Theflowersellingboy

Rabu, 31 Oktober 2012

Janji Yang Tidak Di tepati, tapi Masih Percaya Lagi

Tajuk paparan hari ini jangan pula difikirkan  ada kena mengena dengan slogan kerajaan BN: Janji Di Tepati. Paparan pendek kali ini bukan cerita politik ianya hanya cerita-cerita biasa saja. Sikit-sikit ada politiknya, bergantung kepada fahaman masing-masing.
 
Namun cerita ini masih lagi berkisar dalam soal buat janji. Walaupun banyak kali seseorang itu buat janji dan tidak pernah ditepati atau lebih tepat lagi mungir janji, saya masih lagi memberi kepercayaan kepada simungkir janji itu. 
 
Tahukah sebabnya?
 
Sebabnya ialah kerana saya tiada pilihan. Kerana dia   orang Melayu yang ada yang saya sudah lama kenal, dan dia ada kemahiran. Saya mahu bersama-sama menyokong agar dia berjaya. 
 
Yang saya maksudkan ialah sebuah workshop membaikki kereta.
 
Saya menghantar kereta untuk diperbaikki di workshop seorang anak muda Melayu yang terkenal kemahirannya dibandar ini dalam memperbaikki kerosakan kereta kontinental seperti volvo dan mercedez. Berlaku pada bulan Mei 2012. Yang perlu diperbaikki adalah enjin, kebocoran minyak di enjin, dan menukar tayar. 
 
Sekarang masuk bulan November. Sudah enam bulan kereta dalam workshop, tak siap-siap lagi. 
 
Mula-mula janji boleh siap 2 minggu. Bila datang ke workshop tak siap juga. Janji seminggu lagi. Pun tak siap. Wang dua ribu setengah dah bayar, kereta tak siap. Lepas tu tanya melalui talipon.  Buat janji yang sama juga, boleh siap dalam dua tiga hari. Bila datang ke workshop tak siap juga. Macam-macam alasan diberikan. Akhirnya pada hari ini juga masih tak siap. Kereta tersadai di luar, berhujan berpanas.
 
Hari ini dia janji boleh siap pada hari Sabtu ini. Harap-harap begitulah.

Workshop ini kepunyaan seorang anak muda Melayu. Memang amat susah untuk mencari anak muda Melayu yang mahir dalam memperbaikki kereta mercedez di bandar ini (Melaka). Jadi atas niat untuk menyokong perniagaannya saya menjadikan workshop itu sebagai bengkel tetap untuk memperbaikki kereta saya jika ada kerosakan. Lagipun pengalaman menunjukkan bahawa dia melakukan kerja dengan baik dan tidak langsung terdapat unsur penipuan. 
 
Sebelum mengenali pemuda ini saya menghantar di workshop bukan Melayu iaitu workshop China kerana ketika itu tiada pilihan. Sudahlah harganya mahal, menipu pulak. 
 
Alhamdulillah seorang kawan mengenalkan pemuda ini kepada saya. Semenjak dari itu sehingga sekarang kereta saya akan dihantar ke worshopnya. Setakat yang sudah lepas, ok saja.Tiada masalah.
 
Tapi kali ini ia amat menghairankan saya. Banyak kali buat janji tapi kereta tak siap juga. Banyak kali juga mohon maaf. Jadi apa yang mampu saya buat selain menerima pohon maafnya dan minta supaya ia menyegerakan kerjanya. Dia sentiasa mengangguk dan berjanji akan segera menyiapkannya.
 
Saya lihat terlalu banyak kereta mercedez, saya kira ada lima buah tidak termasuk kereta saya di workshop kecilnya. Dulu dia ada 4 orang pekerja. Dan dua minggu lepas saya lihat tinggal seorang saja. Katanya pekerjanya banyak yang telah berhenti dan ada yang terlibat dalam ketagihan dadah. Sebab itulah katanya kereta saya tidak dapat disiapkan.

Tapi soalnya mengapa dia menerima tambahan kereta yang lainMengapa pula ramai orang suka hantar ke workshopnya sedangkan pekerjanya hanya seorang saja?
 
Pekerja yang seorang itupun hanya membantu saja dalam kerja-kerja yang mudah seperti membersihkan tempat kerja. membeli barang-barang gantian; dan tidak terlibat langsung dalam kerja memperbaikki kereta.
 
Kesian juga saya melihatnya. Jadi saya terimalah permohonan maafnya serta sanggup menunggu lama. Cuma saya kurang bersetuju sikap dia yang suka buat janji tapi tidak pernah ditepati. Ianya amat merugikan sekiranya ada dikalangan pelanggan akan lari ke tempat lain dik sebab janji yang selalu dimungkiri.
 
Pada hari ini terdapat 4 pekerja. Kesemuanya pekerja dulu yang dikatakan ada yang ketagihan dadah.  Mungkin telah pulih agaknya.

Jadi pada hari Sabtu ini saya akan sekali lagi ke workshop untuk menuntut janji yang telah dibuat pada hari ini. Harap-harap beliau menepati janji.
 
Tapi kalau mungkir janji, apa yang saya mampu buat? Hantar ke workshop lain? Sudah tentu ia merugikan kerana saya telah bayar dua ribu setengah. Besar kemungkinan worshop yang baru ini akan mengenakan harga yang lebih. Lagi pun ke workshop mana saya akan hantar? Workshop China? Saya sudah ada terlalu banyak pengalaman. Selalu kena tipu.
 
Jadi mahu tak mahu bersabarlah. Kalau hari Sabtu ini tak siap, tunggulah hari lain yang dijanjikan. Itulah malangnya orang yang tidak tahu fasal enjin atau fasal nak baikki kereta. Rosak sikit hantar workshop. 
 
Padan muka orang yang tak ada ilmu kereta seperti saya ni. Selalu kena mungkir janji oleh orang yang kita mahu bantu untuk berjaya.Tapi tak boleh buat apa-apa. Kesitu juga perginya kalau kereta saya rosak.
 
Tapi kalau ada orang politik yang sentiasa mungkir janji, jika bertanding pada piliharaya ke 13 nanti, sukacita saya ingatkan mereka bahawa saya ada pilihan untuk menolak mereka walaupun mereka dulunya menjadi pilihan saya kerana antara lain dia orang Melayu.
 
Dah tak main Melayu dan bukan Melayu. Jika Melayu mungkir janji, busuk hati, rasuah sana rasuah sini, tipu sana tipu sini, fitnah sana fitnah sini, saya ada jawapan mudah:  ketepikan saja. 
 
  
 
 
   
 
 
 
 
   
 
 
 
 

Selasa, 30 Oktober 2012

Lontarkanlah idea kamu

'Tulislah apa saja yang anda hendak tulis. Cakaplah apa saja yang anda hendak cakap. Kedepankan idea anda walaupun anda merasakan idea anda itu terlalu kecil, terlalu murah dan picisan yang  berdepan dengan risiko penilaian dan kritikan dari orang waemah ada yang memperkecilkan pemikiran anda'. 
 
'Jika anda berjaya memulakan satu ayat ianya satu kejayaan'.
 
Itulah antara kata-kata yang saya boleh ingat, tidak sepenuhnya, tidak juga patah demi patah, yang telah dikeluarkan oleh seorang professor pada hari pertama saya dan kawan-kawan hadir kuliahnya. 
 
Tajuk syarahannya: Pasaran Kewangan dan Pasaran Modal (Financial Markets and Capital Markets).
 
Habis saja kuliah atas tajuk diatas beliau memberikan tugasan (assignment) untuk disiapkan dalam tempoh seminggu bagi membincangkan kedua-dua pasaran diatas di negara masing-masing. 
 
Sebahagian besar pelajar termasuk saya memberi reaksi seperti orang mengeluh merasakan agak berat untuk kami siapkan tugasan itu dalam bentuk yang sempurna. Pertama, saya perlu dapatkan data dan fakta dari Kuala Lumpur. Ini tidak mungkin dapat dilakukan dengan cepat dan sempurna. Kedua, mood sebagai pelajar belum lagi meresap dengan baik.
 
Maka seorang kawan dari India bangun menyatakan kesulitan yang sama seperti yang saya rasakan. Professor itu dengan selamba menyatakan bahawa fakta dan data dari negara sendiri tidak begitu kritikal. Yang penting ialah pemahaman tentang pasaran itu dengan berlatarbelakangkan sosio-politiko-ekonomi negara masing-masing dan kebergunaannya. Malah katanya dia tidak memberi berat tentang statistik dan data
 
Jadi kami semua tiada alasan untuk terus mengeluh.
 
Memulakan satu ayat saya mengambil masa yang agak lama. Banyak kali diubah, ditukarganti sama ada seluruh ayat itu atau perkataan-perkataan yang digunakan. Apatah lagi untuk melengkapkan sebuah perenggan pengenalan tentang tajuk yang dibincang.  Pening kepala.
 
Akhirnya berjaya juga perenggan pengenalan itu di siapkan. Dan saya tersenyum kerana dapat melakukannya. Ya, perenggan itu membuka jalan bagi saya meneruskan penulisan. Cukup seminggu tugasan dapat diserahkan. Bermutu? Tanyalah pada professor itu. Tapi ingat akan kata-katanya yang membawa maksud 'lontarkan saja idea kamu'.
 
Maka selepas itu, saya semakin bertambah yakin untuk melontarkan idea saya. Tapi syaratnya saya mesti memahami dengan baik akan tajuk atau perkara yang hendak  dibincangkan dengan mengambil kira persekitaran yang menjadi kerangka kepada perkara tersebut. Sudah tentu soal kebergunaannya kepada persekitarannya tidak diketepikan.
 
Walaupun kelihatan kecil tapi kata-kata professor itu meninggalkan kesan kepada saya termasuk semasa menjalankan tugas dulu. Jangan mudah memperlekehkan pandangan , buah fikiran dan hasil usaha orang lain. 
 
 

Isnin, 29 Oktober 2012

Solat Jenazah

Saya percaya sebahagian besar dari kita umat Islam khususnya orang Melayu tidak memberikan perhatian yang utama kepada solat jenazah. Sikap yang jelas diperlihatkan adalah bahawa solat fardhu kifayah ini sudah memadai dilakukan oleh beberapa orang yang dianggap 'alim' bagi sesuatu karyah/penempatan atau kampong.  
Sikap seperti ini, pada pandangan saya bukanlah disebabkan pemahaman mereka tentang maksud fardhu kifayah itu sendiri iaitu jika ada yang melakukannya maka terlepaslah tanggongjawab orang lain untuk melakukannya. Sebaliknya saya lebih kuat untuk mengatakan bahawa ada diantara anggota masyarakat yang masih tidak mempunyai kefahaman tentang fardhu 'ain mahu pun fardhu kifayah. 
Jika adapun yang faham misalnya dalam hal solat jenazah ini, keinginan atau rasa tanggungjawab untuk bersama-sama melakukan solat jenazah ini, apa yang saya pernah lihat, terlalu kurang. Sebahagian besar akan berdiri dan bersembang-sembang diluar rumah (jika solat dilakukan dirumah) dengan ragam suara yang berbagai-bagai atas berbagai tajuk yang sebahagiannya tiada langsung menunjukkan sikap dan perasaan berkabung diatas pemergian seseorang itu. Jauh sekali mahu mendoakan agar yang pergi itu diberi keampunan oleh Allah SWT.
Yang peliknya , jika solat dilakukan di masjid, ada juga yang tidak teringin untuk bersama-sama bersolat jenazah. Mereka begitu bersahaja meneruskan sembangan sementara menunggu jemaah yang lain bersolat. Masjid tidak mempunyai apa-apa makna kepada mereka.
Dan bertambah pelik lagi apabila mereka ini akan meneruskan perjalanan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan untuk dibaca talkin dan di kebumikan. Mereka lihat mayat dikebumikan. Mereka juga dengar talkin dibacakan. Tapi mereka mengambil sikap bersahaja saja kerana jika ada kematian yang lain mereka mengulang kelakuan dan sikap yang sama.
Bagi saya yang paling malang sekali ialah apabila ada diantara ahli keluarga sendiri yang tidak bersama-sama melakukan solat jenazah. Misalnya seorang anak yang tidak bersama bersolat untuk jenazah emaknya. Jauh sekali untuk mengimamkan solat itu kerana katanya itu adalah tanggungjawab imam surau/masjid.
Mengapa jadi begini? Adakah ada kebencian? 

Saya tidak juga dapat memahami sepenuhnya mengapa jadi begini. 

Hanya saya cuba mencari jawapan untuk renungan bersama.
Saya tidak percaya 'ada kebencian' mempengaruhi sikap mereka yang tidak bersolat jenazah itu. Sebab, pertama, mereka menziarah jenazah. Kedua, mereka mengiringi jenazah sehingga dikebumikan. Ketiga, mereka hadir jika keluarga simati mengadakan kenduri doa selamat.
Jadi kebencian dan dendam kesumat bukan penyebab kepada mengapa mereka tidak bersama melakukan solat jenazah.
Saya juga tidak percaya bahawa ahli keluarga yang tidak bersolat jenazah itu, misalnya seorang anak untuk emaknya, tidak mempunyai kasih sayang diantara anak dan emak semasa emak masih hidup. Sebab, pertama, semua ahli keluarga termasuk anak, menangis teresak-esak kerana kehilangan emak. Wajah sedih dan muram. Bacaan Surah Yassin dilakukan oleh semua ahli keluarga, malah berulangkali sambil menyediakan bilangan buku ayat surah Yassin yang banyak untuk dibaca oleh mereka yang datang menziarah. Kedua, jenazah diuruskan sebaik mungkin dengan mengeluarkan perbelanjaan yang terlibat. Ketiga, mengadakan kenduri doa selamat meminta hadiran mendoakan keampunan untuk arwah. Dan kenduri bukan saja sekali malah sentiasa menjadi amalan diadakan kenduri arwah.

Maknanya kasih sayang masih lagi erat terikat. Anak sentiasa mendoakan agar emaknya dicucuri rahmat dan diampunkan dosanya. 
Tapi mengapa bila tiba solat jenazah untuk emak, anak tidak melakukannya?
Cuba perhatikan pula sambutan menyambut hari raya puasa dan hari raya kurban. Solat sunat kedua-dua raya itu meriah sekali. Maksud saya meriah dari segi bilangannya yang ramai yang melempah ruah ke luar dari ruang dalam masjid. Lelaki dan perempuan, yang tua mahupun yang muda serta  anak-anak kecil turut serta. Berpakaian serba cantik dengan bau-bauan yang harum. Ada yang datang berjalan kaki dan ada yang berkenderaan. Selepas solat mereka berpusu-pusu menuju ke kubur untuk mendoakan kesejahteraan mereka yang telah mendahului.
Imam atau pun bilal dalam kebanyakan masjid yang saya pernah bersama dalam melakukan solat hari raya ini, sebelum memulakan solat, akan mengingat serta mengajar ahli jemaah akan cara menunaikan solat raya. Antaranya, niat solat, bilangan rakaat, bilangan takbir pada rakaat pertama dan kedua dan khutbah selepas solat.
Cuba lihat bagaimana kita semua meletakkan tempat solat raya berbanding dengan solat jenazah. Nampaknya solat jenazah tidak dipandang sebagai yang juga penting untuk dilaksanakan. Belum pernah saya ketemu ada pihak atau imam mengingati para hadirin akan cara melakukan solat jenazah, misalnya niatnya, bilangan takbirnya dan bacaan pada setiap selepas takbir.
Solat jenazah tidak mendapat tempat dihati kita. Tidak ada sesiapapun  yang meransang kita untuk melakukan solat jenazah. Pada hal secara perbandingan solat jenazah itu paling mudah sekali.
Sekali lagi mahu ditanya, mengapakah  ramai orang yang tidak melakukan solat jenazah, termasuk dari ahli keluarga sendiri, walaupun mereka berada pada waktu solat itu dilakukan?
Saya berpandangan bahawa sebabnya ialah mungkin ada kaitan dengan budaya kita. Kita lebih suka terlibat dalam hal-hal yang menyeronokkan. Sebahagian besar dari kita terlalu gembira untuk ke masjid menunaikan solat raya. Kita berpakaian cantik dan memakai bau-bauan. Ini tidak salah malah digalakkan sebagai tanda kesyukuran kita selepas berjaya melalui bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan. Cuma, ada juga diantara kita , agak tergelincir dari tujuan melaksanakan solat itu. Buktinya, sebaik habis saja imam memberi salam, ada diantara jemaah, ramai juga, terus bangkit meninggalkan ruang solat sebelum mendengar khutbah raya.
Mereka itu tidak mendengar khutbah yang merupakan sebahagian dari solat raya itu. Tapi keluar meninggalkan ruang solat. Yang sedihnya  ada yang mengambil gambar dengan kawan-kawan, apatah lagi yang lama tidak berjumpa. Mereka begitu  seronok dan gembira sambil menggayakan berbagai 'posing' dihadapan kamera, apatah lagi pada masa ini talipon pun ada kamera, sedang imam diatas mimbar masih lagi berkhutbah.

Apakah makna perbuatan mereka itu? Pada tafsiran saya sikap dan perbuatan mereka itu lebih bersifat untuk berseronok dan bergembira melalui kehadiran bersolat raya. Perbuatan itu jauh  dari berniat untuk menyatakan kesyukuran diatas kejayaan berpuasa dalam bulan Ramadhan.
Agaknya sebab itulah yang membuatkan ramai orang yang sanggup berjalan dan berkenderaan dengan mengeluarkan belanja yang banyak juga membeli pakaian baru serta wangian untuk hadir bersolat raya. Kerana disana ada suasananya. Suasana untuk berseronok dan bergembira.
Apalah suasana yang ada di rumah orang mati melainkan suasana sedih dan muram saja. Sebab itulah mereka yang terlalu cenderung berhibur , berseronok dan bersantai, semasa berada di rumah orang yang meninggal menjadi alpa akan suasana berkabung yang sepatut ada, apabila mereka bersembang atas perkara-perkara yang boleh menimbulkan gelak ketawa. Lantas pada mereka solat jenazah bukan sesuatu yang penting untuk turut bersama kerana ianya tidak seperti solat hari raya, yang ada suasana untuk bergembira.
Lagipun imam tidak pernah mengajar dan mengingatkan cara bagaimana untuk melaksanakan solat jenazah semasa solat itu mahu dimulakan. Tidak seperti solat raya.
Jadi solat jenazah tidak diberatkan oleh masyarakat. Maka ramai yang tidak belajar atau tidak diajar bagaimana cara melaksanakan solat jenazah. 
Mengapa perkara ini tidak diberatkan oleh masyarakat atau mengapa seseorang itu  tidak mengambil berat
Soalan ini juga saya tidak ada jawapan yang terbaik. 
Hanya saya hendak berkata bahawa kita banyak diajar atau belajar untuk kelangsungan hidup. Untuk survival, kata setengah orang. Untuk bernyawa. Ertinya kita tidak atau kurang diajar atau belajar tentang kematian walaupun kita tahu kita akan mati. Maka jiwa kita tidak diajar untuk menghargai kematian. Yang penting kita mahu hidup walaupun kematian itu merupakan garis perjalanan kita yang terakhir.  
Jika kita menghargai kematian maka sudah tentu kita bersedia untuknya. Bersedia dalam erti kata melengkapkan diri dalam hal-hal berkaitan kematian yang ada hubungkait dengan perintah Allah termasuklah menghormati dan menyayangi orang yang telah sampai kegaris penamat kehidupan, dengan mendoakan kesejahteraan mereka dan pohon keampunan untuk  mereka  melalui solat jenazah. Dan sudah tentu kita mengharapkan perkara yang sama dilakukan untuk kita apabila sampai masanya.