Theflowersellingboy

Khamis, 31 Mac 2011

Cerita Sebuah Koloni Kambing

Pada zaman dahulu kala ada sebuah negara yang bernama Tanusa. Negara ini amat istimewa sekali kerana penduduknya adalah  dari koloni kambing yang  terdiri dari beberapa kumpulan. Terdapat empat kumpulan kambing yang terkemuka kerana gagah berani dan pantas berlari.

Kumpulan pertama terdiri dari Kambing Gurun (KG), kedua Biri-biri (BB), ketiga Kambing Kampong (KK) dan keempat Kambing Hutan (KH). KG, BB dan KK walaupun dari berlainan kumpulan tetapi mereka amat rapat dan sentiasa bekerjasama. Taat setia dikalangan mereka tidak perlu dipersoalkan lagi.Yang paling taat dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi ialah KK yang suka meragut rumput secara tiga sekawan.

KH yang juga pantas berlari dan gagah berani adalah musuh ketat kepada mereka sebab KH suka tinggal dalam hutan-hutan kecil bukan kawasan terbuka.

Selain dari 4 kumpulan yang terkenal itu terdapat juga beberapa kumpulan yang lain (KL) tetapi larinya tidak sepentas kumpulan yang empat itu. Walaupun dari segi bilangan mereka adalah yang terbanyak sekali tetapi mereka tidak bersatu hati malah kurang berani. Jadi mereka lebih suka mengikut saja mana-mana kumpulan yang terkemuka itu menjadi ketua.

Ada pun Tanusa itu adalah sebuah negara yang sungguh indah dan cantik. Terdapat gurun pasir, kawasan oasis yang membekalkan air dan ditumbuhi rumput yang menghijau dan hutan-hutan kecil . Asas survival kumpulan-kumpulan kambing itu adalah kekuatan iaitu 'survival of the fittest' . Siapa kuat kumpulan itulah yang menjadi Raja. Untuk menjadi Raja mereka mesti menguasai kawasan oasis itu. Sebab itu mereka mesti gagah berani dan pantas berlari.

Pada suatu ketika, kumpulan BB menjadi Raja.Itupun atas bantuan KG yang berjanji turun takhta dengan syarat ia bebas berkelana dimana dia suka. Dia tidaklah betah untuk tinggal digurun saja walaupun itu tempat asal usulnya. KH pula terpaksa ketepi kerana telah tidak dapat menguasai kawasan oasis itu atas angkara KG yang memasang lubang sebagai perangkap sehingga terjerumus dan patah tanduk KH dibuatnya. Lama juga KH dalam lubang itu hampir mendekati seminggu. Nasib baik dengan senyap-senyap KL datang membantu mengeluarkannya. Bukan main naik angin KG, BB dan KK apabila diberitahu. Rupanya berani juga KL, kesian agaknya KH yang dianggap teraniaya itu. KG, BB dan KK  walaupun marah tapi terpaksa bersabar kerana bilangan KL adalah yang terbesar. Khuatir pula, nanti memihak kepada KH.

Pada suatu hari BB buat keputusan untuk mendapat bantuan KG bagi menyelesaikan satu masalah yang ada kaitan denga KH. Hasratnya itu dinyatakan kepada KK yang tiga sekawan itu. KK yang setia dan sentiasa taat  itu mengangguk bersetuju dengan mengingatkan BB, "Itulah yang terbaik. Cuma kami dapat berita KG batuk dan selesema. Takut berjangkit pula". Namun akhirnya mereka bersetuju untuk berjumpa Kg yang berkelana dipadang gurun untuk dapat nasihat dan petua.

BB: Apa khabar KG
KG: Baik....(batuk)..baik. Apa hal nak jumpa saya.
BB: Inilah...(menolih ke KK) KH nampaknya buat kacau lagi. Hari itu saya nampak dia meninjau-ninjau kawasan kita. Entah apa nak dicari. Itu satu hal tapi ada juga KL bersama mengiringinya. Itulah saya kuatir dia akan ambil kawasan ragut kita. Saya (sambil pandang KK) dah minta KK kejar mereka tapi tak terkejar pantas larinya masuk dalam hutan.
KK: Betul KG, penatnya kita bertiga ni kejar, hampir-hampir tergelincir semasa menyeberang parit.
KG: Itulah kamu semua ni tak reti-reti apa yang aku dah buat dan ajarkan dulu. Bengaplah kamu ni. Tahu meragut saja kerjanya. Aku dengar cerita rumput pun tak sempat nak tumbuh kamu semua meragut saja sampai botak. Musim kering dan panas nanti tahulah kau semua.
BB: (kepala tunduk dan perlahan-lahan diangkat): Itulah KG kita datang minta bantuan. Tunjuk kami macam mana nak kenakan KH tu. Kali ni biar dia mampus. Sakitnya hati saya.
KG: Bolih tapi ada syaratnya. Padang ragut tu......
BB: Tak jadi masalah KG. Bolih kita kongsi sama dan....
KG: Kalau kongsi-kongsi ooooo tak ada jalan. Mana bolih. Kau tengok di padang gurun ni apa yang ada. Pasir. Ehhh  aku kan dah tua dan gigi pun banyak dah tak ada. Sesekali aku bolih lah ragut rumput dikawasan kau tu bila aku berkelana kesana. Aku saja yang lain jangan kacau-kacau.
BB: (memandang KK dan KK angguk kepala); Bolihlah KG, bolih. Tapi macam mana. Bila kita nak mula. Sebab KH tu dah mula mrngada-ngada.
KG: (ketawa terbahak-bahak diikuti dengan batuk) Kau ni gopohlah. Sebab tu tak menjadi. Sabar. Tunggu minggu depan aku kesana. Siapkan padang ragut sekali, yang cantik.
BB: Terima kasih KG. Kami mohon diri.

BB dan KK pun balik ke kawasanya dengan rasa puas sambil tersenyum . 'Senyum kambing untuk KH' dari BB dan KK'. Minggu depan KG pula akan mengukirkan senyum kambingnya..

Rabu, 30 Mac 2011

Mengapa Jadi Begini?

Kita ingin berkongsi rasa dukacita bersama anda yang budiman tidak kira anda itu bertaraf anak, adik, abang, kakak, ibu, bapa, datuk, nenek, moyang atau saudara dekat mahu pun saudara jauh, satu bangsa atau lain bangsa, orang sewarga atau lain warga akan perkembangan semasa yang merisau hati, menyakit jiwa, yang menjolok mata dan membingitkan telinga, yang memualkan tekak mengendurkan selera, yang melonglaikan kaki untuk melangkah atau menyakitkan badan semasa berihat. Dengan berkongsi rasa ini dapatlah kita sama-sama berfikir cara bagaimana gejala-gejala yang menusuk segala, hati dan jiwa,mata dan telinga, deria makan kita, kaki dan anggota badan dapat kita hapuskan atau sekurang-kurangnya  kita tidak sudi untuk sama-sama meraikan. Kita tanam rasa benci dan meluat jika ada diantara kita yang masih lagi mahu terlibat.

Mengapa jadi begini? Soalan ini adalah kita rujuk kepada keghairahan orang dikalangan kita, diantara kita, sesama kita mereka cipta atau merekayasa berbagai hal yang menyangkut kepada serang menyerang bersifat peribadi hanya semata-mata orang itu atau individu itu atau pihak itu mempunyai aliran dan arah tuju yang tidak sama dengan yang kita pegang dan percaya. Pada kita itu pun tidak menjadi kebimbangan yang sangat , walaupun kita tidak sudi untuk meraikan.

Yang MEMBIMBANGKAN kita ialah ramai indivividu dan  banyak pihak sama ada yang berkumpulan  tidak rasmi, yang katanya atas dasar sukarela untuk memberi khidmat demi bangsa, negara dan agama, mahu pun yang rasmi, untuk mencurahkan khidmat katanya untuk yang sama, yang menganggur atau yang berkerjaya, yang tidak ada pengaruh dan tiada kuasa, apa tah lagi yang berpengaruh dan berkuasa begitu ghairah dan teruja untuk sama-sama  menjadi pencipta dan menyambung lidah terus berbicara perkara yang sama untuk menyemarak suburkannya. Itu pu nafsunya belum puas lagi. Sehingga sudah melekat dan menjadi ketagihan untuk diulang cerita, ditambah perencah sesedap mungkin bukan hanya secukup rasa bahkan sebagai menambah nafsu selera yang menggila.

Tanpa usul dan periksa akan benar yang diberita atau dicerita atau diulang cerita, yang juga diulang tayang gunakan macam-macam cara dengan bantuan berbagai media yang ada ,semua diterima, ramai pula. Nafsunya makin menggila , mengajak kita turut bersama seperti mereka.

Kita masih lagi berkeadaan bimbang, AMAT BIMBANG jika yang  berbicara itu kononnya atas landasan demi bangsa, negara dan agama apabila disemak, diperiksa dan dikuti perkembangan ceritanya bukan yang tersembunyi atau yang tidak sahih, akan pembawaan diri, watak peribadinya menjadikan kita tertanya-tanya sebenarkah itu perjuangannya. Kalau atas dasar amal makruf nahi mungkar, ada sebab bagi kita untuk merenung sejenak berfikir untuk berlapang dada menyetujui perjuangannya. Namun caranya, kaedahnya bukankah telah sedia teratur dengan begitu cantik sekali dalam kanun  yang ada, yang bersifat awam mahu pun agama, (maksud kita agama Islam kerana ilmu tentang agama lain terlalu amat minimal pada kita), mengapa disia-siakan tidak diguna? Bukankah itu sejalan dengan perjuangan demi agama? Disinilah menimbulkan keraguan dihati kita akan maksud yang hendak dicapai.

Kita mula merasa PILU dan SEDIH apabila kita yang berkuasa dan punya pengaruh yang sifat sebenarnya adalah AMANAH yang telah diletakkan diatas batu jembala kita, beria-ia, bersungguh-sungguh atas perjuangan yang sama, kononya, mengajak semua orang memeriksa akan betul dan benarnya cerita yang dibawa dan yang diterima. Tidak pula terdetik dihati kecil dan perasaan halusnya untuk menggerakkan lidahnya untuk bertanya atau berkata-kata bahawa 'cuba kita dengar cerita pihak yang lagi satu', kerana ada kemungkinan berlaku kesilapan dimana-mana, maklumlah manusia yang tidak lepas suka membuat angkara. Tapi, entahlah, tak tahu perkataan sesuai yang kita hendak guna untuk mengukur rasa pilu dan sedih akan sikap dan gaya yang berkuasa itu. Cuma kita ada sedikit kekuatan untuk mendoakan supaya yang berkuasa itu ditunjuk Allah jalan yang terbaik untuk dipilih.

Akhir sekali kita BERDUKACITA. DUKA kita anggap satu perasaan sedih, kecewa, marah, benci, meluat dan apa saja yang melukakan. CITA pula pada kita ialah seolah-olah putus harapan. Kita faham Islam melarang kita berputus harapan, sebab itulah kita katakan SEOLAH-OLAH putus harapan . Kita masih lagi ada harapan untuk meneruskan kehidupan iaitu sentiasa berdoa. Berdoa agar semua pihak dapat berlapang dada dan kembalilah kepada kaedah yang telah diatur Allah untuk menguruskan kehidupan yang berbagai-bagai, sama ada yang bersifat angkara atau yang lainnya.

Anda tahu kah mengapa kita berdukacita? Kita berdukacita kerana yang amat mengetahui hal-hal agama membisu seribu bahasa. Itu pun tak apa kerana takkan mereka tahu banyak bahasa, lebih-lebih dua atau tiga yang boleh dikuasai. Kita amat berdukacita kerana lidah mereka kelu berkata-kata walaupun dalam satu bahasa kerana mereka ini dibawah penguasa.

Itulah saja ajakan kita untuk sama-sama kongsi rasa dukacita. Menagapa jadi begini?

Selasa, 29 Mac 2011

Program Transformasi Kerajaan....Satu pandangan.

Pada 27 Mac 2011 Perdana Menteri telah mengemukakan Laporan tentang pencapaian pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang telah diperkenal mulai tahun 2010. Sebanyak 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah disasarkan iaitu:

1. Mengurangkan jenayah
2. Membanteras rasuah
3. Mempertingkatkan pencapaian pelajaran
4. Meningkatkan taraf kehidupan Isu Rumah berpendapatan rendah
5. Mempertingkatkan infrastruktur asa luar bandar
6. Mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar.

Matlamat akhir pelaksanaan Bidang keberhasilan Utama ini ialah untuk meningkatkan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan taraf sosial.

Fakta dan statistik telah dipaparkan bagi setiap NKRA itu sebagai bukti kejayaan yang telah dicapai. Namun kerajaan juga mengakui bahawa masih lagi terdapat kekurangan yang masih bolih ditambahbaik dan mengalu-alukan pandangan dari semua pihak.

Pertama kita wajar mengucapkan tahniah kepada Kerajaan diatas keberanian memaparkan satu laporan mengenai pencapaian pelaksanaan satu program yang dinamakan sebagai Program Transformasi Kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan taraf sosial. Sama ada pelaksanaan 6 NKRA itu telah sebenarnya berjaya atau sebaliknya bergantung kepada pandangan dan persepsi masing-masing individu atau pihak. Tetapi kita wajar akui bahawa terdapat perubahan kearah yang lebih baik iaitu hari ini lebih baik dari semalam.

Namun apa pun fakta dan statistik yang dipaparkan sebagai menyokong kepada pencapaian pelaksanaan ianya hanya bermakna sekiranya rakyat terbanyak benar-benar merasai dan menikmati hasilnya dengan merujuk kepada perbezaan diantara mereka. Dalam perkataan lain jurang perbezaan inilah yang menjadi ukuran utama dalam menentukan kejayaan sesuatu Program

Sebagai contoh, Laporan menyatakan dibawah NKRA Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah  bahawa sebanyak 44,643 Isi Rumah Miskin Tegar berjaya dikurangkan kepada peratus sifar dan 2,000 usahawan wanita yang diberi  latihan berjaya meningkatkan pendapatan sebanyak 78.6% iaitu dari $750 kepada $3,500 setiap bulan bagi tiga bulan berturut-turut.

Sekali imbas ia satu petanda yang baik. Tetapi kita mesti juga kaitkan pendapatan itu dengan kuasa beli semasa.

Adakah penambahan pendapatan itu memberi tambahan kepada kuasa beli mereka. Kedua, bagaimana pula jika kita bandingkan dengan pendapatan setengah pihak yang bertambah begitu besar sehingga jurang itu makin melebar besar. Mahu tidak mahu kita kena terima bahawa jurang yang membesar inilah yang menimbulkan rasa kebencian rakyat kepada kerajaan. Tambahan lagi jika perbezaan yang besar itu boleh dikaitkan dengan kaum, agama, lokasi dan status sosial.

Rakyat semakin tidak menyukai kalau kekayaan itu diperolehi dengan jalan yang tidak sah iaitu rasuah. Benar, bilangan yang terlibat mungkin masih lagi terkawal tetapi jangan dibiarkan barah itu merebak dan membesar. Ya, dibawah NKRA Membanteras Rasuah kita memperkenalkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Pewujudan Pengkalan Data Pesalah Rasuah, Laman Sesawang Myprocurement dan tinjauan yang dibuat yang menunjukkan peningkatan bilangan  rakyat  yang berpendapat bahawa tindakan rasuah yang diambil adalah berkesan meningkat dari 28% pada tahun 2009 kepada 48% pada 2010. Kita ucap tahniah kemajuan itu.
 
Namun kita masih melihat , mendengar dan menerima makluamat dari berbagai sumber pembacaan bahawa masih lagi terdapat kaedah tindakan yang memilih. Kita tabik kepada SPRM kerana telah banyak mengambil tindakan keatas penjawat awam. Bukan saja bilanganya bahkan juga kecepatannya bertindak. Tetapi, kuasa tertinggi dan muktamad sebenarnya bukan ditangan penjawat awam. Yang berkuasa ialah orang politik sama ada yang berjawatan kerajaan atau pelobi-pelobi naungan politik. Tidak dinafikan ada tindakan tetapi bilangannya, kecepatannya dan kesungguhannya masih lagi bolih dipertingkatkan, jika NKRA Membanteras Rasuah hendak diyakini sebagai  tindakan yang berkesan .

Adalah dirasakan berfaedah untuk kita renungi, walau pun kita tidak bolih samakan dengan situasi kita, tetapi sebagai mengambil iktibar, akan peristiwa-peristiwa yang telah dan sedang berlaku di negara-negara Arab. Asas kebangkitan mereka dapat kita simpulkan sebagai rasa tidak puas hati rakyat. Tidak puas hati rakyat kerana MISKIN, harga barang dan perkhidmatan yang MAHAL dan  RASUAH.

Begitu juga dengan lapang dada kita renungi kedudukan Malaysia dari segi amalan Rasuah. International Transparency Index meletakkan Malaysia pada ranking 56 dengan indeks menurun (keadaan yang kurang baik) dari 4.5pada 2009  kepada 4.4 pada tahun 2010). Walaupun perbezaannya kecil tetapi ianya tidak menunjukkan kearah yang lebih baik. Ini memberi cabaran kepada kita semua untuk membantu SPRM dalam menangani RASUAH yang menjijikkan. Sekarang kita telah ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan manfaatkan sebaik mungkin.

Apa pun Tahniah kepada kerajaan.

Isnin, 28 Mac 2011

Berfikir Sejenak........1+1+3=1

"1 yang pertama kita panggil Kambing Gurun, 1 yang kedua Kambing Biri-biri tapi kita lebeh pantas panggil Biri-biri saja, dan 3 pula adalah terdiri dari 1 yang Disatukan macam Kumpulan Wang Disatukan, Kambing Kampung.. Apabila dicampurkan atau ditambah 1+1+3 jawabnya tidak semestinya  mengikut logik matematik yang biasa, yang sewajarnya menjadi 5.Tapi jawapannya ialah 1 juga.

Adapun Kambing Gurun itu, selepas ini kita ringkaskan sebagai KG , ketika ini sedang berkelana mengikut kemana saja yang disukainya sementara usia masih ada. Walaupun tenaga KG semakin menurun tetapi disebabkan sudah biasa mengembara waktu dewasa dulu apatah lagi pernah diangkat menjadi Raja, KG tidak memandang berkelana itu sebagai membebankan. Malah KG seronok melakukannya terutamanya kalau hasil kelanaannya membuahkan sesuatu yang menjadi idamannya. Sebab itulah ia merasa resah kalau duduk diam saja di padang gurun, amat menyeksakan.

Biri-biri pula, selepas ini kita panggil sebagai BB, sudah dewasa gagah perkasa. Tenaga dan semangat jangan dicabar seluruh padang rumput ragutan telah dikuasainya, tidak ada yang tertinggal barang seinci semuanya dibawah tapak kakinya. Kawan-kawan BB yang 3 itu sentiasa ada dibelakang megekori BB, mengintai-intai kalau-kalau  ada musuh, cepat segera dinyahkan demi kepentingan BB. Mereka berpendapat bahawa kepentingan BB itu adalah juga kepentingan mereka , mesti dipertahankan sepenuh jiwa dan raga. Hebat sungguh BB. Tenaga ada, kuasa ada dan ketika ini 3 kawan itu amat setia. Oleh itu mengapa tidak dipergunakan sepenuhnya , jangan disesiakan, rugi dan menyesal dihari tua nanti. Tidak ada bekal untuk berkelana macam KG. Kawasan ragutan mesti dikawal sentiasa agar sentiasa dibawah pengusaan terutama di musim panas dan kering, jika tidak susah nak cari makan. Kebulur.

Kambing Kampung yang kita panggil KK adalah kambing sekawan. Kemana pergi tetap bersama dan sentiasa mengekori BB. Tidak boleh berpisah. Tidak boleh jauh dari BB tanpa izin. Kalau diizinkan boleh saja hendak kemana tetapi jangan lupa taat kepada BB. Lagipun BB mempunyai kepercayaan yang penuh kepada 3 sekawan ini. Walaupaun 3 tapi hati tetap satu. Kata orang satu hati satu jiwa walau badan masing-masing punya.

Walaupun badan masing-masing punya, kalau KG batuk atau demam selesema, BB dan KK tumpang sedih juga. Paling mereka takut kalau penyakit itu berjangkit. Oleh itu mereka sentiasa berjaga-jaga agar penyakit tidak menjangkiti mereka".

Sekian untuk berfikir sejenak  untuk menyegarkan otak. Ini hanya exercise minda saja.

Ahad, 27 Mac 2011

Kayuhan Ke Bukit Hantu .........14

Aku telah diberi cuti rehat selama dua hari oleh doktor akibat serangan gaut yang membuatkan Aku tidak mampu berjalan kerana kaki yang bengkak dan sakit yang amat bisa sekali.  Ini adalah gara-gara makan sup ekor semasa makan malam bersama Dosmy beberapa hari yang lalu di KL. Aku berjanji pada diri sendiri tidak akan menyentuh sup ekor itu lagi. Melainkan sup ayam dan ikan, sup makanan laut yang lain dan daging, aku tidak akan mahu menyentuhnya lagi. Ini janji Aku. Taubat.

Hari ini, hari Sabtu Aku mula kerja. Sebaik saja Aku meletakkan punggung ku diatas kerusi, Fahmi mengetuk pintu minta izin untuk masuk, memberi salam dan  berdiri dihadapan meja ku. Aku memandang tepat pada Fahmi. Beliau tunduk kemudian mengangkat mukanya semula hendak memberi tahu sesuatu. Aku menunggu apa berita yang hendak dipersampaikan. "Dah ok tuan aji?" Aku tidak menjawab tetapi senyum saja sebagai ganti kepada 'sudah ok, tidak sakit lagi', sambil memandang ke bawah, ke kaki ku.  " En. Subra dan Deva nak jumpa tuan aji", Fahmi memcah kesunyian sesaat dua tadi. "Apa hal? Tanya ku pantas. "Saya pun tak pasti. Agaknya pasal surat takziah tu". Aku diam saja tidak segera untuk menyatakan sesuatu.Bagi ku surat takziah yang dinyatakan oleh Fahmi itu, telah tidak timbul lagi kerana Aku telah meminta Deva untuk tandatangan, dan beliau setuju walau pun macam ada sedikit keberatan berbuat demikian.Yang mula menguasai fikiran ku sebaik saja Fahmi menyebut perkataan surat ialah surat yang ditunjukkan oleh Hamid di KL dulu.

"Boleh mereka jumpa  tuan aji?" Tanya Fahmi apabila tiada jawapan dari ku . Aku memandang tepat pada wajah Fahmi membuatkan beliau tunduk semula. Takut agaknya Aku naik angin. "Surat itu En Deva dah hantarkan?" Tanya ku. "Hari itu juga hantar", jawab Fahmi segera"."Apa hal nak jumpa saya?" Aku ulang tanya lagi seolah-olah kedua pegawai ini tidak pernah jumpa Aku sebelum ini, pada hal mereka boleh berjumpa bila-bila masa tanpa banyak soalan dari ku. Fahmi nampaknya semacam tidak percaya dengan sikap ku pada hari ini. Mukanya berkerut.Nak marah tak boleh. Beliau berhadapan dengan bos. Mesti taat.
Dia pun tidak diberitahu tujuan kedua-dua pegawai itu nak berjumpa Aku. Agaknya Fahmi menyesal membuat andaian mengenai surat takziah itu.

"Ok lah", jawab ku untuk menceriakan semula wajah Fahmi yang berkerut itu. Beliau segera melangkah keluar .

Dalam beberapa minit berselang, Subra dan Deva masuk "Selamat pagi tuan aji", ucap Subra. Mereka berdua berdiri dihadapan meja ku. "Pagi", aku menjawab pendek dan mempersilakan mereka duduk. "Tuan aji, ada sedikit miscommunication tentang En.Langgi", Subra memulakan cerita. Mata ku memandang tepat pada wajah Subra. Subra tunduk dan mengangkat mukanya semula dan menoleh kearah Deva yang duduk disebelah kanannya seolah-olah mahu minta sokongan. Aku diam saja, menunggu kata-kata yang hendak dikeluarkan oleh Subra. "Sebenarnya memang ibu mertua Langgi meninggal dunia. Tapi ibu kepada bekas isterinya yang telah meninggal dunia. Jadi dia beri tahu saya . Saya dah lama kenal En Langgi. En. Deva mungkin tidak berapa biasa dengan En Langgi", terang Subra. "Sebab itu bila En Deva talipon dia, dia kata tak ada kematian. Maksud dia ibu kepada isterinya yang ada sekarang", sambong Subra lagi sambil memandang Deva yang mengangguk-angguk kepala tanda setuju. "Saya minta maaflah kerana tidak maklumkan dengan tepat berita yang saya terima," Subra mengharapkan supaya Aku tidak salah anggap mengatakan beliau cuba memberi maklumat yang salah. Beliau memandang Deva. "Surat takziah saya dah hantar. En Langgi ucapkan terima kasih", Deva memaklumkan. 
 
Aku diam saja. Aku menyandarkan badan ku pada kerusi  sambil merenung wajah Subra dan Deva bergilir-gilir untuk mencari sesuatu jawapan dan kepastian. Otak ku berlegar-legar memikirkan hubungan diantara Subra dan Langgi. Mengikut Rimba dan Dosmy mereka adala kawan baik. Tapi kenapa Subra marah sangat dengan  Langgi seperti yang dinyatakan dalam perjumpaan minggu lepas. Adakah Subra berlakun? Kalau beliau main silap mata dan jika Aku terpengaruh dengannya sudah tentu boleh menyusahkan Langgi. Sebaliknya tak mungkin Rimba dan Dosmy membohongi Aku. Lagi pun maklumat Rimba dan Dosmy tidak bercanggah.

"Awak partner golf Langgi ke?" Aku memandang pada Subra. Subra nampaknya macam serba salah " Ya, tuan aji", jawabnya perlahan. "Tapi kadang-kadang tidak juga" , Sambung Subra. "Kenapa awak marah sangat dengan dia?" Tanya ku. Muka Subra berubah walaupun tidak nampak pucatnya. Beliau menoleh pada Deva dan kemudian tunduk. "Kenapa?" Tanya ku lagi tapi suara tidaklah tinggi walaupun mendesak. "Walau pun kawan tapi kerja tetap kerja. Kalau tak betul saya cakap tak betul", jelas Subra walaupun beliau tidak dapat menyorok rasa kurang selesa dengan pertanyaan ku itu. "Betul ke dia ada banyak syarikat?" Tanya ku lagi. Kali ini mata Subra menjadi terbeliak, terbuka luas. Terperanjat dengan soalan yang baru Aku kemukakan. "Saya tak tahu tuan aji", jelas Subra. "Kalau ada tender banyak syarikat dia masuk. Betul ke?" Subra kaku untuk berkata. "Ok tak apalah. Senarai yang saya minta dulu, tolong beri pada saya hari selasa nanti", Aku sengaja  ubah tajuk untuk mengurangkan kerisauan kedua-dua pegawai itu terutama Subra. Aku harap senarai yang akan diberikan nanti akan menjawab bebeapa persoalan yang ada di otak kepala ku.

Mereka minta izin untuk balik ke tempat kerja masing-masing dan Aku pula sedang memikirkan surat yang ditunjukkan oleh kawan ku Hamid semasa mesyuarat di KL beberapa hari yang lepas. Adakah apa-apa kaitan dengan maklumat yang telah diperolrhi pada hari ini. Ya,  Aku menunggu senarai yang  akan diberikan pada hari Selasa nanti. Mungkin akan lebeh membantu.

Sabtu, 26 Mac 2011

Begitulah Aku............Martabatku 5

Sudah agak lama juga Aku tidak menjelma. Mungkin anda telah lupa kewujudan Aku. Tapi tak apa Aku akan ingatkan anda semula.

Ingat tak Aku ke pasar malam dan bau hanyir yang melekat pada Ku ? Atau ingat tak Aku mencari proksi Ku di pasaraya dan lidah Ku kelu untuk berkata? Cuba segarkan ingatan anda akan cerita yang Ku ulang semula itu. Aku percaya cpu anda pantas bekerja untuk mengingatkan itu semua. Dan anda sudah ingat? Kalau begitu  Aku boleh bawa cerita pengembaraan kita yang baru.

Oh sebelum Aku membawa anda mengembara ke dua tempat yang berbeza, Aku  hendak beri tahu anda antara Aku dan proksi adalah sama saja.

Pertama kita pergi ke sebuah hospital yang kenakan bayaran untuk mencari keuntungan. Hospital swastalah yang Aku maksudkan. Tuan Ku kurang sihat. Dia nampaknya sanggup bayar lebeh untuk mendapatkan perkhidmatan yang dikatakan lebeh baik berbanding hospital yang percuma.

Sampai saja di hospital, Tuanku mencari sesuatu. Matanya liar pandang ke sana , pandang ke sini. Atas dan bawah depan dan belakang matanya cuba mencari. Apa agaknya yang hendak dicari itu. Yang dia nampak ada sedikit berbeza  dengan yang dipasaraya. Di pasaraya dia boleh nampak Aku atau proksi walaupun duduk dibelakang atau dibawah. Tetapi di hospital ini proksi Ku langsong tidak kelihatan. Mana pergi agaknya. Mungkin dah kena buang kerja. Mungkin juga pihak hospital berpendapat tanpa proksi Ku itu semuanya boleh berjalan malah lebeh lancar lagi. Aku kata mungkin saja. Aku tidak tahu sebab yang sebenarnya. Yang Aku pasti bahawa ada yang lain telah mengambil peranan untuk membimbing dan menunjuk cara bagaimana tuan Ku perlu mengurus diri, di sini.

Aku nampak air muka tuan Ku tidak sejernih ketika beliau  ke hospital percuma dulu. Anda jangan kata bahawa bayaran yang dikenakan membuatkan wajahnya jadi begitu. Bukan. Ini pilihan yang telah di buat oleh tuan Ku. Dan Dia tahu tentang bayaran itu.

Setelah membuat bayaran tuan Ku bingkas meninggalkan hospital itu dan menuju kesebuah bank yang berdekatan untuk mengeluarkan sedikit wang. Tuan Ku terus ke mesin mengeluarkan wang. Beliau kelihatan senyum sedikit apabila mula menekan butang yang memberi arahan tertentu. Rupanya proksi Ku ada juga disitu bersama dengan yang lain seperti yang kedapatan di hospital dan di pasaraya. Alhamdulillah tuan Ku mengucapkan kesyukuran.

Oleh kerana hati sudah mula terpujuk kerana berjumpa dengan proksi Ku, tuan Ku berlegar-legar dalam bangunan bank itu dengan harapan dapat berjumpa proksi disitu. Mula-mula beliau tersenyum ceria kerana berjumpa dengan proksi tetapi setelah kawasan legarannya bertambah luas wajah tuan Ku itu mula berkerut. Rupanya proksi Ku terlalu kecil bilangannya selain tidak menonjol berbanding dengan yang lain. Kedudukannya pun menyempil dicelah-celah yang lain macam orang menumpang. Kesian.

Begitulah Aku , di pasar malam Aku telah berbau hanyir, di pasaraya Aku duduk di bawah dan di belakang sehingga kelu untuk berkata, di hospital swasta Aku langsong tidak berharga dan di bank  lebeh kurang sama juga. Ah Begitulah Aku, Martabatku.

Jumpa lagi.

Jumaat, 25 Mac 2011

Salam Jumaat............4

SJ kepada anda semua yang dikasihi

Setiap saat, jam , hari, minggu, bulan , tahun, dekad dan abad dan apa saja ukuran masa yang kita gunakan akan sentiasa mencatatkan berbagai cerita dan peristiwa. SJ pada hari ini akan menyentuh tentang hal-hal yang berkaitan dengan nasihat-nasihat yang selalu kita dengar dan kita ucapkan. Samada nasihat itu kita ucap atau dengar yang pentingnya ialah sikap dan reaksi serta tindakan yang kita ambil untuk menjadikan nasihat itu benar-benar memberi kesan dan menjiwai diri kita dalam bentuk amalan dan perbuatan.

Apabila kita kata nasihat ianya suatu ajakan atau seruan kearah melakukan amalan yang kita harapkan akan memberi kebaikan kepada kita sendiri, keluarga, masyarakat , bangsa, negara dan agama.

SJ sengaja mengingatkan perkara diatas untuk SJ sendiri dan untuk anda semua kerana terdapat juga yang mengucapkan nasihat itu, atau yang memberi nasihat tidak semestinya akan mengamalkan apa yang diajak atau diseru walaupun dia percaya apa yang diajak atau diseru itu adalah sesuatu yang baik. Penasihat yang macam ini selalu kita panggil sebagai "cakap tak serupa bikin".

Dalam kehidupan kita hari-hari, misalnya perbuatan fitnah memfitnah adalah sesuatu yang amat dibenci oleh semua orang. Dalam khutbah Jumaat, misalnya soal fitnah memfitnah ini amat dikutuk sekali kerana ianya boleh merosakkan masyarakat. Khatib yang membaca dan para jemaah yang mendengar,sebahagian mungkin lena tidur, amat percaya bahawa fitnah itu merosakkan. Mereka yang pernah melakukannya atau berniat untuk melakukannya masing-masing merasa terkesan dan berjanji pada diri sendiri akan berhenti atau bertaubat atau tidak meneruskan niat jahatnya. Ini suatu sikap dan azam yang terpuji.

Cuma selepas menunaikan solat Jumaat itu, semasa berada diluar kawasan masjid, kita didedahkan antara lain dengan perkara yang sama iaitu ucapan, berita atau pun pesanan yang mengwarwarkan berbagai fitnah dan tuduhan sesama kita. Yang malangnya pihak yang dituduh dan difitnah itu tidak mempunyai atau diberi peluang untuk menyatakan hal yang menjadi pertuduhan  atau fitnah keatas dirinya. Yang amat malang sekali, pendengar ambil sikap tidak mahu memeriksa akan pertuduhan atau fitnah yang diterima, sebaliknya percaya kesemuanya. Yang terlalu amat malang sekali adalah pertuduhan itu atau fitnah itu disebarluaskan dan menjadi satu bahan cerita setiap waktu dan ketika sambil menjadikan bahan lawak jenaka untuk menghina pihak yang dipertuduhkan. Sedangkan, SJ menekankan, sedangkan mereka baharu saja mendengar khutbah Jumaat sebentar tadi.

Hari ini, saat ini setelah melihat apa yang berlaku, SJ berpendapat bahawa perbuatan fitnah memfitnah, tuduh menuduh adalah suatu perbuatan yang telah diketahui membawa kerosakan  dan semua orang benci dan marah jika diri difitnahkan tetapi amat diraikan apabila fitnah itu atau tuduhan itu tidak mengena diri sendiri. Amat malang sekali apabila kekuatan, pengaruh dan kekuasaan yang diperolehi yang sebenarnya bersifat amanah telah menjadi keris yang sentiasa diperhunuskan menikam sesiapa saja yang ada dihadapan.

SJ percaya khatib yang membaca khutbah tidak akan berbuat demikian.  

Jumpa lagi, InshaAllah.

Khamis, 24 Mac 2011

TAHNIAH DAN SELAMAT DATANG ORANG BARU

 

 NAMA: AHMAD NAQIB
NAMA  AYAH: AHMAD SANIHI
NAMA MAMA: HAZLIN AZZAMIZA 


1. Pertama sekali Papa dan Mama ingin menyatakan kesyukuran yang setinggi-tingginya kehadarat Allah SWT kerana dengan izinNya maka anak papa dan mama iaitu Hazlin Azzamiza atau Jaja telah berjaya melahirkan putera kesayangan pada hari Rabu 18 Rabiul Akhir 1432 bersamaan 23 Mac 2011 jam 10.53 malam.

2. Papa dan Mama mengucapkan tahniah kepada Jaja dan Sani diatas anugerah dari Allah SWT itu .Semoga ia akan menambahkan ikatan kasih sayang antara Jaja dan Sani dan seluruh keluarga kita.

3. Papa dan Mama juga memanjangkan ucapan tahniah kepada Tuan Hj. Salim dan Hjh Latifah, besan, diatas kelahiran cucu yang pertama. Semoga ikatan kekelurgaan kita akan bertambah erat lagi.

4. Khabarnya putera itu akan diberi nama Ahmad Naqib. Apa pun harapan dan doa kita semua agar Ahmad Naqib atau apa saja nama yang diberi akan dapat dididik dan dibimbing menjadi anak yang soleh. Papa dan mama mepunyai keyakinan penuh akan kemampuan Jaja dan Sani untuk berbuat demikian. Hanya usaha kita itu diiringkan dengan mohon doa pertolongan dari Allah SWT.

Rabu, 23 Mac 2011

Marilah Merenung Perjalanan Sebuah Kehidupan

Pagi ini saya terpanggil untuk mengajak anda merenung dan memikirkan gelagat kita sebagai makhluk yang terbaik berbanding dengan makhluk-makhluk Allah yang lain dalam pengisian kita sepanjang mengharungi kehidupan didunia.

Renung dan Fikirkan:

1. Semasa bayi kita menyerahkan sepenuhnya kehidupan kita kepada orang yang menjaga. Kita akan menangis jika kita lapar,sakit atau ada sesuatu yang tidak selesa yang kita alami. Menangis adalah senjata yang ada pada kita untuk menarik perhatian , merayu simpati dan ikhsan kasih sayang orang untuk membelai kita.Itulah yang termampu kita buat. Itulah media perhubungan kita, lingua franca bagi manusia seluruh dunia yang tidak perlukan terjemahan mahu pun  tafsiran walaupun kita berbagai warna kulit, kepercayaan, budaya, bahasa, negara dan sistem bernegara. Hebatnya tangisan seorang bayi. Namun didunia ini kelainan bukanlah satu pengecualian, terutama ketika ini, tangisan bayi darah daging sendiri, tidak sekali-kali akan mendetik hati untuk memutik rasa belas, ikhsan  kasih sayang dan simpati. Sebaliknya tangisan akan menggamit rasa kebencian, menyemarakkan nafsu marah dan menjadi pemangkin kepada suatu alasan yang amat keji dan terkutuk sekali bahawa inilah lesen atau paspot yang sah untuk menyingkirkan kita, seorang bayi yang tidak berdaya atas dosa yang mereka lakukan. Maka kita, bayi, yang menangis yang mengeluarkan berbagai irama akan didamparkan dimana saja mereka suka. Kita, bagi mereka adalah satu liabiliti yang menyusah dan memalukan mereka , justeru nyahlah kita dari hati sanubari mereka. Ditakdirkan kita panjang usia, sehingga mencapai usia muda dan dewasa seperti mereka, adakah cerita yang sama pilihan kita sedang dahulunya kita menangis merayu ikhsan, simpati, belas  dan kasih sayang? Jangan begitu!

2.Apabila usia meningkat memasuki alam muda remaja, kita mempunyai berbagai impian dan berbagai  harapan yang mendorong kita untuk meneruskan kehidupan. Tanpa impian dan harapan ianya pasti menunjuk kita kepada jalan penyingkiran. Penyingkiran dalam proses sebuah kehidupan adalah paling malang sekali. Kita akan menjadi sebahagian dari insan yang melengkapi dari segi bilangan tetapi tidak mempunyai apa-apa makna dari segi peranan dan  tanggungjawab untuk mencorak kehidupan kearah pencapaian impian dan harapan. Kita adalah mati dalam sebuah kehidupan.  Adakah itu yang menjadi pilihan ?

Justeru sebagai orang muda yang remaja kita adalah pejuang dibarisan hadapan mengharungi apa saja rintangan dan halangan dengan penuh yakin sabar dan kesungguhan. Sudah tentu ada ketikanya kita akan tergelincir, tersasar atau tersekat laluan yang boleh melambat atau melengahkan kita kearah matalamat yang hendak dituju namun semuanya itu adalah terlalu berharga untuk kita membina kekuatan ketika dewasa sebelum tua. Sekurang-kurangnya ia menjadi kenangan manis, bahan senyuman semasa berbicara ketika dewasa mahu pun lanjut usia. 

3. Melepasi zaman remaja dan memasuki alam dewasa adalah ketika mana kita mula rasa atau mengecapi hasil usaha atas segala tenaga dan daya fikiran yang telah dimenfaatkan. Kita telah cukup bersedia untuk mencari pasangan hidup, berkongsi harapan dan impian untuk meninggalkan warisan. Cuma kita perlu ingat, tinggalkan warisan yang sewaktu bayi, kita berikan ikhsan dan kasih sayang . Ketika bayi itu menangis, jadikan itu sebagai suara hati si bayi bahawa sibayi itu sebenarnya mengasihani kita, menawar diri menjadi pewaris yang terbaik. Bukan kah itu yang hendak kita tinggalkan?

4. Usia telah mula mendekati garis penamat. Mahu tidak mahu perjalanan dalam sebuah kehidupan akan diteruskan. Berbagai isyarat telah mula kelihatan, yang fizikal dan non-fizikal. Tubuh badan mula mengecil dan mengecut, tenaga semakin berkurangan dan menjadi lemah. Semuanya itu bukan masalah besar. Itu adalah satu proses yang kita lalui dalam sebuah kehidupan sebelum kematian. Cuma , seperti pada ketika zaman bayi dulu, yang menangis meraih belas ikhsan , simpati dan kasih sayang, yang satu ini akan menjelma kembali mengambil tempat. Ketika inilah tangisan, lelehan air mata adalah media suara hati. Ketika usia sebegini, hati terlalu kecil untuk menyerap suara kata yang tinggi walaupun katanya berniat suci. Merajuk ialah pilihan yang amat popular. Bisikan hati selalu menghasut untuk menyingkirkan diri, mengasingkan diri adalah pilihan yang diwarwarkan. Tetapi kenapa kita jadi begini disaat-saat mendekati garis penamat?   

Selasa, 22 Mac 2011

Sejuta Harapan Satu Impian

Tarikh 21 haribulan ialah tarikh yang ditunggu-tunggu oleh Jamaliah dan suaminya yang sudah melangkaui usia separuh abad. Suaminya telah membuat jangkaan bahawa pada tarikh itu mereka akan menyambut orang baru, seorang cucu. Tetapi manusia hanya boleh buat ramalan dan jangkaan menggunakan berbagai maklumat dan fakta yang dikatakan saintifik tetapi selagi Allah tidak mengizinkan , kebarangkalian yang dibuat oleh manusia itu tidak mungkin terjadi. Allah hanya menyatakan  "kun faya kun" maka jadilah mengikut kehendakNya.

Kedua-dua suami isteri ini menerima ketentuan Allah itu. Mereka pasrah untuk menunggu walaupun 21 haribulan telah berlalu.

Pada bulan Julai 2010 si Jamaliah yang dipanggil Jam oleh suaminya telah tinggal bersama anaknya Ira di sebuah kondo di Ampang Kuala Lumpur. Anaknya itu sedang sarat mengandung anak pertama yang dijangka akan dilahirkan bila-bila masa saja pada minggu keempat bulan Julai. Jam merasakan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk bersama dengan anaknya itu dalam menghadapi saat-saat yang paling genting dan istimewa dalam kehidupan seorang perempuan untuk menjadi seorang ibu. Dia telah menghadapinya sebanyak enam kali sudah tentu amat maklum akan pentingnya seorang ibu untuk berada disisi anak yang berada dalam situasi yang sama. Apatah lagi ini kali yang pertama.

Bermacam petua dan doa telah diajarkan kepada anaknya dengan harapan anaknya dapat melahirkan cucu pertamanya dengan mudah dan selamat, selamat ibu dan anaknya. Si suami pula tidak berhenti-henti meminta anaknya membaca ayat kursi dan surah assyirrah  dengan harapan yang sama juga. Malah si suami telah membacakan ayat-ayat tersebut sebagai doa dengan beberapa kali menghembus kedalam botol yang berisi dengan air zam zam. "Ira minum air ini dengan selawat tiga kali dan berdoa supaya Allah memudahkan dan selamat melahirkan anak", pesan si papa pada anaknya.

Walaupun telah dua hari dimasukkan ke hospital pantai, namun Ira masih lagi tiada tanda-tanda untuk melahirkan anaknya. Akhirnya pada 26 haribulan Julai, doktor telah buat keputusan bahawa Ira terpaksa melalui proses pembedahan untuk mengeluarkan anaknya. Ia terpaksa di buat kerana kandungan telah melampaui tempoh yang dijangkakan, telah 'over due'. Jika tidak, ia suatu risiko yang besar. Mendengarkan keputusan itu Jamaliah merasa sedih tetapi mendoakan supaya proses itu berjalan dengan baik dan selamat. "Tak apalah bang. Jam pun macam itu juga. Dah keturunan kita macam tu agaknya. Kita doakan semuanya selamat", si Jam menerima ketentuan itu. Sisuami diam tanda setuju.

Dengan izin Allah, pembedahan yang dibuat telah berjaya mengeluarkan seorang bayi lelaki pada 4.30 petang,  seberat 3.7 kilogram. Maka pada 26 haribulan Julai, Jam dan suaminya mulalah memakai gelaran baru iaitu Oma dan Tokpa. Maka juga pada hari itu Ira dan suaminya Yad telah diistiharkan sebagai seorang ummi dan ayah. Secara kebetulan 26 haribulan adalah tarikh lahir Ira tetapi bulan dan tahunnya berbeza. Pada tarikh itu Jamaliah dan suaminya masih lagi belum diberi tahu siapakah nama cucunya. Kedua-dua ummi dan ayah bayi itu terus membisu.

Hari semalam, tarikh semalam iaitu 21 haribulan ialah tarikh kelahiran Hazlin Azzamiza puteri kedua dari enam anak Jamaliah bersama suaminya. Tarikh itulah yang amat diharapkan oleh suami si Jamaliah untuk menyambut cucu yang kedua sama keadaannya semasa menyambut cucu yang pertama dimana tarikh lahir anak sama  dengan tarikh lahir ibu. Tapi Allah yang menentukan segalanya.

Ketika ini, hari ini 22 haribulan anak si Jam Hazlin Azzamiza yang di panggil Jaja masih lagi berada dirumah. Suami Jam yang menjangka dan mengharapkan anaknya itu melahirkan cucunya itu pada 21 haribulan, pagi-pagi lagi telah membersihkan kawasan rumah, mengumpul daun-daun kering dan sampah untuk dibakar, membuat 'trimming'  tumbuhan yang menjalar ditembuk hadapan rumah kerana esok hari 23 haribulan Mac mereka akan menyambut kedatangan orang baru. Begitulah yang telah dimaklumkan oleh anaknya Jaja setelah doktor hospital pantai meminta Jaja masuk ke hospital pada pukul tujuh 23 haribulan iaitu hari esok. 'Sudah tentu kawasan rumah mesti bersih dan nampak cantik', itulah agaknya yang menyebabkan pagi-pagi lagi si suami bertungkus lumus membersihkan kawasan walaupun hujan turun rintik-rintik.

Setelah selesai kerja-kerja diluar rumah, si suami masuk ke dalam rumah mengambil 'vacuum cleaner' untuk menyedut habuk dan kotoran yang lain dalam bilik dimana cucunya bakal tidur bersama. "Jaja perlu rehat. Biar mama yang jaga baby. Baby selalu bangun malam, nanti Jaja penat tak dapat tidur", sudah pasti itu yang akan diberi tahu oleh si Jamaliah kerana terlalu gembira untuk menjaga cucunya ini.Si suami pula beria-ia bersedia untuk membasuh baju dan seluar cucu yang baru. Masing-masing telah bersedia. Apa saja tugas, demi cucu 'no problem" walaupun mata kadang-kadang tersenggut-senggut tidak cukup tidur.Sudah tentu  Sani, suami Jaja telah banyak doa yang telah dibaca, dan terus dibaca memohon kepada Allah supaya Jaja isterinya dapat melahirkan anak secara normal, supaya Jaja dan anaknya selamat dan supaya dikurniakan anak yang sihat dan sempurna.

Esok pukul 7 pagi, 23 haribulan Mac  2011 Sani, Jamaliah dan suaminya akan menghantar Jaja ke Hospital Pantai Melaka  dengan iringan doa dan harapan agar Jaja akan selamat melahirkan anaknya yang pertama. InsyaAllah. Esok juga ialah hari ulangtahun  perkahwinan yang ke 36 diantara Jamaliah dan suaminya. Dan jika di takdirkan Jaja melahirkan anaknya pada tarikh 23 Mac, maka tarikh tersebut menjadi tarikh menyambut dua peristiwa yang penting dalam kehidupan Jamaliah dan suaminya.

Hari esok juga hari sejuta harapan bagi Jaja dan Sani. Harapan yang perlu kepada pengisian dengan  mengasuh ,mendidik dan membimbing anak kesayangan mereka  dalam menempoh kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan, untuk suatu kehidupan yang memberi menfaat dan kebaikan kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan agama. Impian untuk menjadikan anak sebagai Anak Yang Soleh sudah tentu tertanam dalam jiwa raga kedua suami isteri itu. Ia bukan mudah untuk menjadi kenyataan tetapi ia tidak mustahil, jika ada keyakinan dan kesungguhan Impian Boleh Menjadi Kenyataan. InsyaAllah.

Jamaliah dan suaminya, apatah lagi Jaja dan Sani masing-masing telah bersedia untuk menghadapi hari esok dengan penuh doa dan harapan. Semoga Jaja selamat melahirkan anak, selamat ibu dan selamat anak. Semoga anak yang dilahirkan sihat sejahtera dan sempurna. Semoga Jaja juga sihat sejahtera. Amin.

Kali ini Jamaliah berharap agar nama cucunya dapat segera diberitahu. Malah Jamaliah telah sedia dengan nama-nama tertentu. Maklumlah soal jantina telah awal diberitahu. Harap-harap begitu.

Kayuhan Ke Bukit Hantu ........13

Setelah bersarapan pagi di restoran hotel, Aku mengambil teksi untuk ke Ibupejabat dimana mesyuarat akan diadakan. Perjalanan mengambil masa 15 minit saja, itu pun disebabkan kesesakan lalulintas. Aku sampai  tepat pada pukul 8 pagi. Masih ada banyak  masa sebelum perjumpaan ku dengan ketua ku yang dijadualkan pada 8.30 pagi. Masa yang ada ini Aku mesti menfaatkan sepenuhnya kerana  bukan selalu Aku ke KL bagi tujuan tugas rasmi. Teringat Aku kawan ku Hamid, Timbalan kepada Ketua ku. Aku mahu menjumpainya , sekurang-kurangnya dapat  maklumat-maklumat dan perkembangan terbaru yang Aku belum tahu.

Hamid ada didalam biliknya sedang bercakap talipon dengan seseorang. Itulah yang dimaklumkan oleh pembantunya setelah Aku menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan bosnya itu. Beliau mempersilakan Aku untuk masuk ke bilik menunggu sementara bosnya sedang bercakap talipon. Tidak sampai satu minit pembantu Hamid masuk dan mempersilakan Aku untuk berjumpa dengan Hamid.

"Assalamualaikum", Aku memberi salam dan menghulurkan tangan . "Salam" jawab Hamid ringkas sambil menyambut tangan ku. "Apa khabar orang Sabah? Semuanya ok ke?" Tanya Hamid dan mempersilakan Aku duduk disofa  bersetentangan dengan mejanya. Beliau duduk disebelah ku. "Cantik bilik", Aku memuji bilik Hamid sebagai  permulaan bicara. "You nak jumpa bos ke? Nanti kita pergi sama. Aku pun ada hal nak bincang. Hal Sabah pun ada", Kata-kata Hamid membuatkan muka ku terangkat sedikit dan memandang terus ke mukanya. "Apa hal Sabah tu. Yang baik atau yang tak baik?" Aku mahu tahu dari Hamid. Otak ku mula berlegar-legar memikirkan apakah agaknya perkara yang berkaitan dengan Sabah. 'Mesti ada kena mengena dengan organisasi ku', bisik ku cuba meneka. Hamid menghulurkan kepada ku sekeping envelop berwarna putih. "Bacalah" , katanya.

Aku segera mengambil envelop yang dihulur itu dan mengeluarkan isi kandungan, tiga  helai kertas bertulis tangan. Mataku segera menangkap tajuk yang ditulis dengan huruf besar: PERASUAH BARU DATANG. Aku terus membaca surat itu untuk mengetahui siapa kah yang dikatakan perasuah baru datang itu. Berapa banyak yang telah diambil. Rasuah tentang apa. Tender? Projek? Mataku meneliti setiap perkataan dan ayat yang ditulis.

"Kau percaya?" Tanya ku setelah habis membaca isi kandungan surat yang tidak beralamat tetapi ada nama dan tanda tangan. Aku tidak pasti samada nama yang sebenar atau sebaliknya.Hamid masih lagi tidak memberi jawapan. Aku agak kecewa dengan sikap Hamid  itu seolah-olah apa yang dinyatakan dalam surat itu ada kebenaran. "Kau ingat Aku bodoh ke", Hamid mula bersuara. Mukanya seperti biasa, selamba saja.. "Semua orang boleh kata macam-macam. Beri lah bukti. Buat laporan", suara Hamid jelas dan sedikit tinggi. "Aku pun kena", beliau memberi maklum apa yang telah berlaku keatas dirinya. "Siapa punya kerja ni. Detail sungguh tender-tender yang disebutkan. Tapi tak ada pula tentang nama penender yang dapat ", Aku cuba membawa Hamid untuk sama berfikir. "Ahh you jangan risaulah. Tapi Aku rasa kau kena berhati-hati", nasihat Hamid. "Bos dah tahu ke?" Tanya ku . "Sudah.   Tapi dia minta Aku beri tau kau supaya berhati-hati". "Bila kau terima surat ini? Tanya ku. "Sabtu lepas', jawab Hamid ringkas.

Setelah Aku menyedari 5 minit ke pukul 8.30 pagi, Aku mengingatkan Hamid tentang  perjumpaan dengan  bos di tingkat 14.  Kami bingkas bangun dan berjalan menuju lif tanpa seorang pun berkata-kata.

Bos menjawab salam sebaik saja Hamid memberi salam dan mempersilakan kami duduk. Aku duduk bersebelahan Hamid mengadap bos. "Apa macam Sabah. Ok ke?, Sapaan bos sama saja dengan sapaan Hamid. "Alhamdulillah. Semua ok", Jawab ku. Tetapi  otak ku mula berfikir yang bukan-bukan. Mungkin ada makna yang tersirat dari sapaan itu. "Mid you dah bagi tau", bos memandang Hamid. "Sudah Dato'", jawab Hamid segera.

Bos memandang tepat pada ku dan Aku membalas dengan pandangan yang sama. Aku ingin tahu apakah pendirian dan sikap bos terhadap surat yang telah ku baca tadi. "You ni baru tiga bulan lebeh di Sabah, kan. Ada buat perubahan ke?" Tanya bos. Aku mengangguk mengesahkan tempoh masa Aku di Sabah, tapi Aku hendak tahu apa yang dimaksudkan 'ada buat perubahan' itu. "Maaf Dato', "Apa maksud buat perubahan tu?"
Bos tidak terus menjawab tapi meminta Hamid memberikan kepadanya surat yang berkaitan. Beliau membaca  surat tersebut. "Sebab saya baca ni , macam ada perasaan tak puas hati", bos memberi analisisnya mengenai kandungan surat itu."Saya rasa surat ni bukan dari kontraktor", sambungnya lagi memberi pandangannya. "Macam mana pun you kena berhati-hati", kata bos yang terus bangun dengan  mengingatkan kami akan mesyuarat  pada jam 9 di Bilik Mesyuarat Utama ditingkat yang sama. Kami pun turut bangun untuk menuju ke bilik mesyuarat.Aku melangkah dengan penuh yakin dan merasa lega diatas  nasihat bos tadi Aku anggap nasihat itu sebagai satu isyarat bahawa beliau tidak percaya isi kandungan surat tersebut.

Berbagai perkara telah dibincang dalam mesyuarat termasuklah tanggungjawab setiap pegawai untuk mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan dengan membentuk semangat kerja berpasukan dan meningkatkan ilmu pengetahuan. Aku tersenyum riang sebaik saja  mesyuarat ditamatkan pada pukul 12.30 tengah hari.

Oleh kerana terlalu gembira Aku mengajak Hamid makan tengah hari di restoran hotel penginapan ku. Hamid menerima ajakan ku.  Hamid dan Aku menuju ke kereta Hamid yang diletakkan di ruang letak kereta yang berdekatan. Kami bergerak untuk menikmati makan tengah hari.

Sebelum Hamid balik semula ke pejabat, Aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah memaklumkan mengenai surat tersebut dan juga atas nasihatnya untuk Aku sentiasa berhati-hati. Aku naik keatas ke bilik ku.

Aku menunaikan solat jamak awal. Setelah selesai Aku bersiap untuk berjumpa dengan seorang kawan di sebuah organisasi yang ada juga kaitan dengan kerja ku. Jam di tangan menunjukkan hampir 2.30 petang. Ketika hendak melangkah keluar Aku mendapat panggilan talipon dari Fahmi. "Tuan aji, surat takziah ni siapa nak tanda tangan? Pegawai lain boleh ke? Tanya Fahmi tentang surat takziah yang ditujukan kepada Langgi diatas kematian ibu mertuanya. "Minta Subra tanda tangan bagi pihak organisasi", Aku mengarahkan Fahmi kerana Subra ialah pegawai yang terkanan. "Tapi En. Subra mesyuarat di luar. En. Deva boleh ke?" Fahmi memberi tahu dan mencadangkan pengganti  Subra. "Ok" kataku.

Aku sampai di bangunan pejabat kawan ku itu pada pukul 3.05 petang. Pejabat beliau berada di tingkat 5. Aku berjumpa dengan penyambut tetamu dan menyatakan untuk berjumpa dengan kawan ku itu. "En. Liu terpaksa balik. Pukul 2.15 tadi . Isterinya kemalangan", penyambut tetamu memaklumkan kejadian yang malang itu.  "Macam mana isterinya?" Aku bertanya segera. "Entah lah saya pun tak tau", jawab penyambut tetamu. Aku kecewa tidak dapat menemui kawan ku ini. Aku buat keputusan untuk balik ke hotel.

Aku sampai di bilik hotel pukul 3.40 petang. Aku berbaring diatas katil sambil mengingati kejadian yang menimpa keatas isteri Liu yang menyebabkan Aku tidak dapat berjumpa dengannya. Ada sedikit rasa kekecewaan dihati ku . Tetapi perkara yang hendak ku uruskan itu boleh juga di bereskan dengan cara mengutus surat. Cuma , sementara Aku di sini lebeh baik diambil kesempatan untuk menguruskannya  secara bersemuka..

Deringan talipon memaksa Aku bangun. Fahmi dari Kota Kinabalu sekali lagi menghubungi ku."Tuan aji, En. Deva tak mahu tanda tangan. Dia dah talipon En.Langgi. Ibu mertuanya tak mati" Fahmi memaklumkan kepada ku. Aku amat terkejut sekali sebab ini soal kematian tak kan maklumat Subra tak betul. "Kan ke Subra beri tahu ......" tidak sempat Aku menghabiskan ayat ku Fahmi menyampuk, "Betul tuan aji. Saya didepan EnDeva masa ni",Fahmi mengesahkan kata-katanya . "Beri talipon pada En Deva", Aku mengarah Fahmi. "Selamat petang tuan aji. Berita tu tidak betul. Mungkin ada slah faham", kata Deva. "Tak apalah, tapi awak tanda tangan surat itu", perintahku tegas. "Tapi ....", aku segera memotong kata-kata Deva, "Awak tanda tangan saja. Saya yang bertanggungjawab" , suaraku agak keras. "Ok ok tuan aji", Deva terpaksa bersetuju. "Terima kasih ",Aku meletakkan gagang talipon.

"Perkara mati pun ada orang nak main-main" bebelku terus baring dengan perasaan marah menguasai diri ku. 

Isnin, 21 Mac 2011

Kayuhan Ke Bukit Hantu ..........12

Dari Lapangan Terbang Subang , Aku menaikki teksi terus ke hotel Pan Pacific di Jalan Putra. Aku sampai hampir jam 6.30 petang.

Selepas solat Maghrib Aku membuat panggilan talipon ke rumah Dosmy yang tinggal di Damansara Utama untuk memaklumkan bahawa Aku sudah berada di hotel Pan Pacific di Jalan Putra berhampiran bangunan PWTC. Aku juga memaklumkan number 7042 bilik penginapan ku. Sebenarnya ketika itu beliau sedang bersiap untuk ke hotel penginapan ku. Oleh kerana Aku seorang, beliau tidak bawa isteri dan anak-anaknya bersama.

Aku telah bersiap sedia menunggu kedatangan Dosmy dengan memakai secara casual baju t berwarna putih biru berseluar panjang hitam. Aku membuka peti sejuk kecil yang terdapat di dalam bilik untuk mengeluarkan kotak yang berisi dengan udang harimau  dan diletak ditepi berhampiran pintu bilik supaya senang dilihat. Aku takut terlupa untuk diberi kepada Dosmy nanti.

Tiba-tiba Aku teringat bahawa esok hari Aku akan berjumpa dengan bos ku sebelum mesyuarat bermula pada jam 9 pagi. Aku fikir ada baiknya kalau Aku bawa buah tangan. Udang harimau 5 kilo untuk Dosmy itu mungkin boleh dibahagi dua.  'Tapi apa orang kata. Nak mengampu lah tu', rasa bersalah menguasai ku walaupun niat bukan begitu. 'Siapa tahu niat kita. Semua orang boleh kata, niatnya ikhlas', perasaan ku berbelah bagi diantara hendak beri atau tidak, diantara niat di hati dengan persangkaan orang.

Akhirnya Aku buat keputusan lebeh baik Aku lupakan buah tangan untuk bos kerana ia boleh membangkitkan buruk sangka orang, terutama kawan-kawan sejawatan. Lebeh baik Aku beri kesemuanya kepada Dosmy kerana dia kawan ku. Tiada siapa yang  boleh bersangka buruk bahawa buah tangan itu 'ada udang di sebalik batu'. Tapi kalau beri kepada bos walau pun niatnya baik, orang boleh bersangka buruk kerana ada kepentingan. Kenaikan pangkat bergantung sebahagian besar dari laporan penilaian bos. 'Tak boleh, tak boleh. Lagi pun bukan niat asal ku nak beri pada bos", Aku mengesahkan keputusan ku itu.

Bunyi loceng bilik membuatkan aku terberhenti dari melayan perasaan ku mengenai buah tangan kepada bos tadi. Aku melangkah kearah pintu dan membukanya. "Assalamualaikum, apa kabar orang Sabah", Dosmy menghulur tangan. Aku menyambut tangannya dan menjawab salamnya. "Dah siap mari kita pergi", Ajak Dosmy segera. "Ok", Aku mula melangkah. "Ohh nanti jap ada barang Aku nak beri kau".


"Apa ni, sejuk kotak ni. Udang ke? Dosmy seolah-olah sudah tahu isi dalam kotak. Aku tidak menjawab hanya senyum saja sebagai tanda memperakui kehebatan Dosmy meneka. Dosmy mencadangkan supaya pergi ke keretanya untuk memasukkan kotak itu ke dalam boot keretanya.

"Aku ingat lebeh baik kita makan di restoran hotel saja. Kalau keluar nanti takut jem", Dosmy mencadangkan sebaik saja boot keretanya di tutup. "Aku ok saja. Kau yang nak belanja" , jawab ku bersetuju. Kami naik keatas menuju ke restoran.

Kami memesan makanan yang sama iaitu nasi, ikan, sayuran goreng dan sup ekor. Pada mulanya Aku menolak sup ekor kerana bacaan uric asid ku yang tinggi tapi Dosmy mempengaruhi dengan menyatakan sesekali apa salahnya. "Tak kan sekali makan dah kena gaut", begitulah kata Dosmy meyakinkan Aku yang sungguh bernafsu untuk menikmati sup ekor. Telah lama Aku tidak menikmatinya. Lagi pun isteri Aku tak ada bersama, tidak ada siapa yang nak melarang.

"Macam mana golf kau? Ok? Dosmy memulakan bicara mengenai Golf. Aku tidak segera menjawab kerana golf telah tidak penting bagi ku lagi. "Kau belajar lah dengan pegawai kau Subra. Dia single handicap", Dosmy terus menghidupkan cerita bermain golf walaupun Aku tidak memberi reaksi. Tapi sebaik saja beliau menyebut nama Subra, perhatian ku mula tertarik untuk berbicara soal golf.

"Dia pandai main golf ke. Selalu main ke. Selalu main dengan siapa? Tiga soalan berturut-turut  Aku ajukan kepada Dosmy. "Banyak soalan. Minat main ke atau saja nak dapat maklumat?" Rasanya Dosmy telah dapat membaca apa yang ada dalam otak kepala ku kerana tiba-tiba Aku menunjukkan minat untuk bercerita fasal golf. "Alah kau ceritalah apa yang kau tau", Aku mengalah semacam mengaku bahawa sebenarnya Aku nak tahu fasal Subra.

"Si Subra tu memang kaki golf. Dia ada geng. Partnernya si Langgi kontraktor. Boleh katakan hari-hari main . Sebab tu handicap turun. Kalau tak silap, dia handicap 9. Jangan main, hebat, selalu birdie", Cerita Dosmy walaupun perkataan akhirnya Aku kurang pasti maknanya. "Langgi tu siapa? Dah lama ke dia kenal?" Aku buat bodoh tanya. "Macam aku cakap tadi . Langgi tu kontraktor. Banyak dapat tender. Aku tak pasti bila dia orang berdua tu kenal", Dosmy bercerita lagi. Aku memberi perhatian penuh.

Sambil bercerita kami berselera menikmati makanan. Aku menghirup sup ekor yang telah lama tidak ku sentuh. Dosmy pun sama juga. Sungguh berselera."Kau jaga diri baik-baik. Dia orang pandai main silap mata" cerita Dosmy lagi setelah menghirup sup ekor dengan penuh selera. Aku hendak maklumat yang lebih lanjut lagi , "Apa maksud kau main silap mata? Setahu Aku si Subra tu tak suka dengan Langgi selalu buat komplen. Apa pasal kau ketawa?"  Aku turut ketawa juga tetapi sekadar mengekori ketawa Dosmy yang terbahak-bahak itu. "Itu lah kau , dulu kalau main golf dengan aku macam-macam dapat tahu. Main golf ni banyak kawan", Dosmy berhenti sekejap dan menyambung "Memang depan kau dia kata tak suka. Tapi di padang lain. Macam ni" Dosmy menggerak dan merapatkan kedua-dua jari telunjuk tangan kiri dan kanan untuk menyatakan betapa rapatnya antara Subra dan Langgi.

Aku diam sebentar. Susah juga Aku nak menerima kata-kata Dosmy ini terutama tentang tender yang banyak diperolehi oleh Langgi. Langgi sendiri ada membangkitkan dalam satu mesyuarat bahawa beliau tidak berpuas hati dengan cara organisasi ku dalam membuat tawaran tender. Aku mesti dapat maklumat lebeh tentang Langgi atau syarikatnya.
 
"Syarikat Langgi tu besar ke?" Tanya ku memecah beberapa saat  kesunyian. Dosmy tidak memandang padaku. Beliau membetulkan duduknya " Dia ada banyak syarikat. Syarikat keluarga. Orang beri tau Aku Langgi tu ada kena mengena dengan nama mereka anak beranak. Tapi Aku tak pasti. Banyak syarikat Aku pasti. Kalau ada tender semua masuk", Dosmy beri maklumat mengenai Langgi. Beliau melihat jam di tangan . Aku pun terikut sama. Waktu ketika ini sudah hampir pukul 10.30 malam. Dosmy memanggil pelayan restoran untuk membuat bayaran. Aku mengucapkan terima kasih kepada Dosmy atas belanja makannya itu dan juga maklumat yang telah diberikan . Kami bersalaman sebelum berpisah.

Dalam bilik hotel Aku mengambil buku kecil  untuk membuat catatan beberapa maklumat yang telah Aku perolehi dari Dosmy sebentar tadi supaya mudah untuk dibuat rujukan kerana kadang-kadang Aku terlupa apa yang telah diperkatakan. Habis catatan Aku padam semua lampu kecuali lampu bilik tandas bagi memudahkan Aku terlena.

Ahad, 20 Mac 2011

Kayuhan ke Bukuit Hantu .....11

Hari ini hari Ahad. Aku akan berlepas ke KL atas tugas rasmi pada jam 1 petang nanti . Aku di jangka berada disana selama 3 hari.

Fahmi telah mengaturkan tempat kediaman ku iaitu di hotel Pan Pacific.Ketua ku di ibupejabat pun telah bersetuju untuk berjumpa sebelum mesyuart bermula. Perjumpaan ini amat penting untuk aku maklumkan beberapa perkara yang penting sebelum mesyuarat diadakan.  Fahmi  juga telah menghubungi Dosmy kawan ku. Aku telah diberitau, Dosmy akan menjemput ku pada jam 8 malam nanti untuk keluar makan malam di sebuah restoran.

Ketika ini baru jam sepuluh pagi. Aku akan bergerak kelapangan terbang pada pukul 12 tengah hari nanti.Perjalanan memakan masa tidak lebih dari 15 minit. Masih ada banyak masa lagi.  Rimba pun belum muncul lagi. Ketiga-tiga anak ku sedang bermain bekejaran diluar rumah.

Segala keperluan untuk ke KL telah siap sedia dimasukkan ke dalam sebuah beg. Sebuah 'briefcase' berjenama samsonite akan ku bawa untuk mengisi fail mesyuarat. Aku rasa semua keperluan telah lengkap.Tiba-tiba Aku teringat akan jemputan makan malam kawan ku Dosmy. "Tak patut aku bawa tangan kosong. Adalah sedikit buah tangan. Orang berbudi kita berbahasa", bisik kusendirian. Tetapi apa benda yang aku hendak bawa?

"Apa abang termenung tu", terdengar suara isteri ku yang datang dari dapur menghampiri ku, menggangu legaran otakku. "Malam ni Dosmy nak belanja makan malam" Aku memberitahu dengan nada sedikit kerisauan. "Baguslah tu. Dapat makan percuma", isteri ku bergurau "Tapi, takkan tak bawa buah tangan",katanya yang baru sedar bahawa kurang manis perjumpaan ku nanti tidak diiringi dengan buah tangan. "Apa kita nak bawa? Tanya ku bodoh sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Isteri ku pun nampak macam termenung memikirkan sesuatu.

"Aaaa udang harimau" kata isteri ku dengan gembira memecah kebuntuan. "Ya tak ya juga", Aku bersetuju menampakkan sedikit kebodohan. "Tapi ada ke? Sempat ke kita nak beli? Satu lagi masalah yang ku fkirkan. "Dalam fridge ada lah dua tiga ekor" jawab isteri ku yang masih lagi tidak ceria.

"Pa uncle Rimba dah datang", anak ku Wani seperti kelelahan datang memberi tahu. Penat agaknya bekejaran diluar rumah tadi. "Rimba dah datang? Baguslah", aku lantas bergerak untuk keluar rumah berjumpa dengan Rimba. Aku beritahu Rimba untuk pergi ke pasar membeli 5 kilo udang harimau untuk tujuan dibawa ke KL. Setelah menerima wang dari Aku, Rimba dengan taat terus menghidupkan enjin dan bergerak menuju ke bandar yang perjalanannya  tidak melebehi 20 minit."Selamat" bisikku puas dan lega.
 
Tepat jam 12 tengah hari Aku bergerak dari rumah ke lapanganterbang. Isteri ku meminta Aku sampaikan salam kepada isteri Dosmy dan anakku Wani yang dulunya satu kelas dengan salah seorang anak Dosmy di tahun 2 juga membuat pesanan yang sama.

Di lapangan terbang sebelum memasuki ruang menunggu, Aku sempat berbual dengan Rimba. "Awak dah pernah pergi KL?" Tanyaku kepada Rimba. Rimba senyum sambil berkata" Mana ambil duit tuan aji. Driver".
Aku tidak segera menyatakan sesuatu diatas perasaan merendah diri Rimba itu. Sememangnya pertanyaan ku itu hanya pembuka bual bicara. Ada hal lain yang Aku nak cakapkan. Biasalah orang Melayu tidak terus kepada isu yang utama, berkisar dulu hal yang lain.

"Rimba kenal ke orang yang bernama Langgi?" Tanya ku terus kepada isu yang bermain di kepala ku. "Apa tak kenal tuan aji. Selalu datang pejabat, jumpa En.Subra", jawab Rimba. Aku beri perhatian yang penuh dan menunggu apa lagi yang hendak di katakan oleh Rimba. Sesungguhnya Aku sangat  mengharapkan maklumat yang lebeh banyak. "Dia kawan main golf  En.Subra. Tuan aji tak jadi main golf ke?" Rimba menambah sambil bertanya perkembanagan golf  ku. "Oooo begitu", Aku menepuk-nepuk tangan kanan ku keatas lutut ku beberapa kali sebagai tanda bahawa sekarang fahamlah  Aku. "Macam mana golf tuan aji? Rimba bertanya lagi seolah-olah tidak dapat membaca apa yang ada dalam fikiran ku. Aku tidak segera menjawab pertanyaan Rimba itu. Beliau pun tidak mengulangi pertanyaan yang sama. Maklumlah beliau driver, tak kan berani berbuat begitu. "En. Dosmy tak ada, saya tak mainlah":, jawab ku agak lambat.

Aku bingkas bangun apabila pengumuman di buat supaya penumpang ke KL yang menaikki pesawat MH211 memasuki ruang untuk berlepas ke KL.

Begitulah Aku............Martabatku 4

Salam Mesra untuk semua. Apa khabar. Harap sihat dan ceria selalu.

Beberapa hari yang lepas kita telah bersama dalam sinario pasar malam. Kali ini Aku mengajak anda di satu sinario yang lain pula. Di sebuah pasar raya yang terletak di bandaraya. Berubah angin.

Selesa sungguh didalam pasar raya ini. Hawanya dingin menyegarkan walaupun orang mundar mandir begitu ramai sekali.  Aku mencari sesuatu tapi masih lagi belum ketemu. Tapi anda jangan pula risau untuk meneka apakah sesuatu yang Aku nak cari. Jangan juga mula nak marah. Buat bersabar, bertenang. Aku nak beritau. Sekarang ini juga.

Ada pun Aku ini mempunyai wakil atau orang sekarang lebeh mesra gunakan kata proksi. Lebeh moden dan terkini agaknya. Kadang-kadang mereka anggap sebagai isyarat mereka orang yang terpelajar. Kalau guna kata wakil, tidak terkini, orang kampong. Untuk itu biarlah Aku gunakan proksi sesuai dengan kesukaan ramai. Ehh jauh pula Aku tergelincir.

Dulu, lama dulu dizaman datuk nenek Tuan Ku, Aku ada dua proksi untuk memperkenalkan diri Ku. Satu proksi katanya berketurunan Arab, mungkin ada sedikit darah Parsi. Dan yang lagi satu berketurunan Mat Salleh atau selalu juga disebut orang putih. Diantara dua proksi ini yang selalu muncul mewakili Ku ketika ini ialah yang Mat Salleh ini. Bukan main bergaya . Yang berketurunan Arab dan ada sedikit darah Parsi pula, makin lama semakin memencilkan diri. Aku dengar cerita, sudah ramai yang tidak berminat dengannya. Aku tidak tahu apa sebabnya. Mungkin, Aku kata mungkin saja, yang berketurunan  Arab ini banyak menyusahkan. Sikapnya susah nak baca, kadang-kadang keliru dibuatnya. Jadi tidaklah ramai yang menyukainya.Mungkin juga dia rasa rendah diri.

Akhirnya terjumpalah Aku proksi Ku itu. Proksi orang putih. Tidak kelihatan pula proksi yang lagi satu.Aku renung baik-baik proksi Ku itu tapi Aku lihat pakaiannya tidak serupa seperti yang Ku harapkan. Lain gaya dan lagaknya. Sudah jelas ini bukan proksi Ku. Ia nampaknya sama tapi tidak serupa.

Dengan sebab itu Aku terus mencari proksi Ku yang sebenar supaya dia boleh mewakili Ku di pasaraya ini. Kalau proksi sudah ada Aku tidak perlu bersama kerana proksi itu Aku lah juga. Tuan Ku singgah diruang menjual sayuran. Macam-macam sayuran ada. Ada sayuran tempatan dan ada sayuran dari negara luar. Sayuran tempatan memang Aku kenal misalnya bayam, kacang bende, bunga kobis, sawi, terung, tauge dan banyak lagi. Kelihatan juga tanda nama dipaparkan pada setiap sayuran itu. Rupanya disini ada proksi Ku yang duduknya sedikit bawah dari yang lain. Tidak mengapalah asalkan ada. Lega rasanya.

Suhu sejuk semakin terasa membuatkan Tuan Ku berjalan cepat untuk keluar. Beliau singgah sebentar untuk buat bayaran. Disini juga proksi Ku duduk di bawah sedikit dari yang lain sama seperti di ruang sayuran tadi. Sahlah bahawa Aku tidak boleh mendahului yang lain mesti di bawah atau dibelakang. 

Selepas buat bayaran Aku terdengar sesuatu dari penerima wang yang ditujukan kepada Tuan Ku. Aku memang biasa dengar kata-kata itu tapi lidah  Ku kelu untuk berkata. Ahh Begitulah Aku, nasib Ku.

Sabtu, 19 Mac 2011

Kayuhan Ke Bukit Hantu........10

Aku sampai ke pejabat sepuluh minit sebelum jam 2 petang setelah menikmati makan tengah hari dirumah. Mata agak berat . Kalau bukanlah hari bekerja sudah tentu satu dua minit bersandar dikerusi aku akan terlena.Tapi sebentar nanti pada jam duai Aku ada tetamu yang akan datang berbincang.

Aku telah membentuk satu sikap dan pendirian bahawa perjumpaan ini ada lah perjumpaan untuk memberi peluang kepada yang berkenaan untuk berkata atau menyatakan apa saja tanpa apa-apa hujahan atau ulasan dari ku samada menyokong atau membantah atau pun membuat sebarang ketentuan (comittment). Tugas Aku adalah untuk mencatat apa saja yang diperkata atau maklumat yang diberi. Kalau ada pun yang hendak Aku campur tangan hanya semata-mata untuk lebeh faham dan jelas akan perkara yang ditimbulkan untuk  mengelak sebarang  kekeliruan. Aku juga akan membaca semula apa yang telah ku catat untuk mendapat pengesahan dari yang berkenaan. Jika yang dicatat tidak dipersetujui, boleh dipinda dan diperbetulkan. Jika semua telah dipersetujui ,yang berkenaan diminta untuk menandatangani catatan tanda persetujuan. Aku juga akan menandatangani sama. Siap dengan tarikh dan waktu ditandatangani.

Seperti biasa semua perbincangan akan dibuat dalam bilik perbincangan.  Aku masuk dalm bilik perbincangan lima minit sebelum jam 2 petang dengan membawa buku catatan . Sebuah buku untuk mendaftar kehadiran juga ada bersama. Fahmi telah diarah untuk membawa yang berkenaan ke dalam bilik perbincangan apabila sampai nanti.

Sudah lima minit aku menunggu namun Fahmi belum lagi muncul untuk membawa yang berkenaan berjumpa dengan ku.Mengapa agaknya yang berkenaan tidak muncul. Kesesakan lalulintas jarang sekali berlaku.

"Encik Subra beri tahu En. Langgi  tidak dapat hadir. Ada kematian", Fahmi beritahu semasa fikiran ku berlegar-legar memikirkan apakah sebab kelewatan yang berkenaan untuk hadir berbincang. Aku amat kecewa dengan berita itu. Tapi ini berita kematian. Aku perlu simpati. Dengan perlahan aku melangkah masuk ke bilikku semula dan meminta Fahmi memanggil Subra berjumpa dengan ku.

Subra mengetuk pintu bilikku dan terus masuk sambil berdiri di hadapan meja ku. Beliau tidak terus duduk. Aku persilakan beliau untuk duduk." Bila En. Langgi talipon", Aku segera bertanya. "Baru sekejap tadi. Katanya ada kematian. Ibu mertuanya", Subra memberitau . Aku merenung muka Subra untuk membaca sesuatu berkaitan hubungan Subra dengan Langgi. Dalam perbincangan pagi tadi Subra nampaknya begitu tidak menyukai En. Langgi yang dikatakan suka buat aduan dan sentiasa tidak berpuas hati dengan keputusan yang di dibuat oleh organisasiku. Tapi ketika ini ada wajah simpati beliau terhadap En Langgi seolah-olah En.Langgi ialah kawan baiknya. Mungkin ini soal kematian.

"Dah lama awak kenal En. Langgi? Aku cuba mendapatkan maklumat hubungan Langgi dan Subra. "Lama juga.. Tapi kenal biasa saja. Dia selalu masuk tender." Subra menjelaskan. Kenyataan terakhir Subra, segera membuat fikiran ku teringat kembali betapa marahnya Subra kepada Langgi. " Apa masalah beliau?" Tanya ku. Subra memandang ku seolah-olah kehairanan dengan soalan ku itu. "Ada kematian .....". "Maksud saya apa masalah beliau dengan kita. Pagi tadi awak kata dia tidak puas hati. Buat aduan", secepat kilat dan sedikit tinggi suara ku memotong kata-kata Subra untuk menjelaskan maksud soalanku tadi. Subra tunduk tidak segera menjawab. Mungkin beliau sedang memikir sesuatu.

"Biasalah Tuan aji, kalau tak dapat tender mesti komplen" Subra memecahkan kesunyian selepas beberapa sangat tunduk dan memikirkan jawapan. Jawapannya  itu membuatkan Aku ingin lagi mahu tahu kenapa Langgi saja yang beliau tidak suka sedangkan orang lain juga selalu gagal dalam mendapatkan tender. "Orang lain tak ada komplen ke?' Tanya ku. ""Ada juga. Semua sama......tapi Langgi ni teruk sangat, buat laporan. Bila siasat, tak betul" Jelas Subra. "Apa tindakan kita. Maksud saya adakah kita pernah panggil dia untuk menerangkan kedudukan sebenar" Soalan ku ini memyebabkan  mata Subra terbuka luas sedikit "Tuan aji perlu ke kita beri tahu macam mana kita buat keputusan?" Darah ku mula tersirap dengan soalan Subra itu. Tapi Aku perlu bersabar. Aku perlu dapat banyak maklumat lagi. Kalau Aku marah mungkin Subra akan mendiamkan diri.

"Kalau ada komplen kita panggil dan berbincang. Mungkin kita akan dapat pandangan dan maklumat yang penting. Sekurang-kurangnya kita menghargai perkara yang dibangkitkan", nada suaraku dikawal supaya tidak tinggi. Subra sedikit tersenyum dan segera menjawab, "Tuan  aji tengok, tuan aji nak jumpa pun dia tak mahu datang...." Subra terhenti dari meneruskan kata-katanya sedangkan mulutnya masih terbuka luas.

"Tadi awak kata mak mertuanya meninggal", Aku mengingatkan Subra akan alasan yang telah disampaikan mengapa Langgi tidak dapat hadir. Pucat muka Subra. "Saya terlupa tuan aji, maaf:", Subra tunduk.

Aku mengesyakki ada yang tidak kena. Maklumat Subra telah mula aku ragui. Aku tidak percaya Subra boleh terlupa dengan berita kematian mak mertua Langgi yang telah disampaikan pada ku. Ini berita kematian. "Nak kena budak ni", bisik hati kecil ku. "Ok. Awak beritahu Langgi ucapan takziah dari saya atas kematian mak mertuanya. Panggil Fahmi" Aku membenarkan Subra kembali ketempatnya dan meminta Fahmi berjumpa dengan ku. Beliau dengan perlahan bangun dan sekali lagi mohon maaf dan keluar dari bilik ku.

Fahmi masuk dan tercegat berdiri dihadapan mejaku, menunggu arahan. "Awak ada terima panggilan dari Langgi?" Tanyaku . "Tak ada tuan aji. Biasanya dia berhubung dengan En Subra. Selalu jumpa En. Subra" Fahmi memberitahu. "Awak kenal ke dia", aku bertanya lagi "Kenal. Dia selalu datang ke pejabat ambil borang tender". Aku diam tidak segera meneruskan pertanyaan. Fahmi masih lagi berdiri begitu setia. Aku pun tidak mempersilakan beliau duduk kerana hanya hendak bertanya beberapa soalan saja. Aku percaya beliau masih kuat untuk berdiri dalam beberapa ketika.  "Ada masalah ke tuan aji?" Tanya Fahmi mungkin ingin nak tahu hasil perbincangan ku dengan Subra sebentar tadi.

"Tak ada apa, cuma nak minta awak hantar surat takziah kematian ibu mertuanya. Awak ada alamat? Fahmi semacam kehairanan dengan permintaan ku itu. Agaknya ini satu perkara yang luar biasa. "Alamat rumah tak ada. Alamat syarikat ada. Nanti saya buatkan surat". "Terima kasih", dan aku membenarkan Fahmi keluar untuk membuat surat takziah kepada Langgi. Aku tersenyum puas. Aku akan dapat berita yang sebenar tidak berapa lama lagi. Muka si Subra mungkin akan bertambah pucat.

Jumaat, 18 Mac 2011

Salam Jumaat.......3

Salam Jumaat {SJ) untuk semua. Kali ini kita hendak menyentuh tentang peminta bantuan/sedekah.

Rakyat Malaysia termasuk orang Melayu memang bermurah hati dan sering menghulur bantuan kepada yang memerlukan. Ini satu sifat yang terpuji dan wajar diteruskan. Kita sama-sama mendoakan mereka yang dermawan itu akan bertambah rezeki yang halal dan barakah pada masa depan.

Sifat baik dan murah hati anda itu rupanya ada pihak yang mengambil kesempatan. Kita semua telah mendapat maklum bahawa ada diantara mereka yang meminta bantuan/sedekah ini telah berjaya mengumpul pendapatan RM30,000.00 sebulan. Tidak ramai daripada kita yang dibayar gaji sebesar itu walaupun bekerja bertungkus lumus.

Mengapa perlu kita serahkan wang kita kepada anak-anak muda lelaki perempuan yang dihantar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk beroperasi di pintu masuk bank, di kawasan rihat dan rekreasi lebuhraya dan di restoran sedangkan ada pihak atau orang lain yang lebeh memerlukan. Anda cuba buat penelitian betul-betul dan bertanya kepada anak-anak itu. Kita pasti anda akan mula curiga keikhlasan mereka.

Lagi pun mengapa mereka yang masih dibangku sekolah perlu ada disitu dan bukan dalam bilik darjah. Anda tanya mereka datang dari mana, dan bagaimana mereka berada disitu.

Kita amat sedih dan malu sekali kerana kesemuanya  anak Melayu dan meminta bantuan bagi tujuan kononnya untuk keagamaan seperti bina surau , sekolah agama dan rumah anak yatim.

Marilah kita bersama memberhentikan kegiatan mereka ini yang amat memalukan orang Melayu dan agama Islam. Caranya mudah iaitu jangan dihulurkan lagi bantuan kepada mereka. Anda bukan seorang yang kedekut atau bakhil sebaliknya anda telah menyelamatkan anak-anak muda kita dari disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kasihani dan bantulah mereka dengan cara ini. Bersama-sama kita gagalkan niat jahat orang yang mempergunakan mereka atas nama agama.

Kalau anda masih tidak percaya apa yang kita kata, cuba siasat baik-baik. Tidak ada niat SJ untuk membuat cadangan bagi meminta supaya kita jangan menderma atau memberi bantuan. Tapi berilah bantuan kepada orang yang berhak dan memerlukannya. Jangan nafikan orang seperti ini dan jangan tolong anak-anak yang dipergunakan ini.

Anda sebenarnya bukan orang yang kedekut atau bakhil tapi anda orang yang sama-sama membantu untuk membina satu bangsa yang bermaruah. Jangan bagi malu orang Melayu dan jangan merendahkan martabat Islam. Islam bukan peminta sedekah.

Jumpa lagi

Khamis, 17 Mac 2011

Begitulah Aku......Martabatku 3

Salam Bertemu kali yang ketiga. Harap semua ceria senyum gembira.

Pertemuan kali ini mungkin berbeza. Aku telah ambil keputusan  untuk tidak mengajak anda teka meneka kerana Aku telah mula percaya bahawa anda semua telah berjaya mengenal Aku, gerangan siapa kah dia.  Memang Aku suka berbaik sangka. Sekarang  Aku nak ajak anda mengembara supaya yang sudah terang kita suluh-suluhkan.

Arah tuju pertama kita ialah di Pasar Malam.  Anda jangan risau atau bimbang bagaimana Aku boleh kesitu. Kan Aku telah kata Aku boleh berada dimana-mana asalkan dibawa oleh tuan Ku yang setia. Ertinya dimana ada tuan Ku disitu Aku turut bersama.

Suasana di Pasar Malam semua orang tahu. Hiruk pikuk orang berjualan, macam-macam ada. Yang jual ikan, jual daging, bermacam sayur, buah-buahan, bermacam makanan, minuman, baju pakaian, mainan dan ada juga yang jual ubat, bermain silap mata dan yang minta belas ikhsan meminta bantuan. Disinilah Aku paling ceria dan berguna.

Aku nampak yang jual ikan berwajah putih kuning dan ada juga yang gelap tapi tidaklah malap.  Yang datang berkunjung pun sama saja. Yang seronoknya bila Aku dengar mereka berbicara. Seorang yang telah berusia empat puluhan gamaknya, berkata "Ini ikan balu latang la. Itu tanjung mali". "Haiyo manyak silap o. Sikit mahan apa ada hat". Tersenyum Aku dibuatnya. "Tak mau lah toke. Mahal sangat". Penjual sayur di hujung sana sebelah kiri sedang sibuk melayan pelanggan. "Sikalang a tatak ujan, ini sayo naik halaga, manyak susah mau juan".

Aku puji mereka ini, penjual dan pembeli. Lain nada lain irama, lain bunyi, tapi urusan berjalan juga. Tidak ada jurang kefahaman. Hebat.

Aku menjadi terkedu apabila datang pelanggan dari arah bertentangan bersuara jelas dan terang bila berhenti hendak membeli sayur. Entah apa benda yang mereka kata tapi akhirnya dia memandang pada Tuan Ku."Ini olang tatak guna o.Hali-hali bikin susa. Cilaka".Kali ini Aku tidak senyum sebab nadanya sangat tinggi, marah nampaknya.

"Adey tambi itu kacang kasi dua bungkus". "Siki jam kasi tungguu", kelihatan orang hitam legam cepat-cepat menghulurkan dua bungkus kacang ,"terima kase, ayaa" kepala sihitam legam itu sedikit digoyangkan.

Aku dibawa ke gerai jual daging kerana tuan Ku sudah lama tidak makan sate. Dia bercadang nak buat sate sendiri. Penjual daging nampaknya tidak cukup tangan melayan pelanggan.  Macam-macam pesanan dibuat. Ada yang nak beli daging batang pinang, hati , tulang untuk nak buat sup dan macam-macam lagi."Ni batang pinang ni kalau buat sate, mak datuk bukan main best", sekarang Aku tersenyum semula sama semasa mendengar dialog penjual ikan tadi.

Tiba-tiba Aku terdengar "Saudara-saudara, ramuan obat ini datangnya dari banyak negara. Dari Arab, Parsi, India, Cina dan juga dari negara Barat seperti Portugis, Belanda dan England", tersentak Aku akan kata-kata penjual ubat yang telah separuh umur itu.

Tuan Ku melangkah lagi. Kali ini bertemu muka dengan seorang yang comot berpakaian compang camping menadah dua tapak tangan sambil merayu, "Tolong tuan........terima kasih, semoga Allah memberkati rezeki tuan", berbahasa sungguh dianya.

Aku baru sedar rupa-rupanya Aku ini dah bau hanyir, harap-harap tak basi  "ah tak kisah lah asalkan masih bernafas dan bernyawa. Penjual ubat kan masih ada. Yang minta sedekah baik pula budi bahasanya, sejuk hati Ku.  Alhamdulillah". Balik rumah nanti Aku periksa diri sendiri.

Ketemu lagi.

Rabu, 16 Mac 2011

Memilih Wakil Rakyat vs Memilih Pemain Bola sepak.

     "Buatlah pilihan yang terbaik demi generasi saya yang akan mewarisi Negara Malaysia yang tercinta"



Kita tidak tahu bila pilihanraya di Malaysia akan diadakan. Kita hanya boleh meneka saja dengan bersandarkan kepada fakta-fakta dan maklumat yang kita yakin dan percaya. Bila kita meneka maknanya ada unsur-unsur  kebarangkalian yang memperuntukkan kemungkinan berlakunya kesilapan. Ertinya kita tidak tahu dengan tepat. Yang maha mengetahui ialah Allah SWT. Prerogatif Allah. Semua orang tahu.

Ianya juga adalah prerogatif  Perdana Menteri, jika diizinkan  Allah.  Ini pun ramai orang sudah tahu.

Kita tidak akan berhajat untuk membincangkan bila pilihanraya  di Malaysia akan diadakan , diperingkat Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri walaupun fikiran kita tidak boleh lari dari persoalan itu.

Fokus kita ialah mereka yang menjadi pemain penting dalam gelanggang pilihanraya. Seperti dalam macam-macam jenis permainan, misalnya main bola sepak, kejayaan Kumpulan adalah ditentukan oleh pemain yang berada dipadang. Kita berani kata 90 peratus atau lebeh kejayaan ditentukan oleh pemain dalam gelanggang atau diatas padang. Selebehnya adalah sumbangan penyokong dan para pegawai pasukan termasuk pengurus dan jurulatih. Ertinya mereka yang bertarung samada dalam politik atau bola sepak adalah terlalu penting bagi mencipta kejayaan.

Kumpulan bola mahu mencipta kejayaan untuk lebeh terkenal. Kumpulan  akan memilih pemain yang boleh membawa kemenangan. Macam-macam kriteria digunakan untuk memilih pemain misalnya tidak terlalu gemuk dan tidak juga terlalu kurus, berat badan tidak melebihi 65 kilogram, ketinggian tidak kurang dari lima kaki sembilan inci dan banyak lagi.

Bila tekenal dan selalu berjaya, penyokong dan penonton pun mula ramai. Kutipan wang tiket masuk bertambah. Nilai komersil pemain pun mula meningkat. Mereka boleh  dijual atau dibuat pertukaran dengan kumpulan  yang lain yang memerlukan khidmat untuk membantu mencipta kejayaan .Hasil pertukaran atau jualan memang menguntungkan kumpulan. Penyokong dan penonton menjadi bangga. Segala yang ada kaitan dengan kumpulan misalnya nama pemain, baju  dan yang lainnya di ambil kesempatan dijadikan nilai pasaran.

Itu dalam permainan, khususnya bola sepak yang amat diminati sebahagian besar penduduk dunia. Bagaimana dalam gelanggang politik? Yang juga amat digemari sebilangan besar orang. Adakah kita juga perlu buat pemilihan untuk mencipta kejayaan? Kejayaan untuk siapa? Untuk yang masuk gelanggang? Untuk parti politik? Atau untuk negara?

Kita ingin menjawab bahawa mereka yang masuk gelanggang politik untuk bertanding perlu melalui tapisan atau 'screening' yang ketat. Hanya yang 'fit' saja layak masuk gelanggang. 'Fit' ini tidak saja merujuk kepada kesihatan tubuh badan dan akal fikiran. Lebeh dari itu. 'Fit' dari segi kriteria yang kita fikir wajar dijadikan asas tapisan bagi memilih mereka. Sebab mereka terlalu penting bagi mencipta kejayaan. Kalau salah pilih binasa lah kita.

Kejayaan untuk siapa? Sama juga dengan bola sepak bahawa yang masuk gelanggang mesti boleh membawa kemenangan. Kejayaan untuk yang bertanding, yang masuk gelanggang. Kejayaan juga untuk parti politik itu. Tapi mesti ingat, Parti politik bukan Pasukan. Ia hanya Kumpulan, salah satu kumpulan yang masuk gelanggang .

Itu pengertian yang kita beri. Kumpulan hanya untuk ahlinya saja. Pasukan merangkumi semua walau pun bukan ahli, bukan penyokong, bukan peminat dan bukan yang terlibat untuk memilih. Semua, tiada pengecualain atau dikecualikan.  Pasukan ialah Negara dan Negara ialah semua Warganegara.

Jadi asas pemilihan kita ialah mereka yang boleh atau mahu berkhidmat kepada Pasukan apabila berjaya dipilih, di peringkat Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Mereka yang memperjuangkan konsep politik menguasai Kerajaan (Pasukan) wajar diketepikan. Mereka ini wakil rakyat politik bukan wakil rakyat sebenarnya.

Konsep politik menguasai Kerajaan amat bahaya kerana kepentingan politik ( Kumpulan) menguasai kepentingan Negara (Rakyat). Ia memberi kesan dan pengaruh kepada perkhidmatan yang bakal disampaikan dengan mendahulukan politik dari rakyat. Bertentangan dengan perjuangan Rakyat di dahulukan.
Ia juga boleh mengundang kepada salah tafsiran bahawa aset Kerajaan itu adalah juga aset politik. Salah tafsiran ini boleh membawa akibat kepada kepercayaan bahawa penggunaan aset Kerajaan untuk kepentingan politik adalah sesuatu yang sah dan tidak salah dilakukan. Sudah menjadi biasa. Akhirnya Negara dan Rakyat yang binasa.

Itu kriteria Asas dan Utama tidak kira siapa atau  mana-mana parti politik. Cuma kita merasa amat bimbang jika konsep Politik menguasai Kerajaan menjadi pegangan sesuatu parti politik. Kalau orang itu atau parti itu berjaya ianya sungguh bahaya sekali. Negara dan Rakyat  tidak akan berjaya. Anda percaya lah.

Kriteria yang lain kita boleh fikir bersama. Ada beberapa kriteria yang lain boleh kita ketengahkan.

Dari segi individu, antaranya ialah sihat tubuh badan dan akal fikiran sebaik-baiknya  tidak cacat fizikal ( maaf; tidak ada niat memperkecilkan golongan sedemikian, cuma lebeh praktikal begitu, untuk dapat pantas bergerak dan menyampai perkhidmatan).

Menguasai Bahasa Melayu adalah kriteria yang amat penting bagi calun yang bertanding.   Kita tidak mahu mendengar wakil rakyat yang masih tebal dan keras lidahnya  untuk menyebut perkataan dalam Bahasa Melayu. Terkial-kial membuat ayat. Kadang-kadang orang Myanmar yang baru datang sebulan pun sudah fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Sungguh memalukan. Penguasaan Bahasa Inggeris juga penting sebab kita tidak hidup bersendirian, kita hidup dalam dunia tanpa sempadan. Bahasa-bahasa kaum juga satu bonus.

Mempunyai peribadi yang terpuji dan sentiasa bersifat suka membantu; pengalaman dalam berbagai sektor kehidupan; kelayakan akademik sekurang-kurang ada diploma, lebeh tinggi lebeh dialu-alukan; kematangan yang diukur dari segi umur. Tidak terlalu muda atau dibawah umur 30 tahun atau terlalu tua melebihi 65 tahun; tidak melebihi dua penggal perkhidmatan atau 10 tahun yang mana lebeh tinggi.

Itu adalah kriteria yang kita dapat kemukakan dari segi peribadi calun. Ianya memerlukan perincian-perincian tambahan lagi misalnya perlukah disyaratkan seseorang itu menjalani pemeriksaan perubatan bagi menentukan tahap kesihatan. Dari segi kita, ia terlalu amat perlu. Bagaimana orang yang tidak sihat boleh memberi perkhidmatan yang terbaik. Mereka yang tidak sihat juga  risiko untuk pilihanraya kecil amat besar sekali. Belanja lagi!

Begitu juga dengan maksud peribadi yang terpuji. Walaupun subjektif sifatnya tetapi kita boleh mengambil norma-norma am apa yang dikatakan peribadi yang terpuji. Menghormati sesama insan, tidak berminat tuding menuding, fitnah memfitnah, suka menolong dan sebagainya.

Kita perlu banyak maklumat mengenai calun yang bertanding itu. Bagaimana asetnya, keluarganya, hobinya dan banyak lagi. Ertinya kita mesti ada profail yang lengkap. Masalahnya di Malaysia kita kurang keterbukaan dari segi maklumat. Kita faham ada maklumat bersifat peribadi. Itu tidak perlu diberitahu. Tapi kalau kita hendak menjadi calun, hendak menjadi diri kita dipilih sudah tentu pemilih berhak mengetahui apa saja maklumat yang boleh meyakinkan mereka untuk memilih kita.

Kriteria-kriteria yang kita kemukakan tadi, atau apa saja kriteria yang dipilih wajar diberikan wajarannya (weightage), diadakan sekala  1 hingga 10., yang kurang baik kepada yang terbaik. Kemudian di peti undi kita pangkahlah yang terbaik mengikut wajaran dan sekala yang kita buat. Barulah kita jadi pemilih yang professional. Bukan saja pemain bola sepak boleh jadi pro kita pun  boleh juga jadi pro.

Tetapi kita juga ada mendengar bahawa sewaktu berkempen kita tidak boleh berkereta besar. Itu dikatakan menunjuk. Kalah nanti. Jadi calun itu terpaksalah berpura-pura. Bawa Moris Minor buruk pula. Lihat siapa yang dulu membuka ruang untuk wakil rakyat berpura. Kita kan? Jangan marah kalau sifat ini berterusan, sebab kita yang menyemainya.

Ini satu pertimbangan yang silap. Kalau kereta itu diperolehi secara halal, secara betul apa salahnya. Bukankah kita boleh berbangga kita mempunyai wakil rakyat yang perihatin walau pun berkereta besar. Begitu juga kita tidak wajar menolak jika calun itu tidak sekaya seperti misal diatas. Yang penting khidmatnya.

Dari segi parti politik, ia tidak banyak beza dengan kriteria peribadi. Cuma janganlah tolak parti politik semata-mata kerana miskin atau kaya. Lihatlah perkhidmatannya terutama jika parti itu telah diberi peluang untuk menubuh Kerajaan. Lihat juga falsafah perjuangannya. Saya ingatkan lagi sekali, jangan tolak parti itu kerana ahli-ahlinya kaya berharta atau miskin kedana. Lihat dan periksa dengan berlapang dada macam mana mereka jadi kaya berharta dan kenapa mereka miskin kedana.

Buatlah pemilihan yang terbaik demi masa depan Malaysia dan anak cucu kita nanti. Kita hendak mencipta kejayaan, kita hendak berjaya seperti permainan bola sepak tadi, malah lebih dari itu..

Selasa, 15 Mac 2011

Kayuhan Ke Bukit Hantu............9

Organisasi ku mempunyai 100 orang warga kerja. Enam diperingkat eksekutif ,termasuk aku, dan yang lainnya  bukan eksekutif.  Terdapat empat cawangan diluar ibu pejabat yang masing-masingnya diketuai oleh seorang penyelia.

Aku adalah orang yang kuat mempercayai bahawa faktor dalaman adalah penentu utama kejayaan. Segalanya mesti bermula dari dalam, dari diri individu itu sendiri. Jika kekuatan dalaman telah terbentuk ia akan memudahkan segala urusan. Ia mesti dimulakan oleh individu itu sendiri, oleh pemimpin organisasi itu sendiri, oleh warga kerja organisasi itu sendiri. Sendiri mesti mulakan. Sendiri mesti tahu kekuatan, kekurangan, kelebihan , kehebatan, kelemahan masing-masing. Mengenal diri adalah permulaan kepada pembinaan sikap yang positif kearah memberi perkhidmatan yang terbaik. Ini disiplin yang mesti ada.

Tidak cukup dengan mengenal diri saja. Mesti ada usaha dan tindakan yang berterusan kearah pembinaan sikap itu. Mesti ada kepimpinan yang mengatur, menyusun dan yang bertanggungjawab melaksanakan berbagai program, mekanisma dan berbagai jaringan hubungan antara warga kerja sesama sendiri dan dengan pihak luar terutama pelanggan. Tidak kurang penting adalah kefahaman dari setiap warga kerja akan program , usaha dan inisiatif yang dilakukan terutama jika ianya berbeza dari yang biasa atau yang telah sedia diamalkan. Kefahaman ini adalah penting untuk mendapat sokongan dan kerjasama dari semua. Semangat 'es pirit de corp' atau bekerja sebagai satu pasukan mesti di bentuk.

Aku mesti amalkan apa yang aku percaya kalau tidak ia tidak bermakna dan sia-sia.

Seperti biasa aku sampai pejabat 10 minit sebelum 8 pagi. Hari ini , Selasa, telah dijadualkan untuk aku berjumpa dengan seseorang bagi membincangkan satu isu yang telah lama belum dapat penyelesaian yang memuaskan. Waktu perbincangan ialah jam 2 petang. Semua pegawai seramai lima orang itu telah diberitahu diakhir waktu kerja Sabtu lepas, untuk menyediakan fakta dan maklumat  berkaitan dengan perkara yang dibangkitkan mengikut bidang tugas masing-masing dan diserahkan selewat-lewatnya pada hari ini jam 8 pagi untuk diteliti dan dibincang bersama sebelum berhadapan dengan pihak berkenaan. Ini bermakna, mereka mempunyai satu hari saja iaitu hari Isnin untuk berbuat demikian, sekiranya mereka bekerja mengikut waktu pejabat.

Diatas meja ku telah tersusun lima fail berkulit tipis berwarna kekuningan yang telah dibawa masuk oleh Fahmi, Pembantu Khas. Aku mengambil satu demi satu fail tersebut dan meneliti isi kandungan. Dahi ku berkerut.

Fahmi dipanggil , "Minta semua pegawai datang berbincang di bilik sebelah", aku beri tahu Fahmi. "Sekarang tuan aji?" Fahmi minta kepastian dan aku mengangguk. Waktu itu jam 8.30 pagi.

Semua yang dipanggil telah ada dalam bilik perbincangan. Disebelah kanan ialah Subra, yang terkanan diantara mereka yang telah lima tahun di organisasi ini. Disebelah beliau ialah Isa, penolongnya yang juga telah lima tahun disini. Di sebelah kiri pula ialah Deva yang telah empat tahun di organisasi, penolongnya Mariam dan Daud pegawai pentadbiran pejabat/perhubungan awam.

"Selamat pagi dan terima kasih" Aku memulakan perbincangan. "Saya minta En. Subra memulakan", sambil aku membuka fail yang didalamnya terdapat laporan yang disediakannya. Subra mengucapkan selamat pagi dan terus menjemput perhatianku kepada laporan  yang telah disediakan dalam fail yang ada pada tangan ku. "Seperti dalam laporan saya, bahawa perkara tidak puas hati memang selalu kita dengar. Kalau kita tawar kepada A, pihak B kata kita tidak adil. Bagi pada B pihak A dan C kata tidak adil. Kita tak boleh layan tuan aji". Aku merenung tepat wajah Subra dengan mataku tidak berkelip . Beliau kelihatan defensif  dan tidak nampak sebarang kecacatan pada organisasi atau dirinya.. Yang salah ialah orang lain. Beliau nampaknya tidak merasa apa-apa dengan reaksi ku. Mungkin beliau merasa lebih tahu kerana sudah lama.

Subra semakin yakin bahawa apa yang disampaikan telah diterima sebagai yang benar. "Tahun lepas kita telah disiasat sebab aduan orang ini. Tapi tak betul". Aku tidak boleh sabar lagi. Subra perlu diberi tahu. Perbincangan ini bukan untuk mempertahankan diri tapi menyelesaikan isu yang di bangkitkan dengan mengemukakan fakta dan maklumat yang telah diselidik. Bukan kenyataan kosong tanpa fakta yang meyakinkan. "Subra, awak ada statistik mengenai bilangan penender, kekerapan mereka masuk dan tawaran yang telah diterima? Tanya ku dengan jelas dengan suara yang sedikit tinggi. Terperanjat nampaknya Subra dengan pertanyaan ku tadi.

"Tuan aji , I got your instruction last Saturday...and...." Aku pantas memotong  Subra sebelum beliau meneruskan kata-katanya "So What? Not enough time? What have you been doing for the last five years?" Suaraku lebih tinggi. Subra telah mula sedar bahawa beliau tidak boleh sembarangan memberi alasan. Pegawai-pegawai yang lain tunduk diam.

"Ini lah saya tidak menyebelah dan bersetuju apa yang mereka kata. Tapi kita mestilah bersedia dengan fakta , maklumat yang lengkap dan betul. Mesti ada  pengkalan data, kajian dan buat penyelidikan. Tak boleh sembarangan". Aku menerangkan apa itu fakta dan maklumat yang lengkap dan betul. Apa kah sikap yang perlu ada pada setiap dari warga kerja dalam menangani sesuatu isu. "Kita disini untuk membantu dan memudahkan . Bukan menyusahkan". Aku melihat Subra mengangkat mukanya "Minta maaf tuan aji, adakah kita boleh melanggar undang-undang dan peraturan?" Denyut jantung ku semakin cepat mengepam darah keseluruh anggota. Bertambah berang aku dibuatnya. "Kalau awak berani buatlah". Aku sengaja mencabar beliau kerana aku tahu beliau faham akan maksud membantu yang aku gunakan. Suasana sepi. Yang lain tunduk saja. Subra tidak lagi berani berkata-kata.

Aku mendapati perbincangan tidak wajar diteruskan kerana kesemua mereka menyediakan laporan hanya untuk mempertahankan diri atau organisasi. Aku bersetuju nama organisasi mesti dijaga tetapi bukan cara yang mereka lakukan. Perjumpaan 2 petang akan ku teruskan tetapi yang hadir aku seorang saja. Aku percaya banyak perkara akan dapat ku dengar. Tapi aku dengar, rakam dan tanya saja. Percaya semuanya? Tunggu dulu jam 2 petang.

Isnin, 14 Mac 2011

Begitulah Aku............Martabatku 2

Ada diantara anda sedang tersenyum. Sudah dapat meneka siapa Aku. Sudah mula mengenal diri Ku. Tapi Aku tidak tahu samada tekaan anda mengena atau sebaliknya. Aku ambil jalan positif bersangka baik sesama kita. Aku percaya bahawa senyuman anda itu satu isyarat yang Aku sudah dikenali.Dah kenal barulah mesra.

Bagaimana pula yang masih teraba-raba dan cuba meneka. Ada yang kata Aku ni satu objek seperti emas yang diletakkan dalam kotak yang cantik berhias. Tidak kurang pula mengatakan Aku ini sebuah jam Rolex yang mahal harganya. Ada yang percaya bahawa Aku ini sebuah kenderaan. Kalau itu yang mereka teka, ia terlalu jauh dari sasaran. Bukan saja tidak betul malah bolih mengelirukan.

Kalau begitu Aku akan cuba sedaya upaya untuk mendedahkan siapa Aku sebenarnya. Adakah Aku ni bernafas dan bernyawa seperti anda manusia, atau kucing dan anjing yang tidak pandai berdusta atau pokok  dan tumbuhan yang merimba dan melata atau makhluk di air masin, tawar dan payau? Ini adalah soalan. Tapi kalau anda rajin berfikir ianya bolih jadi jawapan. Ahh lagi pening dibuatnya. Maaf ya. Aku ni suka bergurau. Jangan marah.

Jangan marah dengan angka 152 itu yang mungkin buat anda jadi keliru. 152 itu bukanlah usia Ku. Bukan juga Aku. Dia adalah angka bagi kotak Ku. Kalau anda nak kata nama Ku bolih juga. Tapi anda mesti ingat betul-betul 152 bukan Aku.  Aku izinkan sekadar memudahkan untuk bermesra dengan Ku. Takkan nak panggil oii saja. Itu kurang ajar namanya.

Kalau sudah mesra senang cerita. Tidak banyak halangan. Yang rahsia pun kita akan cerita. Macam Aku, masih lagi rahsia. Tapi aku tidak suka berahsia. Aku suka yang telus dan tulus. Anda suka kan? .

Sekarang anda nak panggil Aku  152, Aku izinkan. Dipersilakan dengan segala hormatnya.

Aku telah tunjuk jalan kemesraan kepada anda dengan bersetuju memanggil Aku 152. Sudah mesra tapi masih tak kenal juga. Tak apalah kerana ini perkara biasa. Misalnya anda selalu berbicara dengan seseorang sudah sekian lama tapi atas sebab-sebab yang tidak diketahui, anda berdua terlupa nak tanya nama masing-masing. Tapi bila berjumpa mesra juga. Anda tidak tahu nama tapi cam rupa. Aku pula,  anda tahu nama tapi tak  tahu rupa. Ada beza ke? Aku jawablah nanti anda pening kepala. Begini, dari segi mesra ianya tidak ada beza. Tak tahu nama cam rupa, dengan tahu nama tak tahu rupa sama saja sebab yang pentingnya kita mesra.

Maaf sekali lagi Aku pinta jika cerita diatas buat anda pusing kepala. Namun Aku harap jangan pula anda berang memanggil Aku putar alam. Tidak sekali-kali niat Ku begitu. Aku sayangkan anda semua. Aku pun amat menagih kasih sayang anda yang amat Ku hormati dan kasihi. Tanpa anda, Aku tidak ada makna,lebih baik mati. Memang tanpa anda Aku akan mati. Sedih hati Ku. Tapi tanpa Aku anda susah juga, tapi tak lah sampai mati macam Aku.

Untuk itu Aku tidak mahu buat anda susah. Tidak, sesekali tidak. Sebenarnya Aku telah mendedahkan diri Ku terlalu jelas. Terus mata. Tiada sedikit pun yang terhalang dan yang menghalang. Cuma Aku mengambil kaedah yang di firmankan Allah dalam Alquran: Tidak kah kamu mahu berfikir?

Bagaimana? Tak salah kan? Ini firman Allah. Kalau anda manusia anda kena percaya. Tak semestinya anda seorang Islam sebab dalam Alquran Allah juga ada berfirman  "Wahai manusia".

Kalau Aku beri tahu Aku ialah kambing, misalnya, sudah tentu Aku merendahkan daya fikir anda. Terlalu senang. Satu lagi contoh dalam soalan matematik. Mana ada soalan 2x5. Kalau anda hendak diuji untuk mendapat jawapan 10 , pembuat soalan akan tanya begini, contohnya: Dalam sebuah sekolah terdapat 20 orang budak perempuan dan sepuluh lelaki. Sebanyak  tiga kelas yang dapat disediakan dalam saiz yang sama.. Berapakah jumlah murid yang wajar ada bagi satu kelas.

Jawapannya sepuluh, bukan? Bagi yang hebat matematik, soalan itu terlalu mudah. Mungkin dianggap sebagai menghina kecerdasan otaknya. Jadi samalah dengan kaeadah yang Ku gunakan.

Sekali lagi Aku minta maaf. Aku tidak menyimpang dari matlamat mengenal siapa Aku. Aku terlalu menghormati kecerdasan otak anda. Aku rasa mungkin ada yang telah tersenyum pada awal cerita tadi marah pada Ku sebab memperkecilkan kecerdasan mereka.

Beginilah , kepada yang masih meneka atau teraba-raba Aku bagi tunjuk jalan. Tapi tidak ada niat mengatakan anda bukan golongan yang tidak cerdik. Jalannya atau bayangannya begini:

i) Kotak 152, cantik,lawa, bolih dihat, terus mata.
ii)Aku dibela, disemai agar bercambah untuk diguna, dimana-mana.
iii) Sentiasa dibawa bersama, dibelantara, hutan,desa dan bandar, dimana-mana
iv) Di Dewan Yang Mulia Aku istimewa, pertama dan utama

Sebenarnya bayangan itu tuan Ku telah berikan dari mula kata bicara.

Selamat berfikir. Jumpa lagi. InsyaAllah.