Theflowersellingboy

Ahad, 31 Januari 2016

Apa Yang Cucu Rindu Selalu

POKOK SAYUR PETOLA




Pokok petola daunnya lebar
Tumbuh subur dalam pasu
 
 
Sesiapa yang berminat sila lengkapkan pantun diatas.

Saya seorang datuk. Maksud saya bukan datuk berselindang. Bukan datuk yang diperolehi secara pemakaian selindang dari bahu kanan, melintangi dada kiri oleh pembesar negeri atau negara.

Saya datuk penerima zuriat, kelangsungan keturunan saya.

Alhamdulillah, Allah telah menganugerah saya 6 cahaya mata. Dua telah lebih awal menemui Allah semasa mereka belum sempat baligh. Itu kehendak Allah.

Empat orang lagi sudah tamat pengajian dan telah ada pekerjaan masing-masing. Tiga telah berumahtangga dan dua darinya telah mempunyai 2 orang anak. Kedua-duanya anak lelaki. Seorang lagi dikurniakan Allah anak perempuan, menjadi bunga, penyeri taman kecucuan saya.

Sayang sekali, saya tidak berkesempatan untuk mengambil gambar mereka  secara kumpulan.

Tapi apa ada kena mengena sayur petola dengan cucu-cucu saya itu?

Pokok sayur petola itu adalah lambang mewakili saya. Maksud pantun diatas mewakili cucu-cucu saya. Cuba teka, apa maksud pantun itu.

Saya anak orang kampong. Menanam sayuran seperti petola, cili, bende, kacang panjang, bawang, serai, kacang botol, peria dan sebagainya adalah kerja saya dan kerja anak-anak kampong semasa dulu. 

Bahkan satu dari mata pelajaran di sekolah rendah ketika itu ialah melatih murid menanam pokok sayuran. Murid yang menghasilkan sayuran yang baik akan diberi penghargaan. Penghargaan dalam bentuk puji-pujian. Tiada hadiah berbentuk material atau wang.

Jadi antara saya dan sayuran atau menanam pokok sayuran bukan perkara asing dan baru. Hubungannya telah lama wujud.

Cuma apabila sudah bekerja, tinggal pula di bandaraya dengan ruang kawasan yang tidak sebesar mana, tambahan pula masa yang terbuang diatas  jalan raya dik kesesakan lalu lintas, tidak lagi timbul minat untuk menanam sayur.

Apabila telah bersara, ada pula sedikit kawasan di sekitar rumah, dan masa pun ada, maka timbul semula minat untuk menanam sayur. Tapi sayangnya, minat ini baru saja timbul sedangkan saya telah lama bersara.

Mengapa? Sebabnya 'tak kuasa aku'. Ertinya malaslah. Dah penat bekerja. Mahu berihat saja.

Tapi cucu selalu balik pada hujung minggu.  Apa benda yang terlalu asing kepada cucu, yang apabila saya tunjuk, mereka rasa teruja mahu tahu? Nak bela lembu, kambing dan kerbau, saya tidak mampu. Nak buat reban ayam dan bela ayam, pihak berkuasa tempatan tidak benarkan.
 
Saya kena tunjukkan sesuatu yang baru atau asing kepada mereka.  Nanti seronoklah mereka balik ke rumah datuk nenek.

Takkan nak ajak main bola saja. Atau menunjuk monyet, lotong, cikah, kera dan beruk meniti talian letrik di depan rumah atau berlompatan serta bergayutan dari satu pokok ke pokok lain sambil mengendong anak didada.

Memang mereka seronok dan sentiasa menantikan 'show' dari binatang-binatang itu setiap kali berada di rumah saya.

Tapi takkan setiap cuti itu saja yang hendak ditunjuk kepada cucu. Jemulah mereka.

Maka timbullah semula minat untuk menanam sayur. Ia satu kerja yang senang. Buat siraman pagi dan petang dan membaja sekali dalam dua minggu. Kosnya mampu ditanggung. Tak seberapa. Hanya biji benih saja. Tenaga, alhamdulillah, masih sihat.

Apa berat kerja seperti itu berbanding dengan buat dan bentang kertas kerja dan berhujah dalam mesyuarat? 

Lagipun banyak pasu-pasu bunga yang terbiar. Isteri nampak gaya dah pencen dari kegemaran tanam bunga. Baik saya menfaatkan dengan menanam sayur.

Saya tanam cili, petola, kacang buncis, kacang panjang, tomato bayam dan  bende.

Petola, paling cepat membesar. Saya amat suka sekali kerana mahu tunjuk cucu-cucu tanaman saya itu. Ini adalah sesuatu yang baru dan asing bagi mereka.

Seorang cucu dari Putra Jaya, kebetulan talipon memberitahu akan balik pada cuti panjang nanti. Cucu di Ampang pun akan balik. Cucu di Pasir Gudang juga akan balik.

Macam mana tak seronok! Hanya datuk yang ada cucu saya yang tahu perasaan sebenar apabila mendengar anak cucu hendak balik.

Lalu semasa bercakap talipon dengan cucu di Putra Jaya, saya dengan hati yang terlalu gembira memberitahu bahawa ada sesuatu 'surprise' dari tokpa.

Dia tanya, apa yang 'surprise' tu. Apa hadiah yang hendak diberi.

Saya kata jika diberitahu tak adalah surprise. Lalu dia mahu cakap dengan neneknya dan tanya lagi apa hadiah yang tokpa nak beri. Nenek berterus terang dengan mengatakan tokpa nak tunjuk pokok sayur yang dia tanam.

Malam , pukul 10 cucu Putra Jaya dan ibubapanya sampai. Biasanya dia tidur. Tapi kali ini dia dengan segera menerpa saya yang sedang menunggu di pintu.

"Tokpa apa hadiah yang tokpa nak beri?"

Saya tidak sampai hati nak mengecewakan harapan cucu saya itu dengan mengatakan bukan hadiah tapi mahu tunjuk pokok petola. Lalu saya kata esok kita ke Jusco beli hadiah itu dengan syarat berkongsi main dengan adik dan sepupunya. Cucu saya itu amat gembira sekali sambil mengangguk bersetuju dengan syarat yang dikenakan.

Esok, sebelum membeli hadiah, saya berkebun. Cucu-cucu saya tidak keluar dari rumah. Bermain dalam rumah. Saya tidak berpeluang mengajak mereka melihat pokok petola yang tumbuh subur. 

Lagipun di luar banyak nyamuk. Saya pun tidak mahu mereka di gigit nyamuk. Tidak seperti abah saya dulu yang mengajak saya membantu menoreh pokok getah didalam ladang yang berkeliaran dengan nyamuk sehingga nyamuk menjadi bosan dengan darah saya.

Cucu saya begitu bergembira mendapat hadiah. Maka berkongsi mainlah sesama mereka. Kami berasa seronok dan gembira.

Semua kami ketawa suka kerana dari 'surprise' menjadi hadiah.

Orientasi cucu ketika ini jauh beza terutamanya dengan zaman kecil datuknya dulu. Surprise dulu membawa erti sesuatu yang tidak dijangka. Tapi surprise bagi cucu saya adalah sesuatu yang dia jangka iaitu hadiah.

Hadiah, hadiahlah. Yang penting kami semuanya dapat berkumpul dan makan bersama, dan bergembira.

Akhir sekali saya lengkapkan pantun diatas yang membawa maksud:

Datuk yang jauh tanyakan khabar
Apa yang cucu rindu selalu

Sudah tentu hadiah dari tokpa. 

Apa pun, sesungguhnya cuti panjang yang lepas amat menyeronokkan. Berjumpa lagi.
 
 
 
 

Jumaat, 29 Januari 2016

Kes 2.6 billion dan SRC International: Bagaimana Mahu Mencari Keadilan.




Kes kes derma 2.6 billion dan SRC International 42 juta telah diputuskan oleh peguam negara sebagai tiada kesalahan jenayah yang memerlukan pihaknya mendakwa PM. 

Maknanya kes ini tidak akan dibicarakan di mahkamah.
Peguam Negara bertindak atas kuasa budibicara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Maknanya apa yang dilakukan oleh peguam negara itu adalah sah dari segi undang-undang.

Oleh yang demikian mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan peguam negara itu, pada pandangan saya, tidak mempunyai asas undang-undang yang kukuh untuk mengatakan peguam negara telah tersasar membuat keputusan.
Selagi peruntukan budibicara berkaitan pendakwaan itu tidak dipinda dan digantikan dengan suatu peruntukan misalnya bahawa jika pihak penyiasat memperakukan bahawa ada kes untuk didakwa, peguam negara perlu melakukannya.

Tapi, apa guna jadi peguam negara jika hanya mengikut saja apa yang diperakukan oleh pihak penyiasat? 

Kalau begitu berikan saja kuasa mendakwa kepada pihak penyiasat!

Saya percaya, jika itu dilakukan, keadaan lagi bertambah celaru dan keadilan akan susah untuk ditegakkan.

Saya lebih cenderung dengan aturan yang ada sekarang ini iaitu peguam negara ada budibicara dalam menentukan sama ada perlu melakukan dakwaan atau sebaliknya setelah meneliti kertas penyiasatan oleh pihak penyiasat.

Namun begitu ada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan agar peguam negara boleh bertindak menurut bisikan hatinya (conscience) agar budibicara yang diberi itu dapat dilaksanakan tanpa mengambil kira risiko dan ancaman yang melibatkan kepentingan dirinya.

Ertinya, peguam negara tidak berada dibawah telunjuk atau kuasa mana-mana pihak. 

Apatah lagi jika pihak yang disiasat dan didapati ada kes untuk didakwa mempunyai kuasa ke atas peguam negara sama ada melalui lantikan jawatan atau apa saja bentuk hubungan yang membolehkan pihak yang berkuasa itu mengambil sesuatu tindakan yang merugikan/merosakkan kepentingan peguam negara itu.

Saya bersetuju dengan kenyataan seorang bekas hakim yang mengatakan bahawa tiada seorang peguam negara yang akan berani mendakwa PM di mahkamah. Sebab, yang meletakkan seseorang itu sebagai peguam negara adalah PM!

Mahu lawan tokeh, kata kawan-kawan saya semasa saya berselisih pandangan dengan bos dulu. Nanya kamu, kena tendang nanti.

Maka diamlah saya. Sebab takut kena tendang. Pada hal pandangan saya , ada fakta yang kuat dan maklumat yang sahih.

Begitulah dengan peguam negara kita. Satu jawatan yang amat tinggi dan dihormati serta diimpikan oleh banyak orang.

Beranikah peguam negara ambil risiko untuk mendakwa PM? Saya berani kata, peguam negara tidak akan berani berbuat demikian. Sebab, takut kena tendang. Belum sempat muktamadkan 'charge' sebelum ke mahkamah, peguam negara sudah tentu kena tendang.   

Saya kata diatas tadi bahawa tindakan peguam negara tidak tersasar dari kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Tapi saya berpendapat bahawa arahan peguam negara agar SPRM berhentikan penyiasatan dan tutup kes yang berkaitan adalah tersasar dari tugas jawatannya bahkan melampaui bidang kuasanya.

Kuasa penyiasatan, dalam kes ini, adalah tanggungjawab SPRM. SPRM tidak boleh ditunjuk oleh peguam negara. SPRM bukan dibawah peguam negara. Selagi SPRM merasakan bahawa siasatan perlu diteruskan, pihaknya boleh melakukan walaupun peguam negara mengarahkan siasatan ditutup.

Tapi, saya berat untuk mempercayai, SPRM akan memberhentikan siasatan. Sebab, yang hendak disiasat adalah PM yang dikaitkan dengan kes.

Berani SPRM meneruskan siasatan setelah peguam negara meminta siasatan diberhentikan?

Benar, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan arahan peguam negara itu, kerana SPRM bukan dibawah peguam negara. Tapi SPRM khususnya Ketua Pesuruhjayanya berada di jawatan itu adalah atas kuasa PM. 

Ertinya jika SPRM meneruskan siasatan setelah diarah oleh peguam negara yang telah melepaskan PM dari dakwaan, sudah tentu Ketua Pesuruhjaya itu atau sesiapa dalam SPRM yang begitu mahu sangat siasatan diteruskan, akan kena tendang atau apa-apa tindakan yang merugikan diri.

Sekali lagi saya katakan bahawa tindakan peguam negara tidak mendawa PM adalah sah dan tidak tersasar dari segi kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Jangan salah faham kenyataan saya diatas bahawa saya bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh peguam negara itu. Saya hanya bersetuju dari segi beliau menjalankan kuasa menurut yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Saya amat tidak bersetuju dari segi mencari keadilan. 

Keadilan bagi memberi peluang kepada PM membersihkan namanya atas dakwaan yang telah dibuat, dan keadilan kepada mereka yang memang amat yakin bahawa mahkamah saja yang layak memutuskan sama ada PM bersalah atau sebaliknya. Dan sudah tentu keadilan kepada mereka yang percaya bahawa terdapat kes yang kuat atas dakwaan itu berdasarkan berbagai maklumat dan petunjuk-petunjuk yang diperolehi.
 
Namun jika kedudukan peguam negara dan pihak penyiasat seperti SPRM masih berterusan seperti sekarang ini, masa depan untuk mencari keadilan boleh saja diabaikan.

Perubahan mesti dibuat jika kita mahu lihat keadilan mengambil tempat dalam sesuatu kes atau dakwaan: Keadilan kepada yang didakwa dan keadilan kepada yang mendakwa termasuk keadilan kepada pihak yang terlibat dalam kes iaitu pihak penyiasat dan pihak pendakwa. 

Khamis, 28 Januari 2016

Tidak ada cerita lain: Tidak jemu-jemu dengan cerita itu walaupun ianya menyakitkan hati


 
Dimana saja, ceritanya sama saja. Cerita tentang angka dan personaliti yang sama. 
 
Siapa saja mampu bercerita dan mendengar cerita itu. Tidak ada seorang pun yang jemu bercerita dan mendengar cerita itu. Tiada seorangpun yang rasa meluat dan bosan mendengar cerita itu walaupun mengulangsebut angka dan personaliti yang sama.
 
Biasanya kita akan bosan dengan cerita yang sama, sama ada sebagai tukang cerita atau mendengar cerita. Lalu kita segera angkat kaki. Tapi cerita ini tiada siapa yang merasa mengah untuk bercerita dan mendengar cerita.
 
Angkanya semua orang sudah hafal, iaitu 2.6 dan 42. Ada yang hafal lebih dari dua angka itu, beserta dengan perincian berkaitan dengan angka yang dicerita. 
 
Tentang personaliti, tidak perlu hafal. Hanya dia satu-satunya yang diulangsebut.
 
Cerita yang serious ini, yang menimbulkan kemarahan dan kebencian orang yang bercerita dan yang mendengar cerita, sudah menjadi satu penghiburlara. Dalam kebencian dan kemarahan ada gelak ketawa, seolah-olah cerita itu menghiburkan hati yang lara.
 
Tapi cerita ini bukan cerita penglipurlara seperti Mat Jenin yang banyak angan-angan mahu jadi orang kaya semasa memetik buah kelapa. Kerana kuat hayalannya maka jatuh bersama buah kelapa, mati terbongkang.
 
Atau bukan  juga cerita Pak Pandir yang merasa diri pandai tapi melakukan perkara yang bodoh seperti memandikan anaknya dalam air panas yang menggelegak. Anak yang menjerit dikatakan anaknya bersuka ria apabila dimandikan.
 
Atau cerita Lebai Malang yang menentang arus sungai. Berkayuh ke hulu waktu air surut dan ke hilir  waktu air pasang untuk menghadiri kenduri yang berakhir dengan kegagalan untuk sampai ke tempat yang dituju pada masanya. Maka kempunan tidak dapat makan.
 
Cerita-cerita diatas layak dipanggil penglipurlara atau menghibur hati yang lara. Cerita orang bodoh berlagak macam orang pandai. akibatnya tanggung sendiri.

Tapi cerita angka 2.6 dan 42 ini melibatkan satu personaliti saja. Personaliti yang hebat dan bukan bodoh. 

Tapi melakukan perkara yang bodoh dan menjengkelkan. Kalau setakat bodoh dan menanggung sendiri akibat kebodohan itu, tiada siapa pun yang marah dan benci. Mungkin ada yang simpati.

Bodoh dan jengkel sifatnya yang membuatkan orang menanggung beban. Dan dia bebas, setakat ini dari menerima kesan kebodohan dan kejengkilannya.

Maka marahlah orang ramai di mana-mana saja perjumpaan.  Mereka juga ketawa, bagi memujuk hati yang luka.
 
Tapi awas, tidak semua yang marah dan benci. Ada yang bertindak menjadi pendinding dan pelindung walaupun dalam hati kecil mungkin mereka berkata, "Apalah bodoh dan jengkelnya orang ini".  

Selasa, 26 Januari 2016

Tiada Lagi Meranem Coori Coori Kahee




Tiba-tiba terdengar suara orang menjerit.
 
"Lawak kau menyakitkan hati akulah".
 
Ketika itu aku berada di hospital rawatan sakit jiwa, menemani seorang kawan yang membawa saudaranya untuk rawatan susulan.
 
Semua mata memandang ke arah bunyi suara itu, termasuk aku. Jelas orang yang menjerit kuat itu adalah seorang dari pesakit yang sedang menunggu giliran. Dia berdiri dan duduk selang beberapa saat dan terus ketawa berdekah-dekah.
 
"Aku beri kau  2 juta nak obat  otak kau. Kau pulangkan 1 juta. Apa punya bodoh kau ni. Gila". Dia menghantukkan kepalanya ke kepala lutut. Disebelahnya ada seorang perempuan yang separuh usia, menepuk-nepuk bahu orang itu. Mungkin ibunya.
 
Semua yang memerhati, termasuk aku dan pesakit lain yang menunggu tidak merasa hairan dengan tingkah laku orang itu. Orang sakit jiwa memang begitu, aku rasa itu yang ada dalam kepala kami semua.
 
Saudara kawanku itu keluar dari bilik rawatan. Kami berjalan keluar menuju ke kereta masing-masing.
 
Kawanku itu baru 2 bulan ditukarkan dari Johor Baru. Oleh kerana belum lagi biasa dengan tempat baru, beliau meminta aku menemaninya untuk membawa saudaranya itu untuk mendapat rawatan sakit kemurungan yang sebahagian besar keluarganya percaya akibat dari buatan ilmu hitam.
 
Dalam kereta aku mengingat kembali kata-kata yang diucapkan oleh pesakit jiwa tadi. 
 
Sama ada siuman atau tidak, duit menjadi sebutan.  
 
Duit terlalu penting. Nak berubat perlukan duit. Sanggup pinjam jika tiada berduit.
 
Bagi orang yang menjerit tadi, dia merasa kecewa kerana sebahagian dari duit yang diberi bagi membantu seseorang telah dipulangkan. Lalu orang yang memulangkan wang itu dikatakan bodoh dan gila. Bahkan mengatakan orang itu buat lawak jenaka yang menyakitkan hatinya.
 
Betul juga, hati kecil aku menyokong kata-kata yang dihamburkan oleh orang itu. Kenapa dipulangkan wang itu sedangkan tiada syarat dikenakan seperti itu? Aku mengomel dalam hati. Bodoh! 
 
Kemudian aku ketawa malu. Malu pada diri sendiri kerana percaya pada kata-kata orang sakit jiwa. 
 
Mana mungkin orang mengembalikan bantuan wang yang telah diterima walaupun wang bantuan itu masih ada berbaki. Hanya orang gila saja akan buat lawak seperti itu.  
 
Tiba saja dirumah, dihadapan pintu isteri aku sedang menunggu. Belum sempat aku memberi salam isteriku bersuara,
 
"Dah tamatlah cerita yang satu itu". Isteri dan aku peminat number satu cerita itu.
 
Sebelum bertanya isteri, apa bendanya cerita yang satu itu, aku cuba meneka cerita itu.
 
"Cerita Meranem coori coori kahee".
 
Isteri aku mengangguk. Sedih diwajahnya amat terserlah sekali. Kesedihan menjangkit pada wajahku.
 
Tiada lagi Meranem coori coori kahee.     
 
 

Jumaat, 22 Januari 2016

Aku , Kau dan Dia: Apa Bezanya.




Aku ada perut. Kau ada perut. Dia pun ada perut.

Aku ada tekak. Kau ada tekak. Dia pun ada tekak.

Perut aku mahu diisi bila rasa lapar. Perut kau pun sama. Perut dia pun sama dengan perut kita.

Tekak aku rasa dahaga, aku perlu minum. Kau juga sama. Dia pun begitu juga.

Tanpa makan dan minum, pada adatnya, ikut logiknya aku cepat mati. Kau juga. Dia pun begitu. 

Macam mana pula tentang pakaian dan tempat tinggal?

Buat masa ini, dalam keadaan kos sara hidup yang melambung tinggi, aku tidak kisah tentang pakaian. Aku sanggup berbogel, asalkan boleh hidup lama. Apa yang hendak dimalukan. 

Tak ada rumahpun, boleh saja, sebab aku boleh bergelandangan. Bukankah bergelandangan itu satu cara hidup di negara kita yang kaya ini? Apa yang hendak dimalukan. 

Kau pula macam mana? Aku nampak kau macam malu untuk berbogel kerana minat kau membeli belah pakaian bukan main hebat lagi. Dia pun macam kau juga. 

Tempat tinggal kau dan dia, hebat, terang benderang dengan lampu begemerlapan, walaupun waktu siang, dihiasi pula dengan taman penuh dengan bunga-bungaan.

Kalau begitu, dari sudut perut dan tekak, aku, kau dan dia adalah sama. Perut perlu diisi bila lapar. Tekak yang dahaga perlu minum. Sebab aku nak hidup. Kau nak hidup. Dan dia pun nak hidup. 

Yang bezanya, aku tak malu berbogel sedangkan kau dan dia amat pemalu orangnya. Oleh kerana kau dan dia pemalu orangnya sudah tentu kau bukan dari darjat gelandangan.

Makan dan minum untuk kita hidup. Itu yang kita telah setuju.

Soalnya macam mana nak dapat makanan. Macam mana nak dapat minuman? 

Ya, aku mesti bekerja. Kau mesti bekerja . Dia pun mesti bekerja. Kita tidak boleh malas. 

Aku bekerja dapat upah atau gaji. Dari upah itu aku boleh beli makanan dan minuman. Kau dan dia pun serupa juga. Tidak boleh malas. Mesti ada usaha dan buat kerja.

Tapi kau tahu bahawa aku adalah seorang dari lebih 450,000 orang yang menganggur, tiada kerja. Banyak lagi kawan-kawan aku kena berhenti kerja. 

Macam mana aku dan yang lain-lain dan yang kena berhenti kerja itu boleh dapat gaji? Kalau tak ada gaji macam mana aku nak beli makan dan minum? Macam ini cepatlah aku dan setengah juta orang mati. Sebab tak makan dan minum.

Kau dan dia, aku nampak sibuk beri tahu supaya orang bekerja kuat dan berjimat cermat dalam perbelanjaan, dan buat simpanan.

Kerja kuat? Kerja pun tak ada. Orang yang ada kerja pun kena berhenti.

Nak simpan? Kau ni buat lawak jenakalah. Kerja pun tak ada. 

Lainlah macam kau dan dia, ramai orang yang suka beri derma. Tak ada kerja pun tak apa. Perut dan tekak kau dan dia takkan berlapar dan dahaga. Ada ramai yang suka suapkan makanan dan sudukan minuman. 

Umur kau dan dia dijamin panjang , sebab kau tidak pernah lapar dan dahaga. Nyamukpun tidak sudi menyuntik anggota badan kau, maklumlah berpakaian serba tebal dan tinggal di kawasan anti nyamuk.

Kau takut nyamuk aedes kan? Jangan khuatir, nyamuk aedes hanya suka bersarang di penjara saja.

Aku juga yang kelaparan dan dahaga ketika ini. Nampak gaya umurku tak sepanjang umur kau dan dia. 
 
Ok. Jika ada umur, jumpa lagi pada PRU 14.   
Ketika itu aku telah sedia ada niat untuk tidak mahu jadi orang yang lapar dan dahaga. Aku juga tidak mahu bergelandangan. Aku tidak mahu berbogel kerana ianya memalukan sekali.

Kawan-kawan ku yang senasib juga mempunyai niat yang sama.

Kau dan dia bagaimana?

Aku tahu apa yang kau dan dia mahu. Ya, kau dan dia mahu lebih hebat lagi. Cuma aku cadangkan kau dan dia, cuba merasai  macam apa yang aku dan kawan-kawanku rasai. Seharipun tidak mengapa.

Selasa, 12 Januari 2016

Semakan Semula Bajet 2016.




Ekonomi dunia ketika ini tidak memberansangkan. Malaysia tidak terlepas dari kesan negatif itu.

Dua faktor utama yang mempengaruhi ekonomi negara kita iaitu:

i) Faktor luaran iaitu ekonomi dunia yang tidak memberansangkan yang diluar kawalan.

ii) Faktor dalaman (yang sepatutnya kita boleh kawal) iaitu kesan dari pengurusan ekonomi negara.

Tindakan kerajaan mengkaji semula bajet 2016 yang telah dibentangkan pada Oktober 2015 yang lepas adalah petanda yang jelas bahawa pertumbuhan ekonomi negara tidak seperti yang dijangkakan dalam bajet awal itu.

Hasil yang dijangkakan dahulu tidak akan dapat dicapai kerana kejatuhan harga minyak yang mana sebahagian besar pendapatan negara datangnya dari minyak.

Oleh yang demikian perbelanjaan yang dirancang dahulu perlu disesuaikan dengan jangkaan hasil yang berkurangan yang akan diperolehi nanti. Maka banyaklah pemotongan perbelanjaan yang akan dibuat.

Itulah ubahsuaian yang mesti dibuat dalam kajian semula bajet 2016. 

Jika ubahsuaian itu  bertujuan untuk melakukan pemotongan perbelanjaan, kerajaan sewajarnya berhati-hati dalam memilih butiran perbelanjaan yang akan dikurangkan. 

Perbelanjaan-perbelanjaan yang mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan rakyat seperti pendidikan, kesihatan, perumahan dan kebajikan sebaik-baiknya tidak dikurangkan. 

Kurangkanlah perbelanjaan perjalanan dan pengangkutan termasuk penggunaan minyak dan penyenggaraan, bayaran perundingan dan iktisas, keraian, pembelian harta modal seperti kenderaan, perabut dan kelengkapan jabatan, kerja-kerja ubahsuaian, pembelian cenderamata dan sumbangan terutama kepada organisasi seperti NGO.

Tetapi jika ubahsuaian itu bertujuan untuk menampong kekurangan hasil , kerajaan boleh melakukannya dengan pengenaan cukai baru dan/atau menaikkan peratus kadar cukai yang sedia ada, misalnya GST dinaikkan melebihi 6%; dan juga membuat pinjaman baru.

Saya percaya kerajaan tidak mampu melakukannya kerana ianya akan menaikkan lagi kemarahan rakyat yang sedang membara ketika ini kesan dari tekanan dan beban kos sara hidup yang tinggi hasil dari GST dan juga kenaikan berbagai perbelanjaan harian seperti pengangkutan dan tol.

Tapi jika itu yang mahu dilakukan, walaupun tindakan itu tidak berhati perut, kerajaan  masih boleh melakukannya kerana kerajaan mempunyai majoriti yang cukup untuk meluluskannya.

Sebab itu kedudukan ekonomi negara sama ada memberi faedah dan menfaat yang lebih kepada sebahagian besar rakyat atau menyusahkan rakyat adalah terlalu sangat bergantung kepada bagaimana sumber negara diuruskan. 

Jika diuruskan dengan cekap dan penuh tanggungjawab maka tekanan kepada kehidupan rakyat dapat dikurangkan walaupun pendapatan hasil minyak yang diluar kawalan kita berkurangan .

Ertinya tidak ada pembaziran. Ertinya tidak ada perlakuan rasuah dan salah guna kuasa. Ertinya memberi tumpuan perbelanjaan yang memberi faedah langsung kepada rakyat dan bukan perbelanjaan bermegah-megah dan menaikkan emej atau prestij. Ertinya hasil/pendapatan dari sumber pinjaman digunakan atau disalurkan kepada perbelanjaan-perbelanjaan yang boleh menjana pendapatan baru.

Hutang jangan bertambah diluar kemampuan.
  

Isnin, 11 Januari 2016

Iriz 1.6 adalah jodohku.

 


Beberapa hari sebelum memasuki tahun 2016.
 
Mula-mula intai honda city dan honda jazz. Salah satu kereta itu adalah pilihan pertama. Amat berkenaan dimata, suka dihati jika dapat memiliki salah satu kereta-kereta itu. 
 
Tapi malang sekali, jurujual memberitahu stok  sudah habis bagi tahun 2015. Kena tunggu tahun 2016.
 
Berkenan punya fasal , sanggup tunggu tahun 2016. Enam hari lagi, bukannya lama.
 
Jurujual sambung cerita lagi. Harganya tidak sama, akan naik paling kurang 2 atau 3 peratus dari harga 2015.
 
Muka menjadi berkerut, tidak seceria seperti pada mula berbicara dengan jurujual. 
 
Ini bukan tidak ada stok 2015. Ini fasal nak naik harga. Dasar peniaga yang mahu buat untung. Sakitnya hati.

Lupakan saja honda city dan honda jazz.

Segera hati berubah, lalu menuju ke garaj volkswagen. Sepuluh minit panduan kereta, sampailah disitu.
 
Jurujual bermulut manis dan berwajah ceria segera menyambut, penuh hormat, mempersilakan mengintai mana-mana kereta jenama volkswagagen yang berkenan dihati.
 
Semuanya cantik dan berkenan dihati. Tapi yang paling menarik ialah dari jenis beetle. Warna hitamnya amat elegant sekali, bentuk badan yang sporty.
 
Tapi membuat intaian beetle seminit dua kerana bukan itu yang dicari walaupun amat mengkagumi kehebatannya. Harganya amat padan dengan rupa dan kehebatannya. Dan harga itu memang sudah  sedia diketahui mahalnya, diluar bajet yang telah dirangka. Tapi hati tidak marah, terima seadanya, tidak seperti si citi dan jazz tadi.
 
Lalu kaki melangkah melihat jenis polo, berwarna putih. Hati terpikat juga, tapi bukan warna putih yang diidamkan. Warna merah, itu yang dicari.
 
No problem. Bisa diatur, syaratnya kata setuju saja. Harga tetap sama, 2015 atau 2016. Jika ada kereta yang mahu 'ditukar beli' (trade in), ianya boleh diuruskan. Kata jurujual yang berbudi bahasa itu.
 
Wah, itu yang dicari, boleh trade in. 
 
Mercedez  230E berusia 20  tahun lebih sedia dimangsakan walaupun ianya amat sentimental kerana semenjak kecil sehingga tamat pengajian universiti, mercedez itu yang sentiasa berada dimata. Terlalu banyak jasanya yang perlu dikenang.
 
Nilainya 5 ribu saja, beritahu sijurujual. 

Tapi 5 ribu sudah cukup membantu kerana harga kereta polo melebihi dari  bajet yang ada. 

Membalas kata-kata manis jurujual itu dengan senyuman sebagai kata isyarat ok, akan dipertimbangkan.

Mengintai pula golf. Cantik dan berkenan juga. Cuma harganya tidak termasuk dalam senarai yang disediakan, mahal.

Setelah memberikan number talipon tangan kepada jurujual bagi tujuan untuk dihubungi , teringat pula kereta jenis mazda. Lalu memandu ke sana mengambil masa 15 minit.

Cantik, sungguh cantik terutama yang berwarna merah. Jurujual menerangkan 'features' kereta itu. Memang berkenan dihati. Setakat itu saja kerana memang sudah sedia tahu bukan untuk dimiliki. Semua fasal harga.

Ada rupa, ada harga, kata orang. Oleh tiada apa yang hendak dibebelkan.

Honda city dan jazz, out. Polo, berkenan juga tapi bayaran balik pinjaman sebulan agak tinggi, hampir 900. Nak mampus! Mazda, out.

Jadi semuanya out. Lupakan saja untuk memiliki sebuah kereta. Pakailah kereta papa untuk ke tempat kerja. Honda city juga!

Pada suatu hari, setelah selesai membeli belah di pasar raya, singgah sebentar untuk mengintai kereta proton Iriz 1.3 yang dipamirkan di dalam kompleks pasar raya itu.

Iriz ini tidak pernah muncul dihati. Sebab itu , walaupun kereta itu sentiasa ada disitu setiap kali membeli belah di pasar araya ini, ianya langsung tidak pernah didekati. 

Entah macam mana, hari itu, timbul perasaan ingin tahu. Tapi bukan hendak membeli kerana tidak ada apa yang menarik dihati.

Jurujual peramah juga orangnya, menerangkan 'features' Iriz itu. Katanya Iriz 1.6 lebih menarik. Ada 'touch screen', tidak pakai kunci untuk menghidupkan injin,  6 beg keselamatan dan blah blah blah kebaikannya berbanding dengan 1.3. Lagi pun diberikan rebet. Jadi tidak perlu bayar wang pendahuluan. Pinjaman diberi sepenuhnya. Harga tetap sama, sama ada diperolehi pada 2015 atau 2016.
 
Harga 55,900. Bayaran pinjaman sebulan 600 lebih , tak sampai pun 700.

Tapi warna kereta yang dilihat (1.3) adalah putih. Bukan yang diimpikan.

Warna merah, tidak jadi masalah, kata jurujual yang peramah itu. 

Dia akan usahakan untuk dapatkan kereta itu sebelum masuk tahun 2016, yang hanya 3 hari lagi akan muncul.

Tidak mungkin dia dapat berbuat begitu. Itu cakap seorang jurujual, mesti meyakinkan pembeli. Tapi 2015 atau 2016 tidak penting. Yang penting harga mesti dalam lingkungan bajet yang telah dirangka. Bayaran bulan pun begitu juga, 600 lebih sebulan, adalah dalam kemampuan diri.

Ok. Bersetuju.

Petang ini, 11 Januari 2016, jurujual akan menghantar kereta Iriz 1.6, yang tidak pernah ada dalam hati. Itulah yang dikatakan jodoh memiliki sebuah kereta.



 
 
 

Ahad, 10 Januari 2016

Anak-anak Sekarang Tidak Tahan Lasak. Mampu Bertempur Di Medan Perang?




"Kat luar ni banyak nyamuk. Asyef masuk dalam rumah".

Saya sedang terbongkok-bongkok mengadun campuran tanah hitam dan kuning untuk digunakan bagi menanam berbagai jenis sayuran, ketika cucu saya Yousef , adiknya Rafael dan kedua ibubapa mereka sampai di rumah.

Yousef segera mahu mendekati tempat kerja saya dibawah sepohon pokok mangga. Tapi malang baginya, sebelum sempat mendekati tempat kerja saya itu, saya telah mengeluarkan ayat seperti diatas. 

Yousef tidak membantah, tapi nampak macam kecewa. Isteri saya pula bersetuju dengan permintaan saya itu, bahkan menambah dengan menyakinkan Yousef bahawa nyamuk terlalu banyak dan gigitannya amat gatal sekali.

Adakah cara saya itu boleh membina kekentalan semangat dan ketahanan anak muda pada masa depan yang penuh dengan cabaran?

Saya tidak ada jawapan yang pasti kerana cabaran pada masa hadapan saya sendiri tidak dapat membayangkan. Cuma secara am ianya berbeza dengan cabaran ketika ini dan pengalaman yang saya telah lalui.

Semasa saya berumur enam tahun lebih, memasuki tujuh tahun, saya memasuki darjah satu tanpa ditemani ibubapa mahupun saudara tua untuk mendaftar sebagai pelajar baru. 

Pergi ke sekolah, mengikuti kawan-kawan tanpa tahu hari pertama itu adalah hari pendaftaran murid baru. Kemudian duduk dalam kelas atau darjah satu, yang hanya satu sahaja. Apabila tamat waktu sekolah, saya pun balik bersama dengan kawan-kawan.

Balik ke rumah sudah tentu berkaki ayam. Bukan saya seorang, boleh katakan kesemuanya begitu, melalui jalan merah berdebu, dan ada tempat-tempatnya terpaksa memijak batu-batu merah yang tajam (batu krikel). Tapi tidak pernah rasa sakit, selamba saja kaki memijak batu-batu itu.

Waktu itu kegemaran selepas sekolah atau waktu cuti ialah mandi sungai dan masuk hutan melastik burung.

Mengulangkaji  pelajaran? Oh itu perkataan yang tidak pernah kami dengar. Tidak wujud dalam pemikiran sama ada keluar dari mulut guru mahupun ibubapa. Apatah lagi dari diri sendiri.

Buat kerja tambahan? Ya, hal ini adalah satu kewajipan:  

i) Menjaga kerbau dan lembu 

ii) Mengandar air dari perigi ke rumah untuk mengisi penuh tempayan

iii) Mencari kayu api untuk masak memasak makanan harian

iv) Bersama bapa dalam kerja menorih getah

v) Dan apa-apa saja kerja yang diarah dari masa ke semasa.

Kerja tambahan itu tidak dibayar. Semua kerja itu bukan bertujuan untuk mendera. Ianya satu keperluan dalam kehidupan pada ketika itu.  Dapat makan  minum ala kadar dan pakaian sehelai dua sudah lebih dari baik.

Dan yang paling penting bagi saya, saya dibenarkan meneruskan persekolahan, tidak seperti sebahagian besar kawan-kawan yang lain, berhenti sekolah untuk menolong bapa menorih getah.

Satu pujian adalah layak diberikan kepada kedua ibubapa saya walaupun kehidupan kami sama dengan keluarga yang lain, miskin dan susah, bahkan lebih dhaif berbanding dengan setengah dari mereka.

Jika kena berhenti sekolah, saya ingat pegang laptop pun saya takut.

Oleh kerana kerja tambahan itu tidak berbayar, dan untuk mendapat wang dari ibubapa adalah kosong, maka saya buat kerja 'part time'. 

Saya melakukan kerja membersihkan kawasan tanaman anak pokok getah dengan membuang rumput-rumput yang terdapat disekeliling sesuatu batang anak pokok getah itu. 

Bayarannya beberapa sen (saya kurang ingat dengan tepat  berapa bayaran) bagi satu batang. Yang pasti saya seronok mendapat wang 20 sen dalam tempoh melakukan kerja itu.

Selain dari kerja tambahan, sama juga dengan anak-anak lain, saya suka memanjat pokok seperti pokok manggis, langsat, rambuatan , rambai, kelapa dan banyak lagi seperti pokok sentul. 

Seingat saya , dua kali saya jatuh. Satu semasa panjat pokok rambutan dan sekali lagi pokok manggis. Jatuh dari pokok manggis paling menakutkan, hampir pengsan. Tapi perkara tersebut tidak perlu diberitahu kepada ibubapa kerana habuan yang diterima ialah rotan atau paling kurang akan dimarahi secara menyindir, "Lain kali panjat tinggi-tinggi".

Fasal gigitan nyamuk dan calar balar dianggota badan dik tusukan batang dan daun berduri sudah menjadi perkara biasa- alah bisa tegal biasa -boleh menahan kesakitan.

Itulah saya dan anak-anak kecil zaman saya.

Semasa saya membesar anak-anak, ianya berlainan sekali.
Macam mana dengan cucu saya? 

Caranya sama seperti yang saya lakukan kepada anak-anak, bahkan lebih dari sepatutnya.

Semasa anak saya kecil, saya mewajibkan mereka pakai selipar atau kasut semasa berjalan. Mereka tidak dibenarkan berjalan tanpa dipimpin. Mereka tidak dibenarkan panjat pokok. Mereka ditegah bermain atau duduk ditempat-tempat banyak nyamuk. Dan mereka tidak buat kerja seberat yang saya telah lakukan.

Cucu pula? Hukum yang sama saya gunakan.

Jadi mereka tidak lasak seperti saya. Sedikit kerja sudah mengeluh dan rasa penat. Kena gigit nyamuk seekor dua, saya amat susah hati. 

Kalau tidak tahan lasak macam mana mereka mampu bertempur di medan pearang?   

Itu yang saya selalu tanya. Kemudian saya menjawab sendiri: Mereka tidak perlu ke medan perang. Mereka tekan jari saja di komputer atau alatan canggih , berterbanganlah peluru menuju ke pihak musuh.

Oh begitu agaknya cabaran yang mereka hadapi pada masa depan. Banyak gunakan kecerdasan otak dan kepantasan jari.

Khamis, 7 Januari 2016

Antara Cerita HO





Satu berita mengatakan seramai lebih 1,000 HO yang tidak meneruskan tempoh latihan bekerja selama 2 tahun. 

Mengapa? Dua sebab telah disebut,  iaitu:
i) kelemahan  bahasa Inggeris.  
ii) tekanan kerja dan suasana tempat kerja.

Sebab yang pertama telah disanggah oleh seorang doktor, yang menyatakan punca sebenarnya ialah tekanan kerja dan suasana tempat kerja.
Saya cenderung untuk bersetuju dengan sebab no (ii). 

Tidak mungkin mereka yang telah berjaya mengikuti kursus selama 5/6 tahun dan dianugerahkan ijazah dalam bidang perubatan, tidak mampu menghadapi kerja hanya semata-mata disebabkan bahasa Inggeris. 

Teruk kah bahasa Inggeris mereka? Saya meragui sampai keperingkat yang menyebabkan mereka sanggup melepaskan jawatan pegawai perubatan (HO). Mesti ada sebab lain.

Apakah bahasa Inggeris saja boleh menjamin HO meneruskan latihan tempoh dua tahun?

Tidak mungkin. Itu alasan mereka yang tidak berhenti-henti memperkecilkan kemampuan dan kebergunaan bahasa selain dari bahasa Inggeris. Itu juga alasan yang sentiasa diperbesar-besarkan mengapa graduan susah untuk dapat kerja.

Saya percaya ada agenda tertentu yang melatarbelakang alasan bahasa itu!

Bahasa Inggeris adalah penting. 

Dan bahasa kebangsaan sesebuah negara (seperti Bahasa Mandarin bagi negara Cina, Bahasa German bagi negara German, Bahasa Perancis bagi negara Perancis, Bahasa Jepun bagi negara Jepun,  Bahasa Arab bagi negra Arab, dan Bahasa Indonesia , yang tidak banyak beza dengan Bahasa Melayu bagi negara Indonesia) adalah juga penting, mengatasi kepentingan Bahasa Inggeris. 

Cuma di Malaysia ini kita menekankan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua penting kerana hasil dari warisan penjajah.  Walaupun ianya warisan penjajah, bahasa itu amat penting.

Tetapi tidak adil mengatakan bahawa  graduan menganggur  atau HO tidak meneruskan latihan 2 tahun kerana tidak menguasai bahasa Inggeris. Satu pemikiran yang kalut dan kolot!

Lagipun di Malaysia ini para doktor berkomunikasi dengan sebahagian pesakit yang boleh dan faham Bahasa Melayu. Apa sangat pentingnya bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu, dari segi ini?

Saya tidak bermaksud hendak berbicara lebih tentang bahasa. 

Saya mahu bicara tentang HO. Tentang latihan kerja yang mereka hadapi. Itupun setakat maklumat yang saya ketahui. Mungkin terdapat beberapa kelemahan dalam kenyataan yang saya paparkan. Saya bukan seorang doktor.

Apa itu HO?

HO (house officer yang lebih dikenali dengan panggilan houseman) adalah seorang pegawai perubatan yang baru dilantik atas gred gaji UD41 yang wajib menjalani latihan bekerja selama tempoh 2 tahun dibawah pengawasan dan penyeliaan doktor kanan iaitu MO (medical officer) dan Doktor Pakar.

Dulu ( kalau tidak silap sebelum tahun 2010) tempoh HO hanya satu tahun. Tapi pihak berkuasa telah menambah kepada 2 tahun atas alasan perkhidmatan dokter melibatkan nyawa manusia. Dengan itu tempoh latihan yang panjang adalah lebih baik.

Sama ada ianya satu alasan yang kukuh atau ada sebab lain, tidak dapat dipastikan.

Selepas tempoh 2 tahun, dan jika diperakukan oleh pihak atasan, HO akan bergelar MO.

Dalam struktur hubungan kerja kedoktoran, HO adalah peringkat yang paling rendah, diikuti oleh MO dan doktor pakar.

HO adalah pekerja bawah ( ada yang memanggil  sebagai  'kuli'). MO sebagai mandor dan doktor pakar sebagai pegawai. Saya harap tidak begitu.

Dalam menjalani tempoh HO, setiap dari mereka akan ditempatkan selama 4 bulan dalam sesuatu jabatan. Dan mereka kena 'tagging' (dibawah pengawasan) sepenuhnya selama dua minggu/sesuatu tempoh yang ditetapkan bagi sesuatu penempatan jabatan, sebelum boleh di'offtag' (dilepaskan).

Macam-macam cerita yang kita boleh dengar dari HO ini. Sebahagian besar ceritanya adalah berkaitan dengan susah payah yang mereka hadapi. 

Saya hanya mahu memaparkan 3 sahaja: 

i) Mereka mengeluh dari segi waktu kerja yang panjang. Misalnya masuk pukul 7 pagi, balik pukul 11 malam. Itupun belum tentu. Jika ada kerja yang belum beres, akan menjangkau pukul 12 malam. 

Sampai ke rumah pukul 12.30 malam. Itupun jika rumah berdekatan hospital. Selera makan,  sudah jadi tumpul. Cepat masuk tidur, esok pukul 7 pagi mesti ada dihospital. Kalau susah tidur, esok bekerja dengan kepala yang sakit untuk merawat pesakit. 

Kerja terlampau banyak. Pesakit ramai. Kena jaga 2 ward. Masa makan pun tidak tentu. Ada yang tidak sempat makan. Tidak ada masa rehat. Dapat gastrik.

Namun begitu, saya berpandangan beban kerja yang banyak yang dikatakan menekan tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak meneruskan tempoh dua tahun latihan itu.

Sebagai makluman, perkhidmatan kerajaan yang lain pun seperti guru menghadapi fenomina kerja yang sama.

ii) Tidak ada tempat letak kereta. 

Ini adalah fenomina biasa dalam perkhidmatan kerajaan kepada semua penjawat awam, ketika ini, melainkan penjawat awam berjawatan tinggi. 

Walaupun kerja itu penting dan kritikal kerana melibatkan nyawa manusia, kemudahan tempat letak kereta tidak disediakan.

Maka HO ini jadi naik semput kerana terpaksa bergerak ke tempat kerja seawal mungkin, sambil memandu kereta dengan laju, semata-mata untuk berebut atau mahu mencari tempat letak kereta.
    
Itu, kalau ada kereta. Bagaimana jika menggunakan pengangkutan awam yang secara amnya tidak cekap? Lagi kalut HO itu dibuatnya.

iii) Gaji yang lambat diterima. Bagi mereka yang baru saja jadi HO, paling cepat mereka dapat gaji ialah setelah dua bulan kerja. Ada juga diberitakan sampai 3 bulan.

Amat menghairankan perkara ini boleh berlaku dalam zaman komputer ini. Tidak hairan jika berlaku pada zaman 70an dulu, semuanya dilakukan secara manual. Itupun paling lewat saya terima gaji pada bulan kedua dari tarikh mula kerja.

Perkara ini penting kepada pekerja baru terutama mereka yang datangnya dari keluarga yang tidak mampu mendahulukan wang mereka. 

Macam mana hendak bayar sewa rumah termasuk berbagai deposit dan bayaran sewa pendahuluan sebanyak tiga bulan sewa, tambang ke tempat kerja, makan minum dan berbagai perbelanjaan yang lain.

Yang saya agak pasti, HO ini boleh menjimatkan atau kurangkan belanja dalam hal makan minum sebab masa berbuat demikian terlepas begitu saja kerana lebih fokus kepada melakukan tugas mereka.  

Walaupun menghadapi cabaran yang agak berat, diharapkan HO tidak mudah patah hati. Teruskan tugas anda yang murni itu. 

Saya percaya suatu hari nanti, iaitu apabila anda telah berjaya melalui tempoh 2 tahun HO ini, anda akan merasa bangga dan berpuas hati dengan tugas yang anda telah lakukan, banyak pesakit yang anda telah bantu bagi memulih dan merawat serta menyelamatkan nyawa mereka. 

Dan sudah tentu anda akan menjadi MO pula, dan seterusnya jika anda bercita-cita mahu jadi doktor pakar, peluang anda terbuka luas. 

Selamat bertugas untuk HO  khususnya kepada anak saya.

Ahad, 3 Januari 2016

Secebis Kisah Di Sebuah Pasar.




Saya mulakan bicara tahun 2016 dengan kisah di sebuah pasar. 
 
Saya duduk di sebuah kerusi batu berhampiran dengan beberapa gerai kecil menjual mainan kanak-kanak, minyak wangian, pakaian dan hiasan wanita. Isteri yang melakukan pembelian.
 
Saya suka memerhatikan berbagai perlakuan orang yang berulang-alik . Antara yang menarik bagi saya ialah tentang rezeki setiap gerai itu. Ada saja rezeki masing-masing. Ada juga orang datang membeli.
 
Melihat keadaan itu maka bertambah kuatlah kepercayaan saya bahawa setiap orang itu ada rezeki yang Allah peruntukkan. Yang penting kita ada usaha. Sedikit atau banyak rezeki yang diperolehi bergantung kepada usaha kita, dan yang telah ditentukan oleh Allah. Bersyukurlah kepada Allah.
 
Dalam memerhati itu, saya dapat kesan bahawa tidak banyak tawar-menawar dilakukan diantara pembeli dan penjual. 
 
Tidak seperti sewaktu zaman emak saya dulu dimana dia akan minta tawar apa saja barang yang dia beli walaupun dengan meminta pengurangan sebanyak lima sen (ketika itu lima sen nilainya tinggi dari sekarang, boleh beli satu bungkus nasi lemak).
 
Dalam banyak hal emak saya berjaya. Peniaga Cina yang diminta kurang harga itu akan memanggil emak saya sebagai tanda bersetuju dengan harga yang diminta.
 
Maka emak saya tersenyum, seolah-olah dia sudah berjaya. Cina itupun tersenyum juga kerana dia juga dapat untung kerana barangnya laku.
 
Sekarang tidak banyak tawar menawar. Kalau setuju dengan harga, barang itu di beli. Kalau tidak setuju, ditinggalkan saja. Penjual tidak akan panggil pembeli datang semula.
 
Saya melihat dua pola perlakuan ini sebagai gambaran kemesraan hubungan dua masyarakat pada zaman yang bebeza. 
 
Peniaga dan pembeli dahulu mempunyai hubungan yang mesra. Mereka saling tawar menawar, tapi tidak marah-marah, yang berakhir dengan peniaga bersetuju dengan harga yang diminta dan pembeli senyum puas hati.
 
Sebaliknya pembeli dan peniaga ketika ini, lebih menampakkan ciri-ciri penting diri sendiri, yang dapat saya simpulkan dalam ayat ini: "Ini barang/duit aku. Kalau setuju kau beli/jual, kalau tak setuju kau boleh blah/simpan barang kau".
 
Jadi tidak hairanlah ketika ini berlaku pergaduhan diantara pembeli dan peniaga. Peniaga mahu buat keuntungan secara menipu, dan pembeli pula mencari jalan untuk mendapatkan barang itu secara mencuri.
 
Tapi apa yang saya lihat di pasar ini, tidak lah begitu.
 
Perkara kedua yang menarik perhatian saya ialah terdapat seorang anak muda Melayu (usia dalam lingkungan belasan atau menghampiri dua puluhan atau awal dua puluhan), berkopiah putih berkain sarong seperti pakaian orang Pakistan atau Timur Tengah  berdiri dilaluan orang membeli belah membelakangkan kedai menjual wangi-wangian dengan memegang satu kotak memohon derma bagi pembinaan sebuah masjid.
 
Reaksi spontan saya ialah mengapa anak muda ini mohon derma di pasar? 
 
Saya sendiri menjawab pertanyaan saya itu...dengan mengatakan kerana disini ada ramai orang. Peluang untuk dapat derma adalah lebih baik. Lagipun sebahagian besar yang ke pasar ialah orang Melayu.
 
Benar. Saya lihat ramai yang menderma. Dan pada penilaian saya yang menderma itu bukanlah orang kaya tetapi berpendapatan rendah dan sederhana. Hati mereka sungguh baik.
 
Saya pula bagaimana? 
 
Secara am saya merasakan malu kepada bangsa dan agama lain dengan cara memohon derma sebegini. Untuk membina sebuah masjid, kita perlu menggunakan tenaga anak muda berdiri berjam-jam memegang kotak derma mohon ikhsan agar orang menderma. Apakah itu nilai dan harga yang wajar kita berikan kepada anak muda itu? Adakah itu kerja yang terbaik baginya? 
 
Saya amat marah sekali. Dalam hati saja. Dimana perginya pihak berkuasa. Dimana wang zakat yang dikutip berjuta ringgit. Bukankah membina masjid ini termasuk dalam kategori fi sabillilah, yang layak diberikan dari wang zakat.
 
Lagipun jika pihak berkuasa mengambil berat, sudah tentu pihak tersebut dapat mengesahkan bahawa tujuan derma itu adalah bagi maksud pembinaan masjid. 
 
Namun begitu, saya berkeyakinan bahawa jika anak muda itu sanggup berdiri berjam-jam, menjual air muka, untuk mohon bantuan atau derma, maka anak muda itu telah memberi satu pengorbanan bagi tujuan yang baik. Jika tanya saya, saya tidak mampu melakukannya.
 
Lalu dengan segera saya menyeluk poket. Malang sekali tiada wang ringgit Malaysia. Nasib baik dalam beg duit ada wang lebihan Singapura. Maka saya pun mendekati anak muda itu. Saya bertanya adakah beliau terima wang singapura. Dia beri salam dan mengatakan bahawa wang singapura juga dia terima.

Begitulah sedikit cerita bagi paparan pertama saya bagi tahun 2016.