Theflowersellingboy

Isnin, 30 April 2018

Maka Jadilah Dia JAGOAN




Saya ada teka teki pada hari ini untuk anda jawab. Teka teki saya ini berbunyi begini:

Ha ha ha ha ha dia sudah jadi JAGOAN. 

Asal mula dia adalah JAGUH ketika dia memperleotkan lawannya dalam gelanggang. Maka jadilah dia JAGUH.

Itu dulu. Sekarang dia baru saja diistihar sebagai JAGOAN . Berita itu masih PANAS lagi. 

Memang PANAS lagi MENGGELEGAK. Sebab dia menang semasa lawan diikat kaki, digari tangan dan ditutup mata dihalang masuk gelanggang.   

Soalan teka teki saya:

i) Kenal tak siapa yang jadi JAGOAN
ii) Apa erti JAGOAN.

Dapat teka?   hahahahahaha . Saya tunggu jawapan dari anda. Jika betul satu ada hadiah. Jika betul dua pun ada hadiah. Jika salah satu ada juga hadiah. Jika salah kedua-dua pun ada hadiah. 

Tapi dengan syarat anda undi PH pada PRU 14.

Ahad, 29 April 2018

Hari Penamaan Calun Yang Pelik tapi Benar dan Memalukan





1. Bagi saya penamaan calun PRU 14 yang berlangsung semalam, 28.4.18 adalah penamaan calun yang pelik tapi benar, memalukan dan menyakitkan hati, di beberapa pusat penamaan calun Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Ianya satu pengurusan yang CACAT.

2. Saya hanya mampu menggunakan perkataan cacat sahaja. Sebenarnya ianya lebih daripada itu.

KES DUN RANTAU

3. Calun, penyokong dan pencadang  tidak dibenarkan masuk menyerahkan borang pencalunan kerana tidak ada pas.

4. Kemudian calun, penyokong dan pencadang yang tiada pas itu dibenarkan pula masuk untuk menyerahkan borang pencalunan. 

5. Calun itu ditolak kerana menyerah borang selepas waktu/tempoh pencalunan.

6. Bukankah calun itu telah bersedia untuk menyerah borang pencalunan dalam waktu/tempoh yang dibenarkan. Kenapa tidak dibenar masuk? 

7. Orang yang berfikiran waras akan mengatakan ianya satu tindakan yang pelik, tidak masuk akal. Dan mungkin ada juga yang mengatakan tindakan itu mempunyai motif diluar dari memudahkan calun untuk menjadi calun.

8. Bagi pegawai pengurus pilihanraya yang menolak pencalunan, kita mahu tanya soalan-soalan berikut:

i) Apakah tujuan pilihanraya?

ii) Bukankah tujuan pilihanraya ialah untuk memberi  kepada rakyat yang layak mengundi, seluas-luasnya peluang memilih calun yang terbaik menurut penilaian mereka untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negara. Lebih ramai yang bertanding, lebih banyaklah pilihan yang boleh dibuat. 

iii) Mengapa menyusahkan calun yang mahu bertanding, dan mengapa tidak memudahkan sedangkan calun telah memenuhi syarat menjadi calun pilihanraya. Pas masuk ke tempat penyerahan borang pilihanraya bukanlah satu dari syarat tersebut. 

iv) Mengapa pada mulanya calun tidak dibenar masuk kerana tiada pas. Dan kemudian dibenar masuk walaupun tiada Pas.

v) Mengapa di pusat  penamaan calun yang lain , calun dibenarkan masuk untuk menyerahkan borang pencalunan.  

vi) Adakah undang-undang dan peraturan pilihanraya yang berbeza diantara pusat-pusat penamaan calun.

KES PARLIMEN BATU

vii) Mengapa pegawai pengurus pilihanraya mengenepikan keputusan mahkamah yang melayakkan calun yang sama yang telah diputuskan dengan hukum RM2,000.00, lantas membuat keputusan calun tersebut hilang kelayakan bertanding sedangkan calun itu adalah orang yang sama yang telah dihukum mahkamah pada jumlah denda yang sama tapi layak bertanding.

viii) Adakah keputusan menolak calun berdasarkan kuasa budibicara sehingga boleh melampaui keputusan mahkamah.

9. Sesungguhnya PRU 14 bermula dengan langkah tempang dan cacat. Ianya tidak adil kepada pengundi, rakyat dan negara kerana kita tidak diberi peluang seluas-luasnya untuk membuat pilihan disebabkan ada calun yang hilang kelayakan bukan kerana tidak memenuhi syarat menjadi calun pilihanraya tetapi Pegawai Pengurus membuat keputusan diluar dari peraturan dan undang-undang yang sedia ada.

10. Ianya pelik bagi setengah orang, lalu marah dan merasai teranianya kerana disempitkan peluang untuk buat pilihan. Calun-calun yang bertanding itu adalah calun-calun yang ditentukan oleh pengurus pilihanraya. Lantas ianya menambahkan kebencian dan ketidakpercayaan rakyat kepada pihak berkuasa dalam menguruskan pilihanraya.

11. Pelik tapi benar.

12. Bagi saya pula ianya AMAT MEMALUKAN kerana saya ada pengalaman  sebagai Pengurus Pilihanraya. Saya  sentiasa dengan yakin dan tegas mengatakan tiada yang CACAT dalam menguruskan pilihanraya khususnya dalam proses penamaan calun. Rupanya PRU 14 ini kelihatan apa yang saya yakin itu telah dibuktikan sebaliknya.


 AMAT MALU SEKALI!









Rabu, 25 April 2018

AKHIRnya....


AKHIRnya....

PAS mahu tanding lebih 160 kerusi parlimen. Sebab:

i) PAS mahu bentuk kerajaan bagi memertabatkan pendekatan Islam

ii) Menang bukan matlamat utama PAS. 

iii) PAS mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membiayai kos pilihanra raya yang dianggarkan RM34 juta lebih bagi 160 kerusi.  Sebab PAS ada  1 juta ahli. Seorang ahli menderma 5 ringgit. Dan PAS juga ada penderma individu yang telah menderma 2.5 juta. Bagi kos 34 juta , PAS hanya memerlukan tidak lebih dari 15 individu untuk menderma.

iv) PAS yakin menang sebab pengundi PAS juga terdiri dari berbagai bangsa dan agama, bukan pengundi Melayu sahaja. Calun PAS juga terdiri dari kaum India dan Cina yang tidak beragama Islam. Paling istimewa, calun PAS di Sabah terdiri dari penganut Kristian. 

v) Jika PAS tidak menang kesemua 160 kerusi, PAS yakin boleh menang paling kurang 40 kerusi.

vi) Menang 40 kerusi menjadikan PAS parti yang kuat, ada kuasa politik tawar menawar. PAS menjadi Raja Penentu atau King Maker.

vi) Di takdirkan UMNO/BN dan PH dapat jumlah kerusi yang sama, dan berhasrat menubuhkan kerajaan, PAS boleh panggil salah satu dari parti itu untuk menubuh kerajaan menurut syarat dan terma yang ditentukan oleh PAS iaitu kerajaan yang melaksanakan pendekatan Islam.

vii) PH sudah tentu bukan parti yang dipanggil untuk menubuhkan kerajaan kerana DAP dan PKR anti Islam. Amanah , parti pengkhianat. 

viii) UMNO tidak anti Islam seperti yang ditunjukkan dalam kes RUU 355 . Cuma UMNO akur dengan parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan agar tidak bersetuju dengan RUU 355.

xi) PAS sanggup berUG dengan BN khususnya UMNO pada PRU 14. Ini memberi ruang untuk PAS jadi King Maker. 

x) UMNO adalah Raja Wang atau Cash is King. King Maker dan Cash is King adalah saling lengkap melengkapi. 

xi) Ada 2 sebab PAS lawan UMNO. Sebab pertama, PAS mahu menang. Sebab kedua PAS mahu menolong UMNO menang dengan menarik pengundi Melayu tidak mengundi PH.  

Dan AKHIRnya....

xii) PAS kalah semua kerusi yang ditandingi. Tanya INVOKE

xiii) PAS membazir wang 

xiv) PAS jadi ZERO MAKER

xv) UMNO/BN kalah tapi tidak seteruk PAS

xvi) PH berjaya tubuh kerajaan selepas PRU 14.

xvii) PAS dan UMNO/BN jadi pembangkang selepas PRU 14. Tiada lagi King Maker dan Cash is King.


  





Ahad, 22 April 2018

BUAL KEDAI KOPI




U, H dan P adalah kawan sekampong. Mereka kawan baik walaupun berbeza dari segi perjuangan politik. Mereka saling  menghormati perbezaan pandangan politik. 

Satu hari mereka minum pagi bersama di sebuah warung. Oleh kerana ketika ini hangat dengan kempen PRU 14, mereka berhujah tentang siapakah yang layak jadi PM Malaysia selepas PRU 14.

U adalah penyokong kuat kepada PM DS Najib. Orang UMNO. H pula terlalu  yakin dengan kemampuanTun M untuk menerajui negara walaupun dulunya dia memusuhi TM semasa TM dalam UMNO. Dia penyokong tegar PKR. P pula memilih Tuan Guru Hj Hadi. Dia ahli PAS.

U memulakan bicara

U: Kau orang ingat parti mana yang akan menang dalam PRU 14 nanti
H: Sudah tentu PH
P: Wei pandang  kiri kanan dululah. PAS jangan kau tak pandang.
U: Kau orang ni tak berdiri di bumi nyata. UMNO yang memerintah lebih 60 tahun telah banyak menabur jasa, takkan rakyat nak lupakan begitu saja. Apa jenis manusia kau orang ni lah. Tak tahu kenang budi.
P: Betul. Itu duluuu. Tapi sekarang dah rosak. Sebab tu TM keluar UMNO. Betul tak H?
H: Memang betul.
U: Kau orang jangan nak buat fitnah. Apa yang rosak? Apa bukti? (suara agak tinggi)
H: Cool down bro. Kita order makan dan minum dulu.Aku nak kopi dan mee goreng. Kau orang nak apa? Jangan risau aku belanja.
U&P: Samalah.
U: Apa bukti kami buat banyak kerosakan
P: Banyak buktinya. Biarlah H yang beri tahu dulu.
U: Kau dua orang berpakat ker?
H: Aku nak berpakat dengan P? Ohh jauh sekali. Kita tersasar. Kita bukan nak cari bukti. Kita nak berhujah parti mana yang akan menang PRU 14.
U&P: (angguk kepala tanda setuju)
U: UMNO/BN tentu menang sebab ada trek rekod.
P: Trek rekod dah tercemar, siapalah nak undi. Bukan aku cakap, presiden UMNO yang cakap, TM. Sebab tu keluar UMNO.
U: Cakap orang tua 93 tahun tu mana boleh pakai. Dah nyanyok. PH saja yang mahu angkat dia untuk jadi PM. Itupun kalau menang. Aku kata PH kalah teruk.
P: Hahahaha....macam mana H, boleh menang ker?
H: Aku cakap macam ni lah .PAS akan kalah. Sebab PAS harap undi Melayu saja. Undi bukan Melayu zero. Simple matematik lah.
U: Aku setuju. UMNO/BN akan menang. Kita dapat undi Melayu dan bukan Melayu.
P: Woi tunggu dulu. PAS ada calun bukan Melayulah.
H: Hahahaha...dia orang kena buat baiah ker?
U: ....cerai bini kalau keluar PAS
P: Kita tanding lebih 160 kerusi. Kita serious nak bentuk kerajaan.
H: Woi banyaknya tu. Ada duit ker? Setahu aku PAS bukan parti yang kaya. Mat Sabu beritahu. Dia mantan Timbalan Presiden PAS. Orang panggil PAS parti tin milo.
U: Itu dulu.....sekarang entahlah.....ramai penderma kot.
P: Apa salah terima duit derma. Orang beri sedikit , kita ambil. Beri billion lagi cepat kita masuk dalam akaun peribadi kita....tak begitu U?
H: Kita telah tersasar lagi. Sorry aku yang mulakan. Aku minta P terimalah hakikat, PAS tidak boleh menang dengan undi Melayu saja. Calun bukan Melayu PAS pun tidak akan dapat undi bukan Melayu. Sia-sia saja bertanding.
U: Aku setuju. Tapi PAS boleh juga jadi kerajaan bersama UMNO/BN. Apa macam?
H: Jadi king maker lah tu.
U: Tak kisahlah, king maker ker, cofee maker ker, yang penting jadi kerajaan.
H: Setuju ker P?
P: Aku berkecuali
U: Pasal apa berkecuali?
P: Kan aku dah kata tadi, UMNO memang ada jasanya. Itu dulu. Sekarang dah rosak. Prinsip PAS bekerjasama dalam hal yang baik dan menentang dalam hal yang mungkar. Tapi kita tentang secara beri nasihat.
U: Aku setuju dengan prinsip PAS ni. Kita hidup nasihat menasihati. Bukan Macam PH, kerja menghentam jer.
H: Kita hentam pada perkara yang menyusahkan rakyat. Kita tak mahu rakyat dan generasi akan datang susah.Hutang negara dah sampai 800 billion. Rakyatlah yang tanggung bayar hutang, termasuk generasi akan datang. Sekarang ni rakyat terbeban dengan belanja hidup yang mahal. Kena GST. Subsidi macam-macam barang dihapuskan. Sengsara dibuatnya.
U: Kau berat sebelah. Pasal apa tak cakap pasal BR1M dan banyak lagi bantuan yang boleh kurangkan beban rakyat.
H: Come on lah bro. Kau banding BR1M dengan GST. GST kau kutip 42 billion. BR1M kau beri 7 billion. Terlalu jauh bezanya.
U: Kau tak faham tanggungjawab sebuah kerajaan. Kita beri BR1M, Kita juga ada tanggungjawab membangunkan negara. Banyak projek kita nak buat. Contoh ECRL, projek keretapi dari pantai barat ke pantai timur. Pembiyaan secara pinjaman dari negeri China.  55 billion lah beb.
H: Betul. Tapi hutang siapa nak bayar. Hei hutang kita dah 800 billion, dan akan cecah trillion.
U: Nak projek kenalah berhutang.
H: Kau tahu pasal apa jadi macam tu. Sebab salah urus tadbir kekayaan negara...rasuah , pembaziran dan salah guna kuasa. Kau baca laporan ketua audit negara. Bukan aku yang kata. Sebab itu kita terpaksa berhutang dan kenakan GST untuk mendapat sumber pembiayaan. Aku kena GST, kau pun kena walaupun kau ahli UMNO. Kau bukan banyak duit pun, Semua kena tiada kecuali.
P: Tak betul H.
H: Ya, aku faham. Projek ECRL  di kecualikan dari GST. 
U: Woi mana boleh. Aku tak percaya. Fitnah. Kau dua orang ni memang suka buat fitnah ( suara yang meninggi)
H: Cool down bro. Ianya satu kenyataan . Bukan fitnah.
P: Tu lah aku kata UMNO sudah rosak. Menyusu kera di hutan.
H: Berita tak baik untuk UMNO dan rakyat Malaysia.
P: UMNO akan kalah. Aku yakin. Macam mana projek warga negara kena GST. China Beijing tak kena. Ini tak betul. Zalim.
H: Betul tu P. UMNO akan kalah. PAS kalah juga. Yang menang PH. Apa macam setuju?
U: Kita dapat PM nyanyok
P: Hahahahaha
H: Jom anjur siri debat antara TM dengan DS Najib dan Tuan Guru Hadi. Kita lihat siapa nyanyok, siapa terketar ketar berhujah dan siapa yang tak hadir dengan alasan keselamatan atau debat bukan budaya Malaysia. Ada berani?

........bersambung


Jumaat, 20 April 2018

MEMAHAMI LOGIK PAS BERTANDING LEBIH 160 KERUSI PARLIMEN




Saya cuba memahami logik PAS masuk bertanding dalam pilihanraya. Bagi saya, logik bertanding pilihanraya ialah untuk menang. Dan sebagai parti yang PAS sendiri dakwa antara yang berpengaruh sudah tentu PAS bertanding bagi menubuhkan kerajaan. 

Namun saya tidak nampak PAS akan berjaya menubuhkan kerajaan. Logik saya ialah dengan secara bersendirian PAS hanya mampu mendapat sokongan dari orang Melayu yang dikongsi bersama dengan UMNO dan parti-parti dibawah PH seperti  AMANAH atau PKR atau BERSATU atau DAP.  

PAS tidak mampu mendapat undi dari bukan Melayu sedangkan UMNO dan parti dibawah PH mampu mendapat undi dari bukan Melayu.

Jadi macam mana PAS boleh menang dan mempunyai bilangan kerusi  yang cukup untuk menubuhkan Kerajaan?

Ertinya logik PAS bertanding bukan untuk menubuh kerajaan secara bersendirian. 

PAS bertanding untuk membantu UMNO/BN jika UMNO/BN tidak mempunyai bilangan kerusi yang cukup untuk tubuh kerajaan. Kerja mencukupkan ini PAS panggil sebagai King Maker , sebagai kuasa penentu menentukan kerajaan. 

Tapi PAS hanya mahu bersama dengan UMNO/BN sahaja kerana parti-parti dalam PH dianggap pengkhianat dan anti Islam terutama DAP yang menentang RUU 355 dan Hudud.

MCA , MIC dan Gerakan juga anti hudud. UMNO pun mengatakan Hudud tidak sesuai di Malaysia. Sebab itu UMNO tidak bersungguh-sungguh mengambilalih RUU 355 dan seterusnya membentangkan RUU 355 untuk kelulusan Parlimen.

Dengan demikian, PAS sebenarnya mahu bersama dengan UMNO dalam sebuah kerajaan yang PAS panggil sebagai UG.

Itu logik pertama PAS bertanding. Bukan kerana Hudud atau RUU 355.

Logik kedua ialah PAS bertanding  bagi memecahkan undi Melayu  bagi mengurangkan pengundi Melayu mengundi parti-parti PH. Tujuannya untuk membolehkan UMNO menang. Sebab PAS tidak mampu menang dan mendapat undi Melayu lebih dari UMNO atau parti dari PH.

Bilangan kerusi melebihi 160 memerlukan wang yang besar . Ada pihak menganggarkan sebanyak 34 juta ringgit, satu jumlah yang besar yang sebahagian besar berpendapat menjadi beban kewangan yang tidak mampu ditanggung oleh PAS. Sebab PAS bukan parti yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Tapi PAS menyatakan sebaliknya. Parti itu ada kekuatan dan kemampuan kewangan kerana mempunyai bilangan ahli mencecah 1 juta. Seorang ahli menyumbang 5 ringgit saja sudah mencukupi bagi membiayai kos bertanding lebih 160 kerusi.

Keyakinan PAS  tentang kemampuan kewangan ini, rasanya sulit juga untuk dihujah sebaliknya. Pertama kesanggupan ahli yang menyumbang. Kedua PAS juga menerima derma dari individu bukan ahli PAS seperti yang diakui oleh salah seorang kepimpinan PAS dalam jumlah yang agak besar iaitu 2.5 juta ringgit. Mungkin ada lagi sumber kewangan yang lain yang menguatkan lagi kedudukan kewangan PAS.

Jadi lupakan persoalan kemampuan kewangan PAS.

Yang patut disoal ialah mengapa PAS bertanding banyak kerusi sedangkan logik mengatakan PAS tidak akan menang dan mampu menubuhkan kerajaan. Ini matematik yang mudah.

PAS juga mengakui bahawa parti itu hanya mampu menjadi king maker sahaja. Ertinya PAS akan kalah banyak kerusi yang ditandingi. Bermakna PAS sanggup keluar wang yang PAS sendiri tahu wang itu tidak akan menghasilkan keputusan yang menguntungkan parti itu. PAS membazir wang sahaja.

Kenapa PAS membazir wang? 

Mungkin anda ada jawapan. 



  









Khamis, 19 April 2018

PARTI MANA YANG PATUT DIUNDI DALAM PRU 14




Maaf, dua hari saya tidak dapat bicara dalam blog ini, seperti yang dijanjikan. Ada masalah tenikal sedikit. Laptop saya tidak boleh dibuka. Sebab saya tidak menguasai ilmu tentang komputer. Apabila pergi ke kedai komputer, tak sampai seminit, masalah dapat diatasi. 

Malunya saya. Itulah kurang ilmu, boleh menyusahkan diri. Nasib baik tidak diminta bayaran.

Baik lupakan saja kisah itu.

Dua hari yang lepas saya berjanji untuk bicara parti manakah yang patut kita sokong dan undi pada PRU 14 yang akan datang ini untuk menerajui negara Malaysia selepas PRU 14.

Bicara saya yang lepas telah menyatakan bahawa undilah mana-mana parti atau gabungan parti yang anda fikir yang mempunyai potensi membentuk kerajaan untuk mentadbir urus negara demi kesejahteraan rakyat terbanyak dan kemakmuran negara.

Mana-mana parti politik yang bertanding, hanya boleh menang dan mampu menubuhkan kerajaan jika mendapat sokongan dikalangan pengundi yang berbilang bangsa. 

Sebab itu UMNO, MCA, MIC dan lain-lain yang bergabung,  termasuk dari parti parti Sabah dan Sarawak dibawah nama  PERIKATAN,  sebelum bertukar nama kepada BARISAN NASIONAL (BN) sentiasa   menang dan berjaya menjadi kerajaan semenjak merdeka sehingga PRU 13. BN adalah parti atau gabungan parti yang mendapat sokongan dari berbilang bangsa.

Parti pembangkang yang berjuang bersendirian tidak pernah dan tidak akan menang. Bahkan tidak akan menggugat BN barang sedikitpun.

Tetapi apabila adanya kerjasama walupun longgar diantara parti pembangkang, kedudukan BN mula terjejas seperti pada PRU 12 dan 13.

Kerjasama pembangkang dibawah nama Pakatan Rakyat dalam PRU 13, telah membuatkan BN kurang suara majoriti popular walaupun menang kerusi yang lebih dari PH. 

Tetapi berpecahnya PR memberikan semula kekuatan kepada BN. 

Namun penubuhan Pakatan Harapan (PH) iaitu gabungan dari parti DAP, AMANAH, PKR dan kemudian kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam PH menjadikan PH sebagai parti pilihan yang mampu bersaing dan menang untuk membentuk kerajaan.

Ertinya BN dan PH adalah gabungan parti yang mendapat sokongan dari rakyat Malaysia dari berbilang bangsa dan agama. Sudah tentu salah satu parti itu boleh menjadi pilihan rakyat kerana mampu menang dan boleh menubuhkan kerajaan.

PAS tidak mampu menubuhkan kerajaan kerana pengundinya sebahagian besar adalah dari orang Melayu, terlalu sedikit dari bukan Melayu. Jadi jika diundi PAS, PAS tidak akan dapat membentuk kerajaan.

Ingat, tujuan mengundi ialah bagi menubuhkan kerajaan. Jadi jika parti yang tidak mampu menubuhkan kerajaan walaupun mewarwarkan memperjuangkan untuk kebaikan rakyat, ianya tidak memberi apa-apa makna. Undi anda menjadi sia-sia sahaja, jika anda berharap untuk menubuhkan kerajaan.

Pilihan anda dalam PRU 14 ini adalah sama ada pilih BN atau PH.

Untuk membuat pilihan antara BN dan PH, selain yang telah saya bicarakan dalam paparan yang lepas, anda mesti ingat antara lain :

PRU ini bukan cerita fasal anda itu Melayu. Bukan juga anda itu Cina atau India atau apa sahaja asal usul keturunan anda. 

Undi anda pada PRU 14 adalah undi sebagai rakyat Malaysia.

Anda mesti ingat anda adalah rakyat Malaysia yang mahu hidup sejahtera dalam negara yang dikurniakan Allah dengan pelbagai sumber kekayaan.  

Sumber-sumber kekayaan ini hanya boleh menjadi menfaat kepada anda jika ianya dapat diuruskan secara terbaik.  

Anda mesti mengenepikan kecenderungan mengundi anda berasaskan parti politik, bangsa dan agama. Ianya boleh mengelirukan anda kerana kemungkinan besar anda lebih menggunakan emosi dari melakukan pertimbangan yang rasional. 

Pertimbangan anda ialah sebagai rakyat Malaysia yang mahu hidup sejahtera tanpa berpecahbelah sesama rakyat yang terdiri dari berbagai bangsa dan agama.

Ingat, jangan percaya  atau terpengaruh dengan retorik politik yang melampau. Misalnya jika parti tertentu itu menang  maka sesuatu kaum atau agama serta bahasa kaum itu akan terhapus dan sebagainya, 

Ianya tidak akan berlaku kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kedudukan dan hak rakyat Malaysia.

Gabungan parti yang terdiri dari berbagai kaum itu sama ada BN atau PH adalah bukti jelas bahawa setiap parti itu telah dan terus akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Bermakna anda  jangan terpengaruh dengan retorik yang mahu memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Ingat pilihanraya adalah satu ruang demokrasi yang memberi peluang pengundi membuat pilihan diantara parti politik yang bertanding. Sudah tentu pengundi mahukan parti politik yang dapat memberi kehidupan yang sejahtera.

Oleh itu, kita mesti melakukan review atau kaji semula atau lihat semula apa yang telah dan sedang kita alami dan menilai apakah ianya memberi faedah kepada kita atau sebaliknya. 

Kita juga perlu nilai adakah pesaing kepada parti politik yang menjadi kerajaan yang sedia ada boleh memberi faedah kepada kita. 

Secara amnya parti politik yang terlalu lama ditampok kuasa akan mudah mabuk kuasa sehingga melakukan salah guna kuasa. 

Sebaliknya parti politik yang belum berkuasa dan bersaing untuk dapat kuasa, dan apabila berkuasa akan melakukan lebih baik kerana menyedari bahawa kemenagan parti itu adalah atas kelemahan pesaingnya semasa menjadi kerajaan. 

Ingat, bahawa pengundi boleh menukar kerajaan paling lama setiap tempoh 5. Bermakna jika mana mana parti tidak melakukan yang terbaik semasa menjadi kerajaan, pengundi berkuasa untuk menggantikannya.

Ertinya jangan takut buat perubahan jika perubahan itu memberi faedah kepada rakyat terbanyak.

Terpulang kepada anda untuk memberi undi. Jika BN telah menunjukkan rekod urustadbir yang memberi faedah kepada rakyat tanpa penyelewengan undilah BN. 

Jika sebaliknya, berubahlah kepada PH. Beri peluang kepada PH untuk mengurus tadbir kekayaan negara. 

PRU 15 nanti , anda boleh menilai PH berdasarkan apa yang telah dilakukan  sama ada memberi faedah kepada rakyat atau sebaliknya.

Ertinya parti politik tidak boleh mengambil rengan undi dan kuasa politik pengundi kerana setiap 5 tahun atau tempoh yang kurang dari itu mereka akan sekali lagi berdepan dengan rakyat. Rakyat boleh menurun atau menaikkan mereka sebagai kerajaan. Jangan main main dengan rakyat.

Ertinya juga rakyat tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

Jadikan parti politik sebagai pekerja yang berkhidmat kepada rakyat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. 

Rakyat tidak pernah terhutang dan berhutang budi kepada parti politik. Parti politiklah yang memakan budi rakyat dan sewajarnya membalas budi kepada rakyat dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Akhirnya antara BN dan PH yang mana satu pilihan anda. 

Saya cadangkan anda berubah kepada PH kerana terlalu banyak kerosakan yang telah dan sedang dilakukan oleh BN sehingga membebankan kehidupan rakyat. Itupun jika anda mahu menerima realiti dan berfikir secara rasional tanpa dipengaruhi emosi yang melampau.

ANDA BUAT KEPUTUSAN.






  



Ahad, 15 April 2018

Sebelum Memberi Undi Ingatlah Pengundi Tidak Pernah Terhutang Budi Kepada Mana-mana PARTI. Pengundi Berkorban dengan Menyerahkan KUASA Kepada Parti Politik Yang Berjaya Menubuhkan Kerajaan. Dan Menjadi Kewajipan Kepada Kerajaan Untuk Memberi Perkhidmatan Terbaik Kepada Rakyat Demi Kesejahteraan Rakyat dan Kemakmuran Negara.




Saya tidaklah suka sangat bicara tentang politik. Tetapi saya tidak boleh lari dari realiti bahawa ketika ini cerita politik memonopoli ruang bicara dalam apa sahaja media sama ada media arus perdana atau media baru atau alternatif seperti fb dan twitter. 

Lantas , saya tersangkut dan terkait sama, turut mahu menambah cerita dalam bicara politik tanah air dalam perjalanan kita menuju PRU 14 pada 9 Mei 2018.

Sebelum terus berbicara, saya memberi jaminan bahawa bicara saya tidak ada maki hamun, dan menggunakan kata-kata dan ayat-ayat yang amat jelik dan memalukan sehingga ke tahap menjatuhkan harga diri, kesantunan masyarakat dan kesucian agama khususnya agama Islam, yang anda boleh ketemu dalam media sosial itu, bukan sedikit tetapi jumlahnya terlalu banyak. 

Malang sekali, bicara politik kita amat menjijikkan.

Baik. Sebelum mengundi kita mesti jelas apa itu pilihanraya dan pengundi. 

PRU adalah satu proses demokrasi  dimana PENGUNDI melalui peti undi memberi atau menyerahkan KUASA kepada mana-mana parti politik atau gabungan parti politik yang menang dalam persaingan untuk membentuk kerajaan bagi mengurustadbir aset dan kekayaan negara demi kesejahteran rakyat dan kemakmuran negara.

Saya gunakan pengundi dan bukan rakyat kerana tidak semua rakyat layak mengundi. Hanya rakyat yang diterima daftar untuk menjadi pengundi oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) dan namanya terdapat dalam daftar pengundi yang ditentukan oleh SPRM sahaja yang layak mengundi. 

Ertinya jika seseorang yang telah diterima sebagai layak jadi pengundi tetapi tidak termasuk dalam daftar pengundi yang dipersetujui oleh SPRM, anda tidak layak mengundi. 

Oleh itu sesiapa sahaja yang termasuk dalam daftar mengundi SPRM sebagai layak mengundi dalam PRU 14 ini wajar keluar mengundi. Jangan sia-siakan undi anda kerana anda adalah rakyat yang telah diberi keistimewaan untuk menentukan parti yang akan mengurustadbir negara demi kesejahteraan anda dan kemakmuran negara.

Lagi sekali saya ingatkan jangan sia-siakan undi anda sama ada secara tidak keluar mengundi atau merosakkan undi. Anda juga mensia-sia undi anda jika anda salah pilih parti untuk diberi kuasa menubuhkan kerajaan.

Oleh itu berhati-hati dan nilaikan dengan menggunakan fikiran yang waras tanpa banyak dikuasai emosi dalam memberikan undi anda itu.

Sekarang, semak sama ada nama anda ada dalam daftar pengundi yang telah ditetapkan oleh SPRM itu dan tempat mengundi anda, jika anda belum melakukannya.  Jangan lakukan pada minit-minit terakhir.

Anda boleh sahaja memilih mana-mana parti politik atau gabungan parti politik yang anda yakin boleh membentuk kerajaan dan yang mempunyai kemampuan untuk memberi kesejahteraan hidup kepada anda dan memakmurkan negara.

KUASA yang anda berikan itu adalah satu PELABURAN. Anda mengambil risiko atau meraih pulangan (faedah) dalam tempoh tertentu iaitu sehingga boleh menjangkau  5 tahun, menyerah untung nasib anda sama ada hidup sejahtera atau sebaliknya. 

Risiko atau pulangan itu memberi kesan bukan sahaja dalam jangka pendek bahkan dalam jangka panjang. Oleh itu anda perlu menilai sebaik mungkin pihak mana yang perlu anda beri undi demi kebaikan anda dan rakyat terbanyak.

Anda mesti sentiasa ingat bahawa  anda memberi dan menyerahkan kuasa anda. Anda sebenarnya yang berkorban dan bukan parti yang anda undi dan menang. Anda tidak pernah terhutang budi atau tiada mana parti yang berbudi pada anda. Andalah yang berbudi kepada parti yang anda undi. 

Parti yang menang dan berjaya membentuk kerajaan wajib memberikan perkhidmatan kepada anda dengan sebaik-baiknya tanpa menyalahguna kuasa dan kedudukan kerana mereka diberikan  AMANAH untuk menguruskan aset dan kekayaan negara. 

Ingat juga bahawa semua parti yang bersaing untuk mendapatkan kuasa anda itu akan menyatakan masing-masing pihak adalah yang terbaik dengan menawarkan berbagai-bagai tawaran termasuklah menjadikan kaum atau bangsa dan agama sebagai antara yang mereka perjuangkan. 

Jangan sekali-kali terperangkap dengan retorik yang melampau yang kesannya memecahbelahkan rakyat dalam sebuah negara yang berbilang kaum , budaya dan kepercayaan (agama). 

Undi anda untuk kesejahteraan rakyat, bukan memecahbelahkan rakyat. Undi anda adalah demi kemakmuran negara dan bukan menuju kepada negara yang gagal dan muflis.

Akhir sekali gunakan akal fikiran yang waras tanpa emosi melampau menguasai pertimbangan dalam memberikan undi anda.

Esok, bicara saya adalah tentang parti mana yang boleh difikirkan untuk menjadi pilihan bagi menubuhkan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Sudah tentu dari sudut pandangan saya.

Rabu, 11 April 2018

MENGUNDI PRU 14 ADALAH SATU KEWAJIPAN SETIAP DIRI YANG LAYAK MENGUNDI



Tarikh dan hari mengundi PRU 14 telah diistiharkan oleh Suruhanjaya Pilhanraya Malaysia iaitu pada 9 Mei 2018, hari RABU bagi pengundi selain dari undi pos/awal. 

Rakyat yang layak mengundi perlu dan hendaklah menjadikan mengundi adalah  satu kewajiban diri.  Jangan sia-siakan undi anda.

Hari RABU yang ditetapkan mungkin menjadi satu kerumitan bagi setengah pengundi kerana ianya hari bekerja. Tapi jangan jadikan itu satu alasan untuk tidak keluar mengundi kerana undi anda akan menentukan masa depan anda dan generasi anda. 

Undilah mana-mana parti yang anda yakin boleh memberikan kesejahteraan kepada anda dan rakyat terbanyak dan kemakmuran pada negara. Bermakna tolaklah  parti atau gabungan parti yang anda yakin tidak mampu melakukan sedemikian.

Ingat, anda mengundi bagi memberi mandat kepada parti atau gabungan parti-parti untuk membentuk kerajaan dan seterusnya mengurus tadbir aset dan kekayaan negara. 

Ertinya anda mesti menilai kemampuan parti atau gabungan parti itu bagi menubuh kerajaan. Sebaik mana manifesto dan janji yang ditawarkan, jika parti itu tidak ada angka yang cukup untuk menubuh kerajaan, undi anda menjadi sia-sia jika anda mengundi parti itu.

Jangan sia-siakan undi anda.

Di Malaysia angka paling minima untuk menubuh kerajaan di peringkat Persekutuan ialah memenangi 112 kerusi. Ertinya parti atau gabungan parti mesti bertanding dan memenangi paling kurang 112 kerusi.  

Ingat juga sistem pengundian di negara ini adalah mana-mana parti atau gabungan parti yang memenangi kerusi parlimen yang lebih banyak, parti atau gabungan parti itu diistiharkan sebagai yang menang dan boleh membentuk kerajaan. 

Ianya bukan berdasarkan sokongan popular pengundi. Parti yang mendapat undi pengundi yang paling banyak tetapi tidak memenangi kerusi yang paling tinggi tidak  diistiharkan parti yang menang , lantas tidak layak menubuh kerajaan.

Menurut penilaiaan saya, kedudukan ketika ini, parti atau gabungan parti yang mempunyai potensi bagi membentuk kerajaan Persekutuan hanya ada dua parti atau gabungan parti sahaja iaitu UMNO/BN dan PH (PKR, DAP. AMANAH dan PPBM). 

Undilah satu daripada 2 parti ini agar undi anda tidak menjadi sia-sia.

Buatlah perbandingan antara  2 parti ini dari segi perkhidmatan dan penyampaian ketika menjadi kerajaan. 

Oleh kerana PH belum pernah menjadi kerajaan Persekutuan berbanding dengan UMNO/BN yang telah berpengalaman semenjak merdeka sehingga kini, perbandingan yang adil dan realistik boleh dibuat dengan melihat pentadbiran di peringkat negeri.  

Di Semenanjung, PH telah menjadi kerajaan di Pulau Pinang dan Selangor semenjak memenangi pada PRU 12 yang sebelumnya dikuasai oleh UMNO/BN. UMNO/BN menguasai Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Perlis , Terengganu dan Pahang.

Nilaikan perkhidmatan antara Selangor dan Pulau Pinang dan 
bandingkan dengan negeri-negeri di bawah UMNO/BN.

Apa yang dilakukan oleh Selangor dan Pulau Pinang untuk rakyat dan bandingkan negeri-negeri dibawah UMNO/BN.

Misalnya Selangor: memberikan  antara lain perkhidmatan bas percuma, air percuma bagi penggunaan 20 meter padu dan bantuan perubatan dibawah skim yang dipanggil KISS.

Bagaimana dengan Johor atau Melaka atau Negeri Sembilan?

Bagaimana pula dari segi pengurusan ekonomi dan kewangan diantara Pulau Pinang dan Johor? 

Lihat  kadar pertumbuhan ekonomi, jumlah pelaburan asing dan tempatan dari segi bilangan dan nilai kewangan, simpanan wang yang terkumpul, kedudukan hutang dan kemampuan membayar balik . Laporan Ketua Audit boleh dijadikan rujukan.

Anda sebagai pengundi perlu tahu sebelum membuat keputusan memberi undi anda.

Dan anda juga boleh menilai secara realistik tanpa emosi dan membuat keputusan demi kesejahteraan anda dan rakyat terbanyak dan kemakmuran negara iaitu dengan:

mengambil kira isu-isu berat yang sedang dihadapi oleh kerajaan UMNO/BN diperingkat Persekutuan seperti kes 1MDB, Felda, kos sara hidup yang meningkat disebabkan penarikan subsidi bagi berbagai barangan antara lain seperti gula, bahan api (petrol dan gas), gandum , minyak masak dan ditambah pula GST yang  membebankan semua rakyat, apakah ada rasional dan logiknya untuk meneruskan UMNO/BN menerajui kerajaan Persekutuan selepas PRU 14.

Ini tidak termasuk beban hutang negara yang sudah meningkat hampir RM800 bilion tidak termasuk hutang yang ditanggung oleh agensi-agensi luar belanjawan (off budget agencies).

BERSERABUT BUKAN?

Anda sebagai pengundi mesti banyak bertanya dan cari jawapan dengan merujuk dari barbagai sumber maklumat sebelum memberi undi anda. Antaranya:

Apakah kerajaan seperti ini yang serabut dengan berbagai isu negatif perlu diberi peluang untuk meneruskan pemerintahan?

Dan setelah PH membuktikan pentadbirannya di Selangor dan Pulau Pinang lebih baik berbanding dengan negeri-negeri yang ditadbir UMNO/BN apakah pentadbiran PH yang memberi kesejahteraan kepada rakyat dan kemakmuran itu  tidak mahu dipanjangkan ke peringkat Persekutuan sedangkan peluang itu terbuka luas pada PRU ke 14 yang akan datang ini. 

Ketika ini anda dalam persekitaran yang BERSERABUT. Sudah tentu anda mahu dan rindukan persekitaran yang tenang yang menyenangkan anda dan rakyat Malaysia. 

Mudah sahaja untuk menjadikan hajat dan rindu anda itu sebagai satu realiti. Anda hanya perlu mengundi PH berlogokan Mata Berwarna Biru Cerah. Selain dari undi PH,  undi anda setaraf dengan undi rosak

Jangan LEPAS PELUANG ini dan jangan SIA-SIAKAN UNDI ANDA . 



Jumaat, 6 April 2018

PARLIMEN 13 BUBAR, PRU 14 MENJELANG, SIAPA MENANG SIAPA KECUNDANG :RAKYAT YANG MENENTUKANNYA



Dalam sebuah negara yang demokratik, rakyat yang berkuasa. Rakyat yang menentukan siapa yang mereka mahu membentuk kerajaan untuk menguruskan aset dan kekayaan negara demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Rakyat mesti jelas akan hal ini iaitu: 

"Parti politik yang mereka pilih mestilah bertanggungjawab memikul amanah bagi menguruskan aset dan kekayaan negara demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Tidak ada lain selain dari itu".

Apabila sudah  jelas, maka buatlah penilaian dengan adil dan saksama tanpa emosi tetapi berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih.  

Panduan terbaik untuk membuat pilihan ialah undilah parti yang bukan sahaja bercakap fasal menegakkan kebenaran dan melawan kemungkaran tetapi parti yang benar benar melaksanakannya. 

Oleh itu rakyat mesti ada dan perlu mendapatkan maklumat dari berbagai sumber yang dikeluarkan oleh setiap parti yang bertanding dan menilainya sebaik mungkin.

Ingat bahawa parti yang dipilih mesti mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara. Itu asas yang mesti digunakan oleh rakyat.

Ingat juga bahawa rakyatlah yang berkuasa. Dengan itu gunakan kuasa mengundi ini dengan sebaik mungkin. Jangan sia-siakan undi dengan cara tidak keluar mengundi, merosakkan kertas undi. 

Ingat juga, mengundi ialah bagi membolehkan mana mana parti untuk menubuh kerajaan dan seterusnya bagi mentadbir dan menguruskan aset dan kekayaan negara demi rakyat dan negara.

Rakyat wajib tahu:

i) Parti politik yang masuk bertanding dan bilangan kerusi yang di tandingi. 
ii) Syarat minima untuk menubuh kerajaan.
iv) Prestasi yang ditunjukkan oleh parti politik semasa menjadi kerajaan.

Bagi PRU 14 parti politik yang bertanding adalah terdiri dari UMNO/BN ; PH (PKR, DAP , AMANAH dan PPBM): PAS dan BEBAS.   

Walaupun PPBM atau Bersatu tidak mendapat kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan , ahli parti itu tetap bertanding bersama dengan parti parti dalam gabungan PH.

Calun Bebas boleh saja diketepikan kerana ianya tidak mampu menubuhkan kerajaan. 

Syarat minima untuk menubuh kerajaan Persekutuan ialah memenangi 112 daripada 222 kerusi parlimen. Ertinya calun bebas tidak boleh tubuh kerajaan. BN, PH dan PAS sahaja yang berpotensi menubuh kerajaan dengan syarat menang kerusi minima 112.

PAS menyatakan akan bertanding 130 kerusi. Tetapi jika PAS menyatakan keyakinan untuk hanya menang 40 kerusi dan jika menang sebanyak itu maka PAS juga tidak layak membentuk kerajaan.

PAS juga boleh diketepikan. Lagipun PAS tidak mungkin akan menang kerana pengundi PAS hanya terdiri dari orang Melayu yang terpaksa berkongsi dengan UMNO dan PH (PKR, AMANAH dan Bersatu) sedangkan parti parti lain mempunyai sumber pengundi dari bukan Melayu.

Jika mahu tubuh kerajaan, PAS tidak dapat melakukannya. Sia-sia undi diberikan kepada PAS.

Dengan demikian persaingan bagi menubuh kerajaan adalah diantara UMNO/BN dan PH sahaja.

Oleh itu pengundi jangan buang masa menilai selain dari UMNO/BN dan PH. Nilai prestasi parti parti ini. 

UMNO/BN telah menjadi kerajaan semenjak merdeka sehingga Sabtu esok (7 April 2018). Bagaimana prestasi UMNO/BN dalam memberi dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat?

Adakah pada tahap terbaik? Sederhana? Atau setakat 'bolehlah' atau buruk?

Nilaikan perkara atau kes berikut:
i) Kos sara hidup membebankan atau dalam kemampuan rakyat terbanyak.
ii) Bagaimana dengan GST? Membantu turun harga atau harga meningkat sehingga bertambah beban.
iii) Peluang kerja kepada warga negara. Pengangguran meningkat atau tiada pengangguran.
iv) Tahap gaji atau upah berbanding dengan kos sara hidup. Upah atau gaji meningkat seimbang dengan sara hidup atau terlalu rendah.
v) Tadbir urus aset dan kekayaan negara. Adakah  berlaku salahguna kuasa, rasuah , ketirisan dan pembaziran. Ambil contoh kes NFC, 1MDB, MARA dan FELDA. Bagaimana dengan kedudukan hutang dan simpanan negara.
v) Faedah kepada rakyat dari pertumbuhan ekonomi negara. Adakah faedah itu dinikmati oleh sebagian besar rakyat atau sebaliknya.
vi) Adakah bantuan kepada rakyat seperti BR1M sudah mencukupi bagi mengatasi kos sara hidup? 
vii) Bagaimana pula dengan kebebasan institusi penguatkuasaan termasuk kehakiman dalam menjalankan tanggungjawab. Adakah campur tangan atau bebas dari pengaruh eksekutif. Misalnya dalam kes penyiasatan dan pendakwaan rasuah.

Bagaimana pula dengan PH yang mentadbir Selangor dan Pulau Pinang?

Amat baik, sederhana atau buruk?

Fikir dan nilai perkara perkara berikut:

Bantuan bantuan seperti bas percuma, air percuma dan berbagai bantuan bagi kumpulan tertentu seperti bantuan hospital tidak membantu bagi merengankan beban sara hidup? Bagaimana pula layanan kepada penjawat awam di Selangor misalnya dari segi bayaran bonus tahunan. Adakah bayaran yang lebih dari yang diberikan oleh kerajaan persekutuan itu tidak membantu penjawat awam di Selangor atau Pulau Pinang.

Bagaimana pula dengan pengurusan kewangan? Tahap salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan lebih tinggi dari persekutuan atau negeri negeri di bawah UMNO/BN.

Bagaimana kedudukan hutang dan kemampuan membayar balik berbanding dengan persekutuan dan negeri negeri dibawah UMNO/BN. 

Parti manakah yang lebih baik?

Parti yang lebih baik itulah yang anda patut beri undi untuk menang dan menubuh kerajaan selepas PRU 14. Ingat , jangan sia-siakan undi dengan memilih parti yang mempunayi rekod yang buruk demi kebaikan rakyat dan kemakmuran negara , bukan sahaja bagi jangka masa pendek tetapi bagi jangka masa panjang, demi generasi yang akan datang.

Adalah tidak adil jika kita mewariskan hutang yang terlalu tinggi kepada generasi akan datang . 

Masa depan negara dan rakyat sama ada hidup sejahtera dan makmur atau sebaliknya amat bergantung kepada parti yang dipilih untuk mengurustadbir negara ini. Berhati hati memilih parti itu. 

Selamat Mengundi.