidak mampu maka lesen senjata tidak layak  diperbaharui kerana ia membahayakan diri sendiri dan orang lain. 

Penguji senjata terdiri dari anggota polis bahagian persenjataan memaklumkan bahawa ujian ini bukan bertujuan untuk mencari mereka yang cekap menembak tepat pada sasaran. Ianya untuk menguji kemampuan menguruskan senjata. 

Semua yang diuji telah menunjukkan kemampuan dan layak untuk memohon lesen senjata di perbaharui. Tapi masih lagi ada satu syarat yang perlu dipenuhi bagi mereka yang berusia 60 tahun keatas iaitu tahap kesihatan. Ertinya mereka ini wajib menjalani pemeriksaan perubatan (PP) ( medical check up) dihospital kerajaan. Hospital swasta tidak diterima.

Maka saya termasuk dalam kategori itu. Dari padang sasar menembak , saya terus ke klinik kerajaan yang berdekatan bagi tujuan medical check up. Di klinik tesebut terlalu ramai yang mahu membuat pemeriksaan perubatan. Semuanya terdiri dari anak-anak muda kecuali saya seorang.

Bisikan dihati mengatakan tidak mungkin mereka ini melakukan PP bagi tujuan yang sama seperti saya. Lalu saya menjeling dokumen yang dipegang oleh seorang anak muda yang duduk disebelah maka terpapar kepala surat yang mempunyai logo sebuah politeknik. Maka tahulah saya bahawa anak-anak muda yang ramai itu membuat PP bagi kemasukan ke IPT. Saya menggaru kepala kerana terlupa bahawa musim kemasukan pelajar ke IPT sedang bermula ketika ini. Maklumlah saya tidak ada lagi anak yang belajar di sekolah menengah. Hanya tinggal seorang lagi masih menuntut di IPT di tahun 4. Dua tahun lagi baru tamat.

Saya merasa seronok melihat anak-anak muda kita yang akan memasuki IPT itu. Wajah merekapun ceria dan semacam teruja untuk merasai kehidupan sebagai mahasiswa. Sesungguhnya menjadi seorang mahasiswa adalah berbeza dari pelajar disekolah. Mereka akan tahu nanti.

Sebahagian besar anak-anak muda itu ditemani oleh ibu. Ada seorang dua ditemani ayah dan ibu. Ada juga bersendirian bersama kawan-kawan. Mereka ini semuanya lelaki. Biasalah, anak muda lelaki memang suka menguruskan sendiri, berdikari. Namun yang bersama ibubapa itu berdikari juga, cuma mahu berkongsi kejayaan dengan kedua ibubapa pada setiap proses kemasukan ke IPT itu. Terlalu gembira.

Saya pun dulu melakukan perkara yang sama setiap kali ada anak yang memasuki universiti. Isi borang pun saya yang buat. Bukan anak tak tahu tapi saya seronok melakukannya. Terlalu gembira di atas kejayaan anak-anak itu.

Hanya pada hari itu saya agak terkilan juga apabila  melihat sikap dan sifat anak-anak muda itu yang tidak menunjukkan perasaan belas kasihan dan tanda hormat kepada orang tua. Semasa ditempat menunggu terdapat juga orang tua yang nampaknya kurang upaya untuk berdiri lama terpaksa berdiri kerana kerusi telah dipenuhi oleh anak-anak muda itu. Saya pun berdiri juga. Tapi saya masih lagi mampu untuk berdiri lama. 

Tidak ada seorang pun anak muda baik lelaki atau perempuan yang menunjukkan rasa belas ikhsan kepada orang tua yang kurang upaya itu. Kesian orang itu. Saya ingin juga mencadangkan supaya salah seorang anak muda itu memberikan tempatnya kepada orang tua yang kurang upaya itu. Tapi saya khuatir kalau-kalau saya dimarahi nanti. Malu saya dibuatnya. Maklumlah sekarang ini kita tidak mampu menegur anak orang. Malah anak sendiripun kita juga takut menegur, dimarahinya.

Kemudian muncul lagi seorang tua perempuan berbangsa China yang kurang upaya yang ditemani anak menghampiri tempat menunggu tadi. Tiba-tiba bangkitlah seorang yang berusia 60an berbangsa China menawarkan kerusinya kepada orang tua. 

Saya amat menghormati orang yang menawarkan kerusi itu. Namun terdetik juga dihati saya untuk bertanya mengapa beliau tidak bangkit dan menawarkan tempatnya kepada orang tua yang lain sebelum munculnya perempuan China yang kurang upaya itu. Agakan saya mengatakan, mungkin beliau merasakan orang tua ini wajar diberikan tempat duduk kerana 'uzur'nya melebihi dari orang tua yang lain. Lagipun beliau sendiri juga sudah tua yang memerlukan tempat duduk. Tetapi jika ada yang lebih tua dan uzur maka beliau merasakan orang itu lebih layak mendapat tempat duduk.

Anak-anak muda kita yang bakal memimpin negara, apa sudah jadi? Anda semua sebenarnya telah gagal pada langkah pertama ke universiti dalam proses menjadi manusia yang berguna. Mungkin anda boleh berjaya dalam akademik tapi budi pekerti yang telah anda pamirkan tidak secemerlang akademik anda. Budi pekerti yang baik dan sopan santun  adalah terlalu penting dalam kehidupan kita.    

Anda juga akan melangkah ke usia tua. Dan anda juga akan uzur.  Maka anda mudah rasa penat dan tidak mampu berdiri lama. Pada ketika itulah anda terlalu sangat menginginkan ada orang yang menawarkan tempat duduk. Jika ada orang yang berbuat demikian, sudah tentu air mata anda akan mengalir dan  menitis kerana terlalu menghargai orang itu dan tiada ucapan terima kasih yang dapat diucapkan melainkan memeluk orang itu.

Semoga sifat dan sikap anak muda yang saya temui pada hari semalam disebuah klinik kerajaan tidak sebenarnya menggambarkan watak anak-anak muda pelajar kita yang bakal memasuki universiti. Harap semuanya berjaya.

Saya pula bagaimana? Saya ok saja dan masih mampu bediri walaupun pada tempoh yang  lama. Cuma kakitangan yang mengambil tekanan darah dan ketinggian saya bertanya: Pakcik tidak periksa jantung ke? Untuk memperbaharui lesen senjata mesti check jantung.

Bila pula syarat ini timbul kerana ini bukan kali pertama saya buat PP bagi membaharui lesen senjata. Saya menggelengkan kepala sambil berkata ianya tidak perlu.

Namun saya merasa risau juga akan keadaan jantung saya. Sihat ke? Tapi kalau diukur dari segi berjalan dan bergerak secara pantas saya tidak merasa mengah dan tidak mudah penat. Maknanya oklah. Tapi ada juga tapinya, bacaan tahap gula saya sudah meningkat tinggi dari 6 menjadi 10.9.  Saya mula risau.  Ini semua disebabkan sudah enam bulan saya tidak buat senaman pagi selepas Subuh. Malas. Asyik tidur.

Ok amaran gula tinggi sudah dimaklumkan. Saya mesti berubah. Mesti ada semangat  kental seperti dulu. Mesti buat senaman pagi  selepas Subuh.

Alhamdulillah, hari ini saya telah mulakan. Dan akan diteruskan, insyaAllah .

.





  
 

Selasa, 15 Mei 2012

Terkenang Suatu Ketika Dulu 'Menjadi' Calun Pilihanraya

Sebelum ada yang mempercayai tajuk itu membawa maksud saya menjadi calun politik dalam suatu pilihanraya yang telah berlalu, molek juga saya menjelaskan duduk perkara yang sebenar. Sebenarnya ianya tidak bermaksud demikian. 

Satu lagi ialah tentang persepsi umum ketika itu yang mungkin berbeza pada masa ini. 

Apabila saja dikatakan menjadi calun, dalam otak kepala mereka ialah menjadi calun BN atau lebih khusus lagi jika orang Melayu, menjadi calun UMNO. Persepsi itu dikuatkan lagi dengan kepercayaan bahawa hanya menjadi calun UMNO sajalah yang menjanjikan kemenangan melebihi 100 peratus. Sebab tambah mereka lagi, jika UMNO hantar batu atau kayu sekalipun sebagai calun, kemenangan sudah pasti. Adakah ini satu dongeng atau cerita penglipur lara? 

Sudah tentu ada yang menjawab 'ya' dengan penuh sinis tidak mahu percaya. Jangan cepat melatah berkata  begitu. Realitinya memang benar apa yang mereka katakan.  Statistik dan fakta yang jelas seperti kristal, menjadi sandaran kepada keyakinan mereka itu. Tiada mana pihak yang waras fikiran mampu menafikan, khususnya dinegeri tempat tumpah darah saya yang dicintai.

Terkenang suatu ketika dulu 'menjadi calun' pilihanraya adalah satu cerita yang benar, yang telah saya lalui suatu ketika dulu, semasa masih lagi berkhidmat sebagai penjawat awam, satu jawatan yang agak penting juga, dimana ada diantara sahabat-sahabat yang darah daging politik mereka sungguh menebal, merasa agak 'rimas' dan 'risau' apabila ada pihak-pihak tertentu yang cuba-cuba membuat acahan  supaya saya menjadi calun dalam pilihanraya.

(Saya percaya acahan itu bertujuan hendak menguji dan mahu mengetahui takat keghairahan saya untuk menjadi calun dalam pilihanraya. Kemudian respons dari saya bolehlah dilaporkan kepada mereka yang darah daging politik yang sungguh tebal itu untuk tindakan lanjut bagi memastikan saya tidak 'kacau daun'. Malangnya acahan mereka itu telah gagal).

Dari sudut demokrasi yang diamalkan, sesiapa pun warga Malaysia yang tidak hilang kelayakan menjadi calun pilihanraya, boleh bertanding dalam pilihanraya di mana-mana negeri kita di Malaysia ini. Dan saya ketika itu dan sehingga kini memang memenuhi syarat kelayakan untuk bertanding walaupun saya tidak menganggotai mana-mana parti politik. Maknanya saya boleh bertanding atas pletform calun bebas.

Baiklah, itu satu pendahuluan ringkas sebelum saya memasuki peristiwa yang telah berlaku.

Ramai diantara sahabat, sama ada yang berpolitik berparti atau politik sorang-sorang terlalu ghairah bercerita fasal menjadi calun pilihanraya dan hal-hal berkaitan dengannya apabila mula menjelang sesuatu pilihanraya. Ada yang menyibuk dan berangan-angan untuk menjadi calun; ada yang suka menghebuhkan si polan sipolan itu akan di pilih menjadi calun; ada yang  bersedia menjadi sponsor kepada bakal calun; ada yang mengira-ngira upah yang akan diraih; ada yang berulang tubi ke rumah bos melobi jadi calun; dan macam-macam kerenah lagi semata-mata untuk menjadi calun dan untuk mendapat habuan pilihanraya.

Yang menyibuk dan berangan-angan menjadi calun ini atau mereka yang merasakan layak untuk menjadi calun, mempunyai berbagai cara untuk menunjukkan iltizam mereka sebagai calun yang mesra rakyat. Dan memaparkan imej bahawa jika dipilih akan sentiasa memberi perkhidmatan terbaik demi rakyat yang diwakili. 

Budi pekerti, adab sopan dan tingkah laku mereka adalah yang terpuji sekali. Senyumannya manis dan menarik sekali. Meminjam kata-kata sahabat saya dari Kelantan semasa bersekolah dulu , mereka ini 'senyum sokmo'. Rengan tulangnya serengan secebis kapas ditiup angin sehingga hal-hal masyarakat setempat yang berat-berat pun dianggap rengan dan sanggup diuruskan, tidak pernah menolak. Kehadirannya dalam majlis/acara/program/kerja-kerja masyarakat setempat tidak pernah gagal, menonjollah dia ketika itu. Hadir pun berkereta kecil, buruk pula.

Tidak pernah kenal jijik dan kotor apabila turun ke bawah menemui dan bergaul dengan masyarakat. Yang kotor, busuk, berkudis, bernanah, hapak dan haring tidak menjadi masalah untuk hiduan hidung bahkan itulah yang dicari, dipeluk, dicium dan dipimpin. 

Maknanya semua kelakuan dan perangai adalah yang terpuji saja, ketika itu. Begitulah sifat peribadi yang ditonjolkan si penyibuk untuk menjadi calun ini.    

Jika ada pihak yang membaca lakunan yang berangan-angan itu berkesan maka ada pula yang jadi tukang sibuk untuk membuat hebuhan bahawa sipolan-sipolan itu adalah bakal calun pilihanraya. Tambah-tambah lagi yang berangan-angan itu memegang jawatan parti misalnya menjadi ketua cawangan, pengerusi JKKK, ahli jawatankuasa bahagian, setiausaha atau bendahari bahagian/cawangan, dan macam-macam lagi jawatan politik. Maka dihebuhkan lah seentario kawasan pilihanraya itu berbagai cerita, sudah tentu yang baik-baik memuji keperibadian orang yang berangan-angan menjadi calun itu.

Ada satu pihak pula yang telah yakin akan hebuhan itu dengan sukarela datang mendampingi 'bakal calun' itu menawarkan segala bentuk bantuan, bantuan wang sudah pasti, jika dipilih oleh parti menjadi calun. Mereka ini secara amnya adalah terdiri dari kontraktor-kontraktor dan pemaju-pemaju hartanah. Mereka mesti melabur untuk meraih dividend. 

Apa ada hal RM100,000.00 misalnya berbanding dengan satu kontrek kerja bernilai jutaan ringgit. Itu kalau satu kontrek. Tapi dalam satu penggal berkuasa ,takkan satu kontrek kerja.

Apa ada hal RM100,000.00 misalnya berbanding dengan kelulusan yang mudah diperolehi keatas cadangan  dan pelan yang dikemukakan dengan berbagai kelonggaran dan pengecualian yang melibatkan jimatan kos kewangan berjuta ringgit dibawah lindungan dan semangat konsep persyarikatan malaysia, bumiputera, dan memudahkan cara demi pembangunan dan kemajuan. Apa perlu dirisaukan kesan kehidupan sosial yang negatif. Apa yang penting sangat persekitaran yang tercemar berbanding keuntungan yang dibolot.  

Satu lagi puak terdiri dari pengambil upah membuat kerja-kerja berkaitan pilihanraya. Puak ini tidak semestinya memberikan taat setia kepada parti calun itu. Ertinya undi dari puak ini belum tentu pergi kepada calun yang menjadi tauke sementaranya itu. Tapi secara amnya undi mereka bolehlah diharapkan.

Berbagai kerja yang terlibat. Dari kerja panjat memanjat memasang bendera parti, merentang potret calun yang bertanding dipelbagai lokasi, mencari bahan-bahan untuk menjadi tiang bendera seperti batang-batang buluh, mengemashiaskan bilik gerakan parti, menjadi pemegang amanah calun dengan membawa wang dalam beg 'samsonite' untuk berbagai tujuan kegunaan, dan menjadi kaki kacau merosakkan imej dan gerak kerja calun lawan. Secara amnya mereka ini terdiri dari orang yang sama pada setiap pilihanraya. Mereka adalah pakar dan mahir dalam kerja-keja mereka walaupun tidak mempunyai latihan khusus dan pendidikan tinggi.

Diantara kerja yang saya anggap sebagai berat dan perlu kemahiran ialah kerja me'neutralised'kan penyokong lawan. Bagi mereka kerjanya mudah saja. Syaratnya beg samsonite mesti berat, berisi wang.

Saya pernah bertanya kepada pemegang amanah yang menguruskan wang ini. "Selain dari mengagih-agihkan wang kepada mereka yang telah membuat kerja atau kepada pihak yang hendak di'neutralised'kan, pernah kah awak ambil kesempatan songlap wang itu?"

"Takkan saya bodoh. Bukannya selalu. Esok dia jadi YB, belum tentu dia ingat kita". Saya ketawa kecil dan percaya.
 
Pekerja-pekerja ini terlalu teruja dan sentiasa menanti-nanti pilihanraya kerana rezeki mereka akan bertambah. Bukan saja dalam bentuk upah kerja bahkan dalam berbagai bentuk lagi misalnya makan minum percuma dalam sebarang perjumpaan yang diadakan bagi meningkatkan peluang calun itu untuk menang. Perjumpaan telah menjadi kurang diwarung kecil kedai kopi. Ada, tetap ada tapi bukan menjadi pilihan untuk menarik minat orang untuk turut menjanjikan undi. Perjumpaan telah berpindah ke coffee house di hotel, sama ada hotel kecil atau yang besar berbintang-bintang.

Bercakap fasal perjumpaan dihotel ini, hotel yang ada kaitan dengan kerajaan atau hotel milik anak syarikat yang ditubuhkan kerajaan menjadi tempat perjumpaan yang terlalu kerap digunakan. Paling laris sekali terutama di bahagian FnB, makan minum. Untung?

Pesanan makan minum sudah memadai dengan tandatangan saja. Dipersilakan makan dan minum. Lepas makan dan minum, juruwang hotel terkelip-kelip mata apabila tiada pihak yang maju ke kaunter bayaran walaupun bilik/meja perjumpaan telah tiada orang. Untung? Rugilah. Tapi pengurus bank mampu senyum saja dan merungut untuk diri sendiri.

Itulah kerja pengambil upah pilihanraya.

Satu lagi ialah orang yang melobi untuk menjadi calun. Mereka ini secara amnya mempunyai kekuatan untuk menjadi calun dari segi kedudukan dalam parti misalnya wakil rakyat sedia ada, ketua/timbalan ketua bahagian, ketua pemuda dan wanita dan mereka yang mempunyai hubungan yang rapat dengan bos.

Wakil rakyat yang sedia ada terutamanya yang telah melebihi satu penggal adalah pihak yang kelihatan bekerja kuat melobi bos. Berulang alik ke rumah bos untuk menyatakan kesanggupan bekerja kuat demi demi rakyat. Sekiranya mereka bukan ketua bahagian, kedudukan mereka dihujung tanduk. Mereka mesti bekerja kuat meyakinkan kepada bos yang mereka masih boleh memberi perkhidmatan yang terbaik. 

Yang lain-lain pun sama juga terutama yang ada kedudukan politik tapai masih belum jadi calun. Biasanya peluang mereka besar.

Dua kategori inilah sebenarnya menjadi kejaran para kontrektor dan pemaju hartanah kerana mereka merasakan peluang bagi golongan ini menjadi calun adalah terlalu besar. Apatah lagi jika mereka itu adalah wakil rakyat yang memegang jawatan ketua bahagian.

Mereka dirapati, dikejar adalah atas sebab yang sama. Melabur dulu untuk mendapat dividend yang lebih besar dari modal yang dikeluarkan.

Melihatkan gelagat mereka yang melobi ini yang bertubi-tubi kerumah bos tanpa kira masa yang panjang untuk dapat bertemu bos, saya menyimpulkan bahawa menjadi calun politik boleh menjanjikan masa depan yang cerah. Kalau tidak, takkanlah mereka sanggup melobi berkali-kali. Ada yang merayu meminta belas ikhsan diberi peluang disamping menyelitkan cerita pihak yang menjadi pesaing sebagai calun ditempat yang sama berkelakuan tidak senonoh, tidak semenggah dan boleh merosakkan nama baik parti. Parti akan kalah kalau pilih orang itu.

Saya hairan juga bahawa tidak terfikirkah mereka yang melobi itu yang nasib bosnya pun belum tentu. Bergantung kepada bos yang lebih besar.

Semasa kesibukan fasal calun itu , seorang kawan menalipon katanya "Nama kau naik lah". Sebenarnya saya telah tahu lebih awal lagi. Cuma keghairahan saya dan kawan tadi adalah berbeza sekali. Dia seperti seronok sangat dan mahu membantu jika maklumat yang diterima itu benar. Saya hanya ketawa besar.

Sebab saya ketawa besar ialah berita itu adalah mainan orang surat khabar. Bukan dari sumber politik.

Orang surat khabar tidak tahu perincian mengenai saya. Pertama, saya bukan ahli UMNO. Kedua saya juga bukan ahli mana-mana politik. Ertinya saya tidak berminat menceburkan diri dalam politik. Dua sebab ini sudah cukup menolak khabar yang dimainkan itu.

Tapi, sedihnya ada sahabat-sahabat yang aktif dalam poitik menjadi rimas dan risau. Maka dengan terang saya beritahu saya tidak berminat masuk politik. Perkara yang sama juga saya beritahu kepada wartawan yang buat hebuhan itu.

Mengapa saya tidak minat? Bukankah politik itu boleh menjamin masa depan yang cerah? Bukankah menjadi calun UMNO , menjanjikan kemenangan dalam tangan sebab sedangkan batu atau kayu mewakili UMNO boleh menang takkan saya anak tempatan, ada sedikit pendidikan dan kedudukan dari segi jawatan tidak boleh menang. Mustahil, kata logik fikiran.

Politik perlukan kekuatan. Dalaman dan luaran. Saya tidak mempunyai itu dengan baiknya. Tidak mampu menerima berbagai ujian yang menakutkan. Sebagai penjawat awam yang ada sedikit kuasa yang diwakilkan, saya masih percaya saya tidak dapat melaksanakan dengan sempurna seperti yang diamanakan. Apatah lagi menjadi ahli politik yang berkuasa. Saya kira saya tidak mampu melakukannya yang terbaik. Banyak simpang siur yang saya akan ikut berbanding jalan yang lurus. No. Not this type of profession.

Tapi kalau semua berfikiran seperti saya, siapa pula yang sanggup mengambil amanah politik untuk menguruskan harta awam seperti yang diamanahkan? Oleh itu saya amat menghormati jika ada insan yang bersifat sedemikian. Buat saat dan ketika ini saya tidak percaya ada insan sebegitu rupa. Ertinya mahu tidak mahu kita terpaksa memilih yang terbaik dari kalangan kita yang tidak sempurna. Yang tebaik itu tidak semestinya sempurna, tetap ada kekurangan dan kecenderungan untuk tergelincir atau digelincirkan.

Syabas kepada mereka yang berangan-angan untuk menjadi calun pilihanraya. Tidak kira dari apa parti waemah yang tidak berparti sekalipun. Semoga dimakbulkan Allah dan jika dipilih YB-YB sentiasa perlu ingat bahawa tanggungjawab menjadi orang politik yang berkuasa terlalu besar dan mencabar sekali. Nafsu bertambah cenderung mengikut rayuan syaitan. Elakkan.