Theflowersellingboy

Selasa, 17 Disember 2019

MESTI BIJAKSANA DALAM BERHADAPAN DAN MENGURUS PROVOKASI DARI DEPAN, BELAKANG , KIRI KANAN, ATAS DAN BAWAH



"Bijaksana ertinya bijak dalam berhadapan dan menguruskan segala aspek atau gejala dalam sebuah kehidupan yang akan menghasilkan kesan positif". 

Ertinya bijak disana dan bijak disini, dimana sahaja kita berada atau apa sahaja status dan kedudukan kita atau dalam apa sahaja yang mendepani secara terang dan tersembunyi, kita mesti bijaksana untuk menguruskannya.

Dalam berdepan dan menguruskan PROVOKASI , seseorang itu mesti bertindak secara bijaksana. Tidak boleh gopoh, emosional sehingga merosakkan pertimbangan yang waras dan rasional, terjebak dan terjerat dalam nafsu amarah yang tidak terkawal sehingga melahirkan tindakan yang kaunter produktif yang merugikan sebaliknya memberi keuntungan kepada pihak yang membuat provokasi. 

Contoh : Isu Mahathir serah PM kepada Anwar.

Banyak provokasi dalam isu ini. Anwar dan penyokong serta rakyat yang mahu Anwar jadi PM 8 seperti yang dipersetujui oleh Majlis Pimpinan PH, mesti mendepani dan menguruskannya dengan bijaksana.

Mahathir, selepas beberapa bulan diangkat sebagai PM, pernah membuat kenyataan bahawa beliau akan serah kuasa kepada Anwar selepas 2 tahun menjadi PM.

Masa berjalan, Mahathir yakin beliau mendapat sokongan rakyat sebagai PM, lalu mood Mahathir sebagai PM mula sedikit demi sedikit berubah. Mahu tambah tempoh masa dengan berbagai alasan: antaranya beri peluang 2 atau 3 tahun; dia tidak boleh meninggalkan jawatan PM pada separuh jalan; banyak tugasan yang belum selesai, dan dia mempunyai pengalaman untuk mendepani masaalah negara seperti kemerosotan ekonomi; dan yang terakhir akan menyerahkan kuasa pada Anwar selepas persidangan Apex pada November 2020 dengan beralasan , ITUPUN JIKA RAKYAT MAHU ANWAR  jadi PM.  

Alasan yang sungguh MENGHINAKAN!

Selain  provokasi dari Mahathir , provokasi juga datang dari penyokong-penyokong kuat Mahathir dalam berbagai bentuk antaranya: kenyataan atau cadangan,

(i) Anwar dijadikan salah seorang anggota kabinet Mahathir dalam rombakan kabinet,
(ii) Anwar dilantik sebagai TPM,
(iii) Anwar dijadikan sebagai Menteri dengan Tugas Khas,

Anwar 'cool' sahaja dengan jawapan yang sedarjat dengan kata-kata 'PADAN MUKA', dengan tegas mengatakan dia tidak pernah mahu dan minta masuk dalam kabinet Mahathir; dia nak jadi PM sahaja selepas Mahathir.

Respons Anwar ini amat menyakitkan hati penyokong Mahathir dengan mengatakan Anwar gelojoh , tak sabar dan hanya mahu jadi PM sahaja.

Anwar diseksa dan dipenjara 10 tahun lamanya dia dikatakan tidak sabar dan gelojoh?

Mahathir jadi PM dua kali sehingga mencapai angka 24 tahun sebagai PM, dan sekarang tidak mahu berhenti, kau kata seorang yang penyabar dan tidak gelojoh dan tamak kuasa

Formula matematik apa yang kau pakai? 

Adakah 0 + 0 dalam kes Anwar yang tidak pernah menjadi PM berbanding dengan Mahathir 22 + 2+... jadi PM, kau kata Anwar gelojoh , tak sabar, tamak kuasa ?

Respons Anwar adalah betul kerana dia PEGANG PADA JANJI. Inilah pemimpin yang kita perlukan memimpin negara ini. TEPATI JANJI!

Yang paling dahsyat dan tidak boleh diterima akal yang sihat ialah apabila Azmin , timbalan presiden PKR dan Zuraidah, Naib presiden parti itu, lantang menyokong Mahathir menjadi PM sehingga akhir penggal, sehingga PRU 15. 

Menentang presiden parti sendiri? Jadi tidaklah salah ramai rakyat yang membangkitkan karektor SiKITOL dan RAJA MENDALIAR, pengkhianat Kerajaan Melayu Melaka sehingga jatuh ketangan Portugis, secara menyindir dan terus terang mengaitkan dengan dua watak pimpinan PKR itu.

Sikap dan tindakan dua karektor ini amat PELIK dan MUDAH diFAHAMI.

Sekarang bukan sahaja nama SIKITOL dan MENDALIAR sentiasa berada dibibir rakyat, satu nama/watak baru telah diperkenalkan iaitu SIKENTIT. Siapakah gerangan SIKENTIT itu?

Kenyataan dan provokasi  Mahathir itu mendapat sokongan dari ahli/pimpinan  parti Bersatu dan PAS., serta beberapa pimpinan UMNO. 

Provokasi yang terkini dan panas ialah Akuan Bersumpah seorang yang bernama Yousef Rhauteer ( maaf saya kurang pasti ejaan namanya) menuduh Anwar melakukan serangan seksual. Kes ini segera mendapat tindakan Polis. 

Anwar segera menafikannya dengan membuat laporan Polis sebelum penuduh ini membuat laporan polis.

Ada tangan ghaib disebalik tudauhan ini? Allah sahaja yang MAHA MENGETAHUI. Ghaib mahupun terserlah, ianya tidak penting. Yang penting mahu ditimbulkan persepsi bahawa Anwar manusia yang tidak bermoral dan kerana itu tidak layak jadi PM.

Saya semacam mengingat semula kata-kata itu atau kata-kata yang membawa maksud seperti itu, pernah dilafazkan oleh seseorang pada zaman dahulu kala. Siapakah gerangan orangnya? 

Apakah ini bukan provokasi? Sah ianya adalah provokasi. 

Provokasi ini mengundang segera respons dan reaksi  yang panas MEMBANTAH dari sebahagian besar ahli/pimpinan PKR, DAP dan AMANAH serta rakyat yang terlalu muak dengan mainan politik kotor mungkir janji  ini. Maka Perkataan-perkataan yang kurang enak dihamburkan terhadap Mahathir terutama dalam media sosial menyelar dan meminta Mahathir segera turun dari jawatan dan serah kuasa kepada Anwar.

Perlukah provokasi itu direspons dengan rasa marah dan benci kepada Mahathir?

Ya amat perlu,  namun AWAS.  Suara bantahan perlu dinyatakan dengan terang dan jelas, berani dan tegas tidak berganjak dengan sikap tidak ada tolak ansur.

Namun ianya mesti dilakukan dengan berawas dan berhati-hati kerana ada jerat dan perangkap yang sedang dipasang. Sejarah telah merekodkan ada berbagai cara, teknik dan tektik untuk kekal berkuasa, akan dan boleh digunakan, by hook or by crook.

Oleh itu respons mestilah dilakukan tanpa hilang pertimbangan yang waras. Tidak perlu menimbulkan suasana yang tegang sehingga  'pihak musuh' mengambil kesempatan membuat provokasi yang lebih menyakitkan hati, sehingga boleh mencetuskan pergaduhan. Dan pergaduhan ini adalah alasan terbaik bagi menggagalkan peralihan kuasa.

Setakat hari ini respons Anwar adalah bersifat 'cool', bercermat. Anwar sentiasa mengulangi  sokongan kepada Mahathir dengan sentiasa berkata beri ruang kepada Mahathir'.

Bagi saya itulah sifat yang perlu ada bagi seorang pemimpin yang berdepan dengan provokasi yang amat menyakitkan hati. lagi menghinakan. Mesti ada kebijaksanaan, disana dan disini.

Namun penyokong dan rakyat Malaysia yang tahu dan faham maksud JANJI hendaklah terus mendesak Mahathir serahkan kuasa kepada ANWAR seperti yang dijanji, tapi jangan beri peluang musuh untuk menjerat dan memerangkap untuk menggagalkan Anwar  dimahkotakan sebagai PM yang ke 8 dalam masa yang terdekat.

Semua pihak mesti ingat bahawa Majis Pimpinan PH adalah pihak yang memutuskan Mahathir sebagai PM dan pihak itu juga yang memutuskan serahkuasa PM kepada Anwar menurut perjanjian yang telah dimetrai.

Sebab itu ahli Majlis Pimpinan PH berada dalam keadaan 'cool' sehingga hari ini. Itu layanan mereka keatas setiap provokasi yang dilontarkan oleh Mahathir dan gengs.

Mengakhiri isu provokasi ini, saya ingin mengingatkan beberapa kenyataan yang telah dikeluarkan oleh orang politik tentang Mahathir:

Bekas TPM Musa Hitam antara lain berkata yang membawa maksud '..anda tidak kenal siapa Mahathir....dia boleh tuduh saya melakukan seks luar tabie jika saya melawan dia...:

Seorang perwakilan UMNO dalam persidangan parti itu baru-baru ini menyatakan yang membawa maksud bahawa Mahathir tidak boleh dipercayai dengan memberi beberapa contoh tindakan dan hubungan Mahathir yang tidak mesra dengan pimpinan parti . Antaranya Mahathir dengan Husein Onn, tindakan meletak jawatan sebagai PM oleh Musa Hitam, Ghafar Baba yang melepas jadi PM,  Paklah yang didesak meletak jawatan, Anwar yang dipecat dari TPM dan Najib yang awalnya disokong tapi didesak letak jawatan, dan dikalahkan dalam PRU 14.

Mahathir akan buat apa sahaja untuk mencapai cita citanya. Dan dia telah berjaya setakat ini.

Tapi kali ini ianya satu lagi ujian kepada Mahathir sama ada akan berjaya untuk menyekat Anwar jadi PM ke 8. Bagi Mahathir janji bukan sesuatu yang perlu ditunaikan. Manifesto PH bukan al-Quran, dengan demikian boleh saja diabaikan. Janji yang telah dipersetujui  oleh Majlis Pimpinan PH bukan janji dalam al-Quran maka boleh sahaja diketepikan melainkan janji menjadikan Mahathir sebagai PM ke 7.

Untuk meredakan rasa kecewa sebahagian besar penyokong Anwar  hayatilah rangkap pantun dibawah ini:


Rakyat tanya Madir bila mahu berhenti
Nanti jawab madir tunggu aku....
Kau jawablah sendiri


Ahad, 15 Disember 2019

Orang Politik: Sabar, Kuasa dan Gila Kuasa




Tafsiran perkataan Sabar, Kuasa dan Gila Kuasa bagi orang politik dan bukan politik adalah berbeza dan berbagai dikalangan mereka , menurut kedudukan, kecenderongan dan kepentingan diri masing-masing.  Ia tidak ikut formula matematik.  Majoriti tidak mengikut iman -amal makruf nahi mungkar. Ada sahaja alasan digunakan bagi melepaskan diri dari hukum politik itu. 

Dalam matematik apabila 2 + 2 = 4. Formula ini diterima pakai semua manusia di dunia. Begitu juga  22 + 2 lebih banyak dari 0 + 0. 

Tapi tidak semua orang mengatakan begitu. 

Baik. 

Kita mulakan dengan perkataan sabar.  Sabar itu secara mudah kita fahami  dan terima  sebagai satu usaha untuk melawan /menahan nafsu marah atau ghairah atau gelojoh atau tamak haloba.

Tapi tidak semua orang yang bersifat melawan/menahan nafsu-nafsu itu dikatakan mempunyai sifat sabar.  Orang itu boleh saja dikatakan ghairah dan gelojoh, tidak sabar untuk mengambil atau mendapat sesuatu kedudukan atau sebagai pesaing bagi sesuatu kedudukan.

Katakan A adalah pesaing kepada M  bagi menduduki sesuatu kedudukan, misalnya menjadi PM. A walaupun belum pernah jadi PM, secara formula matematik, yang  kedudukannya 0 + 0 = 0 berbanding dengan M yang telah menjadi PM kali pertama 22 tahun, kemudian berehat dan kemudian menyambung dua tahun bagi kali kedua (22 + 2 = 24), setakat ini  berjumlah 24 tahun, A masih lagi dikatakan tidak sabar dan gelojoh untuk jadi PM. M yang telah 24 tahun dan terus jadi PM masih tidak dikatakan gelojoh dan gila kuasa.

Dengan demikian Sabar dan Gila Kuasa mempunyai pemahaman yang berbeza.

Namun apa yang sama dan tidak berbeza dalam ukuran politik ialah bahawa tanpa ada kuasa politik tidak ada apa apa makna. Sebab itu bermati-matian orang politik untuk mendapat kuasa dan mengekalkan kuasa dengan apa cara. Termasuk MUNGKIR JANJI. Tapi tidak semua yang bersifat seperti itu dipanggil GILA KUASA.

Dalam politik Malaysia setakat sekarang Anwar Ibrahim dikatakan tidak SABAR, GELOJOH dan GILA KUASA!





Isnin, 2 Disember 2019

USAH KAMU WAHAI PEMIMPIN .........




Hari ini saya terbaca ucapan dari Perdana Menteri yang menasihatkan golongan miskin agar jangan sentiasa mengharap bantuan dari kerajaan sahaja, sebaliknya berusaha bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Diharap apa yang saya baca itu  bukan suatu kenyataan yang palsu.

Jika benar ianya bukan kenyataan yang palsu, sesungguhnya saya amat kecewa sekali, nak marah tidak mampu, siapalah saya yang asalnya golongan miskin, yang sentiasa kena lutu. 

Kecewa kerana kenyataan seperti itu  datangnya dari pemimpin tertinggi negara yang telah diamanah untuk menguruskan kekayaan negara ,  sebuah negara yang kaya. Apatah lagi kerajaan menjanjikan kekayaan negara itu akan dikongsi bersama (shared prosperity).

Soalan  saya : Apakah golongan miskin ini tidak termasuk dalam kiraan perkongsian kekayaan itu, dan hanya dimasuk kira apabila memerlukan undi dari mereka?

Bagaimana pula golongan miskin mula berkata: Kamu orang politik jangan sentiasa mengharapkan undi kami. 

Cukup setakat itu. 

Memadailah bagi saya memberitahu kepada pemimpin kita, sama ada yang berfikiran sama seperti PM kita ini atau berfikiran selain darinya bahawa ianya jauh dari kebenaran bahawa golongan miskin hanya mengharapkan bantuan dari kerajaan sahaja dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan mereka. Mereka tiada KECUKUPAN tapi MEREKA ada MARUAH, BEKERJA KERAS untuk satu kehidupan yang diredhai Allah.

Apa BUKTINYA?

GOLONGAN MISKIN sentiasa bangun  jam 4 pagi menyiapkan diri tanpa sarapan pagi bersedia ke ladang bukan kepunyaan sendiri untuk menoreh getah atau berpanas terik ditengah hari dalam sawah bendang atau ke laut disunyi pagi menyabung nyawa mencari ikan dan hasil lautan yang lain yang entahkan ada entahkan tiada.

Lihat sahaja pekerja binaan, yang semuanya bukan golongan kaya atau anak golongan kaya, berpanas terik berhujan lencun, melakukan kerja berisiko tinggi yang mengancam keselamatan diri dan nyawa, menerima upah yang tidak sepadan dengan tenaga yang dikeluarkan. 

Adakah mereka tidak layak mendapat bantuan dan pertolongan kerajaan misalnya mereka dilindungi dengan polisi gaji minima yang sekurang-kurangnya setara dengan kos sara hidup, kalau pun tidak lebih dari itu. Menyediakan tempat tinggal yang selesa, bersih dan selamat.

Bukankah lebih bermenfaat perdana menteri dan pimpinan memikirkan perkara seperti diatas dari mengungkitkan golongan miskin yang sentiasa mengharapkan bantuan dari kerajaan. 

Kalau tidak mengharap bantuan kerajaan kepada siapa yang boleh mereka harapkan. Adakah kerajaan bukan tempat menggantung harapan?


Golongan miskin ini sesusah mana mereka, mereka tidak memilih untuk merompak wang negara dengan berbagai cara. Itu bukan jalan yang mereka pilih. Mereka ada maruah, mengharap keberkatan ALLAH dan takut DOSA.

Bagaimana pula dengan gologan pimpinan yang BERKUASA dan KAYA yang kuasa mereka pun atas belas ikhsan dari orang MISKIN juga, adakah mereka tidak mengharap bantuan Kerajaan?

Saya ada jawapan. Tapi kerana saya asalnya dari golongan miskin, yang amat mendalam akan hal kehidupan golongan miskin mengulangi sekali lagi bahawa golongan miskin ada maruah. Bantuan yang kami harapkan pun hanya kerana kami tiada kecukupan. Dan kurang kecukupan itu juga antaranya adalah disebabkan ketidakadilan dalam pembahagian kekayaan negara.

Golongan miskin ingin bertanya: Dimana perginya kekayaan negara itu. Tidak mahu berkongsi sama?
 


Jumaat, 22 November 2019

Kita Perlu Pahlawan Yang Ada Liabiliti....Cukuplah Anakanda Sebagai Aset




Pada suatu hari seorang raja yang baru saja ditahtakan buat kali kedua memanggil rakyat jelatanya mengadap di balairong seri  untuk memberitahu rakyat sekalian bahawa dia perlu mencari tiga orang untuk dijadikan pahlawan negara yang taat setia yang tidak berbelah bagi. Raja itu ditemani oleh putera kesayangannya.

Maka dititahkan kepada rakyatnya bahawa sesiapa yang dapat mencari 3 orang yang taat setia yang tidak berbelah bagi itu akan dianugerahkan dengan gelaran Diraja Datuk Unggul Nan Gagah  Utama (DUNGU) dengan diiringi sepersalinan pakaian Diraja.

Maka bergembiralah seluruh yang hadir, bersorak tepuk tangan dengan laungan Daulat Tuanku, Junjung Kasih Tuanku dan Hidup Selama-lama Tuanku Yang Dikasihi.

Setelah suasana riuh rendah reda, Raja itu  bertitah lagi bahawa setiap orang yang mencari tiga pahlawan itu wajib menyediakan laporan tentang latarbelakang setiap pahlawan itu untuk dibentangkan dalam perjumpaan yang akan ditentukan dua minggu dari tarikh perjumpaan untuk mendapat perkenan raja.

"Kamu semua mesti menyediakan resume setiap orang yang dicadangkan untuk menjadi pahlawan untuk pertimbangan beta", Titah Raja itu. "Sekarang semua orang boleh bersurai dan buat kerja kamu segera", Sambung titahnya sebelum berangkat masuk kamar istana bersama puteranya.

Direngkaskan cerita, pada hari yang tetah ditetapkan mengadaplah rakyat di balairong seri , masing-masing hadir bersama dengan pahlawan yang dicadangkan beserta resume mereka untuk dibentangkan dihadapan raja.

Maka seorang demi seorang rakyat membentangkan cadangan masing-masing. 

Semua cadangan melaporkan sifat-sifat terpuji orang yang dicadangkan : seorang ikhlas, jujur, amanah, berbudi bahasa, dari keturunan yang baik-baik, taat pada Allah, gagah , pandai ilmu mempertahan diri dan tidak gentar menghadapi lawan dan taat kepada raja.

Raja mendengar kesemua pembentangan itu tanpa memberi reaksi yang menunjukkan minatnya terhadap orang yang dicadangkan untuk jadi pahlawan. 

"Ada sesiapa lagi yang mahu memberi cadangan?" Titah Raja.

Maka tampillah ke hadapan seorang yang wajahnya kelihatan pucat , berjalan membongkok diri mengadap raja untuk mempersembahkan cadangan.

" Ampun tuanku, beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Adapun orang yang patik hendak cadang untuk menjadi pahlawan tuanku tidaklah semulia sifatnya seperti yang tuanku dengar  dari pacal-pacal tuanku tadi. Gementar juga patik hendak menyatakan takut-takut menjadi kemurkaan kebawah duli tuanku".

" Beritahu, beta sedia mendengarnya", Raja meredakan ketakutan sipencadang itu.

"Ampun tuanku. Adapun orang itu telah melakukan berbagai jenayah. Sebut sahaja apa jenayah, dia telah melakukannya dan.....".

"Hahahahaha....itulah yang beta nak cari untuk menjadi pahlawan beta.", Raja ketawa besar sebelum sempat pembentang cadangan itu menyambung pembentangan.

Rakyat senyap, saling pandang memandang , kehairanan. Hendak bersuara takut dimurka oleh raja. Pembentang cadangan pun sama terkedu, mulut ternganga dan lidah kelu untuk berkata.

"Beta ucapkan terima kasih cadangan kamu. Beta terima cadangan kamu kerana tiada cacatnya. Seperti yang beta telah janjikan bahawa bermula hari ini kamu diberi gelaran DiRaja dengan Panggilan Datuk Unggul Nan Gagah Utama (D.U.N.G.U). Kamu boleh gunakan dalam apa sahaja dokumen dan surat menyurat.

Rakyatpun bersurailah, tiada kata-kata mengiringi langkah mereka, hanya terpinga-pinga melainkan yang telah bergelar Datuk Diraja : Datuk Unggul Nan Gagah Utama (D.U.N.G.U) yang berjalan tanpa membongkok lagi, tersenyum bangga.

Setelah semua rakyat meninggalkan istana, putera raja bertanya ayahandanya,

"Fasal apa ayahanda ambil orang jahat jadi pahlawan sedangkan ada orang baik yang dicadangakan?"

Raja ketawa terbahak-bahak sampai menepuk bahu puteranya dan berkata, "Banyak benda yang anakanda kena belajar jika mahu terus jadi raja. Orang jahatlah yang kita boleh gunakan untuk kepentingan kita untuk terus berkuasa. Kita boleh tarik hidungnya kemana sahaja kita suka dan bila-bila masa. Sebab dia ada masaalah".

"Tapi ayahanda, orang jahat menjadi beban kepada kita. Dia adalah liabiliti, bukan aset".

"Benar anakandaku. Untuk berkuasa dan terus berkuasa kita mesti pandai jadikan liabiliti sebagai aset kita. Kita 'turnaround' jadikan aset".

"Anakanda tak faham. Tapi anakanda patuh pada ayahanda".

"Bagus. Sikap patuh itu adalah aset bagi ayahanda". Mereka melangkah ke bilik santapan.

Rabu, 20 November 2019

BERMUHASABAHLAH SEKELIAN ORANG




PM Mahathir terus bertahan untuk terus jadi PM walaupun mengakui keputusan PRK Tg Piai yang mana PH (Bersatu ) kalah teruk, dan kekalahan itu ada kaitan langsung dengan kepimpinannya. 

Mahathir terus dengan retorik politiknya bahawa dia akan menunaikan janji untuk serah kuasa kepada Anwar seperti yang dipersetujui sebelum PRU 14 dan dengan lidah yang sama mengatakan bahawa belum sampai masanya untuk menyerahkan jawatan PM itu kepada Anwar.

Beliau konsistem menggunakan naratif yang membawa maksud yang sama bahawa beliau masih mahu terus memimpin, bahawa kekalahan di Tg Piai bukan sebab baginya untuk berundur.

Walaupun tanda atau alamat untuk beliau berundur telah terlalu jelas, pertama kekalahan teruk di TG Piai, diikuti dengan suara-suara menggesa beliau meletakkan jawatan dan serah kuasa kepada Anwar dari kalangan ahli dan pimpinan PH, beliau tetap meyatakan belum tiba masanya untuk berundur. 

Faktor lelah dan kurang tenaga fizikal atas sebab usia yang lanjut tidak langsung mematahkan keinginannya untuk bertahan. Apakah hidungnya yang berdarah sewaktu sidang akhbar dalam satu persidangan tidak dapat memberi sedikit masa baginya untuk memikirkan bahawa itu adalah satu petanda bahawa khidmat beliau telah sampai ke penghujung?


Muhasabahlah wahai Perdana Menteri ku yang telah banyak jasa kepada bangsa dan negara. Apakah peluang kedua yang telah diberikan ini masih tidak mencukupi? Apakah  yang hendak dibuktikan lagi? 

Tidak dinafikan bahawa ada gerakan, usaha dan suara-suara  yang menyatakan sokongan untuk Mahathir terus berkhidmat sehingga habis ke PRU 15. Tetapi apakah Mahathir yang mempunyai pengalaman berpolitik yang tidak ada tolok banding itu tidak mampu untuk menilai akan keikhlasan gerakan dan suara sokongan itu?

Siapakah mereka itu?

Mahathir tahu siapa mereka dan terlalu rapat dengan sebahagian dari mereka dan tahu apa tujuan mereka. Dan Mahathir juga tahu ada diantara mereka datangnya dari musuh politik ketat yang tak pernah sebulu dengannya, tetapi boleh sahaja menukar naratif politik dengan mempersembahkan dalil agama yang melunak serta meransang keinginan untuk kekal berkuasa dengan hujah antaranya  demi kepentingan bangsa dan negara serta institusi raja, bahawa DAP  satu dari komponen PH adalah komunis dan amat bahaya. 

Hahahahaha...orang ini macam nak memperbodohkan Mahathir.

Mereka adalah pihak yang tidak ikhlas dan jujur. Merekalah yang tidak bersetuju Mahathir menjadi Perdana Menteri jika PH menang kerana alasannya Mahathir sudah tua. Apakah Mahathir tidak tahu tentang ini? Atau sudah lupa?

Siapakah yang mencadangkan agar Mahathir usah lagi bergiat dalam politik kerana usia yang telah tua hanya layak berada di masjid dan duduk di atas tikar sejadah serta bermain dengan cucu. Sebab itu ada yang memberi gelaran PM ini sebagai 'Atuk' yang menjaga cucu. Mahathir hanya layak jaga klinik, satu lagi kata penghinaan. Sudah lupakah ini?

Mungkin semasa bersetuju bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, Mahathir sanggup melupakan kebenciannya terhadap Anwar atas sebab yang beliau sendiri tahu kerana semata-mata untuk menjatuhkan Najib. Begitu juga Anwar mempunyai tujuan yang sama, untuk menjatuhkan Najib, Ngam kesatuan niat mereka. 

Tanpa kerjasama diantara dua orang yang bermusuh ini, Najib dan BN tidak mungkin boleh dikalahkan.

Dan Anwar Ibrahim pula mensyaratkan bahawa kerjasama dengan Mahathir bukan setakat menjatuhkan Najib tapi lebih dari itu iaitu untuk meneruskan agenda Reformasi yang diperjuangkan. Mahathir tiada pilihan terpaksa bersetuju kerana untuk menjatuhkan Najib mereka mesti bekerjasama.

Akhirnya mereka bersetuju dikuti dengan perjanjian seperti yang dimaklumkan iaitu jika PH menang:

1. Mahathir jadi PM sementara, bukan sehingga PRU 15. Dua tahun lebih kurang.
2. Wan Azizah jadi TPM
3. Usaha mendapat pengampunan Anwar dari Agong dilakukan untuk membolehkan Anwar bertanding dan seterusnya jadi PM selepas Mahathir. 

Oleh itu apakah ada alasan lain atau sebab-sebab lain mengapa persetujuan yang telah dicapai itu menjadi satu isu yang makin panas dalam PH sehingga ada gerakan untuk menyekat Anwar jadi PM ke 8?

Ini soal janji. Pihak Anwar telah tunai janji apabila Wan Azizah menolak untuk jadi PM semasa bertemu dengan Agong setelah kemenangan PH diumumkan. Sekarang giliran Mahathir pula tunai janji.

Oleh itu jangan ada mana mana pihak kawan atau musuh yang berpura-pura dan menjadi dalang untuk menghalang Anwar jadi PM. Apatah lagi parti yang tidak ada kena mengena dengan persetujuan yang telah diikat dikalangan pimpinan PH. 

Duduk tepilah kamu!

Jadi bermuhasabhalah wahai perdana menteriku. Bermuhasabahlah wahai mereka yang mahu menghalang Anwar jadi PM. Tunggulah PRU 15 untuk berbuat demikian . i

Sesungguhnya bermuhasabah adalah satu formula yang terbaik untuk Mahathir lakukan kerana disana ada keberanian politik yang terpuji untuk mengundur diri dan bagi Anwar membuktikan bahawa beliau boleh melakukan kearah lebih baik bagi mengangkat Harapan..... Harapan Rakyat dan Harapan Negara. Sudah tentu untuk Parti Harapan juga untuk menjadi parti Harapan Rakyat.
   

Isnin, 18 November 2019

MUHASABAH POLITIK




Tahniah Dr Wee Jeck Seng calun MCA dari Muafakat Nasional UMNOMCAMICPAS yang menang majoriti besar PRK Kecil Tg Piai pada 17 November 2019. Kemenangan yang luarbiasa dari Muafakat Nasional (MN). Rakyat sudah memilih.

Ya, rakyat sudah memilih, PH walaupun amat sedih kena terima hakikat ini.

Berbagai komen tentang kekalahan PH ini. Ada yang mengatakan disebabkan tidak tunai janji, kos sara hidup yang semakin meningkat dan berbagai lagi sebab termasuk mainan isu perkauman dan agama. Tidak kurang juga yang menuding jari.

Disamping MN bergembira dengan kemenangan besar dan PH berdukacita dengan kekalahan yang memalukan, kedua-dua pihak wajar tidak terlalu hanyut dengan apa yang telah berlaku sebaliknya terus bekerja memenuhi harapan rakyat di Tg Piai khasnya dan negara amnya. Jangan hanyut dengan kegembiraan wahai MN dan jangan pula terus berduka diatas kekalahan, aduhai PH.  

BERMUHASABAHLAH !

Bermuhasabah, bukan sahaja bagi yang kalah. MN pun perlu bermuhasabah, agar tidak hanyut dan khayal dengan kemenangan kerana ada sebab-sebab yang membantu kemenangan MN, dan ianya perlu bukan sahaja dikekalkan bahkan ditambahbaik. Ingat, kemenangan tidak akan kekal selama-lamanya jika kemenangan itu menjadi sebab kepada kelalaian dan sombong diri.

PH, jangan terus berduka, tuding jari mencari kesalahan. Setiap ahli PH dari kepimpinan tertinggi  ke akar umbi, dari ahli dan penyokong dan yang bersimpati, perlu bermuhasabah. Tuding jari pada diri anda sendiri. Cermin diri kerana disana ada jawapan, jika anda jujur untuk mencari jawapan bagi sekali lagi mencipta kejayaan.

MN, diatas kemenangan terimalah pantun ini. PH kerana sebak kekalahan terima juga pantun yang sama:

Tanjung Piai  selat Melaka
Negeri Johor Darul Takzim
Ketawa berderai, ada yang duka
Menang dan kalah tidak bermusim

BERMUHASABAHLAH KAMU KERANA KEPERIBADIAN KAMU ADALAH FAKTOR UTAMA MENENTUKAN KALAH DAN MENANG KAMU
DEKATI DAN SAYANGI RAKYAT BERKONGSI  KESENANGAN DAN KESENGSARAAN RAKYAT.

Sekali lagi tahniah kepada MN.

Kepada PH, yang dikhabarkan akan bermesyuarat untuk bedah siasat kekalahan pada minggu depan, saya mendoakan mesyuarat itu berjalan dengan semangat dan sikap yang hanya untuk mencari jalan bagi menghasilkan kemenangan pada masa depan. Jujur, Ikhlas dan Sanggup menerima teguran walau apapun kedudukan dalam parti.

Sekali lagi PH mesti BERMUHASABAH kerana disana boleh dijadikan asas dalam membina semula kekuatan untuk mencapai kemenangan melalui tindakan-tindakan berikut:

Mahathir sebagai pemimpin tertinggi yang telah banyak berjasa dan bekerja kuat untuk memenangkan PH, mengambil KEPUTUSAN POLITIK yang berani untuk BERUNDUR DIRI.

Mahathir 
          Undur 
                    Harap 
                              Anwar 
                                       Segera 
                                                  Ambilalih 
                                                             Bersama-sama 
                                                                                   Angkat 
                                                                                         Harapan.
  
Semoga PAKATAN HARAPAN ADA MASA DEPAN.

Rabu, 23 Oktober 2019

Ngelamun Seorang Tokpa: 72see, Tamara Residence, prec-eightputrajaya


Setelah Balutan Tangan KIRI SiNaqib Dibuka Akibat Patah: Lihat adakah beza antara tangan kanan dan tangan kiri?
Inilah sebabnhya saya dan isteri berada dirumahnya. 

Dari tingkat 7, saya ngelamun.....
...diatas sebuah verandah

Sudah sepurnama kiranya saya disini, menjaga cucu
macam doktor on call, istilahnya
dipanggil kami datang, dijemput kami ikut
tiada latihan pakar, bukan juga ilmu asas kedoktoran
cuma berbekalkan kasih sayang
berkelanalah kami suami isteri
meninggalkan rumah nun jauh, buat seketika

Apalah indahnya sebuah rumah
hanya dimata, jadi hiasan

Apalah susahnya menjaga cucu
menghibur hati, berbagai lucu

Seekor burung meniti di verandah
ngelamun indah seorang Tokpa
....tamatlah sudah






Isnin, 14 Oktober 2019

Aesyah Nadene SiProfessor Cilik

Sicilik Menjadi Professor: Aesyah Nadene Namanya

Lengkap dengan peti (box)mengisi peralatan tulis menulis, beg sekolah dibahu kiri, dan sebatang alat tulis ditangan, cucuku ini sedang melukis sesuatu. Nampak macam gambar manusia, tak tahulah Aesyah saja yang tahu. Tapi yang penting dia suka dan gembira, dan saya bersama neneknya pun turut gembira.

Ahad, 6 Oktober 2019

Kongres Maruah Melayu (KMM)




Saya tidak pasti sama ada KMM ini adalah ekslusif untuk membincangkan tentang Melayu termasuklah agama Islam? Dalam kata lain ianya tidak melibatkan selain dari Melayu dan Islam? Tidak ada  kehadiran  selain dari Melayu dan Islam?

Kongres Maruah Melayu, bermaksud untuk membincang tentang Maruah Melayu. Ada masalah atau isu yang berkaitan dengan maruah Melayu. Lalu diadakan kongres bagi membincang, merumus segala dapatan dan dipersembahkan kepada orang Melayu untuk diterima.

Maka orang Melayu akan menjalani kehidupan yang bermaruah menurut garis dan ketentuan yang dipersetujui dalam kongres?  Saya percaya itulah yang diharapkan.

Jawapan saya: Ianya tinggal diatas kertas sahaja.

KKM perlu terbuka kepada semua, terdiri dari berbagai bangsa agama dan budaya termasuklah berbagai pertubuhan, jika ada keihklasan dari pihak penganjur untuk melihat maruah Melayu ini  diangkat dan dihormati.

Apakah pihak penganjur masih lagi mahu melihat Melayu Islam adalah satu kumpulan kaum atau bangsa yang ekslusif yang menjalani kehidupan tanpa berintraksi dengan selain dari Melayu?

Apakah maruah Melayu tidak langsung terkesan atau terusik atau terpengarauh atau mempengaruh maruah kaum-kaum lain khususnya yang mendiami di negara kita?

Adakah KMM ini melihat pada masa ini maruah Melayu Islam  itu telah tercabar. Maksudnya Maruah orang Melayu termasuk agama Islam telah diperlekeh dan dipijak-pijak serta dihina?

Jawapan saya: KMM telah gagal dan tersasar untuk melihat isu dan masalah sebenar maruah Melayu. 

Bagi saya, Melayu Yang Bermaruah ialah Melayu yang sedia melihat kelemahan dan kekurangan sendiri  lalu dengan bersungguh-sungguh bertekad dan berusaha mencari jalan dan cara untuk mengatasi kelemahan dan kekurangan itu tanpa dengan pantas menuding jari ke pihak lain melainkan setelah mempunyai bukti yang kukuh ada usaha dari pihak lain untuk merendah dan menjatuhkan maruah Melayu.

Dengan demikian isu atau masalah maruah Melayu ini mestilah melibatkan sama  kaum atau bangsa selain dari Melayu Islam, dan jauhkan dari melihat isu atau masalah maruah ini dari kaca politik kepartian.

Jangan buang masa dan membazirkan wang negara. Lebih bermenfaat jika masa dan wang itu digunakan bagi mengatasi masalah kehidupan rakyat yang menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat. 









Jumaat, 4 Oktober 2019

JENAKA POLITIK ABAD INI: GURAU ker Menipu




GS
BERSUA KEMBAL

Itu Tindakan Berkelas:  

1.Bodoh....bodoh.....bodoh....bodoh....bodoh
2. Penipu....penipu.....penipu....penipu.....penipu
3.Hancing..hancing..hancing..hancing..hancing
4.Sepenggal..sepenggal..sepenggal..sepenggal
5. Hahaahaha Jilat Ludah Sendiri Padan Muka


WADUH....WADUH....WADUH

Bukan Begitu:

1. KaJI dUlu
2. TaNya  RaKyaT DUlu
3.GurAU sAja TU




Khamis, 3 Oktober 2019

Maruah Melayu Merdeka: Berdiri Dihadapan Cermin



Jam 12 tengah malam. 

Mata Aku sudah mula layu. Badan keletihan. 18 jam sehari beri tumpuan kepada kerja. Melawan fitrah kemampuan seorang yang telah lanjut usia.

Aku berbaring disamping kiri cucu. Aku merenung cucu yang sedang lena. Ada sedikit pilu dihati. Tangan kiri cucu patah akibat jatuh di taman permainan. Tangannya masih berbalut, masih dalam rawatan pemulihan.

Dalam keadaan mata yang layu, badan yang keletihan, Aku ada satu tugas penting yang perlu diuruskan segera, menyediakan teks ucapan.

Muafakat Melayu Muhasabah (3M), sebuah badan bukan kerajaan telah memberi penghormatan kepada Aku untuk menyampaikan ucaptama pada majlis anjuran 3M itu pada minggu hadapan.

Minggu lepas, Aku telah dinobatkan dengan gelaran Mahaguru Melayu Merdeka oleh sebuah Institut Pengajian Tinggi atas sumbangan Aku mengangkat martabat bangsa Melayu dimata dunia.

Aku tidak boleh mengecewakan harapan 3M. Bagi Aku mengecewakan harapan 3M samalah juga mengecewakan harapan bangsa Melayu keseluruhannya. 

"Itu bukan Aku", kata kata tegas penuh keyakinan dilontarkan. 

Tetapi mata Aku semakin kelat, kelopak mata semacam ditarik-tarik menutup kedua-dua biji mata.

Butir-butir yang hendak dimasukkan dalam teks ucapan berlegar-legar dalam otak kepala, menjadi bisikan dalam hati Aku. Dengkuran mula menguasai persekitarannya....... 

Aku memilih tema Maruah Melayu Merdeka. 

Apakah ciri ciri Melayu Merdeka yang ada maruah? Apakah tujuan untuk mengangkat martabat Melayu? Menjadi sebuah bangsa yang dihormati dan disegani?

Aku memilih perspektif negatif bagi menghadapi persoalan-persoalan itu. Aku memilih berdiri dihadapan cermin. 

Lebih mudah pendekatan seperti itu berbanding pendekatan yang cuba menyungkil dan menonjol elemen-elemen positif. Ya, Aku berdiri dihadapan cermin.......Betapa hodohnya Aku?

Bahawa Melayu itu malas sifatnya. Mudah merajuk. Meroyan. Menuding jari mencari kesalahan pihak lain. Merengek. Meminta-minta. Malu tidak bertempat. Menyindir......dan 

Ohh cukup setakat itu dulu. Aku memberhentikan pencarian tentang sifat Melayu.

Apa justifikasinya?

Buktinya amat jelas bahawa Melayu itu sifatnya pemalas. Malas bekerja dan malas berusaha. Memilih kerja, lagak macam  tuan, tokey, macam orang kaya. 

Miskin kedana bukan salah sendiri, salah China. Hidup merempat, sebab China. China mengaut kekayaan negara. 

Mejadi bodoh tidak berilmu kerana tidak cukup belanja, sebab biasiswa telah tiada. 

Mana hak istimewa? 

Sindir menyindir adalah kerja Melayu. Dibuat secara memek muka. Berpantun. Berseloka. Berkias menyusun kata-kata.

Melayu mudah merajuk tapi senang dipujuk. Puji sedikit hilanglah rajuk dihati. Lupalah segala kata keji. Ya, Melayu sifat lupanya tebal sekali.

Apa lagi? 

Melayu mudah mengamuk. Pantang diusik mengamuklah Melayu. Kemudian mendabik dada,"Akulah pahlawan Melayu yang pantang dicabar". Haahahahhaha, Aku ketawa.

Melayu suka merengek dan meminta-minta. Nak dapat tender kerja tak mahu lawan dengan Cina. Dapat tender, bagi pada Cina. Buat apa pening kepala kata Melayu. Lebih baik berikan saja, dapat persen boleh hidup juga.

Apa lagi? Aku terus mahu menerebos sifat Melayu. Sebelum Aku menyediakan jawapan menyanggah itu semua.

Oh ya, Melayu itu suka menipu. Mencuri dan merompak. 

Apa contohnya? Aku mahu mencari contoh yang boleh diyakini.

Oh ya, yang itu jelas sekali. Aku sangat sakit hati. Melayu marah sangat dengan Cina tapi bila mencuri berkongsi sama Cina. Cilaka punya Melayu.

Nah, ambil sebiji. 

"Adoi sakitnya", cucu Aku menjerit kesakitan. 

"Ya Allah , aku bermimpi rupanya". 

Cucu Aku terus menangis kesakitan. Dia menjadi mangsa nafsu amarah dalam mimpi Aku. Bagaimana keadaan tangan kirinya tu.....  

Sesal Aku bukan kepalang......air mata mengalir membasah pipi.

Teks ucapan tidak penting lagi......





Rabu, 2 Oktober 2019

Panggilan Dari Seorang Kawan: Ianya Sungguh Mengesankan.




Ianya luar biasa. Maksudnya, menerima panggilan talipon dari seorang kawan, selepas bersara, yang tiada apa apa, adalah finomina luar biasa. Apatah lagi, bukan dari seorang kawan yang rapat, dulu dan kini.

Pada sebelah pagi, 1 Oktober, 2019, ketika itu saya sedang memikirkan sesuatu untuk dicatatkan sebagai paparan di blog ini, skrin vivo saya memaparkan nama seorang kawan.

"Apa hal dia talipon ni?" Ianya pertanyaan yang spontan. Tidak mengharapkan sesuatu.

Kawan tu bertanya khabar, tentang kesihatan. Dia bertanyakan sama ada saya tahu tentang kembalinya seorang kawan menemui Yang Maha Esa, beberapa minggu yang lepas. Katanya dah lama tidak ketemu.

Saya maklum akan berita sedih itu. Mengucapkan terima kasih atas ingatan menalipon saya. Menanyakan khabar.

Mungkin berita pemergian seorang kawan itu membuatkan tergerak dihatinya untuk membuat panggilan. Masihkah saya .......? (sangkaan) atau tidak sihat.  Maklumlah dalam usia siri 70an ini, kebarangkalian sangkaannya itu mungkin tidak kurang dari 50%.Sedangkan kawan yang telah pergi tu pun masih muda berbanding dengan usia saya.

Dulu dia bekerja dengan sebuah organisasi kerajaan. Tapi, mungkin tidak sejalan dengan kepimpinan politik, walaupun dari parti politik yang sama,  tempatnya dikosongkan untuk orang lain. Menganggurlah kawan itu buat beberapa waktu.

Saya tidak pasti status kerjanya sekarang. Bekerja sendiri atau bekerja dengan organisasi lain. Mungkin free lancer. Yang pasti dia bekerja dalam bidang binaan kerana dia beritahu ketika ini sedang menyiapkan infrastruktur satu projek pembinaan.

Doa saya untuknya agar berjaya dalam kerjayanya itu.

Panggilan talipon kawan saya itu tersangat memberi kesan kepada saya. Ianya satu peringatan agar saya juga mesti lalukan perkara yang sama. Hubungilah kawan-kawan yang ada. Rapat atau tidak rapat bukan satu pertimbangan. Asalkan ada number talipon atau cara mana boleh dihubungi, wajar saya lakukan.

Usah dikesal apabila panggilan  talipon tiada yang menjawab nanti. Atau jawapan yang diterima mengatakan 'arwah dah tiada lagi' atau  'ini isteri arwah' atau 'ini anak arwah'.

 Atau "Dah lama kami tak jumpa". Sesalan dari saya. 

Dalam beberapa kumpulan wasap--- alumni, kawan satu kelas. satu angkatan (semua pelajar tingkatan enam, bagi tahun tertentu ) dan banyak lagi, berita tentang kawan kawan yang telah mendahuli menemui Yang Maha Esa, sentiasa menjadi berita duka yang diiringi dengan ucapan takziah dengan berbagai cara.

Nampaknya siri 70an, siri saya dan kawan-kawan saya, seolah olah sedang berbaris menunggu giliran. Oleh itu nafas yang masih dapat keluar masuk ini, saya akan gunakan sebaik mungkin untuk sentiasa menghubungi kawan kawan, yang rapat dan kawan biasa, selagi ada cara dapat dihubungi.

Dan paling penting ialah kawan kawan yang  telah disakitkan hati mereka, secara sedar. Mohon kemaafan. 

Maklumlah semasa bekerja dulu, dengan sedikit kedudukan yang diamanahkan, kemungkinan untuk melakukan kesilapan dan menyakitkan hati kawan, bukan sesuatu yang boleh saya nafikan.

Terima kasih kepada kawan yang menalipon saya pada pagi itu. Ianya sungguh mengesankan.






Selasa, 1 Oktober 2019

Gurindam Malaysia Baru






Meraikan PRK Tanjung Piai, mari kita bergurindam.


Buai laju-laju 
Sampai pohon sena
Wahai Malaysia Baru
Bila nak tukar Ketua.

Nantilah dulu 
wahai yang bertanya
masih banyak kerjaku
tidurpun tak lena

Burung merbah
Burung kenari
Kalau tak berubah
Orang pun lari


Pagar yang rebah
Ditegakkan kembali
Usah gelabah
Peluang ada lagi


Buah pelam buah keranji
Manis lagi buah rambutan
Bersalam kita bersetia janji
Mengapa sekarang tukar  haluan


Entah perigi entahkan telaga
Boleh jadi tempat jemuran
Walaupun usia semakin menua
Esok  lusa bukan ukuran


Kalau begitu bagai dikata
Esok lusa tempoh yang panjang
Kalau begitu penamat cerita
Tanjung Piai takut melayang


MASIH KAH KAU DISITU?



   



  


Isnin, 30 September 2019

USAHLAH KAU BERBOHONG LAGI





Pada sekian kalinya
aku berseru padamu
Usahlah kau berbohong lagi

aku sudah jemu
kaupun tahu 
bahawa bohong yang tiada tanda hentinya
yang diulang
diulang lagi
adalah  satu penyakit hati
yang bersalut rasa benci dan iri

Adakah kau lupa 
Masih kah kau lupa akan cerita lama
peristiwa duka rekaanmu jua

Kebarangkalian lupa kosong bagi mu
ingatanmu masih segar dan bugar
tentang kuasa dan dapat kuasa
ianya mendahului segala-galanya
kekal sehingga ......./////?????????

kau buat muka selamba
bersahaja lagak gayanya
menghulur tangan bersalam
"Kita Mesti Bersama"

Mengukir senyum yang tiada manisnya
demi kuasa yang kau tak pernah lupa

Kamu berdua Bersetia
Kau dulu
Ada giliran untuk dia
Termetrilah satu cita cita
Demi KUASA
Kau tidak lupakan?
Dia menunggu dengan setia.

Namun cerita lama masih dilubuk hati
disana tersimpan iri dan benci
menunjuk jalan untuk kau mungkiri

USAHLAH KAU BERBOHONG LAGI!










Jumaat, 27 September 2019

Senyuman Yang Tiada Manisnya.



Tazkirah sebelum khutbah Jumaat pada hari ini, disebuah surau , di Putra Jaya, yang dinaik taraf  sebagai masjid bagi tujuan membolehkan masjid itu mendirikan solat Jumaat, amat menarik sekali, pada pandangan saya.

Menarik ialah kerana ianya menyentuh Persekitaran, Islam dan Tanggunjawab.

Isi ceramah antara lain: 

i) Persekitaran di  Udara, Daratan dan Laut  mesti diurus dan dijaga agar tidak tercemar. 

ii)Tapi yang telah terjadi dan terus terjadi ialah persekitaran yang telah disediakan Allah yang bersih, nyaman, cantik dan indah untuk dinikmati oleh makhluknya telah tercemar oleh perbuatan-perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

iii) Manusia itu termasuk orang Islam yang tidak pernah gagal mendakwa bahawa Islam itu indah; bahawa bersih dan indah itu sebahagian dari iman, bahawa Islam mengutamakan kebersihan.

Saya tidak tahu berapa ramai jemaah yang menumpukan fikiran dan hatinya kepada takzirah atas tajuk itu. Mungkin ada yang merasa bosan kerana cerita tentang persekitaran dan kebersihan ini adalah cerita biasa-biasa sahaja. Yang pasti sahabat disebelah saya, kepalanya terkulai tunduk. 

Tidur atau sedang memikirkan kesan buruk kepada kehidupan disebabkan persekitaran yang tercemar?

Saya tidak tahu. Tapi tiada dengkuran dari beliau.

Penceramah membandingkan sikap orang Islam dengan yang bukan Islam berhubung dengan menjaga persekitaran.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju atau ada yang sakit hati apabila sikap orang bukan Islam mendapat pujian. 

Penceramah itu menyatakan bahawa dia rasa bersalah dan malu, apabila seorang peserta yang semeja dengannya, dari Jepun, mengutip secebis tisu yang telah jatuh berhampiran kakinya, lalu dimasukkan ke dalam poket.

"Saya seorang ustazpun tak buat macam itu", katanya.

Begitulah disiplin orang Jepun tentang menjaga persekitaran. Dia bukan orang Islam. 

Di Malaysia? Keputusan kerajaan melarang merokok di tempat awam seperti direstoran dan jabatan kerajaan mendapat tentangan, termasuk dari orang Islam. 

"Jadi mananya Islam itu bersih?" Sinis sungguh bunyi suara penceramah itu.

"Islam itu bersih, yang kotor orangnya". Dia sendiri menjawab soalan yang dia tanya, khuatir orang salah faham.

Dalam hati saya bertanya: Siapakah sepatutnya menjaga persekitaran dari tercemar?

Kerajaan? Orang ramai?

Semua jawapan menuding jari ke pihak lain. 

"Macam mana dengan perbuatanku membakar sampah?" Saya bertanya pada diri sendiri.

"Ah bukan bakar secara terbuka", saya  menjustifikasikan tindakan saya itu. Saya tersenyum, senyum pada diri sendiri yang tiada manisnya.




Khamis, 26 September 2019

Tiada Simpati Bagi Mu . Itulah Kasih Sayangku Padamu.



Bersama Ahmad Naqib

Hari ini saya mahu bercerita yang santai santai sahaja. Tiada cerita politik yang buat pening kepala. Releks.....ya orang pencen sepatutnya relek-relek saja tak usah pening-pening kepala bincang fasal politik. 

Dahlah dulu semasa bekerja macam macam warna hidup yang dihadapi dan dirasai---ada masam, ada manis, ada kelat, ada masin, ada pahit dan ada yang tidak tahu apa rasanya. 

Yang tak tahu apa rasanya itulah yang banyak menguasai suasana ketika itu. 

Jangan salah teka dan silap tafsir tentang maksud 'tak tahu apa rasanya'. Ianya bukan 'secukup rasa' seperti yang digunakan dan difahami oleh cef dan tukang-tukang masak untuk menyatakan rasa makanannya ok, boleh diterima semua tekak manusia.

Jangan pening kepala, yer memikirkan apa itu finomina 'tak tahu tahu apa rasanya'. Saya ceritakan sedikit.

Baiklah. 

Finomina 'tak tahu apa rasanya' ini memang dihadapi oleh semua penjawat awam tanpa kecuali, dari serendah kedudukan kepada yang paling atas. Semakin tinggi kedudukan semakin keraplah finomina itu menguasai keadaan/suasana kerja.

Adakah finomina ini menceriakan suasana, menggembirakan hati dan sebaliknya? 

Terpulang kepada personaliti masing masing. Ada yang mengambil peluang seoptima dan maksima yang mungkin untuk menfaat diri masing-masing, untuk tujuan naik pangkat misalnya. Ada pula yang rasa meluat, benci dan menyampah sehingga berani menungkah arus. Akibatnya , 'duduk situlah sampai ke tua', tidak kurang juga diusir keluar dan dipetisejukkan.

Yang paling malang sekali ialah ada yang tidak berani bersuara, mengeluarkan kata-kata waemah bahasa badan sekali pun tak berani dipamerkan. Memendam rasa sampai pencen.

Kata kunci kepada finomina itu, saya rengkaskan dengan huruf SYMP. Yang menerajui finomina ini ialah orang politik, sama ada berjawatan sebagai Ahli Pentadbiran atau ahli politik biasa. Dengar khabar kata kunci ini telah ditukar apabila PH jadi Kerajaan. Saya tidak pasti. Tapi perangainya  masih sama. Ianya satu legasi politik dalam menguruskan kerajaan.

Maaf, saya telah terlajak. Lari dari maksud bersantai seperti yang dijanjikan. 

Baiklah. Lihatlah gambar diatas, seorang datuk yang dipanggil Tokpa oleh cucu-cucunya bergambar bersama dengan seorang cucunya dihadapan kondo tempat kediaman cucunya di Putra Jaya.

Itu adalah gambar untuk dijadikan ingatan dan kenangan bahawa pada suatu ketika dulu cucunya yang bernama Ahmad Naqib ini pernah patah tangan, dipergelangan dan siku tangan kiri akibat dari jatuh semasa mahu menukar tangan bergayut alat pemegang di Taman Permainan Tanjung Mas di Muar. 

Sebenarnya saya tidak tahu apa yang telah berlaku kerana saya sendiri tidak melihatnya. Cerita itu diberitahu oleh Aqib, nama pendekkannya. 

Saya dan isteri sedang duduk santai diatas tempat duduk jenis batu yang agak jauh dari tempat mainan itu. Kami terutama saya dalam usia siri 70an ini lebih memilih untuk berehat walaupun sewaktu menemani cucu bermain di taman permainan. Lagipun mama dan ayahnya ada bersama. 

Sedang duduk santai, tiba-tiba isteri bersuara cemas menyatakan sesuatu yang tidak baik sedang berlaku kepada cucunya. Kami segera ketempat itu, termengah-mengah. 

Aqib dalam keadaan mengiring, terbaring diatas tanah sambil menangis kesakitan. Disamping Naqib ialah mamanya yang sedang menenangkan Naqib agar dapat menahan kesakitan dengan menjanjikan akan segera bawa Naqib ke hospital. Mama Naqib sungguh tenang. Mungkin sebagai seorang doktor, dia kena berbuat begitu, tidak perlu tunjuk rasa sedih dan mengeluarkan air mata.

Dalam hati dia dan Allah saja yang tahu.

Begitu juga dengan ayah Naqib, tidak menunjukkan panik tapi segera bertindak untuk membawa Naqib ke hospital Muar.

Lain pula dengan situa dua orang ini, saya dan isteri. Belum lagi sampai tempat aqib terbaring, belum lagi mendengar tangisan Aqib, dan belum lagi tahu Aqib patah tangan telah menangis, air mata keluar berjurai sambil meratap menyatakan sayangnya kami kepada cucu kami itu.

Saya menanyakan mama kami, apa sebenarnya telah terjadi. Dia sendiri tidak melihat kejadian itu. Tapi yang menyayatkan hati ialah apabila dia beritahu bahawa tulang tangan kiri Aqib telah patah. 

Sebagai seorang datuk dan nenek apa reaksi emosi anda? Kami menangis. Tidak ada pun perasaan malu. 

Tapi saya tidak berdaya untuk mengangkat Aqib untuk dibawa ke kereta yang lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian. Untuk mengangkat Aqib mesti dilakukan dengan cermat dan berhati-hati agar tidak menambahkan lagi kesakitan.

Saya dan isteri tidak dapat membantu. Aqib diangkat oleh ayah dan dibantu oleh mamanya menuju ke kereta. Yang kami mampu lakukan ialah menangis.

Dalam keadaan yang cemas itu, adik Naqib si Fateh tidak kelihatan. Saya panik , isteri lagi panik. Ayah dan mama Naqib memberi tumpuan kepada Naqib. Sayalah yang perlu mengambil tanggungjawab untuk mencari Fateh.

Saya berulang kali memanggil nama itu. Lama juga tapi tiada jawapan. Mata saya mencari-cari si Fateh itu. Akhirnya wajahnya kelihatan berseorangan diseberang taman permainan. Mengapa dia ke situ? Saya tidak pula tanya. Adakah mungkin dia melakukan sesuatu terhadap abangnya dan rasa bersalah lalu melarikan diri? Itu yang ada dalam fikiran saya ketika itu.

Apa pun saya bersyukur ke hadrat Allah apabila Fateh telah ditemui.

Setelah semuanya berada dalam kereta, ayah Aqib memandu kereta. Dia kelihatan tenang. Tidak ada titisan air mata . Tapi wajahnya melihatkan rasa sedih. Dan saya pula mengingatkan dia supaya bertenang semasa memandu walaupun saya sedang teresak-esak menangis sambil  memujuk Aqib agar jangan menangis , hospital Muar yang masih jauh saya katakan sudah mahu sampai. Sekejap lagi sampailah.

Akhirnya sampailah ke hospital. Naqib diberi rawatan segera. Ayah dan mama Naqib telah buat keputusan untuk memasukkan Naqib ke hospital Pantai di Melaka untuk buat pembedahan, Hospital itu berdekatan pula dengan rumah kami.

Naqib berada di hospital selama tiga hari. Hari keempat mereka sekeluarga balik ke Putra Jaya. Tinggallah saya dan isteri di rumah dengan sentiasa berdoa agar Aqib cepat sembuh.

Naqib dijaga oleh datuk dan opahnya dari Kuala Kangsar, selama seminggu. Kemudian kami ambil alih sehingga sekarang. Kami on call.

Besi dalam tangan Naqib untuk membolehkan tulang yang patah itu bercantum telah dikeluarkan semalam. Tapi kami masih diperlukan untuk membawa Naqib ke klinik bagi tujuan dressing. Doa kami agar Naqib cepat sembuh. Dah sebulan Aqib tidak ke sekolah. Dia pun nampak boring duduk di rumah.

Dulu semasa kecil sebaya dengan Aqib sekarang ini, saya pernah dua kali jatuh dari atas pokok manggis dan rambutan. Hampir pengsan tapi tak ada tulang yang patah. Tidak juga berani beritahu mak dan abah tentang kejadian itu. 

Jika diberitahu, ini respons nya: "pergi panjat lagi", diikuti dengan hayunan rotan atau yang selalu dipanggil sebagai roti panjang ke badan. 

"Tiada simpati bagi mu. Itulah tanda kasih sayangku padamu".