Theflowersellingboy

Sabtu, 2 April 2011

Kumpulan Wang diSatukan dan Hasil Judi

Kita teringat semasa masih bekerja dahulu di tahun-tahun tujuh puluhan sehingga awal abad baru akan persoalan pendapatan yang kita perolehi yang sebagiannya datang dari hasil judi atau wang yang dikategorikan sebagai haram menurut hukum Islam. Termasuk juga persoalan bekerja di institusi-institusi perbankan yang terlibat dengan riba.

Ada diantara sahabat yang bekerja di bank-bank dikhabarkan  telah meletakkan jawatan semata-mata untuk menghindarkan diri mereka dari terlibat dalam riba. Tetapi kita tidak pula mendapat khabar atau menyedari atau mendapat  maklumat tentang  mana-mana sahabat yang bekerja dengan kerajaan yang meletakkan atau melepaskan jawatan atas dasar menerima penggajian dari hasil yang diragukan akan halalnya. Dalam kata mudah pendapatan yang haram,   dari hasil judi.

Untuk lebih jelas akan perkara ini adalah wajar kita fahami pengurusan kewangan kerajaan yang asas (basic).

Sumber Pengurusan Kewangan Kerajaan (Persekutuan dan Negeri) adalah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian VII-Peruntukan Kewangan. Menurut Perkara 97 telah diperuntukkan pewujudan Kumpulan Wang diSatukan Persekutuan(KWdSP) dan Perkara 98 bagi kumpulanwang yang sama diperingkat negeri (KWdSN). Kedua-dua kumpulan wang ini akan menerima masuk 'segala hasil dan wang tidak kira bagaimana jua pun diperdapatkan atau diterima oleh Persekutuan (Negeri) .....................'. 

Ertinya segala hasil Persekutuan (Negeri) mesti dimasukkan dulu kedalam KWdSP (KWdSN). Apa kah hasil atau pendapatan yang diterima oleh kerajaan (kita had kepada pendapatan Persekutuan sahaja)?  Hasil atau pendapatan yang diperolehi di kategorikan kepada 3 iaitu i) Hasil Cukai sepert cukai pendapatan; ii) Hasil Bukan Cukai seperti bayaran perkhidmatan dan jualan harta dll termasuk hasil judi; iii) Terimaan Bukan Hasil seperti bayaran balik perbelanjaan, pelarasan antara jabatan  dll.
 
Terdapat 3 akaun dibawah KWdSP iaitu Akaun Hasil diSatukan , Akaun Pinjaman diSatukan dan Akaun Amanah diSatukan.

Perkara yang hendak kita beri tumpuan ialah Akaun Hasil Yang diSatukan yang mengakaunkan semua urusniaga terimaan hasil dan perbelanjaan mengurus kerajaan. Ertinya setelah Parlimen meluluskan Belanjawan (hasil dan perbelanjaan) melalui suatu Akta Perbekalan dan setelah satu waran ditandatangani dan di keluarkan oleh Menteri Kewangan ,wang yang diluluskan setakat yang dibenarkan oleh waran itu, bolehlah dibelanjakan dan dikenakan keatas Akaun Hasil ini.

Diantara anggaran hasil yang dicadang dan diluluskan itu termasuklah pendapatan dari urusniaga judi. Seperti semua orang tahu sebahagian besar perbelanjaan mengurus kerajaan ialah untuk maksud membayar gaji atau emolumen. Dengan demikian bahawa gaji yang kita terima dulu dan pencen ketika ini adalah juga termasuk didalamnya  pendapatan dari hasil judi. Kita telah lama tahu dan sedar dan pernah juga bertanya kepada yang ilmu agamanya tinggi dan yang juga menerima dari sumber yang sama. Tetapi tidak dapat memberi jawapan yang jelas iaitu bolih terima atau tidak bolih terima. Atau halal ke haram?

Mungkin ada pihak berpendapat ini perkara yang remeh dan tidak perlu ditimbul atau diperbesar-besarkan. Meremeh bukan tujuan kita tetapi untuk mendapat kepastian itu yang kita cari. Kalau tidak jadi masalah dari segi hukum kita amat bersyukur sekali. Tapi jika sebaliknya, kita mohon diusahakan satu kaedah agar wang dan pendapatan seperti ini diperakaunkan ke dalam satu akaun berasingan, khas  untuk pendapatan itu saja. Tentang penggunaannya bolihlah ditentukan oleh pakar-pakar dan ilmuan-ilmuan agama.

Perkara ini bukan saja berlaku diperingkat Persekutuan malah diperingkat negeri pun sama, sama ada di Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Kedah mahu pun Selangor dan negeri-negeri yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan