Theflowersellingboy

Sabtu, 23 April 2011

Anak Enggang, Enggang Juga

Timah duduk mencangkong merumput di laman rumahnya. Rumah papan kecil bertangga kayu itu adalah peninggalan dari ayah dan ibunya yang telah lima tahun kembali menemui yang Maha Esa. Timah adalah anak bongsu dari tiga beradik, perempuan kesemuanya  yang masing-masing tinggal di negeri yang berlainan mengikut suami. Sejak kematian kedua ibu bapa mereka jarang sekali kakak dan iparnya datang menjenguk ke kampong waemah pada hari-hari kebesaran saperti hari raya puasa mahu pun hari raya korban.

Sedikit demi sedikit rumput liar yang tumbuh dicelah-celah pokok bunga yang tidak berpasu itu dicabut dan dikumpul dalam bekas sampah yang berada disebelahnya. Timah mendongak keatas sambil tapak tangan kanannya diletakkan didahi bagi melindungi muka dari sinaran sang matahari yang mula naik meninggi. Dia mula terasa kepanasan tapi tidak keletihan kerana inilah minatnya setiap pagi selepas sarapan , mengulit dan membelai pokok-pokok bunga yang ditanam dihalaman rumahnya. Dia merasa puas dan tenang sekali.

Cukuplah rasanya untuk hari ini. Tangan kirinya memegang pinggang disebelah kiri dan jari-jari tangan kanannya menjejaki tanah, menekan untuk membantu mengangkat badannya yang tidak seberat mana, maklum usia telah menjangkau lima puluh tahun. Setelah memasukkan sampah dan rumput yang ada dalam bekas sampahnya kedalam sebuah lubang kecil yang tidak berapa dalam, Timah menapak menuju ke tangga untuk naik keatas rumah. Timah tidak terus ke dapur tapi duduk menyandarkan badannya disisi kiri muka tangga sambil kakinya terjulur dicelah-celah anak tangga kayu yang masih lagi boleh menampong berat badannya. Jarang sekali Timah memasak  nasi untuk makan tengah hari, cukup sekadar secawan teh dan dua keping biskut tongkat. Tapi pada hari ini Timah ada tetamu istimewa, datang dari Kuala Lumpur, Jalan Klang. Itu yang diberitahu kakaknya melalui bualan talipon malam tadi.Kakanya juga akan turut sama.

Tapi Timah masih mahu berihat kerana tetamu di jangka sampai paling cepat jam tiga petang. Ketka ini belum sampai 12 tengah hari menurut bacaan duduk matahari.

Tiga puluh lima tahun yang lepas, Timah telah dijodohkan dengan pemuda sekampong,
Harun, anak orang yang berada juga atas dasar persetujuan antara keluarga. Mereka melayari bahtera perkahwinan dengan permuafakatan yang harmoni saling bantu membantu dimana Timah setiap pagi  membuat nasi lemak untuk dijual sebagai menambah pendapatan suami, walaupun dia tahu suaminya tidaklah sangat terdesak dari segi kewangan. Kebahagian rumah tangga ini hanya bertahan selama lima tahun kerana  perkongsian hidup selama itu tidak diturut serta dengan kehadiran cahaya mata. Tidak ada tali penyambung yang boleh mengikat erat kasih sayang yang telah dibina. Harun, suami Timah, tidak ada apa-apa masalah, walaupun merindu untuk menimang anak sendiri. Dia tetap sayang dan mahu bersama dengan Timah dengan harapan suatu hari nanti akan muncul rezeki. Timah pula sentiasa dalam keadaan resah dan risau setiap kali bersua dengan ibu mertua. Malah kedua ibubapanya juga ada menyebut-nyebut berhajat menimang cucu.

Akhirnya takdir telah menentukan bahawa Timah dan Harun terpaksa berpisah, bukan atas desakan sesiapa tetapi Timah merasakan beliau wajar berundur untuk memberi peluang kepada perempuan  lain menghadiahkan zuriat kepada Harun dan keluarganya. Timah tidak mahu bermadu apabila Harun mencadangkan supaya mereka teruskan hidup bersama. "Abang kawinlah, saya boleh jaga diri", kata Timah selepas Harun membuat keputusan untuk bersetuju kahwin dengan yang lain atas cadangan Timah juga. Walaupun berat hati , Harun bersetuju melepaskan Timah dengan talak satu.  Timah kembali ke rumah ibubapanya dan memulakan satu kehidupan baru sebagai janda muda yang tidak mempunyai pewaris. Harun tidak pula sepantas yang lain untuk mencari pengganti. Timah masih lagi lekat dihati namun ia perlukan pewaris sebagai pengganti dirinya nanti.

Selepas lima tahun beprpisah ,Timah tidak sanggup menghadapi hari perkahwinan Harun seminggu lagi, lantas Timah buat keputusan untuk pergi ke rumah kakaknya di Jalan Klang Kuala Lumpur. Kebetulan jiran kakaknya memerlukan orang untuk menjaga anaknya semasa mereka suami isteri bekerja, lantas dengan suka hati Timah bersedia untuk berkhidmat sambil menolong kakaknya menyediakan kuih untuk jualan.

Lama juga anak jiran itu 'beribukan' Timah sehingga kadang-kadang menimbulkan rasa cemburu kedua-dua ibubapa itu kerana anaknya itu begitu rapat dengan Timah. Tapi apa boleh buat, duduk di Kuala Lumpur untuk lebeh selesa ,suami dan isteri mesti bekerja. Pernah suatu hari, Timah yang balik ke kampong bercuti dua hari mendapat panggilan talipon supaya balik segera sebab anak jirannya itu demam merinduinya. Timah tidak mengambil masa yang lama , bingkas pergi ke bandar untuk menaikki bas ke Kuala Lumpur.

Timah tersenyum sambil menegakkan badannya dan bersandar semula. Beliau mengira umur anak jiran kakaknya yang dijaganya dulu. Sudah hampir dua puluh tahun. Mungkin telah berumahtangga seperti dia dahulu. Harap-harap mendapat zuriat tidak sepertinya.  Kelopak mata Timah mula berair. Perlahan-lahan mengalir membasahi pipi. Timah membiarkan saja air jernih yang sejuk itu mengalir. Dia merasa selesa begitu.

Dia bekerja dengan jiran kakaknya itu selama lima belas  tahun. Sepanjang Dia disan, ada juga orang yang mahu mengambilnya sebagai isteri, tetapi Timah  menolak kerana Dia tidak mahu mengecewakan orang itu dan dirinya sendiri. Timah terpaksa berhenti dan  balik kekampong apabila ibunya meninggal untuk menjaga bapanya yang sudah tua. Selang setahun kehilangan ibunya, bapanya pula meninggal. Dia saja tinggal seorang di kampong mewarisi rumah tua peninggalan kedua ibubapa.

Fikirannya terus mengelamun membayangkan anak jagaan yang memanggilnya ibu itu. Kulit anak yang cerah dan hidung yang mancung itu sudah tentu cepat mendapat jodoh. Apatah lagi menurut kakaknya anak itu tidak meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas SPM. Timah mahu memeluk anak itu seerat mungkin sama seperti ketika dia menjaga anak itu semasa kecil. Kasih sayangnya mula berputik semula. Rindunya tidak ada kata yang dapat menceritakannya. Timah bingkas bangun untuk ke dapur. Kasih sayang dan rasa rindu kepada anak itu memberi kekuatan kepadanya untuk menyediakan sesuatu yang lain dari hari biasa, air teh dan biskut tongkat.

Tiba didapur kayunya, Timah termenung sebentar. Tidak banyak bahan yang dapat membantunya untuk menyediakan sesuatu yang istimewa. Sudah tentu bukan nasi kerana sudah melebihi waktu yang sepatutnya. Apa yang istimewa dan sesuai bagi jamuan petang. Yang penting apa agaknya kegemaran anak itu. Timah buat andaian bahawa anak itu sudah tentu suka makan kuih tradisi yang mungkin jarang didapati di sana sepert seri muka. Tapi bahan untuk membuatnya tidak ada. Teringat dia akan gerai Pak Ali di seberang jalan tempat tumpuan orang bermain dam disamping minum petang. Timah tersenyum, mungkin boleh terserempak seseorang disana. 

Lama juga Timah berihat selepas menunaikan solat zohor. Dia bersiap untuk ke gerai Pak Ali, takut nanti kuih seri muka yang hendak dibeli kehabisan. Dia menuruni tangga dan melangkah untuk menyeberangi jalan menuju ke gerai Pak Ali yang jaraknya 200 meter dari rumahnya. Tercungap juga nafasnya apabila sampai digerai Pak Ali yang telah sedia ada beberapa pelanggan. Matanya mencari kuih seri muka yang berwarna kuning putih itu. Hatinya  gembira sekali, kuih seri muka masih ada lagi. Dia meminta Pak Ali memmbungkus untuknya sepuluh keping. Sementara itu Dia terpandang seseorang yang dikenali sedang menolak buah dam, khusuk sekali. Harun, bekas suaminya yang rambut telah memutih adalah pengunjung tetap gerai Pak Ali, bermain dam sambil minum secawan kopi. Itulah hobinya. Cucu pun tidak ada. Manakan nak dapat cucu anak pun tiada. Timah tidak menegur, tidak mahu mengganggu kekhusukan bekas suaminya itu. Tapi dia puas juga dapat berjumpa dengan Harun orang yang masih dikasihi.

Di rumah Timah menunggu tetamu istimewa. Kuih dan air minuman telah siap sedia. Waktu Asar hampir tiba. Sebuah kereta memasuki dan berhenti di halaman rumahnya. Maka muncullah kakaknya dan dua orang lagi. Berpelukan mereka melepaskan rindu masing-masing terutama kakaknya. "Ini Nadia?" Timah bertanya sambil memeluk anak dara itu dengan erat sekali. Nadia tidaklah memberi pelukan seerat yang sama. Dia seperti mahu meronta dilepaskan segera.

Bukan main berselera mereka menjamah kuih seri muka gerai Pak Ali  itu. "Sedapnya kuih ni. Cantik pula"  puji Nadia yang terus mengunyah kuih seri muka itu. Timah senyum saja. Dia tidak mahu beri tahu dari mana asal kuih itu. Dia mengharapkan tiada soalan sepert itu. Biarlah mereka semua beranggapan kuih itu hasil tangannya sendiri. "Kami baru balik dari majlis kahwin di kampong sebelah. Dah dekat kami singgahlah", kakaknya memberitahu. "Tak tidur sini?" Timah pelawa ayam. Dia yakin mereka tidak akan mahu tidur di rumahnya. "Alah mak, besok Nadia ada hal. Nak jumpa kawan", Nadia bersuara cemas takut-takut emaknya bersetuju dengan pelawaan si Timah itu. "Bila lagi nak tidur rumah ibu. Kan dulu Nadia berkepit dengan ibu", Timah bersuara sayang seolah-olah Nadia itu masih kecil dibawah jagaannya. "Tak mau lah mak. Nadia ada janji", Nadia segera menolak pelawaan ibu Timahnya. Kakak Timah dan emak Nadia sengaja membisu, mengusik hati anaknya. "Tak mau lah mak", sekali lagi Nadia menyatakan perasaan hatinya sambil bangun bersedia untuk melangkah ke tangga. "Ibu Timah bergurau saja. Mak pun ada hal juga", bersuara mak Nadia menyenangkan hati anaknya.

Maka berangkat pulanglah ketiga-tiga mereka. Nadia bukan main seronok lagi. Tanpa bersalaman beliau lantas ke kereta meninggalkan Timah yang tangannya tergantung-gantung mengharapkan huluran dari tangan Nadia anak jagaannya. Sedih dan  sayu dihatinya memandang kereta jiran kakaknya itu meluncur meninggalkannya..

'Anak enggang , enggang juga, manakan nak sama anak...' keluhan hati Timah terhenti.  Matanya memandang ke gerai Pak Ali namun Timah terbayang orang yang pernah mahu mengambilnya sebagai isteri semasa bekerja di Jalan Klang dulu. 'Anak sendiri', bisiknya melangkah layu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan