Theflowersellingboy

Jumaat, 29 Julai 2016

TAKUT KERANA BENAR




Hari ini saya hendak tulis pendek saja tentang 'Bercakap Benar', atau Berani Kerana Benar'.
 
Ramai orang berkata,
(i) Kebenaran perlu ditegakkan, diperjuang dan dipertahankan walaupun menghadapi betapa besar dan hebatnya halangan , dugaan dan risiko. Kebenaran akan menang. Lambat laun kebatilan akan terserlah. 

(ii) Mana mungkin yang batil mengatasi yang hak. Yang batil itu adalah mungkar sebaliknya yang hak itu adalah makruf. Bukankah Allah menyeru melakukan yang makruf dan meninggal dan mencegah yang mungkar.

(iii) Apakah kita mahu melanggar perintah Allah? Sudah tentu tidak. 

Saya percaya semua orang bersetuju dengan kenyataan diatas. 
 
Tapi jangan marah kerana saya akan ketawa terbahak-bahak. 
 
Sebab  jika saya berani berkata benar saya akan masuk jel. Ramai orang yang akan buat laporan polis meminta saya disiasat. Oleh itu lebih selamat saya menjadi orang yang penakut.  Saya takut asalkan saya dipihak yang benar. 
 
Ketawa terbahak-bahak adalah pilihan yang terbaik sebagai isyarat bahawa saya adalah dipihak yang benar.






 





 
 

Khamis, 28 Julai 2016

Jangan Jadi Bingong




Adakah anda keliru atau bingong ketika ini? Atau anda pasti dan yakin tanpa was-was?

Apa isunya. Apa bendanya? Anda mungkin segera bertanya kepada saya.

Satu emdibi jawab saya.

Oooooohh..yang itu.

"Itu semuanya fitnah angkara campur tangan kuasa asing mahu menjatuhkan kepimpinan Melayu dan Islam. Negara luar memang sudah lama dengki dengan kemajuan negara kita yang semenjak merdeka sehingga sekarang di pimpin oleh Melayu Islam.

Jangan percaya kepada fitnah. Dosa fitnah lebih teruk dari dosa membunuh. Apa saja berita yang kita terima, kita tidak boleh terima membabi buta. Mesti semak, apatah lagi berita yang datang dari orang fasik, kafir harbi.

Fasal apa percaya berita dari negara luar, yang dipimpin oleh kafir harbi. Ini adalah konspirasi orang dalaman dengan kuasa asing bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik. Pembelot itu mesti diambil tindakan dan laporan polis telahpun dibuat keatas mereka.

Lagipun, itu hanya kes sivil bukan jenayah. Belumpun dibuktikan. Seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

Jangan lihat aspek buruk saja. Lihat juga perkara-perkara kebajikan yang telah dibuat oleh satu emdibi. Dah berapa ribu satu emdibi hantar orang naik haji. Dah berapa banyak bantuan yang telah diberikan kepada mereka yang memerlukan. Jutaan ringgit, bukannya sikit.

Mana mungkin satu emdibi yang mengutamakan kebajikan rakyat melakukan keburukan seperti yang difitnah itu''.

Hahahahahaha...saya terpaksa ketawa seperti itu. Jangan marah, bawa bersabar. Mengucap banyak-banyak.
Kelihatan, anda begitu yakin dan tanpa was-was bahawa satu emdibi dalam keadaan sihat, tiada wang yang telah diselewengkan. Tiada wang yang telah disonglap (saya seronok gunakan perkata songlap) dan digunakan bagi membeli hartanah, bikin filem, beli jet, beli lukisan, berfoya-foya dan berjudi. 

Anda kata semuanya fitnah. Anda kata ada rakyat kita sudah belot dan bekerjasama dengan negara asing untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan melayu dan Islam.

Ok, anda sudah berhujah mempertahankan satu emdibi. Anda tidak keliru dan tidak juga bingong dengan apa yang di dedahkan oleh DoJ. Anda yakin bahawa mereka yang bertanggungjawab ke atas satu emdibi khususnya di peringkat kuasa tertinggi tidak melakukan kesalahan.

Anda kata, ini kes sivil , bukan jenayah. 

Anda faham tak kes sivil ini bertujuan untuk mensita dan membekukan serta mendapatkan semula aset yang dimiliki oleh yang dinamakan kerana pemilikan aset oleh yang dinamakan itu adalah dilakukan secara haram. Gunakan wang satu emdibi secara songlap.  

Apabila aset tersebut didapatkan semula melalui proses undang-undang oleh DoJ, ianya akan dikembalikan kepada satu emdibi, syarikat negara kita. Anda tidak mahu aset itu dikemabalikan kepada tuannya semula iaitu satu emdibi, negara kita dan rakyat malaysia? Saya kira anda bingong dan keliru dan dikelirukan.

Dan ianya tidak berhenti setakat itu saja. Pendakwaan jenayah akan dilakukan kerana perbuatan songlap menyonglap wang ini adalah menyalahi undang-undang negara itu dan undang-undang antara bangsa. Ini money laundering, pengubahan wang haram.

Ini melibatkan pencurian harta sendiri yang dipanggil dalam bahasa Inggeris larceny. Jangan jadi negara ini sebagai negara kleptokrasi.

Anda masih bingong?
 




 

Selasa, 26 Julai 2016

Mengapa Kita Beraya Di Kampong




Kenapa hari raya orang perantauan, misalnya yang duduk dan bekerja di Kuala Lumpur balik kampong? Apa yang menariknya di kampong. 

Siapa yang dirindui sehingga ada yang tidak sabar-sabar dengan melakukan berbagai kesalahan jalan raya seperti memandu kenderaan dengan laju melebihi dari had yang ditetapkan, memotong kenderaan lain ikut suka hati dan menggunakan lorong kecemasan. Berlagak samsing jalan raya untuk beraya di kampong.

Sebenarnya tiada apa pun yang menarik di kampong. Nostalgia? Mengembalikan kenangan lama? 

Lupakan saja. Banyak yang telah berubah. Dalam perjalanan dan kampong itu sendiri, banyak yang telah berubah.

Susah hendak cari pohon-pohon dan hutan-hutan atau sawah padi yang menghijau di sepanjang kiri kanan perjalanan menuju ke kampong. Hilang lenyap wajah kampong yang lama. Bukit dan gunung banyak yang telah botak, digondolkan oleh manusia. Takkan gajah dan harimau yang menggondolkannya?

Jadi mengapa gila-gila sangat nak beraya di kampong? Bukankah sekarang ini perjalanan balik kampong melibatkan kos yang tinggi, membebankan. Bukankah beban sara hidup tinggi ini yang selalu menjadi rungutan harian kita.

Harga minyak petrol/diesel mahal. Tol mahal. Lagi jauh perjalanan, banyak laluan tol yang terpaksa dilalui, bertambah beban lagi. GST pun terpaksa dibayar , menaikkan lagi harga barang seperti  pakaian  dan makanan. 

Senggaraan kereta sebelum balik hari raya seperti menukar minyak pelincir, menentukan brek berfungsi dengan baik, tayar yang selamat dan sebagainya perlu dilakukan walaupun termasuk GST yang menyakitkan hati itu. Gunakan wang lagi.

Tidak seronok rasanya balik kampong dengan tangan kosong. Sejenis dua kueh muih, biskut dan yang sejenis perlu juga dibawa sama. Kos lagi. 

Tidak cukup dengan buah tangan tersebut. Kita bersalaman, jangan lupa duit raya dalam envelop yang perlu juga mengiringi salam kita, walaupun tidak semua. 

Memanglah duit raya itu kita beri dengan ikhlas. Itu bukan soalnya. Soalnya kos yang bertambah apabila kita balik beraya di kampong.

Satu lagi, sekarang ini duit raya tidak main seringgit dua ringgit. Minima 5 ringgit. Itupun , kedengaran rungutan, 'alaaa lima ringgit jer' atau 'ingatkan merah, ijau jer'. Kata-kata itu dikeluarkan dihadapan kita. Tiada siapa yang mengajar begitu. Kos sara hidup yang semakin meningkat yang mengajar mereka. Apalah sangat nilai 5 ringgit ketika ini.

Tersipu-sipulah kita antara marah, ketawa dan kecil hati. 

Balik kampong, kosnya begitu tinggi. Kos dalam bentuk wang dan kos perasaan.

Jika suami isteri berlainan negeri, seorang dari nun selatan Johor dan seorang lagi nun di Perlis bersempadankan Thailand, yang telah ada persetujuan untuk beraya bergilir, 'tahun ini rumah you dulu, lepas tu balik rumah I' dan 'tahun depan sebaliknya' bukankah parah jadinya. .

Begitu 'menyiksakan'. Tapi kampong tetap menjadi pilihan untuk beraya. Mengapa?

Adakah beraya di kampong bertujuan untuk berjumpa saudara mara seperti adik beradik, bapa dan emak saudara, anak saudara dan kawan lama?

Saya tidak yakin, itu sebabnya. Sebab mereka itu tidak mungkin boleh menjadi daya penarik untuk balik ke kampong.
Yang menjadi daya penarik ialah kedua ibubapa kita. Tiada mereka kita tidak akan balik beraya di kampong.

Saya pernah bertanya seseorang fasal apa tidak balik kampong. Jawabnya mudah saja, 'tiada sesiapa di kampong'.

Saya tanya lagi, bagaimana dengan adik beradik yang lain , emak atau bapa saudara? Jawabnya, masih ada di kampong, tapi emak dan bapa tidak ada, tak seronok balik kampong.

Dengan hal yang demikian, sekarang ini kita mesti bersedia menerima kenyataan bahawa ikatan kekeluargaan kita misalnya diantara adik beradik, anak dan bapa/emak saudara apatah lagi pupuan semakin longgar menuju kearah pupus.

Jangan merasa kecil hati jika adik beradik tidak berkunjung ke rumah kita sebab kitapun merasa  malas untuk berkunjung ke rumah mereka melainkan jika ibubapa ada bersama.

Begitu hebatnya daya penarik ibubapa, penyatu persaudaraan yang tidak mungkin pupus selagi mereka ada. Kos sara hidup yang tinggi juga tidak berdaya menjadi penghalang untuk kita beraya bersama walaupun kita datang dari beribu batu jarak jauhnya.
 

Ahad, 24 Julai 2016

SAPAKAH NAMA DIA ITU




Hari ini aku pergi ke zoo

dulu emak aku panggil taman binatang

Macam macam binatang ada

Semuanya ada nama, bilang emakku

Tapi tak semua binatang itu aku tahu namanya

 

Mana lagi mahu pergi di hujung minggu

Rumah terbuka hari raya sudah rata aku ronda

Naik jemu, juadah hidangan yang itu-itu juga

Pilihan terbaik, aku fikir cari yang berbeza

Sudah tentu zoo pilihan betul dan kena

kerana aku berhadapan bukan lagi dengan manusia

 

Mata aku bukan main terpaku kepada yang satu

belang-belang hitam, kuning-kuningan warna anggota

ada empat kaki macam  kucing yang aku bela

bila aku dekati, dia menerkam garang lagak murka

tidak macam kucing aku yang suka menggeser dan manja

 

Siapa kah dia itu?

Sudah pasti dia bukan kucing namanya


Aku renung dan tenung lagi

Dia makan daging, ayam segala yang sama

sekali ngap, sekilo masuk bersahaja gayanya

Giginya, waduh amat tajam bila ku lihat dia menganga

menakutkan, tidak macam kucingku yang manja

 

Siapa kah dia itu?

Sudah pasti bukan kucing namanya

 

Dia ada misai

Kucingku pun ada misai

berat badan saja yang tak sama

 

Siapa kah dia itu

Apakah namanya

 

Dia dalam zoo, taman binatang kata emak aku

 Kucingku tinggal serumah menjadi temanku

Aku pasti bukan kucing namanya


Sipa dia itu

Siapa namanya

 

Rasa-rasa macam aku tahu

Siapa dia itu 

Apakah namanya.



 

 

Jumaat, 22 Julai 2016

Sebagai Rakyat Malaysia Apakah Reaksi Anda Keatas Pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) Tentang Perbuatan Durjana Mereka Yang Dinamakan Menyeleweng Wang 1MDB





Tetapkan kedudukan anda sekarang:

(i) Anda percaya dengan pendedahan itu. Dan dengan sebab itu anda menjadi marah, sakit hati dan kecewa.

(ii) Anda tidak percaya dengan pendedahan itu. Dan dengan sebab itu anda kata ianya campur tangan Amerika Syarikat dalam hal ehwal Malaysia.

(iii) Dan ada pula dikalangan anda yang mengatakan bahawa tunggu dulu selepas kes selesai sebelum membuat apa-apa kesimpulan.

(iv) Dan ada juga mengambil sikap bersahaja seolah-olah kes yang didedahkan tidak serious dengan mengatakan kes itu bukan kes jenayah, hanya kes civil.

Waduh, dimana duduk anda sekarang ini?
 
Saya memilih untuk mengambil kedudukan yang pertama. Saya marah, sakit hati dan kecewa. Harap-harap ianya tidak memberi kesan kepada kesihatan saya. Saya serious kerana nama baik negara sudah tercemar, amat memalukan dan merosakkan.

Jika anda bersama saya, memilih kedudukan pertama, saya percaya pendedahan DoJ ini amat dinantikan kerana pendedahan seperti ini tidak mungkin berlaku dan dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab di negara kita. Sampai kucing bertanduk anda menunggu pun ianya tidak akan berlaku.

Sudah terlalu lama kita mengharapkan, dan ada ketikanya kita mendesak agar pihak yang bertanggungjawab dalam negara memberi tahu kita apa yang sebenarnya yang telah berlaku kepada syarikat pelaburan strategik negara itu (1MDB), tapi banyak penafian daripada keterbukaan seolah-olah tidak berlaku apa-apa ketidakaturan dalam perjalanan syarikat itu.

Kekecewaan yang paling memuncak apabila pihak berkuasa memutuskan kes 1MDB ini ditutup.

Sekarang hanyir dan hancing tadbir urus 1MDB itu telah didedahkan oleh pihak luar. Amat memalukan.

Pendedahan DoJ itu dari segi maklumat, kelihatan tidak ada bezanya dengan maklumat yang kita telah sedia ada. Bezanya mungkin ianya lebih terperinci kerana maklumat diperolehi dengan melakukan siasatan yang rapi oleh agensi penguatkuasa yang berwibawa.

Bahkan mereka yang dinamakan yang didakwa melakukan pelanggaran undang-undang adalah mereka yang telah sedia ada dalam pengetahuan kita walaupun ada teka teki yang perlu diselesaikan.

Sekarang maklumat pendedahan itu memberitahu wang 1MDB bagi urusniaga tertentu telah masuk ke dalam akaun yang tidak sepatutnya. Ada yang menggunakan istilah wang itu dicuri.

Pihak-pihak yang dinamakan telah menggunakan wang itu untuk membeli berbagai aset seperti hartanah dan jet, membeli karya seni (lukisan), pembikinan filem, untuk berfoya-foya dan berjudi.
 
Anda marah dan sayapun marah. Tapi, kita wajar mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Amerika yang diberitakan telah mensita aset dan membekukan akaun yang terlibat. Dan tindakan undang-undang seterusnya bagi mendapatkan nilai aset dan wang itu untuk dikembalikan kepada Malaysia.

Alangkah malunya kita. Negara asing megambil berat dan melindungi kepentingan 1MDB, syarikat strategik negara kita sedangkan ada diantara kita termasuk pihak yang bertanggung jawab sentiasa dalam penafian bahawa tidak ada salah laku.

Memang kita tidak boleh memutuskan pihak yang dinamakan itu melakukan kesalahan sehingga proses undang-undang berjalan sepenuhnya. Tetapi menjadi tanggungjawab pihak berkuasa Malaysia untuk mendapatkan fakta-fakta kes yang telah didedahkan dan seterusnya membuka kembali kes 1MDB ini.

Menyifatkan kes itu hanya kes civil saja, saya kira ianya satu jawapan yang tidak bertanggongjawab. Sama ada civil atau jenayah, ianya melibatkan syarikat milik kita 100% dan kerugian sejumlah wang yang amat besar.

Apakah dari maklumat yang didedahkan oleh DoJ itu tidak terdapat perlakuan jenayah? Saya amat berat mengatakan, selepas kes civil ini selesai dimana DoJ berjaya membuktikannya, tindakan jenayah besar kemungkinan akan diambil kerana melibatkan pengubahan wang haram. 
 
Sebenarnya perasaan kecewa mengatasi kemarahan saya. Saya marah kerana kes 1MDB ini membebankan kewangan negara kita. Tidak fasal-fasal kita yang menangung hutang atas kedurjanaan orang yang telah diberi amanah untuk menguruskan syarikat itu.

Dan saya kecewa kerana masih ada lagi orang yang menafikan bahawa 1MDB memberi beban dan masalah kepada negara lantas kes itu boleh dengan mudah ditutup.

Walaupun banyak pihak telah mendedahkan kes salahlaku dalam 1MDB misalnya WSJ, pendedahan dari penguatkuasaan Kerajaan Amerika, DoJ, tidak semudah itu boleh diketepikan sahaja oleh pihak Berkuasa Malaysia. 

Terima kasih kepada DoJ kerana berhempas pulas menjaga kepentingan Malaysia.

Jangan tuduh saya agen Amerika.



Khamis, 21 Julai 2016

Tembelang Telah Pecah. Busuknya Macam Telur Tembelang. Aku Tidak Boleh Temberang Lagi.




Kilat  pancar memancar menerangi kegelapan. Cahayanya menembusi langsir tebal bilikku. Guruh dan petir berdentam dentum. 

Satu dentuman amat kuat sekali seolah-olah pencahayaan kilat telah membantu petir itu melihat sasaran. 

Siapakah gerangan yang kena panahan petir itu. Sudah tentu terbakar, menjadi hitam. Jika bernyawa, melayanglah nyawanya. Tidak mungkin boleh hidup kerana dentuman itu amat kuat sekali. Lebih kuat dari bunyi bom C4. 

Berkecai satu fizikal, bertaburan menjadi cebisan-cebisan kecil yang tidak mudah disatukan kembali.

Akukah itu?

Tangan kananku meraba-raba kepala, turun ke muka, leher, dada , perut dan kaki. 

Aku menarik nafas panjang, anggota badanku masih ada dalam binaan sedia kala. Solid. Tidak berpisah. Tidak berkecai.

Ya Allah hindarkan aku dari panahan petirmu itu. 

A'uzubillah hi minasysyaitonirrajim. Ya Allah aku berlindung dari syaitam yang di rejam.

Begitulah pesan emakku setiap kali  melihat kilat memancar menerangi alam dan petir sabung menyabung. Ada syaitan yang hendak dipanah oleh petir itu, katanya. Jauhkan kita dari syaitan dengan membaca ayat itu.

Sesungguhnya aku bersyukur kerana aku masih hidup.  Syaitan tidak ada berdekatan dengan aku. 

Tiba-tiba aku lihat dua lembaga berjalan menghampiri ke katil tempat baringanku. Satu darinya memberi salam. Aku tidak menjawab. Mulutku seperti terkunci rapat. 

Macam mana mereka ini boleh masuk dalam bilikku. Siapa yang buka pintu. Macam mana mereka boleh melepasi pintu utama rumahku sedangkan pintu itu dilapiskan dengan jeriji besi. 

Mereka pecahkan? Mereka potong jeriji besi?
Tidak mungkin. Loceng keselamatan rumahku senyap sunyi.
Sekali lagi salam diberi. Kali ini dari yang satu lagi.

Wa'alaikum salam.

Aku bangkit dari baringanku dan menghulurkan tangan bersalaman dengan kedua-dua tetamu yang tidak dijemput itu.

"Malaikat". "Malaikat".

Tiap-tiap satunya memperkenalkan diri sebaik saja menyambut tanganku.

Apa salahku. Sudah sampai masa.... Fizikalku yang solid menggeletar, semakin lembik tidak berdaya.

"Kami bukan malaikat pengambil nyawa. Kami cuma mahu berbicara dengan anda. Ada juga soalan yang kami akan tanya". Lembaga yang paling dekat memberitahu.

Perlahan-lahan semangatku pulih.  

Apa pula yang hendak dibicarakan. Apa tujuannya. Mengapa aku yang dipilih.

Aku lihat  satu dari malaikat itu meminta sesuatu dari malaikat yang satu lagi sambil menadah tapak tangan kanannya. Kelihatan seperti sebutir telur diletakkan ke atas tapak tangan yang sedia menadah.

"Anda tahu apa ini?", Malaikat itu bertanya, bergerak sedikit, mengurangkan lagi jarak antara kami.  

Apa bodohnya malaikat ini. Hari-hari aku makan telur. Mana mungkin aku tidak kenal benda yang ada ditapak tangannya. Tapi kalau ada hadiah yang ditawarkan, mahu juga aku menjawab.

"Lihat betul-betul. Apa benda ini", Malaikat itu mahu aku lebih teliti sebelum menjawab soalannya. Aku bertambah geli hati.

"Ada hadiah kah jika saya beri jawapan yang betul?" Aku sudah berani bergurau.

Malaikat itu saling pandang memandang. Kemudian  kedua-duanya mengangguk-angguk kepala. Ada benda yang mereka bersetuju tentang aku.

"Anda sukakan hadiah. Setiap sesuatu mesti diiringi dengan hadiah"? 

Aku tidak menjawab tetapi tersengih. Ada sedikit rasa malu.

Aku beritahu benda ditangan malaikat itu adalah sebiji telur. Kedua-dua malaikat itu serentak bersuara mengucapkan tahniah kerana aku dikatakan seorang yang bercakap benar.

"Anda bercakap benar. Boleh dipercayai", seorang dari malaikat itu menepuk bahu kananku.

"Bagaimana isi didalamnya"?

Soalan merepek. Manalah aku tahu. Aku bukan tok nujum. Aku menggelengkan kepala. Sekali lagi aku diberikan ucapan tahniah kerana bercakap benar.

"Macam mana nak tahu?"

Apalah bodoh punya soalan. Pecahkanlah. Kopek kulitnya.

"Anda tidak tahu caranya?" Mereka ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah merasa hairan kerana aku tidak tahu caranya.

Egoku tercabar. Dia tidak tahu siapa aku. Mahu masuk penjara gamaknya.

Malaikat itu memberikan telur itu kapada aku dan meminta aku menghempas telur itu ke lantai. 

Telur telah berada ditanganku. Tapi aku tidak mahu ikut arahan malaikat itu. Telur itu tidak  perlu dihempas untuk tahu keadaan didalamnya. Kopek saja kulitnya. Aku ingat malaikat pandai, rupanya bodoh.

"Hempas. Hempas telur itu ke lantai", berebut-rebut kedua-dua malaikat itu memberi arahan.

"Anda akan mendapat hadiah. Segera lakukan", mereka menguja aku melakukannya.

"Hadiah? Apa hadiahnya".

 "Kami akan laporkan kepada malaikat pengambil nyawa tentang kejujuran anda. Dan kami perakukan agar nyawa anda dipanjangkan lagi".

Aku hempaskan telur itu ke lantai. 

Aduhhhh busuuuuknya. Telur tembelang.

"Bang bang , abang mengigau " isteri ku menepuk-nepuk bahuku. "Mana ada telur tembelang. Tak ada bau busuk pun".

Aku beristighfar.

Aku duduk termenong cuba mengingat kembali mimpiku itu.
Benarkah dua lembaga itu malaikat? Mengapa  berikan telur tembelang padaku. Mengapa di suruh aku menghempasnya?

Adakah tembelang aku telah pecah? Bau busuk menusuk setiap lubang hidung?

Bukankah malaikat itu kata aku bercakap benar?

Entah-entah aku bermimpi bersama syaitan. Aduh habislah aku. Tembelang telah pecah. Busuknya macam telur tembelang. Aku tidak boleh temberang lagi.

Rabu, 20 Julai 2016

Merepek, Jalan Keluar Saya Pada Hari Ini.




Pada suatu ketika
 dulu, kini dan yang dihadapan
 
Masa kecil-kecil dulu jika ada gambar merakamnya dan gambar terkini jika disaingkan, sedarlah kita  bahawa perjalanan sudah begitu jauh. Namun perasaan masih mengatakan bahawa baru semalam jarak jauhnya.
 
Hari ini kita menuju ke hadapan yang kita tidak tahu jarak jauh perjalanan kita itu. Tidak ada gambar masa depan yang bisa kita saingkan bagi mengukur jarak perjalanan kita itu.

Tetapi kita tetap kita. Saya tetap saya. Kamu tetap kamu. Membawa jasad yang sama pada ketika-ketika yang berbeza itu -dulu, kini dan masa hadapan. 

Masa dalam kubur? Jasad yang sama juga berhadapan dengan malaikat. Aduh sakitnya, tanggunglah sendiri. Seronoknya, tidak wajib berkongsi.
 
Hahahahahaha .... saya merepek nampaknya. Entah apa-apa yang saya cakapkan. Apa tujuannya. Apa mesejnya. Apa moral ceritanya. Apa kena mengena jasad dan masa sehingga saya kata saya tetap saya, kamu tetap kamu, dan kita tetap kita -pada ketika yang berbeza.
 
Kalau sakit tanggung sendiri. Kalau seronok, syok sendiri.
 
Saya sendiri tidak faham. 
 
Tapi merepek paling menyeronokkan. Ianya jalan keluar yang saya pilih hari ini kerana ianya bersifat bebas tanpa sempadan, tiada hujung dan pangkal, tidak ada format, garis panduan mahupun peraturan, etika, intonasi suara bisa pilih apa saja menurut rasa dan selera -mahu menjerit, silakan. Tidak perlu pilih tajuk, kata-kata. Katalah ikut suka,  jalan cerita, berbelit-belit pun tidak mengapa. 
 
Merepek tidak ambil kira fasal markah dan gred yang diberikan - 100 atau A, cemerlang atau gagal tidak pernah wujud dalam pertimbangan orang yang merepek. Penilaian seperti itu bukan menjadi idaman. Tidak seperti berbicara dalam sebuah syarahan, debat, memberi jawapan semasa temuduga -gred cemerlang jadi idaman.
 
Namun begitu mereka yang anti merepek, yang masih terkongkong dengan berbagai peraturan dan garis panduan, terus berdegil, memaksakan (force) suatu gred dihadiahkan keatas orang yang merepek dan berterusan merepek ini  sebagai kayu ukur tahap kesihatan otak orang seperti itu.
 
"GILA", adalah sesuai untuk kamu wahai orang yang suka merepek.
 
Harap-harap saya tidak terperangkap dengan jalan keluar ini. Harap-harap pada akhirnya saya akan dihujani dengan idea-idea yang melempah seperti air hujan menuruni bukit dari hutan rimba yang telah dibotak licinkan. Begitu deras sekali. 
 
Saya kebanjiran idea, akhirnya nanti. Alangkah seronoknya nanti kerana saya telah dapat keluar dari jalan buntu, buntu idea.
 
Dan saya bukan orang 'GILA'.
 

 
 
  
 

 
 

Selasa, 19 Julai 2016

Jalan Keluar Yang Memerangkap Diri




Anda pernah buntu fikiran atau sesat jalan yang menghalang anda untuk sampai ke destinasi? Jika begitu, anda perlukan jalan keluar. Anda perlu mencari cara atau kaedah untuk keluar dari kebuntuan itu atau  mencari jalan lain untuk sampai ke destinasi yang mahu dituju.
 
Ya, anda perlu jalan keluar.
 
Tapi, awas berhati-hati memilih jalan keluar. Salah pilih, jalan keluar itu akan memerangkap diri anda yang akhirnya akan menambahkan lagi kebuntuan yang anda mahu berlepas diri atau terus sesat barat.
 
Ada banyak jalan keluar. Oleh itu anda mesti pandai pilih jalan keluar yang selamat dan menguntungkan anda dalam jangka panjang. 
 
Untuk memilih jalan keluar yang selamat dan menguntungkan, anda mesti bertindak rasional dan elakkan emosi memandu pertimbangan anda.
 
Jalan keluar yang tidak selamat dan boleh merosakkan juga banyak. Tiga yang selalu menjadi pilihan adalah seperti berikut:
 
i) menuding jari menyalahkan pihak lain
 
ii) mengada-adakan/merekayasa sesuatu hal atau keadaan 
 
iii) menimbulkan perasaan takut dan tidak selamat
 
Apabila adanya sesuatu masalah atau kesilapan, kelemahan atau kalah dalam sesuatu lapangan, persaingan dan sebagainya, jalan keluar yang (i) itu selalu menjadi pilihan. Misalnya anda gagal dalam peperiksaan sedangkan ibubapa anda mahu anda lulus dengan cemerlang. Anda menjadi buntu bagaimana untuk berhadapan dengan kedua ibubapa bagi menyampaikan berita kegagalan anda itu.
 
Anda ada dua pilihan, pertama menerima kegagalan itu disebabkan kesilapan anda sendiri kerana tidak belajar bersungguh-sungguh atau kedua, menyalahkan guru yang mengajar.
 
Biasanya kita lebih suka memilih untuk menyalahkan orang lain dan bukan pada diri sendiri bagi melepas diri diatas kesalahan sendiri.
 
Cara ini jika terus digunakan, ianya akan memerangkap diri sendiri. Kita membina satu sikap dan sifat yang tidak akan dapat membantu kita untuk memperbaiki kelemahan sendiri.
 
Jika sebahagian besar masyarakat juga memilih jalan keluar yang suka menuding jari ini, kesan buruknya sudah tentu lebih teruk dan merosakkan masyarakat itu sendiri.
 
Contoh: 
 
(i) Orang Melayu tidak berjaya dalam perniagaan adalah disebabkan oleh sabotaj dari masyarakat bukan Melayu khususnya orang Cina. 
 
(ii) Kelemahan ekonomi orang Islam kerana sabotaj orang Yahudi.
 
Sabotaj dalam perniagaan atau apa saja bidang memang tidak boleh dinafikan. Sesama adik beradik pun ianya boleh berlaku apatah lagi yang tiada kaitan hubungan dan yang menjadi pesaing ketat.
 
Tetapi jika kita begitu obses dan fokus kepada mencari faktor luar yang menjadi punca kegagalan kita , sudah tentu kita tidak mampu berfikir secara rasional kerana emosi telah mempengaruhi pemikiran kita.  Akibatnya kita tidak pernah nampak atau mahu melihat kelemahan sendiri.
 
Paling malang sekali jika jalan keluar-jalan keluar  diatas digunakan oleh pihak yang ada kuasa bagi menutup kelemahan dan kedurjanaan dan pecah amanah yang mereka lakukan demi untuk memiliki kuasa dan kekal berkuasa.
 
Jika atas nama bangsa dan agama kita terlalu beremosi dan tidak rasional dalam membuat pertimbangan, mereka yang ada kuasa akan menggunakan jalan keluar tersebut bagi melepas diri dari mengambil tanggungjawab diatas kedurjanaan yang mereka lakukan.

Dalam jangka panjang, jalan keluar itu sebenarnya telah memerangkap kita untuk menjadi bangsa yang gagal kerana (i) kita tidak pernah mahu lihat kelemahan kita sendiri untuk diatasi, kerana (ii) kita sentiasa dihantui perasaan tidak selamat dan dengan itu sentiasa bergantung harap dan pertolongan yang boleh membantutkan daya kreativiti dan potensi diri kerana (iii) kita sentiasa mahu mencari alasan-alasan bagi menjustifikasikan kesalahan dan kelemahan mereka yang menjadi pemimpin kita.
 
Kitalah yang sebenarnya memilih jalan keluar yang memerangkap diri sendiri. 

 
 
 
  

Isnin, 18 Julai 2016

Hari Ini Hari Ulang Tahun Kelahiran: Pohon Kemaafan.





Hari ini genap usia saya 70 tahun. Dan sebulan lagi saya akan berusia 68 tahun.

Usia saya menurun?  Orang yang sama tapi usia berbeza? Biar betul.

Memang betul. Tiada salah dan silap kiraan saya itu. 

Usia 70 tahun itu adalah berdasarkan kiraan menurut takwim Islam iaitu tahun Hijriah. Dan usia 68 tahun adalah berdasarkan kalender Gregorean, tahun Masehi. Jadi kedua-dua usia itu betul.

Jadi hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran saya yang ke 70. Saya sendiri tidak sedar hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran saya. Apatah orang lain termasuk isteri dan anak-anak saya. 

Sebab itu tiada seorangpun memberi ucapan selamat hari lahir dengan doa panjang usia, murah rezeki dan diberikan kesihatan seperti yang dilakukan pada hari ulangtahun kelahiran tahun masehi. Sedih rasanya.

Saya menyedari usia 70 tahun itu setelah membuat conversion tarikh lahir tahun masehi kepada tahun Hijriah. Entah macam mana tergerak di hati untuk mengetahui berapakah usia saya menurut kiraan tahun Hijriah. Rupa-rupanya saya lebih tua dua tahun berbanding dengan tahun masehi.

Itulah silapnya saya yang tidak memberi perhatian kepada tahun Hijriah. Dari dulu sehingga kini saya tidak dapat menghafal nama-nama bulan tahun hijriah secara turutan yang betul. Sebaliknya begitu pantas tanpa silap saya menyusun turutan nama-nama bulan dalam tahun masehi. Memalukan.

Namun begitu apapun tahun yang digunakan dalam mengira usia, satu perkara yang pasti ialah usia kita semakin meningkat. Tanda-tanda ketuaan telah banyak menyerlah memberi isyarat yang jelas bahawa perjalanan kita semakin mendekati ke destinasi.  Dan saya tidak terkecuali.

Dengan demikian sempena menyambut hari ulangtahun kelahiran saya yang ke 70 pada hari ini, dan ke 68 pada bulan depan, saya mohon ampun dan maaf jika terdapat kata bicara saya yang tidak menyenangkan mana-mana pihak  yang melayari paparan blog saya ini.

 














 

Ahad, 17 Julai 2016

Puji dan Keji adalah obsessi orang politik




Kasih dan benci mudah bertukar ganti. Hari ini memuji , esok boleh saja kata benci.
 
Siapakah gerangan yang mempunyai sifat seperti itu?
 
Sudah tentu bukan anda! Anda memberi jaminan. Tapi saya masih meragui jawapan anda selagi saya tidak tahu obsessi anda. 
 
Dan saya pula memberi jaminan. Sudah tentu sekali bukan saya. Sebab saya tidak obses tentang 'itu'.
 
Jadi siapakah gerangan yang yang tinggi memuji pada hari ini, dan esoknya nanti jangan anda terperanjat, puji bertukar menjadi benci, siap dengan kata-kata maki. 
 
Apabila anda 'Obses tentang itu', maknanya anda tidak berdiri dibumi nyata, anda tidak mahu berfikir secara rasional. Kebenaran dan dosa pahala tidak lagi mampu memimpin anda kerana nafsu sudah menjadi tuan, dan bermaharajalela.
 
Misalnya jika semalam apabila anda diberi peluang naik ke pentas dan berucap, saya percaya anda bermula dengan ucapan salam hormat dan terima kasih kepada pengerusi majlis. Mengucapkan salam kepada hadirin. Dan anda mengambil peluang terbaik untuk menyampaikan rasa kasih sayang yang tidak terhingga kepada tetamu yang diraikan yang sudi bersama-sama hadir dalam majlis anda.
 
Ucapan anda seperti ini,
 
"Yang Amat Berhormat Dato Seri/Tan Seri/Tun
yang amat saya dan kita semua kasihi dan sayangi".
 
............ dan sehingga habis ucapan anda, anda tetap memuji. 
 
Esok atau lusa atau pada esok yang terdekat, kasih sayang anda dan kasih sayang orang yang anda puji itu boleh saja bertukar bergantung dimana tempat anda dan orang itu berdiri. 
 
Jika orang yang anda puji itu duduk sebelah kiri, dan anda pula memilih untuk duduk di sebelah kanan kerana masing-masing mengatakan tempat bediri mereka lebih baik dan selamat maka bermulalah rasa benci, keji mengkeji dan maki memaki. Ranaplah segala puji memuji, putuslah kasih sayang yang semalamnya anda ucapkan dengan sambutan senyum dari orang yang dipuji.

Kerana apa?

Kerana anda dan orang itu adalah orang yang obses tentang 'itu'.

Anda ialah haiwan politik yang terlalu tinggi obsessinya. Anda adalah political animal yang tidak ada tolok banding tegarnya. Haiwan politik seperti ini tidak ada buku panduan yang tetap. Setia dan khianat tidak ada bezanya. Dosa dan pahala sama-sama jadi batu timbangan. 
 
Jadi jika anda salah seorang atau lebih sesuai dipanggil sebagai seekor haiwan politik seperti itu, anda amat susah untuk keluar dari melakukan puji/maki pada hari ini dan maki/puji pada esok harinya kepada orang yang berbeza tempat berdiri. 
 
Namun tidak semuanya begitu. Tetapi kekecualian adalah terlalu kecil dan susah untuk dicari. 

Baik. Mungkin ada diantara anda yang tidak bersetuju dengan pandangan ini. Itu hak anda.

Hanya saya mahu membawa perhatian anda kepada apa yang berlaku dalam politik negara kita. 

Saya mahu tanya orang politik:
 
i) mengapa memuji melambung Tun Mahathir pada satu ketika dulu. Dan setelah mahathir keluar parti, mengapa kata-kata pujian itu diganti dengan kata-kata keji dan maki hamun.
 
ii) begitu juga dengan orang yang keluar UMNO, mengapa maki hamun dan benci yang sebegitu memuncak pada Najib perdana menteri yang dulunya dipuji dan dicium tangan sehingga melekat gigi pada jari perdana menteri.
 
iii) sama juga kesahnya dengan Anwar sebelum dipenjarakan, semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri: berbaris-baris dan memotong q untuk orang politik dapat melihat wajahnya saja kerana untuk bersalam tangan tidak semudah yang diidamkan, berjam jam lamanya sampai ada yang boleh pengsan. 
 
Setelah dipenjara, tiada kuasa, apa  gelaran yang diberikan kepada Anwar oleh orang politik yang sama, yang dulunya memuji memuncak tinggi setinggi gunung everest: Anwar manusia peliwat. Tidakkah panggilan liwat itu amat kejam sekali. Apatah lagi ianya satu mainan politik.
 
Cukup dengan 3 soalan diatas. Saya rasa soalan-soalan itu mampu memperkuatkan kepercayaan saya bahawa orang yang obses politik ini tidak  boleh dipercayai.

Jumaat, 15 Julai 2016

Penubuhan Parti Politik Oleh Tun Mahathir: Adakah Ianya Satu Perjuangan atau Dendam Kesumat?




Menurut satu berita, Dr. Mahathir bersama mereka yang mahukan Najib turun telah menubuhkan satu parti politik yang namanya masih lagi belum diistiharkan. Parti politik ini akan bersama-sama dan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang dalam PH (PKR, DAP dan Amanah) menentang UMNO/BN dalam PRU 14 nanti. PAS tidak termasuk dalam kerjasama ini.
 
Sesungguhnya kekalahan pembangkang (PH dan PAS) di 2 kawasan parlimen dalam PRK baru-baru ini tidak langsung mengendurkan azam dan niat Mahathir untuk mengalahkan UMNO/BN sekaligus dapat menjatuhkan Najib. 
 
Mahathir semakin bersemangat. Selagi Najib belum dapat dijatuhkan, saya percaya, selagi itu semangatnya marak membara. Kental sungguh hati bekas PM ini walaupun usia telah mencapai 90an. 

Satu pertanyaan: Mengapa Mahathir dan geng mahu tubuh parti bagi menentang dan seterusnya mengharapkan agar UMNO/BN khususnya Najib dikalahkan?
 
Ianya satu dendam!

Itu adalah kenyataan dan jawapan musuh politik yang tidak bersetuju dengan Mahathir. Macam-macam perkataan dan istilah negatif dilekatkan kepada usaha dan tindakan bekas PM ini. 
 
Namun begitu, sifat dendam mendendami bukan perkara asing bagi orang politik yang mahukan kuasa dan pengaruh. Lawan mesti dijatuhkan. Perasaan dendam itu adalah rangsangan terbaik bagi menjatuhkan lawan.
 
Bagi orang politik dendam adalah satu kemestian untuk kelangsungan kewujudan mereka (untuk ada kuasa dan pengaruh, dan mendapat faedah  ekonomi dari kuasa dan pengaruh itu). 
 
Dalam pengertian politik, dendam bukan satu perkara yang salah. 
 
Mereka berdendam ketika bermusuh. Dendam itu bisa saja dilupakan apabila mereka bersetuju menjadi kawan bagi mencapai maksud yang sama.
 
Mahathir adalah contoh yang jelas tanpa perlu bersuluh. Semua orang tahu Lim Kit Siang adalah musuh ketat Mahathir, musuh politik yang amat Mahathir tidak suka. 
 
-Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit Siang memusuhi Melayu dan Islam. Lim Kit Siang memecahkan perpaduan rakyat. Ringkasnya Lim Kit Siang adalah orang jahat.  Sebab itu Lim Kit Siang perlu dipenjarakan dibawah ISA.
 
Itulah sikap dan apa yang diberitahu oleh Mahathir kepada rakyat tentang Lim Kit Siang.
 
Sama juga dengan sikap dan kata-kata Lim Kit Siang terhadap Mahathir. 
 
-Mahathir adalah diktator. Zalim. Salah guna kuasa. Terlibat dalam banyak skendal kewangan. Ringkasnya Mahathir perlu dibawa ke mahkamah untuk pengadilan  jika pembangkang (dulunya PR menang dalam PRU 13).
 
Begitu juga dengan sebahagian besar kepimpinan PKR, Amanah dan DAP. Mahathir memusuhi mereka dan mereka juga tidak suka Mahathir yang mereka kata sebagai zalim , diktator, salah guna kuasa dan merosakkan kewangan negara. 
 
Tanyalah Mat Sabu. Dia akan beritahu dengan lebih terperinci lagi tentang Mahathir yang dia amat benci.
 
Sekarang Lim Kit Siang, Mat Sabu dan beberapa kepimpinan dalam PKR telah hadir bersama Mahathir dan geng dalam penubuhan parti baru mahathir itu. Mereka sudah jadi kawan ke arah yang sama iaitu bagi menjatuhkan Najib.
 
Jadi kesimpulan pertama ialah bahawa penubuhan parti Mahathir itu adalah atas dasar untuk menjatuhkan Najib dan UMNO/BN.  Perasaan dendan tidak boleh diketepikan bagi mencapai matlamat mereka itu.
 
Mahathir bersama dengan musuh yang sudah jadi kawannya itu mungkin tidak bersetuju. Bagi mereka tujuan utama ialah bagi menyelamatkan malaysia. 
 
Bagi Mahathir, Najib telah melakukan kerosakan yang amat besar kepada Malaysia. Dan jika Najib dibiarkan terus berkuasa, UMNO/BN akan kalah dalam PRU 14. UMNO perlu diselamatkan. UMNO kalah Malaysia dalam bahaya (sebenarnya  Mahathir dan yang bersekutu dengannya dalam keadaan bahaya untuk didakwa). Malaysia  akan hancur.
 
Bagi kepimpinan PH pula (kawan baru Mahathir), mereka bersetuju Najib perlu diturunkan secara demokratik. Najib jatuh bermakna UMNO/BN akan tersungkur. UMNO/BN tersungkur, Malaysia dapat diselamatkan.

Jelas bahawa pendekatan Mahathir dan PH berbeza walaupun nampak sama. 
 
Matlamat Mahathir ialah untuk menjatuhkan Najib. Najib jatuh, Mahathir percaya UMNO dapat diselamatkan. UMNO terselamat, Mahathir dan yang bersekutu dengannya akan terselamat dari menghadapi dakwaan dan perbicaraan.

PH bersetuju Najib dijatuhkan. Itu adalah arah perjalanan PH untuk menuju ke satu matlamat iaitu sebuah Malaysia yang selamat dari kerosakan yang dilakukan oleh Najib dan UMNO/BN.
 
Untuk mencapai matlamat masing-masing, Mahathir dan PH perlu berkawan untuk menghadapi musuh yang sama. Mahathir mahu lunaskan dendam dengan  Najib bukan dengan UMNO. Dan PH mahu melunaskan dendam dengan Najib, UMNO/BN dan sekaligus dengan Mahathir juga.
 
Kesimpulan kedua yang menggerakkan Mahathir menubuhkan parti baru, dan mendapat sokongan dari PH adalah bagi mengumpulkan segala kekuatan politik kerana Najib dan UMNO/BN masih lagi dilihat terlalu kuat untuk ditumbangkan. 2 PRK yang baru berlalu seolah-olah memberitahu Mahathir dan PH bahawa Najib dan UMNO/BN masih kuat.
 
Sebab itu Mahathir dan PH saling bergantungan walaupun matlamat akhir mereka tidak sama.

Ertinya penubuhan parti baru Mahathir ini adalah atas dasar dendam. Untuk melunaskan dendam ini Mahathir perlu kekuatan politik. Hanya dengan bersama PH , Mahathir percaya Najib boleh dikalahkan dan UMNO dapat diselamatkan.
 
Ditakdirkan Mahathir dan PH menang pada PRU 14, sebuah kerajaan baru tidak mudah ditubuhkan kerana mereka mempunyai matlamat yang berbeza. Besar kemungkinan parti Mahathir akan berpisah dengan PH dan memilih masuk UMNO semula kerana Najib sudah pasti mempunyai moral yang rendah untuk memimpin UMNO bahkan sokongan merudum teruk. 
 
Apabila bersama dengan UMNO/BN semula dan jika mempunyai jumlah kerusi yang minima bagi melayakkan penubuhan sebuah kerajaan, Mahathir akan berbuat demikian. Tinggallah PH terkontang kanting, kerana musuh dulu yang menjadi kawan menjadi musuh semula. Sudah tentu PH akan menerima realiti politik dengan dada terbuka.
 
Kalau berlakulah seperti yang diperkatakan diatas, Mahathir mengamalkan real politik. Hakikat sebenar politik adalah begitu. 
 
Perjuangan hanya kata-kata untuk menggamit sokongan kerana  ia mudah dimengertikan sebagai satu pembelaan. Tetapi perjuangan politik menzahirkan permusuhan kerana ada kuasa dan pengaruh yang perlu dimiliki secara rebutan atas nama demokrasi. 
 
Maka dendam kesumat tidak boleh diketepikan dalam perjuangan politik.
 
 
 

Rabu, 13 Julai 2016

Aku Bukan Satu Emdibi




"Jangan jadi macam satu emdibi". Itulah ayat awal dalam satu emel yang aku terima.
 
Sebab, " Satu emdibi itu karektornya amat jelek sekali". Ayat berikutnya memberi tahu. 
 
Emel itu seterusnya memberitahu ada  5  karektor jelek tentang satu emdibi itu, iaitu:

i) miskin berlagak kaya
ii) berhutang sana sini dengan memakai kaedah gali lubang kambus lubang
iii) tidak amanah,  tulus dan telus.
iv) suka main sorok-sorok dan menyorok
v)  lepas tangan dan tidak ambil tanggungjawab
 
"Ianya merosakkan". Dua perkataan yang mengakhiri emel itu mengingatkan aku tentang kesan buruk jika aku jadi macam satu emdibi.

Aku bertanya siapakah gerangan satu emdibi ini? Benarkah begitu karektornya? Adakah ianya satu fitnah?

Tapi aku bukan satu emdibi. Aku adalah aku. Tanpa ingatan dari emel itu aku tidak memilih karektor seperti itu. Itu karektor membawa bala bukan membawa bahagia dunia dan akhirat.

Selasa, 12 Julai 2016

Meraikan Hari Raya Jangan Lupa Usia Yang Bertambah




Hari raya, hari bergembira dan ramai yang ceria suka. Yang duka pun sudah tentu ada.

Apa pun yang kita rasa, suka mahupun duka, kita perlu terima hakikat bahawa kita bertambah usia. Banyak yang turut berubah bersama dengan usia yang bertambah itu. 

Status bujang dan dara berubah bila berumahtangga. Apabila dikurniakan cahaya mata, jadilah kita sang ayah, bapa, papa, daddy dan ibu, mum, mummy atau apa saja sebutan yang kita pilih sebagai tanda satu perubahan peranan dan tambahan tanggungjawab. 

Seterusnya dengan limpah kurnia Allah, bilangan anak-anak bertambah, dan membesar. Hari raya disambut dengan rasa yang serupa juga -ada yang gembira ada yang berduka. Banyak juga yang turut sama berubah.

Kemudian, anak yang sudah remaja mendirikan rumah tangga untuk memasukki fasa dewasa. Kita berbesan dan anak bermertua. Kita bercucu kerana anak sudah mula menimang cahaya mata.

Sambutan hari raya semakin bertambah bilangan ahli keluarga. 

Maka pada hari raya itu, terdengarlah panggilan tokpa, grandpa, atuk, nenek, wan, opah menurut pilihan kita sendiri.  
 
Banyak yang turut berubah juga.

Usia sudah pasti.

Wajah...waduh......

-berdiri di hadapan cermin, bersendirian dan renungkanlah dengan penuh perasaan dan keinsafan. Bersoleklah sehebat mana, dari apa sahaja serbuk dan cecair dari apa saja jenama termasuk yang mahal, yang putih lagi memutihkan, cermin akan menceritakan wajah kita.

Cermin, walaupun tidak bernyawa adalah objek yang takut buat dosa. Cermin tidak pandai berbohong. Cermin bukanlah satu emdibi.

Wah wajah yang pada raya sebelumnya , sebelum dari sebelumnya, dulu dari sebelum, yang dulu-dulunya, semasa kecil waktu ketika pandai bertateh, kemudian berjalan dan berlari -yang tegang, licin beserta rambut yang tumbuh melebat menutupi bukan saja tempurung kepala bahkan kedua telinga dan mencecah mata sudah berubah pada raya kali ini. 

Itu yang diberitahu oleh cermin. Cermin beritahu, 'wajah kamu sudah kereput'. 

Lihat kepala, rambut sudah memutih, botak semakin meluas bukan tanda sebagai professor tapi sudah tua.

Walaupun kita tahu mata semakin hari semakin kelabu tapi itu masih belum cukup. Berdiri dan lihat dalam cermin. Bulu kening mata, sudah memutih. Tidak selebat semasa raya yang lepas, raya sebelum yang lepas, raya sebelum yang dulu-dulu.

Ada misai, ada janggut? Terimalah hakikat ianya sudah tiada pilihan warna melainkan yang putih saja.

Dahi? Garis-garis kerutnya semakin jelas dan bertambah.

Pipi, dagu, dua bibir mulut? Tidak selembut dan sebasah dulu. Pipi jadi kering kontang dan kesat yang menjadi sebab cucu-cucu mengelak dari menciumnya. Tapi kerana hari raya agaknya, ditambah jika ada duit raya, maka menjadi terpaksa cucu menciumnya. Itupun nipis ciumannya, tidak lama.

Buka mulut luas-luas. Nampak gigi? Kalau adapun ianya gigi palsu.

Itulah erti sambutan hari raya. Kita suka dan ceria. Ada juga kita yang berduka. Dan kita jangan lupa sama ada kita bersuka ria atau berduka, banyak benda yang turut berubah. 

Tenaga fizikal semakin menurun. Binaan anggota badan semakin   mengendur dan mengecil. 

Cermin memberitahu bahawa wajah kita jika ianya satu objek pasaran, nilai sahamnya semakin menurun. 

Bilangan sahabat semakin berkurangan kerana kita sibuk dengan anak cucu kita beraya bersama sehingga kita jadi malas untuk mengunjungi kaum keluarga dan sahabat-sahabat yang lain, yang juga malas dan tidak ada waktu untuk mengunjungi kita kerana asyik dengan anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Dalam keseronokan dan kedukaan itu, kita biasanya terlupa untuk memasukkan usia sebagai satu agenda sambutan hari raya. 

Sesungguhnya kita zalim terhadap diri sendiri kerana melupakan usia yang boleh mengingatkan kita bahawa perjalanan kita semakin mendekati stesyen terakhir. 

Kita perlu satu senarai semak tentang perjalanan kehidupan kita- apa yang perlu kita lakukan dan apa yang perlu kita ketepikan. Dan jika senarai itu masih belum disediakan maka wajar segera disediakan, dan jika sudah disediakan, hendaklah disemak dan diperkemaskan untuk memastikan ianya boleh digunakan secara yang berkesan dan bermenfaat demi  kita sendiri agar diperhentian akhir itu kita disambut dengan penuh mesra, dan kita boleh senyum dan suka serta gembira seperti kita menyambut hari raya.

Selasa, 5 Julai 2016

Semasa Hidup Di Bumi Lakukan Yang Terbaik dan Sentiasa Bertaqwa Ke Hadrat Allah SWT.




Hari ini , hari terakhir kita melaksanakan ibadah puasa 1437 Hijrah, 30 Ramadhan bersamaan 5 Julai 2016. Kita memohon kepada Allah SWT semoga kita diberikan peluang untuk terus dapat melakukan ibadah yang sama pada Ramadhan akan datang. Terlalu banyak menfaat yang dikurniakan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini.
 
Sudah tentu kita mengharapkan puasa kita tahun ini diterima Allah, dan jika ada cacat dan cela kita memohon keampunan dari yang maha berkuasa.
 
Pada kesempatan hari terakhir Ramadhan tahun 1437 Hijriah ini, saya paparkan dua ayat al-Quran dari Surah Al-'Ikraf untuk renungan bersama iaitu ayat 25, dan 26  berkaitan dengan kisah Adam 'alaihissalam dan Hawa, dan Syaitan yang telah memperdayakan Adam dan Hawa memakan buah yang dilarang Allah di dalam syurga. Akibatnya Adam, Hawa dan Syaitan diminta oleh Allah turun (keluar dari syurga) ke bumi.
 
Ayat 25, maksudnya, "Allah berfirman lagi, di bumi itu kamu hidup, dan disitu juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan pada hari kiamat)"
 
Bumi ini adalah limpah kurnia Allah yang tidak terhingga nilainya kepada hambanya. Maka berbuat baiklah semasa kita hidup dibumi Allah ini. Lakukan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang dilarang.
 
Ayat 26, maksudnya, "Wahai anak-anak Adam sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian  menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
 
Ada tiga pakaian untuk kita  iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian menghias diri, dan pakaian taqwa. Antara tiga ini pakaian berupa taqwalah yang sebaik-baiknya.
 
Sesunguhnya maha besar Allah yang mengingati kita bahawa sebaik-baik hambaNya ialah hamba yang bertaqwa.
 
Semoga pakaian kita dalam bulan Ramadhan ini adalah pakaian  berupa taqwa, dan ianya berterusan sehingga kita kembali menghadapi Allah SWT.
 
Mudah-mudahan doa kita diperkenankan. 
 
 

Ahad, 3 Julai 2016

Betapa Allah Itu Maha Pengasih dan Tidak Menganiayai




"Sesiapa yang membawa amal kebaikkan (pada hari kiamat) maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya, dan sesiapa yang membawa amal kejahatan maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya sedang mereka tidak dianiayai (sedikit pun)".

(Ayat 160 Surah Al-An'am).

Renungkanlah betapa pengasihnya Allah terhadap hambanya :
Kebaikkan yang dibuat diberi balasan gandaan iaitu 10 kali ganda, sebaliknya kejahatan yang dilakukan tidak dibalas dengan gandaan tapi bagi bilangan yang sama. Dan Allah tidak menganiayai hambanya barang sedikit pun.

Dalam bulan Ramadhan pula balasan kebaikan pula lebih dari itu. Jadi marilah bersama-sama melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Lakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Selamat meneruskan berpuasa pada beberapa hari yang masih berbaki ini.