Theflowersellingboy

Khamis, 21 April 2011

Jangan Marah-marah , Kita kan Dah Tua, Tua Bangka Pula

Jangan marah-marah, kita kan dah tua, tua bangka pula. Itulah kata-kata yang telah dibisikkan oleh hati kecilnya sendiri apabila dia naik angin melihat anak-anak muda yang bermotor merempit  dijalan raya di hadapan rumahnya. Manakan tidak, anak perempuannya yang gagal dalam peperiksaan SPM baru-baru ini adalah juga pengamal paling setia dalam karier rempitan ini, sebagai pembonceng saja.Tetapi dia masih lagi boleh menarik nafas setengah panjang kerana anak lelakinya, setakat yang diketahui, tidak atau belum lagi menunjukkan keinginan untuk bersama-sama dalam pasukan rempitan kakaknya itu.

Dia baru saja balik dari masjid yang berdekatan, tidak sampai 500 langkah dari rumah teres dua tingkat disebuah taman perumahan, Taman Puteri Kayangan, selepas menunaikan fardhu Maghrib. Itulah rutin  hariannya yang bersangkutan dengan amalan  Rukun Islam yang kedua. Tetapi, setakat Maghrib dan sembahyang Jumaat atau menghadiri majlis rasmi yang melibatkan pembesar dan kenamaan negeri dan negara saja, solat dan majlis-majlis yang lain , biasanya bukan menjadi keutamaannya sebagai diantara jemaah masjid yang hadir.

Sementara menunggu hidangan makan malam yang sedang diatur oleh isterinya didapur, Dia berihat diatas sofa diruang tamu sambil menonton tv. Entah mengapa hari ini hidangan lambat disediakan tidak seperti biasa yang telah tersedia sebaik saja Dia sampai kerumah. Dia memandang ke arah dapur dengan harapan isterinya datang menjenguk untuk mempersilakan Dia menjamu tekaknya yang sentiasa berselera, menambahkan lagi keboroian perut yang mengembang kedepan meleweh kebawah. Sudah menghampiri pukul lapan, waktu yang tidak pernah gagal baginya untuk mengadap tv mendengar perkembangan semasa yang terkini. Isterinya, tiba-tiba muncul mempersilakan Dia ke ruang makan. "Dah pukul lapan. Tengok berita dulu", katanya dengan nada sedikit merengus, "Waktu berita baru nak ajak makan", rengusannya diteruskan , sedikit perlahan untuk didengar oleh telinganya saja.

Di masjid tadi, sebaik saja selepas solat beberapa orang jemaah khusuk bercerita tentang pendedahan sebuah video lucah yang melibatkan orang penting. Dia pun sendiri mendengar pendedahan itu melalui beberapa stesyen tv sebagai tajuk utama pemberitaan. Cuma yang berbeza dan yang menaikkan minatnya mengenai pendedahan itu ialah pelaku yang disyakki itu dikatakan akan ditangkap dan didakwa diatas perbuatan yang amat menjijikkan itu. Semua yang bercerita itu ketawa besar. Dia pun sama-sama ketawa terbahak-bahak sambil keluar dari masjid.

Seperti yang diharapkan, kisah video lucah dan pelaku ini termasuk dalam tajuk-tajuk ringkas mendahului berita sepenuhnya. Pemberitaannya sama saja seperti hari-hari yang lepas. Dia masih menunggu berita penangkapan. Tidak juga timbul. Dia nampaknya kecewa. Dia mengharapkan supaya pihak berkuasa segera membuat tangkapan kerana ini perbuatan yang amat menjijikkan. Malukan bangsa dan agama. 'Nak jadi pemimpin konon. Moral rendah', bibirnya mencebek terlalu meluat.

Lama juga Dia menunggu, tapi kisah yang didengar sama saja diulang-ulang. Cuma setiap kali pemberitaan orang yang berbeza memberi pandangan. Tapi semuanya mengutuk perbuatan yang dikatakan memalukan bangsa, negara dan agama itu. Apabila berita beralih ketajuk lain, perutnya mula merasa lapar. Dia bingkas bangun menuju ke meja hidangan. Isterinya memanggil anak lelakinya yang berada di tingkat atas untuk makan bersama."Mana si Ayu?" Dia bertanya isterinya apabila nama itu tidak di panggil. "Itulah sebabnya makan lambat. Tadi bila awak ke masjid, kawan-kawanya datang ajak keluar. Saya tak benarkan. Bergaduh. Bertengkar. Dia kata saya nak kontrol. Dia dah besar tahulah bawa diri. Anak tak tau untung nasib", Isterinya membebel marah. "Merempit lah tu", sambung isterinya.

Dia diam membisu sebab Dia sudah tahu aktiviti anaknya itu. Telah beberapa kali dilarang, tidak juga berjaya malah telah diugut jika terus dilarang, anaknya itu lari tidak akan balik kerumah. Ancaman ini yang melemahkannya untuk bertegas terhadap anak perempuannya itu. 'Asalkan balik rumah, ok lah', itu pendirian yang dipegang dalam hubungannya dengan anak perempuannya itu. Walaupun merasa sedih dan marah, tapi hidangan yang ada dihdapannya sungguh menyelerakan tekaknya. Dua kali tambah, diikuti dengan alhmdulillah apabila sendawa, terlalu kenyang. Tapi masih lagi ada yang kurang.

Dia bangun menuju ke ruang tv ke meja kecil. Dicapainya kotak kecil sambil menggoyang-goyang kotak itu. Masih ada sebatang rokok. Sebatang rokok tidak cukup untuk melalui perjalanan malam sebelum tidur. "Imm mari disini", Dia memanggil anaknya yang baru hendak melangkah naik keatas. "Pergi kedai beli Dunhill sebungkus", Dia mengarah dan menghulur wang lima ringgit. Dengan taat dan ceria anaknya itu mengambil wang sambil mencapai  kunci motorsikal honda yang terletak diatas meja kecil berhampiran bapanya itu.

"Nak kemana si Im tu?" Tanya isterinya yang baru saja selesai mengemas meja makan. Dia tidak segera menjawab. Bukan perkara penting. Lagipun Dia tahu kemana anaknya pergi. "Woii, saya tanya Im ke mana. Naik motor . Dia tak ada lesen. Tak pakai topi keledar pulak", Dia memandang isterinya dengan mata luas terbeliak apabila  mendengar komen dan pertanyaan isteri yang cuba menyalahkannya. "Awak sibuk sangat pasal apa. Kedai tu bukan jauh sangat", isterinya bingkas melangkah untuk keatas bila mendengar jawapan seperti itu sambil membebel, "Lantaklah".

Rokok yang ditangan telah hampir ke puntungnya. Dia buat sedutan terakhir yang panjang sambil perlahan-lahan menghembuskan asap rokok dari mulutnya. Dia sungguh puas menikmati sedutan terakhirnya itu. Fikirannya mula berlegar-legar memikirkan orang yang dikatakan terlibat dalam babak lucah itu. Kali ini orang itu tidak akan terlepas. Biar dia mampus. Memalukan bangsa, agama dan negara. "Tu lah dulu Aku nak jadi calun.......", sebelum habis lamunannya terdengar bunyi talipon. Dia segera bangun dan menuju kesudut tangga dimana terletak talipon berwarna merah. Gagang diangkat. Dia menganggok-anggokkan kepala wajahnya pucat tidak seceria semasa mengutuk orang yang dikatakan terlibat  dalam babak lucah tadi. "Nanti saya datang ,tuan", Dia meletakkan gagang talipon dan memanggil isterinya untuk turun ke bawah.

Termengah-mengah juga isterinya membawa badannya  menuruni tangga, "Apsal", Tanya isterinya ringkas. "Mari ke balai  anak awak dah buat hal", Dia cuba mengheret isterinya segera untuk kebalai polis. "Tu lah saya dah kata budak tu tak ada lesen. Tak pakai ...", "Bukan Im lah, Ayu anak betina awak tu. Tangkap basah. Bukan saja merempit tapi berkepit", Dia membetulkan sangkaan yang ada dalam otak kepala isterinya.

Dia dan isterinya menunggu kepulangan Im anaknya yang disuruh membeli rokok tadi. Dia mundar mandir memikirkan apa pula yang terjadi kepada Im, lambat sangat balik. Langkahnya terhenti sebentar apabila ternampak dari jauh lampu motorsikal menuju ke rumah. Im rupanya, Dia dan isterinya menarik nafas panjang lega. "Apsal lambat", siisteri  segera bertanya. "Kena tahan polis. Tapi dia maafkan. Lain kali jangan buat", lega lagi perasaan kedua-duanya. "Rokok?" Dalam keadaan seperti ini juga Dia tidak boleh lupa rokok. "Orang kedai tu tak mahu jual. Im bawah lapan belas", matanya terbeliak dengan jawapan anaknya itu. Tidak pernah perkara ini berlaku. "Kau pergi kedai mana?" Dia bertanya dengan suara agak tinggi. "Kedai Melayu yang warna hijau tu", jawab anaknya. "Sudah", Dia mengheret isterinya membonceng motor untuk ke balai polis.

Dia menahan kemarahannya. Akan diluah dan dihambur apabila bertemu dengan anaknya nanti. Buat malu keturunan. 

Sampai di balai dengan segera diheret isterinya memasuki ruang yang telah sedia terkumpul beberapa anak muda termasuk anaknya yang berdiri tunduk kepala menutup muka. Seorang pegawai Jabatan Agama datang nendekati dan bertanya "Encik Shuib?" Dia menganggok kepala. "Begini encik, jangan marah-marah tak selesai masalah" kata pegawai itu apabila melihat Dia seolah-olah mahu menerkam anaknya itu. Dia undur beberapa langkah ke belakang menenangkan hati yang membara sambil mengurut dada. 'Ya tak guna marah-marah, aku pun dah tua. Malu nanti. Baik selesai secara baik. Lagi pun benda dah berlaku' , bisik hati kecilnya memujuk meredakan nafsu marah. Isterinya menangis teresak-esak, mengenangkan malu yang akn ditanggongnya. Dia pula amat risau takut kalau-kalau cerita anaknya yang ditangkap berkhalwat itu menjadi cerita popular di masjid mengatasi cerita  video lucah yang dianya sendiri khusuk mendengarnya. "Ahhh mampuslah Aku".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan