Theflowersellingboy

Rabu, 20 April 2011

Hitch hiking-Batu 4 Jalan Cheras ke Johor Baru....6


Batu empat Jalan Cheras
Hajat kembara ke Singapura
Usaha ada kerja pun keras
Takdir tuhan tentukan segala

Aku disebelah kiri dan Dosmy disebelah kanan. Kecewa? Tidak juga. Lain kali kan ada, 'jika usia masih ada ke Singapura lah kita Mi'


Selepas sarapan pagi di rumah bapa Rohani di Larkin ,Dosmy dan Aku telah bersiap sedia untuk bergerak ke utara menuju Melaka. Berita  Mersing dinaikki air telah membantu kami membuat keputusan untuk mengakhiri  perjalanan atau hitch hiking kami. Selepas bersalaman dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Rohani dan keluarga maka menapaklah kami menuju ke utara. Seperti yang telah kami alami sebelum ini, ada beberapa pemandu kenderaan mengulangi perangai yang sama berhenti melampaui kami, menunggu beberapa ketika, dan meluncur laju bilamana kami telah menghampiti kereta mereka. Rupanya perangai seperti ini sudah menjadi satu budaya. Tetapi tidak semua yang buat begitu. 

'Tidak semua yang buat begitu', memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan pengembaraan secara hitch hiking ini. Kami boleh saja menaikki bas dan mampu membayar tambang bas ke Melaka sebab duit masih lagi banyak berbaki. Banyak makan free berbanding belanja menggunakan wang sendiri. Tempat tidur pun percuma, di Kubu, rumah bapa saudara Dosmy, di masjid Parit Jawa dan malam tadi di rumah Pak Shariff bapa Rohani.

Sebuah lori yang sederhana besar berhenti. Aku dan Dosmy tidak ghairah untuk segera mendekati lori itu, Kami berjalan bersahaja dan selamba saja. "Mau naik kah", Tanya pemandu itu apabila kami melintasi lorinya. Aku dan Dosmy saling pandang memandang. Aku semacam tidak percaya dengan ajakan apek separuh umur itu. Takkan apek tua ini faham tentang hitch hiking. Entah-entah tak pernah pergi sekolah. Kalau tidak tak kan jadi pemandu lori.

"Kita naiklah. Jangan memilih", Dosmy mematikan keraguan yang ada dalam kepalaku mengenai ajakan si apek tua itu. "Mana mau pergi?', lancar juga Bahasa Melayu si apek itu. "Saya Skudai berhenti", sambung siapek sebelum kami dapat membuka mulut untuk menyatakan destinasi kami. "Skudai, boleh juga ", jawab Dosmy yang duduk ditengah diantara siapek dan Aku. Dalam perjalanan yang tidak laju itu kami berbual-bual dengan si apek tua itu. Beliau menyatakan bahawa beliau bekerja sebagai pemandu lori sayur dan mempunyai empat orang anak dimana dua orang sedang belajar di luar negara. Seorang di Australia mengambil Akauntansi yang dijangka selesai tidak lama lagi dan seorang di England dalam bidang perubatan, tahun kedua. Apabila ternampak kami beliau merasa belas kerana merasakan anaknya diluar negeri itu mungkin berkeadaan seperti kami. Katanya lagi kalau dia tolong orang, orang lain akan tolong anaknya pula. "Awak mesti kerja kuat. Mesti banyak belajar", antara nasihat yang diberikan apabila kami memberitahu bahawa kami masih bersekolah lagi.
 
Aku sebenarnya merasa amat malu kerana mempunyai perasaan memandang rendah terhadap si apek yang baik hati itu. 

Sesampai saja di di Pekan Skudai hampir memasuki pukul 12 tengah hari, kami turun dan mengucapkan terima kasih kepada apek pemandu lori yang baik hati itu. Beliau mengajak kami makan bersama, Jawapan pertama kami ialah terima kasih sebagai cara menolak yang berbudi bahasa. Namun beliau bersungguh mengajak dengan menyatakan kedai makanan itu kedai Melayu. Beliau pula suka makan masakan asam pedas. Terliur juga seleraku apabila masakan asam pedas disebutkan, dan sambil memandang pada Dosmy, "Tauke sudah ajak, apa boleh buat, terima kasih sajalah", kami melangkah  menuruti si apek itu.

Berselera sungguh kami bertiga makan.

Sebelum berpisah, kami sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada si apek dan beliau pula  mengulangi nasihat untuk kami belajar rajin-rajin dan selamat dalam perjalanan. 

Waktu memasuki pukul satu. Matahari memancar membakari anggota badan kami. Kami terus menapak keutara dalam panas terik . Dosmy mencadangkan supaya berhenti untuk berteduh apabila ternampak  beberapa batang pokok berhampiran dengan jalan yang kami lalui. Aku bersetuju kerana  itupun yang Aku mahu. Selain dari beberapa batang pokok besar terdapat juga tumbuhan yang lain terutama pokok senduduk.
Kami menyandarkan badan pada batang pokok itu untuk melepaskan kepenatan. Perutku pula buat pasal, angin menggelodak didalamnya. Aku tidak boleh tahan, ada sesuatu yang mahu keluar segera. "Mi, kau tunggu sini. Aku nak pergi ke pokok senduduk tu", kataku sambil menunjuk kearah perut denga muka ku berkerut. "Cepat sikit, nanti ada kereta berhenti", Dosmy memberi tekanan semasa aku dalam keadaan tertekan.

"Oii cepatlah", panggil Dosmy semasa Aku baru saja mengesat sesuatu menggunakan daun senduduk, bersuci tanpa air. Maka berlari-lari Aku menuju ke arah Dosmy. Sebuah kereta sport yang tidak berbumbung telah sedia berhenti. "Mari naik", jemput pemandu yang berkulit cerah macam  mat salleh. Dosmy duduk di hadapan dan Aku di belakang. "Nak ke mana? Saya nak ke Melaka, Radio Melaka", pemandu macam mat salleh mahu tahu destinasi kami sama ada sama dengan destinasinya. "Sama pakcik", jawab Dosmy. "Panggil uncle, Uncle Mat, Ahmad Wan Yet pemain violin terkenal", uncle itu memperkenalkan diri sambil tersenyum dan ketawa kecil. Nama itu memang telah biasa bagi kami, cuma inilah kali pertama bertemu. Kulit putih macam mat salleh. 

Dosmy memandang Aku sambil tangannya mengipas-ngipas hidung  apabila melihat Aku duduk dalam keadaan yang tidak selesa. "Ada lalat ke? Tanya uncle Mat. "Tadi ada, dah lari kebelakang", Dosmy menahan ketawanya. "Ok lah bila kereta berjalan, larilah dia", kata uncle mat yang segera meluncurkan keretanya. Dosmy dan Aku ketawa kecil saja..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan