Theflowersellingboy

Rabu, 27 Januari 2021

"TOKPA TAK ALUU....."


Saya sedang melayari fb, bahan bacaan utama masa kini.

 

Komen komen dalam fb sangat memualkan. Tiada santun , tidak kira siapa, dibantai dan dimaki hamun. Kata dan susun kata tiada sempadan...lepas apa sahaja....carut mencarut sudah jadi biasa. 


Yang jelas si pengomen merasakan dialah yang betul suci bersih. Yang lain tak boleh pakai. Apatah lagi jika ada fakta dan kebenaran tentang sesuatu peristiwa. 


Hebuh tentang PM. Maka berbaris barislah sipengomen buat posting yang kesemuanya mengutuk sikap PM itu. Macam macam kata kata yang terhambur dalam tulisan......tak tahu malulah......letak jawatanlah.....tak ada harga dirilah...


Waduh bosannya saya.


Tiba tiba, "Tokpa tak alu", suara halus dari cucu yang berusia lima tahun, si Ayesyah. Dia menghampiri kesamping kiri.

"Tokpa tak aluu", sekali lagi diulang ayat itu.

"Pasal apa tak aluu?"

"Tokpa tak pakai baju" jawabnya tuntas.


Saya ambil baju yang ada disamping, terus sarung baju t itu. "Dah pakai dah" , saya berdiri berlagak bergaya depan Ayesyah Dia tersenyum. Puas hati nampak gayanya. Pagi pagi lagi dah kena sebijik. Padan muka saya yang melanggar adat penampilan diri.


"Syah mari kita main game. Tokpa ada ada satu game. Syah menang , ada hadiah. Nak hadiah apa?" Saya mahu melupakan kisah tak malu kerana tak pakai baju itu.


Dua orang abang Ayesyah tengah  tengok cerita kartun saluran 116. Sesekali memandang ke arah kami, macam ada minat nak bersama. 


Ayesyah menghampiri, "Syah nak  sekuter, macam abang tu. Nak main kat bawah, kat play ground".

"Ok, no problem. Tokpa promise".


Saya meminta Aesyah tutup kedua belah mata. Dia patuh. Saya menggenggam kedua belah tangan setelah memasuki wang siling sepuluh sen di genggaman kanan dan tiada apa apa di genggaman kiri. Siap sempurna genggaman, saya minta Ayesyah membuka mata.


"Cuba teka. Tangan mana ada barang?"

"Yang ni", Ayesyah memegang genggaman tangan kanan saya. Waduh, betul pula tekaannya, bisik hati saya. Tapi saya cuba mencari helah. 


"Cuba Syah tutup mata sekali lagi"

Dia patuh. 

Saya tidak berbuat apa apa. Isi genggaman tetap kekal. 

"Ok , boleh buka mata"

"Tangan tu", Ayesyah tunjukkan tangan yang sama.

Waduh waduh, betul lagi. Saya cari helah lagi.

"Apa barang tu?"

"Tokpa tak suruh teka apa barang". Naqib pelajar tahun empat sekolah rendah, abang sulung Ayesyah tiba tiba bersuara dari kawasan tuntunan tv yang berdekatan.


Naqib dan adiknya Fateh yang juga abang Ayesyah menuju ke arah kami.

"Tak adillah tokpa", Fateh bersuara. "Bukalah tangan tu", minta siNaqib.

Saya cuba cari helah. "Tokpa nak uji ..."

Belum sempat habis ayat, Naqib segera mencelah. 

"Be fair tokpa, mesti ikut rule. Dalam game ada rule".

"Betul tu", suara Fateh menyokong.

Saya membuka genggaman tangan. Ayesyah bukan main seronok, tekaannya berjaya. Naqib dan Fateh bukan main gembira.


"Ingat promise tokpa. Janji mesti tepati. Ustaz Aqib kata mungkir janji berdosa, tak masuk syurga".


"Ok no problem. Nantilah. Tokpa mandi dulu. Lepas  ni kita ke Alamanda, beli sekuter". 


Saya meninggalkan mereka untuk ke bilik air bersiap untuk ke Alamanda. Dalam bilik air terngiang ngiang akan kata kata si Naqib dan Fateh....ingat promise tokpa...be fair... janji mesti tepati....dalam game ada rule...ustaz kata mungkir janji berdosa, tak masuk syurga . 


Ya dalam game ada rule....saya mula faham fasal apa ramai netezen yang meluahkan kata kata yang melepasi sempadan sopan. Mereka telah bosan kerana tiada lagi kepatuhan terhadap  the rule of the political game.


"Oh no, there is no one rule in the political game" , bisik hati saya.


Mereka makhlok berciri:

Ada peluang bantai. 

Hari ini kawan  

Esok musuh ketat. 

Lusa jadi sahabat. 

Berdakap bukan sekali.

Bercakap tak pandai berhenti

Hanya untuk satu matlamat 

KUASA.


Saya terpaksa menunggu sehingga si Ayesah membesar dan masuk politik. Mungkin dia akan berkata, "Orang politik tak aluu". Saya tidak akan dapat mendengarnya.