Theflowersellingboy

Ahad, 30 November 2014

Hasil Persidangan Tahunan UMNO




Tiga kesan yang terserlah hasil persidangan UMNO adalah seperti berikut:

i) Janji tidak ditepati. 
ii) Gagal melihat kelemahan dan kesilapan dalam diri
iii) Kejayaan UMNO dalam membudayakan rasa mengenang budi.

JANJI YANG TIDAK DITEPATI.

Ini bukan kali pertama UMNO mungkir janji. Janji tidak naikkan harga minyak semasa meraih undi PRU 13 sudah hancur berkecai. Itu baru satu contoh.

Contoh yang paling klasik dan terbaru ialah janji menghapuskan AKTA HASUTAN 1948. Yang berjanji bukan sebarang orang, PM yang buat janji. Beberapa hari lepas PM/presiden UMNO mungkir janji. Akta Hasutan tidak dihapuskan seperti yang dijanji bahkan diperkukuh dan diperkuatkan.

Ini bukan janji budak kecil yang tidak akan bermain air kotor apabila dinasihati ibubapanya. Budak kecil yang buat janji itupun patuh pada janjinya, menghargai nilai janjinya. Ini janji seorang PM. PM bukan saja mewakili imej partinya UMNO/BN ianya adalah imej rakyat Malaysia dikaca mata antarabangsa. Ia juga mewakili imej dan maruah orang Melayu. Imej orang yang beragama Islam.

Macam mana respon atau rasa dihati kalau ada pihak yang berkata; i) Orang UMNO/BN ini tidak tepat janji (berbohonglah); ii) PM Malaysia ini tidak boleh dipegang kata dan janji, kata PM/Presiden/Ketua Negara asing; iii)   PM Melayu dan Islam ini macam ini ke? Komen bangsa asing bukan Islam.

Sudah tentu saya marah. Sudah tentu orang UMNO/BN marah. Sudah tentu rakyat Malaysia marah atau jadi malu-malu.

Tapi kenyataan tetap kenyataan bahawa janji untuk menghapuskan AKTA HASUTAN itu telah dimungkiri. Menjeritlah dengan sekuat-kuat hati untuk mengolah cerita bahawa PM tidak pernah berjanji, dan yang mungkir janji adalah pengundi yang tidak mengundi BN atau berbagai justifikasi untuk mengesahkan perbuatan mungkir janji itu, akalbudi dan hati kecil yang sihat tetap mengaku bahawa janji telah tidak ditepati.

Kenapa dulu tidak berfikir panjang? (Saya percaya PM telah mengambil masa yang lama setelah mendapat pandangan dari berbagai pihak, beliau membuat pertimbangan untuk memansuhkan Akta itu). Atau adakah atas desakan dan tekanan, demi kuasa tidak tergugat maka imej dan nama baik perlu dikorbankan? Atau mengambil mudah saja dengan berkata bahawa apa ada pada imej dan harga diri berbanding dengan pengekalan kuasa? 

Bagi saya ianya tidak menuntungkan PM itu sendiri. Dari kaca mata lawan (pembangkang dan sesama parti), ianya sebagai satu peluru terbaik untuk memburuk-burukkan peribadi PM. PM yang flip flop, PM yang tidak ada ketahanan dan PM yang lemah. Bagi mereka yang menyokong tindakan PM ini juga akan terdetik dihati mereka bahawa PM ini tidak ada pendirian yang kuat dan boleh diacah-acah untuk berubah fikiran. Lain kali kita buat acahan lagi, ketawa mereka terbahak-bahak.

Jika janji telah dibuat, teruskan. Dan buktikan bahawa keputusan itu adalah betul dengan melakukan semua perkara secara teratur dan atas garis kebenaran. Cara sedemikian boleh menutup mulut orang yang celupar.

GAGAL MELIHAT KELEMAHAN DAN KESILAPAN DALAM DIRI

Menuding jari sudah menjadi satu sifat ahli-ahli UMNO khususnya dalam persidangan tahunan seperti ini. Melayu gagal dapat kerja, salahnya terletak pada bukan Melayu. Tanah rezab Melayu semakin berkurangan, salah orang Cina. Ramai lagi orang Melayu miskin sebab bukan Melayu menguasai ekonomi. 

Islam dihina seperti kempen mengajak sentuh anjing dan dakwaan Quran dibakar adalah agenda bangsa dan agama lain. Islam diancam dan teranacm oleh bangsa dan agama lain.

Dengan itu maka obat penawar yang diminta antara lain, i) berikan jawatan menteri sumber manusia kepada orang UMNO (saya percaya maksudnya UMNO Melayu bukan Melayu selain UMNO), ii)Kenakan syarat wajib lulus mata pelajaran Islam, iii) Ubah Perlembagaan untuk mengadakan peruntukan melindungi tanah rezab Melayu, iv) Ambil tindakan dibawah Akta Hasutan mereka yang menghina Islam dan Melayu (justifikasi mengekalkan Akta Hasutan), v) banyakkan lagi orang Melayu (UMNO) diambil dalam GLC.

Banyak lagi.

Sikap dan tabiat suka menuding orang lain atas kelemahan sendiri ini memanjangkan jangka hayat perangai suka meminta-minta dan mahu dapat sesuatu dengan cara mudah tanpa usaha yang bersungguh. Inilah manusia Melayu yang telah dilahirkan oleh UMNO dari dulu, kini, dan jika tidak berubah akan menjadi selama-lamanya. 

Mengapa tidak melihat ke dalam diri sendiri. Mengapa hendakkan sesuatu dengan cara mudah tanpa usaha gigih. Mengapa salahkan orang Cina sedangkan kawan kongsi dalam kontrak dan projek adalah dengan orang Cina. Bukan saja berkawan secara kongsi malah ambil komisyen beberapa persen atas kontrak yang digadaikan juga dengan orang Cina.

Benar, yang miskin dan tidak/kurang kemampuan perlu dibantu dan ditolong. Tapi sudah 57 tahun mengapa kerajaan yang dipimpin oleh UMNO gagal melakukannya. Saya berkata ini adalah berdasarkan kebimbangan dan keluhan orang UMNO itu sendiri,  yang sentiasa diluah dan dibangkitkan dalam persidangan dan perjumpaan seperti ini yang mengatakan orang Melayu dan Islam terancam.

Setelah menjadi kerajaan dari dulu hingga kini, salah orang Cina ke? 

iii) KEJAYAAN UMNO DALAM MEMBUDAYAKAN RASA MENGENANG BUDI

Inilah kejayan UMNO yang paling terserlah dan abadi kepada sebahagian besar orang Melayu terutama dikalangan ahli UMNO.

PM/Presiden UMNO sendiri amat berbangga dengan kejayaan ini. Apatah lagi rasa kenang budi itu dizahirkan oleh bukan orang kampong yang duduk di pedalaman yang buta huruf tanpa akses kepada dunia luar dan tanpa capaian berbagai  sumber maklumat dan applikasi berbagai kelengkapan dan teknologi modern, canggih dan terkini. Ianya dizahirkan oleh seorang doktor pakar. Manakan tidak PM/Presiden UMNO tidak tersentuh jiwa da raganya apabila mendeng'arkan biji butir kata-kata doktor itu yang kurang lebih, "bahawa sebutir nasi yang disuap adalah kerana UMNO yang memberi".

Saya menghormati sikap doktor itu.      

Tapi saya tetap berpegang kepada pendirian bahawa perkhidmatan mahupun sebarang pertolongan atau bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat yang memerlukan adalah merupakan  peranan dan tanggungjawab dalam menunaikan amanah yang telah diberikan oleh rakyat yang memilihnya. Ertinya jika wang yang digunakan bagi memberi bantuan, ianya bukan wang peribadi pemimpin kerajaan itu. Jika dalam bentuk tenaga dan buah fikiran, itu adalah tanggongjawab hakikinya. Maknanya bantuan itu tidak ada ikatan dalam bentuk peribadi.

Berterima kasih dan mengenang budi? Ya tidak salah, sebagai kita berbudi bahasa. Tetapi menjadikan itu sebagai sebab untuk kita tidak berani untuk mengatakan yang salah itu salah atau tidak mahu menegur perbuatan yang salah yang dilakukan oleh pemimpin itu kerana kita 'telah terhutang budi' disebabkan pertolongannya itu, adalah satu sikap yang boleh merosakkan pemimpin itu dan diri kita sendiri.

Pemimpin akan menjadi sombong bahawa dialah yang membuatkan kita boleh dapat makan sesuap nasi.

Kita pula jadi insan yang membiarkan saja jika ada perkara yang tidak betul dilakukan oleh pemimpin.

KERANA MEMBERI BUDI DAN TERMAKAN BUDI.

Itulah kesan yang saya dapat dalam perhimpunan agung UMNO tahun ini. Wallahualam.  

Sabtu, 29 November 2014

Anwar Ibrahim: Tun Daim Pun Terkejut Rasuah Banyak Di Malaysia Sekarang

Apa pendapat Saudara Tentang Persidangan UMNO Kali Ini?




Saya bertanya seorang kawan," Apa pendapat saudara tentang persidangan UMNO kali ini?"

Dia jawab selamba," Sama jer"

Bagi kawan saya, persidangan kali ini tidak ada bezanya dengan persidangan-persidangan yang lepas. Isu dan perkara yang dibincangkan adalah disekitar nasib orang Melayu dan agama Islam yang dikatakan masih merempat ditanah air sendiri, hidup dalam keadaan miskin, tidak selamat dan masa depan yang terancam, termasuklah agama dan institusi raja-raja Melayu. 

Adakah ianya termasuk ucapan penutup presiden UMNO? Tanya saya.

"Tak ada beza, sama jer", sekali lagi kawan saya itu menjawab dengan muka selamba.

"Apa yang samanya?", saya tanya lagi.

"Dari dulu sehingga sekarang ini sama saja ceritanya. Cerita nasib orang Melayu", jawab kawan saya, ada sedikit perubahan mimik wajahnya, dari muka selamba kepada cemikan meluat.

"Dah jadi kerajaan dari dulu sehingga sekarang ni, mengapa masih cerita nasib malang orang Melayu?" Kawan saya sudah meninggikan suara.

"Ini semua orang bukan Melayu punya salah", saya memberi alasan akan nasib malang orang Melayu itu.

"Siapa yang meneraju kerajaan"? Tanya kawan saya.

"BN lah", jawab saya.

"Siapa tuako BN?", Tanya kawan saya.

"Sudah tentu UMNO", jawab saya.

Dengan jawapan itu kawan saya itu menepuk bahu saya sambil berkata " Sekarang kau sepatutnya sudah faham dan tidak perlu tanya banyak soalan siapakah yang menyebabkan orang Melayu masih miskin, dan masa depan terancam dan tidak selamat".
 
"Cuma kau akan tidak faham mengapa perwakilan-perwakilan yang berbahas itu menjerit dan marah-marah menyalahkan orang bukan Melayu", sambung kawan saya sebelum melangkah kaki meninggalkan saya.

Kawan saya itu silap. Sebenarnya sudah lama saya faham.
 



Khamis, 27 November 2014

Akta Hasutan dan 1MDB: Mungkir Janji dan Rugi





Saya masih risau tentang pinjaman yang telah diberikan oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kepada 1MDB sebanyak 4 billion. Mampukah 1MDB membayar balik? Saya bertanya begitu kerana ada khabar berita menyatakan 1MDB ada masalah kewangan dan kemampuan untuk membayar hutang yang dipinjam.

Jika tidak mampu membayar balik pinjaman kepada KWAP, sudah tentu memberi kesan kepada kewangan KWAP, dan seterusnya kemampuan untuk membayar pencen bulanan kepada pesara seperti saya. 

Saya faham bahawa pinjaman itu adalah pinjaman yang dijamin oleh kerajaan. Sekiranya 1MDB tidak mampu membayar balik hutang, kerajaan akan masuk campur bagi membayar hutang 1MDB yang dijamin itu. Jadi bayaran pencen bulanan tidak terjejas.

Tapi daripada mana kerajaan dapatkan sumber untuk membayar hutang 1MDB itu? Sudah tentu dari hasil dan pendapatan yang diperolehi/dikutip. Sudah tentu juga sebahagian besarnya dari rakyat melalui berbagai cukai dan kenaan.

Ini bermakna rakyat juga yang akan membayar hutang 1MDB. 

1MDB buat pinjaman dan gagal bayar hutang, rakyat pula yang kena bayar. Kata orang Pulau Pinang: "Pi mai pi mai dok tang tu juga". Rakyat juga yang terbeban. Kita yang kena belasah.

Sebenarnya, kita, rakyatlah yang jadi kolateral, penjamin kepada hutang 1MDB itu.

Namun begitu saya masih lagi mahu menunggu penjelasan dari PM sendiri tentang kedudukan 1MDB terutamanya bagi menjawab perkara-perkara negatif yang dibangkitkan oleh setengah pihak .

Dan bagi saya pencerahan itu lebih bermakna di lakukan dalam ucapan dasar di persidangan tahunan UMNO semalam agar para hadirin dapat memberi penjelasan kepada ahli-ahli akar umbi dan rakyat akan duduk sebenar 1MDB ini, sekali gus menyanggah perkara-perkara negatif yang dibangkitkan oleh setengah pihak khususnya pembangkang.

Tapi malang sekali ianya tidak berlaku. 

Apabila dakwaan yang amat serious tentang 1MDB ini tidak diberi penjelasan terutama dikalangan ahli parti maka besar kemungkinan ahli-ahli parti juga akan percaya dengan apa yang dibangkitkan oleh pembangkang. Ini tidak sihat dari segi sokongan kepada PM sendiri.

Berbeza dengan Akta Hasutan, 1MDB tidak mendapat perhatian yang serious dari PM. 

Akta Hasutan adalah diantara beberapa isu yang hangat diperbincangkan selain dari 1MDB ketika ini. Difahamkan sebahagian besar ahli-ahli UMNO termasuk pemimpin yang lain seperti bekas PM tidak bersetuju Akta itu di hapuskan seperti yang telah dijanjikan oleh PM. Namun pada persidangan semalam PM telah menarik balik persetujuan itu dengan menyatakan Akta itu kekal, bahkan diperkukuhkan. Pengumuman PM ini membuatkan para hadirin merasa lega dan seterusnya memberi sokongan atas keputusan itu.

Oleh itu mengapa 1MDB dibiarkan dalam keadaan nama yang diburukkan tanpa diberi penjelasan. Jika perhatian yang sama diberikan kepada 1MDB, sudah tentu para hadirin akan merasa lega.

Sesungguhnya cara PM ini menyebabkan rakyat :
i) percaya dengan dakwaan 1MDB menghadapi masalah
ii) PM seorang pemimpin yang tidak ada daya ketahanan apabila diasak sehingga sanggup mungkir janji, bertentangan dengan slogan popular beliau 'janji ditepati'.

Oleh kerana tiada pencerahan dari PM tentang 1MDB, saya terpaksa bersandarkan maklumat dan fakta yang diterima dari pihak yang membuat dakwaan bahawa 1MDB menghadapi  masalah. Melainkan ada penjelasan dari PM, saya percaya dengan dakwaan itu.

Kesan dari masalah hutang 1MDB ini akan akhirnya terbeban kepada rakyat. Rakyat juga yang rugi.
 

Jumaat, 21 November 2014

Duit Hutang: Saya Berhutang 1MDB pun Buat Hutang.




Tarikh bebas duit hutang Jun 2018.

Duit hutang ialah duit untuk bayar hutang.
Dapat gaji, bayar hutang. 
Hutang sentiasa bertambah. 
Gaji tidak pernah cukup untuk bayar semua hutang.
Hutang memanjang.
Jadual terakhir selesai hutang Jun 2018.
Selepas itu bebas dari duit hutang
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Saya menulis nota pendek itu diatas sehelai kertas berwarna putih. Nota itu saya letakkan diatas meja kecil di sisi kanan tempat saya duduk. 

Nota itu adalah catatan suka-suka saya. Tiada niat untuk ianya di jadikan nota penting atau bahan rujukan. 

Tiada juga ada niat untuk membebankan waris-waris saya yang terdekat, anak-anak, dan cucu-cucu mengambil tanggungjawab untuk membayar hutang itu jika saya mengakhiri perjalanan di dunia, mendahului Jun 2018. Aset peninggalan saya lebih dari mencukupi untuk bayar duit hutang itu. Cuma harapan dan doa saya, mereka dapat melakukan secara yang hak dan betul.

Nota itu adalah catatan suka-suka saja. Namun, nota itu adalah maklumat dan fakta yang benar.

Saya baca kisah hutang 1MDB. Empat puluh dua juta syarikat milikan kerajaan persekutuan itu berhutang. Khabarnya 20 juta darinya terjamin. Ada yang dikatakan terjamin secara jelas (explicit). Maknanya jika  syarikat gagal bayar hutang , kerajaan akan membuat bayaran.

Ada juga hutang diperolehi secara bantuan surat sokongan. Ianya hanya surat sokongan dan bukan satu jaminan dari kerajaan, kata kerajaan. Kerajaan hanya campur tangan (come in) jika syarikat menghadapi masalah membayar hutang.

Campur tangan? Maknanya tolong bayarlah, 'bail out', saya mentafsirkan begitu.

Tapi syarikat amat yakin bahawa urusniaga yang dimasuki akan menghasilkan keuntungan. Membayar hutang bukanlah satu masalah. Urusniaga syarikat lebih dalam bentuk pelaburan jangka panjang. Oleh itu, prestasi syarikat mesti dilihat dari segi jangka panjang.

Betul juga, fikir saya.

Mengapa berurusan dari luar pesisir pantai, di Pulau Cayman?

Saya tidak perlu tanya soalan seperti itu kerana saya bukan ahli perniagaan. Menguruskan jabatan kerajaan yang kecilpun saya tidaklah cemerlang sangat. Kalau cemerlang sudah tentu melompat-lompat saya naik pangkat.

Tapi bila dikhabarkan satu daripada yang memberi pinjaman itu adalah dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), saya naik risau. Jumlahnya bukan sedikit, 4 bilion. Saya perlu hidup lebih dari 800 tahun untuk dapatkan 4 billion.

Ertinya saya perlu bekerja 800 tahun dengan purata sebulan 10,000 maka baru dapat 4 billion. Semua wang gaji saya itu akan digunakan untuk bayar duit hutang 4 billion itu. Makan minum. pakai dan tempat tinggal? Lupakan saja.

Saya sedar cara berfikir saya  tidak rasional. Mana mungkin saya boleh hidup lebih 800 tahun.Ya, saya tahu Allah boleh melakukannya.  Tapi seorang kawan saya pernah membantai saya dengan berkata, "Kau ni merepek saja", bila saya sandarkan hujah saya dengan kuasa Allah, 'kun fayakun'.

Saya mula sedar KWAP tidak perlu tunggu 800 tahun untuk mengumpul wang sebanyak 4 billion. Sekarang inipun, setelah beri pinjaman 4 billion , KWAP ada berbillion lagi.

Bagaimana jika 1MDB gagal bayar hutang 4 billion itu?  Sekali lagi saya bertanya menyuarakan rasa risau.

Apa jadi kepada pencen bulanan saya?

Ini yang merisaukan saya kerana aliran wang tunai saya ketika ini adalah dari sumber pencen .Itu yang masuk dan itu yang keluar. Kalau tiada wang pencen yang masuk maka tiada kecairan bagi saya. Tiada kecairan , macam mana saya hendak bayar hutang? Saya tidak ada duit hutang.

Tidak mungkin jadi seburuk itu. Jika pun berlaku, kerajaan sudah beri jaminan akan mengambil tanggungjawab. Jadi saya tidak perlu risau, pencen tetap dibayar, saya terus memujuk hati yang gelisah itu..

Namun saya tetap mahu bertanya : Dari mana kerajaan dapatkan wang untuk membayar KWAP?


Bersambung, esok.   


 







Khamis, 20 November 2014

Pembuli Jalan Raya: Jangan Layan Orang Gila Itu.




Pembuli jalan raya semakin membuli ketika ini.

Saya ada pengalaman tentang kejadian pembulian jalan raya.

Pada tahun 1995,lebuh raya  Plus selatan-utara. 

Kami satu keluarga dalam perjalanan bercuti ke negeri utara. Ketika itu hanya ada dua lorong (lane). Saya mengambil lorong kedua, lorong kelajuan perlahan. Dibelakang saya, ada sebuah kenderaan . Toyota berwarna kuning cair (light yellow). Saya meneruskan perjalanan pada kelajuan yang sama, dan saya percaya kereta dibelakang itu tidak menukarkan kelajuannya. Ianya masih dibelakang pada jarak yang sama, tapi terlalu dekat dengan kereta saya.

Kemudian, kereta itu membuat potongan menggunakan lorong laju. Setelah membuat potongan, kereta itu serta merta masuk lorong kedua. Ini membuatkan saya menekan brek bagi memperlahankan kelajuan agar tidak berlaku perlanggaran.

Kelajuan kereta itu mula jadi perlahan, serentak dengan itu saya memperlahankan kelajuan. Semakin lama, kelajuan kereta dihadapan saya itu menjadi perlahan, membuatkan saya melakukan perkara yang sama.

Setelah lebih dari 10 minit, saya buat keputusan untuk memotong kereta itu. Setelah dipotong, saya masuk ke lorong kedua semula. Tidak sampai beberapa minit, kereta Toyata itu, memotong semula kereta saya dan masuk semula ke lorong kedua, dan menurunkan kelajuannya. Sayapun menurunkan kelajuan kereta saya.

Setelah tiga kali berlaku dengan cara  yang sama, terdetik dihati saya bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Saya buat keputusan untuk memotong kereta itu, dengan niat tidak mahu lagi berada dibelakang atau didepan kereta itu. Ertinya tidak mahu melihat kereta itu lagi.

Lalu saya memotong kereta itu. Sambil memotong, saya melihat ke arah pemandu kereta itu, dan dia juga memandang kearah saya. Hanya dia seorang saja yang saya nampak.

Saya memandu dengan kelajuan melebihi had yang dibenarkan. Saya masuk lorong kedua, dan yakin dia tidak akan dapat memotong kereta saya kerana keretanya ber cc kecil berbanding dengan kereta saya.

Tapi , dalam beberapa minit dia potong saya lagi sekali, dan melakukan perkara yang sama dengan masuk semula ke lorong kedua, membelakangkan saya. Kelajuannya diturunkan.

Saya bertambah ingin tahu, mengapa pemandu itu berkelakuan begitu. Saya tidak pernah membunyikan hon. Tidak memasuki lorong kedua dengan cara berbahaya setelah melakukan pemotongan.

Lalu, sekali lagi saya cuba buat potongan dan memandang ke arah pemandu itu.

Apa reaksi pemandu itu?

Dia menunjukkan sebatang rotan sepanjang kurang lebih satu kaki , dan sebesar lengan kanak-kanak berusia 8 tahun (saya tidak tahu berapa ukuran lilit bulatannya). Perbuatan itu membuatkan saya marah, rasa. tercabar.  Nasib baik isteri menasihatkan saya,' jangan layan orang gila tu'.

Saya tidak jadi memotong dan masuk semula ke lorong kedua. Dia memperlahankan kelajuan keretanya, dan sayapun melakukan perkara yang sama. Akhirnya saya memasuki R&R, dan beliau telah terlajak dihadapan. Disitulah kami berpisah.

Itulah satu dari jenis pembulian di jalan raya/lebuhraya.

Sehingga sekarang saya masih tidak tahu mengapa orang itu melakukan perkara seperti itu. Saya tidak bunyi hon kereta walaupun dia memperlahankan kereta; tidak juga bunyi hon semasa membuat potongan; dan tidak juga mencabar dia untuk berlumba.

Namun saya pasti orang ini telah bersedia untuk melakukan sesuatu yang tidak baik. Sebab, macam mana beliau ada rotan besar ditangan? Sudah tentu rotan itu dibawanya dan ada berdekatan dengannya.

Saya masih ada lagi no. pendaftaran kereta itu. Tapi yang lepas biarlah berlalu.

Kalaulah isteri saya tidak menasihati saya pada hari kejadian itu, dengan mengingatkan saya 'jangan layan orang gila itu', besar kemungkinan sesuatu yang buruk berlaku.

Yang ingin saya pesan ialah jangan kita memberi reaksi keatas perbuatan orang yang suka membuli itu. Ianya satu pesanan yang baik, tapi tidak semudah itu untuk kita lakukan.











Rabu, 19 November 2014

Dasar Pendidikan Populist?




Dr. Mahathir kata dasar pendidikan negara adalah dasar populist. Ertinya dasar yang bertitik tolak kepada mendapat undi, dan bukan kepentingan memberikan pendidikan yang terbaik kepada rakyat. 

Dr. Mahathir memberi contoh bahawa sekolah vernakular dibenarkan adalah atas desakan masyarakat Cina. Ini adalah keputusan atas pertimbangan politik.

Akibatnya, tambah Dr. Mahathir, orang miskin dapat pelajaran bermutu rendah, sedangkan orang kaya mempunyai pilihan untuk mendapat mutu pendidikan yang lebih baik dengan menghantar anak-anak ke sekolah swasta dan sekolah luar negara, termasuk cucu-cucu beliau. 

Jadi yang kaya terus dan kekal jadi kaya dan yang miskin terus dan kekal jadi miskin kerana anak orang miskin tidak mempunyai daya saing dalam pasaran tenaga kerja. Macam mana mahu bersaing jika penguasaan bahasa antarabangsa (bahasa Inggeris) terlalu lemah.

Bagi saya pula, keputusan secara populist (mengambilkira sokongan undi) tidak mudah diketepikan oleh mana-mana kerajaan. Misalnya penukaran aliran Inggeris ke aliran Bahasa Melayu adalah atas kehendak rakyat majoriti terutamanya orang Melayu. Begitu juga, desakan orang Cina bagi mengekalkan sekolah vernakular adalah disebabkan untuk mendapat sokongan undi orang Cina.

Ertinya apa pun asas yang digunakan, populist atau pragmatik, tiada sebab kerajaan yang memerintah menyediakan pendidikan bertaraf rendah kepada rakyatnya.

Dari komen Dr. Mahathir itu, apa yang saya nampak ialah lebih kepada penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dikalangan pelajar-pelajar yang belajar di sekolah di Malaysia, khususnya sekolah kebangsaan , dan bukan sangat dasar populist. 

Memang benar penguasaan bahasa Inggeris terjejas semenjak aliran pembelajaran ke Bahasa Melayu. Walaupun bahasa Inggeris telah diajar bermula dari sekolah rendah sehingga peringkat universiti, sebahagian besar pelajar masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris (lisan dan tulisan) sebaik ketika aliran Inggeris digunakan. 

Sebelum aliran Melayu diperkenalkan, semua mata pelajaran adalah dalam bahasa Inggeris.

Oleh itu kenapa perlu dibuat perbandingan. Jangan banding durian dengan buah epal -rupa bentuk , saiz dan rasa sudah tentu lain.

Maka tidak perlu timbulkan soal populist atau pragmatik.

Apa yang perlu ditanya ialah mengapa setelah mendapat pendidikan bahasa Inggeris sehingga ke peringkat universiti, pelajar yang dikeluarkan tidak mampu menguasai bahasa Inggeris. Adakah misalnya i) berlaku kelemahan dalam sukatan pelajaran bahasa Inggeris dari segi masa yang diperuntukkan, ii) guru-guru tidak terlatih mengajar bahasa itu khususnya di luar bandar , iii) teknik dan cara mengajar serta pembelajaran yang membosankan misalnya terlalu memberi penekanan kepada grammar dan bukan keutamaan expressi idea.

Saya ada satu pengalaman tentang idea expression berbanding dengan nahu ) grammar. Sewaktu saya ditunjukkan hasil tulisan (karangan) anak saya oleh guru, saya dengan segera menunjukkan kepada guru kesalahan tenses yang digunakan oleh anak saya, tapi guru itu tidak pula menandakan sebagai salah . Sebaliknya karangan anak saya itu diberi tahap cemerlang.

Kata guru itu, yang penting anak saya telah berjaya melahirkan idea walaupun dalam tense yang salah. Dengan cara ini ianya memberi keyakinan kepada anak saya untuk mengeluarkan idea tanpa takut membuat kesilapan dari segi tense. Ini yang berlaku di England.

Soal penekanan kepada nahu ini berbanding dengan idea expression , membuatkan sebahagian besar pelajar yang belajar bahasa Inggeris, menjadi pasif, tidak mahu berkomunikasi takut salah nahunya.
 
Selain dari kompetensi guru-guru dalam bahasa Inggeris, falsafah pendidikan juga perlu diubah. Maksud saya ialah bahawa ketika ini penekanan diberikan kepada pelajar yang cemerlang dari segi bantuan dan penyediaan berbagai kemudahan.

Pelajar yang cemerlang, yang mendapat keputausan yang terbaik, khususnya pelajar Melayu/Bumiputera akan ditempatkan di sekolah-sekolah asrama penuh dan MRSM. Mereka ini mendapat biasiswa dan bantuan kewangan yang lain disamping kelengakapan sekolah dan guru-guru yang baik.

Sedangkan mereka yang tidak cemerlang yang sangat-sangat memerlukan berbagai bentuk bantuan, dibiarkan begitu saja, bersekolah disekolah yang serba tidak lengkap malah ada yang daif termasuk kekurangan guru dan pengawasan dari pihak berkuasa.

Mengapa tidak kita bina sekolah berasrama penuh bagi mereka dari golongan ini. Berikan mereka kemudahan, kalau tidak lebih, sama dengan sekolah berasrama penuh bagi pelajar yang cemerlang.

Cara ini tidaklah menjamin pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Tapi ianya memberi keadilan kepada pelajar yang tidak cemerlang yang sebahagian besarnya terdiri dari orang miskin. Dan ianya boleh memperbaikki tahap penguasaan pelajaran termasuk bahasa Inggeris.

Tapi jika penguasaan bahasa Inggeris menjadi matlamat kerajaan maka tukarlah aliran bahasa pengajaran dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Saya berat merasakan inilah yang dikehendaki oleh Dr. Mahathir. Sudah tentu jika ini yang diputuskan maka keputusan itu adalah satu keputusan yang tidak populist. 

 

Isnin, 17 November 2014

Menanggapi Cerita-cerita Takut dan Mengancam: Gunakan Otak, bukan Perasaan.




Semasa kecil dahulu, cerita hantu digunakan oleh emak bagi menyatupadukan kami adik beradik yang suka bergaduh. 

Sudah jadi perkara biasa kami bergaduh. Dalam sehari mungkin dua tiga kali bergaduh. Dalam beberapa saat selepas bergaduh berbaik semula.  Kemudian bergaduh lagi. Berbaik semula. Begitulah seterusnya, selagi kami belum masuk tidur.

Waktu masuk tidur inilah , emak ambil peluang untuk menyatupadukan kami. Maka emak bercerita fasal hantu, macam-macam nama hantu yang diberitahu -ada hantu dapur, hantu tetek, hantu air, hantu jerangkung dan macam-macam lagi. 

Emak berbaring ditengah-tengah. Kami berebut-rebut untuk mengambil tempat disebelah emak sama ada pada sisi kanan mahupun sisi kiri. Tapi adik-adik diberikan keutamaan tidur disebelah emak. Jadi abang yang lebih tua terpaksa jauh sedikit. 

Kami berpelukan. Tiada lagi pergaduhan atau permusuhan. Kami bersatu kerana takutkan hantu walaupun kami sendiri tidak pernah melihat hantu. Emak yang berceritapun begitu juga.

Kejayaan emak ialah dalam menggambarkan wajah dan perangai hantu  itu. Semua hantu tidak kira apa namanya digambarkan sebagai berwajah hodoh, berperangai bengis dan  berniat jahat.

Bila sebut saja hantu maka kami rasa seram dan takut. Dan kamipun berpelukkan seerat-eratnya.

Tapi ianya berlaku semasa mahu tidur di waktu malam. Sebab rasa terancam. Sebab takutkan hantu. Pagi esoknya belum tentu, bergaduh adalah satu kemungkinan yang besar. Kemudian berbaik semula. Akhirnya, kami semua membesar, beranak pinak, dan paling penting masih mengekalkan pertalian dan perasaan kasih sayang.

Itu cerita saya semasa kecil.

Masuk usia tua pula, masih lagi mendengar cerita-cerita yang menakutkan, yang mengancam kehidupan. Ianya bukan cerita hantu tapi mahu digunakan bagi menghantui fikiran agar percaya kewujudannya. 

Ada cerita takut jenis rekaan dan sengaja diada-adakan atau yang kecil diperbesarkan. Ada cerita  takut yang berfakta dan maklumat yang jelas.

Semua cerita itu, sama ada rekaan atau ada-adaan, atau yang kecil diperbesarkan atau yang berfakta dan bermaklumat, tujuannya adalah sama saja iaitu untuk membuatkan yang mendengar cerita merasa takut dan terancam lalu mengharapkan  'perlindungan', 'bantuan' atau 'pertolongan' seperti saya mahu peluk emak saya dulu, agar saya merasakan diri selamat dari ancaman hantu.

Dulu saya percaya apa yang emak ceritakan tanpa gunakan fikiran yang logik. Semuanya masuk akal.  Saya takut hantu. Walaupun saya tidak pernah tengok hantu itu, saya percaya hantu ada.

Sekarang cerita takut yang mengancam kehidupan itu terlalu banyak. Untuk itu saya gunakan otak dalam menilai cerita itu. Saya juga takut dengan cerita-cerita itu. Tapi takut saya itu mempunyai dimensi yang berbeza iaitu saya takut ramai orang yang menjadi keliru atau dikelirukan sehingga tidak lagi menggunakan otak tapi lebih cenderung dihasut oleh perasaan atas nama bangsa, agama , politik dan kepentingan puak.

Antaranya cerita-cerita yang menakutkan adalah:

i) Masa depan orang Melayu ,agama Islam dan institusi raja-raja terancam
ii) Orang Melayu  berpecah  belah
iii) Tanah rezab Melayu semakin mengecil
iv) Bilangan Melayu miskin masih ramai
v) Perpaduan antara kaum semakin longgar disebabkan perasaan perkauman yang menebal
vi) Kos sara hidup sentiasa meningkat
vii) Golongan ektremis (bangsa dan agama) semakin bertambah
viii) Hutang negara terlalu tinggi
ix)  Kekayaan negara dibolot oleh kumpulan kecil yang ada hubungan kepentingan dengan pemerintah.
x) Jenayah semakin meningkat terutamanya dengan kebanjiran warga asing (masuk secara sah atau tidak sah)
xi) Kemusnahan alam sekitar yang tidak terkawal.

Semua cerita-cerita diatas membawa mesej yang sama iaitu untuk menimbulkan rasa khuatir, risau, susah hati, bimbang, gelisah, takut dan terancam.

Ada mesej yang bersifat  buruk sangka dan ada yang berfakta dan maklumat yang jelas, bergantung kepada perawi.

Tujuan perawi hanyalah untuk mempengaruhi pendengar agar sentiasa bewaspada dan merasa takut akan ancaman yang diperkatakan , lalu mencari atau mendapatkan tempat berlindung atau berpayung. Dan pelindungnya ialah perawi itu sendiri.  Maka jika bersama dengan perawi orang itu akan selamat atau boleh diselamatkan.

Perawi-perawi yang paling aktif dan bersungguh-sungguh menyampaikan berbagai cerita yang menakutkan itu adalah terdiri dari parti-parti politik dan badan/persatuan yang sealiran.

Dalam menanggapi cerita-cerita takut itu, jangan jadi saya semasa kecil. Gunakan otak dari perasaan.

    
















 






Ahad, 16 November 2014

Susah Hendak Tidur Sebab Angan-angan Nak Jadi PM dan MK




12 malam , mula mahu melelapkan mata.  Tapi tidak pernah segera lena. Kadang-kadang sampai pagi. Biasanya paling cepat setengah jam selepas itu. Tersedar pukul 12.30 pagi untuk ke bilik air. Begitulah tiap-tiap hari. 

Macam-macam cerita berlegar dalam kepala. Lepas satu, satu cerita. Cerita tiada hujungnya. 

Ada kawan beritau kalau susah tidur bacalah buku, dijamin cepat tidur. Betul kata kawan itu. Cuma, bacaan buku itu berakhir dengan buku yang membaca muka saya sehingga saya sedar untuk ke bilik air dengan lampu masih menyala.

Begitu juga kalau tengok tv melampaui 12 malam yang berakhir dengan tv melihat saya.

Baca buku , buku akan baca saya. Tengok tv, tv akan tengok saya. Begitu mudah untuk saya tidur.

Tapi kalau tidak baca buku atau tidak  tengok tv, saya tidak mudah tidur. Jadi apa saya perlu lakukan?

Berblogging?

Idea tidak selalunya datang semudah datangnya berbagai cerita dalam otak kepala semasa berbaring untuk melelapkan mata.

Kalau begitu jadikan cerita-cerita  dalam kepala itu sebagai modal cerita, cadang seorang kawan.

Saya menggelengkan kepala, tidak bersetuju kerana cerita-cerita itu banyak yang tidak masuk akal, tidak logik.

Adakah masuk akal saya nak jadi PM, nak jadi Menteri Kewangan. Mat Jeninpun takut nak berangan-angan seperti itu. 

Tak mahu glamour ke? Tanya kawan saya. Belum sempat nak jawab dia tanya lagi, tak mahu senang dan mewah ke?

Orang gilapun nak jadi glamour, hidup mewah dan senang, jawab saya.

Saya beritahu kawan saya itu bahawa saya adalah juga manusia biasa yang juga gilakan perkara-perkara tersebut walaupun saya tidak gila. Kalau saya gila, lagi bertambah gila saya mahu jadi glamour, hidup mewah dan  senang.

Jadi apa yang tidak masuk akal cerita dalam otak kau?

Dalam kepala saya itu saya hendak jadi PM. Saya juga nak jadi menteri kewangan pada masa yang sama seperti PM kita sekarang ini. Macam Paklah. Macam Dr. Mahathir.

Itu perkara biasa di Malaysia, kata kawan saya.  Ianya masuk akal.

Tapi cara saya buat keputusan tidak masuk akal.

Kawan saya menjadi pening. Apa cara buat keputusan yang tidak masuk akal itu. Dia begitu setia menunggu. Mulutnya ternganga, menunggu jawapan saya.

Adakah bermaksud buat keputusan ikut sedap sendiri. Tanya kawan saya yang berhenti melopong. Tambahnya lagi, bukan untuk kepentingan rakyat?

Sudah tentu  ikut sedap sendiri. Saya mesti mendahului rakyat.

Kawan saya tidak melopong lagi. Dia sangat marah kerana saya mementingkan diri dan tidak prihatin kepada rakyat.

Kalau begitu, janganlah jadi PM. Jangan jadi menteri kewangan. Menteri lainpun jangan mimpi. Buat abis boreh, kata kawan saya yang mula bersuara tinggi. 

Saya tersenyum sendirian. Kemudian bangkit dari kerusi meninggalkan komputer, menuju ke katil untuk tidur.
.


 

Jumaat, 14 November 2014

Berhujahlah dengan menggunakan akal yang sihat, jika kita berbeza




Hormat saya kepada sdr Fahmi, presiden PMUM.

Walaupun masih muda, dan perlu banyak lagi mengumpul berbagai pengetahuan dan melalui banyak pengalaman, saya dapati beliau menunjukkan potensi sebagai pemimpin yang mampu berhujah dengan menggunakan akal dari perasaan.

Seorang bekas naib chancellor UiTM yang sekarang bergelar senator telah mengecam pemimpin PMUM itu kerana menyuarakan hak kebebasan bersuara. Antara komen bekas naib cancellor itu ialah bahawa tidak ada kebebasan yang mutlak seperti  perbuatan telanjang dikhalayak ramai.

Fahaman beliau hak kebebasan bersuara yang diperjuangkan oleh sdr Fahmi itu boleh melayakkan Fahmi melakukan apa saja tanpa batas macam beruk dihutan. 

Bukan begitu maksudnya wahai bekas naib cancellor. 

Bertelanjang dikhalayak ramai amat memalukan, tidak sopan. Tambah malu lagi jika semua orang bertempiaran lari sebelum melihat hasil dari ketelanjangan itu. Jadi jangan pula mahu melakukannya dikhalayak ramai. Beruk di hutanpun lari bertempiaran.

Sebagai seorang yang terpelajar, bekas naib cancellor sebuah univeristi, lambang pemilikan ilmu dan ketinggian akademik , asas hujahan tidak masuk akal. Bahkan bersifat menghina, termasuk menghina diri sendiri.

Usah memperkecil, memperlekeh dan merendahkan kemampuan kepimpinan dan daya intelek Fahmi sekaligus menghina pemimpin pelajar yang tidak sependapat dalam hal kebebasan bersuara.

Mengapa ambil contoh bertelanjang di khalayak ramai. Mengapa binatang beruk diambil sebagai perbandingan. Adakah itu saja contoh dan perbandingan yang  mampu difikirkan dalam menghujah tidak bersetuju dengan apa yang disuara dan dilakukan oleh Fahmi.

Paling malang jika itu dikatakan contoh dan perbandingan yang terbaik.

Berbeza pendapat adalah perkara biasa dalam sebuah kehidupan. Tapi berhujah untuk berbeza pendapat dengan mengambil contoh perlakuan telanjang dan beruk dihutan adalah satu perbuatan yang sifatnya menghina. Ianya sungguh memalukan bahkan menghina diri sendiri.
  
Tidak ada sesiapa pun percaya adanya kebebasan mutlak. Ianya mustahil dan tidak mungkin. 

Bolehkah kita bebas untuk tidak mati? Tiba masanya yang ditentukan Allah, kita akan mati.

Oleh itu kebebasan hak bersuara yang dimahukan oleh pemimpin pelajar dan yang lain adalah kebebasan untuk menyatakan hasrat dan melakukan tindakan bagi hal-hal yang pada pendapat mereka boleh menyekat potensi kemampuan mereka untuk berkhidmat dan menyumbang kearah kebaikan.

Memang maksud kearah kebaikan itu sesuatu yang subjektif bergantung kepada nilai yang diamalkan. Kebaikan pada Fahmi mungkin tidak sama dengan kebaikan kepada naib cancellor itu. Dan jika berbeza, jalan penyelesaiannya bukan hanya menyekat dan menindas. Tidak juga dengan cara memperlekehkan. Berilah ruang dan peluang untuk pihak itu menyatakan hasratnya, dan berhujah dengan menggunakan akal bukan emosi.

Sekali lagi tabik hormat saya pada anak muda yang bernama Fahmi, presiden PMUM.

Khamis, 13 November 2014

Kalau acuan buaya, buayalah jadinya.




"Kalau acuannya buaya buayalah jadinya".

Setuju!

Kuih tradisi Melayu, bahulu (baulu) ada acuannya. Ada acuan mengambil bentuk ikan, ada bentuk  buah cermai dan telur. Saya tidak terjumpa acuan mengambil rupa bentuk buaya, ular, harimau, monyet dan binatang liar yang lain. Bentuk kucing dan anjing pun tidak ada.  Apatah lagi acuan babi

Mungkin melibatkan makanan maka ada sekatan saikologi disitu mengapa  binatang-binatang yang dinyatakan diatas tidak dijadikan acuan oleh orang-orang Melayu.

Buah cermai boleh dimakan. Ikan dan telurpun menjadi sebahagian makanan orang Melayu. Jadi tidak ada masalah khususnya untuk selera menerimanya.

Buaya? 

Bagi saya kuih baulu acuan buaya tidak jadi masalah untuk saya makan. Dan sudah tentu rasanya mesti sedap, kalau tidak, saya makan sedikit saja. Tapi kalau berbentuk babi, saya tidak akan makan malah tidak akan menyentuhnya walaupun bahannya suci dan halal.

Ertinya tidak semestinya asalkan suci dan halal, saya akan makan.  Ada halangan saikologi yang mempengaruhi saya. Makan babi adalah haram dari segi Islam. Jadi apa saja yang dibentuk macam babi misalnya kuih baulu beracuan babi, jika saya makan atau sentuh , seolah-olah saya makan daging babi atau menyentuhnya.

Tapi memakan baulu mengikut acuannya tidaklah sebenarnya membentuk seseorang itu menyerupai atau berkelakuan atau bersifat seperti acuan itu. Ertinya kalau baulu berbentuk babi atau buaya yang dimakan, seseorang itu tidaklah akan berperangai seperti buaya atau babi.

Kalau begitu apakah maksud saya yang bersetuju dengan 'kalau acuannya buaya, buaya jadinya'?

Saya jawab begini: bahawa jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Maksudnya ianya tiada kena mengena dengan makanan. Ia berkaitan dengan orang yang berpengaruh seperti guru terhadap anak muridnya, ibubapa kepada anak-anak dan pemimpin kepada orang yang dipimpin. 

Kalau acuan murid itu adalah guru yang suka kencing berdiri maka terbentuklah kelakuan murid yang bukan saja kencing berdiri bahkan lebih teruk lagi, kencing berlari. Sama juga dengan ibubapa.

Guru dan ibubapa adalah pemimpin juga. Tapi pemimpin pada tahap kelompok tertentu saja bukan pemimpin kepada semua kelompok atau orang atau menyeluruh. Jadi pengaruhnya agak terbatas.  Oleh itu walaupun ada kekhuatiran dengan perangai buruk guru dan ibubapa terhadap anak murid dan anak jagaan, ianya tidak seburuk jika pemimpin kita yang suka kencing berdiri.

Apabila acuan kita dari pemimpin yang suka kencing berdiri, dan jika ada diantara kita yang mengambil tempat pemimpin itu nanti maka kita akan diajar untuk kencing berlari.

Oleh sebab itu acuan itu amat penting untuk kita pilih. Jangan pilih acuan buaya waemah untuk membuat kuih baulu sekalipun, kerana hasil rupa bentuk kuih baulu itu nanti adalah mengambil bentuk buaya.

Pilihlah rupa bentuk buah cermai, ikan dan telur. Sungguh berselera untuk dimakan

Pilihlah pemimpin yang tidak kencing berdiri agar kita tidak kencing berlari.

Sekarang ini apa terjadipada kita?

Jawab hanya satu soalan berikut. Dalam kurungan telah disediakan bayangan jawapan. Pilih satu atau semuanya mengikut kecerdikan sendiri)

i) Bagaimanakah kekayaan dan sumber negara diurus? (Membazir, rasuah, bocor, membolot, buat hutang) 

Apa jenis guru kita? Soalan tambahan tuan speaker.


 

  





 


Rabu, 12 November 2014

Laporan Ketua Audit Negara dan Hukuman Kepada Penjawat Awam.



Setiap kali Laporan Ketua Audit dibincangkan dalam Parlimen, perasaan saya jadi tersentuh. Sebab saya tahu banyak perkara yang dibangkitkan adalah berkaitan kekurangan dan kelemahan Kerajaan dalam urus tadbir negara,khususnya yang berkaitan dengan wang dan aset negara.

Bila perasaan tersentuh ia menzahirkan rasa sedih , kecewa dan hampa kerana kelemahan-kelemahan itu dilaporkan berulang kali, setiap tahun. Saya percaya sahabat-sahabat saya yang masih berkhidmat yang telah memberi perkhidmatan dengan gigih tanpa mengira masa akan lebih merasa sedih.

Disamping sedih saya juga amat bersimpati dengan kawan-kawan saya itu kerana terpalit dengan lumpur itu kerana ada beberapa kerbau yang membawa lumpur habis semua penjawat awam terpalit.

Saya juga amat marah kepada beberapa kerbau yang membawa lumpur itu.

Dan saya juga merasakan berlaku ketidakadilan jika kesalahan dan hukuman hanya diletakkan dan ditanggongkan keatas bahu penjawat awam saja. Orang politik khususnya perdana menteri/menteri-menteri lepas dari mengambil tanggongjawab dan hukuman.

Memang kita ada banyak masalah. Saya senaraikan 3 masalah besar kita sekarang ini iaitu i) pembaziran wang dan sumber negara, ii) pencemaran alam sekitar, dan iii) kebanjiran warga asing, secara sah dan tidak sah

Ketiga-tiga masalah ini mempunyai kesan dan implikasi kepada kewangan dan sumber negara secara negatif. Tapi saya hanya mahu menyentuh secara am tentang kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara saja.

Dokumen Ketua Audit Negara setiap tahun membangkitkan tentang bazir belanja, kehilangan wang dan aset, salahguna kuasa dan kegagalan mematuhi undang-undang dan peraturan dalam pengurusan kewangan. Implikasi kerugian kepada kerajaan berbilion ringgit. Saya tidak berminat menunjukkan angkanya kerana senarai butiran kesnya terlalu banyak.

Tiap-tiap tahun salah aturan dan urus itu berbangkit dan terus berbangkit walaupun dijanjikan dengan tindakan memperbaikki dan mengatasinya termasuk mengambil tindakan kepada yang bertanggongjawab.

Siapa yang bertanggongjawab?

Struktur Organisasi Agensi Kerajaan iaitu kementerian dan jabatan adalah diketuai oleh Menteri (orang politik yang bertanding dalam pilihanraya dan menang atau lantikan politik). Mereka inilah yang bertanggongjawab di Parlimen, menjawab dan memberi penjelasan  serta membuat cadangan dan saranan berkaitan dengan kementerian dibawah jagaan.

Contoh: Terdapat laporan salah belanja atau lebih belanja. Jika dibangkitkan, menteri berkenaan akan memberi jawapan dan penjelasan, dan dalam banyak hal akan menafikannya dengan mengemukakan maklumat dan fakta bagi menyokong kenyataannya itu.

Satu lagi pilihan popular yang diambil dalam memberi jawapan ialah dengan menyatakan bahawa perkara yang dibangkitkan itu akan disiasat, dan jika didapati benar maka pegawai yang berkaitan akan diambil tindakan yang setimpal.

Siapa yang kena ambil tindakan? Pegawai atau penjawat awam.

Bagaimana dengan menteri sebagai ketua organisasi? Bebas dari tindakan.

Betul dan adilkah?

Mengambil tindakan keatas penjawat awam yang bertanggongjawab melakukan kesalahan itu adalah satu tindakan yang betul, menurut undang-undang dan peraturan yang ada sekarang.

Adilkah? Ianya tidak sepenuhnya adil.

Secara bertulis dan diperundangkan pihak yang bertanggongjawab dalam mengawal dan menguruskan kewangan (termasuk segala aset) adalah PEGAWAI PENGAWAL. Pegawai Pengawal ini adalah penjawat awam yang terdiri dari pegawai-pegawai tertinggi dan kanan kerajaan misalnya Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah dan pegawai-pegawai kanan sesuatu jabatan/agensi.

Mereka inilah yang bertanggongjawab jika berlaku apa-apa luar aturan dalam menguruskan kewangan dibawah kawalan masing-masing. Dan mereka juga akan mewakilkan sebahagian dari kuasa kepada pegawai dibawahnya secara bertulis menentukan skop kerja tertentu dan had kewangan yang terlibat. Seterusnya pegawai dan kakitangan yang lain akan ditentukan tugas dalam skop-skop kerja tertentu.

Biasanya, jika secara pasti dapat dikesan pegawai tertentu yang membuat kesalahan maka pegawai itulah yang dikenakan tindakan.

Bagi saya, ianya tindakan yang betul.

Tapi belum pasti sepenuhnya adil.

Sudah menjadi satu rahsia umum bahawa yang berkuasa penuh (termasuk hal-hal berkaitan perbelanjaan dan kaedah menentukan cara urusan dibuat) dalam kementerian ialah menteri. Bukan pegawai pengawal, walaupun pegawai pengawal itu KSU. Apatah lagi pegawai yang lebih bawah.

Menteri boleh arah pegawai awam termasuk pegawai pengawal untuk melakukan sesuatu diluar aturan atau cara urusan yang merugikan kerajaan.

Contoh: Tender terbuka memberi peluang kepada kerajaan untuk membuat pilihan yang terbaik pada kos yang bersaing berbanding dengan rundingan terus. Walaupun itu yang dicadangkan diperingkat pegawai, jika menteri hendakkan runding harga maka runding hargalah yang dilakukan.

Masalah akan timbul i) tiada pilihan harga, ii) kegagalan pihak yang telah dipilih dalam melaksanakan tanggongjawab.

Tiada pilihan harga bererti kerajaan hanya menerima harga yang dirundingkan saja.  Tidak ada perbandingan harga secara persaingan dengan petender-petender lain. Dan belum tentu petender yang dipilih itu dapat melaksanakan tanggongjawab dengan sempurna.

Apa jadi kalau projek itu gagal misalnya tidak siap dalam tempoh yang ditetapkan. Sudah tentu ia melibatkan tambahan kos. Malang sekali apabila lanjutan masa dipersetujui yang melepaskan kontraktor itu dari denda.

Bagaimana jika binaan yang dibuat tidak sempurna, menggunakan material bermutu rendah dibawah dari spesifikasi yang ditetapkan? Bukan itu saja pegawai diarah untuk melakukan bayaran sedangkan ada kecacatan dalam pembinaan. Kesan akhirnya bangunan itu runtuh.

Kearah mana jari ditudingkan? Kearah penjawat awam. Tindakan diambil dan jika didapati bersalah dijatuhkan hukuman.

Menteri? 

Di Parlimen menteri akan ditanya, dan menjawab pertanyaan itu. Biasanya jawapan cenderung untuk menafikan. Tapi jika terlalu jelas misalnya bangunan runtuh, jawapan yang diberi ialah akan melakukan siasatan dan jika didapati mana-mana pegawai yang gagal menjalankan tanggongjawab tindakan yang sewajarnya akan diambil.

Menteri menjawab dan lepas dari mengambil tanggongjawab. Sebab telah terkanun satu kepercayaan bahawa menteri hanya  bertanggongjawab kepada rakyat melalui pilihanraya. Jadi hukuman kepada menteri adalah semasa pilihanraya.

Tapi di Malaysia, hukuman itu jarang berlaku. Pilihanraya akan datang orang yang sama juga menjadi menteri.

Jadi jika menteri mahu mencampuri bidang kuasa pegawai pengawal, menteri sepatutnya jadi pengawal dan bertanggongjawab ke atas apa yang dikawal.

Maka jangan jadi satu kehairanan jika salah urus ini berterusan. Ketua Audit Negara teruskan tugas anda, dan penjawat awam bersedialah menerima hukuman.

Apa-apa pun saya mengucapkan syabas kepada kawan-kawan saya yang masih berkhidmat yang telah berkhidmat dengan begitu setia dan gigih tanpa mengira masa dan kepentingan diri. Doa dari saya agar segala kelemahan itu dapat diatasi. 






Selasa, 11 November 2014

Yang Memberi dan Yang Menerima




Yang suka memberi tidak semuanya pemurah dan yang suka menerima tidak semuanya miskin dan lemah.

Sewajarnya sifat suka memberi perlu dipuji dan digalakkan terutamanya pemberian itu bagi tujuan membantu orang yang sangat berkeperluan diatas sifat dan keadaan kekurangan dan kelemahan orang itu. Itu yang dinamakan kehidupan yang saling lengkap melengkapi. 

Mereka yang dikurniakan rezeki yang lebih sudah sepatutnya sedikit dari lebihan itu dipanjangkan kepada mereka yang amat memerlukan.

Rezeki ini tidak terhad kepada pemilikan ataupun pemunyaan yang bersifat wang dan material saja. Tubuh badan yang sihat juga rezeki. Binaan fizikal yang sempurna yang tergambar dalam rupa paras yang cantik dan saiz badan yang tegap serta kekuatan tenaga bekerja/bertindak adalah juga sebahagian dari rezeki, nikmat dari Allah. Otak yang cerdas pun rezeki juga. 

Terlalu banyak rezeki yang dikurniakan Allah. Hanya yang berbeza, ada orang dikurniakan melebihi dari yang lain. Allah saja yang maha mengetahui sebab-sebanya.

Yang penting setiap rezeki yang dikurniakan itu dimenfaatkan kearah kebaikan diri sendiri , dan lebihannya dikongsi sama dengan orang lain yang memerlukan.

Yang penting juga adalah kita mesti yakin bahawa setiap dari kita ada rezeki agar kita tidak mudah putus asa dan kecewa  sebaliknya menggandakan usaha melebihi dari orang lain.

Jika kehidupan kita diatur menurut kaedah yang dinyatakan diatas, dimana yang berlebihan rezeki berkongsi sama lebihan itu dengan orang lain yang memerlukan,  dan orang yang menerima itu percaya bahawa dia juga ada rezeki maka pemberian itu akan diterima dengan baik. Ertinya yang memberi dan yang menerima tahu mensyukuri rezeki kurniaan Allah.

Orang yang suka memberi itu adalah seorang yang pemurah. Dan orang yang menerima pemberian itu adalah orang yang tahu menghargai rezeki dari Allah. Hubungan diantara orang yang pemurah dan orang yang tahu menghargai pemberian dari orang lain adalah satu perhubungan yang ikhlas dan murni, berpanjangan dan kekal abadi, walaupun berlaku misalnya yang pemurah itu jadi miskin dan yang miskin itu jadi kaya. 

Kematian saja yang dapat memisahkkan hubungan mereka

Tapi tidak semua orang yang suka memberi itu pemurah dan tidak semua orang yang suka menerima itu  miskin dan lemah.

Ada orang yang suka memberi kerana mengharapkan sesuatu dan bukan atas dasar percaya bahawa rezeki itu datangnya dari dan milik Allah.

Ada orang yang suka menerima, bukan kerana miskin dan memerlukan tapi sudah menjadi ketagih atas pengaruh hawa nafsu untuk mudah mendapatkan sesuatu.   

Hubungan mereka dijalin dan terjalin hanya setakat masing-masing dapat memenuhi hawa nafsu (kepentingan) dan akan secara otomatik terputus dan menjadi tidak mesra apabila tiadanya kepentingan yang hendak diraih.  

Maka tiada lagi temu janji, kunjung mengunjungi, khidmat pesanan ringkas atau panggilan talipon mengajak sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam, bermain golf, dan jangan mimpi untuk berbual kosong seperti dahulu. 

Banyak contoh dapat diberikan. Tapi saya hanya memberi satu contoh saja. 

Mereka yang bersifat demikian adalah orang yang suka memberi rasuah, dan ada pula orang yang suka menerima rasuah.








Ahad, 9 November 2014

You are right there....but rights do not always rule





Saya ada sedikit kepayahan untuk menterjemahkan tajuk diatas.

Sebenarnya tajuk diatas adalah balasan komen saya dalam face book menyokong pendirian seorang kawan yang telah bosan, muak, jelak dan meluat dengan kes pertuduhan liwat Anwar Ibrahim yang bersiri itu.

"Enough is enough:, kata kawan saya itu dengan menyambung, "let's move to something productive".

Bagi saya pendirian kawan itu adalah betul. Banyak hal dan isu lain tentang kehidupan rakyat yang perlu  diutamakan berbanding dengan pertuduhan liwat Anwar Ibrahim ini. Semenjak 1998 sehingga sekarang, isu liwat ini telah mengambil masa dan wang yang banyak. Bukan itu saja ianya telah dan sedang memecah belahkan rakyat, dan saya yakin ianya akan berterusan, jika ada isu lain yang dibawa untuk dibuat pertuduhan seperti pertuduhan menghina mahkamah.

Tak habis-habis fasal Anwar Ibrahim sedangkan pihak yang tidak menyukainya berulangkali mengatakan Anwar Ibrahim tidak relevan lagi. 

Adakah Anwar Ibrahim manusia yang jahat sejahatnya, hina sehina hinanya, manusia yang terlalu rendah moralnya? Saya tidak yakin Anwar Ibrahim begitu orangnya. Dia adalah juga manusia biasa yang tidak terlepas membuat silap dan salah dan banyak kelemahan, disamping kelebihan tertentu yang dikurniakan Allah. Tapi Anawa Ibrahim tidaklah seperti yang sentiasa dan mahu digambarkan oleh setengah pihak, manusia yang hina sehina hinanya.

Bukankah dia seorang bekas pemimpin pelajar, pemimpin beberapa organisasi dakwah seperti Abim dan pernah jadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dan sekarang ini sebagai ahli parlimen dan Ketua Pembangkang.

Layakkah dia dikatakan manusia yang amat menjijikkan?

Kalau ada yang masih kekal dengan keyakinan itu iaitu Anwar Ibrahim manusia yang terlalu rendah moralnya maka saya katakan bahawa ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita termasuk penerapan nialai-nilai Islam; ada yang tidak kena dengan nilai-nilai yang digunakan semasa memilih beliau bagi menjadi ketua dan pemimpin.

Ertinya sebahagian besar dari kita juga adalah orang yang jijik dan hina kerana mengangkat orang yang rendah moral.

Jangan pula ada yang memberi alasan bahawa perilaku hinanya baru saja diketahui, dan dengan itu dia perlu segera dinyahkan. Jangan cuba menipu diri dan menipu banyak orang hanya kerana kuasa ada pada kita.

Cukuplah dengan bab Anwar Ibrahim ini. Kerana kosnya melampaui sangat dari faedah kepada negara. Berapa juta kos agaknya yang telah dikeluarkan dalam menguruskan bab Anwar Ibrahim ini. Dan saya tidak nampak apa-apa faedah. Ramai lagi rakyat yang perlu diberi perhatian.

Marilah bergerak ke hadapan dengan memberi fokus utama kepada perkara yang memberi faedah kepada rakyat dan negara. Soal kos sara hidup rakyat yang meningkat, harga komiditi kelapa sawit dan getah yang menurun yang memberi kesan langsung kepada mereka yang berpendapatan rendah, kebocoran dan kehilangan hasil negara, keselamatan negara dan isu jenayah , isu pendidikan , kesihatan dan isu-isu sosial yang lain memerlukan tumpuan dan tindakan segera.

Sebab itulah kawan saya itu merasa meluat kerana perkara yang sepatutnya diberi perhatian seperti yang dinyatakan diatas telah tidak ada kesungguhan untuk diatasi.

Ambil satu contoh kecil, tentang kebanjiran pekerja asing yang telah menyebabkan rakyat tempatan kalah dalam persaingan di pasaran buruh kerana pekerja asing sanggup menerima upah yang rendah dan hidup di gerobok-gerobok kongsi yang sempit, kotor dan menjijikkan tanpa kemudahan asas yang sempurna seperti air, tandas dan letrik.

Kesannya buruk sekali. Pertama, menyebabkan pekerja tempatan menganggur. Maka bertambahlah kes-kes jenayah. Kedua, pekerja asing menjadi agen pembawa berbagai penyakit kerana tinggal dalam persekitaran yang kotor. Ketiga, Malaysia kehilangan hasil akibat dari pemindahan wang pekerja asing itu ke negara masing-masing. Maka bertambah kuranglah kecairan di Malaysia yang sangat diperlukan bagi merancak permintaan dalam negara dan seterusnya membolehkan ekonomi berkembang.

Bukankah ini anatara yang perlu diberi tumpuan berbanding dengan tuduhan liwat bersiri Anwar Ibrahim yang mengambil masa yang begitu panjang?

Betullah pendirian kawan saya itu yang amat prihatin keatas apa yang telah dan sedang berlaku di negara ini. Saya percaya ramai lagi yang berfikiran seperti beliau. Bagi saya mereka itu mengambil sikap dan pendirian yang betul. Cara berfikir dan pendirian seperti inilah yang sepatutnya menjadi garis panduan atau peraturan atau undang-undang yang patut kita terima dan amalkan, khususnya di pihak pemerintah.

Tapi apa yang betul itu tidak selalunya diterima dan mahu dijadikan sebagai peraturan untuk dipatuhi...."but rights do not always rule".



  








.
  

 

 
 




  



 

Jumaat, 7 November 2014

SELANGOR:PM Najib Telah Letih dan Malu. Bekas PM Dr. Mahathir Minta UMNO Selangor Dirombak. Ketua UMNO Selangor Noh Omar Tanya Semenjak Bila UMNO di COP Parti Rasuah




Semalam saya telah perkenalkan 3 watak manusia yang berbeza status , pengaruh dan kuasa, X, Y dan Z yang mana X adalah manusia berstatus rendah  yang bekerja sebagai pemandu kereta kuda kepada tuannya Y. Z adalah manusia yang paling berkuasa dan kaya serta berpengaruh, tuan kepada X dan Y.

Z yang kentut sangat itu busuk secara selamba bertanya bau apa yang busuk ini.  Y pula memandang X seolah-olah memnita X mengaku bahawa bau yang sangat busuk itu adalah bau kentut X. Kemudian memberi amaran kepada X agar lain kali jangan kentut depan tuan besar.

Ada 3 inti pati cerita ini:

i) Ada tuan besar yang buat salah (kentut) tapi selamba dan berpura-pura tidak tahu.

ii) Ada kaki bodek dan pengampu yang dengan segera membersihkan perbuatan salah ketuanya dengan meletakkan kesalahan kepada orang yang bawahannya yang tiada kuasa.

iii) Ada orang bawahan yang tiada kuasa yang sanggup memikul kesalahan orang lain yang lebih berkuasa kerana percaya bahawa sumber rezekinya dari orang yang berkuasa.

Cerita ini memperihalkan status, kedudukan dan kuasa yang membentuk pola perhubungan.

Najib adalah PM Malaysia ketika ini. Manusia yang paling berkuasa di Malaysia ketika ini. Dr. Mahathir adalah mantan PM yang telah menjadi PM selama lebih 22 tahun dan orang yang paling berkuasa selama tempoh tersebut. Noh Omar, pernah satu masa dulu jadi menteri , dan manusia yang paling berkuasa di kementeriannya dulu.

Ketiga-tiga mereka adalah ahli UMNO, dan kelihatan tersangat sayang akan UMNO. UMNO Selangor pula dikatakan amat lemah sekali diukur dari kegagalan menguasai Selangor dalam 2 PRU. Kedudukan seperti ini (kalah kepada PR) membuatkan PM Najib mengeluh merasa letih dan malu. Perasaan PM Najib ini disambut oleh bekas PM Dr. Mahathir yang menyatakan UMNO Selangor penuh dengan rasuah dan oleh itu menyarankan agar UMNO Selangor dirombak dengan kepimpinan yang baru.

Kata-kata bekas PM Dr. Mahathir ini amat menusuk dada dan hati Ketua UMNO Selangor Noh Omar yang antara lain bertanya bekas PM itu semenjak bila parti UMNO di cop sebagai parti rasuah. Ada maksud yang tersirat dalam pertanyaan Noh Omar itu.

Hubungan diantara PM Najib dan Noh Omar adalah sama seperti pola hubungan diantara X dan Y, atau diantara Y dan Z atau diantara X dan Y dengan Z. Ertinya diantara orang bawah dengan ketua (bos) yang ada kuasa.

Apabila PM Najib mengeluh merasa letih dan malu, keluhan itu sudah tentu keluhan bersasar. Noh Omar sebagai ketua UMNO Selangor sudah tentu dengan mudah tahu siapa yang disasarkan oleh PM Najib itu. Tapi beliau tidak pula memberi reaksi atau respons secara langsung atau tidak langsung mempersoalkan rasa letih dan malu PM Najib itu.

Sebaliknya apabila bekas PM Dr. Mahathir mengatakan UMNO Selangor perlu dirombak kerana rasuah, Noh Omar secara terang dan segera menanya semula bekas PM itu dengan soalan semenjak bila UMNO dikatakan/ di cop sebagai parti rasuah. Pada Noh Omar bekas PM itu ada jawapan kerana telah berkuasa selama tempoh lenih 22 tahun.

Lihat, Noh Omar tidak berani memberi reaksi kepada  PM yang ada ketika ini , Najib, sebaliknya menunjukkan keberaniannya yang luar biasa kepada bekas PM.  Apa sebabnya?

Saya katakan keberaniaan yang luar biasa ialah kerana ada maksud yang tersirat dalam pertanyaan Noh Omar kepada bekas PM yang tiada kuasa lagi itu.

Beranikah Noh Omar melakukan sedemikian rupa pada Dr. Mahathir semasa Dr. Mahathir jadi PM? Sudah tentu tidak. 

Dalam hikayat lama mengenai cerita raja dan rakyat jelata terdapat dialog  seperti berikut:

"Apa saja kata tuanku itulah kata hamba pacal yang hina", sembah mamak bendahara.

Ertinya kalau raja kentut , raja itu boleh saja mengatakan rakyat yang kentut.

Dalam UMNO pun begitu juga, "Kita serahkan saja kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan", kata ahli-ahli UMNO.

Ertinya kalau pemimpin mengatakan ambil  wang hasil dari pengaruh kedudukan seseorang dalam jawatan sebagai bukan rasuah maka ianya bukan rasuah.

Sebab itu X yang tidak kentut pun mengaku kentut. Kalau tidak kena buang kerja, habislah sumber rezeki.

Sebab itu lebih selamat diserahkan kepada pucuk pimpinan, kalau tidak jawatan yang diidamkan tidak menjadi kenyataan.

Jadi kalau ada kuasa orang akan ikut dan tidak berani bantah, macam Noh Omar dan PM Najib.. Kalau tiada kuasa, macam bekas PM Dr. Mahathir, orang seperti Noh Omar berani menyindir pula.. 

Ertinya dalam politik, dan juga dalam sebahagian besar kehidupan seseorang, BERANI itu bukanlah kerana BENAR. 

Yang BENAR sekarang ini ialah jika seseorang itu berdiam diri , bersama dan bersubahat dalam hal-hal yang buruk dan keji seperti salah guna kuasa, rasuah, fitnah memfitnah dan lain-lain yang buruk kerana dengan berbuat demikian kedudukan dalam bentuk jawatan dan sumber rezeki akan terjamin.

Siapa berani menyanggah Dr. Mahathir semasa beliau jadi PM dulu? Tiada seorang yang berani.

Jawapan itu salah. Hanya ada seorang manusia saja yang berani menyanggah Mahathir semasa beliau berkuasa. Siapakah orang itu?

Yang saya tahu ialah orang yang menyanggah Dr. Mahathir semasa Mahathir tiada kuasa ialah Noh Omar.
 
 

Khamis, 6 November 2014

SELANGOR: PM Najib Telah Letih dan Malu. Bekas PM Dr. Mahathir Minta UMNO Selangor Dirombak. Ketua UMNO Selangor, Noh Omar Tanya Semenjak Bila UMNO di COP Parti Rasuah




Biar saya mulakan cerita berikut bagi memudahkan pencernaan tajuk diatas.

Sebermula ada tiga orang manusia yang berbeza status sosial dan kuasa serta pengaruh. Manusia pertama, kita panggil X sajalah, adalah seorang pemandu kereta kuda yang bekerja dengan seorang lagi manusia yang kita beri nama Y. Ketaatan X terhadap Y tidak perlu dipersoalkan kerana bagi X , Y sajalah sumber rezekinya, lantas tidak ada niat di hati X untuk menaikkan kemarahan atau untuk berbeza pendapat atau menyanggah Y walaupun X berada dipihak yang benar.

Seorang lagi manusia bernama Z, tuan kepada Y dan tuan besar kepada X. Z paling berkuasa lagi kaya. Apa saja kata Z itulah juga kata Y dan Z. X dan Y tidak akan membantah atau berbeza pendapat dengan Z pada bila-bila masa saja. Kalau warna hitam Z kata putih, X dan Y pun kata putih juga. Apatah lagi jika X dan Y memandai-mandai memberi buah fikiran kepada Z yang menganggap mahu mengajar itik berenang. 

Malah bukan satu perkara luar dari biasa apabila kedua-dua  orang X dan Y menyatakan sokongan atau persetujuan sebelum Z menghabiskan ayat bagi sesuatu cadangan atau arahan.

Begitulah bentuk hubungan X, Y dan Z. Hubungan ini tahan diuji sama ada dalam keadaan ribut petir, kilat sabung menyabung dan laut bergelora mahupun dalam keadaan angin sepoi-sepoi bahasa, udara nyaman dan suasana tenang dan damai. Ketaatan X pada Y tetap seperti isi dengan kuku. Begitu juga X dan Y pada Z, tidak akan bercerai berai.

X dan Y begitu taat menuruti perintah Z bukan saja melalui lisan dan tulisan bahkan juga melalui isyarat bunyian, misalnya bunyian paluan gong. Jika gong dipalu 3 kali ia memberi isyarat kepada X dan Y untuk segera berjumpa dengan Z, ada perkara penting yang hendak diuruskan.

Maka berbunyilah paluan gong 3 kali.

Mendengarkan bunyi paluan gong itu, bersegeralah X menyiapkan kereta kuda dan kudanya untuk ke rumah Y. Setiba di rumah Y, Y telah bersedia  menuruni tangga dan tanpa membuang masa menaikki kereta kuda itu dan duduk dibahagian tengah. Kereta kuda dipacu ke rumah Z.

Setiba di rumah Z, pintu rumah masih belum terbuka. X dan Y berkali-kali memberi salam sebagai isyarat mereka telah sampai dan bersedia untuk menjalankan apa saja arahan yang diberikan oleh Z. Tapi Z masih lagi belum memunculkan diri.

Setelah hampir setengah jam, barulah pintu hadapan rumah terbuka. Kelihatan Z yang berbaju panjang dan berkain pelikat  berjalan mahu menuruni tangga sambil tangan kanan menggosok-gosok perut seperti orang sedang mengalami sakit cirit birit.

Maka X dan Y menjangkakan Z perlukan bantuan untuk dihantar ke hospital. Tapi seperti biasa X dan Y tidak berani mengeluarkan sangkaan, takut-takut sangkaan meleset, padah besar jawabnya.

X dan Y segera mendekati Z untuk segera menerima perintah Z, sebelum Z sempat menuruni tangga. Bagaimanapun Z terus menuruni tangga bagi menunjukkan kepada X dan Y bahawa dia kuat dan bertenaga.

Semasa menuruni tangga itu, Z terkentut. Baunya sangat busuk.

X dan Y tidak menutup hidung walaupun bau kentut Z itu tersangat busuk. Dan Z pula bermuka selamba sambil berkata, "Bau apa yang sangat busuk ini?'.

Y dengan segera memandang pada X. Dan X faham akan makna pandangan Y itu lalu seperti kilat menundukkan kepala melakukan sembah mohon maaf dengan berkata,"Mohon maaf tuan, saya yang kentut sebab memang tadi saya sakit perut tak sempat ke tandas".

"Lain kali jangan buat macam tu,di depan tuan", marah Y pada X.

X terus tunduk dan mengangguk.
 

Sambung pada esok hari.

Sabtu, 1 November 2014

Lakukan Sendiri Kerja-kerja Memperbaikki Kerosakan Kecil

 


Sebatang pokok yang mati, tumbang menimpa pagar sebelah sisi kanan rumah. Berlaku sedikit kerosakan pada pagar.

Pokok itu adalah dari kawasan tanah jiran yang masih belum dibina rumah walaupun telah melanggar syarat nyata kelulusan tanah yang . menghendaki rumah dibina dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan. 

Begitu juga disisi kanan dan belakang rumah, tuan punya tanah masih lagi belum membina rumah. Oleh itu, kawasan tanah terbiar itu ditumbuhi pokok-pokok liar yang tinggi membesar serta tumbuhan kecil yang merata dan menjalar menjadi semak, yang menyemakkan mata memandang. 

Ular, biawak dan binatang kecil yang lain seperti tikus dan nyamuk menjadikan kawasan itu tempat tinggal mewah bagi mereka untuk membiak. 

Beruk, monyet, kera, lotong, ungka dan yang sejenis dengannya menjadikan kawasan tanah terbiar itu sebagai tempat cari makan sambil bermain bergayutan, mematahkan dahan-dahan kecil yang sebahagiannya jatuh diatas jalan dihadapan rumah., yang terpaksa dibersihkan pada setiap pagi oleh pekerja syarikat yang mendapat kontrak pembersihan dari pihak bandaraya.

Saya sedikit kecewa dengan sikap jiran-jiran saya ini.

Sebenarnya sudah dua hari pokok itu tumbang. Kerja mengemas dan membaikki pagar tidak dilakukan segera. Ada tugas lain lebih utama.

Tapi malam tadi isteri mencadangkan untuk memanggil dan mengupah pekerja Indonesia untuk mengemas dan membaikki pagar itu. 

Saya dengan segera  menyatakan akan melakukannya sendiri. Jika pekerja Indonesia itu boleh buat, saya juga boleh buat, kerana ianya tidak perlu kemahiran apatah lagi kepakaran yang tinggi. Cuma, pekerja Indonesia itu mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal yang tinggi berbanding dengan saya.

Memang begitulah yang selalu dilakukan jika hendak memperbaikki kerosakan kecil dan melakukan pemasangan di rumah. Misalnya menukar mentol lampu yang terbakar,  memasang langsir, saluran air tersumbat, pintu pagar yang tidak boleh dibuka, aliran air paip yang perlahan kerana tersumbat dan macam-macam lagi. Rujukan pertama ialah panggil orang lain melakukannya. Sudah tentu tidak percuma.

Selepas sarapan dan menelan 4 biji ubat yang berkaitan jantung dan darah tinggi, saya memulakan kerja. Beberapa dahan yang menimpa pagar dipotong menggunakan parang. Lama juga satu-satu dahan itu berjaya dipotong. Sebab parangnya tumpul. Sebab selalu  berhenti untuk mengambil nafas baru memulihkan stamina.

Batang pokok dan dahan yang menimpa pagar berjaya dipotong dan dikumpul di kawasan tanah jiran itu. Kemudian saya memperbaikki dawai pagar, menariknya untuk berkeadaan seperti asal. Walaupun tidak berjaya membentuk seperti keadaan asal, saya berjaya mengukuh pagar itu menjadi tegak dengan mengikat pada tiang-tiangnya dengan menggunakan paku dawai. 

Saya merasa puas melakukannya walaupun memakan masa yang panjang sehingga masuk waktu zohor.

Penat? Sudah tentu penat pada usia lebih enam puluhan ini. Tambah-tambah lagi sudah buat pembedahan jantung terbuka. Tapi, ini juga adalah satu cara untuk menguatkan jantung dan menghancurkan lemak-lemak dalam anggota badan.

Rupa-rupanya ada menfaat pokok itu tumbang dan  menimpa pagar saya.  Menfaat yang saya nampak adalah 
i) saya dapat buktikan bahawa kerja-kerja kecil seperti itu saya boleh lakukan sendiri. Mungkin pada masa depan isteri akan meminta saya melakukan terlebih dahulu sebelum berhasrat memanggil orang luar. Kerja percuma saja. 
ii) menyihatkan anggota badan, walaupun sedikit penat.  Kalau tidak penat, bukan kerja namanya.

Yang penting sekali ialah bahawa setelah siap kerja saya merasa puas. Dan saya tidak lagi merasa kecewa dengan sikap jiran-jiran yang masih belum membina rumah. Mungkin mereka ada keutamaan lain yang perlu didahulukan.