Apa itu mudharat? Menurut pengertian dalam Kamus Dewan Edisi Baru 1971 yang dieja mudarat, ianya memberi makna sebagai tidak beruntung; menanggong rugi; tidak berhasil; berbahaya; melarat. Pengertian yang diberikan itu kesemuanya bersifat negatif iaitu sesuatu yang tidak baik yang perlu dielakkan atau dijauhi. Tidak sesiapa pun ingin berada dalam keadaan seperti itu.
Professor Hamka dalam Tafsir Al-Azhar, semasa memberi huraian tafsirannya yang berkaitan dengan hubungan suami isteri telah mengambil Hadis Rasullullah s.a.w yang bermaksud , "Jangan ada yang memberi mudharat dan jangan ada kemudharatan". Beliau menjelaskan bahawa sesuatu keputusan atau tuindakan yang hendak dibuat, misalnya dalam hal talak, nusyuz dan yang lain-lainnya berkaitan hubungan suami isteri hendaklah dibuat dengan mengambil kira kesan yang tidak akan memberi mudharat atau kemudharatan. Ertinya mudharat ini mesti dielakkan.
Benarkah memberi mudharat akan menghasilkan kesan yang negatif? Benar, kepada sesiapa atau apa saja yang menerima mudharat kesannya merugikan. Misalnya kita ditimpa kemalangan jalan raya. Itu sesuatu yang kita tidak mahu berlaku dan cuba elakkan. Tapi dalam kehidupan harian kita, misalnya, semasa memandu kenderaan, selalunya kita terlupa, atas pengaruh nafsu marah keatas pemandu lain, atau untuk menunjuk-nunjuk atau berseronok maka kita memandu laju sehingga tidak memperdulikan peraturan atau keselamatan diri dan pengguna yang lain. Kita tahu ianya memudharatkan, tapi tetap kita lakukan. Ertinya kita yang memberi mudharat.
Kalau berlaku kemalangan, kita akan rugi termasuklah orang lain yang terlibat sama.
Ertinya yang mendatangkan atau yang memberi mudharat akan rugi apatah lagi yang menerima. Dalam kata lain yang mendatangkan mudharat itu juga akan menerima kesan dari perbuatannya.
Ada kah pihak lain yang mendapat faedah? Jawabnya ada. Workshop membaikki kereta, klinik yang membuat rawatan kecederaan, kedai-kedai alat ganti dan banyak lagi yang mendapat faedah dari kemudharatan itu tadi. Ini perkara biasa, lumrah alam. Ada yang mendapat kerugian atau kesusahan dan ada yang mendapat faedah dari kesusahan itu. Kalau begitu mengapa kita ambil pusing tentang sesuatu kemudharatan kerana ianya juga menghasilkan sesuatu yang berfaedah kepada yang lain. Terima sajalah sebagai sebahagian dari rencah-rencah kehidupan. Mungkin pada hari ditimpa kemalangan itu kita berduka, kita merasa rugi. Tetapi selepasnya dalam beberapa tahun apabila kita mempunyai anak dapatlah kita bercerita melalui teladan bahawa lari laju itu sesuatu yang boleh mendatangkan mudharat seperti yang kita alami. Malah kadang-kadang kita seronok menceritakan kisah yang duka itu kepada anak kita. Sekali lagi kenapa atau mengapa kita ambil pusing tentang mudharat itu?
Satu contoh lagi ialah tentang pencemaran alam sekitar. Kita atau orang lain telah tidak diajar untuk menjaga kebersihan persekitaran atau pun kalau kita telah diajar tetapi masih bebal, misalnya minat kita yang merokok dalam kenderaan dan menjentik keluar puntung rokok bertaburan diatas jalan. Apa salahnya, kerana menghisap rokok memberi kepuasan kepada kita dan puntung rokok yang bersepah itu akan dikutip oleh pekerja majlis tempatan. Takkan mereka nak makan gaji buta? Dik kerana perangai kita itulah yang menyebabkan pekerjaan mengutip sampah diujudkan di majlis tempatan berkenaan. Siapa untung dan siapa penyebabnya. Sudah tentulah kita yang orang kata mencemarkan persekitaran.
Banyak lagi contoh dalam kehidupan kita ini membuktikan bahawa yang tidak baik atau merugikan disatu pihak akan juga memberi kebaikan kepada pihak yang lain.
Kita ambil satu contoh lagi dari banyak contoh-contoh yang lain. Contoh ini atau perbuatan ini semua orang benci, kutuk macam nak gila, keluarkan fatwa dan ayat-ayat yang mengutuknya tetapi perbuatan ini bukan main hebat di masyhurkan, diamalkan malah diajak untuk terlibat sama, sama ada melalui penglihatan, pendengaran atau tukang memanjangkan melalui kata bualan, pembicaraan mahu pun pemberitaan. Siap dengan gaya dan mimik mukanya sekali. Apa dia perbuatan itu agaknya? Kita tahu anda seorang yang bijak meneka. Mungkin juga anda seperti kita yang lain peminat yang sama, mungkin juga tidak.
Perbuatan yang kita selalu dengar dan lihat ialah kerja umpat mengumpat. Ada juga yang kata tuduh menuduh. Tak kurang yang kata cela mencela. Fitnah memfitnah , pun sama juga. Semua marah dan benci. Tak suka, dosa besar, dosa kering antara alasan yang diberi untuk mengnyahkan perbuatan yang teramat keji dan jijik lagi menjijikkan itu. Orang surat khabar yang perdana, sederhana dan yang tidak ada nama, semuanya mengecam. Yang gunakan alam siber pun turut sama. Mereka kata bukan budaya bangsa dan amalan agama kita. Orang tv bagaimana? Sama saja, hentam benci perbuatan seperti ini. Ada kan rancangan agama , forum perdana, tapi rancangan gossip jangan lupa, gossip saja! Orang awam pula? Sama juga marahnya, adakah ceramah disana, disini, disitu dan dimana-mana.
Itu cerita yang mudharat, yang bahaya dan yang merugikan. Semua orang benci dan tak suka. Betul tak? Jawabnya tak betul. Sebab perbuatan seperti itu ada faedah dan untungnya kepada sesiapa yang berfikir ia boleh menguntungkan, misalnya dia boleh kekal ditempat yang mewah itu, tempat yang punya kuasa dan pengaruh, tempat yang selesa lagi menyelesakan. Apa salahnya kita memaparkan gambar yang bergerak atau tidak bergerak yang boleh menceritakan perbuatan keji seseorang yang pada pendapat kita boleh membwa kerosakan kepada bangsa agama dan negara. Bukan kah kita menjalankan dakwah amal makruf nahi munkar? Kenapa ada pihak yang perlu marah-marah. Mereka itu tidak rasional dan cuba menyembunyikan perbuatan yang kotor, melindungi kemungkaran. Maka tidak salah kalau kita sekeluarga iaitu datuk, nenek, ayah, emak dan anak-anak menonton sama adegan yang orang lain kata lucah itu. Apa salah atau dosanya kalau kita paparkan didada surat khabar kita. Ini untuk kebaikan. Sekurang-kurangnya surat khabar kita akan banyak laku dan menguntungkan. Untung itu boleh kita sumbang, derma, bantu mereka yang memerlukan Bukankah itu dikatakan kita telah menjalankan 'corporate social responsibility? CSR. Mereka tak faham niat ikhlas kita!
Itulah saja contoh-contoh dan hujah yang dapat kita ketengahkan tentang tajuk hari ini. Yang mana baik atau rugi itu adalah menjadi pertimbangan masing-masing yang telah diberi otak oleh Allah SWT. Cuma, bukan nasihat tapi ingat mengingat saja bahawa hari ini kita disini, esok disana, lusa disitu, tulat, langkat, mabat, suhat dan macam-macam hat lagi kita dimana-mana. Akhirnya, semua orang tahu, dalam tanahlah kita, itupun kalau ada yang sayang, kalau tidak entah dimana. Kan ke kita ada pewaris, ada generasi untuk membawa obor-obor kita? Wallahulam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan