Theflowersellingboy

Selasa, 17 Disember 2019

MESTI BIJAKSANA DALAM BERHADAPAN DAN MENGURUS PROVOKASI DARI DEPAN, BELAKANG , KIRI KANAN, ATAS DAN BAWAH



"Bijaksana ertinya bijak dalam berhadapan dan menguruskan segala aspek atau gejala dalam sebuah kehidupan yang akan menghasilkan kesan positif". 

Ertinya bijak disana dan bijak disini, dimana sahaja kita berada atau apa sahaja status dan kedudukan kita atau dalam apa sahaja yang mendepani secara terang dan tersembunyi, kita mesti bijaksana untuk menguruskannya.

Dalam berdepan dan menguruskan PROVOKASI , seseorang itu mesti bertindak secara bijaksana. Tidak boleh gopoh, emosional sehingga merosakkan pertimbangan yang waras dan rasional, terjebak dan terjerat dalam nafsu amarah yang tidak terkawal sehingga melahirkan tindakan yang kaunter produktif yang merugikan sebaliknya memberi keuntungan kepada pihak yang membuat provokasi. 

Contoh : Isu Mahathir serah PM kepada Anwar.

Banyak provokasi dalam isu ini. Anwar dan penyokong serta rakyat yang mahu Anwar jadi PM 8 seperti yang dipersetujui oleh Majlis Pimpinan PH, mesti mendepani dan menguruskannya dengan bijaksana.

Mahathir, selepas beberapa bulan diangkat sebagai PM, pernah membuat kenyataan bahawa beliau akan serah kuasa kepada Anwar selepas 2 tahun menjadi PM.

Masa berjalan, Mahathir yakin beliau mendapat sokongan rakyat sebagai PM, lalu mood Mahathir sebagai PM mula sedikit demi sedikit berubah. Mahu tambah tempoh masa dengan berbagai alasan: antaranya beri peluang 2 atau 3 tahun; dia tidak boleh meninggalkan jawatan PM pada separuh jalan; banyak tugasan yang belum selesai, dan dia mempunyai pengalaman untuk mendepani masaalah negara seperti kemerosotan ekonomi; dan yang terakhir akan menyerahkan kuasa pada Anwar selepas persidangan Apex pada November 2020 dengan beralasan , ITUPUN JIKA RAKYAT MAHU ANWAR  jadi PM.  

Alasan yang sungguh MENGHINAKAN!

Selain  provokasi dari Mahathir , provokasi juga datang dari penyokong-penyokong kuat Mahathir dalam berbagai bentuk antaranya: kenyataan atau cadangan,

(i) Anwar dijadikan salah seorang anggota kabinet Mahathir dalam rombakan kabinet,
(ii) Anwar dilantik sebagai TPM,
(iii) Anwar dijadikan sebagai Menteri dengan Tugas Khas,

Anwar 'cool' sahaja dengan jawapan yang sedarjat dengan kata-kata 'PADAN MUKA', dengan tegas mengatakan dia tidak pernah mahu dan minta masuk dalam kabinet Mahathir; dia nak jadi PM sahaja selepas Mahathir.

Respons Anwar ini amat menyakitkan hati penyokong Mahathir dengan mengatakan Anwar gelojoh , tak sabar dan hanya mahu jadi PM sahaja.

Anwar diseksa dan dipenjara 10 tahun lamanya dia dikatakan tidak sabar dan gelojoh?

Mahathir jadi PM dua kali sehingga mencapai angka 24 tahun sebagai PM, dan sekarang tidak mahu berhenti, kau kata seorang yang penyabar dan tidak gelojoh dan tamak kuasa

Formula matematik apa yang kau pakai? 

Adakah 0 + 0 dalam kes Anwar yang tidak pernah menjadi PM berbanding dengan Mahathir 22 + 2+... jadi PM, kau kata Anwar gelojoh , tak sabar, tamak kuasa ?

Respons Anwar adalah betul kerana dia PEGANG PADA JANJI. Inilah pemimpin yang kita perlukan memimpin negara ini. TEPATI JANJI!

Yang paling dahsyat dan tidak boleh diterima akal yang sihat ialah apabila Azmin , timbalan presiden PKR dan Zuraidah, Naib presiden parti itu, lantang menyokong Mahathir menjadi PM sehingga akhir penggal, sehingga PRU 15. 

Menentang presiden parti sendiri? Jadi tidaklah salah ramai rakyat yang membangkitkan karektor SiKITOL dan RAJA MENDALIAR, pengkhianat Kerajaan Melayu Melaka sehingga jatuh ketangan Portugis, secara menyindir dan terus terang mengaitkan dengan dua watak pimpinan PKR itu.

Sikap dan tindakan dua karektor ini amat PELIK dan MUDAH diFAHAMI.

Sekarang bukan sahaja nama SIKITOL dan MENDALIAR sentiasa berada dibibir rakyat, satu nama/watak baru telah diperkenalkan iaitu SIKENTIT. Siapakah gerangan SIKENTIT itu?

Kenyataan dan provokasi  Mahathir itu mendapat sokongan dari ahli/pimpinan  parti Bersatu dan PAS., serta beberapa pimpinan UMNO. 

Provokasi yang terkini dan panas ialah Akuan Bersumpah seorang yang bernama Yousef Rhauteer ( maaf saya kurang pasti ejaan namanya) menuduh Anwar melakukan serangan seksual. Kes ini segera mendapat tindakan Polis. 

Anwar segera menafikannya dengan membuat laporan Polis sebelum penuduh ini membuat laporan polis.

Ada tangan ghaib disebalik tudauhan ini? Allah sahaja yang MAHA MENGETAHUI. Ghaib mahupun terserlah, ianya tidak penting. Yang penting mahu ditimbulkan persepsi bahawa Anwar manusia yang tidak bermoral dan kerana itu tidak layak jadi PM.

Saya semacam mengingat semula kata-kata itu atau kata-kata yang membawa maksud seperti itu, pernah dilafazkan oleh seseorang pada zaman dahulu kala. Siapakah gerangan orangnya? 

Apakah ini bukan provokasi? Sah ianya adalah provokasi. 

Provokasi ini mengundang segera respons dan reaksi  yang panas MEMBANTAH dari sebahagian besar ahli/pimpinan PKR, DAP dan AMANAH serta rakyat yang terlalu muak dengan mainan politik kotor mungkir janji  ini. Maka Perkataan-perkataan yang kurang enak dihamburkan terhadap Mahathir terutama dalam media sosial menyelar dan meminta Mahathir segera turun dari jawatan dan serah kuasa kepada Anwar.

Perlukah provokasi itu direspons dengan rasa marah dan benci kepada Mahathir?

Ya amat perlu,  namun AWAS.  Suara bantahan perlu dinyatakan dengan terang dan jelas, berani dan tegas tidak berganjak dengan sikap tidak ada tolak ansur.

Namun ianya mesti dilakukan dengan berawas dan berhati-hati kerana ada jerat dan perangkap yang sedang dipasang. Sejarah telah merekodkan ada berbagai cara, teknik dan tektik untuk kekal berkuasa, akan dan boleh digunakan, by hook or by crook.

Oleh itu respons mestilah dilakukan tanpa hilang pertimbangan yang waras. Tidak perlu menimbulkan suasana yang tegang sehingga  'pihak musuh' mengambil kesempatan membuat provokasi yang lebih menyakitkan hati, sehingga boleh mencetuskan pergaduhan. Dan pergaduhan ini adalah alasan terbaik bagi menggagalkan peralihan kuasa.

Setakat hari ini respons Anwar adalah bersifat 'cool', bercermat. Anwar sentiasa mengulangi  sokongan kepada Mahathir dengan sentiasa berkata beri ruang kepada Mahathir'.

Bagi saya itulah sifat yang perlu ada bagi seorang pemimpin yang berdepan dengan provokasi yang amat menyakitkan hati. lagi menghinakan. Mesti ada kebijaksanaan, disana dan disini.

Namun penyokong dan rakyat Malaysia yang tahu dan faham maksud JANJI hendaklah terus mendesak Mahathir serahkan kuasa kepada ANWAR seperti yang dijanji, tapi jangan beri peluang musuh untuk menjerat dan memerangkap untuk menggagalkan Anwar  dimahkotakan sebagai PM yang ke 8 dalam masa yang terdekat.

Semua pihak mesti ingat bahawa Majis Pimpinan PH adalah pihak yang memutuskan Mahathir sebagai PM dan pihak itu juga yang memutuskan serahkuasa PM kepada Anwar menurut perjanjian yang telah dimetrai.

Sebab itu ahli Majlis Pimpinan PH berada dalam keadaan 'cool' sehingga hari ini. Itu layanan mereka keatas setiap provokasi yang dilontarkan oleh Mahathir dan gengs.

Mengakhiri isu provokasi ini, saya ingin mengingatkan beberapa kenyataan yang telah dikeluarkan oleh orang politik tentang Mahathir:

Bekas TPM Musa Hitam antara lain berkata yang membawa maksud '..anda tidak kenal siapa Mahathir....dia boleh tuduh saya melakukan seks luar tabie jika saya melawan dia...:

Seorang perwakilan UMNO dalam persidangan parti itu baru-baru ini menyatakan yang membawa maksud bahawa Mahathir tidak boleh dipercayai dengan memberi beberapa contoh tindakan dan hubungan Mahathir yang tidak mesra dengan pimpinan parti . Antaranya Mahathir dengan Husein Onn, tindakan meletak jawatan sebagai PM oleh Musa Hitam, Ghafar Baba yang melepas jadi PM,  Paklah yang didesak meletak jawatan, Anwar yang dipecat dari TPM dan Najib yang awalnya disokong tapi didesak letak jawatan, dan dikalahkan dalam PRU 14.

Mahathir akan buat apa sahaja untuk mencapai cita citanya. Dan dia telah berjaya setakat ini.

Tapi kali ini ianya satu lagi ujian kepada Mahathir sama ada akan berjaya untuk menyekat Anwar jadi PM ke 8. Bagi Mahathir janji bukan sesuatu yang perlu ditunaikan. Manifesto PH bukan al-Quran, dengan demikian boleh saja diabaikan. Janji yang telah dipersetujui  oleh Majlis Pimpinan PH bukan janji dalam al-Quran maka boleh sahaja diketepikan melainkan janji menjadikan Mahathir sebagai PM ke 7.

Untuk meredakan rasa kecewa sebahagian besar penyokong Anwar  hayatilah rangkap pantun dibawah ini:


Rakyat tanya Madir bila mahu berhenti
Nanti jawab madir tunggu aku....
Kau jawablah sendiri


Ahad, 15 Disember 2019

Orang Politik: Sabar, Kuasa dan Gila Kuasa




Tafsiran perkataan Sabar, Kuasa dan Gila Kuasa bagi orang politik dan bukan politik adalah berbeza dan berbagai dikalangan mereka , menurut kedudukan, kecenderongan dan kepentingan diri masing-masing.  Ia tidak ikut formula matematik.  Majoriti tidak mengikut iman -amal makruf nahi mungkar. Ada sahaja alasan digunakan bagi melepaskan diri dari hukum politik itu. 

Dalam matematik apabila 2 + 2 = 4. Formula ini diterima pakai semua manusia di dunia. Begitu juga  22 + 2 lebih banyak dari 0 + 0. 

Tapi tidak semua orang mengatakan begitu. 

Baik. 

Kita mulakan dengan perkataan sabar.  Sabar itu secara mudah kita fahami  dan terima  sebagai satu usaha untuk melawan /menahan nafsu marah atau ghairah atau gelojoh atau tamak haloba.

Tapi tidak semua orang yang bersifat melawan/menahan nafsu-nafsu itu dikatakan mempunyai sifat sabar.  Orang itu boleh saja dikatakan ghairah dan gelojoh, tidak sabar untuk mengambil atau mendapat sesuatu kedudukan atau sebagai pesaing bagi sesuatu kedudukan.

Katakan A adalah pesaing kepada M  bagi menduduki sesuatu kedudukan, misalnya menjadi PM. A walaupun belum pernah jadi PM, secara formula matematik, yang  kedudukannya 0 + 0 = 0 berbanding dengan M yang telah menjadi PM kali pertama 22 tahun, kemudian berehat dan kemudian menyambung dua tahun bagi kali kedua (22 + 2 = 24), setakat ini  berjumlah 24 tahun, A masih lagi dikatakan tidak sabar dan gelojoh untuk jadi PM. M yang telah 24 tahun dan terus jadi PM masih tidak dikatakan gelojoh dan gila kuasa.

Dengan demikian Sabar dan Gila Kuasa mempunyai pemahaman yang berbeza.

Namun apa yang sama dan tidak berbeza dalam ukuran politik ialah bahawa tanpa ada kuasa politik tidak ada apa apa makna. Sebab itu bermati-matian orang politik untuk mendapat kuasa dan mengekalkan kuasa dengan apa cara. Termasuk MUNGKIR JANJI. Tapi tidak semua yang bersifat seperti itu dipanggil GILA KUASA.

Dalam politik Malaysia setakat sekarang Anwar Ibrahim dikatakan tidak SABAR, GELOJOH dan GILA KUASA!





Isnin, 2 Disember 2019

USAH KAMU WAHAI PEMIMPIN .........




Hari ini saya terbaca ucapan dari Perdana Menteri yang menasihatkan golongan miskin agar jangan sentiasa mengharap bantuan dari kerajaan sahaja, sebaliknya berusaha bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Diharap apa yang saya baca itu  bukan suatu kenyataan yang palsu.

Jika benar ianya bukan kenyataan yang palsu, sesungguhnya saya amat kecewa sekali, nak marah tidak mampu, siapalah saya yang asalnya golongan miskin, yang sentiasa kena lutu. 

Kecewa kerana kenyataan seperti itu  datangnya dari pemimpin tertinggi negara yang telah diamanah untuk menguruskan kekayaan negara ,  sebuah negara yang kaya. Apatah lagi kerajaan menjanjikan kekayaan negara itu akan dikongsi bersama (shared prosperity).

Soalan  saya : Apakah golongan miskin ini tidak termasuk dalam kiraan perkongsian kekayaan itu, dan hanya dimasuk kira apabila memerlukan undi dari mereka?

Bagaimana pula golongan miskin mula berkata: Kamu orang politik jangan sentiasa mengharapkan undi kami. 

Cukup setakat itu. 

Memadailah bagi saya memberitahu kepada pemimpin kita, sama ada yang berfikiran sama seperti PM kita ini atau berfikiran selain darinya bahawa ianya jauh dari kebenaran bahawa golongan miskin hanya mengharapkan bantuan dari kerajaan sahaja dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan mereka. Mereka tiada KECUKUPAN tapi MEREKA ada MARUAH, BEKERJA KERAS untuk satu kehidupan yang diredhai Allah.

Apa BUKTINYA?

GOLONGAN MISKIN sentiasa bangun  jam 4 pagi menyiapkan diri tanpa sarapan pagi bersedia ke ladang bukan kepunyaan sendiri untuk menoreh getah atau berpanas terik ditengah hari dalam sawah bendang atau ke laut disunyi pagi menyabung nyawa mencari ikan dan hasil lautan yang lain yang entahkan ada entahkan tiada.

Lihat sahaja pekerja binaan, yang semuanya bukan golongan kaya atau anak golongan kaya, berpanas terik berhujan lencun, melakukan kerja berisiko tinggi yang mengancam keselamatan diri dan nyawa, menerima upah yang tidak sepadan dengan tenaga yang dikeluarkan. 

Adakah mereka tidak layak mendapat bantuan dan pertolongan kerajaan misalnya mereka dilindungi dengan polisi gaji minima yang sekurang-kurangnya setara dengan kos sara hidup, kalau pun tidak lebih dari itu. Menyediakan tempat tinggal yang selesa, bersih dan selamat.

Bukankah lebih bermenfaat perdana menteri dan pimpinan memikirkan perkara seperti diatas dari mengungkitkan golongan miskin yang sentiasa mengharapkan bantuan dari kerajaan. 

Kalau tidak mengharap bantuan kerajaan kepada siapa yang boleh mereka harapkan. Adakah kerajaan bukan tempat menggantung harapan?


Golongan miskin ini sesusah mana mereka, mereka tidak memilih untuk merompak wang negara dengan berbagai cara. Itu bukan jalan yang mereka pilih. Mereka ada maruah, mengharap keberkatan ALLAH dan takut DOSA.

Bagaimana pula dengan gologan pimpinan yang BERKUASA dan KAYA yang kuasa mereka pun atas belas ikhsan dari orang MISKIN juga, adakah mereka tidak mengharap bantuan Kerajaan?

Saya ada jawapan. Tapi kerana saya asalnya dari golongan miskin, yang amat mendalam akan hal kehidupan golongan miskin mengulangi sekali lagi bahawa golongan miskin ada maruah. Bantuan yang kami harapkan pun hanya kerana kami tiada kecukupan. Dan kurang kecukupan itu juga antaranya adalah disebabkan ketidakadilan dalam pembahagian kekayaan negara.

Golongan miskin ingin bertanya: Dimana perginya kekayaan negara itu. Tidak mahu berkongsi sama?